Jalan masuk ke kampung kecil iaitu kampung asal nenek saya
masih tanah merah, hanya sebatu dari pekan kecil di luar saja diturap minyak
tar. Apabila masuk ke dalam sedikit, di situlah dikenali oleh orang-orang
kampung sebagai Bukit Merah.
Sebenarnya Bukit Merah itu bukanlah bukit betul cuma
jalannya saja mendaki tinggi sedikit. Disebabkan jalan itu masih tanah merah
maka semua orang-orang di kampung itu mengelarkannya Bukit Merah. Orang orang
kampung terpaksa keluar ke jalan besar untuk menunggu bas, atau mahu ke bandar
dengan berjalan kaki atau menunggang basikal sejauh lebih tiga batu.
Bas pula hingga 6.00 petang saja melintasi di situ. Oleh itu
kebanyakan penduduk-penduduk kampung yang dianggarkan 50 kelamin saja itu akan
menunggang basikal saja sampai ke simpang di jalan besar. Kemudian mereka
tumpangkan basikal di rumah Kandayah seorang India pekerja estate, dan menunggu
bas di situ.
Sementara pekan kecil yang berhampiran dari rumah Kandayah
itu sejauh 2 batu. Kadangkala kalau mereka mahu balik malam sedikit, mereka
akan terus menunggang basikal ke pekan kecil sejauh 2 batu itu. Sebelah malam
memang tidak ada bas lagi, malah teksi sapu pun tidak mahu lagi mengambil
penumpang kalau sudah lebih dari jam enam petang.
Disebabkan sudah lama tidak balik ke kampung asal nenek
saya, maka saya telah mengikut sepupu saya ke sana. Ingin juga saya hendak
bertemu dengan Pak Andak Deraoh, kerana lama saya tidak bertemu muka dengannya.
Maklum saja bila sudah duduk berjauhan memang jarang dapat berjumpa muka.
Di sekitar kawasan Bukit Merah itulah mengikut kata Jani,
dua pupu saya itu, selalu orang bertemu dengan lembaga tidak berkepala.
Kononnya disitulah askar-askar Jepun memancung leher mangsanya dengan menyuruh
mangsanya itu menggali lubang terlebih dahulu. Selepas dipancung mangsanya itu
ditolak ke dalam lubang tersebut. Orang-orang kampung percaya mungkin lembaga
yang kelihatan itu adalah jelmaan dari mangsa-mangsa pembunuhan askar Jepun.
“Adakah lembaga-lembaga itu menganggu ?” saya bertanya
kepada Jani semasa melalui jalan Bukit Merah itu.
“Ada juga” jelas Jani antara percaya dengan tidak.
“Kadangkala dia menumpang naik basikal” ujarnya kelihatan
gelisah sedikit walaupun sebenarnya kami berada di dalam kereta. Jani yang
memandu kereta tersebut.
“Kau pernah kena ganggu?” soal saya mahu menduganya.
“Aku tak pernah pula bertemu lembaga itu” dia memberitahu.
“Maukah kau jumpa?” saya tersenyum mengusiknya.
“Buat apa” Jani tersengih-sengih mengerling ke arah saya.
Isterinya yan duduk di belakang ketawa kecil mendengar jawapan Jani.
Sehinggalah kami melepasi Bukit Merah itu tidak ada pula
bersua dengan lembaga tidak berkepala itu. Saya pun sma seperti Jani tidak mahu
bertemu makhluk-makhluk macam ini, tetapi saya tidak akan berundur kalau sudah
terserempak.
Kira-kira jam 9.30 malam kami sampai ke rumah Pak Andak
Deraoh. Dia pun terperanjat melihat saya, kerana selama ini cuma dua kali dia
bertemu saya. Itu pun ketika saya masih kecil. Ketika Jani melangsungkan
perkahwinan saya tidak dapat hadhir, kerana kebetulan saya pergi Mekah
menunaikan umrah. Sebab itulah saya bersetuju mengikut Jani balik, bukan
sebabkan tidak datang semasa Jani berkahwin, tetapi kerana mahu berjumpa dengan
Pak Andak Deraoh.
Sebenarnya, pak Andak Deraoh ini Cuma sepupu emak saya,
iaitu emak Pak Andak Deraoh itu adik nenek saya. Disebabkan duduk berjauhan
maka persaudaraan juga terasa macam berjauhan kerana jarang berjumpa.
Bagaimanapun saya selalu mengirim surat kepada Pak Andak Deraoh. Malah setiap
menjelang hari raya saya tetap mengirimkan kad hari raya. Cuma untuk datang
menziarahinya memanglah sukar, kerana saya disamping balik ke kampung sendiri
terpaksa pula seminggu kemudiannya ke kampung isteri saya pula di Perak.
Masaalah kesuntukan masa juga menjadi sebab utama mengapa
saya tidak dapat menziarahi Pak Andak Deraoh saya ini.
“Pak Andak ini selalu uzur.....” beritahu Pak Andak Deraoh
sebaik saja bertemu muka.“Jengok-jengoklah Pak Andak ni selalu, orang tua macam
daun nyiur tua, bila bila boleh luruh ke tanah” katanya tersenyum.
Saya hanya menganggukkan kepala saja.
“Mengapa tak bawa isteri kau sekali?” Mak Andak Nah pula
bertanya.
“Insya Allah lain kali datang lagi” saya menjelaskan.
Sebenarnya bukanlah saya tidak mahu membawa isteri dan
anak-anak menziarah sanak saudara. Tetapi saya tidak mempunyai kenderaan
sendiri tentulah sukar mahu berjalan jauh seperti di Pahang ini dari Kuala
Lumpur. Sebab itu lebih baik saya seorang diri saja menziarahi terlebih dahulu.
Lain kali apabila sudah tahu tempat yang hendak di tuju, boleh saya membawa
anak isteri bersama.
Kedatangan saya menziarahi Pak Andak Deraoh juga adalah
disebabkan cerita Jani mengenai Bukit Merah itu. Saya tidaklah tertarik dengan
kisah orang-orang kampung bertemu lembaga tidak berkepala di Bukit Merah,
tetapi mahu mendengar cerita Pak Andak Deraoh tentang sanak saudara saya di
Pahang.
“Ulung Bahar duduk di Lancang...” dia menerangkan sambil
mengerling ke arah saya.
“Pak Andak dengar selalu kau ke sana, maklumlah Ulung Bahar
tu banyak tahunya. Lainlah macam Pak Andak ni, orang tua tak berguna” katanya
macam menyindir saya.
Saya hanya tersengih-sengih saja mendengar sindirin
tersebut. Memang saya sedar, sudah beberapa kali saya menemui Ulung Bahar di
Lancang tetapi tidak pernah datang menemui Pak Andak Deraoh.
Bagaimanapun Pak Andak Deraoh tidaklah kurang hebat mengenai
cerita dirinya dari Ulung Bahar. Saya tidak datang menemui dia bukanlah
disebabkan kelebihan yang ada pada Ulung Bahar, sebaliknya setelah bertemu
dengan Jani inilah baru terkenang saya pada Pak Andak Deraoh. Sebelumnya saya
tidak tahu dimana dia tinggal, kerana dia pernah tinggal di Kelantan semasa
bekerja di sana. Mak Andak Nah itu, ialah isterinya yang keempat.
Esoknya barulah saya berkesempatan mendengar cerita mengenai
lembaga tidak berkepala di Bukit Merah itu. Kisahnya samalah seperti yang
diceritakan oleh Jani kepada saya iaitu disitulah askar Jepun memancung leher
mangsanya.
Pak Andak Deraoh sendiri mengalami kejadian bertemu dengan
lembaga tersebut. Kisahnya bermula ketika dia balik dari pekan kecil kira-kira
jam 10.30 malam melintasi jalan di Bukit Merah itu. Disebabkan jalan di situ
mendaki Pak Andak Deraoh terpaksalah turun menolak basikalnya.
Malam itu bulan samar-samar dan angin bertiup sepoi-sepoi
bahasa. Pak Andak Deraoh tidak merasa takut melintasi jalan tersebut kerana dia
memang sudah biasa balik malam dari pekan kecil di luar. Pada mulanya dia
menunggu kalau ada kawan-kawan yang mahu balik sama, tetapi sehingga jam 10.00
malam tidak ada orang dari kampung yang ternampak di pekan kecil itu, mahu tak
mahu terpaksalah Pak Andak Deraoh balik bersendirian.
Jalan masuk ke kampung dari jalan besar memang gelap kerana
pohon-pohon getah di kiri kanan jalan melindungi cahaya bulan yang samar-samar.
Keadaan sekitarnya mulai sunyi sepi kerana tidak ada kenderaan yang lain masuk
ke kampung tersebut. Hanya kedengaran bunyi cengkerik mengiang-ngiang yang
meremangkan bulu roma.
Tetapi Pak Andak Deraoh tidak merasa bimbang apa-apa. Dia
sendiri tidak hiraukan sangat tentang cerita orang-orang kampung yang pernah
bertemu lembaga tidak berkepala di Bukit Merah. Sehinggalah dia turun menyorong
basikalnya Pak Andak Deraoh tidak teringat langsung mengenai lembaga berkenaan.
“Tiba-tiba Pak Andak rasa basikal Pak Andak macam ditolak
orang dari belakang” ujarnya sambil mengingat-ngingat semula peristiwa yang
menimpanya pada malam tersebut.
Mula-mulanya dia tidak hiraukan sangat, tetapi apabila
sampai di pertengahan bukit Pan Andak Deaoh menoleh ke belakang. Hatinya
sekaligus berdebar melihat satu lembaga hitam tidak berkepala menolak
basikalnya. Dia cuba melawan ketakutan yang mula menganggu fikirannya. Mujurlah
Pak Andak Deraoh tidak cepat panik menghadapi keadaan demikian.
“Terima kasihlah datuk kerana menolong anak cucu.....” dia
memberanikan diri menegur lembaga tidak berkepala itu.
Lembaga itu tidak menyahut. Dia terus menolak basikal Pak
Andak Deraoh dari belakang. Serba salah juga Pak Andak Deraoh mahu bertindak.
Kalau dia cepat-cepat berjalan meninggalkan lembaga itu boleh jadi juga lembaga
berkenaan akan memintas di sebelah depan.
Pak Andak Deraoh sudah mendengar sebelumnya bagaimana Leman
Dibab dipintas oleh lembaga berkenaan. Disebabkan Leman Dibab terkejut
basikalnya ditolak dari belakang, dia telah menyorong basikalnya dengan berlari
kuat-kuat. Tiba-tiba lembaga berkenaan tercegat didepannya menahan basikal
Leman Dibab menyebabkan dia terhumban ke tepi parit jalan.
Nasib baik tidak lama lepas kejadian tersebut Jaamat dan Mat
Noh lalu di situ. Mereka terserempak dengan Leman Dibab terbaring di tepi jalan
tidak sedarkan diri. Mereka berdualah mengusung Leman Dibab balik. Tiga hari
Leman Dibab tidak sedarkan diri.
Isteri Leman Dibab memanggil Tok Andak Deraoh menubati
suaminya. Memang Pak Andak Deraoh sudah mengetahui bahawa Leman Dibab diganggu
oleh makhluk halus di Bukit Merah. Makhluk halus ini pula adalah berpunca dari
kejadian membunuh orang-orang yang disyaki menentang Jepun berberapa tahun
dulu.
Setelah sembuh dari tidak sedarkan diri barulah Leman Dibab
menceritakan apa yang dilihatnya di Bukit Merah. Dia melihat dengan mata
kepalanya sendiri lembaga tidak berkepala itu memintas jalannya. Lembaga itu
tidaklah mengganggunya, Cuma dia merintih minta tolong.
“Haiya, gua manyak sejuk, tlong sama gua.....” rintih
lembaga itu . Suaranya bergaung jauh tetapi jelas dapat didengar oleh Leman
Dibab.
Leman Dibab cuba melepaskan penumbuk. Setiap kali penumbuk
dihalakannya ke arah dada lembaga tersebut, setiap kali juga penumbuknya debus
menyinggah angin. Akhirnya dia merasakan pipinya ditampar kuat.
“Cilaka lu, gua mali minta tolong, tapi lu mau hantam sama
gua!” herdik lembaga itu keras.
Selepas itu sekali lagi Leman Dibab menerima tamparan keras
sehingga dia terhumban ke tepi parit jalan. Dia tidak dpat lagi bangun
menentang lembaga yang tidak berkepala itu. Tidak lama kemudian dia mendapati
dirinya berada di tengah-tengah kumpulan manusia yang tidak berkepala.
Mereka semua mengelilingi Leman Dibab merayu-rayu minta
tolong. Ini menyebabkan Leman Dibab bertambah takut kerana dia tidak tahu apa
harus dibuat. Mahu juga dia melarikan diri dari kepungan lembaga-lembaga tidak
berkepala itu, tetapi dia mendapati dirinya terkurung dalam jurang yang dalam.
“Gua punya leher manyak sakit looo” rintih salah satu
lembaga menghampiri Leman Dibab.
“Tolong sama gua, tolong kasi lepas sama gua,” Leman Dibab
meminta belas kasihan supaya dia dibebaskan.
“Apa macam gua mahu tolong sama lu, gua punya kepala pun
tatak,” herdik satu lembaga bertubuh besar memegang bahu Leman Dibab. “Lu patut
mesti tolong sama gua,” katanya lebih keras.
“Gua tak boleh tolong, gua tak boleh tolong,” ujar Leman
Dibab ketakutan.
“Apa pasal lu tak boleh tolong?” lembaga bertubuh besar itu
kelihatan marah.
“Apa macam mahu tolong ............” Leman Dibab
memberanikan hatinya.
“Kasi balik gua punya kepala,” kata lembaga itu.
Leman Dibab kebingungan. Bagaimana dia boleh memberikan
lembaga-lembaga berkenaan kepala? Kalau tidak dpat memberikan kepala apa pula
tindakan yang akan dilakukan oleh lembaga-lembaga berkenaan terhadap dirinya.
Dalam masa kebingungan inilah dia mendapati dirinya ditarik
oleh Jaamat dan Mat Nohdari dalam jurang. Tetapi lembaga-lembaga tidak
berkepala itu semuanya mengekori dia ke mana saja dibawa oleh Jaamat dan mat
Noh. Hanya selepas kedatangan Pak Andak Deraoh barulah lembaga itu melepaskan
dia pergi. Hinggalah dia sedar semula, Leman Dibab masih kelihatan takut-takut
walaupun dia tahu dirinya berada di rumahnya sendiri.
Apa yang dialami oleh Leman Dibab pernah juga berlaku pada
beberapa orang Cina penoreh getah yang melintasi Bukit Merah jam 5.00 pagi.
Kata penoreh-penoreh getah itu, lembaga-lembaga tidak berkepala itu bercakap
dengan mereka dalam bahasa Cina loghat Khek.
Oleh itu Pak Andak Deraoh tidaklah merasa bimbang bila
menghadapi kejadian yang menimpanya pada malam itu di Bukit Merah. Dia sudah
menduga bahawa yang menganggunya memang makhluk-makhluk halus yang berkeliaran
disitu akibat pembunuhan mangsa perang Jepun dulu. Makhluk-makhluk halus ini
juga adalah makhluk Allah, Cuma mereka tidak mempunyai jasad lengkap yang boleh
ujud pada mata kasar.
“Haiya gua punya leher manyak pedih looo” ujar lembaga itu
perlahan.
“Apa fasal datuk punya leher banyak pedih?” Pak Andak Deraoh
sengaja bertanya demikian.
“Oooo, itu orang tatak akai potong gua punya kepala,” jelas
lembaga itu merintih-rintih kesakitan. “Tolong kasi laaa gua punya kepala.”
Ujarnya macam terdesak.
“Apa macam cucu mau kasi datuk punya kepala,” Pak Andak
Deraoh mencari helah. Dia tahu kepala yang dituntut oleh lembaga itu bukanlah
kepala sebarangan. Dari pengalamannya ketika mengubat Leman Dibab, kepala yang
dituntut oleh lembaga itu adalah kepalanya sendiri.
Sampai di pertengahan bukit mendaki tegak, lembaga itu terus
naik ke atas basikal Pak Andak Deraoh. Berdebar juga hati Pak Andak Deraoh
kerana serba salah mahu bertindak. Kalau dilepaskan basikal tersebut, bimbang
uaga dia kala lembaga itu menerkam ke arahnya. Tetapi kalau dibiarkan saja,
terasa berat pula mahu menyorong basikal mendaki bukit tersebut.
“Kasilah gua punya kepala,” desak lembaga tidak berkepala
itu lagi.
“Itu kepala Jepun sudah angkat, datuk carilah sama Jepun,”
kata Pak Andak Deraoh mencari helah lagi.
“Haiya, gua punya leher manyak pedih,” lembaga tidak
berkepala itu tiba-tiba menarik basikal yang disorong oleh Pak Andak Deraoh.
“Bukan cucu punya salah, itu Jepun punya salah!” suara Pak
Andak mulai keras setelah didapatinya lembaga tidak berkepala itu terus juga
tidak mahu melepaskan dia.
“Lu jangan tipu, “ herdik lembaga itu menampar basikal Pak
Andak Deraoh. “Sekarang gua mau kepala, gua mau kepala, atak atau tatak!” dia
menyentap basikal Pak Andak Deraoh lalu dilimparkannya ke tebing jalan.
Di peringkat ini Pak Andak Deraoh tidak dapat bersabar lagi.
Nampaknya lembaga itu benar-benar mahu mencabar dia. Biasanya makhluk-makhluk
halus demikian kalau dipujuk secara lembut ianya cepat mengalah. Tetapi
berlainan pula dengan kejadian yang menimpa dirinya di Bukit Merah.
“Sekarang kau yang nak cari geruh aku, bukannya aku yang
minta,” Pak Andak Deraoh mengertap bibir.
“Aku tak akan berundur, membujur lalu melintang
patah!”jerkahnya sambil mengenggam penumbuk dan ditaupkannya ke pusat.
Ketika itu dia melihat lembaga tidak berkepala itu bukannya
bersendirian, terlalu ramai mengelilingi dia. Semua lembaga itu menghampiri dia
sambil menghulur tangan mengancam dirinya. Mereka berjalan terhuyung-hayang
bagaikan dalam keadaan kesakitan. Pak Andak Deraoh tidak berganjak dari
tempatnya berdiri menunggu kemaraan lembaga-lembaga berkenaan.
Dia menguatkan zikirnya hingga terasa seluruh urat sarafnya
ikut sama berzikir. Terasa denyut jantungnya ikut sama berzikir hingga bergema
dan bergaung memukul ke segenap bukit di sekeliling kampung. Pak Andak Deraoh
berdiri tegak tidak bergerak pada penglihatan zahir, tetpi jiwanya terus
berzikir menyebut nama Allah.
Lembaga-lembaga tidak berkepala cuba merapati dirinya
tiba-tiba saja terpelanting bagaikan sampah sarap ditolak angin kencang. Setiap
kali mereka terpelanting mereka bangun semula sambil menjerit-jerit kesakitan.
“Lu tipu sama gua, lu tipu sama gua!” pekik lembaga itu
marah.
“Sekarang, kalau awak tak mahu pergi, gua hantam lagi,” kata
Pak Andak Deraoh mengancam.
“Mana gua punya kepala?” desak lembaga bertubuh besar
bercekak pinggang jauh sedikit dari Pak Andak Deraoh.
“Ini lu punya kepala,” ujar Pak Andak Deraoh macam
melemparkan sesuatu dari genggamannya ke arah lembaga itu sambil membaca:
Hazihi jahanamullati kuntum tu ‘adun.
Pak Andak Deraoh dapat melihat sebutir bola api menerjah ke
dada lembaga itu menyebabkan ia terpekik meminta tolong. Seluruh tubuh lembaga
berkenaan terbakar dalam api yang membara dari bola api tersebut.
“Ampun, ampun latuk, ampun latuk,” rayunya terketar-ketar
meminta belas kasihan.
Lembaga yang terbakar itu tergolek-golek ke bawah bukit
dengan jeritan yang mengerikan. Walaupun demikian bukanlah bermakna
lembaga-lembaga yang lain berundur. Sebaliknya mereka semakin ramai
mengelilingi Pak Andak Deraoh. Namun Pak Andak Deraoh tetap tenang menghadapi
gangguan yang tiba-tiba saja menjelma di depannya.
“Sekarang awak sengaja nak cari geruh aku ye?” dia mengertap
bibir geram. Kemudian perlahan-lahan membacakan:
Innahu Min Sulaiman Wainnahu Bismillah Hirrahmannirrahim
Dengan jelas Pak Andak Deraoh melihat rantai-rantai besar
membelengu kaki lembaga-lembaga berkenaan. Kemudian dia membaca Al- Fatihah
sambil menghembus ke arah lembaga-lembaga itu menyebabkan semua lembaga itu berterbangan
seperti sampah sarap dilanda ribut. Sekaligus dia mendengar jerit pekik meminta
tolong dari bawah bukit.
Setelah merasakan tidak ada lagi gangguan Pak Andak Deraoh
pun mencapai semula basikalnya yang dilimparkan ke tebing jalan. Cepat-cepat
dia menunggang basikalnya balik ke rumah dengan tidak menoleh-noleh lagi ke
belakang. Tetapi Pak Andak Deraoh tidak pernah menceritakan peritiwa itu kepada
sesiapa pun kecuali kepada Mak Andak Nah saja.
Selepas itu jaranglah orang diganggu lembaga-lembaga tidak
berkepala di Bukit Merah. Penoreh-penoreh getah cina yang melalui jalan Bukit
Merah itu setiap pagi juga tidak lagi heboh dengan lembaga berkenaan.Mereka
juga sudah mulai berani berseorangan saja melalui jalan tersebut, kalau tidak
sebelumnya mereka pergi menoreh terpaksa menunggu kawan-kawan untuk pergi
bersama.
Hanya sekali sekali saja lembaga tidak berkepala itu muncul,
tetapi rintihannya lebih mengerunkan meminta tolong. Di samping itu terdengar
pula bunyi dering derang rantai diheret oleh kaki. Kadangkala tidak pula
terserempak dengan lembaga-lembaga tersebut, tetapi hanya didengar bunyinya
saja merintih-rintih kesejukan atau bunyi derang dering rantai diheret.
Cerita Pak Andaka Deraoh ini tidaklah mengherankan saya,
kerana tidak mustahil semuanya boleh berlaku. Malah ayat-ayat yang digunakan
oleh Pak Andak Deraoh seperti yang diterangkannya kepada saya itu, sama seperti
yang diberitahu oleh Tok Aji kepada saya. Dan ayat-ayat yang dikatakannya itu
bukanlah asing kepada saya.
“Sekarang masih ada lagi orang berjumpa dengan lembaga itu?”
soal saya setelah mendengar cerita dari Pak Andak Deraoh.
“Ada juga sekali sekala,” jelasnya memberitahu.
“Sekali sekala macam mana tu ?” saya bertanya lagi.
“Setahun sekali pun jarang orang berjumpa,” kata Pak Andak
Deraoh perlahan.
Memang makhluk-makhluk halus seperti ini tidak akan berani
mengganggu kalau manusia tidak lemah semangat. Tetapi kuat semangat saja tidak
akan memberi kesan kalau tidak berupaya menentangnya. Hanya ayat-ayat Allah
saja yang digeruni oleh makhluk-makhluk halus ini, kerana ayat-ayat Allah
adalah menembusi pandangan yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Pak Andak Deraoh menceritakan bagaimana dalam masa
pemerintahan Jepun, ramai orang-orang Cina yang tinggal di kampung dekat Bukit
Merah ditangkap atas tuduhan menentang Jepun. Mereka diheret ke Bukit Merah itu
dengan dipaksa mengali parit dalam di pinggir bukit. Setelah itu mereka dipaksa
membongkok, dan terus di pancung oleh askar-askar Jepun. Mayat mereka dibiarkan
saja di dalam parit itu dengan tidak dikambus.
Pernah Pak Andak Deraoh sendiri melihat kejadia ngeri itu
semasa dia balik dari kedai di pekan kecil.
“Masa itu agak-agak dalam pukul 11.00 pagi.” Kata Pak Andak
Deraoh mengingat-ngingat semula kenanagan lama. Ketika itu Pak Andak Deraoh
masih muda lagi, tentulah gerun dan cemas melihat kejadian seperti ini.
“Pak Andak kenal sangat Cina tu, namanya Ah Keong, buka
kedai basikal di pekan”ujarnya.
Semasa dia menyorong basikal mendaki jalan di Bukit Merah
itu dilihatnya ramai askar-askar Jepun. Beberapa orang Cina mungkin
saudara-saudara Ah Keong ada di situ, masing-masing menangis saja tidak berani
mahu melawan. Pak Andak Deraoh terpaksa mengangguk- ngangguk kepala di depan
askar-askar Jepun takut kena tempeleng.
Niat di hatinya mahu mahu terus saja balik ke rumah, tetapi
disuruh berhenti di seberang jalan. Tidak lama kemudian seorang askar Jepun
menyuruh beberapa orang lagi Cina dibawa ke situ dengan lori. Ada seorang
Melayu dilihat oleh Pak Andak Deraoh tetapi tidak dikenali oleh Pak Andak
Deraoh.
Di depan Pak Andak Deraoh itulah oarang-orang tawanan itu
dipancung. Setelah selesai upacara memancung itu barulah askar-askar Jepun
membenarkan orang orang yang melihat kejadian itu bersurai. Askar-askar Jepun
seolah-olah sengaja menyuruh mereka melihat bagaimana tindakan yang dilakukan
sekiranya berani menentang pemerintahan Jepun.
Selepas melihat kejadian itu Pak Andak Deraoh terus balik ke
rumah dalam ketakutan. Dua minggu lamanya dia jatuh sakit terigau-igau melihat
askar Jepun memancung leher Ah Keong.
“Itulah puncanya Bukit Merah tu ada gangguan,” beritahu Pak
Andak Deraoh seterusnya.
No comments:
Post a Comment