PUKUL CUCU UNTUK MATIKAN DATUK
SELAMA tiga hari tiga malam Tok Sagak terkejang di tengah
rumah dihadap oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Nafasnya kencang turun naik
dengan mata terpejam. Badannya sudah tidak bergerak selama tiga hari tiga malam
itu juga. Orang-orang kampung sudah tiga malam juga berturut-turut berhimpun
sampai empat puluh orang membacakan Yassin. Tetapi Tok Sagak tercungap-cungap
juga terkejang di tempat tidurnya. Anak-anak dan cucu-cucunya memang rela dia
menghembuskan nafasnya lebih cepat dari terkejang saja tidak bergerak-gerak.
Masing-masing berdoa biarlah Tok Sagak menghembuskan nafas dengan aman
tenteram, asalkan tidak menanggung kepayahan seperti yang dideritainya ketika
itu.
Mat Joi menantunya yang tua duduk di hulu kepalanya
mencecahkan air yang sudah dibacakan Yassin ke mulutnya. Tetapi mulutnya tidak
bergerak-gerak lagi sekalipun Mat Joi menggunakan hujung daun sirih untuk
menyudukan air ke mulut orang tua berkenaan. Lambat air yang tergenang di
bibirnya itu masuk ke dalam mulut melalui rekahan bibirnya yang terbuka
sedikit. "Emmm, susahnya dia nak pergi" keluh Mat Joi sambil
menyudukan air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulutnya menggunakan
hujung daun sirih."Mengucap Tok" cucunya Tahrim membongkok
membisikkan ke telinganya. "Ingatkan Allah, Allah... Allah, ingatkan Allah
Tok" Tahrim membisikkan kuat sedikit. Tetapi Tok Sagak tetap terpejam
tidak bergerak apa-apa. Nafasnya kencang turun naik tercungap-cungap. Dia tidak
lagi mengerang-ngerang sakit seperti tiga hari sebelumnya. Tidak lagi
menggeliat-geliat meminta picitkan betis, paha, lengan, kepala dan dada. Dia
sudah nazak menunggu panggilan Ilahi pada saat yang ditetapkan. Memang siapa
pun tidak mengetahui masa yang tidak diundurkan dan tidak didahulukan walau
sesaat pun itu.
"Ingatkan Allah, Tok. Allah, Allah, Allah..."
Tahrim tidak lekang bibir dari telinga datuknya. Dia berdoa biarlah datuknya
sentiasa mengingati Allah dalam perjalanannya yang demikian. Tiga hari
sebelumnya Tok Sagak mengerang-ngerang sakit di seluruh badannya. Kaki, betis,
paha, lengan dan kepala semuanya berdenyut-denyut. Merintih-rintih dia minta
dipicitkan. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak lekang duduk menjaga disisinya
bertukar ganti. Tahrim yang bertugas dengan askar pun diberitahu mengenai
datuknya yang sakit, terpaksa balik tergesa-gesa. Tetapi Tahrim tidak dapat
lagi bercakap-cakap dengan datuknya. Dia sampai di kampung Tok Sagak sudah
sehari semalam tidak dapat bercakap lagi. Tubuhnya terkejang saja tidak
bergerak-gerak. Hanya nafasnya saja kencang turun naik tercungap-cungap. Semua
sanak saudaranya tahu Tahrim memang cucu kesayangan Tok Sagak. Sepanjang masa
dia mengerang-ngerang tiga hari sebelumnya sempat juga dia menyebut nama Tahrim
berulang kali.
"Cubalah panggilkan sesiapa yang tau" tiba-tiba
saja Pak Sidi adik Tok Sagak bangun dari hujung serambi. Gelisah juga dia
melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap nazak sejak tiga hari tiga
malam. "Cuba-cuba bolehlah..." sahut Mat Joi mendongak ke pintu
tengah memerhatikan Pak Sidi berjalan ke tengah rumah. "Di Kampung Hilir
tu, Bilal tu...cuba-cubalah tanyakan..." ujarnya memberitahu mengenai ayah
saya. "Haa, dia tu...anak Tok Aji" Pak Sidi lantas terangguk-angguk
bersetuju dengan cadangan Mat Joi. Tidak bertangguh lagi dia menyuruh Tahrim ke
Kampung Hilir menjemput ayah saya. Malam itu juga ayah saya ke rumah Tok Sagak.
Ketika ayah saya sampai keadaan Tok Sagak masih tidak berubah, tetapi mulutnya
sudah berbuih putih. Mungkin juga buih itu berpunca dari Surah Yassin yang
tidak turun ke kerongkongnya.
"Dah baca Yassin?" soal ayah saya sebaik saja dia
melepaskan lelah. "Sudah tiga malam berturut-turut, Bilal...." sahut
Pak Sidi menghela nafas. "Cubalah Bilal tengok-tengokkan, di mana lagi
silapnya" ujarnya tidak sabar lagi
melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap. "Takat tengok-tengokkan,
awak pun boleh tengokkan!" ujar ayah saya berjenaka. Memang sikap ayah
saya suka berjenaka sekalipun dalam keadaan orang-orang disitu semuanya resah
gelisah. "Ustaz, tak ada balik Tok Bilal?" tanya Mat Joi pula, kerana
dia tahu anaknya Tahrim memang berkawan baik dengan saya. "Minggu ni tak
balik pula..." beritahu ayah saya tersengih-sengih. Setelah duduk beberapa
minit, barulah ayah saya merapati Tok Sagak yang sudah nazak itu. Dia
membongkok melekapkan telinganya ke dada orang tua berkenaan sambil mulutnya
terkumat-kamit membacakan: Allahhu yaptafilan-fusihina mautiha-wallati
lamtamut-fimanamiha fayum-saqullati qadaalihalmaut, wayarsilauhra illa-ajalun
masammim inna-fizalikaliayatun likulli-yatafaqarun...
Nafas Tok Sagak yang kencang mula beransur kendur, tetapi
dia menghelanya panjang sambil menghembuskan pula satu-satu. "Siapa anak
atau cucunya yang paling dia sayang?" soal ayah saya memerhati Pak Sidi.
Menggeleng-geleng kepala Pak Sidi, kerana dia tidak dapat mempastikan siapakah
di antara anak-anak atau cucu-cucunya yang menjadi kesayangan Tok Sagak.
Sepanjang ingatan Pak Sidi semua cucu-cucu dan anak-anaknya mendapat kasih
sayang yang sama dari Tok Sagak. "Selalunya kalau ada apa-apa hal hendak dicakapkannya..."
kata anak perempuannya yang tua Ulung Mahawa, "Dia cakap pada Tahrim saja.
Memang Tahrim pun yang rapat sangat dengan dia...!" ujarnya memuncungkan
bibir pada anaknya Tahrim. "Kalau macam tu, Tahrim ke mari" ayah saya
menggamitnya. Tahrim mendekati ayah saya dengan menginsut punggung. "Duduk
disitu, dan letakkan mulut kau ke telinganya" ayah saya macam memberi
perintah. Tahrim mengikut saja perintah ayah saya lantas duduk di sisi kepala
datuknya membongkok meletakkan mulutnya ke telinga orang tua itu. "Ikut
apa yang aku cakap" ayah saya menepuk bahunya. Tahrim mengangguk memberi
isyarat sudah bersedia melakukan apa saja yang dikehendaki oleh ayah saya.
"Atuk, pulanglah dulu. Segala yang tinggal ini terletak atas bahu
aku..." kata ayah saya menyuruh Tahrim membisikkan ke telinga Tok Sagak. Tahrim membisikkan
seperti yang diajarkan oleh ayah saya itu.
Beberapa saat Tok Sagak membuka matanya, tetapi kemudian
dipejamkan semula. Nafasnya satu-satu memanjang membayangkan betapa payahnya
dia mahu bernafas dalam keadaan demikian. Kepayahan inilah yang menyebabkan
sanak-saudaranya tidak sanggup lagi membiarkan dia lebih lama menanggung
penderitaan tersebut. "Sekarang, kau cium pusatnya" perintah ayah
saya selanjutnya. Tahrim beredar dari sisi kepala datuknya menginsut punggung
ke sebelah rusuk datuknya pula. Dia membongkok mengucup pusat datuknya sambil
menunggu arahan ayah saya seterusnya. Tetapi ayah saya tidak menyuruh apa-apa
lagi. Dia membiarkan Tahrim membongkok mencium pusat datuknya. Kemudian dia mengisar-ngisar
tangannya membaca doa lantas dihembuskannya perlahan-lahan ke kepala
Tahrim. Selepas itu dia bangun membuka ikat tali pinggangnya. Dengan tidak
diduga oleh sesiapa pun ayah saya memukulkan tali pinggang itu ke belakang
Tahrim. Dua kali ayah saya memukulnya sebagai isyarat saja, tiba-tiba saja Tok
Sagak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Alhamdulillah" ayah saya tersenyum setelah
diberitahu mengenai Tok Sagak sudah pun menghembuskan nafasnya. "Kalau
tidak sampai beratus kali pun kau kena tahanlah kena pukul Tahrim" katanya
mengusik anak muda itu. Tahrim tersengih-sengih. Dia tahu ayah saya memang suka
berjenaka. Dia tidak peduli sama ada suasana gembira atau suasana muram dia
tetap suka berjenaka. "Kalau sampai pengsan kena pukul pun, atuk punya
fasal tak apa Tok Bilal...." ujar Tahrim terharu. Dia tidak sedih lagi
dengan kehilangan datuknya, tetapi terharu dengan kejadian yang dialami oleh
datuknya itu. Sejak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai datuknya sakit
tenat, Tahrim sentiasa gelisah dengan keadaan orang tua itu. Dia sudah
melakukan segala nasihat datuk saudaranya Pak Sidi, membukakan sekeping atap,
sekeping lantai dan membuangkan anak tangga bongsu. Masing-masing mengagak
tentulah Tok Sagak mengamalkan ilmu 'sangka bunuh' menyebabkan terlalu sukar
baginya mahu menghembuskan nafas. Tetapi setelah dilakukan petua-petua
menghapuskan ilmu 'sangka bunuh' dengan membukakan atap sekeping, lantai
sekeping dan membuang anak tangga bongsu, ternyata Tok Sagak tidak mengamalkan
ilmu tersebut. Dia terus nazak dengan mengharapkan pertolongan bagi melepaskan
dirinya dari kepayahan tersebut. Setelah Tok Sagak meninggal dunia jenazahnya
dibujurkan sementara menunggu hari siang. Ayah saya pun balik ke rumah selepas
tugasnya disitu selesai. Semasa ayah saya sampai di rumah, saya sudah pun balik
ke kampung. Dia terus memberitahu saya mengenai kematian Tok Sagak. Disebabkan
sudah pukul 1.30 pagi ayah saya balik ke rumah menyampaikan khabar kematian Tok
Sagak tidak dapatlah saya menziarahinya pada malam itu.
Esoknya barulah saya menziarahi jenazah Tok Sagak bersama
ayah saya. Ketika kami sampai pukul 10.00 pagi, sanak saudaranya sedang
memandikan jenazah kerana mahu segera dikebumikan. Tahrim memberitahu saya bau
jenazah itu sudah mula mengganggu, walaupun kebiasaannya jenazah tidak akan
berbau kalau satu malam saja
ditangguhkan pengkebumiannya. Keadaan di atas rumah juga menjadi gempar kerana
sewaktu dimandikan daging jenazah pula menjadi reput bila digosok hingga
terlekat pada sabun. "Macam mana ni...?" Ulung Mahawa mula
tersengguk-sengguk melihat daging jenazah mudah saja terlekang bila digosok
kuat sedikit. Melihat keadaan tersebut ayah saya menasihatkan supaya jenazah
dimandikan dengan tidak payah digosok. Hanya disiramkan saja air mengikut ala kadar
saja bagi mengelakkan daging jenazah habis luruh. Bau busuk juga meruap-ruap
sekali sekala bila angin bertiup, seolah-olah jenazah itu sudah tiga hari
meninggal dunia.
Atas sebab-sebab demikianlah pengurusan mengkebumikan
jenazah dilakukan dengan segera. Memandikan jenazah pun tidak memakan masa yang
lama, hanya cukup sekadar dapat dibersihkan saja. Selepas itu dikapan dengan
dibubuh banyak sedikit kapur barus. Setelah selesai disembahyangkan, kami
sama-sama menghantarkannya ke kubur. Tahrim disuruh oleh ayah saya memikul
usungan dengan tidak digilir-gilir hingga sampai ke kubur. Dia juga menyambut
jenazah dari lubang kubur untuk dimasukkan ke liang lahad. Semua yang disuruh
oleh ayah saya dipatuhi oleh Tahrim. Saya juga ikut sama memikul usungan Tok Sagak,
tetapi kami memikulnya secara bergilir-gilir. Pada malam selepas Tok Sagak
dikebumikan, Mat Joi datang ke rumah ayah saya kira-kira jam 12.30 malam
memberitahu Tahrim tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Tubuhnya menggeletar
seperti orang dalam ketakutan, matanya meliar memerhati sekeliling kasau atap,
sambil bibirnya kumat-kamit merungut tidak tentu biji butir.
Disebabkan saya masih berada di kampung, saya pun ikut
menemankan ayah saya ke rumah Mat Joi setelah diberitahu mengenai kejadian yang
menimpa diri Tahrim. Kebimbangan yang bersarang di hati Mat Joi selepas
kematian mertuanya, bertambah lagi dengan keadaan Tahrim. Apa lagi cuti Tahrim
juga sudah tamat tempohnya. Ketika saya bersama ayah saya sampai, saya dapati
Tahrim menyorokkan mukanya di bawah bantal. Dia terketar-ketar bagaikan
menghadapi ancaman yang amat mengerikan. Tidak ada sepatah kata pun terluah
dari mulutnya kecuali rungutan yang tidak difahami biji butirnya. "Tok
Bilal tengokkan laa Tahrim ni...." ujar Ulung Mahawa terharu setelah
mempersilakan kami duduk. "Tolong laa....tengokkan Ustaz, apa kenanya
Tahrim ni...besok nak balik kerja dia tu" jelasnya bercampur bimbang
sekiranya Tahrim tidak dapat balik bertugas semula setelah cutinya berakhir.
"Hah, tengokkanlah Angah" ayah saya menepuk paha
saya. Serba salah juga saya apabila ayah saya sudah melepaskan tanggungjawab
yang diharapkan oleh Mat Joi darinya itu, kepada saya pula. Kadangkala berdetak
juga hati saya tidak mahu menziarahi teman-teman yang menghadapi gangguan
seperti dialami oleh Tahrim. Tetapi sekali sekala saya balik ke kampung hati
saya merasa macam bersalah kalau tidak menziarahi jiran-jiran atau kawan-kawan
yang sakit demikian. Tujuan saya untuk menziarahi sudah bertukar pula dengan
harapan keluarga berkenaan meminta diubati si sakit. Sewaktu Mat Joi datang
menjemput ayah saya, tujuan saya mengikutnya semata-mata untuk menziarahi
Tahrim yang dikatakan sakit. Tetapi ayah saya sendiri yang menyuruh saya
mengubati Tahrim.
"Tengokkanlah Ustaz, Tahrim ni.." desak Ulung Mahawa
lagi. Saya tidak menyahut. Saya mendekati Tahrim yang menyembunyikan mukanya di
bawah bantal. "Apa kena kau Tahrim?" soal saya menepuk-nepuk bahunya.
Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil mulutnya merungut-rungut. Tidak dapat
saya fahami langsung biji butirnya. "Apa yang kau nampak?" soal saya
lagi. Tahrim merungut-rungut juga, sambil jari telunjuknya menuding ke ceruk
pintu. "Tak ada apa pun di situ..." beritahu saya tersengih-sengih.
"Bukalah muka kau, tak ada siapa pun di situ" kata saya merenung ke ceruk
pintu yang ditudingnya. Lama saya merenung ke situ barulah saya nampak
berbayang-bayang Tok Sagak berdiri melambai-lambai. Saya terus bangun
mendapatkan Tok Sagak lantas berjabat tangan. Kemudian saya mengajak ke serambi
duduk disitu, sambil saya memarahi dia kerana datang mengganggu Tahrim.
"Tok, bukan nak ganggu dia...tok nak jaga dia.."
ujar Tok Sagak perlahan. "Tak perlu tok jaga dia" jelas saya
memujuknya. "Allah lebih baik melindungi dia dari tok sendiri" kata
saya mengingatkan dia. "Tok sayangkan dia..." balasnya menunduk.
"Allah lebih sayangkan dia dari tok" saya masih berkeras tidak
membenarkan dia mengganggu Tahrim. Dia terdiam bila saya bacakan Surah
Al-Ikhlas di depannya 11 kali, menyebabkan dia menangis tersedu-sedu. "Tok
jangan menangis, janganlah tok bimbangkan dia. Allah lebih sempurna
pemeliharaanNya dari tok" ujar saya tegas. "Sedangkan tok sendiri pun
mengharapkan perlindungan Allah, macam mana tok nak melindungkan orang lain.
Tok pun makhluk yang lemah..." kata saya menepuk-nepuk bahunya berulang
kali. Dia mengangguk-angguk mempersetujui nasihat saya. "Baliklah tok
dulu..Tahrim pun nak balik bekerja besok. Nanti kalau Tahrim dibuang kerja,
tentu tok juga tak sukakan?" ujar saya memujuknya. Bayangan Tok Sagak
mengangguk. Dia bangun lemah dari tempat duduknya meminta diri untuk
meninggalkan rumah tersebut. Sebelum dia menuruni tangga sempat dia masuk ke
dalam mengucup dahi Tamrin. Kemudian dia berjabat salam dengan saya sebelum
meninggalkan rumah tersebut dengan linangan air matanya.
Kira-kira setengah jam selepas itu saya merasa bahu saya
ditepuk. Apabila saya berpaling saya dapati ayah saya tersenyum gembira.
"Alhamdulillah.." kata saya memberi isyarat dengan ekor matanya
menunjukkan Tahrim sudah mula sedarkan diri sekalipun tubuhnya masih lemah
lagi. "Apa kena kau Tahrim?" tanya ayah saya tersengih-sengih
mengusiknya. "Entahlah, Tok Bilal" sahutnya menggeleng-geleng lemah.
"Apa kenanya Ustaz?" Ulung Mahawa pula mendesak saya. "Entahlah
Ulung" beritahu saya serba salah mahu menerangkan sesuatu yang tidak dapat
hendak digambarkan kepadanya. "Tahrim dah sembuh, syukurlah" ujar
saya supaya tidak didesak lagi oleh Ulung Mahawa. Bagaimanapun Ulung Mahawa
tidak puas hati dengan jawapan saya itu, tetapi dia tidaklah berani mendesak
sangat. Jauh di sudut hati Ulung Mahawa dia menuduh ada di antara
saudara-maranya yang irihati kepada anaknya Tahrim, disebabkan dia
merupakan cucu kesayangan aruah Tok
Sagak. Sebab itulah mereka melakukan apa saja untuk memusnahkan Tahrim. Namun
saya tetap menafikan anggapan Ulung Mahawa itu. Inilah menyebabkan dia tidak
berpuas hati dengan penjelasan saya.
Hanya beberapa bulan selepas itulah baru Tahrim menceritakan
kepada emaknya, dia ketakutan sewaktu dikatakan tidak sedarkan diri itu, kerana
aruah datuknya Tok Sagak datang mengajaknya pergi. Puas Tok Sagak menghulur
tangan meminta Tahrim memautnya, tetapi Tahrim ketakutan untuk menyambut tangan
aruah datuknya. Entah mengapa Tahrim dapat berfikir bahawa datuknya baru saja
meninggal dunia sebelah siangnya. Sebab itulah dia tidak mahu menyambut tangan
yang dihulurkan oleh Tok Sagak mengajaknya pergi dari situ. Dia seolah-olah
nampak datuknya berbual-bual dengan saya di serambi. Pada mulanya dia nampak
datuknya bercakap dengan suara lantang tidak puas hati kerana saya
menghalang dia dari membawa cucunya.
Tetapi suaranya lama kelamaan merendah hingga menangis teresak-esak. Tahrim
pula tidak tahu apa yang saya cakapkan bersama datuknya. Tidak lama setelah
datuknya bercakap-cakap dengan saya, Tahrim dapat melihat dengan jelas datuknya
mencium dahinya sebelum pergi menuruni tangga. Selepas itu tiba-tiba saja
sekitar rumah menjadi gelap gelita beberapa minit, hingga dia terkejut bangun
dari tidurnya. Hairan juga dia bila didapatinya saya dan ayah saya beserta
beberapa orang jiran lain ada di sisinya.
Tetapi cerita Tahrim tidak habis disitu saja. Sehingga dia
berhenti askar pun saya mendengar cerita mengenai keistimewaan dirinya,
sedangkan dia sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya keistimewaan
tersebut. Saya mendengar cerita Tahrim menolong sepupunya menebang pokok rambai
berhampiran dengan rumahnya. Semasa pokok rambai tumbang, Tahrim tidak dapat
mengelakkan diri lantas dihempapnya. Sepupunya Mat Derih menjadi panik, lantas
melaung memanggil jiran-jiran datang membantu. Sewaktu jiran-jiran sampai,
Tahrim merangkak-rangkak keluar dari bawah dahan dan ranting-ranting rambai
yang menimpanya. Hanya bahu dan belakangnya saja calar-calar ringan, sedangkan
seluruh anggota badannya tidak terjejas langsung. Bila ditanyakan oleh Mat
Derih mengenai peristiwa tersebut, Tahrim hanya menggeleng-geleng kepala saja,
kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah terjadi.
Semasa masih berkhidmat dalam askar pun, Tahrim pernah
mengalami kejadian yang tidak disangka-sangkanya. Pasukannya telah membuat
operasi jauh ke hutan. Apabila berkhemah di satu kawasan Tahrim ditugaskan
berkawal hingga tengah malamnya. Dengan tidak disedarinya Tahrim merasai
tersangat mengantuk lantas tertidur waktu berkawal ini. Kira-kira jam 2.00 pagi
seorang anggota lain yang ditugaskan menggantikan tempat Tahrim berkawal datang
ke tempat dia berkawal. Alangkah terkejutnya kawan itu apabila dilihatnya
Tahrim tidur nyenyak di atas perut seekor harimau yang berbaring di sisinya.
Keesokan harinya Tahrim disoal oleh ketuanya mengapa tidak mahu digantikan
berkawal oleh rakannya, dia sendiri terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah
berlaku ke atas dirinya. Apabila diberitahu oleh kawannya dia tertidur di atas
perut harimau yang mengambil alih tugasnya berkawal, Tahrim hanya menerangkan
semuanya itu cerita karut.
Setelah bersara dari askar Tahrim menetap semula di kampung.
Setiap kali saya balik ke kampung, saya akan singgah minum kopi di warung kecil
yang dibukanya. "Beginilah Ustaz" kata Tahrim tersengih-sengih bila saya
singgah minum kopi di warungnya. "Masa muda jadi askar, dah tua jadi
jaga" ujarnya berjenaka. "Tapi jadi jaga di warung ni bagus,
Rim" sahut saya tersenyum. "Bukannya jadi jaga berdiri depan bank
perhatikan orang keluar masuk bawa duit. Tapi jadi jaga di warung ni, sendiri
memerhatikan duit keluar masuk" saya sengaja mengusiknya. Bagaimanapun
setiap kali saya mahu membayar duit kopinya, Tahrim tetap menolak. "Bukan
selalu Ustaz minum di warung ni, sekali-sekala aje" katanya memasukkan semula
wang yang saya berikan ke poket saya.
TAMAT
Oleh AKI TUA pada 5:31 PM
Best Places To Bet On Boxing - Mapyro
ReplyDeleteWhere https://vannienailor4166blog.blogspot.com/ To Bet On Boxing. It's a sports 출장마사지 betting dental implants event in which you bet goyangfc on the outcome of a game. In the boxing world, each player must decide if or 도레미시디 출장샵 not to