sbdj 31-40



31. Rumah Misteri

Datuk pun melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Angin petang yang bertiup kencang mengugurkan dedaun getah tua yang me­magari pinggir kampung. Mata saya masih tertumpu ke arah rumah papan yang beratap rumbia. Pintu dan tingkap rumah bertutup rapat. Di kaki tangga ada tempayan besar. Sebelah kanan rumah terdapat pokok mempelam telur yang sedang berbunga lebat.

"Apa yang kau nampak?", tanya datuk pada saya.

"Tak ada apa-apa tuk"

"Baguslah”, balas datuk dan terus duduk di atas tunggul getah. Anak muda yang sejak tadi berdiri di sebelahnya juga turut duduk. Anak muda itu nampak cemas.

"Nama kamu siapa?"

Saya tersenyum, kenapa begitu lambat datuk mahu mengetahui nama anak muda itu. Agaknya datuk terlupa atau sengaja dia berbuat demikian dengan tujuan tertentu, fikir saya dalam hati.

"Nama saya?", ulang anak muda itu.

"Ya nama kau"

"Orang kampung panggil saya Man Beliung, nama sebenar ikut kad penge­nalan dan surat beranak Osman"

"Fasal apa orang kampung panggil kamu Man Beliung?", datuk mencungkil rahsia.

Osman segera bangun dan kerutkan dahi sempitnya. Sinar matahari petang kian redup. Beberapa ekor burung gagak liar mula hinggap ke atas tulang bum­bung rumah papan beratap rumbia. Gagak-gagak itu berbaris menghala ke arah matahari sambiI berbunyi. Suara gagak itu parau dan kalau di teliti bunyinya macam orang mencarik kain kapan.

"Sebabnya, pasal saya lahir dulu, bidan yang menyambut saya bersama se­bilah beliung kecil”, Osman membuka kisah dirinya.

"Mana kau tahu?", tanya datuk lagi.

"Ayah saya yang cakap dan ibu saya sendiri mengakuinya. Menurut kata ayah, kalau saya tidak disambut dengan beliung kecil itu saya tidak akan lahir dan ibu akan mengandung sampai mati. Beliung itu ayah yang berikan pada bidan"

Datuk terdiam mendengar cerita dari Osman. Suara gagak di atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia terus berbunyi. Saya menumpukan perhatian ke arah rumah tersebut, sebahagian daripada rumah itu tidak kena cahaya matahari kerana terlindung oleh pokok besar. Tiba-tiba sahaja badan saya terasa saya terasa seram. Bulu roma saya mula tegak, anehnya bila saya tidak melihat ke arah rumah itu rasa seram tidak saya rasai.

"Beliung itu ada pada kau?", saya terdengar datuk menyoal Osman.

"Ada saya simpan. Berbalut dengan kain kuning dan diikat dengan benang tujuh warna"

"Apa warnanya?"

"Saya tak berapa ingat. Tapi warna hitam lebih banyak dari warna lain"

Datuk saya lihat resah tidak menentu. Sekejap dia kerutkan dahi, sekejap menggaru pangkal kening. Sekejap memicit pangkal hidung. Semua yang datuk lakukan serba tak kena. Dalam keadaan datuk yang tidak menentu itu, saya renung ke arah rumah beratap rumbia. Saya lihat bahagian tingkap yang tidak kena sinar mata­hari terbuka dengan sendiri. Ada kelibat manusia berdiri di situ. Saya memberanikan diri untuk meli­hatnya, tiba-tiba telinga terasa kosong. Tidak ada satu pun yang dapat saya dengar dan kepala saya terasa pening. Saya segera merenung ke arah lain. Pen­dengaran saya kembali macam biasa, rasa mahu pening terus hilang. Saya tidak berani mengulangi perbuatan itu lagi.

"Kau simpan beliung tu di mana?"

Saya mula bosan dengan sikap datuk. Tidak habis-habis menyoal Osman dan tidak merasa bosan macam saya. Dia menjawap dengan jelas apa yang disoal oleh datuk. Osman terus memberi tahu datuk bahawa beliung itu disimpan dirumahnya yang terletak berhampiran jalanraya. Osman juga memberitahu tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya berjumlah lima ekar lebih. Tiga ekar lagi dijadikan dusun.

"Rumah ini ayah saya dirikan di dalam tanah dusun”, kata Osman tanpa me­mandang ke arah rumah peninggalan ayahnya, dia bagaikan takut memandang rumah pusaka itu. Matahari kian condong ke barat.

Burung gagak kian bertambah duduk atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia. Bila datuk menyoal Osman kenapa dia mendirikan rumah di tepi jalan raya atas tanah kerajaan, secara terus terang Osman menerangkan bahawa dia pemah mendirikan ru­mah di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya. Malah, dia sendiri sudahpun mencari seorang gadis sebagai calaon isterinya. Dia mahu menjadi­kan tanah pusaka itu sebagai sumber rezekinya. Te­tapi hasratnya tidak terlaksana bila rumah sudah di dirikan dan dia tinggal di situ. Osman merasakan tanah peninggalan ayahnya bukanlah satu tempat yang aman. Setiap malam dia diganggu oleh makh­luk ganjil yang dapat dilihatnya.

"Setiap malam badan saya dan pakaian saya di­lumuri dengan najis manusia dan binatang. Tiang rumah saya digoncang setiap malam, kerana itu saya pindah”, beritahu Osman pada datuk.

Osman juga mem­beritahu, tidak ada orang yang mahu menoreh di kebun getahnya kerana setiap orang yang cuba menoreh akan di serang oleh beribu kelawar dan gagak. Akibatnya orang yang kena serang kelawar badannya agak gatal dan bengkak. Manakala orang yang diserang burung gagak badannya kemerah-merahan akibat dicakar oleh burung tersebut.

"Kebun getah tu, sudah jadi hutan”, keluh Osman.

Hati saya cukup hiba, bila Osman menyatakan dia berhasrat untuk meninggalkan kampung buat selama-lamanya.

"Tidak ada gunanya saya tinggal di sini. Orang-orang kampung mula men­curigai saya. Tidak ada gadis yang mahu bersuamikan saya dan tidak ada orang yang sudi menjadikan saya menantu. Bila pakcik sudah berjaya, semua tanah ini akan saya jual jika ada orang mahu membelinya. Kalau tak ada biarkan jadi hutan”, wajah Osman muram sungguh.

Datuk segera menepuk bahu Osman. Datuk menyanjung cita-cita Osman disamping memberi satu pengharap baru pada dirinya.

"Jangan putus asa. Allah tidak suka pada orang yang cepat putus asa, hidup mesti berusaha”, bisik datuk ke telinga Osman.

Dia senyum. Datuk menggaru pangkal telinga sebelah kanan dua kali berturut-turut. Osman pun melihat jam tangan.

"Dah pukul enam pakcik”, ujarnya.

Saya renung wajah datuk. Dan Osman menoleh ke kiri dan ke kanan, macam mencari sesuatu.

"Mari kita masuk ke rumah tu”, suara datuk separuh keras.

Osman dan saya berpandangan. Dada saya berdebar dan saya tidak dapat menduga apa yang bergolak dalam hati kecil Osman.

"Mari”, ulang datuk lagi sambil menarik tangan Osman.

Osman patuh dengan perintah datuk. Baru lima tapak Osman melangkah, mukanya kelihatan pucat. Tidak berdaya untuk mengatur tapak ke hadapan. Wajah datuk ditatapnya sejenak.

"Kita menempah bahaya pakcik”, katanya.

"Macam mana kau katakan bahaya, kita belum pun sampai"

"Saya terasa seram sejuk pakcik"

"Usah takut, aku ada dekat kau"

Datuk terus mengajak Osman. Ternyata Osman tidak dapat berdalih lagi. Saya dan Osman terus mengekori datuk, macam anak ayam mengikut ibunya mencari makanan. Bunyi suara gagak kian gamat seolah-olah tidak merestui atas kedatangan kami bertiga. Beberapa ekor burung gagak terbang rendah ke arah kami. Berlegar-Iegar atas kepala kami sebelum hinggap di dahan pokok kiri kanan kami. Saya tidak dapat mengawal mata saya menyorot tajam ke arah burung-burung gagak itu. Memang bentuk burung gagak itu agak besar sedikit dari gagak yang selalu saya lihat. Bahagian kepalanya botak hingga ke leher. Dibawah muncungnya tumbuh bulu yang agak jarang tetapi panjang macam janggut manusia.

"Jangan tengok burung tu”, kata datuk pada saya sambil memusingkan leher saya hingga tertumpu ke hadapan. Memang, terasa sakit leher bila datuk berbuat demikian pada saya.

"Jangan belajar jahat. Kawal mata dan hati kamu. Sini bukan tempat suka-suka tau”, tambah datuk.

Nada suaranya cukup keras. Saya terus membisu. Ketika itu langit kelihatan cerah bersama kepulan awan nipis yang berarak ke utara, meskipun hari sudah pukul enam lebih. Kami terus melangkah mengikut langkah datuk yang teratur. Dada saya terus juga terus berdebar. Lebih kurang dalam jarak dua puluh kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah papan beratap rumbia, secara mendadak sahaja datuk berhenti melangkah.

Dia menyuruh saya berdiri di kanan dan Osman di sebelah kirinya. Dia meminta kami melangkah serentak mengikut langkahnya. Dan langkah pertama dimulakan dengan kaki kiri. Setiap kali melangkah tumit tidak boleh menyentuh bumi. Ketika itu, kami tidak dibenarkan oleh datuk memakai sepatu. Semua sepatu diletakkan di satu tempat khas. Datuk juga mengingatkan kami supaya jangan menegur kalau terlihat sesuatu yang ganjil. Semua perintah datuk kami patuhi. Akhirnya kami sampai di kaki tangga rumah tersebut. Datuk meletakan tapak tangan kanannya atas kepala tiang tangga yang terbuat dari kayu Medang Sawa. Kepala tiang itu terukir indah dalam bentuk awan larat yang cukup seni. Lama juga datuk meletakan tapak tangannya di situ. Saya lihat lengannya bagaikan bergoyang-goyang hingga urat-uratnya kelihatan timbul, macam ada sesuatu yang menekan tangan datuk. Mukanya mula berpeluh. Urat di kiri kanan dahi datuk nampak cukup tegang.

"Allahu Akbar..”, pekik datuk sekuat hati.

Serentak dengan itu dia menarik tangannya dari memegang kepala tangga. Datuk undur dua tapak ke belakang. Datuk pun membaca beberapa potong ayat al-Quran.

"Begini, kita naik ke rumah dengan cara membelakang”, kata datuk sambi I merenung wajah saya dan Osman. Burung gagak terus berbunyi. Tiba-tiba datuk bersuara lagi, "Biar aku naik dulu”

Saya dan Osman berpandangan lagi, datuk menukar rancangan dengan mendadak. Datuk pun melangkah anak tangga pertama. Matanya merenung kami, tetapi kakinya terus melangkah. Memang, satu kerja yang sukar memijak anak tanah dengan cara yang ganjil. Bila sampai ke tangga akhir barulah datuk memusingkan badannya. Kemudian dia menolak daun pintu yang tidak berkunci.

"Naik macam biasa, jangan ikut macam aku tadi”, katanya dengan lantang.

Kami pun segera naik ke rumah. Dalam beberapa saat sahaja kami sudah berada di dalam perut rumah papan beratap rumbia. Rumah itu mempunyai tiga bilik. Salah satu dari pada bilik itu berkunci. Menurut Osman bilik itu semasa ayahnya masih hidup tidak dibenarkan sesiapa masuk di dalamnya. Kerana itu Osman sendiri tidak tahu apa yang terdapat dalam bilik itu. Datuk melihat keadaan rumah yang penuh dengan sawang dan sarang labah-labah dari anjung hingga ke dapur. Ketika berada di ruang tengah datuk menguis beberapa helai bulu burung gagak serta beberapa ekor bangkai kelawar yang sudah kering. Tulang dan kepala kelawar yang kering dan keras itu bertaburan di situ.

Waktu datuk mahu menjamah tulang-tulang kelawar itu, kami terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Serentak dengan itu seluruh ruang di penuhi dengan beribu-ribu ekor kelawar yang bersedia untuk menyerang kami. Datuk pun membuka baju hitamnya dan menutup kepalanya hingga menjadi bulat. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Saya dan Osman terus resah. Tidak tahu apa yang mahu dilakukan ketika itu. Datuk melemparkan bajunya ke arah dinding. Dengan serta-merta kelawar yang beribu-ribu itu hilang dari dalam rumah. Datuk ambil baju dan terus menyarungkan kembali ke badannya.

Datuk melangkah ke pintu bilik yang berkunci. Dengan tangan kiri datuk memegang ibu kunci erat-erat. Mukanya merah padam. Saya lihat datuk meramas-ramas ibu kunci hingga hancur. Besi dari ibu kunci bertaburan atas lantai. Datuk menolak pintu bilik dan menyuruh Osman masuk. Pada mulanya Osman enggan, namun setelah didesak barulah Osman melangkah dengan diikuti oleh datuk dan saya. Dalam bilik itu datuk menjumpai satu rangka manusia terletak atas tilam yang berlapik kain kuning. Tengkorak dari rangka itu terletak dari atas sebatang kayu pulai kering.

"Kita balik”, kata datuk.

Tanpa banyak bicara kami ikut perintah datuk. Ketika itu hari sudah beransur gelap. Dengan langkah yang cepat kami menuju rumah Osman di tepi jalanraya. Bila sahaja kami masuk ke dalam rumah, Osman jatuh pengsan. Datuk terpaksa merawat Osman hingga pulih. Tidak jauh dari tempat Osman jatuh tadi, datuk menemui seketul batu sebesar ibu jari. Batu yang berwarna merah itu datuk masukkan ke dalam uncangnya.

Malam itu selepas menunaikan sebahyang Isyak, datuk minta Osman mengeluarkan beliung kecil yang disimpannya. Tanpa berlengah-Iengah lagi Osman mengeluarkan beliung kecil itu dari dalam kotak kecil yang diletakkan dibawah katil. Lama juga datuk menilik beliung kecil itu. Datuk terus memberitahu Osman bahawa beliung yang disimpannya itu bukanlah beliung yang dibuat dari pada besi, tetapi dibuat dari tulang manusia. Selagi beliung itu di simpannya ada satu kuasa yang mendampingi dirinya.
Beliung kecil itu merupakan amanat ayahnya untuk Osman mewarisi ilmunya di samping memelihara hantu kelawar peninggal ayahnya.

"Kau harus membuangnya. Kalau tidak dirimu se­lama-Iamanya didampingi oleh syaitan. Bila sampai masanya, kau akan memberikan dia makan de­ngan darahmu sendiri, kalau tidak dia akan menja­hanamkan orang lain”, kata datuk pada Osman.

"Saya tak tahu pakcik”, balas Osman jujur.

Datuk termenung sebentar. Datuk yakin apa yang dikatakan oleh Osman itu memang benar. Bagi menghilang­kan keresahan di hati Osman, datuk terus berjanji padanya untuk menyelesaikan masalah yang diha­dapi oleh Osman.

"Minta pakcik al-Quran”, ujur datuk pada Osman lagi.

"Saya tak ada menyimpannya pakcik"

"Surah yasin?"

"Pun tak ada"

"Sebagai seorang Islam kau harus menyimpan al-Quran di rumah atau Surah Yasin. Bukan tujuan untuk jadi perhiasan almari, kau harus menyimpan dan membacanya. Paling kurang setahun sekali kau harus membaca al Quran selama satu bulan pada setiap bulan Ramadhan. Surah Yasin pula dibaca pada setiap malam Jumaat. Kau boleh membaca Quran?"

"Boleh pakcik"

"Bagus. Paling akhir kau membaca al-Quran bila?"

"Paling akhir sekali kira-kira lima tahun yang lalu waktu saya tamat belajar dengan Haji Mat Zain"

"Lepas itu?"

"Tak pernah"

Datuk mengeluh kecil. Datuk menyatakan rasa kesalnya atas sikap Osman itu. Menurut datuk, orang muda sekarang kian jauh dari al-Quran walaupun mereka tahu dan boleh membaca al-Quran. Perbuatan membaca al-Quran itu diamalkan masa kecil, bila sudah dewasa perangai membaca al-Quran akan terpisah dari diri mereka.

"Ada yang memikirkan membaca al-Quran sebagai satu sikap menunjukkan diri sebagai orang kampung dan ketinggalan zaman. Jadi mereka lebih senang membaca buku komik atau kartun yang tidak mendatangkan faedah”, datuk mula berkhutbah. Untungnya dia tidak berkhutbah panjang.

Malam itu Osman terpaksa pergi ke rumah Haji Mat Zin (guru al-Quran kampung tersebut) meminjam kitab suci al-Quran. Bila al-Quran berada dihadapan datuk, dia terus membacanya hingga ke subuh.
Sepanjang malam itu tidak ada perkara aneh yang kami alami di pondok Osman. Tetapi, bila saya mengikuti datuk mengambil air sembahyang subuh, di seberang anak sungai yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah Osman, datuk telah dilemparkan dengan najis dari arah kiri. Kerana hari gelap, datuk tidak dapat melihat siapa yang melemparkan najis padanya. Najis itu mengenai perut datuk.

"Jangan kacau aku!", pekik datuk.

Bila suara datuk hilang, beberapa pokok besar bergoyang dan daun dari pokok-pokok berguguran. Datuk tidak peduli dan terus mandi membersihkan badan. Bila sudah selesai mandi, datuk terus menyarungkan seluar hitam dan bersedia mahu mengambil air sembahyang. Dalam samar-samar subuh itu, saya dan datuk terpandangkan kaki manusia yang cukup besar. Datuk terpegun sejenak. Manakala suasana di tebing sungai mula gamat dengan bunyi suara burung hantu dan gagak. Datuk tidak berkata sepatah pun. Dia melangkah tenang menuju ke rumah Osman. Sampai dirumah ternyata Osman masih tidur lagi. Datuk jadi marah dengan tiba-tiba.

"Bangun. Jangan tidur bersama syaitan, mari kita sembahyang!”, pekik datuk sambil menyepak punggung Osman.

Tergesa-gesa Osman bangun lalu mengambil air sembahyang. Bila datuk membaca doa qunut, saya rasa rumah itu bergegar. Datuk terus menyelesaikan sembahyang subuhnya. Masa datuk memberi salam akhir, satu tendangan hinggap di belakang datuk kemudian pipi saya bagaikan ditamparkan oleh orang. Kibasan tangan itu saya lihat berbulu panjang dan besar pula. Datuk tidak ambil kisah dengan kejadian itu. Dia tetap meneruskan kerjanya membaca doa. Rumah terasa bergoncang lagi. Satu lembaga hitam berdiri di hadapan datuk. Makin lama lembaga itu berdiri di satu, warnanya segera bertukar dari hitam menjadi seakan-akan kuning, kemudian menjadi putih. Saya amati lembaga itu cukup besar. Bentuk kakinya macam kaki gajah. Dari paras pusat penuh dengan bulu tebal.

Datuk selesai membaca doa. Dia terus mendongakkan kepalanya pada lembaga itu. Di luar rumah, bunyi burung gagak kian hebat bersama dengan suara burung hantu. Sesekali terdengar suara orang menangis dan meratap dalam bahasa yang tidak saya fahami. Subuh itu, bagi saya merupakan subuh yang amat menakutkan. Suasana subuh yang hening dan damai itu tidak saya nikmati seperti subuh yang lain. Osman tidak terkata walau sepatah apa pun. Mukanya pucat lesi.

"Memang kau syaitan. Kau tidak menghampiri orang yang sedang sembahyang. Apa yang kau mahu”,
datuk pun bangun sambil mengambil kain merah lalu mengikat ke kepalanya.

Datuk berdiri dengan kaki kanannya kehadapan dalam jarak satu kaki dengan kaki kiri. Datuk terus memeluk tubuh. Dia membaca sesuatu. Bila mulut datuk tidak bergerak, lembaga di hadapannya hilang dan terpacak tubuh badan manusia yang berbalut dengan kain kapan. Bahagian atas kain kapan itu terikat kemas. Begitu juga dengan bahagian kaki. Lembaga itu bergerak dengan meloncat-Ioncat. Datuk menjatuhkan kedua belah tangannya. Kaki kanan rapat dengan kaki kiri. Kemudian datuk menepuk tangan. Saya lihat kain kapan yang membungkus lembaga itu terbuka.

"Ayah”, jerit Osman.

Datuk segera berpaling dan menendang bahu kanan Osman. Dan Osman terus pengsan.

"Biarkan dia di situ kau jaga dia. Kalau dia rapat dengan syaitan ni, roh jahat akan meresap ke tubuhnya”, demikian datuk memberitahu saya. Sekarang lembaga itu membukakan ke dua belah tangannya dan bersedia mahu menyerang. Datuk dengan melompat sambil membuka kain ikat kepalanya lalu memukul ke arah lembaga itu. Lembaga itu hilang dan tempatnya diganti oleh batang pisang. Batang pisang itu terus membesar hingga sampai ke bahagian palang dan akhirnya menjadi satu bentuk yang lain pula iaitu manusia berkepala burung.

"Lalu kamu dari sini. Sebentar lagi matahari akan terbit dan kau tidak boleh terkena cahaya matahari. Aku tahu itu sumpah kamu. Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya, burung itu terus hilang. Di kaki langit, matahari mula menampakkan diri. Datuk memulihkan Osman dari pengsannya. Datuk mengambil beliung yang dibuat dari tulang. Datuk basuh beliung kecil itu dengan tujuh jenis air bunga serta tujuh jenis air dari daun yang hujungnya menghala ke arah matahari terbit. Kemudian datuk merendamkannya pula ke dalam air yang berlumpur. Bila matahari sudah cukup keras bersinar, datuk letakkan be­liung tulang yang direndam itu ditengah halaman.

Bila beliung tulang itu terkena panahan matahari, muka Osman yang duduk di sisi datuk menjadi merah macam udang kena bakar. Tiba-tiba beliung itu terbakar dalam bekasnya. Wajah Osman kembali macam sedia kala. Bekas merendam beliung tulang itu datuk tanam di pangkal pokok rambutan di tepi jalanraya. (Seminggu selepas itu pokok rambutan itu mati akibat di panah petir).

Pagi itu juga saya dan Osman serta datuk pergi kerumah papan teratap rumbia. Lagi sekali bila terlihat rumah itu kami gelisah. Keadaannya cukup berbeza dengan keadaan yang sebenarnya. Di ruang tengah rumah bertimbun-timbun bulu gagak dan bangkai kelawar. Bila kami masuk ke bilik tempat rangka manusia, kami dapati rangka itu sudah tidak ada lagi. Tempat meletakkan rangka semuanya menjadi abu. Sebelum datuk mening­galkan kawasan rumah itu, datuk menanamkan empat batang buluh sepanjang enam inci di empat penjuru kawasan rumah tersebut. Di kaki tangga datuk tanam pula paku karat yang berbalut kain kuning.

"Dengan izin Allah, dia tidak akan dapat masuk kerumah ini lagi”, bisik datuk pada Osman dan saya.

Kami anggukkan kepala mengiakan cakap datuk itu. Lebih kurang sembilan pagi, dengan ditemani oleh Osman, datuk terus menemui ketua kampung.

"Memang kami tunggu kedatangan awak”, kata ketua kampung yang berkulit hitam manis, memakai songkok hitam. Usianya dalam lingkungan enam pu­luhan. Dia mempersilakan kami duduk.

"Memang arwah ayah Osman ni saya kenal benar. Tetapi, saya tidak men­duga yang dia tu ada memakai ilmu salah. Saya kesian pada Osman ni. Dia tidak tahu apa-apa dan jadi mangsa orang kampung”, beliau menyatakan pada datuk.

Secara diam-­diam ketua kampung menyatakan bila keadaan sudah baik, dia berhasrat mahu menjodohkan Osman dengan anak bongsunya. Menurut ketua kampung, hanya dengan cara itu sahaja boleh mengembalikan kepercayaan orang kampung terhadap Osman. Kalau boleh biar semua anak buahnya berada dalam keadaan selamat. Dia tidak rela anak buahnya hidup menderita.

"Sikap tuk ketua ini memang dituntut oleh ajaran Islam, kita orang-orang Islam wajib membantu sesama saudara Islam walau dalam apa bentuk pun yang tujuannya un­tuk kebaikan. Ini merupakan satu ibadah”

Saya lihat ketua kampung tersenyum lebar.

"Bagaimana, ada harapan perkara ni akan be­rakhir?”, tanya ketua kampung.

"Dengan izin Allah akan berjaya"

"Kami dah berusaha membaca Surah Yasin selama empat puluh empat hari, nampaknya ti­dak berkesan”, tambah ketua kampung lagi.

"Satu perkara yang harus kita ingat bahawa membaca Surrah Yasin tidak semestinya per­mintaan kita dikabulkan oleh Allah. Kita harus memenuhi syarat-syarat tertentu umpamanya kita mesti terlebih dahulu mendekatikan diri kita pada Allah. Menjalankan segala perintah dan larangannya. Cara kita meminta itu harus dengan ikhlas. Dan tidak memaksa, jangan bila sudah terdesak baru ingatkan Allah, di samping itu kita harus berikhtiar”, lagi sekali datuk memberikan kuliahnya di hadapan ketua kampung. Setelah mengadakan perundingan dari hati ke hati, ketua kampung sanggup menemani datuk berjaga di hadapan rumah papan beratap rumbia pada sebelah malamnya.

Malam itu, selepas selesai sembahyang Isyak, kami membentang tikar mengkuang di halaman rumah papan beratap rumbia. Seperti selalu, bila mahu menjalankan tugas-tugas yang berat datuk akan memakai seluar hitam, baju hitam, di samping kain ikat kepala berwarna merah. Lebih kurang pukul dua belas malam, kawasan tempat kami duduk diganggu oleh bunyi yang amat mengerikan,macam suara gajah.

Bila suara itu hilang, keadaan tempat kami terang berderang. Saya terkejut, lembaga manusia yang berkepala burung berdiri dihadapan kami. Bila melihat keadaan yang ganjil itu, ketua kampung terus pengsan. Osman jadi lemah dan dia juga pengsan. Datuk segera mematahkan pokok keladi disekitar kawasan itu dan menutup badan ketua kampung dan Osman. Saya mula terdengar suara anjing menyalak dari arah belakang rumah papan beratap rumbia. Saya tidak tahu macam mana anjing-anjing liar berada di situ. Suara burung jampuk dan burung hantu bertalu-talu dan kedengaran suara orang bergendang dan ada kalanya macam suara orang menangis dan merayu.

Lembaga manusia berkepala burung itu masih berdiri dihadapan datuk matanya bersinar-sinar bagaikan mengeluarkan cahaya api. Dalam saat yang sama saya melihat berpuluh-puluh mayat yang sudah dikapan dengan kain putih terbujur dihadapan datuk. Mayat mayat itu bagaikan bergerak dalam kain putih.

Datuk terus menepuk bumi. Dia mengambil sebahagian dari tanah dihadapannya. Tanah itu dibulatkannya sebesar guli. Kemudian datuk menggengam tanah itu kejap-kejap. Dari celah-celah jari datuk keluar asap. Bila tangannya di buka, tanah itu menjadi merah menyala. Datuk membalingkan tanah itu ke arah lembaga berbadan manusia berkepala burung.

Bila tanah itu terkena pada lembaga itu, serta-merta lembaga itu ghaib. Datuk melompat ke hadapan. Datuk mengeluarkan buluh yang sudah ditajamkan hujungnya kira-kira lapan inci panjang dari rusuk kirinya.

“Inilah sumpah kau. Aku tahu buluh saja yang boleh menghilangkan kuasamu”, jerit datuk lalu menikam ke kiri dan ke kanan.

Pelik juga saya melihat telatah datuk menikam sesuatu yang tiada. Sudah tujuh kali datuk menikam, tidak ada apa-apa yang aneh terjadi di hadapan saya. Bla datuk menikam ke kiri untuk kali yang yang ke sembilan, saya terdengar suara jeritan yang cukup kuat.


























32. Bomoh Hujan Kena Uji

Suara jeritan itu bergema ke seluruh kampung melesapi puncak Gunung Tungga. Datuk terus mencacakkan buluh runcing ke dada bumi dan melipatkan kaki seluar sebelah kiri separas lutut. Datuk duduk mencangkung dengan tapak tangan kirinya terletak pada bahagian atas buluh runcing. Mulutnya terus ber­gerak, membaca sesuatu. Ketua kampung masih belum sedarkan diri. Saya lihat kaki kanan Osman bergerak-gerak lemah. Kedua belah tangannya menguakkan dahan dan dedaun yang menutupi tubuhnya.

"Bangun”, bisik saya pada Osman dan memberitahu padanya supaya jangan bertanya sesuatu.

Osman patuh dengan permintaan saya itu tetapi wajahnya masih pucat-Iesi. Waktu saya menoleh ke kanan kembali saya lihat datuk sudah berdiri dengan kedua belah tangannya lurus mengarah ke rumah papan beratap rumbia. Mukanya nampak berpeluh. Bila datuk menjatuhkan kedua belah tangannya, saya terdengar satu letupan, macam orang memukul bumi dengan pelepah pisang. Serentak dengan itu, saya lihat api mula berbunga di tulang bumbung rumah. Api itu terus marak dengan hebatnya. Bahang dari api itu terasa panas memukul wajah saya. Kulit muka rasanya bagaikan terbakar.

Cahaya api dari bumbung rumah itu menerangi kawasan tempat kami ber­teduh. Api terus menjulang ke langit dengan hebat bersama bunyi letupan keciI yang sambung-menyambung. Tidak sampai dua jam, rumah papan beratap rumbia itu terus menjadi abu. Ketua kampung pun tersedar dari pengsan.

"Kenapa panas sangat ni?", tanya ketua kampung.

"Itu”, saya menunjukkan kearah rumah yang sudah menjadi bara dengan jari telunjuk. Biji mata ketua kampung terbeliak.

"Siapa yang bakar?", tanyanya lagi.

"Terbakar sendiri!"

Ketua kampung menge­rutkan dahi sambil menggaru batang leher. Da­tuk pun mencabut buluh runcing yang di tanam kebumi. Datuk melihat bahagian bawah buluh yang su­dah ditajamkan itu. Memang terdapat kesan-­kesan darah pada buluh itu. Datuk meng­hilangkan kesan darah pada hujung buluh dengan me­nikamkan buluh itu pada batang pisang emas yang baru tumbuh jantung. Bila datuk mahu mencabut buluh dari ba­tang pisang, saya dan Osman serta ketua kam­pung disimbah dengan air dari arah belakang.

Saya tidak dapat memastikan dari mana arah air itu datang, sama ada dari sebelah kanan atau kiri kerana malam terlalu gelap. Di langit kelihatan bintang-­bintang bertaburan di mana-mana. Angin malam yang bertiup agak keras membuat badan saya mengeletar kesejukan. Saya tidak dapat mengagak dengan tepat pukul berapa ketika itu. Tetapi berdasarkan arah tiupan angin dan gerak awan bersisik ikan di langit, saya agak waktu itu sudah pukul empat pagi. Suara pungguk dan lolongan anjing liar sudah tidak kedengaran lagi.

Dari longgokan bara rumah yang punah, asap nipis nampak berkerut men­julang ke udara yang kemudian berpecah dirempuh angin malam. Datuk meng­hampiri saya.

"Kau kena simbah air Tamar?"

"Ya tok"

"Cuba kau cium lengan kiri kau, ada bau busuk tak"

Saya pun ikut perintah datuk. Walaupun perintah itu ditujukan pada saya tetapi, ketua kampung dan Osman turut bersama mencium lengan kiri masing-masing.

"Busuk, macam bau bangkai”, jawab mereka serentak dan saya anggukkan kepala.

Setuju dengan apa yang dikatakan oleh ketua kampung dan Osman. Datuk menyuruh kami bertiga berdiri di bawah pokok pisang emas yang baru tumbuh jantung. Kami disuruh berdiri dengan menemukan bahu masing-masing. Sesudah itu, datuk menyuruh saya melihat ke arah utara, ketua kampung ke arah selatan dan Osman ke arah barat. Dengan keadaan itu kami tidak dapat memandang wajah antara satu sama lain. Datuk terus mengoncangkan perdu pisang emas yang baru tumbuh jantung dengan sekuat hati. Air embun yang melekat pada daun pisang itu menimpa badan kami.

"Sekarang cium lengan kiri kamu semua”, ujar datuk dengan tenang sambil menekan pangkal dagunya dengan ibu jari kiri.

"Tak ada baunya lagi”, jawab saya.

"Dah hilang busuknya”, tingkah Osman.

"Ya dah hilang”, sahut ketua kampung bersama senyum.

Datuk menyuruh kami duduk semula di tempat asal. Dengan tenang datuk membuka lipatan kaki seluar sebelah kiri. Angin sudah tidak sekuat tadi bertiup, menandakan waktu subuh hampir. Langit kelihatan cerah dan bintang-bintang beransur kurang.

Bara api masih kelihatan merah menyala di tapak rumah yang punah, bunga-bunga api kelihatan menjulang pendek di udara sebelum padam. Datuk memperkemaskan silanya dan terus menekapkan kedua belah tangannya ke dada. Embun subuh sudah terasa menitik ke ubun-ubun kepala. Rasa sejuk kian terasa. Saya tidak tahu apakah yang dilakukan oleh datuk ketika itu. Biji mata saya terbeliak bila saya terpandang dari atas bara api keluar benda putih dan bulat, sebesar buluh lemang yang panjangnya kira-kira dua kaki, terapung-apang di udara macam ditarik oleh sesuatu dari atas. Benda putih terus naik setinggi pokok kelapa dara. Berhenti di situ sebentar.

Kemudian benda bulat itu bergerak macam kilat menuju ke arah kami. Datuk menyuruh kami meniarap supaya benda itu tidak mengenai kepala. Tetapi angin dari benda bulat itu berjaya menerbangkan songkok ketua kampung dan cuping teling saya bagaikan mahu tercabut rasanya dirempuh oleh angin dari benda bulat itu.

Ketika itu juga dari hutan kecil sebelah kami terdengar bunyi suara katak betung bersahut-sahutan yang diselang-seli dengan bunyi suara orang bersorak dan ketawa yang amat menyeramkan. Embun subuh kian rancak menimpa kulit kepala. Terdengar kokok ayam hutan bertali-temali dari kaki Gunung Tunggal.
Saya tidak dapat menahan rasa sejuk yang amat sangat itu. Dahi saya kerutkan. Dagu saya menggeletar yang mengakibatkan gigi atas dan bawah saya berlaga dan mengeluarkan bunyi kerup-kerup yang tidak tentu panjang pendeknya. Suara lolong anjing liar mula kedengaran sayup-sayup dan memanjang macam orang menangis dan meratap sesuatu.

Benda putih itu terus berlegar-Iegardi atas ruang kepala kami. Hari masih lagi gelap. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat datuk berguling-guling atas tanah menuju ke pangkal pisang yang baru tumbuh jantung. Datuk duduk sambil menyandarkan badannya pada perdu pisang itu. Datuk merasa selamat kerana benda putih yang bergerak di awang-awangan itu tidak memburunya. Datuk segera berdiri sambil menekapkan ke dua belah tapak tangannya ke cuping telinga kiri dan kanan, macam orang yang mahu melaungkan azan. Lebih kurang dua tiga minit datuk berkeadaan demikian.

Akhirnya dia datang ke kawasan lapang. Benda putih itu mula meluru ke arahnya. Datuk tidak melarikan diri malah berdiri dengan gagah di situ. Kedua­-dua belah tumit kakinya tidak jejak ke bumi dan lutut kanannya dibengkokkan sedikit. Bila benda putih itu berada betul-betul di ubun kepalanya dengan segera datuk membuka kain merah yang melilit kepalanya. Benda putih itu terus mengelilingi tubuh badan datuk sambil mengeluarkan suara yang berdengung macam suara ayam kampung kena jolok. Kerana terlalu cepat dan Iigat benda putih itu berpusing mengelilingi tubuh datuk. Saya tidak dapat melihat datuk dengan jelasnya. Dalam sekelip mata saja saya lihat datuk terhoyong-hayang macam ditolak sesuatu.

Hati saya mengelabah, saya tahu datuk sedang berjuang menentang sesuatu. Ada niat menolongnya tetapi saya tidak berdaya bergerak. Tempurung lutut dan dan sendi-sendi kaki saya terasa bagaikan longgar sekali. Ketika itu, ada cahaya terang mula bangkit di kaki langit, keadaan hari mula beransur cerah. Datuk masih lagi terhoyong-hayang tidak tentu arah. Tetapi di tangannya masih terlekat kain merah. Datuk bertempik dengan sekuat hatinya sambiI melompat setinggi tiga kaki. Ketika datuk melompat itu dia memukul benda putih itu dengan ikat kepalanya. Dua kali lompat, dua kali pukul tidak menda­tangkan sebarang kesan pada benda putih itu. Datuk kelihatan letih dan tidak bermaya. Saya lihat datuk rebah ke bumi sambil terbatuk-batuk. Mukanya pucat.

Datuk mencium bumi sambil membengkokkan badannya, tidak ubah macam kucing yang bersedia untuk menerkam tikus. Kemudian datuk melompat untuk kali yang ketiga dan terus memukul benda putih itu dengan kain ikat kepalanya sekuat hati. Hari mula beransur samar-samar, di kaki langit cahaya putih mula kelihatan dengan jelas. Datuk kali ini saya lihat terhumban berhampiran dengan bara api yang sedang marak memamah kayu-kayu rumah yang punah. Belumpun sempat badannya menjamah bumi, datuk sudah meletakkan badannya dalam keadaan tegak. Ketika itu juga bara api bertambah kuat cahayanya dan beberapa bahagian dari bara api itu mengeluarkan api. Saya terasa desiran angin dipermukaan bumi.

Saya lihat tapak kaki datuk tidak mencecah bumi. Datuk berdiri atas angin sambil memeluk tubuhnya erat-erat. Dan benda putih di awang-awangan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap nipis. Bila asap nipis itu hilang, terdengar letupan seperti letupan mercun kecil. Benda putih itu terus hilang dan masa itu juga beberapa bilah buluh kering bertaburan atas tanah. Datuk segera menghampiri kami. Kali ini saya lihat wajahnya berseri dan kedua kelopak matanya lembam sedikit kerana kurang tidur.

"Kita balik, sembahyang subuh”, kata datuk.

"Dah selesai ke semuanya pakcik?", tanya Osman.

"Dah. Dengan izin Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui nampaknya kita berjaya"

"Dia tak ganggu kita lagi?", ketua kampung pula bertanya.

"Nampaknya begitulah"

Kami terus pulang ke pondok Osman dan menunaikan fardu subuh. Ketua kampung mempersilakan kami ke rumahnya untuk sarapan pagi. Dia juga menyatakan pada saya, ada sesuatu yang mahu dibincangkannya dengan datuk.

"Saya rasa eloklah sekarang ini kita pergi ke rumah saya”, ulang ketua kampung dengan senyum.

Osman merenung ke muka saya. Datuk menggigit ibu jari sambil merenung kosong ke depan.

"Begini saja tuk ketua. Biarlah Osman dan tuk ketua pergi dulu”, nada suara datuk lembut sambil bangun.

"Kenapa begitu?"

"Saya ada hal sedikit"

"Apa halnya?"

"Saya nak bersenam kemudian nak mandi air embun itu saja. Lepas semua kerja tu saya buat, saya pergilah. Masa saya sampai ke rumah awak hari pun cerah dan kopi sudah tersedia”

"Ha tak apalah”, balas ketua kampung.

Datuk dan ketua kampung ketawa besar. Ketua kampung dan Osman meninggalkan saya dan datuk di pondok. Saya diminta oleh datuk supaya bersenam gerak kucing dan harimau bangun tidur. Tujuan senaman cara lama itu dilakukan untuk menghindarkan dari mengalami sakit pinggang dan lenguh-lenguh sendi. Satu senaman baru yang diajarkan oleh datuk pada saya dan di situ ialah senaman ular salin kulit. Senaman jenis ini lebih banyak memberatkan perkara menarik dan melepaskan nafas, serta pergerakan sendi-sendi urut. Tujuan utama senaman ini ialah, memelihara kulit badan dan muka. Kulit badan tidak mudah kendur dan muka kelihatan muda atau tidak dimakan tua.

Senaman jenis ini hanya dilakukan seminggu sekali. Orang yang melakukan senaman ini di tegah memakan makanan yang banyak mengandungi zat asam selama tiga hari tetapi digalakkan memakan daun hijau yang boleh dibuat ulam seperti daun pegaga, daun ulam raja, daun saderi dan daun kesum serta pucuk manggis muda. Selesai melakukan semua jenis senaman itu, saya dan datuk terus merayau-rayau ke seluruh kawasan kecil berhampiran pondok Osman untuk mandi embun. Akhirnya datuk mengajak saya pergi ke bekas rumah papan beratap rumbia. Ada sesuatu yang mahu datuk cari di situ. Waktu saya dan datuk tiba ke situ, saya dapati bara api sudah banyak yang padam, kayu-kayu alang rumah semuanya sudah rentung menjadi arang.

"Mari kita cari buluh yang jatuh bertabur malam tadi”, saya terkejut dengan ungkapan dari datuk itu.

Bulu tengkuk saya terus meremang. Dada terasa berdebar.

"Mari”, datuk terus menarik tangan saya.

Memang saya tidak ada pilihan lain untuk membantah. Lama juga kami berlegar-legar di kawasan yang kami jangkakan tempat bilah-bilah buluh itu jatuh. Apa yang kami temui di situ ialah bilah-bilah buluh yang sudah rentung. Datuk menguis-nguiskannya ddengan hujung kaki.

"Memang buluh sumpahnya”, keluh datuk sambil menggigit bibir.

"Saya tak faham cakap tok ni?”

"Hanya dengan buluh saja yang boleh menghilangkan kuasa ilmu orang yang menuntut ilmu itu. Aku harap malapetaka yang menimpa orang-orang di sini akan tamat”, tambah datuk lagi, lalu mengajak saya kerumah ketua kampung.

Sarapan pagi dirumah ketua kampung memang enak. Kami dihidangkan dengan kopi panas dan pulut berlaukkan ikan gelama goreng. Anehnya datuk tidak menjamah pulut itu. Dia hanya minum kopi panas sahaja. Ketua kampung tidak puas hati dengan sikap datuk.

"Kenapa tak makan pulut?", tanya ketua kampung.

"Minta maaf tuk ketua, saya memang tak makan pulut ni."

"Kami tak tahu, apa sebabnya? Ada pantang larang ya?"

"Saya ni mengidap sakit angin. Orang sakit angin memang tak elok makan pulut, kerana pulut ni cukup bisa bagi orang yang mengidap sakit itu. Kalau sudah sembuh pun akan sakit semula jika makan pulut"

Ketua kampung puas hati dengan penerangan datuk itu. Ketua kampung merasa bersalah kalau datuk tidak makan di rumahnya. Kerana itu, dia menyuruh anaknya membeli kuih di kedai.

"Jangan, ini sudah cukup untuk saya”, beritahu datuk pada ketua kampung.

"Saya tak puas hati kalau awak tak makan di rumah saya. Begini saja, tengah­ari ni, makan di sini", ketua kampung membuat tawaran lagi.

Tawarannya itu diterima oleh datuk dengan senang hati. Sementara menanti tengah hari datuk kembali ke pondok Osman. Ketua kampung ikut sama. Sampai saja di pondok, Osman ambil sebuah baldi kosong dan mengambil air perigi. Air itu datuk campurkan dengan tujuh jenis daun dan tujuh jenis bunga. Kemudian datuk memerintahkan Osman memakai kain basahan dan di suruh duduk di bawah tangga.

"Nak buat apa ni?,” bisik saya ke telinga datuk.

"Nak buang sial dan badi ilmu salah yang hinggap ke badannya”, balas datuk.

Bila Osman duduk di bawah tangga, datuk terus menjirus air ketubuh Osman dalam tiga peringkat. Lepas itu, datuk tepuk bumi tujuh kali dan dada Osman tujuh kali. Bila sudah selesai barulah Osman disuruh oleh datuk memakai pa­kaian semula.

"Aku harap kau akan selamat terus dan syaitan peliharaan ayah kau sudah hancur. Kau boleh hidup aman di atas tanah miliknya”, jelas datuk pada Osman.

Ketua kampung hanya melihat sahaja apa yang di­lakukan oleh datuk itu dengan tenang.

"Memanglah, syaitan tak tak pernah sunyi dari mempengaruhi umat manusia”, datuk tersenyum mendengar cakap ketua kampung itu.

"ltu memang kerjanya. Dalam Surah An-Nisa telah menjelaskan kerja-kerja syaitan yang berbu­nyi: Dan kehendak syaitan itu ialah menyesat­kan kamu satu kesesatan yang jauh”, ujar datuk lagi.

Ketua kampung angguk kepala. Perbualan datuk dengan kedua kampung cukup rancak sekali. Ba­nyak benar kisah yang datuk dengar dari ketua kampung. Malah datuk sendiri tidak merasa segan dan silu mencari penga­laman-pengalamannya di masa lalu. Perbualan mereka terganggu bila anak gadis tok ketua yang dikiranya menganggu perbualan antaranya dengan datuk.

"Apa halnya”, kata ketua kampung.

Osman segera bangun dan mere­nung tajam ke wajah anak gadis ketua kampung yang berambut panjang, berkulit putih. Mukanya bujur sirih. Tinggi lampai dan berleher jinjang. Saya memang tertarik dengan gadis desa berwajah ayu itu. Bila saya lihat wajah Osman, rasa tertarik yang mula berputik di hati segera saya padamkan.

"Ada orang datang ayah"

"Siapa?"

"Pak Mardan bomoh hujan"

"Hum, sekejap lagi aku balik"

Anak gadis ketua kampung meninggalkan kawasan pondok Osman. Kerana waktu makan tengahari sudah hampir, ketua kampung mengajak kami pergi bersamanya sekali.

"Eloklah tu, saya ingin juga berkenalan dengan bomoh hujan tu, kalau dia baik hati dapat saya menuntut ilmu darinya”, datuk segera bangun.

"Dia tu bukan orang lain dengan saya, kami satu pupu”, tingkah ketua kam­pung dengan tenang.

Ada rasa megah dalam dirinya kerana datuk mahu menuntut sesuatu dari sepupunya. Lepas makan tengahari datuk dapat bercakap panjang dengan Pak Mardan yang sudah berusia hampir lima puluh tahun. Orangnya tegap. Memelihara misai, janggut dan jambang. Dia tinggal di Kampung Kota yang terletak lebih kurang dua batu dari pekan kecil Bruas dalam daerah Manjung. Menurut Pak Mardan, dia kenal baik dengan bomoh patah yang tinggal sekampung dengannya iaitu Bedul Hasyim. Datuk minta Pak Mardan menyampaikan salamnya pada Bedul Hasyim bila dia pulang ke kampungnya kelak.

"Dengan izin Allah akan saya sampaikan”, katanya.

"Saya dah lama tidak jumpa dia"

"Dia masih sihat lagi”, balas Pak Mardan.

Menurut Pak Mardan dia dalam perjalanan ke Sungai Tinggi (sebuah kampung yang terletak dalam daerah Matang, lebih kurang dua puluh batu dari bandar Taiping). Dia diundang oleh anak saudaranya kerana anak saudaranya mahu menikahkan anak perempuannya dengan orang dari Gunung Semanggul.

"Tujuan mengundang kita tu ada tujuan yang tertentu”, keluh Pak Mardan sambil merenung muka ketua kampung.

"Apa tujuannya?", soal Osman.

"Tenaga aku ni diperlukan anak buah, bila mahu menghalau hujan”, Pak Mardan melahirkan rasa hampanya, disambut oleh ketua kampung dengan ketawa memanjang.

Bila Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Sungai Tinggi datuk menolak dengan alasan dia tidak dijemput ke majlis nikah kahwin. Tetapi bila Pak Mardan dan ketua kampung menyatakan bahawa mereka telah diberi kuasa untuk menjemput orang lain ke majlis orang nikah kahwin itu, datuk menerimanya dengan senang hati. Saya mengerti, tujuan utama datuk menerima undangan itu bukanlah kerana mahu makan nasi minyak. Tetapi dia mahu belajar serba sedikit tentang ilmu menahan hujan dari Pak Mardan.

Esoknya saya, Pak Mardan dan datuk terus pergi ke Sungai Tinggi. Kami bertolak dengan bas dari Segari pada sebelah pagi dengan bas. Ketua kampung dan keluarganya bertolak lebih lewat daripada kami. Kedatangan kami di sambut dengan ramah oleh anak saudara Pak Mardan. Kami sempat menyaksikan acara akad nikah yang diadakan pada sebelah pagi, lebih kurang di antara pukul sepuluh hingga sebelas. Acara naik pelamin diadakan kira-kira pukul empat petang setelah tetamu yang dijemput selesai makan.

Pak Mardan merasa senang kerana tidak ada tanda-tanda hari akan hujan. Beberapa orang anak muda di situ melancarkan kutipan memungut wang secara kilat bagi mengundang pancaragam dari bandar Taiping pada sebelah malamnya. Kutipan itu, ternyata tidak cukup dan nasib baik pihak tuan rumah sanggup menambahkan bahagian yang tidak cukup itu. Majlis perkhawinan itu bertambah rancak dengan kehadiran pancaragam dari Taiping itu yang membawakan lagu-lagu rancak dan irama Melayu asli yang disampaikan para penyanyi dari pancaragam tersebut, antara penyanyinya ialah Kamal Harun, Aida Suhana dan Zainal Udah.

Walaupun begitu rancak pancaragam dari Taiping mempersembahkan permainannya, saya lihat Pak Mardan tetap gelisah, begitu juga dengan datuk. Bagi menghilangkan rasa resah itu Pak Mardan terpaksa menghisap rokok tembak berbelas-belas batang. Pak Mardan menarik tangan datuk untuk pergi ke satu sudut.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena malam ni”, Pak Mardan menyatakan pada datuk.

Dcituk termenung panjang mendengar cakap Pak Mardan itu. Dia meraba pangkal kening kanan tujuh kali, meraba telinga kiri lima kali.

"Usah bimbang, kalau ada yang perlu saya tolong tetap saya tolong”, kata datuk. Walaupun begitu wajahnya saya lihat agak sugul sedikit.

"Malam ini ada majlis bersanding?", datuk menyoal Pak Mardan.

"Ada. Sekejap lagi pengantin lelaki datang”

"Kalau begitu eloklah kita kita beringat-ingat, manalah tahu kalau ada hal buruk terjadi"

"Saya faham tu”

Pak Mardan dan datuk duduk kembali di tempat asal. Bila orang ramai mula datang mahu melihat pengantin naik pelamin, tiba-tiba hujan turun mencurah-curah bersama dentuman petir dan guruh. Muka Pak Mardan kelihatan pucat, dia lalu membisikkan pada datuk bahawa hujan yang turun malam itu, bukan sebarang hujan. Pak Mardan yakin hujan itu dibuat oleh manusia dengan kuasa ilmu halus yang tujuannya tidak baik. Hujan jenis ini amat berbahaya buat manusia, sebabnya di dalam air hujan itu terkandung berbagai-bagai kekotoran buatan manusia, begitulah Pak Mardan memberitahu datuk.

"Kau tunggu di sini Mardan”, kata datuk, sebaik sahaja ungkapan itu berakhir, saya dapati datuk ghaib dari penglihatan saya.

Pak Mardan terpinga-pinga. Lebih kurang lima minit datuk menghilangkan diri. Dia muncul kembali dihadapan saya dan Pak Mardan.

"Aku setuju dengan kau Mardan, kita hadapi semuanya ini”, tekanan suara datuk mula meninggi.

Lalu datuk minta Pak Mardan mencari baldi plastik untuk menadah air yang turun dari curung (hujung) atap. Bila air sudah penuh satu baldi, datuk merendamkan tangan kirinya ke dalam baldi itu. Pak Mardan dan saya jadi terkejut bila melihat tangan datuk hitam dan air dalam baldi bergolak. Muka datuk merah padam mulutnya membaca sesuatu, tiba-tiba baldi plastik itu pecah.

"Aku rasa kau saja selesaikan semua urusan ini. Kau sudah tahu hujan itu buatan manusia jahat", datuk memberikan amanat pada Pak Mardan. Dengan senang hati Pak Mardan menerimanya dan meminta saya membantunya.

"Bantulah dia Tamar. Aku ada, bukan apa-apa kau hanya melihat saja”, datuk memberikan keizinan pada saya. Dia juga memberikan saya beberapa butir batu gunung yang putih untuk di taruh dalam kocek baju.

"Mardan, dalam dugaan aku, orang ini mengirimkan guna-guna melalui hujan buatannya pada pengantin perempuan”, pesan datuk pada Pak Mardan.

Saya lihat Pak Mardan anggukkan kepala lalu meminta baldi plastik yang baru dari tuan rumah. Dia menadah air hujan hingga penuh satu baldi. Kemudian Pak Mardan mengajak saya masuk kerumah dan terus ke bilik pengantin.

"Usah bimbang, aku ni pangkat datuk pada kau”, Pak Mardan memberitahu pada pengantin perempuan yang duduk terseliput dihadapan katil. Kemudian Pak Mardan meminta pada pengiring pengantin supaya membawa pengantin itu ke bilik lain. Permintaan Pak Mardan dituruti. Tinggalah saya dan Pak Mardan dalam bilik itu. Pak Mardan terus membasuh seluruh mukanya dengan air hujan di dalam baldi. Dia kemudiannya memusatkan seluruh pancaindera dan membaca mantera yang dipelajari dari gurunya. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak sebanyak 29 kali. Bila mulutnya bergerak untuk kali yang ketiga puluh, saya terdengar bisik-bisik halus dari jauh yang tidak menentu. Tetapi akhirnya saya dengar nama Halimah disebut-sebut.

"Apa yang kaudengar?", Pak Mardan menyoal saya.

"Orang memanggil nama Halimah"

"Halimah tu nama pengantin tadi, kita masih ada masa untuk berusaha"

"Kau tunggu di sini"

Pak Mardan terus keluar. Saya mula terasa khayal tidak menentu, bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Rasa khayal itu segera hilang bila Pak Mardan menepuk bahu kiri saya. Bila saya menoleh ke belakang, pengantin perempuan sudah ada dalam bilik. Pak Mardan menyuruh pengantin perempuan itu duduk di tepi katil. Dia juga menyuruh tuan punya rumah memberitahu orang ramai dan pihak pengantin lelaki acara bersanding terpaksa ditangguh dengan alasan Halimah sakit. Pak Mardan menyuruh Halimah memegang besi kuning yang diberikan oleh Pak Mardan padanya.

"Kau pegang besi kuning tu kuat-kuat, jangan kau lepaskan walau ada yang terjadi. Kau jangan menjerit”, itulah pesan Pak Mardan pada Halimah.

Saya lihat Halimah anggukkan kepala. Kemudian saya dan Pak Mardan keluar dari bilik pengantin. Pak Mardan membimbit baldi. Hujan dan petir terus menjadi-jadi.

"Ke mana Pak Mardan?"

"Ke bahagian belakang rumah"

Saya dan Pak Mardan memijak anak tangga dengan teliti. Bila sampai dihadapan datuk, Pak Mardan tersenyum.

"Buatlah apa yang patut. Aku menanti di sini kerana perbuatan jahat dibuat melalui air hujan eloklah kausaja yang selesaikan. Kau lebih arif dari aku”, cukup tenang datuk bercakap dan Pak Mardan menerimanya dengan rasa yang tenang.












33. Muntahkan Ulat dan Paku Karat

Pak Mardan dan saya terus ke bahagian belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegar-legar di situ. Hujan terus turun mencurah-curah. Petir dan kilat sabung-menyabung di malam yang pekat. Saya dan Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning erat-erat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.

"Kau Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada perintahnya.

Pak Mardan merenung ke muka Halimah yang sudah kelihatan cemas. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak-gerak. Saya tidak tahu apa yang di bacanya.

"Kau jangan tegur apa yang kami buat Halimah. Aku tahu sebahagian dari anak rambut kamu sudah terkena tempias air hujan”, suara Pak Mardan parau.

Matanya mula bersinar garang. Pak Mardan terus bersemadi di depan baldi di plastik berwarna merah. Dalam masa itu Pak Mardan menumpukan seluruh per­hatian pada ilmu yang di tuntut dari gurunya, saya lihat baldi dalam air plastik merah bergerak macam air sedang mendidih. Diluar hujan terus mencurah­curah, cahaya petir jelas kelihatan menyelinap ke dalam bilik pengantin. Kerana saya ada mendapat petua sedikit dari datuk bagaimana mahu me­numpukan seluruh pancaindera pada alam lain, saya segera melakukannya. Me­mang saya terasa yang diri saya terpisah dari keadaan keliling.

Saya berhadapan dengan satu alam yang sunyi dan tenang. Lebih kurang setengah jam kemudian, saya terdengar sayup-sayup bunyi berdesing. Makin lama, makin jelas bunyi itu seperti benda yang sedang terbang me­nuju ke arah bilik pengantin. Tidak lama kemudian terdengar bunyi ledakan yang cukup kuat di atas bumbung rumah, bunyinya macam letupan meriam buluh. Serentak dengan ledakan itu, saya terdengar bunyi besi-besi kecil berlaga sesama sendiri. Saya juga terdengar bunyi logam berjatuhan dari tulang bumbung berhampiran dengan hujung kaki Halimah. Bila saya membuka mata, saya dapati Halimah tidak sedarkan diri. Di hujung kakinya terdapat berpuluh-puluh batang paku, kaca dan jarum karat berserakan. Pak Mardan segera menghampiri saya.

"Kalaulah kita terlewat Tamar, aku tidak dapat membayangkan apa yang terjadi”, ujar Pak Mardan pada saya sambiI meraba pangkal kening sebelah kiri. Bunyi suara hujan diluar mula berkurangan. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil betul-betul di hujung kepala lutut Pak Mardan. Saya lihat Pak Mardan rebah atas lantai, mukanya segera bertukar menjadi kehitam-hitaman. Saya mengelabah, paku dan besi buruk serta jarum karat bagaikan bergerak-gerak ke arah saya dan Pak Mardan.

"Datukkkk tolongggg”, pekik saya dengan sekuat hati. Ketika itu saya rasa batang leher saya cukup panas, bila menelan air liur terasa pedih. Punggung saya bagaikan berada di atas bara api. Dalam keadaan yang gawat itu, saya dapati datuk sudah pun berdiri diambang pintu.

"Bertenang”, kata datuk lalu melemparkan kain hitam yang terselepang di dada atas lantai.

Pak Mardan boleh bergerak dan duduk semula seperti asli. Leher saya tidak terasa panas lagi, punggung saya kembali berada di atas papan lantai.

"Kau saja selesaikan perkara ini Mardan”, kata datuk.

Pak Mardan anggukkan kepala. Datuk terus duduk bersila di tengah pintu. Halimah masih lagi terkapar di kaki katil macam mayat. Tetapi besi kuning masih berada dalam dalam genggamannya.

"Bantu saya kalau saya tewas”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

"Saya akan bantu mana yang patut, Allah bersama kita”, balas datuk.

Pak Mardan pejamkan mata, saya juga begitu. Tidak ada sesuatu yang aneh berlaku. Pak Mardan menampar paha kanan saya sekuat hati.

"Begini saja. Kau dan aku sama-sama melihat air dalam baldi”, bisik Pak Mardan sambil merenung ke wajah datuk.

Dan datuk bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Pak Mardan pada saya. Datuk anggukkan kepala kepada saya dengan maksud supaya mematuhi apa yang diperintahkan Pak Mardan. Saya pun merenung ke arah air di dalam baldi, saya lihat air di dalam baldi bergerak macam air sedang mendidih, mengeluarkan asap tebal macam asap rokok, berlegar-Iegar di permukanan baldi, asap itu naik meninggi dan akhirnya terus hilang. Saya mula terhidu bau hamis, seperti bau darah seekor ayam yang baru disembelih.

Kepala saya terasa pening tetapi saya masih lagi dapat mendengar bunyi hujan yang kian berkurangan diluar. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Dalam samar-samar itu, saya lihat bayangan wajah seorang lelaki yang tidak saya kenali. Dalam keadaan saya terkhayal itu, saya lihat Pak Mardan menepuk air di dalam bilik. Kemudian Pak Mardan menutup permukaan baldi dengan kain putih. Datuk melihat saja dengan apa yang dilakukan oleh Pak Mardan. Halimah mula bergerak dan melepaskan besi kuning yang di genggamnya.

"Kau terlepas dari bahaya Halimah”, kata Pak Mardan dan menyuruh Halimah beredar dari situ.

Hujan berhenti terus. Orang ramai mula membetulkan kain-kain khemah yang jatuh dirempuh angin. Pancaragam dari Taiping diminta meneruskan permainannya kembali. Pak Mardan terus menemui ayah Halimah dan minta meneruskan acara yang telah ditetapkan. Walaupun acara bersanding agak lewat diadakan dari masa yang ditetapkan, orang ramai tidak merasa kecewa malah memuji pihak tuan rumah yang sanggup mengadakan majlis tersebut. Upacara bersanding berjalan dengan penuh kemeriahan.

"Semuanya sudah selamat”, kata datuk pada Pak Mardan yang ketawa kecil melihat pengantin perempuan dan lelaki di atas pelamin.

Bila upacara bersanding selesai, Pak Mardan terus menerpa ke bilik Halimah untuk mengutip paku dan besi yang berserakan.

Malam itu saya dan datuk serta Pak Mardan tidur di masjid. Pada mulanya pihak tuan rumah melarang kami tidur di masjid. Setelah diberitahu oleh Pak Mardan bahawa tindakan itu bukanlah berniat mahu memalukan tuan rumah, tetapi bertujuan menghindarkan sesuatu yang buruk terjadi kalau Pak Mardan masih ada di situ, orang yang berniat jahat terhadap Halimah akan mengulangi perbuatan terkutuknya. Alasan itu, dapat diterima oleh pihak tuan rumah dengan baik.

Banyak perkara yang ditanya oleh datuk pada Pak Mardan berhubung dengan ilmu menahan hujan. Saya lihat datuk cukup berminat belajar sesuatu dari Pak Mardan. Rasa meluat mula datang dalam hati saya terhadap sikap datuk itu. Apa perlunya datuk mencari ilmu lagi? Apakah dia tidak terfikir usianya sudah lanjut? Apakah ilmunya yang ada tidak mencukupi? tanya saya dalam hati sambil menyandarkan badan pada pada tiang seri masjid.

"Saya bukan apa-apa, sekadar mahu tahu saja. Bukankah belajar dan me­nambahkan ilmu pengetahuan itu memang dituntut oleh agama Islam”, saya terdengar suara datuk agak meninggi.

"Memang”, sahut Pak Mardan.

"Saya teringat tentang Surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud lebih kurang begini: Wahai para jin dan manusia! Kalau kamu sanggup me­nembus sempadan langit dan bumi, maka tembuslah. Kau tak akan sanggup melintasi melainkan dengan kekuatan”, ujar datuk dengan tenang.

Pak Mardan tersenyum seraya berkata, "Maksud kekuatan dari ayat itu ialah ilmu pengetahuan"

"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.

Kedua-duanya saling tepuk ­menepuk antara satu sama lain. Melihat dari cara mereka bercakap itu, saya segera membuat kesimpulan antara datuk dan Pak Mardan memang terdapat rasa persefahaman. Tetapi secara tidak langsung antara mereka masih mahu menunjukkan yang diri masing-masing sama-sama tahu. Dan saya kira kalau datuk masih meneruskan sikapnya itu, Pak Mardan tidak begitu mudah mahu melahirkan sesuatu yang dia tahu pada datuk.

Suasana di luar masjid cukup gelap. Suara cengkerik dan katak bersahut-sahutan. Saya merasa kedinginan dan kelopak mata mula rasa agak berat. Dua kali saya men­guap panjang. Barangkali datuk mula sedar bahawa Pak Mardan tergolong dalam golo­ngan orang yang agak sombong dan membanggakan diri, yang mengakui dirinya tidak begitu pandai tentang hal-hal ilmu dunia.

"Saya ni baru sangat dalam hal ini. Ilmu dunia tidak sebanyak mana, ilmu akhirat lagi kurang, saya masih belajar”, begitu lemah nada suara datuk.

Ekor matanya menjeling ke arah saya dalam sinaran lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap gelap. Mendengar kata-kata datuk itu, Pak Mardan termenung panjang. Dia kerutkan kedua belah keningnya, macam memikirkan sesuatu.

“Saya tidak ada kuasa untuk menahan hujan”, katanya lemah.

"Jadi apa yang awak buat?", sanggah datuk.

"Awak ini macam tak tahu pula, bukankah AIlah berkuasa atas segala-galanya. Saya mohon doa pada Allah minta hujan jangan turun di suatu kawasan"

"Lagi apa yang awak buat?"

"Mengamalkan beberapa petua dari nenek moyang itu saja. Setakat ini permohonan saya diberkati, itu saja yang buat"

Datuk anggukkan kepala mendengar keterangan dari Pak Mardan. Tetapi datuk merasakan Pak Mardan menyembunyikan sesuatu darinya. Kerana itu datuk agak keberatan bila Pak Mardan menyuruh dia baring di atas lantai masjid. Datuk terus melawan dia bercakap hingga Pak Mardan memberitahu datuk yang dia memang menuntut ilmu menahan hujan dari seorang bomoh hujan yang berasal dari Selatan Siam, iaitu di negeri Patani.

"Tiga tahun aku tinggal di sana”, Pak Mardan memberi keterangannya pada datuk.

Menurut Pak Mardan, ayahnya dulu salah seorang pendekar yang terke­nal di Perak. Berjaya memotong leher pihak lawan dalam perang Larut. Ayahnya telah diberikan 50 ekar tanah sawah oleh Sultan Perak masa itu, sebagai me­ngenangkan jasanya. Tanah itu dikecualikan dari sebarang cukai. Bila tanah itu bertukar pada dirinya, Pak Mardan menjualkan tanah itu pada seorang jutawan Melayu dari Kuala Kangsar. Hasil wang dari jualan tanah itu, Pak Mardan membeli tanah lain di Kampung Kota. Saya tidak tahu, bagaimana datuk memujuk Pak Mardan hingga dia sanggup memberikan pada datuk beberapa petua dan amalan yang mesti dila­kukan untuk menahan hujan. Pak Mardan juga memberitahu datuk yang dirinya ada menyimpan ilmu melompat yang dituntutnya dari arwah ayahnya dulu.

"Ilmu tu dinamakan lompat sekayu kain. Masa perang Larut dulu, ilmu itu telah digunakan oleh ayah saya bagi menewaskan pihak lawan”, Pak Mardan tersenyum bangga menceritakan tentang keperwiraan ayahnya.

Datuk mengurut-urut dada. Kemudian dia tersenyum sinis. Pak Mardan kurang senang dengan sikap datuk itu, lalu dia menentang biji mata datuk lama-lama. Datuk juga berbuat demikian. Dari gerakan dan kelipan mata Pak Mardan, datuk dapat membaca pembawa atau peribadi Pak Mardan. Datuk tahu Pak Mardan orangnya pantang dicabar. Kesempatan itu datuk gunakan untuk menguji sejauh mana kebenaran kata-kata Pak Mardan.

"Aku tak yakin kau ada ilmu melompat sekayu kain”, amat lantang suara datuk.

Tiba-tiba saja Pak Mardan bangun. Dia beliakkan mata kearah datuk.

"Awak mahu saya buktikan?"

"Itulah yang sebaiknya?"

"Mari keluar"

Pak Mardan keluar dari masjid. Datuk pun begitu. Saya jadi serba salah. Dalam samar-samar lampu gasolin saya lihat jam tua yang tersangkut di tiang seri. Jarum pendek dan panjang menunjukan ke angka dua belas. Rasa dingin cukup hebat menggigit kulit badan saya. Bibir saya mengeletar. Suara katak dan cengkerik kian bertambah hebat. Datuk menghampiri Pak Mardan dengan tenang.

"Begini saja, sekarang pukul dua belas tepat. Pesan guru saya, tidak baik melakukan sesuatu tepat jam dua belas malam atau siang, banyak buruk dari baiknya”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Nampaknya Pak Mardan tidak membuat sebarang bantahan pada datuk. Sementara menanti jarum jam berganjak dari pukul 12.00 ke pukul 12.02 minit, datuk duduk di kaki tangga masjid. Pak Mardan berdiri di halaman masjid. Dia sudah pun memakai baju hitam dan seluar serta berselepang kain kuning. Dia membelakangi datuk.

"Datuk mahu bergaduh?", tanya saya pada datuk.

"Tidak. Sekedar mahu menguji. Setahu aku seorang pendekar atau pahlawan tidak akan menunjukkan kebolehannya di khalayak ramai. Pahlawan selalu bersikap macam harimau menyimpan kuku”, kata datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Sudah setengah jam masa berlalu Pak Mardan tidak juga menunjukkan kebolehan dan kemampuannya. Datuk pun mula bertindak. Dia mencabar Pak Mardan dengan membalingkan sebilah sundang ke arah belakang Pak Mardan. Dalam gelap itu Pak Mardan berjaya menyambar sundang dengan tangan kanannya lalu membalingkan ke arah datuk kembali dan datuk bagaikan kilat menangkap hulu sundang lalu ditikamkan ke batang pisang. Sundang terus melekat di situ.

Saya segera masuk ke masjid dan membawa lampu gasolin keluar. Saya letakkan di atas simen kolah tempat orang mengambil air sembahyang. Cahaya dari gasolin itu menerangi sebahagian daripada halaman masjid. Datuk terus menyerang Pak Mardan. Tujuan datuk berbuat demikian supaya Pak Mardan naik semangat. Tujuan datuk memang berjaya. Pak Mardan lalu membuat serangan balas yang cukup hebat, buah silat yang dilepaskan pada datuk cukup tajam dan cepat.

Datuk terus mengelak dan menepis hingga buah-buah silat yang ditujukan padanya tidak menjamah badan. Datuk lalu mencabut sundang dari batang pisang, menerkam ke arah Pak Mardan. Cepat-cepat Pak Mardan melompat separas kepala datuk lalu menyepak pergelangan tangan datuk dari udara. Pak Mardan tidak berjaya, saya lihat dia bagaikan terapung-apung di udara membuka silat baru, kemudian kakinya menjamah kaki bumi. Saya lihat datuk melepaskan sesuatu macam bola api ke arah kaki kiri Pak Mardan. Dia menjerit lalu melompat melepasi bumbung masjid. Pak Mardan bagaikan terbang di udara.

Tubuhnya nampak bulat macam seketul kayu itu menuju kearah pokok pisang tempat sundang terletak tadi. Lebih kurang dalam jarak empat kaki mahu sampai ke perdu pokok pisang, Pak Mardan hulurkan kaki kanannya. Dari kaki kanannya itu saya lihat keluar cahaya bulat dan memanjang, macam api andang. Saya tengar pekikan dari Pak Mardan cukup lantang, serentak dengan itu terdengar satu letupan kecil.

Saya lihat pokok pisang rebah ke bumi dan terbakar. Dalam beberapa saat saja saya lihat Pak Mardan dan datuk berdakap-dakapan di halaman masjid.

"Jangan menguji saya sampai macam itu. Nasib baik saya dapat arahkan pada perdu pokok pisang, kalau pada awak sudah lain jadinya”, ucap Pak Mardan sambiI menukar baju hitam kepada baju kemeja putih.

"Saya tahu. Saya cuma menguji bukan bergaduh”, balas datuk, "awak bukan calang-calang orang"

"Ah, tiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Macam kau dengan aku ni ada kelebihan dan ada kekurangannya. Yang sempurna dan gagah hanya Allah yang Maha Besar”, sebaik saja mengakhiri cakap itu, lagi sekali Pak Mardan memeluk tubuh datuk.

Kami masuk ke masjid. Ketika saya mahu merebahkan badan di sisi datuk. Pak Mardan menghampiri saya, muka saya direnungnya lama-lama.

"Belajarlah sesuatu dari datuk kamu"

"Datuk kedekut dengan ilmu"

"Betulkah cakap cucu awak ini? Tak patut buat begini”, Pak Mardan mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum.

"Tak betul tu. Ada saya curahkan ilmu penjaga diri dan beberapa petua untuknya. Saya rasa itu sudah cukup yang lain tak mustahak. Saya dah pesan gunakan ilmu itu bila ada musuh atau masa terdesak, tidak boleh di gunakan sebarangan”, ternyata penjelasan datuk itu memuaskan hati Pak Mardan.

"Zaman kami muda-muda dulu, kalau tak cukup syarat dengan ilmu di dada kami tidak merantau. Tetapi, anak -anak muda sekarang ini lain pula. Adat budaya dan cakap orang tua-tua di lupakan, sudah mahu merantau. Baru ada ilmu tak sampai sebuku sudah tunjuk pandai”, Pak Mardan macam merungut.

Datuk anggukkan kepala mengiakan cakapnya. Saya menguap lagi, kelopak mata terasa cukup berat. Suara datuk dan Pak Mardan yang sedang bercakap saya dengar kian lama, kian jauh dan akhirnya saya tidak terdengar apa-apa lagi.

"Bangun, bangun”, saya dengar suara datuk meninggi dan badan saya digoncang oleh Pak Mardan.

Saya membuka mata dalam gelap. Lampu gasolin tu sudah lama padam. Rasa marah mula datang dalam hati, bagaimana saya tidak marah, kalau tengah sedap tidur terpaksa bangun.

"Kenapa tok?"

"Bangun, jangan banyak cakap"

Hasrat saya untuk mengajukan pertanyaan mati bila terdengar nada suara datuk begitu keras. Datuk menyuruh saya dan Pak Mardan berpisah. Saya disuruh merangkak ke arah utara masjid, Pak Mardan ke selatan dan datuk sendiri merangkak ke arah pintu masjid.

Suara katak dan cengkerik di luar masjid berambah hebat. Saya mula terdengar deru angin melanggar ranting dan dahan kayu. Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Dari tingkap masjid yang terbuka di tolak oleh angin, saya lihat ada api bergerak dalam gelap mengelilingi masjid. Tiba-tiba pintu masjid terbuka dengan lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya, macam ada tenaga manusia menolaknya dari luar.

"Apa hajat?", teriak datuk sekuat hati.

Dan api yang bergerak mengelilingi masjid terus padam.

"Apa hajat?", ulang datuk lagi.

Saya lihat cahaya api itu datang kembali berada betul-betul di luar pintu masjid. Teriakan datuk tidak mendapat jawapan. Pak Mardan tanpa disuruh terus menghidupkan lampu gasolin. Lampu itu dibawa ke pintu masjid. Bila melihat cahaya lampu gasolin itu hati saya mula rasa tenteram. Kerana Pak Mardan sudah berdiri di samping datuk, saya segera menghampiri mereka.

"Kau nampak apa tu?", Pak Mardan menepuk bahu saya.

Dengan pertolongan cahaya lampu gasolin, saya dapat melihat dengan jelas sebatang kayu terpacak di halaman masjid, di hujung kayu bahagian atas terletak tengkorak manusia. Saya pandang wajah datuk. Dia nampak serius, saya pandang wajah Pak Mardan, ada tanda-tanda keresahan dimukanya.

"Datanglah, apa hajat kamu?", pekik datuk lagi dan lampu gasolin terus malap.

Kayu di tengah halaman masjid mengeluarkan cahaya api. Bunyi tapak kaki manusia memijak dahan dan ranting-ranting kering mula kedengaran dari tiap penjuru masjid, saya terasa bagaikan ada beribu manusia yang bergerak di sekeliling masjid. Datuk terus bertafakur lebih kurang lima minit. Bila dia membuka mata, lampu gasolin yang malap bersinar terang. Di halaman masjid terdapat seorang manusia berdiri di sisi kayu yang ada tengkorak.

"lnilah orang yang saya lihat dalam baldi di rumah pengantin tadi”, bisik Pak Mardan pada datuk.

Dengan tenang datuk anggukkan kepala lalu keluar dari masjid. Datuk berdiri berhadapan dengan orang itu. Suara katak dan cengkerik kian hebat. Angin juga mula bertiup agak ganas. Bila angin berhenti bertiup, hujan pun turun menambahkan rasa sejuk pada diri saya. Titik hujan yang halus itu terus menjadi kasar. Pak Mardan segera menarik tangan datuk. Orang yang berdiri dengan kayu itu terus memeluk tubuhnya. Titik-titik hujan tidak mengenai tubuhnya.

"Masuk, orang ini mahu membalas dendam”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

Saya lihat datuk termenung sejenak. Dengan tenang datuk memegang kain hitam di kepala. Kain hitam itu dibukanya. Datuk simpulkan kain hitam itu hingga menjadi seketul, macam buku benang.

"Kalau niat kau baik, engkau tidak apa-apa. Tetapi kalau niat kau buruk kau akan binasa”, ujar datuk pada lelaki ditengah halaman dari muka pintu masjid.

Datuk lemparkan kain itu ke arah lelaki tersebut. Bila kain itu jatuh di hujung kaki lelaki itu, kelihatan asap berkepul-kepul naik ke udara. Batang tubuh lelaki itu hilang dalam kepulan asap. Pak Mardan terus duduk lalu membaca beberapa mentera hingga hujan yang mula teduh berhenti sama sekali. Bila kepulan asap itu hilang, tengkorak yang yang berada di hujung kayu jatuh ke atas tanah. Batang tubuh lelaki itu segera bertukar menjadi hitam. Lidah lelaki itu terjujur keluar macam lidah anjing yang kehausan, biji matanya mula merah. Datuk menepuk tangan kanannya tiga kali ke bendul masjid. Orang lelaki di tengah halaman mula batuk dan muntah darah dua kali. Pak Mardan segera mengambil air dari dalam kolah satu gayung dan menyerahkan pada datuk.

"Tawarkan dia”, Pak Mardan menyarankan dan datuk terus menunaikannya.

Setelah datuk membaca sesuatu pada air didalam gayung, saya pula ditugaskan menyimbah air kebadan lelaki itu. Bila air dalam gayung terkena badan lelaki itu, kulitnya yang hitam segera bertukar macam biasa, dia sudah tidak muntah lagi. Pak Mardan menghampiri lelaki itu. Sebelum berdiri di hadapan lelaki tersebut, Pak Mardan terlebih dahulu membaca beberapa mentera. Dia menguncikan semua pancaindera lelaki tersebut. Saya merasa terkejut, bila secara tiba-tiba Pak Mardan mendapatkan datuk semula.

"Awak tengok apa kerja maksiatnya selama ini”, suara Pak Mardan lemah.

Datuk terdiam, dia terus bertafakur lagi. Bila semuanya selesai datuk terus memberitahu Pak Mardan bahawa lelaki itu pernah meminang Halimah untuk dijadikan isteri mudanya. Pinangan itu di tolak oleh ayah Halimah kerana lelaki itu sudah beristeri sepuluh kali. Enam isterinya sudah diceraikan, empat masih dipakainya lagi. Dia hanya mengharapkan hasil dari titik peluh isterinya untuk menyarai dirinya. Dia tidak pernah mahu melakukan sebarang pekerjaan. Dia lebih senang duduk di rumah atau berjalan ke sana ke mari dengan pakaian yang kemas. Walau pun usia sudah hampir lima puluh tahun, tetapi dia kelihatan muda, macam anak teruna yang berusia dua puluhan. Gagah dan tampan. Datuk juga memberitahu Pak Mardan lelaki itu tidak pernah mandi, kecuali kalau dia bertemu danau di tengah hutan yang ada teras kayu terendam di dalamnya. Kalau dia mandi, hanya memadai dengan sekali selam tanpa memakai kain basahan.

Bila air di badannya kering dengan sendiri barulah dia memakai baju dan seluar. Lepas itu, dia akan mengurungkan diri dalam bilik selama satu minggu. Masa dia mengurungkan diri dalam bilik itu dia akan melumurkan seluruh kulitnya dengan najisnya sendiri. Bila Pak Mardan mendapatkan penjelasan itu dari datuk, dia segera berdiri di hadapan lelaki itu.

"Kenapa kau berbuat begitu pada Halimah?", pertanyaan dari Pak Mardan itu, dijawab oleh lelaki itu dalam bahasa yang tidak dapat saya dan datuk faham.

Pak Mardan segera memberitahu datuk yang lelaki itu bercakap dalam bahasa Siam. Kerana Pak Mardan boleh bercakap Siam, lelaki itu terus dilawan bercakap dalam bahasa itu. Perbuatan itu tidak menyenangkan hati datuk. Datuk membuka tapak tangan kirinya dan terus membaca sesuatu.

"Orang ini menuntut ilmu bomoh Siam. Biar saya kembalikan hati dan perasaannya kepada bangsanya sendiri”, rungut datuk lalu melangkah ke arah lelaki itu.

Sebaik saja datuk sampai di hadapan lelaki itu, dia terus menampar perut lelaki itu dengan tapak kanannya. Lelaki itu menjerit lalu membongkok sambil memegang perutnya. Ketika itu juga lelaki tersebut muntah, dari mulutnya terkeluar segumpal kain kuning yang penuh dengan ulat, sebesar ulat nangka, bau kain kuning itu macam bau bangkai. Datuk menekan kain kain kuning itu dengan jari telunjuk kirinya hingga kain itu pecah.
Bila kain itu pecah bertaburan, kaca, batu dan ketul-ketul daging jatuh keatas tanah. Ular hidup berserakan atas kawasan muntah orang lelaki itu. Pak Mardan mencari daun kayu lalu memukul tubuh lelaki itu dengan sekuat hatinya. Wajah lelaki yang tampan berubah menjadi kendur dan bergaris-garis macam orang lelaki yang berumur lima puluh tahun. Lelaki itu rebah ke tanah. Datuk segera menghentakkan pangkal siku kirinya ke belakang lelaki itu dengan sekuat hatinya. Lelaki itu dengan tiba-tiba bangun.

"Kau orang Islam?" tanya datuk.

"Ya saya orang Islam"

"Rukun Islam berapa perkara?"

"Lima perkara"

"Pertama apa dia?"

"Mengucap dua kalimah syahadah"

"Cuba kau mengucap dua kalimah syahadah"

Ternyata orang itu tidak dapat menunaikan permintaan datuk. Mata orang itu terkebil. Toleh kiri, toleh kanan macam orang ketakutan. Pak Mardan mengheret lelaki itu ditepi kolah.

"Kita mandikan dia sekarang”, kata Pak Mardan.

"Aku setuju”, balas datuk.

Saya pun menjiruskan air ke tubuh lelaki dengan gayung. Lelaki itu menggeletar. Dalam kedinginan dinihari bibirnya kelihatan biru. Lututnya berlaga sama sendiri. Datuk membuka seluar yang dipakai oleh lelaki itu, digantikan dengan kain dan baju Melayu kepunyaan Pak Mardan. Bila lelaki disuruh masuk ke masjid dia enggan. Perbuatan itu membuat datuk naik darah.

"Kenapa?", tanya datuk.

"Saya sudah bersumpah dengan guru saya. Tidak akan masuk masjid atau membaca Al-Quran"

"Awak mengarut”, datuk mendorong lelaki ke pintu masjid.

Bila lelaki itu melangkah bendul dia jatuh dan dari tubuhnya keluar kepulan asap nipis. Serentak dengan itu terdengar deru angin yang amat kuat diluar masjid. Deru angin itu makin kurang dan akhirnya terus hilang. Datuk terus mengajarkan lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan meminta dia bertaubat.
Cukup sukar untuk menyuruh lelaki itu bertaubat, dia begitu fanatik dangan ajaran gurunya. Sesudah berbagai pandangan diberikan padanya oleh Pak Mardan barulah dia mahu bertaubat.

"Awak tidak akan membalas dendam pada saya?", tanyanya pada Pak Mardan.

"Tidak. Aku mahu kau bertaubat dan jangan sekali-kali mengulangi perbuatan yang lalu"

Mendengar cakap Pak Mardan lelaki itu terdiam. Walau bagaimanapun, datuk memberikan kesempatan pada lelaki itu membuat keputusan sendiri. Datuk tidak mahu memaksa dia. Datuk mahu dia kembali ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan dan kesedaran.








34. Berjanji Dengan Syaitan

Saya lihat lelaki itu duduk diatas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan datuk hanya memperhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu-talu dari kampung berdekatan. Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang-orang kampung akan datang berjemaah di masjid.

Kalau boleh, datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang-orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu. Kalau orang-orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk. Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.

"Bagaimana? Apakah lafaz taubat yang kau ucapkan tadi benar-benar ikhlas atau ditekan oleh rasa terdesak?", soal Pak Mardan. Lelaki itu tidak menjawap.

"BertaubatIah dengan hati yang jujur. Janganlah kamu ulangi perbuatan yang terkutuk ini. Ilmu dunia tidak ada yang kekal, tidak ada siapa yang gagah dan berkuasa selain daripada Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang lembut. Sinar mata datuk redup memandang wajah lelaki itu penuh simpati.

"Kalau kau dah sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Allah amat mencintai pada makhlukNya yang insaf”, Pak Mardan terus memberi nasihat.

Lelaki itu tidak menjawap. Dia tetap tunduk sambil memicit pangkal kening. Dan datuk sudah tidak boleh bersabar dengan perangai lelaki itu, waktu subuh sudah hampir. Dalam beberapa minit orang-orang kampung akan sampai. Datuk tahu kalau dia tidak bertindak, bererti dia mendedahkan diri lelaki itu pada kecelakaan. Datuk lagi sekali menghampiri lelaki itu. Angin subuh yang bertiup memberi kesejukan pada diri saya. Kokok ayam terus juga bersahut-­sahutan. Bintang timur di kaki langit kian mengecil. Tiba-tiba saya lihat datuk menekan tulang bahu lelaki itu dengan tangan kanannya sekuat hati. Saya lelaki itu rebah perlahan-lahan, badannya kelihatan semacam lembik. Datuk pun berhenti menekan bahu lelaki itu.

"Pulanglah sebelum orang-orang kampung datang. Kalau mereka datang kamu akan menerima padah yang buruk”, ujar datuk sambil menampar belakang lelaki itu dengan tapak tangan kirinya.

Lelaki itu bagaikan tersedar dari tidur. Toleh kanan dan mula mahu menyembah kaki datuk. Datuk terus menolak lelaki itu hingga tersungkur ke belakang.

"Jangan perlakukan aku macam itu, antara kita tidak ada siapa yang besar dan harus disembah. Menyembah manusia dan patung perbuatan yang salah dari segi hukum Islam”, kata datuk dalam dingin subuh itu.

Lelaki itu bangun, matanya merenung wajah datuk. Dahinya masih berkerut. Dia membuka mulut sambil berkata: "Jika aku bertaubat kau tidak akan melakukan sesuatu pada aku?"

"Jangan bertaubat kerana takutkan manusia, bertaubatlah kerana insaf dan cinta kau pada Allah”, balas datuk.

Lelaki itu menarik nafas panjang. Matanya masih merenung wajah datuk meminta simpati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dirinya. Datuk meminta dia bercerita bagaimana puncanya dia boleh menuntut ilmu yang bertentangan dengan agama Islam yang suci. Menurutnya, dia terdorong menuntut ilmu salah itu berpunca dari masyarakat di kampungnya yang tidak mahu memaafkan atas perbuatan yang dilakukannya. Meskipun dia mengakui pada mereka, perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak.

"Apa yang kau buat?", tanya Pak Mardan.

"Saya mencuri dua kepul besar padi untuk anak saya yang sakit"

"Bila kau lakukan perkara itu?", datuk pula menyoal.

"Masa mula-mula Jepun datang ke Malaya. Mereka adukan perbuatan saya itu pada Jepun. Saya disiksa meskipun saya menyembah kaki orang yang punya beras itu untuk meminta maaf"

"Lagi?" tanya datuk lagi.

"Saya merasa malu, anak isteri saya merasa malu. Akhirnya saya lari ke Selatan Siam dan menuntut ilmu ini dengan harapan saya akan dihormati dan dikagumi”, jelas lelaki itu dengan jujur.

Datuk dan Pak Mardan berpandangan.

"Tetapi, bila sudah ada ilmu kau jadi manusia yang takbur dan mahu tunjuk kuasa lalu memeras orang lain untuk hidup”, ujar datuk lagi.

Lelaki itu terdiam dan termenung panjang. Datuk dan Pak Mardan tidak tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Jangan takut dan merasa malu sesama manusia, tetapi takut dan malulah pada Allah yang memberikan kau nyawa, tubuh badan dan pancaindera yang tidak ternilai harganya buat kau, bersyukurlah pada kuasaNya dengan mengikut segala suruhanNya dan menjauhi dari perbuatan yang ditegahNya”, datuk terus memberikan penerangan.

Lelaki itu kelihatan resah. Dia mundar-mandir di halaman masjid. Duduk di anak tangga masjid kembali. Tiba-tiba dia batuk bertalu-talu. Dia mengurut-urut dadanya dengan tangan. Nafasnya kelihatan sesak. Bibirnya kelihatan kehitam-hitaman. Saya mula tercium bau kapur barus, bau sintuk dan limau yang selalu digunakan untuk memandi mayat. Datuk menghampiri lelaki itu yang mahu merebahkan badannya atas tanah.

Datuk berdiri lutut, kepala lelaki itu diletakkannya atas peha kanan. Pak Mardan dan saya berpandangan. Subuh sudah pun tiba, sebentar lagi masjid itu akan didatangi oleh orang-orang kampung. Kokok ayam juga sudah mula berkurangan, tidak serancak tadi. Tetapi rasa sejuk terus menggigit kulit badan bersama hembusan bayu subuh yang tenang. Langit biru kelihatan bersih, bersama kepulan awan yang berbagai bentuk. Sesekali saya terdengar bunyi ranting getah dan cempedak yang reput jatuh ke bumi. Saya menoleh ke arah tanah kubur yang terletak di sebelah kanan masjid. Samar-samar saya lihat batu nisan terpacak kaku.

"Badannya dah lemah, gerak nadinya juga lemah”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Mata lelaki itu tegak memandang langit, mata hitamnya sudah tidak bercahaya lagi. Datuk rasa cuping lelaki itu.

"Dia ni dah parah macam terkena bisa”, tambah datuk sambil meraba seluruh kulit lelaki itu.

Tiba-tiba datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas ubun-ubun kepala. Mulutnya bergerak-gerak membaca beberapa ayat dari Surah Yasin.

"Ilmu yang dituntutnya memakan dirinya sendiri”, keluh datuk dan dahi datuk kelihatan berpeluh.

Pak Mardan menekan bibir bawahnya dengan gigi atas. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat lelaki itu menarik nafas panjang dan terus mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas.
Sebaik saja dia selesai mengucap, nafasnya terus terhenti dan datuk merapatkan kelopak matanya dengan menggosokkan ibu jari kiri pada kulit matanya.

"Allah sayangkan dirinya dan dia mati sebagai seorang Islam. Pada zahirnya kita lihat dia sesat
dan jauh terpesong dari ajaran agama. Tetapi dengan kuasa Allah dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah”, keluh Pak Mardan.

Datuk pun mengangkat mayat lelaki itu ke dalam masjid.

"Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan kita sebagai manusia tidak berhak menjatuhkan hukuman pada seseorang itu sebagai murtad atau kafir. Yang berhak menentukan semuanya ini adalah Allah. Dan Allah akan menghitung amalan dan kejahatan seseorang, "kata datuk pula.

Orang-orang kampung yang ke masjid subuh itu terkejut melihat mayat dalam masjid. Datuk lalu memberitahu orang kampung apa yang terjadi. Akibatnya, timbul perbalahan kecil kerana ada orang-orang kampung yang tidak mahu menanamkan jenazah lelaki itu.

"Kamu harus ingat, tanggungjawab orang yang hidup ialah menguruskan mayat ini dengan sempurna, kalau tidak ada seorangpun yang mahu menyempurnakannya seluruh penduduk kampung ini menanggung dosa. Ini fardhu kifayah. Soal dia membuat dosa itu ialah urusan dia dengan Allah”, suara datuk lantang.

Orang kampung yang baru selesai sembahyang subuh berpandangan sesama sendiri. Dan perbalahan yang terjadi terus hilang. Semuanya bersetuju menguruskan mayat lelaki itu.

Akhirnya Pak Mardan dapat juga mengetahui asal-usul lelaki itu. Dia berasal dari satu kawasan di Perlis yang letaknya berhampiran dengan sempadan Siam. Dia datang kesitu kira-kira sepuluh tahun yang lalu, membeli sekeping tanah yang letaknya agak terpencil dari kawasan rumah orang-orang kampung disitu.

Setelah urusan mengkebumikan jenazah selesai, Pak Mardan, saya dan datuk bersiap-siap untuk meninggalkan daerah kampung Sungai Tinggi. Sebaik saja kami melangkah keluar dari masjid, beberapa orang kampung datang menemui datuk. Mereka minta datuk dan Pak Mardan tinggal beberapa hari lagi di situ.

"Kenapa?", cukup lembut Pak Mardan bertanya pada mereka.

"Kami bimbang kalau ada sesuatu yang buruk terjadi”, balas orang kampung.

Datuk garu pangkal kening kiri dua kali. Datuk renung ke langit melihat awan putih yang berarak tenang. Datuk renung muka orang kampung.

"Kenapa kita mesti takut pada cerita yang belum terjadi? Kenapa kita tidak takut pada pada Allah? Kenapa kita tidak memohon perlindungan dariNya, Allah yang berkuasa. Penuhkan masjid dan surau bila sampai waktu sembahyang, bacalah Surah Yasin dengan betul pada setiap malam daripada menghabiskan masa dengan bersembang tidak tentu arah”, terang datuk sambil memasukkan kad pengenalannya ke dalam saku baju.

"Kalau ada awak lagi baik”, balas orang kampung.

"Saya pun memohon dan minta pada Allah. Ingatlah Allah sayangkan orang yang mencintai diriNya. Biarlah kami pulang, saya akan menolong awak jika difikirkan perlu”, datuk pun menarik tangan saya, meninggalkan kawasan masjid dengan diikuti oleh Pak Mardan.

Orang-orang kampung hanya memandang langkah kami yang telah menuju ke tepi jalan raya. Kerana hari masih awal baru jam dua petang, Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Taiping untuk membeli beberapa helai kain pelekat cap siput. Datuk pun memenuhi permintaan Pak Mardan, cara kebetulan pula datuk mahu membeIi beberapa butir kemenyan putih serta pulut hitam. Sementara menanti bas dari Pantai Remis ke Taiping, datuk dan Pak Mardan terus bercakap-cakap.

"Aneh juga manusia yang meninggal tu”, Pak Mardan memulai bicara.

Datuk tersengih sambil menekan daun rumput dengan hujung kasut capal buatan orang Minang. Saya sudah diatas batu tanda jalan.

"Usahlah dikenang dan disebut orang yang dah mati”, balas datuk.

"Kenapa awak tak berusaha mengubatinya?”, Pak Mardan bertanya.

"Bila ajal seseorang itu sudah sampai, tidak ada siapa yang boleh menahannya"

"Kita boleh berikhtiar"

"Menurut cakap guru aku, seorang dukun atau pawang hanya boleh mengubati dan menyembuhkan penyakit setakat 99 jenis penyakit saja dengan izin Allah”, balas datuk.

Pak Mardan menggosok-gosok batang hidungnya dengan ibu jari kanan. Kerana terlalu lama digosok batang hidungnya yang dempak itu menjadi merah dan berkilat bila dipanah sinar matahari.

"Penyakit ini ada berapa jenis?", soal Pak Mardan sambil berhenti menggosok batang hidung. Matanya tajam merenung wajah datuk.

"Kata guru aku yang diketahui ada 100 jenis, manusia cuma boleh berikhtiar dan berusaha mengubatinya setakat 99 saja yang satu lagi tetap menjadi hak Allah. Di sinilah letaknya timbang rasa dan kasihnya Allah pada manusia, dia cuma mengambilnya satu saja. Manusia sudah merasa berat sedangkan yang 99 itu dia suruh manusia berikhtar mencari ubatnya sesuai dengan peredaran masa dan zaman”, datuk bagaikan berkuliah di hadapan Pak Mardan.

Bas yang dinanti pun tiba. Kami pun naik, lebih kurang 45 minit berada dalam perut bas, kami pun sampai diperhentian bas bandar Taiping yang tidak mempunyai bangunan. Dari situ kami bergerak menuju ke bangunan kedai batu sederet yang terletak dijalan besar. Masuk ke kedai menjual kain pelekat kepunyaan India Muslim. Setelah berlaku tawar menawar antara Pak Mardan dengan penjual kain pelekat, Pak Mardan setuju membeli sehelai kain pelekat cap siput yang bercorak besar.

"Untuk dipakai masjid”, kata Pak Mardan pada saya.

"Cukup cantik warnanya”, balas saya.

“Warna tak penting yang penting berapa lama kain ini boleh digunakan”, sahut datuk lalu saya dan Pak Mardan ketawa.

Tuan punya kedai tersenyum dan memasukkan wang yang diambil dari Pak Mardan ke dalam laci yang bermeja panjang. Dari kedai itu, kami menuju ke pasar besar Taiping untuk membeli kemenyan putih dan pulut hitam dari pekedai Melayu. Memang jadi kebiasaan pada diri datuk lebih suka membeli barang dikedai Melayu. Kalau tidak ada, baru dia pergi ke kedai India Muslim.

Saya kira datuk menyimpan sedikit rasa perkauman. Tetapi, bila hal itu diajukan padanya datuk menafikan dengan alasan dia berbuat begitu bukan kerana sikap perkauman. Dia mahu menolong bangsanya yang agak mundur dalam bidang pemiagaan.

"Kalau aku tidak tolong bangsa aku, siapa lagi?" katanya.

Memang ada lojiknya cakap datuk itu. Ketika datuk memilih-milih kemenyan putih yang baik, dia bertemu dengan seorang kenalannya dari Gunung Semanggul, seorang ulama terkenaI di Perak dan pengasas sekolah Al-Ehya Al-Shariff, iaitu Ustaz Abu Bakar Al Baqir (sudah meninggal dunia). Datuk memperkenalkan kawannya itu dengan Pak Mardan. Setelah bertanya khabar tentang anak isteri, datuk terus bercerita pada kawannya itu yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit. Mereka bersalam dan berpisah. Dari pasar kami bergerak menuju ke sebuah kedai buku. Di kedai buku itu datuk membeli beberapa buah kitab yang bertulis jawi.

“Saya balik dulu”, tiba-tiba Pak Mardan memberitahu datuk dalam perjalanan menuju ke masjid bandar Taiping untuk menunaikan sembahyang Asar.

Datuk tidak menjawab kecuali tersenyum sambiI meneruskan perjalanan ke masjid. Bila selesai sembahyang dan berdoa, datuk segera menghampiri Pak Mardan dan berkata:

"Adat orang berkawan, kalau datang berdua pulang pun berdua, mesti sabar dan setia serta bertimbang rasa"
"Saya ada hal”, balas Pak Mardan.

"Pelik juga, tiba-tiba saja ada hal. Kita balik bas pukul tujuh sesudah sembahyang Maghrib di sini"

"Saya tak mahu. Saya nak pulang sekarang”, saya lihat muka Pak Mardan berubah. Matanya kelihatan bercahaya. Datuk termenung panjang.

"Terpulanglah pada awak. Cuma yang dikesalkan permintaan awak saya penuhi. Tetapi permintaan saya awak hampakan. Langkah dan rentak awak tak sama dengan saya”, datuk meluahkan perasaannya.

Pak Mardan diam. Tangan kanannya menekan jenang pintu. Dia merenung kearah datuk macam orang mahu bergaduh.

"Saya tak merasa rugi kalau tak berkawan dengan awak”, memang diluar dugaan saya Pak Mardan mahu berkata begitu pada datuk.

Darah saya naik dengan tiba-tiba. Malu rasanya diri, bila datuk diperlakukan demikian. Saya bangun. Tiba-tiba datuk memegang kaki kanan saya.

"Jangan ikut darah muda. Ilmu kau tidak sebanyak mana jangan cuba nak berlagak. Inilah salah satu sebabnya aku tidak mahu menurunkan ilmu aku pada kau. Kau terlalu pemanas”, kata datuk. Saya duduk kembali.

"Tak apalah Mardan. Pulanglah semoga Allah memberkati perjalananmu, terhindarlah kau dari sebarang kecelakaan dalam perjalananmu Mardan. Maafkan aku”, cukup lembut suara datuk dalam ruang lingkup masjid Taiping yang sejuk dan nyaman itu.

Pak Mardan tidak membalas cakap datuk itu, sebaliknya dia menghempaskan daun pintu masjid dengan sekuat hati. Dia melangkah meninggalkan masjid. Datuk termenung panjang, dia memerah otaknya memikirkan sikap Pak Mardan yang tiba-tiba menjadi marah tanpa sebab. Akhirnya, datuk membuat kesimpulan apa yang dialaminya sebentar tadi sebagai satu pengalaman baru yang aneh dalam hidupnya.

"Ini satu ujian atau sememangnya dia mahu mencabar aku. Kerana dia tahu aku dengannya tidak seguru, bukan sikap aku membeli tidak bertempat”, keluh datuk dalam perut masjid sambil memandang kipas angin yang berputar.

Saya hanya memicit pangkal kening sambil merenung keluar menerusi tingkap masjid yang terdedah. Kenderaan dan manusia yang berjalan dijalan jelas kelihatan dalam sinar-sinar matahari petang yang kian redup.

"Sabar itu kunci kebaikan dan marah itu punca kecelakaan. Itu pesan guru aku dulu dan pesan itu aku sampaikan pada kau Tamar untuk jadi pelita hidup kamu. Dunia ini penuh dengan misteri”, kata datuk
merenung muka saya.

Datuk juga memberitahu saya sebab dia mengambil keputusan untuk pulang lewat kerana menurut gerak rasa pancainderanya, perjalanan yang dibuat sebelum matahari terbenam akan berhalangan besar. Sementara menanti matahari terbenam datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran. Saya pun keluar dari perut masjid menuju ke sebuah kedai yang berdekatan. Saya membeli buku tulisan yang setebal dua puluh muka dan sebatang pensil yang sudah siap diasah.

Bila buku dan pensil berada di tangan, saya terasa lapang. Ada sesuatu yang mesti saya kerjakan sementara menanti datuk berhenti membaca Al-Quran. Dengan menjadikan mata tangga masjid sebagai meja, saya terus menulis beberapa rangkap pantun orang tua-tua yang saya minati dalam tulisan jawi yang tidak berapa cantik.

Kebanyakan daripada rangkap pantun itu saya perolehi daripada nenek. Semuanya berunsurkan nasihat dan tunjuk ajar yang baik. Bila ada masa terluang pantun yang saya tulis itu saya bacakan pada nenek, suka benar hatinya. Ini salah satu sebab yang mendorong saya untuk menulis pantun.

"Kenapa duduk menulis di sini, kamu anak siapa? Anak peminta sedekah mana pula yang mahu menumpang di sini? Di sini bukan tempat peminta sedekah. Masjid bukan rumah kebajikan”, berdesing telinga saya mendengar kata-kata itu yang keluar daripada mulut seorang lelaki lima puluhan.

Orangnya kurus dan badannya agak bongkok bila berjalan, memakai kain pelekat dan baju Melayu, misainya tebal tidak padan dengan bentuk wajahnya yang kecil dan kering. Dia memakai songkok putih yang sudah bertahi lalat.

"Saya tunggu datuk saya"

"Mana datuk kamu?"

"Dalam masjid baca Al-Quran"

Lelaki itu diam. Dia terus ke dalam masjid, ambil penyapu lalu membersihkan kesan-kesan pasir yang terdapat ditangga masjid dan ruang hadapan. Tahulah saya bahawa lelaki itu menjadi siak masjid tersebut. Datuk selesai membaca Al-Quran. Datuk menghampiri saya dan matanya memerhati dengan tajam ke arah Tuk Siak yang menyapu bahagian kiri masjid. Lama juga datuk tenung Tuk Siak yang berbadan melengkung.

"Tamar masuk ke dalam baca kitab atau Surah Yasin dari membuang masa di situ”, suara datuk yang agak tinggi dan keras itu membuat Tuk Siak berpaling ke arahnya. Tuk Siak datang mendekati datuk sambil membawa menyapu.

"Awak Mail. Dah lama kerja di sini?"

"Dah lama. Sejak bercerai dengan isteri, saya tinggalkan Kampung Paya Takung dan menetap di sini"

"Baguslah”, balas datuk dan mereka pun bersalaman.

Datuk menyatakan pada Mail (Tuk Siak) yang saya ini adalah satu-satunya cucu yang paling disayangi dan selalu dibawa ke mana-mana sebagai teman. Mail agak terkejut kerana dia memang tidak pemah mengenali saya. Cucu datuk yang lain-lain dikenalinya. Saya memang jarang merayau dalam kampung walaupun jarak kampung saya dengan Paya Tekung tidaklah begitu jauh, lebih kurang sebatu saja.

"Semalam saya ke rumah. Orang rumah kata awak dah keluar dan belum tentu bila baliknya”, kata Mail.

"Apa halnya?"

"Nak minta awak tolong ikhtiarkan tentang anak saya"

"Apa kenanya?"

"Dah berbulan-bulan terbaring dalam bilik. Kadang-kadang menjerit-jerit dan terpaksa diikat. Dua tiga orang tak boleh terpegang"

"Kita bukan pawang, kita bukan bomoh tapi kalau nak mencuba bolehlah. Kita berikhtiar, yang menentukan Allah"

Mail terdiam. Kerutkan mukanya sambil mengigit bibir. Dari gerak matanya, saya kira ada rasa kesangsian bermain dalam hatinya tentang kemampuan datuk. Sudah berbelas dukun dan pawang yang handal dipanggil, tetapi, semuanya gagal. Semua doktor yang ditemui mengatakan anaknya tidak mengalami apa-apa penyakit. Matahari yang tersangkut di langit bandar Taiping kian menurun, sinarnya bertambah redup. Di kemuncak Bukit Maxwell (sekarang Bukit Larut) kelihatan kabus tebal.

"Kita berikhtiar, itupun kalau kau mahu”, datuk bersuara membuat Mail yang termenung itu terkejut.

Dia anggukkan kepala tanda setuju. Dan Mail memberitahu pada datuk, jika anaknya itu diletakkan di bawah pokok asam kumbang besar dibelakang rumah, dia akan segar dan berkeadaan seperti orang biasa.

"Begini saja. Lepas sembahyang Isyak aku ikut kau ke rumah melihat dulu keadaannya”, beritahu datuk pada Mail.

"Saya ingat kita pergi sekarang"

"Boleh juga, dimana rumah kau?"

"Di Kampung Pinang. Saya beli tanah di situ dan buat rumah. Saya dah kahwin dengan orang Kulim"

"Baguslah”, datuk senyum dan Mail menyatakan pada datuk, bahawa nenek saya yang ditemuinya semalam tetap sihat.

Untuk pergi ke rumah Mail, saya dan datuk terpaksa naik lanca (beca roda tiga) yang dikayuh oleh seorang lelaki bangsa India, sedangkan Mail mengekorinya dengan basikal. Waktu membelok di satu selekoh, beca yang kami naiki berlaga dengan sebuah kereta. Badan datuk yang tercampak dari beca menghentak dinding kereta Morris Minor kepunyaan guru besar Sekolah Melayu Selama yang baru dua hari lulus ujian memandu.

Dalam perlanggaran itu, saya tidak apa-apa. Tetapi, tayar beca sebelah kanan jadi macam angka lapan. Dinding kereta Morris Minor remuk dan pintunya tidak boleh dibuka, melihat keadaan kereta itu, hati saya berdebar. Tentu datuk mengalami kecederaan yang parah. Saya tersentak bila melihat
datuk boleh bangun sambil mengibas-ngibas kesan batu-batu kecil yang terletak di pakaiannya. Dia tidak luka dan tidak pula bengkak. Guru besar segera keluar dari perut kereta dengan wajah yang masam dan mula menyalahkan penarik beca. Pertengkaran pun berlaku, masing-masing tidak mahu mengaku salah. Penarik beca kepal buku lima. Guru besar lipat lengan baju. Mereka mahu beradu kekuatan. Orang ramai mula berkumpul.
.
"Mana yang rosak biar saya baik”, ujar datuk lalu memukul dinding kereta dengan tapak tangan kiri.

Bahagian dinding yang remuk elok kembali. Kemudian datuk memegang tayar beca yang jadi angka lapan. Dia urut tiga kali macam urut tangan yang bengkak. Tayar beca itu kembali elok macam asal. Dalam keadaan orang ramai kelam-kabut begitu datuk menarik tangan saya meninggalkan kawasan kejadian sesudah memberi wang pada pemandu beca itu.

Akhirnya kami sampai juga ke rumah Mail dengan beca lain. Di rumah barulah saya mendapat tahu dengan jelas tentang Mail. Di samping menjadi siak dia juga menguruskan pengebumian jenazah orang yang mati di penjara Taiping kerana hukuman gantung (jika tidak dituntut oleh pihak waris). Setelah bercerai dengan isterinya yang dulu, dia membawa anak sulungnya tinggal bersamanya. Setelah anaknya tamat sekolah melalui jasa orang besar Jajahan Larut yang bergelar Tengku Menteri (kalau tak silap saya), anaknya itu dapat bekerja sebagai budak pejabat di Jabatan Ukur. Sejak bekerja, anaknya tidak tinggal bersamanya lagi. Tinggal bersama-sama kawan-kawan dengan menyewa rumah di pinggir bandar Taiping, tidak jauh dari kawasan perumahan sesak di Tupai.

"Naik”, kata Mail.

Saya dan datuk pun ikut perintahnya. Kami terus masuk ke bilik anaknya terlantar, tidak bergerak kelihatan macam mayat. Badan kurus dengan pipi yang cekung.

"Siapa namanya Mail?"

"Razman, orang panggil Man"

"Jadi nama panggilan sehari-hari Man ya. Emaknya siapa namanya?"

"Munah"

"Umurnya?"

"Umur siapa emak atau anak?"

"Anak"

"Dua puluh tiga tahun"

Datuk rapatkan mulut ke telinga Razman dan membisikkan sesuatu. Tiba-tiba Razman membuka mata dan bangun. Dia kelihatan gagah berdiri sambil bertempik dan melompat. Tali belati yang mengikat kakinya terputus. Razman melompat ikut tingkap dan terus lari ke bawah pokok asam kumbang. Duduk bersila di situ, dengan kedua belah tangannya terletak atas kedua tempurung lutut, macam pelajar silat menerima amanat dari guru silat.

"Anak awak ni dah silap langkah”, beritahu datuk pada Mail sambil turun dari rumah menuju ke bawah pokok asam kumbang.

Beberapa ela lagi mahu sampai ke bawah pokok tersebut, datuk mencabut sebatang pokok kecil. Dengan pokok itu datuk membelasah belakang Razman hingga lembik. Kemudian datuk dukung Razman pulang. Di rumah datuk menggosok belakang Razman dengan pucuk pisang nangka hingga kesan berbalar kena pukul itu hilang. Datuk letakkan Razman betul-betul di bawah tulang bumbung rumah.

"Jangan diubah-ubah hingga saya datang pada sebelah malam nanti”, pesan datuk pada Mail.

"Mahu ke mana pula?"

“Ke masjid tadi, saya nak membuat amalan sedikit. Mudah-mudahan dengan izin Allah sakit anak awak akan pulih"

"Baiklah”, sahut Mail.

Saya dan datuk kembali ke masjid semula. Selepas menunaikan sembahyang Isyak, datuk terus membaca Al-Quran. Kira-kira pukul tiga pagi sesudah datuk melakukan sembahyang tahajjud dua rakaat, barulah saya dan datuk pergi ke rumah Mail. Perjalanan pada sebelah malam itu agak berbeza dengan perjalanan waktu siang. Sebelum keluar masjid datuk suruh saya ikat mata dengan kain. Bila kain dibuka saya sudah berada di kaki tangga rumah Mail. Perkara pertama yang datuk lakukan bila duduk di hadapan Razman ialah meminta segelas air sejuk. Setelah air itu ditawar jampi datuk basuh muka Razman dengan air itu. Datuk pegang dan tekan tulang rusuk sebelah kanan Razman dengan jari hantu.

"Man, dari mana kau dapat semuanya ni?" datuk menyoal.

Razman membuka mata. Terkelip-kelip macam mata katak puru kena sembur air. Mulutnya terkumat-kamit tanpa suara. Kemudian Razman rapatkan matanya kembali. Kaku. Datuk mengulangi perbuatannya itu selama tiga kali berturut-turut. Semuanya gagal. Datuk lalu meminta Mail mencari seekor ayam jantan putih. Permintaan itu Mail tunaikan. Bila ayam jantan putih berada dalam tangan datuk, dia segera meninggalkan ruang rumah masuk ke bawah rumah.

Datuk sembelih ayam itu betul-betul di bawah lantai tempat Razman baring. Darah ayam itu datuk isikan dalam cawan putih. Datuk juga memberitahu Mail apa yang dilakukannya terhadap Razman jangan ditegur, walaupun perbuatan itu nampak kejam dan tidak bertimbang rasa. Datuk bawa darah ayam dalam cawan putih keatas rumah. Datuk dekatkan cawan yang berisi darah itu ke hidung Razman. Bila tercium bau darah ayam, Razman segera bangun macam orang sihat mahu meminum darah. Datuk tampar muka Razman dengan sekuat hatinya hingga Razman rebah atas tempat tidurnya kembali.

"Setakat ini sahaja. Esok aku ikhtiarkan lagi”, beritahu datuk pada Mail.

Mail anggukkan kepala dan terus masuk ke bilik tidur. Saya dan datuk pergi ke anjung rumah dan tidur di situ. Malam itu saya tidak mengalami sebarang mimpi yang aneh. Tetapi diri datuk saya tidak tahu.



35. Mengusung Iblis Tengah Malam

Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air em­bun, datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman.

"Mail, biarlah aku dengan di temani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran disamping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh”

"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"

"Aku terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu”

"Pelik juga sakit anak saya ni”

"Inilah dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu jahat. Anak kau salah seorang daripadanya”

Saya lihat mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia meninggalkan kami. Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring. Datuk minta saya menumpahkan darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula bertafakur. Matanya terpejam rapat.

Kedua belah tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali. Tiba-tiba Razman mengeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan duduk bersila macam datuk. Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah An-Nisa’. ltu pesan datuk yang saya mesti patuhi. Tiba-tiba dari tompokan darah ayam di hujung lutut datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.

Dan Razman membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan kesana ke sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu. Datuk meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanan­nya melurut lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan. Bila urutan itu sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang. Razman melompat-Iompat dan menjerit. Dia marah kerana datuk menghilangkan ayamjantan putihnya.

Mujurlah tali sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang datuk lakukan ini bukan sebarang ikatan. Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga Razman ketika itu cukup luar biasa.
Semua anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan mudah. Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara datuk dengan kuasa tertentu yang melindungi Razman.

Buktinya, muka datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Ak­hirnya Razman lemah sendiri. Terbaring atas tanah. Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapak kambing hitam meluru ke arah Razman.

Kambing jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu me­nepuk-nepuk belakang kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, datuk jadi resah. Datuk menggenggam kedua belah tangannya dan dilapis dua. Genggam tangan kiri sebelah atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam bu­dak-budak main tum tum bak. Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.

Kaki kanannya dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihen­takkan ke bumi sekuat hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembik sekuat hati, macam kena curahan air panas dan terus hilang. Raz­man rebah kembali. Matahari kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat. Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu. Panas pagi itu memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.

Datuk mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di sebelah barat daya secara perlahan-Iahan. Tapak tangan kirinya menekan pangkal dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-Iahan. Bila pandangannya sampai kepada matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah. Tetapi, jari telun­juknya menekan pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu. Lama juga datuk merenung per­du lalang yang tumbuh liar itu.

"Kita bawa Razman segera balik”, kata datuk.

Bila datuk memegang pangkal tangannya, Razman segera mengelupur. menendang dan menumbuk datuk. Datuk menepis dengan cepat. Tetapi ten­dangan Razman dari sebelah kiri tidak dapat dielakkan.
Datuk tersungkur. Mukanya tersembam ke bumi. Saya lihat kekuatan Razman memang luar biasa. Pergerakannya cukup tangkas macam orang si­hat. Razman mula menerkam dan mahu memijak belakang datuk. Cepat-ce­pat datuk melarikan badannya ke kiri hingga keluar dari bawah bayang-bayang pohon asam kumbang. Razman tidak dapat melepasi bayang-bayang pokok asam kumbang. Bila dia terkeluar dari kawasan bayang-bayang itu tenaganya jadi lemah. Datuk menyedari tentang hal itu.

"Carikan aku batang tepus”, pekik datuk pada saya.

Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan. Batang tepus tidak juga saya nampak.

"Cari sebelah matahari jatuh. Tak jauh dari pokok talang”, suara datuk cu­kup lantang.

Perintahnya saya akur. Memang betul cakap datuk. Batang tepus saya temui berdekatan dengan pokok talang berbatang licin. Saya cabut se­batang dan berlari ke arah datuk lalu menyerahkan batang itu padanya. Datuk mara lalu memukul bertalu-talu pada badan Razman. Saya lihat Raz­man menjerit dan terlompat-Iompat bila batang tepus menjamah tubuhnya. Akhirnya, datuk hentak pangkal sikunya dengan sekuat hati ke pangkal bahu Razman. Razman melayang rebah ke bumi. Saya kira tulang bahunya pasti patah dua. Razman tergolek macam ayam kena langgar lori tentera.

Datuk gosok bahagian bahu Razman yang dihentakkan dengan pangkal sikunya. Kemudian datuk gerakkan tangan Razman berkali-kali. Urut lagi dua kali dan gerakkan ke kiri dan ke kanan. Datuk tepuk bumi dan dada Razman. Saya lihat Razman bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk menghampiri saya.

"Tangannya yang patah sudah aku betulkan atas izin Allah. Sekarang kita bawa dia pulang”, kata datuk.

Dia pun memikul batang tubuh Razman. Saya mengekor dari belakang dan saya terasa macam ada bayang-bayang orang memburu saya. Rumput kiri kanan saya lihat macam dipijak orang dalam sinar matahari yang keras.
Anehnya, saya tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba saya rasa bahu kanan ba­gaikan ditampar orang. Pedihnya bukan kepalang. Saya terus melangkah, peluh terus meleleh di dahi dan mengalir ke pangkal dagu. Kulit muka terasa pedih dan gatal-gatal. Dalam hati saya terus membaca Surah An-Nas dengan tenang. Gangguan itu tidak berlaku lagi pada diri saya.

Bila sampai di rumah, datuk pun meletakkan Razman di tempatnya. Saya lihat jam di dinding rumah sudah pukul sebelas pagi. Dari tingkap rumah Mail, saya melihat kemuncak Bukit Larut yang berkabus tebal. Datuk bersandar pada tiang seri. Lima belas minit kemudian Mail pun pulang. Tidak banyak yang ditanya oleh Mail terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk. Mail terus masuk ke biliknya untuk menghisap rokok. Dia tahu datuk berpuasa hari itu. Mail tahu, tidak manis menghisap atau makan di depan orang yang berpuasa. Mail keluar, duduk bersila di depan datuk.

Datuk masih lagi termenung panjang. Perhatiannya tidak tertumpu apa yang berlaku di depannya. Datuk bagaikan berada di dunia lain. Saya tahu bagaimana mahu menyedarkan datuk supaya kembali dalam keadaan biasa.
Saya pun melipat bucu tikar mengkuang dan menindihkannya dengan lutut. Saya gigit kuku jari kanan sekuat hati sambil pura-pura batuk. Apa yang saya lakukan berhasil menyedarkan datuk. Petua yang saya jalankan itu saya peroleh dari datuk juga. Harus digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut hari dan bulan Islam di samping mem­perhitungkan masa.

"Mail”, datuk bersuara sambil merenung wajah Mail. “Ada tak kejadian­-kejadian aneh berlaku di pokok asam kumbang tempat anak kau suka pergi tu?", tambah datuk.

Mail luruskan kaki kanan. Datuk tarik nafas panjang. Mata saya terus merenung apa yang ada dalam ruang rumah. Rasa panas bertambah kurang kerana angin yang bertiup di luar masuk ke ruang rumah menerusi tingkap dan pintu yang terdedah.

"Ada”, jawab Mail.

"Apa dia?"

"Di bawah pokok asam kumbang itu dulu tempat orang mati bertembak"

"Siapa menembaknya Mail?"

"Penjahat itu berbalas tembak dengan pihak polis”

"Siapa namanya Mail?"

"Din Taiwan”

"Waktu matinya petang atau tengah malam?"

"Tengahari, kata orang waktu rembang lebih kurang pukul dua belas tengahari”

Datuk menggigit lidah mendengar keterangan dari Mail itu. Dan Mail memberitahu datuk bahawa Din Taiwan masa hidupnya memang terkenal sebagai kaki rompak yang handal. Namanya amat ditakuti oleh penduduk se­kitar Daerah Larut. Sikapnya tidak ubah macam kata orang tua-tua, beraja di mata, bersultan di hati.

"Kaki botol, kaki rogol. Dia memang pelesit”, keluh Mail.

Datuk tersenyum. Saya memperkemaskan sila. Mail merenung wajah datuk yang kelihatan tenang. Perut saya mula terasa pedih dan lapar. Bau sambal tumis petai membuat saya bertambah lapar lagi. Dalam kepala saya membayangkan betapa enaknya keluarga Mail makan tengahari nanti. Kalaulah saya tidak berpuasa, dua pinggan nasi tentu habis saya telan.

"Kata orang dia banyak ilmu”, tambah Mail.

"Ilmu untuk dunia tanpa ilmu akhirat selalunya membuat manusia sesat”

"Betul. Cuma yang anehnya bila dia dibawa ke hospital dan pada sebelah petangnya saya pergi ke tempat itu, saya lihat kesan-kesan darah Din Taiwan di tanah hilang, macam ada orang yang mengambilnya”

Datuk terkejut mendengar cerita dari Mail. Muka Mail saya renung. Datuk bangun, berdiri di muka tingkap merenung ke luar. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Datuk macam memikirkan se­suatu. Datuk terus melangkah ke anjung rumah dan tidur.

Datuk bangun bila waktu Zuhur tiba dan terus sembahyang. Sementara menanti masuk waktu Asar, datuk terus membaca Al-Quran. Lepas sembahyang Asar datuk dan saya pergi lagi ke bawah pokok asam kumbang. Dalam jarak dua puluh kaki dari pokok itu, datuk membentangkan se­helai kain pelikat dan kami duduk di atasnya. Matahari sudah condong, sinarnya tidak sekeras tadi.

"Jangan tegur apa yang kau lihat”, bisik datuk kepada saya sambil menye­litkan sehelai daun lalang ke telinga kiri saya.

Datuk juga menyelitkan daun lalang ke telinganya. Saya terasa keadaan keliling telalu sepi. Dunia bagaikan tidak ada penghuninya.

"Tumpukan seluruh pancaindera kamu Tamar pada alam lain”, saya terdengar sayup-sayup suara datuk.

Dan saya terasa badan bagaikan berada diawang­-awangan sebentar. Hujung baju datuk saya pegang erat-erat.

"Buka mata kamu Tamar”, datuk memerintah.

Cakapnya saya patuhi. Mata saya tertumpu pada pangkal pokok asam kumbang. Saya terlihat seorang lelaki jatuh berlumuran darah. Lelaki itu hilang dan saya lihat batang tubuh datuk terbongkok-bongkok mengambil tanah yang ada kesan darah dari lelaki itu. Datuk juga turut hilang. Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terasa peha saya ditampar oleh datuk. Saya toleh ke arahnya. Datuk tersenyum daun lalang yang berada di celah telinga saya sudah pun berada di tangan datuk.

"Sekarang sudah tahu puncanya dengan izin Allah sakit Razman boleh diubati tetapi dia harus memulangkan barang yang diambilnya kepada orang yang berhak”, beritahu datuk pada saya.

Matahari kian condong. Datuk masih lagi belum mahu bergerak dari tempat duduknya. Dia memberitahu saya, bahawa saya dan dirinya harus berada di situ hingga remang-remang senja. Menurut datuk diri saya dan dirinya tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Bagi datuk duduk di situ tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ada saja kerja yang di buatnya. Mulutnya sentiasa terkumat-kamit dan anggota badannya yang lain juga selalu bergerak-gerak.

Bila hari sudah remang-remang senja, datuk pun menghentakkan kakinya ke bumi. Seluruh kawasan itu berbau harum. Saya terpandangkan bayang orang perempuan yang tidak begitu jelas duduk bersimpuh di hadapan datuk.
Tetapi melihat gaya perempauan itu duduk dan cara dia bertudung, saya yakin perempuan itu ada­lah isteri muda datuk iaitu, orang bunian. Perempuan itu bercakap dengan datuk. Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa yang diperkatakan oleh datuk dengan perempuan itu. Dengan sekelip mata perempuan itu hilang. Bekas tempat perempuan itu duduk terdapat tiga longgok tanah yang berdarah. Datuk terus berpeluk tubuh. Matanya merenung lurus ke depan. Dia menarik nafas.

Datuk hulurkan kaki kiri ke arah ketiga-tiga longgok tanah yang berdarah. Bila kakinya dilipatkan kembali seperti asal, saya lihat dari tanah longgok pertama keluar ayam jantan putih. Dari longgok kedua keluar kambing dan dari longgok ketiga terdampar mayat lelaki. Kerana longgok tanah yang berdarah sederet, semua jenis mak­hluk yang keluar darinya beratur sederet.

Remang-remang senja bertambah hitam. Angin mula menampar-nampar dedaun asam kumbang. Bunyi desiran angin itu cukup kuat bersama titik gerimis yang sambung menyambung. Saya terasa cukup seram. Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Ada suara orang minta tolong. Ada suara ayam berkokok, ada suara kambing mengembik. Akhir sekali saya terdengar suara orang lelaki memuja sesuatu, suara itu macam suara Razman. Datuk menamparkan tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri, serentak dengan itu, saya lihat batang tubuh Razman berdiri bagaikan bayang-bayang dalam warna senja yang kian beransur gelap. Ketiga-tiga makhluk yang terdampar di hadapan datuk bergerak dan menuju ke arah Razman lalu hilang meresap ke dalam tubuhnya.

Bayang-bayang Razman hilang lalu diganti dengan suara perempuan mengilai di atas pucuk pokok asam kumbang. Suara perempuan mengilai itu cukup nyaring dan ak­hirnya, pokok asam kumbang bergegar macam di goncang oleh sesuatu. Buah-buah asam kumbang yang muda berguguran atas bumi Suasana menjadi seram. Angin terus bertiup dan suara gagak mula kedengaran.

Macam-macam lembaga yang amat menakutkan wujud di hadapan saya dan datuk. Tetapi datuk tidak menampakkan rasa takut atau bimbang. Dia bagaikan yakin apa yang dikerjakannya akan berjaya. Datuk terus membaca Surah Al-Kursi dengan tenang dan teratur. Bila semuanya sudah selesai dibaca, datuk bangun lalu menghentakkan tumit kaki kirinya ke bumi. Semua yang ada dihadapan hilang terus.

"Syaitan”, kata datuk lalu mengajak saya pulang.

Dalam perjalanan pulang itu datuk memberitahu saya, bahawa Razman telah memuja darah orang mati dibunuh untuk sesuatu maksud yang jahat. Tetapi dia tidak dapat menunaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan untuk dilaksanakannya. Akibatnya dia jatuh sakit dan ilmu salah yang dituntutnya itu memakan dirinya sendiri. Razman menguji ilmunya dengan darah ayam dan kambing. Ternyata ilmunya itu berjaya. Ayam dan kambing jelmaan yang didampingi oleh syaitan akan mengikut semua perintahnya. Kemudian Razman mengambil darah orang mati di bunuh di bawah pokok asam kumbang. Darah orang mati di bunuh itu dipuja dengan menggunakan beberapa kelengkapan tertentu di bawah pokok tersebut.

"Darah orang mati dibunuh tu dipuja waktu bunga senja”, ujar datuk pada saya dengan tenang.

Saya anggukan kepala dalam langkah senja yang kian gelap. Tetapi langit kelihatan bersih dan cerah.

"Darah tu dipuja tujuh Jumaat. Orang yang melakukan pemujaan tu bersemadi menghadapi arah matahari naik dan arah angin tanpa memakai pakaian kecuali cawat untuk menutup bahagian kemaluan”, beritahu datuk lagi.

Saya mula terasa cemas tidak tentu pasal. Langkah saya percepatkan. Datuk terus juga bercakap menerangkan apa yang dia tahu pada saya. Da­tuk yakin yang Razaman berguru pada orang yang tahu tentang kerja-kerja maksiat ini. Dan orang tempat dia berguru itu belajar separuh jalan saja.

"Sayang, orang tempat dia berguru itu hanya mencari yang jahat untuk tujuan yang jahat”, keluh datuk.

"Maksud datuk?", saya memontong cakapnya.

"Dia menuntut untuk niat jahat, bagi merosakkan sesama manusia. Kerana itu dia tidak menuntut bagaimana mahu menghancurkan perbuatan sendiri”, jelas datuk lagi.

Saya diam dan tidak mahu menyoal datuk lagi. Akhirnya, kami sampai ke kaki tangga rumah Mail. Ketika datuk selesai membasuh kaki dan memijak anak tangga pertama, suara Azan mula kedengaran. Saya cukup gembira kerana tempoh menahan lapar dan dahaga sudah berakhir. Bila berada dalam rumah hati saya bertambah lapang. Sudah ada makanan yang tersedia untuk saya dan datuk. Mail lalu mempersilakan kami menjamah hidangan. Datuk hanya minum segelas air sejuk dan sebiji pisang. Lepas itu dia terus sembahyang. Saya juga berbuat demikian dengan harapan selesai datuk sembahyang, dia akan makan kembali.

Harapan saya tidak dipenuhi. Lepas sembahyang datuk terus berwirid panjang dan membaca Surah Yasin tujuh kali hingga masuk ke waktu Isyak. Bila datuk selesai sembahyang Isyak barulah dia menghadapi hidangan.
Datuk cuma makan tujuh jemput nasi dan minum separuh air sejuk. Tetapi, saya terus makan dengan semahu-mahunya. Datuk tidak menegur perbuatan saya itu. Kerana saya makan terlalu banyak, saya merasa agak sukar mahu bernafas dan bergerak. Saya tersandar di dinding dan perut kelihatan agak buncit, macam perut bantal. Datuk menghampiri saya.

"Makan terlalu berlebihan tidak elok. Makan cara itu berkawan dengan iblis kerana terlalu mengikut nafsu”, bisik datuk ke telinga saya. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya cuma tersenyum sinis.

"Cuba jangan malukan aku”, tambahnya.

Datuk terus menuju ke tempat Razman. Datuk duduk bersimpuh di hadapan Razman. Datuk serkup muka Razman dengan kain hitam. Dengan hati-hati datuk menekan buku lali kaki Razman sebelah kiri. Badan Razman bergerak dan datuk memanggil Mail supaya duduk dekatnya. Mail datang. Datuk mengeluarkan sebatang rotan seni dari bawah pahanya. Saya tidak tahu dari mana datuk memperolehi rotan tersebut. Datuk urut batang rotan itu tujuh kali ke atas dan tujuh kali ke bawah. Razman secara mendadak bangun dan datuk dengan cepatnya pula meletakkan hujung rotan itu ke atas kain hitam.

Saya lihat Razman tidak mampu bangun. Hujung rotan itu bagaikan ada batu besar yang tidak terdaya ditolak oleh Razman, sedangkan datuk meme­gang pangkal rotan itu dengan dua jari saja. Dalam sekelip mata saja warna rotan bertukar menjadi hitam. Muka datuk berpeluh. Datuk tarik rotan itu dan letakkan kembali d bawah pehanya.

"Anak kamu Mail sudah teruk benar. Susah nak menghilangkan ilmu yang sudah sebati satu badan"

"Saya minta tolong ikhtiarkan. Dialah satu-satunya anak jantan saya”

"Saya boleh cuba”

Muka Mail kelihatan tenang mendengar janji datuk itu. Datuk meninggalkan Razman di tempatnya. Datuk ajak Mail pergi ke anjung rumah. Mereka duduk di situ. Saya malas mahu mengikut mereka. Saya rasa lebih selasa duduk bersandar di dinding. Saya terus terlelap dan terjaga bila terasa bahu sebelah kanan ditendang orang. Saya buka mata, saya lihat ada lelaki berbaju dan berseluar hitam berdiri di hujung kaki Razman. Dada saya berdebar, bila saya lihat Razman duduk bersila macam orang sihat dan lelaki yang berdiri itu terus sujud di kaki Razman.

"Sudah kau jalankan perintah aku?", saya terdengar suara Razman.

"Belum”, jawab lelaki itu tunduk.

"Kenapa kau tak ikut perintah aku?"

"Upahnya belum saya dapat”

"Kerana itu kau siksa aku begini?”

"Bila saya dapat minum darah perempuan beranak sulung malam Jumaat, semuanya akan selesai, saya tidak akan menghisap darah awak lagi”

"Aku dalam bahaya. Ada orang yang mahu memisahkan kau dengan aku. Tahu?"

"Darah dan roh awak sudah sebati dengan saya. Awak yang memuja saya, tidak ada orang yang boleh menewaskan saya. Saya dahaga saya mahu minum”

Sebaik saja lelaki itu berhenti bercakap, saya lihat dia memegang pergelangan kaki kanan Razman. Dia terus menggigit ibu jari kaki Razman. Suara Razman bergema menguasai ruang rumah sambil melompat. Datuk segera datang kepada Razman, batang tubuh lelaki itu hilang. Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis masuk ke lubang hidung Razman bila dia menarik nafas. Semua yang saya lihat, saya ceritakan pada datuk. Tanpa membuang masa lagi datuk pun membuka bajunya lalu diserkupkan ke bahagian dada Razman. Muka Razman datuk serkup dengan kain merah. Rotan seni datuk letakkan melintang di atas dada Razman.

"Biarkan barang-barang itu di situ. Kau tunggu di sini, kalau ada apa-apa beritahu aku di anjung”, datuk meninggalkan satu pesan yang amat berat buat saya.

Sebelum datuk beredar dia menyuruh saya membaca Surah Al-­ikhlas seberapa banyak yang boleh hingga saya terlelap.

Mail masuk kedalam bilik tidur. Selama berada di rumahnya saya cukup sukar mahu melihat wajah isterinya. Suara isterinya juga jarang kedengaran memarahi anak-anaknya yang nakal. Saya terlelap dan datuk tidur di anjung rumah. Lebih kurang pukul tiga pagi, saya tersedar dari tidur. Saya lihat datuk sedang melakukan sembahyang Tahajud. Kemudian dia melakukan pula sembahyang Istikharah. Datuk tidur kembali.

Saya merasa senang hati kerana tidak ada kejadian aneh yang berlaku di hadapan saya. Dengan dada yang lapang saya menyambung kembali tidur yang terputus. Setelah menunaikan sembahyang subuh bersama datuk dan Mail, saya terus berubah tempat. Duduk di anjung rumah dekat kepala lutut datuk yang sedang membaca Surah Yasin.

"Aku rasa dengan izin Allah aku dapat melawan perbuatan jahat itu. Aku mesti menjalankannya dengan sebaik-baiknya. Niat aku bukan apa-apa, aku mahu mengembalikan budak itu ke jalan benar”, demikan datuk memberitahu saya. Datuk juga sudah menyiapkan beberapa rancangan yang akan dilakukannya selepas dia mandi embun.

Ketika matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, datuk sudahpun selesai mandi embun. Dia kembali mengadap Razman, semua perkakas yang di letakkan atas tubuh Razman diambilnya. Datuk meneliti rotan seni yang panjang dua kaki itu dengan rapi sekali. Tidak ada sebarang perubahan pada rotan tersebut. Datuk ambil air dari tempayan dapur lalu membasuh muka Razman.

"Razman bangun nak, bangun", suara datuk tenang di hadapan saya dan Mail.

Rotan seni di tangan terus datuk bengkokkan. Bila rotan itu diluruskan Razman pun bangun dan duduk, macam orang sihat dan terus minta makanan. Datuk berbisik dengan Mail. Dua tiga kali Mail anggukkan kepala, kemudian terus ke bahagian dapur. Mail datang kembali membawa secawan kopi dan dua ketul lepat pisang. Barang-barang itu datuk ambil. Air kopi datuk campurkan dengan air dari tem­payan. Lepat pisang datuk tikam dengan hujung rotan. Kemudian barang-barang itu datuk serahkan pada Razman.

Bila Razman mahu menghirup air kopi, cawan yang dipegangnya pecah. Bila dia mahu makan lepat pisang, lepat pisang itu terbang macam ada orang yang menyentapnya. Datuk terus bertafakur. Tanpa saya duga secara mendadak Razman bangun dan menendang ke arah badan datuk. Dua tiga kali dia menendang tetapi badan datuk tidak ber­gerak. Datuk membengkokkan jari telunjuknya. Razman rebah. Datuk saya lihat menginsut ke depan lalu membaca Surah Yasin dengan nyaring. Bacaan itu diikuti oleh Razman, tetapi, bila sampai pada ayat-ayat terakhir suara Razman tidak kedengaran.

Razman terus rebah. Datuk bangun dan membiarkan Razman terkapar di situ. Datuk lalu minta Mail mengorek lubang separas dada dekat pokok asam kumbang. Permintaan itu dilaksanakan oleh Mail. Bila lubang itu sudah dikorek, datuk terus masuk ke dalamnya. Dia minta Mail pulang ke rumah. Tinggallah saya dengan datuk dan datuk minta saya menimbus separuh badannya dengan tanah. Datuk minta saya mencarikan beberapa helai daun lalang kering. Daun lalang kering yang sudah saya peroleh itu, saya letakkan di hadapannya. Kerana pancaran matahari cukup terik membuat separuh badan datuk yang tidak ditimbus oleh tanah berpeluh.

"Bakar lalang tu”, perintah datuk.

Saya terus patuh. Bila api membakar lalang kering, saya terasa cukup panas. Angin yang bertiup membawa lalang yang terbakar ke arah datuk. Dalam sekelip mata saja saya tidak dapat melihat separuh daripada badan datuk, hilang dalam kemarakan api. Saya lihat rambut dan muka datuk terbakar. Saya kira ini satu kerja gila. Kenapa datuk mesti melakukan kerja yang tidak akan dilakukan oleh manusia yang berfikiran waras? Apakah datuk juga mendampingi dirinya de­ngan syaitan? Ini kerja mengarut, fikir saya sam­bil menutup kedua belah mata dengan tapak ta­ngan. Tidak sanggup saya melihat datuk dalam keadaan demikian.

"Aku tidak berdampingan dengan syaitan Ta­mar, apa yang aku lakukan ini adalah sebahagian dari kerja aku yang aku warisi dari guruku yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ini sebenarnya sebahagian dari ujian dan ketahanan diri, demi keyakinan aku yang bersandarkan pada kuasa Allah”, tiba­-tiba saya mendengar suara datuk.

Dia berdiri di kanan saya. Baju dan anggota badannya tidak pun rosak. Paling melucukan datuk sendiri melihat tempat dia kena timbus tadi penuh dengan api. Datuk meminta saya menyimpan rahsia aneh itu dari pengetahuan Mail dan orang lain. Segala apa yang terjadi tadi adalah untuk diri saya dan dirinya saja.

Kami kembali ke rumah Mail. Datuk membuat beberapa persiapan terak­hir. Dia mencari sendiri beberapa jenis akar kayu, daun dan beberapa ketul batu hitam yang diambil dari bekas lombong. Semua barang-barang itu datuk kumpulkan dalam kain hitamnya. Dari waktu Zuhur membawa ke waktu Isyak datuk terus membaca Al-Quran. Dia berhenti bila sampai waktu sembahyang. Walau macam mana susahnya, datuk tetap meneruskan puasanya. Dia berbuka puasa dengan segelas air saja. Dan saya juga diperintahkan mengikut apa yang dilakukannya. Kerana saya suka dengan tugas datuk yang mencabar itu, pahit maung dan susah saya harungi dengan harapan perkara-perkara aneh itu akan menjadi khazanah pengalaman yang berharga pada diri saya.

Lebih kurang pukul dua pagi, datuk dan saya memikul batang tubuh Raz­man keluar dari rumah tanpa diketahui oleh keluarga Razman. Tempat yang kami tuju ialah ke perdu pokok asam kumbang. Datuk masukkan separuh badan Razman ke dalam lubang tempat datuk membakar diri pada sebelah siang tadi. Badan Razman kami timbus dengan tanah. Datuk pun membakar semua barang-barang yang dibungkusnya dalam kain hitam. Api menyala dengan garangnya, memakan barang-barang itu. Api menjulang ke atas, macam disimbah dengan minyak petrol.

Razman menjerit dengan sekuat hati. Datuk memadamkan api itu dengan sekali hembus. Bila api padam, semua barang-barang dalam kain hitam tidak terjejas. Datuk mengambil seketul batu hitam lalu ditanamkan ke dalam tanah dengan ibu jari kakinya. Dalam masa itu juga bermacam binatang buas muncul di hadapan datuk dan saya.
Ada harimau, ada ular dan macam-macam lagi. Semua binatang buas itu hilang bila datuk menepuk tangannya.

Akhirnya, muncul seorang lelaki dari sebelah kiri Razman, bentuknya macam bayang-bayang lalu bersatu dengan diri Razman. Dengan menggunakan jari kaki juga, datuk cungkil batu hitam yang tertanam. Batu itu datuk ambil lalu digenggamnya erat-erat. Dari celah-celah lurah jarinya keluar asap. Datuk buka tangannya sebentar. Batu hitam sudah menjadi bara yang merah saga. Datuk genggam kembali. Datuk mencampakkan kain hitamnya pada saya.

"Bakar”, katanya.

Saya pun bakar kain hitam. Cahaya api dari kain hitam itu menerangi seluruh kawasan yang gelap. Sebenarnya kain hitam tidak terbakar, sekadar mengeluarkan cahaya seperti lilin yang terbakar. Saya lihat muka datuk bersih benar malam itu. Dia duduk bersimpuh merenung muka Razman.
"Kau siapa?", tanya datuk.

"Din Taiwan”

"Kenapa kau mengacau orang lain?”

"Dia memuja aku untuk tujuan tertentu”

"Sebab?"

"Dia suruh aku bawa gadis bernama Mariam padanya”

"Sudah kau buat?”

"Belum lagi”

"Sebab?"

"Dia belum beri aku darah perempuan beranak sulung”


Percakapan yang terjadi antara datuk dengan Razman berhenti. Datuk lalu melontar dua urat akar kayu ke arah Razman. Razman menjerit dan meminta datuk jangan mengu­langi perbuatannya itu. Datuk setuju dengan syarat Razman harus bercerita asal-usulnya. Permintaan itu dipersetujui oleh Razman. Sebenarnya bukan Razman yang bercakap ketika itu, orang yang dilawan oleh datuk bercakap itu ialah Din Taiwan.



36. Pukau Ular Tedung

Din Taiwan memberitahu datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.
Akhirnya di tembak mengunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.

Dia mengakui, dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam. Dia mengajarkan Razman supaya melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan slmpanan.

"Kau memang jahat”, kata datuk secara mendadak.

"Siapa guru kamu?"

"Aku menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus memuja-memuja roh dan pangkal-pangkal kayu”

"Syaitan”, jerit datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian datuk me­lemparkan batu yang digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).

Api men­julang bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman ditanam, terdapat timbunan abu. Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul dikaki langit.

"Kita harus berada di rumah sebelum azan”, beritahu datuk pada saya.

Kami melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail. Tetapi, hati saya sungguh kesal, secara tidak langsung datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail. Apakah yang akan dijawap oleh datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan musuh dalam hidupnya. Saya merasa menyesal dan me­nganggap datuk seorang pembunuh. Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah di perigi mengambil air sembahyang. Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.

Ketika datuk mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan datuk menjadi imam pagi itu. Setelah selesai sembahyang, datuk tergesa-gesa masuk keruang rumah. Alangkah terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya. Saya jadi bodoh dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh datuk tadi?
Dalam keadaan yang serba salah itu, saya lihat datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.

Air melekat di hujung jari itu datuk titiskan ke muka Razman. Razman mengeluh. Serentak dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman. Kabus nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki iaitu, Din Taiwan.

"Pulanglah syaitan, jangan kau kacau anak cucu adam ini”, kata datuk.

Kabus itu ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa datuk bercakap. Dia tidak nampak seperti apa yang saya lihat. Saya juga hairan macam mana benda-benda ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah datuk tersenyum.

"Pulangkan kain hitam aku”, minta datuk, barulah saya sedar yang kian hitam itu membuat saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.

Kain hitam dalam saku saya serahkan pada datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga jadi tiga segi. Kemudian, datuk sumbatkan kain itu ke dalam saku seluarnya. Perlahan-lahan datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki kanannya dilipatkan. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali. Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujang jarinya itu bertemu dengan bibir atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.

Saya terkejut bila datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Datuk senyum pada saya, selalunya bila datuk berbuat begitu, membawa tanda ada sesuatu yang belum pemah saya lihat akan dilakukannya. Ramalan saya itu memang tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya menekan ke pala lutut. Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya kelihatan bersinar tidak berkedip merenung kearah bibir mangkuk putih yang terletak dekat tubuh Razman. Urat-urat merah mula timbul dibahagian mata putihnya. Pangkal urat-urat yang merah itu bagaikan berakar dari keliling bahagian anak mata hitamnya. Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri, bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.

Saya tersentak bila mangkuk itu terbelah dua dan airnya melimpah atas tikar mengkuang yang dianyam rapat-rapat. Air yang melimpah itu kelihatan berkilau-kulau dipanah oleh sinar matahari pagi yang memancar masuk ikut tingkap rumah yang terbuka lebar. Datuk segera membongkok sambil mengenakan hujung jari hantunya pada air yang melimpah atas tikar. Sebaik sahaja jari hantu terkena air tersebut, air yang melimpah terus hilang. Mangkuk putih yang terbelah dua tercantum kembali seperti asal tanpa air didalamnya. Mail yang melihat kejadian-kejadian yang berlaku di depan mata­nya diam tidak berkata. Dahinya nampak berkerut sesekali wajahnya kelihatan cemas.

"Bangun anakku”, suara datuk parau.

Serentak dengan itu Razman yang terbaring kaku segera bangun. Dia nampak terkejut sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Datuk merenung biji mata Razman.

"Bersila di situ”, kata datuk Razman akur dengan perintah datuk itu macam orang kena pakau.

Datuk lalu memerintahkan Mail mencari pucuk pisang nangka, pucuk palas dan air satu buyung. Mail mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengadakan batang-batang tersebut. Sementara menanti barang itu berada di depan datuk. Datuk menyuruh saya melipatkan setiap bucu tikar yang terdapat di ruang rumah tersebut. Saya laksanakan tugas itu hingga selesai. Bila tugas itu selesai saya kembali duduk di sisi datuk. Razman masih duduk terpaku atas tikar macam patung.

Datuk buka baju yang dipakainya. Letak di hujung lutut sebelah kanan dengan ibu jari tangan sebelah kiri datuk tekan tepi baju. Datuk merenung ke arah tingkap yang terdedah. Dia melihat sinar matahari pagi yang cukup cerah. Saya terasa pangkal kening sebelah kiri saya gatal. Saya terus menggarunya beberapa kali. Bila saya selesai menggaru, saya dapati rumah Razman sudah pun ditutup oleh datuk dengan bajunya. Datuk ambil kembali baju yang menutup muka Razman dengan jari kelingking kiri. Baju itu datuk sarungkan ke tubuhnya kembali.

Saya lihat muka Razman merah, tidak pucat maeam orang sakit. Razman mula tersenyum. Tetapi dia tidak terdaya mahu bangun, macam ada sesuatu benda yang berat melekat dibawah punggungnya. Mail sudah pun meletakkan sebuyung air di hadapan datuk berserta dengan pucuk pisang nangka dan daun palas ke dalam buyung. Dan mulut buyung datuk tutup dengan kain pelikat yang selalu di pakai oleh Razman. Kain pelikat itu terbakar dan mengeluarkan asap nipis. Bila kain pelikat itu menjadi abu, datuk tekankan kedalam mulut buyung. Dengan hati­-hati datuk goncang buyung, air didalamnya berkocak dan berasap. Datuk terus membaca sesuatu. Datuk merenung ke arah mangkuk itu dan saya lihat terus jadi retak seribu dan hancur berderai. Serbuk dari mangkuk putih itu datuk ambil dan masukkan ke dalam buyung.

"Rapatlah pada aku dan duduklah di hujung lututku ini, hai anakku”, kata datuk. Razman terus bangun dan duduk di hujung lutut datuk.

"Yang jahat akan pergi dan yang baik tinggal pada kau”, datuk bersuara sambil mengangkat buyung lalu meletakkan ke atas kepala Razman.

Buyung yang tidak bocor itu mengeluarkan air lalu membasahi seluruh tubuh Razman. Saya lihat Razman mula menggigil kesejukan. Datuk ambil buyung dari atas kepala Razman.

"Buyung dan semua barang-barang yang ada di dalamnya kau hanyutkan ke laut”, kata datuk pada Mail.

"Bila?"

"Hari ini belum matahari terbenam”

"Kalau begitu terpaksa pergi ke Port Weld untuk membuang benda ni”, suara Mail menurun.

Datuk anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan datuk. Kemudian Mail ambil burung lalu keluar. Kira-­kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping datuk.

"Cepat”, kata datuk.

"Saya suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing ikan”

"Kau percaya dengannya?"

"Percaya. Dia adik saya, banyak menolong saya un­tuk berusaha mengubat sakit Razman”

"Tak apalah kalau dah begitu”

Datuk puas hati dengan keterangan Mail. Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik. Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju baru lengan panjang. Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan, macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas. Melihat keadaannya itu, saya kira Razman terjumlah dalam katogeri anak muda yang kacak juga. Tingginya kira-kira lima kaki, lima inci.

"Siapa yang siapkan dirinya Mail?”

"Emak tirinya”

"Begitulah, jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja me­ngatakan ibu tiri kejam”, ujar datuk lagi.

Razman dan Mail duduk di hadapan datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaannya datuk mencungkil rahsia dari Razman. Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada datuk. Razman terus memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis. Gadis yang bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerjaraya itu tidak menolak cintanya. Dalam perkataan lain, mereka saling cinta mencintai. Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan wang untuk meminang gadis tersebut.

Malangnya orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai di­sebuah kilang perusahaan di Kamunting. Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu, menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila. Bagi menghilangkan rasa sepinya, dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan. Din Taiwan lah yang menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak-tidaknya mencederakan muka kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.

"Saya terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah yang tenang.

Mail gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wa­jahnya.

"Sepanjang kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?”, tanya datuk.

"Saya sebenarnya tidak sakit. Saya berjalan ke mana-mana. Saya makan dan minum”

"Itu hanya perasaan yang kau sangka. Kau sudah jauh dikuasai oleh syaitan”, datuk merenung muka Razman.

Mail tunduk merenung lantai. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Mail. Angin yang bertiup diluar masuk ke dalam ruang tempat kami duduk. Razman menguap panjang.

"Mail, dalam hal begini saya tidak salahkan anak awak seratus peratus. Awak siang malam duduk di masjid tetapi awak tidak pernah ambil tahu tentang diri anak awak. Apakah dia sudah belajar rukun iman, rukun Islam dan sembah­yang. Segala-galanya awak serahkan pada dirinya untuk mengetahui semuanya tanpa perhatian dari awak”, ujar datuk.

"Inilah silapnya saya. Saya fikirkan bila dia dah besar dan bekerja dia tahu mencari yang baik”

"Itu satu pendapat yang silap”

"Saya berjanji hal macam ni tak akan berlaku lagi”

Datuk senang sekali mendengar janji dari Mail. Kemudian saya dan datuk pergi ke anjung rurnah. Tidak lama kemudian Razman turut serta. Datuk memberitahu Razman banyak perkara yang harus dilakukan supaya kekuatan semangat dalam diri Razman dapat dipulihkan seperti sediakala.

"Semuanya bergantung pada diri kamu. Sama ada kau setuju atau tidak”, beri­tahu datuk pada Razman.

Saya lihat datuk lihat Razman termenung panjang. Sebentar dia gigit bibir dan sebentar pula raba pang­kal dagu. Dia bagaikan berada dalam keadaan serba salah.

"Kalau boleh saya mahu membebaskan diri dari belenggu syaitan”, Razman bersuara.

"Atas kerelaan hatimu sendiri?"

"Ya. Atas kerelaan saya sendiri”

Mendengar ca­kap Razman itu, datuk segera bangun. Dari ruang depan datuk memanggil Mail. Bagaikan kilat Mail datang menemui datuk.

"Biar aku pulihkan semangat anak kamu Mail”

"Memang itulah yang saya harapkan”

"Aku terpaksa tinggal di sini selama tiga hari”

"Lebih dari itu pun tak apa”, balas Mail dengan ketawa kecil.

Selama tiga hari tinggal dirumah Mail, datuk menumpukan seluruh perhatian pada diri Razman. Setiap subuh datuk membangunkan Razman, mengajak sem­bahyang bersamanya. Datuk juga memberikan beberapa ayat untuk Razman baca selepas menu­naikan sembahyang subuh selama 44 subuh. Pada setiap petang pula, dari pukul lima ke pukul enam. Datuk mengajak Razman berlari berbatu-batu. Sepanjang masa berlari itu Razman tidak dibenarkan minum kecuali memakan pucuk jambu batu bila terasa letih. Pada sebelah malamnya, datuk mengajak Razman membaca Su­rah Yasin hingga jam dua belas malam.

Kemudian barulah Razman disuruh tidur di anjung rumah tanpa menggu­nakan bantal dan gebar. Pukul tiga pagi, datuk akan mengejutkan Razman dari tidurnya dan menyuruh Razman mandi. Sesudah mandi, Razman disuruh minum air sejuk sebanyak lima gelas besar. Waktu makan tengah hari Razman hanya dibenarkan makan nasi tujuh suap, minum air setengah cawan dan memakan ulam-ulam yang datuk buat dari dedaun kayu. Memang, Razman terasa cukup siksa menjalani rawatan yang datuk lakukan. Bila saya tanyakan pada datuk, kenapa dia lakukan hal seperti itu pada Razman yang baru sembuh dari sakit, datuk menje­laskan tujuan dia berbuat demikian untuk me­ngembalikan tenaga pada diri Razman di sam­ping menguatkan semangatnya serta memu­lihkan rasa yakin pada dirinya sendiri.

"Ubat yang aku berikan padanya untuk me­mulihkan perjalanan darah dalam urat-uratnya. Dia terlalu lama baring banyak urat-urat sendi­nya jadi tegang dan kaku”, demikian datuk men­jelaskan pada saya.

Selepas tiga hari Razman mengalami rawatan dari datuk, dia kelihatan segar. Tidak banyak mengelamun atau mudah ter­kejut. Dia nampak bertambah yakin pada diri­nya sendiri. Dan dia mula sedar bahawa yang dirinya adalah hamba Allah yang harus ada kekuatan dalam hidup. Dan sendi kekuatan setiap orang dalam hidup ini ialah berlandaskan pada ajaran agama Islam yang dianutinya. Bersandarkan pada itu, Razman mera­sakan dirinya berada dalam dunia baru yang serba segar. Dia merasakan dirinya cukup tenang bila sembahyang. Jiwanya terasa bersih dan murni setiap kali dia membaca Surah Yasin. Dalam dunia ini dia merasakan tidak ada yang perlu ditakutkan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Me­ngetahui.

"Bagaimana kau sekarang?", tanya datuk pada Razman ketika mahu mening­galkan rumahnya.

Razman yang petang itu memakai baju Melayu dan kain pe­likat tersenyum.

"Saya rasa diri saya cukup aman, tidak ada rasa takut atau bimbang”

"Baguslah, jangan lupakan sembahyang lima waktu. Jauhkan diri kau dari kerja-kerja yang tidak baik. Berusahalah untuk jadi orang yang berguna pada bangsa dan agama”

"Saya faham. Saya mahu membuat hidup baru”

"Itu yang baiknya”, datuk terus menepuk belakang Razman beberapa kali.

Satu peristiwa yang mengejutkan petang itu ialah bila ayah Razman (Mail) memulangkan Razman pada datuk.

"Saya mahu menyerahkan Razman pada awak, kerana awak dia baik dari sakit dan insaf”

"Jangan kata begitu. Bukan kerana saya dia baik. Semuanya kerana Allah, saya cuma beriktiar”, datuk tepuk meja.

Mail terkejut dan dia mula sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.

"Maafkan saya. Saya berhasrat dan memang niat dari mula lagi, kalau sakitnya baik, saya mahu memulangkan pada awak”, sambung Mail teratur tetapi wa­jahnya nampak pucat sedikit.

Datuk tersenyum.

"Tak apalah, saya saya terima hajat awak tu, mulai hari ini, Razman jadi anak angkat saya”, cukup gembira datuk berkata.

Datuk lalu mengeluarkan benang hitam dari sakunya. Benang itu di pintalnya menjadi tali yang kecil. Datuk keluar wang syiling dua puluh sen. Datuk tebuk lubang wang tersebut. Datuk sarungkan benang hitam bersama wang ke leher Razman macam me­nyarungkan kalung ke leher.

"Inilah tandanya kau jadi anak angkat aku Razman, jangan dicabut kecuali dia putus”, pesan datuk.

"Saya berjanji”, jawab Razman.

Petang itu juga kami meninggalkan Kampung Pinang, pulang ke tempat asal. Seminggu kemudian Razman menemui datuk menceritakan yang dirinya telah diberhentikan dari Jabatan Ukur. Razman juga menyatakan yang dia berhasrat untuk menjadi Askar Melayu dan meminta pertolongan dari datuk untuk memenuhi cita-citanya. Kerana Razman bersungguh mahu menjadi Askar Melayu, datuk pun mem­bawa Razman menemui seorang pegawai Askar Melayu yang tinggal di Kampung Simee, Ipoh. Pegawai Askar Melayu itu berpangkat Mejar dan berasal dari Negeri Sembilan.

Pegawai itu bernama Abdul Muluk (kalau tak silap) pernah menemui datuk untuk mendapatkan beberapa petua serta amalan untuk pelindung diri ketika berada di hutan memburu pengganas komunis. Cara kebetulan pula, pegawai itu memang orang yang bertanggung jawab memilih anggota Askar Melayu yang baru. Syarat yang diperlakukan pada setiap orang yang mahu menjadi anggota Askar Melayu ada pada diri Razman. Mejar Abdul Muluk terus membawa Raz­man menemui pegawai atasnya. Usaha itu berjaya dan Razman pun mengikuti latihan menjadi Askar Melayu.

Malangnya, semasa menjalankan tugas, Razman terkorban apabila ditembak pengganas komunis. Jenazah Razman pulang ke kampungnya dan datuk turut serta mengkebumikan jenazah anak angkatnya. Sejak kematian anak angkatnya itu, datuk lebih banyak menghabiskan masanya ditanah perkuburan Razman. Kadang-kadang bila bertemu dengan kawan-kawan rapatnya, datuk mela­hirkan rasa bangganya atas kematian anak angkatnya yang berjuang memper­tahan tanahair dari ancaman pihak komunis.

Pagi itu, matahari bersinar dengan terangnya. Saya sudah mengorek lebih kurang dua puluh lubang untuk menanam anak-anak pisang mas, walaupun hari baru pukul sebelas pagi. Kerja saya terganggu bila saya terdengar suara datuk memanggil nama saya dari tepi sempadan. Saya berlari ke arah datuk. Terasa juga penatnya berlari di atas tanah seluas dua ekar itu. Terpaksa berlari-Iari dengan hati-hati, kalau tersepak tunggul getah pasti tersembam ke bumi. Kalau tidak kena caranya, dahi boleh berdarah. Tanah milik datuk terletak dalam mukim Buruk Bakal.

Jaraknya dari jalanraya Kuala Kangsar-Simpang Tiga, kira-kira satu batu. Kira-kira setengah batu dari tanah datuk ialah kaki gunung yang bersambung dengan banjaran Titiwangsa. Menurut kata datuk, banjaran gunung itu memisahkan sempadan Perak dengan negeri Pahang.

"Aku rasa ada orang yang mahu datang ke sini. Kita bersembunyi mana tahu kalau yang datang orang komunis”, kata datuk sambil membawa saya de­katnya.

Datuk ketika itu masih lagi memegang hujung kayu yang dicacakkan ke tanah. Dengan perantaraan kayu yang tercacak itu, datuk dapat mengetahui sama ada manusia atau binatang buas akan datang ke kawasan tanahnya.

"Petuanya mudah saja, kau cari pokok kayu sebesar ibu kaki yang daunnya lebat kearah matahari terbit dan pucuknya pula menghala ke arah matahari jatuh, kau potong dan tanamkan ke bumi arah mata angin yang datang.
Tanam kira-kira setengah kaki, kau lekapkan telinga kau pada batangnya, nanti kau akan dengar tapak kaki binatang. Kalau manusia kau akan dengar suaranya”, datuk mencurahkan petua orang tua-tua pada saya.

Tanah milik datuk itu pada mulanya ditanam dengan pokok-pokok getah. Kerana pokok getah sudah tua dan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak, datuk tebang dengan tujuan untuk di tanam pokok pisang. Peluh terus membasihi badan datuk dengan dan badan saya. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa panas di badan kami.

"Mari”, kata datuk dan terus menarik tangan saya.

Kami terus bersembunyi di bawah rimbunan pokok serunai laut. Waktu saya mahu bersila di situ, tiba-tiba seekor ular tedung panggukan kepala. Saya jadi cemas.

"Jangan bergerak”, bisik datuk pada saya.

Dan saya lihat datuk mengambil daun serunai laut lalu diramasnya hingga hancur. Datuk tepuk tanah, se­rentak dengan itu ular tedung terus meluru ke arah­nya. Cepat-cepat datuk membalingkan daun serunai laut yang diramasnya ke arah ular tedung tersebut. Ular itu bagaikan terpukau di situ. Datuk terus mengarahkan kedua biji matanya ke mata ular tedung. Datuk pukau ular tedung yang berbisa itu dengan kuasa matanya dengan badannya di atas tanah.

"Bergerak”, ujar datuk, ular itu bergerak dan terus merebahkan badannya atas tanah.

"Bangun”, perintah datuk.

Ular itu bangun.

"Jangan kacau kami. Kami mahu menumpang sebentar, tidak mahu membi­nasakan kamu”

Saya lihat ular itu bagaikan faham dengan apa yang datuk kata­kan. Datuk menyuruh ular itu pergi ke bawah rimbunan pokok serunai laut. Ular itu patuh dengan arahan datuk, menyusur perlahan-Iahan arah ke selatan hingga hilang dari pandangan saya dan datuk.

"Meniarap”, kata datuk pada saya.

Saya pun rebahkan badan dan datuk juga berbuat demikian. Saya lihat beberapa ekor semut api dan belalang merayap atas daun serunai laut. Bunyi deru angin jelas kedengaran bersama dengan bunyi ranting-ranting kering jatuh ke bumi.






















37. Terkena Badi Belibis

Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah didahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.

"Mereka sudah hampir”, kata datuk.

Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.

"Cuba renung ke depan”, bisik datuk.

Saya pun renung ke depan. Dari celah­-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang kearah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil melangkah mereka mere­nung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk.

"Keluar”, kata datuk.

"Ke mana?" tanya saya.

"Rapat pada mereka”

"Merbahaya tu tok”

"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah”, datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.

Datuk suruh saya berdiri sambiI meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian pung­gung.

"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-Iahan”, perintah datuk saya patuhi.

Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.

"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu”, kata datuk.

Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas.
Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.

"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya”, beritahu datuk pada orang ketiga.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.

"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf. Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri. Berpan­dukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan. Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet liar bertiampiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.

Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah. Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.

Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang de­ngan parut besar melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.

"Ceritakan pada saya”, datuk mengajukkan per­tanyaan pada orang yang berbadan tegap itu. O­rang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan kawannya memberikan isyarat supaya menjawap apa yang di soal datuk.

"Kami mencari kawan kami yang ghaib tiba­-tiba waktu menembak burung belibis”, lelaki ber­badan tegap membuka rahsia.

Datuk anggukkan ke­pala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.

"Di mana?"

"Di kolam dekat kaki gunung waktu senja”

"Bila hilangnya?"

"Kira-kira dua hari yang lalu”

"Awak semua ni dari mana?"

"Kami dari Talang, Kuala Kangsar”

"Jauhnya mencari burung belibis”

"Ada orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ran­ting getah. Orang bertiga itu melihat sahaja telatah datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila datuk memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki gunung itu kerana menembak burung belibis. Kehi­langannya tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.

"Masuk kawan awak ini, sudah jadi lapan orang”, ujar datuk sambil menyapu peluh yang berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri. Orang bertiga berpandangan sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.

"Kalau kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib”, mendadak sahaja orang berbadan tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.

Saya tahu bila datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin itu menuju. Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.

"Awak semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu”, tanya datuk minta kepastian.

"Memang berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai seorang Islam. Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya”, jawab orang berbadan tegap.

Belibis ialah sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi ukurannya lebih kecil. Biasanya terbang berkawan dan mencari ma­kan di bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil. Dagingnya boleh dimakan oleh orang Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam.

Datuk terus berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu. Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia muka mata kembali, renung wajah orang bertiga dengan tenang.

"Sebenarnya kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada isteri dan anak. Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun”, demikian datuk memberi keterangan tentang orang yang hilang. Orang bertiga besar mengakui apa yang datuk katakan itu memang benar.

"Apa dia ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.

"Tidak, ada di kawasan kolam tinggal tu”

"Masih hidup lagi ke?"

"Susah nak cakap”, balas datuk sambil tersenyum.

Datuk dan orang bertiga mengadakan perundingan dan datuk pula bersedia memberikan khidmatnya untuk membantu mereka. Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan lancar, datuk mengajak mereka tinggal di rumah datuk. Tawaran datuk itu mereka terima. Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk ber­sedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. Tawaran dari datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat mengembirakan me­reka.

"Kita akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu senja”, datuk meluahkan rancangan pada orang yang tergonggok di hadapannya.

Ada beberapa persediaan yang perlu datuk ada­kan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan be­berapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat penunggu kolam. Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sam­pai dirumah. Datuk menyuruh orang bertiga mandi di sungai. Saya terus memberitahu nenek supaya memasak nasi dan sayur lebih dari bisa. Ada tetamu baru yang harus di jamu makan sampai kenyang.

Bila selesai sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma. Lepas makan saya terus tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang-orang ditempatnya yang diri mereka berada dalam keadaan selamat.

"Biarlah saya saja yang pergi”, orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.

Tidak ada bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan janji dia akan sampai kerumah datuk sebelum tengah hari keesokannya. Lepas sembahyang Asar, datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok manggis. Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui datuk. Datuk terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu. Rasa terkejutnya itu segera hilang dari dari hati datuk, bila salah seorang anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan.

"Kami sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu”,kata Abdul Rahman Hitam yang berbadan kurus.

"Di Ipoh belajar dimana?",soal datuk.

"Trade School, macam Ramli”

"Macam mana tahu rumah ini?"

"Ikut alamat yang diberi oleh Ramli”
"Ramli itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat”

"Apa halnya?"

"Kerja. Dia jadi juruteknik rendah JKR di sana”

Abdul Rahman Hitam termenung panjang. Rasa hampa terbayang di wajahnya. Datuk terus menepuk bahu kanan Abdul Rahman dua kali, sambil menjeling ke arah kawannya yang duduk atas bangku panjang bawah pokok manggis.

"Sabarlah. Satu hari nanti kau akan berjumpa juga dengannya”, ujar datuk.

"Dia kawan baik saya, dah lama kami tak jumpa”, keluh Abdul Rahman sambil menggigit ibu jari kiri.

Datuk pun memperkenalkan saya dengan Abdul Rahman Hitam. Datuk memberitahu padanya, saya adalah salah seorang daripada cucunya yang dipelihara sejak berusia sebulan. Dan Abdul Rahman memberitahu saya, dia salah seorang pekerja syarikat lombong besi iaitu EMMCO di Bukit Besi, Terengganu. Dia dihantar oleh sya­rikat tersebut belajar ke Trade School Ipoh mengikuti kursus jurutera selama tiga tahun. Di Ipoh dia berkenalan dan berkawan rapat dengan sepupu saya Mohammad Ramli. Bila dia tamat belajar dia terus berhenti dari menjadi pekerja dengan syarikat tersebut.

Abdul Rahman mahu meneruskan cita-cita mengelilingi dunia dengan basikal dan mahu menetap di Jerman Barat di samping meneruskan pe­lajarannya di bidang kejuruteraan. Tidak lama Abdul Rahman bercakap dengan datuk dan saya, kira-kira satu jam sahaja. Kemudian Abdul Rahman Hitam dan kawannya meneruskan perjalanan ke utara. Bila selesai mengelilingi tanah semenanjung, dia akan mengelilingi dunia pula.

Tetapi sejak petang itu cerita tentang diri Abdul Rahman Hitam tidak saya ketahui. Apakah dia berjaya dalam cita-citanya atau dia masih hidup lagi kini, saya pun tidak tahu. Malah, sepupu saya pun tidak pemah menyebut tentang dirinya.

"Dia anak muda yang bercita-cita besar”, kata datuk pada saya sebaik sahaja Abdul Rahman dan kawannya meninggalkan kawasan rumah.

Suasana petang itu cukup damai. Langit cerah dan angin bertiup lemah tetapi, mampu meng­gugurkan daun-daun manggis yang tua. Datuk mengajak dua orang kenalannya itu pergi menjala ikan di sungai untuk di buat lauk makan malam. Kenalannya itu setuju. Saya dengan nenek pula pergi ke sawah melihat dan memetik buah terung dan mentimun yang ditanam atas batas ben­dang. Sebelum menjelang waktu Maghrib kami berkumpul kembali di rumah.

Pada sebelah malam membawa ke waktu subuh datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran. Pada sebelah paginya, datuk mengajar kedua kenalannya cara membaling buluh runcing supa­ya tepat pada sasarannya. Menurut datuk, perkara itu perlu untuk mere­ka bila masuk ke dalam hutan kelak. Datuk tidak mahu mereka menggunakan besi jika berhadapan dengan binatang buas.

Masa yang ditetapkan pun tiba. Datuk sudah pun mengikat benang hitam bercampur putih pada pergelangan tangan kiri kedua orang kenalannya, manakala kenalan yang berbadan tegap pula datuk gantungkan benang hitam ber­campur putih di lehernya.

"Kau aku jadikan harapan”, kata datuk pada lelaki yang berbadan tegap itu.

Datuk menyerahkan pada mereka buluh kuning sepanjang tiga kaki, tiap se­orang. Datuk melihat matahari di langit.
Dia membaca sesuatu dan melangkah tiga tapak ke depan lalu memacakkan buluh kuning yang dibawanya kesitu. Datukpun menyukat bayang buluh itu dengan tapak kaki kanannya. Dia merenung wajah saya dan orang bertiga de­ngan tersenyum.

"Dah pukul lima lebih, eloklah kita pergi, semua barang-barang dah siap?", datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang berbadan tegap.

"Dah”, jawab lelaki itu.

"Periksa lagi sekali. Kita terpaksa bermalam dalam hutan, kalau tak kena caranya, kita pula yang sesat”

"Ah, seram juga dengarnya. Biarlah saya periksa”

Lelaki berbadan tegap itu terus memeriksa barang-barang yang akan dibawa sekali lagi. Dia yakin, semua barang yang diperlukan oleh datuk sudah ada. Tetapi datuk tidak puas hati, dia sendiri memeriksa barang-barang itu bagi kali terakhir.

"Saya puas hati”, katanya pada kami.

Tanpa banyak bicara datuk mening­galkan pesan pada nenek, kalau dia tidak pulang dalam masa tiga hari, dia
minta nenek memberitahu orang-orang kampung supaya mencarinya. Nenek berjanji akan melaksanakan semua pesan datuk, dan nenek mem­berikan doa selamat atas keberangkatan rombongan kami pada petang itu.

Bila sampai kegigi hutan, datuk menyuruh lelaki berbadan tegap dan berambut panjang jadi kepala jalan. Pada mulanya lelaki berbadan tegap itu enggan memenuhi permintaan datuk dengan memberi berbagai-bagai alasan.

"Jangan takut, aku tak membiarkan kamu susah, aku ada bersama kamu. Aku ingat kamu ikut saja cakap aku ni. Kamu sudah biasa datang ke sini, ini lebih memudahkan kita, cepat sampai ke tempat yang dituju," suara datuk mula keras.

"Saya ..... saya"

"Usah berdalih lagi. Jalan saja. Kalau aku jadi kepala jalan lambat sampai nanti. Semua kerja kita tak menjadi"

"Baiklah"

Lelaki berbadan tegap yang berambut panjang itu membawa kami masuk ke kawasan hutan sebelah kanan. Saya mula terasa sukar untuk melangkah. Kaki saya selalu sahaja tersepak akar-akar kayu. Pokok-pokok besar yang terdapat di situ semuanya dililit oleh akar yang berjuntaian, sesekali saya melihat ular daun memanjat akar menuju ke dahan pokok besar.

Nyamuk mula terasa menggigit muka dan telinga, manakala pacat hutan berkeliaran di daun-daun kayu dan cuba memanjat tubuh kami. Bunyi burung-burung hutan yang bersahutan membuat bulu tengkuk saya meremang. Beberapa ekor pelanduk melompat-Iompat di celah-celah perdu pokok besar.

"Jangan anaiyakan binatang itu, dia mahu hidup," pesan datuk bila dia melihat lelaki berbadab tegap mahu melontarkan buluh runcing ke arah binatang terse but.

Lelaki berbadan tegap itu segera minta maaf pada datuk. Matahari bertambah condong. Perjalanan menjadi bertambah sukar. Lelaki berbadan tegap dua tiga kali tersungkur akibat tersepak akar kayu.

"Jauh lagi ke ?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Tak jauh lagi, lebih kurang lima rantai dari sini"

"Tak apalah," balas datuk sambil meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba lelaki berbadan tegap itu berhenti melangkah. Mukanya pucat dan undur mendapatkan datuk. Keadaan jadi kelam kabut sebentar. Seekor harimau duduk mencangkung di hadapan kawasan yang akan kami lalui. Datuk tersenyum dan memaksa lelaki berbadan tegap itu mara. Ternyata lelaki berbadan tegap itu tidak berdaya melangkah. Dia jatuh terjelupuk. Kedua orang kawannya bersedia untuk lari tetapi diha­lang oleh datuk. Perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahan pada mereka dan mereka menghalakan buluh run­cing kearah datuk.

"Awak berdua jangan nak buat kurang ajar de­ngan saya”, datuk mula marah.

Saya menggigit bibir dan terus duduk di pangkal pokok besar sambil memerhati dengan teliti kearah harimau. Saya lihat harimau itu menjelirkan lidahnya dan terus menguap.

"Awak nak anaiyakan kami!”, jawap salah seorang dari mereka.

"Anaiya apa, saya nak tolong awak”

"Harimau ada di depan awak suruh pergi”

"Apa salahnya?” ,

"Awak nak suruh kami mampus!”, pekik orang itu lalu merodokkan buluh runcing ke perut datuk.

Buluh runcing itu tidak dapat menembusi perut da­tuk. Orang itu jadi serba salah. Bila orang itu mencuba merodok perut datuk untuk kali yang kedua, ha­rimau yang ada di hadapan melompat dan terus merebahkan orang itu ke bumi.

"Jangan”, pekik datuk.

Harimau itu tidak jadi mencakar muka orang itu dengan kukunya. Datuk menepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Saya lihat harimau itu dengan penuh manja menjilat lengan datuk.

"Kau tahu aku ke sini”, kata datuk.

Harimau itu goyangkan ekornya sam­bil mengesel-geselkan badannya pada kaki datuk.

"Merbahayakah aku ikut sini?", tanya datuk pada harimau.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Dia mengaum dengan perlahan lalu memusingkan kepalanya dari arah matahari terbit ke arah matahari jatuh.
"Kita ikut arah yang ditunjukkannya”, kata datuk pada saya.

Datuk menyuruh lelaki yang mahu menikamnya dengan buluh runcing bangun. Begitu juga dengan lelaki yang berbadan tegap. Kali ini saya lihat gerak-­geri lelaki bertiga itu kian bersopan dan menghormati datuk. Mereka tidak berani memandang wajah datuk. Saya tidak tahu apakah perbuatan itu kera­na malu atau kerana mereka takut pada datuk.

"Biar aku jadi kepala jalan, kalau ada diantara kita berniat jahat, jangan marahkan saya bila menerima padahnya”, datuk mengingatkan lelaki bertiga. Mereka diam dan tunduk.

"Untut, kau jaga kami dan bawa kami ikut jalan selamat”, kata datuk.

Harimau yang berada beberapa ela di hadapan datuk segera menghampiri datuk dari rusuk sebelah kiri. Harimau itu mencium badan datuk dan menjilat tangan kiri datuk sebelum berlari ke depan semula. Kami terus mengekori harimau itu. Sebaik sahaja sampai ke satu kawasan lapang harimau itu terus ghaib. Datuk berdiri di kawasan lapang itu sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Kiri kanan kawasan lapang itu di tumbuhi oleh pokok -pokok buluh.

"Kita dah sampai”, secara mendadak sahaja lelaki berbadan tegap bersuara.

Dia terus berdiri dekat datuk. Tiba-tiba kami terdengar kokok ayam hutan bertalu-talu. Daun-daun buluh yang tua berguguran meskipun angin tidak bertiup ketika itu. Saya merenung di bahagian kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok buluh. Ternyata pokok-pokok buluh itu bersambung dengan kawasan hutan yang tebal hingga ke kaki Gunung Titiwangsa.

"Mana kolamnya?", datuk menyoal lelaki berbadan tegap.

"Mari kita ke hadapan lagi”, jawabnya.

Datuk pun mengikutinya. Saya mula terasa sakit pada pergelangan kaki. Badan mula terasa letih tetapi saya paksakan juga melangkah menuju ke tempat yang di cari.

"Disini”, jerit lelaki berbadan tegap.

Dan saya melihat sebuah kolam terbentang di hadapan mata dengan airnya yang cukup jernih. Di permukaaan kolam terdapat pokok teratai dan kiambang terapung-apung. Anak-anak ikan yang melompat mencipta alun kecil yang menghempas pada batang teratai. Suasana terasa nyaman dan sunyi sekali. Datuk segera memerintahkan kami mencari tempat yang sesuai untuk tempat duduk. Datuk dan lelaki berbadan tegap itu terus mengelilingi kolam tersebut. Sesekali saya terdengar suara harimau mengaum yang memberikan keyakinan pada saya bahawa kami berada da­lam keadaan yang selamat.

Saya lihat langit yang terbentang. Awan ber­selisih bersama pancaran matahari yang membekalkan keadaan yang samar-­samar di sekitar kawasan kolam.

"Pukul berapa?", tanya saya pada salah se­orang kenalan datuk yang duduk dekat saya. Orang itu segera melihat jam tangannya.

"Lagi lima minit pukul enam setengah”, katanya.

"Kalau di luar keadaan tak macam ini”

"Tentulah kita sekarang berada di tengah hutan, pokok-pokok besar ini melindungi sinar matahari”

"Betul cakap awak tu”, tingkah saya.

Kami berbalas senyum. Kawannya yang seorang lagi membakar ranting-ranting kayu untuk di buat unggun. Asap yang datang dari unggun itu menghalau nyamuk dari menggigit kami. Datuk dan lelaki tegap tu masih lagi mengelilingi kolam. Saya terus duduk mencangkung macam Cina kalah judi. Saya masih memikirkan bagaimanakah rupa dan bentuk burung belibis itu. Tanpa saya sedari, datuk dan lelaki berbadan tegap itu sudah berdiri di belakang saya. Datuk merenung ke tengah kolam macam mencari sesuatu. Semua orang yang berada di situ diam tidak berkata melihat keadaan datuk.

"Di mana hilangnya?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Di situ”, lelaki berbadan tegap itu menunjuk ke arah sebuah busut jantan yang tidak jauh letaknya dari perdu buluh.

Datuk anggukkan kepala. Datuk mengeliat dan menguap panjang, kemudian terus duduk dekat perdu buluh. Datuk termenung panjang di situ. Suasana yang tenang dan damai itu dipecahkan oleh bunyi suara azan. Kami berpandangan sesama sendiri. Kami tidak tahu dari arah mana suara azan itu datang. Bila suara azan itu ghaib, datuk segera bangun menuju ke bibir kolam. Datuk benamkan tangan kirinya ke dalam air kolam kira-kira dua tiga minit. Datuk buat tidak kisah tentang suara azan yang didengarinya itu.

"Kalau siapa nak mandi boleh mandi, tapi jangan pergi jauh”, ujar datuk pada kami.

Dia terus memacakkan buluh kuning yang di bawanya dalam kolam. Datuk terus basuh muka sambiI mulutnya bergerak-gerak macam mem­baca sesuatu. Keadaan di sekitar kawasan kolam bertukar dari samar-samar menjadi gelap. Bunyi burung-burung hutan mula kedengaran tingkah me­ningkah antara satu sama lain. Datuk terus memandang ke arah saya dan kawan-kawannya.

"Siapa yang mahu mandi, silalah turun”, suara datuk lembut.

Tidak ada seorang pun yang mahu memberi jawapan atas pertanyaan datuk itu, masing-­masing membatu dengan wajah cemas. Datuk pun beredar dari bibir kolam, berdiri dekat unggun api.

"Kalau mahu mandi, jangan lepas dari kawasan buluh yang aku pacakkan tu”, tambah datuk sambil membuka baju.

"Saya tak mahu mandi”, tiba-tiba lelaki berbadan tegap bersuara.

Dan dua orang lagi rakannya juga memberikan jawaban yang sama. Datuk ter­senyum sambiI membuka seluar dan membelitkan kain basahan ke pinggangnya. Datuk terus terjun ke dalam kolam. Setelah selesai mandi dan menyarungkan kain dan baju ke tubuhnya, datuk terus ambil air sembahyang. Bila melihat datuk berbuat demikian kami terus ambil air sembahyang.

Kami pun sembahyang Maghrib dan datuk jadi imamnya. Tidak ada sesuatu pun yang mengacau kami ketika itu. Bila selesai memberi salam, saya lihat ada harimau duduk tertungguk berhampiran perdu buluh. Bila datuk selesai membaca doa, harimau tersebut terus ghaib. Datuk tukar pakaian. Dia menyarungkan seluar dan baju hitam ke tubuhnya. Datuk lilit kepalanya dengan kain merah dan mendongakkan kepalanya ke langit, melihat langit dan awan kira-kira dua tiga saat.

"Kau yakin tempat ini belibis turun?”, soal datuk pada lelaki berbadan tegap.

Lelaki itu anggukkan kepalanya. Datuk kerutkan kening, dia terasa sudah cukup lama menanti, sedangkan belibis tidak juga turun bermain dalam kolam. Datuk terus berpeluk tubuh sebentar. Sepasang matanya tertumpu kepada air kolam yang tenang itu.

"Baiklah, kita mulakan sekarang. Jangan ada di antara kamu menegur apa yang aku buat”, datuk mengeluarkan perintah dan dia terus duduk bersila.

Kami pun segera mencari tempat duduk yang sesuai. Datuk terus me­nekan bumi dengan ibu jari kiri. Tiga kali berturut-turut dia melakukan perkara itu. Kemudian datuk pun meletakkan kedua lengannya atas kepala lutut kiri dan kanan. Mulutnya membaca sesuatu dan kedua belah matanya dirapatkan. Datuk menumpukan seluruh pancainderanya ke alam ghaib. Anehnya, saya lihat datuk berkali-kali menggelengkan kepalanya dan berusaha dengan se­daya upayanya menyatukan seluruh perasaannya dengan alam ghaib. Wajah datuk terus berpeluh.

Suara burung hantu mula kedengaran. Pokok-pokok buluh bergoyang dengan sendirinya macam dilanda ribut besar. Bermacam jenis suara mula kedengaran. Ada suara orang bertempik, ada suara orang membaca syair bersama paluan gendang. Bila suara itu hilang, seekor ular sawa sebesar batang kelapa merayap di hadapan kami. Ular sawa itu menuju kearah datuk lalu membuka mulutnya di belakang datuk. Badan datuk bagaikan berada dalam rahang ular itu. Manakala bahagian badan ular pula melingkari kawasan datuk duduk, tetapi, datuk tidak menghiraukan semuanya.

Kenalan datuk yang bertiga tidak dapat berkata apa-apa, wajah mereka pucat. Beberapa saat kemudian ular itu ghaib. Air dalam kolam pula berkocak. Kemudian berhenti, suasana kembali aman. Tidak ada sebarang keganjilan berlaku. Semuanya seperti keadaan biasa. Datuk berhenti dari tugasnya. Datuk nampak resah sekali, wajahnya yang dimandi peluh nampak merah. Saya terus menyuruh lelaki berbadan tegap menyalakan lampu gasolin. Tergesa­-gesa dia membuka bungkusan yang di bawanya. Dia keluarkan lampu gasolin dan minyak tanah lalu memasangnya. Cahaya gasolin menerangi seluruh kawasan tanah lapang. Datuk menggaru pangkal kening kirinya berkali-kali. Sesekali dia merenung ke arah busut jantan.

"Susah. Dia sudah tidak bernyawa lagi”, keluh datuk.












38. Suara Azan Dalam Kolam

“Dapat mayat nya pun jadilah”, sahut lelaki berbadan tegap.

Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.

"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu”, nada suara datuk cukup lembut.

Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.

"Memadailah dengan cahaya unggun saja”, bisiknya pada saya.

Datuk bangun dan terus menghentak tumitnya ke bumi berkali-kali. Datuk menggigit bibirnya sambil melangkah tiga tapak ke depan dan undur tiga tapak. Kemudian berdiri macam patung dengan kedua belah tangannya terletak atas dada.

"Ada kamu dengar sesuatu?”, datuk bertanya pada kami.

"Tak ada”, jawab kami serentak.

Datuk menggigit jari. Saya lihat apa yang datuk lakukan semuanya tidak kena. Macam ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk terus bertafakur beberapa saat. Akhirnya, dia membongkok dan menumbuk bumi sebanyak tiga kali berturut-turut. Bunyi bumi yang ditumbuk oleh datuk jelas kedengaran. Lepas itu tidak ada apa yang kedengaran lagi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara burung. Saya terus toleh kiri dan toleh kanan. Bila saya melihat kearah kolam, dada saya berdebar-debar. Seluruh kolam itu sudah dipenuhi dengan burung belibis. Burung-burung itu mandi sambil membelai bulunya dengan asyik.

Datuk masih bertafakur. Mulutnya bergerak-gerak macam membaca se­suatu. Suara orang mengilai kedengaran lagi. Pokok-pokok sekitar kolam mula bergoyang dirempuh angin. Serentak dengan itu terdengar suara gadis membaca ayat-ayat suci. Bila suara gadis itu hilang, seekor burung belibis hitam terbang dipermu­kaan air dan akhirnya hinggap diatas dahan pokok yang menjulur ke atas kolam. Angin pun berhenti bertiup. Mata burung belibis yang bertenggek atas dahan itu bagaikan merenung ke arah kami.

Dari atas dahan itu burung belibis hitam terbang ke arah busut jantan dan hinggap di situ. Datuk masih lagi membaca sesuatu. Seluruh badannya dibasahi peluh. Saya terus menahan nafas, saya tidak mahu bunyi tarikan nafas saya akan mengganggu datuk yang sedang menjalankan tugasnya. Malam pekat terus menguasai sekitar kawasan kolam.

Burung belibis yang hinggap di busut jantan terus hilang dari pandangan mata saya. Bunyi bising mula kedengaran bercampur dengan suara petir, bumi bagaikan bergegar. Saya terus berdoa semoga jangan terjadi gempa bumi atau puting beliung. Saya lihat datuk mula bergerak kearah busut jantan. Kami bergerak mengikut datuk dengan hati-hati. Kami menarik nafas panjang. Di atas busut jantan tertonggok satu lembaga yang besar. Duduk bersila dengan kedua belah tangannya mendakap dada. Lembagayang berkulit hitam tanpa baju itu bagaikan sedang menghening cipta atau bertafakur.

Datuk terus mara ke arahnya. Lebih kurang dalam jarak lima kaki darinya datuk terus berhenti. Kami jadi resah . Tetapi, tidak seorang pun yang berani menyatakan keresahan masing-masing.

"Pergilah ke kolam itu semula, tepuk airnya tujuh kali kemudian sapukan ke muka, dengan berbuat begitu saja mayat orang yang hilang itu akan timbul”, kami terdengar suara lelaki.

Suara itu parau dan bernada keras. Saya yakin suara itu keluar dari mulut datuk. Rasa ragu yang timbul di hati saya itu segera hilang. Suara itu adalah suara lembaga yang duduk atas busut jantan tetapi, telah di pindahkan ke dalam diri datuk. Ertinya datuk sudah berjaya mempersatukan perasaannya dengan alam ghaib. Seterusnya kami dapat mendengar percakapan yang terjadi antara datuk dengan lembaga itu seperti berikut.

"Ada lagi yang mahu aku pinta padamu"

"Apa dia, cakaplah sekarang"

"Kami mohon keselamatan diri orang-orang yang datang ke sini. Janganlah diri mereka dianaiya"

"Boleh. Dengan syarat jangan menembak atau membunuh rakyat aku. Kalau mahu, minta cara baik"

"Bagaimana caranya?"

"Sebelum menembak atau menangkap rakyat aku, sembelih kambing dan darahnya buang ke dalam kolam"

"Baik"

Bila suara itu tidak kedengaran lagi, datuk terus menampar dada sebelah kanan tiga kali. Lembaga di atas busut jantan terus hilang dari pandangan kami. Datuk tergesa-gesa meraba kedua belah kelopak matanya, bagaikan orang yang baru sedar dari tidur.

"Kita turut saja apa yang diperintah oleh orang di sini”, kata datuk kepada kami.

Dia menyuruh saya menghidupkan lampu gasolin. Perintahnya itu saya ikut. Bila lampu gasolin sudah menyala, seluruh kawasan itu terang benderang. Burung-burung belibis yang tadinya penuh satu kolam sudah tidak kelihatan lagi . Air kolam nampak tenang dengan pokok-pokok teratai dan kiambang di permukaannya. Kerana waktu Isyak masih ada, kami terus menunaikan sembahyang Isyak dan imamnya tetap juga datuk.

Lepas sembahyang, kami merebahkan badan dan terus tidur. Datuk menghabiskan masa malam dengan membuat amalannya. Dia berdoa dan membaca Surah Yasin. Selepas menunaikan sembahyang subuh, datuk terus melakukan senaman. Bila matahari mula terbit di kaki langit, kami sudahpun berkumpul dibibir kolam. Datuk akan melakukan upacara menepuk air kolam tersebut.

"Bersedialah. Kalau buruk yang datang kita tentang, kalau baik yang datang kita tatang”, ujar datuk sambil duduk mencangkung di bibir kolam.

Rasa sejuk menguasai seluruh badan kami. Dengan hati-hati datuk pun menepuk air di kolam. Tepukan itu menimbulkan gelombang di permukaan kolam, pokok-pokok teratai dan kiambang bergerak ke sana ke mari, bersama hembusan angin yang cukup kuat. Bila datuk menyapukan air kolam ke mukanya, gelombang dan angin yang bergemuruh itu terus berhenti. Kemudian datuk menyuruh kami menepuk air di kolam dan menyapu ke muka masing-masing. Bila upacara itu selesai datuk terus duduk di tepi kolam sambil mulutnya berkomat-kamit membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit datuk berbuat demikian, tiba-tiba mengapung tubuh manusia dipermukaan kolam.

"Usman, mayat Usman”, pekik lelaki berbadan tegap.

Dia segera mahu masuk ke dalam kolam. Datuk segera menahan dengan menolaknya ke belakang. Lelaki berbadan tegap itu jatuh ke atas bumi. Muka datuk jadi merah. Marah benar dia dengan perbuatan lelaki itu, memang pantang tujuh keturunan pada datuk jika ada orang lain mahu mendahului kerja-kerjanya.

"Kalau aku yang memulakannya, biarlah aku yang menyelesaikan se­muanya”, nada suara datuk cukup keras.

Dia pun menyingsing lengan dan melipatkan kaki seluarnya. Mata datuk tertumpu pada mayat yang terapung atas permukaan kolam. Datuk segera membuka kain yang mengikat kepalanya. Kain itu diletakkannya atas bahu kanan. Dengan tenang datuk turun ke dalam kolam. Air dalam kolam mula bergelombang. Pancaran matahari pagi yang menikam permukaan kolam menimbulkan cahaya kilau kemilau pada gelombang air yang membentuk bulatan kecil. Datuk terus berenang mendapatkan mayat yang terapung. Lelaki gagah yang jatuh di tolak oleh datuk tadi segera bangun, dia mengarahkan kawan-­kawannya supaya membuat pengusung. Saya tidak mahu membantu mereka. Saya lebih senang melihat tindak-tanduk datuk yang berada dalam perut kolam.

Datuk terus menarik mayat Usman ke tepi kolam. Dengan bantuan orang bertiga, mayat Usman diletakkandi atas pengusung. Untuk mengusung mayat ke tepi jalan raya bukanlah satu perkara yang mudah.

"Begini saja, biarkan mayat itu di situ, kita pulang sekarang”, datuk mengeluarkan perintah yang ganjil.

Muka orang bertiga nampak cemas. Tetapi, mereka tidak berani bertanya kenapa datuk berbuat demikian. Datuk menyuruh kami keluar dari kawasan kolam itu dahulu. Kami patuh pada perintahnya. Ketika kami melintasi pokok besar di tengah kawasan hutan, kami bertemu dengan seekor harimau yang melangkah gagah, tanpa merenung ke arah ka­mi.

Harimau itu menuju ke kawasan kolam. Bila kami sampai ke tepi jalan raya, mayat Usaman sudah berada di situ. Datuk berdiri tidak jauh dari mayat tersebut, bercakap dengan beberapa orang anggota Pasukan Polis Hutan. Bila saya memeriksa kawasan tempat mayat Usman diletakkan, saya tersua dengan tapak kaki harimau. Saya senyum sendirian. Datuk meminta pertolongan dari rakan karibnya bagi mengatasi masalah yang dihadapinya. Datuk menghampiri kami. Datuk terus memberitahu kami, Pasukan Polis Hutan itu mahu masuk ke dalam hutan untuk melancarkan gerakan mencari Usman yang hilang.

Salah seorang adik Usman yang bertugas sebagai guru sekolah di Kuala Kangsar telah mengadu kepada polis atas kehilangan abangnya itu. Salah seorang pegawai Pasukan Polis Hutan menemui datuk. Mereka berjabat salam dan mempamirkan senyum masing-masing di bawah sinaran matahari pagi yang cerah.

"Saya ASP Mualim Hamid”, dengan keramahan, pegawai yang berbadan tegap dan berkumis rapi memperkenalkan dirinya pada datuk. Mayat Usman yang terkapar di bibir jalan terus ditutup dengan kain pelikat oleh kawan­-kawannya.

"Anak orang mana?", tanya datuk.

"Orang Kota Bharu, Kelantan. Tetapi ayah saya berasal dari Perak"

"Dari daerah mana tu nak?"

"Saya kurang periksa pula tu"

"Bukan apa-apa. Ada saudara sepupu isteri saya yang merantau ke Kota Bharu. Orang dari Kampung Gurap dekat Ipoh. Menurut ceritanya tinggal di Daerah Kubang Krian dan membuka perusahaan batik di situ"

"Menarik juga ceritanya. Tak pernah jumpa dia?"

"Belum pernah. Tetapi saudara maranya ramai di sini iaitu anak buah abangnya, Uda Lanca"

"Cubalah cari di sana"

"Memang ada niat di hati tu kalau panjang umur nanti sampailah saya. Saya nak cari anak-anak atau cucunya”, kata datuk pada pegawai Pasukan Polis Hutan itu.

Datuk dan ASP Mualim Hamid terus menemui kawan-kawan Allhyarham Usman. Datuk dan ASP Mualim Hamid bercakap-cakap dengan mereka. Kemudian ASP Mualim Hamid menghubungi pegawai Polis Daerah Dinding (sekarang Manjung) di Lumut.

"Sekejap lagi mayat ini akan dihantar ke tempatnya dengan kereta polis”, beritahu ASP Mualim Hamid kepada datuk.

ASP Mualim Hamid terus memerintahkan anak buahnya masuk ke dalam dua buah trak yang berhenti di situ .
Datuk pun menghantar ASP Mualim Hamid ke jipnya. Sebelum jip itu bergerak, lagi sekali ASP Mualim Hamid bersalaman dengan datuk. ASP Mualim memberikan alamat rumahnya kepada datuk.

"Kalau ada masa lapang datanglah ke rumah saya di Hulu Kinta. Boleh kita bercerita panjang”, kata ASP Mualim Hamid dari dalam jip.

"Tengoklah, kalau ada rezeki dan panjang umur, sampailah saya ke rumah anak”, balas datuk dengan tenang.

Ketiga-tiga buah kenderaan yang membawa anggta Pasukan Polis Hutan terus bergerak. ASP Mualim Hamid dan anak buahnya melambai-Iambaikan tangan kepada kami. Kami membalasnya dengan rasa bangga. Datuk menghampiri mayat Usman. Kemudian datuk menyuruh orang yang berbadan tegap dan kawannya mengangkat mayat Usman untuk diletakkan di tempat yang redup.

Lebih kurang pukul sepuluh pagi, sebuah jip polis tiba. Dua orang polis meluru keluar. Mereka terus menuju ke tempat mayat Usman. Datuk terus menghampiri pemandu jip. Datuk bercakap dengannya sebentar. Datuk menarik pengusung dari belakang jip dengan dibantu oleh pemandu jip yang berkulit agak cerah. Tingginya lebih kurang sama dengan tinggi datuk. Datuk dan pemandu jip membawa alat pengusung ke tempat mayat Usman. Mayat Usman pun diletakkan atas pengusung dan di bawa ke dalam perut jip.

"Awak tak pergi sarna?" tanya pemandu jip pada datuk.

"Tidak. Kawan-kawannya boleh tunjukkan tempatnya”, balas datuk sambil menepuk bahu pemandu jip itu. Dua tahun kemudian saya mendapat tahu nama anggota polis yang menjadi pemandu jip itu ialah Mior Hassan. Ayah kepada kartunis dan novel Mishar dan penyanyi terkenal Sohaimi Meor Hassan.

"Saya doakan selamat sampai”, ujar datuk lagi.

Pemandu jip itu tersenyum dan terus menghidupkan injin jipnya. Beberapa saat kemudian jip itu meninggalkan kami. Suasana di situ terasa sunyi, tidak banyak kenderaan yang lalu di situ. Saya dan datuk terus pulang. Sampai di rumah, nenek menyambut kami di kepala tangga dengan wajah yang agak sugul. Datuk tidak bertanya pada nenek kenapa dia berkeadaan demikian. Datuk terus pergi ke sungai. Datuk mandi dan membersihkan badannya. Lepas menunaikan sem­bahyang Zuhur datuk dan saya terus makan. Selesai sahaja makan, datuk terus berehat di anjung rumah sambil membuka beberapa buah kitab agama.

Saya terus baring di ruang tengah rumah membilang atap serta melihat beberapa ekor kupu-kupu sesat yang masuk ke rumah. Kupu-kupu itu berlegar-Iegar disitu mencari jalan ke luar. Nenek terus mendekati datuk. Duduk berhadapan dengan datuk. Tergesa-gesa datuk menutup kitab yang dibacanya.

"Apa yang awak susahkan ni”, datuk mengaju­kan pertanyaan sambil meraba pangkal kening kiri­nya beberapa kali. Nenek menarik nafas panjang. Wajah datuk direnungnya lama-lama.

"Apa yang awak risaukan? Cakaplah dengan saya”, soal datuk lagi. Nenek garu pangkal lehernya berkali-kali. Kerongko­ngnya bagaikan tersekat untuk memperkatakan sesuatu kepada datuk. Saya bangun terus menghampiri datuk dan nenek. Wajah mereka saya tatap. Temyata mereka dalam keresahan.

"Semalam ada orang datang mengugut kita semua. Kalau awak campur dalam urusan mereka”, nenek bersuara lemah.

"Siapa orangnya?"

"Saya tak kenal, mereka datang berdua. Badan mereka tegap-tegap belaka"

"Apa katanya?"

"Kalau awak menolong Kiai Muslih, mereka nak bunuh kita semua. Mereka nak bakar kita hidup-hidup"

Datuk menarik nafas panjang setelah meridengar keterangan dari nenek. Datuk sandarkan badan pada dinding. Datuk merenung keluar, melihat pangkal pokok mempelam di halaman rumah yang di panah matahari petang.
Saya lihat datuk kerutkan keningnya macam mengingati sesuatu. Datuk cuba mengingati orang-orang dimusuhinya. Datuk gelengkan kepala, sepanjang ingatannya tiada orang yang dimusuhinya.

"Siapa mereka?", tanya datuk pada nenek.

"Saya tak kenaI"

"Lupakan saja. Tidak ada manusia yang mati kerana sumpah dan ugutan"

"Tapi kita kena berjaga-jaga"

"Saya faham”, datuk bersuara lemah. Datuk bangun dan terus turun dari rumah. Saya mengikuti datuk yang duduk di bangku panjang di bawah pokok manggis. Datuk termenung panjang di situ. Datuk menekan-nekan bumi dengan ibu jari kaki kirinya. Tiba-tiba datuk menepuk pangkal paha kirinya tiga kali berturut-turut.

"Aku tahu dan aku ingat siapa Kiai Muslih”, kata datuk dengan tekanan suara yang meninggi.

Dia terus berdiri dan memeluk tubuhnya erat-erat. Sepasang mata datuk merenung tajam ke hadapan. Datuk merapatkan kelopak matanya perlahan-Iahan sambil menarik nafas. Dadanya nampak berombak dan kedua belah bahu dan kedua belah cuping telinganya bergerak-gerak sendiri. Datuk membuka matanya. Muka datuk saya lihat berpeluh.

"Siapa Kiai Muslih, tuk?" tanya saya.
"Dia kawan aku satu masa dulu. Orangnya baik dan kuat beribadat. Pelik kenapa orang memusuhinya”, keluh datuk sambil menggosok pangkal hidungnya hingga merah.

Datuk terus mengelilingi pokok manggis dua tiga kali, macam mencari sesuatu. Dahinya masih berkerut. Saya hanya melihat sahaja telatah datuk. Kemudian datuk mencari arah angin datang.

"Mari”, datuk menarik tangan saya.

Pada mulanya saya menduga datuk akan mengajak saya pergi kekawasan tanah yang agak tinggi. Dugaan saya tidak tepat. Datuk mengajak saya masuk ke rumah. Datuk kembali membaca kitab-kitab agama hingga menjelang waktu Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk kelihatan resah tidak menentu. Keresahan itu berlanjutan hingga waktu Maghrib dan Isyak. Semua yang di buatnya serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang besar mengganggu dirinya.

"Kiai Muslih baik orangnya”, keluh datuk sambil menggigit ibu jari kanannya. Waktu itu sudah pukul sebelas malam.

"Tamar"

"Kenapa tuk?"

"Kau tidur dekat tuk malam ini"

"Baik tuk"

Saya pun membentangkan tikar mengkuang di anjung rumah. Kemudian nenek memberikan saya sebiji bantal. Saya terus merebahkan badan. Datuk terus membaca Quran. Tiba-tiba datuk berhenti membaca Quran. Dia merenung ke arah saya.

"Ingat, bacalah Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas dan mengucap dua kalimah syahadah dan hadapkan badan kamu ke kiblat, barulah kau tidur"

"Baik tuk”, saya pun patuh dengan apa yang diperintahnya.

Dalam beberapa detik saya terus terlena. Lebih kurang pukul tiga pagi datuk kejutkan saya. Bila saya buka mata, saya lihat datuk sudah memakai baju hitam dan seluar hitam. Kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah sebesar dua jari.

"Ke mana tuk?"
"Jangan banyak cakap, ikut sahaja cakap aku"

"Tuk marahkan saya?"

"Aku tak marah cuma menegur aja”, balas datuk dengan ketawa kecil.

Saya senang hati kerana berjaya mengusik datuk. Wajahnya yang kelihatan serius sudah berubah. Wajah datuk nampak manis bila ketawa, meskipun kulit pipinya sudah berkedut. Dengan langkah yang tenang saya ikut datuk keluar dari rumah. Suasana terasa amat sepi sekali. Badan terasa cukup dingin. Dalam keadaaan subuh yang damai itu, saya dan datuk menuju ke kawasan tanah lapang yang agak tinggi kedudukannya dari tanah sekelilingnya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah itu. Saya duduk sebelah kanannya. Datuk lekapkan tapak tangan kanan ke dada sebelah kiri. Mulutnya terkumat­-kamit membaca sesuatu. Datuk terus bangun dan berdiri tegak menghadap ke arah barat daya. Suasana cukup sepi. Tetapi langit kelihatan begitu cerah. Saya lihat kabus mula bangkit di kawasan yang agak rendah. Kedua belah cuping telinga saya terasa sejuk di sentuh angin.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, datuk bersuara.

Tidak ada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi deru angin yang datang dari arah barat daya. Datuk tarik nafas panjang.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, ulang datuk lagi.

"Ya, kenapa?" saya terdengar suara.

Saya tidak dapat mempastikan dari arah mana suara itu datang. Saya renung kiri kanan, hadapan belakang kalau­ kalau ada manusia yang muncul di situ. Tidak ada orang lain selain daripada kami.

"Kau sihat sekarang Muslih?"

"Sihat"

"Keadaan kampung kamu bagaimana?"

"Kemarau panjang"

"Boleh aku datang ke sana?"

"Memang itu yang aku harapkan. Sudah dua kali aku menghubungi kau dengan angin, tapi tak berjaya"

"Macam mana kau tahu aku ada di sini."

"Tiba-tiba saja hati aku tergerak dan ada alamat yang menunjukkan kau mahu bercakap dengan aku, kerana itu aku cari tempat yang sesuai untuk bercakap dengan kau"

"Hajat kita sudah ditunaikan oleh Allah"

"Syukurlah pada-Nya"

"Baiklah Kiai Muslih, esok aku datang"

Saya terpegun melihat keadaan yang serba aneh itu. Memang ganjil dua manusia yang duduk berjauhan boleh bercakap dengan perantaraan angin.

"Balik”, saya terkejut.

Apa yang saya fikirkan dalam kepala semuanya hilang. Saya tergesa-gesa bangun dan melangkah mengikut langkah datuk yang begitu cepat. Tetapi, saya tetap berazam mahu bertanya pada datuk berhubung dengan peristiwa yang berlaku itu. Hati saya cukup gembira. Tanpa di duga sesudah sembahyang subuh dan mandi embun, datuk menceritakan pada saya apa yang dilakukannya itu adalah jalan terakhir dalam usahanya untuk membantu seorang kawan.

"Bercakap dengan perantaraan angin tak boleh dilakukan selalu, kecuali sudah terdesak terutama waktu darurat”, kata datuk.

"Kenapa begitu tuk?"

"Banyak amalan yang mesti dibuat sebelum melakukannya dan orang yang kita lawan bercakap pula mestilah tahu petua dan syarat. Orangnya mesti warak, jiwanya mesti bersih"

"Saya faham tuk."

Pagi itu, nenek melepaskan kami dengan iringan airmata. Nenek bimbang kalau langkah kami pagi itu, merupakan langkah terakhir. Nenek tidak mahu datuk menemui ajal di tempat orang. Kalau boleh biarlah datuk menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

"Usah bimbang, kita pergi bukan mencari lawan, niat kita baik. Kalau sudah ajal itu lainlah”, datuk memujuk nenek.

"Tapi, orang tu dah beri amaran"

"Ajal maut bukan di tangan manusia. Kau harus tahu Allah yang lebih berhak dan berkuasa"

"Entahlah”, suara nenek cukup lemah.

Tetapi hatinya terus berdoa pada Allah semoga kami selamat pergi dan selamat pulang. Kami sampai di kampung Kiai Muslih yang terletak di daerah Sungai Manik kira-kira pukul lima petang. Kiai Muslih yang berasal dari Pakalungan, Jawa Tengah menyambut kedatangan kami dengan tangan terbuka. Menurut datuk Kiai Muslih datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun tiga puluhan. Sebelum menetap di daerah Sungai Manik dia pemah tinggal di Johor.

"Bagaimana sekarang Kiai?"

"Alhamdulillah, saya setakat ini masih sihat"

"Cucu perempuan awak dah besar sekarang?"

"Dah jadi anak dara. Sudah bertunang dengan orang di Langkap"

"Siapa namanya?"

"Suariati"

"Tunangnya orang Jawa juga ke?"

“Tidak dengan orang Banjar"

"Ingat dulu, nak dijodohkan dengan cucu saya"

"Tak ada jodoh, carilah cucu saya yang lain"

Sebaik sahaja Kiai Muslih selesai bercakap, datuk terus ketawa sambil menjeling ke arah saya. Petang itu juga Kiai Muslih membawa datuk dan saya melawat ke kawasan sekitar kampungnya. Saya dapati parit dan sungai semuanya kering kontang, tanah sawah kelihatan gersang dan merekah. Menurut Kiai Muslih, sudah tiga bulan hujan tidak turun. Tetapi penduduk-penduduk di situ tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan air minum kerana pihak Jabatan Kerjaraya yang berpusat di Teluk Intan membekalkan air sehari dua kali iaitu pada sebelah petang dan pagi. Air yang dikhaskan untuk diminum itu juga digunakan untuk membasuh dan mandi. Masalah besar yang dihadapi oleh para penduduk ialah tanah sawah yang menjadi punca rezeki mereka tidak dapat diusahakan.

Saya dan datuk hanya dapat menyatakan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpa penduduk di situ. Datuk juga berjanji pada Kiai Muslih untuk berikhtiar bagi mengatasi masalah tersebut. Pada sebelah malamnya, datuk dan Kiai mengadakan perundingan untuk mengajak para penduduk mengadakan sembahyang hajat. Belum pun Kiai Muslih memberi kata putus mengenai cadangan datuk itu, seorang penduduk mengetuk pintu rumah Kiai Muslih. Cepat-cepat Kiai Muslih membuka pintu.

"Kenapa?", tanya Kiai Muslih pada orang yang datang.

"Ketua kampung suruh berkumpul di dewan, ada mesyuarat"

"Dah malam baru mengadakan mesyuarat, kenapa tak buat pada sebelah siang?"

"Saya tak tahu. Kalau mahu ikut datang ke dewan, jangan banyak cakap”, balas orang yang datang lalu menghilangkan diri.

Datuk dapat mempengaruhi Kiai Muslih untuk patuh dengan arahan ketua kampung itu. Tanpa membuang masa lagi, kami terus menuju ke dewan. Waktu kami sampai di dewan orang sudah ramai berkumpul di bawah sinaran tiga buah lampu gasolin. Tidak sampai dua minit kami duduk di dalam dewan, ketua kampung pun tiba dan terus memberikan ucapan. Ketua kampung meminta orang yang hadir memberikan pandangan untuk mengatasi masalah kemarau panjang yang melanda kampung mereka. Sebaik sahaja ketua kampung berhenti bercakap, Kiai Muslih terus bangun dan berkata:

“Masalah hujan sebenamya adalah kekuasaan Allah. Tetapi Allah juga telah memberikan fikiran dan akal pada manusia untuk berikhtiar supaya tidak menyerah diri begitu saja pada alam”, Kiai Muslih berhenti bercakap.

Dia merenung setiap wajah yang ada di dalam dewan.

"Kita sebagai manusia wajib berikhtiar dan berusaha untuk menguasai alam demi untuk meneruskan hidup kita, berjaya atau tidaknya terletak pada kuasa Allah. Anehnya, bila saya mengajak tuan-tuan berusaha semuanya tidak mahu”, Kiai Muslih menambah.

Tiba-tiba perhatian orang yang ada di dalam dewan tertumpu ke arah seorang anak muda yang secara mendadak menumbuk dinding dewan. Anak muda itu meluru ke tengah dewan. Berdiri di situ.

"Orang tua ini menyuruh kita berdoa. Dari dulu lagi dia suruh kita berbuat demikian. Apa dengan berdoa hujan boleh turun dari langit”, kata anak muda dengan suara yang cukup lantang.

Orang yang berada dalam dewan berpandangan sama sendiri. Tetapi ketua kampung anggukkan kepala seolah­olah bersetuju dengan pendapat anak muda itu. Kiai Muslih kelihatan tenang sambil meraba-raba janggutnya.

"Allah Maha Pemurah”, balas Kiai Muslih dengan penuh keyakinan.

“Allah selalu memperhatikan doa orang yang takwa serta beriman”, tambah Kiai Muslih.

Seorang penduduk bangun lalu bertanya, "Apa yang patut kita lakukan Kiai?"

Belum pun sempat Kiai Muslih memberikan jawapan, datuk segera berkata:

"Bagi mereka yang percaya dan yakin, marilah kita melakukan sem­bahyang Istisqa untuk memohon pada Allah supaya segera diturunkan hujan rahmat, hujan yang memberikan air kehidupan pada manusia, insyallah permintaan kita akan dikabulkan"

Anak muda yang menumbuk dinding segera merenung ke wajah datuk.

"Awak siapa?"

"Saya kawan Kiai Muslih"

"Awak tahu ini bukan urusan awak"

"Saya tahu, apa awak tidak sedar sesuatu yang baik memang dituntut oleh Allah untuk dilakukan oleh umatnya"

Anak muda itu terdiam mendengar kata-kata dari datuk. Ketua kampung segera menyuruh anak muda itu duduk. Setelah diadakan perbincangan selanjutnya, mesyuarat pun ditamatkan dengan dua kumpulan. Kumpulan pertama orang yang mahu melakukan sembahyang Istisqa. Kumpulan kedua orang yang tidak mahu melakukannya yang terdiri dari orang yang tidak ada pendirian dan jarang melakukan ibadah. Kumpulan kedua ini diketuai oleh anak muda dan ketua kampung yang menganjurkan pada orang-orang kampung supaya menggali telaga dan kolam sebanyak-banyaknya untuk mengatasi masalah kemarau. Pada waktu yang dijanjikan, kedua kelompok ini menjalankan rancangan masing-masing.

Sembahyang memohon hujan turun dilakukan di halaman surau kam­pung tersebut. Yang bertindak selaku imam ialah Kiai Muslih sendiri. Manakala kelompok anak muda membawa cangkul ke tengah sawah menggali kolam dharurat. Beberapa hari kemudian, terdapat tanda-tanda hari akan hujan. Langit kelihatan mendung dan gerimis mula turun yang diikuti ke­mudiannya dengan hujan yang amat lebat. Semua penduduk merasa gembira menyambut kedatangan hujan terutama mereka yang melakukan sembahyang tempohari.























39. Dendam Orang Sabar

Selama satu minggu saya dan datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta datuk tinggal disitu untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.

"Kenapa datuk terima permintaannya?",saya menyoal datuk pada suatu pagi.

Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin. Tetapi, datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.

"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya”, demikian datuk memberitahu saya. Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan datuk.

Sepanjang masa saya dan datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk. Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran.

Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional. Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk disitu, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membe­sarkan diri. Dia amat menghormati datuk. Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.

"Aku gagal mengubat dan memulih semangat seorang lelaki di Tanjung Malim”, Kiai Muslih mengadu pada datuk.

"Apa sakitnya?"

"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"

"Tengoklah dulu"

"Aku harap benar-benar pertolongan kau"

"Begini saja, minggu depan kita kesana”, datuk memberikan jawapan.

Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya. Datuk mengeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang. Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu, anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda itu terus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.

"Pinangan saya di tolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu”, nada suara anak muda itu keras.

"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"

"Suadahlah muka sial”, anak muda itu terus meninggalkan kami. Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu.

Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-­penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu.

Serentak dengan itu tercetus khabar-khabar angin yang mengatakan perbuatan itu dilakukan oleh Kiai Muslih. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita itu mengatakan, Kiai Muslih memelihara syaitan dan perbuatannya itu dilakukan sebagai membalas dendam pada anak muda yang menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai. Golongan yang tidak bertanggungjawab itu lalu mengapi-apikan anak muda yang sememangnya memusuhi Kiai Muslih, supaya melakukan sesuatu. Anak muda yang sudah hilang perhitungan itu lalu bertindak liar. Anak muda itu terus mendatangi rumah Kiai Muslih. Kerana Kiai Muslih tidak ada di rumah, anak muda itu terus memukul isteri Kiai Muslih kemudian menikam cucu Kiai Muslih iaitu, Suriati hingga mati.

Anak muda itu terus mencari Kiai Muslih yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai. Anak muda itu tanpa berkata sepatah apa pun terus menikam Kiai Muslih. Kiai Muslih rebah ke bumi. Saya dan datuk se­cara kebetulan pula tidak pulang bersama Kiai Muslih dari kedai petang itu. Bila kami sampai ke tempat kejadian itu, Kiai Muslih masih bernyawa. Kami segera membawanya ke rumah. Sampai di rumah Kiai Muslih mendapati cucunya sudah tidak bernyawa lagi dan kepala isterinya berdarah. Datuk terus merawat Kiai Muslih.
Datuk juga menasihatkan Kiai Muslih supaya bersabar. Saya disuruh oleh datuk supaya tinggal di rumah Kiai Muslih kerana datuk mahu melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa. Saya terus duduk disisi Kiai Muslih yang terbaring di dalam rumahnya. Tiba-tiba saya terkejut, Kiai Muslih bangun. Mukanya merah. Dia boleh berjalan macam orang sihat.

"Kau uruskan bersama datukmu jenazah cucu aku”, katanya pada saya.

"Mahu ke mana ?", tanya saya.

Kiai Muslih tidak menjawap dan terus keluar rumah. Kehilangan Kiai Muslih merunsingkan hati datuk. Walaupun isterinya sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan dan jenazah cucunya sudah di kuburkan, Kiai Muslih tidak juga muncul-muncul. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang menye­barkan fitnah. Kononnya Kiai Muslih melarikan diri kerana tidak sanggup menghadapi kemarahan orang kampung terhadap perbuatannya. Datuk menafikan semua tuduhan itu, akibatnya datuk dituduh bersuhabat sama dalam
kerja terkutuk itu. Datuk di beri kata dua untuk membuktikan ke­benaran cakapnya itu dalam tempoh dua hari oleh ketua kampung. Jika datuk gagal, ketua kampung minta datuk dengan hormatnya keluar dari kampung tersebut.

"Tamar, inilah ujian yang berat buat aku, kita harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik­-baiknya Tamar”, kata datuk pada saya, sebaik sahaja dia pulang dari menemui ketua kampung kira-kira pukul dua petang.

Selepas sembahyang Zuhur di kampung tersebut, datuk terus menuju ke rumah Kiai Muslih. Dia terus duduk bersila di anjung rumah tersebut. Kedua belah tapak tanganya terlekap atas tempurung lututnya. Datuk bertafakur.

"Keimanan Kiai Muslih tercabar, sabarnya sudah hilang. Dia mahu mem­balas dendam yang sepatutnya tidak boleh dilakukan olehnya, kemarahan yang dipengaruhi syaitan sudah menguasai dirinya”, dengan mendadak datuk ber­suara, wajahnya kelihatan muram. Datuk mengajak saya pergi ke arah kawasan bukit yang terdapat di situ. Cuaca yang tadi terang mula muram dengan awan hitam di langit. Datuk dan saya terus meredah hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di situ kawasan lapang. Di atas batu besar kelihatan Kiai Muslih duduk bersila bertafakur.

"Mantera hitam, mantera putih bersatulah”, kedengaran suara Kiai Muslih. Kemudian Kiai Muslih menumpukan kekuatan batinnya, menyatukan rasa dengan alam. Dari mulutnya terkeluar bermacam-macam mantera yang kian lama kian keras diucapkannya.

"Kiai berhentikan perbuatan itu, kau sudah dipengaruhi syaitan”, jerit da­tuk berkali-kali.

Kiai Muslih mempersetankan larangan datuk. Dia terus membaca manteranya. Awan hitam di langit semakin menebal dan guruh mula bersahut­-sahutan. Datuk menggunakan kekuasaaan batin untuk menghubungi diri Kiai Muslih. Saya lihat dahi datuk berpeluh dan mukanya merah, macam udang kena bakar. Tiba-tiba datuk tersungkur atas bumi macam dihentak sesuatu. Saya mula resah tidak menentu. Dalam keadaan yang cemas itu hujan pun turun bersama dengan petir. Hujan bagaikan dicurah-curah lakunya, cukup lebat bersama dengan angin dan petir. Datuk saya lihat bergerak dan merangkak ke perdu pokok besar. Saya mengikutinya berteduh di situ. Datuk menangis tersedu-sedu. Dia tidak putus-putus menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Kiai Muslih yang terburu-buru itu.

"Semuanya sudah menjadi bubur Tamar, aku tidak berdaya menahan ke­marahan orang yang paling sabar”, ujar datuk dalam sedu sedan yang meman­jang.

Hujan lebat terus mencurah-curah, beberapa kawasan rendah mula dinaiki air. Menjelang waktu Maghrib seluruh kampung dilanda banjir besar. Gelombang banjir yang besar itu menghancurkan apa saja yang merinta­nginya. Kiai Muslih terus membaca manteranya tanpa mempedulikan hujan dan petir yang meledak di atas kepalanya. Datuk masih juga berusaha untuk memulihkan semangat Kiai Muslih ke alam nyata. Datuk menggunakan segala kepandaian yang ada pada dirinya. Usahanya gagal. Saya sudah menggigil, kulit badan terasa kecut tetapi, datuk saya lihat tidak mengalami apa yang saya alami. Badannya sentiasa panas dan nampak berasap.

"Kiai, kau sudah sesat", pekik datuk dengan sekuat hati. Serentak dengan itu Kiai Muslih menoleh kearah datuk.

Tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya di kepala Kiai Muslih. Lidah petir yang tajam menyambar kearah Kiai Muslih. Terdengar satu gegeran yang amat kuat, seluruh kawasan itu dijilat api. Seluruh tubuh Kiai hangus terbakar. Saya terus pengsan. Bila saya sedar dari pengsan, saya dapati datuk duduk bertafakur atas bahu di tempat Kiai Muslih duduk. Datuk membaca ayat-ayat Quran dengan nyaring dan kuat, hujan beransur-ansur teduh dan akhirnya berhenti terus.

"Allah yang Maha Besar telah menunjukkan pada kita bahawa perbuatan membalas dendam sesama manusia tidak diperkenankan. Dalam membalas den­dam orang yang tidak berdosa akan terkorban”, kata datuk pada saya, kemudian datuk melihat mayat Kiai Muslih yang hangus.

Esoknya, bila banjir beransur surut, datuk pun menemui ketua kampung dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Ketua kampung mula sedar dan insaf. Ketua kampung mengakui yang dirinya telah banyak membuat kesilapan dan percaya pada khabar-khabar angin, akibatnya banyak anak buahnya yang tidak berdosa menjadi korban. Ketua kampung juga memberitahu datuk, anak muda yang menjadi musuh Kiai Muslih hilang di bawa air yang melanda kampung tersebut. Walaupun begitu, datuk tetap menasihatkan ketua kampung supaya bersabar.

Ketika saya dan datuk meninggalkan kampung tersebut menuju ke Tan­jung Malim, kami mendapat khabar yang ketua kampung juga menemui ajalnya secara ngeri. Ketua kampung mati ditimpa pokok kelapa ketika membersihkan kawasan rumahnya dari sampah sarap yang dibawa oleh air ketika banjir. Datuk hanya terdiam mendengar berita itu dan terus menghadiahkan Al-Fatihah pada roh ketua kampung.

Saya tahu, datuk pergi ke Tanjung Malim untuk menunaikan permintaan arwah Kiai Muslih untuk mengubati penyakit ganjil yang dihadapi seorang lelaki di tempat tersebut. Kerana kami sampai ke pekan Tanjung Malim pada waktu senja, kami terus menuju ke masjid. Setelah menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid Tanjung Malim, kami terus pergi ke sebuah kedai makan di pekan tersebut. Datuk terus bertanya pada tuan punya kedai tentang seorang lelaki yang tinggal di rumah besar dan mengidap penyakit ganjil. Tuan punya kedai itu memberikan jawapan yang menghampakan tetapi, dia berjanji pada datuk untuk menemukan datuk dengan penghulu.

"Barangkali penghulu tahu, kalau dia tidak tahu saya akan membantu encik”, ujar tuan punya kedai.

Setelah membayar harga makanan dan minuman, datuk dan saya pun segera beredar dari kedai tersebut. Saya kira datuk akan menginap di hotel malam itu. Kiraan saya itu tidak tepat. Datuk mengambil keputusan untuk tidur di masjid sahaja.

"Kita tidur di masjid saja, buat amalan sikit. Sementara kita masih hidup ni buatlah mana patut untuk bekalan hari akhirat”, kata datuk pada saya.

Ketika itu kami sedang melintasi landasan keretapi yang dibina atas dada jalan raya. Beberapa buah lori dan kereta membunyikan hon menyuruh kami berjalan ke tepi. Hati saya tiba-tiba jadi marah dengan sikap pemandu kenderaan itu. Mereka memandu agak laju sambiI memasang lampu besar, tanpa memikirkan keselamatan orang-orang yang berjalan kaki. Pemandu-pemandu kenderaan itu merasakan jalanraya tersebut adalah hak mereka saja. Mereka seolah-olah berlumba dijalanraya sama ada mereka datang dari arah Kuala Lumpur atau arah lpoh (masa itu lebuhraya Slim River-­Tanjung Malim masih belum ada) masing-masing mahu sampai segera ke tempat yang di tuju. Mata saya dan datuk jadi silau akibat suluhan lampu kenderaan.

"Kadang-kadang manusia ni, bila dapat kemudahan tidak pernah bersyukur pada Allah dan tidak pula mahu memikirkan tentang orang lain yang tidak ada kemudahan”, rungut datuk.

Saya menggigit bibir sambiI memijak rerumput di tepi jalan. Sesekali saya merenung kearah tiang dan lampu jalan yang setia memancarkan cahaya. Waktu saya dan datuk masuk ke kawasan masjid, kami bertemu dengan seorang lelaki berumur sekitar tujuh puluhan memakai kain dan baju Melayu serta memakai serban hijau. Orang tua yang kelihatan gagah itu memberi salam. Datuk membalas salamnya dan terus berjabat tangan.

"Ke mana?", tanya orang tua itu pada datuk.

"Cadang tu nak bermalam di masjid ni"

"Memang baguslah tu, berlindung di rumah Allah nanti awak dapat syafaatnya. Tetapi sebelum tu eloklah awak merepotkan diri ke balai polis dan nyatakan awak nak bermalam di masjid"

"Apakah ini undang-undang?"

Orang tua yang berserban hijau itu terdiam sejenak dan memalingkan mukanya ke arah pekan Tanjung Malim. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana cahaya dari lampu jalan tidak berapa kuat menyinari kawasan masjid.

"Bukan udang-undang, tapi untuk keselamatan diri awak. Bukan awak tak tahu kawasan sekitar Tanjung Malim belum jadi kawasan putih, sekarang zaman darurat, musim orang komunis mengamuk”, jelas orang tua itu tanpa memandang wajah datuk.

"Saya faham sekarang. Terima kasihlah atas nasihat awak"

"Sama-sama, nama saya Haji Ramli, saya nak balik sekarang"

Sebaik saja dia mengakhiri kata-kata itu, dia terus berjalan menuju ke arah jalan raya. Datuk terpinga-pinga ada semacam kekesalan terbayang di wajah datuk kerana tidak sempat memperkenalkan dirinya pada orang tua itu.
Tetapi, datuk mematuhi nasihatnya. Kami terus menuju ke balai polis. Salah seorang anggota polis yang bertugas pada malam itu menyambut keda­tangan kami dengan ramah. Saya melihat jam yang tersangkut di dinding balai polis sudah hampir pukul dua belas tengah malam.

"Apa halnya pakcik?"

"Saya dan cucu saya ni nak repot diri, kami nak tidur di masjid”, kata datuk.

"lnilah yang sebaiknya untuk faedah bersama. Waktu darurat begini kadang-­kadang ada pemeriksaan mengejut waktu malam yang masanya tidak me­nentu. Siapa yang suruh pakcik kemari?"

"Haji Ramli"

"Haji Ramli?”, anggota polis itu nampak resah sambil mengerutkan dahi­nya. Anggota polis itu merenung wajah datuk penuh keraguan.

"Kenapa encik?"

"Haji Ramli tu sebenarnya sudah mati kira-kira enam bulan yang lalu dalam serangan hendap komunis di Behrang.

"Siapa dia Haji Ramli yang sebenarnya encik?"

"Dia sebenarnya sarjan di balai polis ni. Dia orang Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Agaknya pakcik ni silap orang. Pakcik dah mengantuk agaknya”, anggota polis yang bercakap dalam loghat Kedah itu mengetawakan datuk.

Sesungguhnya datuk tidak tersinggung dengan sikap anggota polis itu. Dan datuk tidak mahu mempertahankan kenyataan yang dilihatnya. Barangkali datuk memikirkan perbuatan itu satu perbuatan yang sia-sia. Cukup sukar me­nerangkan sesuatu tanpa bersandarkan pada kenyataan yang lojik.

"Barangkali cakap encik betul”, kata datuk sebaik saja anggota polis itu berhenti ketawa.

Anggota polis itu minta kad pengenalan (kad pengenalan la­ma yang bentuknya kembar dua dari kertas biasa, ukuran gambarnya besar sedikit dari ukuran gambar kad pengenalan sekarang). Anggota polis itu menatap gambar datuk sejenak. Kemudian mencatatkan sesuatu di kertas. Kad pengenalan datuk dikembalikan. Saya sudah dua tiga kali menguap panjang.

"Pakcik ni mahu ke mana sebenarnya?", soal anggota polis itu lagi.

"Saya datang kemari, nak menolong orang sakit, saya cuma menunaikan amanat seorang kawan"

"Pakcik ni Tuk Pawanglah?"

"Tidak"

"Dukun?"

"Tidak"

"Bomoh?"

“Juga tidak, saya sekadar mahu membuat jasa sesama manusia"

"Pakcik ni ganjil orangnya"

"Dalam dunia ni tak ada manusia yang ganjil, semuanya sama belaka"

Anggota polis itu tersenyum sinis. Kemudian dia menyerahkan sekeping kertas kuning yang tercatat nama datuk dan nombor repot. Kertas itu datuk masukkan ke dalam saku bajunya.

"Terima kasih encik"

"Sama-sama. Bila pakcik mahu meninggalkan masjid untuk pergi ke mana-mana sila laporkan diri"

"Baik encik"

Datuk dan saya pun meninggalkan balai polis menuju ke masjid. Bila berada dalam perut masjid datuk terus membaca Al-Quran dan saya pun mencari tempat yang sesuai untuk merebahkan badan. Tempat yang sesuai saya temui, badan pun saya rebahkan dalam beberapa saat saja saya sudah tidak dapat mendengar suara datuk.

Rasa marah dan geram mula menguasai diri saya. Kerana terlalu geram saya genggam penumbuk lalu menekan penumbuk ke dinding masjid, hingga buku lima saya terasa sejuk menyentuh simen dinding. Siapa tidak meradang sedang nyenyak tidur dipaksa bangun.

"Sial”, pekik saya.

"Jangan biadab!”, balas datuk serentak dengan itu tangan kanan datuk menekan rehang mulut saya. Lepas itu, dia menekan pangkal pelipat kaki kanan saya beberapa minit, hingga muka dan badan saya berpeluh. Badan terasa segar dan bertenaga rasa mengantuk dan malas terus hilang. Datuk terus menarik tangan saya menuju ke pintu masjid. Di situ sudah sedia menanti dua orang lelaki. Mereka tersenyum merenung pada kami. Salah seorang dari lelaki itu saya kenali, iaitu anggota polis yang kami temui di balai polis. Dan seorang lagi tidak saya kenali. Orangnya kurus memakai baju kemeja putih dan berseluar kuning. Wajahnya nampak muram.

"Ada apa encik? Encik nak periksa kami?”, tanya saya.

“Tidak"

"Jadi kenapa encik datang kemari?”, datuk me­nyoal pada anggota polis.

Saya lihat anggota polis yang menyandang senjata api di bahunya terse­nyum.

"Begini pakcik. Dia ni kawan saya dan kerjanya pun macam saya juga. Dia nak minta tolong tengokkan anaknya tidak berhenti-henti menjerit”, anggota polis itu menjelaskan tujuannya yang sebenar.

Datuk termenung sejenak. Ada rasa kurang senang hati terpamir di wajahnya. Memang, datuk tidak berapa suka orang lain tahu tentang kebolehannya. Datuk gigit bibir.

"Saya minta Tuk Pawang tengokkan saja”, rayu lelaki yang memakai baju putih sambil merenung wajah datuk.

Anggota polis di sebelahnya tidak berkata apa-apa.

"Saya bukan pawang, saya bukan bomoh”, kata datuk serius. Wajah lelaki yang berbaju putih itu segera berubah.

"Kami minta tolong pakcik”, anggota polis pula merayu. Lagi sekali datuk termenung panjang.

"Saya bukan bomoh dan bukan pawang , saya cuma boleh berikhtiar saja. Allah yang menentukan”, nada suara datuk lemah.

"Kami faham dan apa yang kami buat ni adalah ikhtiar kami”, sahut anggota polis.

Setelah meraba pangkal telinga kanannya dua kali berturut-turut, datuk memberi persetujuan untuk memenuhi permintaan mereka. Kami pun meninggalkan kawasan masjid. Dalam jangkaan saya waktu itu sudah pukul tiga pagi kerana bintang-bintang di langit sudah berkurangan angin pula tidak sekuat tadi bertiup.

Akhimya, saya dan datuk sampai ke rumah yang di tuju. Anggota polis tidak turut sama, dia kembali ke balai menyambung tugasnya. Masa berada di rumah itu, kami terdengar bunyi tembakan yang bertalu-talu dari arah barat laut. Lelaki yang berbaju putih itu memberitahu datuk ada pertempuran di hutan antara pasukan keselamatan dengan pihak komunis. Datuk hanya ang­gukkan kepala mendengar penjelasan itu. Tetapi, saya bagaikan terasa ada sesuatu yang ganjil, lalu saya membuat kesimpulan bahawa diri saya dan datuk sudah dipermainkan. Saya membuat kesimpulan itu, kerana saya tidak terdengar suara orang menangis. Suasana dalam rumah itu terasa tenang dan damai sekali lampu letrik ber­sinar dengan terangnya. Saya dan datuk duduk bersila dekat pintu sementara lelaki berbaju putih duduk tidak jauh dari datuk membelakangi ruang rumah.

"Mana dia anak awak?", tanya datuk.

"Begitulah keadaannya, ada masa dia diam ada masa dia menangis"

"Bawa dia kemari"

Lelaki berbaju putih itu terus memerintahkan isteri membawa anaknya ke ruang tamu. Isteri lelaki berbaju putih itu dalam ling­kungan usia tiga puluhan berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. Kelopak matanya kelihatan bengkak, barangkali terlalu lama menangis. Dia pun meletakkan anak yang dipangku di hadapan datuk. Anak itu cukup nyenyak tidur. Tiba-tiba anak itu menangis dengan sekuat hatinya. Ma­tanya terbeliak macam melihat sesuatu yang amat menakutkan, sedangkan kaki dan tangannya bergerak-gerak macam orang menari mengikuti irama gen­dang yang di palu.

Datuk tidak melakukan sesuatu terhadap anak perempuan itu. Budak pe­rempuan itu cukup comel rupa parasnya, berusia kira-kira sepuluh tahun, berambut ikal yang dipotong separas bahu. Kulitnya cerah macam ibunya juga.
Dia kelihatan menarik dengan pakaian baju kebaya merah dan berkain hijau. Budak comel itu terus menjerit dan menangis hingga wajahnya kelihatan agak kebiru-biruan. Datuk membaca sesuatu lalu memegang tumit kaki gadis comel. Tangisan dan jeritan budak comel itu terhenti. Dia kembali tidur. Datuk terus diberi penjelasan oleh lelaki yang berbaju putih.

Menurut lelaki itu, anaknya sudah dua hari dua malam berkeadaan demi­kian. Sudah di bawa ke klinik swasta dan doktor mengesahkan anaknya tetap normal. Beberapa orang dukun tempatan pula menga­takan anaknya itu terkena sampuk ketika melin­tasi sebuah busut jantan sekembalinya dari seko­lah. Dukun-dukun itu cuma mengubatinya. Semua­nya tidak berjaya keadaan anaknya tetap macam itu.

"Tolong saya tuan. Anak saya cuma dua orang saja, dialah yang tua. Seorang lagi lelaki. Apa yang tuan syaratkan saya tunai, ambillah emas di badan saya ini sebagai cagaran”, isteri lelaki berbaju pu­tih merayu datuk sambil menangis. Keadaan dalam rumah sudahjadi hara biru, beberapa orang jiran kiri kanan bangunan sederet itu terjaga. Mereka lalu datang ke tempat kami.

"Begini saja. Saya minta awak membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Iklas seberapa banyak boleh. Jangan menangis dan meratap. Perbuatan itu tidak baik, memberi peluang syaitan menguasai hati awak”, kata datuk dengan tenang.

Isteri lelaki berbaju putih itu terdiam. Kemudian datuk meminta jiran-­jiran tetangga yang datang supaya pulang ke rumah masing-masing. Datuk memberitahu mereka selagi mereka berada disitu, datuk tidak dapat melakukan sesuatu. Permintaan itu dipatuhi oleh jiran-jiran yang datang. Suasana dalam rumah kembali tenang. Datuk terus menepuk lantai rumah tiga kali. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu, kemudian datuk meletakkan ibu jarinya atas dahi gadis co­mel. Ditekannya dahi anak comel itu hingga berbekas.

"Saya minta maaf. Anak awak ni suka sangat melihat kera berjoget”, kata datuk sambil memandang wajah lelaki yang berbaju putih dan isterinya. Mereka kelihatan tercengang. Datuk tersenyum lalu meminta isteri lelaki berbaju putih itu membangunkan anak lelakinya yang berusia lapan tahun. Permintaan itu di tunaikan.

Bila budak lelaki yang berusia lapan tahun itu berada di depan datuk, wajahnya kelihatan cemas. Datuk pun memegang tapak tangan kanannya sebentar.

"Jangan takut. Cakap perkara yang betul dengan tuk”, kata datuk sambil melepaskan tangan budak lelaki yang dipegangnya. Budak lelaki itu anggukkan kepala.

"Cucu sama kakak ada tengok tarian kera?"

"Ada”

"Seronok tak?"

"Seronok. Kera tu menari joget ikut gendang. Dia menari dekat kakak sambil memeluk pinggang kakak"

Datuk puas hati dengan penjelasan budak lelaki itu. Datuk menyuruh isteri lelaki berbaju putih membawa anaknya ke kamar tidur semula. Bila isteri lelaki yang berbaju putih datang semula dan duduk di sisi sua­minya, datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk pun mengedutkan dahinya hingga pangkal ke dua keningnya seakan-akan bertemu. Mata datuk saya lihat kian mengecil.

"Mengapa dibiarkan anak perempuan awak dipegang oleh kera yang me­nari?", pertanyaan itu datuk ajukan pada lelaki yang berbaju putih.

Lelaki itu kelihatan resah, kemudian secara terus terang dia memberitahu datuk bahawa perkara yang terjadi itu di luar pengetahuan isteri dan dirinya. Datuk lalu menggesa lelaki berbaju putih mencari kera dan tuannya. Lagi sekali wajah lelaki itu cemas, bukanlah mudah untuk mencari kera dan tuannya waktu begini.

"Saya tak kenaI dengan tuannya?"

"Begini. Aku rasa kera dan tuannya tu bermalam di kaki lima kedai, cubalah pergi ke sana. Tetapi ingat, jangan kau apa-apakan dia, bawa dia kemari”, beritahu datuk.

Lelaki berbaju putih itu segera keluar dari rumah menuju ke balai polis. Dengan di temani oleh anggota polis yang bertugas di situ dia pergi ke tempat tersebut. Sementara menanti kepulangan mereka, datuk terus merawat gadis comel secara kebatinan. Datuk tidak menyentuh kulit gadis comel itu. Datuk hanya memusingkan hujung bajunya dengan jari kelingking. Setiap kali hujung baju itu dipusingkan, gadis comel itu akan menjegilkan biji matanya, macam orang ketakutan.

Saya hanya melihat saja apa yang berlaku di hadapan mata. Sementara dalam kepala saya tergambar permainan tarian kera yang pernah saya lihat. Tarian kera ini selalunya dipertunjukkan di kawasan yang menjadi tempat lalu lintas orang ramai. Kera yang menari itu dikenakan baju cantik, macam baju orang perempuan serta di beri kipas yang di buat dari bilah buluh. Tuan punya kera akan memukul gendang dan kera itu akan menari mengikut rentak dan irama gendang yang dipalu.
































40. Pemuda Menjerit Malam

Setelah selesai menari kera itu akan membawa tempurung menemui orang yang melihatnya. Orang ramai akan mencampakkan wang ke dalam tempurung. Bila bertemu dengan budak perempuan yang comel kera itu akan menarik baju atau memeluk pinggang gadis comel sebagai tanda persahabatan. Tarian kera ini pada mulanya diperkenalkan oleh orang-orang India yang datang dari Madras. Orang Melayu juga ada menjalankan pertunjukan ini de­ngan tujuan mencari wang. Kalau kera itu bertuankan orang-orang India tarian yang dipersembahkan tetap berunsurkan tarian India, kalau orang Melayu yang jadi tuannya, kera itu pandai menari joget atau inang.

Kalau kera betina akan dinamakan Minah dan kera jantan dinamakan Mulung atau Meletik. Kata orang tarian kera ini ada unsur-unsur sihir yang dapat menarik perhatian orang ramai serta rasa simpati untuk menghulurkan ban­tuan, sejauh manakah kebenaran kata-kata itu tidak dapat dipastikan oleh sesiapapun. Akhirnya, lelaki berbaju putih itu pun pulang. Rambutnya kelihatan kusut masai dan matanya merah serta berair. Isterinya terus bertanya:

"Mana keranya bang?"

"Ada di luar"

"Bawa masuk”, tingkah datuk sambil bangun.

Beberapa saat kemudian kera dan tuannya muncul di muka pintu. Datuk mempersilakan tuan punya kera duduk disisinya. Setelah bercakap sebentar dengannya, datuk sudah dapat mengetahui serba sedikit tentang latar belakang tuan punya kera itu.

"Saya nak ambil sehelai bulu tengkuk kera ini”, ujar datuk.

Saya jadi hai­ran mendengar cakap datuk itu. Kalau hanya memerlukan sehelai bulu tengkuk kera, tidak wajar tuan punya kera itu di bawa bersama. Suruh saja lelaki berbaju putih itu mencabut sehelai saja bulu kera tersebut. Ini lebih mudah dan tidak menyusahkan tuan punya kera . Kadang-kadang saya jadi bodoh dengan sikap datuk. Tuan punya kera tidak membantah dengan hasrat yang disuarakan oleh datuk. Dia pun menolak kera ke depan datuk. Dengan tenang datuk mencabut bulu kera tersebut . Isteri lelaki berbaju putih nampak resah.

"Bulu kera ini saya rendam dalam gelas kira-kira setengah jam, kemudian air diminumkan pada anak awak, dengan izin Allah setelah air diminum anak awak akan sembuh. Saya yakin anak awak ni kena sihir bulu kera dan inilah ubatnya”

Lelaki berbaju putih dan isterinya mendengar cakap datuk dengan teliti. Tuan punya kera yang berbadan tegap itu terus melurut-Iurut badan keranya. Dia macam buat tidak kisah dengan apa yang terjadi di depan matanya. Dia sanggup menanti di situ hingga ke pagi asalkan diberi wang.

Masa terus berlalu, semuanya menanti waktu yang di janjikan dengan dada yang berdebar. Gadis comel itu sudah dua kali menjerit sekuat hati . Datuk masih lagi bertahan, dia tidak akan melakukan sesuatu selagi belum sampai waktu setengah jam. Saya melihat ke gelas, tempat merendam bulu kera.

Sementara itu tuan punya kera terus bercerita tentang pengalaman manis dan pahit sepanjang waktu dia menjaja tarian kera, merantau dari satu tempat ke satu tempat. Dia berasal dari Burma dan menetap bertahun-tahun di India sebelum datang ke Tanah Melayu. Dia tidak menganut sebarang fahaman agama. Namanya juga sering berubah-ubah mengikut keadaan.

"Bila masuk ke pekan yang banyak orang Melayu, saya jadi Melayu, kalau masuk estate saya jadi India, kalau pergi ke tempat Cina saya jadi Cina, nama saya ada tiga, saya tidur tidak kira di mana-mana, kadang-kadang di masjid, kadang-kadang dikuil atau tokong Cina”, demikian tuan punya kera menceri­takan perihal dirinya penuh bangga dalam bahasa Melayu pasar yang tonggang langgang tapi boleh difahami.

"Sekarang sudah sampai masanya”, tekanan suara nada datuk penuh yakin.

Dia lalu mengambil gelas yang berisi air dan bulu kera. Dengan sedikit paksaan datuk berjaya memaksa gadis comel itu minum air bulu kera.

"Kita tunggu setengah jam lagi, kalau dia tidak menjerit bererti anak encik sudah sembuh. Tetapi, kalau dia tidak sembuh atau akan maut kerana sa­kitnya ini, kera ini terpaksa di sembelih, darahnya di beri pada anak encik untuk di minum”, semua yang ada disitu bertambah kecut mendengar pen­jelasan datuk.

Lebih-Iebih tuan punya kera. Lelaki berbaju pu­tih dan isterinya mula didatangi butir-butir peluh di dahi, mereka sering kali melihat jam di dinding. Gadis comel terbujur di atas lantai pucat le­si. Masa terus berlalu, kedinginan kian kuat terasa menyapa tubuh badan saya.

"Limat minit lagi”, kata datuk.

Isteri lelaki berbaju putih anggukkan kepala. Empat minit, tiga minit, dua minit dan akhirnya tepat setengah jam. Gadis comel itu tidak menjerit, dia bangun dari tempat baringnya. Datuk menyuruh gadis comel itu membaca Al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah. Gadis itu dapat melakukan segala-galanya dengan lancar dan teratur. Datuk gembira. Tetapi, kegembiraan hanya berlaku sebentar saja. Lelaki berbaju putih dan tuan punya kera bertengkar. Tuan punya kera itu tidak patuh dengan janjinya.

"Waktu saya ajak datang tadi dia mengenakan bayaran sepuluh ringgit, sekarang dia mahu dua puluh ringgit”, keluh lelaki berbaju putih.

Isterinya pula mula membuka gelang dan kalung di leher untuk diserahkan pada tuan punya kera. Perbuatan itu segera ditegah oleh datuk. Cepat-cepat datuk menepuk bahu tuan punya kera dan terus mengambil wang sepuluh ringgit dari lelaki berbaju putih, lalu diserahkan pada tuan punya kera yang bagaikan terkena pukau, menerima dan mendengar cakap datuk. Datuk, saya dan tuan punya kera meninggalkan rumah lelaki berbaju putih. Bila sampai di luar kawasan balai polis, datuk terus memegang bahu tuan punya kera.

Tiba-tiba kera yang didukung oleh tuan punya menyerang datuk dengan meng­gigit lengan datuk. Ternyata gigi kera yang tajam itu tidak mampu menembus kulit lengan datuk. Dalam malam yang dingin itu, saya lihat muka tuan punya kera berubah, dari wajah seorang yang agak bodoh dan tolol menjadi bengis dan garang. Dia mengarahkan keranya menyerang di.mana-mana bahagian tubuh datuk. Datuk terus bertahan. Tiba-tiba badan saya mengeletar, bukan kerana rasa sejuk yang di bawa oleh angin subuh, tetapi, kerana kera yang saya lihat kecil itu berubah jadi besar. Lebih tinggi dari datuk, kera itu membuka mulutnya dengan luas , kedua-dua taring yang panjang dan tajam itu menyeringai. Datuk masih bertenang, dia mengelak bila kera itu menyerang. Tuan punya kera terus mengeluarkan arahan.

Tiba-tiba datuk berjaya menangkap ekor kera itu. Dalam beberapa saat saja kera itu kembali kepada keadaan asalnya. Tuan punya kera pula mula me­nyerang dari sebelah kanan. Datuk mengelak setapak, kemudian memukul pangkal leher tuan punya kera hingga tersungkur. Ketika itu, beberapa orang anggota polis yang dapat melihat keadaan di luar balai segera keluar. Masa anggota polis itu sampai ke situ, datuk sudahpun membangunkan tuan punya kera. Dengan nada suara yang merayu-rayu tuan punya kera minta datuk jangan mengapa-apakan dirinya.

"Awak jahat. Awak sengaja menggunakan ilmu halus awak untuk memper­dayakan orang. Saya tahu, awak sengaja kenakan pada budak perempauan itu. Bila dia sakit awak tahu menawarnya dan awak kenakan bayaran yang tinggi, ini kerja awak”, kata datuk sambil memulas tangan tuan punya kera.

"Saya cari makan tuan”

"Bukan cara ini awak cari makan, lagi sekali awak buat kerja ni, awak mati tahu?”, ugut datuk sambiI memeriksa badan tuan punya kera.

Datuk menemui sekeping kulit kera yang sudah kering yang dibalut dengan beberapa rajah serta tulisan Burma. Datuk bakar kulit keras dan pembalutnya, datuk tidak peduli dengan rayuan dari tuan punya yang menyembah-nyembah kakinya.

"Awak balik”, kata datuk.

Tanpa banyak cakap tuan punya kera beredar dari situ dengan wajah yang muram. Pada anggota polis yang berada di tempat tersebut ,datuk menasihatkan mereka supaya jangan membenarkan anak-anak perempuan mereka melihat tarian kera dalam jarak dekat, apa lagi membiar­kan kera memanjat atau memeluk badan anak-anak mereka.

"Tarian tu selalu digunakan oleh tuan punya menyerapkan semangat ke­ra. Tetapi, tidak semua pula tuan punya tarian kera berperangai begitu. Kita harus berjaga-jaga. Tarian itu ada unsur-unsur pe­mujaan roh ghaib”, datuk membuka rahsia di seba­lik tarian kera.

Kemudian kami terus ke masjid. Tidak lama le­pas itu waktu subuh sudah tiba, kami pun bersem­bahyang subuh dengan orang-orang yang datang ke masjid tersebut. Kerana memikirkan saya dan datuk orang musafir yang menumpang tidur di masjid, ti­dak banyak yang mahu bercakap dengan kami, walau­pun kami bersikap ramah pada mereka. Mereka datang ke masjid hanya untuk sembahyang saja dan melupakan ajaran agama yang menyuruh pengikutnya menjalin persahabatan dan kemes­raan dengan orang yang seagama dengan mereka.

Lebih kurang pukul lapan pagi kami pun keluar dari masjid menuju ke kedai tempat kami makan ma­lam tadi. Sepanjang jalan ke kedai datuk terus merungut kerana dia tidak melakukan kebiasaannya mandi embun.
Kedatangan kami di sambut oleh tuan punya kedai makan ramah sekali. Malah, dia turut makan semeja dengan kami. Banyak perkara yang ditanyakan­nya pada datuk. Saya kira tuan punya kedai itu seorang yang bijak kerana sambil bercakap itu dia sebenarnya mengemukakan pertanyaan yang tidak begitu ketara terhadap diri datuk.
Secara tidak langsung datuk sendiri membuka rahsia tujuan sebenarnya mahu mengubati lelaki yang dikatakan mengidap penyakit aneh itu.

"Sebenarnya, lelaki tu ada hubungan keluarga dengan saya. Tetapi, saya tidak begitu yakin berubat cara tradisional ni “, kata tuan punya kedai sambil menghirup air kopi.

Datuk pandang muka saya seolah-olah datuk memberitahu bahawa, dirinya terperangkap dalam kemanisan budi dan tutur bicara tuan punya kedai.

"Kenapa awak tidak berterus terang dengan saya sejak semalam?”,datuk melahirkan rasa kurang senangnya.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk hirup kopi dengan tenang. Beberapa orang pelanggan terus keluar dan masuk.

"Minta maaf, kalau saya katakan kebanyakan orang-orang kita ni terutama yang mendakwa dirinya bomoh dan pawang, selalunya cari kesempatan, ke­bolehan tidak setinggi mana cakap saja yang melambung”, tuan punya kedai meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya.

Datuk tersenyum sambil menjentik badan cawan dengan jari manisnya. Tuan punya kedai menyepitkan sebatang rokok cap tembak (Rough Rider) ke bibirnya. Hujung rokok itu di bakarnya dan disedutnya panjang-panjang. Asap rokok yang diluahkannya berlegar-Iegar dalam ruang kedai sebelum hilang di bawa angin pergi.

"Hubungan keluarga macam mana tu?", datuk menyoal tuan punya kedai sambil menghabiskan sisa-sisa kopi yang ada di dalam cawan.

"Pangkat dua pupu dengan saya”

"Awak kenal dengan Kiai Muslih?"

"Kenal tu tidak, saya cuma kenal pada namanya saja. Kiai itu juga pemah mengubatnya. Tapi, tidak juga mahu sembuh”

"Apa pendapat awak tentangnya?"

"Dia tu saya rasa jujur orangnya”

"Awak tahu dia dah meninggal?"

"Saya tak tahu, bila dia meninggal?", tuan punya kedai terkejut.

Datuk terus menerangkan pada tuan punya tentang kedudukan yang sebenarnya. Wajah tuan punya kedai kelihatan cemas sedikit, bila datuk menyatakan kedatangan­nya ke situ adalah untuk menunaikan amanat Kiai Muslih.

"Kita sekadar mahu menunaikan permintaan kawan, itu pun kalau kaum keluarga sipemuda tu setuju. Kita sekadar mahu menolong dan kita bukannya pawang atau dukun. Kita tidak mencari makan atas nama pawang atau bomoh”, cukup tentang datuk berkata.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk pun bangun untuk membayar harga makanan serta bersedia mahu meninggalkan kedai tersebut.

"Nanti dulu, maafkan saya kalau tersinggung”

"Saya tak tersinggung, itu hak awak”

"Saya tahu itu hak saya tapi, perbuatan itu kurang baik. Lagi sekali saya minta maaf. Sebab zaman sekarang, banyak orang menyamar jadi bomoh”

"Selalunya yang asli tetap asli, jarang mahu menunjuk kebolehan”

"Saya setuju”

Bila datuk mahu membayar harga minuman dan makanan, tuan kedai itu tidak menerimanya. Malah tuan punya kedai itu membawa saya dan datuk ke sebuah bilik khas di bahagian belakang kedainya. Tuan punya kedai itu memberitahu pada datuk yang saudaranya (Ielaki berpenyakit ganjil) berusia lebih kurang tiga puluh lapan tahun. Tidak suka menerima tetamu datang ke rumah walaupun ibubapanya.

“Hati-hatilah awak bila kesana. Banyak orang yang cuba mengubati dikejar dengan parang panjang, kecuali Kiai Muslih”, tuan puny a kedai mengingatkan datuk.

"Aneh juga perangainya”, balas datuk.

"Dia bukan sakit tapi kemasukan syaitan”

"Barangkali”, jawab datuk pendek.

Datuk terus memberitahu tuan punya kedai yang dirinya tidak dapat pergi dengan segera ke rumah lelaki aneh itu. Paling cepat dua hari lagi. Datuk perlu membuat beberapa persiapan tertentu. Dan datuk tetap memilih masjid sebagai tempat menginap sementara menanti masa yang di tunggu itu tiba.

Sejak menginap di masjid datuk terus menjalin persahabatan dengan anggota-anggota polis disitu. Dan datuk sudah pun mendapat kebenaran untuk berjalan pada setiap subuh di kawasan pinggir pekan Tanjung Malim yang terdapat pokok-pokok tumbuhan. Sebelum pergi ke tempat tersebut datuk dikehendaki melaporkan diri kepada pihak berkuasa di balai polis. Walaupun tujuan datuk pergi ke kawasan hutan tersebut untuk mandi embun.

Tarikh yang dijanjikan pun tiba. Datuk dijemput oleh tuan punya kedai dengan kereta menuju ke kawasan perkampungan Melayu yang terletak ke selatan bandar Tanjung Malim. Bila sampai ke kawasan tersebut datuk pun diperkenalkan dengan kaum kerabat pemuda yang malang itu. Saya dengan datuk sampai di kampung tersebut pada sebelah pagi. Dan pada sebelah petangnya saya dan datuk sudahpun mengetahui kedu­dukan rumah batu tempat pemuda aneh itu tinggaI. Kawasan sekeliling rumah batu itu ditumbuhi pohon-pohon besar. Halaman rumahnya lapang dengan pokok-pokok bunga raya. Dibelakang rumah terdapat kolam besar. Petang itu juga datuk menghampiri rumah batu tersebut. Dari jauh lagi pemuda ganjil melambai-Iambaikan tangan pada datuk. Datuk terus masuk ke kawasan rumah tersebut. Pemuda ganjil mendekatinya.

"Apa hajat kemari?" tanya pemuda ganjil.

Wajahnya cengkung. Matanya merah, misai dan janggut serta jambang tumbuh liar di wajahnya. Datuk cuba tersenyum kepadanya.

"Saya nak memancing ikan”, datuk berbohong.

"Pergilah ke tempat lain. Kawasan ni kawasan saya dan tuan puteri”, ujarnya serius.

"Minta maaf, saya tak tahu”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu tersenyum dan terus menghalau datuk dari kawasan rumahnya dengan maki hamun. Datuk terus menemui ke dua orang tua lelaki ganjil itu. Datuk memberitahu mereka segala usaha akan diikhtiarkan pada waktu malam hari Selasa ketika bulan mengambang. Sebelum usaha itu dilancarkan, datuk perlu mengetahui gerak-gerinya. Da­tuk merasa senang hati kerana kedua orang tua lelaki ganjil itu sanggup membantu datuk. Sementara menanti musim bulan mengambang, saya dan datuk perlu tinggal di kampung tersebut selama dua hari lagi.

"Malam ni tiga belas Syaaban, malam esok empat belas dan malam lusa baru lima belas”, kata datuk pada saya sambil menggigit ibu jarinya. Saya anggukkan kepala dengan harapan datuk akan terus duduk di tebing sungai itu. Saya sudah tidak sanggup lagi untuk berjalan di kawasan yang penuh se­mak samun itu. Selain dari itu, hati saya sentiasa bimbang dan cemas. Manalah tahu, tiba-tiba pemuda yang tinggal di rumah batu akan keluar membawa parang untuk memotong leher saya dan datuk. Dan bermacam-macam perkara bermain dalam kepala saya.

"Memang elok, malam lumaat”, tambah datuk lagi sambil merenung ke arah rumah batu yang sudah jauh tertinggal di belakang.

Saya terus menggigit bibir sambiI merenung ke langit. Saya lihat awan petang itu cukup bersih. Datuk berhenti melangkah. Dengan teliti dia meletakkan punggungnya atas batu besar yang terdampar di bibir Sungai Bernam. Tidak jauh dari batu besar itu terdapat sepohon pokok ara yang akarnya terjuntai ke dalam air sungai. Perdu pokok ara itu cukup besar, kira-kira dua pemelok. Air Sungai Bernam yang mengalir itu seakan-akan berpusing-pusing di bahagian akar pokok ara itu sebelum mengalir ke selatan. Kerana air Sungai Bernam yang mengalir itu cukup jernih, pasir dan batu-batu yang terdapat di dasarnya boleh dilihat dengan jelas. Datuk saya lihat merenung air sungai yang seakan-akan berpusing berhampiran dengan akar ara yang terjuntai itu. Datuk macam mencari sesuatu. Dahinya saya lihat berkedut bersama bintit-bin­tit peluh yang tumbuh di kiri kanan pipinya. Saya merasa hairan dan takjub dengan sikap datuk yang tiba-tiba berubah itu.

"Kita harus mencari akar-akar kayu, pucuk-pu­cuk kayu dan batu-batu yang terdapat dalam sungai ni Tamar”, ujar datuk sambil merenung muka saya.

Macam ada sesuatu yang timbul dalam diri saya untuk menentang apa yang datuk cakapkan. Apa perlunya batu dan akar kayu itu? Apakah datuk tidak tahu hari sudah petang? Apakah dia tidak terfikir pemuda yang berada di rumah batu itu akan sampai ke tempat saya dan datuk duduk sekarang? Saya mengeluh dalam hati.

"Semuanya ada guna untuk kita Tamar. Aku tahu apa yang kau fikirkan dan kau jangan cuba membantah cakap aku”

Mendengar suara datuk itu, muka saya segera berubah. Saya malu pada diri saya sendiri. Datuk sudah tahu apa yang tersirat dalam hati saya. Datuk renung muka saya sebentar. Kemudian dengan tenang datuk Iipatkan kedua belah kaki seluarnya hingga separas kepala lutut. Datuk terus turun ke dalam sungai. Meranduk air sungai dengan tenang sambil membongkokkan badan mengutip batu-batu yang berada betul-betul di tengah sungai. Kebanyakan batu yang dikutip itu berbentuk leper dan bersegi tiga. Datuk masukkan batu-batu itu ke dalam saku bajunya. Jumlah batu yang dikutip oleh datuk lebih kurang tiga puluh tiga biji. Datuk memanjat tebing sungai dan terus menghampiri saya.

"Mari kita ke sana”, ujar datuk sambil menuding jarinya ke arah matahari terbit.

Saya pun segera bangun dan mengeliat dua tiga kali. Datuk terus lang­kah. Saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengikutnya saja.

Matahari petang kian condong, bebayang pokok memanjang di tanah. Awan saya lihat tetap berarak tenang. Kami masuk ke kawasan hutan kecil yang bersambung dengan kaki sebuah bukit. Pokok-pokok yang tumbuh di kaki bukit itu agak subur . Dengan menggunakan tangannya datuk pun mematahkan beberapa dahan kayu yang berdaun lebat. Kami kian jauh mara ke dalam hutan dipinggir bukit itu, matahari kian mengecil membuat suasana di sekitar kawasan tersebut agak muram. Dan datuk dengan menggunakan kekuatannya berjaya mencabut beberapa akar kayu hutan.

"Balik”, kata datuk .

Kepalang gembiranya hati saya mendengar cakap datuk itu. Kami berpatah balik menuju ke tebing sungai, tempat kami mula bergerak tadi. Sebaik saja sampai di bawah pokok ara tempat saya dan datuk duduk tadi, terdapat kesan-kesan darah pada akar pokok tersebut. Datuk melihat kesan darah itu dengan teliti.

"Darah apa agaknya?", rungut datuk sambil merenung muka saya.

Cepat-­cepat saya gelengkan kepala. Ketika itu saya lihat di kaki langit, cahaya merah dan kekuningan mula bangkit, menandakan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba. Tanpa banyak cakap, datuk pun menutup kesan darah di akar kayu ara dengan daun kering.

Tiba-tiba saya Iihat wajah datuk berubah. Ekor matanya menjeling tajam ke kiri dan ke kanan, macam kucing mengamati langkah mangsanya. Saya segera menggigit bibir, bila melihat ada titisan darah jatuh dari dahan pokok ara. Darah itu menitik atas lengan datuk dan mengalir perlahan-Iahan menuju ke hujung jarinya.

"Ambilkan daun keladi dan sapukan darah di lengan ini”, kata datuk.

Saya pun segera mematuhi perintahnya. Sebaik saja darah di lengan itu saya sapukan dengan daun keladi, datuk pun mengambil daun keladi dari saya lalu diletakkan atas tanah dengan keadaan yang terlentang.
Macam kilat datuk melompat lalu membuka silat langkah pertama sambil melepaskan buah silat kiri dan kanan. Pergerakan datuk cukup cepat dan tangkas. Bila datuk mematikan langkahnya, saya lihat daun keladi yang dile­takkan dalam keadaan terlentang hancur.

Akhirnya datuk dongakkan kepala dan sepasang matanya merenung tajam ke arah salah satu dahan ara. Urat-urat di mata datuk kelihatan seakan-akan timbul dan berwarna merah. Dari kedua-dua belah bibir matanya, saya lihat keluar asap yang nipis macam kabus. Dahi datuk berpeluh begitu juga kulit pipinya, dagu datuk bergerak­gerak. Datuk terus menenung dahan ara itu. Tiba-tiba dahan yang ditenungnya patah dan jatuh ke bumi.

"Selesai”, kata datuk lalu menarik tangan saya ke arah kesan kena bakar.

Daun yang terdapat di dahan itu semuanya layu dan kecut. Datuk tidak mence­ritakan apa-apa pun berhubung dengan dahan yang patah dan darah yang menitis pada lengannya. Kami pun meninggalkan kawasan tersebut. Hari sudah beransur gelap. Kerana kami ditempatkan di sebuah rumah khas oleh keluarga pemuda ganjil itu membuat saya dan datuk terasa agak selesa dan bebas bergerak.

Malam itu, datuk membuat keputusan yang amat menakjubkan. Dia mahu meninjau keadaan kawasan sekitar rumah batu. Dia mahu melihat apa yang dilakukan oleh pemuda itu ketika bulan menggambang.

"Siapkan keris kecil untuk aku”, datuk mengeluarkan perintah.

Sebaik saja dia selesai menunaikan sembahyang Isyak, saya segera mengeluarkan keris kecil dari tempatnya dan terus menyerahkan pada datuk. Datuk gulung keris itu dengan kain hitam dan terus diselitkan ke pinggangnya. Sebelum meninggalkan rumah khas tempat kami menginap, datuk terlebih dahulu duduk bersila di muka pintu sambil membaca sesuatu. Saya di suruhnya melihat bulan di langit. Saya berdiri dimuka tingkap melihat langit dan awan. Datuk terus bertafakur, kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah.

"Malam ni baru 13 Syaaban, bulan tidak begitu besar”, ujar datuk sambil menepuk lantai tiga kali.

Dia terus mundar-mandir di ruang rumah. Saya biarkan datuk dengan keadaannya. Saya tidak mahu campur dalam urusannya. Saya tersenyum, di langit bulan mula timbul, awan nipis yang melitupinya mula bergerak, terpisah dengan bulan yang sebesar buah kelapa sulung itu. Datuk segera menghampiri dan berdiri dekat muka tingkap. Wajahnya kelihatan berseri-seri.

"Malam ni mulakan dulu”, kata datuk.

"Terlalu cepat datuk bertindak?"

"Apa salahnya, menguji dulu sebelum masuk gelanggang”

"Saya takut kerja datuk jadi kerja yang sia-sia?"

"Kita sekadar mencuba”, jawab datuk.

Tiba-tiba datuk dan saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Bulan di langit kian menyerlah. Awan kian bersih dan bergerak-gerak perlahan-Iahan mengikut arah angin. Suara lolongan anjing kian kuat dan menyeramkan. Pokok-pokok sekitar kawasan rumah tempat kami menginap mula bergerak-gerak disentuh angin.

"Aku dengar bunyi suara orang menjerit”, bisik datuk ke telinga saya.

Dan datuk menyuruh saya mengamati arah mana suara orang menjerit itu datang. Saya pun pasang telinga dengan teliti. Dada saya mulai berdebar.

"Dari arah rumah batu tuk”

"Aku rasa pun begitu juga”

"Apa yang patut kita buat tuk?"

"Kita pergi kesana, meninjau”

Saya menarik nafas panjang bila mendengar cakap datuk itu. Suara lolongan anjing kian kuat, angin juga mula bertiup agak kencang. Saya merasa hairan, kenapa hal itu terjadi dengan mendadak. Bila dilihat keadaan hari, memang tidak wajar angin boleh bertiup begitu kencang. Suara orang menjerit kian galak, bersambung-sambung dalam lolongan yang memanjang. Datuk menyuruh saya turun dahulu. Dia mahu menguncikan daun pintu. Saya terus turun. Bila kaki saya memijak bumi, dada saya terasa berdebar-debar.

Dalam keadaan yang resah itu, sebiji pisang muda macam dibaling orang tertentu mengenai dahi saya. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan saya terhuyung-hayang. Dalam keadaan yang tidak keruan itu datuk terus memeluk saya. Datuk dudukkan saya atas anak tangga. Dengan perlahan-lahan datuk menepuk dahi saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya kembali normal. Dan badan saya tidak lagi terhuyung-hayang.






































No comments:

Post a Comment