TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
031. KERETA JENAZAH BERGERAK SENDIRI
SAMPAI TIGA hari bau
minyak dicampur air mandi limau masih wangi sekali pun mandi digosok sabun.
Haji Basar tahu minyak yang dicampur
dalam air limau Ucu Semali sekadar minyak biasa yang di beli di kedai mamak.
Apa sangat minyak wangi berkenaan kalau disapu pada kulit apabila dijadikan
losyen semata - mata. Setelah dibasuh atau mandi, nescaya bau minyak berkenaan
akan hilang serta merta.
Tetapi Ucu Semali bancuh minyak berkenaan dalam air mandi
limau setelah menunggu malam diserkup sepi. Sebaik sahaja Ucu Semali memotong
limau yang dipetik 3 biji pada satu tangkai, dia memberi isyarat supaya Haji
Basar meletakkan duit sebanyak 25 sen ke
dalam piring berisi limau berkenaan.
Setelah air di dalam baldi siap dibancuh, limau juga siap
dipotong, segera Ucu Semali padamkan lampu biar di dalam rumah menjadi gelap.
Tetapi Haji Basar nampak melalui kilauan
cahaya lampu yang terpasang di dapur rumah, Ucu Semali telah membakar setanggi.
Lama dia terconggok di depan asap setanggi lantas Ucu Semali pun menyeru :
assalamualaikum ya rijal ghaib, assalamualaikum ya ruhul-qudus, ya ghausnya nya
ya muhan ya nuqbah ya nujabar ya akhyar ya autad ya amud ya hosilalmurad
wahosilal maksud...".
Kemudian Ucu Semali merungut - rungut bagaikan bercakap
tidak menentu. Memang Haji Basar dapat
mengagak tentu Ucu Semali dapat melihat apa sahaja lembaga di depannya kerana
sekali sekala dia bagaikan menyuruh lembaga itu kemana- mana. Dia akan menunggu
beberapa ketika seolah - olah untuk mendapatkan laporan yang diperlukannya.
Hampir setengah jam Ucu Semali merungut - rungut, lantas dia
meminta pasangkan lampu semula. Selepas itu dia menyuruh Haji Basar berdiri di cucur atap lalu terus dijirus
dengan air mandi limau itu dari tingkap serambi. Memang sejuk juga Haji
Basar akibat dijirus air tatkala tengah
malam, tetapi dia terpaksa mematuhi apa sahaja kemahuan Ucu Semali.
Lama sangat dia merasakan seolah - olah rezekinya tersekat
sehingga perniagaannya semakin menurun. masakan tidak semena - mena sahaja
segala peluangnya bagaikan tertutup rapat. Memang siapa pun tidak percaya
apabila dia mengalami kebuntuan akibat wang ditangannya tidak membawa
keberkatan langsung.
Tahu sangat Haji Basar
wang perniagaannya tidak pernah susut, tetapi dia sentiasa mengalami
kesempitan. Kadangkala dia sendiri tidak menyedari bagaimana berbelanja
sehingga wang di dalam dompetnya sering kehabisan. Kereta juga sentiasa meragam
hingga tayarnya bocor setiap 3 hari sekali.
" Tak tahulah Ucu nak buat macam mana " ujar Ucu
Semali apabila Haji Basar memberitahunya
mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
" Berniaga saya rasanya tak jatuh, tapi wang habis tak
tahu ke mana! " keluh Haji Basar disebabkan
tidak tertahan lagi menahan kerusuhan hati.
" Kalau berniaga tak rugi macam mana pula sempit
rezeki? " memang Ucu Semali tidak dapat mengagak masalah yang ditanggung
oleh Haji Basar .
" Tak tahulah saya Ucu, ada saja yang tak kena "
tutur Haji Basar apabila kenangkan
keretanya yang selalu rosak itu. Selang 3 hari sekali tayar kereta bocor, pintu
kereta pula terkunci tidak boleh dibuka. apabila dibawa ke bengkel, tidak ada
apa - apa kerosakkan pun.
" Ikut pengalaman Ucu, tak pernah berlaku macam ni
" jelas Ucu Semali yang serba salah juga mahu membantu setelah Haji
Basar menjengah ke rumahnya di kawasan
felda berkenaan.
" Macam mana pun, Ucu cubalah! " desak Haji
Basar semacam meletakkan harapan yang
tinggi pada ucuc semali.
Tatkala Ucu Semali mula membakarkan setanggi, sekali gus
terasa seluruh badannya geli geleman seolah - olah badannya dilumuri minyak.
Cepat - cepat Ucu Semali mengisar duduk lantas menepuk kepala lututnya 3 kali.
Sebaik sahaja Ucu Semali melihat bayangan pejabat Haji Basar , terkejut dia
seolah - olah dinding pejabat juga dilumuri minyak hingga tercium bau harum.
Tersenyum Ucu Semali disebabkan bau minyak yang harum itu
menjadikan pejabat Haji Basar bagaikan
tenggelam di tengah ombak minyak yang mengalir di celah dinding laksana mata
air pada tebing telaga. Jikalau mata air berkenaan disumbat, nescaya akan terus
juga terpancut bagaikana tidak dapat ditahan - tahan.
Ketika itulah Ucu Semali duduk lantas berzikir hingga terasa
tubuhnya melayang - layang ke udara. Serentak dengan itu, dia melihat
disekelilingnya terlalu ramai lelaki berkeliling. Tidak bertangguh Ucu Semali
pun menyuruh semua lelaki yang menjelma di depannya itu supaya menutup mata air
yang memancut minyak wangi pada dinding pejabat Haji Basar itu.
Setelah geli geleman di seluruh tubuhnya itu beransur
hilang, segera Ucu Semali mengisarkan duduknya. Lantas dia pun menghelakan
nafas lalu terus memberi isyarat supaya lampu dipasangkan semula. Menggeleng -
geleng lemah dia tetapi dia tidak mahu memberitahu apa - apa kepada Haji
Basar setelah melihat keadaan di
pejabatnya itu.
Apabila Ucu Semali jiruskan air mandian limau itu, memang
dia tidak benarkan Haji Basar lapkan air
itu dengan tuala. Biarlah air yang dijirus ke tubuh itu berbintik - bintik
sampai kering sendiri. Rambut juga dibiarkan tidak disisir disebabkan
bimbangkan air mandi limau itu tua apabila menitik dihujung rambutnya.
Sebab tu bau minyak berkenaan melekat pada rambut Haji Basar
. Tatkala beliau balik ke rumah, dia terus rebahkan badan ke katil. Sekali gus
pula isterinya, Hajah Rusijah terbau
minyak wangi berkenaan sampai melekat bau itu ke bantal. 3 hari pula Hajah
Rusijah terbau wangi bantal itu sekali
pun sudah dijemur di anjung rumah.
Tersengih - sengih Hajah Rusijah mengejek Haji Basar tatkala menghadap sarapan pagi apabila
memberitahu mengenai bau minyak wangi yang melekat pada bantal itu. Tetapi Haji
Basar tidak peduli sangat sama ada
isterinya mengejeknya atau tidak. Manalah isterinya tahu mengenai keadaan di
pejabatnya yang tiba - tiba sahaja bagaikan malap tidak berseri apa - apa.
Kalau tidak kenang kawannya, Wak Damus ingatkan dia supaya tidak terburu - buru
sangat mengambil keputusan mahu menutup perniagaannya, memang sudah lama Haji
Basar tinggalkan pejabatnya. Biarlah dia
terperosok di rumah mengharapkan anak - anaknya membantu, setelah perniagaan
yang sekian lama dikendalikannya itu tiba - tiba sahaja menghadapi masalah.
Dia tahu perniagaannya tidaklah jatuh merudum. Segala -
galanya masih berjalan dengan baik hinggakan mereka yang berniaga dengannya
tidak pernah culas membayar. Tetapi duit ditangannya selalu sahaja habis tidak
menentu. Dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana mahu tuliskan buku akaun akibat
daripada perasaannya yang sentiasa rusuh itu.
" Ahh! minyak wangi biasa " sahut Haji Basar yang tidak peduli sangat dengan usikan
isterinya itu.
" Arwah ayah dahulu pun gunakan minyak wangi macam tu
" tersengih - sengih Hajah Rusijah
disebabkan bau minyak wangi yang digunakan pada air mandian limau Haji
Basar masih berbau harum.
" Emmm...dia gunakan untuk apa? " berkerut dahi
Haji Basar apabila isterinya ungkit
fasal minyak yang digunakan oleh arwah bapa mentuanya.
" Setahu saya, arwah ayah dulu buat minyak senyonyong
" jelas Hajah Rusijah bagaikan curiga
dengan air mandi limau yang dijiruskan oleh Ucu Semali itu. " Sebab itu
arwah ayah beristeri sampai 4 " beritahu dia selanjutnya apabila kenangkan
arwah ayahnya, Andak Bucin yang
berkahwin sampai 4 itu.
Terkekeh - kekeh Haji Basar
ketawa sebaik sahaja Hajah Rusijah
sebut mengenai arwah ayahnya yang berkahwin 4 itu. Lantas sahaja Haji
Basar menuduh tentu isterinya juga
bimbang dia mandi air limau disebabkan mahu berkahwin lain. Asal sahaja bertemu
Ucu Semali jauh di kawasan Felda, tentu bertujuan mahu memikat sesiapa. Sebab
itu Haji Basar terasa sangat geli
hatinya apabila Hajah Rusijah menyindir
sedemikian.
Takat mencari minyak senyonyong, tidak perlulah dia bersusah
payah meranduk kesepian malam untuk menemui Ucu Semali. Memang arwah bapa mentuanya
sudah berikan dia minyak senyonyong biar mudah laris tatkala berniaga apa pun.
Sesiapa sahaja yang berurusan dengannya, sudah tentu akan menuruti keputusannya
sebaik sahaja minyak tersebut disapukan pada alis mata terus ke atas bibir.
Memang bapa mentuanya Andak Bucin ingatkan Haji Basar supaya tidak salah gunakan minyak senyonyong
berkenaan. Kalau digunakan untuk memikat perempuan, nescaya minyak senyonyong
berkenaan sekadar seronok mahu berkahwin sampai empat isteri sahajalah. Haji
Basar sendiri menyedari Andak Bucin beristeri sampai 4 orang, tetapi berniaga
tiada satu pun yang menjadi.
disebabkan tidak boleh digunakan untuk berniaga, lantas
sahaja Andak Bucin bekerja sebagai
tukang kayu. Apabila dia berikan minyak senyonyong itu pada Haji Basar , dia
sudah ingatkan fasal niat yang tertanam di kalbu sebaik sahaja diturunkan
kepada menantunya. Lantas sahaja Haji Basar
tanamkan niat jauh di lubuk hati mahu gunakan untuk berniaga semata -
mata.
Setiap kali malam bulan mengambang penuh, Haji Basar akan asapkan botol minyak berkenaan dengan
kemenyan sampai berturut - turut 3 malam. Dia akan melihat akar serai bunga di
dalam botol itu, akan berpusing di tengah minyak yang berbuih sebaik sahaja
diasap dengan kemenyan. Sekali gus pula akar serai itu akan bertukar warna
menjadi kebiru - biruan apabila asap kemenyan itu melabun di tengah rumah.
Cubalah sesiapa sahaja berurusan niaga dengannya, mencari
helah tidak mahu membayar wang yang dituntut. Tatkala dengar suara Haji
Basar di dalam telefon sahaja nescaya
hati akan menjadi gementar. Tidak bertangguh mereka akan memberikan janji mahu
membayar sebelum Haji Basar sempat
bertanya apa - apa.
" Minyak senyonyong ayah jikalau disalah gunakan,
memanglah untuk memikat perempuan aje! " ujar Haji Basar di hujung ketawanya sengaja menyindir
isterinya.
" Jadi, arwah ayah dulu salahgunakan minyak senyonyong
tu? " lantas Hajah Rusijah mencebek
bibir kerana menyangka suaminya tidak tahu apa - apa pun mengenai minyak
senyonyong berkenaan.
" Entahlah, tapi kalau nak kahwin sampai 4 tak payah
pakai minyak senyonyong pun boleh” jelas
Haji Basar sambil tersengih - sengih
mengulum senyum disebabkan dia sudah berjanji dengan arwah bapa mertuanya untuk
merahsiakan fasal minyak berkenaan yang diturunkan kepadanya.
Bukan mudah Andak Bucin
mahu turunkan minyak senyonyong yang mengalir keluar dari pada rumpun
serai bunga itu, kalau Haji Basar tidak
mahu rahsiakannya. Tentu anaknya, Hajah Rusijah
akan mengalami nasib yang sama seperti emaknya yang hidup bermadu
sekiranya Haji Basar tidak menyimpan
rahsia mengenai minyak senyonyong yang ditampung tatkala keluar meleleh di
rumpun serai bunga.
Bangga sangat Andak Bucin
apabila dia menemui rumpun serai bunga di tengah hutan lalu dibawa balik
dan ditanam di hujung halaman. Beberapa kali juga Andak Bucin mengendap sewaktu malam bulan tengah
mengambang penuh apabila tercium bau harum laksana bunga cempaka gugur ke
tanah.
Lantas disuluhnya ke perdu rumpun serai bunga itu setelah
rumpun serai bunga itu bergegar kuat. Tersentak Andak Bucin apabila melihat minyak meleleh pada perdu
rumpun serai berkenaan. Cepat - cepat dia tadahkan tempurung disebabkan bau
minyak berkenaan sangat semerbak harumnya. Dia simpan baik - baik minyak
berkenaan dengan akar serai bunga yang jatuh ke dalam tempurung tidak dibuang
satu pun.
Apabila isterinya menanyakan mengenai minyak di dalam
tempurung yang berbau harum itu, terus sahaja Andak Bucin memberitahunya minyak senyonyong. Tergamam
isterinya sebaik sahaja diberitahu bahawa minyak senyonyong keluar meleleh pada
perdu rumpun serai bunga. Sewaktu isterinya menjengah perdu rumpun serai
berkenaan, dia semakin terkejut apabila melihat beberapa butir batu berwarna -
warni berlonggok di situ.
Disebabkan dia menyimpan batu batu berwarna warni itu,
isterinya tidak marah apabila Andak Bucin
berkahwin lagi. Apa lagi, batu berwarna - warni itu akan bertambah
sekiranya dia jualkan kepada jiran - jirannya. sampailah beliau meninggal
dunia, tiba - tiba sahaja batu berwarna - warni berkenaan hilang entah ke mana.
Serai bunga yang dijaga baik - baik oleh Andak Bucin juga pupus tidak bersebab.
Setelah diturunkan kepada Haji Basar minyak senyonyong tersebut, Andak Bucin ingatkan menantunya supaya tidak memberitahu
sesiapa pun mengenai minyak senyonyong berkenaan. Bimbang benar dia mahu
serahkan pada anak - anak lelakinya yang lain takut mereka berbangga sangat
hingga memikat sesiapa sahaja perempuan yang menarik perhatiannya.
" Boleh jadi minyak senyonyong arwah ayah dulu, awak
yang simpan? " segera Hajah Rusijah
menuduh disebabkan bau air mandi limau suaminya seakan - akan bau minyak
senyonyong yang disembunyikan oleh ayahnya. Tahu sangat Hajah Rusijah mengenai minyak berkenaan disebabkan dia
pernah terserempak di dalam peti kayu di bawah kolong.
" Hus, kalau ada pada aku, tentu aku kahwin 4! "
ujar Haji Basar sengaja berdalih.
Ketika ini lah mereka berdua dikejutkan dengan bunyi sorak
sorai anak - anak di luar pagar rumah. Lantas sahaja Hajah Rusijah menerpa ke pintu hadapan rumah hinggakan
tidak peduli lagi fasal minyak senyonyong yang dibangkitkan di depan suaminya
itu. Sebaik sahaja dia menjengah keluar, Hajah Rusijah tidak melihat seorang pun kanak - kanak yang
bersorak di luar pagar rumahnya itu.
Tetapi dia terkejut apabila melihat sebuah kereta jenazah
tersergam di luar pagar rumahnya. Belum pun sempat dia memanggil Haji Basar ,
lantas sahaja suaminya tercegat di belakangnya. Segera Haji Basar membukakan jeriji pintu untuk memastikan memang
betul kereta jenazah itu berhenti di hadapan rumahnya.
Ketika Haji Basar
berjalan mendekati pintu pagarnya, kereta jenazah itu terus bergerak
meninggalkan kawasan rumahnya. Hajah Rusijah pula ternampak kereta berkenaan
bergerak secara sendiri tanpa kelibat pemandunya. Hairan juga Haji Basar apabila diberitahu oleh isterinya mengenai
kereta jenazah itu bergerak dengan sendiri dengan tidak ada pemandunya.
Apabila hal itu diberitahu kepada jiran - jirannya, mereka
juga terkejut. Tidak ada sesiapa pun yang melihat kereta jenazah itu berhenti
di luar pagar rumah Haji Basar tatkala
mereka sedang bersarapan pagi. Sewaktu mereka menjengah ke tepi pintu pagar,
memang bekas tayar kereta ternampak timbul pada tanah pasir di situ.
" Saya tidak nampak sebuah pun kereta berhenti di situ,
abang haji " ujar Fahzi jiran yang
dekat bersebelahan rumah. memang sejak selepas solat subuh Fahzi bersenam di hadapan rumahnya. Sekiranya
kereta jenazah berkenaan berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar , memang
dia yang akan mula - mula melihatnya.
" Eeh, takkan lah saya bermimpi! " gerutu Haji
Basar semacam tidak percaya apabila
diberitahu sedemikian oleh Fahzi .
" Sejak selepas subuh memang saya di halaman rumah ini
" jelas Fahzi yang mengakui nampak
Haji Basar menerpa ke pintu pagar secara
tergesa - gesa.
" Siapa pula yang meninggal dunia? hingga kereta
jenazah tersalah rumah" lantas Mat Sutin mencelah setelah diberitahu fasal
kereta jenazah pagi - pagi lagi berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar .
" Memang saya dengar suara budak - budak bersorak
" sahut Hajah Rusijah menjelaskan
apabila jiran - jiran memberitahu tidak melihat seorang pun kanak - kanak di
situ. Kalau kanak - kanak bersorak pun, tentu anak - anak mereka yang sudah ke
sekolah semenjak selepas subuh lagi.
Tetapi berturut - turut 3 pagi pula mereka di situ
dikejutkan dengan kereta jenazah yang berhenti tersergam di depan pintu pagar
rumah Haji Basar . Tidak sampai 2 minit kereta berkenaan berhenti, cepat -
cepat sahaja ianya akan bergerak. Memang Fahzi
juga tidak dapat melihat kelibat pemandu kereta itu apabila ia bergerak
meninggalkan pintu pagar tersebut.
Bukan Fahzi sahaja
yang terserempak, malah Mat Sutin yang suka mengusik jirannya itu juga tergamam
apabila beliau juga turut terserempak dengan kereta jenazah yang tiada pemandu
itu berhenti di hadapan rumah Haji Basar . Sebab itu mereka mula mengendap di
pintu pagar rumah sebai sahaja selepas waktu subuh. tetapi tidak kelihatan apa
- apa pula sampai seminggu apabila mereka menunggu di situ.
Disebabkan terserempak dengan kereta jenazah tidak ada
pemandu yang berhenti di depan pintu, lantas sahaja Haji Basar menemui Ucu Semali semula. Sengaja dia
mengajak Fahzi ikut sama temankan dia ke
Felda berkenaan. Tetapi Ucu Semali juga memberitahu bahawa kereta jenazah turut
ada berhenti di halaman rumahnya selepas subuh tatkala dia turun ke tanah mahu
ke kebun.
Sebaik sahaja Ucu Semali mahu mencapai motorsikalnya, dia
menyedari bahawa kereta jenazah itu bergerak perlahan - lahan meninggalkan
halaman rumahnya. Memang dia cam sangat bahawa tidak ada pemandu di hadapan.
Berturut - turut 3 pagi Ucu Semali terserempak dengan kereta jenazah tersebut
yang berhenti di halaman rumahnya, kemudian aia bergerak perlahan - lahan
sebaik sahaja Ucu Semali mencapai motorsikalnya.
Ucu Semali tidak peduli sangat mengenai kereta jenazah yang
berhenti di halaman rumah kerana menyangka pemandunya sengaja mahu berhenti
berehat. Tentu pemandu kereta jenazah itu yang masuk ke dalam kawasan Felda
berkenaan keletihan sangat kerana menguruskan membawa balik jenazah dari
hospital. Manalah tahu jirannya di kawasan Felda berkenaan sudah bekerja
menjadi pemandu kereta jenazah berkenaan.
Setelah dia cam sangat kereta jenazah itu bergerak tanpa
pemandu, Ucu Semali mula mengesyaki kereta berkenaan sekadar bayangan sahaja.
Tetapi anaknya, Uncak juga terserempak
dengan kereta jenazah berkenaan melalui lorong ke rumahnya tatkala dia mengayuh
basikal ke sekolah. 3 pagi berturut - turut Uncak cam sangat kereta berkenaan memang tidak ada
pemandu.
" Ucu di sini pun terserempak dengan kereta jenazah
" beritahu Ucu Semali apabila Haji Basar
jelaskan kejadian yang menimpa di rumahnya 3 pagi berturut - turut.
" Cam benar Ucu, memang kereta itu tidak ada pemandu
" ujarnya menambah apabila kenangkan kejadian yang sama menimpa rumahnya
juga.
" Takkan kita sama - sama bermimpi, Ucu? " hairan
juga Haji Basar kiranya mahu dituduh
mereka bermimpi.
Kalau takat dia suami isteri sahaja melihat, boleh juga
dianggap kereta jenazah itu sekadar bayangan. tetapi Fahzi dan Mat Sutin jiran - jirannya, juga
terserempak sama.
" Bukan perkara mimpi ni, Aji " jelas Ucu Semali
tersengih - sengih kerana tidak bimbang apa - apa sekiranya mahu menguji
dirinya.
" Kadangkala orang nak tunjuk kepandaian, manalah kita
tahu! " dia mendengus perlahan seolah - olah kejadian tersebut mahu
mencabar dirinya.
" Macam - macam ilmu sihir " ujar Fahzi yang memang pernah mengalami kejadian
diganggu sihir sewaktu tinggal di rumah lamanya sebelum berpindah berjiran
dengan Haji Basar . Apabila dia memberitahu kepada Haji Basar , lantas sahaja
lelaki itu mentertawakannya kerana terlalu percayakan sangat kejadian
sedemikian.
Manalah Haji Basar
dapat merasakan keadaan cemas dirinya sekeluarga apabila langsir jendela
tiba - tiba sahaja terbakar. Habis sahaja langsir rentung terbakar, sekali gus
pula api padam tidak sempat menjilat ke dinding. tilam di atas katil juga
terbakar bagaikan ditabur bara merah menyala hingga kekabu tilam berlubang -
lubang ditembusi api. Rusuh benar hati Fahzi
disebabkan sepanjang malam dia terpaksa berjaga - jaga.
Lantas sahaja Itam Suhor
menyuruhnya buangkan sahaja langsir, kalau api berkenaan sengaja
membakar langsir jendelanya. Apabila tidak dipasangkan langsir, kusyen bangku
pula berlubang - lubang bagaikan bara berserak di situ. 3 malam berturut -
turut Itam Suhor membakarkan kemenyan,
namun kejadian api memercik laksana bara ditabur itu terus berlaku di dalam
rumah.
Disebabkan api yang mengganggu rumah Fahzi tidak juga reda asal sahaja masuk waktu
maghrib, segera Itam Suhor
memberitahukan hal tersebut kepada Pak Gumil . Ketika Pak Gumil jejakkan kaki ke rumah Fahzi , tidak pula
berlaku api memercik sebaik sahaja masuk waktu maghrib. Sehingga tengah malam
Pak Gumil menunggu, dia terus solat
sunat 2 rakaat. setelah dia berzikir jauh di dalam jiwanya, Pak Gumil segera membacakan sebanyak 7 kali : "
laqod ja-akum rasulummin anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum horison 'alaikum
bil-mukminina raufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiyallahu la-ilahailla-huwa
'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim ".
Ketika inilah mereka terkejut apabila tercium bau hangit
bagaikan bau rambut terbakar. Semenjak Pak Gumil berulang 2 malam berturut - turut, Fahzi berasa lega apabila rumahnya tidak lagi
diganggu. Apabila dia mahu membayar wang pengeras, Pak Gumil sekadar menyuruh dia hantarkan sahaja pisang
ke masjid 3 jumaat berturut - turut.
Puas juga Fahzi
mendesak supaya memberitahu mengenai kejadian yang mengganggu rumahnya,
tetapi sengaja Pak Gumil berdalih.
Manalah Pak Gumil mahu memberitahu
mengenai Fahzi yang menggunakan minyak
senyonyong tatkala memikat isterinya sehingga lelaki yang menaruh perasaan
sentiasa menyimpan dendam.
Marah benar lelaki itu apabila Fahzi yang kurus meleding mudah sangat memikat
Mazimah, hingga lelaki berkenaan sengaja mahu menimbulkan kecemasan. Biarlah
Fahzi gunakan minyak senyonyong yang
disapukan pada sapu tangan hingga tercium kepada Mazimah . Sebab itu, Pak
Gumil sekadar bisikkan pada Fahzi bahawa penggunaaan minyak senyonyong juga
boleh memudaratkan diri sendiri juga.
Tetapi Fahzi tidak
bermaksud mahu menyakiti hati sesiapa pun apabila mencari minyak senyonyong
sampai ke tengah hutan negeri Pahang. Dia sekadar mahu memikat hati
Mazimah yang berdalih sangat setiap kali
dia cuba mendekati perempuan itu. Sebab itu Fahzi terpaksa juga mendesak bapa saudaranya di
Jerantut agar dapat membantu, biar diturunkan jampi serapah untuk diamalkannya.
Sengaja bapa saudaranya memberikannya sahaja minyak
senyonyong biar dititikkan pada sapu tangan. Asal sahaja terserempak dengan
Mazimah , beliau akan kibaskan sapu tangan tersebut biar bau wanginya tercium
menusuk ke hidung. Sebaik sahaja tercium bau minyak senyonyong, memang 3 malam
berturut - turut Mazimah tidak boleh
lelapkan mata apabila kenangkan akan diri Fahzi . Setiap kali menjejakkan kaki
ke pejabat, dia akan tertunggu - tunggu akan Fahzi masuk menjengah.
Tiba - tiba sahaja perasaannya tidak boleh lupakan
Fahzi asal sahaja mata mahu mengantuk
tidur. Dia akan tergamam bangun bagaikan terdengar suara Fahzi berbisik di telinganya menyuruhnya membuka
mata. Sebab itu mudah sahaja Mazimah
menerima lamaran tatkala Fahzi
masuk meminang. Manalah Fahzi
tahu fasal lelaki yang hatinya terluka apabila dia berkahwin dengan
Mazimah .
Sebab itu Pak Gumil
tidak peduli sangat tatkala melihat bara api ditaburkan di dalam sekam
padi. Setelah dihembuskan 3 kali dengan surah al fatihah, dia melihat dengan
jelas asap melabun naik apabila sekam padi dielus angin kencang. Ketika ini Pak
Gumil melihat lelaki berpakaian serba
hitam tercegat di situ mencampakkan bara dari sekam padi seolah - olah
menyinggahi langsir jendela.
" Kalau jauh nak ke Felda ni, cubalah jumpa Pak
Gumil tu " tutur Ucu Semali sebaik
sahaja diberitahu oleh Fahzi mengenai
kejadian yang menimpa rumahnya bertahun - tahun sebelum itu.
" Pak Gumil dah
lama meninggal dunia " beritahu Fahzi
apabila kenangkan dia tidak sempat menziarahi orang tua berkenaan.
" Anak murid Pak Gumil
tak ada ke? " desak Haji Basar
pula sengaja mahu mengetahui fasal Pak Gumil . Dalam saat demikian dia
lebih mengharapkan Ucu Semali sahaja, setelah sama - sama mengalami kejadian
terserempak kereta jenazah bergerak sendiri dengan tidak ada pemandu itu.
" Tak salah saya, Pak Gumil dulu datang dengan ustaz " jelas
Fahzi yang tetap ingat sangat malam
kedua Pak Gumil datang menjengah ke
rumahnya memang bersama dengan saya.
" His, ustaz tu selalu dia ke sini " sahut
Sebanun, isteri Ucu Semali sambil mencuit bahu suaminya.
Tersenyum Ucu Semali sebaik sahaja Fahzi sebutkan mengenai saya bersama Pak Gumil jejak kaki ke rumahnya tatkala kejadian api
membakar langsir jendela tidak semena - mena. Tilam di katil juga disinggahi
dengan bara api yang tidak kelihatan di mana - mana itu. Malah kusyen yang baru
dibeli dari kedai perabot juga tebuk berlubang - lubang bagaikan disinggahi
bara api menyala.
" Ucu kenalkah dengan ustaz tu? " tanya Fahzi sambil menatap muka Ucu Semali setelah
diberitahu oleh Sebanun mengenai saya yang sering kali menjengah datang ke
felda itu.
" Ustaz tu bukannya mahu sangat kalau dijemput "
lantas Sebanun mencelah sebelum Ucu Semali sempat menuturkan apa - apa.
Tetapi Ucu Semali tahu perkara kereta jenazah bergerak
sendiri dengan tidak ada pemandu bukannya sama dengan kejadian api memercik di
dalam rumah Fahzi . Tiba - tiba sahaja kereta jenazah itu menjelma di tengah
halaman rumahnya tatkala Haji Basar juga
mengalami perkara yang sama. Sebaik sahaja dia melihat bayangan dinding pejabat
Haji Basar memancutkan mata air yang
meleleh minyak senyonyong, sekali gus sahaja gangguan kereta jenazah itu pun
menjelma.
Disebabkan jelmaan kereta jenazah itu tidak lagi mengganggu,
Ucu Semali sekadar ingatkan Haji Basar
supaya menyediakan rumput sambau, daun sepulih dan beras ditumbuk dengan
kunyit sahaja. Dia akan doakan dengan membacakan ayatul kursi sebanyak 313 kali
lalu direnjiskan disekeliling pejabat laksana menepung tawar sahaja.
Memang Haji Basar
juga tidak peduli sangat fasal kereta jenazah yang menjelma di depan
pintu pagar rumahnya. Biarlah jelmaan kereta jenazah itu dilihat jiran -
jirannya, asal sahaja tidak mengganggu penduduk di situ. Manalah tahu kereta
berkenaan akan merempuh budak - budak yang melintas jalan mahu ke sekolah
tatkala hari belum cerah itu.
Siapa mahu dituduh sekiranya kereta yang bergerak tidak ada
pemandu itu merempuh anak - anak? Tentu
anak - anak mereka cedera akibat nahas tidak tahu punca itu. Memang bimbang
benar, Haji Basar takut sekiranya kejadian sedemikian berlaku
dalam masa dirinya yang menjadi sasaran. Takat perniagaannya yang mengalami
kerugian, Haji Basar masih boleh
bertahan. Tapi kalau mengancam anak - anak jirannya, dia juga berasa kesal yang
amat sangat.
" Haji Basar ini
yang saya ceritakan pada ustaz tu " beritahu Ucu Semali sambil memandang
ke arah saya, tatkala Haji Basar bersama
Mat Sutin naik ke rumahnya semasa saya berkunjung ke Felda berkenaan. Memang
Ucu Semali sudah ceritakan mengenai Haji Basar
yang terkejut apabila melihat kereta jenazah bergerak tidak ada pemandu
di depan pagar rumahnya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment