sbdj 41-50



41. Berkasih Dengan Langsuir

Datuk terus duduk di sisi saya di kaki tangga. Kami merenung suasana malam yang kelam itu. Suara lolongan anjing terus sambung menyambung, tingkah meningkah dengan suara cengkerik dan katak. Angin malam yang ber­tiup melanggar dedaun dan dahan-dahan pokok sekitar kawasan rumah, melahirkan bermacam-macam bunyi. Sekejap terdengar semacam orang berlari, sekejap terdengar semacam suara orang mengerang kerana menahan kesakitan.

"Selalunya perbuatan ni, perbuatan syaitan”, kata datuk lalu bangun, menuju ke kawasan yang di duga tempat buah pisang muda jatuh.

Seluruh kawasan itu datuk periksa. Tidak ada buah pisang muda yang ditemui, kecuali pelepah pisang yang panjangnya kira-kira lima inci. Datuk ambil pelepah pisang itu lalu diramasnya hingga hancur.

"Mari kita pergi ke rumah batu tu”, datuk tarik tangan saya.

Kerana datuk menarik agak kasar dan kuat, saya hampir tersungkur mencium tanah. Me­mang, ada ketikanya datuk kadang-kadang bersikap kasar dengan saya Dan saya tidak pernah tersinggung dengan perbuatannya itu, kerana saya tahu kasih sayangnya terhadap saya tidak pernah surut dari hari nuraninya.

Kami pun berjalan dengan hati-hati. Tidak ada kesukaran yang kami hadapi kerana cahaya bulan malam tiga belas Syaaban yang mengeluarkan cahaya yang samar-samar banyak menolong kami. Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, kami pun sampai di kawasan rumah batu dua tingkat itu. Datuk membuat keputusan untuk masuk ke kawasan rumah batu itu dari bahagian belakang yang dipagari dengan pokok-pokok buluh. Datuk mengalami kesulitan kerana bahagian sebelah dalam pokok-pokok buluh itu dilapisi dengan kawat berduri. Dalam jarak lima atau sepuluh kaki dari pohon-pohon buluh yang di tanam itu terdapat pula pokok besar yang tumbuh merimbun bersama dengan akar-akar yang berjuntaian. Suasana di situ terasa amat menyerarnkan.

Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Dengan pertolongan ca­haya bulan saya dapat melihat beberapa ekor ular, lipan dan kala jengking merayap-rayap atas daun buluh yang kemudian memanjat akar yang berjuntaian dari pokok besar.

"Bagaimana kita nak masuk tok?”, tanya saya dengan jujur.

Datuk terdiam. Matanya mula melihat bulan tiga belas Syaaban yang kian bersinar di dada langit. Ketika itu juga, saya terasa angin malam mula bertiup. Dedaun tua dari pokok besar kelihatan melayang-Iayang dan terus jatuh di atas daun buluh. Suara lolongan anjing kian hebat. Dalam saat-saat begitu saya terdengar suara burung hantu bersahut-sahutan di atas pokok besar. Bunyi angin yang menyentuh dedaun dan dahan-dahan kayu amat menakutkan. Bunyinya kadang kala macam orang menangis, macam orang mengeluh.

Semua terpaksa saya hadapi dengan tenang kerana datuk tetap dengan cita-­citanya untuk masuk ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat itu. Sayup-­sayup saya terdengar bunyi lonceng jam dari rumah dua tingkat itu berbunyi sebanyak dua belas kali. Badan saya mula menggigil akibat dijamah angin malam. Suara jeritan anjing liar bersahut-sahutan memanjang bagaikan merayu­-rayu hiba. Datuk mula berdiri kemas-kemas sambil memeluk tubuh. Datuk lalu menyuruh saya berdiri di sisinya dan berpeluk tubuh. Datuk mula mem­baca sesuatu. Dalam keadaan yang tenang itu tiba-tiba badan saya dan datuk ditimpa oleh air, macam air hujan sedangkan hari tidak hujan, cuaca cukup baik, langit cerah bersama bulan yang sedang mengambang.

"Air apa tok?" saya menyoal datuk.

Pertanyaan saya tidak mendapat jawa­pan. Angin kian kuat bertiup, lolongan anjing dan suara burung hantu berpadu menguasai malam yang sudah berganjak ke subuh. Air dari langit itu datang lagi, menimpa muka saya.

“Air apa tok?"

"Air kencing langsuir”

"Ha, saya takut tok”

"Diamlah”, pekik datuk.

Saya terdiam terus. Datuk segera mengangkat kedua belah tangannya separas dada, lurus, kemudian kedua belah tangannya itu dibengkukkannya hingga sepuluh jarinya menghala ke dada. Datuk menggerak-gerakkan ke­palanya. Sebaik saja datuk meletakkan tapak ta­ngan kirinya ke atas bahu kanan, pokok besar ber­goyang dengan hebatnya. Ranting-ranting kering jatuh ke bumi bertalu-talu.

Bila saja pokok besar itu berhenti bergoyang, terdengar suara orang perempuan mengilai pan­jang. Selain dari suara itu terdengar juga bunyi orang memukul pangkal peha dengan tapak tangan bertalu-talu, suara ketawa itu sambung menyam­bung dan bertingkah pula dengan suara anjing liar yang menyalak panjang. Lagi sekali pokok besar itu bergoyang. Datuk masih bertenang. Dia tidak peduli dengan suara perempuan yang ketawa itu. Datuk menarik nafas panjang serentak dengan itu suara perempuan mengilai segera berhenti dan diganti dengan suara perempuan menangis panjang.

"Jangan perdayakan aku”, suara datuk mula meninggi.

Datuk terus me­lompat ke arah pokok besar. Perdu pokok besar itu dipeluknya kuat-kuat. Dengan kekuatan yang luar biasa datuk mengegarkan pokok tersebut hingga daun dan dahan pokok itu jatuh ke tanah. Suara perempuan mengilai dan menangis terus hilang. Suasana di sekeliling luar rumah batu dua tingkat itu terasa sunyi sekali. Datuk masih lagi berada di bawah pokok besar. Dengan tenang datuk menikam perdu pokok besar dengan jari kelingking, saya lihat jari kelingkling datuk terbenam dalam perdu pokok tersebut. Bila jarinya dicabut, saya terdengar suara jeritan yang memanjang di atas pokok.

Datuk melompat kembali ke sisi saya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah membaca sesuatu. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, suara jeritan di atas pokok berhenti. Dari perdu pokok saya lihat seorang wanita berjalan ke arah kami, wanita itu memakai kain serba putih. Bila wanita yang memakai pakaian serba putih itu sampai di tempat saya dan datuk duduk, perempuan itu terus mengilai sambil mengibas-ngibas pa­kaian putihnya ke kiri dan ke kanan, ketika itu juga bunyi suara burung hantu bertambah kuat bersama lolongan anjing. Perempuan yang memakai pakaian serba putih itu bagaikan terangkat dari bumi bergerak menuju ke bumbung rumah batu dua tingkat.

"Apa benda tu tuk?"

"Itulah langsuir”

"Dia nak kemana tok?”

"Entah”, suara datuk pendek.

Saya terdiam dan tidak mahu mengemukakan pertanyaan padanya. Datuk dan saya terus berlegar-legar di tepi pagar pokok buluh. Saya tidak tahu apakah yang akan datuk lakukan. Saya selalu saja cemas melihat ular yang menjalar di atas pokok buluh. Datuk terus menepuk bumi tiga kali. Seluruh kawasan tempat saya berdiri jadi berasap tebal. Dua tiga kali saya terbatuk, kepala saya mula terasa pening. Lagi sekali datuk menampar bumi, kali ini saya lihat pagar-pagar dari pokok buluh ter­belah dua terbentang jalan berpasir menuju ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat.

"Masuk”, kata datuk.

"Ya, saya ikut”

Saya pun mengikut langkah datuk. Datuk melangkah tiga langkah ke depan. Bila langkah yang keempat dimulai, datuk merendahkan badannya ke kiri dan tumit kakinya diangkat setinggi empat inci. Sementara kaki sebelah kanan di angkat separas lutut. Apa yang datuk lakukan saya buat dengan teliti. Datuk terus menampar tapak kaki kirinya dengan tangan kanan tiga kali berturut-turut. Bila datuk me­letakkan ibu jari kirinya ke pangkal hidungnya, saya terdengar satu letupan kecil dan diikuti dengan kepulan asap yang tebal.

Bila kepulan asap itu hilang, pokok buluh yang terpisah tadi bercantum kembali. Dan kami sudah pun berada di dalam kawasan rumah batu dua tingkat. Saya dan datuk duduk di bawah pokok Bunga Tanjung. Tingkap bilik tidur di rumah batu dua tingkat itu terbuka. Lampu masih terpasang.

"Kita tengok apa yang akan berlaku. Kau jangan tegur”, datuk mengingatkan saya, sambil melilitkan secebis kain hitam di pergelangan tangan kanan saya. Angin malam, terus juga bertiup, embun jantan mula turun. Saya mula terasa kesejukan, bibir saya mengeletar. Tiba-tiba lampu di bilik tidur dipadamkan buat beberapa minit. Bila lampu itu di hidupkan, pemuda yang dikatakan mengalami penyakit ganjil mendepankan kedua belah tangannya sambil menguap panjang. Lepas itu dia menekan jenang tingkap. Kerana dia tidak memakai baju, bulu dadanya jelas kelihatan begitu juga dengan bulu ketiaknya. Wa­laupun malam terasa amat dingin tetapi pemuda yang tinggal di rumah batu dua tingkat itu tidak terasa dingin.

Pemuda itu merenung ke langit pada bulan yang kelihatan bersinar di dada langit. Dengan mendadak saja pemuda itu menjerit terlolong macam anjing menyalak kucing di atas pokok. Bila pemuda itu se­lesai menjerit dia terus memadamkan lampu biliknya. Dalam beberapa minit kemudian saya dapat lihat lampu di bahagian bawah me­nyala. Serentak dengan itu pemuda tersebut terus membuka pintu. Sinar lampu di bahagian depan itu sampai ke kawasan pokok Bunga Tanjung, saya dan datuk terpaksa berlindung di balik batang pokok tersebut, dengan berbuat demikian kami harap pemuda tersebut tidak akan dapat melihat kami. Apa yang kami harapkan memang menjadi, pemuda itu tidak merenung ke arah kami.

"Wangi”, bisik saya pada datuk, kerana saya terhidu bau yang wangi datuk segera menekup mulut saya dan memberitahu saya supaya jangan menegur sesuatu yang dirasakan ganjil. Cakap datuk itu saya patuhi. Bau wangi itu terus menusuk lubang hidung saya.

Tiba-tiba pemuda yang tinggal dirumah batu dua tingkat itu muncul di muka pintu dengan pakaian yang cukup rapi. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya ke tiang pintu. Dia merenung ke depan sambiI menarik nafas de­ngan tenang. Seolah-olah dia cukup senang menyedut udara yang berbau harum itu. Dari kejauhan saya dan datuk mula terdengar lolongan anjing yang mendayu-dayu. Di tengah suara anjing yang mendayu-dayu itu pemuda ganjil itu menari sambil menyanyi dengan kuatnya dan matanya tetap melihat bulan yang me­ngambang. Saya mengeluh panjang, dari arah jalan yang menuju ke pintu rumah batu dua tingkat itu, saya melihat seorang perempuan bergaun putih menuju kearah tempat pemuda ganjil itu berdiri.

Angin malam yang berhembus membuat gaun perempuan berkibar-kibar, seakan-akan menari dijalan menuju ke rumah yang sepi itu. Datuk menyuruh saya membaca beberapa potong ayat Al-Quran dengan tujuan menghalau syaitan. Saya jadi kelam kabut, tidak ada satu ayat pun yang dapat saya ingati. Seluruh badan saya mengeletar.
Datuk segera membaca beberapa mantera peneguh semangat, kemudian datuk hembus cuping telinga sebelah kanan saya tiga kali berturut-turut. Rasa cemas dan darah gemuruh saya mula terkawal. Saya dapat menumpukan per­hatian saya pada lelaki ganjil dan perempuan yang bergaun putih.

Saya lihat perempuan bergaun putih itu sudah berdiri di hadapan pemuda tersebut sambil menghulurkan tangannya. Pemuda itu menyambut tangan perempuan yang bergaun putih dengan senang hati. Mereka berpeluk-pelukan. Suara anjing terus menyalak mendayu-dayu, angin terus bertiup tenang, bau harum menguasai seluruh kawasan rumah batu dua tingkat itu.

"Perempuan itu syaitan menjadikan dirinya wanita cantik”, bisik datuk pada saya.

"Mana boleh begitu, dia manusia”, saya membantah.

"Kau baring rapatkan telinga kanan kau ke bumi, dan mata kau renung ke arahnya”, ujar datuk.

Saya patuh dengan cakapnya. Bila saya sudah meniarap datuk pun memegang buku lali kaki kiri saya, dia menyuruh saya melihat ke arah perempuan yang memakai gaun puith. Lagi sekali saya menarik nafas panjang, perempuan yang bergaun putih memang berwajah hodoh. Matanya merah, kepalanya tanpa rambut, hidungnya panjang macam sumbu badak dari kedua belah rehangnya terjulur gigi yang panjang macam gading gajah.

"Sudah, jangan tengok lama-lama, nanti kau tak boleh tidur”, datuk terus menepuk pangkal ketiak saya.

Semua yang saya lihat hilang, perempuan yang bergaun putih yang sebentar tadi saya lihat dalam keadaan yang amat mena­kutkan, sudah kembali normal pada penglihatan macam manusia biasa. Pemuda dan perempuan bergaun putih itu melangkah ke arah bangku yang terletak dibawah pokok Cempaka, mereka duduk di situ dan ber­cengkerama.

"Kau cantik macam kawan kau juga Mariatun”, kata pemuda itu sambil memeluk pinggang wariita yang bergaun putih.

Percakapan mereka dapat saya dengar dengan jelas, setelah datuk dan saya berkisar tempat duduk iaitu ke arah angin datang. Datuk juga mengikat secebis kain hitam pada sebatang kayu yang dipacakkan dihadapan kami. Memang menakjubkan, kain hitam yang se­besar dua jari itu bagaikan ada kuasa menghan­tarkan buah bicara pemuda ganjil dan perempuan bergaun putih kepada saya dan datuk.

"Jangan kau tinggalkan aku dan kawan-kawan­ku”, suara perempuan bergaun putih.

Si pemuda terus ketawa terkekeh mendengar cakap kekasih­nya itu. Tiba-tiba pemuda itu terus mendukung perempuan bergaun putih, dibawanya kerumah iaitu di tingkat atas. Beberapa saat kemudian lampu dibilik tidur menyala, saya lihat perempuan bergaun putih membuka gaunnya lalu merangkul pinggang pemuda. Kedua-duanya rebah di atas ranjang, apa yang saya dengar ialah suara ketawa pemuda dan perempuan bergaun putih penuh mesra.

Datuk terus mengajak saya pulang, saya tidak membantah. Waktu saya dan datuk keluar dari kawasan rumah batu dua tingkat itu, bau harum masih lagi berleluasa di situ, suara salakan anjing mendayu-dayu, dan lampu di bilik tidur pemuda ganjil itu terus menyala. Sebaik saja saya dan datuk sampai ke kaki tangga rumah khas, saya ter­dengar suara jeritan orang perempuan, lalu di ikuti oleh suara orang lelaki, cukup nyaring dan meremangkan bulu tengkuk. Jeritan dari lelaki itu me­manjang dan bergema di tengah malam yang dingin.

Suara jeritan itu berlanjutan hingga beberapa jam. Bila bulan di langit dili­puti awan dan tidak boleh mengeluarkan sinarannya, suara jeritan pemuda itu akan berhenti. Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. Datuk sandarkan badan ke dinding. Saya rebahkan badan di atas lantai. Beberapa minit kemudian saya terlena, tidak ada sesuatu yang saya takutkan, bila tidur sudah menguasai diri.

Pagi itu, datuk sengaja mengajak saya pergi mandi embun berhampiran kawasan rumah batu dua tingkat itu. Kemudian datuk dan saya terus menceroboh ke kawasan rumah pemuda yang di anggap oleh orang-orang
kampung mengalami penyakit ganjil. Saya dan datuk masuk ikut sebelah kanan bangunan tersebut. Kerana banyak pokok-pokok tumbuhan yang tumbuh di situ, kami tidak begitu sukar untuk memperolehi air embun.
Menurut datuk, kebanyakan pokok yang tumbuh di situ semuanya dari jenis daun yang ada khasiat. Sedang saya dan datuk asyik mandi embun, tiba­-tiba secara mengejut seekor kucing hitam muncul dari celah-celah rimbunan pokok buluh. Rupa kucing itu amat ganjil sekali. Seluruh bulu di badannya berwarna hitam. Tetapi dibahagian mukanya terdapat buluh putih yang tumbuh melintang.

Kucing itu menerkam ke arah datuk dan mahu membaham ibu jari kaki kiri datuk. Cepat-cepat datuk mengelak, kucing itu segera pula melompat ke arah datuk dan bersedia untuk menggigit jari tangan kiri datuk. Datuk menggigit bibir, dia terasa ada sesuatu yang ganjil pada kucing hitam itu. Kucing hitam itu bukan kucing sebarangan. Matahari pagi terus bangkit dan mengeluarkan sinarnya lalu memanah ke setiap dinding rumah batu dua tingkat itu. Saya mula terasa kulit muka pedih, akibat sinaran matahari.

"Bersedia”, kata datuk.

Serentak dengan itu datuk menghentakkan tumit kaki kanannya ke bumi sebanyak tujuh kali. Kucing hitam itu mengiau , saya lihat kucing hitam itu sudah tidak mampu untuk bergerak tetapi dia masih mampu memperlihatkan gigi dan taringnya pada kami.

"Berambus kau”, suara datuk keras, dia lantas memetik ibu jari tangannya.

Kucing hitam itu bagaikan ditolak oleh sesuatu, tercampak ke dalam perdu buluh dan mengiau panjang di situ.

"Mari kita mandi lagi”, datuk tolak badan saya.

Saya terdorong ke hadapan. Kami sudah berada betul-betul di hadapan pintu rumah batu dua tingkat. Da­tuk meneliti keadaan pintu rumah tersebut, macam mencari sesuatu. Saya dan datuk terkejut. Pintu rumah batu dua tingkat itu terbuka. Pemuda ganjil muncul di hadapan kami dengan senyum.

"Mengacau saya?"

"Tidak, kami tersesat”

"Huh, sila masuk”

Datuk dan saya terus menunaikan jemputan pemuda itu. Pagi itu pemuda tersebut nampak kemas, rambutnya disikat rapi lurus ke belakang. Orangnya tinggi kurus. Wajahnya agak pucat dan kurang bermaya bila melangkah. Kelopak matanya seakan-akan mahu tertutup macam orang keletihan dan kurang tidur.

"Nak minum apa?", tanya pemuda itu pada kami.

"Tak payah, kami sudah minum”

"Saya kurang tidur, malam tadi isteri saya datang”

"Isteri?”

"Ya, kenapa?"

Datuk tidak menjawab pertanyaan orang muda itu. Tanpa di minta oleh datuk, pemuda itu menceritakan orang-orang kampung menyingkirkan dirinya kerana berkahwin sendi­rian. Datuk hanya anggukkan kepala sahaja.
Ternyata cerita pemuda itu amat berbeza dengan cerita orang tua dan orang kampung sendiri. Kemudian pemuda itu membawa saya dan datuk ke dapurnya. Dia menunjukkan periuk dan kuali yang selalu di gunakan oleh isterinya. Pemuda itu juga menunjukkan beberapa helai rambut isterinya yang disimpan dalam botol. Tetapi, bila datuk mahu memasukkan paku ke dalam botol yang ada rambut isterinya, pemuda itu melarangnya.

"Pesan isteri saya, jangan bawa paku bila datang ke sini, rambutnya tak boleh kena paku, nanti rumah terbakar”

"Maafkan saya, berapa bini awak?”

“Tiga orang”

"Bila dia datang melawat awak?"

"Sebelah malam, bila bulan mengambang mereka datang bergilir-gilir”

Dialog yang terjadi antara datuk dengan pemuda itu amat menarik hati saya. Dari percakapannya itu, tidak nampak pemuda itu seorang yang ganjil. Dia adalah manusia biasa. Soalnya, kenapa dia menjerit bila bulan mengambang dan tinggal sendirian di rumah batu dua tingkat? Pertanyaan itu berlegar-Iegar dalam kepala saya. Akhirnya, datuk meminta diri dari pemuda itu untuk pulang. Pemuda ganjil menghantar kami ke pintu pagar. Baru tujuh tapak datuk melangkah dari pintu pagar rumah batu, dia segera memusingkan badannya menyebabkan langkah saya yang rancak terhenti. Datuk merenung ke pintu pagar dan saya lihat pemuda ganjil melambai-Iam­baikan tangan ke arahnya.

"Dia bagaikan tahu gerak-geri aku”, keluh datuk dan memusingkan badannya ke tempat asal, membelakangi pintu pagar dan rumah batu.

Datuk dan saya meneruskan perjalanan tanpa menoleh ke arah pintu pagar rumah batu. Matahari pagi terus kembang, cahayanya jatuh ke daun-daun pokok yang dilekati air embun, sekali pandang air embun yang di panah oleh sinar matahari kelihatan berkilau-kilauan bagaikan batu berlian. Hati saya terasa senang men­dengar kicauan berburung dihujung dahan.

"Berhenti dulu”, kata datuk dan langkah saya terus kaku.

Datuk terus mengeliat sambil meramas daun ketapang dengan tangan kanan. Datuk melihat pokok-pokok ketapang yang berdaun lebat tumbuh di situ. Tanpa memberitahu saya, datuk terus memeriksa setiap batang pokok ketapang .yang terdapat di situ.

"Apa yang tok cari?", tanya saya setelah datuk berada di samping saya. Datuk mengedutkan dahi sambil menggigit bibirnya.

"Tak ada apa-apa”

"Kalau tak ada apa-apa, kenapa diperiksa?"

"Ah, kau ni banyak cakap sangat, jalanlah”, suara datuk agak keras.

Dia terus menolak bahu kanan saya. Walaupun saya tidak melahirkan sebarang bantahan atas tindak-tanduk datuk itu, tetapi hati saya tetap tidak puas. Cara yang paling selamat ialah melihat tindak-tanduk datuk selanjutnya itu lebih baik dari memaksa dirinya bercerita, fikir saya dalam hati. Saya dan datuk terus mengatur langkah, meninggalkan pokok-pokok keta­pang, pokok buluh dan keduduk di belakang. Badan saya mula berpeluh dan perut sebelah kanan saya mula terasa sakit kerana penat berjalan. Tetapi, datuk tidak nampak letih. Langkahnya masih rancak, mukanya kelihatan merah dan berseri, macam orang muda yang baru berusia tiga puluhan.

Kami sampai ke rumah yang dikhaskan untuk kami. Datuk terus memasak air panas dan membuat kopi. Ketika kami sedang enak menghirup kopi, saya terdengar suara orang batuk diluar. Datuk segera letakkan cawan kopi ke piring dan mata kanannya dikecilkan hingga kedua belah keningnya hampir bertemu. Dengan perlahan-Iahan datuk meletakkan jari manis sebelah kanan atas tulang pipi. Dia bagaikan melihat sesuatu di luar rumah dengan kuasa matanya.

"Naiklah”, ujar datuk. Seorang lelaki memakai baju Melayu cekak musang, berkain pelikat petak besar muncul di muka pintu. Sebelum meletakkan punggungnya ke lantai lelaki itu angkat tangan pada datuk .

"Silakan duduk”

"Terima kasih"

Lelaki itu sandarkan badan ke dinding. Datuk pun segera duduk disisinya. Wajah lelaki itu kelihatan tenang dengan rambut yang disikat rapi lurus ke belakang.

"Bagaimana dengan anak saya?"

"Sabarlah, saya sedang berusaha”

"Malam tadi dia datang ke rumah saya, dia nak tikam emaknya dengan buluh runcing. Dia marahkan emaknya kerana awak ada di sini”

"Malam tadi? Ah pelik benar keadaannya”

"Tidak pelik. Dia datang betul, nasib baik setelah saya pujuk dia tinggalkan rumah saya dengan aman”

Wajah datuk saya lihat cemas sedikit setelah mendengar cerita dari ayah pemuda aneh itu. Hati saya jadi serba salah untuk memastikan sama ada cerita itu benar atau tidak. Se­panjang yang saya tahu dan Iihat pemuda aneh itu tidak kemana malam tadi. Saya kira datuk mengetahui tentang kedudukan hal ini. Datuk renung muka saya sambil menegakkan ibu jari kirinya, saya faham dengan maksud itu. Dia mahu saya jangan campur dalam urusannya atau membuka rahsia apa yang telah dilakukan oleh datuk dan saya malam tadi.

"Saya tak tahu langsung perkara itu”, datuk membohongi ayah pemuda ganjil itu.

Secara diplomasi datuk bagaikan memaksa ayah pemuda ganjil bercerita tentang rumah batu tempat pemuda ganjil itu tinggal. Tujuan datuk berbuat demikian bukan apa-apa atau ada maksud yang tertentu. Saya kira dengan mengetahui asal usul sesuatu kejadian itu adalah lebih baik dan memu­dahkan tugasnya. Senang bertindak dan membuat keputusan. Mungkin kerana ayah pemuda ganjil itu memang mengharapkan pertolongan datuk untuk mengubat anaknya, dia terus bercerita dengan terus terang.

Menurutnya, rumah batu itu milik arwah ayahnya yang berasal dari Muara Enim, Jambi, Sumatera Selatan, Indonesia. Rumah itu didirikan dari hasil rompakan yang dilakukan oleh arwah ayahnya ketika disana. Dalam rancangannya, wang yang dirompak dari o­rang-orang Belanda itu akan dikumpul untuk digunakan bagi menentang pen­jajah Belanda. Kerana arwah ayahnya cekap dalam kira mengira dan dianggap amanah lalu ia dilantik sebagai penyimpan wang rompakkan itu. Tiba-tiba arwah ayahnya gelap mata lalu melarikan wang itu ke tanah Semenanjung. Bila sampai di Semenanjung, ayahnya menukar nama dan membeli sebi­dang tanah lalu mendirikan rumah batu, di samping itu menjalankan pernia­gaan kayu balak dan lombong.

"Sayangnya, rumah itu tidak dapat didiami oleh arwah ayah saya kerana ada lembaga hitam yang tangannya berbulu tebal mengganggu ayah saya. Malah saya, menurut cakap ibu dilahirkan di rumah lain”, kata ayah pemuda ganjil itu.

Katanya lagi, dalam zaman pemerintahan Jepun rumah itu dijadikan mar­kas tentera Jepun untuk memancung kepala orang-orang yang menentang mereka. Bila Jepun kalah rumah itu dijual pada seorang saudagar Cina, tetapi saudagar itu memulangkan kembali rumah tersebut pada warisnya.

"Bila ayah awak meninggal?" tanya datuk.

"Sebelum Jepun mendarat di Kota Sharu, Kelantan dalam tahun 1942”

"Apa amanatnya pada awak?"
"Dia mahu anak saya atau cucunya dihantar ke Padang Panjang, Sumatera, untuk belajar agama, dia mahu cucunya jadi seorang ulama yang terkenal”

"Awak tunaikan amanatnya?"

"Saya tunaikan”

"Anak yang mana awak hantar ke sana?"

"Anak saya yang tinggal di rumah batu itu”

Datuk tersentak mendengar cakap ayah pemuda ganjil itu. Saya menarik nafas panjang. Ayah pemuda ganjil itu menggaru kulit rambutnya yang tidak gatal. Matanya merenung sayu ke wajah saya macam orang putus asa. Datuk bangun lalu berdiri di muka tingkap melihat sinar matahari pagi yang garang menikam halaman rumah.

"Berapa lama anak awak di sana?", soal datuk.

"Baru dua tahun disana, dia tidak mahu belajar dan pulang kesini lalu tinggal di rumah itu”, ayah pemuda ganjil memicit dahinya berkali-kali.


Datuk kembali duduk di sisinya.





























42. Sepasang Tangan Berbulu

Suasana dalam rumah terasa amat sepi. Datuk dan ayah pemuda ganjil itu tidak berkata walau sepatah pun, begitu juga dengan saya. Kesepian itu terusik juga oleh kicau burung murai yang mencari cacing di luar rumah.

"Sabarlah, nanti saya usahakan. Dengan izin Allah anak awak akan kembali pada keadaan asal”, tiba-tiba datuk bersuara.

Bahu ayah pemuda ganjil itu ditepuknya berkali-kali. Ayah pemuda ganjil itu minta diri dan datuk meng­hantarnya hingga ke kaki tangga.

"Menerima amanah mudah tetapi menunaikan amanah memang pahit. Ba­nyak godaan dan dugaan yang tiba. Kalau kurang iman jahanam diri sendiri dan balanya berterusan”, kata datuk dengan nada suara yang lemah sambil merenung wajah ayah pemuda ganjil.

Dari muka pintu saya lihat, ayah pemuda ganjil itu berada dalam serba salah, air mukanya berubah mendengar kata-kata dari datuk itu.

"Apakah anak saya menerima bala dari perbuatan datuknya?"

"Entahlah, hanya Allah yang mengetahui dalam hal ini”

"Saya rasa perbuatan ayah saya tidak bertentangan dengan hukurn agama. Dia merampas harta musuh dalam keadaan darurat atau berperang”

"Saya faham. Kalau tak silap, perbuatan itu diharuskan oleh agama Islam. Malah Nabi Muhammad S.A.W. pernah melakukannya. Harta rampasan itu dibahagi-bahagikan atau digunakan untuk kebajikan agama, tetapi ayah awak tidak amanah sudah menyimpang jauh dari hukum Islam”

Ayah pemuda ganjil itu terdiam mendengar keterangan dari datuk. Tanpa banyak cakap dia terus berjabat salam dengan datuk, kemudian melangkah dengan tenang meninggalkan kawasan rumah khas kami.

"Kau tunggu rumah. Aku mahu mengambil air sembahyang”, datuk memberitahu saya.

Belum pun sempat saya memberi jawapan, datuk hilang dari pandangan saya. Tidak tahu kemana datuk pergi.
Semua cawan dan piring kosong saya bawa ke­ bahagian dapur dan terus membasuhnya hingga bersih. Lepas itu saya susun atas para. Bila saya kembali ke ruang tengah rumah, saya dapati datuk sedang duduk menghadap ke arah kiblat. Datuk membaca Surah Yasin hingga tamat. Kemudian dia membilang tasbih berzikir panjang. Saya membiarkan datuk dengan kerjanya dan saya terus menyusun dan membersihkan akar-akar kayu dan batu-batu yang dikutip semalam.

Menurut datuk, bila semuanya sudah bersih, barang-barang itu mesti dile­takkan di atas bendul rumah supaya kena matahari dan benda-benda itu tidak boleh dilangkah oleh manusia atau binatang. Bila matahari berada betul­-betul di tulang bumbung rumah, datuk menghentikan tugasnya. Dia mengambil beberapa akar kayu dan batu yang saya susun di bendul. Barang-barang itu di bawanya ke tanah dan diatur atas sekeping papan pada tengahari yang rembang. Datuk berpanas di situ hingga seluruh badannya berpeluh. Datuk masuk ke rumah lalu menyapu peluh di muka dengan belakang tangan. Kerana waktu Zuhur sudah sampai, datuk menggesa saya mengambil air sembahyang. Saya dapati datuk sudah berada di sisi saya. Datuk tidak saya hiraukan.

"Air itu tidak rata. Kau harus membasuh kakimu hingga sampai ke bulu lali dan air itu mesti kena jari kakimu, ambil air sembahyang mesti betul. Kalau ambil air sembahyang tidak betul macam mana sembahyang boleh betul”, tegur datuk. Saya tersenyum dan segera mematuhi cakapnya.

"Ingat, jangan ambil air sembahyang sebarang. Ikut syaratnya, kalau tak tahu belajar dan bertanya”, tambahnya.

Dan datuk terus mengambil air sem­bahyang. Bila sudah selesai, kami kembali ke rumah menunaikan fardu zuhur. Lebih kurang pukul dua petang, datuk suruh saya kumpulkan akar-akar kayu dan batu yang dijemurnya dalam baldi kecil. Dengan baldi kecil itu, saya dan datuk membawa barang-barang tersebut kerumah batu. Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke rumah itu, datuk mengambil baldi dari tangan saya. Bila sampai di pintu pagar rumah batu, datuk tepuk baldi dengan tangan kanannya dan pintu pagar terbuka dengan sendiri. Sebaik sahaja berada di halaman rumah batu, datuk ambil tiga batu dan tiga urat akar kayu. Batu dibuang kearah kanan dan akar kayu dibuang ke arah kiri. Mulut datuk kelihatan bergerak-gerak, sebiji batu dalam baldi diambilnya lagi dan batu itu di gosoknya berkali-kali.

Akhirnya, batu itu diletakkan betul-betul didepan pintu rumah batu yang tertutup rapat. Bila datuk memijak batu itu dengan kaki kirinya, pintu rumah batu terbuka dengan sendirinya. Saya terpandang macam ada batang tubuh wanita berdiri di muka pintu beberapa saat. Saya tidak dapat memastikan wajah wanita itu kerana ia muncul sekejap saja dan macam bayang-bayang pula.

"Mari masuk Tamar”, kata datuk.

"Untuk apa tok?"

"Mari masuk”, sergah datuk sambiI merenung kelangit melihat matahari yang bersinar terik serta gumpalan awan yang bergerak ke arah barat daya.

Saya tidak tahu, entah mengapa kaki saya terasa berat untuk melangkah, macam ada sesuatu yang membelenggu kedua belah kaki saya. Bulu roma saya mula tegak, rasa takut bersarang dalam hati. Bila saya renung ke arah pintu yang terdedah, saya bagaikan terpandang sesuatu yang aneh. Saya semacam terpandang orang berjanggut panjang beberapa saat. Bila orang itu hilang, saya terlihat perempuan cantik berhidung panjang sampai ke dada. Bila perempuan itu hilang saya terlihat orang memakan bara api, semuanya bertukar ganti dalam masa yang cukup pantas.

"Saya takut tok”

"Mengarut, mari”, datuk menarik tangan saya sambil menekan nadi di pergelangan tangan dengan ibu jarinya bagaikan terkejut, macam orang kena kejutan letrik.

"Mengucap Tamar”, kata datuk lagi saya pun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang dan teratur.

Saya dan datuk terus melangkah ke dalam ruang rumah. Saya lihat beberapa ekor labah-Iabah merayap di dinding. Hampir seluruh kawasan ruang itu dipenuhi oleh sarang labah-Iabah dan angkut-angkut, keadaan didalam rumah itu kelihatan suram dan samar-samar. Datuk membuka salah sebuah tingkap di situ untuk mendapatkan cahaya matahari. Bila cahaya matahari masuk ke dalamnya, ba­rulah saya melihat pecahan kaca dan tembikar ber­selerak di lantai, dua tiga ekor lipan bara melarikan diri dari terkena cahaya matahari, empat kerusi kuno dan sebuah meja kuno sudah berlubang-Iubang di makan oleh anai-anai.

Di kaki tangga untuk naik ke tingkat atas ter­dapat sebuah busut jantan yang tingginya hampir lima kaki. Kalau direnung lama-lama busut jantan itu bentuknya macam seorang lelaki berpeluk tubuh. Bila datuk menjamah bahagian atas busut jantan itu, beribu-ribu kalkatu keluar memenuhi ruang rumah batu itu. Datuk dan saya segera memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas. Terdapat lima bilik di tingkat tersebut, salah sebuah bilik di situ kelihatan bersih dan langsir kuning terpasang dengan rapi, beberapa keping patahan dari batu nisan kelihatan berselerak di muka pintu bilik.

Saya dan datuk jenguk ke dalam bilik. Pemuda ganjil sedang tidur dengan nyenyaknya di atas katil kuno dengan beralaskan daun-daun ketapang kering sambil memeluk batu nisan. Bila datuk mahu masuk ke bilik tersebut, rumah batu itu terasa bergegar disertai dengan bunyi dentuman yang amat kuat macam bunyi petir. Saya dan datuk mula terdengar bunyi air hujan mencurah-curah di luar. Bagi memastikan apakah di luar betul-betul hujan, datuk segera membuka tingkap, ternyata hari tidak hujan. Cuaca cukup baik, matahari tetap bersinar, langit biru kelihatan bersih.

Satu hal yang menakjubkan. Bila daun tingkap terbuka perkara yang aneh itu tidak kedengaran, bila daun tingkap dirapatkan macam-macam bunyi mengusik gegendang telinga. Datuk rapat ke katil pemuda ganjil. Bila datuk duduk di sisinya, saya terlihat sepasang tangan yang berbulu sebesar pokok pinang dara keluar dari dinding bilik. Sepasang tangan itu mengarah ke batang leher datuk.

"Aku akan mengembalikan pada orang yang berhak. Jangan ganggu kami dan perdayakan anak cucunya”, kata datuk.

Sebaik saja datuk selesai bercakap sepasang tangan yang berbulu itu hilang dari tepi dinding bilik. Datuk cuba mengejutkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Usaha datuk itu gagal. Setiap kali dia mahu menjamah kaki pemuda ganjil itu, bayang­-bayang perempuan akan muncul di atas katil seolah-olah menghalang perbuatan datuk.

"Rumah ni, rumah syaitan”, keluh datuk lalu dia membaca beberapa potong ayat Al-Quran dari Surah Jin. Ketika datuk membaca surah tersebut, pasir dan batu berterbangan dalam bilik. Datuk tidak peduli, dia terus membaca hingga bayang-bayang perempuan itu hilang dari penglihatan datuk dan saya. Bila keadaan sudah tenang, datuk pun membangunkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Wajah pemuda itu nampak pucat lesi. Dia bagaikan berada dalam satu keadaan yang cukup asing, mulutnya terus mengungkapkan perka­taan yang tidak berapa jelas dan sukar difahami.

Tanpa saya duga, pemuda ganjil yang nampaknya tidak bermaya tiba-tiba melompat. Suaranya keras dan mengaum macam suara kucing yang sedang marah bila ekornya dipijak. Pemuda ganjil menerkam ke arah datuk. Tetapi datuk yang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan itu segera me­nekan kepala katil dengan ibu jari kiri. Dan pemuda ganjil itu seperti ditolak oleh kuasa ghaib kembali ke tem­pat asalnya. Duduk di situ kali ini dia menentang datuk dengan kuasa matanya. Keadaan itu datuk hadapi dengan tenang. Datuk menggunakan kuasa matanya hingga mata pemuda yang bersinar garang jadi layu dan terus tertutup. Pemuda ganjil itu rebah atas katil kembali.

Datuk terus membaca Surah Al-Falak. Bila sudah selesai membaca su­rah tersebut datuk meraba tubuh pemuda ganjil mulai dari kaki hingga ke pangkal leher dan datuk mematikan rabaan itu dengan menjentik sebanyak tiga kali cuping telinga kiri pemuda ganjil. Manakala dari sebelah telinga kanannya datuk membisikkan beberapa potong ayat Al-Quran hingga pemuda itu membuka matanya. Datuk segera mendukung pemuda ganjil itu keluar dari rumah batu. Bila kami berada di luar kawasan rumah batu, tiba-tiba hujan panas turun mencurah-curah. Habis rambut saya basah begitu juga dengan datuk. Pemuda ganjil yang terkapar dalam dukungan datuk tidak bergerak. Matanya pejam dan mulutnya yang separuh terbuka di masuki oleh air hujan. Peliknya, hujan panas itu terjadi dalam jarak beberapa ela sahaja dari kawasan rumah batu itu.

"Inilah kebesaran Allah. Dalam panas ada hujan. Dalam hujan ada panas. Semoga Allah memberkati niat suci aku”, kata datuk lalu mempercepatkan langkahnya.

Bila sampai di rumah, datuk terus me­mandikan pemuda ganjil itu dengan air yang saya ambil dari sungai.
Dengan jari manisnya datuk mencabut tujuh helai rambut pemuda ganjil di bahagian ubun­-ubunnya. Rambut itu datuk simpulkan lalu disuruh saya menanamnya.

"Kau mahu minum ?" tanya datuk pada pemuda ganjil.

Walaupun pemuda ganjil itu tidak memberikan sebarang jawapan, datuk tetap menyuruh saya membuat air kopi panas yang dicampurkan dengan bawang putih.

"Minum”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu bagaikan dipukau menurut saja perintah datuk. Bila air kopi habis di minum, pemuda itu mula batuk dan bersin. Dia sedawa berkali-kali. Mukanya kelihatan berpeluh dan merah.

"Emak dan ayah saya, mana dia ?", tanya pemuda itu.

"Ada, kau mahu jumpa dia?", balas datuk.

"Mahu”

"Cuba kau mengucap sekarang”

"Boleh, Ashha..”, pemuda itu mengucap dengan lancarnya.

Datuk gembira dan menyuruh saya memanggil kedua orang tua pemuda ganjil itu. Bila kedua orang tua pemuda ganjil itu tiba, suasana dalam rumah jadi lain macam. Ibu pemuda ganjil itu menangis, dia tidak terfikir anaknya yang aneh boleh kembali kepangkuannya walaupun wajah dan tubuh anaknya agak berbeza dari dulu.

"Jangan sentuh dia”, datuk melarang ibu pemuda ganjil itu menjamah tubuh anak kesayangannya.

Ibu pemuda ganjil itu jadi terkejut. Suaminya segera memujuk hingga rasa terkejut itu hilang dari dirinya.
Datuk mengarahkan kedua ibubapa pemuda ganjil itu duduk di hadapan­nya. Manakala datuk, saya dan pemuda ganjil duduk sebaris jarak kami dengan kedua orang tua pemuda ganjil itu kira-kira dua kaki.

"Kau jawap pertanyaan aku sebelum kau bertemu dengan kedua orang tua kamu”, kata datuk sambiI memandang ke wajah pemuda ganjil.

Saya lihat pemuda itu anggukkan kepala tanpa memandang ke hadapan atau ke kiri dan ke kanan.

"Baik”, balas pemuda ganjil.

"Siapa nama ayah kau?"

"Ansaruddin Hasibuan”

"Emak kau?"

"Teh Mayang Mengurai”

"Salah”, pekik datuk sambil menumbuk lantai, semua yang ada dalam rumah jadi terkejut.

Datuk segera memegang leher pemuda ganjil sambil mencabut sehelai bulu roma telinga kanan pemuda itu. Ada pertentangan dari pemuda ganjil itu, tetapi, setelah datuk menekan dengan ibu jari kaki kiri di pahanya pemuda itu menyerah. Bulu roma telinga pemuda ganjil itu datuk letakkan atas tapak tangan ka­nan. Datuk hembus bulu telinga itu dengan kuasa hidungnya. Bulu roma itu kelihatan melayang-Iayang dalam ruang rumah.

"Pulanglah ke tempat asalmu dan jangan ganggu anak cucu Adam”, suara datuk cukup lantang.

Bulu roma yang berterbangan dalam rumah terus menuju ke muka pintu. Semua yang ada dalam rumah tercengang-cengang. Kami terdengar suara orang perempuan menangis dengan sayu di tengah hari yang menyerlah itu. Sesungguhnya, saya tidak tahu dari arah mana suara itu datang. Bila keadaan sudah tenang, datuk terus bertanya pada pemuda itu.

"Siapa nama emak kamu?"

"Rabiatun”, jawap pemuda itu.

"Betul”

Datuk menyuruh pemuda itu mencium lutut ibunya. Pemuda ganjil itu ikut cakap datuk. Bila dia selesai mencium lutut ibunya, pemuda itu segera memeluk ayahnya sambil minta maaf. Mereka berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisan. Datuk dan saya terus menyaksikan peristiwa yang penuh dramatik itu dengan perasaan terharu. Air mata saya meleleh dipipi. Sedarlah saya betapa kasihnya ibu dan ayah terhadap anaknya. Dengan izin datuk, pemuda ganjil itu dibenarkan pulang ke rumahnya. Tetapi, sebelum pemuda itu masuk ke rumah, dia harus dimandikan dulu di bawah tangga atau di pintu rumah. Perkara itu di lakukan sebagai syarat atau petua dari orang tua-tua, kononnya untuk meng­halau hantu syaitan.

"Walaupun ini merupakan petua tetapi tidak ber­tentangan dengan ajaran agama, tujuannya baik”, ka­ta datuk pada ibu pemuda ganji itu.

Syarat itu sengaja di sampaikan pada ibunya ke­rana kerja-kerja harus di lakukan oleh ibunya sen­diri. Ayahnya tidak dibenarkan oleh datuk ikut pu­lang sam.

"Awak duduk di sini, hingga lepas waktu Asar. Banyak perkara yang mahu saya cakapkan pada awak”, ujar datuk pada ayah pemuda ganjil.

Saya renung wajah ayah pemuda ganjil itu. Dia nampak tenang dan setuju dengan cadangan datuk itu. Pemuda ganjil dan ibunya segera berangkat dari rumah yang kami diami. Sementara menanti waktu Asar tiba, saya terpaksa memasak nasi dan meng­goreng ikan gelama masin. Bahan-bahan yang saya masak itu adalah pembe­rian ayah pemuda ganjil itu semalam.

Bila waktu Asar tiba, kami pun sembahyang. Lepas sembahyang dan wirid sedikit barulah kami makan. Lepas makan kami berehat di anjung rumah. Masa berehat itulah datuk menyoal bermacam-macam hal pada ayah pemuda ganjil itu.

"Harta anak yatim, harta pusaka dan amanah orang, jangan dipermainkan kalau tak sanggup jangan diterima”, saya terdengar suara datuk dalam nada yang lembut.

Ketika dia bercakap itu matanya merenung wajah ayah pemuda ganjil di sebelahnya.

"Maksud awak? Saya tak faham”, tanya ayah pemuda ganjil.

"Saya rasa, ini pendapat saya. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Sepasang tangan yang berbulu di rumah batu itu merupakan petunjuk dari Allah bahawa rumah yang dibina oleh arwah ayah awak tu dari wang yang perolehi secara tidak halal”

"Saya faham cakap awak”

"Saya bukan apa-apa. Cuma mengingatkan kalau mahu membuat rumah biarlah dari wang yang halal kerana rumah itu tempat kita berlindung dan membuat amal ibadat. Membuat rumah dari duit yang halal berkatnya lebih, hati kita sentiasa tenang bila bernaung di bawahnya” ujar datuk lagi.

Saya tidak tahu kenapa perkara itu yang datuk timbulkan. Saya renung muka datuk, tidak ada sebarang perubahan di wajahnya. Lebih kurang pukul enam petang, barulah ayah pemuda ganjil itu meninggalkan rumah khas kami. Sebelum dia melangkah, dia terus berkata pada datuk.

"Sudah selesaikah kerja awak?"

"Belum”

"Apa yang belum selesai?"

"Saya mahu pergi ke rumah batu itu lagi malam ini, kalau awak nak ikut datanglah lepas waktu Isyak”

"Boleh juga, saya akan datang”

"Baguslah tu”, datuk pun melambaikan tangan pada ayah pemuda ganjil tersebut.

Bila masuk waktu Maghrib, hujan turun dengan lebatnya. Hujan yang lebat itu tidak mengganggu datuk berwirid dari Maghrib hingga masuk waktu Isyak. Cuma hati saya saja yang berdebar kerana hujan yang lebat itu disertai juga oleh bunyi petir dan angin yang kuat. Tiba-tiba saya menggigil kesejukan. Badan segera saya selimutkan dengan kain pelikat, saya duduk mencangkung. Dagu saya bertemu dengan kepala lutut. Kilat, angin dan hujan terus bermaharajalela diluar. Datuk masih lagi berada di tikar sembahyang. Satu ledakan petir yang kuat bergema, sinarnya menerangi seluruh rumah.

Telinga saya bagaikan fana dan terasa kosong. Bila cahaya kilat itu hilang, saya lihat batang tubuh perempuan terpacak tidak jauh dari depan datuk. Wa­jahnya manis sekali dengan rambut terurai hingga kepinggang, memakai baju kebaya dari kain songket warna hijau, begitu juga dengan baju. Selindang songket terletak atas bahunya yang lebar.

"Kau rampas suami aku. Binatang, kau harus bersedia menerima pembala­san”, katanya pada datuk.

Wajahnya bertukar jadi merah macam udang kena bakar. Saya lihat datuk segera berdiri, saya tidak tahu waktu mana datuk mem­buang kain sarungnya dan memakai seluar hitam, baju hitam dengan kain merah terlilit di kepala.

"Kau Puteri Mayang Mengurai?", tanya datuk.

"Ya, kenapa?”

"Dari mana kaudatang?"

"Dari Gunung Tahan”

"Bohong, kau syaitan. Kau langsiur menjelma menjadi manusia untuk memperdaya manusia”

"Itu soal aku, bukan soal kau. Aku mahu suami aku”, suara perempuan itu mula meninggi.

Datuk menarik nafas panjang. Kedua belah tangannya di­lekapkan ke dadanya yang bidang. Bibir bawahnya nampak bergerak-gerak.

"Aku bersedia memulangkan orang yang kau sayangi, kalau kau benar ma­nusia. Buktikan yang diri kau manusia”, datuk mengajukan pertanyaan.

Pe­rempuan yang berdiri di depannya kelihatan tenang. Wajahnya yang merah sudah tidak merah lagi.

"Bukankah dengan wujudnya aku di sini membuktikan itu semua”, katanya.

"Masih belum cukup, aku sangsi”

"Apa lagi yang kaumahu?"

"Kau berdiri di situ, jangan bergerak-gerak”

"Baik”

Datuk senang hati dengan jawapan itu. Datuk pun mula meluruskan ke dua belah tangannya. Mulutnya mula bergerak membaca ayat Al-Kursi. Pe­rempuan itu tersenyum tetapi, bila sampai pada ayat pertengahan perempuan itu tidak senyum lagi, malah cuba memberikan isyarat pada datuk supaya jangan meneruskan pembacaannya. Datuk tidak peduli. Datuk terus membaca ayat tersebut. Bila sampai pada ayat terakhir, saya lihat seluruh tubuh badan wanita itu jadi merah macam bara, wanita itu terkapai-kapai macam minta tolong. Dalam beberapa saat saja badan yang merah menjadi hitam macam arang, kemudian terus hilang.

"Syaitan itu sudah binasa”, datuk memberitahu saya.

Perlahan-Iahan da­tuk menyingsing lengan baju kanannya. Dia kembali duduk di depan tikar sembahyang. Saya tidak tahu apakah yang di bacanya. Rasa menggigil di badan saya mula hilang. Saya terus ikat kain di pinggang. Hujan dan petir masih berterusan di luar. Datuk terus membuka tingkap tetapi, cepat-cepat daun tingkap itu dirapat­kannya kembali, tempias hujan menjamah wajahnya.

"Masih belum datang lagi”, rungut datuk.

"Sabarlah, barangkali kerana hujan"

"Betul juga cakap kau Tamar”

"Kita tunggu sampai hujan teduh tok”

"Aku fikir pun begitu juga”, nada suara datuk menurun.

Dia kembali duduk di tikar sembahyang membaca Surah Yasin. Dalam kiraan saya, hujan lebat itu berlaku selama satu jam. Sebaik saja hujan berhenti, ayah kepada pemuda ganjil datang ke rumah kami. Datuk memberi dia minum kopi panas.

"Kita pergi sekarang”, kata datuk.

"Boleh, saya ada bawa lampu picit”

"Tak pakai lampu picit pun tak apa”

"Gelap nanti tak nampak jalan”

"Saya ingat, mana lopak dan pokok besar”

"Hum..”, mulut ayah pemuda ganjil terpelohong kehairanan.

Tanpa banyak kerenah, datuk pun turun dan di ikuti oleh saya dan ayah pemuda ganjiI. Bila kami memijak bumi, tanah yang dibasahi air hujan terasa menyentuh kulit kaki meskipun saya memakai sepatu getah. Datuk yang memakai capal kulit itu cukup cepat melangkah. Percikan pasir dan tanah dari kibasan capalnya terasa mengenai muka saya. Lebih kurang sepuluh minit berjalan dalam gelap yang dikepalai oleh datuk, kami pun sampai ke rumah batu.

Bila berada dalam rumah batu itu. Keadaannhya saya rasa berbeza dengan keadaan sebelah pagi tadi. Saya tidak terasa seram atau takut. Datuk terus kumpulkan kayu dan papan-papan buruk lalu dibakarnya. Api yang marak itu menerangi bahagian bawah rumah batu itu. Datuk mencari bahagian sudut rumah itu yang mengarah ke kiblat. Datuk duduk bertafakur beberapa minit disitu. Bila kerjanya itu selesai datuk pun menghampiri kami.

“Sekurang-kurangnya tiga gadis Cina telah di­rogol dan dibunuh oleh tentera Jepun dirumah ini. Mayatnya di tanam di be­lakang rumah”, datuk memberitahu saya.

Menurut datuk, ada kemungkinan perempuan-perempuan cantik yang da­tang menemui pemuda ganjil pada setiap malam itu berasal dari syaitan yang mengambil kesempatan untuk menggoda pemuda ganjil yang memang diketahuinya mudah digoda kerana imannya kurang kuat dan baru mahu men­dalami hal-hal agama.

"Tangan yang berbulu berpunca dari apa?"

Secara mendadak ayah pemuda ganjil itu bertanya. Datuk segera mengambil sebatang kayu dan menikam ke arah api yang sedang marak itu, muka datuk nampak berpeluh. Dahinya berkedut. Dia berhenti menikam api dengan serta merta. Datuk termenung panjang, terlalu sukar nampaknya datuk mahu menjawab pertanyaan itu.

"Saya tak tahu. Itu kuasa Allah, kejadian itu barangkali sebagai petunjuk pada manusia supaya jangan tamak dan haloba kerana mahu hidup senang dan tergamak melakukan pecah amanah”, cukup teratur datuk bercakap sambiI matanya merenung wajah saya.

Tanpa saya duga, dalam bangunan rumah batu dua tingkat itu, di depan api yang marak datuk menceritakan yang dirinya pemah mengalami kejadian itu di dua buah rumah besar. Kejadian pertama berlaku di Alor Setar dan kejadian ke dua berlaku di Pekan, Pahang.

Rumah di Alor Setar itu didirikan di atas tanah pesaka yang tidak di farait atau dibahagikan mengikut hukum syarak. Sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan empat saudara, abang yang tua dalam keluarga itu menggunakan kuasa kuku besinya. Dia mengambil semua tanah pesaka itu untuk dirinya, dalam masa yang sama abang yang tua itu kena loteri kebajikan masyarakat. Dia pun mendirikan rumah batu yang besar dan membawa anak bininya tinggal di situ. Sejak tinggal di rumah baru itu anak bininya sentiasa sakit dan diganggu oleh satu lembaga besar hingga membuat abang yang tua berada dalam keadaan resah dan tidak tenang.

Seorang guru agama menasihatkan abang yang tua itu supaya menjual tanah tersebut. Hasil dari pendapatan jualan itu dibahagikan sesama keluarganya atau membahagikan tanah pesaka di kalangan keluarganya mengikut hukum agama, abang yang tua memilih cara kedua. Bila tanah itu dibahagikan mengikut hukum syarak, lembaga hitam itu tidak muncul dan keluarganya tidak sakit, rumah batu itu dipecahkan kerana didirikan dengan wang loteri.

"Tetapi abang yang tua tidak akan terlepas dari dosa di akhirat kerana dia berjudi”, kata datuk.

Kejadian di Pekan Pahang hampir sama dengan kejadian di Alor Setar, cuma bezanya rumah besar yang didirikan oleh seorang haji disitu, adalah hasil dari penyelewengan wang kutipan zakat fitrah orang Islam, dan haji itu sendiri membunuh diri dalam rumah tersebut.

"ltulah pembalasan Allah di dunia pada orang yang tidak amanah”, kata datuk mengakhiri ceritanya. Saya termenung panjang, begitu juga dengan ayah pemuda ganjil tersebut.

"Sudahlah, mari kita pulang”, kata datuk, kami pun segera pulang.

Sebaik saja kami sampai di kaki tangga, satu ledakan petir terjadi. Cahaya kilat itu menerangi seluruh kawasan di sekitar kami, bila cahaya kilat itu berakhir, kami jadi tergamam dan terkejut besar kerana dibahagian bumbung rumah batu dua tingkat kelihatan api menjulang. Api itu terus marak dan membakar seluruh rumah batu dua tingkat. Datuk tidak menghiraukan kejadian itu, malah dia menyuruh kami balik ke rumah. Sepanjang malam itu, saya tidak dapat tidur kerana memikirkan kejadian yang saya lihat.

Pagi esoknya, kami pergi kerumah batu yang jadi korban petir . Tidak ada bentuk rumah yang wujud di situ, kecuali tiang batu yang hitam macam arang terpacak mengarah ke langit.

"Awak jual tanah ni atau wakafkan, kalau awak jual wangnya jangan awak ambil satu sen pun, semuanya di berikan pada baitulmal atau ke rumah anak-­anak yatim. Saya rasa inilah cara yang paling baik dengan itu keturunan awak akan terselamat dari kutukan Allah”, datuk menasihatkan ayah pemuda ganjil.

"Lagi apa yang mesti saya buat?"

"Beramallah pada Allah, mohon limpah rahmat dariNya. Kita ini hamba Allah, pada Allah lah kita mengadu dan Allah akan membuat keputusan yang maha adil”, tambah datuk lagi.

Dua hari kemudian, sedang saya dan datuk berkemas untuk pulang, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk lalu menyerahkan wang sebanyak lima ratus ringgit, sebagai tanda terima kasih atas kejayaan datuk mengubati anaknya.

"Simpan wang awak. Saya tidak cari makan cara ini. Saya menolong sesama manusia dengan ikhlas, kebolehan yang ada pada saya adalah milik Allah”, muka ayah pemuda ganjil pucat mendengar cakap datuk.

"Maafkan saya, tapi saya mahu bersedekah”, balasnya.

"Sedekahlah pada fakir miskin”, jawab datuk tegas dan mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang diberikan kepada saya dan datuk.

Ayah pemuda ganjil itu menghantar kami ke perhentian bas. Tiga bulan kemudian, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk dan menyatakan apa yang dinasihati oleh datuk telah dilaksanakannya. Tanahnya sudah dijual dan wangnya sudah diserahkan pada Baitulmal.

"Anak saya sudah sihat, saya akan menghantarnya ke Padang Panjang untuk belajar agama. Kalau ada rezeki saya mahu melanjutkan pelajarannya hingga ke Kaherah, mulai tahun ini saya akan membayar zakat”

"Baguslah tu”, jawab datuk.


Dan saya masih dapat membayangkan bagai­mana ayah pemuda ganjil itu menangis teresak-esak ketika meninggalkan ha­laman rumah datuk.




























43. Buaya Jadi Jadian

Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing. Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah. Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak. Sepanjang musim tengkujuh kesihatan datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan. Walaupun begitu, datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.

Dan amalan meminum air dingin satu tem­purung yang sudah diembun selama satu malam tetap diteruskannya. Menurut datuk air dingin itu mesti diminum sebelum sarapan pagi. Khasiatnya, dapat melancarkan perjalanan darah serta membersihkan perut. Air dingin itu juga dapat menegangkan kulit, bagi orang yang mengamalkannya akan kelihatan muda. Datuk juga memberitahu saya, tempurung yang dijadikan bekas air dingin itu dipilih dari kelapa masak yang gugur sendiri. Tempurung dari kelapa itu dibelah serta di jemur hingga isinya lekang sendiri. Bahagian tempurung yang tidak digunakan itu ditanam di pangkal pokok kelapa itu. Tempurung yang dijadikan bekas minuman itu ialah bahagian bawah. Bila sudah cukup kering, tempurung itu dibersihkan serta dikilatkan dengan serpihan kaca dan di jemur kembali selama tujuh hari berturut-turut. Kemudian baru dijadikan bekas minuman. Setiap kali datuk mahu meminum air dingin dalam tempurung itu, dia mesti membaca Al-Fatihah sebanyak tujuh kali dalam masa senafas.

Dan saya, hingga kini tidak dapat mengamalkan petua-petua tersebut dise­babkan oleh beberapa hal yang tertentu.

Pada suatu pagi , selepas datuk melakukan senaman dia terus berehat di ruang rumah. Ketika itu nenek menghampirinya.

"Bagaimana? Bila kita nak pergi ke Tanjung Ara?", soal nenek.

"Untuk apa?"

"Dah lupa? Jemputan kahwin anak Alang Botak”

"Tak lupa. Bukankah jemputan tu esok, esoklah kita pergi”

"Awak ni merepek. Bukankah saya dengan Alang Botak itu adik-beradik, kami sepupu. Tidak baik pergi kenduri-kendara rumah adik-beradik untuk makan aje. Kita harus pergi awal, boleh tolong tegakkan balai, siapkan tempat orang makan”, nenek mula bersyarah di hadapan datuk. Saya lihat datuk tersenyum dan mengangkat ke dua belah tangannya ke atas, macam komunis menyerah diri pada pasukan askar Melayu.

"Saya salah. Awak betul, kerana itu saya ikut cakap awak”, kata datuk sambil berjenaka.

Nenek ketawa keciI. Begitulah sikap datuk dengan nenek. Saling bertolak ansur. Datuk tidak segan-silu menurut kata nenek, kalau kata-­kata itu baik dan benar. Datuk akan menentang berhabis-habisan kalau pendapat atau fikiran nenek tidak menguntungkan. Mereka bertengkar dan bermasam muka untuk mencari kebenaran bagi mencipta suasana rumah tangga yang kekal tanpa mahu mencari perkelahian yang mengakibatkan rumahtangga berada dalam kegentingan yang berakhir pada sebuah jurang pemisahan. Barangkali inilah rahsia kebahagian dan keda­maian rumahtangga datuk dan nenek.

Dan saya sering bertanya dalam diri saya, apakah dalam hidup saya kelak, saya akan menemui seorang isteri sebaik dan semulia hati nenek? Apakah saya dapat menjadi lelaki seperti datuk yang sanggup menghilangkan rasa ego seorang suami di mata seorang isteri demi kerukunan rumah tangga.

"Entahlah… Begini saja, kita pergi sejam lagi. Sementara itu eloklah awak berkemas, bawalah gula barang sekati dua, kelapa sepuluh atau dua puluh biji dan pisang dua tiga tandan”, kata datuk.

Nenek bagaikan terkejut.

"Awak ni bergurau atau cakap betul-betul”, tanya nenek sambiI menge­rutkan keningnya. Datuk terus mempamirkan giginya.

"Saya cakap betul, kita tolong mereka dengan apa yang ada pada kita”

"Nak bawa barang-barang tu dengan bas? Susah jadinya. Itulah ada kereta awak tak mahu baiki, seka­rang siapa susah”, rungut nenek.

"Sama-sama susah”, jawab datuk.

Nenek dan saya terus ketawa. Bila ketawa saya dan nenek bera­khir, datuk masih lagi tersengih.

"Begini saja. Awak dengan Tamar pergi naik bas dulu, barang-barang tu biar saya bawa kemudian, saya juga nak bawa kambing untuk Alang Botak”

"Ini dah cukup baik”, balas nenek yang kemudian menggesa saya menukar pakaian. Saya tukar pakaian dan nenek terus menge­maskan pakaian lalu dimasukkan ke dalam beg rotan empat segi. Saya diberi tugas tertentu oleh nenek iaitu memikul beras sebanyak empat gantang yang diisikan dalam guni gandum. Bagi nenek, beras empat gantang itu sebagai tanda buah tangan untuk keluarganya di Tanjung Ara.

"Bila awak nak bertolak?", soal nenek pada datuk di kepala tangga.

Datuk menggigit bibir sambil memetik ibu jari kirinya. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke arah anak bukit yang letaknya tidak jauh dari rumah.

"Awak jalanlah dulu, saya tetap sampai”, suara datuk penuh keyakinan.

Saya dan nenek pun berangkat dari rumah.

Ketika berada dalam perut bas, hati saya cukup gembira kerana nenek tidak putus-putus menjamu saya dengan kuih-kuih yang dibelinya di perhentian bas. Apa saja yang saya minta nenek tunaikan. Nenek saya lihat cukup gembira sekali, maklumlah dia mahu bertemu dengan kaum keluarganya di Tanjung Ara. Dalam perut bas itu juga, pertama kali nenek membuka rahsia asal keturu­nannya. Menurut nenek, keturunannya berasal dari Bugis yang berhijrah ke Johor, dari Johor berpindah ke lembah Sungai Kelang, Selangor, yang kemudian terlibat dalam peperangan saudara di Selangor.

Dari Selangor mereka berhijrah ke Perak membantu Sultan Muzaffar Shah yang bersengketa dengan adiknya. Sultan Muzaffar Shah yang di bantu oleh orang-orang Bugis menang, lalu ditabalkan jadi Sultan Perak. Salah seorang keluarga nenek menjadi ayam tambatan pada Sultan Perak pada masa itu. Sayangnya nenek tidak menyatakan pada saya siapa nama keluarganya yang menjadi pahlawan terbilang itu.

"Kaum kerabat nenek masih terdapat di Johor terutama di daerah Batu Pahat. Di Selangor pula di kawasan Jeram dan Permatang. Tetapi moyang nenek memilih Tanjung Ara sebagai tempat bernaung, setelah berperahu dari Kuala Dinding ke sini”, kata nenek dengan megah.

Saya anggukkan kepala kerana saya tahu, tidak mungkin saya dapat me­nyusur jejak-jejak keturunan nenek yang sudah begitu lama. Bas yang kami naiki sampai di pekan kecil Pengkalan Bharu. Dari situ, saya dan nenek terpaksa berjalan kaki melintasi satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok kemunting (kemuning) serta rerumput yang berdaun merah.

Kata nenek, kawasan lapang itu disebut Padang Antah Berantah dan men­jadi medan pertempuran angkatan Raja Shamsul Baharin menentang angkatan Raja Champa (Kemboja). Dalam pertempuran itu Raja Shamsul Baharin me­mang, seluruh Padang Antah Berantah dipenuhi dengan darah-darah pahlawan Champa. Kesan daripada peperangan itu, rumput-rumput yang tumbuh di situ jadi merah begitu juga dengan pasirnya (sekarang kawasan tersebut sudah dita­nam dengan pokok kelapa). Saya tidak dapat memastikan sama ada cerita itu benar atau tidak. Kerana nenek hanya memperolehi cerita itu dari mulut ke mulut cuma.

Memikul empat gantang beras dengan berjalan kaki sejauh hampir dua batu memang memenatkan, badan saya jadi berpeluh. Bagi menghilangkan rasa penat dan bosan pada diri saya, nenek terus bercerita kisah-kisah lalu yang menggerunkan, dan kadang-kadang melucukan. Saya jadi terhibur di bawah panahan matahari yang amat terik.

Ketika saya dan nenek mahu menyeberang di atas jambatan, saya ter­lihat pokok keduduk dan petai cina di sebelah kiri bergoyang-goyang. Nenek suruh saya berhenti. Saya segera menoleh ke kiri, saya dapati datuk berdiri di situ menarik seekor kambing. Dua tandan pisang dan dua puluh biji kelapa berada di sebelah kanan. Ma­nakala di tangannya tergantung bungkusan gula.

"Cepat awak sampai”, kata nenek.

"Kawan kita menghantarnya”, jawab datuk. Ketika itu juga saya terlihat ekor harimau dari celah-celah rumput keduduk dan petai cina.

"Baliklah”, kata datuk dan ekor harimau itu hilang dari penglihatan saya. Saya faham apa yang sudah berlaku.

"Begini. Awak tunggu di sini, biar saya jalan dulu. Kemudian saya suruh anak Alang Botak me­ngambil barang yang awak bawa ini dengan basi­kal”, nenek mengeluarkan cadangan.

Datuk termenung seenak, bila senyum berakhir dia kerutkan kening luasnya sambil merenung ke arah rumah Alang Botak yang berada di seberang sana.

"Kita pergi bersama”, balas datuk.

"Barang-barang ni macam mana?"

"Kita tinggalkan di sini dulu, sementara menanti anak Alang Botak me­ngambilnya”

"Nanti hilang pula”

"Ah, tak usah takutlah tidak ada siapa yang mahu mencurinya”, jawab da­tuk.

Nenek terdiam. Beberapa saat kemudian kami pun melangkah serentak. Alang Botak menyambut kami dengan penuh keriangan. Alang Botak dengan datuk berpeluk-pelukan. Ketika berpeluk-pelukan itulah datuk sempat membisikkan sesuatu ke telinga Alang Botak. Bila selesai berpeluk, Alang Botak terus memerintahkan salah seorang anaknya supaya mengambil barang-barang di kepala jambatan.

Dengan di temani oleh Alang Botak, datuk berkesempatan menemui tukang-­tukang masak dibelakang rumah, menemui tukang buat balai di hadapan rumah serta menemui orang yang sedang menegakkan tiang pelantar tempat mele­takkan gelas dan balang air. Semuanya bekerja dengan tekun di bawah semangat gotong-royong. Kerana datuk memang pandai dan tahu dalam hal masak-memasak datuk mencampurkan dirinya dengan tukang-tukang masak di kampung itu. Saya di­arah oleh datuk untuk memotong bawang dan halia. Berpeluh dahi dan meleleh air mata saya membuat kerja-kerja itu. Sedang kami asyik dengan tugas­tugas yang dijalankan kami dikejutkan dengan suara jeritan dari arah tebing sungai. Semua orang yang berada dibahagian belakang rumah segera bangun.

"Agaknya ada orang ditangkap buaya”, kata seorang lelaki berkulit hitam yang berdiri di sebelah datuk.

Belum pun sempat datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki itu, seorang perempuan setengah umur berlari ke arah kami.

"Tolong, tolong anak saya disambar buaya”, kata perempuan itu dengan wajah cemas. Dia mula menangis, rambutnya kelihatan mengerbang.

"Di mana?" tanya datuk.

"Di tepi sungai”

"Mari “, kata datuk dan orang-orang yang berada di situ segera mengikut datuk menuju ke tebing sungai.

Bila sampai di tebing sungai, orang ramai sudah pun berkumpul di situ, ada yang membawa parang. Ada yang membawa lembing dan senapang kampung masing-masing mahu membunuh buaya, tetapi buaya yang mahu dibunuh tidak kelihatan. Datuk tidak mempedulikan mereka yang sedang marah itu. Datuk terus duduk bersimpuh di tepi tebing. Datuk mengambil segenggam tanah lalu di­campakkannya ke dalam Sungai Tanjung Ara yang mengalir tenang. Di tempat tanah itu jatuh, air sungai kelihatan berbuih macam air yang sedang mendidih.

Tiba-tiba seekor buaya muncul, bagaikan kilat buaya itu melibaskan ekor­nya ke arah datuk. Nasib baik datuk sempat mengelak dan buaya itu terus menyelam. Belum pun sempat datuk duduk kembali, buaya itu muncul semula di permukaan sungai lalu melibaskan ekornya yang panjang itu ke tebing sungai. Libasan dari ekor buaya itu mengenai salah seorang penduduk Kampung Tanjung Ara yang berdiri dekat datuk. Lelaki malang itu terhumban ke dalam air dan bagaikan kilat rahang buaya itu menyambut tubuh badan lelaki itu, lalu lelaki dan buaya itu ghaib dari permukaan sungai mula bergelombang.

Orang ramai yang tadi begitu ghairah mahu membunuh buaya jadi terpaku dan setengah daripada mereka berundur jauh dari tebing sungai. Datuk mula kelihatan resah tidak menentu. Bajunya mula dibasahi peluh dan mukanya kelihatan merah padam dipanah cahaya matahari pukul tiga petang yang cukup terik. Saya perhatikan datuk bagaikan hilang matlamat dan keyakinan pada diri sendiri. Dia lalu merenung ke tebing seberang sana yang penuh dengan tum­buhan pokok-pokok keladi dan mengkuang liar. Hujung daun mengkuang men­cecah permukaan air sungai. Dalam saat-saat yang amat genting itu, buaya ganas tadi muncul sambil menjulang mangsanya tinggi dari paras permukaan air sungai. Tangan dan kaki lelaki itu terkapai­-kapai macam katak puru di mulut ulat.

Gigi-gigi buaya yang tajam itu terus terbe­nam di badan lelaki itu. Darah kelihatan memancut ke luar. Datuk saya lihat sudah hilang sabarnya. Datuk terus bertempik dengan sekuat hatinya sambil terjun ke dalam sungai. Datuk terus memeluk badan buaya itu dengan sekuat hatinya. Dengan menggunakan jari kelingkingnya datuk menujah mata buaya itu. Buaya itu terus mengelupar dan air sungai terus bergelom­bang. Buaya itu terus menghempaskan badannya. Tetapi pelukan datuk tetap kemas dan jarinya terus menujah mata buaya. Mungkin kerana terasa amat sakit, buaya itu membuka rahangnya hingga badan lelaki itu terlepas darinya. Datuk berhenti memeluk buaya itu lalu me­nyambar badan lelaki itu dan terus dibawa ke tepi tebing.

Dan buaya ganas itu terus hilang di permukaan air sungai. Orang-orang kampung yang berada di situ terus menyambut batang tubuh lelaki tersebut dan dibaringkan ke atas tanah. Datuk pun mengesat darah di badan lelaki malang itu. Saya di suruh oleh datuk memetik dedaun hijau dari pokok pulai penipu bukit untuk dijadikan ubat penahan darah. Lelaki itupun sedar dari pengsan. Dia tidak berdaya mahu bangun. Cepat-cepat datuk membetulkan urat belikat dan urat tangan lelaki itu. Datuk meminta orang-orang kampung yang mengerumun lelaki malang itu supaya beredar agak jauh sedikit. Cakap datuk mereka patuhi. Seluruh badan lelaki itu datuk raba dengan belakang tangan.

Semua biji mata orang yang berdiri di tepi tebing bagaikan terbeliak bila mereka melihat air Sungai Tanjung Ara bergelombang dan keruh. Pokok­-pokok keladi dan mengkuang kelihatan bergoyang-goyang kembali.
Bila gelombang air sungai berakhir, dua ekor buaya timbul di permukaan air, berpusing-pusing di tengah-tengah sungai sambil melibas-libaskan ekor masing-masing pada air Sungai Tanjung Ara. Percikan air itu menjulang ke udara dan jatuh kembali atas permukaan air sungai. Pancaran matahari yang keras terus menikam pada gelombang air sungai akibat dari libasan ekor buaya itu. Pancaran tikaman matahari itu
menimbulkan satu cahaya yang kilau kemilau, bagaikan cahaya berlian di suluh dengan lampu picit. Orang-orang kampung terpegun melihat kelakuan dua ekor buaya itu. Tanpa di duga, dengan cara yang mendadak sekali, kedua-­dua ekor buaya itu meluru ke tepi lalu memanjat tebing sungai.

“Berundur “, kata datuk pada orang ramai.

Mereka pun berundur dan ke­dua-dua buaya itu terus merangkak, sambil memanggungkan kepalanya melihat ke kiri dan ke kanan, macam biawak mahu menangkap anak ayam. Datuk masih lagi kelihatan resah gelisah.

"Biarkan orang itu di situ, saya mahu umpankan buaya”, suara datuk keras melarang orang yang mahu mengangkat lelaki malang itu ke tempat lain.

Sikap datuk itu menimbulkan kemarahan seorang lelaki lain yang berbadan tegap. Melihatkan bentuk tubuh lelaki itu, ternyata dia bukanlah orang Melayu tulin. Dalam badannya itu mengalir darah campuran Melayu dan Pakistan. ltulah tanggapan saya pada lelaki itu.

"Awak mahu memperjudikan nyawa orang. Kalau awak tidak ubah anak saudara saya ni ke tempat lain, awak saya tembak sampai mati”, lelaki yang naik darah itu menghalakan muncung senapang kampung ke arah datuk. Datuk tersenyum.

"Saya tetap patuh dengan apa yang saya kata. Kalau awak nak berkeras saya bersedia menerimanya”, jawab datuk.

"Binatang”, jerit lelaki itu sambil menarik pemetik senapang. Lelaki itu jadi cemas, senapangnya tidak mengeluarkan sebarang bunyi, kecuali muncung senapangnya berasap.

"Awak berundur dari sini, sebelum saya bertindak”, kata datuk sambil mengesat peluh di pangkal kening kirinya dengan tapak tangan kanan. Lelaki itu bagaikan terpukau, menurut saja perintah datuk.

Kedua-dua ekor buaya itu terus mara ke arah lelaki malang yang terkapar di atas tanah. Air mata lelaki malang itu meleleh dipipi. Datuk terus memberi semangat padanya supaya bertenang. Datuk tidak akan menyerahkan tubuh badannya untuk dikoyak-koyak oleh buaya ganas dengan begitu saja. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki kedua-dua buaya itu mahu meng­hampiri lelaki malang itu, datuk segera melompat dan berdiri di tengah-­tengah. Melihat perbuatan datuk itu, kedua-dua ekor buaya itu jadi marah lalu membuka mulut dengan seluas-Iuasnya. Datuk sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kedua belah tangan datuk terus memeluk tubuh, matanya tepat menikam ke arah kedua-dua ekor ma­ta buaya itu. Tumit kiri datuk tekankan ke bumi hingga terbenam separas buku lali. Datuk membongkok lalu menghentakkan pangkal siku kanan ke tanah. Datuk terus duduk mencangkung dengan mene­kan kepala lutut kiri ke bumi dan kepala lutut kanan­nya bertemu dengan dagu. Kedua-dua ekor buaya itu merapatkan kembali mulutnya dan cuba mahu merangkak, ternyata buaya itu tidak boleh bergerak. Datuk sudah pun menguncikan sendi-sendi kaki buaya itu.

"Tutup mulut kamu”, saya terdengar suara datuk dan kedua-dua ekor buaya itu merapatkan mulutnya. Datuk segera bangun sambil memeluk tubuh, kedua belah kakinya di kangkangnya sedikit.

"Sekarang kau kembali ke lubuk kamu dan pulangkan mayat anak cucu aku yang kau binasakan itu”, kata datuk dengan lantang.

Datuk terus melompat se­tinggi empat kaki dari paras bumi. Bila kaki datuk menyentuh bumi, kedua-­dua ekor buaya itu masih terpukau lagi ditempatnya. Datuk lalu memerintahkan orang-orang kampung itu mengusung lelaki malang ke rumahnya. Perintah datuk segera dipatuhi. Datuk kembali berdiri di hadapan kedua-dua ekor buaya itu.

"Pulang, kataku pulang”, sergah datuk lagi dan buaya-buaya itu bagaikan baru tersedar dari tidur. Segera berpusing lalu terjun ke dalam sungai dan air sungai kembali bergelombang yang airnya memukul tebing.
Tanah tebing yang tidak kuat terus runtuh ke dalam sungai dan menimbulkan buih-buih yang kecil sebelum bersatu dengan air sungai. Matahari yang sejak tadi bersinar dengan terik, mula beransur redup. Gumpalan awan hitam yang tebal mula melindungi matahari.

Orang-orang kampung yang tadi begitu ramai berdiri di tebing mula beransur kurang. Kebanyakan daripada mereka pergi ke rumah lelaki yang malang itu. Angin pun mula bertiup menggoyangkan dedaun pokok di bibir tebing. Datuk membuka baju. Baju itu diikatkan ke pinggangnya. Datuk duduk bersila di tepi tebing dengan kedua belah tangannya terletak di atas kedua tempurung lutut. Datuk bertafakur di situ sambil membaca sesuatu. Datuk berdiri tanpa membuka tangan yang memeluk tubuhnya.

"Pulangkan cucuku”, kata datuk. Serentak dengan itu, seekor buaya timbul di muncungnya terpanggang tubuh seorang kanak-kanak lelaki dalam usia empat belas tahun. Buaya itu meletakkan tubuh budak lelaki yang sudah menjadi mayat itu di bibir tebing. Cepat-cepat datuk mengambil mayat budak lelaki itu, lalu di serahkan pada orang-orang kampung yang masih berada di situ. Mereka pun membawa mayat budak lelaki itu ke rumah ibunya. Dan buaya yang menyerahkan mayat budak itu terus hilang dari penglihatan saya dan datuk.

Sebagai tanda yang tugasnya sudah selesai, lagi sekali datuk mengepal tanah dan mencampakkan ke dalam sungai. Bila tanah itu bertemu dengan air sungai, dengan sekelip mata saja timbul berpuluh-puluh ekor buaya di per­mukaan air Sungai Tanjung Ara, buaya-buaya itu mempamirkan badan masing­-masing sambil melibas-libaskan ekornya pada permukaan air sungai. Melihat keadaan yang ganjil itu, wajah datuk segera berubah menjadi cemas tidak menentu. Dia merenung muka saya.

"Sebenarnya, ada orang tertentu yang menaikkan semangat buaya, itu supaya menjadi ganas”, kata datuk sambil menarik tangan saya pulang ke rumah Alang Botak. Petang itu juga mayat budak lelaki yang jadi korban buaya dikebumikan.

Dan lelaki malang itu terus menerima rawatan dari datuk. Sebelum men­jelang waktu Maghrib lelaki malang itu kembali sihat dan terus membantu kerja-kerja kenduri-kenduri di rumah Alang Botak. Sepanjang malam itu o­rang-orang yang berada di rumah Alang terus memperkatakan tentang peristiwa yang berlaku pada sebelah siang tadi.

Sesungguhnya, peristiwa yang terjadi itu mencatatkan kemeriahan suasana kenduri di rumah Alang Botak yang kemuncaknya akan berlangsung pada esok­nya. Bagi menjaga keselamatan diri orang ramai, pengumuman segera dike­luarkan oleh ketua kampung, yang menasihatkan orang-orang kampung supaya jangan mandi di sungai.

Malah, anak lelaki Alang Botak yang bakal jadi raja sehari itu dilarang sama sekali melintas di atas jambatan, begitu juga dengan pibak pengantin perempuan. Hari itu, adalah kemuncak segala kemeriahan di rumah Alang Botak. Pagi-pagi rumahnya sudah dikunjungi orang ramai. Kira-kira pukul sepuluh pagi, macam-macam permainan diadakan di balai yang dimulai dengan silat, tarian zapin dan permainan dabus. Kira-kira pukul dua belas tengahari, kampung kecil itu menjadi gempar kerana ada orang yang mengingkari pesanan ketua kampung, akibatnya dua orang sudah menjadi mangsa buaya. Pukul satu tepat, tiga orang lagi menjadi korban buaya.

Buaya-buaya di Sungai Tanjung Ara mula mengamuk. Siapa saja yang ber­diri di tebing akan akan terus di libas oleh buaya-buaya itu dengan ekornya. Datuk sudah tidak mampu mengatasi masalah itu. Dia mengaku, ilmu dunia yang ada pada dirinya tidak boleh mengalahkan buaya-buaya tersebut. Dengan bantuan orang-orang kampung, tebing sungai itu lalu dipagari de­ngan kawat berduri. Apa yang terjadi tidak mengganggu-gugat rancangan yang sudah di atur. Acara persandingan terus dijalankan. Bila acara persandi­ngan itu tamat, satu mesyuarat kecil telah diadakan di halaman rumah Alang Botak untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang sedang di hadapi.

Dalam mesyuarat itu orang-orang kampung meminta datuk menggunakan kebolehannya untuk menghalau buaya-buaya ganas tersebut. Datuk tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Menurut datuk, kebolehan yang ada pada dirinya masih belum cukup unutk menjinakkan buaya-buaya ganas itu. Kejujuran yang datuk tunjukkan tidak dapat diterima oleh orang-orang kampung.

"Kamu sudah membuktikan di depan mata kami, usahlah kamu berdalih. Agaknya kamu yang memuja buaya-buaya tu supaya menjadi ganas. Sebelum kamu datang buaya-buaya itu tidak mengacau kami”, seorang lebai muda menghujah datuk di hadapan orang ramai.

Pendapat lebai muda itu mendapat sokongan sebagaian besar dari orang-­orang kampung. Datuk berada dalam suasana yang serba salah.

"Apa yang saya lakukan semalam, sekadar mendapatkan mayat budak itu. Dari percubaan pertama itu saya dapat mengesan yang buaya-buaya itu diarah oleh orang-orang tertentu yang dapat mempengaruhi buaya supaya menganas”, datuk memberi penjelasan dalam percubaan membersihkan nama dan dirinya.

"Mungkin di antara buaya-buaya itu, ada buaya jadi-jadian”, tambah datuk.

Orang ramai terdiam sejenak, mereka berpandangan sarna sendiri dan berbisik -bisik. Lebai muda yang berkulit cerah bangun lagi. Keadaannya lebih bersopan santun dari tadi. Dia memperkenalkan dirinya.

"Maafkan saya, kalau perbuatan saya tadi menyakitkan hati tuan, nama saya Kamaruddin dan saya bekas anggota tentera laut dan sekarang membuat kerja menangkap udang di Sungai Tanjung Ara ni, apakah yang patut kita lakukan sekarang?"

Datuk merenung muka lebai muda itu sejenak. Datuk merasakan lebai muda itu memang jujur orangnya. Tidak berdolak-dalik atau mahu menguji datuk, dia bercakap apa yang difikirkannya patut dicakapkan, sesuai dengan keadaan dirinya yang baru berusia lebih kurang empat puluh tahun.

"Kita cari pawang buaya yang handal”, kata datuk.

"Kalau begitu kita panggil Saadun Juling”, jawab salah seorang penduduk kampung.

"Dia tu tinggal di mana?", lebai muda bertanya.

"Di Sungai Rotan”, jawab orang yang mengeluarkan cadangan.

"Saya setuju dan saya boleh membantunya”, datuk memberikan pengakuan.

Kata sepakat pun di buat. Beberapa orang penduduk kampung Tanjung Ara disuruh pergi ke Sungai Rotan menjemput Saadun Juling. Permintaan itu tidak dihampakan oleh Saadun luling. Dua hari kemudian, pawang buaya itu sudah pun berada di Tanjung Ara. Datuk terus mendam­pinginya. Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung, dia tidak dapat melakukan kerjanya dengan secepat mungkin. Dia perlu mengambil masa kira-­kira tiga minggu.

Selama dia menjalankan tugasnya itu, dia minta orang-orang kampung menanggung makan minum dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, antaranya orang-orang kampung dilarang berjalan malam, kecuali dirinya. Seminggu sudah berlalu Saadun Juling hanya asyik berjalan di sepanjang tebing sungai. Kadang-kadang dia menyorok di balik pokok besar mengintai perempuan mandi dan membasuh kain disungai. Ada kalanya, dia berdiri di tebing sungai bercakap dengan air.

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, sejak Saadun Juling berada di Tanjung Ara, buaya-buaya suIit untuk dilihat. Tidak lagi mengganggu orang-orang kampung yang mandi di sungai. O­rang-orang yang bekerja menangkap udang galah mendapat hasil yang berlipat ganda. Hal ini meyakinkan orang-orang kampung yang Saadun Juling itu seorang pawang buaya yang handal. Masuk minggu yang kedua, seorang suami di kampung itu mengadu pada datuk secara suIit-suIit tentang isterinya yang telah berjaya dipujuk rayu oleh pawang buaya hingga melakukan hubungan suIit. Dan si suami tidak dapat berbuat apa-apa, setiap kali dia memandang atau berhadapan dengan pawang buaya untuk mempersoalkan kedudukan yang sebenar, dia jadi kasihan dan berasa takut yang tidak bersebab. Si suami cuba membentangkan masalah dirinya pada orang-orang kampung, mereka tidak dapat menerima lalu menuduh si suami itu berniat jahat terhadap pawang buaya yang mahu mengembalikan suasana aman di Tanjung Ara.

"Masa bila dia membuat hubungan sulit tu?", tanya datuk pada si suami.

"Malam”

"Waktu tu, kau berada di mana?"

"Dirumah?"

"Kenapa kau tidak bertindak?"

"Saya macam kena pukau. Tidak boleh bangun dari tempat tidur dan tidak boleh bersuara”

Datuk terdiam mendengar cakap si suami itu. Ada rasa simpati terpamir di wajah datuk.

"Kau bersabar, jangan bertindak terburu-buru. Jika perkara ini benar aku akan menolong kau. Aku tidak mahu perkara maksiat terjadi di sini. Kerja-­kerja yang didorong oleh syaitan harus kita tentang”

"Macam mana nak menentangnya?"

"Kau berjanji jangan beritahu sesiapa apa yang mahu aku lakukan”

"Saya berjanji”

"Pawang tu tinggal di surau. Malam ni aku nak mengintip gerak gerinya”

"Awak akan binasa, kalau melanggar pantangnya”

"Allah lebih berkuasa darinya. Allah memberkati kerja-kerja yang baik dan jujur. Allah mengeji perbuatan zina. Kalau kita tidak menegakkan kebena­ran, Allah akan mendakwa kita di akhirat kelak, kerana kita tahu perbuatan itu ditegah oleh Allah”

"Saya faham”

"Kau pulanglah dulu”, kata datuk, si suami itu terus pulang.

Pertemuan datuk dengan si suami itu tidak diketahui oleh sesiapa, walaupun pertemuan itu diadakan di rumah Alang Botak. Dan Alang Botak menganggap pertemuan itu adalah pertemuan biasa.






























44. Skandal Pawang Buaya


Datuk masih lagi berdiri di anjung rumah Alang Botak. Kedua belah tapak tangannya menekan kayu palang yang memisahkan bahagian dalam anjung dengan bahagian luar rumah. Mata datuk merenung tajam ke arah batang tubuh si suami malang yang dijamah oleh sinaran matahari petang yang lembut. Batang tubuh si suami malang hilang dari pandangan datuk di balik pokok besar, dekat liku jalan yang tajam. Datuk mengeluh kecil sambil menggamit saya yang sedang berlari bersama kenalan-kenalan baru mengelilingi pokok asam belimbing buluh di tengah halaman rumah Alang Botak.

"Ada apa tok?", tanya saya di kaki tangga sambil menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan kanan. Datuk senyum sambil meraba misai bengkoknya.

"Jangan terlalu riang bermain. Tok takut hilang riang datang duka”, katanya dengan tenang.

Saya gigit bibir dan termenung panjang sambil berfikir, kenapa datuk harus mengeluarkan ingatan itu pada saya? Apakah dia sudah dapat men­cium nasib malang yang akan menimpa diri saya? Pertanyaan itu terus berlegar­-legar dalam kepala saya tanpa menemui sebarang jawapan.

"Sudah, jangan termenung”, kata datuk sambil menepuk bahu kanan saya.

Sesungguhnya, saya tidak sedar bila masanya datuk turun ke tanah lalu ber­diri di sisi saya.

"Mari ikut aku ke tebing sungai”, tambahnya lalu mengatur langkah.

Saya pusing kekanan lalu mengekorinya dari belakang. Langkah datuk cukup pantas. Kenalan-kenalan baru saya cuma melihat saja telatah saya dan datuk. Meskipun matahari petang memancar redup, bahang panas terasa juga menjamah kulit badan. Muka saya berpeluh, ketiak terasa bergetah begitu juga dengan bahagian belakang saya. Langkah datuk cukup cepat. Bagi mem­persimbangkan langkahnya dengan langkah saya, saya terpaksa berlari-Iari anak. Saya dan datuk sampai ke tebing sungai Tanjung Ara. Air sungai kelihatan tenang dan nampak bermanik-manik disentuh sinar matahari. Rumput-rumput hijau di tebing terus merunduk bila kami pijak, tetapi, bangun semula bila kami mengatur tapak kaki ke arah lain.

Saya macam orang bodoh dibuat oleh datuk. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Matanya tetap merenung ke arah riak air sungai yang beralun lembut. Meskipun dia melangkah tanpa merenung bumi, datuk bagaikan ada panca indera yang keenam, boleh mengelakkan dirinya dari melanggar tunggul buruk atau lubang yang banyak terdapat di tebing sungai. Sudah berantai-rantai berjalan di tepi tebing sungai menuju ke hulu. Belum terdapat tanda-tanda yang datuk akan berhenti melangkah. Kedua belah pangkal paha saya mula terasa sakit. Angin petang yang bertiup tidak dapat menghi­langkan rasa resah dalam diri saya. Saya resah mengikut cara datuk berjalan, saya resah kalau buaya timbul lalu ekornya memukul badan saya yang berjalan di tepi tebing sungai.

"Aw...”, jerit saya sekuat hati, kaki kanan saya bagaikan dipukul dengan kayu keras. Tanah tebing tempat saya berdiri kelihatan rebak dan air sungai bergelombang kuat. Saya sudah tidak mampu berdiri lagi. Pandangan saya mula berkunang-kunang. Satu pukulan datang lagi. Kali ini lebih kuat dari pukulan yang pertama. Badan saya bagaikan ditarik oleh sesuatu yang mendorong sebahagian daripada badan saya tercampak ke dalam sungai. Saya terus menjerit dan mulai terasa lemas. Air sungai terus menyumbat lubang hidung dan mulut saya. Badan saya bagaikan dibelit oleh sesuatu yang secara tidak langsung menekan dan menarik saya ke tengah sungai. Saya berjuang dengan menggu­nakan segala kekuatan yang terdapat dalam diri saya supaya badan saya jangan tenggelam.

"Tolong saya tok, tolong”, kata saya dalam keadaan tercungap-cungap. Antara tenggelam dan timbul itu, saya masih lagi dapat melihat batang tubuh datuk di tepi tebing dalam keadaan yang samar-samar.

"Sabar Tamar”, kata datuk lalu dia melemparkan kain ikat kepalanya ke arah saya. Cepat-cepat kain ikat kepala yang berwama merah itu saya sambar. Saya berpaut pada kain itu sekuat hati. Kemu­dian badan saya bagaikan terbang ke udara lalu jatuh betul-betul di kaki datuk.

"Kau sakit”, tanya datuk.

Saya anggukkan ke­pala. Datuk segera mengambil sekepal rumput hijau lalu menyapu ke muka saya tiga kali berturut­turut. Kemudian datuk menyuruh saya mengu­nyah dan menelan rumput hijau. Pada mulanya, tekak saya tidak dapat meneri­manya kerana rasa rumput itu pahit dan payau. Bila rumput itu saya telan, secara tiba-tiba saya terkencing dan terus muntah.

"Bisanya sudah aku tawarkan tetapi paha kanan kau luka kena giginya”, datuk bersuara tenang.

Saya masih lagi terlentang di bumi merenung awan dan langit. Rasa sakit mula terasa di paha kanan saya. Datuk terus meraba paha saya dan darah mula membasahi rumput-rumput hijau yang segar di situ. Kain lilit kepala tempat saya bergantung tadi, masih berada dalam tangan datuk. Saya merasa hairan, kain lilit kepala yang tidak sepanjang mana itu boleh menyelamatkan saya. Bagaimana kain merah itu boleh panjang dan men­jadi tali untuk menolong saya?, timbul pertanyaan dalam hati. Datuk terus memetik daun serunai laut, pucuk mengkuang hutan dan pucuk gelenggang. Semua jenis daun itu datuk satukan dan terus diramasnya hinga sebati dan kemudian diperahnya. Air dari perahan daun itu datuk sapukan ke bahagian paha yang luka.

Darah segar berhenti keluar, rasa sakit tidak terasa, diganti dengan rasa sejuk dan segar. Datuk segera menyuruh saya duduk di bawah pokok pulai. Dia kembali ke tepi sungai. Duduk bertenggung di situ. Beberapa saat kemudian seekor buaya timbul dan rapat ke tebing sungai. Datuk berkata sesuatu dan buaya itu membuka mulutnya luas-Iuas. Datuk hulurkan tangannya ke dalam mulut buaya macam mengambil sesuatu. Datuk berlari ke arah saya. Tangan yang diselukkannya ke dalam mulut buaya itu, segera disapukan ke paha saya yang luka. Tiga kali datuk berbuat demikian hingga saya terasa yang diri saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Saya boleh bangun dan cuba berlari, rasa sakit tidak saya alami. Datuk mendapatkan buaya yang sedang membuka mulut itu. Datuk tepuk kepalanya tiga kali, hingga buaya itu merapatkan mulutnya lalu tenggelam ke dalam air.

"Masih ada buaya yang tidak dapat dipujanya. Tidak dapat diambil sema­ngatnya dan buaya itu akan jadi sahabat kita”, ujar datuk pada saya sambiI melihat bekas gigitan buaya di paha saya. Parutnya hingga kini kekal di paha saya, berwarna kehitam-hitaman dan kulit parut itu timbul sebesar jari ke­lingking yang memanjang bentuknya.

Datuk terus memimpin saya ke rumah Alang Botak. Sambil merawat saya malam itu, datuk menceritakan apa yang berlaku atas diri saya pada Alang Botak. Bila Alang Botak mendesak datuk supaya melaporkan hal itu pada pawang buaya (Saadun Juling), datuk menolak dan meminta Alang Botak me­rahsiakan kejadian. Datuk tidak mahu kejadian itu akan jadi buah mulut orang kampung yang boleh menghilangkan rasa keyakinan orang-orang kampung terhadap kemam­puan pawang buaya tersebut. Malam itu, kalau tidak silap saya malam Selasa, lebih kurang pukul dua belas tepat, datuk membangunkan saya. Dia suruh saya bersiap.

"Ke mana tok tengah malam buta begini?"

"Aku nak meronda kampung”

"Sebab?"

Datuk tidak menjawab pertanyaan saya. Dia duduk disudut bilik sambil melilitkan kain merah ke kepala. Kemudian mulutnya kumat-kamit macam membaca sesuatu.

"Sudah sampai masa pertukarannya, antara penggantian masa dari dua belas kedua belas, dari bulan muram ke bulan bercahaya dari laluan kuasa syaitan kepada manusia”

Saya dengar suara datuk bercakap sendirian. Bila habis ber­cakap jam dinding rumah Alang Botak berbunyi dua belas kali. Saya terdengar desiran angin malam melanggar daun-daun di luar rumah. Saya terasa seram sendirian. Saya juga terdengar bunyi suara kocakkan air sungai yang hebat dituruti dengan bunyi orang memukul air sungai dengan papan, bunyinya bersahut-sahutan dan memanjang bercampur dengan tiupan serunai batang padi. Bulu roma saya mula berdiri. Bunyi desiran angin ber­tambah kuat membawa suara lolongan anjing liar yang mendayu-dayu.

"Sekarang sudah pukul dua belas dua minit tengah malam, yang bertukar sudah berlaku, kita pergi sekarang Tamar”, datuk mengeluarkan perintah dan dia sudah pun membuka pintu. Berdiri di situ merenung malam yang kelam.

Datuk melangkah, saya pun melangkah. Tujuh biji anak tangga kami pijak hingga akhirnya, tapak kaki saya dan datuk bertemu tanah. Embun jantan yang menitik menyentuh kulit telinga dan hidung. Kedinginan mula terasa menggigit tubuh. Bu­nyi kocakkan air dan tiupan serunai batang padi sudah tiada kedengaran lagi. Tetapi, desiran dedaun yang disentuh angin tetap juga kedenga­ran. Di langit tiada sebiji pun bintang. Dan cengkerik terus bernyanyi. Katak puru terus melompat.

"Kau jangan banyak soal dan banyak tanya, ikut saja apa yang aku buat”, satu ingatan dari datuk.

Saya anggukkan kepala. Kami pun berjalan melintasi pepohon kecil yang tumbuh di kiri kanan jalan enam kaki.
Sekali-sekala badan saya dilanggar oleh kelawar liar yang terbang malam. Dari celah-celah pepohon yang kecil yang tumbuh merimbun itu terdengar suara burung segan. Berjalan malam di tengah hawa yang dingin begitu amat menyiksakan. Bibir saya terketar-ketar. Sekarang, kami terpaksa menempuh kawasan yang penuh dengan pokok­pokok kelapa. Beberapa biji buah kelapa mambung jatuh, mengejutkan hati saya. Semangat terasa hilang. Akhirnya, saya dapat mengesan ke mana datuk mahu membawa saya malam itu. Ternyata kami sedang menuju ke sebuah surau lama yang tidak digunakan di kampung itu. Di bahagian belakang surau itu terdapat sebuah pondok yang bersambung dengan surau tersebut. Disitulah pawang buaya Saadun Juling ditempatkan oleh orang-orang kampung.

"Berhenti”, ujar datuk, sebaik saja sampai ke perdu pokok kelapa gading.

Saya pun berhenti melangkah. Datuk terus duduk bersila dibawah pokok kelapa. Saya pun begitu. Dari pondok di belakang surau terdengar bunyi orang menepuk tapak tangan yang diikuti dengan suara orang menyebut sesuatu, suara itu sekejap meninggi sekejap menurun macam orang membaca Quran. Kalau didengar dengan teliti, ternyata orang itu bukan membaca Quran, tetapi menyeru sesuatu yang sengaja dibuat macam orang membaca Quran. Ada panjang, ada pendeknya.

"Rapat ke pondok, jangan berjalan. Kita merangkak perlahan-lahan jangan sampai terdengar olehnya”, datuk pun mula merangkak atas pasir.

Datuk jadi kepala jalan dan saya menuruti dari belakang. Bila sampai di bawah pondok, kami segera bangun.
Dari celah-celah dinding tepus, saya dan datuk mengintai ke dalam pondok. Angin malam kian kurang bertiup, suara anjing liar cukup jelas kedengaran bersama dengan suara burung hantu dan jampuk. Suara itu tingkah meningkah, bersahut-sahutan macam satu irama muzik di majlis pesta. Keadaan bertambah seram dan menakutkan bila suara anjing, burung han­tu dan jampuk itu disambut oleh suara dari dalam pondok yang gementar dan parau bunyinya.

"Tamar, kau lihat sini”, bisik datuk dan menyuruh saya mengintai ke da­lam pondok.

Saya terkejut besar. Pawang buaya Saadun Juling yang tidak per­nah saya tegur sapa itu sedang duduk bersimpuh menghadapi sebatang lilin besar berwarna merah. Di hujung kedua belah lututnya terdapat lilin kecil yang diletakkan atas papan. Kedua-dua lilin itu mengeluarkan cahaya yang malap. Cahaya dari lilin besar cukup jelas memperlihatkan dada Saadun Juling yang bidang. Kepalanya hilang di selubung oleh kain hitam yang lunjung (ta­jam ke atas macam pucung). Di bahagian kain yang menutup mata, hidung dan mulut dilubangkan yang di kiri kanan lubang itu dilapisi dengan kain putih mengikuti selebar mana lubang uitu dibuat. Memang menyeramkan melihat keadaan Saadun Juling, dalam keadaan demikian, kepalanya bergoyang ke kiri dan ke kanan macam orang ratib sambil mengeluarkan suara yang serak dan parau. Dua tiga ekor kelawar liar berter­bangan dalam pondok.

Dua tiga ekor cicak mula datang ke arah Saadun Juling. Cicak-cicak itu beratur di hadapannya. Salah seekor dari cicak itu yang bentuk badannya agak besar dari cicak biasa segera menjungkitkan ekornya, berpusing-pusing ma­cam gasing. Pada mulanya cicak itu berpusing ligat, kemudian beransur per­lahan-Iahan. Sebelum cicak itu berhenti berpusing Saadun Juling segera menangkapnya. Saadun Juling dekatkan cicak itu ke api lilin besar. Ketika itu cicak-cicak yang tidak ditangkap segera menghilangkan diri, lilin di kiri kanan lututnya segera padam. Suasana dalam pondok bertambah ke­lam, ketika itu terdengar bunyi deru air yang amat kuat, seolah-olah lantai pondok itu menjadi aliran air sungai.

Terdengar bunyi ekor buaya memukul air bertalu­-talu. Seluruh badan Saadun Juling jadi basah kuyup oleh air yang dari mana datangnya, saya sendiri tidak tahu. Dalam cahaya samar-samar itu, saya lihat ada bayang-bayang buaya duduk tertungguk di hadapan Saadun Juling. Warna buaya itu tidak berapa jelas. Bila bayang buaya itu hilang, terdengar suara orang ketawa memanjang dari setiap sudut pondok, sarang labah-labah berterbangan atas lantai. Badan saya jadi berpeluh, saya terasa ada sesuatu yang lalu di sisi saya yang tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.

Ada bunyi benda merangkak atas pasir menuju ke sungai. Suara burung hantu kian kuat berbunyi, lolongan anjing bertambah sayu dan langit yang tadi muram mula cerah. Saya renung ke kanan, saya lihat datuk meraba hujung kening kanannya tiga kali berturut-turut, masa itu juga lubang telinga saya me­nangkap bunyi deru angin yang amat kuat. Bagi memastikan dari arah mana angin itu datang, saya renung ke kanan dan ke kiri, saya lihat pokok-pokok kecil tidak bergoyang. Tetapi, badan saya mula terasa mahu rebah macam ditolak oleh angin yang kencang, saya terpaksa berpaut pada tiang gelegar pondok.

"Kau pegang kuat-kuat, semuanya untuk sementara saja”, bisik datuk pada saya sambil meramas-ramas lengan tangan kanan saya berkali-kali. Badan saya terasa panas. Dan badan saya terasa bertambah kuat dan tegap. Tidak lagi terasa mahu rebah.

"Kita tunggu dan lihat, sampai dia keluar dari pondok ini”, beritahu datuk pada saya lagi. Muka datuk saya renung, saya sudah tidak terdaya lagi mahu berdiri. Kepala lutut terasa lenguh. Apa yang saya alami, tidak saya ceritakan pada datuk, saya takut dia marah. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengintai ke dalam pondok melihat apa yang akan dilakukan selanjutnya oleh Saadun Juling. Saadun Juling membuka sarung kepalanya, kain itu dilipat rapi dan diletakkan dekat dinding pondok. Saadun Juling bangun, berjalan tiga langkah ke hadapan, berpusing ke belakang
lalu melangkah tiga tapak sambil tangan kanannya diletakkan atas kepala. Kemudian dia berdiri seperti mula-mula tadi. Duduk, membaca sesuatu dengan tenang. Saadun Juling membuka bungkusan dari kain hitam.

"Apa benda tu tok?" Saya beranikan diri menyoal datuk.

"Tengok dulu, jangan banyak tanya”, balas datuk.

Saya menggigit bibir dan mata terus melihat gerak-geri Saadun Juling. Dengan tenang Saadun Juling mengambil sesuatu lalu di sumbat ke dalam mulut, dikunyahnya dengan tenang dan penuh nafsu.

"Dia makan daging buaya kering”, datuk menjelaskan pada saya. Saadun Juling bangun, ambil mangkuk dan air dan duduk kembali. Mangkuk yang sudah diisi air itu diletakkan di hadapannya. Kemudian Saadun mengambil sesuatu dari bungkusan kain hitam. Benda yang diambilnya itu direndam ke dalam mangkuk kira-kira sepuluh minit. Kemudian, cepat-cepat Saadun Juling meminumnya. Dalam beberapa saat saja mukanya kelihatan merah.

"Kau tahu apa yang direndamnya tu Tamar?"

"Tak tahu tok”

"Dia rendam cuIa buaya tembaga”

"Apa dia cula buaya tu tok?"

"Anu buaya, eh, alat kelamin buaya jantan”

"Gunanya tok?"

"Bila kau besar, kau akan tahu sendiri gunanya”

Setelah beberapa tahun ke­mudian saya tahu juga kegunaan cuIa buaya itu. Menurut kepercayaan tradi­sional, cuIa buaya jantan itu setelah disalai atau dikeringkan, kemudian diren­damkan ke dalam air sejuk atau air panas, dan airnya diminum bagi mendapatkan kekuatan luar biasa pada alat kelamin lelaki bila melakukan hubungan jenis.

Saadun Juling menyimpan kembali semua barang-barang yang dibungkus­nya. Dia mengenakan baju Melayu cekak musang ke badannya. Dengan tenang dia meninggalkan pondok menuju ke tebing sungai. Datuk dan saya mengikutinya dari belakang. Sampai di tebing sungai, Saadun berdiri dekat tunggul buruk sambil memeluk tubuh.
Dia toleh kiri, toleh kanan bagi memastikan tidak ada orang yang mengintip dirinya. Bila sudah yakin tidak ada orang yang mengintipnya, dia pun terus membongkok di tepi tebing sungai menepuk air sungai tiga kali berturut-tu­rut. Air sungai bergelora, semua pokok keladi dan mengkuang di gigi sungai bergerak-gerak. Bila gelora air sungai menjadi tenang, berpuluh-puluh ekor buaya timbul di . permukaan sungai.

Saadun Juling duduk bersimpuh di atas te­bing sambil bersuara:

“Jum Kali jum, laut Khal­zum dari bukit Kaf ke Jabal Nur Bahtera Noh jadi penyelamat. Aku tahu asal usulmu terselamat dari bencana neraka seorang anak bernaung di bahtera Noh. Dengar kata Noh, dengar kataku. Ucapku, adalah ucap Sulai­man, terkunci gerakmu, mendengar kataku berkat doa, Asyahadu anla illaha… Jangan ganggu umat Adam, selagi belum aku perintahkan, pulanglah...”

Sebaik saja pawang buaya Saadun Juling selesai bercakap, buaya-buaya itu terus hilang. Suasana di sekitar sungai kembali damai. Saadun Juling bertempik dengan sekuat hatinya. Dia terjun ke dalam sungai berenang dan mandi dengan bebasnya di malam yang dingin. Buaya tetap mengiringinya bila dia berenang ke tengah sungai. Bila selesai mandi dan berenang, Saadun Juling segera naik ke darat. Kenakan seluar dan baju, langkahnya cukup rancak menuju ke sebuah rumah di pinggir kampung. Dia terus ketuk pintu rumah yang berdindingkan papan berlidah. Seorang perempuan muda berkemban membuka pintu. Mereka bertukar-tukar senyum. Perempuan muda itu duduk di muka pintu. Saadun Juling pula duduk di anak tangga paling akhir. Perempuan muda itu hulurkan tangannya dan Saadun Juling menggosok-gosok tangan perempuan muda itu.

"Suami kau sudah tidur?"

"Sudah”

"Malam ini aku datang lagi. Kau pasti merasa bahagia”

"Hum...”, suara perempuan muda itu penuh manja.

Saya lihat Saadun Juling mengeluarkan sesuatu dari dalam sakunya lalu mengenakan pada bahu perempaun muda. Dan perempuan muda itu kelihatan seperti orang ber­khayal.

"Sial. Dia mengenakan minyak ekor buaya pada perempuan itu. Minyak ekor buaya yang sudah dijampi bila terkena pada kulit perempuan, boleh membuat perempuan itu menyerah dan berkhayal”, rungut datuk sambil meng­genggam penumbuk. Mukanya merah padam.

Sesungguhnya datuk memang tidak boleh berhadapan dengan manusia yang menggunakan kepandaian dan kebolehan untuk memperdayakan sesama manusia. Bagi datuk, setiap orang atau anggota masyarakat yang ada kebolehan tersendiri sewajarnya menggunakan kebolehannya itu untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk digunakan bagi kepentingan diri sendiri.

"Manusia dibekalkan oleh Allah dengan akal dan fikiran. Tahu membezakan yang buruk dan yang baik. Tetapi, manusia selalu memilih yang buruk kerana yang buruk itu indah bagi syaitan. Aku tak mahu kejadian begini berlaku di hadapan mata aku”, tambah datuk, badannya mula mengeletar menahan perasaan marah.

Dua tiga batang pokok keduduk dan pokok rambutan yang sebesar pangkal lengan datuk cabut hingga keakar umbi, matanya mula merah wajahnya amat menyeramkan, nada suaranya cukup keras. Datuk cuba menahan sabar sedaya upaya yang boleh. Kesabaran datuk sudah tidak boleh ditahan lagi bila dia melihat Saadun Juling menarik wanita muda itu ke dalam rumah. Datuk segera bertempik, Saadun Juling terkejut lalu terjun ke tanah. Pe­rempuan muda yang berkemban juga terkejut, dia bagaikan tersedar dari kha­yalan. Perempuan itu menangis di ambang pintu. Suaminya keluar lalu memim­pin perempuan muda ke dalam rumah. Saadun Juling hilang dalam gelap. Datuk terus menemui suami perempuan muda itu.

"Aku harap kau tidak menceritakan semuanya ini pada orang lain. Aku sedang berusaha menolong kau, bawalah isteri kamu ke tempat tidur. Basuh mukanya dengan air dan suruh dia ambil air sembahyang, aku selesaikan kerja aku malam ini”, ujar datuk pada suami perempuan muda itu. Si suami yang malang itu anggukkan kepala dan berjanji akan mematuhi apa yang datuk sarankan padanya.

"Mari kita cari pawang sial tu”, datuk renung muka saya.

Tangan saya di tariknya. Saya kira datuk akan terus menuju ke pondok di belakang surau. Ru­panya, datuk melencong ke kiri menuju ke tebing sungai. Di tebing sungai itu Saadun Juling sedang memerintahkan buaya-buaya supaya mengganas, sam­bar apa saja yang ada di tebing sungai tidak kira manusia atau binatang ter­nakan.

"Saadun hentikan perbuatan syaitan itu”, pekik datuk.

Saadun Juling tersenyum dan membiarkan datuk serta saya meng­hampirinya yang berdiri di tebing sungai. Dalam perhitungannya, bila datuk berdiri di tebing sungai, buaya-buaya akan melompat ke­darat lalu menyambar paha datuk. Perhitungan Saadun tidak menjadi kenyataan . Memang buaya-­buaya itu timbul tetapi, tidak ada seekor pun yang mahu menyerang datuk dan saya.

Melihat keadaan itu, Saadun Juling jadi resah. Datuk kian hampir padanya. Saadun Juling me­raba pangkal pinggangnya, macam mencari se­suatu. Datuk terus melangkah, lagi lima tapak datuk melangkah pasti muka Saadun Juling dengan datuk akan berlaga. Badan saya mula menggigil, hawa malam yang dingin kian terasa mencucuk kulit tubuh saya. Kepala buaya kelihatan timbul di permukaan sungai, suara kokok ayam mula terdengar bertalu-talu, suara ungka dan burung tukang juga terdengar sayup-sayup datang dari kaki bukit.

"Kita bersahabat Saadun, dalam hidup aku tidak ada musuh sesama orang Islam kerana setiap orang Islam itu adalah bersaudara”, datuk menghulurkan tangan.

Saadun Juling terdiam, mulutnya bergerak-gerak, dia mahu menggu­nakan segala kebolehan yang ada pada dirinya untuk menguji datuk. Tiba-tiba dalam gelap itu, satu pukulan yang keras hinggap di kepala datuk. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang kesan pada datuk. Saya terkejut, Saadun Juling hilang dari pandangan, tempat dia berdiri segera di ganti oleh seorang tua yang berjanggut panjang. Orang tua berjanggut panjang itu berdiri beberapa detik saja di situ. Bila orang tua itu hilang, batang tubuh Saadun Juling terpacak di situ.

"Saadun, kuasa yang abadi dalam dunia ini ialah kuasa Allah, kuasa syaitan hanya sifat sementara saja. Bila datang yang hak, kuasanya tidak bermakna lagi, aku tidak mahu bergaduh atau bermusuh sesama Islam”, kata datuk lagi.

Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa. Saadun Juling masih juga menun­jukkan sikap permusuhan. Datuk segera membongkok. Hujung ibu jari kanannya di teka ke bumi hingga tenggelam separas kuku, bila ibu jari itu di cabutnya kembali, Saadun Juling jadi lemah, tidak mampu berdiri. Datuk segera memangku tubuhnya dan di bawa pulang ke pondok di belakang surau. Datuk letakkan batang tubuh Saadun Juling di tengah ruang pondok. Lebih dari sepuluh minit datuk mengurut seluruh tubuh Saadun Juling hingga dia pulih seperti sediakala. Bila dia sedar datuk memberi Saadun minum air panas.

Di kaki langit, cahaya subuh mula bangkit, suara ayam berkokok mula hilang, tidak lama kemudian terdengar suara Azan subuh dilaungkan dari menara masjid. Datuk segera mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang subuh di pondok tempat Saadun Juling menginap. Bila keadaan hari sudah beransur cerah, datuk terus mandi embun, kemudian kembali ke rnmah Alang Botak. Datuk sedikit pun tidak bimbang atau cemas membiarkan Saadun Juling sendirian di pondok tersebut tanpa mengikat kaki atau tangannya. Menurut datuk, kekuatan Saadun Juling tidak akan pulih, selagi rambutnya tidak kena cahaya matahari. Sebaik saja saya dan datuk sampai di anak tangga rumah, Alang Botak sudah menanti kami di ambang pintu, dia menyatakan rasa cemas dan bim­bangnya kerana datuk dan saya tidak turut sama sembahyang subuh di masjid.

"Ke mana sepanjang malam tadi, saya sedar masa awak berdua keluarma­lam tadi?", soal Alang Botak.

"Ada hal sedikit”, jelas datuk.

Kami terus memijak anak tangga. Bila sampai ke dalam rumah, sarapan pagi sudah tersedia. Nenek sudah pun menuangkan kopi ke dalam cawan. Saya terus sarapan tetapi datuk cuma minum air sejuk saja. Lebih kurang pukul tujuh pagi, saya dan datuk terus menuju ke pondok tempat Saadun Juling menginap. Ketika saya dan datuk melintas di hadapan dewan orang ramai kampung tersebut, beberapa orang penduduk segera memberitahu datuk, bahawa buaya kembali mengganas, memukul apa saja yang berdiri di tepi tebing. Datuk menyuruh mereka bersabar hingga pawang buaya, Saadun Juling bertindak.

"Kenapa tok cakap macam tu pada dia orang. Tok kan tahu pawang tu memang tak berapa baik orangnya”, saya minta kepastian dari datuk. Datuk renung muka saya sambil tersenyum dia berkata:

"Tak baik membuka keburukan seorang pada orang lain”

Saya terdiam. Akhirnya saya dan datuk sampai ke pondok tempat Saadun Juling terbaring. Datuk terus menghampirinya, dia kelihatan letih dan wajahnya nampak lesu. Matanya tidak bercahaya langsung. Datuk segera memicit buah betisnya dua tiga kali. Di luar, matahari pagi mula memancar. Datuk segera mengusung Saadun Juling ke tanah. Sebelum itu, datuk terlebih dahulu menggosok mukanya dengan kain ikat kepala sebanyak tiga kali berturut-turut. Saadun Juling di biarkan duduk di atas tanah, bila sinar matahari pagi men­jamah rambutnya, Saadun Juling mula menggeliat dan mukanya kembali me­rah. Dalam beberapa saat saja, dia sudah boleh bangun dan bercakap.

"Kenapa awak buat saya begini? Saya dijemput untuk menghalau buaya, ini balasan awak terhadap saya”, itulah kata-kata pertama yang ditujukan oleh Saadun Juling pada datuk.

Saya lihat datuk tetap bersikap tenang. Dia terus mengikut langkah Saadun Juling yang menuju ke pondok. Bila Saadun Juling mahu masuk ke rumah datuk menghalangnya dengan berdiri di muka pintu. Saadun Juling terpaksa berdiri di atas tanah dan datuk berdiri di ambang pintu pondok.

"Kenapa awak harus menipu diri sendiri?", suara datuk lantang.

"Maksud awak?"

"Awak berlagak jadi orang baik, sedangkan hati awak kotor. Awak bersikap mahu menolong orang tetapi, hati kecil awak telah melakukan kejahatan. Di mana keikhlasan diri awak?”

"Saya tak faham”

"Awak goda isteri orang untuk berzina”

Tangan kanan datuk memegang jenang pintu pondok. Wajah Saadun Juling kelihatan pucat. Dia kelihatan resah dan terus merenung tanah.

"Awak bukannya menghalau buaya tetapi awak ganaskan buaya, kemudian awak pujuk buaya-buaya di sini mendengar cakap awak dengan tujuan supaya orang percayakan awak. Bila orang sudah percaya awak perdayakan mereka. Orang lain boleh awak tipu, tapi saya bukan orangnya. Kalau awak benar, buktikan kebenaran awak tu”, datuk mencabar Saadun Juling.

Memang di luar dugaan saya yang Saadun Juling sangup menjawab cabaran datuk itu.

"Boleh, mari kita ke sungai sekarang”, katanya.

"Mari”, sahut datuk dengan tenang.

Kami bertiga pun segera menuju ke sungai . Sampai di sungai, Saadun Juling terus menyeru semangat buaya, dan buaya-buaya pun timbul, berbaris macam kayu buruk.

"Awak tengok, semua buaya dalam sungai ini saya kuasai dan buaya-buaya ini akan meninggalkan tempat ini. Kalau saya bohong dan menipu ada buaya yang tidak mendengar cakap saya”

"Betulkah ni Saadun?"

"Betul, saya bekerja kerana Allah. Kalau awak boleh buktikan perbuatan saya ni salah, saya mengikut cakap awak”

"Saadun, dalam membuat kerja-kerja begini, janganlah mempermainkan nama Allah nanti kita dikutuknya”

"Ah… buktikan kerja saya ni tidak ikhlas, usah banyak cakap”

"Kalau awak berhajat, boleh saya lakukan, ingat perbuatan kita ini mencari kebenaran, buka mahu menunjuk pandai”

"Saya setuju”

Datuk segera berdiri di tepi tebing. Datuk membaca surah AI-Fatihah dan beberapa surah yang lain termasuklah ayat Qursi. Datuk berhenti membaca dan terus mengambil segenggam tanah lalu di buang ke dalam sungai. Beberapa saat kemudian, seekor buaya timbul terus membuka mulutnya ke arah datuk. Datuk mencampakkan sehelai daun ke dalam mulut buaya itu. Dengan tenang buaya itu merapatkan mulutnya lalu bercampur dengan buaya-buaya lain yang timbul di permukaan sungai.

"Bagaimana Saadun? Apa kau masih tidak mahu mengakui perbuatan terku­tuk itu, apa kau mahu aku hebahkan perkara ini pada orang lain?", tanya datuk pada Saadun Juling.

Saya terdiam. Datuk gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saadun Juling tidak juga mahu mengakui segala kesilapan yang sudah dilakukan. Kemudian datuk terus memujuk Saadun Juling supaya berhenti da­ripada melakukan kerja-kerja yang tidak terpuji itu. Datuk lalu menyebut padanya tentang maksud dari Surah At-tin yang bermaksud lebih kurang begini: Sesungguhnya Allah itu mencipta manusia sebaik-baik kejadian, kemudian Allah akan mencampakkan mereka ke tempat yang paling ren­dah sekali, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh.

"Saadun, marilah kita gunakan segala ilmu dan kepandaian pemberian Allah ini untuk menolong sesama manusia, bukan menjahanamkan mereka”, pujuk datuk Saadun Juling yang mengeluh dan termenung panjang.

"Kejahatan terlalu panjang umurnya berbanding kebaikan, jadi masa yang pendek itu harus kita isi dengan perjuangan menegakkan kebaikan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat Saadun Juling mula resah. Saadun Juling termenung panjang, matanya merenung ke arah air sungai yang nampak berkilau-kilau disinar matahari pa­gi. Buaya-buaya yang timbul sudah menghilang­kan diri. Air Sungai Tanjung Ara tetap mengalir tenang. Cahaya matahari yang memancar terik itu membentuk bayang-bayang kami yang pen­dek di bumi.

"Kaufikir dan tanyalah dirimu sendiri, apa­kah kamu mahu mengakhiri hidupmu dengan ca­ra begini. Ingatilah alam dunia ini sentiasa bersi­fat baru, tidak ada yang kekal. Yang abadi hanya­lah Allah jua, kata datuk lagi.

Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa. Datuk terus bertindak, tangan kanan Saadun Juling disambarnya lalu dipulas ke belakang. Saadun Juling terkial-kial menahan kesakitan.

"Aku tak menghalang kau nak membuat jahat kerana itu adalah tanggungjawab kau dengan Allah. Tetapi, kalau kau mahu melakukan sesuatu yang tidak senonoh di sini aku akan jadi penghalangnya”, nada suara datuk mula keras.

Tangan Saadun Juling dilepaskannya. Mungkin Saadun Juling merasa insaf atau mera­sakan dirinya tidak selamat selagi tidak berterus terang dengan datuk. Dia lalu memilih jalan yang mudah, dia mengakui ilmu yang di tuntutnya itu memang bercanggah dengan hukum agama dan tatasusila kehidupan. Te­tapi, dia tidak boleh berpisah dengan semuanya itu, kalau dia tidak melakukan sesuatu mengikut ilmu yang dituntutnya, badannya sakit-sakit dan batuk darah.

"Dari mana kamu menuntut ilmu ini Saadun?"

"Dari kawan baik ayah saya yang berasal dari Kuala Tari, Acheh, Sumatera”

"Apa pantangnya?"

"Saya tidak boleh kahwin seumur hidup. Kalau aku mahu memenuhkan tuntutan nafsuku, aku mesti menggoda atau merayu perempuan yang sudah bersuami sampai aku berjaya tidur dengannya. Aku juga dilarang melakukan hubungan jenis dengan janda muda walau secantik manapun”, Saadun bersuara dengan tenang.

Datuk mendengarnya dengan teliti. Saadun Juling juga menceritakan bagaimana dia jatuh hati dengan seorang janda muda di Kuala Sepetang dan hampir mahu melangsungkan perkahwinan dengannya. Akibatnya dia hampir dibaham oleh buaya ketika menangkap buaya di Sungai Krian.

"Sekarang, aku minta kau menangkap buaya yang ganas dan buaya-buaya lain jangan kau ganggu atau kau puja semangatnya”, datuk melahirkan permin­taannya dan juga permintaan orang-orang kampung.

Saadun Juling terdiam. Dia macam keberatan mahu melaksanakan permintaan datuk itu.

"Engkau sebenarnya menjadi buaya. Salah seekor dari buaya itu sudah kau satukan dengan semangat kau. Aku tahu buaya itu berwarna putih dan kau memberitahu pada orang-orang di sini yang buaya itu buaya keramat. Mana ada buaya keramat cuma kau yang mengkeramatkan”, datuk membuka rahsia.

Saadun Juling menggigit bibir.




































45. Badan Pawang Berasap

Datuk terus menggosok-gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantai­nya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, temyata kawasan tesebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.

"Bagaimana? Apa kaumahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?", datuk terus renung wajah Saadun Juling.

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua. Saadun Juling secara mendadak mengenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah. Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara bua­ya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamirkan urat mata yang merah berlajur atas selaput mata putihnya. Ke­lopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.

"Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau ­mahu melakukan kerja terkutuk ini?"

"Itu urusan aku”

"Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini”

Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-Iahan dia melangkah ke hadapan sambil mem­belakangi datuk. Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan datuk sambiI membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata datuk. Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Sadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan. Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.

"Aeiiii…”, pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada datuk.

Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, datuk jatuh ke bumi. Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling ber­pusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar-pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal. Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun. Saadun Juling terus menyerang datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan me­nendang ikut suka hatinya pada tubuh datuk yang tersungkur di bumi. Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya. Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka datuk mula dibasahi darah. Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.

"Aieee...”, jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada diawang-awangan dan bersedia untuk menendang pang­kal leher datuk.

Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa datuk melayang dari badan. Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung. Usaha datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Ke­rana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak. Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak ma­cam buaya untuk menyerang datuk. Dengan cepat datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling. Kedua belah tangan datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala. Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.

"Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sum­pah ilmu kamu”, kata datuk sambiI bangun.

Di tangan datuk saya lihat tergengam rambut Saadun Juling, tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tan­jung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap. Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang. Ketika datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.

"Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini”, datuk merayu dengan nada suara yang lembut . Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.

"Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas. Kau tak akan boleh hidup senang”, tambah datuk lagi dengan wajah yang tenang.

Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan datuk. Datuk jadi serba salah, segala usahanya me­nemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai. Lama juga datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tum­buh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulut­nya bergerak-gerak membaca sesuatu.
Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah).

Bila datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling. Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali. Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut-turut sambil membaca selawat nabi.

"Biarkan dia di situ. Aku sudah melembutkan hatinya. Semoga niat baik aku diberkati oleh Allah”, ujar datuk pada saya. Datuk terus duduk di sisi saya sambil melagakan ibu jari dengan jari telunjuk, macam orang membilang tasbih.

"Saadun, marilah kita berbuat baik sesama manusia dan mencari rezeki yang halal, tidak memeras orang lain secara terhormat untuk kepentingan diri kita sendiri”, kata datuk sambil merenung ke muka Saadun Juling. Saya lihat Saadun Juling menarik nafas panjang sambil merenung ke arah langit yang terang benderang itu.

"Aku minta kau menghentikan perbuatan jahat dan menghalau buaya da­ri sini, itu saja permintaan aku Saadun, satu permintaan yang cukup mudah”, saya terdengar suara datuk mula meninggi. Saadun Juling menjeling tajam ke wajah datuk.

"Mudah bagi kau, tapi susah bagi aku”, suara Saadun Juling mula keras.

"Maksud kau?"

"Kalau aku menurut cakap kau, ertinya aku menyerah nyawa pada buaya, aku akan mati”

"Hidup mati kau, bukan kuasa buaya, nyawa seseorang tergantung pada Allah”

"Kalau kau pandai, kau sendiri halau buaya di sungai. Aku tak mahu, kau jangan halang kerja aku”

"Eh, Saadun aku bukan pawang buaya macam kau, apa yang aku lakukan selama ini ialah petua untuk menjinakkan buaya, petua tu aku perolehi dari orang tua-tua, itu saja yang ada pada diriku”

Matahari kian panas bersinar, angin yang bertiup sekitar kawasan itu tidak dapat memberikan rasa sejuk pada diri saya. Setiap kali saya menggerakkan kulit muka, akan terasa sakit dan pedih akibat kena penumbuk sulung dari Saadun Juling. Bila saya raba dengan tapak tangan bahagian kulit yang pedih itu, terasa tebal dan membengkak.

"Tak apa Saadun, aku rnengajak cara baik kau ­tak mahu. Mulai saat ini kita bermusuh, kalau aku lalai akan jadi habuan kau dan kalau kau pula lalai, kau akan jadi habuan aku. Ingat kejahatan kamu akan aku ceritakan pada orang-orang di sini”, da­tuk mengugut Saadun Juling.

Rambut Saadun Juling yang disembunyikan di bawah ketiak dikeluarkan untuk disimpan dalam saku baju hitamnya, kemudian datuk mengajak saya pulang. Baru lima langkah melangkah, Saadun Juling menerpa ke arah datuk sambil menghulurkan ulu golok pada datuk. Saya dan datuk tergamam. Langkah kami terus mati. Datuk dan saya berpandangan, secara perlahan-Iahan saya melangkah tiga tapak ke belakang. Bukan kerana takut, cuma bersiap sedia untuk lari, kalau Saadun Juling mengamuk dengan tiba-tiba.

"Untuk apa Saadun?"

"Potong rambut saya di bahagian tengkuk. Mulakan dari kiri ke kanan, jangan sampai sehelai pun rambut saya jatuh ke tanah”

Datuk pun segera mengambil golok dari tangan Saadun Juling. Datuk renung rambut Saadun Juling yang panjang dan lebat itu. Dengan hati-hati datuk mematuhi arahan yang dikatakan oleh Saadun Juling. Rambut yang sudah di potong itu segera di serahkan pada Saadun Juling kem­bali, kemudian dia membungkusnya dengan kain hitam.

"Mari kita duduk”, ujar Saadun Juling.

Panas kian terik. Lima minit masa berlalu, kami tidak bercakap walau sepatah pun. Curna Saadun Juling saja yang memandang liar ke kiri dan ke kanan. Dari saku baju sebelah kirinya, Saadun Juling mengeluarkan kotak kecil. Kotak itu diserahkan pada datuk.

"Bukalah kotak itu”, katanya.

Datuk pun membuka kotak tersebut. Di dalamnya termuat sebilah pisau cukur bersarung hitam, segumpal rambut, se­butir telur buaya yang masih baik keadaannya serta dua bilah gigi buaya yang sudah berlubang, pada lubang itu dicucuk dengan benang hitam, bila disarung­kan ke leher akan menjadi kalung.

"Ini ibu geliga buaya”, Saadun Juling menunjukkan pada datuk satu benda putih yang berkilat dan bentuknya seperti batu sebesar ibu jari.

Benda putih itu dikeluarkan oleh Saadun Juling dari sebelah rusuk kirinya. Datuk anggukkan kepala mendengar penerangan dari Saadun Juling, saya cuma melihat dan memasang telinga sahaja.

“Semangat buaya yang saya puja berada di sini, sekarang biarlah saya pulangkan padanya kembali dan saya minta pada buaya-buaya di sini pindah ke tempat lain”, muka datuk berubah mendengar kata-kata itu.

Saadun Juling terus mengambil sekepal pasir dan sehelai daun keladi. Pasir yang di genggamnya itu ditaruh atas daun keladi dan ibu geliga buaya ditaruh di tengah-tengah pasir lalu dibungkus dengan daun keladi. Bungkusan itu di genggamnya sebentar sambil mulutnya menyebut sesuatu yang sukar saya fahami, bahasa yang di ucapkan bercampur aduk, ada bahasa Siam, ada bahasa Jawa dan bahasa Acheh. Bila semuanya sudah selesai, bungkusan itu dilemparkan ke dalam sungai. Dalam sekelip mata saja, air sungai bergelombang. Bila gelombang air sungai berakhir, berpuluh-puluh ekor buaya timbul. Semua kepala buaya itu meng­hadap ke hilir.

"Pindahlah kamu dari sini, aku bukan bapak kamu lagi, pergilah ke mana-­mana”, jerit Saadun Juling.

Ternyata buaya-buaya di sungai itu mendengar cakapnya, buaya-buaya itu bergerak menuju ke kuala. Saya kagum dengan ke­bolehan luar biasa yang dimiliki oleh Saadun Juling. Saya kira rasa kagum itu terjadi juga pada diri datuk.
Sebabnya, apa yang dilakukan oleh Saadun Juling datuk perhatikan dengan penuh minat. Saadun Juling masih lagi merenung air sungai yang kelihatan agak tenang. Kelopak matanya tidak berkedip. Tiba-tiba air sungai bergelom­bang kembali, seekor buaya sebesar batang kelapa timbul di permukaan sungai, buaya itu berenang ke tepi sungai.

"Berhenti dan tunjukkan badan kamu”, kata Saadun Juling, buaya itu segera menimbulkan seluruh badannya. Warna badan buaya itu agak keputih-putihan sedikit dan pergerakkan kaki serta ekornya tidak sepantas macam buya-buaya yang lain.

"Aku tidak memerlukan kamu lagi, aku kembalikan semangat kamu yang aku pinjam pada kamu kembali, sumpah yang kita buat sudah tidak ada lagi, kau berhak memakan daging aku dan aku berhak membunuh kamu”, Saadun
Juling terus berkata-kata dengan buaya tersebut.

Saya lihat buaya itu terus menyelam dan ghaib. Di tempat buaya itu menyelam muncul sepo­tong kayu hitam macam kayu arang yang pan­jangnya kira-kira dua kaki. Kayu itu berpusing-pusing di situ dengan ligatnya sambil mengeluarkan asap yang nipis dipermukaan sungai. Asap itu nampak memanjang naik ke udara. Beberapa saat kemudian asap itu hilang, dan Saadun Juling terus jatuh ke tanah. Badan Saadun Juling kelihatan kaku, tidak bergerak dan kedua be­lah kelopak matanya tertutup rapat. Dari sinar matahari yang cukup terik itu, saya lihat seluruh badan Saadun Juling mengeluarkan wap seperti wap dari ketul asis. Bila wap itu hilang Saadun Juling mula bergerak dan terus bangun. Dengan langkah yang tenang dia mendekati datuk.

"Kamu lihat buaya putih tadi?"

"Ya”

"Sebenamya badan buaya itu tidak putih cuma penglihatan kita saja yang membuat kita menyangka buaya itu putih”

"Maksud kau Saadun?"

“Itulah buaya jadi-jadian yang aku puja dari puntung kayu hanyut di tengah sungai waktu malam, sebelum puntung itu aku puja, puntung itu aku serahkan pada guruku untuk ditapa selama tujuh minggu dalam lubuk yang airnya berpusing, setelah dipujanya barulah diserahkan pada aku untuk memujanya de­ngan beberapa syarat yang tertentu”

Datuk renung wajah Saadun Juling lama-lama, kemudian datuk tersenyum sambil meraba pipi kanannya berkali-kali. Datuk hulurkan tangan pada Saadun Juling, cepat-cepat Saadun Juling menyambut huluran tangan datuk itu. Mereka berjabat salam penuh mesra sambi ketawa penuh makna.

"Kita bersahabat ,tetapi kalau kau tersilap langkah ertinya kau habuan aku. Begitu juga dengan aku kalau tersilap langkah akan jadi habuan kamu, " kata-­kata itu diucapkan oleh Saadun Juling dengan penuh semangat.

"Kalau itu sebagai satu syarat untuk kita bersahabat, aku terima Saadun”, balas datuk.

"Memang itu syaratnya, aku senang bila kau terima syarat tersebut”, sa­hut Saadun Juling. Seram juga mendengar janji dua orang yang mahu bersa­habat ini, pelik dan ganjil sekali buat diri saya.

Saadun Juling terus melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke hadapan di depan datuk. Kerana datuk masih duduk bersila di tanah, langkah yang di atur oleh Saadun Juling itu diperhatikannya dengan ekor mata sambil bersedia kalau langkah itu akan bertukar menjadi buah silat lalu mencari sasaran di tubuh datuk. Mujurlah langkah Saadun Juling tetap dengan langkahnya, tidak ada tanda-­tanda akan bertukar menjadi buah silat membuat perasaan datuk jadi tenang. Dalam keadaan yang begitu tenang Saadun Juling terus melompat dengan tiba­-tiba dan terus duduk bersila di hadapan datuk. Saadun Juling hulurkan kepalanya yang berambut panjang serta lebat itu pada datuk.

"Gunakan pisau cukur tadi dan cukurlah rambut ini, aku mahu membuang segala ilmu yang aku tuntut”, wajah datuk kelihatan berubah, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Saadun Juling padanya.

"Kau mahu mempermainkan aku atau kau memang berhajat betul”

"Aku bercakap benar, segala kekuatan ilmu yang aku tuntut terletak pada rambutku. Sebab itulah aku menyimpan rambut panjang, ada tujuan dan gunanya, kata orang ada muslihatnya”

"Begitu. Fahamlah aku sekarang”

"Eh, kau memang bijak, pura-pura tidak tahu. Padahal kau sendiri tahu, bila kau menarik rambut aku tadi aku sudah tahu yang kau sudah mengetahui rahsia diri aku”

Datuk tersenyum mendengar kata-kata dari Saadun Juling itu. Datuk tidak dapat berdalih lagi, secara terus terang datuk mengatakan pada Saadun Juling, segala rahsia kekuatan itu diketahuinya setelah melihat cara-­cara Saadun Juling berjalan serta cara kerdipan mata Saadun Juling. Secara jujur pula Saadun Juling mengakui, sebab utama dia mahu mengikut cakap datuk kerana datuk mengetahui rahsia kekuatan dirinya. Andainya datuk tidak mengetahui rahsia itu dia bermusuh dengan datuk hingga hari kiamat.

Tanpa membuang masa lagi, datuk pun mencukur rambut Saadun Juling dengan meninggalkan rambut bahagian ubun-ubun kepala dalam bentuk bulat, kerana rambut yang tinggal itu panjang membuat saya teringat pada rambut kaun Red Indian di Amerika yang selalu saya Iihat dalam filem cowboy. Saya tersenyum, memang bodoh kelihatannya bila orang tua berjambul dengan rambut panjang, sebabnya, datuk meninggalkan rambut tersebut adalah atas permintaan Saadun Juling sendiri.

"Sekarang cukurlah rambut yang tinggal itu dan kau bersedialah menge­lakkan diri kau dari terkena badinya”, kata Saadun Juling sambil menyuruh datuk mengambil segumpal rambut, telur buaya dan dua bilah gigi buaya dari dalam kotak kecil. Kalung dari gigi buaya disangkutkan ke lehernya, manakala segumpal rambut dan telur buaya diletakkan atas daun keladi dan daun keladi yang diisikan dengan barang tersebut pun diletakkan di bawah paha kanan Saadun Juling.

"Sekarang, cukurlah rambut itu dari arah matahari jatuh membawa ke arah matahari naik”, Saadun Juling segera memberikan perintah.

Datuk segera mela­kukannya. Bila mata pisau cukur terkena bahagian rambut tersebut, secara me­ngejut hujan turun dalam panas yang terik itu. Air hujan yang kasar itu jatuh atas permukaan sungai membuat air sungai kelihatan seperti meruap-ruap. Saadun Juling memejamkan matanya dan tangan datuk yang memegang pisau cukur kelihatan bergerak-gerak tidak tentu arah macam di tolak sesuatu. Akhirnya dapat juga datuk mencukur rambut sejemput itu, setelah dia membaca beberapa potong ayat suci.

Bila rambut itu selesai di cukur, hujan panas segera berhenti. Tetapi, wajah datuk kelihatan kebiru-biruan, kedua belah bibirnya nampak hitam dan badannya menggeletar macam orang kena serang demam kura. Datuk segera menghampiri saya serta menyuruh saya mencari daun lidah buaya dan cendawan telinga monyet. Berpeluh juga badan saya mencari bahan-bahan yang dikehendaki oleh datuk sekitar kawasan itu. Nasib saya agak baik, cendawan telinga monyet saya temui di batang getah buruk. Daun lidah buaya pula saya temui dalam jarak satu rantai dari batang getah buruk tersebut. Semua bahan-bahan itu saya serahkan pada datuk. Cendawan telinga monyet datuk patah dua. Sebelah digosokkan pada tapak kaki kiri dan yang sebelah digosokkan pada tapak kaki kanan beberapa kali hingga rasa mengeletar di badannya hilang. Bahagian kulit atas daun lidah buaya datuk kupas (siat) dengan golok, bila kulit itu tersiat terdapat sejenis lendir yang rupanya macam agar-agar.

Lendir itu datuk taruh atas tapak tangan lalu dimakannya. Saya terasa geli -geleman dan tekak saya terasa loya melihat datuk menelan lendir dari daun lidah buaya. Bahagian bawah daun itu datuk kupas juga, lendimya datuk ambil dan disapukan ke muka serta kedua belah lengannya. Bibir datuk yang keliha­tan hitam segera bertukar menjadi merah begitu juga dengan wajahnya yang kebiru-biruan pulih seperti sediakala.

"Daun lidah buaya ini banyak khasiatnya, kalau anak dara mahu kulit mukanya bersih serta halus tanpa jerawat sapulah lendir dari daun ini. Kalau kita mahu kelihatan muda (awet muda) sapukan lendirnya ke muka setiap petang, kalau badan terasa panas atau mahu menjaga kesihatan tubuh badan, ini khasiatnya”, kata datuk pada saya sambil mengeliat.

"Kalau mahu mengekalkan rumah tangga hingga mati dan mahu berbini lebih dari satu daun lidah buaya juga boleh digunakan. Orang lelaki yang mema­kai daun lidah buaya muda menawan hati orang perempuan. Tapi mesti ada petua dan syaratnya, belajarlah dengan datuk awak”, sampuk Saadun Juling.

Dan saya mengharapkan datuk akan mengeluarkan petuanya dan saya ber­sedia melakukannya. Sebagai lelaki tentu saja saya teringin memikat atau jadi pujaan setiap gadis, kalau perlu mahu beristeri lebih dari satu.

"Petua yang itu tidak boleh diberikan pada Tamar. Belum tentu petua itu digunakan dengan sebaik-baiknya, hari ini kita nampak bagus, bila dah dewasa belum tentu dia bagus. Kalau petua tu terlepas padanya aku yakin dia akan jadi kambing randuk (bapak kambing) yang kerjanya membilang kepala bini atau membilang kepala betina”, kata datuk lalu disambut dengan ketawa berdekah-­dekah oleh Saadun Juling.

Sesunguhnya, kata-kata datuk itu meninggalkan kesan kecewa yang amat mendalam pada diri saya. Apa boleh buat, mahu bertanya atau meminta petua itu pada datuk saya takut, silap-silap tanya atau minta nanti penampar hinggap ke muka paling kurang kena maki. Matahari sudah berada betul-betul di atas kepala dan burung helang siwah mula terbang rendah mencari makan sambil berbunyi sekali-sekala, ketika itu jugalah Saadun Juling membentang kain kuning berbucu tiga di atas tanah. Rambutnya sudah dicukur, dikumpul atas kain kuning tersebut. Begitu juga dengan pisau cukur, telur buaya, kalung gigi buaya dan segumpal rambut, semua benda-benda itu dibungkus dengan kain kuning lalu diletakkan di atas batang buruk dan dihanyut­kan ke tengah sungai.

Bila kain kuning di atas batang buruk itu berge­rak ke hilir, helang siwah yang terbang terus men­junam serta menyambar kain kuning tersebut, bila kain kuning itu berada dimuncung burung helang yang berlegar-Iegar di udara, terdengar satu leda­kan macam ledakan petir dan badan helang yang berada di udara berkecai, bulunya berterbangan ja­tuh atas permukaan sungai.

"Semuanya sudah habis, ilmu yang di tuntut sudah pulang ke tanah asalnya di Kuala Tari, Acheh, menemui tuannya”, ujar Saadun Juling dengan wajah yang gusar.

"Habiskan usia kamu yang ada ini untuk mengabadikan diri pada Allah, mohon ampun dan bertaubatlah pada Allah, semoga kau akan bahagia dunia akhirat”, datuk terus menepuk bahu Saadun Juling sambil meninggalkan kawasan tersebut menuju ke pondoknya.

Bunyi ledakan petir di tengah hari itu rupanya menimbulkan kegemparan pada para penduduk di Tanjung Ara, beberapa orang penduduk yang ingin tahu tentang kejadian itu segera mencari datuk.

"Apa yang mahu dirisaukan, bunyi petir ditengah hari perkara biasa semua­nya berlaku atas kehendak Allah, kalau mahu mengetahui rahsianya carilah sendiri, saya sendiri tidak tahu”, kata datuk pada orang-orang kampung yang menemuinya dikaki tangga pondok tempat Saadun Juling menumpang.

Tanpa banyak soal jawab, orang-orang kampung terus pulang ke rumah ma­sing-masing. Sebagai membuktikan kejujuran dan keikhlasan hatinya pada orang-orang kampung Tanjung Ara dan datuk, Saadun Juling membuat keputusan untuk tinggal di kampung tersebut selama dua minggu lagi. Alasan yang diberikan pada orang-orang kampung ialah untuk melihat se­jauh mana kejayaannya menghalau buaya di sungai tersebut. Sungguh memeranjatkan, usaha Saadun Juling tidak sia-sia. Buaya cukup sulit untuk di temui di sungai tersebut. Kalu ada pun, buaya tersebut hanya sekadar menumpang lalu, mempamirkan tubuh badan seminit dua di permukaan sungai, kemudian terus hilang dan amat sukar dikesan kemana buaya itu menghilangkan diri.

Kerana kejayaan itu, orang-orang kampung telah sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dengan mengadakan jamuan makan tengahari di surau kampung tersebut setelah menunaikan sembahyang Zuhur secara berjemaah.

“Saya minta pada orang di sini supaya jangan membuang cicak ke sungai atau memancing ikan berumpankan cicak, perbuatan itu memang dilarang dan merupakan satu pantang. Kalau dilanggar pantang itu buaya akan mengamuk kembali. Jika ada diantara tuan-tuan yang memanggang cicak dengan buluh atau sebagainya lalu dibuang ke sungai padahnya cukup buruk, buaya akan mem­balas dendam, dalam ilmu pawang buaya hal ini memang merupakan pantang besar”, demikian Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung.

Dia juga menyatakan pada orang-orang kampung bahawa segala ilmu yang dituntutnya bagi menangkap buaya, sudah dibuangnya kerana dia mula sedar yang ilmu itu banyak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Dalam majlis kesyukuran itu juga, datuk mengambil daya usahanya sendiri mempertemukan Saadun Juling dengan suami wanita yang digodanya. Memang diluar dugaan datuk pertemuan yang diadakan dengan tujuan yang baik menjadi sebaliknya. Suami wanita itu menaruh dendam pada Saadun Juling. Bila dia berhadapan dengan Saadun Juling tanpa berfikir panjang, dia terus mencabar Saadun Juling supaya bergaduh dengan menggunakan parang panjang.

"Saadun, aku harap kau bersabar, orang yang sabar dikasihi oleh Allah, tujuan kita bukan mahu bergaduh, apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan. Untuk menghilangkan rasa permusuhan sesama Islam, bukankah Islam mahu para pe­ngikutnya berbaik-baik, hidup aman dan saling tolong-menolong”, kata datuk kepada Saadun Juling.

"Saya ikut cakap awak, asalkan tujuannya baik”, sahut Saadun Juling.

Datuk terus mendekati si suami yang sedang marah itu. Datuk tepuk bahu kanannya dua tiga kali, kemudian datuk ambil keris pendek yang tergenggam di tangan si suami itu. Keris itu datuk masukkan ke dalam sarungnya. Orang-orang kam­pung yang tidak tahu tentang kedudukan perkara tersebut jadi tercengang-cengang sambil berbisik sama sendiri.

"Usah bimbang, mereka ada selisih faham sedikit. Biarlah saya yang cuba mengatasinya. Saya yakin kalau kita bersikap sebagai orang Islam sejati, ma­salah ini boleh selesai”, datuk memberitahu orang-orang kampung dan menyuruh mereka bersurai.

Datuk terus menemui si suami yang sedang naik darah itu kembali. Datuk terus bercakap-cakap dengannya sebentar, Saadun Juling cuma me­lihat dari jauh saja. Saya menarik nafas tanda senang hati kerana datuk berjaya memujuk si suami yang sedang marah itu. Saadun Juling bersalam dengan si suami yang mempunyai parut di betis kanannya, kemudian si suami itu me­ngajak datuk, Saadun Juling dan saya ke rumahnya. Kami di jamu dengan kopi panas di anjung rumah.

"Saya mengaku saya bersalah dalam hal ini, ambillah golok ini dan lakukan apa saja demi menjaga kehormatan awak sebagai seorang suami, saya rela mati atas perbuatan saya”, tiba-tiba Saadun Juling menghulurkan ulu golok pada sisuami yang berparut di betis kanan.

"Tak perlu, saya faham dan saya sudah mengetahui kedudukan diri awak. Saya maafkan awak, walaupun perbuatan saya ini satu perbuatan dayus pada mata orang lain, saya tidak merasa kesal. Menjauhkan perasaan dendam dan bergaduh sesama orang yang seagama itu lebih mulia”, dengan tenang si suami itu bercakap pada Saadun Juling.

Mereka berdakap-dakapan dan menangis. Saya dan datuk sungguh terharu melihat peristiwa tersebut. Dengan perasaan yang ikhlas si suami itu terus bertanya pada isterinya, sama ada dia mencintai dirinya atau Saadun Juling. Dengan jujur si isteri itu menjawab, dia memang tidak mencintai atau menyayangi suaminya, kerana si suami itu bukan pilihan hatinya. Dia menikah dulu semata-mata mendengar cakap ke dua orang tuanya.

Si suami menerima keterangan itu dengan dada yang terbuka, kemudian dia membuat keputusan menceraikan isterinya, setelah Saadun Juling mem­berikan jaminan yang dirinya akan memperisterikan wanita tersebut. Saadun Juling membuktikan kata-katanya itu, setelah wanita itu lepas edah, dia terus menikah dengan wanita tersebut.
Kemudian Saadun Juling membawa isterinya ke kampung halamannya dan memulakan penghidupan baru dengan membuka kedai kopi dan barang­-barang runcit di tempatnya dan namanya sebagai pawang buaya terus dilupakan orang.








46. Berjalan Atas Angin

Kedai kopi dan barang-barang runcit yang diusahakan oleh Saadun Juling mendapat sambutan amat menggalakkan dari para penduduk setempat. Di samping berniaga, Saadun Juling terus mendalami ilmu agama. Setiap malam, dia mengundang seorang guru agama yang terkemuka di daerahnya Tuan Haji Nawawi Al-Petani ke rumahnya. Dia belajar selok-belok agama Islam dari pukul sepuluh hingga menjelang dua belas malam. Selama dua tahun Saadun Juling berniaga, dia telah mender­makan wang ringgitnya untuk membesarkan beberapa buah masjid di daerah­nya, juga mendirikan beberapa buah surau serta mendirikan sekolah agama rakyat untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas belajar agama Is­lam.

Atas nasihat Tuan Haji Nawawi Al-Petani, Saadun Juling dan isterinya berhijrah ke Kelantan. Dua tahun menetap di Kelantan, kemudian pindah ke Petani di Selatan Siam, mendalami ilmu agama Islam dengan beberapa guru agama yang terkenal di sana. Setelah menetap selama tiga tahun di Petani, Saadun Julling dan isterinya pergi ke tanah suci dengan berjalan kaki dan akhirnya menetap di Jeddah. Menurut beberapa orang penduduk Tanjung Ara yang pernah pergi ke Mekah dan sempat berjumpa dengan Saadun Juling di Jeddah, menyatakan yang Saadun Juling telah membuka perniagaan di sana. Khabarnya, Saadun Juling boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih, boleh menulis dan hafaz Quran. Namanya juga sudah berubah dari Saadun Juling menjadi Saadun Al­Hafiz. Datuk cukup gembira mendengar berita yang disampaikan oleh pendu­duk Tanjung Ara padanya.

“Rajin dan usaha itu tangga kejayaan dan Allah tidak pemah menghampakan harapan dan cita-cita manusia yang bekerja keras untuk mengubah nasib hidup­nya. Contohnya, kau sendiri sudah melihat dan mendengar tentang hal diri Saa­dun Juling yang sesat dalam perjalanan hidup dan kembali ke pangkal jalan untuk membina hidup baru yang lebih bererti sebagai manusia yang beragama Islam”, ujar datuk pada saya.

Wajah datuk saya renung, kelihatan peluh-peluh halus mula meruap didahi luas yang disinari oleh matahari petang dalam kawasan kebun pisang emasnya yang seluas satu ekar lebih. Saya tahu, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, saya dan datuk banyak menghabiskan masa di kebun pisang. Saya menolong datuk membuang daun­-daun pisang kering, menebang dan mengambil pisang yang sudah tua. Buah-buah pisang tua itu dilonggokkan pada satu tempat, sementara menanti lori pemborong buah pisang mengambilnya. Dan urusan menimbang, menjual dan mengutip wang datuk serahkan bulat-bulat pada saya.

"Lama sungguh kita tidak ke mana-mana tok”, kata saya, sebaik saya selesai menebang pokok pisang di hujung sempadan. Datuk yang asyik me­ngumpul daun-daun pisang tua, dekat pangkal pokok pulai, berhenti mengum­pulkan dedaun pisang itu. Dia terus renung muka saya dan akhirnya duduk atas batang getah yang tumbang.

"Kenapa? Kau jemu duduk di rumah?”

"Tidak, saja tanya”

"Sejak balik dari Tanjung Ara, kalau tak sikap aku, sudah dua kali mening­galkan tumah, kali pertama aku pergi ke Sungai Petai, dekat Alor Gajah Melaka. Kali kedua aku pergi ke Bukit Tengah di Seberang Perai”

"Tapi, saya tok tak ajak”

"Oh, aku terlupa nak ajak”, kata datuk sambil ketawa.

Dia menyapu peluh di dahinya dengan telapak tangan kanan. Matahari petang kian condong. Bayang saya yang berdiri dekat pokok pisang emas kelihatan memanjang di bumi. Bunyi suara burung tekukur dan merbuk, sudah jarang-jarang kedengaran. Angin juga mula bertiup lemah.

"Berkemaslah Tamar, kita balik. Esok kalau panjang umur kita datang lagi”, tekanan suara datuk cukup rendah.

Dia pun melangkah ke pondok yang terletak di bucu tanah sebelah kanan. Saya mengekornya dari belakang. Pondok itu sengaja didirikan oleh datuk sebagai tempat berehat dan sembahyang. Tidak jauh dari pondok itu terdapat sebatang anak sungai yang airnya cukup jernih. Air sungai itu tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Jika musim tengkujuh airnya tidak pernah melimpah ke paras tebing. Sampai di pon­dok, datuk terus berehat di pelantar dekat tangga. Saya menggeliat dua tiga kali di depannya untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikat dan lengan.

"Aku nak mandi ke sungai, kau nak ikut?”, datuk mempelawa saya sambil meletakkan kain basahan di bahu sebelah kiri.

"Tak mahu tok”

"Sebab?"

"Bila mandi di sini, sampai di rumah kena mandi lagi. Kita balik terpaksa berjalan, badan kita tentu berpeluh, lebih baik mandi sekali di rumah”

"Terpulanglah pada kau Tamar”

Datuk pun mengatur langkah menuju ke sungai. Sementara menanti datuk selesai mandi, saya terus membersihkan sekitar kawasan pondok. Semua sampah sarap yang sudah di kumpulkan itu saya bakar. Bila saya mahu melangkah ke arah pangkal pokok tembusu untuk mengutip daun-daun yang jatuh di pangkalnya, saya dapati datuk sudah tercegat di situ. Dada saya berdebar. Batang tubuh datuk saya perhatikan, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Saya terasa ada sesuatu yang ganjil terjadi pada diri datuk.

"Kenapa? Kamu terkejut kerana aku berada di sini?”, datuk menjegilkan biji matanya ke arah saya.

Pertanyaan itu tidak saya balas. Saya masih mencari jawapan, bagaimana datuk boleh berada di situ? Biasanya, bila pulang dari su­ngai, datuk akan menggunakan jalan yang selalu digunakan. Aneh, macam mana saya tidak dapat mendengar bunyi tapak kakinya. Semua persoalan itu muncul dalam tempurung kepala saya.

“Tok ada masalah?" Saya memberanikan diri, mengajukan pertanyaan. Saya lihat datuk gelengkan kepala sambil tersenyum. Dengan tenang datuk menarik tangan saya menuju ke pelantar. Kami duduk di situ. Datuk menepuk bahu kiri saya, penuh dengan rasa kasih mesra. Dan datuk bagaikan tahu tentang keraguan yang timbul dalam hati saya.

"Sebenarnya, aku berjalan tadi mengikut gerak angin dan tapak kaki aku bila tersentuh bumi atau daun tidak akan mengeluarkan sebarang bunyi, batang tubuh aku tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, aku berada di sisi kamu ketika kamu membakar sampah, malah aku menolong menghidupkan api, kau­ tak nampak”, datuk membuka rahsia dirinya.

Saya menarik nafas panjang, perlahan-Iahan saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Keterangan dari datuk itu amat menakjubkan.

"Agaknya datuk dikejar binatang buas membuat datuk terpaksa bertindak begini”

"Tidak”

"Kalau tidak untuk apa datuk berjalan mengikut arah angin dan menghi­langkan diri, mesti ada sesuatu muslihat”

"Tak ada Tamar, apa yang aku lakukan sekadar mengamalkan. Sebabnya, ilmu yang ada jika tidak diamalkan dalam masa tertentu boleh jadi kita lupa”

"Saya faham”

Datuk terus mengajak saya pulang. Kira-kira dua puluh langkah meninggalkan pondok, saya teringatkan buah-buah pisang yang ter­longgok di bahagian tengah kebun. Saya bimbang kalau buah-buah pisang yang dianggarkan beratnya lebih dari lima belas pikul itu akan hilang. Barangkali datuk lupa tentang buah-buah pisang tersebut. Saya perlu mengingatkannya. Saya tidak rela sama sekali buah-buah pisang itu akan jadi habuan pencuri. Mana boleh jadi, kita yang bekerja setengah mati orang lain mendapat feadahnya dengan mudah. Hujung baju datuk segera saya tarik dari belakang. Langkahnya terus mati.

"Kenapa?"

"Pisang kita tok?”

"Kenapa pula dengannya? Kau nak bermalam dengan buah-buah pisang itu?”

"Takut dicuri orang tok”

"Haaaa”

Datuk segera menyandarkan badannya pada salah satu pokok getah yang berbaris dikiri kanan jalan yang kami lalui. Dia mengedutkan dahinya sambil menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Kemudian datuk tegakkan badannya sambil menghalakan wajahnya ke arah angin yang datang. Datuk lurut lengan kanan dengan tapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut. Dengan tenang datuk memetik ibu jarinya sebanyak dua kali, bunyi yang lahir dari petikan ibu jarinya berbunyi cukup kuat.

"Datang ke mari sekejap, ada kerja yang nak aku serahkan pada kamu”, ujar datuk dengan te­nang. Saya segera menghampirinya. Berdiri di se­belah kiri datuk.

Tiba-tiba datuk menolak badan saya hingga tersungkur atas tanah. Saya segera bangun, muka datuk saya renung, ternyata datuk tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi. Mulutnya kelihatan ber­gerak-gerak. Bila mulutnya berhenti dari bergerak, saya terus mengajukan pertanyaan padanya.

"Kenapa saya di tolak tok?"

"Aku tak panggil kau”

"Habis datuk panggil siapa?"

"Itu, aku panggil itu”, jari telunjuk datuk menuding ke arah rimbunan pokok senduduk yang kelihatan bergoyang-goyang. Saya tergamam, seekor harimau belang menuju ke arah datuk. Berhenti dan merebahkan badannya atas tanah di depan datuk, sambil mengoyang-goyangkan ekornya, tidak ubah seperti kucing yang manja. Datuk tepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Harimau itu membuka mulut­nya luas-Iuas. Lidahnya menjilat pergelangan tangan datuk. Saya memberanikan diri lalu mengurut-urut badan harimau tersebut. Dengan penuh rasa manja hari­mau itu mengerak-gerakkan ekornya ke bahu dan muka saya hingga terasa geli.

"Malam ni, kau jaga pisang kami, esok aku nak jual. Ingat kalau ada orang yang mahu mencurinya kau halaukan saja, jangan cederakan manusia”, kata datuk pada harimau itu, saya lihat harimau itu merenung ke muka datuk, ke­mudian memejamkan kedua belah matanya sambil mengaum kecil.

"Pulanglah,” kata datuk, harimau itu segera bangun dan menggesel-geselkan badannya ke badan datuk. Kemudian harimau itu bergerak menuju ke rumpun senduduk lalu hilang. Datuk menepuk bahu saya dua tiga kali.

"Kausudah tahu siapa yang aku panggil Tamar?"

"Tahu tok”

"Dialah yang menjaga pisang kita malam ini”

"Saya tahu tok”

"Kalau sudah tahu, jangan banyak bertanya, mari kita blaik”

Kami pun melangkah. Langkah datuk terlalu cepat membuat saya terpaksa berlari-Iari anak. Jarak rumah datuk dengan kebun pisang lebih kurang dua batu. Memang perangai datuk, tidak suka naik basikal pergi ke kebun pisangnya, dia lebih suka berjalan kaki. Satu keistimewaan yang terdapat pada diri datuk, dia tidak pernah merasa letih berjalan kaki, walaupun sampai berpuluh-puluh batu. Badan saya mula berpeluh tetapi, angin petang yang bertiup perlahan-Iahan itu dapat mengu­rangkan rasa kepanasan di badan.

Hati saya jadi terhibur, melihat telatah dan ragam monyet-monyet liar yang berlompatan dengan bebas di dahan-dahan pokok getah yang berdiri di kiri-kanan jalan enam kaki. Sedang asyik melangkah, saya dikejutkan oleh suara jeritan dari datuk se­cara mendadak. Saya lihat datuk membuka langkah silat sambil melompat ke kanan. Dalam saat yang sama saya lihat sebatang dahan getah mati jatuh menuju ke arah datuk. Dengan tangkas datuk menyambar dahan itu lalu dicampakkan ke sebelah kanan jalan.

Dahan getah yang jatuh itu sama besarnya dengan betis pemuda yang beru­sia 20 tahun. Andainya dahan getah itu tepat mengenai batang tubuh datuk, pasti membawa maut. Datuk segera menoleh ke arah saya sambil tersenyum bangga. Datuk pun memberi isyarat supaya meneruskan perjalanan.

"Berjalan dalam hutan atau dimana-mana, kita harus berwaspada. Mesti tahu menguasai diri, pandai mengira langkah dan gerak makhluk serta alam”, sambil berjalan datuk memberikan ceramah kecil. Saya anggukkan kepala. Me­mang saya tidak ada minat untuk mendengarnya. Semua yang diluahkan oleh datuk tidak masuk dalam otak saya.

"Semuanya itu mustahak untuk diri kita, kalau tidak mahu menuntut ilmunya, tidak salah kalau sekadar kita mahu ambil tahu saja”, sambung datuk lagi . Saya gigit bibir. Kedua belah pangkal peha saya mula terasa sakit .

"Bagaimana kita mahu tahu tentang semuanya itu tok?", secara tidak dise­dari saya mengeluarkan pertanyaan.

"Setiap manusia ada pancaindera yang lima. Kita hanya memerlukan satu daya usaha untuk mempertajamkan pancaindera yang lima itu supaya jadi lebih berkesan lagi. Caranya harus belajar dari petua orang tua-tua dan kita harus amalkan. Perkara yang utama dan penting ialah keyakinan, tabah dan sabar”, cukup ghairah datuk menerangkannya pada saya.

Kerana saya tidak mengemukakan sebarang pertanyaan, datuk tidak melanjutkan keterangannya. Kami terus berjalan, sambil berjalan saya terus me­renung ke arah dahan-dahan pokok getah tempat monyet liar bergayutan. Saya juga mengawasi kalau ada dahan getah mati yang mahu jatuh. Saya kira kalau ada dahan yang jatuh sebesar lengan budak, saya mahu menyam­butnya seperti apa yang telah datuk lakukan.

"Jangan mencuba, kalau tidak tahu. Nanti padah menimpa diri”, saya jadi terkejut dengan kata-kata datuk tu. Rupa-rupanya datuk dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.

"Saya cuma berangan-angan saja tok”

"Angan-angan kalau dilakukan dengan baik, cukup pertimbangan yang sempurna akan jadi cita-cita”

"Saya faham tok. Tetapi, untuk menjayakan cita-cita tu bukanlah satu perkara yang mudah”

"Kau berusaha. Kalau kau mahu belajar ilmu gerak manusia dan alam, cari sendiri jangan harap ada orang lain datang menyerah untuk memberikan ilmu itu"

“Begitu”

Datuk segera menolak ke arah saya. Dia merasakan jawapan yang terakhir dari saya itu, macam menyindir dan membayangkan rasa tidak ada kesungguhan dari saya. Akhirnya, kami pun sampai ke rumah.

Saya terus memetik buah belimbing buluh yang tua. Buah belimbing itu saya bawa ke sungai bersama dua tiga helai daun pandan wangi. Buah belimbing yang sudah diramas itu, saya gosokkan ke badan untuk menghilangkan getah pisang yang terletak di badan serta menghilangkan rasa gatal dan daki. Kemudian daun pandan yang sudah di campurkan dengan air satu baldi, saya juruskan ke tubuh untuk mewangikan bau peluh dan badan. Saya dan datuk terus ke surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, baru kami pulang. Datuk seperti biasa akan menghabiskan masa sebelah malamnya dengan membaca Quran hingga menjelang waktu subuh.

Pagi itu, saya di suruh oleh datuk supaya menemui Lim Kim Bok yang menjadi peraih buah pisang. Setelah berunding dengan Lim Kim Bok beberapa minit, dia terus menelefon adiknya, Lim Tong King yang tinggal di Sitiawan.

"Adik saya beli semua pisang datuk awak, dia nak jual pisang tu ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bharu”,katanya.

"Bila dia sampai Kim Bok?"

"Sekarang pukul tujuh. Lebih kurang pukul lapan setengah dia sampai”

"Saya mahu nanti di mana? Nanti dia tak tahu tempatnya”

"Tunggu di kebun, adik saya tahu tempatnya. Sudah banyak kali dia ambil pisang di kebun datuk awak”

"Dia tahu di mana tempatnya, Paya Besar”

"Apa awak cakap ni. Saya kata dia tahu, apa lagi mahu banyak cakap”

"Jangan marah”, ujar saya sambil ketawa kecil.

Saya terus pulang ke rumah. Dari rumah, saya bersama datuk dan nenek berjalan kaki menuju ke kebun pisang di Paya Besar. Sampai di kebun pisang saya terlihat kesan tapak kaki harimau.

"Ada orang menunggu pisang awak malam tadi?", nenek bersuara.

"Ada”, jawab datuk, sambil menaburkan tujuh biji bertih kedalam rumpun pokok senduduk. Saya lihat rumpun senduduk itu bergoyang dan saya terpan­dang kelibat seekor harimau.

"Pulanglah, kau sudah menolong aku”, kata datuk lagi. Seekor harimau me­lintas di depan kami sambil berjalan tunduk macam kucing peliharaan melintas di hadapan tuannya. Sementara menanti lori yang dijanjikan tiba, kami terus membersihkan kawasan kebun pisang. Satu jam kemudian lori yang ditunggu­-tunggu pun tiba. Semua pisang yang ada di situ ditimbang dan dimasukkan ke dalam lori. Di situ juga Lim Tong King membuat pembayaran. Wang dari hasil penjualan pisang yang berjumlah lebih kurang tiga ratus ringgit datuk serahkan pada nenek.

"Simpan wang tu baik-baik, seratus ringgit awak serahkan pada Imam Musa untuk tabung masjid dan lima puluh ringgit awak bagi pada Long Munah yang baru mati suami dua hari lalu. Bakinya terpulanglah pada awak”, nenek anggukkan kepala mendengar cakap datuk itu.

Lim Tong Kim menghampiri datuk, dia menarik tangan datuk menuju ke arah pokok getah tua dekat sempadan tanah sebelah kanan. Mereka bercakap­-cakap sebentar, kemudian datuk datang menemui nenek kembali.

"Kita balik naik lori”, kata datuk pada nenek sambiI merenung muka saya. Cepat-cepat saya menggigit bibir dan rasa aneh mula bersarang dalam dada saya.

Selalunya datuk tidak pernah mahu pulang awal, mesti ada muslihat tertentu yang membuat datuk bertindak begitu demikian hati kecil saya mem­buat ramalan.

"Kenapa tok nak balik cepat?", tanya saya.

"Si Lim Tong King ni, ajak aku jadi kawannya ke Johor Bharu, dia takut kerana banyak bawa duit”

"Ah, awak ni mengarut, kerana orang sanggup bersusah payah”, nenek melahirkan rasa kurang senangnya. Datuk saya lihat tersenyum.

"Mari naik”, kata Lim Tong King.

Nenek pun naik lori duduk di depan dekat pemandu. Saya dan Lim Tong King duduk di bahagian belakang lori yang tidak berbumbung itu. Lim Tong King yang jadi towkey pisang itu bertindak sebagai kalindan, sekali pandang memang tidak ada potongan seorang saudagar pada diri Lim Tong King. Enjin lori pun dihidupkan. Datuk masih lagi tercegat di situ. Tidak ada tanda-tanda yang dirinya akan naik lori.

"Naiklah tok”, kata saya.

"Tak payah, aku jalan kaki saja”, jawabnya sambil memulakan langkah.

Lori yang berkepala merah, berbadan hijau pun bergerak, melalui jalan enam kaki. Bila layar lori itu terlanggar lubang, badan saya turut terhuyung-hayang, macam orang mabuk todi. Lori yang kami naiki sampai dihalaman rumah.
Pemandu lori dan Lim Tong Kim terkejut melihat datuk duduk di kaki tangga sambiI melurut-Iurut sebatang kayu. Nenek turun dari lori, begitu juga dengan saya. Cepat-cepat saya masuk ke rumah mengemaskan pakaian yang saya fikirkan perlu untuk di bawa
.
"Awak jalan kaki ke atau terbang”, kata Lim Tong King.

"Jalan kaki”

"Awak mesti pakai ilmu”

"Tidak”, jawap datuk sambil ketawa kecil.

Saya keluar dari rumah dan berdiri dekat datuk. Kemudian, datuk pun bangun berjalan tiga langkah ke depan lalu memacak kayu yang dilurutnya tadi di atas tanah. Datuk renung ke langit, melihat awan dan matahari yang kian marak bersinar. Datuk cabut kayu itu sambil menggigit lidah. Bahagian kayu yang tertanam di tanah datuk raba ber­kali-kali.
Kesan tanah yang terletak di situ datuk ambil. Tanah itu datuk ramas berkali­-kali. Telapak tangannya dibuka dan tanah yang diramasnya kelihatan berbuku­-buku. Dengan mulutnya, datuk hembus tanah di telapak tangannya hingga berterbangan entah ke mana.

"Langkah kita baik, tapi ada halangan sedikit, dengan izin Allah rintangan itu berjaya kita atasi”, begitulah datuk memberitahu saya.

Lim Tong Kim ke­lihatan tercengang-cengang. Datuk terus tepuk bahu kanan Lim Tong King. Datuk terus rapat ke lori berkepala merah. Saya ikut dari belakang.

“Saya ikut awak, belum tentu sampai ke Johor Bharu. Sebabnya, bila saya ingat nak balik, saya balik awak tak boleh halang saya”, datuk mengeluarkan syarat pada Lim Tong King.

Ternyata, syarat tidak mendapat bantahan. Kami meninggalkan rumah kira-kira jam sepuluh pagi Rabu. Datuk dan saya duduk di bahagian depan lori, Lim Tong King duduk di belakang. Satu hal yang tidak menyenangkan diri saya, lori yang membawa pisang itu terlalu ke­rap sangat berhenti, kerana mengambil dan menjual pisang di bandar-bandar yang dilaluinya.

Lebih kurang pukul dua petang, kami sampai ke Kuala Dipang, datuk menunaikan sembahyang Zohor di situ. Sembahyang Asar datuk lakukan di Masjid Bidor. Dari Bidor, LimTong King tidak lagi jadi kelindan. Dia mengambil tugas kawannya. Dia jadi pemandu dan kawannya jadi ke­lindan. Kali ini, saya mula terasa seronok naik lori tersebut kerana tidak ber­henti-henti lagi.

"Berhenti di Kelumpang Tong King, saya nak sembahyang Maghrib”, datuk mengingatkan Lim Tong King, sebaik sahaja kami melintasi pekan Tanjung Malim.

Bila sampai di Kelumpang datuk terus ke masjid dan Lim Tong King mengurus penjualan pisang dengan Cina di pekan tersebut. Bila datuk keluar dari masjid, Lim Tong King masih lagi belum selesai berurus dengan kawannya. Datuk memberitahu Lim Tong King yang dia mahu balik ke masjid semula.

"Begini, awak tunggu di masjid. Bila kerja saya selesai, saya panggil awak, lagipun saya rasa tak larat nak bawa lori sampai ke Kuala Lumpur. Saya ingat mahu tidur di rumah abang ipar saya yang berniaga kedai runcit di Kuala Kubu Bharu”, Lim Tong King memberitahu datuk.

"Kalau begitu kata awak, saya ikut saja”, balas datuk.

"Saya bimbang, saya bawa duit dekat lima ribu ringgit”

"Tak apa”, datuk menenangkan perasaan Lim Tong King.

Saya dan datuk kembali ke masjid. Bila selesai sembahyang Isyak baru Lim Tong King me­manggil kami melalui seorang budak Melayu yang bekerja di kedai yang membeli pisangnya. Kami tinggalkan pekan Kelumpang lebih kurang hampir pukul sepuluh malam. Entah apa malangnya, ketika lori yang saya dan datuk tumpangi melalui satu selekoh berhampiran dengan tanah perkuburan orang-orang Cina, lori itu mengalami kerosakan. Enjinnya mati dengan tiba-tiba.

Puas dibaiki tidak juga mahu hidup. Lim Tong King menyuruh kawannya pergi ke Kelumpang mencari foremen. Nasib baik sebuah kereta yang ditahan mahu berhenti dan bersedia membawa kawan Lim Tong King ke Kelumpang. Sejam kemudian, kawannya kembali tanpa foremen. Akhirnya, datuk mem­buat keputusan supaya kami duduk di dalam lori sementara menanti hari siang. Pada mulanya, kerap juga kereta lalu disitu. Bila menjelang pukul satu malam, kereta mula berkurangan. Suasana di situ terasa cukup sunyi. Bila saya toleh ke kanan, rasa takut mula menghantui hati saya.

Apa yang saya lihat ialah batu-batu nisan di tanah perkuburan Cina. Keadaan itu membuat saya tidak dapat memejamkan mata. Bila saya ingat, datuk juga tidur dalam lori, rasa takut segera hilang. Lebih kurang pukul empat pagi, saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup, bersama dengan bunyi desiran angin yang melanggar dedaun getah di kiri kanan jalan raya tersebut. Saya renung ke tanah perkuburan Cina, saya lihat kabus mula menguasai seluruh kawasan itu. Batu-batu nisan yang tertegak kaku di situ saya rasa ber­gerak-gerak. Dalam keadaan yang cemas itu, sebuah kereta Fiat 600 berwarna putih berhenti di belakang lori.

Dari perut kereta itu keluar empat orang lelaki Cina yang berusia antara dua puluh tahun hingga tiga puluh tahun. Mereka segera menuju ke bahagian depan lori. Lim Tong King yang tidur di bawah lori terkejut, salah seorang dari lelaki itu mengeluarkan parang pemotong daging lalu mengacukan ke muka Lim Tong King. Saya jadi tergamam melihat peristiwa yang terjadi di depan mata. Datuk yang duduk bersandar dekat sebatang pokok tidak jauh dari lori itu, buat tidak kisah dengan apa yang berlaku. Lim Tong King masih lagi bertekak dengan empat lelaki tersebut.
Entah apa yang dikatakan oleh Lim Tong King, membuat lelaki yang me­megang pisau pemotong daging itu naik darah. Dia pun melepaskan penumbuk sulung ke muka Lim Tong King. Kawan Lim Tong King tidak dapat berbuat apa-apa.

Empat lelaki itu terus mengkopakkan kusyen tempat duduk pemandu. Mereka berjaya mengambil wang dalam satu beg plastik yang diletakkan di situ. Lim Tong King menjerit.

"Letakkan, jangan ambil orang punya barang”, kata datuk. Saya tidak sedar waktu bila datuk menghampiri mereka. Empat lelaki itu segera merenung muka datuk.

"Hei Melayu, lu jangan kacau kita. Kita tak ada kacau sama awak”, salah seorang dari lelaki itu menyergah datuk sambil melepaskan tendangan terbang ala kung fu. Datuk tidak sempat mengelak, tendangan itu tepat mengenai dada datuk. Saya lihat datuk tersungkur. Empat lelaki itu menyerbu datuk. Batang tubuh datuk tidak dapat saya lihat, hilang di kerumuni oleh empat lelaki itu.

Datuk menjerit dan empat lelaki itu terhumban berhampiran lori. Tiga da­rinya sudah tidak berdaya bangun. Tetapi seorang daripada mereka masih ke­lihatan gagah. Datuk berhadapan dengannya, lelaki itu membuka silat kung fu dan datuk membuka buah langkah silat harimau jantan yang lebih banyak bersikap bertahan dari melakukan serangan.
Kerana datuk lebih banyak bertahan dari menyerang, membuat dia mem­punyai lebih tenaga, berbanding dengan serangan kung fu dari lelaki tersebut. Datuk saya lihat banyak menggunakan tipu helah dan akal dalam pertarungan itu. Lelaki yang berbadan tegap tidak putus asa, kali ini dia melompat cukup tinggi menuju pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan menyerahkan tubuh badannya untuk digasak oleh lelaki itu. Tetapi, bila lelaki itu merendahkan badannya dan menghu­lurkan kaki kirinya untuk menendang pangkal leher datuk, cepat-cepat datuk melompat sambil menyam­bar tangan kanan lelaki yang terkedang itu. Datuk memusingkan ke belakang dan lelaki itu jatuh ke tanah, macam nangka busuk. Bila lelaki itu cuba mahu bangun, datuk segera menepuk bumi. Kedua belah kaki lelaki itu bagaikan terpasung. Dia tidak boleh bergerak. Datuk tepuk bumi lagi sekali, barulah lelaki itu boleh mengangkat kedua belah kakinya dan me­merintahkan kawan-kawannya menuju ke kereta untuk lari.

Bila mereka berada dalam kereta, cepat-cepat mereka menghidupkan enjin kereta. Ketika itu juga terdengar ledakan pistol dari kereta tersebut, rupanya lelaki yang bertarung dengan datuk tadi mengambil pistol dan menembak datuk bertalu-talu. Anehnya, peluru pistol yang ditujukan pada datuk tidak mencederakan tubuh badannya, cuma baju datuk sahaja yang berlubang-lubang. Melihat keadaan itu, empat lelaki itu jadi cemas, mereka naikkan cermin kereta dan bersedia mahu meninggalkan tempat tersebut.

Datuk segera menghulurkan tangan kanannya sambil mengembangkan ke­lima-lima jarinya. Sungguh menakjubkan, enjin kereta segera mati dan badan kereta nampak terangkat kira-kira lima kaki dari bumi, melayang-layang se­bentar atas permukaan tanah perkuburan orang Cina di situ. Keempat-empat lelaki itu menjerit dan datuk merapatkan tangannya ke dada, kereta itu segera berhenti di hadapannya.

"Buka pintu”, kata datuk.

Pintu kereta pun terbuka.

"Keluar”

Ke empat-empat lelaki itu keluar.

"Pulangkan duit”

Ke empat-empat lelaki itu segera menuju kepada Lim Tong King. Mereka sujud di kaki Lim Tong King. Salah seorang daripada mereka menyerahkan kembali wang yang di curi.

"Tolong baiki lori ini”, kata datuk, salah seorang dari lelaki menuju ke lori dan terus membuka bonet. Dia melakukan sesuatu di situ. Kemudian bonet lori dirapatkan.

"Sudah baik”, katanya.

Lim Tong King masuk ke perut lori, menghidupkan enjin, ternyata enjin lori boleh dihidupkan. Saya tersenyum senang.

"Pulang, lain kali jangan kacau orang”, kata datuk.

Ke empat-empat lelaki itu masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan kami. Lima belas minit kemudian, kami pula meninggalkan kawasan tersebut. Kali ini kami singgah di Kerling. Datuk menunaikan sembahyang subuh di situ. Selepas membaca Al-Quran dan wirid di masjid tersebut, saya dan datuk menuju ke kedai kopi. Seperti yang dijanjikan Lim Tong King dan kawannya sudah menanti di situ. Saya dan datuk sampai ke kedai itu lebih kurang pukul enam setengah pagi.

"Awak minum dulu, saya nak cari foremen nak minta tolong periksa lori ni, supaya boleh berjalan dengan baik”, kata Lim Tong King.

Datuk bersetuju dengan apa yang dicakapkan oleh Lim Tong King. Saya dan datuk terus masuk ke kedai kopi tersebut. Dalam kedai kopi terdapat lebih kurang sepuluh orang lelaki yang terdiri daripada para pekerja Jabatan Kerjaraya dan buruh ladang getah, minum kopi di situ. Di sudut sebelah kiri kelihatan seorang lelaki Melayu memakai ketayap putih, berusia sekitar lima puluh tahun. Datuk bersalam dengan lelaki itu yang datuk kenali semasa sembahyang di masjid sebentar tadi.

"Kedai ini memang di buka sejak pukul enam pagi. Saya yang punya kedai tetapi, anak-anak saya yang menjalankan perniagaan”, lelaki berketayap putih memberitahu datuk.

Tidak saya duga, pertemuan di situ melahirkan rasa persau­daraan sesama Islam yang mendalam antara datuk dengan lelaki itu. Datuk menceritakan apa yang terjadi pada dirinya dalam perjalanan tadi.

"Saya ni orang Islam, berdosa hukumnya mempercayai perkara yang karut­-marut, tetapi, kejadian yang awak alami itu sudah kerap benar berlaku. Konon ceritanya, manusia yang awak lawan tu bukannya manusia”, cukup tenang lelaki itu bercakap.

"Kalau bukan manusia, siapa mereka?"

"Syaitan. Pernah terjadi pada diri saya diserang perompak di situ bila saya menyerah dan hari sudah siang saya jumpa wang yang saya rompak itu atas nisan kubur Cina. Tidak jauh dari tempat kejadian itu saya terjumpa bangkai kereta yang menurut pihak polis terlibat dalam kemalangan jalan raya. Empat pemuda Cina yang menaikinya mati dan dikuburkan di situ”

Dada saya berdebar mendengar cakapnya. Memang, saya sedar dan lihat ketika meninggalkan kawasan itu, menjelang waktu subuh tadi, saya terlihat bangkai kereta yang sudah berkarat dalam hutan lalang tidak jauh dari tempat lori kami berhenti. Hal ini sungguh memeningkan kepala saya. Apakah yang datuk lawan malam tadi syaitan atau hantu dari tanah perkuburan orang Cina? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya.

Satu hal yang pasti, kawasan perkuburan Cina yang terletak diantara Tanjung Malim dan Kerling itu, memang menarik perhatian para pemandu, kerana di kawasan jalan yang berliku dan menaiki bukit itu kerap berlaku kemalangan yang dahsyat hingga kini.

Perbualan datuk dengan lelaki berketayap putih itu terhenti. Suasana dalam kedai kopi pagi jadi kelam-kabut. Salah seorang dari orang yang minum disitu muntah darah dan mengelepar atas lantai, macam ayam kena sembelih. Datuk segera menghampirinya. Datuk tekan dada orang itu dengan ibu jari, darah keluar memancut-mancut dari mulutnya. Datuk segera mengambil segelas air sejuk, gelas yang berisi air itu datuk rapatkan ke bibirnya. Datuk membaca sesuatu. Kemudian datuk berikan pada orang yang sakit itu. Bila air sejuk diminum habis satu gelas, orang itu terus muntah. Saya lihat muntahnya bercampur dengan kaca halus dan pasir, serta beberapa jenis serbuk.

Datuk tepuk belakang orang itu, muntahnya berhenti. Datuk segera mem­bancuh garam dengan air satu gelas, air garam itu juga disuruhnya orang yang sakit itu minum. Bila air garam itu selesai di minum, orang itu segera sihat.
Dia mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk dan memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Halim, berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pe­mandu lori balak. Pada Abdul Halim, datuk membekalkan seketul ibu garam dan datuk menasihatkan padanya, sebelum minum kopi, baik di mana-mana pun serbuk garam itu mesti dibubuhkan terlebih dahulu sebagai penawar racun.

"Ini satu santau. Ada orang yang berniat tidak baik pada awak”, bisik datuk pada lelaki yang berketayap puith itu. Muka orang itu kelihatan berubah wajah datuk direnungnya.

"Boleh awak menolong saya?"

"Saya cuma boleh berusaha. Yang menentukan kejayaannya adalah Allah. Tetapi ingat, kalau saya menolong awak, jangan sekali-kali awak mahu mem­balas dendam, saya cuma mahu berusaha menyekat perbuatan orang itu su­paya jangan merebak dan merosakkan orang lain”, kata datuk.

"Ya, tapi saya mahu tahu orangnya”

"Tak boleh. Belum tentu hal itu sengaja di lakukannya. Boleh jadi dia ter­silap. Kita perlu mencari puncanya”, terang datuk lagi.

Lelaki berketayap putih itu terdiam.













47. Bila Syaitan Datang Menguji

Saya mula terasa bosan duduk dalam kedai kopi. Bagi menghilangkan rasa bosan itu, saya terus menggaru pangkal dagu beberapa kali.

Dan sepasang mata saya terus tertumpu ke dada jalan raya yang mula sibuk dengan kenderaan. Debu-debu jalan berterbangan dalam sinar matahari pagi yang kian garang.

Saya toleh ke kiri. Lelaki berketayap putih dan datuk masih termenung. Masing-masing merenung dinding kedai kopi yang cat putihnya sudah pudar bertukar menjadi kekuning-kuningan. Apa yang mereka fikir, saya pun tidak tahu.

Orang-orang yang datang minum dan makan pagi sudah berkurangan, tidak sehebat tadi. Pekerja-pekerja di kedai itu lebih banyak duduk dari melayani para pelanggan.

Agaknya mereka masih mengenangkan peristiwa ganjil yang telah berlaku beberapa jam tadi. Mereka juga berharap pada setiap pelanggan yang baru datang, tidak akan dapat mencium berita buruk itu.

Lelaki berketayap putih memanggil pekerjanya yang bertugas sebagai tukang membancuh kopi. Pekerja yang berbadan tegap, berambut kerinting serta bermulut lebar itu menghampirinya.

"Ada apa hal Ayah?"
"Beritahu pada semua yang bekerja di sini supaya merahsiakan kejadian yang baru berlaku, kalau kisah ini merebak alamat kedai kita tak laku."

"Saya faham ayah," jawab pekerja itu sambil beredar dari lelaki yang berketayap putih.

Datuk saya lihat tersenyum memandang pada lelaki berketayap putih. Datuk renung biji matanya tepat-tepat, kemudian datuk tepuk bahu kiri lelaki berketayap putih itu.

"Awak takut kedai awak tak didatangi orang? Dan awak mahu merahsiakan kejadian tu," ujar datuk sambil menarik nafas.

"Lelaki berketayap putih termenung sejenak.

"Ya, saya takut," katanya tegas.

"Pernahkah awak terfikir bahawa rezeki yang awak terima selama ini, adalah pemberian Allah?"

"Bukan terfikir, malah mengakuinya."

"Kalau awak sudah mengakuinya kenapa awak takut, kalau cerita yang berlaku di kedai awak tersebar pada orang ramai."

Kata-kata yang diluahkan oleh datuk itu, membuat lelaki berketayap putih terkejut. Air mukanya nampak berubah. Dia menggeliat sambil memicit-micit pergelangan tangan kanannya.

"Rezeki manusia tidak berada di tangan manusia tetapi, berada di tangan Allah Yang Maha Besar, rezeki itu pula tidak datang bergolek kalau manusia tidak berusaha mencarinya," datuk memulakan ceramah kecil di hadapan lelaki berketayap putih.

Saya lihat lelaki itu tunduk mendengar kata-kata datuk itu.

"Jangan jadikan diri kita derhaka pada Allah kerana sesuatu kejadian yang kecil, juga jangan tenggelamkan diri kita dalam sifat tamak haluba," sambung datuk lagi sambil bangun lalu berjalan menuju meja kosong yang terletak dekat pintu masuk.

Datuk duduk di situ.

Beberapa minit kemudian, lelaki berketayap putih menghampiri datuk lantas duduk di situ.

"Kejadian seperti ini, selalu saja berlaku di sini, setiap kedai kopi yang terkena musibah tersebut terus gulung tikar, saya tak mahu hal begitu jadi pada diri saya, saya tak ada harta untuk saya tinggalkan pada anak-anak saya bila saya mati," lelaki berketayap putih mengadu hal pada datuk.

Rasa simpati mula berbunga dalam hati saya. Memang, saya mengharapkan datuk dapat melakukan sesuatu untuk menolong orang tersebut.

"Nasib manusia selalunya tidak sama," kata datuk.

"Saya faham, tetapi saya memikirkan nasib anak-anak saya."

"Sepatutnya awak tak boleh memikirkan hal mereka, apa yang perlu awak fikirkan ialah tentang nasib awak sesudah awak mati, ada baiknya awak menghitung amal ibadat yang telah awak buat, dari memikirkan nasib anak-anak sesudah awak mati," saya lihat datuk begitu bersemangat bercakap. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya, mahu menolong orang tersebut.

Saya benci dengan tindak tanduk datuk itu, terlalu banyak bercakap dan menasihati orang. Rasa benci itu, saya perlihatkan pada datuk dengan cara yang sopan. Saya keluar dari perut kedai, berdiri di kaki lima kedai sambil berlari-lari.

Ternyata perbuatan saya tidak disenangi datuk. Dia menjengilkan biji matanya, membuat saya jadi cemas dan takut. Saya segera masuk ke kedai kopi kembali. Duduk di sisi datuk.

"Orang yang beriman dan berilmu, tidak akan meninggalkan hanta pada anak-anak tetapi, meninggalkan atau membekalkan ilmu pengetahuan dunia akhirat yang secukupnya, kerana doa anak yang salih untuk orang tuanya yang sudah meninggal diberkati Allah," beritahu datuk pada lelaki berketayap putih itu.
Tiba-tiba datuk bangun dan terus berjabat tangan dengan lelaki berketayap putih sambil mengucapkan terima kasih. Perbuatan datuk itu amat mengejutkan dan di luar dugaan saya sama sekali. Datuk pun melangkah keluar dari kedai kopi.
"Janji awak dengan saya bagaimana?" Kata lelaki berketayap putih sambil memegang bahu kanan datuk.
"Saya ingat," jawab datuk dengan tidak mematikan langkahnya menuju ke gigi jalan.
Tidak sampai lima minit kami berdiri di gigi jalan, lori yang dipandu oleh Lim Tong King pun tiba.
"Sudah dibaik benda yang rosak," itulah persoalan pertama yang diajukan oleh datuk pada Lim Tong King. Saya lihat wajah kawan Lim Tong King cukup riang duduk di atas buah-buah pisang.
"Pelik sungguh, sudah diperiksa oleh formen, tidak ada yang rosak," cukup jelas suara Lim Tong King memberitahu datuk. Saya tersenyum mendengarnya.
"Saya tak dapat ikut awak, janji kita cuma di sini saja Lim," wajah Lim Tong King kelihatan muram, dia menggigit bibir sambil merenung muka datuk.
"Janganlah susah hati, pergilah awak akan selamat sampai ke tempat yang dituju," kata datuk.
"Tapi."
"Tak apa, awak pergilah, dengan izin Allah awak selamat."
"Baik," balas Lim Tong King sambil menekan minyak lori dan lori pun bergerak perlahan-lahan meninggalkan kami. Kawan Lim Tong King melambai-lambai tangan pada saya.
"Ke mana kita nak pergi tuk?"
"Ke mana lagi, ke masjidlah."
"Hum...," saya mengeluh pendek.
Baru sepuluh langkah menapak, saya terpaksa berhenti kerana lelaki berketayap putih mengejar kami dari belakang sembil memanggil-manggil nama datuk.
Anehnya datuk tidak hirau langsung dengan teriakan dari lelaki itu. Dia terus melangkah dan melangkah.
"Jangan bimbang, datuk saya akan tunaikan janjinya dengan pak cik," kata saya sebaik saja lelaki berketayap putih berhenti dekat saya.
"Dia mahu ke mana tu?"
"Ke masjid membaca Quran dan berzikir."
"Baik ajak saja datuk awak duduk di rumah saya, lagi baik."
"Saya tak berani nak beritahu dia, saya fikir usah ganggu dia, kalau ada apa-apa hal jumpa saja waktu sembahyang Zohor nanti."
"Datuk awak ni ganjil orangnya."
"Memang datuk saya ni ganjil tetapi, ganjilnya tidak menyusahkan orang lain, tidak pernah mungkir janji. Tak apalah pak cik saya pergi dulu."
Lelaki berketayap putih saya tinggalkan dalam keadaan termangu-mangu. Saya terus memburu datuk hingga dapat jalan bersaing dengannya.
"Apa yang dia mahu Tamar?"
"Menanyakan janji tuk dengannya."
"Mudah sangat tidak percaya sesama manusia, perbuatannya menunjukkan sifat-sifat tamak, sebagai seorang Islam dia harus percaya dengan janji yang dibuat oleh orang yang seagama dengannya, bukankah menepati janji itu salah satu dari peraturan yang harus dipatuhi setiap orang Islam," demikian datuk merungut. Saya diam saja, tidak kuasa saya menjawab rungutannya itu.
Datuk dan saya sampai ke masjid. Datuk mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang sunat untuk menghormati masjid dan membuat keputusan untuk beriktikaf di masjid bagi melakukan amal ibadah.
"Tamar."
"Ya, tuk, ada apa-apa hal," kata saya sambil duduk di sisinya. Datuk merenung muka saya sambil membelai -belai rambut saya yang jatuh atas dahi dengan penuh manja.
Tangan datuk saya pegang dan saya cium, tiba-tiba hati saya terasa hiba, tidak dapat saya nyatakan padanya, betapa sayang saya pada datuk yang pada zahirnya nampak kasar dan bengis membela saya.
"Masjid", sebaik-baik tempat untuk kita beramal, gunakanlah kesempatan maha besar," ujar datuk. Dia pun bangun mengambil Quran dan terus membacanya.
Saya tanpa membuang masa terus mencari beberapa buah kitab agama yang terdapat dalam masjid itu dan terus membacanya secaranya merangkak-rangkak.
Lebih kurang pukul dua belas setengah tengah hari, seorang lelaki dalam lingkungan usia lapan puluhan masuk ke masjid. Janggut dan misainya sudah putih tetapi, kulit mukanya tegang dan sepasang matanya kelihatan bercahaya, menandakan yang dirinya waktu muda dulu seorang yang pintar.
Dari gerak badan dan cara dia berjalan, saya dapat menduga bahawa orang tua itu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang ilmu mempertahankan diri.
Orang tua itu melakukan sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang sunat dia duduk di satu sudut masjid dan terus berzikir dengan khusyuk.
Bila datuk berhenti membaca Quran dan orang tua itu berhenti berzikir. Datuk segera menemuinya, mereka bersalam-salaman.
Waktu datuk dan orang tua itu bercakap-cakap, saya segera menjauhkan diri. Duduk bersendirian dekat pintu masjid. Beberapa minit kemudian, orang tua tersebut melintas di hadapan saya. Dia terus memukul beduk (kerantung) menandakan waktu zuhur sudah tiba.
"Siapa nak azan (bang) saya atau awak?" Tanya orang tua itu pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum memandang pada saya.
"Biarlah orang muda yang membuatnya," balas datuk.
"Siapa orangnya?"
"Cucu saya," jawab datuk dan orang tua itu memandang ke wajah saya dengan senyum yang menarik. Dia menghampiri saya lalu menepuk-nepuk kepala saya dua kali berturut-turut.
"Tunaikan permintaan datukmu, mendengar cakap orang tua untuk jalan kebaikan, diberkati oleh Allah," bisik orang tua itu pada saya. Dua kali saya menarik nafas bagi menghilangkan rasa darah gemuruh dalam diri.
"Cepat Tamar," jerit datuk. Saya pun memulakan azan dengan suara yang amat lantang, saya mahu suara saya didengar oleh semua penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran dengan masjid.
Selesai saja saya mengerjakan azan, saya dapati lima enam orang penduduk sudah berada dalam masjid. Sembahyang Zuhur itu diimamkan oleh orang tua tersebut. Selesai saja sembahyang dan berdoa orang-orang kampung pun meninggalkan perut masjid menuju ke rumah masing-masing.
Datuk menyandarkan badannya ke dinding masjid. Dia menggigit lidah sambil meraba-raba kening kirinya berkali-kali.
"Orang tu, tak datang tuk," bisik saya pada datuk.
"Tak apalah, agaknya dia ada hal, malam nanti dia tentu datang mencari kita," balas datuk dengan tenang.
Orang tua yang sejak lepas sembahyang duduk di tempatnya, segera bangun. Dia menghampiri datuk.
"Awak jangan ke mana-mana, saya nak balik dulu. Lepas tu saya datang jumpa awak lagi."
"Apa halnya?"
"Awak tunggulah sampai saya datang," balas orang tua itu sambil melangkah bendul masjid.
Datuk kembali membaca Quran. Saya mula mengelabah kerana perut mula terasa lapar. Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk menyatakan pada datuk yang diri saya cukup lapar.
Saya tidak berani mengganggu datuk yang sedang membaca Quran, memang pantang datuk nenek tujuh keturunan bagi datuk, kalau ada sesiapa yang mahu menahan atau mengganggu dia membaca Quran.
Akhirnya, saya terus baring di dalam masjid dengan harapan bila berbuat demikian saya akan tertidur. Memang susah mahu tidur, kalau perut kosong. Glek kiri, golek kanan. Menelentang meniarap mata tidak juga mahu rapat.
"Assalammualaikum." terdengar suara dari luar masjid. Saya segera bangun dan menerpa ke pintu. Orang tua yang berjanji dengan datuk tadi sudah tiba. Dia membimbit mangkuk tingkat berwarna kebiru-biruan.
"Masuk pakcik," kata saya. Orang tua itu terus masuk dan berdehem dua kali berturut-turut. Dtuk segera menoleh ke arahnya sambil menutup Quran. Orang tua itu meletakkan mangkuk tingkat dan terus duduk bersila di hadapannya.
"Mari kita makan, ini rezeki awak sama cucu awak, mari," orang tua itu terus membuka mangkuk tingkatnya. Diletakkannya berderet atas lantai.
Datuk pun datang dan terus duduk bersila.
"Perbuatan begini tidak digalakkan dalam Islam," datuk bersuara dengan tiba-tiba. Orang tua itu merenung muka datuk.
"Maksud awak?"
"Orang Islam tidak digalakkan makan sedekah, Islam menyuruh umatnya berusaha kerana itu nabi besar kita Mehammad S.A.W. pernah bersabda, tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima, eritnya umat Islam disuruh berusaha."
"Saya faham maksud awak tu, satu perkara yang harus awak kaji dan fikir, awak tidak duduk di masjid sepanjang masa membuat amalan kemudian hidup atas sedekat orang, perbuatan tidak terpuji. Awak musafir dan saya mahu memberi awak makan, kalau tak ada saya, awak pun boleh makan."
"Awak orang tua yang hebat."
"Saya tidak hebat, yang hebat dan berkuasa ialah Allah. Niat saya mahu makan bersama awak," orang tua itu pun menyorongkan nasi ke hujung lutut saya dan datuk.
Kami pun makan bersama. Bila selesai makan saya terpaksa membersihkan mangkuk tingkat orang tua itu di telaga. Mangkuk tingkat yang sudah dibersihkan itu, saya susun seperti asal lalu saya serahkan pada orang tua tersebut.
Saya kira orang tua itu akan pulang, setelah saya serahkan mangkuk tingkat padanya, rupa-rupanya dia tidak mahu pulang. Dia mengajak datuk duduk di serambi masjid dan terus bercerita panjang dengan datuk.
Orang tua itu memberitahu datuk, dia berasal dari Bangkahulu. Bila berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dia menetap di sebuah kampung di dalam kawasan Batang Kali yang dikenali dengan nama Genting Malik.
Dalam zaman pemerintahan Jepun, dia telah membunuh tiga orang tentera Jepun dengan parang panjang yang mahu merogol seorang gadis jirannya.
"Saya lari malam, bila tentera Jepun mengamuk dan menyeksa orang-orang kampung akibat perbuatan saya itu, saya sampai ke Kerling sesudah mencukur rambut dan dan menyamar sebagai orang asli," orang tua itu mula membuka lipatan sejarah silamnya.
Menurutnya, semasa di Kampung Genting Malik, dia dikenali sebagai Ujang Silat. tetapi, bila menetap di Kerling namanya segera bertukar menjadi Mahyuddin.
"Pada mulanya saya tinggal jauh di pendalaman, kemudian bila orang putih memerintah Malaya kembali, saya dibawa oleh anak angkat saya tinggal berhampiran masjid ini," katanya lagi.
"Awak tak ada isteri?"
"Tak ada, tapi kaya dengan anak angkat."
"Badan awak bertuah," ujar datuk berjenaka. Orang tua itu turut ketawa.
Mungkin kerana terasa jemu duduk di anjung masjid, orang tua itu mengajak datuk berjalan di halaman masjid. Kemudian mereka duduk di atas sebatang kayu, sambil menikmati suasana petang yang begitu tenteram dan damai.
"Sejak awak datang subuh tadi, saya dapat meneka yang diri awak ni ada isi dunia akhirat," orang tua memaut bahu kanan datuk. Matanya dengan mata datuk berlaga. Datuk tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh orang tua itu. Daruk macam mahu menyembunyikan sesuatu dari orang tua itu.
"Saya tak ada apa-apa," jawab datuk.
"Tak apalah, saya sekadar bertanya dan meneka," balas orang tua itu. Dia menggigit bibir dan terus juga menepuk-nepuk bahu datuk.
Selepas menunaikan sembahyang Asar, orang tua itu menjemput saya dan datuk ke rumahnya. Jemputan itu kami penuhi dengan rasa bangga.
Rumah orang tua itu, terletak kira-kira sepuluh rantai dari masjid, kedudukannya agak terpisah dari rumah-rumah yang lain. Tidak beberapa kecil berbumbung limas dan berdindingkan papan lidah.
Rumah itu mempunyai dua bilik, satu bilik tidur dan satu bilik sembahyang. Apa yang menarik hati saya tentang bilik sembahyangnya, kerana didalamnya terdapat kitab-kitab agama yang tersusun rapi atas rak.
Manakala di sebelah kanan sudut bilik itu terdapat , beberapa bilah senjata seperti lembing, pedang, keris dan parang panjang.
"Parang itulah yang membunuh askar Jepun," katanya sambil menatang parang panjang yang terdapat kesan darah kering bercampur dengan karat.
Datuk dan saya pun anggukkan kepala. Kemudian, tanpa diminta oleh orang tua itu, datuk pun menceritakan tujuan sebenarnya, kenapa dia menginap di masjid.
"Niat awak baik, tapi jangan terkejut bila kerja awak selesai, apa yang awak fikirkan tidak sama dengan apa yang awak alami," kata orang tua itu.
"Apa maksud awak?"
"Tak payah saya terangkan jawapannya akan awak tahu sendiri," balas orang tua itu, saya dan datuk berpandangan orang tua itu tetap senyum memandang kepada kami.
Tiba-tiba saja datuk minta diri, macam ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya. Orang tua itu mengizinkan permintaan kami. Sebaik saja kaki kami memijak bumi, orang tua itu terus terjun ke tanah dan menghalang perjalanan datuk.
"Orang yang meminta pertolongan, kau tu namanya Dumba, tetapi orang-orang di sini mengenalinya sebagai Jahid atau Lebai Jahid," kata orang tua itu.
Belum pun sempat datuk mengemukakan sebarang pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup cepat dia bergerak, saya tidak sedar masa bila dia memijak anak tangga.
Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Sebaik saja sampai dekat pokok besar berhampiran masjid, lelaki berketayap putih muncul dari balik pkok.
Pandangannya semacam saja melihat kami. Datuk terus menyapanya. Sayang sekali, teguran datuk tidak dijawabnya, kecuali mengganggukkan kepala saja.
"Kau baru balik dari rumah Mahyuddin?" Tanyanya.
"Ya, kenapa?" Tapi, saya syak dia yang membuat perkara tak baik ni," lelaki berketayap putih melahirkan apa yang ada dalam hatinya.
Datuk terdiam. Saya pula menggigit lidah. Lelaki berketayap putih kelihatan cukup tenang.
"Jangan mudah menaruh syak wasangka pada seseorang, kalau tak ada buktinya," jawab datuk. Dari wajahnya, ternyata lelaki berketayap putih amat kecewa dengan jawapan dari datuk itu.
Kerana lelaki berketayap putih itu semacam memaksa mengajak datuk ke rumahnya, dengan alasan memudahkan datuk datang bila dijemput pada sebelah malam nanti, datuk segera menunaikan permintaannya.
"Saya akan pergi ke rumah awak. Tetapi, saya tidak akan naik ke rumah dan minum."
"Kenapa?"
"Itu sebahagian dari petua, saya tidak akan makan atau minum di rumah orang yang memerlukan pertolongan dari saya."
"Tak apalah," lelaki berketayap putih memberikan persetujuan.
Saya dan datuk pun mengekorinya dari belakang. Sepanjang jalan ke rumahnya, saya senyum sendirian kerana syarat yang datuk kenakan padanya, adalah syarat yang sengaja diadakan-adakan oleh datuk, mungkin datuk berbuat demikian dengan tujuan tertentu.
Sebaik saja sampai di rumahnya, perkara pertama yang datuk lakukan ialah berdiri di pangkal tiang seri rumahnya. Kemudian mengelilingi kawasan rumahnya dua kali sambil memetik daun hati-hati yang ditanam tiap penjuru rumah.
"Kami balik dulu," datuk memberitahu lelaki berketayap putih.
"Silakan, tapi bila awak mahu datang untuk membantu saya?"
"Malam ni saya datang."
"Pukul berapa?"
"Tengok gerak hati tapi yang tentunya dengan izin Allah saya akan datang malam ini."
Ketika kami meninggalkan rumah Dumba (lelaki beketayap putih), matahari sudah condong benar. Bayang pokok pinang yang tumbuh di kiri kanan jalan kelihatan memanjang atas daun lalang tua.
Sebelum sampai ke jalan raya Kuala Lumpur - Tanjung Malim, kami terpaksa mendaki bukit kecil yang agak curam.
- HILANG -
Macam selalu, lepas sembahyang Maghrib dan Isyak, datuk akan menghabiskan masanya dengan membaca Quran dan berwirid panjang.
Saya terus menelentang dekat dinding masjid memikirkan sesuatu yang saya kira agak ganjil telah berlaku dalam masjid tersebut. Pada hemat saya, datuk sendiri pun menyedari hal tersebut tetapi dia sengaja tidak mahu memberitahu pada saya.
Waktu sembahyang Maghrib tadi Mahyuddin (orang tua) ada datang tetapi, Dumba (lelaki berketayap putih) tidak datang. Bila Dumba datang untuk menunaikan sembahyang Isyak, ada perselisihan perbadi yang tidak mudah dapat dikesan oleh orang lain.
Tepat jam dua pagi, datuk mengejutkan saya dari tidur. Dia suruh saya membasuh muka. Bila saya selesai membasuh muka di perigi, saya dapati datuk sudah berada di halaman masjid. Siap berpakaian serba hitam dengan kain merah terlilit di kepala.
"Siap Tamar," katanya, saya segera menghampirinya. Datuk segera meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri saya. Secara mendadak saja badan saya menggeletar. Bila datuk angkat tangannya. Rasa menggeletar itu segera hilang.
"Pegang hujung baju aku dan pejamkan mata," katanya. Cakap datuk saya patuhi. Saya tidak sedar apa yang berlaku setelah itu. Saya rasa badan saya melayang-layang. Bunyi angin berdengung-dengung menolak gegendang telinga saya.
Tiba-tiba saya terasa macam ada sesuatu yang menarik sepasang kaki saya. badan saya terhumban atas rimbunan pokok yang tidak dapat saya tentukan. Muka saya terkena pada sejenis daun yang agak kesat dan miangnya.
"Tamar, buka matamu, kita diperdayakan," saya terdengar suara datuk. Dan kelopak mata pun saya buka. Pertama yang saya lihat ialah langit dan awan malam.
Saya renung kiri kanan, saya dapati diri saya dan datuk berada dalam rumpunan lalang tua. Datuk segera bangun sambil menepis-nepis dedaun lalang yang lekat di bajunya.
"Bangun Tamar," katanya pada saya sambil menarik tangan kanan saya yang terasa sakit kerana dicucuk oleh tunggul lalang.
Dalam keadaan yang serba sulit itu, (maklumlah malam terlalu pekat) saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan, bergerak saja, kaki sudah tersepak kayu atau terpijak tunggul lalang.
Aneh juga, tunggul lalang di situ cukup tajam, boleh menembusi tapak sepatu getah cap tiga bintang yang saya pakai.
"Tamar, pejamkan matamu," perintah datuk saya ikuti.
"Buka matamu sambil mengucap dua kalimah syahdat dan selawatkan nabi tiga kali, kemudian kau baca ayat dari Surah Ibrahim waktu nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya," beritahu datuk lagi.
Semua kemahuan datuk itu saya penuhi. Bila saya membuka mata kawasan sekeliling itu jadi terang-benderang, macam cahaya bulan yang mengambang penuh.
Saya dan datuk keluar dari kawasan tersebut dan cahaya yang terang itu terus ghaib. Baru saja tiga langkah datuk dan saya melangkah untuk menuju ke rumah Dumba, sekumpulan anjing liar segera mengelilingi kami.
Anjing-anjing itu cukup garang dengan mulut separuh terbuka menjelirkan lidah, bersedia untuk menerkam pada saya dan datuk.
Setapak kami bergerak, selangkah anjing-anjing liar itu merapati kami. Ketika itu juga suasana di situ berubah keadaan, kami bagaikan berada di hutan tebal, terdengar bermacam-macam suara bersama dengan titik-titik hujan yang kasar.
Angin juga bertiup cukup kuat, dedaun yang jatuh mengeluarkan bunyi yang menggaum bila terkena bumi.
Saya terpandang dari celah-celah pokok-pokok besar tersembul lembaga yang tidak menentu rupa bentuknya, menyapu bumi, giginya juga kelihatan ganjil.
Gigi bahagian atas cukup panjang dan terkeluar menutup bibir bahagian bawah, hidungnya juga panjang dan lembik berjuntai hingga atas gigi.
Lembaga-lembaga itu memegang tali yang terikat pada leher anjing. Telinga saya mula dihujani dengan suara orang ketawa dan menjerit, saya lihat rambut lembaga yang panjang itu bagaikan terpacak ke atas dan badan lembaga tanpa kaki itu terangkat dan bergerak di awang-awangan, mengikuti tiupan angin.
"Matilah kita tuk," saya mengeluh.
"Ini permainan syaitan, kita berdua diperdayakan, kita harus berusaha," bisik datuk pada saya, ketika itu wajahnya saya lihat cukup cemas.
Datuk melangkah ke depan setapak, anjing-anjing liar pun mara, kian dekat dengan kami, begitu juga dengan lembaga yang bergantungan, mempamerkan gigi seolah-olah ketawa pada kami.
Datuk terus memeluk tubuh sambil menahan nafas. Matanya merenung tajam ke arah seekor anjing yang bentuk badannya lebih besar dari anjing yang lain-lain, bulunya juga berbeza dengan anjing-anjing lain.
Anjing besar itu berbulu hitam berkilat, sedangkan anjing-anjing yang lain bewarna kekuningan.
Tenungan mata dari datuk itu dilawan oleh anjing tersebut dengan matanya yang bagaikan tersembul. Anjing itu terus menggaum. Dalam saat-saat begitu saya terlihat batang tubuh Mahyuddin melintas di hadapan kami dan hilang dengan sekelip mata.
Datuk segera menjatuhkan kedua belah tangannya. Datuk menggenggam penumbuk, tetapi jari kelingking kiri dan kanan tidak dilipatkan, kedua-dua jari itu menunjuk ke bumi.
Bibir datuk bergera-gerak, sebaik saja bibirnya berhenti bergerak, dengan pantas datuk menepuk tangan, ketika itu juga terdengar satu ledakan yang amat kuat macam bunyi petir.
Seluruh kawasan itu dipenuhi dengan kabus bercampur asap tebal, tidak ada satu pun yang dapat dipandang. Saya segera memeluk pinggang datuk dengan sekuat hati.......




















48. Bertemu Ibu Santau

HIDUNG dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.

Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk. Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.

"Tamar kau cucu tuk," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.

"Cucu tuk harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.

Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengkedutkan kulit dahi. Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan. Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.

"Tuk, apa dah jadi," tanya saya.

"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri. Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkukkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.

Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran. Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia. Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda. Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit. Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan. Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu. Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting. Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.

Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk. Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat. Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya. Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak. Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh. Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.

Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang. Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang. Seluruh tubuh dauk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata : Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut. Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang-kunang itu hilang.

Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakkan. Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu paam. Saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.

"Kita pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada saya. Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan sikap datuk kali ini. Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan pulang jadi cepat. Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya pejamkan mata sambil memaut bajunya. Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

“Cara itu dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut suka hati,” tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya. Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu apa yang tersurat dalam hati. Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh. Kokok ayam sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya dan datuk.

“Melihat pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul empat pagi,” kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke jalan raya. Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan kami.

“Apa benda tu tuk?”

“Kau diam.”

Saya terus mengigit bibir. Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana. Dalam keadaan yang serba pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal, matanya merah menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas, mempamirkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib dalam sekelip mata.

“Sudahlah, tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri kita, bukankah kita ini hamba Allah,” saya terdengar suara datuk bercakap ke arah tempat bayang-bayang manusia dan kucing hitam itu ghaib. Bila datuk selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.

Kali ini langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk menyamakan langkah saya dengan langkahnya. Hasilnya, saya termengah-mengah dan badan terus berpeluh dalam dingin subuh. Datuk dan saya sampai ke kaki tangga masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil air sembahyang, selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran hingga terentak waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.

“Bangun, jangan tidur bertemankan syaitan,” datuk goncang badan saya yang tersandar di tiang masjid. Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung sudah berada dalam masjid. Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.

“Saya mimpi tuk.”

“Mimpi apa?”

“Saya terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tuk.”

“Ah, yang kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air sembahyang,” sergah datuk. Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan fardhu Subuh.

“Hebat juga awak malam tadi,” ujar Mahyuddin.

“Saya tak faham dengan apa yang awak cakap.”

“Tak faham atau sengaja tidak mahu faham,” Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah pulang.

Saya yang berdiri dekat datuk segera kedutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata-kata Mahyuddin itu? Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan diri Mahyuddin. Saya juga tidak dapat mempastikan antara Dumba dengan Mahyuddin siapa yang lebih awal datang ke masjid, saya juga tidak tahu adakah mereka bertegur sapa antara satu sama lain.

MANDI

Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan. Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.

"Kau tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki tangga. Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.

"Aku sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam mengeluh di hadapan saya. Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju tetap selamat dan diberkati.

Di bawah sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tidah saya ketahui arah tujuannya. Bila saya dapati datuk tidak melencung dari jalan tanah merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai Dumba. Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi.

Dumba menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada datuk.

"Saya sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di depan datuk. Saya lihat datuk mempamirkan senyum. Sepasang matanya meraut seluruh wajah Dumba. Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain. Dia bagaikan tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu.

Dumba menarik datuk ke dalam kedai tanpa mahu mendengar jawapan dari datuk atas pertanyaan yang diajukan olehnya.

"Jangan duduk di sini, mari kita masuk ke bilik saya." ujar Dumba ketika datuk menarik bangku untuk duduk dalam ruang kedainya. Datuk renung ke arah bilik yang ditunjukkan oleh Dumba dengan jari telunjuknya.

Bilik tersebut terletak di bahagian dapur kedai yang dipisahkan oleh satu ruang khas selebar empat kaki. Pintu bilik dibuat dari papan yang sudah diketam tanpa palang zig-zag. Ada dua pasu bunga terletak di kiri kanan pintu yang ditanam dengan pokok daun hati-hati serta lidah buaya.

Dumba buka pintu. Kami pun masuk dan duduk bersila di lantai menghadapi sebuah meja panjang yang rendah. Bentuk meja itu hampir menyerupai meja yang digunakan oleh orang Jepun untuk minum teh. Tiang meja dibuat dari buluh, begitu juga dengan bahagian permukaan meja dianyam dengan buluh yang terlalu indah dan seni pembuatannya. Beberapa pokok buluh aur, buluh betung dan buluh lemang ditanam dalam pasu besar pada setiap sudut bilik menjadikan suasana dalam bilik itu cukup tenang dan aman tetapi, agak seram. Seorang pekerjanya masuk lalu meletakkan tiga cawan kopi bersama tiga pinggan kecil nasi lemak. Dumba duduk bersila di sebelah meja buluh tersebut.

"Minum dan makanlah ini yang ada untuk awak berdua," kata Dumba.

Saya pun memperkemaskan sila lalu membongkok untuk memegang tangkai cawan. Secara mendadak datuk mendehem sambil menepuk pangkal paha kanan saya. Saya tidak jadi memegang tangkai cawan.

"Minum jangan segan-segan," suara Dumba cukup ramah.

Datuk anggukkan kepala sambil menyeluk saku bajunya. Datuk mengeluarkan secebis kain merah yang selalu digunakan untuk mengikat kepalanya, kain itu datuk genggam. Datuk tarik nafas panjang-panjang. Sepasang mata datuk merenung air kopi di dalam cawan dengan renungan yang amat luar biasa sekali. Saya terkejut, cwan di hadapan saya dan datuk kelihatan merekah dan akhirnya terus pecah berkecai, air kopi melimpah atas meja buluh. Pinggan nasi lemak terbalik dengan sendirinya.

Dumba terus memegang bibir meja, suasana cerah dalam bilik segera bertukar menjadi agak kelam, macam hari mahu hujan. Saya tidak berbuat apa-apa. Punggung saya bagaikan terpaku di lantai. Tidak boleh bergerak walau seinci pun. Kerongkong saya tiba-tiba terasa sakit dan pedih untuk menelan air liur. Antara datuk dan Dumba bagaikan ada pertarungan secara kebatinan. Masing-masing menggunakan tenungan kekuatan kuasa mata. Saya lihat datuk meletakkan ibu jari kirinya atas muka meja. Ibu jari itu datuk tekan hingga bahagian yang ditekan itu mengeluarkan asap serta berlubang.

"Saya senang berhadapan dengan asak Dumba, kita boleh mencarikejujuran di sini," suara datuk parau. Urat matanya kelihatan merah tersembul. Dumba berhenti memegang bibir meja, bahagian bibir meja yang dipegangnya kelihatan hitam. Dumba termenung sejenak.

"Saya bukan orangnya untuk awak jadikan musuh," tambah datuk sambil berdiri.

Dada saya terasa panas macam ada bara api di dalamnya. Saya cuba bangun tetapi, tidak berdaya, punggung terasa berat. Dumba terus duduk bertafakur, kedua belah ibu jarinya didekatkan ke lubang hidung. Datuk mula bersikap kurang ajar. Datuk pijak dada meja yang dibuat dari buluh. Dumba tidak juga bergerak dari tempatnya. Perlahan-lahan Dumba meletakkan tangan kanannya di atas meja, ketika itu juga cahaya panas mula masuk ke dalam ruang bilik. Batang tubuh datuk yang berdiri mencipta bayang yang memanjang di atas lantai. Dumba bangun bagaikan kilat lalu melintasi bayang datuk sambil menghembuskan nafas dengan sekuat hati pada ibu jari kirinya yang terlekap di hidung.

"Dumba jangan khianati aku," pekik datuk sambil menundukkan badan. Hembusan angin dari hidungnya tepat mengenai tiang bilik. Tiang itu berasap dan berlubang. Saya kira kalau hembusan angin dari hidung Dumba kena pada tubuh datuk, tentu tubuh datuk berlubang dari belakang hingga ke dada.

Bila asap di tiang itu hilang, saya lihat di lantai pangkal tiang ada habuk dalam bentuk abu yang berkilat-kilat. Datuk menepuk dadanya dengan tangan kiri. Habuk yang terkumpul segera berselerak menjadi dua bahagian. Bahagian pertama menjadi serbuk kaca yang halus, manakalan bahagian kedua terdiri dari miang-miang buluh bercampur dengan sejenis getah dari pokok Ipoh. Dumba tersandar di dinding bilik. Dia kelihatan tidak bermaya. Kemudian jatuh perlahan-lahan dan terduduk di situ. Seluruh mukanya berpeluh.

"Mengakulah Dumba, semua kejadian yang berlaku di sini, puncanya dari kau. Aku tahu kau mahu menguju aku, sebab itu kau kenakan pemandu lori balak yang minum di kedai kamu," datuk meluahkan perasaannya.

Dumba tidak berkata walau sepatah pun. Saya menarik nafas dengan rasa lega yang amat sangat kerana saya boleh bergerak dan bangun. Dada saya yang terasa panas kembali normal.

"Demi Allah yang Maha Besar, kalahlah aku tahu niat kau dari mula-mula dulu, aku tidak akan berjanji mahu menolong kau. Apakah daya keikhlasan dan kejujuran hatiku sudah kau salah tafsirkan, kau mahu memperdayakan aku Dumba," datuk terus mengeluh, wajahnya kelihatan muram, penuh dengan rasa hampa dan kecewa yang amat sangat.

SINAR

Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik. Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati. Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahu Dumba. Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru-biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung. Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima-lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh-peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya.

Saya terkejut dan hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Kelima-lima jari datuk merekah dan retak seribu. Dari rekahan itu keluar air jernih menitik atas lantai. Beberapa saat kemudian, keadaan kelima-lima jari datuk kembali dalam keadaan biasa. Wajah Dumba kembali berdarah, tidak pucat macam wajah mayat.

"Dumba aku mahu kau berterus terang dan marilah kita mencari sesuatu yang baik untuk diri kita dan orang lain," nada suara datuk merendah. Dahi Dumba digosoknya berkali-kali. Datuk terus duduk bersila di hadapan Dumba..

"Kau ada masalah? Sila terangkan, kalau boleh aku atasi aku akan membantu kau," datuk renung muka Dumba. Saya lihat Dumba kedutkan keningnya. Sepasang mata Dumba menatap tiap sudut bilik, bagaikan mencari sesuatu.

"Sebenarnya, aku benci semuanya ini, tetapi aku tidak ada cara lain untuk mengatasinya, sama ada aku mahu atau tidak aku terpaksa melakukannya."

"Apa yang awak cakapkan ini?"

"Hal yang kau lihat."

"Ilmu santau yang kau amalkan ini."

"Ya ilmu yang aku tuntut ini mengikat diri aku, kalau aku tidak melakukan dengan apa yang aku janjikan ketika menuntut dulu, anak bini aku jadi korban."

"Kerana sayangkan anak bini, orang lain kau korbankan."

"Ya aku terpaksa."

Datuk menggigit bibir. Dia masih kurang yakin dengan apa yang dikatakan oleh Dumba. Dia merasakan kata-kata itu merupakan satu perangkap bagi Dumba untuk menguji sejauh mana kekuatan diri datuk. Sesungguhnya, datuk tidak mahu dirinya diuji atau dicuba. Datuk tahu dia serba kekurangan. Apa yang ada pada dirinya sekadar cukup untuk melindungi dirinya sendiri.

"Maafkan aku Dumba, apa yang terjadi bukanlah niat aku untuk mencabarmu, semua yang aku lakukan kerana mahu menolong kau."

"Aku faham," suara Dumba parau. Dia pun bangun sambil mengajak datuk duduk di satu sudut bilik berdekatan dengan pokok buluh aur yang ditanam dalam pasu besar. Pada mulanya, datuk memang keberatan untuk memenuhi permintaan Dumba itu. Tetapi, setelah Dumba sendiri mengubah kedudukan pasu besar yang ditanam dengan pokok buluh aur itu ke tempat lain, barulah datuk memenuhi permintaannya.

"Ingat Dumba yang kita cari kebaikan, bukannya pergaduhan."

"Saya faham."

"Kalau kau sudah faham, penuhi syarat dari aku."

"Apa syaratnya."

"Duduk berhadapan, kedua-dua kepala lutut kau bertemu dengan kepala lutut aku, tangan kanan aku menindih tangan kanan kamu. Apa kamu setuju?"

"Setuju."

Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik. Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya. Sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri.

Saya tahu, bila datuk mempertemukan kepala lututnya dengan kepala lutut Dumba, secara tidak langsung datuk menguncikan pergerakan Dumba yang dikiranya akan bermula dari gerakan kaki. Bila datuk menindih tangan kanan Dumba dengan sendirinya racun santau yang berada di celah kuku Dumba akan menjadi tawar. Cukup bijak datuk bertindak kali ini. Dia tidak mahu diperdayakan, fikir saya.

"Apa masalah kamu Dumba," datuk renung biji mata Dumba.

"Aku merasakan saat kematian aku sudah hampir, boleh jadi dalam tempoh sebulan dua lagi."

"Macam mana kau tahu semuanya ini?"

"Mengikut firasat ilmu yang aku tuntut, menunjukkan ada tanda-tanda yang aku akan mati."

"Salah satu daripada contohnya Dumba?"

"Aku selalu menangis bila mahu menunaikan janji yang aku buat ketika menuntut dulu. aku takut dengan ilmu yang aku amalkan dan aku merasakan diri aku terlalu jauh dengan Allah yang mencipta diriku dan Alam."

Datuk memejamkan kelopak matanya. Saya terdengar bunyi daun pintu diketuk orang. Datuk menyuruh saya membuka pintu. Bila pintu dibuka, tidak ada manusia di luar. Tengkok saya mula terasa seram. Pintu saya rapatkan kembali. Bila saya mahu duduk, terdengar lagi ketukan di pintu tetapi, kali ini datuk memberi isyarat pada saya supaya jangan memperdulikan ketukan itu. Aneh, pintu itu terbuka dengan sendiri dan tertutup dengan sendiri.

"Ceritakan apa yang terniat dalam hatimu Dumba."

"Begini, aku tidak akan menurunkan ilmu ini pada keturunan aku, kerana tidak menguntungkan tetapi, bila ku mati, salah seorang daripada anak aku akan mewarisnya dengan secara tidak langsung, perkara itu terjadi diluar pengetahuan meraka dan kerelaan aku."

"Kalau mereka menolak bagaimana?"

"Mereka akan jadi korban, aku harap kau dapat menolong aku, aku sudah menguji kamu, aku tahu kau boleh berusaha ke arah itu."

CERITA

Datuk menarik nafas panjang. Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya. Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai.

Ayahnya bekerja di ladang cengkih kepunyaan Belanda. Tuan punya ladang tersebut mempunyai beberapa orang ketua pekerja yang terdiri dari orang-orang Indonesia yang tidak bertimbang rasa, selalunya menyiksa para pekerja. Akibat dari perbuatan ketua-ketua pekerja di situ membuat ayahnya masuk ke hutan dan bertapa dalam sebuah gua dengan tujuan menuntut ilmu. Bila ayahnya keluar dari tempat pertapaan, Ayahnya terus membalas dendam dengan menggunakan ilmu santau. Akhirnya, ayahnya mengambil upah membunuh orang dengan ilmu yang dituntutnya.

"Walaupun ayah saya handal tetapi, dia mati juga ditikam orang dengan ranting buluh tumpat," kata Dumba dengan wajah yang sedih.

"Itu saja ceritanya Dumba."

"Ada lagi, kerana menuntut ilmu itu adik perempuan saya jadi korban, ketika ayah menuntut adik saya di panah petir dan mayatnya terus hilang, menurut ayah, adik saya memang dijadikan makanan syaitan tempat ayah menuntun ilmu."

Datuk menggaru kepala yang tidak gatal. Sekali-sekala datuk menjeling ke arah saya sambil mengerutkan dahinya. Saya tidak tahu apa yang datuk fikirkan. Suasan dalam bilik yang tadi cerah tiba-tiba menjadi agak gelap. Saya segera bangun dan membuka tingkap kecil di sudut bilik melihat ke langit. Ada awan mendung bertompok-tompok tetapi, matahari masih bersinar, saya juga terlihat titik-titik yang halus turun dari langit, Jam ketika itu saya kira baru pukul sembilan pagi.

"Macam mana dengan kau?" soal datuk.

"Bila ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Perlis sambil mengamalkan ilmu yang diajar oleh ayah pada saya, tujuannya untuk mempertahankan diri tetapi....," Dumba terus berhenti bercerita, matanya merenung sayu pada datuk dan saya. Datuk, tidak putus asa, dia terus mendesak Dumba bercerita.

Kata Dumba, sampai di Perlis dia menetap di Kuala Perlis dan bekerja dengan kapal kecil yang berulang alik dari Kuala Perlis ke Setul (sebuah tempat di Selatan Siam), bila ada orang-orang Siam yang bersikap kasar dan menyakitkan hatinya, dia menggunakan ilmunya untuk membinasakan mereka.

"Saya akhirnya menikah dengan orang Kuala Perlis dan berpindah ke Alor Setar dengan azam untuk membuang ilmu tersebut, tetapi usaha saya tidak berjaya, kerana saya berazam mahu meninggalkannya, anak pertama saya mati muntah darah, sejak itu saya terus mengamalkannya," kata Dumba. Saya dan datuk terus memasang telinga.

"Dari Alor Setar saya pindah ke Perak iaitu di Air Tawar, dekat Sitiawan, ke Gopeng dan Hutan Melintang, setiap tempat saya bernaung memang ada manusia yang jadi korban yang kadang-kadang berpunca dari perkara yang kecil-kecil, saya dan keluarga saya jadi kera sumbang."

"Kemudian apa yang kamu lakukan?"

"Saya pergi ke Pahang dan akhirnya menetap di sini, saya tidak sanggup lagi nak jadi pembunuh, paling kurang setahun mesti seorang saya korbankan dengan santau kalau tidak diri saya akan jadi korban, saya tersepit sekarang," Dumba berterus-terang dengan datuk.

Datuk terus memisahkan kedua-dua kepala lututnya yang bertemu dengan kepala lutut Dumba. Begitu juga dengan tangannya yang menindih tangan Dumba. Datuk mengisut kebelakang hingga terjadi ruang jarak selebar dua kaki antara Datuk dan Dumba. Di luar hujan rintik-rintik segera bertukar menjadi hujan panas yang agak lebat. Tempiasnya masuk ke dalam bilik. Datuk tidak mengetahui isi hati Dumba sampai ke akar umbinya. Bila semuanya perkara sudah diketahui akan memudahkan kerja datuk.

"Awak bermusuh dengan Mahyuddin?" soal datuk.

"Ya, salah seorang anak sahabat karibnya jadi korban saya, perkara itu terjadi secara tidak sengaja, ketika itu janji saya dengan ilmu yang saya tuntut sudah cukup tempohnya, saya harus memberikan satu nyawa, orang yang saya pilih adalah orang luar tetapi, ketika saya melepaskan santau dari kuku, anak sahabat karib Mahyuddin melintas dan muntah darah."

"Mahyuddin tahu hal ini?"

"Dia tahu tetapi, usahanya untuk membinasakan saya tidak berjaya saya dilindungi oleh ilmu saya."

"Kau sebenarnya mahu membunuh aku pagi itu, kerana aku dapat tepis angin yang datang pemandu balak itu jadi korban."

"Ya saya mengaku, awak orang luar dan saya kira awak adalah mangsa saya, sayangnya sangkaan saya tidak tepat, rupa-rupanya awak tidak berjalan dengan lidah dan gigi saja, awak ada isi."

MENGELUH

Datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh. Dumba hanya melihat apa yang daruk lakukan dengan mulut separuh terbuka.

"Kau mahu memisahkan dirimu dengan ilmu Santau Dumba?" soal datuk.

"Ya."

"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi. Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan.

Bila tiang meja dari buluh itu dipecahkan, seluruh lantai bilik itu dipenuhi dengan kaca-kaca yang halus, rambut dan serbuk dari miang buluh.

"Ini ibu santau?" Tanya datuk. Dumba anggukkan kepala. Datuk tidak berani menjamah benda-benda itu. Datuk seluk saku baju sebelah tangan.

49. Rahsia Sebuah Kolam

Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil bibirnya bergerak-gerak. Perlahan-lahan datuk membuka tapak tangan kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak tangan. Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus, dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.

"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang yang kau santau ibu santau ini akan bcrtambah, bila tidak ada orang yang kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya lihat Dumba anggukkan kepala.

"Kau mahu melupa dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini Dumba?"

"Ya."

"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?"

"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."

Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya. Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin, apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil Dumba.

"Kau ikhlas Dumba?"

"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.

Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik, tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak mendengar bunyi ledakan petir.

Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali. Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota-anggota pengakap saja. Mereka bangun perlahan-Iahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka. Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang mata.

Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba. Dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh. Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan kiri datuk. Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya. Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan berpeluh.

"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"

"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."

"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapal merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"

"Dari sebelah kanan."

"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari sebelah kanan badan kau Dumba."

"Ya."

Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk terus duduk bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat.

Perlahan-lahan daluk merenung dinding bilik, macam mencari sesuatu. Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui. Datuk menggamit saya yang masih berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.

"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia unluk angin masuk ke dalam. Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?", suara datuk meninggi. Dia tidak merenung ke wajah Dumba.

"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.

Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali, bagaikan setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu. Datuk meluruskan badannya seketika. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan dengan dinding rumah.

"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk aku", kata datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding. Dumba bangun dan mematuhi cakap datuk.

"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung datuk lagi sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba. Dumba sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.

"Sumbat cepat", ujar datuk lagi dalam nada suara yang agak meninggi. Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga ditemuinya.

"Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah dinding, bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan oleh datuk dipatuhi oleh Dumba dengan hormat. Dumba pun mengisut. Lebih kurang dalam jarak satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, datuk menyuruh Dumba berhenti mengisut.

Satu arahan lagi datuk keluarkan untuk Dumha. Datuk suruh Dumba hulurkan tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan. Dumba lakukan dengan teliti hingga telapak tangannya yang mengenggam kain kuning itu bertemu dengan dinding. Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil sebesar wang siling lima puluh sen. Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan bilik ini, tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil Dumba. Keningnya kelihatan berkerut.

"Sumbat lubang tu', pekik datuk. Dumba segera menyumbat lubang itu dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik jadi gelap gelita buat beberapa saat. Bila keadaan kembali terang, Dumba segera mendapatkan datuk kembali.

"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangai dinding tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu melakukan apa saja", Dumba menyatakan pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum. Tanpa menyebut sesuatu datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang bilik. Berdiri di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya merenung tajam pada serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang berkumpul di situ. Lama juga datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca kelihatan berkilau-kilauan.

"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci Dumba", datuk mohon pertolongan dari Dumba. Tanpa membuang masa Dumba terus menuju ke arah peti hitam yang terletak di sudut bilik. Bila penutup peti hitam yang dibuat dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang nipis naik ke udara. Tanpa memperdulikan kepulan asap terscbut, Dumba hulurkan tangan kedalam peti tersebut. Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan besi bulat sepanjang enam inci. Dengan tenang dia melangkah menghampiri datuk dan serahkan besi itu pada datuk. Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik telapak tangan, datuk menerima besi tersebut.

"Memang bekas asalnya", suara datuk merendah sambil merenung besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.

"Memang betul", jawab Dumba.

"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas datuk.

"Saya mengikut saja"

"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba"

Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi bulat tersebut. Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan bcrdekatan dengan scrbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya dilangkah setapak ke depan. Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal. Lagi sekali datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai.

Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan perlahan-lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang bcsi sepanjang enam inci itu.
Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, datuk segera  menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu dengan segumpal kain hitam. Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi sepanjang enam inci itu menjadi merah, seperti besi yang dibakar. Datuk membiarkan besi itu disitu. Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang, barulah datuk mengambilnya dengan menggunakan kain hitam juga.

"Ke mari Tamar", kata datuk. Saya segera menghampirinya dan Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk memandang wajah kami dengan tenang.

"Cuba lihat"

Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan oleh datuk. Saya gelengkan kepala beberaopa kali sambil menggigit lidah.

"Terbakar", kata Dumba.

"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang kau simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas datuk. Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.

"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau kepada manusia". Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap datuk itu. Saya anggukkan kepala beberapa kali.

Tanpa membuang masa lagi, datuk terus memasukkan besi sepanjang enam inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran lubang buluh itu kira-kira satu hingga dua inci. Datuk balut buluh kuning itu dengan kain hitam. Buluh kuning itu datuk perolehi dari dalam bilik itu juga. Datuk letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.

"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah sudah aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi bersama", dengan tenang datuk menujukan kata-kata itu pada Dumba. Datuk terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar. Datuk berdiri disitu merenung ke langit. Daun pintu datuk rapatkan kembali. Semua gerak-geri datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor matanya. Saya kira, Dumba belum begitu yakin dengan niat datuk untuk berbuat baik dengannya.

"Meniarap", pekik datuk dengan sekuat hati.

Bagaikan ada satu kuasa yang mendorongkan saya merebahkan badan dengan begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian. Bila saya renung arah datuk saya dapati datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai. Ketika itu juga saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu berpusing-pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi suara ledakkan yang tidak berapa kuat.

"Bangun", kata datuk.

Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu bilik terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang-layang keluar ikut pintu tersebut. Bila keadaan sudah kembali tenang, datuk segera menghampiri saya dan Dumba. Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan berdebar tidak menentu. Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di hadapan mata saya sendiri. Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut datuk.

"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini seperti menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang mulia di antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata datuk.

Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata datuk itu. Dia terus memeluk lutut datuk. Dengan kasar datuk menolak Dumba hingga terlentang atas lantai. Dumba berguling-guling sambil menangis. Saya jadi kelam-kabut melihat keadaan yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut segera bertindak agak kasar. Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya ke belakang.

"Apa kena kau Dumba?"

"Masanya sudah sampai"

"Apa yang sampai?"

"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan"

"Mana kau tahu?"

"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang. Ayah saya dulu, secara tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia mati dibunuh orang."

Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya. Dia jadi serba salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada sesuatu perkara yang tidak berasas. Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri Dumba itu secara tidak langsung menafikan kekuasaan Allah. Meskipun tangan Dumba dipulas agak kuat, kesannya tidak ada pada Dumba. Dia terus meronta-ronta seolah-olah dia tidak mengalami sebarang rasa sakit.

Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat datuk terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali. Kemudian datuk merapatkan mulutnya ke telinga Dumba sambil membaca surah Al-Ikhlas. Sebaik saja ayat-ayat dari surah itu tersebut datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak meronta-ronta lagi.

"Dumba" 

"Ya"

"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak ada manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun orang itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan langkah."

"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."

"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya sudah sampai", datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak. Sepasang matanya merenung wajah datuk.

"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang mengamalkan ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap sebagai perkara yang benar dan mesti, mereka sudah melupakan kebesaran Allah, akal fikiran yang diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, di sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang Islam", datuk memberikan ceramah singkat.

Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding sambil melihat pokok-pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang-pukang kedudukannya. Daun buluh juga sudah kelihatan layu. Datuk segera bangun lalu mengambil buluh kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu diletakkan di celah ketiak kirinya.

"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."

"Ke mana lagi tuan."

"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan kawan saja', ujar datuk sambil melangkah ke pintu. Saya segera bangun begitu juga dengan Dumba. Sampai di muka pintu, datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke arah saya dan Dumba.

"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada suara yang agak cemas.

"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini", balas datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.

Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang terlelak di bahagian belakang kedainya. Ketika melintas di ruang kedai, saya lihat ramai juga orang yang minum kopi di situ. Dumba terus menemui salah seorang pekerja sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori datuk hingga ke tepi jalanraya. Datuk merenung ke langit lagi.

"Cuaca baik", katanya.

"Ke mana kita nak pergi tuk?"

"Ke bukit sana", telunjuk datuk mengarah ke sebuah bukit yang letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam-balam dari tepi jalan.

Saya mula membayangkan tentang kcsusahan yang akan dialami untuk sampai ke tempat tersebut. Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah, saya terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu. Mahu saja saya mencadangkan pada datuk, supaya membatalkan hasratnya itu. Tetapi, saya tidak berani menyuarakannya pada datuk.

"Mari, jangan buang masa lagi", datuk pun melangkahkan kaki kanannya. Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti sama ada saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu.  Bagi saya, kaki kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke tempat yang dituju. Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani takut dengan datuknya. Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang yang mahu menjadi orang berilmu macam datuk. Kerana itu agaknya, saya tidak punya cita-cita walau sebesar biji saga untuk jadi macam datuk. Tetapi, saya terhibur mengikutinya ke mana-mana.

Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya menuju ke arah Tajung Malim. Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan sebuah bukit kecil, datuk menyuruh kami berhenti berjalan.

"Kita masuk ikut ini", kata datuk.

"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.

"Ikut saja cakap saya", balas datuk sambil tersenyum memandang ke arah saya. Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke dalam hutan kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang subur. Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu dijalanraya merenung ke arah kami yang berdiri di tepi jalan. Mereka merasa hairan melihat kami herdiri di situ sambil merenung ke bukit kecil. Badan saya mula berpeluh dipanah matahari yang cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya meramalkan sudah hampir pukul dua belas tengahari.

"Mari", datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan kecil. Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit bcrjalan, saya sudah tidak mendengar bunyi kenderaan di jalanraya. Kiri kanan saya di penuhi dcngan pokok-pokok besar yang tinggi. Cuaca agak lembab, sinar matahari tidak dapat menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar. Suara burung liar bersahut-sahutan, di samping suara reriang rimba yang memanjang dan menyeramkan. Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya terpaksa melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepakkan akar-akar rotan, dan kayu yang menjalar di situ.

Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya hadapi. Dia melangkah dengan rancak dan bersemangat. Tetapi, wajahnya sentiasa dibayangi rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus asa. Datuk terus juga melangkah tanpa memperdulikan keadaan diri saya dan Dumba. Dia tidak mahu ambil tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih. Perjalanan menuju ke bukit tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh terlanggar akar kayu. Nyamuk hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan Dumba. Suara nyamuk itu cukup nyaring dan kuat sekali.

"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya. Datuk mematikan langkahnya lalu menghampiri ke pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar sebesar lengan budak. Salah satu akar itu datuk potong dengan golok.

"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya. Air dari akar kayu itu terus saya sedut hingga rasa dahaga hilang. Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti yang saya lakukan tetapi datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuhi muka saja.

"Jauhkah lagi tuk?", tanya saya.

"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."

"Selari angin tu apa dia tuk?"

"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang datuk sambil ketawa. Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan bukanlah satu perkara yang senang.

"Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang", sebaik saja mendengar cakap datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan meneruskan perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu. Saya menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang dilerengnya dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam.

Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh dalam rimbunan pokok bertam dan kelubi. Anda tentu dapat membayangkan betapa sakitnya badan, bila duri-duri yang tajam itu menyucuk daging tubuh saya yang lembut ini.

Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak bukit yang tinggi menjulang itu. Dari puncak bukit itu,  saya dapat melihat hutan yang cukup luas menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat menarik dan cantik sekali. Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin menyentuh kulit muka dan badan, terasa sejuk dan nyaman sekali. Awan kelihatan berarak dengan tenang, tidak ada suara burung hutan atau monyet,  kecuali bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah puncak bukit.

Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila berhadapan dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah keluh batin saya sendirian.

"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara negeri Pahang dan Selangor." ujar datuk yang tersandar di pangkal pokok besar. Sebaik saja dia bercakap, datuk segera bangun.
Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan Dumba ikut serta. Dalam waktu beberapa minit datuk hilang dari pandangan kami dilindungi oleh pokok-pokok besar yang tumbuh gagah di situ.

Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk datuk itu. Rasa bimbang itu hilang bila datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah belakang kami.

"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu datuk pada kami dengan wajah yang riang. Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam tersebut.

Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih kurang lima rantai. Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak bukit, bentukanya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi sebarang jenis rumput. Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya dianggarkan sepuluh kaki dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya cukup jernih. Bahagian atas tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan bertam. Kerana kolam itu berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat menerima sinaran matahari dengan cukup sempurna.

Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok-pokok besar, tidak ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau tersadai di tebingnya. Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu dengan begitu rapi dan baik sekali. Datuk terus berpusing di bibir kolam itu sebanyak tiga kali. Kemudian, datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan ke dalam kolam. Air dalam kolam berombak.

"Tempat yang sesuai", kata datuk sambil bertinggung dibibir kolam. Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan mulutnya sambil menghembus angin.

"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan tempat binatang minum", tambah datuk lagi sambil berdiri. Saya dan Dumba berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu pada datuk.

"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang jadi tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan yang kejam menyiksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku ajak kau ke mari", datuk berleter lagi. 

Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu yang menekan perasaannya. 

"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku melakukan semuanya ini?", datuk mengajukan pertanyaan sambil mcrenung wajah Dumba dengan tepat. Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa cemasnya dari pengetahuan datuk. 

"Kau takut Dumba?" 

"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."

"Jangan jadi bodoh.", datuk marah dengan tiba-tiba. Suara datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas hilang dari diri Dumba.  Datuk segera mengambil buluh kuning yang tersepit di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali ke udara sambil mulutnya membaca sesuatu. Dengan pantas datuk mencabut sebatang pokok yang besarnya kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun. 

Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok tcrsebut dengan tali guni. Kemudian datuk terus membenamkan akar pokok dan bawang kayu ke dalam kolam. 
Cara datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia tidak perlu masuk ke dalam kolam. Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak tujuh kali mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari sebelah kiri ke kanan. 

Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah-tengah kolam, barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut kolam. Datuk berada betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama. Dia berada di situ lebih kurang tiga minit saja. Dan keadaannya seperti orang terbang dengan kedua belah kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala tangannya terus menekan pokok yang masih berdaun itu ke perut kolam dengan penuh tenaga. 

Bila tugasnya selesai, datuk memusingkan badannya ke udara dan bergerak ke tepi tebing sebelah kiri. Dia berdiri di situ, seolah-olah dia tidak melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan itu berlaku bagaikan mimpi di badapan mata saya dan Dumba. Datuk segera menghampiri kami. Saya lihat pokok yang datuk cacakkan di tengah kolam itu bertukar warna. Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga dengan batangnya.

Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar menjadi kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan asap di permukaan kolam. Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila asap di permukaan kolam tinggal itu hilang, datuk menyuruh saya mencari pucuk bertam dan kelubi. Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan kulit jelutung. Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri. Semua yang datuk inginkan dapat saya dan Dumba adakan.

Semua ramuan itu datuk biarkan berada daIam kolam selama setengah jam. Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembaIi jernih dan pokok yang yang datuk benamkan di tengah kolam kembaIi segar. 

"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama sepuluh keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah membuangnya dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya", terang datuk pada Dumba. 

Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk datuk dengan eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya elengan penuh mesra. 

"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan saya yang akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang tidak pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata. 

Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga perasaan saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan datuk di tengah hutan itu. Bila keadaan sudah tenang datuk mengambil pucuk bertam, kelubi dan kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung. Datuk mengambil dengan tangan sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.

"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku berjaya", suara datuk lemah. Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa kesyukuran.

















50. Manusia Harimau

Bila datuk merasakan tidak ada hal-hal yang perlu dilakukannya, dia pun mengajak kami pulang.

"Kalau sesiapa di antara kamu masuk ke dalam hutan dan bertemu dengan pokok yang tumbuh dalam kolam, hati-hatilah menggunakan air dari kolam tersebut”, sambil mengeliat datuk berkata begitu kepada saya.

"Kenapa tuk?"

"Orang tua-tua dulu yang kaya dengan ilmu dunianya, membuang saka ilmu dunia dengan tiga cara, terutama kalau ilmu yang dituntutnya bercanggah dengan ajaran Islam atau ilmu yang dituntutnya akan menjadi ilmu keturunan”, datuk memicit-micit bahu kirinya dengan tapak tangan.

"Ke mana ilmu salah tu dibuang tuk?", soal saya lagi.

Datuk terdiam seketika macam mengingati sesuatu. Dia terus melangkah mencari arah jalan pulang yang harus dilalui. Datuk memilih jalan pulang ikut sebelah kanan bukit, datuk tidak mahu mengikut jalan awal yang telah digunakan tadi. Apa tujuan datuk berbuat demikian, saya tidak dapat meramalkan. Mungkin ada muslihat tertentu fikir saya.

Saya dongak ke langit, matahari sudah berubah kedudukannya. Tiupan angin juga tidak serancak tadi. Mengikut kedudukan matahari, saya kira waktu zohor sudah hampir dan saya dapat menduga bahawa datuk mahu mencari jalan dekat supaya cepat sampai ke rumah. Dia mahu berada di rumah sebelum waktu zohor berakhir.

"Tempat yang dipilih ialah Kuala Sungai yang bertemu dengan laut, dan ketiga seperti yang aku lakukan tadi”, secara mendadak datuk menjawab pertanyaan saya yang terputus tadi.


Jawapan yang saya nantikan tu datuk berikan ketika saya bergayut pada sebatang pokok untuk turun dari puncak bukit. Saya tersenyum sendirian, dengan sikap datuk. Kenapa untuk menjawab pertanyaan yang mudah itu mesti memakan masa yang agak lama. Saya rasa menuruni bukit lebih sukar dari mendakinya. Sebabnya, ketika menuruni bukit kita harus pandai mengimbangi badan, kalau kurang pandai boleh membuat kita terlajak ke depan yang boleh menyebabkan kita terlanggar batu atau pokok. Anehnya kesukaran yang saya hadapi itu, tidak menjadi masalah buat datuk. Dia boleh berjalan dengan cepatnya.


Akhirnya, kami sampai ke kaki bukit. Perjalanan seterusnya tidaklah berapa sukar. Tetapi, sendi kedua belah kaki saya mula berasa sengal dan sakit-sakit.

"Hati-hati minum air kolam yang ada pokok tumbuh di dalamnya, mana tahu kalau pokok itu dijadikan penekan ibu ilmu salah, kalau orang yang membuang ilmu bisa itu tidak menawarnya akan membawa padah pada orang yang meminumnya”, datuk mengingatkan saya dan Dumba, ketika itu kami sudah agak jauh meninggalkan bukit yang telah kami daki tadi.

Suara kenderaan mula terdengar sayup-sayup menendang gegendang telinga. Langkah saya terus rancak, kalau diturutkan hati mahu saja saya berlari supaya segera sampai ke tepi jalanraya. Rupanya langkah saya yang rancak dan bersemangat itu tidak boleh dilanjutkan lagi. Ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk menyuruh saya dan Dumba berlindung di balik pokok besar. Tindakan datuk itu amat mengejutkan. Wajahnya kelihatan cemas sedikit. Dari balik pokok besar saya dan Dumba melihat dengan teliti tingkah laku datuk yang berdiri di kawasan yang agak lapang itu. Datuk meletakkan tangan kanannya ke cuping telinga kiri, macam mendengar sesuatu. Datuk melangkah dua tapak arah ke kanan. Berhenti di situ sambil merenung dedaun pokok yang bergoyang di kiri kanannya kerana dirempuh angin.

"Silakan, kalau masih sangsi”, suara datuk cukup lantang.

Saya tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh datuk. Dumba renung muka saya dengan penuh rasa ragu dan bimbang. Saya cuma tersenyum saja. Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah datuk. Saya Iihat, datuk menapak dua langkah ke kiri pula, berhenti di situ dengan tenang. Macam menanti sesuatu. Siapakah yang datuk tunggu dan nanti dalam hutan begini, kata hati saya.

"Silakan”, ulang datuk lagi.

"Ya, aku datang dan bertemu lagi dengan kau”, terdengar suara dari arah kanan datuk.

Saya terkejut, apa yang saya lihat ialah batang tubuh Mahyuddin, berdiri sambil memeluk tubuh. Mahyuddin memintas di depan datuk. Berdiri berdepan dengan datuk sambiI memeluk tubuh.
Gerak-gerinya cukup pantas, macam orang muda yang berusia tiga puluhan. Sinar matanya cukup garang. Tidak terpamer segaris senyum pun di wajahnya. Keadaan yang saya lihat itu amat membimbangkan.

Pertemuan datuk dengan Mahyuddin kali ini bukanlah pertemuan seorang sahabat dengan sahabat, tetapi pertemuan dua orang musuh yang sudah lama menaruh dendam. Saya berdoa pada Allah, semoga Allah yang Maha Besar akan membiarkan kesabaran pada datuk, mudah-mudahan datuk tidak akan bertindak liar. Saya tidak mahu datuk menjadi mangsa Mahyuddin. Rupanya, doa saya diperkenankan oleh Allah.

Datuk kelihatan cukup tenang, meskipun Mahyuddin bersikap agak kasar dengan tujuan menaikkan rasa marah dan geram di hati datuk. Semuanya tidak mendatangkan kesan, datuk tetap berlembut dan sabar. Tindakan datuk itu memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan penakut. Satu hal yang pasti, meskipun datuk mengalah dia tetap berjaga-jaga. Setiap langkah Mahyuddin bagaikan sudah dibacanya terlebih dahulu.

"Kau bersubahat, kau melindungi Dumba manusia pembunuh”, kata Mahyuddin dengan nada suara yang keras. Badannya kelihatan mengeletar, matanya bertambah merah.

"Nanti dulu, biar aku terangkan keadaan sebenarnya."

"Sudah, kau menyimpan ibu santau itu di sini."

"Tidak Mahyuddin, kau silap."

"Sudah, jangan berdusta. Manusia pura-pura, kau munafik."

"Mahyuddin dengar dulu."

"Sudah”

Mata Mahyuddin mula menentang biji mala datuk untuk beberapa saat dengan harapan untuk menewaskan datuk. Usaha itu gagal, datuk masih macam keadaan biasa, masih mampu melahirkan senyum untuk Mahyuddin.

"Biarkan aku selesaikan Dumba di sini, jangan kau lindungi dia, kalau kau berkeras buruk padahnya", Mahyuddin melahirkan cita-citanya yang sebenar tanpa selindung­-selindung lagi.

Datuk meraba dahi luasnya berkali-kali. Memang datuk berada dalam saat-saat yang paling genting sekali. Andainya datuk tersalah langkah atau tersilap cakap, dirinya akan terjerat.
Datuk terus duduk bersila atas tanah. Saya kira, tindakan datuk tidak kena pada tempatnya. Dia seolah-olah menyerah nyawanya pada Mahyuddin, betapa tidak dengan sekali terkam bersama parang di lengan, Ieher datuk akan pulus.

Anehnya, Mahyuddin tidak menyerang datuk. Dia membiarkan datuk duduk dengan aman di atas tanah. Mungkin Mahyuddin berpendapat bukanlah langkah atau prinsip seorang pcndekar menyerang orang yang tidak melawan. Kemenangan yang diperolehi secara itu bukanlah satu kemenangan yang terpuji tetapi, satu kemenangan yang keji. .

Datuk masih lagi duduk bersila, perasaannya berperang sama sendiri, apakah wajar dia menyerahkan Dumba pada Mahyuddin begitu saja? Memang, kalau dia mahu mencari jalan senang, serahkan Dumba pada Mahyuddin habis perkara, mereka tidak bermusuh.
Tetapi, cara itu bukanlah satu cara yang baik. Apalah untungnya menyerahkan orang yang sudah insaf atas perbuatannya yang lalu pada musuh ketatnya.

Membunuh manusia yang seagama kerana dendam bukanlah ajaran agama Islam. Orang yang sudah insaf itu harus diberikan kesempatan membetulkan dirinya. Siapa tahu, orang yang sudah insaf atas perbuatannya akan menjadi manusia yang baik dan berguna pada bangsa dan agama.
Semua persoalan itu menghantui diri datuk. Dia harus memberi satu keputusan yang tegas. Dia juga harus menanggung sebarang akibat dari keputusan yang dibuatnya.

Tiba-tiba datuk melompat dan berdiri kembali. Kali ini tidak ada senyum yang terpancar di wajahnya. Datuk kelihatan begitu serius merenung wajah Mahyuddin.

"Tidak, Dumba dalam perlindungan aku, dia harus diberi kesempatan membetulkan dirinya”, kata datuk sambil melipat lengan bajunya hingga ke paras siku. Mahyuddin kelihatan tergamam dengan tindakan datuk itu.

"Tak apa”, balas Mahyuddin, dia mula mengangkat kedua belah tangannya ke depan. Sepasang kakinya mula bergerak memijak pokok-pokok kecil.

Mahyuddin kelihatan menggigil dan wajahnya nampak merah. Mahyuddin sudah naik angin, kemarahannya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia membuka silat sambil mematah-matahkan pokok-pokok yang tumbuh liar di kiri kanannya. Melihat rentak dan bunga silat yang dihasilkan oleh Mahyuddin itu, datuk menduga Mahyuddin bukan orang sebarangan, ilmu silat alau pendekar yang ada pada dirinya melambangkan yang dirinya memiliki ilmu kelas tinggi di dalam salah satu aliran silat.

Datuk membiarkan Mahyuddin membuka rentak dan langkah silat dengan tujuan membaca kepandaian yang dimiliki oleh Mahyuddin.

"Aku tahu sekarang, dia membawa aliran silat harimau yang disebut Cilek Babiat oleh orang-orang Mendailing (Mandailing)”, bisik hati kecil datuk, datuk bersedia unluk mengelakkan diri dari serangan Mahyuddin.

Datuk tahu benar, silat jenis itu hanya terdapat di kalangan masyarakat Mendailing saja. Bukan satu perkara yang mudah untuk sampai ke taraf pendekar dalam jurusan ilmu silat Cilek Babiat, banyak rintangan dan dugaan yang harus dilalui. Datuk melangkah ke kanan dengan kedua belah tangannya berkembang di bahagian paras dada. Kaki kanannya bergerak ke depan dalam keadaan yang tidak lurus, begitu juga dengan kaki kirinya yang bertugas sebagai tupang (penyokong) pada kaki kanannya.

Gerakan datuk begitu hati-hati sekali. Dalam saat yang sama juga datuk cuba mengunci dan mematikan langkah Mahyuddin secara batin. Usaha datuk itu gagal sama sekali. Datuk mula merasakan semua usaha yang dilakukannya tidak menjadi. Datuk berada di dalam keadaan yang agak sukar. Sebagai manusia yang tidak mengenal erti putus asa datuk terus berusaha sambil berdoa, supaya segala usahanya, itu direstui Allah. Datuk tidak mahu menyerahkan begitu saja pada Mahyuddin.

Datuk juga sedar, orang-orang yang tinggi pengetahuannya, dalam ilmu silat Cilek Babiat (silat harimau) dalam waktu tertentu akan bertukar menjadi seekor harimau yang ganas. Datuk tahu, Mahyuddin boleh melakukan perkara demikian sekiranya dia terdesak.

"Sebelum terjadi, aku mesti hati-hati, cara yang paling baik menimbulkan kemarahannya supaya dia jadi harimau”, datuk membuat keputusan dengan langkah silatnya yang teratur itu.

Sambil mempertahankan diri, datuk terus mencari akal bagaimana mahu menimbulkan kemarahan yang meluap-­luap dalam diri Mahyuddin. Datuk terus mendongakkan kepalanya ke langit melihat matahari yang kedudukannya sudah agak condong ke barat. Angin juga bertiup dalam keadaan yang lemah. Kerana kedudukan matahari sudah condong membuat pokok-pokok atau manusia yang kena panahan matahari mencipta bayang-bayang di bumi.

Sumpahan atau pantang pada orang-orang yang menuntut ilmu silat Cilek Babiat atau silat harimau bila pihak musuh menindih bayangnya. Datuk tahu benar tentang pantang larang itu, dia mahu mengambil kesempatan dari pantang-larang itu. Di bawah hembusan angin hutan yang lemah itu, datuk melompat dan menerkam ke arah Mahyuddin hingga bayang-­bayang datuk dapat menindih bayang-bayang Mahyuddin. Dalam saat yang agak kelam-kabut itu, datuk menyeru nama Dumba dan menyuruhnya keluar dari tempat persembunyiannya. Dumba meluru keluar.

"Awak mencabar saya”, kata Mahyuddin dengan nada suara yang cukup keras.

Dia melompat, semua tumbuh­-tumbuhan yang terdapat di sekeliling ditendang hingga tercabut.
Kali ini Mahyuddin tidak menyerang datuk. Dia hanya berdiri sambiI membuka sepuluh jari tangannya. Badan Mahyuddin mengeletar, sepuluh jari tangannya bergoyang.

"Dumba, kembali ke tempat kamu”, kata datuk. Dumba segera bersembunyi. Mahyuddin membongkokkan badannya, sambil bergerak dalam langkah silat yang teratur, sepasang matanya yang tajam dan merah tetap merenung muka datuk.

"Eeee hemmmm ... “, jerit Mahyuddin dan datuk saya lihat tersandar di perdu pokok besar, seolah-olah bahagian dadanya ditendang oleh sesuatu. Datuk terus bertahan di situ. Gerak kaki datuk terasa amat lemah. Mahyuddin dengan perlahan-lahan rapat ke arah datuk sambil mengembangkan sepuluh jari tangannya.

Jejari itu bergerak-gerak bagaikan mahu mengoyak kulit dada datuk yang tersandar di perdu pokok besar itu. Datuk masih lagi bertenang. Mata datuk tetap mengawasi langkah kaki Mahyuddin yang bergerak setapak dalam langkah silat harimau.

Tiba-tiba Mahyuddin memberhentikan gerakan langkahnya. Dia merenung muka datuk dengan tepat sekali. Datuk terus menentang mata Mahyuddin yang kelihatan berkaca-kaca bersama-sama dengan urat mata yang merah. Datuk kelihatan seperti orang lemas. Mahyuddin terus merendahkan badannya, kemudian bangun secara perlahan-lahan, ketika itu saya mula nampak perubahan yang aneh terjadi pada diri Mahyuddin, terutama bentuk wajah dan kepalanya bertukar seakan-akan wajah harimau.

Bulu yang halus berwarna merah kekuning-kuningan tumbuh di wajahnya. Ramhutnya juga berwarna demikian. Bulu yang berwarna merah kekuning-kuningan itu terus merayap ke leher, ke lengan hingga ke seluruh badannya. Bentuk asal Mahyuddin sudah hilang sama sekali. Dari hujung sepuluh jari tangannya muncul kuku tajam yang meruncing, macam kuku harimau, kekuatan Mahyuddin juga kelihatan bertambah seperti kekuatan seekor harimau jantan. Saya mengurut dada beberapa kali, kasihan melihat datuk yang tidak boleh bergerak itu, sebenarnya datuk masih boleh meninggalkan perdu pokok besar itu jika dia mahu berbuat demikian.

Anehnya, kenapa datuk tidak mahu menyelamatkan dirinya yang berada dalam bahaya itu? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Dalam kepayahan itu, saya lihat datuk tidak mengalihkan wajah dan matanya dari merenung wajah Mahyuddin yang bertubuh harimau itu. Mulut datuk kelihatan bergerak-gerak, tentunya datuk membaca sesuatu. Mahyuddin yang sudah menjadi harimau itu terus marah sambil cuba mencakar wajah datuk.

Saya terkejut, Mahyuddin berhenti merapati datuk. Dia terpaku di situ, sinar matanya yang garang tiba-tiba menjadi layu. Walaupun Mahyuddin tidak melangkah, mata datuk tetap merenung wajah Mahyuddin yang kelihatan mula bertukar kepada wajah asalnya. Mahyuddin terpacak di situ dengan nafas yang tercungap-cungap.

Bila datuk merasakan yang dirinya berada dalam keadaan selamat, barulah datuk bergerak dari pangkal pokok besar itu. Datuk terus menghampiri Mahyuddin. Datuk hulurkan tangan sambil berselawat sebanyak tiga kali. Huluran tangan datuk itu disambut oleh Mahyuddin. Masa berjabat tangan itu datuk dan Mahyuddin mengucapkan dua kalimat syahadah dengan jelas.

"Kita orang Islam, tidak ada permusuhan dan dendam sesama orang Islam. Setiap orang Islam adalah bersaudara, bila dua orang Islam bergaduh, tempatnya ialah neraka sama ada yang membunuh atau terbunuh”, dengan mendadak Mahyuddin bersuara, tekanan suaranya agak Iemah kepenatan.

Saya lihat Mahyuddin seperti mengalami sesuatu, dia kelihatan susah bernafas macam orang keIemasan. Mahyuddin terus duduk atas tanah.

"Bertenang Mahyuddin, hilangkan perasaan marah kamu yang masih ada sisanya dalam hati”, kata datuk.

"Ya, aku sedang berusaha kearah itu. Aku sedang berikhtiar untuk mengembalikan seluruh semangat aku seperti sediakala."

"Baguslah, aku tahu orang-orang yang menuntut ilmu silat harimau ke peringkat tinggi akan menjadi manusia harimau bila dilanda marah yang amat sangat atau dirinya terancam.

"Aku kira kesalahan aku boleh kau maafkan”, nada suara datuk cukup lembut, macam jejaka kacak memujuk dara pujaan hati yang tersinggung.

"Aku maafkan”, jawab Mahyuddin pendek. Datuk memanggil saya dan Dumba. Kami pun keluar dari tempat persembunyian. Datuk suruh Dumba duduk sebelah Mahyuddin. Pada mulanya Dumba agak keberatan mematuhi cakap datuk itu. Dumba masih ragu-ragu dengan kejujuran dan keikhlasan hati Mahyuddin. Setelah datuk paksa, barulah Dumba duduk dekat Mahyuddin.
Rasa bimbang segera lari dari hati Dumba bila Mahyuddin menghulurkan tangan padanya sambil membaca selawat. Saya terus merenung Mahyuddin dengan rasa kagum atas kebolehan yang ada pada dirinya. Tidak hairanlah, dia baleh menewaskan tentera Jepun dengan mudah.

"Maafkan saya Mahyuddin, saya nak bertanya sedikit”, datuk renung muka Mahyuddin.

"Sila sahabat."

"Awak bukan orang Bangkahulu sejati?"

"Mana sahabat tau?"

"Biasanya ilmu silat Cilek Babiat diamalkan orang-orang dari daerah Mahyuddin, Sumatera.

"Tepat sekali, saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Hutabargot, kemudian merantau ke Bangkahulu. Di tempat asal saya memelihara dan menunggang harimau bukanlah satu hal yang aneh, sudah jadi perkara biasa”, Mahyuddin menerangkan pada datuk dengan wajah yang berseri-seri.

Saya dan Dumba berpandangan. Datuk mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Beberapa helai rambut tua lekat di jari datuk. Rambut itu berterbangan menuju ke arah selatan. Sinar matahari kian meredup, dan rasa panas di tubuh mula berkurangan.

"Orang-orang Mendailing di tempat asal saya menyebut harimau sebagai Na Betengi yang bermaksud yang kuat perkasa”, tokok Mahyuddin lagi. Datuk anggukkan kepala.

Saya bangun dan mengeliat untuk menghilangkan rasa lenguh. Saya duduk kembali.

"Walaupun harimau dimuliakan, tetapi martabat harimau jauh Iebih rendah, dibandingkan dengan martabat mannsia. Harimau tidak kuat menentang muka manusia, kerana itu harimau menyerang manusia dari belakang”

Saya lihat air muka Mahyuddin berubah, dia terkejut mendengar cakap datuk tadi. Kemudian dia tersenyum tenang.

"Sahabat tahu kunci dan kelemahan ilmu silat saya, sebab itu sahabat menentang muka saya ketika berlawan, saya yakin sahabat mempunyai pengetahuan yang luas tentang asal-usul harimau. Sahabat orang Mendailing?", begitu ghairah Mahyuddin bersuara, dia terus berubah tempat, duduk bertentang muka dengan datuk.

"Saya berasal dari Jambi. Barangkali datuk nenek saya berasal dari tempat yang sama dengan awak”, pendek datuk menjawab.

"Tahu asal-usul harimau?"

"Tahu."

"Apa dia?"

"Harimau makhluk Allah sama seperti manusia. Tetapi manusia itu dijadikan oleh Allah sebaik-baik kejadian, ini kelebihan manusia”, datuk menyapu peluh yang tumbuh di dahi dengan telapak tangan kanannya. Mahyuddin terdiam. Kemudian tanpa diminta oleh sesiapa, datuk terus memperkatakan tentang martabat manusia, dari segi martabatnya manusia terletak di tengah-tengah antara martabat binatang dan martabat malaikat. Dari segi keperluan makanan dan keturunan, manusia adalah dianggap sebagai tumbuhan.

Dari segi bergerak dan merasa mengikut pilihan, manusia dianggap sebagai binatang. Dari segi rupa dan bentuk, manusia seperti gambar yang terukir. Tetapi, keistimewaan manusia ialah mengetahui tentang hakikat benda-benda. Manusia yang menggunakan seluruh anggota dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan beramal, adalah serupa dengan malaikat.

Semua pendapat yang datuk bentang itu berdasarkan pembacaan dari kitab-kitab agama terutama karya Imam­ AI-Ghazali. Tidak ada di antara kami yang ingin bertanya berhubung dengan perkara yang dihuraikan oleh datuk itu. Masing­-masing terpegun, macam kena pukau.

“Tahukah kamu, Saiyidatuna Aisyah telah meriwayatkan Sabda Rasullullah yang bermaksud lebih kurang begini: Manusia itu kedua matanya sebagai petunjuk, kedua telinganya sebagai corong, lidahnya sebagai jurubahasa, kedua tangannya sebagai sayap, kedua kakinya sebagai pembawa utusan dan hatinya sebagai raja. Jika raja itu baik, maka baiklah tentera-tenteranya”, sambung datuk lagi sambil bangun.

Datuk merenung ke arah Mahyuddin dan Dumba yang sedang meraba-raba dagu masing-masing. Datuk mengeliat untuk menghilangkan rasa lenguh.

"Aku harap, jangan ada di antara kamu yang bertanya perbezaan martabat binatang dengan manusia”, tambah datuk.

Kemudian datuk mencadangkan supaya kami pulang ke rumah. Cadangan datuk itu tidak mendapat sebarang bangkangan. Kami pun mula menapak meninggalkan kawasan tersebut. Satu perkara yang amat menyenangkan hati saya dalam perjalanan pulang atas sikap ramah yang diperlihatkan oleh Mahyuddin. Dia terus bercerita tentang manusia dan harimau.

"Di tempat saya, orang-orang yang memelihara harimau ataupun manusia harimau ataupun dikira sebagai manusia yang berilmu tinggi, biasanya tidak banyak cakap, selalu merendah diri”, kata Mahyuddin memulakan kisahnya dibawah sinar matahari yang tidak berapa garang.

Saya berusaha dengan seboleh-bolehnya supaya berada dekatnya untuk mendengar cerita. Akibat terlalu ghairah mahu mendengar cerita dari Mahyuddin saya terlanggarkan batang buruk hingga terjatuh dua tiga kali. Datuk tersenyurn saja melihat telatah saya yang agak lucu itu. Semua pokok-pokok kecil saya langgar tanpa menghitung atau mengira yang diri saya akan sakit dibidas oleh pokok-­pokok yang saya rempuh itu.

Menurut Mahyuddin untuk memelihara harimau atau menjadi manusia harimau seseorang itu mesti bertapa selama berbulan-bulan di dalam hutan.

"Setelah bertapa berbulan-bulan, berjaya mengatasi segala cubaan dan dugaan, seekor harimau akan mendekati si pertapa dan menyerahkan diri. Harimau itu terus ditunggangnya hingga sampai kekampung”, kata Mahyuddin sambil melompat parit kecil di depan.

Datuk tidak pula menyoal mahu bertanya sesuatu ketika Mahyuddin bercerita. Datuk hanya mendengar sambiI melangkah dengan tenang. Dumba pula begitu berminat mendengar cerita Mahyuddin. Kalau boleh dia mahu Mahyuddin terus bercerita tanpa berhenti-henti.

"Susah tak pelihara harirnau?", saya menyoal cara mendadak.

"Memelihara harimau berbeza dengan memelihara kambing atau kerbau, memelihara harimau secara sembunyi-sembunyi. Harimau yang dipelihara hidup bebas dalam hutan. Bila kita perlukan panggil saja, pasti dia tiba."

"Faedahnya yang kita perolehi darinya?"

"Boleh dijadikan kawan, boleh disuruh menangkap ikan, menjaga rumah dan naik atas belakang”, Mahyuddin ketawa sambil menepuk-nepuk bahu saya.

"Perkara yang jelas, setiap pemelihara harimau tidak mempunyai tujuan jahat. Lagi apa yang mahu kau tanya pada aku, hai cucu seorang sahabat”, Mahyuddin berhenti berjalan, dia merenung wajah saya sambil berkata: "Kau mahu jadi manusia harimau?"

"Tak mahu."

Serentak dengan itu saya terdengar suara datuk dan Dumba ketawa panjang. Bagi menghilangkan rasa malu, saya buat-­buat ketawa. Akhirnya kami sampai ke tepi jalanraya. Kami berhenti di situ buat beberapa minit. Sebenarnya, saya masih belum puas hati dengan apa yang saya tanyakan pada Mahyuddin. Masih ada lagi soalan-soalan yang mahu saya hadapkan padanya.

"Cukuplah kita berehat, mari kita melangkah”, datuk mengeluarkan perintah. Dan perintah itu kami patuhi. SambiI berjalan saya terus bertanya dengan Mahyuddin secara perlahan-Iahan. Apakah ilmu memelihara harimau atau silat harimau dapat diwariskan pada orang lain?

"Ada yang boleh, ada yang tidak”, bisik Mahyuddin.

"Macam mana begitu?"

"Mengikut cara ilmu itu diperolehi ketika menuntut. Kalau sudah berjanji mahu mewariskan pada orang lain bolehlah diwariskan, kalau tidak maka tak boleh."

"Begitu."

"Jadi manusia harimau pula macam mana?"

"Lagi susah, kena menuntut."

Tiba-tiba datuk menepuk bahu saya dari belakang. Dengan kasar dia memisahkan saya dengan Mahyuddin. Rupa-rupanya datuk kurang senang dengan sikap saya itu.

"Tamar, apa yang kau tanyakan itu tak berfaedah untuk diri kamu, kamu tidak mustahak mengetahui semuanya itu”, suara datuk keras. Saya terdiam. Mahyuddin tersenyum merenung arah datuk.

"Biar saya terangkan sahabat. Cucu sahabat bertanya tentang manusia harimau. Untuk jadi manusia harimau harus belajar silat harimau sampai ke peringkat paling tinggi. Itu saja yang mahu saya jelaskan padanya”, kata Mahyuddin pada datuk.

"Jangan layan sangat cucu saya tu. Dia tu kadang-kadang melalut tak tentu pasal."

"Tak apa, dia sekadar bertanya”, Mahyuddin segera menarik saya ke depan. Saya dan Mahyuddin berjalan bersaingan.

Datuk berjalan di belakang kami. Saya merasa bertuah kerana datuk tidak menolak permintaan Mahyuddin.

"Di kampung asal saya memang ada orang yang mewariskan harimau perliharaan umpamanya dari ayah ke anak hingga ke cucu-cicitnya. Kerana itu di kawasan kebun penduduk di sana selalu ditemui harimau yang sudah tua berkeliaran dengan keadaan kakinya yang pincang. Itulah harimau yang di wariskan dari ayah ke anak atau cucu”, saya amat puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Mahyuddin itu.

Lepas itu, saya tidak lagi mengajukan apa-apa pertanyaan pada Mahyuddin, malah memisahkan diri darinya. Saya lebih senang berjalan bersaingan dengan Dumba di belakang. Biarlah datuk dengan Mahyuddin di hadapan.

Akhirnya, kami sampai ke tempat asal. Dumba berpisah dengan kami. Dia menuju ke kedainya. Saya, datuk dan Mahyuddin terus menuju ke masjid. Kami menunaikan sembahyang Asar, kemudian baru mengqada sembahyang Zohor yang tertinggal.

"Mari kerumah saya”, bisik Mahyuddin pada datuk setelah menunaikan kerja yang wajib. Datuk terdiam, matanya merenung ke arah saya yang duduk bersandar di dinding masjid.

"Apa halnya? Dah petang begini saya malas nak bergerak ke mana-mana, niat hati tu nak balik saja ke kampung”, balas datuk.

"Ada hal yang mahu saya bincangkan dengan awak?"

"Bincang apa? Awak dengan Dumba sudah elok."

"Ada hal lain, marilah."

Datuk termenung panjang, macam memikirkan sesuatu. Perasaannya berbalah sama sendiri, sama ada dia mahu menunaikan permintaan Mahyuddin atau tidak. Datuk terus melangkah menuju ke pintu masjid dengan diikuti oleh Mahyuddin. Mereka berhenti di situ, merenung ke halaman masjid yang lapang. Mereka tidak bercakap walau sepatah apa pun.

Akhirnya, datuk dan saya serta Mahyuddin berdiri di halaman masjid. Saya terasa lapang kerana angin petang yang bertiup waktu itu memberikan rasa segar pada diri saya.

"Macam mana? Boleh pergi ke rumah saya?"

"Boleh”, balas datuk.

Saya lihat wajah Mahyuddin cukup riang. Dia terus menepuk-nepuk bahu datuk beberapa kali. Kemudian dia jadi kepala jalan membawa kami ke rumahnya.

Bila saya dan datuk masuk ke rumahnya, saya dapati sudah ada hidangan ringan untuk makan petang tersedia di ruang tengah. Siapakah yang menyediakan semuanya itu? Apakah hidangan itu dihantar oleh harimau peliharaan Mahyuddin? Timbul pertanyaan dalam hati saya. Saya terus duduk bersila menghadapi hidangan yang tersedia.

"Minumlah”, pelawa Mahyuddin. Datuk anggukkan kepala tanpa menyentuh cawan yang diisi dengan air teh panas. Bila datuk enggan meminum teh yang tersedia, Mahyuddin terus bertindak dengan meminumnya terlebih dahulu dan Mahyuddin yakin dengan perbuatannya itu akan menyakinkan hati datuk bahawa air teh yang tersedia tidak mengandungi racun.

"Kita tahu air teh ini bersih. Jangan ragu dengan kejujuran saya, tapi saya tidak berapa gemar minum teh sebelah petang”, kata datuk.

Mahyuddin tersenyum sambil menghulurkan cawan teh kepada saya, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, air teh itu terus saya hirup.

No comments:

Post a Comment