Thursday, December 10, 2015

035. HANTU BERJALAN DENGAN TANGAN



TOK AWANG NGAH - BERKELAHI DENGAN SYAITAN

035. HANTU BERJALAN DENGAN TANGAN

Bunyi burung birik-birik lalu di tengah malam terasa mengerunkan juga. Kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madarasah bernama Katib cepat-cepat  tidur mengerengkan badan, kerana emaknya berpesan apabila burung birik-birik berbunyi di tengah malam hendak lah tidur mengereng. Katib memang tidur di madarasah, tapi tiap-tiap pagi selepas subuh dia akan balik untuk bersekolah di sebelah paginya pula.
Kami yang bersekolah hanya belajar di sebelah petang saja di madarasah TOK AJI. Sebelah petang pula belajar membaca Quran. Katib ini memang disayangi oleh TOK AJI kerana suaranya bagus membaca Quran. Semasa TOK AJI menganjurkan pertandingan di kalangan pelajar madarasah, Katib berjaya mendapat markah yang tinggi  membaca Quran.
Bagaimanapun dia tetap memegang teguh pesanan emaknya supaya tidur mengereng bila burung birik-birik berbunyi di tengah malam.
“Emak aku kata burung birik-birik ialah anjing pemburu hantu tinggi.” Jelasnya  apabila saya tanyakan mengapa dia mengerengkan badan.
“Kalau kau mengereng dia tidak ganggu kau?” soal saya tidak mengerti mengapa dia mesti tidur mengereng ketika ini.
“Ia dia sangka kita ni anak cucunya” ujar Katib.
“Jadi, kau suka jadi anak cucu hantu tinggi?” tanya saya lagi.
“Tidaklah “ sahutnya lemah macam kecewa dengan soalan saya itu “Tetapi, itu hanya untuk menjaga diri supaya tidak diganggunya” dia menjelaskan lagi seperti yang diceritakan oleh emaknya.
Tetapi TOK AJI pernah mengingatkan tidak ada jenis syaitan yang boleh menandingi ayat-ayat Quran. Oleh itu tidak ada sebab mengapa mesti mengerengkan badan sewaktu tidur apabila terdengar birik-birik terbang melintasi bumbung rumah. Sebab itu saya tidak pernah mengerengkan badan, kalau terdengar bunyi burung birik-birik. Kadangkala Katib cepat-cepat menggerakkan badan saya menyuruh tidur mengereng, namun saya pura-pura tidak mendengarnya.
Emak Katib juga percaya  Mak Endut yang meninggal dunia sebelum itu adalah diganggu hantu tinggi, mungkin kerana dia tidak tidur mengereng sewaktu bunyi burung birik-birik melintas. Ketika ini hantu tinggi terbang bersama burung-burung tersebut. Kalau dilihatnya ada orang tidak tidur mengereng maka segera diganggunya kerana orang itu bukan anak cucunya.
Sekira orang berkenaan anak cucunya, hantu tinggi akan mengelakkan diri dari merempuh anak cucunya sendiri.
Tanda hantu tinggi itu lalu selain dari burung birik-birik berbunyi ialah, kepala ribut. Di dalam kepala ribut itu dia terbang bersama. Tetapi kepala ribut itu akan beralih menuju ke arah lain, kalau didapati anak cucunya ada di depan. Tanda bagi anak cucunya ialah dengan menanam rumpun lengkuas di tepi halaman. Kepala ribut itu tidak akan merempuh lalu kalau rumah berkenaan ada menanam rumpun lengkuas.
Katib percaya betul dengan pesanan emaknya ini. Dia juga tetap percaya bahawa kematian Mak Endut berpunca dari hantu tinggi. Mak Endut sudah terkena langkahannya sampai sakit perut. Penyakit itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas itu mayatnya tiba-tiba saja duduk, kerana diangkat oleh hantu tinggi tadi. Sekiranya TOK AJI tidak ada bertahan di situ dengan doanya sudah tentu mayat Mak Endut dibawa lari oleh hantu tinggi.
Selepas itu semasa mahu dimandikan, terdapat dapat beratus-ratus ekor lipan di bawah mayatnya. Lipan-lipan itu adalah binatang permainan hantu tinggi yang mahukan mayat Mak Endut. Sekali lagi TOK AJI dapat mengalahkan hantu tinggi itu dengan doa seorang ulama. Memang Katib percaya benar dengan cerita emaknya itu dengan kematian Mak Endut.
Bagaimana pun saya tidak pernah bertanyakan pada TOK AJI mengenai kebenaran cerita emak Katib itu. Saya takut Katib akan tersinggung pula sekiranya saya bertanyakan pada TOK AJI.
Tetapi TOK AJI memang pernah mengingatkan bahawa syaitan ini ada berbagai-bagai. Dia juga seperti makhluk manusia mempunyai kaum masing-masing yang telah ditentukan. Oleh itu apa juga makhluk halus yang menganggu manusia adalah terdiri dari golongan syaitan. Sementara manusia harus berwaspada akan gangguan dari syaitan ini.
Selepas kematian Mak Endut, Kak Jidun tidak lagi tinggal bersama abangnya Suhur, atau kakaknya Indun. Dia tinggal bersama nenek saya. Disebabkan dia masih anak dara berumur 16 tahun, saudara maranya merasa lebih baik tinggal di rumah nenek saya saja. Di samping itu dia akan terus dapat belajar agama di madarasah TOK AJI.
Kadangkala Kak Jidah menangis bila Katib menceritakan hantu tinggi menganggu  mayat Mak Endut. Itulah menyebabkan mayat itu bangun dengan sendirinya, kemudian dipenuhi lipan beratus-ratus ekor di bawah tubuhnya. Katib juga memberitahu Kak Jidah mengenai burung birik-birik selalu berbunyi melintasi madarasah apabila jauh malam.
“Kita mesti tanam lengkuas di depan pintu madarasah ni Kak Jidah” kata Katib macam mengingatkan.
Tetapi Kak Jidah tidak mahu menanamnya. Terpaksalah Katib mengambil benih lengkuas dari rumahnya. Dia sendiri menanam rumpun lengkuas di depan madarasah. TOK AJI pula tidak marah dengan perbuatan Katib menanam rumpun lengkuas itu, tetapi dia mengingatkan, “Lengkuas itu tak boleh menolong kau Katib. Yang memberi pertolongan hanya Allah”.
Walaupun rumpun lengkuas mula tumbuh segar di depan halaman madarasah, tetapi bunyi burung birik-birik itu kerapkali juga terdengar di tengah malam. Katib terpaksa tidur mengereng kerana takutkan gangguan hantu tinggi. Kadangkala saya tersenyum sendirian mengenangkan Katib bersikap demikian.
“Kak Jidah tahu asal usul hantu tinggi ni?” satu petang Katib bercerita dengan saya dan Kak Jidah.
“Ah, kau budak-budak mana kau tahu” sahut Jidah tersenyum mengusik.
“Emak aku yang cerita” dia memberitahu bersungguh-sungguh.
“Apa kata mak kau?“ tanya saya pula tersenyum  mengerling ke arahnya.
Saya tidaklah memperkecilkan cerita emak Katib itu, tetapi sengaja mahu mengusik Katib yang selalu percayakan dengan cerita tersebut. Bagaimanapun bukanlah mustahil pula cerita yang dikatakannya itu.
Tidak lama dulu bapa mertua saya kecemasan kerana ribut melanda kampungnya sehingga rumahnya juga ikut bergoyang- goyang dipukul angin. Walaupun rumahnya tidaklah roboh dalam angin kencang yang tiba-tiba melanda, tetapi sempat juga dia azan sekuat-kuat hatinya dalam masa ribut kencang itu.
Tiga kali dia azan, serentak saja ribut reda. Hujan pun turun mencurah-curah dengan kilat memancar-mancar. Selepas hujan lebat dan ribut berhenti didapatinya dua tiga buah rumah jiran yang berhampiran atapnya diterbangkan ribut, dan dindingnya roboh. Manakala rumah bapa mertua saya tidak pun rosak apa-apa.
Memang setengah orang mengakui bahawa syaitan ada bersama-sama di dalam ribut itu. Mungkin apa yang diceritakan oleh Katib di masa  kecilnya dulu memang dimaksudkannya dengan syaitan yang mengikuti ribut itulah. Kak Jidah sendiri mengakui emaknya mula-mula diserang sakit perut  ialah selepas ribut kencang.
Semasa ribut tengah kencang aruah Mak Endut masih mencangkul  rumput di kebun pisangnya. Kak Jidah beberap kali menyuruh dia balik sementara ribut berhenti. Tetapi Mak Endut berdegil, terus juga mencangkul rumput. Ketika ribut ini hujan belumlah turun, sebab itulah dia teruskan kerja mencangkul rumput kerana hari tidak hujan.
Setelah ribut reda, hujan tidak pula turun. Kononnya hujan itu sudah dibawa angin jauh dari situ. Mungkin turun di kawasan lain. Selepas inilah Mak Endut merasa senak perut. Mula-mulanya dia bertahan juga, tetapi akhirnya dia tidak berdaya lagi menahan senak perutnya bagaikan mahu membuang air besar. Sebaliknya apabila dia ke sungai untuk membuang air besar, tidak apa-apa pun yang keluar.
Senak perutnya semakin hari semakin menyesakkan nafas. Lebih kurang empat hari dia mengidap sakit perut itu, Mak Endut pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Aruah mak degil sangat, dia bekerja juga di tengah-tengah ribut tu” keluh Kak Jidah mengenangkan kedegilan emaknya, kerana dia sajalah yang tahu akan mula kejadian yang menimpa emaknya. Kak Jidah tinggal berdua saja dengan Mak Endut dirumahnya kerana Abang Suhur dan Kak Indun masing-masing sudah berkahwin. Mereka tinggal bersama-sama keluarga masing-masing.
“Bukan ribut tu Kak Jidah, tetapi hantu tinggi” tegas Katib bila mendengar penjelasan Kak Jidah itu.
Kak Jidah menunduk. Dia tidak membantah kata-kata Katib. Apa lagi kami ketika ini masih kanak-kanak, tidaklah tahu berfikir panjang. Apa saja yang dicakapkan oleh orang tua, cepat saja  kami terima.
“Kak Jidah tak nampak hantu tinggi dalam ribut tu” tanya Katib pula.
Kak Jidah mengelengkan kepala. Sebenarnya hatinya masih sedih dengan kematian emaknya itu.
“Emak kata, awan hitam yang kita kata mengandungi hujan itulah sebenarnya hantu tinggi” beritahu Katib selanjutnya.
Katib juga menceritakan hantu tinggi itu berasal dari seorang pemburu terkena sumpahan di hutan kerana mencari seekor rusa putih yang diidamkan oleh isterinya yang mengandung. Dia telah membunuh beratus-ratus ekor rusa, tetapi tidak seekor pun rusa putih. Sebab itu lah dia telah disumpah menjadi hantu tinggi, manakala anjing pemburunya menjadi burung birik-birik.
Disebabkan dia berjalan mendongak ke langit selepas kena sumpahan itu, maka tidaklah dilihatnya ke bawah. Apabila dia melanggar mangsanya, maka mangsanya akan muntahkan lumut. Hanya dia memberi petua kepada anaknya yang mencarinya selepas 20 tahun berlalu, bakarlah lada kering dan garam apabila ribut kencang, supaya dia tercium bagi mengetahui itulah rumah anak cucunya. Tanamlah lengkuas didepan rumah supaya dia dapat membaunya. Hanya dengan cara itu sajalah dia dapat membezakan anak cucunya, supaya tidak menjadi mangsanya.
Hantu tinggi itu terpaksa memusnahkan manusia, kerana itulah sumpahannya setelah dia membunuh beratus-ratus ekor rusa yang tidak berdosa. Seperti mana dia membunuh rusa seekor demi seekor kemudian ditinggalkan untuk mencari rusa putih, maka sumpahannya ialah mesti membunuh manusia satu demi satu, sehingga semua rusa yang dibunuhnya hidup semula. Selagi rusa-rusa itu tidak boleh dihidupkan selagi itulah dia mesti memusnahkan manusia.
Bagaimanapun ia masih berupaya mengingatkan anak cucunya supaya terhindar dari sumpahannya itu.
“Macam itulah yang emak aku beritahu pada aku, Kak Jidah” Katib menerangkan kepada Kak Jidah mengenai hantu tinggi yang telah membunuh Mak Endut.
Kak Jidah pula bukannya orang yang suka bersoal jawab, dia menerima saja penerangan Katib. Kesedihan hatinya terhibur juga bila kami duduk berbual-bual dengannya. Malah TOK AJI selalu mengingatkan dia supaya sentiasa berdoa kepada Allah, supaya aruah ibunya termasuk ke dalam golongan roh-roh yang diredai Allah.
“Lepas sembahyang adalah baik berdoa” TOK AJI mengingatkan dia. “Selepas sesaorang itu mati, maka putuslah amalannya. Hanya tiga perkara saja yang diperlukan iaitu amal jariahnya di dunia, amal ibadatnya di dunia, dan doa anak-anak yang soleh.” Kata TOK AJI seterusnya.
Kak Jidah mentaati apa saja yang disuruh oleh TOK AJI. Tiap-tiap tengah malam dia bangun sembahyang tahjud, memohon Allah mencucuri rahmat keatas rohnya emaknya.
Kadangkala saya terikut-ikut jua bangun tengah malam, kerana TOK AJI sendiri kerap kali bangun diwaktu tengah malam menunaikan solat sunat tahjud itu. Walaupun TOK AJI tidaklah menyuruh saya melakukannya, tetapi apabila tidak bersekolah hujung minggu iaitu malam Jumaat dan malam Sabtu saya suka melakukannya kerana mengikut TOK AJI.
Nampaknya Kak Jidah melakukan setiap malam sejak selepas kematian emaknya. Hingga hampir 2 bulan dia mengerjakan solat sunat tahajud itu tidak berhenti-henti.
Saya pun naik heran juga kerana Kak Jidah melakukannya. Pagi-pagi dia sudah bangun pula untuk menunaikan sembahyang subuh. Kemudian membantu nenek saya ke sawah. Dia tidak kelihatan letih ke sawah walaupun tengah malam bangun menunaikan sembahyang tahjud itu.
Apakah yang disuruh oleh TOK AJI saya tidak tahu. Mungkin sengaja TOK AJI melatihnya supaya lebih kuat bertawakal, kerana pada waktu tengah malam memang tidak ramai orang yang rajin untuk bangun. Apa lagi terasa sejuk air telaga untuk mengambil wuduk, walaupun sudah ditampung di dalam tempayan di bilik air.
Dalam masa inilah saya ingat Abang Mat Nitar yang tinggal berhampiran dengan rumah aruah Mak Endut jatuh sakit. Emaknya Mak Relah telah memanggil TOK AJI untuk menengok-nengokkan Mat Nitar yang sakit macam hilang akal. Mat Nitar baru berumur 26 tahun, masih belum berkahwin. Dia memang pernah masuk meminang Kak Jidah, tetapi keluarga Mak Endut menolaknya kerana Kak Jidah masih mentah lagi. Walaupun Mat Nitar sanggup menunggu dua tiga tahun, tetapi Mak Endut tetap menolak.
Dia merasakan Mat Nitar itu sudah macam anaknya sendiri. Tidak tergamak pula memilih Mat Nitar jadi menantu, apatah lagi Kak Jidah sendiri tidak mahu. Kak Jidah merasakan Mat Nitar sudah macam abangnya sendiri.
 TOK AJI tidak menolak jika dipanggil. Seperti biasa dia mendoakan air disuruh minum dan mandikan. Semasa TOK AJI datang melihatnya Mat Nitar sudah terlalu teruk. Dia bertelanjang bulat dengan tidak memakai apa-apa pakaian. Dia terjelepuk di hujung serambi sambil memainkan kemaluannya. Sekali sekala dia tersengih-sengih, tetapi tidak dapat bersuara apa-apa.
“Apa sakitnya ni Bang Aji?” tanya Mak Relah kebingungan.
“Tak tau lah aku. Tak pernah aku temui penyakit macam ni” jelas TOK AJI ikut sama keheranan.
“Dah sebulan dia macam ni. Tak dapat bercakap cuma air liur saja meleleh” beritahu Mak Relah kesedihan. “Nak kata sakit tak sakit, nak kata tak sakit itulah rupanya....” keluhnya memerhatikan Mat Nitar tersengih-sengih memainkan kemaluannya dengan tidak berasa segan dan silu.
TOK AJI mengeleng-gelengkan kepala. Hatinya sedih juga melihat keadaan Mat Nitar demikian.
“Kau tau apa yang dituntutnya selama ini?” tanya TOK AJI kerana sudah menduga mesti ada kesalahan yang dibuat oleh Mat Nitar. Boleh jadi juga dia sudah terlanggar pantang ilmu yang dituntutnya.
“Maksudnya, tahu kah kau samada dia pernah menuntut apa-apa  ilmu kebatinan?” kata TOK AJI seterusnya.
“Tak tau pulak aku kata Mak Relah lemah. “Tetapi, ada juga aku dengar dia nak jumpa Batin Jeli di hulu sana” katanya menahan kesedihan.
Disebabkan Mak Relah menaruh harapan kepada TOK AJI dapat memulihkan anaknya Mat Nitar, maka TOK AJI mendoakan.
Tiga hari TOK AJI mengulangi Mat Nitar, barulah datang adik Batin Jeli bernama Kapai mencari Mak Relah. Ketakutan saja rupanya apabila naik ke rumah Mak Relah, sebaik saja melihat orang ramai melihat Mat Nitar sakit.
“Dah lama ke Mat Nitar sakit ni Mak Relah?” tanya Kapai bercampur bimbang.
“Lebih sebulan ........” jelas Mak Relah.
“Tak tahu pula aku dia sakit” keluh Kapai bertambah gelisah. “Siapa mengubatkan dia?” dia memerhati Mak Relah.
“Abang Haji ni” beritahu Mak Relah menunjuk ke arah TOK AJI.
Tiba-tiba saja Kapai memeluk lutut TOK AJI, dia menangis sambil merayu pada TOK AJI supaya tidak membalas dendam pada abangnya Batin Jeli.
“Abang Aji tolonglah. Minta maaflah saya Abang Aji” dia merintih-rintih bagaikan menyimpan harapan mengunung.
“Abang Jeli dah jadi gila sekarang ni. Bukan nak susah-susahkan Mak Endut dulu, dia hanya nak tolong Mat Nitar. Kalau Mat Nitar tak datang minta tolong mampus Abang Jeli tak buat” ujarnya menangis tersedu-sedu mengharapkan belas kasihan.
“Percayalah Kapai, aku tak buat tu pada Jeli” kata TOK AJI memujuknya.
Dari pengakuan Kapai itu, terbukalah cerita mengenai kejadian yang menimpa kepada Mak Endut disebabkan menolak pinangan terhadap Kak Jidah.
Mat Nitar telah menemui Batin Jeli. Pada mulanya Batin Jeli enggan melakukan kekejaman pada Mak Endut, sebaliknya dia bersetuju untuk memberi Mat Nitar minyak cenuai bagi memikat Kak Jidah. Tetapi Mat Nitar tidak mahu minyak cenuai. Dia mengancam akan membunuh Batin Jeli kalau tidak mahu mengikut kemahuannya menganiaya Mak Endut secara kebatinan.
Mahu tidak mahu Batin Jeli terpaksa juga mengikut kemahuan Mat Nitar. Dia menggunakan katak yang diikat perut sampai kembung bagi dipuja secara kebatinannya, hingga menyebabkan Mak Endut senak perut. Kemudian dia memuja upih yang dibentuk seperti lipan diletakkan di bawah bangkai katak. Apabila dipujanya itulah kejadian yang dilihat lipan dibawah mayat Mak Endut.
Dia juga memainkan bangkai katak itu secara kebatinannya menyebabkan mayat Mak Endut tiba-tiba saja bangun dari pembaringan. Semua itu diceritakan semula oleh Kapai. Dia berharap TOK AJI tidak menyiksa abangnya Batin Jeli.
“Tak pernah aku tengok ilmu macam Abang Aji ni” Kapai terus merintih-rintih.
“Kapai..... aku tak buat apa-apa pada Jeli. Aku juga tak buat apa-apa pada Mat Nitar. Tapi kau tengok sendiri keadaan Mat Nitar ni. Aku pun berusaha hendak menolong dia, tapi aku tak upaya, ini kuasa Allah” jelas TOK AJI dengan harapan Kapai memahami kedudukannya sebenar.
Orang-orang kampung menerangkan kepada Kapai, bahawa mereka juga tidak tahu peristiwa sebenarnya. Kalaulah Kapai tidak memberitahu, mereka juga tidak tahu tentang kejadian yang menimpa Mak Endut.
“Patutlah semasa Kak Endut meninggal, tak ada Mat Nitar menziarahinya” keluh Mak Relah penuh kesal.
Masa ini jugalah anak saudara Kapai datang memberitahu akan kematian Batin Jeli jatuh di jeram batu, kerana tiba-tiba saja dia menjerit-jerit berlari ke jeram batu. Dia jatuh terselit di celah batu dengan kepalanya ke bawah dan kakinya ke atas. Berita kematian Batin Jeli diterima oleh orang-orang kampung dengan rasa sedih dan simpati.
Kira-kira dua minggu selepas kematian Batin Jeli, Mat Nitar juga meninggal dunia. TOK AJI sendiri tidak berupaya mengatasi kudrat dan iradat illahi yang sudah menetapkan kematiannya demikian. Dia sudah berusaha untuk memulihkannya, tetapi kehendak Allah siapa pun tidak dapat menahannya.
Tidak lama selepas kematian Mat Nitar heboh lagi di kampung itu apabila orang bertemu lembaga orang merayau-rayau di dalam kampung dengan kepalanya kebawah kakinya ke atas. Lembaga itu berjalan dengan tangan saja. Dia akan cepat-cepat menghilang apabila terserempak orang. Kadangkala dia berjalan melompat-lompat seperti katak.
“Aku nampak betul-betul hantu berjalan dengan tangan, kepalanya ke bawah kaki ke atas” Mail Lembam memberitahu tercungap-cungap menerpa ke madarasah.
“Merepeklah Pak Mail ni” sahut Katib  terkejut juga melihat Mail Lembam tergopoh gapah. Dia bertanyakan TOK AJI dari kami.
“Mana Atuk kau?” Mail Lembam bertanya kepada saya.
“Atuk ada di rumahnya “ jelas saya perlahan. “Lepas Isya atuk baliklah kerumah, boleh jadi dah tidur dia” kata saya selanjutnya.
Mail Lembam terus melompat menuju ke rumah TOK AJI. Saya hanya melihat saja dari pintu madarasah. Seketika saja rumah TOK AJI terang benderang dipasang lampu. Saya terdengar suara Mail Lembam bukan main becok tidak tentu biji butir. Tetapi saya percaya dia memberitahu mengenai hantu berjalan dengan itu.
Tidak lama kemudian nenek datang ke madarasah. Dia menyuruh saya, Katib dan dua tiga orang lagi kawan-kawan supaya tidur di rumahnya.
“Tak payah lah tidur di madarasah tu” kata nenek macam menyimpan rasa bimbang.
Kami semua masih kanak-kanak. Bila nenek menyuruh berkumpul di rumahnya, kami semua pun tidak tangguh menurutnya saja. Kami pun takut juga mahu tidur di madarasah setelah mendengar cerita Mail Lembam. Hantu berjalan dengan tangan itu sudah kerap kali ditemui. Malah setiap malam dia merayau-rayau didalam kampung sambil mengetuk-ngetuk dinding rumah orang.
Setakat itu rumah TOK AJI tidak pernah diganggunya. Sudah banyak rumah orang yang diganggunya sambil mengetuk-mengetuk dinding. Rumah Mak Relah yang selalu diganggunya, hinggakan Mak Relah tidak berani tidur di rumahnya. Sebab itu dia lari tidur di rumah Mail Lembam.
“Dimana kau jumpa tadi” tanya TOK AJI memerhatikan Mail Lembam ketakutan.
“Di sebelah baruh “ beritahu Mail Lembam.
“Emmm, dia bukannya nak menganggu. Dia nak minta tolong agaknya” ujar TOK AJI tenang.
“Tapi dia mengetuk-ngetuk dinding rumah” ujar Mail Lembam gementar.
Dia mengaku telah terserempak dengan hantu berjalan dengan tangan itu. Apabila dinding rumahnya diketuk, dia pun segera membuka tingkap. Dia ternampak lembaga hitam berjalan dengan tangan, kepalanya ke bawah manakala kakinya ke atas. Sekali sekala dia melompat-lompat seperti katak. Kemudian berjalan semula dengan tangannya.
“Agaknya dia mencari Relah....” kata TOK AJI terangguk-angguk. “Dia nak minta tolong pada Relah tu” ujarnya macam menduga bahawa hantu itu adalah jelmaan dari Mat Nitar yang sudah mati.
Mail Lembam terdiam. Dia hanya memberitahu TOK AJI untuk menghindarkan gangguan berkenaan.
Dari kisah itu saya baru dapat memahami bahawa Kak Jidah memang berdoa meminta mereka yang menganiaya emaknya ditunjukkan kepadanya. Jelaslah Mat Nitar itu menerima pembalasan yang tidak bertangguh dari Allah. Kak Jidah yakin emaknya teraniaya. Sebab itulah dia berdoa denganp enuh khusuk setiap kali melaku solat sunat tahajud di tengah malam, memohon Allah perkenankan doanya, agar dia melihat sendiri siapakah yang menganiaya emaknya.
Kapai adik Batin Jeli secara jujur telah menerangkan kejadian sebenarnya. Bagaimanapun Kak Jidah memberitahu saya dia menyesal juga, kerana doanya juga telah menyeksa sesama makhluk. Tetapi apa boleh buat, semuanya telah berlaku.
Malam itu TOK AJI ke rumah Mail Lembam menemui Mak Relah. Dia menerangkan kepada Mak Relah mungkin jelmaan hantu yang berjalan dengan tangan itu meminta tolong darinya. Sebab itulah kemana saja Mak Relah pergi menumpang tidur dia akan menjejaknya.
Mak Relah pun setuju untuk tinggal sementara di rumah TOK AJI. Setiap kali maghrib dia bersama TOK AJI sama-sama berdoa agar roh Mat Nitar dicucuri rahmat. Mereka sama-sama membaca Yassin kiffiat 41 kali. Setelah tiga malam berturut-turut Mak Relah mengikuti TOK AJI melakukan Yassin kiffiat 41 kali bersama-sama Kak Jidah, saya dan Katib dan rakan-rakan yang sama tidur di madarasah, esoknya kami bersama-sama pula ke kubur Mat Nitar, saya dapati kuburnya ditimbuni oleh bangkai katak beratus-ratus ekor.

TAMAT

No comments:

Post a Comment