sbdj 88-100



Bercakap Dengan Jin

Rakaman Kembali Pengalaman Penulis Bersama Datuknya

88. Mayat Berdiri


KERANA kau waris terdekat pada si sakit, kau berhak mengambilnya dan berhak membuat keputusan,” datuk jeling ke arah guru silat. Muka guru silat terus jadi pucat. Dia seperti mahu mengelak dari menyentuh bungkusan tersebut.

“Tak payah,” katanya.

“Mana boleh cakap macam tu, awak ada hak, ambillah.”

“Eh, saya tak mahu, nanti bala datang pada saya.”

“Ambillah, tak mengapa.”

“Saya tak mahu,” guru silat undur tiga tapak ke belakang. Datuk jadi serba-salah.

“Kalau kau mahu aku berikhtiar menyembuhkan orang yang sakit, kau harus mendengar cakap aku,” nada suara datuk mula keras. Guru silat melangkah tiga tapak ke depan. Berdiri di sisi datuk.

“Macam mana? Kau setuju nak ambil bungkusan ni, kalau kau tak mahu biar aku tanam semula,” datuk minta satu kepastian yang muktamad. Kelopak mata guru silat terkebil-kebil. Dia masih buntu untuk membuat satu keputusan yang tegas. Dalam keadaan yang tidak menentu itu, datuk terus bersuara:

“Bagaimana? Mahu atau tidak.”

“Mahu,” jawab guru silat.

“Bagus,” datuk tersenyum.

“Boleh saya ambil sekarang?”

“Nanti dulu.”

“Hum, ah...,” guru silat bagaikan mengeluh.

Datuk terus mengambil sehelai daun rambai kering. Daun rambai itu diramasnya hngga hancur. Guru silat terpegun melihat gerak-geri datuk. Saya dongakkan kepala melihat putik rambai yang berjuntaian di dahan dan nampak terbuai-buai dirempuh angin.

“Ke mari,” datuk panggil guru silat.

“Kenapa?”

“Marilah, jangan banyak cakap.”

Guru silat segera menghampiri datuk. Saya agak terkejut, bila datuk terus menyambar tangan kiri guru silat lalu dipulas kebelakang, anehnya guru silat tidak bertindak. Menyerahkan diri pada keadaan seperti kena pukau.

Dalam keadaan diri guru silat berada antara sedar dengan tidak itu, datuk segera mengepal tanah lalu digaulkan dengan daun rambai yang sudah diramasnya itu. Kedua belah telapak tangan guru silat segera dilumurkannya dengan tanah dan daun rambai.

“Sekarang, kau ambillah bungkusan itu.”

Guru silat segera mendekati pangkal pokok rambai. Direnungnya bungkusan yang kelihatan seketul itu. Guru silat masib ragu-ragu untuk bertindak selanjutnya.

“Ambillah, jangan tangguh lagi,” perintah datuk.

“Saya takut.”

“Jangan takut, ambillah.”

“Tak ada bala yang dalang.”

“Tak ada, jangan buang masa lagi,” datuk mula marah. Direnungnya muka guru silat dengan renungan yang tajam.

Tanpa membuang masa lagi, guru silat terus ambil bungkusan tersebut. Datuk suruh guru silat letakkan bungkusan sebesar penumbuk itu atas daun rambai kering. Semuanya dipatuhi oleh guru silat dengan tenang dan teratur sekali.

“Sekarang kamu langkah bungkusan itu dua kali,” itu arahan datuk yang dipatuhi oleh guru silat. Datuk tersenyum dan terus menghampiri guru silat. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga guru silat. Saya lihat guru silat tersenyum dan anggukkan kepala beberapa kali. Guru silat terus duduk mencangkung menghadapi bungkusan sebesar penumbuk.

Saya segera mendekati. Kain pembalut bungkusan itu ternyata berwarna hitam pekat dan diikat dengan tali guni yang juga dilumur dengan warna hitam. Tanah yang melekat pada bungkusan itu nampak lembap dan berair.

“Buka,” kata datuk.

Guru silat terus membukanya, saya terlihat kain berwarna kuning.

“Buka lagi, biasanya ada tiga lapis kain dan tiga warna,” lanjut datuk dengan penuh keyakinan.

Guru silat terus membukanya. Kain kuning terbentang atas daun kering. Saya renung kain putih yang membalut bungkusan itu. Saya kira kain putih itu adalah kain lapisan yang terakhir. Guru silat buka kain putih, saya terlihat kain warna biru dan bau hapak mula menusuk lubang hidung dan saya renung muka datuk. Dia kelihatan tersengih dan menyuruh guru silat membuka kain warna biru.

Bila kain warna biru dibuka dari ikatannya, darah gemuruh mula menguasai urat saraf saya. Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata. Saya terlihat bulu burung tersusun. Kepala burung dibalut dengan kain merah. Badan burung yang sudah dicabut bulunya kelihatan kering. Di bahagian paha burung yang sudab dicabut bulunya kelihatan kering. Di bahagian paha burung yang sudah kering itu terdapat beberapa bilah jarum di samping kulit limau nipis yang sudah kering.

“Ke tepi,” kata datuk.

Guru silat dan saya ke tepi memberi ruang untuk datuk bertinggung sambil melihat badan burung. Datuk ambil sebatang ranting. Badan burung ditolaknya hingga badan burung tersebut terlentang dengan kedua belah kakinya menghala ke dada langit. Saya terlihat pada bahagian burung itu, terdapat kesan jahitan.

“Perut burung ni dibelah kemudian dijahit semula,” kata datuk sambil menekan perut burung itu. Bau hapak kian terasa. Setiap kali datuk tekan hujung ranting, kelihatan air keluar dari celah jahitan. Datuk menyuruh saya mencari pucuk keladi rimba. Saya tidak dapat memenuhi permintaan datuk itu, mana mungkin mencari daun keladi rimba di tengah kampung.

“Tak apa, kau pergi ambil mengkuang di bawah rumah,” ujar datuk sambil menunjuk ke arah sesikat mengkuang dibawah rumah Si sakit. Saya segera ke situ. Datang kembali pada datuk dengan sehelai mengkuang berduri. Datuk ambil daun mengkuang. Tanpa minta pertolongan dari saya dan guru silat datuk terus ambil bangkai burung terus diletakkan atas daun mengkuang.

Bila daun mengkuang itu dilipatkan untuk dijadikan pembalut pada badan burung tersebut, saya lihat dun mengkuang menikam kulit burung ketika itu juga kami terdengar jeritan si sakit dari arah rumahnya. Suaranya lantang bagaikan menahan kesakitan yang amat sangat. Datuk tidak memperhiraukan jeritan itu.

Datuk terus membalut badan burung dengan daun mengkuang, dilipat jadi tiga segi macam kuih koci. Setelah itu datuk tindih dengan besi yang dibawanya. Suara jeritan si sakit terus sambung-menyambung. Datuk terus menutup bungkusan itu dengan daun-daun kering. Kemudian datuk bakar. Suara jeritan si sakit terus berkurangan. Tidak sampai sepuluh minit bulu dan badan burung terus menjadi abu.

Apa yang menghairankan saya, kain yang jadi pembalut badan burung tidak dibakar oleh datuk. Dilipat tiga segi dan dibalut dengan daun rambai muda. Datuk isi dalam saku seluarnya. Lubang yang dikorek oleh datuk segera ditimbus kembali, tanpa meninggalkan sebarang kesan, memang sukar untuk dijejaki oleh orang lain.

Datuk terus mengajak kami pulang. Tindakan datuk itu menimbulkan keraguan dalam diri guru silat. Pada sangkaan guru silat, tentulah datuk pergi ke rumah si sakit, bertanya khabar kenapa si sakit menjerit.

“Tak pergi ke rumah si sakit?” Guru silat memberanikan diri bertanya.

“Tak payah.”

“Kenapa?”

“Usah banyak tanya, mari kita balik,” kata-kata terakhir itu mematikan semangat guru silat untuk bertanya selanjutnya.

Waktu kami melintasi halaman rumah, isteri Si sakit sudahpun berdiri di muka pintu sambil melaung-laung nama guru silat dan datuk berkali-kali.

“Singgahlah dulu, tengok perangai suami saya yang lain macam ni” suara isteri si sakit lantang.

“Minta maaf, kami dah lambat,” sahut guru silat.

“Singgah sekejap aje, tengok muka suami saya yang hitam sebelah dan suka menjilat-jilat lantai.”

“Sabar, lepas senja, hitam di mukanya hilang dan dia berhenti menjilat lantai.” balas datuk tanpa memperlihatkan langkahnya.

Jawapan dari datuk itu amat menghampakan hati isteri si sakit. Dia tidak terdaya untuk melanjutkan kata-kata, hanya kelihatan kecil saja yang terungkap dari kedua belah kelopak bibirnya. Saya hanya tunduk merenung rerumput di tepi jalanan dalam warna hari yang beransur samar-samar itu. Di hujung langit sudah kelihatan warna kemerah-merahan.

Beburung kelihatan terbang sekawan demi sekawan pulang ke sarang. Bunyi gemersik angin yang menyentuh dedaun di hujung ranting jelas kedengaran. Sesekali terdengar pekik gagak yang pulang senjakala. Saya terus melangkah tanpa mahu merenung ke kiri dan ke kanan. Saya tahu pemandangan sekitar saya memang tidak menarik, penuh dengan pepohon yang tidak dapat memberikan sebarang keindahan.

Saya dapat mengesan yang perangai datuk berkeadaan lain macam. Kelihatan seperti keresahan yang tidak menentu. Macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Wajahnya, membayangkan rasa tidak aman yang memanjang. Bila datuk berada dalam keadaan demikian, saya rasa jalan paling selamat yang wajar saya pilih ialah membisu seribu bahasa dan patuhi dengan apa yang diperintahnya.

Kami terus melangkah dalam cuaca yang beransur gelap. Agas dan nyamuk terasa menyerang pipi dan batang hidung. Langkah kaki sering saja terhenti akibat tersepakkan akar dan tunggul kayu di tepi jalan. Kicau burung tidak kedengaran lagi.

“Ah sial, tak ada tempat lain kamu nak cari makan,” saya merungut lalu menampar pipi sebelah kiri. Aduh! Kepala sakitnya, nyamuk tak mati, pipi sendiri yang terasa pedih. Hati saya terus membara dan marah tidak tentu arah. Bagi melepaskan geram, saya sepak sepotong kayu di tepi jalan dengan sekuat hati. Guru silat segera menoleh ke arah saya.

“Kenapa?” Tanyanya perlahan.

“Jemu,” sahut saya perlahan.

“Kejap lagi kita sampai,” guru silat cuba menenangkan perasaan saya. Ketika itu juga, datuk berhenti me1angkah. Sepasang matanya merenung tajam ke arah saya, memancarkan rasa marah.

“Ada apa Tamar?”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Aku dengar kamu macam merungut, cakap apa yang kamu tak puas hati.”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Hum,” suara datuk parau dan terus berhenti merenung wajah saya. Apa yang dialami sebentar tadi, bagaikan mengingati diri saya supaya hati-hati. Jangan mengeluh tidak tentu fasal. Perbuatan begitu boleh mengganggu diri datuk.

“Oh uuuuuuuuppppppppppp.”

Guru silat segera melompat. Langkah saya dan datuk terus kaku. Mata kami tertumpu ke dada jalan, seekor katak puru merayap dengan tenang ke gigi jalan, kemudian menghilangkan diri dalam rimbunan rerumput di situ. Saya melihat datuk tersenyum. Hatinya terusik dengan telatah guru silat yang mudah terperanjat. Datuk segera menghampiri guru silat.

“Orang macam awak ni, sebaik-baiknya jangan mudah terkejut dan melatah. Cubalah kawal perasaan,” datuk memberikan nasihat. Guru silat terus menarik nafas dalam-dalam. Ekor matanya masih menjeling ke arah saya.

“Saya cuba mengatasinya.”

“Cubalah, pendekar kalau mudah melompat dan terkejut tak baik nanti pihak lawan tahu sejauh mana kekuatan kita.”

“Saya faham,” suara guru silat lemah.

Datuk terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Saya berhenti melangkah dan terus menggeliat dua tiga kali. Pangkal belikat dan pangkal paha mula terasa sakit. Guru silat segera menghampiri saya.

“Tak jauh lagi, tak usah berhenti, jalan saja,” bisiknya ke telinga saya.

“Paha saya sakit.”

“Tak apa, kejap lagi sampailah,” guru silat terus menarik tangan saya. Datuk menjeling tajam ke arah saya. Tidak ada pilihan lain untuk saya, melainkan meneruskan perjalanan.

Saya merenung tajam ke depan. Nampak berbalam bentuk rumah peninggalan arwah orang tua guru silat. Hati saya riang, pada hemat saya, lebih kurang lima minit lagi sampailah ke rumah tersebut dengan syarat tidak berhenti di mana-mana.

“Ha, langkah panjang-panjang biar cepat sampai,” usik guru silat.

“Langkah pendek pun sampai, dah dekat,” balas saya sambil tersenyum. Guru silat ketawa kecil sampai menepuk bahu kanan datuk dua tiga kali. Datuk segera merenung ke arahnya.

“Kenapa?” Tanya datuk.

“Tak ada apa-apa.”

“Kalau tak ada apa-apa, buat apa ditepuk?” Datuk seperti kesal tetapi, guru silat terus tersenyum lebar.

“Aku rasa malam ni, semuanya selesai,” cetus datuk ketika memasuki halaman rumah pesaka. Saya menelan air liur dan tertanya-tanya dalam hati maksud dari kata-kala yang diluahkan oleh datuk.

“Apa yang awak cakapkan tadi,” guru silat menyoal lalu merempuh saya yang berdiri tidak jauh dari datuk. Saya terdorong ke sebelah kiri. Marah juga rasa hati melihat sikap guru silat yang main langgar tanpa memikirkan tentang orang lain.

“Maafkan aku Tamar, aku tak sengaja terlanggaran kamu.”

“Tak apa,” balas saya dengan sedikit rasa kesal dalam hati. Guru silat terus mendekati datuk yang sudah hampir dengan kaki tangga. Muka datuk direnungnya.

“Apa yang awak katakan tadi? Saya tak dapat dengar jelas,” nada suara guru silat merendah. Datuk menarik nafas panjang. Matanya masih tertumpu ke wajah guru silat.

“Malam ni, semuanya selesai,” datuk senyum.

“Maksud awak.”

“Dengan izin Allah yang kuasa, orang yang sakit beransur sihat dan orang yang berbuat jahat akan menerima padahnya,” cukup tenang datuk melafazkan kata-kala itu.

“Awak bergurau?” Guru silat minta kepastian.

“Saya tak bergurau, dengan izin Allah semuanya berjaya.”

“Ha...” mulut guru silat terlopong.

“Dengan izin Allah,” ulang datuk. Guru silat segera mengatupkan mulutnya kembali, Wajahnya seperti orang dungu.

Geli rasa hati melihat telatahnya. Saya mengharapkan guru silat mengeluarkan berbagai-bagai pertanyaan. Apa yang saya harapkan tak menjadi kenyataan. Guru silat terus termenung. Bila guru silat tidak mahu bertanya, ertinya saya tidak ada peluang untuk menerima cerita dari datuk.

Guru silat terus duduk di anak tangga bongsu. Merenung ke arah pepohon di kiri kanan halaman yang kaku dalam suasana kelam yang kian mencengkam.

“Biar kita ke telaga dulu, mandi dan ambil air sembahyang,” datuk terus melangkah. Lagi sekali guru silat tergamam dan terkejut dengan apa yang datuk lakukan. Kenapa datuk tidak mahu menggunakan air paip seperti selalu? Kenapa mesti menggunakan air perigi? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Cepat-cepat saya renung muka guru silat.

“Kenapa datuk kamu Tamar? Lain macam saja hari ini.”

“Entah, saya tak tahu sebabnya.”

“Pelik juga air paip ada, kenapa air telaga yang dicari.”

“Biarkan, datuk saya dengan caranya.”

“Ah, pelik, banyak perkara pelik yang dibuatnya,” keluh guru silat sambil merenung wajah saya sejenak. Kami berbalas senyum.

“Biar saya pergi ke bilik air dulu,” kata saya pada guru silat yang masih termenung panjang. Agaknya, ia masih memikirkan tentang tindak-tanduk datuk yang dianggapnya agak luar biasa.

“Pergilah Tamar.”

“Baiklah.”

PULAS

Saya pun terus menuju ke bilik air yang terletak di bahagian belakang rumah. Saya pulas kepala paip dan terus basuh muka. Dari basuh muka ada baik mandi terus, fikir saya dan terus membuka baju dan seluar. Beberapa saat kemudian seluruh badan saya dibasahi dengan air paip. Badan terasa segar dan bertenaga.

Sebaik sahaja saya keluar dari bilik air, guru silat pula masuk. Datuk masih lagi berada di perigi. Saya terus duduk di anak tangga bongsu, merenung hari yang kain gelap. Tidak lama lagi saya kira, suara azan pasti berkumandang menguasai seluruh kampung.

Saya tents mengelamun dan menyusun rancangan dalam kepala, saya bercadang petang esok, saya mahu minta izin dan datuk untuk ikut kawan-kawan ke Kuala Juru, melihat perahu nelayan.

Lamunan saya terganggu oleh suara guru silat di kamar mandi. Saya tidak tahu kenapa nada suara guru silat meninggi. Mungkin ada sesuatu yang kurang menyenangkan hatinya, fikir saya sendirian sambil memanjangkan leher meninjau ke arah bilik air. Tiba-tiba secara mendadak guru silat keluar dari bilik air. Berlari ke arah saya dengan wajah yang cemas.

“Kenapa?”

“Aku macam ternampak mayat orang berdiri dekat pintu bilik air, bila aku pandang lagi sekali, mayat itu hilang.”

“Ah, pandangan mata saja tu, maklumlah kita letih,” saya mententeramkan perasaan guru silat.

Ternyata perasaan guru silat tidak tenteram dengan kata-kata yang saya luahkan. Rasa takut masih dapat dikesan di wajahnya. Saya terus mengajak guru silat naik ke rumah. Sebaik saja, saya duduk di bangku usang, datuk pun sampai dengan wajah yang amat tenang.

“Kita jemaah di surau?” Datuk ajukan pertanyaan pada guru silat. Saya lihat guru silat mengerutkan dahi, buah halkumnya nampak bergerak bila ia menelan air liur.

“Saya nak sembahyang di rumah,” jawab guru silat.

“Kalau begitu, biar aku dengan Tamar ke surau, kau sembahyang seorang di rumah.”

“Eh, begini saja, biar saya dan Tamar sembahyang di rumah, awak seorang saja pergi ke surau.”

“Tak apa, saya ikut cakap awak,” jawapan datuk itu ternyata amat menggembirakan hati guru silat.

Datuk tukar pakaian. Tanpa mengucapkan sesuatu ia terus meninggalkan saya dan guru silat. Sebaik saja datuk sampai dekat pohon jati, suara Azan terus berkumandang. Datuk mempercepatkan langkahnya.

Saya dan guru silat sembahyang di rumah. Setelah selesai sembahyang, saya disuruh oleb guru silat ke dapur untuk memasak air panas. Hasrat guru silat itu tidak saya bantah, setelah menyalakan api dan meletakkan cerek atas tungku. Saya kembali duduk di sisi guru silat.

“Malam ni, kita makan di rumah, aku masak lauk dan nasi,” kata-kata yang amat menyenangkan dari guru silat. Saya segera terfikir, lauk apa yang mahu dimasaknya? Ikan bilis, ikan goreng? Semuanya bahan-bahan ini tidak ada dalam simpanan guru silat.

“Ikan tak ada, sayur tak ada, nak masak apa?” Tanya saya, guru silat menggigit bibir sambil memperkemaskan silanya.

“Ada Tamar.”

“Ada di mana?”

“Ada saya beli semalam, saya simpan dalam almari, saya beli ikan kurau kering, kita buat masak lemak, biar pecah perut kita malam ni. Dah kenyang makan baru kita pergi ke rumah si sakit. Kau setuju Tamar.”

“Setuju,” jawab saya cepat dan tegas.

“Bagus,” guru silat tegakkan ibu jari kanannya.

“Sekarang, kamu pergi basuh beras dan letakkan periuk nasi atas tungku,” satu arahan terkeluar secara spontan dari kedua belah kelopak bibir guru silat. Kali ini, saya agak keberatan untuk mematuhi perintahnya itu. Masak nasi kerja leceh. Guru silat bagaikan tahu apa yang ada dalam hati saya.

“Kau tak suka masak nasi, Tamar?”

“Ya, kerja leceh.”

“Tak apa, kau buat kopi sudahlah, masak nasi dan lauk biar saya buat. Kau setuju bukan?”

“Setuju,” suara saya riang dan terus bangun menuju ke ruang dapur untuk membuang kopi.

Baru lima langkah, saya melangkah guru silat segera mendekati saya. Cepat-cepat Ia menarik tangan saya. Perbuatannya itu amat mencemaskan hati saya.

“Kenapa?”

“Kau tengok tu,” guru silat meluruskan jari telunjuknya ke arah dinding. Saya kerutkan dahi. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam celikkan. Saya yakin, apa yang saya lihat di depan mata bukannya hanya sekadar tersilap pandang, saya yakin, saya sedang melihat sesuatu yang benar. Dada saya jadi berdebar.

“Kau nampak Tamar?”

“Nampak.”

“Kau sendiri tengok aku membuangnya ke dalam sungai, siang tadi.”

“Ya, pelik macam mana tongkat yang dah dibuang ada dalam rumah semula. Siapa yang membawanya?”

“Itulah yang memeningkan kepala aku sekarang,” guru silat seperti mengeluh. Ia terus menarik tangan saya mendekati tongkat yang tersandar di dinding. Saya hanya menurut saja tetapi, saya rasa gementar dan cemas tetap berada dalam hati.

“Cuba kan tengok Tamar.”

Saya terus membongkok dan menatap tongkat tersebut. Memang itulah tongkat yang dicampakkannya ke dalam sungai. Anehnya, macam mana boleh berada di rumah kembali.

“Cuba kau pegang Tamar.”

“Tak mahu, pak gurulah pegang.”

“Cubalah Tamar.”

“Minta maaf, pak guru,” ujar saya dengan nada suara yang lembut bersama wajah yang minta dikasihi. Guru silat terus mengambil kain pelekat yang berada tidak jauh darinya.

Kain pekekat dicampakkan oleh guru silat ke arah tongkat tersebut. Kain pelekat terus melekat di kepala tongkat dan terus memberat ke kanan. Tongkat itu terus jatuh berdentum. Bunyinya cukup kuat tidak padan dengan bentuk dan berat tongkat.

“Kau berani pegang Tamar?”

“Minta maaf pak guru.”

“Kalau kau tak berani biar aku pegang tapi, kau mesti tunggu di situ.”'

“Baik pak guru.”

Guru silat terus mendekati tongkat yang berbalut dengan kain pelekat. Dalam jangkaan saya, sudah pasti guru silat terus memegang tongkat yang berada dalam kain itu. Jangkaan saya salah. Guru silat terus menyentap kain pelekat dengan sekuat hati hingga kain pelekat terpisah dengan tongkat.

Tongkat pun tergolek di tepi dinding kepalanya yang berbentuk dua kepala ular itu mengarah pada saya dan guru silat. Saya tiba-tiba merasa seram.

“Saya rasa tak ada apa-apa pak guru, cuba pegang,” saya terus mengajukan cadangan. Guru silat menggigit bibir. Ia masih bimbang dan ragu untuk melakukan dengan apa yang saya katakan. Guru silat menggenggam penumbuk. Matanya tertumpu ke wajah saya. Perlahan-lahan guru silat mendekati tongkat tersebut.

“Cubalah pak guru.”

“Ya, aku cuba, kalau syaitan kita binasa.”

“Nanti dulu.”

“Kenapa Tamar.”

“Cuba pak guru baca beberapa ayat dan Quran...,” kata saya mengingatkan guru silat. Saya jadi hampa dan agak kecewa kerana saranan saya tidak diterima oleh guru silat.

“Tak payah,” katanya pendek.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Apa yang mampu saya buat ialah melihat dengan sepasang mata tindak-tanduk guru silat yang kian ghairah untuk memegang tongkat.

Guru silat terus menyambar tongkat tersebut. Dalam sekelip mata saja tongkat aneh itu sudah berada dalam tangan guru silat. Saya lihat wajahnya cukup riang.

“Memang benar, tongkat ini tongkat pesaka,” suara guru silat penuh keriangan. Ia terus menarik tangan saya untuk menjamah badan tongkat. Saya menolak, cepat-cepat saya menarik tangan saya yang dipegangnya.
 

“KENAPA Tamar?”

“Saya tak mahu pak guru.”

“Kamu takut, kalau tongkat ni bukan tongkat sebenar, tongkat palsu.”

“Hum...” saya tertunduk merenung lantai.

Guru silat terus menggosok-gosok batang tongkat dengan secebis kain kuning. Saya hanya tersenyum merenung ke arah guru silat. Saya terus ke dapur membuat air kopi. Datang ke ruang tengah dengan dua cawan kopi yang masih panas.

Guru silat senang hati melihat dua cawan kopi yang berasap di depannya. Ia terus letak tongkat atas lantai. Dengan tenang guru silat menghirup kopi.
Bila guru silat berpusing ke kanan. Cawan kopi yalig dipegangnya terlepas dari tangan. Jatuh atas lantai. Air kopi melimpah dan serpihan tembikar cawan berserakan. Telinga saya mula diasak oleh bunyi deru angin yang amat kencang di luar. Muka guru silat terus menjadi pucat.

“Kenapa pak guru?”

“Tongkat tadi dah hilang, kau lihat sendiri.”

“Ya,” ungkap saya cemas sambil merenung ke arah lantai yang beberapa saat tadi terdapat sebatang tongkat berada di situ.

Saya jadi menggelabah, selera untuk minum kopi terus mati.

Badan terus terasa dingin, desiran angin bertambah hebat bunyinya di luar. Saya mula terlihat dedaun tingkap yang rapat seakan-akan bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang menekannya dari luar.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena di rumah ni. Sekarang kau tengok sendiri Tamar. Bukankah sudah aku katakan tongkat pesaka itu memang berpuaka.”

“Ya,” saya mengangguk dengan nasa gementar.

“Sepatutnya tadi, aku bakar saja tongkat sial itu,” sebaik guru silat berkata demikian, terasa seluruh rumah bergegar dan bergoyang. Cawan kopi jatuh dan air kopi terus melimpah di lantai. Saya dan guru silat terpaksa berpaut pada dinding.

Anehnya, gegaran itu cuma berlaku beberapa minit saja. Bila keadaan kembali tenang, saya pun terdengar suara Azan berkumandang. Bunyi deru angin yang hebat terus menyepi. Guru silat yang tersandar di dinding meluruskan kedua belah kakinya. Sepasang matanya merenung tajam ke arah lelangit rumah.

“Aku pening Tamar.” Sebaik saja guru silat mengakhiri kata-katanya, Ia terus terkulai di situ. Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk mengatasi keadaan yang agak gawat itu. Entah macam mana, saya merasai badan saya melayang-layang.

Tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang menghentak pangkal bahu sebelah kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Sayup-sayup terdengar gema besi berlaga sama sendiri yang amat memekakkan.

Seluruh sendi saya terasa lemah. Saya tidak terdaya berdiri. Badan terasa melayang-layang. Ketika itu juga saya terasa berada di satu tanah yang lapang. Saya melihat bermacam-macam jenis binatang dari yang berkaki empat hingga berkaki dua dan termasuk dari jenis yang melata atas bumi.

Di hujung tanah lapang, saya melihat api yang cukup besar. Bahangnya terasa menyentuh kulit tubuh. Badan saya berpeluh dan api yang marak itu kian mendekati saya.

Cara yang paling baik dan terselamat dari hangus dimamah api ialah berlari ke mana-mana dengan sekuat hati. Saya pun berlari arah ke utara dengan sekuat hati. Tidak saya duga api yang marak itu terus memburu saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah berlari dan terus berlari hingga sampai ke kawasan pinggir gunung. Sebaik saja sampai di situ, seorang lelaki berbadan besar dengan rambut hitam lebat menutup kedua belah sayap bahunya, ketawa ke arah saya.

Lelaki berbadan besar itu mengambil seketul batu besar di kaki gunung. Batu itu dilemparkannya ke arah saya. Tidak ada kesempatan untnk saya menyelamatkan diri. Saya terpaksa menyerahkan diri pada keadaan. Batu itu terus menghempap badan saya.

Kesakitan yang dirasai membuat saya menjerit dengan sekuat hati. Mungkin kerana saya menjerit terlalu kuat membuat lelaki berbadan tegap itu menjadi marah. Mulut saya terus ditendangnya dengan sekuat hati.

QURAN

Sayup-sayup saya terdengar suara orang membaca Quran. Makin lama, makin jelas kedengaran. Saya amati pembacaan tersebut. Ternyata suara yang saya dengar itu sedang membaca ayat al-Kursi. Saya cuba mengikutinya dengan perlahan-lahan dalam hati.

Saya bagaikan digerakkan oleh tenaga ghaib untuk mengucap dua kalimah syahadat. Sebaik saja saya selesai mengucap, kelopak mata saya terus terbuka. Apa yang saya lihat wajah datuk yang sedang membaca ayat al-Kursi. Saya renung ke kanan, saya lihat di depan guru silat terletak satu baldi air. Di tepi baidi tersusun dua tiga biji buah limau nipis dan sehelai kain hitam. Guru silat terkapar di situ dengan mulut yang terbuka.

“Bangun Tamar.”

“Bila tuk balik dari surau?”

“Dah lama. Kamu berdua dirasuk syaitan. Waktu aku sampai tadi aku tengok kamu berlari dalam rumah. Si guru silat berenang atas lantai.”

“Ha...,” saya terkejut mendengar penjelasan dari datuk. Saya cuba mengingati apa yang telah berlaku.

Lagi sekali saya merenung ke arah guru silat. Perlahan-lahan saya kedutkan dahi, bila melihat kiri kanan bibirnya meleleh dengan air liur. Badan guru silat menggeletik macam ikan kena penukul. Datuk mengepal tangan kiri dan terus didekatkan ke hujung hidung. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

“Huuuuppppp...,” pekik datuk lalu membuka buku limanya, kelima-lima jari kirinya terkembang dan mengarah kepada guru silat. Datuk terus menepuk lantai tiga kali berturut-turut.

Serentak dengan itu, guru silat terus melompat sambil melepaskan buah silat yang cukup kencang ke dinding. Kakinya terus menendang baldi air. Guru silat terus bersilat dengan semahu-mahunya. Gerakan dan tendangannya cukup pantas.

Datuk terus membongkok dan merangkak perlahan-lahan mengambil buah limau yang masih belum menjadi mangsa kaki guru silat. Dua kali datuk menepis tendangan guru silat yang hampir mengenai rusuk kirinya.

Datuk berjaya mencekup sebiji limau. Cepat-cepat datuk membalingkan ke arah saya. Dengan kepandaian tersendiri saya menyambut buah limau tersebut dengan penuh bergaya. Datuk memberi isyarat yang Ia memerlukan dua biji lagi limau nipis.

Saya lihat kedua-dua biji buah limau yang dikehendaki itu berada di hujung kaki guru silat, Bukan mudah untuk mendapatkannya. Silap langkah, bukan buah limau yang dapat tetapi, penendang dari guru silat yang boleh menghilangkan gigi dan membengkakkan pipi. Paling malang, kalau buah himau yang dikehendaki dipijak oleh guru silat yang sudah diresapi syaltan.

Perlahan-lahan datuk mengisut ke arah kaki guru silat. Tiba-tiba guru silat bertempik dan melompat lalu melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah datuk.

Secepat kilat datuk menyambar telapak kaki guru silat lalu memusingkannya dengan sekuat hati, ditolak ke belakang hingga guru silat jatuh terlentang. Ketika itu, datuk terus sambar buah limau. Dicampakkan pada saya bagaikan penjaga pintu gol yang handal saya menyambut buah limau tersebut.

“Ah..."

Guru silat terus menyerang datuk. Macam tadi juga, datuk tetap bertahan dan mengelak. Memang bukan tujuan datuk mahu beradu kuat dengan guru silat. Matlamat utama datuk mengambil sebiji lagi buah limau nipis supaya jumlahnya menjadi tiga biji dalam tangan saya.

Memang sukar untuk datuk mengambil buah limau yang terakhir ini. Guru silat bagaikan tahu apa yang diingini oleh datuk. Ekor matanya, tetap merenung ke arah buah limau tersebut.

Hati saya berdebar bila guru silat mengangkat kaki kanannya untuk memijak buah limau. Saya berdoa supaya cita-citanya tidak dilaksanakannya. Doa saya diperkenankan oleh Allah. Guru silat menjauhkan kakinya beberapa inci dari buah limau.

Dengan hujung ibu jari kanannya ia mencuit buah limau. Buah limau itu bergolek ke arah tiang seri. Datuk tersenyum. Kerjanya menjadi mudah, saya kira, beberapa saat lagi limau yang sebiji itu pasti berada dalam tangan saya.

Datuk merendahkan badannya. Perlahan-lahan datuk golekkan badannya menuju arah buah limau. Malang sungguh nasib datuk, kali ini guru silat terus bertindak macam orang gila.

Dengan sebatang kayu di tangan, guru silat terus menikam ke arah datuk bertubi-tubi.

Mujurlah, datuk bergolek ligat macam gasing. Tikaman yang dilakukan oleh guru silat tidak kena badan datuk. Guru silat terus marah, ia cuba melepaskan tendangan yang bertalu-talu ke arah datuk.

Semuanya dapat ditepis oleh datuk dengan aman dan tenang. Dalam suasana yang berdentum-dentum dengan bunyi telapak kaki di lantai serta ditingkah dengan bunyi tepisan tangan dan kaki dari datuk menjadikan dengan guru silat.

Suara datuk dan guru silat saling tingkah-meningkah. Saya terlupa dengan keadaan di luar, terlupa pada malam, terlupa pada bunyi cengkerik dan katak. Antara terhibur dan cemas saya menyaksikan peristiwa datuk dengan guru silat.

“Wahhhhhh...”

Datuk menjerit dengan kuatnya. Saya lihat datuk berjaya menyambar tangan guru silat dan terus dipulas ke belakang sambil menekan ke kanan. Guru silat berusaha melepaskannya tetapi tidak terdaya. Pegangan datuk cukup kuat dan kejap.

Dengan lembut dan perlahan-lahan datuk menekan tangan guru silat ke bawah hingga badan guru silat melengkung dan akhirnya tersembab di lantai. Datuk segera mengambil buah limau di 1antai dan terus diserahkan pada saya.

“Basuh limau itu Tamar.”

Saya terus ke dapur dan membasuh buah limau. Datang kembali mendekati datuk. Guru silat tertiarap di lantai dengan kedua belah kaki dan tangannya terkedang. Bunyi nafasnya cukup kuat, macam nafas kerbau.

“Tamar.”

“Ya, ada apa tuk.”

“Kau belah dua semua limau tu, perah airnya dalam cawan. Campurkan dengan garam dan cabai. Lepas itu kau diangkan dekat api.”

“Baik tuk.”

“Buat sekarang jua.”

Saya segera mematuhi saranan yang datuk luahkan. Saya terus ke dapur. Menyediakan barang-barang yang dikehendakinya. Sepeninggalan saya ke dapur, saya tidak tahu apa yang datuk lakukan terhadap guru silat.

Satu perkara yang pasti bila saya datang ke ruang tengah kembali, saya lihat guru silat sudah berubah kedudukan. Kalau tadi ia tertiarap, kini ia terlentang mengandah ke tulang bumbung dengan sepasang kaki dan tangan rapat ke tubuh.

SILAT

Datuk terus merenung wajah guru silat. Kelopak mata guru silat dibukanya perlahan-lahan. Telinga kiri guru silat dihembusnya bertalu-talu. Badan saya mula terasa sejuk dan suara pungguk merayu bulan sayup-sayup kedengaran. Desiran angin mula tçrdengar.

“Ambilkan aku pisau Tamar.”

“Pisau tak ada, di mana saya nak cari tuk.”

“Ambil dalam beg kecilku. Bawah kain pelekat ada pisau belati cap kuda terbang. Pergi ambil sekarang.”

“Baiklah,”jawab saya lemah. Saya segera pergi ke beg kecil datuk yang terletak di sudut dinding. Saya punggah isinya hingga bertabur atas lantai. Akhirnya, saya jumpa dengan pisau belati yang dimaksudkan oleh datuk. Saya segera menyerahkan padanya.

Datuk keluarkan pisau belati dari sarungnya. Ditatapnya mata pisau itu dengan teliti. Datuk tegakkan badan dengan sepasang matanya tertumpu ke dinding. Saya hanya melibat gerak-geri datuk dengan hati-bati.Datuk terus menimang-nimang mata pisau belati di telapak tangan.

“Ke mari Tamar.”

Saya segera mendekati datuk.

“Tekan kedua belah kakinya.”

“Baik tuk,” saya terus menekan kedua belah kaki guru silat. Datuk angkat pisau belati tinggi-tinggi. Kemudian, badan pisau belati dilarikan pada buah betis guru silat.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Aku mahu meluahkan kaki guru silat ini. Bila darahnya keluar kau terus taruh air limau di tempat lukanya. Bila dia menjerit kau tutup mulutnya dengan kain pelekat,” datuk mengeluarkan arahan. Datuk pun mengambil kain pelekat di atas lantai. Kain pelekat itu dilangkah dua kali.

“Nah kain pelekat ni, letak dekat kepala lutut kamu. Ingat, apa yang aku pesan Tamar.”

“Ingat tuk.”

“Kamu mesti tenang dan jangan takut.”

“Baik tuk.”

“Huhhhhhh..,” datuk menatap wajah saya sejenak. Bahu kanan saya ditepuknya tiga kali berturut-turut. Datuk melakukan semuanya itu untuk memperteguhkan dan menguatkan semangat saya.

Saya terkejut besar bila datuk membenamkan hujung belati ke buah betis guru silat. Saya lihat darah pekat meleleh di kulit betis dan menitik atas lantai. Saya bagaikan terpukau melihat semuanya itu. Saya lupa dengan pesan datuk.

“Hei apa lagi?” sergah datuk.

“Apa? Apa benda,” saya seperti orang bangun tidur, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan. Muka datuk kelihatan merah padam. Saya mencampakkan pisau belati yang ada kesan darah ke dinding. Pisau belati terpancak di situ.

“Bodoh,” pekik datuk sambil merampas air limau dalam cawan. Tidak memadai dengan itu, datuk terus menolak saya hingga terjatuh. Saya terus membatu, tidak berani membantah. Semuanya kerana kelalaian dan kesalahan saya.

“Tak boleh harap,” kutuk datuk.

“Maafkan saya tuk, saya tak sengaja.”

“Hummmmmmmmmm...”

Datuk terus menuangkan air limau ke atas buah betis guru silat yang sudah dilukakan oleh datuk. Saya lihat seluruh badan guru silat bergerak ke kiri dan ke kanan.

Sepasang kakinya juga bergerak ke kiri ke kanan. Guru silat mengeruh macam lembu kena sembelih. Saya sudah bersedia dengan kain pelekat. Kalau ia menjerit, sudab pasti kain pelekat menutup mukanya.

Lama juga saya menanti. Guru silat tidak menjerit tidak mengeluh. Dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Merenung lelangit rumah. Datuk terus mengesat kesan darah di kaki. Air limau tidak lagi dituangkan pada tempat yang luka.

“Tamar?” Guru silat bersuara.

“Cuba mengucap pak guru.”

“Ashadu..” guru silat terus mengucap dengan tenang.

“Bagaimana pak guru,” saya menyoalnya kembali. Guru silat termenung macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk terus mendiamkan diri.

“Datuk kamu tak balik lagi Tamar?”

“Dah balik,” sahut datuk lalu mendekati guru silat. Mereka berpandangan. Datuk memicit bahu kanan guru silat beberapa kali. Macam digerakkan oleh sesuatu, saya terus bangun mengambil cawan dan pisau belati.

Semua barang-barang itu saya letakkan di tempat di bahagian dapur.

Saya datang semula mendapatkan datuk dan guru silat. Kali ini guru silat sudah pun duduk. Ia bagaikan tidak terasa apa-apa yang terjadi pada kakinya.

“Saya baru berjumpa dengan orang besar, saya berlawan dengannya. Dia kalah tetapi dia berjanji nak mencari saya,” guru silat membuka rahsia dirinya. Datuk tersenyum.

“Kau sebenarnya tak ke mana-mana, kau pengsan,” datuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Ya, saya ingat apa yang jadi patda saya dan Tamar, mana tongkat tadi, Tamar, agaknya dah hilang terus,” guru silat ajukan pertanyaan pada saya. Cepat-cepat saya mengangkat kedua belah sayap bahu sambil menggelengkan kepala.

“Kalau ikut langkah dan petua, kamu berdua dirasuk syaitan, ingatan dan fikiran kamu dipisahkan dari pancaindera kamu, kalau tidak ditolong, kamu boleh jadi lari ke hutan, masuk gunung atau gua,” terang datuk.

“Semuanya kerana tongkat sial,” sahut guru silat.

“Bukan kerana tongkat, kamu lalai, kamu lupa kuasa Allah, kamu tidak mengingatinya pada setiap saat,” sanggah datuk. Guru silat terdiam.

Datuk terus menarik balutan di kaki guru silat. Bila balut itu terbuka, saya tidak dapat melihat kesan luka atau parut. Kaki guru silat tetap berkeadaan seperti biasa. Cuma sesekali guru silat terasa sakit bila melipatkan kakinya.

Datuk segera menepuk bahagian kaki yang dikatakan sakit tu, dua kali tepuk, guru silat terus menyatakan tidak terasa sebarang sakit.

“Tak usah banyak cerita lagi, bersiap sekarang juga kita pergi rumah si sakit,” datuk keluarkan arahan. Matanya masih merenung ke setiap sudut ruang rumah.

“Dah jauh malam begini, tuk nak pergi juga?” Sanggah saya.

“Dah pukul sebelas malam,” guru silat menyokong pendapat saya.

“Tak usah banyak cakap, kalau terlalu banyak cakap satu kerja pun tak jadi, ingat, manusia dipegang pada janji, kerbau dipegang pada tali,” tekanan suara agak keras dan meninggi. Kedua-dua biji matanya dibeliakkan ke arah guru silat dan saya.

Dengan rasa kesal saya segera tukar seluar dan baju. Saya tidak tahu apa perasaan guru silat ketika itu. Dari gerak-geri dan riak wajahnya ternyata ia tidak menyimpan rasa kecewa atau hampa. Guru silat tetap mematuhi perintah datuk.

“Kita belum makan lagi tuk.”

“Tak usah gaduh fasal makan, kalau rezeki kita ada, kite makan di mana-mana, kalau tak ada. kita minum kopi saja,” datuk menyelesaikan masalah yang menghantui diri saya.

“Tak usah bimbang Tamar, bila semuanya sudah selesai kita balik nanti, aku masak nasi untuk kamu,” itu janji dari guru silat yang cukup menggembirakan.

LANGKAH

Sebelum membuka langkah menuju ke rumah si sakit,datuk mengambil masa sejenak untuk membaca surah Yasin. Selesai baca Yasin datuk balut kepala dengan kain merah. Pakai seluar hitam dan baju hitam tetapi, tidak memakai samping hitam seperti kebiasaannya.

Kali ini datuk mengenakan kain samping berwarna kuning. Cara ikatnya juga tidak seperti selalu. Ikatannya lebih banyak ke kanan.

“Tongkat tadi Tamar,” jerit guru silat.

Sepasang mata saya tertuju ke arah tongkat yang di dinding. Kepalanya yang terukir bentuk dua kepala ular nampak berkilau-kilau. Datuk juga merenung ke arah tongkat tersebut. Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut. Ia cuma tersenyum.

“Inilah tongkat yang berpuaka itu,” guru silat beritahu pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum. Datuk menyuruh saya membuka tingkap sebelah kanan dengan seluas-luasnya. Cakap datuk saya patuhi.

Bila tingkap terdedah, apa yang saya lihat ialah kegelapan yang pekat. Pepohon kelihatan kaku tetapi, di lantai masih ada bintang mengerdip. Tiba-tiba saja saya terasa seram. Bulu tengkuk saya meremang dengan tiba-tiba.

Datuk membuka kain ikat kepalanya. Dengan hati-hati kain itu dililitkan ke hujung jari kelingking. Dan jari kelingking itu diarahkannya pada tongkat yang tersandar di tepi dinding. Ketika itu terasa angin masuk dengan deras ke dalam rumah melalui jendela yang terdedah.

Beberapa helal daun kering dan reranting kecil yang dibawa angin bertaburan atas lantai. Suara orang ketawa terdengar sayup-sayup ditingkah dengan bunyi lolongan anjing yang memanjang. Suara jampuk dan burung hantu bersahut- sahutan.

Tidak memadai dengan reranting dan daun kering, angin yang bergerak kencang itu membawa pasir dan tanah merah serta serpihan batu nisan. Semuanya bertabur di atas lantai. Saya lihat baju dan seluar datuk bergerak-gerak ikut rentak angin yang bertiup.

Guru silat macam ditolak sesuatu. Ia terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan macam orang mabuk. Datuk tidak peduli apa yang berlaku dalam rumah. Ia berdiri lurus. Jari kelingkingnya yang berbalut itu digerakkannya ke kanan dan ke kiri, membentuk sebuah bulatan di udara. Matanya tidak berkerdip merenung ke arah tongkat di dinding.

Urat-urat di mata datuk kelihatan merah dan seakan-akan timbul. Makin lama saya merenung mata datuk, saya seperti melihat bebunga api yang membara dalam kolam matanya. Wajah datuk kelihatan serius. Misainya kelihatan seakan-akan bergerak ke kanan. Datuk angkat jari kelingking hala ke barat daya. Tongkat di tepi dinding terus bergerak, terangkat antara lantai dan letangit rumah.

Muka datuk kelihatan berpeluh. Datuk terdorong ke belakang macam ada sesuatu yang menumbuk dadanya dengan kencang. Datuk melawan hingga ia kembali berdiri tegak. Mulut datuk kelihatan bergerak-gerak. Dengan kekuatan yang ada di tubuhnya datuk macam melemparkan sesuatu ke arah tingkap yang terdedah. Ketika itu juga saya melihat tongkat tersebut melayang sambil mengeluarkan cahaya.

Tongkat itu meluru keluar. Datuk masih tidak berganjak dari tempat ia berdiri. Biji mata guru silat terbeliak melihat peristiwa yang memang tidak pernah diduganya.

Saya terkejut bila terjadi ledakan kecil di tempat tongkat aneh itu berdiri sebentar tadi. Bila ledakan itu berhenti kelihatan asap hitam berkepul lalu menguasai ruang rumah.

Datuk terus menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Tepuk pertama asap yang tebal beransur kurang. Tepuk kedua asap bentambah nipis dan tepuk ketiga asap yang ada terus hilang dan guru silat yang tadi kelihatan lemah mula bertenaga. Mukanya, jadi merah dan bersedia menghadapi apa saja.

“Kita diuji lagi, semuanya ada hubungan dengan si sakit,” kata datuk tenang sambil membuka lilitan kain di jari kelingking.

Kain itu terus dililitnya ke kepala. Datuk sapu mukanya dengan telapak tangan kiri berturut-turut.

“Apa kita akan diuji lagi?” Guru silat minta kepastian.

“Tak tahu, tak berani nak cakap, kalau ada ujian yang datang kita tentang.”

“Kalau kita kalah apa macam?”

“Segala-galanya kita serahkan pada Allah,” suara datuk merendah. Saya dan guru silat berpandangan.


90. Ilmu Pukau Kucing


Atas perintah datuk, tingkap yang terdedah saya rapatkan. Guru silat, saya lihat terus menggeliat. Dedaun dan pepasir yang bertaburan atas lantai segera disapunya. Datuk nampak tenang tetapi, dahinya berkerut.
Bila rumah sudah bersih, datuk segera ambil tiga biji bantal. Saya hanya melihat datuk menyusun tiga bantal itu selari di ruang rumah dan letakkan bersetentangan dengan tulang bumbung. Saya tidak tahu kenapa datuk berbuat demikian? Kerja datuk itu, macam kerja orang bodoh.
Kebuntuan dalam kepala saya segera berakhir, bila guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk:
“Kenapa bantal diletakkan macam tu?”
“Petua orang tua-tua.”
“Petua apa?”
“Petua menghalang syaitan dari menumpang tidur.”
“Banyak sangat guna petua. Kenapa tak gunakan ayat-ayat Quran untuk halau syaitan.”
“Kita berusaha mencari sesuatu yang baik. Kalau apa yang kita buat tidak bercanggah dengan hukum agama, apa salahnya kita gunakan. Kita gunakan kedua-duanya untuk kebaikan, ini lebih baik dan berkesan.”
“Betul juga cakap awak tu, kita mencari sesuatu yang baik,” suara guru silat lembut. Datuk anggukkan kepala beberapa kali. Saya segera menggaru pipi kanan.
“Sekarang, awak dah tahu rahsianya,” datuk terus menepuk belakang guru silat beberapa kali sambil ketawa.
Saya cuma tersenyum melihat keramahan dan kemesraan yang terjalin.
“Saya dah Faham, saya mahu belajar dari awak lagi,” sahut guru silat bila ketawa datuk berhenti.
“Boleh, asalkan awak sabar.”
“Lebih dari sabar mahu saya buat, apa yang awak cakap semuanya nak saya patuhi.”
“Ini sudah cukup baik,” senyum datuk kian melebar.
“Saya tetap baik untuk selama-lamanya,” tingkah guru silat.
Lagi sekali datuk dan guru silat berbalas tampar-menampar bahu. Mereka ketawa dan melangkah serentak menuju ke ambang pintu. Wajah keduAnya, kelihatan tenang dan penuh keyakinan. Saya mengikuti dari belakang. Tugas merapatkan daun pintu dan menguncikannya adalah tanggungjawab saya. Senang rasa hati saya bila tugas itu dapat saya laksanakan dengan sempurna.
“Berhati-hati sebelum memulakan langkah,” ujar datuk sebaik saja sampai di anak tangga terakhir.
Sepasang matanya menatap wajah saya dan guru silat, penuh kelembutan. Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat mempamerkan gigi dan gusi pada datuk.
“Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Mulakan melangkah dengan kaki kanan sambil membaca Bismillah, serahkan semuanya pada Allah.”
“Saya faham tuk.”
“Kamu ni, bila aku ingatkan, jawabnya faham. Bila disuruh buat kamu selalu terlupa.”
Saya segera menundukkan muka. Sindiran datuk cukup tajam tetapi saya tidak terdaya untuk menafikan kebenaran dari kata-katanya itu. Guru silat merenung ke arah saya sambil melemparkan senyum. Saya bertambah malu. Kulit muka terasa tebal.
“Orang muda memang selalu lupa,” secara mendadak guru silat bersuara. Mungkin guru silat mahu memberikan kekuatan semangat pada saya.
“Perangai buruk macam tu, mesti dibuang,” balas datuk.
“Betul juga cakap awak,” sahut guru silat, lalu menghulurkan kaki kanannya memijak tanah. Kami pun meninggalkan kawasan rumah pusakan peninggalan orang tua guru silat.
Perjalanan menuju ke rumah si sakit di malam yang kian larut itu, membekalkan rasa bimbang dan cemas dalam hati saya. Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa, kami tidak menghadapi sebarang masalah. Tidak ada perkara yang tak diingini terjadi. Cuma sesekali, kami diganggu oleh bunyi suara harimau di kaki langit.
Suara ngauman harimau itu tidak mendatangkan rasa takut atau cemas. Datuk sudah pun memberikan kata-kata semangat. Kata datuk, harimau yang mengaum tidak akan menangkap manusia. Harimau juga tidak akan menyerang manusia, bila manusia berjalan tiga sederet waktu malam.
Sebagai manusia, saya tidak dapat menerima bulat-bulat cerita yang datuk tuturkan. Hati kecil saya terus berdetik cemas, bila terdengar bunyi dahan yang bergeselan sama sendiri. Suara dari geselan itu, adakalanya memanjang dan adakalanya pula pendek macam orang mengeluh. Bunyi geselan dahan itu terus ditingkah oleh suara monyet malam yang dikejutkan oleh sesuatu.
Suasana malam terasa amat menyeramkan. Kalau berjalan seorang dIri, sudah pasti saya tidak sanggup melakukannya. Saya tidak tahu, kenapa datuk kali ini tidak mahu bercakap banyak. Kalau guru silat bertanya sesuatu, datuk seperti keberatan untuk menjawabnya. Datuk lebih kerap beristighfar, bila kaki atau tubuhnya terlanggar sesuatu. Perjalan di larut malam itu berakhir di rumah si sakit.
PATUH
Beberapa kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah si sakit, datuk menyuruh kami membaca surah Al-Ikhlas tiga kali berturut-turut. Perintah itu kami patuhi.
“Biar aku yang ketuk pintu,” datuk renung muka guru silat.
“Silakan,” sahut guru silat.
Datuk terus ketuk pintu rumah si sakit, tiga kali berturut-turut. Isteri si sakit buka pintu dan mempersilakan kami masuk. Sebaik saja kami duduk berdepan dengan si sakit yang kelihatan tenang dan aman itu, secara tidak diduga bomoh tua pun sampai. Tanpa memberi salam, ia terus berdiri di ambang pintu. Wajahnya kelihatan masam dan bengis.
Saya menarik nafas sambil menjeling ke arahnya. Tidak ada kata-kata yang terungkap dari mulut bomoh tua. Hati saya menjadi cemas dan bimbang. Saya berdoa semoga tidak akan tercetus sebarang pertengkaran atau perkelahian.
“Apa khabar, sila duduk,” suara datuk lembut.
“Tak payah,” jawab bomoh tua lalu memusingkan badan ke kanan. Isteri si sakit merenung muka guru silat.
“Maafkan kami, kalau kami tersilap,” guru silat bersuara.
“Saya juga macam tu,” sahut isteri si sakit.
“Tak payah,” cukup keras suara bOmoh tua.
Datuk segera memusingkan tubuhnya, memberikan belakang pada kami yang berada dalam rumah. Datuk tunduk merenung lantai, terkejut dengan sikap bomoh tua.
Perlahan-lahan bomoh tua melangkah, menuju ke muka pintu. Daun pintu sebelah kanannya ditumbuk dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menimbulkan rasa marah pada guru silat.
“Biadap, kurang ajar,” kutuk guru silat dan bersedia untuk menerkam ke arah bomoh tua yang sedang menekan kiri kanan belikatnya dengan sepasang tangan.
“Biar saya ajar dia,” guru silat minta iZin dari datuk.
“Jangan, musuh jangan dicari.”
“Saya tahu tapi, si tua kutuk ni dah melampau.”
“Sabar dulu.”
“Hati saya tak boleh sabar lagi.”
“Kau mengucap dan kemudian bacalah Surah Al-Ikhlas, semoga Allah akan memberi kesabaran pada kamu.”
Guru silat menarik nafas panjang. Saya lihat mulutnya berkumat kamit dan saya yakin, guru silat tersebut mematuhi apa yang diperintah oleh datuk. Semua biji mata yang berada dalam rumah tertumpu ke arah bomoh tua yang sedang memijak anak tangga. Dalam beberapa saat saja bomoh tua hilang ditelan kegelapan malam.
Semua yang ada dalam rumah berpandangan sama sendiri. Masing-masing mahu mendengar apa yang mahu dikatakan oleh datuk. Dalam keadaan yang agak kurang tenteram itu, saya melihat satu bungkusan melayang dari luar masuk ke rumah. Bungkusan itu tersadai atas lantai.
“Siapa pula yang baling kita dengan daun keladi,” isteri si sakit bersuara. Wajahnya nampak cemas dan bersedia untuk mengambil bungkusan dari daun keladi untuk dicampak kembali keluar rumah.
“Jangan sentuh,” pekik datuk.
“Kenapa?” Sanggah guru silat.
“Tunggu dulu,” jawab datuk tenang.
Tiba-tiba kami terhidu bau najis manusia. Saya yakin bau itu datangnya dari bungkusan daun keladi yang ada di depan kami.
“Awak ada tercium bau busuk?” soal datuk.
“Ya,” sahut isteri si sakit.
“Bau najis tu datang dari bungkusan daun keladi, kalau ada sesiapa yang sentuh daun keladi itu, mungkin seluruh badannya berbau busuk sampai mati,” datuk memberi penjelasan.
Saya kedutkan dahi, tidak sanggup rasanya menghadapi dugaan seperti ini. Kenapa datuk harus melalui pekerjaan yang sukat dan menyulitkan ini? Timbul pertanyaan dalam kepala saya. Semuanya ini berpunca dari bomoh tua sial, kutuk batin saya sambil menggigit bibir.
“Ambilkan saya segenggam beras dan segelas air,” datuk renung muka isteri si sakit.
Tanpa bersuara, isteri si sakit terus bangun ambil segenggam beras dan secawan air lalu menyerahkan pada datuk. Datuk rendamkan beras dalam cawan beberapa minit sambil telapak tangannya menutup permukaan cawan.
Semua orang yang berada dalam rumah menyaksikan asap nipis keluar dari celah jejari datuk yang menutup permukaan cawan. Wajah datuk nampak berpeluh. Sepasang biji matanya tertumpu ke arah bungkusan daun keladi.
“Curahkan air ini ke daun keladi,” kata datuk.
“Sekarang? Tanya saya ragu-ragu. Datuk anggukkan kepala. Saya renung ke arah guru silat.
“Cepat, Tamar.”
“Biar saya yang buat,” guru silat mohon kebenaran/
“Siapa pun boleh tapi, mesti cepat jangan sampai asap yang kamu nampak hilang,” suara datuk keras.
Guru silat segera menyentuh badan cawan. Air dan beras yang ada dalam cawan segera dicurahkan ke arah bungkusan daun keladi. Sebaik saja air dan beras terkena daun keladi, bau busuk segera berakhir. Semua wajah dalam rumah tidak berkerut lagi. Malah si sakit yang tadi menutup hidungnya dengan bantal, segera melemparkan bantal ke tepi dinding.
“Saya buang daun tu boleh tak?” tanya isteri si sakit.
“Biar saya yang buang,” datuk segera bangun dan menjamah daun keladi. Sebenarnya daun keladi ni tak isi apa-apa,” kata datuk lagi sambil membuka bungkusan daun keladi di depan kami.
“Jadi bau busuk datang dari mana?” soal si sakit.
“Daun keladi ini dijadikan syarat untuk mengirim bau najis. Biasanya hanya secalit najis saja yang dikenakan pada tulang daun keladi. Kemudian daun keladi tu dikirimkan melalui angin. Tujuannya untuk memalukan orang tertentu.”
“Siapa agaknya yang membuat kerja ni?” tanya isteri si sakit. Datuk gelengkan kepala. Saya tarik nafas dalam-dalam.
“Apa ilmu yang digunakan orang tu?” Guru silat pula mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya lihat datuk termenung sejenak, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Saya kurang arif tentang hal ini,” balas datuk.
“Sikit pun awak tak tahu?” guru silat minta kepastian.
“Saya tak tahu. Biasanya ornag yang menggunakan najis manusia untuk sesuatu tujuan diamalkan oleh orang yang menuntut ilmu pukau kucing.”
“Pukau kucing tu macam mana,” guru silat terus mendesak.
“Begini, orang yang gagal memukau penghuni rumah atau gagal mencuri sesuatu dari rumah yang dihajati akan meninggalkan najis sendiri di mana-mana bahagian rumah,” datuk memberikan penjelasan.
Guru silat anggukkan kepala dua tiga kali. Dan datuk melanjutkan kisahnya. Menurut datuk, kawasan rumah yang jadi sasaran ialah di bahagian bucu rumah yang menghala ke arah matahari jatuh. Tujuan berbuat demikian untuk memalukan penghuni rumah yang terlibat.
Sebab disebut pukau kucing kerana ilmu itu tidak akan menjadi pada penghuni rumah yang membela kucing terutama kucing jantan yang berjaga sepanjang hari. Tetapi, bila kucing itu tidur di luar rumah ilmu itu akan menjadi.
“Sekarang kita dah faham, agaknya orang yang membaling daun keladi tadi ada ilmu yang awak katakan itu,” isteri si sakit bersuara tenang. Datuk tersenyum. Dua tiga kali ia menelan air liur. Badan saya mula terasa sejuk. Kokok ayam mula terdengar sayup-sayup. Embun jantan mula berjatuhan dari langit.
“Saya tak berani nak cakap. Mungkin cakap awak tu benar, mungkin tidak. Maklumlah ilmu jahat ni ada bermacam-macam,” suara datuk merendah sambil memeluk tubuh menahan rasa dingin dari menguasai tubuhnya. Guru silat terus bangun merapatkan daun pintu yang terdedah.

MENGUAP
Suara cengkerik kian hebat di luar, ditingkah dengan desiran angin malam yang bertiup lembut. Kokok ayam terus bersahut-sahutan. Guru silat sudah dua tiga kali menguap. Kelopak mata saya terasa pedih dan berair. Rasa mengantuk bertambah berat.
Tetapi, setiap kali saya cuba merapatkan kelopak mata untuk tidur sambil duduk, saya terdengar suara si sakit seperti orang melepaskan nafas kepenatan yang amat sangat.
Rupanya suara si sakit itu dapat juga didengar oleh datuk dan guru silat. Serentak mereka memandang ke arah si sakit. Guru silat segera menggerakkan sepasang bulu keningnya. Ternyata ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.
“Ada apa-apa masalah, agaknya kamu susah nak bernafas?” tanpa bertangguh-tangguh guru silat mengajukan pertanyaan. Si sakit tersenyum sambil bersuara lembut.
“Tak ada apa-apa.”
“Hum,” guru silat seperti mengeluh sambil merenung ke arah saya dan datuk.
Isteri si sakit segera bangun menuju ke daput. Gegendang telinga saya menangkap bunyi sudu berlaga dengan cawan. Saya senyum sendirian. Isteri si sakit sedang membancuh kopi. Sebentar lagi tekak kami pasti basah dan rasa mengantuk pasti tidak terasa lagi. Ramalan saya memang tepat, isteri si sakit meletakkan kopi dan kuih di depan kami.
“Minumlah buat hilang mengantuk,” katanya penuh sopan.
“Terima kasih,” ucap saya setelah isteri si sakit meletakkan cawan kopi di depan saya.
“Agaknya, ada rancangan malam ni?” Guru silat renung muka datuk.
“Tengok keadaan,” pendek saja jawapan dari datuk.
“Dah jauh malam ni,” si sakit seperti merungut.
“Ya, dah dekat pukul satu,” sahut saya.
“Patutlah terasa sejuk,” tingkah guru silat.
Di luar desiran angin malam yang melanggar dedaun melahirkan suara dalam nada yang gemersik. Suara burung hantu dan kokok ayam bersama bunyi cengkerik berpadu menghiasi suasana malam yang kian tua. Bagi mengurankan rasa sejuk, saya terus menghirup air kopi dan menjamah goreng keledek yang masih panas.
“Kadang-kadang saya jadi bingung dengna perangai bomoh tua tu,” si sakit membuka rahsia.
Badannya kelihatan berpeluh. Buncit di perutnya kelihatan menurun dan urat-urat hijau yang timbul di permukaan perutnya turut berkurangan.
“Apa benda yang kau bingungkan?” celah datuk.
“Bomoh tua tu suka marah-marah tak tentu fasal. Baik pagi, petang dan malam, bila datang terus marah-marah,” si sakit membuka rahsia.
“Pelik juga memikirkan perangainya,” guru silat bagaikan mengeluh.
“Siang tadi, ada dia datang?” datuk mencungkil rahsia.
“Ada, petang tadi dia datang dan marahkan kami, ikut sedap mulutnya. Pedih hati kami yang mendengarnya,” rahsia yang dicari sudah pun terbongkar.
Isteri si sakit terus anggukkan kepala, mengiakan apa yang diucapkan oleh suaminya. Air kopi terus saya hirup. Guru silat perlahan-lahan meraba pangkal hidungnya. Datuk masih merenung ke arah si sakit yang tidak dapat bergerak dengan bebas. Bunyi dedaun yang berlaga sama sendiri, akibat dirempuh angin malam jelas kedengaran.
“Selain dari memaki hamun kamu berdua, apa lagi yang dikatanya pada kamu?” Datuk memecahkan suasana yang agak sepi menguasai ruang rumah. Di wajah isteri si sakit kelihatan keresahan bagaikan mahu merahsiakan sesuatu dari datuk.
“Apa katanya pada kamu?” Ulang datuk.
“Dia dah memutuskan, tidak mahu mengubati saya. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada saya, dia tidak mahu bertanggungjawab,” kelopak mata si sakit terkebil-kebil.
“Semua alat-alat dan ramuan ubatnya habis dibawanya balik,” lanjut isteri si sakit dengan wajah hampa yang amat sangat.
“Segala mangkuk putih, gelas dan cawan digunakan habis dihempaskannya di tangga,” si sakit pula memberi penjelasan. Datuk menarik nafas panjang.
“Bila bomoh dah buat begitu, saya memang tidak yakin yang saya boleh baik dan hidup. Saya hanya menanti saat saja untuk mati,” si sakit melahirkan perasaan kecewa dan putus asa.
Sinar matanya yang tadi kelihatan bercahaya, kini menjadi pudar, begitu juga dengan isterinya. Kedukaan dan kehampaan yang merajai sepasang hati suami isteri tergambar juga di wajah guru silat.
“Apa si sakit tak ada harapan nak hidup?” Guru silat menentang wajah datuk. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kanan. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Aneh dan pelik perangainya,” datuk seperti mengeluh.
“Apa yang pelik dan apa yang aneh?” Soal guru silat. Datuk gelengkan kepala beberapa kali kemudian terus termenung panjang.
Macam-macam perkara yang buruk datang dalam tempurung kepala saya. Saya bayangkan kepayahan dan kesukaran yang bakal kami alami. Di samping itu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mengembalikan keyakinan diri sendiri pada si sakit yang sudah putuh asa.
“Bila bomoh tu dah lepas tangan, tak mahu ubat suami saya, apa suami saya boleh hidup?” Pertanyaan yang tulus ikhlas dari isteri si sakit. Datuk jegilkan biji mata lalu menatap wajah perempuan yang dalam keresahan itu.
“Kamu tahu nyawa manusia milik siapa?” Tanya datuk pada perempuan tersebut.
“Saya tahu, itu saya tahu.”
“Apa yang kamu tahu, cakap sekarang.”
“Nyawa atau roh manusia milik Allah.”
“Kalau dah tahu begitu, kenapa kamu risau.”
“Tapi dia mengubati suami saya.”
“Hiss kamu,” datu terus genggam penumbuk. Wajahnya jadi merah.
Saya dan guru silat berpandangan. Datuk terus bangun lalu membuka jendela. Badan saya terasa sejuk. Dari jendela yang terdedah, saya melihat langit yang digantungi awan nipis yang lembut. Bintang kelihatan bertaburan di mana-mana. Suara pungguk kian jelas kedengaran. Datuk merapatkan daun tingkap rapat-rapat. Ia duduk di tempat asalnya.
Datuk memperkemaskan silanya. Dengan tenang ia menghirup air kopi. Tiba-tiba tanpa diduga seekor cicak jatuh di depannya. Dan cicak itu tidak berusaha untuk melarikan diri. Ekornya terjungkit-jungkit beberapa kali ke arah datuk. Datuk tidak memperhiraukannya tetapi, jari telunjuk datuk memetik lantai tiga kali berturut-turut. Anehnya, cicak itu terus berbunyi dan akhirnya hilang.
“Kita minta sesuatu pada Allah, kita tidak mintak bantuan dari bomoh dan dukun atau patung, kita tidak minta sesuatu dari manusia. Allah berkuasa atas segala-galanya, kerana digerakkan oleh Allah saya datang ke sini,” datuk bagaikan memulakan satu ceramah pendek.
Saya mula resah, sesungguhnya saya tidak suka datuk berbuat demikian. Saya sedar bila dia mula bercakap sesuatu yang ada hubungan dengan hukum agama pasti memakan masa yang agak panjang dan membosankan.
“Awak faham dengan apa yang saya cakapkan tadi?” Cara mengejut datuk menyoal isteri si sakit. Isteri si sakit anggukkan kepala.
“Kalau dah faham apa yang awak risaukan.”
“Bukan risau cuma saya bimbang.”
“Jangan risau dan bimbang, yakinlah pada kuasa Allah dan diri sendiri. Insya-Allah kita selamat,” datuk memberikan secebis nasihat. Isteri si sakit tunduk merenung lantai sambil mengerutkan dahi luasnya.
Semuanya tertunduk diam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh datuk. Mungkin pada pendapat dan fikiran mereka kata-kata datuk itu memang benar dan tidak diragui. Datuk bangun kembali lalu menuju ke arah tingkap yang terdedah dan terus berdiri di situ.
“Pedulikan bomoh tu,” kata datuk.
“Tapi, bagaimana dengan saya, tak ada sesiapa yang mahu mengubati,” si sakit seperti merayu.
“Bukankah sudah saya minta pertolongan pada Allah,” datuk terus sergah si sakit.
Lagi sekali mata si sakit terbeliak. Dan si sakit terus menarik nafas dalam-dalam dan akhirnya termenung panjang.
TINGKAP
Datuk yang berdiri dekat tingkap merenung ke arah kami. Angin malam yang menyerbu masuk ikut jendela menolak rambutnya. Isteri si sakit sudah tidak mahu berkata apa-apa. Semuanya diserahkan pada keadaan. Kalau sudah ditakdirkan oleh Allah yang suaminya akan meninggal dunia cara begitu, ia tetap menerimanya dengan tabah.
“Kita disuruh berusaha dan berikhtiar dan sekarang kita harus berusaha,” ujar datuk lembut.
Wajah si sakit dan isterinya segera berubah menjadi riang. Begitu juga dengan wajah guru silat kelihatan berseri-seri. Segaris senyum terpamer di kelopak bibirnya. Datuk pun melangkah ke arah kami. Tiba-tiba langkahnya mati diganggu oleh bunyi dengungan yang amat kuat macam dengung kumbang.
“Jaga-jaga, ada benda masuk ikut tingkap,” jerit guru silat pada datuk. Bagaikan kilat, datuk palingkan muka ke arah tingkap. Datuk merendahkan kepalanya dari dilanggar benda yang masuk ikut tingkap.
Bentuknya bulat sebesar kelapa gading dan mengeluarkan percikan cahaya. Benda bulat itu terus meluru ke arah si sakit. Bunyi dengungan cukup kuat memekakkan anak telinga. Guru silat menutup kedua belah lubang telinganya dengan telapak tangan.
“Jaga, lindung suami kamu dengan tikar,” jerit datuk dengan sekuat hati, bila ia melihat benda bulat itu berlegar di depan muka si sakit. Kali ini bentuknya terus mengecil, bulat seperti ikan buntal. Isteri si sakit tergamam. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Melihat keadaan yang agak kelam-kabut itu, guru silat segera menerkam ke arah isteri si sakit. Perempuan yang terkejut dan terkaku dengan keadaan yang dihadapinya terus ditolak oleh guru silat hingga jatuh tersungkur. Guru silat terus menarik tikat mengkuang yang diduduk oleh isteri si sakit.
Akibat ditarik secara mengejut dan kuar, isteri si sakit bergolek atas lantai macam buah mempelam yang terlepas dari tangkai lalu bergolek atas permukaan jalan raya. Dalam keadaan yang cemas itu saya masih sempat tersenyum melihat telatah isteri si sakit yang melucukan itu.
“Serkup badan yang sakit,” datuk mengeluarkan perintah.

91. Cahaya Di Lantai



Saya tergamam mendengar arahan yang bertalu-talu dari datuk dalam keadaan cemas itu.

“Saya panas, badan saya berbahang,” sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas kepalanya.

“Teruskan, baca surah Al-Ikhlas sebanyak yang boleh,” datuk memberi arahan.

“Baiklah.”

Bunyi dengung tidak juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah dan hijau. Percikan cahaya itu terkena badan terasa pedih dan sakit.

Kepala saya mula terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding. Benda bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya terasa macam pekak.

Bila datuk yakin keadaan beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di dalamnya.

Sayang, baru tiga tapak datuk melangkah kelihatan satu sinaran cahaya muncul cara tiba-tiba di tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah.

“Kepala manusia,” jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas lantai, betul-betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh. Bahagian lehernya terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya terus menggeletar.

Saya renung ke arah isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak berombak membuang dan menarik naFas cemas. Ia kelihatan bagaikan tidak bermaya. Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar mengkuang.

Dalam keadaan yang takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas lantai. Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebAhagian dari permukaan mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa.

Paling menakutkan bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas. Mata kirinya terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjengkul di situ. Biji mata sebelah kanannya tersebul sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri.

Kepala itu bergerak ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan.

“Tuk, tolong saya,” saya menjerit.

“Kamu jangan bergerak Tamar,” sahut datuk.

“Saya ikut cakap datuk, saya takut tuk.”

“Duduk diam-diam di situ.”

Saya pun mengeraskan badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah-limpah. Sesekali saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya. Tanpa disedari seluar yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya membuat saya mahu muntah.

“Hupppp,” jerut datuk lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang. Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola. Berlegar-legar di udara serentak dengan Itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis.

Angin dan ribut kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang dirempuh angin yang amat kuat. Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara tersebut datang.

Kepala yang berlegar-legar di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai. Guru silat terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dnegan kain untuk mengelakkan dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.

Datuk terus meniarap dan menggerakkan badannya seperti ular menuju ke arah guru silat. Gerakan badan datuk tidak dapat berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kepala tanpa badan yang terapung-apung di awang-awangan itu terus berlegar-legar mengikut gerakan badan datuk. Apa yang menakjubkan darah yang menitik tidak menimpa tubuh datuk. Darah itu bagaikan ditolak kuasa ghaib menuju ke dinding.

“Kita lawan, biar saya pukul kepala tu dengan kayu,” guru silat mengemukakan pertanyaan. Tiada jawapan dari datuk. Suara orang bersorak dan menangis bertambah hebat dan kuat.

“Jangan bertindak,” jawab datuk. Serentak dengan itu saya lihat datuk terus bangun.

Kepala terbang menuju ke arah datuk. Berhenti betul-betul di depan muka datuk atau dengan kata lain mereka bertentang wajah. Saya mengerutkan dahi, bila terlihat ular keluar dari mata sebelah kiri kepala tanpa badan. Lidah ular yang bercabang itu hampir saja mahu menjamah muka datuk tetapi, datuk segera bertindak dengan menjatuhkan badannya ke lantai.

Paling menakjubkan bila saya melihat kepala tersebut ikut sama jatuh atas lantai. Dari mulutnya bersemburan air liur.

Bagi mengelakkan air liur itu mengenai mata dan muka, cepat-cepat datuk menekupkan mukanya ke lantai sambil memusingkan badannya secepat yang boleh. Serentak dengan itu, kaki datuk memberi satu pukulan libas yang amat kencang pada kepala tersebut.

Tendangan yang cepat dan kuat dari kaki datuk menyebabkan kepala itu melayang ke kanan lalu melanggar dinding. Dua keping papan dinding terlucut dari pakunya. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang menjerit kesakitan. Datuk segera bangun dan menerkam ke arah dinding yang terkopak.

Isteri si sakit terus diangkat oleh guru silat, dibawa ke bilik di bahagian bawah rumah. Manakala si sakit masih berada dalam bungkusan tikar mengkuang. Suasana malam terasa gamat dengan berbagai0bagai bunyi yang tidak pernah saya dengar. Lantai terasa terumbang-ambing dan bumbung bagaikan bergoyang.

“Ke mana kepala sial tu Tamar? Hilang begitu saja,” pekik datuk sambil mencari kepala ganjil yang tidak diundang itu. saya gelengkan kepala dan merasa hairan dengan kepala ganjil yang ghaib dengan tiba-tiba. Datuk merenung melalui lubang dinding yang terkopak. Apa yang datuk lihat hanya kegelapan malam yang sedang bermaharajalela.

“Ke mari Tamar.”

Saya terus mendekati datuk dan sama-sama merenung keluar. Saya terlihat seperti ada seketul bara api yang sedang marak di permukaan tanah. Bara api itu kelihatan sekejap mengecil dan sekejap mengembang macam ada manusia yang meniupnya.

“Kau tahu apa benda tu Tamar?”

“Itulah mata syaitan.”

“Mata syaitan,” saya terkejut.

“Ya,” jawab datuk lalu mengambil papan dinding yang jatuh di lantai untuk dipasang ke tempatnya kembali.

Sebaik saja datuk mengangkat papan dinding separas lutut, seketul cahaya meluru masuk ikut lubang lalu terkana papan dinding yang dipegang oleh datuk. Papan itu terlepas dari tangan datuk dan datuk terjatuh tetapi, datuk berusaha untuk bangun. Usaha datuk berhasil. Benda bulat yang bercahaya sebesar buah mempelam itu berpusing ligat atas lantai.

Benda bulat berhenti berpusing dan terus hilang diganti dengan kepala aneh. Bentuk dan keadaannya tetap macam tadi. Datuk renung kepala itu dengan renungan tajam. Semua pancaindera datuk teRtumpu ke situ dan saya kira renungan itu adalah renungan makrifat penuh kebatinan. Datuk menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menegakkan kebenaran.

“Mahu menguji aku?” Datuk bersuara keras.

Wajahnya nampak berkerut. Renungan datuk yang tajam itu ditentang oleh sepasang mata dari kepala aneh. Mata kanan kepala yang tersembul terus mengecil menjadi macam mata manusia biasa. Begitu juga dengan mata sebelah kiri yang tadi sering mengeluarkan kepala ular tedung, juga bertukar menjadi mata manusia biasa.

Datuk terus duduk bersila di lantai. Sepasang tangannya diletakkan atas kedua belah kepala lutut. Matanya tidak berkedip menentang sepasang mata dari kepala aneh. Semua urat-urat di lengan dan tangan datuk kelihatan timbul dan tegang begitu juga dengan urat di leher dan muka. Peluh-peluh halus mula meruap di dahi dan pipi.

Tiba-tiba datuk terlentang, macam kena tendangan yang kuat. Kedua belah tangannya terkapar dengan jejarinya terbuka dan bengkok. Seluruh badan datuk menggeletar dan tersentak-sentak seperti terkena kejutan letrik. Kepala aneh terus terlompat-lompat. Mulutnya mula tersengih mempamerkan gigi besarnya. Suara angin dari luar begitu keras dan kuat masuk ke dalam perut rumah. Saya menggeletar dan rasa takut mula menguasai diri.

Datuk cuba bangun tapi tidak berdaya, dalam keadaan yang samar-samar saya melihat sepasang kaki yang berbulu tebal memijak bahagian dada datuk membuat datuk sukar bernafas. Datuk terus berjuang cuba menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri. Saya cuba menjerit tetapi, suara saya tidak keluar. Saya terdengar jeritan si sakit memanjang dan meninggi.

Dengan sepenuh tenaga datuk menghentakkan siku kanannya ke lantai sambil memusingkan badannya ke kanan. Tangan kirinya melepaskan penumbuk ke kaki berbulu. Sebaik saja tumbukan itu terkena pada sasarannya, kaki yang berbulu itu terus ghaib. Jeritan si sakit terus bergema. Datuk tumbuk lantai lagi sekali. Kali ini jeritan si sakit terus mati.

Datuk terus bangun. Berdiri gagah dengan kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangannya diluruskan ke depan. Datuk tarik nafas panjang sambil membengkokkan kaki kanannya. Badannya terus direndahkan. Datuk hulurkan kaki kanan ke arah dinding.

“Hupppppppp,” suara datuk keras dan saya lihat datuk melompat hingga kepalanya tersentuh tulang bumbung. Datuk bagaikan berada di awangan beberapa saat.

Ketika berada di awang-awangan itu, datuk kembangkan sepuluh jari tangan dan jari kakinya. Bila semua jari tangan dan kaki terkembang datuk segera membengkokkan badannya. Tubuh datuk yang seketul itu kelihatan berpusing beberapa kali sebelum menyentuh lantai.

Semua gerakan yang datuk lakukan, saya perhatikan dengan teliti. Datuk duduk bersila di lantai kembali. Kepala aneh terus bergolek dari sudut ke sudut ruang rumah. Lidahnya yang terjelir mengeluarkan darah kental bukannya air liur. Darah kental itu melekat di lantai. Saya mula terhidu bau hanyir.

Sedang saya mengesan dari arah mana bau hanyir itu datang, saya dikejutkan oleh bunyi kaki Orang berlari dalam rumah. Saya segera angkat kepala dan saya terlihat isteri si sakit berdiri di depan saya, seluruh badannya dibaluti dengan kekabu. Susah untuk saya melihat biji mata dan wajahnya.

Saya menelan air liur bila melihat isteri si sakit, mengoyakkan bantal panjang yang dibawanya. Semua kekabu itu berterbangan lalu mengenai muka dan badan datuk. Saya lihat, datuk tidak berusaha menepis kekabu yang melekat di hidungnya. Dibiarkannya kekabu itu berada di situ.

Isteri si sakit terus merapati datuk sambil melepaskan beberapa tendangan yang kencang. Datuk mengelak ke kiri dan ke kanan. Kerana tendangannya tidak mengenai tubuh datuk, isteri si sakit jadi marah. Dia berusaha melepaskan tendangan yang bertalu-talu. Datuk bertindak, kaki kanan iseri si sakit datuk tangkap dan pusing ke kiri dengan sekuat hati.

Tubuh isteri si sakit jatuh atas lantai. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan dari isteri si sakit. Guru silat segera mendekatinya untuk memberi bantuan.

“Duduk, jangan dekat dia,” suara datuk keras tanpa merenung ke arah guru silat.

“Dia sakit,” sahut guru silat.

“Jangan bantah cakap aku,” sergah datuk. Guru silat patuh dengan cakap datuk.

Datuk terus memulas kaki isteri si sakit dengan sekuat hati hingga perempuan malang itu terkencing dan terus diam. Terkulai di lantai, tidak sedarkan diri. Kepala aneh segera mendekati isteri si sakit untuk menjilat dahi wanita yang terkapar.

Belum pun sempat lidah yang panjang dan berwarna merah garang menyentuh dahi isteri si sakit, datuk segera menepuk lantai dengan tangan kanan. Dia terus melompat dan menerkam ke arah kepala aneh. Bagaikan kilat datuk menarik telinga kiri kepala aneh itu.

“Tuk, mulutnya gigit lengan tuk,” jerit saya bila melihat mulut dari kepala aneh itu menggigit lengan datuk. Guru silat segera bangun dan mendekati datuk untuk menolong. Baru tiga langkah guru silat melangkah, satu tamparan kencang mengenai pangkal lehernya.

Guru silat tersembam dan tidak berdaya bangun. Saya mencapai sepotong kayu untuk membantu, saya juga menerima satu tendangan di rusuk kiri. Pandangan saya berpinar. Lantai rumah terasa bergoyang dan saya terhuyung-hayang lalu jatuh.

Saya cuma dapat melihat lelehan darah di lengan kanan datuk. Gigi tajam dari mulut kepala aneh terus terbenam dalam lengan daging datuk. Muka datuk berkerut menahan rasa sakit. Datuk hentak kepala aneh ke dinding dengan harapan gigitan di lengan akan dilepaskan. Usaha datuk itu tidak berhasil, malah lidah dari mulut kepala aneh itu mula membelit leher datuk. Saya lihat datuk sukar bernafas. Datuk terus terhuyung-hayang dan akhirnya datuk jatuh atas lantai.

Datuk terus bergolek atas lantai. Datuk berusaha menghentak kepala aneh pada tiang seri beberapa kali. Gigitan di lengan tidak juga terlepas, begitu juga dengan belitan lidah di leher datuk. Muka datuk berpeluh dan pucat. Batang lehernya terus dilumur darah dari kepala aneh itu. dengan sekuat tenaga datuk hayunkan kepala aneh itu ke tiang seri hingga gigitan di lengan datuk terlepas. Belitan lidah di leher juga terbuka.

Datuk segera mengambil bantal panjang yang koyak dan terus menyerkup kepala aneh. Kepala aneh itu terus menggelupur dalam bantal panjang. Kekabu berhamburan dan berterbangan. Datuk memegang hujung bantal itu dengan sekuat hati.

“Tamar, mari tolong aku.”

Saya segera menghampiri datuk, saya diarahkan datuk untuk memotong lengan baju kirinya separa siku. Perintahnya saya patuhi lengan baju yang sudah dipotong itu segera saya apitkan ke celah ketiak. Kemudian saya serahkan pada datuk.

“Sudah kamu ikut petua yang aku berikan.”

“Sudah tuk.”

“Sekarang kamu pergi dekat guru silat, bisikkan surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, kemudian bacakan surah Al-Kursi sekali.”

“Baik tuk.”

Saya segera mendekati guru silat. Apa yang dipesan oleh datuk segera saya tunaikan. Saya berhasil, guru silat boleh bangun. Tanpa menerima perintah dari datuk, saya ajak guru silat mendekati isteri si sakit. Apa yang saya lakukan pada guru silat, itu jugalah yang saya lakukan pada isteri si sakit. Saya tidak tahu, kenapa semuanya itu saya lakukan. Saya seperti didesak oleh suara hati saya untuk berbuat demikian.

Kepala aneh yang sudah datuk sumbatkan dalam bantal panjang itu terus bergerak-gerak, berusaha mahu keluar dari dalam bantal tersebut. Datuk terus mengikat hujung bantal panjang dengan kain lengan baju kiri. Datuk gantungkan kepala aneh yang berada dalam bantal panjang ke paku di tiang seri. Bantal itu terus bergerak ke kiri dan ke kanan diiringi dengan bunyi deru angin yang amat kuat. Datuk segera mendekati kami.

“Bawa perempuan ni ke dapur dan mandikan dengan air. Bila dah selesai dimandikan, kunci dalam biliknya,” datuk keluarkan arahan. Deru angin yang kuat terus ditingkah dengan bunyi petir dan hujan lebat. Dalam keadaan yang haru-biru itu, semua perintah datuk dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami mendekati datuk lagi untuk mendengar arahan selanjutnya.

TERKEJUT

Saya dan guru silat terkejut, bila melihat datuk mengoyakkan gulung tikar yang membalut tubuh si sakit. Saya mengucap panjang, tubuh si sakit dah dipenuhi dengan bulu macam bulu di badan orang utan. Wajah si sakit juga berubah seperti muka beruk jantan mempamerkan sepasang taring yang cukup tajam. Si sakit cuba bangun untuk menyerang datuk.

“Jangan apa-apakan dia, dia tak boleh melakukan apa-apa pada kita,” kata datuk pada guru silat yang cuba mahu menutup si sakit dengan tikar mengkuang. Tujuan guru silat berbuat demikian untuk menghalang si sakit yang berubah rupa itu dari menyerang datuk. Cakap datuk memang betul, si sakit cuma terdaya duduk saja. Setelah itu ia jatuh terlentang kembali.

Cara mendadak saja kami alihkan pandangan pada bantal panjang yang tersangkut di tiang seri. Bentuk dan keadaan bantal sudah berubah, jadi lebih panjang. Bahagian atas dan bawah terikat, macam mayat yang sudah dikafankan terbuai-buai diterpa angin yang berputar dalam ruang rumah.

“Haaaaaa,” saya terkejut sambil membeliakkan biji mata.

Ada tangan terjulur bersama kuku yang panjang dari dalam bantal tersebut. Saya juga melihat sebahagian dari kain tersebut diresapi dengan darah. Terdengar suara orang menangis dan mengilai dalam deru hujan dan angin yang amat keras.

“Macam mana boleh jadi begitu, bantal panjang bertukar jadi kain kafan dan ada mayat pula di dalamnya? Mayat siapa pula!”

“Tak usah banyak cakap, kita tengok saja,” jawab datuk pada rungutan guru silat. Saya renung muka guru silat yang kehampaan.

Datuk terus termenung panjang. Mulutnya nampak bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Bantal itu tetap bantal, cuma pandangan mata kita saja ditipu oleh iblis,” datuk bersuara lembut. Dia terus bergerak tiga langkah ke belakang. Berhenti.

Bergerak ke kanan tiga langkah. Berhenti. Bergerak ke kiri tiga langkah. Berhenti. Datuk tarik nafas dalam dan matanya tidak berkedip merenung ke arah bantal panjang yang nampak seperti kain kafan.

Tiba-tiba yang ditenung oleh datuk terlucut dari tempatnya. Jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergoyang. Benda ganjil itu terus bergolek, keadaannya juga sungguh luar biasa. Ada waktunya kelihatan menipis, ada masanya membulat, ada ketikanya memanjang. Sepasang mata datuk terus menyorok ke arah benda ganjil itu, tidak kira ke mana benda itu bergolek.

Saya lihat bantal panjang yang tadi bersarungkan kain warna merah muda sudah bertukar dengan kain biru muda. Tangan dan kuku yang terjulur tetap seperti tadi, malah kukunya yang tadi nampak berwarna putih pucat sudah bertukar menjadi kemerah-merahan. Urat-urat di belakang tangannya mula timbul seperti akar yang timbul di permukaan bumi.

Datuk masih berdiri. Sepasang kakinya bagaikan terpaku di lantai. Perlahan-lahan datuk angkat kaki kanannya agak tinggi dari biasa kemudian menghentakkan ke lantai. Benda yang bergolek terus terangkat seperti ditarik sesuatu hingga ke paras palang pintu.

Sebelum benda ganjil itu jatuh, datuk segera mengambil tikar lalu digulungkannya dengan cepat sekali. Tikar mengkuang yang sudah digulung itu segera ditegakkan, ditempat yang diduga benda ganjil itu akan jatuh.

Bila tikar sudah ditegakkan di tempat yang datuk fikirkan sesuai, datuk segera berlari mendekati kami. Wajahnya kemerah-merahan dan penuh dengan peluh. Saya lihat peluh tersebut menuju ke hujung dagu lalu jatuh atas dada datuk.

“Sekarang bersedia,” kata datuk lalu merenung muka saya dan guru silat. Saya menggigit bibir, saya mencari tujuan sebenar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Dan saya kira guru silat juga tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata yang datuk hamburkan itu.

“Sedia apa?” tanya guru silat.

“Bukankah sudah aku cakapkan tadi,” jawab datuk.

“Awak tak beri apa-apa arahan pun.”

“Betulkah saya tak beri arahan?”

“Betul tuk,” balas saya dan guru silat anggukkan kepala. Datuk terus gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Sinar matanya lembut tertumpu ke wajah saya.

Datuk senyum dan saya sudah ‘arif benar dengan perangai datuk. Bila dia senyum begitu, ertinya secara tidak langsung datuk mengakui kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

“Kita mesti cepat bertindak, mari kita baca ayat Al-Kursi sebelum benda itu jatuh atas tikar yang saya tegakkan tadi,” ujar datuk. Saya dan guru silat segera anggukkan kepala. Dan kami segera berdiri di sisi datuk.

Kami pun membaca ayat suci yang dikatakan oleh datuk dalam hati dengan teliti dan sebutan yang betul. Sebaik saja pembacaan kami berakhir, benda ganjil tadi terus jatuh atas tikar mengkuang yang ditegakkan, kami terdengar bunyi petir yang amat kuat di luar rumah.

Tikar mengkuang yang ditegakkan terus rebah dengan sendirinya. Terdapat api kecil di sekeliling tikar yang rebah itu. api itu terus marak, macam disiram petrol.

Ternyata, api itu marak hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian api itu terus padam. Tidak jauh dari tikar tersebut terdapat bantal panjang dalam keadaan yang elok, tidak ada yang koyak. Keadaannya tetap seperti asal.

Bunyi angin yang menguasai ruang rumah terus hilang. Dekat tiang seri dapat tempurung kelapa jantan yang dibaluti sabut nipis. Tempurung kelapa jantan itu tergolek di situ. Tiba-tiba anak telinga saya menangkap suara aZan memecah subuh yang bening. Keadaan dalam rumah jadi tenteram.

“Kau pergi buka bilik orang yang kau kunci tadi,” datuk keluarkan arahan pada guru silat. Saya lihat guru silat keberatan untuk memenuhi permintaan datuk.

“Kenapa diam, pergilah buka,” sergah datuk.

“Tapi.”

“Tak ada tapi, dia tak akan menjerit atau mencekik kamu, syaitan yang menguasainya sudah lari,” kata datuk. Guru silat segera pergi ke tempat yang diarahkan. Datuk dan saya segera mendekati si sakit. Datuk tepuk dahi si sakit tiga kali. Tanpa diduga, si sakit terus bangun.

“Apa macam,” itu yang diucapkan oleh si sakit pada datuk.

“Kau bagaimana pula?”

“Saya rasa badan saya segar, macam tak ada sesuatu yang saya tanggung,” jawab si sakit dengan senyum. Dia terus bangun. Berjalan dalam ruang rumah. Bila dia mahu keluar datuk segera memegang bahunya.

“Kenapa?”

“Kau belum boleh pijak bumi selagi matahari belum terbit. Kalau badan kau dah sihat, pergilah mandi. Kita sembahyang subuh kemudian kau buatlah sembahyang syukur pada Allah yang menghilangkan penyakit yang kamu tanggung selama ini.”

“Baik,” jawab si sakit dan terus menuju ke bilik mandi.

Saya menggigit bibir, lelaki yang setiap kali malam saya lihat terlantar dengan perut buncit dan bila mahu bangun terpaksa menggunakan bantuan tali, kini sudah boleh bergerak ke mana saja. Melihat gerak-gerinya, lelaki itu bagaikan tidak pernah mengalami sebarang sakit.

92. Bomoh Tua Bawa Bencana


Kuku di ibu jari saya gigit dan sepasang mata merauti wajah datuk. Cara mengejut dan tidak diduga, datuk terus menepuk bahu kanan saya.

“Pergi ambil air sembahyang, Tamar.”

“Sejuk tuk.”

“Pergilah, jangan banyak cakap,” suara datuk meninggi. Saya terus merenung ke arah bilik air. Saya terdengar banyak air berjatuhan di lantai. Saya senyum.

Ada orang di bilik air tuk, terpaksa tunggu dia keluar,” suara saya tersangkut-sangkut.

“Siapa?”

“Si sakit tadi tuk.”

“Hum.. aku lupa, kalau begitu kau pergi mandi di telaga.”

“Saya takut tuk.”

“Ha kamu,” datuk beliakkan biji mata sambil menggaru pipi kanannya beberapa kali. Saya tahu datuk mula marah.

Tetapi, saya merasa bertuah dan beruntung kemarahan yang mula berbunga di hati datuk segera menurun kerana kehadiran guru silat dan isteri si sakit di sisi datuk. Senyum pun terkembang di bibir datuk. Tidak lama kemudian si sakit yang berada di bilik mandi pun datang. Matanya tidak berkedip merenung wajah isterinya. Dan isterinya terus menatap sekujur tubuh suaminya.

“Bengkak perut dah hilang dan kau boleh berjalan, boleh mandi sendiri,” si isteri bersuara. Wajahnya dibalut keriangan yang amat panjang. Si isteri segera mahu mendekati si suami. Tanpa rasa segan si isteri angkat tangan kanan menyentuh pipi suaminya.

“Jangan sentuh dia,” datuk bersuara keras. Semua biji mata tertumpu ke arah datuk. Semuaya merasa hairan dan kurang senang dengan sikap datuk.

“Dia suami saya.”

“Saya tahu, tapi bersabarlah untuk beberapa jam. Bila kita dah selesai sembahyang Subuh dan bumi sudah cerah disinar matahari, kamu boleh buat apa yang kamu suka,” kata datuk.

“Kenapa tak boleh buat sekarang?”

“Ini cara dan petua kalau awak mahu ikut, kalau tak mahu ikut pun tak apa tetapi, kalau petua dan syarat orang tua-tua dilanggar ada masanya boleh membawa padah,” satu ingatan yang bersahaja dari datuk. Isteri si sakit menggigit bibir dan menelan air liur. Sedia mematuhi perintah datuk.

“Kita sembahyang Subuh di sini?” tanya guru silat.

“Ya, di mana lagi? Kalau bukan di sini?” Balas datuk.

“Imamnya?”

“Saya kata datuk. Guru silat tersenyum dan tanpa banyak bicara dia segera menuju ke bilik air mengambil air sembahyang.

DOA

Sebaik saja selesai menunaikan Fardhu Subuh, kami semua membaca doa. Selesai baca doa, isteri si sakit terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

Guru silat turun ke halaman rumah lalu melakukan senaman kecil untuk menggerakkan darah dan menegangkan urat. Datuk terus membaca beberapa ayat suci. Si sakit yang baru sembuh masih duduk bersimpuh di sisi datuk. Saya kira tentu ada sesuatu yang mahu diajukannya pada datuk.

Sangkaan saya tidak salah, sebaik saja datuk berhenti membaca ayat-ayat suci, lelaki bermata cengkung itu menghampiri datuk.

“Berapa lama saya tak boleh bersama isteri saya?”

“Sekejap lagi bolehlah, kau pergi berdiri dekat tingkap dan lihat matahari. Bila matahari sudah terbit, kenakan seluruh tubuh kamu dengan sinar matahari, lepas tu kamu bolehlah bersama.”

“Terima kasih, saya ingatkan sampai berbulan-bulan.”

“Tidak,” datuk tersenyum.

Datuk mengajak saya turun ke halaman rumah. Cakapnya saya turuti. Saya dan datuk melakukan senaman harimau menangkap musuh dan beberapa senaman lain hingga badan saya berpeluh dalam dingin pagi. Selesai menjalani senaman datuk mengajak saya berjalan keliling kampung sambil membasahkan kulit dengan air embun.

Saya membantah ajakan datuk itu. Tidak sanggup rAsanya dalam cuaca pagi yang samar-samar dan dingin itu menyentuh air embun di hujung daun untuk disapukan ke kulit tubuh. Protes saya menimbulkan rasa kurang senang dalam hati datuk. Kerana tidak mahu ketegangan yang terjadi itu berlanjutan, saya segera mengalah. Datuk gembira. Bila kami mahu memulakan langkah, guru silat terus bersuara.

“Nak ke mana tu?”

“Mandi embun.”

“Jangan lama-lama, nanti ada masalah di rumah saya tak tahu nak mengatasinya.”

“Belum matahari keluar kami balik,” jawapan itu amat menyenangkan diri guru silat. Senyumannya terus terukir di bibir dan dia meneruskan latihan silatnya.

Berjalan dalam suasana dingin begini tidak boleh lambat-lambat. Langkah mesti dipercepatkan, biar semua sendi bergerak lancar lalu melahirkan peluh yang boleh menghilangkan rasa sejuk dan dingin. Sedang saya dan datuk asyik menghulurkan jejari pada air embun di hujung daun, kami terdengar bunyi orang memijak sesuatu dari hutan kecil di sebelah kanan. Langkah datuk dan saya segera berhenti.

“Ada binatang buas tuk.”

“Pada hemat aku, itu bukannya bunyi langkah binatang.”

“Kalau bukan binatang langkah apa tuk?”

Datuk terus membisu lalu membongkok kepala lutut kanannya ditemukan dengan permukaan bumi. Manakala lutut kirinya tetap tegak menentang dada langit. Kelima-lima jari kirinya dikembangkan dan terus diletakkan di atas tanah. Hidungnya dihalakan ke arah angin datang. Hidung datuk nampak kembang kempis menghidu sesuatu.

“Manusia Tamar,” mata datuk bersinar merenung ke arah hutan kecil.

Dahinya berkedut tetapi wajahnya tetap tenang serta bersedia menghadapI sebarang kemungkinan. Barangkali, ada orang kampung yang menggunakan hutan kecil itu sebagai jalan pintas untuk pergi ke suatu tempat, fikir saya dalam hati.

“Manusia dari mana tuk?” saya menyoal kembali.

“Entah, pedulikan, mari kita pergi,” datuk segera menarik tangan saya. Kami meneruskan perjalanan yang terhenti.

Tidak beberapa jauh melangkah, datuk berhenti kembali. Macam ada sesuatu yang tidak menyenangkannya. Dan saya sendiri pun merasakan ada sesuatu yang mengikuti segala gerak dan langkah kami. Dalam saat-saat tertentu, benda yang serasa ada itu bagaikan wujud di depan saya dan datuk tetapi, sukar untuk dilihat apatah lagi untuk dirasa dan dipegang.




RESAH


Keadaan yang dihadapi membuat saya resah dan gelisah. Saya segera memujuk datuk supaya pulang ke rumah adik guru silat. Datuk gelengkan kepala sambil tumit kaki kirinya menghentak-hentak tanah beberapa kali. Tanpa diduga, datuk terus membengkokkan badan dan kedua belah tangannya menepuk bumi tiga kali berturut-turut.

“Kerja kamu dah selesai,” saya segera merenung ke kiri.

Saya lihat bomoh tua berdiri di situ. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya. Aneh sekali kenapa dia tidak mahu memandang wajah datuk? Apakah ini cuma satu helah darinya untuk memperdayakan datuk? Bermacam-macam pertanyaan bermain dalam kepala saya.

“Aku hanya menyelesaikan kerja kamu yang belum selesai,” balas datuk sambil membelakanginya.

Saya kira, cara datuk itu amat merbahaya. Kenapa dia memberi belakang pada bomoh tua, kenapa datuk tidak mahu menentang muka bomoh tua?

“Tapi kamu tidak pernah minta iZin dari aku,” saya terdengar suara bomoh tua. Apa yang bermain dalam kepala saya terus hilang.

“Ya, niat saya ikhlas untuk menolong,” suara datuk rendah.

“Cara kamu menyakitkan hati aku.”

“Apa! Kerana aku menolong hamba Allah yang sakit. Boleh membuat kamu marah, aku tak faham dengan cara kamu.”

“Ya, aku nak beRi kamu faham sekarang.”

“Terangkan.”

“Kamu sepatutnya jangan campur dalam hal ini. Kerja aku dengan orang yang minta tolong belum selesai.”

“Kamu terima upAh untuk menjahanamkan orang lain.”

“Kerana si sakit itu memang jahat.”

“Kalau kamu dah tahu dia jahat, kenapa kamu ubati dia?”

“Aku mahu mempermainkan orang yang mengupah aku dan orang yang sakit.”

“Kamu memang iblis,” pekik datuk.

Bomoh tua itu hilang dari pandangan saya. Datuk tergamam bila bomoh tua muncul di depannya dan mengajak beradu tenaga.

“Itu bukan cara aku. Dalam hidup aku, menjual dan membeli bukan cara aku. Kita hamba Allah dan umat Nabi Muhammad S.A.W kita disuruh berbaik-baik,” jawab datuk dengan nada suara yang rendah.

“Agaknya kamu takut, ilmu kamu tidak sebanyak mana,” bomoh tua seperti mengejek datuk.

“Tak usahlah kita nak tunjuk handal. Kita lupakan semuanya. Kalau saya tersalah, maafkan saya,” datuk hulurkan tangan pada bomoh tua. Cepat-cepat bomoh tua menepis huluran tangan datuk sambil membuka langkah untuk menyerang datuk.

“Kalau benar awak Handal, jawab pertanyaan saya. Kalau semua jawapan awak betul, saya ikut awak,” datuk memberi cadangan.

“Kamu mempermainkan aku.”

“Aku ikhlas, aku tak mahu bermusuh dengan sesiapa pun.”

“BohOng,” suara bomoh tua meninggi. Dia terus menyerang datuk dengan sebatang kayu.

Datuk tidak bergerak dari tempatnya, menanti serangan bomoh tua dengan tenang. Datuk hanya mengangkat ibu jari kanannya dan kayu di tangan bomoh tua terpelanting dengan sendirinya. Bomoh tua jatuh terlentang macam ada sesuatu yang menolaknya.

Bomoh tua cuba bangun dan datuk cepat-cepat memusingkan ibu jari kanannya menunjuk ke bumi, bomoh tua tidak terdaya bangun. Bila datuk menegakkan ibu jarinya, bomoh tua dapat bangun dan berdiri berdepan dengan datuk, bersedia untuk melepaskan penumbuk pada datuk.

Lagi sekali datuk meluruskan ibu jarinya ke bawah. Bomoh tua jatuh terlentang terkapar-kapar.

“Cuma itu saja yang ada pada aku, bangunlah,” kata datuk tenang sambil memeluk tubuh. Bomoh tua tidak mahu bangun. Dia duduk bersila di tanah. JarI kelingkingnya terus menguis-nguis tanah.

“Apa yang mahu kamu tanyakan pada aku?”

“Aku cuma nak menyatakan rasa kesal, kerana kamu seperti orang yang beragama tetapi membuat kerja terkutuk.”

“Sudahlah, cakap perkara apa yang mahu kamu tanyakan padaku.”

“Kamu beragama Islam?” datuk memulakan pertanyaan.

“Ya, aku percayakan Allah, Quran dan hari kiamat serta malaikatnya,” jawab bomoh tua penuh keyakinan.

Matahari mula memunculkan diri di kaki langit. Saya terus menyanDarkan badan pada sebatang pokok yang berdaun lebat.

“Sebagai orang Islam aku cuma nak tanya tiga perkara. Harap kamu dapat memberikan jawapannya.”

“Silakan, apa perkara yang nak kamu tanya sila kemukakan. Fasal agama, adat, ilmu dunia, ilmu akhirat, silakan,” bomoh tua terus ketawa kecil.

Jari kelengkengnya tidak berhenti menguis tanah. Tidak memperlihatkan sebarang rasa kebimbangan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk raba telinga kemudian terus duduk bertinggung. Muka bomoh tua direnung dengan tepat tanpa berkedip. Kali ini bomoh tua menentang wajah datuk.

“Silakan, aku menanti,” bomoh tua seperti mendesak.

“Sebagai orang Islam, aku mahu tahu dari mana kamu datang?” datuk menyambut cabaran dari bomoh tua.

“Apa, ini saja soalannya?”

“Ini soalan pertama, dua soalan lagi akan menyusul kemudian,” terang datuk dengan tenang.

“Aku mahu kamu terus mengemukakan tiga soalan sekali. Aku tak mahu satu-satu, cara itu melambatkan.”

“Baiklah, kalau itu kemahuan kamu. Soalan pertama aku mahu tahu dari mana kamu datang,” datuk berhenti bercakap dia. Dia menahan air lir sambil batuk kecil.

“Apa kamu buat dan ke mana kamu nak pergi?” datuk menambah soalannya.

Bomoh tua kerutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya dua tiga kali.

“Dah habis soalan kamu.”

“Dah habis,” jawab datuk tegas.

Bomoh tua menggigit kuku di ibu jari kanannya. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia garu telinga yang tidak gatal. Saya kira bomoh tua masih mencari jawapannya. Saya juga berfikir, apakah jawapan yang tepat pada soalan yang datuk kemukakan. Saya kira, inilah kali pertama datuk mengemukakan soalan yang sedemikian. Agak aneh dan luar biasa sekali pada tanggapan saya.

“Soalan yang mudah, anak cucu aku sendiri boleh jawab. Kamu tahu yang tak pergi sekolah pun dah tahu jawapannya, ha.. ha…,” bomoh tua ketawa berdekah-dekah.

“Jawab sekarang, usah ketawa,” suara datuk meninggi.

“Dari Allah aku datang, aku dilahirkan untuk membuat amalan dan akhirnya aku pergi pada-Nya juga. Apa kau sudah puas hati sekarang.”

“Kurang puas hati.”

“Sebabnya?” bomoh tua beliakkan biji mata. Cepat-cepat dia berdiri dan terus mencekak pinggang.

Misai tebalnya dipulas beberapa kali, macam lanun dalam drama purbakala yang mahu memperkosa gadis jelita dalam bilik tidur.

“Jawapan kamu masih ada kurang. Membayangkan kamu kurang pengetahuan,” suara datuk lembut.

“Kurang ajar. Cakap apA yang kurang, kalau kamu tak cakap buruk padahnya.”

“Baiklah. Jawapan pertama begini: dari setitik mani kedua orang tua, kita dijadikan oleh Allah dan dikeluarkan dari rahim ibu. Tidak kira orang itu keturunan baik-baik atau tidak, sama ada berkulit hitam atau putih semuanya keluar dari lubang yang satu,” datuk berhenti bercakap. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Jawapan yang kedua pula?” bomoh tua juihkan bibir ke bawah. Datuk segera gosok pangkal hidung. Perbuatan datuk itu menimbulkan keresahan dalam diri bomoh tua.

“Jawapan kedua apa dia? Cepat cakap. Aku tak ada masa nak dengar temberang kamu.”

“Baiklah sekarang aku…..,” datuk berhenti bersuara.

“Eh, cakaplah. Jangan berdalih lagi.” Bomoh tua mula marah.

“Sekarang kau sudah tahu dari mana asal-usul kita, kau tahu kenapa kita dijadikan? Apa yang patut kita buat,” datuk berhenti lagi.

“Eh, aku mahu jawapan dari soalan kedua,” kali ini suara bomoh tua meninggi. Matanya mula menahan marah. Datuk masih bertenang.

“Aku baru memulakan jawapan untuk soalan kedua. Sekarang aku sambung kembali. Allah mencipta manusia dan jin semata-mata untuk mengabdikan diri pada-Nya. Jadi kita semua hamba Allah harus ikut perintah-Nya. Tidak boleh membesarkan diri, tak boleh minta disanjung atau dipuja kerana kita ini hamba Allah,” datuk menggaru pangkal pipi sebelah kanannya. Bomoh tua terus merenung bumi. Sinar matahari mula memancar lembut menjamah bumi dan dedaun.

“Jawapan yang ketiga pula apa dia?” Desak bomoh tua.

“Kamu sudah tahu asal kita, tahu apa yang mesti kita buat waktu berada di dunia. Dan akhir sekali ke mana kita akan pergi,” datuk senyum panjang.

“Akhirnya kita mati,” mendadak bomoh tua mencelah.

“Jawapan yang kurang tepat,” sanggah datuk.

“Habis,” apa yang tepat?”

“Kita akan kembali pada yang menciptanya. Segala apa yang kita buat di dunia diperhitung. Perbuatan jahat dibalas jahat, perbuatan yang baik menerima yang baik. Masa menghitung segala kebaikan dan kejahatan kita tidak dibeZakan sama ada orang itu keturunan diraja atau hamba, semua duduk bersama. Hanya di dunia saja manusia mencipta perbezaan. Kau faham sekarang.”

“Sudahlah. Kamu nak jual temberang, kamu khianat kerja aku,” cara mengejut bomoh tua naik darah.

Melihat keadaan yang tidak begitu aman, datuk segera menjeling serta melakukan serangan. Belum pun sempat datuk menemui tempat yang dihajati, bomoh tua melepaskan penumbuk sulung ke arah bahu kiri datuk. Nasib datuk dapat mengelak. Bomoh tua terdorong ke depan lalu tersandar di pohon halban liar.

Datuk segera mengangkatnya. Rupa-rupanya bomoh tua tidak mahu menjalikan persahabatan dengan datuk. Sebaik saja dia dapat berdiri, tanpa membuang masa dia terus melepaskan satu penumbuk lagi. Datuk tidak terdaya mengelakkannya. Penumbuk yang agak kencang itu terkena pangkal telinga datuk. Saya lihat datuk terhuyung-hayang macam orang mabuk. Bomoh tua menerpa ke arah datuk untuk melepaskan serangan.

Kasihan. Atur langkah bomoh tua tersilap. Walaupun datuk terhuyung-hayang tetapi dia tidak kurang tenaga dan akal. Tendangan bomoh tua disambutnya dengan satu tepisan yang kencang. Bomoh tua jatuh terkangkang atas tanah.

“Bunuh saja tuk. Bila dah mati mayatnya kita buangkan ke sungai,” secara tidak disengajakan kata-kata itu terungkap dari mulut saya. Bomoh tua yang kesakitan renung muka saya.

“Kamu jangan biadab Tamar,” sergah datuk.

“Saya tak sengaja tuk.”

“Jaga mulut, jangan celupar sangat.”

“Maafkan saya tuk.”

“Sudahlah, bukan keturunan kita jadi pembunuh. Sikap kita berbaik dengan semua orang.”

Bomoh tua bangun, hulur tangan pada datuk. Dengan wajah yang tenang dan damai datuk menyambut huluran tangan itu.

“Kita sesama hamba Allah. Buat apa kita bermusuhan,” suara bomoh tua merendah.

“Saya sependapat dengan awak.”

“Kalau awak dah sependapat dengan saya, awak kenalah menghormati saya dan menunaikan permintaan saya.”

“Apakah ini satu syarat?” tanya datuk sambil menatap biji mata bomoh tua. Saya lihat bomoh tua seperti terkejut mendengar pertanyaan dari datuk. Bomoh tua menggaru hujung kening kanannya.

“Terpulanglah pada kamu sendiri. Kalau kamu memikirkan itu sebagai syarat, dia akan menjadi syarat. Kalau kamu fikirkan itu bukan syarat, dia tidak jadi syarat,” penjelasan dari bomoh tua berbelit-belit dan berteka-teki serta mempunyai maksud yang tertentu.

Datuk kerutkan dahi. Dia perlu berhati-hati membalas kata-kata bomoh tua. Silap jawab diri akan terperangkap.

“Saya tidak menganggap itu syarat tetapi apa yang awak minta pada saya itu juga yang saya minta pada awak,” balas datuk.

“Ha, awak bijak.”

“Baiklah, apa yang awak mahu dari saya,” tanya datuk.

“Mudah saja, saya minta awak jangan ganggu saya. Ini cara saya cari makan. Saya tahu, awak bukan sebarang orang. Saya tersilap duga. Saya fikir awak macam orang-orang lain yang pernah saya duga. Lagipun awak tidak memperlihatkan kebolehan atau rasa sombong. Inilah yang membuat saya terperangkap,” bomoh tua seperti merayu.

“Saya tak faham,” datuk berdalih.

“Sebenarnya saya mendamping benda-benda halus yang ada kaitannya dengan angin, tanah. Benda-benda halus inilah yang banyak membantu saya. Jika ada orang datang minta ubat, benda-benda halus ini memberitahu saya apa penyakit yang dihadapi oleh orang itu.

“Oh begitu, barulah saya tahu. Lepas itu apa yang kamu buat?” soal datuk.

“Saya terus memberitahu pada orang yang datang di mana sakitnya, apa puncanya hingga mereka percaya pada saya. Saya kenakan bayaran yang mahal. Saya juga ambil upah membuat orang, kemudian mengubat orang yang kena buatan itu. Benda-benda halus inilah yang membantu saya,” begitu jujur bomoh tua menerangkan kedudukan yang sebenar. Saya hanya anggukkan kepala. Datuk lebih banyak termenung setiap kali menerima penjelasan dari bomoh tua.

“Salah seorang yang kamu kenakan, orang yang aku tolong?” tanya datuk.

“Ya.”

“Kenapa kamu lakukan perkara tu.”

“Aku sebenarnya dendam padanya dan selalu bertelagah dengan aku tentang hal-hal agama, suka membantah.”

“Aku fikir kerana kamu mahu mencampurkan perkara karut-marut dalam hal agama. Umpamanya suruh orang percaya pada keramat, memuja kubur, membayar niat di keramat. Bukan begitu?

“Ya, memang begitu janji aku dengan makhlus halus.”

“Lagi apa janji kamu dengan makhluk-makhluk halus tu?”

“Berusaha mengurangkan akidah agama pada orang kampung. Makhluk-makhluk halus itu pula berusaha menarik perhatian atau mengabui mata orang kampung supaya memuja dan mengagumi kebolehan aku. Orang-orang di sini kebanyakannya buta agama.”

Saya mula merenung ke arah matahari yang kian meninggi. Rasa benci dan menyampah pada bomoh tua mula bertandang dalam dada saya. Datuk terus meramas sepuluh jari di tangan yang terasa lenguh dan sakit-sakit.

“Macam mana kamu gunakan buatan pada orang yang aku tolong? Datuk bertanya lagi.

Bomoh tua terdiam sejenak. Dia kelihatan keberatan mahu menceritakan kisah sebenar pada datuk.

“Bagaimana kamu membuatnya?” ulang datuk.

“Satu hari ada orang mengadu dirinya sakit. Aku katakan kena buatan orang. Dan orang yang membuatnya adalah orang yang kamu lindungi itu. cara kebetulan mereka pernah bertengkar satu masa dulu. Apalagi, aku jalankan jarum,” bomoh tua menelan air liur.

Keningnya bergerak dua tiga kali menahan sinar matahari yang terik.

“Aku suruh orang itu membalas dendam. Dia setuju aku. Aku pun jalankan tugas. Bila orang yang didendam sakit, aku pergi mengubatinya,” sambung bomoh tua itu lagi.

“Ilmu kamu tak sebanyak mana. Tapi kamu berlagak macam orang pandai kemudian memperdayakan orang kampung. Kamu pengkhianat,” datuk bersuara dengan keras.

Muka bomoh tua ditentangnya. Saya segera mendekati datuk.

“Kita dah bersahabat. Kau tak boleh marah,” tingkah bomoh tua.

“Ya. Aku tak akan melakukan apa-apa pada kamu. Kejahatan kamu adalah urusan kamu dengan Allah. Tetapi selagi aku masih hidup aku akan melindungi orang-orang lain dari kejahatan kamu.” Suara datuk merendah.

“Jangan khianati aku kawan.”

“Hum, datuk juihkan bibir. Kemudian datuk tarik tangan saya. Kami tinggalkan bomoh tua di situ, di bawah sinar matahari yang kian mengembang.

93. Masih Dalam Ujian


Hujan turun mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut. Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersedai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera saya rapatkan.

Bunyi deru hujan amat jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir, diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar. Bagi menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar.

Sejak pulang dari kampung halaman guru silat, saya dan datuk menghabiskan masa ke kebun getah ata pisang, pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di pinggir belukar.

Satu hal yang membanggakan datuk ialah, kerana saya sudahpun menamatkan ilmu persilatan dengan guru silat. Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, datuk tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup. Mesti diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga.

Di samping itu, datuk tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya oleh saya.

“Kau harus belajar lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama kamu,” secara mendadak sahaja saya teringat cakap datuk. Saya senyum sendirian. Bunyi deru hujan mula beransur reda.

Sudah hampir enam bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat. Tidak ada berita tentang bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada datuk. Apakah bomoh tua itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Saya membuat keputusan sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara tersebut. Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.

“Bagaimana kalau aku sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya,” bisik hati kecil saya.

Saya senyum sendirian teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru silat. Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas. Dia mengingatkan datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan datuk, ingin belajar sesuatu dari datuk.

Ternyata hati datuk tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke jalan yang betul.

Pada mulanya, saya begitu menyesali sikap datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu. saya kesal kerana datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru silat.

“Tuk kamu tak angkuh Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya,” satu penjelasan dari guru silat. Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu. guru silat segera melanjutkannya.

“Kau sendiri tahu, datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau terlalu berhati-hati,” sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami pulang dulu.

Akhirnya saya percaya dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya mahu mendapat keterangan yang tepat dari datuk. Kata datuk, dia memang menghargai hasrat bomoh tua itu. tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu ikhlas dan jujur. Buktinya, waktu kamu mahu naik bas, bomoh tua itu cuba menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain yang saya galas.

Pasir tersebut bila berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian. Bila pakaian itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal.

Bila terlalu kerap digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang busuk. Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas tebu. Hanya orang-orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya.

Bukan senang mencari orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. kalau tidak menemui orang yang tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati. Mujurlah datuk sempat bertindak. Kalau lambat bertindak, padahnya akan ditanggung sampai mati. Cara datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik.

Bila datuk terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, datuk segera mengoyakkan bahagian bucu beg. Semua pasir di dalamnya terus jatuh di permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan datuk itu, bomoh tua berasa malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu.

Walaupun begitu datuk masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu. Walaupun begitu, datuk tetap berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan segala-galanya pada Allah yang maha kuasa.

“Assalamualaikum.”

Saya tersentak dari lamunan.

“Waalaikumsalam, naiklah.”

Terdengar suara datuk menjawab. Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah yang memberi salam. Rasa-rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan bila, saya kurang pasti. Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang bercakap dengan datuk itu.

“Ah, dia datang.”

Saya melonjak kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh dari dada langit. Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.

“Kamu dari mana Tamar?” Tanya guru silat.

“Apa lagi, buat tahi mata lebih-lebih lagi waktu hujang begini,” tingkah datuk. Saya terus duduk dekat guru silat.

“Saya tak tidur tuk!”

“Kalau kau tak tidur, kau buat apa dalam bilik?”

“Saya membaca tuk.”

“Kau baca apa?”

“Baca suratkhabar.”

“Hummmmm aku ingatkan baca kitab,” datuk juihkan bibir sambil menarik naFas panjang. Guru silat terus senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut.

Saya merenung ke arah jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari Khamis. Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana malam Jumaat. Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya.

Biasanya setelah menunaikan fardhu Maghrib, datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah satu surah itu, dia akan membaca surah Yaasin. Pokoknya, dari waktu Maghrib hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah. Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak.

Memang menjadi kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardhu isyak saya menyusur tepi dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan datuk untuk membaca Quran.

“Eh, apa yang kamu menungkan, Tamar?”

Nenek sergah saya. Cepat-cepat saya renung ke arAh datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.

“Jangan fikir apa-apa. Minum kopi panas ni,” tambah nenek lalu meletakkan cawan kopi di depan saya, di depan datuk dan guru silat. Asap nipis merayap di permukaan cawan.

“Kopi bujang aje ke?” usik datuk.

“Ada kawannya. Tunggulah dulu.”

Nenek terus menuju ke dapur. Datang kembali bersama mangkuk bubur kacang. Bau daun pandan yang ditaruh dalam mangkuk bubur membuat selesa saya terbuka luas.

“Memang bagus ni,” kata guru silat.

“Silakan,” pelawa datuk.

“Ya, sila. Jangan malu,” tingkah nenek.

“Jangan bimbang, fasal makan saya memang tak tolak punya,” guru silat berjenaka disambut dengan ketawa. Nenek kembali ke ruan dapur. Saya memang mengharapkan kedatangan guru silat pada petang itu akan membawa cerita yang baru dan segar untuk saya.

Kopi dalam cawan sudah habis, bubur dalam mangkuk juga sudah selesai. Cerita yang saya harapkan dari guru silat tidak juga muncul. Dia dan datuk asyIk bercerita tentang harga getah, asyik bercerita tentang babi hutan dan monyet yang menyerang tanaman di kebun. Cerita yang membosankan. Tetapi, saya masih bertahan di ruang tamu. Masih mengharapkan cerita dari guru silat.

LUNTUR

Dalam cita-cita yang meluap-luap itu tiba-tiba semangat jadi luntur untuk duduk berdepan dengan guru silat dan datuk. Tidak ada gunanya menjadi kucing yang menunggu ikan dipanggang. Saya segera angkat punggung. Meraut bilah buluh di pelantar untuk membuat bubu lebih baik dari duduk di depan wajah manusia ini, bentak batin saya. Saya segera mencari pisau raut dan mengeluarkan bilah buluh dari tempatnya.

Sebaik sahaja saya bersila di pelantar, saya terdengar suara datuk mengajukan pertanyaan pada guru silat.

“Apa kau tak dapat berita dari adik kamu?”

“Ada, pagi tadi saya terima surat darinya.”

“Apa cerita? Soal datuk lagi. Guru silat saya lihat menarik nafas dalam-dalam. Dia termenung sejenak. Saya terus memasang telinga. Dan mengharapkan kata-kata yang terhambur dari guru silat akan mengembirakan hati saya.

Cepatlah, aku nak dengar cerita daRi kampung halaman kamu guru silat, suara batin saya melonjak-lonjak. Saya jeling ke arah guru silat dan datuk. Mereka kelihatan tenang dan bersahaja. Mungkin tidak ada sesuatu cerita yang menarik, sebab itulah agaknya guru silat tak mahu cerita apa-apa pada datuk, saya cuba mendamaikan perasaan yang bergelora dalam dada.

“Saya bersyukur pada Allah.”

“Sebabnya?” datuk menyoal.

“Bomoh tua tu…,” gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saya keresahan menanti kata selanjutnya dari guru silat.

“Kenapa dengan bomOh tua tu? Dia dah bertaubat?” suara datuk agak keras, mungkin tanda protes kerana guru silat lambat sangat menyambung kata-kata yang terputus.

“Bukan bertaubat.”

“Kalau bukan bertaubat, dia dah mati agaknya,” datuk buat ramalan.

“Dia tak mati.”

“Habis dia buat apa?”

“Pindah ke tempat lain,” guru silat telan air liur.

“Ke mana?” datuk tidak sabar lagi.

“Ke Langkawi.”

“Langkawi,” mulut datuk separuh terbuka. Guru silat tunduk menatapi permukaan lantai. Batang tubuh bomoh tua segera terpamer dalam tempurung kepala saya. Ketika itu juga saya bagaikan terdengar-dengar suaranya di gegendang telinga saya.

“Biarlah dia dengan halnya. Tapi, adik ipar kamu macam mana? Aku lebih suka mendengar cerita tentang dirinya dari mendengar cerita bomoh tua tu,” datuk memperkemaskan silanya.

Kali ini saya cuba melintasi di depan datuk. Berdiri dekatnya sebentar. Tiada teguran dari datuk, ini menandakan datuk tidak akan marah kalau saya duduk di sisinya untuk mendengar perbualan selanjutnya antara dia dengan guru silat. Dengan batuknya yang dibuat-buat, saya pun bersila tidak jauh dari guru silat.

“Menurut suratnya pada saya, dia dah boleh turun ke bendang, sudah boleh membuat kerja-kerja berat,” jelas guru silat.

“Syukurlah. Aku harapkan apa yang dialaminya akan mendatangkan keinsafan pada dirinya. Kemudian aku harap dia akan mengikut perintah Allah. Tidak lagi macam dulu, suka membuat kerja yang sia-sia,” datuk menarik nafas dalam-dalam.

Saya terus melunjurkan sepasang kaki. Perbuatan saya segera ditegur oleh datuk. Perbuatan saya itu, tidak senonoh dan biadab. Teguran dari datuk segera saya patuhi. Guru silat nampak resah. Sesekali ekor matanya merenung ke arah saya.

“Saya juga harap macam tu,” guru silat bersuara lembut.

“Dari apa yang aku tahu, adik ipar kamu tu buas juga orangnya. Suka berjudi, suka menipu orang,” celah datuk.

“Macam mana awak tahu semuanya ini,” mata guru silat terbeliak.

“Dari orang-orang kampung kamu dulu.”

“Ha, siapa yang cerita?” guru silat kerutkan kening.

“Beberapa orang yang aku jumpa di kedai kopi dulu yang menceritakan pada aku.”

“Tapi, saya tak nampak awak bercakap dengan sesiapa pun masa di kedai tu dulu.”

“Masa aku bercakap dengan mereka kau belum datang lagi ke kedai tu. Bila aku dah selesai bercakap, baru kamu datang.”

“Hum. Kalau macam tu, tak hairanlah kalau kamu tahu perangainya,” guru silat ketawa kecil. Perlahan-lahan dia menepuk pangkal paha datuk.

“Aku harap kedua-duanya bertaubat,” ujar datuk.

“Saya harap juga macam tu. Kedua-duanya lebih kurang saja perangainya,” guru silat menambah. Senyum terus berbunga di kelopak bibirnya.

“Kau,” guru silat renung ke arah saya.

“Selalulah datang ke tempat aku untuk mendalami ilmu yang ada,” sambung guru silat.

“Betul nasihat kamu tu, ilmu yang ada belum cukup lagi.”

“Bukan apa-apa. Saya cuma mengingatkan, ramai anak murid saya yang sudah tamat tak tamu datang lagi ke tempat saya untuk bertanya itu dan ini,” keluh guru silat. Di wajahnya terbayang kehampaan yang amat sangat.

“Ada masa saya tetap ke sana. Saya tahu apa yang ada pada saya ni masih belum cukup. Banyak perkara lagi yang mesti saya pelajari,” itulah janji saya pada guru silat. Ternyata janji itu menghadiahkan kegembiraan yang amat sangat untuknya.

“Dah pukul berapa sekarang Tamar?”

“Ha,” saya segera meraba pergelangan tangan kiri. Hari ini saya terlupa memakai jam. Saya segera bangun tetapi terpaksa duduk kembali. Guru silat memegang pergelangan tangan kanan saya.

“Kamu nak ke mana Tamar?”

“Nak tengok jam.”

“Jam tangan kamu yang aku hadiahkan minggu lalu mana dia?”

“Saya lupa pakai pak guru.”

“Tak tahu menghargai pemberian orang. Cuai dan pelupa,” datuk memberi teguran pahit dalam suasana yang tidak menyenangkan.

“Kamu tak payah tengok jam. Aku tahu, sekarang pukul lima lebih. Kau tengok jam gantung di dinding,” guru silat mengarahkan jari telunjuknya ke dinding. Saya segera merenung ke arah yang ditunjuknya.

Kenapa ketika pertanyaan itu diajukan, saya tidak teringat atau memandang ke arah jam dinding? Apakah ini menandakan daya ingatan saya terlalu lemah? Timbul pertanyaan dalam hati saya. Lebih memalukan bila guru silat berkata:

“Orang muda mesti mempunyai ingatan yang kuat. Mesti ingat apa yang ada dalam rumah.”

“Semuanya itu memerlukan latihan,” datuk turut campur.

“Selain itu mesti ada rasa cinta atau perhatian pada keadaan sekeliling kita, saudara-mara kita, keadaan rumah kita sama ada dari luar atau dari dalamnya. Semuanya ini memerlukan ketelitian,” guru silat memulakan syarahan pendek.

“Saya cuba belajar semuanya itu.”

“Bagus,” guru silat tepuk bahu saya.

Ternyata usaha saya untuk membersihkan mereka dari memperkatakan kelemahan diri saya beroleh kejayaan. Kini tajuk perbualan sudah berubah pada perkara menanam pokok dan memelihara binatang. Memang saya mengharapkan perbualan itu akan berjalan terus. Semoga salah seorang daripada mereka tidak akan mengungkit-ungkit hal saya.

“Biarlah saya balik dulu,” guru silat minta diri.

“Tunggulah sampai maghrib baru balik,” datuk menahan.

“Hajat saya mhu menyampaikan berita sudah tertunai. Saya juga meinta maaf kerana terpaksa balik. Bukan tak sudi dengan pelawaan awak, tapi saya ada hal.”

“Kalau ada hal pun tak akan sampai tak boleh ditangguhkan,” datuk berusaha agar guru silat memenuhi permintaannya. Sikap datuk itu membuat guru silat berada dalam keadaan serba salah.

“Saya minta maaf, balik lepas waktu maghrib merbahaya.”

“Merbahaya?”

“Ya, sekarang musim harimau mengganas,” wajah guru silat cemas.

“Oh. Kalau begitu, saya mula faham. Eloklah kamu balik, musuh jangan dicari.”

“Saya pun berpendapat macam tu.”

Datuk dan guru silat berjabat tangan. Datuk dan saya hantar guru silat hingga ke basikal tuanya yang tersandar di pangkal pohon manggis. Sebelum lompat atas basikal lagi sekali datuk dan guru silat bersalaman. Guru silat terus kayuh basikal keluar dari kawasan rumah. Saya dan datuk mendoakan agar perjalanan guru silat diberkati oleh Allah, terhindar dari segala bencana.

“Cuba kamu pergi tengok jerat aku di kaki bukit.”

“Bila tuk? Esok ke atau petang ni.”

“Petang ni, dah suntuk tuk,” saya mula berdalih.

“Tak suntuk. Baru pukul lima. Setengah jam berhalan sampailah ke tempat tu. Cuma ada enam jerat saja. Manalah tahu, kalau dapat ayam hutam. Biasa lepas hujan ayam hutan selalu keluar.”

“Tapi tuk?”

“Tak ada tapi, pergi sekarang. Bawa parang dan kayu panjang untuk memudahkan kamu berjalan.”

“Saya takut tuk.”

“Eh budak ni, belajar silat dah tamat. Sebanyak sedikit petua dah tahu. Apa kamu tak berani pergi ke kaki bukit. Eh Tamar, orang lelaki mesti berani tau.”

“Saya tau tuk, tapi…”

“Pergiiiii…,” jerkah datuk.

TERKEJUT

Saya terkejut dan dalam sekelip mata saya seperti memperolehi kekuatan yang amat sangat. Tanpa berkata apa-apa pada datuk saya meluru ke dalam rumah. Pakai baju dan seluar. Dengan parang di tangan saya melangkah.

“Kau tak bawa kayu panjang.”

“Tak payah,” jawab saya tegas.

Langkah saya diatur. Saya tidak tahu apa kata datuk tentang sikap yang saya tunjuk itu. satu hal yang pasti ketika saya berada agak jauh dari kawasan rumah saya terdengar sayup-sayup suara batuk datuk memanjang.

Saya yakin benar bahawa batuk itu sengaja dibuat-buat oleh datuk. Mungkin dia cuba menarik perhatian supaya menoleh ke arahnya. Saya keras hati tidak mahu menoleh.

Kali ini saya mahu buktikan pada datuk yang saya bukanlah seorang cucu yang penakut atau pengecut. Saya mampu pergi ke mana-mana sendirian. Mampu melakukan apa sahaja seperti apa yang dilakukan oleh anak-anak muda yang seusia dengan saya. Langkah pun saya percepatkan.

Berjalan di celah pepohon kecil selepas hujan memanglah amat menyulitkan. Kesan air hujan di daunan bila kena baju atau seluar membuat pakaian terasa lembap. Bila kena kulit, tubuh terasa sejuk. Semuanya terpaksa saya hadapi. Sesekali saya dongak ke langit. Matahari tidak mahu bersinat lagi. Dalam waktu tertentu, saya gunakan parang untuk memotong reranting yang menghalang perjalanan saya.

Dalam keadaan yang dingin itu, badan saya berpeluh. Nafas tercungap-cungap terasa amat penat sekali. Siapa pun akan merasai penat bila berjalan dalam keadaan yang agak mendaki. Cuaca tidak begitu menggalakkan.

Sejak hujan berhenti, matahari terasa amat malas untuk bersinar. Pada hal kalau cuaca baik, saya tidak mengalami keadaan seperti ini. Hati kecil saya terus merungut dan merasakan tindakan datuk memang tidak patut. Saya jadi marah dengan tiba-tiba.

Rasa marah itu terus membara dan tidak boleh dikawal lagi. Bagi melepaskan rasa marah itu, saya patahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan saya. Perbuatan itu tidak mendatangkan kepuasan. Saya ambil parang lalu ranting yang sudah patah itu saya tetak beberapa kali hingga menjadi potongan kayu yang amat kecil. Tidak memadai dengan itu, ranting kayu yang sudah potong itu saya pijak-pihak hingga terbenam dalam bumi.

Semuanya tidak mendatangkan kepuasan dalam diri. Rasa marah terus menjadi-jadi. Pertama kali saya mengutuk datuk dengan semahu-mahunya. Saya tuduk datuk manusia kejam, suka memerintah dan timbul sebuah aZam dalam hati untuk memusuhi datuk, tidak mahu menghormatinya lagi.

Saya tikam bumi dengan parang, terpacak di sutu. Ulu parang yang dibuat dari gading itu saya urut beberapa kali.

“Yahooooooo, kamu kejam.”

“Begitulah saya memkik dengan sekuat hati, bergema ke seluruh kawasan di kaki bukit. Saya kira mengejutkan monyet dan lotong di dahan. Mengganggu perjalanan beburung dan haiwan. Tidak memadai dengan itu, saya tendang apa yang ada di kiri kanan saya. Sesungguhnya saya luahkan perasaan marah saya pada apa sahaja yang ada di sekeliling saya.

94. Penjaga Ayam Hutan


Saya terus menyandarkan tubuh pada sebatang pokok. Saya pejamkan sepasang mata hingga rasa marah hilang dari sanubari. Kemudian perlahan-lahan kelopak mata saya buka lebar-lebar. Ketika itu perasaan saya sungguh aman dan tenteram. Dada saya terasa lapang. Saya meneruskan perjalanan.

Jerat pertama saya tengok, tak mengena apa-apa tetapi kesan laluan ayam hutan memang terdapat di situ. Agaknya ayam hutan tahu, di sana ada jerat untuknya. Saya terFikir dan kemudian tersenyum panjang. Jarak jerat antara satu sama lain tidak menentu. Ada yang jaraknya sepuluh kaki, ada yang dua puluh kaki. Sebab jaraknya tidak sama kerana mengikut laluan binatang yang dihajati.

Waktu saya pergi ke jerat yang ketiga, letaknya tidak jauh dari kolam kecil. Saya terlihat laluan pelanduk, saya amati sekelilingnya, memang tidak salah lagi. Di situ terdapat kesan tapak kakinya. Mungkin pelanduk tersebut pergi ke kolam kecil untuk minum. Saya ikut kesan tapak kaki itu hingga sampai ke jerat. Aneh, saya dapati jerat itu bingkas dan ada bekas tapak kaki pelanduk di situ.

Ini mesti pelanduk yang kena jerat ni diambil orang. Siapa yang melakukan semuanya ini? Pasti orang yang sudah lama mengintip gerak-geri datuk. Manusia suka membuat kerja mudah, rungut hati saya. Jerat yang sudah bingkas itu saya pasang kembali. Saya berdiri di situ mengingati sesuatu. Kata datuk jerat yang dipasangnya berjumlah lima jerat semuanya. Ertinya masih ada dua jerat lagi yang mesti saya lihat.

Kedudukan kedua-dua jerat ini agAk jauh ke dalam bahagian kaki bukit. Pesan datuk, saya mesti melihat kelima-lima jerat itu. Kalau tak mahu kelima-limanya sekali, mesti lihat tiga. Pokoknya saya mesti membuat kerja yang ganjil. Saya tidak boleh melihat dua atau empat jerat kerana itu perbuatan genap, saya mesti meninggalkan jumlah ganjil.

Tiba-tiba saya merasakan, memang wajar melihat semua jerat itu. Siapa tahu, jerat empat dan lima sudah mengena. Bila sudah mengena, saya tidak pulang dengan tangan kosong. Saya kira datuk dan nenek tentu gembira melihat saya pulang ke rumah dengan ayam di tangan. Selain dari itu, saya mahu menerima pujian dari datuk tentang ketabahan hati saya. Biar dia kagum dengan apa yang saya lakukan.

“Ya, aku mesti tengok semua jerat.”

Itulah keputusan muktamad yang saya ambil dalam masa sekelip mata sahaja. Apa yang terjadi, keputusan yang diambil mesti dilaksanakan. Saya pun melangkah perlahan menuju ke jerat yang keempat. Letaknya di bawah pokok yang rendang. Datuk sengaja memilih tempat tersebut untuk menahan jerat.

Mungkin tempat tersebut dipilih kerana kedudukan kawasan tanahnya yang agak cerah, tidak ditumbuhi rerumput yang tebal. Ada dahan sebesar paha manusia melintang arah ke parit kecil. Pada hemat saya, di ranting besar itu jadi tumpuan ayam hutan berdiri sambil mengepakkan badan terutama ayam jantan. Amat suka berkokok di tempat yang agak tinggi.

“Memang pandai datuk memilih tempat.”

Saya memuji datuk dalam hati. Saya terus melangkah. Hari sudah beransur agak gelap. Tetapi langit masih kelihatan cerah walaupun matahari tidak bersinar. Saya sampai ke jerat yang keempat. Kali ini saya melihat kawasan di situ cukup bersih seperti baru lepas disapu. Tanah di situ kelihatan seperti baru sahaja dikais-kais oleh ayam. Saya garu kepala dua tiga kali, terasa suasana seperti itu amat ganjil sekali.

Rasanya tidak mungkin ayam hutan mampu mengubah dedaun dan reranting yang terdapat di situ. Lebih menakjubkan jerat yang tidak mengena atau bingkas tetap macam biasa. Batang jerat kelihatan bergerak macam baru disentuh oleh tangan manusia. Hati saya mula berdebar.

Saya renung kiri dan kanan. Bersedia untuk memulakan langkah seribu. Bulu roma terus tegak berdiri. Mesti ada sesuatu yang tidak kena terjadi di sini. Mungkin harimau, mungkin beruang, mungkin kucing hutan berguling-guling di sini. Macam-macam yang timbul dalam hati saya bersama rasa takut yang amat sangat.

Tiba-tiba saya lihat pepohon kecil di kanan bergerak, macam dilanggar sesuatu. Dedaun kering bergerak seperti dipijak sesuatu. Beberapa ekor cengkerik dan katak keluar dari bawah dedaun kering macam ada sesuatu yang memburunya. Dalam keadaan yang serba membingungkan itu, saya terlihat seekor ayam hutan jantan menerpa ke arah jerat dan terus sarungkan kakinya ke dalam jerat.

Dalam beberapa detik sahaja jerat tersebut bingkas. Dan ayam jantan hutan tergantung di udara menggelepar sambil berbunyi. Melihat ayam kena jerat, rasa takut hilang dari hati saya. Semua perkara yang saya kira ganjil dan aneh hilang dari ingatan saya. Hati saya bersorak kegembiraan melihat ayam hutan di depan mata.

Saya mendekati jerat lalu membongkok untuk merendahkan kayu jerat. Bila tali jerat berada dalam tangan, kepala ayam jantan itu saya urut berkalI-kali. Ayam itu tetap menggelepar sambil berbunyi nyaring.

Simpul jerat di kaki ayam berhasil saya buka. Kali ini kaki ayam tersebut saya ikat dengan tali guni, lalu saya masukkan ke dalam karung yang dibuat dari mengkuang.

Di bucu karung ditebuk lubang kecil untuk udara, memudahkan ayam bernafas. Hujung karung saya ikat dengan tali lalu saya sandangkan ke bahu. Saya memulakan langkah untuk pergi ke jerat yang kelima. Kedudukannya, betul-betul berada di lereng bukit tidak jauh dari pohon bertam. Memang saya mengharapkan jerat yang kelima akan mengena. Kalau tak dapat ayam hutan dapat napuh atau pelanduk pun sudah memadai, sebuah harapan berbunga dalam hati saya.

Langkah kian rancak, cuaca yang sudah beransur samar-samar tidak menjadi masalah. Kalau cuaca terus jadi gelap saya tidak sudah hati. Kawasan sekitar kaki bukit itu sudah sebati dengan diri saya. Tidak dinafikan saya boleh mengingati kedudukan pelbagai jenis pohon besar di situ. Saya juga tahu di mana letaknya parit atau danau kecil. Kalau saya dicampakkan ke kawasan tersebut pukul dua pagi, saya masih dapat mencari jalan pulang.

“Hai, apa khabar? Seorang aje.”

Saya menoleh ke kanan. Mulut saya bagaikan terkunci untuk menjawab.

“Banyak jerat awak yang mengena, berapa ekor awak dapat ayam?”

Saya menjadi bertambah menggelabah.

“Kenapa tak jawab apa yang saya tanya, awak takut?”

Saya tarik nafas panjang. Renung ke langit, renung kiri kanan. Dada saya terus berdebar. Sesungguhnya, saya tidak tahu dari mana perempuan muda itu muncul. Saya amati wajahnya yang sedang senyum. Orangnya memang menarik. Tetapi, sayang saya tidak kenal dengannya. Ternyata perempuan ini bukannya anak watan kampung saya.

Sebagai orang muda, dalam rasa takut dan darah gemuruh itu, keinginan untuk memikat hati perempuan muda di depan mula bercambah dalam diri. Saya amati dirinya. Baru memasuki usia dua puluhan. Berkulit putih merah. Hidung mancung. Saya terpikat dengan sepasang matanya yang lembut tetapi kelihatan sayu. Mukanya bujur sirih. Aduh! Senyumannya tidak berhenti menari di bibir nipisnya.

“Kenapa tak sembelih ayam tu di sini? Awak tak bawa pisau?”

perempuan yang berambut ikal berbulu kening tebal merapati saya. Darah gemuruh saya terhenti dari bergerak dalam urat saraf. Keinginan mengenali perempuan itu lebih dekat terus berkocak dalam rongga dada.

“Saya tak bawa pisau menyembelih.”

“Awak mahu pisau? Kalau mahu nanti saya ambil di rumah.”

“Tak payahlah.”

“Macam mana kalau saya minta sikit daging ayam?”

“Boleh, apa salahnya.”

“Sepatutnya saya tak payah minta sebab ayam yang kena jeRat awak itu saya yang punya.”

“Ha…haa..?” mulut saya terlopong.

Perempuan itu tetap senyum. Hati saya berkata, mungkin perempuan ini mahu bergurau. Ayam hutan mana ada tuannya. Sesiapa pun boleh menjerat atau menembaknya. Dengan rasa jijik saya renung wajah perempuan itu. dia bagaikan tahu yang diri saya tidak mempercayai apa yang diucapkannya.

“Setiap benda di dunia ini ada tuannya, ada penjaganya. Tetapi manusia selalu melupakan semuanya itu.”

“Kamu mengarut dan merepek.”

“Kalau kamu tak percaya tak mengapa, tetapi saya mahu mengambil hak saya kembali.”

Saya segera mengedutkan kening. Karung mengkuang yang saya sandang terasa bergerak-gerak. Ayam di dalamnya menggelepar. Karung mengkuang terasa amat berat macam ada batu pejal di dalamnya. Bahu saya bagaikan mahu patah dibuatnya. Saya terpaksa meletakkan karung mengkuang atas tanah. Perempuan itu tetap berdiri di depan saya tanpa mengucapkan sesuatu. Sepasang anak matanya melihat gerak geri saya dengan teliti.

Paling mengejutkan saya, tali guni yang saya ikat di hujung karung mengkuang terbuka dengan sendiri. Ayam yang ada di dalamnya keluar dengan mudah lalu berkokok bertalu-talu sambil menggoyangkan ekornya. Paling menyakitkan hati, bila ayam itu menghalakan muncungnya ke arah saya dan terus berkokok sambil menjungkitkan ekornya tinggi-tinggi. Kalau diturutkan kata hati mahu rasanya membalingkan seketul kayu pada kaki ayam itu. biar kakinya patah.

“Suhh..,” pekik saya.

“Jangan halau dia,” suara perempuan itu cukup lembut.

“Kurang ajar punya ayam.”

“Jangan cakap macam tu. Itu ayam saya, marii..,” saya lihat bapak ayam hutan terus meluru ke arahnya. Terbang dan hinggap di bahu sebelah kanannya. Ayam itu berkokok lagi. Saya terpukau dengan suasana yang saya anggap aneh tetapi melucukan.

“Terima kasih kerana kamu sudah memulangkan hak saya.”

“Tapi ayam tu tak bertuan.”

“Itu pendapat kamu. Hakikat sebenar memang bukan begitu. Terima kasih.”

Perempuan itu segera memusingkan badannya membelakangi saya. Ayam jantan yang berbalung merah tetapi berdiri di bahu. Satu perkara yang pasti, waktu perempuan itu menentang wajah saya, suasana sekitar terasa cerah. Bila dia membelakangi saya, suasana bertukar menjadi samar-samar.

“Eh, nama saya Tamar.”

Perempuan itu segera tOleh ke arah saya kembali.

“Nama awak siapa?”

Perempuan itu menarik nafas dalam-dalam.

“Cakaplah siapa nama awak?”

“Nanti kita jumpa lain kali. Masa tu saya cakap nama saya.”

“Cakap sekarang,” kata saya lalu mengejar ke arahnya. Dalam sekelip mata sahaja perempuan itu ghaib tetapi ayam miliknya masih dapat saya lihat duduk di ranting dan terus berkokok bertalu-talu. Beberapa detik kemudian ayam jantan itu pun ghaib.

“Syaitan mempermainkan aku,” kata saya dalam nada suara yang agak tinggi.

Saya pusing ke kanan. Memulakan langkah pertama, mencari jalan pulang. Saya terdengar bermacam-macam suara,ada suara kokok ayam. Saya sedar, bila hati dikuasai rasa takut bermacam-macam yang didengar padahal perkara itu tidak wujud sama sekali. Cuma perasaan kita sahaja yang merasakan begitu.

Makin kuat saya menetapkan dalam hati apa yang saya dengar itu adalah perasaan, makin kuat suara-suara yang tidak saya ingini datang dalam gegendang telinga saya. Saya terus lari dengan semahu-mahunya melanggar apa sahaja. Parit lebar saya lompat kerana saya menyangka parit itu kecil. Akibatnya saya terhumban dalam parit. Habis pakaian saya basah kuyup. Keluar dari parit saya terus lari lintang pukang.

Dalam cuaca yang mula samar-samar itu, saya terus berlari dan berlari hingga sampai di bahagian dapur rumah. Bila saya jengukkan muka di pintu dapur, nenek terus menjerit dengan sekuat hatinya. Seluruh kampung dikuasai oleh suara nenek. Datuk yang berada kira-kira tiga rantai dari rumah segera menerpa ke bahagian dapur.

“Kenapa muka kamu penuh dengan lumpur, pakaian basah kuyup. Kenapa Tamar?” soal datuk.

“Sayaaa…” saya tidak dapat meneruskan kata-kata, mata saya terasa pedih dan hidung saya bagaikan tersumbat dan saya terus bersin dengan sekuat hati. Beberapa orang jiran tetangga segera datang ke rumah. Mereka ketawa melihat keadaan saya.

“Saya jatuh parit tuk.”

“Kamu kena kejar harimau?”

“Tidak.”

“Habis kamu kena kejar jembalang?”

“Bukan dikejar jembalang, saya diburu hantu.”

“Hantu?” biji mata datuk terbeliak.

Bila keadaan sudah kembali tenang. Saya ceritakan pada datuk, pada nenek dan jiran-jiran yang datang apa yang saya alami. Kebanyakan dari mereka tidak percaya dengan apa yang saya ceritakan. Nenek secara terang-terangan mengatakan saya mengigau siang. Perbuatan mereka itu membuat saya jadi marah dan tidak mahu meneruskan cerita selanjutnya. Tetapi, datuk cuba melahirkan simpatinya pada saya.

“Itu perkara biasa, dalam dunia ni selain dari manusia terdapat makhluk lain. Kau tak usah takut. Barangkali makhluk itu mahu bersahabat dengan kamu,” kata datuk.

“Satu pengalaman yang menakutkan tuk.”

“Tak mengapa, petang esok kau pergi lagi. Kalau kau jumpa dengannya kau ajak dia datang ke rumah.”

“Mengarut, tuk mengarut. Agaknya tuk tahu yang saya akan berjumpa dengan benda macam tu. Kerana tu tuk suruh pergi seorang diri.”

Aku tak tahu Tamar. Tapi dulu aku pernah mengalami perkara semacam tu, itu semuanya syaitan yang cuba nak mengusik kamu.”

“Hum…” saya mengeluh dan tunduk merenung tanah.

Nenek tersenyum. Datuk menyuruh jiran-jiran yang datang pulang ke rumah masing-masing.

Perlahan-lahan saya angkat muka. Sepasang mata saya terpaku ke wajah datuk. Kegelisahan segera bersarang dalam dada. Kurang senang rasa hati melihat senyuman datuk yang saya rasa bagaikan menyindir diri saya.

“Tuk tak percaya dengan apa yang saya cakapkan ni?”

“Sudahlah, pergilah kamu mandi.”

Saya kerutkan dahi. Dengan langkah yang longlai saya menuju ke perigi. Setiap kali air perigi menyentuh kulit tubuh, apa yang saya alami segera terbayang dalam kepala.

Sesungguhnya, apa yang telah saya alami itu adalah satu pengalaman yang tidak pernah saya duga akan terjadi dalam hidup saya. Selesai mandi saya segera pulang ke rumah. Sebelum memijak anak tangga, dua tiga kali saya pusing ke belakang. Saya takut dan bimbang macam ada sesuatu dekat saya.

“Cepat naik, jangan pandang kiri kanan lagi. Jangan fikirkan perkara yang dahulu,” terdengar suara datuk. Saya segera angkat muka. Datuk berdiri di serambi.

Hari sudah beransur gelap. Suara burung kuang sayup-sayup kedengaran di pinggir bukit kota. Saya menarik nafas. Kecantikan paras perempuan yang saya temui bermain-main dalam tempurung kepala.

“Eh, kami ni. Naik cepatlah.”

Tanpa tangguh-tangguh lagi saya pijak anak tangga. Berhenti bila sampai anak tangga kelima. Renung ke halaman yang sudah dikuasai cuaca senja.

“Kita jemaah di masjid, Tamar.”

“Kenapa kita tak sembahyang di rumah tuk?”

“Agama Islam menggalakkan pengikutnya sembahyang berjemaah di masjid atau surau. Sekali-sekala bolehlah kita bersembahyang jemaah di rumah. Kalau dah terlalu kerap berjemaah di rumah, tak elok jadinya.”

“Saya malas nak pergi tuk.”

“Ah, jangan banyak karenah, ikut cakap aku,” bentak datuk keras. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Cakap datuk harus dipatuhi.

Saya masuk ke rumah menukarkan pakaian. Amat selesa rasanya memakai selua dan baju Melayu warna kuning tanah liat. Datuk senyum panjang. Saya tahu kenapa datuk senyum begitu. Bukan apa-apa kerana letak songkok saya melintang. Letak songkok segera saya betulkan. Tanpa banyak soal jawab saya terus mengekori datuk ke masjid.

Sepanjang jalan saya lebih banyak mengelamun. Sesekali kelihatan datuk meraba pangkal telinga sebelah kanannya. Ada masanya datuk batuk kecil. Saya tidak tahu, apakah batuk itu memang benar-benar terjadi atau batuk yang sengaja dibuat-buat.

Selesai menunaikan solat maghrib, saya dan datuk seperti orang-orang kampung yang lain terus mengikuti tafsiran hadis. Apa yang diungkapkan oleh guru agama tersebut semuanya tidak masuk dalam kepala saya. Fikiran saya masih memikirkan apa yang telah saya alami petang tadi. Ada masanya, saya rasakan peristiwa itu harus berulang dalam hidup saya. Satu ketika yang lain saya berdoa supaya peristiwa itu jangan berulang dalam hidup ini

“Kalau mahu dinisbahkan tentang banyaknya makhluk Allah di dunia ini, lebih kurang begini. Para malaikat 90 peratus, para jin 9 peratus dan manusia cuma satu peratus saja. Kalau kita boleh melihat para Malaikat dan para Jin, kita jadi takut dan tidak boleh bergerak,” tutur guru agama. Semua biji mata dalam masjid terbeliak, tidak jadi mengantuk.

“Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Kaya kerana itu para Malaikat dan para Jin tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Kalau Allah menghendaki seseorang itu melihat para Malaikat dan para Jin, perkara itu tetap akan terjadi,” tambah guru agama. Saya terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Datuk tumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama yang tertonggok di ruang tengah masjid dengan para jemaah mengelilinginya.

“Makhluk jin juga ada yang baik dan ada yang jahat. Kalaulah ditakdirkan kita dapat melihat Jin, agak sukar untuk kita menentukan yang mana baik dan yang mana jahat,” lanjut guru agama itu. pelajaran tafsir itu berlanjutan hingga menjelang waktu Isyak.

Saya kira setelah selesai solat Isyak, wajah guru agama tidak akan saya lihat. Begitulah juga dengan suaranya tidak akan saya dengar. Perkiraan saya itu meleset sama sekali. Tidak saya duga datuk mengundang guru agama itu datang ke rumah. Banyak perkara yang datuk tanya pada guru agama itu. semuanya berkaitan dengan hukum agama.

“Kalau pelajaran tafsiran hadis ni dapat diadakan setiap minggu alangkah baiknya,” datuk bersuara.

“Saya faham, ramai para jemaah berpendapat macam awak. Mereka mahu pelajaran tafsiran ini diadakan pada setiap minggu.”

“Soalnya, bila diadakan dua minggu sekali, perkara yang dipelajari hampir mahu lupa disambung pelajaran yang baru.”

“Ya, ya saya faham. Kalau boleh saya mahu datang tiap-tiap minggu di sini. Boleh jumpa awak selalu dan boleh makan dan tidur di sini. Tapi apa boleh buat semua jadual sudah disusun.”

“Tak bolehkah dirombak?”

“Tunggu tahun depan.”

“Hum…,” datuk seperti mengeluh. Guru agama tersenyum.

CAKAP

Dan malam itu datuk terus bercakap-cakap dengan guru agama. Datuk terus membaca Al-Quran di bahagian surah al-waqiah. Guru agama terus membuat tafsirannya dan menghuraikannya dengan teliti. Datuk terus mendengar huraian terjemahan itu. dalam waktu tertentu datuk mencatatkan ke dalam buku kecil.

Guru agama itu juga menasihatkan datuk, kalau ada masa supaya membaca surah al-waqiah pada setiap malam, terutama setelah menunaikan sembahyang Subuh. Menurut guru agama itu, surah tersebut surah yang baik. Lebih-lebih lagi kalau kita sudah memahami tafsirannya. Sesekali saya terdengar datuk dan guru agama berdebat panjang. Perdebatan mereka segera terhenti bila mereka dapat membuat sesuatu kesimpulan.

Saya sandarkan badan ke dinding bilik. Jari-jemari saya terus melukis sesuatu di kertas. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya begitu minat pada lukisan. Saya mahu abadikan apa yang saya lihat ke kertas untuk dinikmati oleh orang lain. Sambil melukis saya terus pasang telinga. Mengikuti dengan teliti apa yang dibualkan oleh datuk dengan guru agama.

Ada perkara yang menarik dan ada perkara yang tidak menarik jadi topik bualan datuk dengan guru agama. Bila perkara menarik diperkatakan, saya terus jelingkan biji mata dan mengikutinya dengan penuh minat. Kalau perkara yang membosankan saya terus rasa mengantuk. Ketika itu saya terdengar suara kedua-duanya sayup-sayup dan akhirnya menghilang. Dalam saat begitu, saya terus tersengguk-sengguk.

Bila mereka bincang tentang alam ghaib, mata saya terbeliak besar. Minat saya untuk mengikutinya bertambah ghairah. Saya tahan mata dari mengantuk. Saya bersenam memanaskan badan. Sayang seribu kali sayang, perkara alam ghaib hanya disentuh sambil lalu sahaja. Perkara begini amat saya kesalkan. Apakan daya, saya tidak ada kuasa untuk menyuruh datuk dan guru agama memperkatakan perkara yang amat saya minati. Dalam keadaan demikian, saya terus terlelap.


95. Di Kunjungi Gadis Waktu Malam

Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua ditangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil. Pamerkan senyum seiring engan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

"Ubah tempat tidur?"

Saya terus membisu.

"Udah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"

Saya gelengkan kepala.

"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."

Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah. Suara datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.
"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil datuk kamu?"
Saya anggukkan kepala.
"Datuk kami juga kenalkan aku, sampaikan salam aku padanya."
"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?", cara mendadak sahaja saya bersuara. Saya runung mukanya. Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperolehi kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.
"Aku segan", katanya sepontan. Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari-jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.
"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini"
"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saha"
"Sebenarnya aku tak suka kamu datang ke sini lagi"
"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu", sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya. Saya terus mengucap beberapa kali.
Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata. aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjaddi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa. Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil.
Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan. Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekti saya. Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar.
Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya. Apa yang terdaya saya lakukanialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dai saya.
Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali. Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yan wujud didepan saya terus ghaib. Diganti denan lautan yang bergelombang lembut. Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Maki jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib.
Saya mula melihat tubuh datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya denan wajah yang tenang. Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.
"Bangun anakku", guru agama tepuk bahu kanan saya. "Kau sebenarnya tidak apa-apa", sambungnya dengan tenang. Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.
"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?", soal guru agama.
"Bila saya tak sedar, bila?", saya menyoal guru agama kembali. Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.
"Apa yang kamu nampak tadi?", tanyanya.
"Saya nampak...", saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Saya cuba mengingati sesuatu.
"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?", tiba-tiba datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
"Lupakan apa yang kamu ingat", ujar guru agama penuh sopan. Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.
"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah", datuk seperti memujuk.
"Tidur cu”, sahut nenek.
Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya tetapi nenek masih setia menungggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah.
Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali. Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.
"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa"
"Memang saya tak demam nek"
"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal"
"Hum..."
Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai. Tidak sampai sepuluh minit nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya dihalaman rumah. Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya. Kali ini dia memakai buju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai-Iambai ke arah saya.
Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang mcnyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.
"Kenapa Tamar?"
Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek. Dia segera mahu mendapatkan datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.
SAYU
Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.

"Kenapa kamu bangun Tamar?"

"Sengaja bangun, nek .. Tak ada apa-apa nek"

"Dengan aku kamu nak berbohong?"

Nada suara nenek merendah. Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.

"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?" "Kenapa dengan dia Tamar?"

"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."

"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar. Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.

"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"

"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan datuk."

"Eh, kamu jangan bergurau Tamar"

"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?", saya minta satu kepastian darinya. Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.

"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha"
"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya." .

"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.

"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang. Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.
"Anak perempuannya bagaimana nek?" Tanpa sabar-sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga. Perlahan-Iahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak. Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha. Kenapa? Apakah Siha sudah meningalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia? Macam-macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.

"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan. Silanya diperkemaskannya. Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separu jalan.

"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban”

"Korban siapa nek?"

"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjaddi tu, berpunca dari Jepun."

"Jadi apa yang dilakukannya nek?"

"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung”

“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”

“Tiga orang.”

“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”

“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat”, nenek terus senyum panjang.

Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering diluar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setela itu terdengar suara perempuan batuk. Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah. Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar dimengertikan.

“Jangan pedulikan semuanya itu”, datuk urut ibu jari kaki kanannya berkali. Nenek kelihatan tenang. Mala terus bangun menuju kearah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri disitu buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.

“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh oran tentera Jepun menangkapnya”, sambung nenek.

“Kemudian dia dibunuh?”, tanya saya.

“Tidak”

“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”

“Juga tidak”

“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”

“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang”

“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”

“Entah”, nenek menggelengkan kepala.

Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masi hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya. Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.

“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”

“Berapa lama masa dia datang tu nek?”

“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah kemana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai-ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya. Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi.

Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan-Iahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.
"Apa yang kita dengar tadi nek, bole jadi suara Siha?", saya tatap wajah nenek.

"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek. Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.

Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya? Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.

Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.

"Cepat, datuk dan kawannya menanti di kaki tangga"

"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah"

"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap"

Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang dikepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.

"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.

"Kenapa nenek cerita dengan datuk?"

"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku”
“Tapi, saya tak suka, nek”

“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi”

Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga. Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan. Sampai di masjid terus tunaukan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid.

Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua paras jemaah bersarapan pagi diluar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik bati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan. Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu.
Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya. Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.

Bagi orang-orang kampung mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa. Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan. Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah.

Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan. Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilan di tangan atau menjadi hak orang lain. Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.

Prinsip mereka mudah sahaja. Tuas mereka hulurkan derma dengan iklas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat dimanfaat seperti yang diingini. Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah.

Oran yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlua menceritakan keburukan pengutip derma pada oran. Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yan ditegah oleh Allah.

Orang yang wajar bertindak iala ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan. Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.

Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat. Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan kampllng pindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung. Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang-orang kampung dalam masjid.
Dalam majIis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi. Kemudian orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya. Bila orang-orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung. Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa.

Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit·ungkitkan perkara tersebut oleh pak imam. Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut·nyebut perkara yang lalu. Di kampung, imam dihormati dan buah fIkirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.

"Tamar, apa yang kamu ingat?"

Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya. Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.

"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.

"Aku memikirkan sesuatu"

"Apa yang kau fikirkan?"

"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni"

"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita"

"Betul juga cakap kamu", balas saya. Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi.
Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid. Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing-masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.

"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum. Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.

"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.

Saya renung muka datuk. lngin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu. Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.

"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara datuk seperti orang merungut.

Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh datuk.

"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba-raba pangkal dagunya dua tiga kali.

"Barangkali ini ujian untuk manusia"

"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin".

"Ya, itulah kebesaran Allah", ucap datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.

Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.

"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu"

"Sebab?", saya bertanya.

"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal”.

"Oh", mulut saya terlopong.

"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."

"Begitu", saya anggukkan kepala.

Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat datuk senyum.

"Eloklah diberikan nasihat padanya", suara datuk meninggi.

"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.

"Bercerita?", saya terkejut.

Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga datuk ketawa begitu.

"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang", lanjut guru agama.

"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan", sahut datuk.

''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham", sanggah guru agama. Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut.

Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih. Guru agama segera mendekati datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.

"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.

"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi".

"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik".

"Insya-Allah", jawab datuk.

Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.

"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"

"Hum...", datuk seperti tersentak. Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.

"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"

"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"

Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.

96. Harimau Disangkakan Kucing

Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama-kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut.

Mungkin datuk tersinggung atau mungkian dia marah dengan pertanyaan-pertanyaan yan saya ajukan kepadanya. Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesunguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu meman wajar, fikir saya sendirian.

"Imam beri dia duit, yang dikumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga datuk bersuara. Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.

"Berapa dia dapat tuk?"

"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak"

"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.

"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil dit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras"

"Kalau macam tu, sampai bila-bila pun dia tak senang".

"Dia bukan nak cari kesenangan, dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia".

"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang"

"Eh kamu", datuk terus menengking saya.

Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.

"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata datuk dan saya mula mengetahui punca datuk menengking saya.

"Dia mengajar dengan ikhals, dia tidak mengharapkan wang ringgit", kata datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.

"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang".

"Itu bukan mengajar namanya, Tamar".

"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"

"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi".

"Baiklah tuk".

Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal datuk hinga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, datuk bersuara.

"Kamu balik dulu, aku ada hal".

"Tuk nak kena mana?"

"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam".

"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama".

"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana".

"Jangannnnnn...", jerit datuk. Mukanya nampak merah. Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah.

Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya. Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak. Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang.

Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mcncabar saya supaya menangkapnya. Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut. Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju. Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.

Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap. Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.

BERHENTI

Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar. Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok. Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih.

Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok. Saya melangkah dengan perlahan-lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut.

Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang. Tetapi, saya tidak dapat mempastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya. Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya perhiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar-akar yang berjuntaian.

Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh.Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri. Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk dibalik pokok besar.

Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian. Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya. Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil. Kata datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani mengadap sesuatu dengan cekal.

Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang. Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.

Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya. Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.

Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan. Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel.

Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya. Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak". Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak.

Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya. Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi. Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.

SELEKOH

Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang. Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak-anaknya. Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.

“Aduh”

Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu. Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan kekanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit. Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas.

Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri. Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia. Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.
Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati. Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan-lahan. Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta-ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.

“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.

Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan diperdu tebu.

"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang. Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.

"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.
Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.

"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.

"Aku tak sengaja”.

"Tak sengaja, kepala bapak kamu".

“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja"

“Bodoh, sial", kutuk Mazlan.

“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya", rasa marah mula meruap dalam dada saya. Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.

“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna”, Mazlan membakar perasaan saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan.

“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang", saya meningkah. Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi-tinggi. Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanan saya, Cepat-cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok. Mazlan terdorong ke kiri. Mata goloknya yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.

Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi. Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan. Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing-masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.

“Jaga kamu Tamar”

Mazlan terus menyerang. Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah. Dia tahu saya cuba menjadikan batang-batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai. Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya. Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.

“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku”, saya menjerit. Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta-merta.

“Apa Tamar?”

“Aku dikejar harimau, fasal tu aku lari”

“Tamar", suara Mazlan lemah. Golok di tangannya terlepas.

“Harimau, aku dikejar harimau",saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.

“Tamar, nanti dulu”, pekik Mazlan. Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.

“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut”

“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku”, suara Mazlan bertambah lantang. Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya. Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah. Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.

“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu", jerit saya lalu membuka langkah semula. Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas. Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.

"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali. Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan. Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka. Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru.

Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.

MENGADU

"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada datuk. Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah. Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.

“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya datuk.

“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya", terang penduduk tersebut. Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.

“Siapa yang kena baham harimau tu?”

“Zaharin, anak Alang Usman"

“Mana kamu tahu?", soal datuk bersungguh-sungguh. Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.

“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa-apa", datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.
“Itu saya tak tahu, orang-orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau”

“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", datuk mula mencungkil rahsia.

“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur. Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.

“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin", orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan datuk. Dua tiga kali datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar.

Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu. Dua kali saya memanggil nama datuk. Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga datuk. Dia memburu lelaki itu. Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada datuk.

Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil. Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh. Saya terus berlari. Saya berazam, bila datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya.

Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh). Bila saya sampai ke tempat tersebut, datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain. Melihat batang-batang tebu yang bcrsepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ. Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk.

Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus. Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah. Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.

“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”

“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak. Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.

“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain. Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya.

Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya. Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji-muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.

“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya",datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai. Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.

“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit", sambung datuk lagi. Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.

“Kamu Sha", jari telunjuk datuk menghala ke arah Shahril,"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut datuk lagi.

“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan", jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan. Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.

“Itu dia Zaharin", kata salah seorang dari kumpulan orang kampung. Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.

“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.

“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau", jawab rakan datuk.

“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.

“Mazlan", jawab datuk.

“Hiss...ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa”, Zaharin berhenti bercakap. Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang-orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia", terang Zaharin dengan wajah kesal. Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.

“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul", datuk bersuara dengan rasa kecewa. Tanpa disangka-sangka sepasang mata datuk tertumpu ke arah saya.

“Kamu ni, apa kena calar-balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah", saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut datuk. Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.

“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?", terdengar suara dari arah belakang. Saya renung ke arah datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.

“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?", terdengar lagi suara dari arah belakang.

“Ya, kami nak tahu", sahut dari sebelah kiri. Saya jadi serba salah.

“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata. Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami. Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.

“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara. Mazlan merenung ke arah saya.

“Kau terangkan Tamar", katanya.

“Aku, Mazlan?”

“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu”

“Hum", kata saya lalu renung muka datuk Perlahan-lahan datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.

"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan", dengan tenang saya mulakan cerita. Semua orang kampung terdiam. Masing-masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya.

Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan lukadipangkal kening kirinya.

"Bila saya langar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok", saya sambung kembali cerita yang terputus.

“Lepas tu apa yang terjadi?, soal Abang Mazlan.

"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia"

"Kamu lari ke mana?", datuk ajukan pertanyaan.

“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi"

“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?", lelaki di sisi datuk menyoal. Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.

“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari. Saya beritahu, harimau, harimau", Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.

“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?”, mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.

“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja", dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah. Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.

“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh", Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.

Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.

“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain", lelaki di sisi datuk melepaskan kehampaan. Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada datuk dan kemudian mengheret datuk ke mari.

“Tak apalah, jadilah semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi", ujar datuk dalam nada suara yang lembut. Dengan penuh hormat datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan datuk diperkenankan.

MARAH

Kerana marah dileter oleh datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu. Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya.
Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau. Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan-kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.

“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.
Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.

“Kerja apa kau nak minta?”

“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar"

“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib"

“Di sana peluang aku cerah”

"Peluang kau cerah di sana?”, saya bertanya hairan. Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah. Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya:

“Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar”

"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat”

“Kamu bijak", jawab Najib bérjenaka. Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.

“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia. Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan. Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil. Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.

“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekemenkan aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib. Soalnya, apakah datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.

“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.

“Kena tanya datuk aku dulu”

“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”

“Aku tak pergilah”

“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu”

“Tentu", saya anggukkan kepala.

Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.

“Kalau datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.

“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib”

“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah"

“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.

Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan. Mata berpandangan penuh sejuta makna.

“Jadi", kataku.

“Berjaya", sahut Najib. Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.

“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.

“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi"

“Kau jangan main dan tipu aku"

“Tidak, aku berjanji", jawab Najib. Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan. Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat.

Saya senyum sendirian.

97. Udin Tarzan Yang Tewas

"Kita pergi ke tempat sabung ayam", cadangan dan permintaan yang tidak pernah saya duga akan terucap dari mulut Najib. Saya berhenti melangkah. Secara mendadak sahaja saya membayangkan wajah datuk dan pesannya yang melarang saya pergi ke tempat menyabung ayam.

Kata datuk perbuatan manusia menyabung ayam adalah penyeksaan pada binatang. Allah melarang manusia menyeksa binatang dan dosa itu akan bertambah bila sabung ayam dijadikan judi. Mahu saya katakan perkara itu pada Najib. Entah mengapa, saya bagaikan tidak terdaya mahu meluahkan kata-kata itu.

Saya bagaikan dipukau mengikut rentak langkah Najib. Kawasan sabung ayam itu bukannya dekat. Kami terpaksa naik bas menuju ke tempat yang bernama Air Terjun terletak dalam daerah Larut-Matang. Turun dari bas terpaksa jalan kaki meredah kawasan hutan yang berpaya kira-kira sebatu jauhnya.

Mungkin untuk kemudahan para penyabung ayam, kawasan yang berpaya itu dibina jalan kecil yang dibuat dari batang kayu bakau. Saya lebih suka menyebutnya sebagai titi atau jambatan tetapi Najib menyebutnya "Jati", kependekan dari atau gabungan dari nama Jalan dan Titi.

Cuma orang-orang tertentu dan biasa berkunjung ke kawasan tersebut sahaja yang tahu mencari jalan rahsia itu. Dari gigi jalan raya, jalan kayu itu tidak akan dapat dilihat kerana dilindung oleh pepohon tebal. Di celah-celah rimbunan pepohon tersebut terdapat lorong kecil yang boleh dilalui oleh manusia, basikal dan motosikal.

Di penghujung lorong itu, terdapat kawasan lapang dengan beberapa buah bangsal yang dibina khas, beratapkan daun rumbia. Semua basikal dan motosikal orang yang mahu pergi ke tempat menyabung ayam ditinggalkan di situ. Bagi orang-orang yang datang dengan kereta, mereka menempatkan kereta di kawasan rumah orang yang terletak di sebelah kanan jalan raya, kira-kita dua rantai dari tempat kami turun dari bas.

Kerana jalan kayu bakau itu dicantum kan tiga dan kemudian diikat dengan akar kayu rotan, membolehkan orang yang berani dan keras semangat berbasikal atau bermotosikal di titi tersebut tetapi, jumlah orang yang berbuat demikian tidak ramai.

"Dalam paya ini banyak sawa rendam, ikan pun banyak", Najib memulakan cerita setelah sekian lama berdiam diri. Saya anggukkan kepala sambil melangkah dan memijak dengan hati-hati batang bakau beratur tiga.

Kawasan paya yang tidak berair, jadi tempat beburung dan biawak bermain. Ada ketikanya saya melihat ulat bergerak di kawasan tersebut. Semua yang saya lihat amat menyenangkanserta menghiburkan. Najib yang kerap berkunjung ke tempat tersebut terus menceritakan keadaan sekitar pada saya dengan terperinci.

Apa yang menakjubkan saya bila melihat bebunga teratai yang berkembang segar di pennukaan air. Kalau boleh saya mahu berhenti diatas titi kayu bakau untuk menikmati keindahan alam yang terpencil itu. Bila saya nyatakan hasrat tersebut itu pada Najib, dia segera membantah.

"Tak ada sesiapa yang dibenarkan berhenti?”

"Kenapa?”, saya minta kepastian.

"Itu aku tak tahu, tetapi perkara itu sudah menjadi semacam syarat dan undang-undang. Tak ada seorang pun dibenarkan berhenti dalam perjalanan. Kalau ada melanggar, buruk padahnya. Penjelasan yang diberikan oleh Najib membuat saya ingin mengetahui padah yang akan terjadi. Sambil melangkah macam-macam yang saya fikirkan tentang padah buruk yang dikatakan oleh Najib.

"Apa padahnya Najib?”, saya berhenti melangkah. Cepat-cepat Najib menolak tubuh saya supaya meneruskan perjalanan. Dari air mukanya, ternyata Najib tidak berkenan dengan tindakan yang saya lakukan.

"Apa padahnya, Najib?”, saya mengulangi.

"Dipanah petir, dibaham harimau atau sebagainya", suara Najib tersangkut-sangkut. Langkahnya diperlahankan. Dia kelihatan bimbang dan seperti menyesal menjawab pertanyaan saya. Matanya merenung ke kawasan paya yang ada tanah dan ditumbuhi pepohon rendang.

"Kau tengok, Tamar”, jari telunjuk Najib menunjuk ke arah pepohon rendang. Saya terkejut, seekor ular sawa sebesar pemeluk bergerak di situ, menuju ke kawasan berpaya lalu berenang dalam paya. Perasaan saya jadi gementar, ular sawa itu menuju ke arah kami. Dan saya mula yakin tentang penunggu yang dikatakan oleh Najib.

"Jib", kata saya lemah, bila melihat ular sawa mendekati titi.

"Sabar, kau jangan tegur, kau cakap...”, Najib berhenti bercakap. Wajahnya nampak pucat. Air dalam paya terus beralun akibat gerak badan ular sawa. Dalam sekelip mata ular sawa yang bercorak, macam kain batik itu sudah berada dalam jarak yang dekat dengan kami.Dalam beberapa minit dia boleh memanjat tiang jambatan lalu membelit dan menelan kami. Mengingati semuanya itu, perasaan gementar saya tidak boleh ditahan-tahan lagi.

"Nak cakap apa Najib?", tanya saya terketar-ketar.

"Aku dah lupa Tamar”

"Kalau lupa, kita mati”

"Mati", kata Najib dalam nada suara yang lemah.

MULUT

Saya toleh ke kanan, saya lihat wajah Najib seperti mahu menangis. Mulutnya separuh terbuka dan sepasang matanya merenung ke setiap sudut kawasan yang berpaya itu. Air paya terus beralun dan bergelombang. Ular sawa besar itu sudah pun berada di bawah titi lalu memanggungkan kepalanya. Saya bertambah cemas dan menyerahkan segala-galanya pada keadaan. Bila-bila masa sahaja ular sawa itu boleh memanjat ke atas titi.

"Kita mesti bertindak, Najib", saya bersuara.

"Bertindak? Bertindak apa?”, Najib bagaikan terkejut dari satu lamunan yang panjang. Dia sudah lupa dengan apa yang diucapkannya sebentar tadi. Barangkali dia terkena badi penunggu paya, fikir saya.

"Kau kata tadi, kita mesti baca. Apa yang nak kita baca?", saya cuba mengingatkan. Kali ini, saya lihat Najib kedutkan dahi. Dia tersenyum. Langkahnya dipendekkan.

"Kita cakap macam ini Tamar: Datuk nenek penunggu paya, anak cucu nak tumpang lalu, janganlah kacau kami, izinkan kami lalu", kata Najib dengan nada suara yang cukup tinggi,boleh didengar oleh sesiapa yang berada dalam jarak lima enam rantai. Dan saya tanpa segan-segan terus mengikuti kata-kata yang diucapkan oleh Najib dengan kuat. Suara saya dan Najib menguasai kawasan paya itu.

Ular sawa di bawah titi bagaikan faham dengan apa yang kami katakan. Ekornya melibas ke kiri dan ke kanan, hingga air paya bergelombang. Kemudian ular sawa itu memusingkankepalanya ke kanan dan ke kiri macam mencari sesuatu. Akhirnya terus menyelam. Apa yang kami lihat ialah gelombang air paya yang bercampur dengan selut. Pepohon kecil di tepi paya bergerak lemah.

"Selamat kita, penunggu paya tahu cakap kita", ujar Najib, mukanya kembali merah. Keriangan dan rasa megah terpamer di wajahnya.

"Kau jangan berhenti lagi, berniat nak berhenti pun jangan ada dalam hati", satu ingatan keras dari Najib.

"Ular sawa tu lari kerana terkejutkan suara kita, bukan kerana dia faham cakap kita, mana ada binatang yang faham cakap manusia", saya meningkah.

"Kamu jaga mulut Tamar, kalau tak ada penunggu yang kacau kamu, aku hentak kamu dengan penumbuk ini", Najib acukan buku lima ke batang hidung saya.

Sakit rasa hati dengan tindakan Najib itu. Dia mencabar kejantanan saya. Tak mengapalah, kepercayaannya pada perkara tahyul dan mengarut tidak boleh dibantah buat sementara waktu, fikir saya sambil menggigit bibir.

Kami pun sampai ke tempat yang dituju. Memang tidak saya sangka kawasan sabung ayam itu cukup bersih dan cantik. Tidak jauh dari gelanggang sabung terdapat dua buah pondok yang lengkap dengan tandas, telaga, tempat tidur dan dapur masak. Pondok yang sebuah lagi itu, saya kira sebuah warung yang mennjual makanan, rokok dan lain-lain. Terdapat beberapa jalan rahsia untuk menyelamatkan diri jika diserbu oleh pihak berkuasa.

Waktu saya tiba, dua ekor ayam sedang berlaga. Saya mendapat tahu salah seekor dari ayam itu, adalah ayam sabung jaguh dari Kelantan yang datang khas untuk melawan ayam jaguh tempatan. Orang yang bertaruh wang pun bukan sedikit jumlahnya. Kawasan hutan itu, bergegar dengan tempik sorak orang berjudi.

Sedih saya melihat ayam sabung tempatan kalah dengan jaguh ayam sabung dari Kelantan. Tuan punya ayam sabung yang datang dari Kelantan itu kecil orangnya. ,Dia tidak mahu menyebut dirinya datang dari Kelantan. Dia megah, kalau disebut sebagai orang Melayu Pattani.

"Mana jaguhnya?", seorang lelaki muncul di tepi gelanggang. Orangnya berbadan tegap, berkulit gelap dan memperkenalkan dirinya sebagai Agam sahaja. Semua orang berada di situ merenung ke arah Agam. Beberapa orang segera menghilangkan diri. Mereka syak, Agam anggota polis yang datang menyamar sebagai penyabung ayam. Dalam keadaan yang agak berkocak itu, Udin Tarzan muncul dari belakang warung. Mata Udin Tarzan tertumpu ke wajah saya.

"Apa kamu buat di sini Tamar?”, soalnya.

"Saja datang”

"Datuk kamu tahu kamu datang ke sini?”

"Tak tahu”

"Hum, kamu yang bawa orang yang bernama Agam ke sini?”

"Tidak, baru kenal di sini”

"Hummmm", keluh Udin Tarzan.

Saya kenal benar dengan Udin Tarzan yang berbadan tegap. Lengan dan pahanya nampak berulas-ulas. Jaguh gaduh dan kaki pukul. Tetapi, dia pernah kecundang dengan datuk dan akhirnya amat menghormati datuk. Patutlah saya jarang bersua dengannya. Rupa-rupanya Udin Tarzan sudah jadi pengawal keselamatan tempat sabung ayam, bisik batin saya. Din Tarzan terus memerhatikan gerak-geri si Agam.

Saya teringat secara tiba-tiba bagaimana Udin Tarzan mencabar datuk di depan masjid Kampung Kota, sebaik sahaja datuk keluar dari masjid setelah menunaikan sembahyang Zuhur. Udin Tarzan terus menghulurkan tangan kanan tetapi kakinya cuba menyepak pangkal paha datuk. Sebelum sepakan itu kena paha datuk, datuk undur setapak ke belakang.

"Dengar khabar awak orang tua handal, boleh saya cuba?", tanyanya.

"Saya tak pandai dan handal. Kau tahu, yang paling handal dan kuat ialah Allah, saya minta pertolongan dari-Nya", jelas datuk.

"Saya anak Pulau Pangkor dari Sungai Pinang. Saya nak uji awak", Udin Tarzan terus mencabar.

"Tak usahlah", kata datuk.

"Saya nak cuba", Udin Tarzan keluarkan golok panjang. Datuk jadi cemas. Datuk terus membongkok dan ambil sepotong kayu.

"Tak usahlah bergaduh, baik kau balik",datuk terus memujuk.

"Orang tua penakut", Udin Tarzan terus mencabar.

"Baiklah, kau berhajat kau tetak saja kayu ini, kalau putus aku mengaku kalah", kata datuk lalu menghulurkan kayu yang dipegangnya pada Udin Tarzan.

"Hiss...”, sindir Udin Tarzan dengan sekaligus dia menetak kayu yang dihulurkan oleh datuk kepadanya.

Dengan sekali tetak kayu itu putus dua, bahagian hujung yang terputus itu melayang ke depan lalu memukul pangkal kemaluan Udin Tarzan. Dia terpekik terlolong menahan kesakitan. Datuk segera merawatnya. Bila sakitnya hilang, dia segera berjabat tangan dengan datuk.

"Saya tahu awak bukan orang tua sebarangan. Tua awak tua berisi. Belum pernah kayu yang ditetak datang pada orang yang menetaknya, bukan sekali dua saya menetak kayu yang dihulurkan orang, tetapi dengan awak saya terkena", kata Udin Tarzan.

"Kamu mesti belajar lagi", ujar datuk sambil mengosok-gosok kepala Udin Tarzan. Sejak itu, rasa hormatnya pada datuk tidak terhingga. Kadang-kadang amat keterlaluan. Bila dia menghormati datuk dengan sendirinya dia amat segan dengan saya. Dia selalu memikirkanyang datuk telah mencurahkan bermacam-macam ilmu pada saya.

"Kamu dari mana?", Udin rapat pada Agam. Apa yang saya fikirkan dalam kepala semuanya tumpas. Agam tersenyum sambil melurut kepala ayam sabungnya dengan manja.

"Aku dari Ulu Bernam. Dengar khabar ayam di sini jaguh-jaguh belaka, aku nak mencuba”

"Kamu mata gelap polis", tuduh Udin Tarzan.

"Tidak, kalau tak percaya sila periksa", jawab Agam segera diperiksa oleh kakitangan Udin Tarzan. Mereka puas hati, Agam bukan hantu polis.

Udin Tarzan segera memberitahu ketuanya, (orang yang menjalankan judi sabung ayam haram) seorang lelaki keturunan Pakistan (emak Melayu, ayah Pakistan) yang berbadan tegap. Dia hanya muncul sekali-kali untuk mengutip bayaran pada orang yang menggunakan gelanggangnya. Orang yang menang kena bayar dan yang kalah pun kena bayar. Kalau membantah, Udin Tarzan akan bertindak.

Bila ketua Udin Tarzan puas hati dengan laporan yang diberi, Udin Tarzan pun mengumumkan yang gelanggang boleh digunakan. Sebelum ayam sabung dilepaskan dalam kawasan gelanggang, Udin Tarzan minta tiga ringgit seorang dari orang yang mahu bersabung ayam.Orang ramai mula bersorak, orang dari Kelantan mula melepaskan ayam sabungnya di gelanggang. Agam masih berdiam diri. Orang dari Kelantan terpaksa mengambil ayamnya kembali.

Agam terus duduk di bucu gelanggang. Matanya renung setiap wajah yang adadi situ. Bila matanya bertentang dengan mata saya, dada saya terus berdebar.

"Aku rasa lain macam aje orang tua tu", bisik saya kepada Najib.

"Ya, aku pun macam tu. Matanya macam ada satu kuasa. Namanya pun ganjil. Mana ada orang nama Agam, kalau Adam tu adalah", Najib memberikan pendapatnya.

Saya tidak berani menentang mata Agam tetapi, saya merasa yakin kedatangan Agam disitu bukan untuk menyabung ayam.Dia ada mempunyai niat yang lain. Apakah tujuannya yang sebenar, saya tidak dapat memberikan jawapan.

"Jangan-jangan dia penunggu paya yang menyerupai manusia", tercetus kata-kata itu dari Najib. Saya segera menjuihkan bibir ke depan. Kemudian saya senyum sinis padanya. Najib segera menarik wajah masam. Dia kurang senang dengan tingkah laku saya.

"Kamu tak percaya dengan apa yang kamu tengok?”, soal Najib mendadak. Saya terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Sukar untuk memberikan jawapan. Silap jawab, boleh mengecilkan hati dan perasaannya.

"Kau tak percaya, Tamar?”, Najib minta kepastian.

"Susah aku nak cakap, Najib”

"Sama ada kau percaya atau tidak, itu hak kamu. Aku tak boleh paksa. Masing-masing ada pendirian. Aku harap pendirian kita yang berbeza, tak merosakkan hubungan kita”

"Aku setuju Najib, pendirian dan persahabatan memang tidak sama”

"Ya, kau betul, Tamar”

Hati saya cukup lega. Najib terhindar dari rasa kecil hati. Saya yakin hubungan kami pasti terus erat. Masing-masing bersedia bertolak ansur. Menghormati dan menghargai pendirian serta pendapat antara satu sama lain. Saya menarik nafas lega dalam sinar matahari petang yang kian meredup.


WAJAH

Saya dongak ke langit, melihat gumpalan awan putih yang berarak menuju arah selatan. Beberapa orang yang berada di bucu gelanggang menjeling ke arah Agam dengan penuh rasa curiga. Saya lihat Agam tetap tenang, sesekali dia mengukir senyum sambil mengguris-guris tanah di depannya dengan ranting kayu.

"Mana ayam awak? Gelanggang tak boleh dibiar lama-lama begini", Udin Tarzan bercekak pinggang depan Agam. Tanpa membuang masa Agam terus toleh kiri dan toleh kanan.

"Tengok apa?”, suara Udin Tarzan makin keras dan garang.

"Heh, nanti orang bawa ayam datang”

"Berapa lama saya nak tunggu?", Udin Tarzan genggam penumbuk. Terus berlegar-legar di depan Agam. Saya segera renung wajah Najib dengan rasa cemas.

Bagaikan diarah oleh kuasa ghaib, serentak saya dan Najib beredar dari tepi gelanggang menuju ke pohon kundang condong. Saya kira, berada dalam jarak jauh dari gelanggang paling selamat. Kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini, boleh angkat kaki dengan segera.

98. Tubuh Terapung Di Udara

"Hei Tamar, mahu ke mana?”, jerit Udin Tarzan. Belum pun sempat menjawab, dia sudah berada di belakang kami.

"Mahu ke mana?”, ulang Udin Tarzan lagi.

"Kami nak duduk jauh dari gelanggang", jawab Najib.

"Kenapa?"

"Kalau ada sesuatu yang buruk terjadi, kami sempat melarikan diri", jelas saya dengan jujur.

"Hum, jangan pergi ke mana-mana. Aku ada, aku tak akan biarkan kamu mati katak", wajah Udin Tarzan kelihatan cukup bengis. Saya dan Najib berpandangan.

"Mari", perintah Udin Tarzan.

"Ha...”, mulut Najib separuh terbuka.

"Ikut saja cakapnya", bisik saya ke telinga Najib.

Udin Tarzan tarik tangan kanan saya. Tidak ada bantahan. Saya hanya mengikut sahaja. Langkah Udin Tarzan cukup cepat. Sesekali saya terlihat ada sesuatu dalam saku seluarnya. Bentuk benda itu bulat dan berat. Saya terus menumpukan perhatian pada benda yang berada dalam saku seluar Udin Tarzan.

Bila Udin Tarzan melangkah, benda dalam saku seluarnya dapat dilihat dengan jelas. Darah saya tersirap. Udin Tarzan memiliki pistol. Jenis apa? Saya sendiri tidak tahu. Dan saya tidak kuasa untuk menyoalnya. Itu bukan urusan saya. Kalau ditanya, mungkin menimbulkan kemarahan pada dirinya.

"Kamu berdua duduk di sini", itu arahan Udin Tarzan. Saya dan Najib segera mematuhinya. Duduk tepi gelanggang dekat Agam yang kelihatan menggigit hujung jari kelingking. Lelaki dari Kelantan itu terus menepuk-nepuk kepala ayam sabungnya dengan penuh manja. Dia terus keliling gelanggang, mempamerkan rasa bangganya kerana memiliki ayam sabung yang handal.
Bila sampai depan Agam, lelaki dari Kelantan itu terus menghentak-hentakkan kaki kanannya. Orang yang berada keliling gelanggang terus ketawa. Lucu melihat telatah lelaki dari Kelantan itu. Agam terus mengeliat dan turut ketawa.

"Diam", jerit Udin Tarzan.

Ketawa terus berhenti dengan serta-merta. Udin Tarzan keluarkan pistol. Muncung pistol dihalakannya ke dahi Agam.

"Kamu mahu menggagalkan semua yang diatur", lanjut Udin Tarzan. Muncung pistol terus bertemu dengan kulit dahi Agam. Semua yang menyaksikan peristiwa itu jadi cemas. Tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Lelaki dari Kelantan bersama ayam sabungnya terus menyembunyikan diri di perdu bertam. Ternyata pada lelaki itu, lebih mengutamakan eselamatan ayam sabungnya dari dirinya sendiri. Ayam sabungnya dimasukkan ke dalam bajunya.

"Mahu lawan sabung atau tidak?", Udin Tarzan beri kata dua. Agam masih kelihatan tenang. Masih sempat senyum dan menjamah hujung pistol yang bertemu dengan dahinya.

"Sabar, marah mainan syaitan. Orang yang waras tidak pernah marah", ucap Agam.

"Jangan nak mengajar saya.”

"Tidak, saya bercakap perkara yang benar", tambah Agam. Perlahan-lahan pistol dari tangan Udin Tarzan diambilnya. Saya lihat Udin Tarzan tidak melawan. Kelihatan seperti kena pukau.

"Kita mesti bertindak dengan tenang", tambah Agam. Pistol Udin Tarzan yang berada di tangannya dicampakkan ke tanah. Saya dan Najib gelengkan kepala, bila melihat telapak kaki kanan Agam memijak pistol milik Udin Tarzan.

Pistol itu terbenam dalam bumi. Bila telapak kaki kanannya diangkat, badan pistol kelihatan berasap. Semua orang yang ada di situ gelengkan kepala. Pistol itu bertukar menjadi besi yang amat buruk serta berkarat.

"Minta maaf, saya tak mahu bersabung ayam", ujar Agam lembut. Udin Tarzan terus gosok batang leher. Sinar matanya memancarkan kemarahan tetapi, dia tidak dapat bertindak atau melakukan sesuatu.

"Kenapa? Tadi awak yang mencabar", suara Udin Tarzan amat perlahan sekali. Tunduk tidak berani menentang wajah Agam. Kehebatan, kesombongan dan kegagahan Udin Tarzan hilang dengan serta-merta. Semua orang yang berada di sekeliling gelanggang merasa hairan dan amat terkejut sekali.

"Kenapa?”, susul Udin Tarzan lagi.

"Saya memang tak minat.”

"Kalau tak minat kenapa kamu mencabar?”

"Saya cuma nak tengok muka orang yang ada menyimpan ayam sabung.”

"Hum, awak permainkan kami", Udin Tarzan mengeluh.

"Berjudi bukan mainan hidup saya", suara Agam bergetar.

Dia menoleh ke kanan sambil menggosok pangkal hidungnya dua tidak kali. Agam terus tepuk pangkal lengan kanan dengan telapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut.

TEPUK

Selesai sahaja Agam tepuk pangkal lengan kanannya. Udin Tarzan bagaikan tersedar dari lamunan. Dia terus bertempik sambil mengambil sepotong kayu yang berada di sudut kanan gelanggang. Udin Tarzan bersedia untuk memukul kepala Agam. Cita-citanya tidak diteruskan. Dihalang oleh suara yang menyebut-nyebut namanya dari arah perdu pohon petai. Udin Tarzan segera menoleh ke arah tersebut. Kayu di tangan terus dicampakkannya keluar gelanggang.

"Kau datang juga", sergah Udin Tarzan.

"Kalau dah berjanji mesti datang. Belum pernah menolak kalau nak bersabung, ayam siapa lawan si jaguh aku?", kata lelaki yang muncul dari arah pokok petai. Dia memakai seluar panjang warna kuning, baju merah lengan pendek yang sudah pudar warnanya.

"Banyak, dekat tujuh ratus ringgit, Ali", jawab Udin Tarzan penuh yakin.

"Siapa lawan ayam saya?”, tanya orang yang bernama Ali.

"Jaguh seluruh Kelantan.”

"Mana dia mukanya?", Ali ketawa kecil.

"lni dia orangnya", lelaki dari Kelantan muncul. Menerpa ke tepi gelanggang. Lelaki dari Kelantan itu terus melepaskan ayam dalam gelanggang. Sorak dan tepukan kian bertambah hebat. Ali renung tiap wajah yang berada di situ dengan senyum. Tiba-tiba, senyum Ali terus berhenti, bila matanya tertumpu ke wajah Agam. Tetapi,semuanya kembali berbunga, bila Agam memalingkan wajahnya ke arah hutan tebal.

"Duit sewa gelanggang, serahkan di sini", pekik Udin Tarzan. Lelaki dari Kelantan dan Ali pun serahkan duit sewa gelanggang. Kemudian Udin Tarzan pun menyerahkan wang sewa gelanggang pada ketuanya. Dari jauh, Udin Tarzan angkat tangan kanannya tinggi-tinggi memberitahu pada orang yang hadir bahawa gelanggang boleh digunakan. Sorak dan tepuk tangan orang ramai bergemuruh menguasai kawasan terpencil itu.

"Aku nak lepaskan ayam, Udin", jerit Ali.

"Silakan", balas Udin Tarzan. Tepukan dan sorak bertambah gamat.

"Kau lawan dia jaguh, kau bunuh dia dengan taji kamu", itu yang dibisikkan oleh Ali pada ayam sabungnya. Orang ramai yang bertaruh mula membuat kumpulan sendiri. Wajah mereka didakap kegembiraan yang amat sangat. Masing-masing mengharapkan tuah dan keuntungan yang berlipat ganda.

Di tengah gelanggang, dua ekor ayam mula bertentangan. Mengembangkan kepak dan bulu leher kelihatan membesar, bersedia untuk menewaskan antara satu sama lain. Dua ekor ayam itu tidak tahu, bahawa nyawa mereka dipertaruhkan demi kepuasaan hati manusia yang selama ini dianggap bijak dan bertamadun mempunyai nilai budi dan perasaan yang tinggi. Bila berdepan dengan suasana demikian, saya segera terfikir bahawa ada waktu dan ketikanya, manusia ini lebih kejam, lebih bodoh dari dua ekor ayam sabung yang berada ditengah gelanggang.

Setiap kali ayam milik Ali membenamkan tajinya ke leher ayam jaguh milik lelaki dari Kelantan, suara sorakan dari tepi gelanggang terus melangit. Ada yang terkinja-kinja menari macam beruk dapat belacan. Secara mendadak tepukan dan sorakan terus terhenti. Semua biji mata tertumpu ke arah Agam yang berdiri di tengah gelanggang. Bagaikan kilat Agam menangkap ayam milik lelaki dari Kelantan yang kelihatan terhoyong-hayang. Beberapa helai bulu kepaknya mula berjatuhan. Balungnya berdarah begitu juga dengan bahagian lehernya. Agam segera mendekati lelaki dari Kelantan.

"Ambil ayam kamu", kata Agam pada lelaki dari Kelantan.

"Kami berlaga ayam, apa hak kamu mengganggu kami?”

"Islam melarang pengikutnya berbuat kejam dengan binatang.”

"Saya mencari rezeki.”

"Bukan ini caranya mencari rezeki."

"Tapi...”

"Tak ada tapinya, ambil ayam kamu dan pergi dari sini, kalau kamu tak dengar cakap aku, buruk padahnya nanti."

Agam mula tunjuk taring. Lelaki dari Kelantan mula membantah tetapi, bila dilihatnya muka Agam, dia tidak jadi membantah. Tanpa banyak cakap dia terus ambil ayam sabungnya. Lelaki dari Kelantan itu mengatur langkah menuju ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Agam renung ke kiri, didapatinya ayam sabung Ali tidak berada di gelanggang lagi. Sebahagian orang ramai yang berada di tepi gelanggang mula beredar. Masing-masing bersedia untuk menyelamatkan diri andainya tercetus sebarang perkelahian.

"Eh, kamu ke mari dekat aku", ujar Agam pada Ali yang bersila di tepi gelanggang. Ali tidak memperhiraukan arahan dari Agam. Dia terus membiarkan ayam sabungnya mematuk padi atas telapak tangannya. Sesekali, Ali meraba ulu golok yang terselit di pinggangnya. Dia terus bersiul-siul kecil.

"Hei, ayam sesat jangan cuba nak tunjuk handal di tempat orang", Ali mula menyindir.
Badan ayamnya diurut perlahan-lahan.

"Pulanglah dan buat kerja lain", tingkah Agam.

"Jangan nak ajar saya!", jawab Ali.

"Bukan mengajar tapi nasihat.”

"Diam bangsat!", pekik Ali sambil mencabut golok di pinggang lalu di baling ke arah Agam.
Cepat-cepat Agam mengelak. Golok melekat pada pohon pulai. Agam terus menerpa ke arah Ali. Cepat-cepat Ali melompat dan lari ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Ayam Ali terlepas lari ke dalam semak. Agam masih berdiri di tengah gelanggang yang sudah ditinggalkan oleh para peminat sabung ayam. Saya dan Najib yang sejak tadi menjauhkan diri dari gelanggang mula gelisah. Tetapi kami yakin Agam tidak akan bertindak sesuatu terhadap kami. Demi keselamatan diri, kami segera berlindung di balik pohon besar.

"Kita balik saja, Najib. Aku tak suka tengok orang bergaduh", kata saya lemah.

"Kita tunggu dulu, Tamar, Kita tengok siapa handal. Lagipun kita duduk sembunyi di sini, tak ada siapa yang tahu.”

"Aku takut dan...”

"Sudahlah Tamar, kau tengok tu.”

Saya segera tegakkan kepala. Sepasang mata saya tertumpu ke arah Agam yang sedang berdepan dengan ketua Udin Tarzan. Dalam jarak beberapa kaki dari ketuanya, kelihatan Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali. Mereka memegang kayu bulat yang panjangnya lebih dari enam kaki.

MERANGKAK

Saya dan Najib merangkak di celah-celah pohon kecil, mendekati mereka. Kami mahu mendengar apa yang akan diucapkan oleh ketua Udin Tarzan pada Agam. Tanpa diduga, Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali melakukan serangan yang serentak ke arah Agam. Saya lihat Agam begitu tangkas mengelakkan serangan yang datang bertubi-tubi. Agam lebih banyak bertahan dari melakukan serangan.

Agam berusaha dengan sedaya upaya, agar orang yang menyerangnya tidak cedera. Dia lebih suka melihat mereka tewas akibat kepenatan. Ternyata taktik yang digunakan oleh Agam amat berkesan sekali. Ketiga-tiga penyerangnya tercungap-cungap dan terus jatuh ke bumi.

"Aku tak mahu bergaduh, aku sekadar mahu membetulkan kamu dari membuat kerja maksiat, baliklah ke rumah kamu," tutur Agam dengan tenang. Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali segera bangun. Mereka seperti dipukau mencari lorong untuk pulang ke rumah masing-masing. Tanpa diduga, Udin Tarzan pusing ke kanan lalu mengeluarkan rantai basikal yang diikat pada kayu kecil dari saku seluarnya. Udin Tarzan menerpa ke arah Agam. Dia terus melibaskan rantai basikal ke badan Agam.

Aneh, walaupun mata rantai basikal itu membelit ke tubuhnya tetapi, Agam tetap tenang dan tubuhnya tidak mengalami sebarang kecacatan. Tubuh Udin Tarzan menggeletar, dia jadi panik bila melihat mata rantai basikal relai, jatuh ke bumi dalam bentuk ketulan hitam yang kecil macam tahi kambing. Udin Tarzan terus buka langkah seribu. Langgar tunggul dan akar hingga jatuh tunggang langgang. Dia tetap bangun dan terus lari.

Bahu Agam dipaut dengan kuatnya dari belakang. Sukar untuknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Pautan itu seperti mencengkam dan terbenam dalam kulit tubuhnya. Agam yakin cengkaman itu bukannya dari jari jemari manusia.

"Kamu belum tahu siapa aku. Kamu mencari penyakit datang ke tempat aku", suara parau dan keras menendang gegendang telnnga Agam. Serentak dengan itu cengkaman yang singgah di bahunya berakhir. Dia segera memusingkan tubuh dan wajahnya menatap orang yang bersuara.

"Kamu tahu belum ada orang yang berani kacau aku. Ketua kampung penghulu dan ketua balai polis di sini tak berani kacau aku. Kenapa kamu pula yang sibuk?"

Sebagai orang Islam aku berhak memberitahu atau membetulkan kesilapan yang kamu buat."

"Apa kesilapan yang aku lakukan?"

"Kamu bapak maksiat!", ucap Agam lantang.

"Biadap!", sergah lelaki ketua Udin Tarzan. Agam tidak menjawab kutukan itu. Dia termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Agam mengambil keputusan tidak mahu berkeras dengan lelaki berbadan tegap. Tingginya hampir enam kaki.

"Nama aku Amjal Kamal", lelaki itu memperkenalkan dirinya. Dia membuka baju yang membalut tubuhnya. Baju yang dicampakkan ke bumi lalu dipijaknya. Kedua belah lengannya penuh dengan tangkal dan azimat. Lelaki itu mengeluarkan sebilah keris pendekar. Dia terus menikam perutnya dengan keris bertubi-tubi. Mata keris terus bengkok. Kulit perutnya tidak tercalar ataupun luka. Lelaki itu mencampakkan kerisnnya yang sudah patah itu ke dalam semak.

"Kau nampak sekarang?", kata AmJal Kamal sambil ketawa. Dia keluarkan pistol dari paha kanannya (pistol itu diikat ke pangkal paha kanan dengan tali guni). Muncung pistol dituamkan ke dahinya. Kemudian dia menarik pemetik pistol. Satu letupan bergema. Amjal terus ketawa. Peluru pistol tidak mendatangkan sebarang kesan. Amjal Kamal terus memecahkan sebiji botol. Kaca dari botol tersebut terus ditelannya.

"Apa kamu sanggup menentang aku? Kalau tak sanggup, eloklah kau pulang. Jangan kacau kerja aku", Amjal Kamal renung muka Agam.

"Kamu memang hebat, tubuh kamu tak makan peluru."

"Kalau sudah tahu, kenapa kamu cari penyakit?”

"Aku bukan mahu mencari penyakit. Aku mahu menyembuhkan penyakit kau.”

"Apa penyakit aku? Cakap!", tanya Amjal Kamal sambil menggosok-gosok pistolnya.

"Kau tamak, tak pernah puas. Tak mahu ingatkan Allah. Kamu harus tahu, bila tamak dah menguasai diri kamu, kamu lupa diri sendiri lalu mahu menyesatkan orang lain.”

"Kurang ajar!”

"Ya, aku nak ajar kamu. Tangkai dan azimat tidak dapat menentang kuasa Allah. Mulai hari ini, kamu jangan buka gelanggang di sini. Sebaik-baiknya kau berambus dari sini", Agam memberi amaran.

SABAR

Sampai di sini, Amjal Kamal sudah tidak menahan sabar. Dia segera menatang muncung pistol ke arah Agam. Beberapa saat kemudian terdengar letupan yang berturut-turut. Anehnya, pepohon di kiri kanan Agam jadi sasaran peluru pistol Amjal Kamal. Agam tidak mengalami sebarang kecederaan. Amjal Kamal renung kiri kanan. Dia mencampakkan pistol ke arah kami. Jatuh betul-betul di depan Najib dan terus meletup. Najib menjerit dan terus jatuh pengsan. Saya yang tidak tahu untuk berbuat sesuatu segera keluar dari tempat persembunyian. Agam mendekati saya tanpa membuang masa. Saya segera memberitahu padanya apa yang telah terjadi.

"Kau jangan ke mana-mana, sebentar lagi kawan kamu akan sedar dari pengsan", katanya pada saya. Sebaik sahaja saya anggukkan kepala, Agam kembali merenung kearah Amjal Kamal yang sedang membawa sebatang besi. Saya tidak tahu dari mana Amjal Kamal memperolehi besi itu. Amjal Kamal terus mendekati Agam. Saya lihat, Agam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia biar Amjal Kamal mendekatinya. Bila Amjal Kamal angkat besi untuk memukul kepalanya, Agam menampar bumi. Besi di tangan Amjal Kamal terlepas.

"Kamu memang handal tapi...", Amjal Kamal tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia terus melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Agam. Amjal Kamal membuka silat Siam. Agam tetap bertenang dan menepis setiap serangan yang datang. Usaha Amjal Kamal untuk menewaskan Agam dengan kekasaran tidak berhasil. Kali ini, Amjal Kamal menggunakan ilmu kebatinannya untuk menundukkan Agam. Mereka berdiri bertentangan. Masing-masing memeluk tubuh. Agam memberi isyarat tangan pada saya supaya kembali ke tempat persembunyian. Bila saya sampai ke tempat tersebut, saya dapati Najib sudah pun sedar dari pengsan.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu saya terdengar bunyi petir dan diikuti dengan gumpalan asap hitam berkumpul di tengah gelanggang sabung ayam. Dari gumpalan asap itu keluar percikan bunga api yang menuju ke arah tubuh Agam. Pelik, bila percikan bunga api mahu mengenai tubuh Agam, percikan itu segera berpatah balik ke dalam gumpalan asap dan terus hilang.

Muka Agam kelihatan berpeluh. Agam terus menajamkan kedua belah bibirnya sambil menghembuskan udara yang berkumpul dalam mulutnya ke arah gumpalan asap. Dengan sekelip mata asap tebal itu terus hilang. Apa yang saya dan Najib lihat ialah, lengan kanan Amjal Kamal ditumbuhi bulu macam bulu orang utan. Kukunya panjang macam kuku harimau tetapi, tangan kirinya tetap macam biasa. Muka sebelah kiri Amjal Kamal berubah bentuk iaitu kelihatan sama, tidak ada hidung, tidak ada mata, pipi dan bibir. Kelihatan rata macam papan yang sudah diketam. Amjal Kamal berdiri kaku macam patung batu. Dari bahagian belakangnya kelihatan kepulan asap yang menipis. Dada saya terus berdebar dan saya segera menoleh ke arah Najib. Dia kelihatan tergamam.

"Tamar, apa yang kita lihat benar-benar terjadi?”. tanya Najib.

"Ya, aku yakin Amjal Kamal banyak ilmu dunianya, kebal dengan sihir. Dia melindungi syaitan", bisik saya ke telinga Najib. Sebaik sahaja saya selesai mengucapkan kata-kata tersebut, bulu tengkuk saya segera menegak. Badan terus menggeletar. Saya pun segera membaca beberapa ayat suci untuk menghalau syaitan.

"Lihat, Tamar", Najib cuit bahu kanan saya. Tanpa membuang masa, saya renung ke arah Agam yang sedang menumpukan seluruh biji matanya ke arah tubuh Amjal Kamal. Setiap kali Agam menggerakkan kelopak matanya, tangkal di leher Amjal Kamal putus sendiri. Jatuh ke bumi lalu terbakar. Bila Agam gerakkan lehernya ke kanan. Azimat atau tangkal yang membelit di lengan Amjal Kamal segera relai menjadi habuk yang akhirnya berterbangan entah ke mana dibawa angin.

"Heiiiii...”, Amjal Kamal bertempik. Tangannya yang bertali diangkatnya tinggi-tinggi. Dalam sekelip mata sahaja, dia menjatuhkan dirinya ke bumi. Amjal Kamal menyondolkan mukanya ke tanah. Tidak ubah macam babi menyondol batas ubi keledek. Agam tetap tenang melihat keadaan yang amat ganjil itu. Semua gerak-geri Amjal Kamal diikuti dengan penuh teliti. Agam meramas-ramas jari-jemari tangan kanannya. Dia menarik nafas panjang, kelima-lima jari-jemari tangan kanannya menutup mata sebelah kirinya.

"Heiiiii...”, lagi sekali suara jeritan Amjal Kamal bergema menguasai kawasan hutan tersebut. Serentak dengan itu dia terus melompat dan berdiri lurus. Saya lihat wajahnya ke arah Agam. Dan tanpa disangka-sangka, Agam jatuh terlentang. Kedua belah kaki Agam terangkat dan badannya berpusing-pusing di bumi, macam ada tenaga ghaib yang memusingkannya. Saya dan Najib terpaku melihat keadaan yang tidak pernah kami fikirkan selama ini. Biasanya, keadaan seperti ini wujud dalam filem yang bertemakan kisah zaman purba.

Tamar", Najib seperti berbisik.

"Kenapa, Jib?", tanya saya perlahan-lahan.

"Aku dengar macam ada Å¡uara orang sedang azan", jawab Najib. Matanya tetap liar. Renung kiri renung kanan.

"Aku juga dengar Jib.”

"Di sini tak ada masjid, siapa pula yang azan tu. Waktu Asar pun belum masuk", Najib bersuara penuh keraguan.

"Sudahlah, jangan fikirkan. Itu kerja makhluk Allah, asalkan jangan ganggu kita sudah cukup.”

"Aku tak puas hati kalau tak tahu Tamar.”

"Kau jangan merepek", suara saya keras lalu menutup mulut Najib dengan telapak tangan kiri.

KASAR

Saya bersyukur pada Allah, tindakan saya yang agak kasar itu, tidak menyinggung perasaan Najib. Dia menerima semuanya itu sebagai satu perintah yang wajib dipatuhi. Kami segera mengarahkan biji mata kami ke arah Agam dan Amjal Kamal kembali. Saya lihat Agam sudah pun berdiri. Saya tidak tahu bagaimana dia bangun. Suara azan yang mengusik gegendang telinga saya dan Najib terus ghaib entah ke mana. Agam dan Amjal Kamal bertentang wajah.
Kedua-duanya memeluk tubuh. Antara Amjal Kamal dan Agam, ternyata Amjal Kamal lebih hebat. Ulas-ulas lengannya kelihatan berketul-ketul. Dadanya nampak bidang dengan rambut panjang hitam terkandar atas sayap bahunya. Saya lihat dada bidang Amjal Kamal kelihatan berombak-ombak ketika dia menarik dan melepaskan nafas. Dari gerak-gerinya itu ternyata Amjal Kamal menggunakan semua ilmu batin yang diketahuinya untuk menentang Agam.

"Aku tak mahu apa-apa dari kamu. Aku tidak mahu berlawan. Aku minta kau tinggalkan tempat ini", suara Agam lembut penuh sopan.

"Kau tak berhak menahan apa juga keinginanku", cukup angkuh suara Amjal Kamal. Tangan kanannya merayap atas bahu kiri. Dia terus memulas hujung rambut. Setiap kali hujung rambutnya dipulas, Agam menjerit kesakitan. Macam ada benda tajam yang menusuk tiap sendi Agam.

"Aku merayu, tinggalkan tempat ini," ujar Agam dalam kesakitan.

"Tidak ", suara Amjal Kamal keras. Dia terus memintal-mintal hujung rambutnya. Agam terus mengerang kesakitan. Saya lihat kedua belah kaki Agam tidak mampu menahan tubuhnya. Dia jatuh perlahan-lahan dan terduduk atas bumi. Dari lubang hidung dan mulutnya keluar air macam air liur.

"Allahu akbar", suara Agam meninggi. Serentak dengan itu saya lihat dia bertenaga kembali. Agam bagaikan mendapat satu tenaga ghaib. Air yang keluar dari mulut dan hidung berhenti terus. Agam menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Saya lihat bibir Agam bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Tangan kirinya menepuk bumi dua kali. Amjal Kamal terus ketawa, dia seolah-olah mempersendakan apa yang dilakukan oleh Agam.

"Aku merayu kepada kamu, tinggalkan tempat ini", Agam mohon belas ikhsan dari Amjal Kamal. Ternyata Amjal Kamal tidak berganjak dari keputusannya. Agam terus duduk bersila di bumi. Saya dongakkan kepala melihat beberapa ekor burung belatuk mematuk batang meranti yang sudah mati. Saya terasa aneh, belum pernah saya melihat burung belatuk begitu banyak. Beberapa helai daun tua mula gugur ke bumi dirempuh angin. Saya lihat langit begitu cerah dengan gumpalan awan putih bersih berarak lembut ke arah selatan.

"Ini hutan, tak ada manusia yang diam di sini, sudahlah kau jangan merepek", Amjal Kamal terus mempersendakan Agam. Dia yakin, Agam akan tunduk padanya. Amjal Kamal mengambil seketul kayu lalu dibalingkan ke arah Agam. Saya dan Najib terpampan, bila melihat kayu yang dibalingkan ke arah Agam tidak menuju ke sasarannya. Kayu itu berpusing-pusing di udara untuk seketika kemudian hancur menjadi serbuk.

"Kau nak tunjuk kehebatan kamu?", Amjal Kamal jadi marah.

"Tidak, semuanya atas kehendak Allah. Aku berdoa pada Allah supaya diberikan perlindungan."

"Hiss kamu", Amjal Kamal melompat dan menerkam ke arah Agam. Cepat-cepat Agam mengangkat tangan kanannya. Amjal Kamal terpekik. Dia tidak dapat bergerak ke mana-mana, terapung-apung di udara. Agam menurunkan tangannya perlahan-lahan. Tubuh Amjal Kamal yang terapung-apung di udara turut sama bergerak perlahan-lahan ke permukaan bumi. Bila telapak tangan Agam bertemu dengan bumi, tubuh Amjal Kamal terletak atas tanah.

"Aku minta kamu berhenti dari membuat kerja maksiat", kata Agam masih berlembut.

"Itu urusan aku."

"Ya, aku tahu itu urusan kamu tapi...", Agam berhenti bercakap.

"Tapi apa, manusia laknat?"

"Orang-orang yang berjudi di sini sudah mengotorkan masjid dan surau tempat kami beribadat. Mereka kencing dan berak ikut suka hati."

"Kamu bohong!", bantah Amjal Kamal.

"Baik, aku buktikan", Agam merenung ke arah sebelah kiri. Tidak ada apa-apa yang dapat dilihat kecuali hutan kecil dengan pohon yang menghijau.

"Aku bukannya budak-budak", Amjal Kamal menepuk dada dan meludah ke arah Agam. Tiba-tiba saya dan Najib terdengar bunyi suara orang membaca ayat-ayat suci. Saya amati pembacaan itu dengan teliti. Saya kagum, pembacaan itu memang betul, samada dari segi tajuwid, tekanan suara dan dengung. Pembacaan yang sempurna itu membuat saya terpesona.


99. Kaki Berbulu

Dalam irama pembacaan ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun. Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah penghuninya bukan sedikit. Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha. Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.
"Beberapa orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan dan luka akibat perbuatan orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.
Sebaik sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan kesakitan.
"Kamu sihir aku", bantah Amjal Kamal.
"Tidak, kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara Agam lemah.
"Bohong", sergah Amjal Kamal.
"Ya, aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah kanan.
"Ajaib sungguh", keluh saya dalam hati. Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya. Semuanya terjadi tanpa diduga. Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih. Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding tepas dan beratapkan rumbia. Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang, cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.
Para penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau perempuan, bentuk tubuh mereka tetap besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang rendah. Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali. Kanak-kanak yang berusia sekitar enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.
Hampir semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai serban dan songkok dibuat dari kain putih. Semua orang perempuan di perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain putih. Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap halaman rumah sukar untuk mencari daun. Orang-orang tua duduk di anjung rumah membaca Quran atau berkasidah memuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
"Ini perkampungan, Islam", demikian hati kecil saya membuat kesimpulan. Saya segera bangun.
"Nak ke mana Tamar?" Najib terkejut.
"Aku nak masuk ke kampung tu, aku nak berkenalan dengan orang-orangnya", jelas saya.
"Jangan", Najib segera memaut tangan kanan saya.
"Kenapa?"
"Boleh jadi apa yang kita lihat tu, hanya bayangan saja. Kau mesti ingat kita berada dalam hutan. Dalam hutan begini macam-macam boleh jadi", Najib mengingatkan saya.
"Ah, aku nak pergi", saya membuat keputusan yang amat nekad. Saya cuba melangkah, tiba-tiba sahaja pangkal paha sebelah kanan saya terasa sakit. Kedua-dua belah bahu saya seperti dihempap dengan benda berat. Saya tidak terdaya berdiri dan terus jatuh. Apa yang saya alami, tidak mematahkan niat saya untuk pergi ke tempat tersebut. Makin berkobar-kobar semangat saya mahu pergi ke kampung tersebut, makin hebat sakit di pangkal paha kanan saya.
Bila saya membatalkan niat tersebut. Semua sakit yang saya deritai terus hilang. Perasaan saya terasa lapang dan lega. Jadi, saya mengambil keputusan melupakan terus hasrat yang bersarang dalam dada. Bila melihat saya pulih, Najib mengucapkan syukur pada Allah beberapa kali. Dia mengajak saya pulang. Ajakannya itu saya bantah terus, Najib terpaksa tunduk pada kemahuan saya.
"Kita tengok apa yang akan terjadi selanjutnya, Najib."
"Merbahaya, Tamar."
"Kita cuma tengok saja, bukan nak buat apa-apa."
"OK, aku mengikut saja."
"Bagus", bahu kanan Najib saya tepuk beberapa kali. Saya dongakkan kepala ke langit. Matahari sudah beransur condong. Berpandukan pada kedudukan matahari di langit, saya kira waktu itu dah hampir pukul empat petang. Tetapi, saya tidak merasa jemu atau bosan berdepan dengan peristiwa yang pada tanggapan saya amat menyeronokkan. Dan jarang-jarang pula terjadi.
"Apa yang kamu ingini, sudah aku buktikan. Aku tidak berbohong dengan kamu. Aku bercakap sesuatu yang benar", terdengar suara Agam cukup lantang. Saya dan Najib tumpukan perhatian pada dirinya dan Amjal Kamal.
"Kamu tak puas hati lagi?", tanya Agam.
"Hum...", suara Amjal Kamal mendengus macam orang marah.
HILANG
Perkampungan di tengah hutan itu terus hilang. Kawasan tersebut segera ditumbuhi pokok-pokok kecil seperti pokok paku, pokok senduduk dan rumput-rampai yang menjalar menutup bumi. Kawasan yang ditumbuhi pokok kecil itu cukup luas.
Di kiri kanan kawasan tersebut dipagari dengan pokok-pokok besar yang digayuti dengan akar, tempat monyet bergantung atau melompat. Amjal Kamal menolak kenyataan yang wujud di depan matanya. Dendamnya belum berakhir. Dia berusaha untuk memusnahkan Agam yang pada hematnya cuba mencabar kebolehan dan kehandalan dirinya, cuba
menghalang segala cita-citanya. Amjal Kamal mengeluarkan seketul batu kecil dari saku seluar sebelah kanannya. Batu kecil itu diletakkan atas telapak tangannya.
Amjal Kamal hembus batu itu tiga kali berturut-turut. Beberapa detik kemudian terdengar bunyi deru angin yang kuat. Ribut besar pun berlaku di sekitar kawasan tersebut. Dahan pokok terus patah malah ada pokok tumbang. Saya dan Najib segera memeluk pokok di depan. Andainya kami tidak memeluk pokok besar kemungkinan tubuh kami akan diterbangkan oleh angin. Walaupun ada pokok yang tumbang tetapi, Agam tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
Setengah jam kemudian, ribut besar yang menggila itu terus berhenti. Agam masih berada di tempatnya tetapi, Amjal Kamal terus hilang entah ke mana. Saya terdengar suara ganjil dari sebelah kiri. Saya amati suara tersebut dan saya pasti suara itu adalah suara beruang.
Ramalan saya tidak tepat. Itu bukan suara beruang tetapi, suara Amjal Kamal yang sudah berubah wajah dan bentuk. Seluruh wajahnya ditumbuhi bulu tebal yang berwarna kemerah-merahan. Begitu juga dengan rambutnya. Sepasang mata Amjal Kamal bertukar jadi macam mata harimau dan bahagian mulut bertukar bentuk seperti mulut orang hutan. Sepasang kakinya berbulu hitam. Bahagian badannya berbelang macam belang harimau.
Sepasang tangannya memiliki kuku, seperti kuku harimau. Amjal Kamal yang berubah rupa itu terus melompat, kedua belah tangannya bergerak ke kiri dan ke kanan. Mencakar dan mematah apa sahaja yang tersentuh oleh tangannya.
Agam segera memanggil nama saya. Tanpa membuang masa saya terus mendekatinya. Badan saya terus berpeluh. Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.
"Kamu berubah dari situ, orang ini terlalu akrab dengan syaitan dan boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan setiap orang yang percayakan kewujudan Allah", itu perintah Agam.
"Baiklah", balas saya.
“Sekarang pindah”, Agam mengamati saya.
“Pindah ke tempat Iain Jib.”
“Pindah ke mana Tamar?”, tanya Najlb.
“Sebelah sana, kita berlindung balik pokok kempas besar.”
“Baiklah”, sahut Najib. Kami pun berubah tempat. Saya gembira tempat yang saya pilih terletak di kawasan tanah yang agak tinggi. Pokok kempas yang saya pilih sebagai tempat berlindung cukup besar. Kawasan di bahagian perdunya bersih dan lapang. Mudah untuk melihat gerak-geri Agam dan Amjal Kamal. Dari perdu kempas saya lihat Amjal Kamal mendekati Agam yang berdiri tegap. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Tak usahlah bergaduh, tinggalkan saja tempat ini. Itu saya permintaan aku. Bermusuh bukanlah tujuan hidup aku", Agam berusaha menenangkan perasaan Amjal Kamal. Sayang, Amjal Kamal yang sudah bertukar rupa itu tidak dapat berkata-kata. Setiap kali Agam bersuara dia akan mencabut anak-anak pokok yang berdekatan.
Amjal Kamal menerpa ke arah Agam. Dengan tenang Agam menantinya. Kedua belah bibir Agam kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Ketika Amjal Kamal mahu mencakar mukanya, Agam segera menegakkan ibu jari kirinya.
Saya terkejut bila melihat Amjal Kamal jatuh dengan tiba-tlba. Dia berguling-guling atas tanah. Amjal Kamal bertempik dengan sekuat hatinya. Seluruh bulu yang melekat di tubuh Amjal Kamal gugur dengan sendirinya dan akhirnya terus hilang. Tubuh Amjal Kamal kembali dalam bentuk biasa. Terkapar di bumi, tidak terdaya mahu menggerakkan tangan dan kaki.
Dalam keadaan hati saya yang cemas dan takut itu saya lihat empat orang lelaki muncul di kiri kanan Agam. Keempat-empat lelaki itu segera mengangkat Amjal Kamal lalu diletakkan di pangkal pokok jelutung. Tubuh Amjal Kamal lalu ditutup dengan daun pisang. Empat lelaki yang mengusung Amjal Kamal terus ghaib.
"Ke mari Tamar", perintah Agam. Saya dan Najib segera mendekatinya.
“Jangan apa-apakan kami”, saya merayu.
“Aku tidak akan apa apakan kamu berdua, kamu datang sekadar mahu melihat bukannya bermaksud jahat.”
“Kalau begitu biarlah kami balik dulu”, Najib merayu.
“Nanti dulu, aku nak bercerita pada kamu tentang Amjal Kamal”, kata Agam. Serentak saya dan Najib anggukkan kepala.
Agam pun bercerita. Memang sudah lama dia berusaha mengusir Amjal Kamal dan kuncu kuncunya yang membuka gelanggang sabung ayam ditempat tersebut. Cara yang dlilakukan oleh Agam ialah dengan melepaskan kerbau clan kambing setiap kali perjudian itu diadakan.
Kadang-kadang dia sendiri memunculkan diri dalam bentuk manusia yang bertubuh besar dan hitam legam. Tetapi semua yang dilakukan itu tidak mendatangkan kesan. Amjal Kamal cukup keras kepala.
SEPIT
Bila sudah tersepit, Amjal Kamal akan menggunakan ilmu kebatinan yang dituntutnya dari orang-orang yang melakukan pertapaan di kaki gunung Hlmalaya. Memang datuk nenek Amjal Kamal berasal dan Nepal. Ayahnya dulu berkhidmat dalam Tentera British di cawangan Pasukan Gurkha.
Dalam masa darurat sekitar 1948, pasukan yang dianggotai oleh ayahnya ditempatkan di bandar Sungai Petani, Kedah. Dengan kehendak Allah, ayahnya bertemu jodoh dengan perempuan rakyat Malaya berketurunan Bangladesh. Ayahnya memeluk Islam lalu memilih nama Abdul Kamal.
Bila Amjal Kamal berusia dua tahun, ayahnya meninggal dunia akibat ditembak oleh pihak pengganas komunis dalam satu serangan hendap tidak jauh dari bandar Sungai Petani. Amjal Kamal terus membesar dalam jagaan ibunya, Aishah Kamdar. Amjal Kamal menamatkan persekolahan dalam tingkatan empat di salah sebuah sekolah Inggeris di Alor Setar. Kemudian pergi ke Bangladesh dan tinggal bersama keluarga ibunya.
Setelah bekerja dengan sebuah syarikat perusahaan membuat jerami di Bangladesh selama lima tahun, Amjal Kamal berhenti kerja. Dia merantau ke Nepal untuk mencari kaum keluarga ayahnya. Di samping itu dia berhasrat untuk menjadi pemandu pada pendaki yang ingin menawan kemuncak Everest.
Masa mencari keluarga ayahnya itu Amjal Kamal bertemu dengan bangsa Nepal yang menuntut ilmu kebatinan. Dia tertarik dan terus melibatkan diri dalam kumpulan tersebut.
Bila merasakan ilmunya sndah cukup, Amjal Kamal kembali ke Malaya. Dia melakukan berbagai-bagai pekerjaan. Antara pekerjaan yang paling diminatinya ialah menyeludupkan beras dari Thailand ke Malaysia.
Dia juga menjalankan kegiatan judi empat ekor secara haram. Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hiram di Kedah dan Rantau Panjang serta Pengkalan Kubur di Kelantan adalah tempat yang sering digunakan oleh Amjal Kamal untuk menyeludup beras, ganja dan sebagainya.
Supaya rancangannya berjalan lancar, dia memberi rasuah pada pihak tertentu. Mungkin kerana faktor usia atau mungkin kerana tindakan tegas dari pihak kerajaan membuat Amjal Kamal merasakan menjadi penyeludup tidak selamat. Dia pun membuka langkah lain untuk menampung hidupnya.
“Salah satu dari caranya, mengadakan judi sabung ayam. Jadi perompak dan pecah rumah dengan ilmu pukau", Agam meraba pangkal kening kirinya.
Saya lihat dia cukup tenang dan wajahnya mcmbayangkan kepuasan yang teramat sangat.
"Dia memang hebat", Najib mengeluh.
"Ya, dia memang hebat. Dia juga kepala mencuri kereta dan motosikal untuk dihantar ke Siam. Semua kerja-kerja yang dibuatnya tu, saya tak peduli, saya tak kisah", suara Agam mula meninggi. Dua tiga kali dia mengeluh. Matanya menatap wajah saya.
"Jadi, apa sebab sebenar yang awak marahkan dia?" , soal Najib.
"Saya marah, bila dia mencemar kampung halaman kami dengan membuka gelanggang sabung ayam. Ada masanya dia bawa perempuan Siam tidur di pondoknya. Khabarnya, perempuan-perempuan Siam tu diseludup dari Golok untuk dihantar ke bandar-bandar besar di Semenanjung", Agam genggam penumbuk. Dadanya kelihatan berombak melepaskan nafas yang berbaur dengan kemarahan.
Saya dan Najib diam. Kami berpandangan dan keberatan untuk mengajukan sebarang pertanyaan. Pada hemat saya, biarkan dulu hati dan perasaan Agam tenang. Bila sudah tenang, mudahlah bercakap dan dia tentu bersedia menjawab apa-apa pertanyaan dari kami.
Saya melihat dada langit kembali. Awan putih terus berarak. Sayup-sayup terdengar suara gagak di hujung rimba. Burung helang tetap terbang rendah bermain angin ketika sinar matahari mula meredup.
"Kau orang baliklah, dulu. Jangan cerita pada sesiapa apa yang kamu tengok di sini", Agam menggaru pangkal lehernya berkali-kali. Ekor matanya menjeling tajam ke arah beberapa helai daun tua yang gugur. Melayang-layang dimain angin.
"Kami boleh merahsiakan perkara ini. Tetapi, macam mana kalau ada orang lain yang tahu dan menghebahkannya?", saya beranikan diri meluahkan pendapat. Najib tersenyum, mungkin dia terasa lucu dengan pertanyaan yang saya ajukan pada Agam.
"Orang lain, jangan ambil peduli. Apa yang penting saya mahu kamu berdua merahsiakan perkara ini. Itu saja yang saya harapkan dari kamu berdua", Agam meluahkan sebuah harapan. Penuh keikhlasan dan kejujuran.
"Kami berjanji, tak akan ceritakan pada sesiapa apa yang kami lihat. Percayalah cakap kami", serentak saya dan Najib bersuara. Sepasang mata kami merauti paras Agam.
Segaris senyum berlari di kelopak bibir Agam. Perlahan-lahan dia anggukkan kepala. Tanpa diduga, Agam menepuk kepala Najib beberapa kali, penuh kemesraan.
"Kamu baliklah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan perjalanan kamu berdua."
"Terima kasih", kata saya.
"Tapi...", Najib tidak dapat meneruskan kata-katanya.
"Teruskan, apa yang mahu kamu tanyakan", Agam mendesak.
"Kami nak tahu, siapa abang ini yang sebenar? Manusia atau penung-
gu tempat ini?",
Dada saya berdebar. Memang di luar dugaan saya yang Najib boleh mengemukakan pertanyaan demikian. Saya kira pertanyaan itu agak keterlaluan dan bersifat peribadi. Boleh menimbulkan kemarahan kepada Agam.
"Saya adalah hamba Allah seperti kamu. Saya bukan penunggu seperti apa yang kamu fikirkan. Saya ada karnpung halaman sendiri. Itu saja yang dapat saya terangkan", ujar Agam dengan wajah yang tenang.
"Abang tak berbohong?", Najib minta kepastian.
"Kamu tak percaya dengan apa yang aku katakan?", Agam menyoal Najib kembali. Saya lihat Najib mati akal. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut. Saya kenyit mata ke arah Najib. Beri isyarat supaya jangan mengkemukakan sebarang pertanyaan pada Agam.
“Bagaimana, ada apa-apa yang mahu kamu tanyakan pada saya?”, soal Agam lagi. Serentak saya dan Najib gelengkan kepala. Saya lihat Agam menarik nafas panjang. Tanda lega dan puas hati.
“Kamu berdua baliklah. Si Amjal Kamal sudah pun saya suruh orang-orang saya menghantarnya ke tepi jalan raya”, tambah Agam dengan nada suara yang lembut. Dia hulurkan tangan kepada Najib untuk bersalaman.
TANGAN
Agam hulurkan tangan pada saya. Ketika bersalaman dengannya terasa telapak tangan Agam cukup lembut macam kapas.
“Kau mesti inga, dalam dunia ini tak ada satu yang kekal. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya", bisik Agam ke telinga saya.
“Saya faham”, segera saya anggukan kepala.
“Baguslah kalau kamu sudah faham. Semoga hidup kamu diberkati oleh Allah. Kita semua adalah hamba Allah yang tertakluk pada peraturan yang ditetapkan.”
“Peraturan apa?", mulut celupar Najib terus mengajukan pertanyaan.
Agam tersenyum. Tangan saya tidak juga dilepaskannya. Rasa dingin terasa menjalar ke seluruh telapak tangan. Setiap kali tangan saya digoncangnya, hati saya terasa aman dan damai sekali.
“Kita orang Islam kalau mahu hidup bahagia dan tenteram, patuhilah ajarannya. Berjanjilah untuk jadi orang Islam yang baik, patuh pada hukum-hukum yang ditetapkan", dalam keadaan yang suntuk itu, Agam masih sempat memberikan nasihat pada saya dan Najib.
“Jangan sekali-kali menambahkan hukum yang ada dengan hukum baru", sambung Agam lagi.
“Kalau ditambah bagaimana?”, tanya saya.
"Untuk apa menambah hukum dan ajaran yang sudah ada. Untuk apa?”, soal Agam. Matanya menatap wajah saya.
“Untuk mencari Allah, untuk mengenaliNya serta mendampingiNya”, sahut Najib dengan penuh keyakinan. Agam gelengkan kepala.
“Ramai manusia yang binasa dan sesat kerana mahu mencari Allah serta mahu mendampinginya”, Agam jegilkan biji mata ke arah saya dan Najib. Kemudian Agam dongakkan kepala renung ke arah awan yang berarak lembut.
“Kenapa kata macam tu. Perbuatan mereka baik”, ujar saya.
“Kerana mereka terlalu ghairah mahu mencari Allah mereka lupa pada diri mereka yang sebenar tanpa disedari mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama yang sebenar. Niat suci mereka menjadi sebaliknya”, Agam menarik nafas panjang. Telapak tangan saya yang digenggam segera dilepaskannya.
Agam sandarkan tubuhnya ke pangkal pokok yang berhampiran dengannya. Buat beberapa saat saya dan Najib saling berpandangan. Suara burung liar terus berkicau.
“Sesungguhnya, Allah sentiasa mendekati kita bila kita berpegang teguh pada ajaran Quran dan Hadis. Ikut segala hukum dan peraturan yang ditetapkan”, Agam melanjutkan kata-kata dengan penuh tenang dan keyakinan.
“Begitu”, keluh Najib.
“Apa yang diharapkan semoga kamu tidak akan tersesat dalam mencari kebenaran Allah. Selalulah bertanya pada alim-ulama dan orang yang pandai dalam hal agama bila menghadapi sesuatu masalah", lanjut Agam lagi.
“Kalau belajar dari buku dalam hal-hal selok-belok agama boleh tak?", Najib bertanya.
“Boleh. Sebaik-baiknya cari orang pandai untuk kita jadikan tempat rujukan. Jangan terlalu berharap pada buku semata-mata. Sebabnya, belajar hal agama mesti berguru dan guru itu rnestilah yang benar-benar arif. Jangan guru sebarang”, Agam mengingatkan saya dan Najib.
Agam berpusmg ke kanan. Maju dua tapak ke arah pokok besar. Dia berhenti di situ untuk beberapa saat. Agam berpaling ke arah saya dan Najib.
“Baliklah. Semoga Allah melindungi kamu berdua dalam perjalanan, soal Amjal Kamal sudah saya suruh orang-orang saya menguruskannya", kata Agam lagi sambil mengangkat tangan kanannya separas telinga kiri. Dia tetap mempamerkan senyum pada kami.
"Terima kasih atas nasihat", jerit saya.
"Sama-sama", sahut Agam. Dia ketawa kecil mempamerkan gigi putihnya yang rapi. Agam berpusing ke kiri lalu membongkokkan badannya macam mencari sesuatu di celah pepohon renek.
Saya dan Najib terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang. Kami segera menoleh ke arah tersebut. Tidak ada tubuh manusia yang wujud di situ. Saya dan Najib merenung ke arah Agam kembali. Aneh, Agam hilang dari pandangan kami. Dia hilang entah ke mana. Sukar untuk dikesan. Najib cuba melaung-laung namanya. Tidak ada jawapan yang diperolehi. Kicau burung kian rancak. Sayup-sayup terdengar suara orang membaca Quran dalam hutan yang tebal dengan pepohon besar. Saya dan Najib jadi ce-
as. Bulu tengkok terasa kembang.
"Tak boleh jadi kita ni", keluh saya.
"Kita mesti cabut, tak boleh lama-lama di sini", jawab Najib.
"Hum...", suara saya terkulum. Saya tersentak mendengar bunyi suara monyet menjerit macam dikejar sesuatu. Serentak dengan itu saya melihat sekawan gagak terbang rendah sambil berbunyi dengan nyaring.
"Mari", saya terus menarik tangan Najib.

100. Orang Tua Misteri

Kami pun terus berlari melanggar tunggul-tunggul buruk, melanggar akar yang menjalar di bumi. Matlamat kami mahu sampai segera ke tepi jalan raya yang jaraknya bukan dekat.
Dua tiga kali kami jatuh dan setiap kali jatuh kami segera bangun. Apa yang menakjubkan diri saya, setiap kali saya bangun dari jatuh, saya rasa seperti ada orang membantu saya. Selain dari itu, saya juga merasai seperti ada orang yang mengikut atau menemani perjalanan kami. Saya tanyakan perkara tersebut pada Najib. Dia juga merasakan seperti apa yang saya alami.
Akhirnya, kami sampai di tepi jalan raya Batu Hampar - Taiping. Seluruh tubuh kami dibasahi dengan pelih. Kami terpaksa berehat sebentar di bangsal tempat orang menanti bas. Bila rasa penat sudah hilang, perjalanan pulang ke rumah akan disambung kembali.
"Eh kamu tak mahu tengok orang pengsan tepi jalan?”, seorang lelaki yang berbasikal melintasi di depan bangsal tempat kami berhenti rehat.
"Di mana?", jerit Najib.
“Di depan sana,” jawab lelaki itu tanpa mahu berhenti. Siapa pula hamba Allah yang malang itu? Ini sudah pasti jadi korban kenderaan yang lari. Memang, pemandu yang tidak bertimbang rasa patut dihukum. Fikir saya dalam hati.
“Mari kita tengok Tamar.”
"Jom, siapa pula yang malang tu."
"Kita tengok dulu baru kita tahu siapa orangnya."
"Cakap kamu betul Najib."
"Ah, sudahlah. Marilah", Najib segera menarik tangan saya. Dan kaki saya pun melangkah menuju ke arah tempat yang dikatakan oleh lelaki yang berbasikal tadi.
SAMPAI
Dari jauh saya dan Najib nampak orang ramai berkerumun tidak jauh dari tiang telefon. Ada beberapa buah kenderaan yang berhenti tetapi bergerak kembali sesudah melihat apa yang berlaku. Kami sampai ke tempat orang ramai. Tanpa membuang masa kami terus bergabung dengan mereka.
Saya dan Najib terkejut. Kami segera berpandangan. Memang tidak kami duga orang ramai sedang mengerumuni Amjal Kamal yang terlentang atas rumput. Di tubuhnya tidak terdapat sebarang luka atau kecederaan. Anehnya Amjal Kamal tetap mengeluh dan mengadu sakit. Sepasang kelopak matanya berkeadaan separuh terbuka.
Amjal Kamal memberitahu orang ramai yang mengelilinginya, kulit tubuhnya terasa pedih seperti kena bahang api yang cukup kuat. Sesekali dia membengkokkan badannya.
"Siapa orangnya?", terdengar seseorang bertanya.
"Aku tak berapa kenal, tapi pernah melihat rupanya sekali dua masa di pekan", terdengar suara dari seseorang.
"Ah, ketua Udin Tarzan kepala judi dan penyamun. Biarkan dia di situ. Dia dah menerima balasan dari Allah kerana kejahatannya", jawab seseorang dari arah kanan saya.
Amjal Kamal meracau tidak tentu arah. Kata-kata yang dituturkan sukar difahami. Mungkin Amjal Kamal bertutur dalam bahasa Nepal, bisik batin saya. Dua tiga orang yang berada di situ turut ketawa, bila mereka melihat Amjal Kamal menggerakkan badannya atas rumput macam ular sambil mengunyah rerumput yang hijau.
“Jangan ketawakan dia, kita harus melakukan sesuatu,” seorang tua muncul dari arah belakang saya. Seluruh perhatian orang ramai tertumpu pada orang tua itu.
“Mengetawakan orang yang sedang sakit, bukan perbuatan orang yang beriman,” lanjut orang tua itu. Dia segera menerpa ke dada jalan raya lalu mengangkat tangan kanannya menahan kereta yang lalu. Sebuah kereta berhenti.
“Kenapa?”, tanya pemandu kereta.
“Tolong bawakan orang ini ke hospital.”
“Hospital Taiping?”, tanya pemandu kereta Ford Escort yang berwarna hitam. Orang tua itu anggukkan kepala. Pemandu kereta termenung sejenak. Dia agak keberatan untuk memenuhi permintaan orang tua tersebut. Amjal Kamal masih terkapar atas rumput.
“Bawalah dia ke hospital, kamu tak rugi menolongnya. Lagipun dia tak sakit kuat, kereta kamu tak kotor kerana tubuhnya tak berdarah, lepas kamu hantar ke hospital, kau tinggalkan saja dia di situ. Kerja semudah ini kamu keberatan menolongnya?”, soal orang tua itu.
“Sudahlah, jangan banyak cakap. Masukkan dia di belakang,” suara pemandu kereta bersuara lantang. Amjal Kamal pun segera diangkat ke dalam kereta.
“Ada sesiapa yang nak ikut ke Taiping?”, tanya pemandu kereta pada orang ramai yang berada di situ. Bila mata pemandu kereta tertumpu ke wajah saya, dia menghadiahkan senyum. Rasanya saya pernah melihat wajahnya tetapi di mana? Saya kurang pasti.
“Itu Wak Juno, patutlah bahasa Jawanya pekat,” kata Najib.
“Ya, aku ingat sekarang. Dia dari Kampung Talang, selalu datang ke tempat kita, menjaja tikar mengkuang, tudung saji dan bakul, lama juga aku nak mengingatinya, Najib.”
“Kamu lemah ingatan,” sindir Najib. Kami ketawa serentak. Orang ramai yang berada di situ merenung ke arah kami.
"Biar saya yang menemaninya", orang tua itu membuat keputusan. Tanpa membuang masa lagi, dia masuk ke perut kereta. Beberapa minit kemudian kereta yang dipandu oleh Wak Juno terus bergerak meninggalkan kami. Orang ramai segera bersurai.
Saya dan Najib kembali ke bangsal untuk menanti bas. Rasa cemas mula mengganggu perasaan saya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam tempurung kepala.
Bas yang dinanti pun tiba. Saya dan Najib segera naik. Kami memilih tempat duduk tidak jauh dari pemandu bas. Saya menoleh ke kanan. Saya terlihat orang tua yang menahan kereta Wak Juno berada di situ.
"Tadi pak cik ikut kereta Wak Juno?", tanya saya.
"Hum", kata orang tua itu sambil gelengkan kepala.
"Maafkan saya kerana tersalah orang", saya tersipu sipu malu.
"Tak mengapa, salah silap perkara biasa dalam kehidupan manusia. Awak dah jumpa Agam?", orang tua itu mengajukan pertanyaan. Matanya merenung ke arah pepokok di kiri kanan jalan. Saya dan Najib sering sahaja membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan bila bas menempuh selekoh yang tajam. Tetapi orang tua itu tetap tidak bergerak.
Satu persoalan timbul dalam hati saya. Bagaimana orang tua ini mengetahui pertemuan saya dengan Agam? Siapa dirinya yang sebenar?
"Pakcik ini siapa?, soal Najib. Bas terus meluncur. Penumpang bas tidak begitu ramai jumlahnya. Banyak bangku yang kosong.
"Aku ni datuk pada Agam."
"Berapa umur pakcik sekarang?"
"Seratus tujuh puluh tahun."
“Huh”, kata saya separuh menjerit. Semua mata yang berada dalam bas tertumpu ke arah saya. Mana ada manusia yang berusia selanjut itu. Kalau ada pun, pasti tidak mampu melangkah, apalagi bergerak ke sana ke mari.
“Mustahil”, kata Najib.
“Tidak ada yang mustahil, kalau Allah mengizinkannya,” ungkap orang tua itu tenang.
Saya terdiam. Bas terus meluncur dengan laju. Saya masih meragui kebenaran dari kata-kata yang diluahkan oleh lelaki tua itu. Ketika bas melalui selekoh yang agak tajam, orang tua itu bangun lalu menekan loceng bas.
“Aku dah sampai, ingat tentang kebesaran Allah, bila kita ingatkan kebesaran Allah, tidak ada sesuatu yang mustahil di dunia. Tidak ada manusia yang boleh mengukur kelebihan Allah, cubalah mengenali diri sendiri,” orang tua menujukan kata-kata itu pada saya. Memang terasa diri saya disindir. Pemandu bas cuma tersenyum sahaja.
“Di sini hutan tebal, mana ada kampung di sini", Najib bersuara lalu merenung ke arah hutan tebal di kiri kanan jalan raya. Keadaannya amat menyeramkan dengan pokok-pokok besar. Apa yang terdengar ialah bunyi suara reriang rimba dan suara ungka liar.
“Orang yang buta hati dan perasaan saja yang tak nampak kampung halaman makhluk lain. Orang yang hatinya suci dan hidupnya direstui Allah akan menemui makhluk lain selain dari manusia, selamat jalan.”
“Ha menyindir kami”, kata saya.
“Tidak, aku bercakap sesuatu yang benar,” orang tua itu menolak tuduhan saya. Dia pun melangkah turun dari perut bas. Bas pun bergerak. Dari jendela bas saya lihat orang tua itu masuk ke dalam hutan tebal seperti orang berjalan di atas jalan raya. Dia melambaikan tangan ke arah para penumpang yang berada dalam bas.
HAMPAR
Saya masih ingat, tempat orang tua itu turun tidak jauh dari pekan kecil Batu Hampar. (Khabarnya, disitu kini sudah dijadikan pintu jalan untuk masuk ke pusat Darul Arqam. Agaknya, di kawasan Darul Arqam itu suatu ketika dulu adalah kawasan perumahan orang tua misteri yang saya temui dalam bas satu ketika dulu).
“Dalam sebulan dua kali orang tua itu turun dan naik di sini,” jawab Mat Tupai dalam loghat Kedah.
“Dia pergi ke mana?”, desak Najib.
“Kadang-kadang dia turun dekat pekan Air Terjun, kadang-kadang dekat tempat yang disebut Bendung Siam. Tapi, tempat yang dia turun itu semuanya kawasan hutan.”
“Selain dari dia, ada orang lain yang naik?"
"Ada, orang perempuan, selalunya orang perempuan naik bas yang terakhir. Kadang-kadang...", Mat Tupai tidak meneruskan kata-katanya. dia terus memaut stereng bas dengan tenang dan aman.
"Kadang-kadang apa?", saya cuba mengunckil rahsia.
"Masa mereka naik, selalunya penumpang tak ramai. Paling tinggi dua orang. Bila dia ada dalam bas, satu bas jadi wangi. Mereka tak banyak cakap, mereka bayar duit tambang kemudian terdengar mereka berzikir."
"Ramai yang naik tu?"
"Kira-kira antara sepuluh hingga lima belas orang."
"Hum", kata saya lalu termenung panjang.
"Perkara macam ini, memang perkara biasa buat kami", kata Mat Tupai. Dia terus memandu bas, merempuh beberapa selekoh tajam. Mat Tupai senyum bangga.
Menjelang waktu senja baru saya sampai dirumah. Datuk sudah menanti di kepala tangga. Wajahnya nampak serius sekali.
"Kamu dari mana Tamar?"
"Dari...", saya berhenti bercakap.
"Dari hutan Air Terjun."
"Ha he...", saya tidak dapat memberikan jawapan segera. Rasa serba salah mula datang ke dalam diri. Memang pada awalnya saya mahu bercakap bohong dengan datuk. Tetapi bila sudah begini keadaannya, saya tidak berdaya untuk berbohong.
"Ya, saya ke sana tuk."
"Kamu berjudi?"
"Tidak, saya cuma nak tengok saja tuk."
"Apa yang kamu dapat?"
“Susah nak cakap tuk.”
“Lagi sekali kamu pergi ke situ, aku serahkan kamu kepada polis, biar kamu kena lokap,” suara datuk cukup garang. Dia meninggalkan saya sendirian di kepala tangga. Datuk menuju ke masjid.
Tanpa membuang masa saya naik kerumah. Saya segera mengambil kain basahan lantas menuju ke perigi. Kalau saya tidak mahu kemarahan datuk berlarutan, saya mesti menghadirkan diri di masjid, mesti sembahyang Maghrib bersama para jemaah yang lain-lain.
“Eh, mandi di telaga”, saya mula terdengar suara dalam keadaan hari yang beransur gelap. Saya toleh kiri, toleh ke kanan. Orang yang bersuara tidak juga saya temui. Saya persetankan tentang suara itu dan saya terus mandi.
“Kamu berkawan dengan dia”
Saya pasti itu suara Amjal Kamal. Dugaan saya tepat sekali, Amjal Kamal berdiri di depan saya sambil berpeluk tubuh.
“Eh, kenapa?”, tanya saya, serentak dengan itu batang tubuh Amjal Kamal terus hilang. Apa yang kedengaran ialah suara ketawanya yang memanjang dan nyaring.
Saya terasa tubuh dilempar dengan tanah liat keras yang datangnya dari setiap penjuru. Tanpa membuang masa saya terus lari naik ke rumah dengan rasa cemas yang amat sangat.
Nenek ketawa besar melihat telatah saya yang lucu. Apa yang dialami saya ceritakan pada nenek. Saya merasa hampa dan kecewa sekali. Nenek tidak dapat menerimanya dan menuduh saya lemah semangat. Nenek terus menggesa saya supaya segera pergi ke masjid. Saya tidak ada pilihan dan terus patuh pada perintahnya itu.
Saya bersyukur, bila sampai di masjid, kemarahan datuk terus reda. Dia masih mahu senyum dengan saya. Malah, selesai sahaja sembahyang Isyak, saya dan datuk pulang bersaing. Seperti selalu, bila jalan berdua-duaan dengan datuk, dia tidak pernah sunyi memberikan nasihat dan petua pada saya.
PERTEMUAN
Tiga hari kemudian, tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Wak Juno di depan dewan orang ramai. Dia berhenti di situ kerana mempamerkan barang-barang dagangannya seperti tikar, tudung saji, bakul, nyiru dan lain-lain. Ada sesuatu yang saya rasakan aneh pada Wak Juno.
Selalunya, dia lebih banyak bercakap tentang barang-barang yang dijualnya. Ada waktunya, dia bercerita pengalaman pahitnya menentang tentera Belanda di Jawa Tengah, terutama di daerah Solo tetapi, kali ini dia menceritakan pengalamannya membawa Amjal Kamal.
Menurutnya, setelah Amjal Kamal naik kereta dengan ditemani oleh orang tua, dia terus memandu keretanya dengan tenang. Sepanjang perjalanan orang tua tersebut terus memandang wajah Amjal Kamal tanpa berkata apa-apa. Cuma Amjal Kamal sahaja menjerit minta tolong dan ampun pada orang tua itu, seperti ada sesuatu yang dilakukan oleh orang tua itu ke tubuh Amjal Kamal, padahal anggota tubuh orang tua itu tidak bergerak.
Sesekali Amjal Kamal berjanji dan bersumpah tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu dan bersedia mahu bertaubat. Setiap kali Amjal Kamal menjerit dia pasti akan terkencing. Akibat terlalu kerap menjerit dan kencing, bau air kencing itu bercampur dengan bau najis.
Anehnya, Wak Juno tidak dapat menyatakan perkara yang tidak disenanginya itu pada orang tua tersebut. Setiap kali dia mahu bersuara, kerongkongnya seperti tersumbat. Macam ada sesuatu yang melekat di situ.
“Bila saya berhenti depan hospital, orang tua terus buka pintu dan keluar. Saya tengok dia bercakap sendiri seperti mengeluarkan perintah pada seseorang yang tiada di depannya”, Wak Juno bercerita sambil angkat tangan ke kanan dan ke kiri. Air liurnya mercik ke arah orang yang berada di depannya. Saya bertambah minat untuk mendengarnya lalu duduk bersila di tepi dewan orang ramai.
“Selesai saja dia bercakap, saya lihat dua orang pekerja hospital bawa pengusung lalu mengangkat orang yang sakit ke bilik pemeriksaan”, lanjut Wak Juno, wajahnya nampak resah. Dia renung kiri dan kanan. Bimbang kalau orang tua tersebut muncul cara mengejut. Dalam nada suara yang merendah, Wak Juno terus bersuara.
“Saya bersungut pada orang tua itu tentang keadaan kereta yang penuh dengan air kencing dan bau najis. Orang tua itu tersenyum lalu menumbuk pintu kereta belakang saya dua kali berturut-turut.
“Lepas tu apa yang jadi?” , tanya seorang perempuan tua yang boleh dipanggil mak cik.
“Bau air kencing dan najis hilang, kereta saya kembali bersih. Orang tua itu bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang. Saya tolak pemberiannya, orang tua itu mengucapkan ribuan terima kasih. Dia hilang depan mata saya sendiri,” sambung Wak Juno. Semua biji mata orang ramai yang berada di situ separuh terbeliak.
Ramai di antara mereka yang menggelengkan kepala. Di wajah mereka terbayang rasa takjub yang amat sangat. Wak Juno mengakui peristiwa yang terjadi di depan matanya itu membuat dia cemas dan badannya menjadi seram sejuk. Akhirnya, dia menggeletar. Wak Juno segera mencari pekerja hospital yang mengusung Amjal Kamal tadi.
Dengan diiringi pekerja hospital, Wak Juno dibawa ke wad Amjal Kamal ditempatkan. Pekerja hospital itu terkejut besar. Katil Amjal Kamal kosong.
“Ke mana dia pergi?”, pekerja bertanya pada orang berdekatan.
“Tadi ada orang tua datang, beri dia minum segelas air”, jawab orang yang ditanya.
“Lepas itu apa dah jadi?”, desak pekerja hospital.
“Saya tengok si sakit terus baik dan minta ampun pada orang tua. Orang tua tu tampar mukanya sekali. Dia bangun dan terus keluar dari wad ini.”
“Orang tua tu pergi ke mana?”, tanya Wak Juno.
“Dia hilang dengan sekelip mata saja.”
Pekerja hospital dan Wak Juno saling berpandangan. Tanpa mengucapkan sesuatu pekerja hospital meninggalkan Wak Juno sendirian di situ. Beberapa minit kemudian Wak Juno pun meninggalkan wad tersebut dengan seribu keanehan yang berserabut dalam tempurung kepalanya.
“Sejak kejadian tu saya selalu rasa takut, bawa kereta seorang diri pun rasa cemas. Saya rasa macam ada orang yang ikut,” begitulah Wak Juno membongkar pengalamannya pada para pelanggannya.
"Sekarang ni awak ingat orang tua tu ada tak dekat sini?”, satu pertanyaan nakal dari pelanggan Wak Juno. Bukan pertanyaan yang ikhlas.
Orang itu mempersendakan Wak Juno. Sebagai orang yang kaya dengan pengalaman dan karenah kehidupan manusia, Wak Juno hanya tersenyum sahaja.
“Bagi orang yang tak pernah mengalaminya tentu tak mahu percaya, terpulanglah,” Wak Juno merendah diri. Dia terus mengemaskan barang-barang dagangannya untuk dimuat ke dalam kereta.
MUNCUL
"Wak Juno”, jerit Udin Tarzan yang muncul secara tiba-tiba. Keadaan diri Udin Tarzan kali ini agak berbeza dari apa yang pernah saya lihat. Udin Tarzan bercakap agak sopan, tidak membanggakan diri. Dari wajahnya, saya lihat dia sedang menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat. Sentiasa resah dan cemas.
Kali ini Udin Tarzan memakai baju Melayu potongan Teluk Belanga warna merah jambu serta bersongkok lebai warna hijau. Sekali pandang, memang dia nampak macam orang alim atau orang baik-baik. Mungkin kerana jarang bertemu atau tidak pernah bertemu dengan orang yang menyebut namanya, membuat Wak Juno termenung sejenak seperti mengingati sesuatu.
“Ya, saya dah lupa, di mana kita pernah berjumpa? Apa khabar sekarang?”, Wak Juno hulurkan tangan pada Udin Tarzan. Tetapi Udin Tarzan seperti keberatan untuk menyambut huluran tangan dari Wak Juno. Akhirnya, Udin Tarzan terpaksa menyambutnya dengan perasaan separuh hati.
“Wak mungkin tak kenal dengan saya, tapi, saya kenal dengan Wak. Maklumlah Wak orang berdagang”, ujar Udin Tarzan. Wak Juno terus mengedutkan dahinya.
“Saya ingat. Awak pernah cekak leher baju saya, awak tekan mata pisau belati ke leher saya, kemudian awak ambil duit jualan tikar saya, kira-kira dua ratus ringgit,” suara Wak Juno tersekat-sekat.

101. Muncul Dan Hilang Sekelip Mata


Din Tarzan tunduk merenung bumi “ Awak rompak saya dekat Changkat Jering.” Tambah Wak Juno.

“Ya,” tidak diduga Din Tarzan yang gagah dan bongkak membuat pengakuan secara terbuka.

“Kau nak duit lagi, nanti saya beri, jangan kacau saya nak cari rezeki cara halal, berapa banyak yang awak mahu?” Muka Wak Juno pucat.

“Saya tak mahu semuanya tu, saya nak minta maaf pada awak tentang perangai saya yang lalu.”

“Saya sudak maafkan, saya halalkan wang yang awak rompak dari saya tu.”

“Ha...”, Din Tarzan terkejut lalu memeluk tubuh Wak Juno. Kemudian Din Tarzan menangis, meraung dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menarik perhatian orang ramai. Kejadian yang menyayat perasaan itu berlaku sekitar lima minit. Orang ramai terpegun dan tidak berkata apa-apa.

“Lupakan perkara yang lalu, bila kamu datang jumpa aku minta maaf, ertinya kamu berusaha untuk membetulkan kesilapan kamu lalu, perbuatan kamu ini semua digerakkan oleh Allah, ini menandakan Allah masih sayangkan kamu,” Wak Juno cuba menenangkan perasaan Din Tarzan.

Pertama Kali, saya dengar Din Tarzan mengucap dua kalimah syahdat dan menyebut nama Allah berkali-kali.

“Saya sekarang mahu jumpa semua orang yang saya aniaya, saya nak minta maaf.” jelas Din Tarzan.

Din Tarzan juga memberitahu pada orang ramai yang berada di situ bahawa sejak akhir-akhir ini, bila sampai waktu sembahyang, dia sering dikunjungi oleh seorang lelaki tua yang mendesak dirinya supaya menunaikan sembahyang dengan segera. Kalau dia berlengah-lengah, orang tua itu akan memukul tubuhnya dengan rotan.

“Pukul satu, pukul tiga pagi dia mengejutkan saya dari tidur, suruh saya bertaubah, dia suruh saya minta ampun pada orang-orang yang saya aniaya,” kata Din Tarzan sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

“Kau kenal orangnya?” Tanya saya.

“Tak kenal.”

“Tak apalah, apa yang penting orang itu mengajar kamu supaya menjadi manusia yang baik,” Wak Juno bersuara lembut. Din Tarzan tunduk merenung tanah.

“Orang yang Wak bawa ke hospital dulu, sudah mati.” Din Tarzan membuka rahsia. Saya dan Wak Juno terkejut besar.

“Mana kamu tahu?” Soal saya.

“Orang tua itu beritahu saya, katanya dia membawa Amjal Kamal ke masjid untuk sembahyang. Amjal tak mahu malah dia lari ke arah Bukit Larut, masuk dalam hutan di situ terus berlari-lari di celah-celah batu, akhirnya jatuh ke dalam gaung.” lanjut Din Tarzan. Saya menarik nafas panjang.

Din Tarzan minta maaf untuk kali yang kedua pada Wak Juno. Dia tetap melahirkan hasratnya untuk mencari orang-orang yang pernah dianiayanya untuk memohon maaf. Din Tarzan bersedia menerima sebarang risiko. Rela dituduh atau dimaki hamun.

Saya membatalkan niat saya untuk menemui Najib. Wak Juno saya tinggalkan dan terus kembali ke rumah. Fikiran saya masih berlegar-legar tentang apa yang diceritakan oleh Wak Juno dan Din Tarzan. Saya masih tertanya-tanya apakah orang tua yang ditemui oleh Wak Juno dan Din Tarzan adalah orang tua yang sama. Mungkin orang tua yang mereka temui itu juga orang tua yang saya jumpai. Semuanya berlegar-legar dalam kepala saya.

MENUNG

Saya terus termenung di pangkal pokok manggis. Jaraknya dari rumah kira-kira tiga rantai sahaja. Tempurung kepala masih digayuti persoalan tentang orang tua yang dikisahkan oleh Wak Juno sebentar tadi.

Timbul pertanyaan dalam diri, kenapa kejadian yang tidak masuk di akal, harus terjadi pada saya? Dalam usaha mencari jawapan pertanyaan tersebut, tanpa diduga Agam muncul di depan saya. Dari arah mana dia muncul, sukar untuk dipastikan. Agam hulurkan tangan. Segara saya sambut.

“Aku sekadar nak menumpang lalu saya di sini Tamar. Aku gembira kau sihat.”

“Abang ini dari mana?” Aku segera memanggilnya abang, tanda hormat pada orang yang lebih tua, “singgah dulu, jumpa datuk dan nenek saya.”

“Tak payahlah, sampaikan salam aku pada datuk kau, sebut nama aku dia mesti tahu.”

“Betul tak mahu naik?” Agam melepaskan telapak tangan saya yang digenggamnya.

“Betul Tamar, aku tak menentang niat.”

“Niat aku Cuma nak menumpang lalu, bila aku selesai melihat saudaraku yang sakit di hujung kampung,” jelas Agam sambil jari telunjuknya menunding ke arah hutan kecil di pinggir kampung yang tak pernah dikunjungi oleh sesiapa pun.

Orang-orang kampung mendakwa kawasan hutan kecil itu dijagai oleh orang Bunian. Sesiapa yang masuk ke situ pasti sesat sampai berminggu-minggu dan pulang dalam keadaan bodoh.
“Sekejap pun tak boleh?”, desak saya.

“Saya tak boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah terniat dalam hati.”

“Begitu.”

“Memang begitu aturan hidup saya,” Agam hulurkan tangan untuk bersalam.

Tiba-tiba darah tersirap, dua tiga kali saya gerakkan kelopak mata. Macam mana tidak terkejut, telapak tangan Agam yang digenggam erat ghaib secara tiba-tiba. Sekujur tubuhnya turut sama hilang. Dahi segera saya tepuk dua tiga kali sambil menarik nafas dalam-dalam.

Gegendang telinga menangkap bunyi telapak kaki orang melangkah di sebelah kanan. Saya toleh ke kanan, apa yang saya lihat ialah dedaun pokok yang bergerak seperti baru dirempuh atau disentuh sesuatu. Ah, tak mengapalah, kenapa perkara sekecil ini harus difikirkan setengah mati, fikir saya. Saya terus duduk di pangkal manggis kembali.

Seronok juga melihat beberapa ekor burung murai melompat direranting. Sesekali dedaun manggis bergoyang-goyang akibat dilompati tupai jantan yang mengejar tupai betina. Bayu yang bertiup membuat kelopak mata terasa berat. Rasa mengantuk mula datang. Dua tiga kali saya tersenguk-senguk dan hampir terlelap.

Antara sedar dengan tidak, saya bagaikan terpandang-pandang batang tubuh orang tua yang diperkatakan oleh Wak Juno. Rasanya, orang tua itu bagaikan berdiri di depan saya. Anehnya, bila saya buka kelopak mata lebar-lebar, bebayang orang tua itu hilang. Perkara itu berlaku berulangkali, akhirnya saya merasa terkhayal. Perasaan saya seperti mengembara ke satu tempat yang amat jauh, merempuh padang, merempuh paya dan hutan belukar. Dalam khayalan yang tidak bertepi itu, saya berhenti di tebing sungai yang airnya mengalir jernih.

“Kau pernah tengok aku?”

Saya segera dongakkan kepala menatap orang tua yang berdiri di depan. Dia senyum sambil menggaru-garu pelipis sebelas kanannya.

“Pernah.” jawab saya.

“Dalam bas. Kemudian kau terkejut melihat aku turun di kawasan hutan tebal.” lanjut orang tua itu.

“Ya.” Saya anggukkan kepala.

“Kemudian kau terus-menerus memikirkan tentang diri aku, bukan begitu hai orang muda?” tanyanya dengan wajah selamba sambil tersenyum.

“Betul.”

“Sekarang sudah berdepan dengan aku. Apa kau masih memikirkan tentang diri aku lagi.?”
Saya terdiam. Susah untuk memberikan sebuah jawapan. Sesungguhnya, orang tua itu tidak jauh bezanya dengan orang-orang tua yang terdapat di kampung saya. Cuma yang peliknya, orang tua di depan saya ini boleh muncul dan hilang dengan tiba-tiba.

“Orang-orang yang bijak tidak mempersoalkan kebesaran Allah tetapi mereka mengkaguminya, kerana apa yang dikehendaki oleh Allah itulah yang berlaku. Mana yang tidak dikehendaki oleh Allah pasti tidak akan berlaku,” orang tua itu memberi ceramah pendek, secara tidak langsung mematahkan hasrah saya untuk menyoal dirinya.

“Kau kenal Agam?”, tanyanya.

“Ya,” cepat-cepat saya anggukkan kepala.

“Dunia aku, kampung halaman aku, asal-usulku serupa dengan Agam, sesungguhnya makhluk kamu dan makhluk aku dijadikan oleh Allah untuk menyembah-Nya,” lanjut orang tua itu lagi. Saya tetap setuu dengan kata-katanya itu. Saya bersedia mendengarnya kalau dia mahu melanjutkan percakapan.

MUKA

Perlahan-lahan orang tua itu memalingkan mukanya ke kanan. Dia melihat air yang mengalir dan dedaun yang bergerak disentuh angin. Dia merenung ke arah saya kembali.

“Terlalu banyak yang Allah berikan pada makhluk tetapi terlalu sedikit pula yang makhluk berikan kepada Allah, kau tidak pernah mengucapkan syukur atau berterima kasih pada Allah yang menjadikan angin dan air sungai ,” lanjutnya. Saya menggigit bibir. Saya akui apa yang dikatakannya itu.

“Barangkali, kau tidak berapa senang dengan apa yang aku katakan. Tak apalah, cukup setakat ini saja. Kau pun sudah tahu siapa aku yang sebenarnya. Jangan peningkan kepala kamu memikirkan tentang diri aku,” orang tua itu terus menepuk bahu saya tiga kali berturut-turut. Dia ketawa kecil sambil jari kelengkengnya menggaru hujung pelipis sebelah kiri.

“Apa lagi yang mahu kau tanya padaku?” soalnya, saya terus menelan air liur, sambil terus berfikir tentang pertanyaan yang akan saya ajukan padanya.

“Kata Din Tarzan, Amjal Kamal dah mati, betulkah cakapnya itu.” Saya kira itu pertanyaan yang paling baik untuknya. Orang tua itu termenung sejenak.

“Ya, dia sudah mati,” katanya dengan nada suara yang merendah. Matanya merenung sayu ke arah pepohon dan air sungai yang mengalir, “Dia mati kerana menyangkakan ilmu dunia yang dituntut itu dapat melawan kekuasaan Allah,” tambahnya dengan tenang.

“Dia melawan awak?”

“Berbudi bahasa sedikit, hormatilah orang tua kerana kamu juga akan tua, bila kamu tak mahu menghormati orang tua, jangan marah bila kamu sudah tua nanti orang muda tidak mahu menghormati kamu.”

“Maafkan saya.”

“Aku lebih tua dari datuk kamu.”

“Maafkan saya tuk aku,” saya segera menundukkan kepala setelah menyedari kesilapan yang telah saya lakukan. Saya jadi malu pada diri sendiri.

“Dia lari bila aku ajak ke masjid, paling menyakitkan hati bila mengejek-ejek dan mengetawakan aku, bila aku ajak dia sembahyang,” wajah orang tua itu dibalut rasa kesal yang amat sangat.

“Ke mana dia lari?”

“Lari ke arah Bukit Larut, dia tak peduli dengan orang mengejarnya. Sesiapa yang cuba menangkap, semuanya kena tendang.”

“Apa yang dibuatnya ke situ?”

“Dia panjat batu besar lalu berdiri di situ, sepasang tangannya diluruskan ke arah matahari, macam orang menyembah sesuatu. Entah macam mana badannya terlayah jatuh dalam gaung.”

“Kesian,” saya gelengkan kepala.

Orang tua itu meraba pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya tetap merenung awan yang berarak lemah di dada langit. Dalam diam-diam saya gambarkan wajah Amjal Kamal dalam kepala. Orang tua itu terus meraba-raba kulit pipi sebelah kanannya.

“Dari tempat tinggi aku lihat tubuhnya terkapar di bumi, tidak bergerak-gerak. Aku segera mendekatinya tetapi....” orang tua itu mengerutkan dahinya.

“Apa yang jadi padanya?” Tergesa-gesa saya menyoal.

“Tubuhnya hilang, apa yang aku lihat ialah kesan darah. Aku yakin dia akan menuntut bela terutama pada orang yang pernah melihat dia berlawan dengan Agam.”

“Ha,” kata saya dengan cemas, “Betul dia mahu menuntut bela?”

“Barangkali begitulah, mengikut andaian aku. Dia akan menuntut bela dalam bentuk lain, kamu harus hati-hati,” lanjut orang tua itu. Saya tergamam. Macam-macam perkara buruk datang bertandang dalam tempurung kepala saya.

“Jangan susah hati,” bahu kanan saya ditepuknya dua kali berturut-turut, “aku nak balik dulu,” sambung orang tua itu. Kali ini suaranya terdengar sayup-sayup. Bahu kanan saya yang ditepuknya terasa amat sakit. Orang tua yang tadi nampak cukup jelas terus bertukar menjadi samar-samar dan berbalam. Akhirnya terus hilang.

“Asthaghafilrullah,” kata saya sambil menepuk dahi. Cepat-cepat saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Saya yakin, bahawa saya tidak lagi berada dalam dunia khayalan. Saya dongakkan kepala, merenung reranting dan dedaun manggis.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya puas hati. Apa yang selama ini menjadi tanda-tanda sudah pun terjawab. Apa yang saya ketahui dan saya alai harus diberitahu pada Najib. Kemudian meminta dia merahsiakannya daripada orang ramai. Pada datuk dan nenek juga perkara ini mesti dirahsiakan, saya membuat keputusan tersendiri.

BANGUN

Sebelum beredar dari bawah pohon manggis, saya terpaksa menggeliat dua tiga kali untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh di sendi pinggang dan di pelipat kaki. Saya memutuskan untuk pulang ke rumah, kalau saya rajin boleh ikut nenek ke ladang.

“Eh Tamar, bagaikan nak mampus aku mencari kamu, rupanya kamu bersenang-senang di sini,” teriak Najb dalam jarak tiga rantai dari saya. Mata saya, tertumpu ke arah seorang anak muda yang memakai baju putih dan berseluar hitam, berdiri di samping Najib.

Setelah puas mengamat-amatinya, saya yakin anak muda itu tidak saya kenali. Dia orang baru, mungkin keluarga Najib atau kenalan rapatnya, fikir saya dalam hati. Najib dan anak muda itu terus melangkah mendekati saya. Dan saya menanti dengan penuh sabar. Dari jauh anak muda yang mengekorinya memberikan senyumah keramahan dan persahabatan untuk saya.

“Ramli Ahmad dari Kota Sarung Semut, Kedah,” Najib memperkenalkannya pada saya. Segera saya hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan kami bergoncang.

“Saya Tamar, saya gembira berkenalan dengan awak, saya harap awak gembira di sini.” kata saya berbudi bahasa.

“Ya, saya juga megah dan gembira kerana berjumpa dengan awak. Najib dah banyak ceritakan tentang diri awak pada saya,” kata-kata Ramli itu amat mengejutkan saya.
Wajah Najib segerea saya renungi. Dia senyum lalu menganggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diungkapkan oleh Ramli. Hati saya berdebar, mungkin Najib sudah menceritakan sesuatu yang tidak wajar diceritakan pada Ramli. Saya memisahkan diri dengan Ramli lalu mendekati Najib.

“Apa yang kau cakapkan dengannya Jib?”

“Tak ada apa-apa, Cuma aku ceritakan tentang keberaniaanmun, Tamar.”

“Aku tak percaya.”

“Sumpah, aku tak tipu kamu,” jelas Najib tetapi rasa ragu-ragu terus menyelubungi diri saya.

“Kau ceritakan apa yang kita alami dalam hutan dulu?” Aku mula membuat tuduhan melulu.

“Kau gila, aku tak sebodoh itu. Aku bukannya budak-budak tau!” Herdik Najib. Mukanya mula merah padam. Bila sudah sampai tahap tersebut, saya tidak berani melemparkan sebarang tuduhan lagi pada diri Najib. Kalau diteruskan, boleh menimbulkan kemarahannya. Saya terus membisu dan membuat kesimpulan Najib memang bercakap benar dengan saya.

Ramli terus mendekati kami.

“Ke mana lagi kita nak pergi?” Ramli mengajukan pertanyaan pada Najib. Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya harus mengambil kesempatan ini untuk menenangkan perasaan Najib.

“Bagaimana kalau kita melihat jerat pelanduk,” kata saya.

“Boleh juga,” sahut Ramli lalu merenung muka Najib sepupunya. Najib tersenyum lalu merenung ke arah saya. Dia gelengkan kepala.

“Kenapa Najib?” Saya menyoal.

“Tak ada apa-apa tetapi aku keberatan untuk pergi ke dalam hutan lagi, susah aku nak cakapkan pada kamu, Tamar. Tapi aku harap kamu faham kenapa aku tak mahu pergi,” satu penjelasan dari Najib yang jawapannya sudah ada dalam tempurung kepala saya. Dan saya tidak pula mendesak. Perkara itu mati di situ sahaja.

Demi kebaikan dalam persahabatan, saya penuhi permintaan Najb yang mengajak saya minum kopi di warung Pak Mah Noh. Sesungguhnya, minum di warung sama ada minum kopi atau minum minuman dalam botol, bukanlah kegemaran saya. Pesan datuk, sebaik-baiknya saya mengelakkan diri dari minum di warung, kecuali kalau sudah terdesak.

Di warung Pak Mat Noh, Najib minum kopi, Ramli minum teh dan saya minum air sejuk yang sudak dimasak. Najib memberitahu, sepupunya masih menuntut di salah sebuah sekolah Inggeris di negerinya. Musim cuti dia suka menghabiskan masanya dengan mengembara dalam hutan serta memanjat gunung lalu berkhemah di situ bersama kawan-kawan yang sehaluan dengannya.

“Cuti kali ni, orang tua saya tak benarkan saya pergi masuk hutan atau daki gunung.” Ramli membuka rahsia dirinya.

“Jadi kerana itu kau datang ke mari,” celah saya.

“Ya, memang tepat,” jawabnya ringkas lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Kemesraan dalam keramahan segera terjalin dengan eratnya antara saya dengan Ramli. Banyak pengalaman menarik yang dialaminya ketika mendaki gunung diceritakan pada saya.
Lepas minum di warung Pak Mat Noh, saya dan Najib membawa Ramli ke gelanggang orang belajar silat. Kemudian membawa dia ke rumah Pak Din yang handal membuat wau dan gasing. Akhirnya, kami berkubang di sungai. Bila sudah kecut kulit badan baru berhenti mandi.

Kata Ramli, pengalaman yang diperolehinya bersama saya dan Najib amat menyeronokkan. Saya terpisah dengan Najib dan Ramli. Kami berjanji untuk bertemu pada petang besoknya dengan beberapa rancangan yang menarik.

PULANG

Seminggu Ramli di kampung, saya rasa cukup seronok dan bahagia sekali. Ramli yang tidak dapat memisahkan dirinya dari bercakap dalam loghat Kedah itu, ternyata manusia yang kaya denga humour. Kadang-kadang dia membuat saya ketawa hingga tidak kering gusi.
Tidak hairanlah, ketika dia mahu berangkat ke Kota Sarang Semut, saya dan Najib seperti keberatan mahu melepaskannya.

“Sebenarnya, aku nak balik minggu depan tapi, orang tua aku dah datang ambil, aku tak boleh buat apa-apa,” katanya pada saya dari tingkap kereta Austin Eight, berwarna hitam milik ayahnya.

“Cuti yang akan datang, dia tak boleh ke mana-mana. Dia mesti menumpukan masa pada pelajaran,” tanpa diduga ayah Ramli yang jadi guru sekolah Melayu di tempatnya memberikan keputusan muktamad. Saya dan Najib berpandangan. Kereta Austin Eight yang membawa Ramli pun bergerak meninggalkan kami.

Beberapa tahun kemudian, saya mendapat tahu Ramli telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman Barat, kemudian bekerja di Singapura, di Kedah iaitu di Sungai Petani. Akhir sekali dia berkhidmat dengan MARA di Kuala Lumpur.

Beberapa jam selepas Ramli pulang, saya meninggalkan rumah Najib tetapi hasrat kami untuk pergi ke Alor Setar tetap tidak pudar. Bila sampai ketika dan saat yang baik semuanya akan dilaksanakan.

Kerana hari sudah hampir gelap, saya mengambil jalan dekat untuk pulang ke rumah. Bila saya memilih jalan dekat, ertinya saya terpaksa melalui kawasan getah yang amat luas dan sunyi. Cuma ada sebuah sahaja rumah dalam ladang getah tersebut. Rumah itu sudah lama tidak didiami tetapi, masih ditunggui oleh beberapa ekor anjing.

Pemilik rumah sebuah di tengah ladang itu seorang lelaki India yang berusia sekitar empat puluhan. Dia ditugaskan oleh pemilik ladang tersebut mengawasi pokok getahnya dari ditoreh secara curi pada sebelah petang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kira-kira tiga bulan yang lalu, lelaki India itu telah mengamuk, memburu dua orang anak lelakinya yang berusia sekitar 16-17 tahun dari pangkal ladang hingga ke hujung ladang dengan pisau sabit. Dia jadi demikian, kerana kecewa dengan sikap isterinya yang lari dari rumah mengikut lelaki lain.


102. Rahsia Sebuah Rumah Tinggal



Sejak kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah. Lelaki India itu merasa amat kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya. Akhirnya, lelaki India itu mengambil keputusan gantung diri dalam rumah hingga mati. Mulai dari tarikh itu, rumah yang sebuah itu terus kosong. Hanya anjing peliharaannya sahaja yang masih setia menunggu rumah.

Biasanya, kalau saya yang lalu di situ anjing peliharaan tidak menyalak atau mengejar saya. Mungkin anjing itu sudah biasa dengan bau badan saya.

Berdebar juga ketika melintas rumah kosong, maklumlah hari sudah samar-samar. matahari sudah berada di kaki langit. Pepohon getah yang rapat dan berdaun lebat membuat cuaca di jalan tanah merah yang saya lalui bertambah suram. Kalau saya ikut jalan raya (jalan jauh) saya tidak menghadapi masalah sesulit ini.

Angin yang bertiup terus menggerakkan dedaun dan reranting getah. Dedaun getah yang tua gugur ke bumi. Beberapa kali langkah saya terhenti, diganggu oleh monyet liar yang melompat di dahan getah. Saya kian mendekati rumah usang dan cara mendadak darah saya tersirap. Suara salakan anjing bertalu-talu membuat tubuh saya gementar.

Buah getah dan reranting getah berguguran, macam ada kuasa yang mengugurkan. Monyet-monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan macam dikejar sesuatu. Dedaun getah yang bergerak macam disentuh ribut mengeluarkan bunyi yang amat menggerunkan.

Dari celah-celah daun yang lebat itu, saya melihat ke dada langit. Awan nampak bersih, cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi. Saya cuba berlari tetapi, tidak terdaya saya lakukan. Sepasang lutut saya terasa cukup lemah.

Saya cuba bertenang dan cuba menguasai perasaan gementar supaya tidak bertambah kuat. Usaha saya itu berhasil, saya berjaya mengawal perasaan cemas dan takut. Akal fikiran saya mula terbuka, bersedia untuk bertindak untuk menghadapi sesuatu. Memang betul, cakap datuk yang pernah menasihatkan saya supaya bersikap tenang, gunakan fikiran, jangan panik bila berdepan dengan suasana yang mencemaskan.

SALAKAN

Suara salakan anjing terus menguasai kawasan ladang. Saya sudah bersedia untuk melawan anjing-anjing tersebut, sekiranya saya diserang. Saya segera mengambil sepotong dahan getah yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Kayu itu tetap saya jadikan senjata untuk mempertahankan batang tubuh saya dari digigit oleh gigi anjing yang tajam itu. Lama saya menunggu, anjing-anjing yang dijangka menyerang saya itu tidak datang.

"Kenapa? Mesti ada sesuatu," bentak batin saya.

Seluruh pandangan saya tujukan ke arah pondok usang. Saya lihat dua ekor anjing menyalak ke arah tumah usang. Dua tiga ekor lagi megelilingi rumah tersebut. Biasanya, bila anjing menyalak mesti ada sesuatu. Anjing tidak akan menyalak tanpa sebab. Siapakah yang berada di dalam rumah usang waktu senja begini? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Rasa cemas kembali menguasai hati, bila saya terdengar bunyi suara gagak atas bumbung rumah tersebut. Serentak dengan itu saya terihat pintu rumah usang yang tertutup rapat, terbuka perlahan-lahan. Saya juga melihat cahaya lampu minyak tanah. Ada bebayang manusia bergerak dalam rumah. Saya terhidu bau tembakau rokok.

Bila saya ama-amati ternyata bau tersebut datang dari arah rumah usang. Dua kali saya terdengar suara orang batuk dan dituruti dengan suara orang bercakap. Saya pasti yang bercakap itu seorang lelaki Melayu dan seorang lagi lelaki India. Mereka bercakap tentang masalah kewangan.

Beberapa ekor anjing meluru ke arah saya. Kayu di tangan saya pegang erat-erat dan bersedia untuk dihayunkan ke arah anjing-anjing tersebut. apa yang mengejutkan, bila anjing-anjing itu berada dalam jarak yang dekat dengan saya, terus berhenti menyalak, seolah-olah memperlihatkan sikap persahabatan. Semua anjing-anjing itu menggoyang-goyangkan ekor sambil mengelilingi saya.

Salah seekor dari anjing tersebut yang berwarna kuning, berbadan besar dan tegap, berlari berulangkali ke arah rumah usang sambil berbuny. Kemudian datang kearah saya. Tiga kali saya biarkan anjjing itu berbuat demikian, hingga timbul dalam hati saya yang anjing tersebut mahu menyatakan sesuatu tentang apa yang ada di dalam rumah usang.

Saya nekad untuk pergi ke rumah usang. Hati saya tiba-tiba sahaja jadi berani, beberapa ekor anjing yang mengelilingi saya terus meluru ke depan, seolah-olah menjadi kepala jalan yang sekaligus melindungi saya.

Langkah kian teratur menuju ke pintu rumah. Sebaik sahaja saya berdiri di depan pintu, secara mendadak pintu rumah terbuak perlahan sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring akibat engselnya sudah berkarat kerana sudah lama tidak digunakan.

Sarang labah-labah dan sawang yang bergantungan di muka pintu bergerak-gerak lembut dan akhirnya pecah akibat diterpa angin. Saya terpaku di muak pintu, tidak tahu, apa yang harus saya lakukan.

Cahaya lampu minyak tanah terus menerangi ruang depan rumah. Anjing-anjing yang mengiringi saya segera duduk di tanah sambil merendah-rendahkan muncungnya macam mahu menyondol tanah. Anjing-anjing itu tidak menyalak lagi tetapi, bersuara mendayu-dayu.

Beberapa minit kemudian semua anjing-anjing itu melengking dengan suara yang tinggi dan melompat lalu lari ke arah kawasan pinggir ladang getah. Saya yakin, semua anjing-anjing itu dipukul. tekaan saya tidak salah, bila melihat beberapa ekor badan anjing itu berdarah dan berlari terjingkit-jingkit. Siapa yang memukulnya?

"Siapa di dalam?" Jerit saya.

"Aku, kenapa? Apa yang kau mahu?"

"Ha....."saya gagal meneruskan kata-kata kerana terkejut menerima jawapan yang diluar jangkaan saya. Suara orang ketawa memanjang dalam rumah usang jelas kedengaran.

Keadaan cuaca terus beransur gelap dan saya berazam untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya maju setapak, berdiri tidak jauh dari ambang pintu. Bila saya sudah melangkah setapak ke depan, ertinya saya sanggup menerima sebarang risiko. Saya jenguk ke dalam rumah. Lampu minyak tanah terlekap di dinding. Sesekali terdengar suara orang berbisik.

"Ya Allah...", saya separuh menjerit. Ranjan (pemilik rumah usang) berdiri di depan saya. Bagaimana orang yang sudah mati boleh hidup semula? Tanya hati kecil saya. Walaupun demikian tubuh Ranjan yang terpacak di depan terus saya renungi. Saya lihat di batang lehernya terdapat kesan luka akibat dijerut dengan tali belati.

Saya tidak mengizinkan sepasang mata saya merenung lehernya lama-lama. Suara raungan anjing-anjing terdengar sayup-sayup di hujung ladang getah. Entah mengapa saya jadi berani secara tiba-tiba sahaja. Bagaikan ada sesuatu kekuatan yang tersendiri datang dalam diri saya. Ranjan terus merenung saya sambil membuka mulutnya perlahan-lahan.

Bila mulutnya sudah ternganga lebar. Saya lihat lidah pucatnya bergerak-gerak dalam rongga mulut. Lidah itu kelihatan membesar dan menjulur sedikit demi sedikit hingga sampai ke paras dada. Lidah tersebut kelihatan terbuai-buai ke kiri ke kanan, macam daun pisang dara dirempuh angin.

Serentak dengan itu terdengar suara orang bersorak dengan gamat yang datangnya dari arah kiri dan kanan rumah. Suara tanpa manusia itu mendebarkan hati. Bunyi dengung lalt, langau bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga. Saya segera menekup telinga dengan sepasang telapak tangan.

Ranjan mengangkat kedua belah tangannya lalu menghalakan ke arah batang leher saya. Sampai di sini keberanian tidak dapat saya pertahankan, semuanya hancur berderai. Badan saya berpeluh dan menggigil. Segera saya pusingkan tubuh ke kanan sambil merendahkan badan. Tanpa membuang masa, saya terus melompat dalam jarak dua kaki sebelum berdiri untuk membuka langkah lari seribu langkah.

SUARA

Saya terus berlari, suara cengkerik, suara katak dan bunyi burung tukang, bagaikan mempersenda-sendakan langkah saya. Hati terus dibalut rasa cemas dan takut.

"Hai, nanti dulu Tamar,"

Saay segera toleh ke kanan, ke arah suara itu datang. Kali ini langkah saya benar-benar kaku. Amjal Kamal berdiri senang di bawah pohon cempedak. Sepasang matanya yang hampir tersembul merenung ke arah saya.

Kulit dahinya terkoyak hingga menampakkan kedua belah tulang keningnya. Darah merah segar mengalir di kedua belah pipinya. Daging pipi sebelah kirinya terkeluar, bergantuingan macam daging lembu yang digantung di pasar untuk dijual.

Tulang dagunya terkopak macam dihentak atau terhempas pada benda yang keras. telinga kirnya terkoyak dan bibir bawahnya pecah. Hidungnya tiada dan kulit di batang lehernya terkopak, urat dan tulang leher jelas kelihatan, buah halkumnya bergerak lemah bercampur dengan darah.

Baju yang dipakainya semuanya koyak rabak, begitu juga dengan seluarnya. Saya tidak tahu apa yang wajar saya lakukan? Apakah saya perlu memberikan pertolongan padanya? Jangan cari penyakit, cara yang paling baik dan selamat tinggalkan dia sendirian di situ.

Sebelum saya memulakan langkah, lagi sekali wajah Amjal Kamal yang aneh itu saya tatap. Sepasang matanya yang tersembul tetap merenung sayu ke arah saya. Seolah-olah minta pertolongan dan simpati. Renungannya begitu sayu dan bersahaja sekali. Dia menangis, kata saya bila melihat air matanya mengalir atas daging pipinya lalu bersatu dengan dengan darah. Saya jadi simpati. Rasanya, tidak sampai membiarkan dia sendirian.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Rasa simpati yang datang dalam hati, membunuh rasa takut dan cemas dalam diri saya. Setiap kali melihatkelopak matanya yang tersembul berkelip, rasa mahu menolongnya kian menjadi-jadi dalam hati.

"Kenapa kamu jadi macam ini?" Tanya saya.

Tidak ada jawapan yang saya terima, cuma renungannya kian redup, kian sayu, minta dikasihani.

"Kenapa kamu lari, waktu orang ajak kamu pergi ke masjid?" Soal saya. Macam tadi juga, jawapannya tidak saya perolehi. Matanya tetap merauti seluruh wajah saya. Bila saya terlalu lama merenunginya begitu tanpa berkedip, mebuat hati saya jadi cemas kembali.

Saya terpaksa menggunakan senjata terakhir, iaitu membuka langkah untuk pulang ke rumah. Suara lolongan anjing sudah lama berhenti tetapi, sura cengkerik, katak dan burung hantu tetap menyanyi tanpa irama yang tertentu. Sambil berlari, saya terus menoleh ke belakang, saya lihat Amjal Kamal yang sudah berubah bentuk itu tetap berada dekat saya. Dia seolah-olah mengapai-gapaikan tangannya untuk berpaut pada baju saya.

Ketika itu juga saya teringat cakap orang tua ganjil bahawa Amjal Kamal yang mati akan kembali dalam bentuk dan cara lain untuk menjahanamkan siapa sahaja yang pernah menghalang cita-citanya. Malangnya, orang tua itu tidak memberitahu saya bagaimana cara-cara untuk menghancurkan penjelmaan kembali Amjal Kamal itu.

"Tamar, ke mana kamu nak pergi?"

Saya pasti itu suara datuk. Tetapi saya tidak mampu memperlahankan langkah kaki yang sedang berlari. Terasa sekujur tubuh Amjal Kamal dengan wajah yang mengerikan tetap mengekori saya.

Datang lagi suara datuk. Saya segera menoleh ke kiri tanpa disangka tubuh terlanggar pohon petai. Bahu kiri, terasa seperti mahu tercabut. Amjal Kamal dengan wajah yang menakutkan terus hilang entah ke mana.

GELAP

Cuaca bertambah gelap. Dalam keadaan yang terhoyong-hayang itu, sepasang tangan kasar memeluk tubuh dengan kuat. Saya terus meronta-0ronta dan suara datuk terus memukul gegendang telinga saya. Wajahnyatidak dapat saya lihat. Usaha saya berhasil, sepasang tangan yang memaut tubuh dapat saya buka dengan membantingkan tubuh orang itu ke perdu petai.

Orang itu mengerang kesakitan, saya tidak dapat mempastikan siapakah yang jadi mangsa saya. Apakah orang itu patah atau pengsan bukanlah urusan saya. Apa yang penting, saya harus berlari ke mana sahaja mengikut kata hati. Saya halakan tubuh ke arah matahari jatuh sambil memulakan langkah.

"Uhhhhh...," pekik saya sekuat hati.

Sepasang tangan saya gawangkan ke kiri dan ke kanan. Saya tidak dapat berdiri dengan baik. Ada yang menaburkan jala besar ke arah saya. Sepenuh tenaga saya melompat hingga jala yang menyerkup saya pecah berderai.

Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terasa ada orang menyarungkan guni padi ke kepala saya. Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah di rusuk kanan. Saya tidak dapat berdiri lalu jatuh terduduk.

Sepasang kaki saya ditarik dan dada saya ditekan. Saya terbaring dan tubuh yang sudah dibalut dengan guni itu terus digolek ke mana-mana. Tubuh saya diangkat dan diusung. Akhirnya, dihumbankan ke dalam sebuah kolam. Saya mual kelemasan dan terus menelan air kolam, tekak terasa payau. Terasa ada orang merentap guni yang membalut tubuh.

Telinga saya masih menangkap suara orang bercakap. entah apa yang dicakapkan, saya sendiri tidak tahu. Fikiran saya sekejap berada di satu tempat lain dan sekejap berada di tempat apa yang sedang saya alami sekarang. Tubuh saya diangkat dari perut kolam. Diletakkan di atas tanah. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, saya masih mampu melihat api jamung dari daun kelapa menerangi sekitar kolam.

Sukar untuk mengenali orang-orang yang mengelilingi saya. Pandangan saya agak kabur kerana air kolam masih lagi menguasai kelopak mata. Badan saya menggeletar kesejukan.

"Apa dah jadi dengan kamu, Tamar?"

Perlahan-lahan saya pusingkan leher ke kiri. Untuk seketika, wajah datuk yang duduk mencangkung itu saya tatap. Entah, mengapa saya tidak berminat mendengar suara dan wajahnya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan ke langit.

Saya tatap gumpalan awan dan bintang di langit. Tidak semena-mena, muncul Amjal Kamal di awang-awangan. Bergerak bebas ke sana ke maro sambil melambai-lambaikan tangan ke arah saya.

"Hei, nanti dulu Tamar," katanya. Dia berhenti betul-betul di depan mata saya. Aneh, saya tidak berlari atau berjalan tetapi, kenapa dia menyuruh saya menantinya. Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu. Amjal Kamal terus mendekati saya. Dia membalingkan seketul tanah di muka saya. Bila tanah menyentuh kulit muka, terasa panas macam kena api. Buat beberapa detik saya tidak tentu arah.

"Kamu sekarang, tunduk dengan aku, kamu faham!" Ujarnya.

"Faham," jawab saya.

"Kamu ikut perintah aku, tunduk dengan kata-kata ini: Dari hati, dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh,"

"Saya faham," nada suara saya lembut.

Amjal Kamal yang berada di awang-awangan itu ketawa berdekah-dekah. Saya tidak tahu, apakah ketawanya didengar oleh datuk dan rakan-rakannya.

"Kamu kenal siapa ini?" Amjal Kamal mengeluarkan sebuah patung dari celah ketiaknya. Patung itu ditayangkan pada saya seketika. Saya gelengkan kepala. Memang sukar untuk mengenali patung tersebut berwajah siapa dari jarak jauh.

"Baiklah, sekarang kaulihat dengan teliti," kata Amjal Kamal lalu membesarkan patung itu seperti bentuk manusia biasa.

"Kau kenal, siapa orangnya, Tamar?"

"Kenal."

"Siapa dia, Tamar?"

"Datuk saya."

"Sebenarnya, dia musuh kamu."

"Bukan, dia bukan musuh saya, dia datuk saya," begitu yakin saya mengucapkan kata-kata itu. Amjal Kamal gelengkan kepala beberapa kali.

"Cuba kau perhatikan dengan teliti Tamar."

Saya pun mematuhi arahan Amjal Kamal. Saya perhatikan dan saya telek patung sebesar manusia itu dengan teliti. Memang bukan datuk, cuma bentuk tubuh dan wajahnya hampir menyamai datuk

"Kau puas Tamar?"

"Ya. Saya puas hati, buka datuk saya."

Saya segera anggukkan kepala. Amjal Kamal tersenyum. Dia suruh saya merenung ke arah dada kiri patung. Apa yang disuruhnya saya patuhi. Bila saya renung ke arah dada kiri patung itu, kelihatan cahaya berkelip-kelip macam cahaya batu delima. Betul-betul berada di bahagian jantung. makin lama direnung, mata jadi silau dan kepala terasa pening. Timbul keinginan dalam diri saya untuk memiliki benda yang memancar seperti batu delima itu.

"Tamar, dengar sini. Ini perintah, dari hati, dari perasaan dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh, Tamar," terdengar suara Amjal Kamal bergema dari setiap sudut. Wajahnya tidak dapat saya lihat.

Suara Amjal Kamal makin lama, makin kuat dan nyaring. Saya kira, kalau tidak dijawab, suara itu tidak akan berhenti lalu saya membuat keputusan:

"Ya, aku patuh pada perintah kamu."

"Bagus, kau pengikut yang setia."

"Apa perintah untuk aku?"

"Kamu mesti menikam ke atah dada orang yang bercahaya itu."

"Mahu ditikam dengan apa?"

"Dengan pisau."

"Dengan pisau? Perintah bodoh. Mana ada pisau pada aku?"

"Ada, kau raba bawah ketiak kamu."

RABA

Perintah itu saya turuti. Memang benar, sebilah pisau pendek saya temui di bawah ketiak sebelah kanan. Hulu pisau saya pegang erat-erat. Suara ghaib terus bergema memerintah saya menikam ke arah benda bercahaya. Saya tidak ada pilihan lain. Dengan sepenuh tenaga, saya balingkan pisau ke arah benda yang berkelip itu. Tepat pada sasarannya. Terdengar jeritan dan benda yang berkilat itu hancur berkecai, badan patung berkecai dan berterbangan.

Melihat kejadian yang tidak pernah diduga, saya terkejut. Seluruh badan saya menggeletar. Badan saya terasa kecil dan mula terpisah dari keadaan yang saya alami. Telinga saya mula terdengar suara orang bercakap. Antara sedar dengan tidak, saya cuba menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan. Tidak mahu memandang ke langit lagi.

"Curahkan air ke mukanya, dia masih khayal." saya mendengar suara datuk.

Belum pun sempat saya mengeluh atau bersuara. Satu baldi air tercurah ke muka. Saya seperti terpinga-pinga melihat jamung yang marak menyala. Saya ditempatkan atas pengusung yang dibuat dari buluh. Kedua belah tangan dan kaki saya diikat dengan rotan.

Saya lihat Mat Daud dan Azizi Jabar masih berdiri di tepi kolam ikan milik Haji Sulung. Kedua-duanya membimbit baldi kosong. Salah satu dari baldi itu digunakan untuk mencurahkan air dari kolam ikan ke muka saya.

"Macam mana saya boleh berada disini?" Tanya saya pada Uda Lamat yang berdiri dekat pengusung. Orang tua itu tersenyum. Saya cuba menggerakkan jejari tangan dan kaki yang terasa kaku dan kebas.

"Kamu lari satu ladang ni sambil bertempik macam gajah hilang anak." ujar Uda Lamat, disambut dengan ketawa oleh beberapa orang yang berada di situ.

"Nak tangkap kamu terpaksa di jala." celah Mat Daud yang tiba-tiba diri dekat Uda Lamat.

"Kemudian dihumban ke dalam kolam ikan, lepas itu diikat pada pengusung, kalau tak dibuat macam ni, entah kaki gunung mana kamu pergi." tambah Uda Lamat lagi.

Dalam keadaan terkapar atas pengusung, saya terus mengingati punca kejadian itu berlaku. Semuanya jelas terbayang tetapi saya tidak menduga sama sekali yang saya mengalami keadaan seperti ini. Menggemparkan orang kampung hingga mereka terpaksa menggunakan kemampuan apa yang ada pada mereka untuk menangkap saya.

"Huh...," saya mengeluh dan tubuh mulai terasa sejuk.

"Kenapa Tamar?" Uda Lamat mendekati saya.

"Sejuk, saya sejuk," kata saya pendek.

"Pukul berapa sekarang?"

"Entah, aku tak ada jam," Uda Lamat terus memandang ke arah Mat Daud yang menyeluk saku. Mat Daud mengeluarkan jam sakunya. Jam saku yang bulat dan berantai itu dibawanya ke bawah api jamung yang marak.

"Lagi sepuluh minit pukul sepuluh," jerit Mat Daud ke arah saya dengan kuat.

Lagi sekali saya mengeluh, sesungguhnya saya sudah membuat masa yang begitu lama dalam ladang getah," tidak mendatangkan apa-apa hasil yang menguntungkan. Andainya saya ikut jalan raya, tentu peristiwa semacam ini tidak terjadi?

DIRI

Secara spontan timbuk pertanyaan dalam diri saya. Apakah semua yang saya alami ini bernar-benar terjadi atau hanya khayalan dari perasaan saya sahaja? Lagi sekali saya menarik nafas atas pengusung.

"Bawa saja ke rumah, sampai di rumah boleh dikisahkan mana yang patut." beritahu datuk pada Mat Daud. Selesai sahaja datuk bercakap, pengusung pun diikat. Dan malam itu saya bagaikan putera raja diarak dalam kebun getah dengan diterangi cahaya dari jamung. Sampai di rumah saya disambut oleh nenek dengan tangisan. Atas kemahuan datuk, saya diletakkan di anjung rumah. Jiran tetangga dari kaum perempuan dilarang menghampiri saya. Hati nenek bertambah hiba bila datuk mengeluarkan perintah demikian.

Lebih dari sepuluh minit saya dibiarkan terkapar atas pengusung di anjung. Kemudian datuk meletakkan telapak tangan kirinya atas dahi saya. Dari dahi telapak tanagn kiri itu digerakkan ke bawah menyentuh dada, perut dan akhirnya berhenti di hujung ibu jari sebelah kanan. Rotan yang mengikat sepasang kaki dan tangan pun dibuka. Saya disuruh duduk dan dipaksa meneguk air dingin dari labu tanah.

"Sekaranf kamu jangan memikirkan apa yang sudah kamu rasakan." ujar datuk dengan tenang. Saya terdiam, sukar untuk saya melupakan sesuatu keanehan yang saya alami. Walaupun, permintaan datuk tetap saya patuhi meskipun perkara itu sukar untuk saya lakukan.

"Kamu faham dengan apa yang aku cakapkan tadi, Tamar?" datuk renung seluruh wajah saya.

"Faham."

"Sekarang pergi mandi," datuk keluarkan perintah. Matanya tertuju ke wajah nenek. Dan nenek bagaikan mengerti dengan renungan datuk itu. Tanpa membuang masa nenek segera mendekati saya. Pergelangan kaki dan tangan saya disapunya dengan sejenis minyak. Tujuan nenek berbuat demikian supaya bekas ikatan rotan di tempat tersebut tidak bengkak atau luka. Nenek memapah saya ke bilik mandi.

Nenek tidak membenarkan saya memegang gayung dan menjirus air ke tubuh sendiri. Saya disuruh meniarap atas simen dengan dagu berlapikkan tempurung jantan. Tiga kali nenek jiruskan air atas pusat. Setiap kali air menyentuh pusat, sejuknya bukan kepalang, terasa meresap hingga ke tulang belakang. Saya tidak berani membantah, mungkin apa yang nenek lakukan itu, sudah diberitahu oleh nenek terlebih dahulu kepadanya.

Upacara mandi malam itu diakhiri dengan mandi air daun pandan yang sudah direbus. Dijirus mulai bahu sebelah kanan, membawa ke kiri. Air itu tidak boleh menjamah kulit telapak kaki. Setelah itu tubuh saya dibalut dengan kain pelikat. Saya dibawa ke anjung kembali. Kawan-kawan datuk yang membantunya menangkap saya di ladang getah, sudah pulang kecuali Uda Lamat.

103. Jamung Tengah Malam



Entah mengapa, Uda Lamat yang pendiam dengan usianya yang muda beberapa tahuin dari datuk, masih mahu bercakap dengan datuk. Paling membosankan perkara yang dikaitkan ialah tentang diri saya. Datuk ternyata terpengaruhh dengan pendapat Uda Lamat.

“Bukan lari sebarang lari, perkara macam ni pernah saya alami masa saya muda-muda dulu,” Uda Lamat memperkemaskan silanya. Paha kanan diletakkan diatas peha kiri. Jejari kakinya bergerak- gerak.

“Di mana?”

“Di kampung saya, anak buah saya sendiri yang mengalaminya. Menurut bomoh masa itu, anak buah saya diresapi roh jahat. Fasal tu dia buat perkara tak senonoh,” lanjut Uda Lamat.

“Kesudahannya macam mana?” Tanya Datuk lagi.

“Mati.”

Datuk terkejut, biji matanya terbeliak.

“Dia masuk ke hutan cari harimau, bawa parang mahu tetak tengkuk harimau, kesudahannya leher anak buah saya itu dipatahkan oleh harimau, saya berharap perkara macam itu tidak akan jadi pada cucu awak.”

“Saya juga harap perkara buruk tak akan terjadi,” datuk garu pangkal dagu. Mereka berhenti bercakap. Tiba-tiba rasa cemas dan takut menguasai diri saya. Ada bermacam-macam suara datang ke lubang telinga saya.

“Apa yang saya suruh awak buat tadi, semuanya itu, petua yang dibuat oleh orang tua lelaki saya pada anak buah saya yang mengalami perkara yang saya sebutkan tadi,” cukup teratur Uda Lamat mengungkapkan kata-kata. Dan saya mula faham, apa yang dilakukan oleh nenek pada saya di bilik mandi tadi, adalah petua dari Uda Lamat.

“Ya, petua ni kadang-kadang menjadi kadang-kadang tidak,” datuk menyanggah. Saya lihat Uda Lamat anggukkan kepala.

“Memang betul cakap awak. Satu perkara yang pasti, setiap kerja mesti kita mulakan dengan Bismillah. Kerja petua juga dimulakan dengan Bismillah sambil hati mengharapkan Allah yang maha besar menghilangkan penyakit.”

“Betul, betul,” datuk angguk kepala.

Uda Lamat hirup kopi yang disediakan oleh nenek. Malam kian larut, suasana terasa sunyi. Sesekali terdengar bunyi suara burung jampuk dan jeritan tikus liar di bawah rumah. Kesunyian malam yang kian tua itu membekalkan rasa dingin yang keterlaluan. Tetapi, saya masih mahu bertahan untuk berada di anjung dalam keadaan berbaring. Hati kecil saya bagaikan dipaksa-paksa untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Uda Lamat dan datuk.

Saya rasakan kemesraan yang diperlihatkan oleh Uda Lamat itu, adalah sesuatu yang baru. Lelaki tua berkulit hitam, berbadan tegap, berambut putih yang mengelilingi botak di tengah kepalanya itu, tidak pernah merelakan dirinya menghabiskan masa malamnya di rumah orang. Biasanya, dia merasa bahagia menghabiskan waktu malamnya dengan salah seorang isteri mudanya. Semua orang tahu Uda Lamat ada empat isteri. Isteri pertamanya sudah berusi lebih dari lima puluh tahun.
Tetapi, tiga orang lagi isterinya, berusia sekitar tiga puluhan hingga empat puluhan. Ketiga-tiganya memiliki wajah yang menarik. Kekayaannya memiliki berekar-ekar tanah sawah dan kebun getah memberi peluang padanya mempunyai isteri muda. Satu keistimewaan Uda Lamat, tiga orang isteri mudanya cacat anggota, ada yang berjalan tempang, tangan kudung dan bisu. Satu hal yang pasti mereka memiliki raut wajah yang ayu.


Kata orang, Uda Lamat kahwin bukan kerana nafsu tetapi lebih banyak didorong oleh rasa simpati mahu menolong sesama insan yang cacat. Inilah yang membuatkan orang kampung mengkagumi dan menghormati Uda Lamat. Dan Uda Lamat pula tidak pernah merasakan dirinya besar kerana penghormatan itu. Malah, dia sendiri merasakan penghormatan itu tidak pernah wujud pada dirinya.

Jam di dinding rumah berbunyi dua belas kali. Satu teko kopi tanpa susu yang disediakan oleh neneh sudah habis diminum, sedangkan saya sudah dua kali terlelap. Bualan datuk dengan Uda Lamat kian mengendur. Tidak serancak tadi. Uda Lamat sudah beberapa kali menguap panjang.

“Dah pukul dua belas malam,” Uda Lamat menggosok belakang tangan kanannya. Datuk mendirikan lutut kanannya. Dia senyum ke arah Uda Lamat.


“Ngape, dah mengantuk ke?”

“Tidak, tapi sejuk.”

“Kalau begitu kena baliklah, kena cari kawan yang boleh menghilangkan sejuk,” datuk berjenaka lalu disambut oleh Uda Lamat dengan ketawa panjang. Matanya berair. Dua tiga kali telapak tangan kanannya memukul lantai anjung. Usikan datuk itu amat mencuit hatinya.

“Kalau begitu nasihat awak, biarlah saya balik,” kata Uda Lamat setelah ketawanya berakhir. Saya yang baring segera angkat kepala. Saya kira Uda Lamat pasti angkat punggung sebaik sahaja kata-katanya berakhir. Sangkaan saya meleset. Uda Lamat kian memperkemaskan silanya.

“Tunggulah sampai subuh, lepas tu bolehlah balik, kalau ada perkara yang tak baik jadi pada cucu saya, bolehlah awak beri petua,” datuk menjentik kepala lutut Uda Lamat.

“Saya rasa cucu awak tak apa-apa.”

“Tapi saya mahu awak menemani saya.”

“Tak apa, dia dah pulih, saya yakin perasaannya sudah aman dan tenteram, cucu awak dah pulih. Biarlah saya balik dulu,” Uda Lamat segera bangun. Datuk garu hujung dagunya beberapa kali. Datuk turut bangun dan berdiri di sisi Uda Lamat.

“Saya tak berapa seronok, bila awak balik cepat. Rasanya, saya perlukan pertolongan awak, banyak perkara yang boleh awak tolong saya,” datuk luahkan perasaannya. Tangan kanannya diletakkan atas bahu kiri Uda Lamat. Buat beberapa saat Uda Lamat genggam tangan datuk erat-erat. Perlahan-lahan tangan datuk yang tersadai atas bahu dijatuhkannya.

“Tak apa, dengan izin Allah. Cucu awak tak apa-apa. Awak bacalah Quran sampai subuh,” Uda Lamat tepuk bahu datuk berkali-kali. Senyum datuk terukir di bibir. Saya tahu, senyum itu sekadar untuk melindungi keresahan dalam dirinya. Dia tidak berhasil menahan Uda Lamat bertahan di rumah hingga menjelang subuh.

“Biar saya pergi dulu.”

Uda Lamat menghulurkan tangan. Datuk sambut dengan perasaan yang berbelah bagi. Datuk mengiringi langkah Uda Lamat hingga ke muka pintu. Jamung di kaki tangga pun dinyalakan. Angin malam yang bertiup terus merempuh di jamung yang mula marak. Kokok ayam terdengar sayup-sayup.


“Saya balik dulu.”

“Ya, selamat jalan. Terima kasih kerana awak sanggup bersusah payah menolong saya,” suara datuk merendah.

“Itu hanya adat, hidup sekampung kenalah tolong-menolong.”

“Hanya Allah saja dapat membalas jasa awak.”

“Apa yang kita lakukan adalah atas kemahuan-Nya juga,” Uda Lamat merendahkan diri. Dia pun memulakan langkah pertamanya.

JAMUNG

Bertemankan cahaya jamung, Uda Lamat terus membelah malan yang kian tua. Api jamung melintuk-liuk dirempuh angin. Langkah Uda Lamat tetap teratur. Makin lama, makin jauh dan mengecil api jamung yang dijulang oleh Uda Lamat dari penglihatan mata datuk. Kokok ayam kian bertalu-talu. Dan angin pun kian rancak berhembus menyentuh dedaun dan reranting pokok hingga melahirkan bunyi yang tidak menentu.

Datuk masuk ke rumah. Daun pintu dirapatkan, terus dikunci. Datuk menyuruh saya masuk ke bilik. Saya mohon padanya supaya saya dibenarkan tidur di ruang anjung.

“Masuk ke dalam bilik,” suara datuk keras.

“Saya rasa di sini selesa, tuk.”

“Jangan bantah cakap aku, masuk ke dalam. Kalau ada apa-apa hal senang nak bertindak. Kalau tidur di luar nanti kamu melompat tingkap susah pula nanti.”

“Hmm..” Saya lepaskan keluhan kecil. Panas rasa hati, bila datuk menyindir saya begitu. Rasa benci terhadap datuk datang meluap-luap.

Saya mula terdengar suara Amjal Kamal mengeluarkan perintah yang berbunyi: “Ini perintah, dari hati dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani. Kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh.” Saya termanggu-manggu, suara itu datang dari segenap sudut, bagaikan mahu pecah gegendang telinga saya dibuatnya.

Saya tidak ada jalan lain, terpaksa menekup kedua belah telinga dengan telapak tangan. Suara itu masih bergema juga. Saya terpaksa melekapkan telinga ke celah paha. Usaha saya tidak juga berhasil. Batang tubuh Amjal Kamal terpamer di depan mata. Dia mengangkat tangan menyuruh saya melakukan sesuatu.

“Ya, dia musuh,” kata saya.

“Mesti dibunuh, kaulihat kerlipan di bahagian dada kirinya.”

“Ya, saya nampak saya harus membunuhnya. Saya mesti menikamnya dengan pisau belati,” sehabis sahaja saya memberikan pengakuan sebilah pisau belati jatuh di depan saya. Segera saya ambil. Saya merasai diri saya bukan berada di dalam rumah. Tetapi, berada di satu ruang bangunan yang luas macam istana. Seorang lelaki yang kurang jelas wajahnya berdiri di depan saya. Dada sebelah kirinya mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip. Rasa marah datang meluap-luap dalam rongga dada.

Saya mendekati lelaki itu dengan pisau di tangan. Aneh lelaki itu tetap menanti saya. Inilah yang membuatkan saya bertambah marah. Saya renung benda yang bekelip-kelip di dada sebelah kiri lelaki itu. Saya terus membuat perhitungan untuk membenamkan pisau ke dada lelaki itu. Saya sudah menemui sasarannya. Dengan sekali tikam sahaja, saya yakin lelaki itu akan tergolek di lantai.

Saya juga yakin, bila semuanya terlaksana dengan baik. Suara ghaib, yang memerintah saya melakukan perbuatan itu akan memuji saya. Tentu saya diberikan hadiah.

“Kau sudah sampai saatnya,” terdengar lagi perintah ghaib.

“Tapi,” perasaan saya bersuara.

“Tidak ada tapi, inilah saatnya untuk kamu membunuh musuh, tikam dengan cepat,” datang lagi suara ghaib. Saya masih berdepan dengan lelaki yang wajahnya tidak jelas.

Saya sudah nekad untuk menyelesaikan tugas yang diberikan. Secepat kilat, saya meluru ke arah lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas itu. Tanpa membuang masa, saya melepaskan tikaman dengan sekuat hati ke dada kiri lelaki yang bekelip-kelip itu.

“Tamar, kamu melawan,” satu tempikan yang kuat menyumbat ke lubang telinga saya. Badan saya terasa bergoyang. Muka saya menerima tamparan yang kuat. Kulit muka terasa pecah kepedihannya tidak dapat saya gambarkan. Kerana tidak terdaya menahan sakit, saya rebahkan badan di lantai. Saya terdengan bunyi suara yang amat kuat macam suara deru keretapi. Saya pejamkan mata kerana dalam perhitungan saya, saat kematian sudah sampai.

WAJAH

Bila suara menderu macam keretapi itu hilang. Terasa suasana jadi fana dan sepi sekali. Saya buka mata, orang pertama yang saya lihat ialah wajah datuk.

“Kenapa tuk?” Tanya saya.

“Tak ada apa-apa,” jawabnya. Sungguhnya jawapan itu tidak dapat saya terima. Datuk menyembunyikan sesuatu dari saya. Saya kumpulkan segala fikiran untuk menyorot apa yang terjadi. Semuanya tidak berhasil. Saya tidak dapat mengingati apa-apa pun.

“Kenapa tuk?” Ulang saya lagi.

“Kau menumbuk dada aku tamar,” suara datuk kesal. Saya terdiam, hampir mahu menangis saya mendengar kata-kata dari datuk. Dialah satu-satunya lelaki di dunia ini yang saya hormati dan saya sayangi.

“Maafkan saya tuk, saya tak sedar dengan apa yang saya lakukan,” saya berlutut di depan datuk.

“Sudahlah, aku secara tak sengaja menampar kamu,” datuk terus memeluk saya. Pipi saya diusapnya berkali-kali. Wajah datuk nampak sungguh sedih. Dalam keaadan yang agak gawat itu dia mencium dahi saya. Tanpa disedari saya menangis.

“Sudahlah Tamar, masuk ke bilik. Pergi tidur.”

“Maafkan saya tuk, saya tak tahu dan tak ingat apa yang saya buat.”

“Sudahlah, ada sesuatu yang tak kena pada kamu, pergilah tidur,” begitu lembut nada suara datuk. Permintaannya segera saya akur. Perasaan saya sungguh terharu, datuk sendiri mengemaskan ranjang tidur untuk saya. Datuk selimut tubuh saya.

MIMPI

Seperti selalu, datuk tetap mengingatkan saya untuk membaca ayat-ayat suci sebelum mengajak mata tidur. Itu pun saya lakukan. Saya baca fatihah dua puluh satu kali, baca ayat kursi tujuh kali, mengucap dan beberapa ayat lain lagi saya baca. Saya bersyukur setelah mematuhi cakap datuk itu, saya dapat tidur dengan lena. Tidak ada mimpi yang kurang menyenangkan saya alami.

“Bangun Tamar.”

Badan saya digoncang berkali-kali. Antara mahu dengan tidak, saya terpaksa membuka kelopak mata. Buang gebar tebal yang membaluti tubuh.

“Bangun sembahyang,” Sambung datuk.

“Ya,” saya terus bangun. Duduk mencangkung di bibir ranjang.

“Sebelum ambil air sembahyang, buat senanam dulu Tamar.”

“Ya,” jawab saya pendek. Senaman yang biasa saya amalkan terus saya lakukan. Datuk melakukan sembahyang sunat subuh. Selesai senaman, saya pun mahu bergegas ke bilik mandi. Tetapi, saya tidak meneruskan langkah tersebut.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Kita Sembahyang sendirian.”

“Baiklah tuk,” saya pun meneruskan langkah yang terhenti. Rancangan yang sudah disusun mengalami gangguan sebentar. Pintu bilik air tertutup rapat. Nenek sedang mandi, saya terpaksa menunggu.

Sementara menanti nenek keluar, saya duduk di bangku tidak jauh dari bilik air. Pada mulanya saya berjuntai kaki, kerana tidak tahan disebabkan kedinginan, kaki segera saya letakkan diatas bangku. Saya berpeluk tubuh. Sepatutnya, saya tidak mengalami rasa kedinginan, saya sudah bersenam dan peluh pun sudah pecah.

Barangkali angin pagi bertiup kencang di luar, fikir saya dalam hati sambil menguap panjang. Rasa mengantuk masih terasa.

“Tamar.”

Saya merenung wajah nenek. “datuk kamu di mana?” Sambung nenek.

“Di atas.”

“Dia biarkan kamu seorang diri di sini?” Nenek tidak berpuas hati dengan tindakan datuk. Saya tersenyum dan saya harus bertindak dengan bijak agar tidak berlaku sebarang ketegangan antara datuk dengan nenek yang berpunca dari saya.

“Saya yang minta datuk, jangan ikut saya.”

“Kamu ni, dah sihat benarkah?”

“Sihat, saya memang tidak apa-apa nenek.”

“Hum tak ada apa-apa, bila kau memekik dan nak lari tu bukan apa-apa namanya,” nenek jegilkan biji mata ke arah saya. Tidak ada jawapan yan dapat saya berikan untuk menafikan kata-kata yang nenek ungkapkan itu.

“Pergi, biar aku tunggu kamu di sini.”

“Tak payah tunggu saya nek, saya tak apa-apa. Kalau nenek tunggu, saya tak mahu masuk ke bilik air,” saya menggunakan senjata ugutan. Malu rasanya sudah besar begini, masih ditunggu nenek.

“Kamu memang keras kepala, tak apalah aku tak tunggu tapi, ada apa-apa cepat-ceoat beritahu aku,” kata nenek.

“Saya tahu, nenek.”

“Hisss.....” nenek menjuihkan bibir ke bawah. Kemudian melangkah kebiliknya. Saya tersenyum lalu bersiul kecil sambil melangkah ke bilik air.

Pada mulanya, saya bercadang mahu mengambil air sembahyang sahaja. Tetapi, bila sudah berada dalam bilik air, seluruh tubuh terasa panas. Saya membuat keputusan mengejut. Ambil gayung lalu jirus air ke tubuh. Sebaik sahaja air satu gayung menyentuh badan, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari. Saya tergamam dan gayung di tangan tidak jadi menyeduk air dalam kolah.

“Tamar, kau buat apa tu,” terdengar suara nenek.

“Saya mandi.”

“Selalunya kau tak mandi pagi, kenapa kau mandi pagi kali ni, Tamar.”

“Nek, saya sedar apa yang saya buat,” kata saya lalu membuka pintu bilik air.

HULUR

Saya hulurkan kepala untuk nenek melihat keadaan saya yang sebenar. Ternyata perbuatan saya itu dapat menyakinkan nenek yang saya masih waras. Masih berada di alam nyata. Tanpa diduga, tindak-tanduk saya itu membuatkan nenek ketawa terkekeh. Agaknya, dia terasa lucu. Nenek kembali ke tempatnya. Pintu bilik mandi saya rapatkan. Mandi yang tergangu, saya teruskan kembali.

Baru lima gayung air membasahi tubuh, saya terasa sejuk dan terus mengigil. Gigi atas dengan gigi bawah terus berlaga hingga mengeluarkan bunyi. Saya berhenti mandi dan mengambil air sembahyang, kesejukan yang menguasai tubuh membuat saya merasa kurang selesa untuk berjalan atau bergerak ke mana-mana.

Ini merupakan gangguan yang kurang menyenangkan. Tetapi saya terus melawan rasa sejuk itu dengan melakukan senaman dan berlari hingga sampai ke dalam bilik tidur. Saya sarung kain, pakai baju dan songkok.

Saya melangkah dari bilik tidur untuk melakukan sembahyang subuh. Datuk masih duduk tertonggok membaca al-Quran. Suaranya cukup jelas dan nyaring. Sebaik sahaja saya melangkah bendul pinti bilik, kaki kiri saya terasa berat untuk menerusan langkah ke arah sejadah yang terbentang di sisi datuk. Telapak kaki saya bagaikan melekat di papan. Rasa cemas dan mengelabah mula datang ke dalam diri, darah gemuruh mula terasa. Saya jadi marah dengan keadaan yang saya lalui. Saya kumpulkan tenaga, fikiran dan perhatian untuk melawan keadaan yang melingkari diri saya ketika itu.

Dalam saat yang genting itu, saya merasai seluruh tubuh badan terumbang-ambing, perasaan dan fikiran saya seperti berada dalam satu tempat atau suasana yang berlainan, seolah-olah saya berada dalam dunia yang serba asing.

Diri saya berada dalam satu ruang dewan yang cukup luas. Penuh dengan bangku-bangku yang tersusun rapi tidak diduduki oleh manusia. Ada irama muzik yang lembut. Di pentas, seorang lelaki dengan wajah yang tidak berapa jelas berdiri di situ.

Sekali imbas, wajah lelaki itu menyerupai wajah datuk tetapi bila direnung lama-lama wajah itu bertukar menjadi samar-samar serta tidak begitu jelas.

Saya jadi terpaku dengan apa yang saya hadapi. Saya jadi bodoh, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan. Dalam keadaan terpinga-pinga itu, saya terdengar bunyi deru keretapi malam yang memekakkan anak telinga, kepala terasa sakit, ruang dewan nampak bergegar. Bangku-bangku kosong berlaga sesama sendiri. Saya tutup telinga dengan telapak tangan. Saya pejamkan sepasang kelopak mata dengan serapat-rapatnya.

Saya berusaha berhempas pulas untuk melepaskan diri dari keadaan yang tidak menyenangkan itu. Dalam pergelutan itu, tanpa diduga wajah Amjal Kamal muncul beberapa detik di ruang mata. Bila wajanhnya hilang, bunyi yang tidak menyenangkan itu juga turut hilang. Suasana teramat amat sepi. Kalau sebatang jarum jatuh pun pasti dapat didengar.

Dalam suasana yang hening itu terdengar suara Amjal Kamal bergema dari sudut ruang, mengeluarkan perintah: “Ini perintah, dari hati dair perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh.”

104. Di Kuasai Suara Aneh


Kerana sudah kerapkali berdepan dengan kejadian demikian, saya jadi arif untuk menjawab dan memberhentikan suara yang bergema dari setiap sudut ruang. Seluruh perhatian, saya tumpukan ke arah orang di atas pentas yang wajahnya tidak berapa jelas.

“Ya, dia memang musuh kita,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya. Suara orang ketawa bergema di ruang dewan. Bila gema ketawa berakhir, gegendang telinga saya menangkap suara orang berbentuk perintah.

“Kau mesti membunuhnya. Kau nampak kerlipan di bahagian dada kirinya?”

“Saya nampak kerdipan itu, saya mesti membunuhnya.”

“Bagus, kaulah perwira satria. Ayuh lakukan!” Pujian muncul dari setiap ruang dewan. Telinga saya terasa pekak. Semangat baru meresap ke dalam urat saraf. Hidup mati saya semata-mata untuk mematuhi perintah suara aneh itu.

“Ya, saya mesti melakukannya sekarang. Saya mesti menikamnya dengan pisau sampai mati,” satu tekad yang bulat berpadu dalam diri saya.

“Ya, untuk kebenaran dan keadilan, kau lakukan segera. Jangan berlengah-lengah lagi, jangan bertangguh-tangguh.”

“Ya, kata saya penuh semangat.

Pisau yang terselit di pinggang segera saya pegang. Saya cabut dari sarungnya. Dengan tenang dan penuh keyakinan, saya ,melangkah ke arah lelaki di tengah pentras. Saya berlagak dan berpura-pura memberi penghormatan padanya. Makin lama, makin dekat saya dengannya.

Kerlipan di bahagian dada kirinya terus memancar. Menyilaukan mata tetapi semuanya itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Saya pasti kerlipan itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Sata pasti, kerlipan yang memancar dari bahagian kirinya itu ialah sebuah medal berbentuk empat segi yang melambangkan seekor tupai bertarung dengan ular senduk. Medal itu dibuat dari tembaga kuning yang berkilat.

Saya naik ke pentas dari sebelah kanan. Dari tepi pentas, saya menghintung langkah hingga sepuluh. Berhenti betul-betul di depan lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas. Pencarian dari medal yang dipakainya tetap menyilaukan mata saya. Tanpa membuang masa, saya terus menundukkan kepala memberi hormat padanya.

“Kamu,” lelaki itu bersuara dengan rasa terkejut.

“Ya”’ jawab saya.



TAHU

Seperti mengetahui apa yang akan saya lakukan terhadapnya, lelaki itu memusingkan badannya, membelangkangi saya. Kerlipan dari medal yang dipakainya tidak dapat saya lihat. Pandangan saya jadi gelap, dalam keadaan yang agak cemas itu pisau di tangan saya angkat tinggi-tinggi. Saya cuba menahan diri dari melakukan sesuatu. Kerana pisau sudah di angkat tinggi, usaha saya menemui kegagalan.

Cukup pantas sekali saya rasakan gerakan tangan. Pisau terus terbenam ke bahagian belakang lelaki itu. Saya lihat tubuh lelaki itu berkecai dalam percikan cahaya bersinar. Medal yang berkilau-kilau bergeral pada setiap ruang dewan. Akhirnya, berlaga dengan dinding dewan, berkecai menjadi serpihan yang halus. Di mana-mana saya lihat api menyala dengan marak sekali.

Saya juga terdengar suara dari setiap sudut dewan, bergema dengan sejuta pujian. Semuanya memberi ucapan tahniah dan menganggap saya sebagai seorang pahlawan besar yang berjaya menghancurkan kedurjanaan demi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya terasa dan melihat jambangan bunga tidak putus-putus di campakkan ke arah saya. Berlonggok-longgok di tengah ruang dewan. Saya tersenyum bangga, suara pujian terus bergema.

“Kamu dah jalankan tugas suci,” terdengar suara Amjal Kamal. Segera saya toleh ke kiri, dalam keadaan yang samar-samar itu, saya lihat Amjal Kamal tersenyum ke arah saya. Bila saya membuka kelopak bibir untuk mengucapkan sesuatu, Amjal Kamal terus hilang dari penglihatan saya.

Kerana yakin masih ada perintah selanjutnya, saya terus berdiri di tengah ruang dewqn dengan pisau di tangan. Masa terus berlalu, perintah yang diharapkan tidak juga muncul. Saya terus memandang ke arah longgokkan bunga di tengah ruang dewan. Aneh sungguh, longgokan bunga itu bergerak secara perlahan-lahan.

“Aduh, sakitnya,” terdengar suara dari celah-celah longgokan bunga. Suasana cukup sepi sekali. Antara sedar dengan tidak, diri terasa mengembara dari alam khayal menuju ke alam nyata.



PANGKAL

Di saat-saat terumbang-ambing itu, saya terasa pangkal peha kanan saya dihentak oleh sesuatu dengan kuat sekali. Tubuh saya terpelanting ke dinding. Dari dinding bergerak ke kanan lalu terkandas pada almari cermin. Kaca almari pecah berderai.

“Ah,” saya mengeluh seprti tersedar dari mimpi. Pecahan kaca terdampar atas kepala, bahu dan belakang. Saya masih bernasib baik kerana tidak luka. Saya cuba bangun tetapi tidak berjaya. Bahagian rusuk kanan saya terasa pedih bila saya cuba berdiri.

Saya terpandangkan nenek yang berdiri di sebelah kiri. Dengan lembut perempuan itu mengutip pecahan kaca di tubuh saya. Semua pecahan kaca itu di isi di dalam baldi plastik.

“Apa kena kamu ni, Tamar. Tak habis-habis buat hal,” nenek merungut.

“Kenapa nek?” Tanya saya.

“Kamu tengok sendiri,” nada suara nenek separuh keras. Jari telunjuknya menghala ke arah datuk. Saya lihat datuk mengerang kesakitan. Kesan darah masih dapat dilihat pada kain putih yang melilit bahagian rusuk kirinya. Di hujung sejadahnya, saya terlihat pisau pemotong bawang tersadai berlumuran darah.

Beberapa orang jiran tetangga bermunculan di muka pintu di pagi yang bening itu. Barangkali, mereka dapat mengikuti apa yang terjadi dalam rumah sejak subuh tadi.

“Kenapa dengan Tuk ini?” soal saya dengan rasa terkejut. Nenek gelengkan kepala.

“Kamu tikam dia, Tamar,” jelas nenek.

“Ya Allah,” saya mula meraung sekuat hati. Seluruh isi kampung menjadi gempar.

Raungan saya itu menambahkan lagi para jiran berdatangan ke rumah. Semuanya terpaku dan terpukau melihat apa yang terjadi. Beberapa orang jiran bersedia untuk mengusung datuk ke hospital tetapi datuk menolak budi para jiran itu. Menurut datuk, luka yang dialami tidak besar, boleh diubati secara kampung. Beberapa orang lelaki terus menangkap saya. Mereka juga memerintahkan nenek supaya menyimpan benda-benda tajam di tempat selamat.

“Ikat,” ujar jiran kepada seorang jiran yang lain. Dalam beberapa saat sahaja sepasang tangan saya diikat dengan tali belati. Begitu juga dengan sepasang kaki saya. Tidak ada perlawanan yang saya lakukan kerana saya sendiri tidak sedar bagaimana saya melakukan perkara tersebut.

“Kita serahkan pada polis, biar dibawa ke hospital. Boleh otaknya diperiksa. Budak ni dah gila. Kalau dibiarkan di rumah, ramai orang yang mati,” seorang perempuan bermulut celupar mengeluarkan pendapat. Saya lihat kebanyakan jiran bersetuju dengan pendapatnya itu.

Nenek termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk meraba ke arah balutan lukanya.

“Jangan dipengapakan dia. Apa yang dibuatnya, dia sendiri tidak tahu. Ada kuasa lain yang meresap ke dalam dirinya,” kata datuk. Dia berdiri sambil menekan ke arah bahagian berbalut. Nenek tidak berkata apa-apa. Matanya masih terpaku ke arah tali belati yang membelit sepasang tangan dan kaki saya.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas perhatian kawan-kawan. Bukakan tali belati itu,” datuk mengeluarkan arahan. Ikatan di tangan dan kaki saya segera dibuka. Beberapa orang jiran berpandangan sesama sendiri. Mereka kurang senang dengan tindakan datuk yang enggan menyerahkan saya kepada pihak polis untuk ditahan dan dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.



KELUAR

Memang wajar mereka memprotes tindakan datuk itu, kerana perbuatan yang saya perlihatkan pada mereka membayangkan diri saya kurang waras. Orang yang berfikiran warsa, tidak akan menikam datuknya yang mahu bersembahyang. Mereka bimbang kalau perbuatan itu melarat keluar rumah. Mungkin satu ketika, saya menyerbu ke masjid lalu menikam orang-orang yang sedang berjemaah di situ.

“Saya tahu, apa yang semua bimbangkan. Percayalah pada saya, dengan izin Allah, masalah cucu saya ni, boleh diselesaikan dengan baik,” datuk memberitahu para jiran yang seakan-akan enggan bergerak dari ruang rumah.

“Saya berjanji kalau tak boleh diatasi, saya serahkan pada awak semua untuk dihantarkan ke Tampoi atau Tanjung Rambutan,” datuk memberikan janji yang padu.

“Kami bukan apa-apa, kami takut kalau dia mengacau orang lain,” para jiran menyatakan pendapatnya.

“Saya faham. Kalau awak susah, saya lagi susah. Dia cucu saya, berapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya tak suka perkara begini, apakan daya sudah takdir untuk saya menerimanya,” datuk merayu penuh keikhlasan. Wajahnya berkerut. Mungkin dia menahan rasa sakit.

“Kami faham, sebagai jiran kami juga ada rasa bimbang dan takut,” sambung jiran itu lagi.

“Bimbang dan takut tu, memang hak kamu. Aku tak marah dan tak kecil hati. Berilah kesempatan pada aku untuk memulihkannya,” begitu lembut nada suara datuk.

Tanpa banyak cakap, para jiran meninggalkan rumah dengan wajah yang tenang, beberapa orang daripada mereka terus memeluk datuk menyatakan rasa simpati sambil berjanji tidak akan membiarkan datuk bersendirian di dalam masalah ini.



LUKA

Bagi menyembuhkan segera luka yang dialami, datuk memanfaatkan perubatan secara tradisional. Dia menggunakan ramuan beberapa helai daun dan kulit pokok. Bahan-bahan itu disatukan lalu ditumbuk hingga lumat dan dicampurkan dengan setitik embun jantan.

Sebelum bahan-bahan itu digunakan, datuk membersihkan luka di rusuk kiri dengan air panas. Setelah bahan-bahan itu disapukan ke tempat yang luka, datuk terus minum segelas air kunyit dan segelas air rebusan dari akar-akar kayu. Dalam beberapa jam luka itu terus kering. Tidak bengkak dan tidak bernanah. Datuk boleh bergerak ke mana sahaja, seolah-olah dia tidak mengalami sebarang kecelakaan.

“Tak apalah Tamar, semuanya terjadi masa kau tak sedar,” itulah ungkapan pertama dari datuk setelah empat jam peristiwa yang mengerikan itu berlalu. Datuk tidak memperlihatkan rasa kurang senang dan gundah gulana dengan apa yang telah berlalu. Dia tetap melayani saya seperti biasa. Masih mahu bercerita tentang akar dan dedaun kayu yang boleh dijadikan ubat luka. Datuk menasihati saya supaya jangan susah hati.

Saya kira sebagai seorang tua, rasa bimbang dan cemas itu pasti ada di dalam diri datuk. Dia tahu, sejak tadi saya tidak berubah tempat, masih termenung. Mungkin juga dia tahu yang seluruh pemikiran saya masih berpusat pada suara-suara ghaib yang menyuruh saya melakukan sesuatu. Apa yang pasti, datuk tidak mahu dirinya berada dalam jarak yang jauh dengan saya. Gerak-geri saya sentiasa di dalam pengawasannya.

“Tamar,” itu suara datuk. Saya renung ke arahnya dan melihat kelopak bibirnya bergerak. Saya tidak menjawab panggilan datuk itu kerana saya merasakan itu bukanlah suara datuk tetapi suara Amjal Kamal yang keluar dari kelopak bibir datuk.

“Tamar, Tamar, dengar sini.”

“Ya, saya faham dan bersedia patuh dengan perintah.”

“Tamaaaaaarrr…,” jerit datuk lalu badan saya digoncangnya berkali-kali. Serentak dengan itu dia membaca surah Al-Ikhlas.

“Tamar,” nada suaranya bertambah lunak.

“Tamar,” ulang datuk lagi. Nada suaranya kali ini cukup lunak. Saya raba jejari saya, saya raba pipinya dan datuk membiarkan sahaja yang saya lakukan.

“Ini datuk?”

“Ya.”

“Tadi suara datuk panggil nama saya?”

“Ya, Tamar.”

“Jadi, tadi bukanlah suara Amjal Kamal? Apakah yang saya dengar tadi, suara datuk?” Saya seperti merungut. Datuk anggukkan kepala. Perlahan-lahan datuk memaut tubuh saya, disuruhnya saya berdiri. Kemudian saya dibimbingnya ke anjung rumah. Disuruh duduk menghala ke arah matahari jatuh.

“Amjal Kamal tu, kawan kamu Tamar?” Soal datuk.

Saya gelengkan kepala. Datuk menarik nafas panjag. Sesekali datuk renung ke arah halaman rumah yang disinari matahari pagi.

“Tapi kau kenal dia, walapun kau tidak begitu rapat dengannya?” menyusul lagi pertanyaan daripada datuk yang membuat saya lemah. Perasaan saya kian resah. Entah mengapa, saya begitu cemas dan takut bila nama Amjal Kamal disebut-sebut. Setelah berfikir panjang beberapa kali, saya terus menceritakan apa yang telah saya lalui pada datuk.

“Ini perkara biasa Tamar. Orang yang lemah semangat, lemah iman dan tidak ada kekuatan batin selalu dikuasai oleh pihak yang mahu menjahanamkan manusia,” itu komentar datuk setelah mendengar cerita dari saya.

“Apa saya memang lemah?”

“Boleh jadi,” datuk tersenyum lalu merenung ke kaki tangga. Dia menyambut salam Uda Lamat.

“Naiklah,” jemput datuk.

“Tak disuruh pun saya tetap naik,” sahut Uda Lamat lalu naik ke anjung dan duduk dekat datuk.



ZIARAH

Kedatangan Uda Lamat pagi itu, semata-mata untuk menziarahi saya. Dia amat gembira kerana keadaan saya agak baik. Semua pergelengangan kaki dan tangan serta sendi-sendi saya diperiksa dan dipicit. Kemudian Uda Lamat membuka kelopak mata kiri dan kanan saya.

“Tidak begitu baik lagi,” bisiknya lembut kepada datuk.

“Apa yang patut dibuat?”

“Berikhtiar minta pertolongan dari Allah. Syaitan, kalau sudah meresap ke dalam tubuh payah mahu keluar,” tambah Uda Lamat lagi. Datuk menarik nafas panjang-panjang.

Tiba-tiba badan saya menggeletar. Suara-suara aneh mula terdengar. Wajah Amjal Kamal tenggelam timbul di depan mata. Saya mula terasa tubuh memiliki kekuatan yang luar biasa.

“Tamar,” sergah datuk.

“Apa yang kamu mahu?” saya mula menentang wajah datuk. Saya rasa datuk terlalu kecil berdiri di depan saya. Walaupun demikian, setiap kali datuk malafazkan kalimat-kalimat Allah ke arah saya, seluruh badan sata terasa panas.

“Jangan, saya tak tahan,” rayuan saya tidak dipedulikan oleh datuk. Dia terus membaca hingga saya tidak sanggup menetang biji matanya. Saya rebah di depan datuk.

Ketika itu saya terdengar suara aneh yang mengutuk diri saya. Mereka tuduh saya pengkhianat, tidak setia pada perintah. Mereka mahu menamatkan riwayat hidup saya dengan membenamkan tubuh saya ke dalam tasik yang berbuih. Saya segera merenung minta tolong.

“Tamar,” seru datuk serentak dengan itu satu baldi air jatuh ke muka.

“Tamar kau tidak apa-apa, ingat Allah berkuasa atas segala-galanya,” Uda Lamat bersuara lembut. Dia duduk mencangkung di depan saya. Biji matanya dengan biji mata saya berlaga.

“Mengucap Tamar, Ashaduan la...,” tambah Uda Lamat. Tanpa bertanguh-tangguh lagi saya terus mengikut Uda Lamat mengucap hingga akhir.

“Bagus, bagus,” Uda Lamat terus menepuk bahu saya bertalu-talu. Tidak memadai dengan itu, tubuh saya yang basah terus dipeluknya erat-erat. Datuk tidak berkata apa-apa. Dia kelihatan tenang. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Pasti datuk membaca ayat-ayat suci.

“Saya dahaga,” kata saya pada Uda Lamat. Cepat-cepat Uda Lamat memberitahu kepada nenek. Tidak sampai dua saat, secawan air sejuk sudah berada di depan saya. Ketika tangkai cawan saya sentuh, datuk segera menarik cawan yang berisi air dingin ke arahnya. Perbuatan datuk itu menghampakan saya.

“Saya dahaga,” saya merayu.

“Aku tahu, apa kau tak boleh sabar sedikit,” tengking datuk.

“Haaa..,” saya terkejut dan hampir menitiskan air mata.

Uda Lamat memperkemaskan duduknya bersedia melakukan apa sahaja andainya saya bertindak secara mengejut. Rasa dahaga bagaikan tidak tertahan, tekak terasa pedih dan perit. Apa yang saya fikirkan, ialah air untuk membasahkan tekak. Tidak terniat di hati saya untuk melakukan sesuatu, apatah lagi untuk melawan datuk. Datuk terus mmbaca sesuatu di bibir cawan. Bila pembacaannya selesai, cawan berisi air itu diserahkan pada Uda Lamat.

“Berikan padanya,” datuk mengeluarkan perintah.

“Awak baca surah apa?” Tanya Uda Lamat.

“Saya baca Al-Fatihah 20 kali, dengan izin Allah, syaitan dan Iblis yang berlindung dalam diri cucu saya akan keluar.

“Saya faham, Allah berhak melakukan sesuatu, kita memohon padanya,” sanggah Uda Lamat. Saya resah, terasa cukup lama cawan itu berada di tangan Uda Lamat. Kenapa saya diseksa begitu kejam.

“Nah, Tamar.”

Uda Lamat menghulurkan cawan berisi air kepada saya. Cepat-cepat saya menyambutnya lalu dilekatkan ke bibir.

“Nanti dulu, baca Bismillah sebelum diminum,” Uda Lamat pegang pergelangan tangan saya. Apa yang disuruh oleh Uda Lamat segera saya patuhi. Setelah selesai membaca Bismillah, saya terus meneguk air tersebut

105. Mandi Di Ambang Pintu

Sebaik sahaja air sejuk berlari di kerongkong, urat saraf di setiap sendi badan terasa seperti disentap-sentap. Serentak dengan itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di telinga macam bunyi petir. Cawan di tangan terlepas lalu jatuh di atas lantai. Pecah berderai. Tenaga saya makin lemah.

“Tamar dengar cakap aku ini. Allah itu maha ESA, berkuasa atas segalanya. Pada Allah kita minta pertolongan, bacalah surah Al-Ikhlas, Qulhuwallah…,” Uda Lamat memberi arahan. Saya terus mengikuti arahannya. Tiga kali saya baca surah Al-Ikhlas dengan penuh khusyuk.

“Tamar, renung ke sini.”

Bagaikan kilat saya menoleh ke arah datangnya suara datuk. Serentak dengan itu datuk memegang pergelangan tangan kanan saya. Dia memaksa saya merenung ke arah biji matanya.

“Renung biji mata aku, Tamar.”

“Baik, tuk.”

“Ikut gerak bibir aku, Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Tumpukan perhatian padanya, pasang telinga kau. Dengar apa yang dicakapkan,” Uda Lamat memberikan petunjuk. Saya terus anggukkan kepala. Sedia patuh dengan apa jua perintah.

Memang tidak sukar bagi saya mengikuti kalimah-kalimah yang diucapkan oleh datuk. Datuk membaca beberapa rangkaian ayat dari al-Quran yang pernah saya baca pada setiap malam Jumaat. Ayat-ayat itu bagaikan luput dari ingatan sejak suara aneh menguasai diri saya.

Bila datuk menyebutnya di depan saya, barulah saya teringat dengan ayat-ayat tersebut. Pada mulanya, pembacaan saya memang tidak lancar. Setelah tiga kali berturut-turut mendengar dan mengikuti gerak bibir datuk barulah saya faham.

Tidak saya nafikan, setiap kali ayat-ayat yang datuk lafazkan itu, saya ikuti dengan penuh perasaan, dada terasa amat panas. Hati tidak tentu arah, menggelabah tanpa sebab. Uda Lamat, orang tua yang banyak pengalaman dan asam garam dalam kehidupan itu, tidak mahu meninggalkan datuk sendirian di ruang anjung rumah. Setiap gerak geri saya diawasinya, hinggakan gerak telinga, pernafasan, jejari saya tidak terlepas dari pengawasan Uda Lamat.

Pada hemat saya, kedatangan Uda Lamat memang dirancang untuk jadi pembantu datuk dalam usaha memulihkan diri saya.

“Bertenang, Tamar,” kata Uda Lamat. Bila melihat tubuh saya tersentap-sentap macam terkena kejutan elektrik. Badan saya berpeluh dengan banyak. Mungkin peluh itu terjadi akibat cuaca pagi yang kian membahang di luar atau akibat dari tekanan perasaan dalam diri saya.

“Dia dah lemah tu,” sayup-sayup terdengar suara datuk.

“Baca lagi, hingga lemah betul,” suara Uda Lamat masih dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya. Ketika itu, saya merasai diri saya berada dalam keadaan fana dan sepi. Antara fana dan sepi tiu, saya terlihat ada bayang-bayang nipis yang keluar dari tubuh saya, (lebih tepat dari bahagian dada). Kepulan asap yang nipis itu berpusu-pusu di sebelah kiri saya. Aneh sekali, kepulan asap yang nipis itu membentuk sifat diri saya.

Saya tidak berkata apa-apa. Suara saya tidak keluar. Mulut bagaikan terkunci. Cuma tangan daya tergapai-gapai ke kiri dan ke kanan. Maksud saya itu, tidak dapat ditangkap oleh datuk dan Uda Lamat. Mungkin mereka tidak sedar dengan apa yang terjadi. Bayang-bayang nipis dan halus yang menyerupai diri saya itu terus bergerak ke pintu rumah. Berdiri di ambang pintu, saya lihat diri saya menangis dan meratap hiba di situ. Menghempaskan diri pada jenang pintu hingga mengeluarkan darah dari kepala dan muka.

Paling akhir, saya lihat diri saya bertukar menjadi batang tubuh Amjal Kamal, pamerkan diri di depan datuk. Tetapi, bila datuk melafazkan beberapa ayat dari surah Al-Imran, bebayang tubuh amjal Kamal berkecai dan hancur lalu bersatu dengan udara. Keluar dari rumah dengan meninggalkan jeritan yang halus dan cukup nyaring.

Saya bertambah lemah. Dalam usaha memulihkan saya, sama ada dari segi kekuatan tubuh dan otak, datuk lagi sekali menggunakan ramuan tradisional. Dia tidak memerlukan pertolongan dari nenek, kecuali untuk menyediakan dua gelas air panas, kali ini datuk memerlukan tenaga dari Uda Lamat yang begitu matang dengan akar kayu dan pepucuk berkhasiat.



PERTAMA

Petua pertama datuk dan Uda Lamat lakukan terhadap saya ialah mandi di ambang pintu. Kemudian disuruh berjemur di tengah panas untuk kira-kira lima minit. Masa berjemur saya diawasi oleh Uda Lamat. Datuk merebus pepucuk daun. Akar kayu diketuk atau dihimpit dengan satu alat keras dan berat hingga mengeluarkan air.

Pepucuk daun yang direbus, disuruh makan begitu sahaja. Kepalang pahitnya, apakan daya saya tidak terdaya membantah. Saya disuruh berehat selama lima minit dengan berbaring hingga saya tertidur. Saya dikejutkan semula, disuruh minum air madu lebah yang dicampurkan dengan air dari akar kayu.

“Minum dengan sekali nafas sebelum minum. Baca Bismillah dan mohon pada Allah supaya diberikan kekuatan fikiran seperti sediakala, terhindar dari pengaruh tidak sihat,” datuk mengingatkan saya.

“Apa doanya tuk?”

“Berdoa dalam Bahasa Melayu. Allah mengerti apa bahasa yang diucapkan oleh makhluknya. Apa yang penting permintaan itu mesti ikhlas,” sahut datuk. Saya lakukan apa yang datuk suruh. Manisan lebah yang bercampur dengan air akar kayu terus saya teguk. Rasa pahit dengan manis terus menguasai anak tekak. Datuk tersenyum melihat muka saya mula kemerah-merahan.

“Madu lebah ni, memang banyak khasiatnya. Sayangnya, orang kita tak tahu menggunakannya. Orang tua-tua yang tahu macam mana menjadikan madu lebah ini sebagai ubat, tidak pula menurunkan petua itu pada orang-orang terkemudian darinya,” datuk memulakan satu ceramah kecil di depan saya dan Uda Lamat. Saya tidak memberikan sebarang komentar, dada saya terasa lapang. Dalam beberapa saat sahaja badan saya berpeluh. Terasa bertenaga kembali. Fikiran tidak pula bercelaru, terasa amat lapang sekali.

“Kadang-kadang orang tua-tua ada memberikan petua. Tetapi, golongan baru tak mahu amalkan petua tu, kononya, petua adalah pendapat kuno, tidak sesuai dengan peredaran zaman sains dan teknologi. Akibatnya petua itu dilupakan. Kita ni, setinggi melangit sekalipun pelajaran, pandai bergaul dan berbudaya moden, sebaik-baiknya petua orang tua-tua jangan dilupakan,” Uda Lamat seperti menyokong pendapat datuk. “Bila kita tidak lupa asal budaya, petua nenek moyang kita sendiri, selamat kita dalam hidup,” tambah datuk. Saya tersenyum.

Di luar panas kian terik, angin pun tidak bertiup. Entah mengapa, dalam cuaca yang agak panas itu, saya rasa mengantuk. Uda Lamat menasihatkan saya supaya membasuh muka. Saya terus ke dapur dan masuh muka.

“Macam mana Tamar?” Tanyanya ketika saya melintasi di ruang tengah.

“Setakat ini, tidak ada apa-apa,” kata saya.

“Kamu kena badi hutan.”

“Entah,” saya terus gelengkan kepala. Meneruskan langkah yang terhenti. Sebenarnya, saya tidak mahu mengingati dengan apa yang telah saya alami. Dan secara kebetulan pula, beberapa bahagian dari peristiwa itu bagaikan terus hilang dari ingatan saya,. Jika ada orang yang meminta saya menceritakan kembali, mungkin sebahagian kecil sahaja yang saya ingati.

“Duduk sini,” Uda Lamat memanggil saya. Bila dilihatnya saya mahu duduk di sudut kanan anjung rumah. Sebaik sahaja saya duduk datuk terus bangun, dia menuju ke halaman rumah membetulkan kedudukan beberapa batang buluh yang dijemurnya.

Menjemur batang-batang buluh yang baru ditebang, memang kerja datuk. Bila buluh-buluh itu berubah warna, datuk terus membelahnya untuk dijadikan bilah lokah atau dibuat raga besar bagi mengisi pisang. Saya tersenyum, melihat muka datuk berkerut-kerut menahan panas, kedua belah pelipisnya mula ditumbuhi peluh-peluh halus.

“Saya nak tanya,” kata saya pada Uda Lamat.

“Silakan, Tamar.”

“Benarkah apa yang terjadi pada saya ni, kerana ketegur atau kena badi orang mati bunuh diri?” Tanpa segan-segan saya ajukan pertanyaan pada Uda Lamat, sata rasa gembira angin yang bertiup di luar rumah masuk ke ruang anjung, badan terasa sejuk. Saya renung jam yang tersangkut di dinding, sudah hampir pukul sebelas pagi.

“Kamu jangan tak tahu Tamar, itu bukannya badi, bukannya penunggu atau ketegur, tetapi semuanya itu kerja iblis,” suara Uda Lamat meninggi. Matanya merenung ke arah datuk yang melangkah dalam panas ke arah anjung rumah.

“Saya membaca ayat-ayat suci, waktu berdepan dengan perkara-perkara yang pelik yang saya fikirkan ada iblis atau syaitan terlibat sama,” ujar saya penuh yakin. Datuk sampai ke ruang anjung, terus duduk.

“Soalnya, masa kamu menyebut ayat-ayat suci itu, adakah kamu yakin yang hati dan perasaan kamu tidak was-was padanya. Dengan bisikan jahat dan was-was inilah iblis telah menipu Nabi Adam. Menimbulkan rasa was-was, memang kerja iblis,” tanpa diduga datuk turut campur dalam perbualan saya dengan Uda Lamat.



SERONOK

Bila datuk campur tangan dalam hal seperti ini, hati saya tidak begitu seronok. Datuk selalu bertindak mahu mengajar dan membetulkan kesilapan diri saya di depan tetamu, perbuatannya itu secara tidak langsung memperbodoh-bodohkan diri saya. Inilah perkara uyang memang tidak saya gemari. Sebabnya, saya merasakan diri saya bukan budak-budak yang berusia antara sembilan hingga sepuluh tahun.

“Apa yang datuk kamu cakap itu memang betul,” Uda Lamat renung muka saya. Sebagai mengambil hati dan rasa hormat pada orang tua, saya terus tersengih. Datuk anggukkan kepala. Matanya merenung ke halaman rumah yang kelihatan membahang dengan cuaca panas.

“Selain daripada bentuk asalnya, iblis dan syaitan kadang-kadang menyerupai manusa. Boleh bercakap-cakap dengan manusia, memberi nasihat pada kita,” lanjut Uda Lamat dengan wajah yang serius.

“Peliknya, iblis boleh menyuruh dan menegah manusia daripada melakukan sesuatu,” sampuk datuk. Uda Lamat kelihatan bertambah bersemangat. Kemudian, datuk dan Uda Lamat terus menceritakan tentang peranan iblis dalam tingkah laku anak Adam. Biasanya, iblis atau syaitan akan menggoda manusia ketika seseorang itu berada dalam keadaan:

· Marah dan bernafsu.

· Melalui rasa dengki yang membara pada diri.

· Waktu manusia terlalu kenyang dengan makanan dan minuman.

· Ketika manusia menyukai perhiasan yang berlebihan, seperti hiasan bangunan, pakaian dan barang-barang kemas.

· Sifat tamak.

· Sifat terburu-buru.

· Menerusi sifat bakhil.

· Menerusi rasa fanatik mazhab.

· Waktu manusia mementingkan diri sendiri.

· Menerusi rasa atau sifat prasangka buruk terhadap saudaranya yang Islam.



Demikian datuk dan Uda Lamat menguraikan peranan iblis. Saya menerima keterangannya itu sambil berfikir bahawa iblis ada seribu cara untuk meruntuhkan dan mendorong manusia ke arah jalan yang tidak diredhai oleh Allah. Saya terus menarik bafas panjang.

“Bila dalam diri manusia terdapat perkara-perkara yang disebutkan tadi, mudah saja syaitan dan iblis menjalankan jarumnya,” dengan nada suara yang lembut datuk mengungkapkan kata-kata itu. Dia renung ke arah saya. Cepat-cepat saya menundukkan kepala. Terasa angin yang berlegar-legar dalam ruang anjung menyentuh hujung rambut di pelipis kiri.

Tanpa diduga, nenek menghidangkan satu teko kopi panas bersama dua cawan kosong. Saya kira nenek terlalu lambat menyediakan semuanya itu. Kenapa sudah berjam-jam Uda Lamat berada di rumah, baru disogokkan dengan kopi. Apakah datuk mengeluarkan perintah agar nenek berbuat demikian? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Minta maaf,saya terlambat,” nenek bersuara.

“Awak buat apa hingga terlambat?” Soal datuk.

“Tadi, saya ke kedai nak beli tepung untuk buat kuih nak jamu awak dan Uda Lamat, sampai ke kedai runcit saya tersangkut.”

“Mendengar cerita orang tau belajar mengumpat,” datuk membuat tuduhan secara terbuka pada nenek.

Saya lihat wajah nenek berubah. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang gembira bila dituduh secara melulu di depan tetamu. Sebagai isteri yang penyabar,kaya dengan pengalaman serta asam garam kehidupan, Nenek tidak memperlihatkan kemarahannya. Dia tetap tenang dengan senyum segar di bibir tua.

“Beberapa orang menasihatkan saya.. ,” nenek berhenti bercakap. Dia tuangkan air kopi ke cawan untuk datuk.

“Apa yang mereka nasihatkan awak?” Tanya datuk lalu berdirikan lututnya. Telapak tangan kanannya diletakkan ke atas tempurung kepala lutut kiri. Dia terus termenung sambil mengerutkan dahinya. Tetapi sepasang matanya tertumpu ke wajah Uda Lamat.

“Siapa yang menasihatkan awak tu?” Datuk mula cungkil rahsia. Nenek tetap tenang. Dia bersila di depan datuk.


“Tuan kedai menasihatkan kita supaya mengadakan jamuan atau semahan,” nenek mulakan cerita dengan wajah bersahaja. “Tujuannya, untuk menjamu penunggu hutan, penunggu gunung, penunggu paya supaya jangan mengganggu cucu kita dan orang-orang kampung yang lain,” nenek berhenti bercakap. Dia menelan air liur.

“Tuan kedai tempat awak mengambil barang tu namanya, Haji Taufik?” Uda Lamat kemukakan pertanyaan. Nenek anggukkan kepala. Saya lihat datuk resah, macam ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman dirinya.

“Kenapa Pak Haji menyuruh kita membuat sesuatu yang bertentangan dengan hukum Allah,” Uda lamat seperti mengeluh. Nenek terus bangun, menuju ke ruang dapur. Datang kembali ke anjung rumah membawa segelas air halia yang sudah ditaruh dengan beberapa titik madu lebah. Air itu, adalah untuk saya. Mungkin air halia bercampur dengan madu lebah mempunyai khasiatnya tersendiri. Tidak mengapa, bila Uda Lamat pulang, perkara itu akan saya tanyakan pada nenek atau datuk.

“Perbuatan khurafat,” suara datuk keras. Sepasang biji matanya terbeliak merenung muka saya. Menggigit bibir bersama rasa kesal yang amat sangat.

“Iblis memang tidak pernah berhenti dari berusaha menjadikan manusia memandang yang buruk itu baik, yang baik itu buruk, memang sudah aku duga perkara seperti ini akan timbul,” lanjut datuk lagi.

“Tak mengapa, kita harus membetulkan anggapan yang silap itu. Kita beritahu tempat kita mengadu dan meminta hanyalah pada Allah yang Maha Besar, bukannya pada penunggu, bukannya pada keramat,” Uda Lamat cuba menyejukkan hati datuk. “Ya, kita berusaha ke arah itu,” sahut datuk.

Saya kira, perkara yang dibincangkan itu habis di situ sahaja. Ternyata perkiraan saya itu tidak tepat, datuk dan Uda Lamat terus bercerita tentang masalah yang bersangkut paut dengan pendirian masing-masing. Tentu sahaja perkara semacam ini, tidak mengembirakan saya.

“Saya nak keluar, jalan-jalan keliling kampung tuk,” saya ajukan permintaan pada datuk. Uda Lamat renung muka saya.

“Jalan keliling kampung tu di mana?” Datuk meminta kepastian. Biji matanya tertumbuk ke wajah saya. Rasa cemas kembali bertandang dalam diri saya.

“Saya nak ke kebun, saya nak tengok pokok pisang, betik dan lain-lain lagi,” ungkap saya penuh ikhlas.

“Tak payah,” datuk memberikan kata muktamad. Saya menelan air liur kecewa. Uda Lamat dapat membaca rasa hampa dalam diri saya melalui riak muka.

“Tak payah pergi Tamar, dengar cakap datuk kau tu. Kamu tak berapa sihat,” Uda Lamat menyejukkan hati dan perasaan saya. Nasihatnya itu saya terima.

“Sebagai orang Melayu beragama Islam, kita adalah orang yang bertuah dan beruntung di dunia,” Uda Lamat lunjurkan kedua belah kakinya, membayangkan dia mahu bercerita secara serius dan panjang pula.

“Kenapa awak kata macam tu?” Tanya datuk.

“Apa yang ada pada kita, tidak ada pada orang Jepun, tidak ada pula pada orang Inggeris dan tidak ada pada orang Amerika,” jawab Uda Lamat. Jawapannya itu tidak menyenangkan diri datuk. Saya mula merasakan keterangan Uda Lamat itu kebudak-budakkan. Sebabnya, pada hemat saya orang-orang Jepun, Perancis, Amerika dan Inggeris satu bangsa yang maju dapat bergerak dan berkembang seiring dengan arus zaman abad kedua puluh. Masakan orang dapat mengikuti atau memiliki dengan apa yang ada pada diri mereka.

“Apa yang tak ada pada mereka tu? Kau nak kata mereka tak berilmu? Tak ada Tuhan, tak ada adat dan budaya, sedangkan mereka menguasai semua bidang dalam dunia ini,” datuk menyanggah pendapat Uda Lamat. Dalam hati kecil, saya setuju dengan pendapat datuk itu. Saya kira Uda lanat tidak dapat menghujah pendapat datuk. Uda lamat terus termenung. Agaknya berfikir untuk mencari jawapan.

“Apa yang tak ada pada mereka?” soal datuk lagi.

“Mereka tak ada IMAN,” jawab Uda Lamat, membuat saya dan datuk berpandangan sesama sendiri.

No comments:

Post a Comment