Thursday, December 10, 2015

034. LIPAN BARA DI BAWAH MAYAT



TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN

034. LIPAN BARA DI BAWAH MAYAT

Semasa hujan turun dengan lebatnya waktu asar petang itu, Tok Aji baru selesai menunaikan solat. Saya juga ikut berjemaah dengan dua tiga orang kawan, kerana Tok Aji memang menunaikan solatnya di madarasah. Disebabkan hujan turun dengan lebat, Tok Aji tidak terus balik ke rumahnya yang dipisahkan oleh halaman saja dari madarasah tersebut.
Tok Aji berbaring saja di tengah madarasah sambil melanggung tangan ke kepala. Ketika ini saya sudah berumur 13 tahun, memang suka benar berdamping dengan Tok Aji. Dia pula akan bercerita tentang pengalamannya semasa di Sumatera iaitu kampung halamannya. Bagaimanapun sehingga akhir hayatnya Tok Aji tidak pernah lagi balik ke Sumatera.
Dia menceritakan kepada saya mengenai gurunya dari Jawa, Kiyai Wuruk yang pernah dilihat memberi ceramah agama di beberapa tempat dalam satu masa. Pada mulanya Tok Aji memang merasa heran, kerana tatkala Kiyai Wuruk memberi khutbah Jumaat di masjid di kampungnya, ada orang memberitahu Kiyai Wuruk juga memberi khutbah Jumaat di kampung lain pada hari tersebut. Anehnya, murid-murid Kiyai Wuruk juga mendakwa mendengar khutbah Jumaat dari tok guru di Semarang, Jawa.
Tetapi ketika Kiyai Wuruk memberi ceramah agama di madarasah ayah Tok Aji di Sumatera, memang Tok Aji sempat belajar dengannya. Selepas mengajar nahu Arab, Kiyai Wuruk meminta izin dari ayah Tok Aji untuk berehat sebentar di bilik yang sengaja disediakan oleh ayah Tok Aji bagi kemudahan Kiyai Wuruk setiap kali berkunjung ke Sumatera.
Tidak lama kemudian beberapa orang murid ayah Tok Aji , datang memanggil Kiyai Wuruk kerana ada orang sakit. Dengan cepat Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk mengikuti orang yang memanggil tadi. Dia melintas betul-betul di hadapan Tok Aji. Selepas Kiyai Wuruk pergi mengubati orang yang sakit, Tok Aji masuk ke bilik Kiyai Wuruk dengan tidak meminta izin dari ayahnya. Alangkah terkejutnya dia, kerana ketika ini Kiyai Wuruk masih tidur berehat.
Disebabkan terperanjat Tok Aji terus keluar dengan tidak memberitahu ayahnya apa yang dilihatnya di bilik Kiyai Wuruk. Hanya beberapa minit selepas itu Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk menyambung semula pelajaran yang diajarnya mula-mula tadi.
Jadi, siapakah yang pergi bersama orang-orang yangmenjemputnya tadi? Apabila Tok Aji bertanya dia hanya tersenyum menjawab. “Iya Tok Kiyai baru balik dari sana.”
“Bukankah Tok Kiyai sedang tidur?”
“Iya Tok Kiyai sedang tidur.” Sahut Kiyai Wuruk mengangguk-angguk kepala.
Tetapi Kiyai Wuruk yang kelihatan pergi tadi, tidak balik lagi selepas Kiyai Wuruk bangun dari tidurnya. Bagaimanapun orang-orang kampung yang datang menjemputnya apabila datang semula, memberitahu memang Kiyai Wuruk ada bersama mereka mengubati orang yang sakit. Dia segera balik sebaik saja orang yang sakit dapat dipulihkan.
Setelah Tok Aji memahami keadaan yang sebenarnya, dia tidaklah merasa heran lagi. Tidak heranlah ketika dia meninggalkan rumah, dan dikejar oleh ayah saya dengan basikal dalam masa beberapa saat saja dia sudah berada di Semenyih di rumah anaknya yang terletak berpuluh-puluh batu jauhnya dari kampung saya. Tok Aji memang mempunyai ramai anak  kerana dia berkahwin di mana saja dia merantau.
Malah ada seorang kawan ayah saya bernama Haji Usuh ketika bersembahyang Jumaat di Masjidil-Haram dalam masa dia menunaikan haji, dia bertemu dengan Tok Aji sama-sama menunaikan fardu Jumaat di sana. Pada hal tahun tersebut Tok Aji tidak pun pergi menunaikan haji. Dia berada di kampung kerana sedang uzur mengidap penyakit lelah.
Cerita mengenai Kiyai Wuruk ini pada saya ketika itu memang aneh. Puas saya bertanyakan pada Tok Aji apakah rahsia sebenarnya Kiyai Wuruk boleh dilihat di beberapa tempat dalam satu ketika. Pada masa itu memang Tok Aji tidak mahu menceritakan, sebaliknya dia menyuruh saya sendiri mencari rahsia tersebut.
Sebab itu apabila saya melihat Tok Aji melelapkan mata di tengah madarasah, saya sengaja mengusiknya supaya tidak terlelap. Saya tahu Tok Aji memang tidak akan memarahi saya, kerana di antara cucu-cucunya saya lebih disayanginya. Kadangkala kalau saya balik ke rumah ayah saya, lambat saja balik ke madarasah, dia akan menyuruh Lasah anak Mak Long saya menjemput.
Ayah dan emak tidak berkata apa-apa, kalau Tok Aji mahukan saya balik semula ke madarasah.
“Tok, tok tidur ke ? “ tanya saya menepuk-nepuk lututnya.
“Tidak, atuk nak berbaring aje” sahutnya perlahan tetapi tidak membuka mata.
“His, atuk bohong, atuk tidur bersandar” saya sengaja mengusiknya.
Dia tersengih-sengih saja, tetapi tidak mengangkat tangannya yang terlanggung di kepala. Malah dia tidak pula bangun dari berbaring. Memang Tok Aji kelihatan seperti orang tidur kerana dia bersendar (berdengkur dengan perlahan). Bagaimana pun dia masih boleh berbual dengan saya.
Agaknya beginilah dengan Pak Tua Mahat yang boleh berjalan di hutan sekali pun sedang tidur bersendar. Pak Tua Mahat iaitu abang emak saya memang pernah juga berguru dengan Tok Aji ini, iaitu setelah emak saya berkahwin dengan ayah saya. Sebelumnya Pak Tua Mahat tidak pernah mengenali Tok Aji, kerana mereka duduk berlainan kampung yang jaraknya lebih 5 batu. Tok Aji ini ialah ayah kepada ayah saya , jadi dengan perkahwinan antara emak dan ayah saya itu, membolehkan Pak Tua Mahat mengenali Tok Aji lebih rapat lagi.
Setelah saya dewasa memang ada juga sekali dua saya mengikuti Pak Tua Mahat masuk ke hutan kerana berburu. Memang saya tahu dia boleh tidur sewaktu berjalan dengan tidak pernas tersesat pun. Tetapi sekiranya kakinya tersepak akar kayu dia akan cepat-cepat tersedar, tetapi kemudian dia akan tidur semula.Bagaimanapun setiap kali dia ke hutan kalau bersama saya, nasibnya agakmalangkerana tidak pernah menemi apa-apa pun binatang buruan.
Oleh itu kalau dia ke hutan, sengaja dia tidak memberitahu saya. Dia akan pergi bersama-sama kawannya saja. Memang benar, apabila saya tidak ikut, dia pasti dapat binatang – binatang buruan samada pelanduk, kijang atau ayam denak. Bagaimanapun dia akan memberikan juga bahagian saya, sekali pun saya tidak ikut sama.
“Aku tahu kau ‘pakai pelenggang’ sebab itu aku tak mahu bawa kau ke hutan” kata Pak Tua Mahat kalau saya merungut kerana tidak diajak pergi sama.
“Kalau kau ikut, jangankan pelanduk malah katak puru pun aku tak akan jumpa” ujarnya berterus terang tidak mahu mengajak saya.
“Saya tak pakai apa-apa Pak Tua” jelas saya masih berharap akan dibawanya sama pergi berburu.
“Ah, sudah ! Aku ni bukankah Pak Tua kau, aku lebih dulu makan garam” dia mengejek saya.
Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa dengan maksudnya ‘pelenggang’ itu, kerana saya tidak pernah belajar mengenalinya. Tetapi memang Tok Aji ada menyuruh saya membacakan Surah Al-Buruuj ayat 20, 21 dan 22. Kemudian disambung dengan : sum mum buk mum um fahum layarji’un, laya’kilun, layatakkalamun, layubsirun.
Tok Aji menyuruh bacakan apabila masuk ke hutan itu saja. Tetapi kadangkala kalau ada kawan-kawan mengajak ke hutan saya tidak bacakan doa berkenaan, nasib saya tetap malang kerana kawan saya akan merungut tidak bertemu seekorpn binatang buruan.
Dalam masa saya mengusik-ngusik Tok Aji yang kelihatan tidur nyenyak, tetapi sebenarnya boleh mendengar apa yang kita cakapkan, Mail Lembam datang mempayungkan daun pisang memanggil Tok Aji. Cepat-cepat saya ke pintu madarasah bertanya kepada Mail maksud kedatangannya. Dia kelihatan basah juga sekali pun menggunakan daun pisang sebagai payung.
“Ada apa Pak Mail ?” tanya saya berdiri di muka pntu madarasah.
“Mana atuk kau ?” dia pula bertanya sambil terketar-ketar menahan sejuk.
“Dia tidur di dalam” beritahu saya.,
“Tolong panggilkan atuk kau katakan Mat Endut dah nazak” katanya menyuruh saya segera membangunkan Tok Aji.
Saya mengangguk. Mak Endut tu pangkat emak saudara juga kepada saya dan kakak kepada Mail Lembam. Belum pun sempat saya berpaling untuk memanggil Tok Aji, dia sudah terjonggol di belakang saya sambil terkuap-kuap.
“Hah, apa halnya Mail?” tanya Tok Aji mengeliat-geliat.
“Kak Endut, Bang Aji...” beritahu Mail Lembam terketar-ketar kesejukan.
“Tak apa, mari kita pergi sekarang ni” sahut Tok Aji dengan tidak mendengar lagi penjelasan Mail Lembam selanjutnya.
Mail Lembam berundur sedikit ke belakang sambil menghulurkan daun pisang kepada Tok Aji untuk digunakan sebagai payung. Tetapi Tok Aji tidak mahu mengambilnya. Dia terus melompat ke tengah hujan dengan tidak menggunakan payung langsung. Kata orang-orang yang mengetahui tentang Tok Aji ini, dia tidak basah kalau merempuh hujan dalam masa orang memerlukan dia. Kalau dihari yang tidak ada hal, saya lihat dia basah kuyup juga bila ditimpa hujan.
Setelah Tok Aji pergi bersama Mail Lembam, saya balik semula ke tengah madarasah. Alangkah terkejutnya saya, kerana Tok Aji masih lagi tidur dengan tangannya terlanggung di kepala seperti tadi juga.
“Atuk, mengapa tidur?” soal saya tertanya-tanya siapakah yang tidur di situ.
“Ah.... dia minta atuk bacakan Yassin aje” sahutnya tersenyum. “Kau tak payah tanya apa-apa, nanti lain kali kau tau juga” dia menasihatkan saya supaya jangan meragui tentang dirinya yang sedang tidur itu.
Kira-kira setengah jam kemudian hujan sudah mulai reda, nenek saya naik ke atas madarasah. Sebaik saja melihat atuk terbaring tidur lantas dia menyuruh saya mandi dan bersiap-siap untuk pergi ke rumah Mak Endut.
“Mak Endut dah tak ada “ ujar nenek perlahan.
Selesai saja saya mandi, nenek balik ke rumahnya. Saya dapati Tok Aji sudah bangun dan duduk sambil terkuap-kuap.
“Mak Endut dah tak ada” saya beritahu dia.
Tok Aji mengangguk-angguk. Dia tidak berkata apa-apa lantas pergi mandi.Selepas selesai maghrib kami bertiga ke rumah Mak Endut. Beberapa orang kawan saya yang ada di madarasah, berjanji akan datang selepas Isya.
Sebaik sampai saja di rumah Mak Endut, orang sudah ramai berkumpul di situ. Anak-anak Mak Endah seperti Jidah, Suhur dan Indun bergilir-gilir membaca Al-Quran di sisi jenazah. Ayah saya juga sudah sampai lebih awal. Dialah yang menyuruh orang memasang langit-langit  iaitu merentang kain batik lepas setentang dengan jenazah.
Di samping orang sibuk di dalam kerana berjaga-jaga pada malam itu kerana jenazah itu tidak boleh dibiarkan sendirian, orang lelaki duduk di serambi berbual-bual. Manakala orang perempuan memasak air di dapur menyediakan hidangan untuk sama-sama berjaga. Manakala anak-anak disuruh sama-sama membaca AL-Quran. Saya juga disuruh oleh Tok Aji membaca Al-Quran berhampiran dengan jenazah.
Kira-kira 9.00 malam, kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madarasah, telah datang. Mereka juga sama-sama membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Kami membacanya bergilir-gilir. Apabila saya merasa penat duduk bersila terlalu lama, maka saya mengilirkan kepada kawan yang lain pula. Disebabkan sudah menjadi tradisi di kampung kami, kanak-kanak tidak boleh mencampuri orang tua sedang berbual, jadi saya tidaklah ke serambi mendengar Tok Aji berbual-bual di situ.
Saya dan kawan-kawan hanya duduk di dalam saja. Di situ bau asap kelapa kukur dibakar memenuhi ruang. Kak Jidah duduk di hujung kaki jenazah emaknya. Saya lihat dia tidak berhenti-henti membaca Al-Quran. Abang Suhur berhenti juga melepaskan lelah, sementara Kak Indun ke dapur membantu saudara maa yang lain. Mereka tidaklah seperti Kak Jidah duduk saja mengadap jenazah emaknya.
Sekali-sekala saya memandang juga ke serambi sambil memasang telinga. Ketika menjaga jenazah masing-masig ada juga bercerita perkara-perkara yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Apa lagi Mail Lembam yang menjadi sasaran kawan-kawannya yang lain.
Mereka mentertawakan Mail Lembam yang basah kuyup ketika menjemput Tok Aji walaupun dia berpayungkan daun pisang. Sedangkan Tok Aji yang tidak berpayung tidak basah langsung. Memang semua mereka melihat Tok Aji datang sambil membacakan Yassin di sisi Mak Endut sebelum dia menghembus nafasnya. Tetapi mereka semua tidak tahu bahawa Tok Aji ada tidur di madarasah ketika itu. Mungkin mereka semua tidak percaya kalau saya ceritakan hal tersebut.
Tetapi nenek sudah tahu. Sebab itu nenek sengaja berpura-pura menyuruh saya pergi mandi, kerana tidak mahu melihat Tok Aji bangun dari tidurnya di depan saya.
Dalam masa orang ramai sibuk berbual-bual di serambi, sibuk menyediakan air di dapur dan beberapa orang membaca Al-Quran di tengah rumah, beberapa orang budak-budak yang menjadi rakan saya terhenti membaca Quran. Mereka menjerit lantas melompat lari ke serambi. Manakala Kak Jidah yang tekun duduk di hujung kaki jenazah emaknya sejak petang tadi ikut melompat lari ke dapur. Saya sendiri ikut sama lari ke serambi melihat kawan-kawan semuanya lari.
“Mengapa awak semua ni ?” tanya Tok Aji lantas berdiri. Semua orang di serambi juga bangun. Masing menerpa ke pintu menjengah ke dalam.
Ketika itu mayat Mak Endut kelihatan bergerak-gerak. Kemudian perlahan-lahan kepalanya terangkat, langsung duduk hingga kain selubungnya lurut ke pinggang. Hanya selindang yang diikat ke dagunya saja tidak terurai. Melihatkan Mak Endut sudah duduk, semua orang pun terjun ke tanah. Orang-orang perempuan di dapur semua terjun ke tanah kerana ketakutan.
Saya juga terpaksalah bersama dengan orang-orang yang lebih dewasa ari saya terjun. Memang ketika ini saya ketakutan, maklum sajalah melihat mayat sudah dibujurkan tiba-tiba duduk . Apa lagi orang-orang dewasa semuanya berlompatan ke tanah, tentunya kanak- kanak seperti saya lebih lagi ketakutan.
Ketika ini semua orang lari mengikut orang yang di hadapan, kerana kami tidak berani lari berpecah-pecah. Setelah jauh dari rumah Mak Endut, kami semua berpaling semula ke rumah. Barulah kami sedari bahawa Tok Aji tak ikut sama lari bersama orang ramai. Saya lihat ayah saya dan Mail Lembam balik semula ke halaman rumah, kerana Tok Aji masih lagi di dalam rumah. Pada fikiran kami Tok Aji tidak dapat lari kerana kakinya lumpuh sebelah. Tentulah terkial-kial kalau Tok Aji mahu lari menuruni tangga.
Melihatkan ayah saya dan Mail Lembam naik semula ke rumah, orang-orang yang lari pun merasa berani semula. Mereka semua balik semula naik ke rumah. Masing-masing yang di dalam ketakutan tadi kembali dapat mengawal perasaan. Kami semua naik semula ke rumah.
Rupanya semasa semua orang bertempiaran lari, Tok Aji masuk ke dalam. Dia duduk berhampiran dengan jenazah, sambil dua tapak tangannya dihalakan ke muka mayat Mak Endut. Matanya merenung tepat-tepat ke muka mayat. Semasa kami sampai dan naik ke rumah, mayat Mak Endut masih duduk terlunjur di tempat pembujurannya.
Ketika ini ayah saya menyuruh orang-orang lelaki yang lain duduk sambil mengikutnya berzikir. Dalam masa orang ramai berzikir, Tok Aji terus menghalakan kedua-dua tapak tangannya ke muka mayat Mak Endut.
“Sekarang kau baring semula, pergi kau mengadap Allah yang menjadikan kau dan semua makhluk” kata Tok Aji bagaikan memerintah.
Mayat itu perlahan-lahan rebah ke bantal, seolah-olah ada orang yang merebahkannya. Kerana saya lihat dia tidak pun jatuh terhempas apabila rebah ke belakang daripada duduk tadi. Kejadian ini memang mengherankan orang ramai yang menyaksikan pada malam  itu. Apa lagi kanak-kanak, saya ketika itu baru berumur 13 tahuntentulah ketakutan.
Lebih sebulan selepas kejadian itu ianya tetap menakutkan saya. Malah saya jatuh sakit terigau-igau melihat Mak Endut duduk walaupun sudah menjadi mayat. Tetapi setelah Tok Aji mengajak saya bangun setiap tengah malam, melakukan sembahyang tahjud, igauan itu hilang hilang terus dari ingatan saya. Tidak ada apa lagi yang saya takutkan terhadap igauan-igaun yang demikian.
“Endut, jangan kau bangun lagi. Kau kepunyaan Allah, bukan kepunyaan kami’ Tok Aji menamparkan tapak tangannya ke dahi mayat tiga kali. Kemudian dia menyelubungkan, semula mayat tersebut.
Selepas mayat  Mak Endut di bujurkan semula, ayah saya pun berhenti berzikir. Bagaimanapun dia sendiri membaca Yassin  dan membaca Al_Quran. Kak Jidah yang tercungap-cungap ketakutan mula-mula tadi duduk semula di hujung kaki jenazah emaknya. Dia meneruskan semula membaca Quran. Tok Aji pula menyuruh saya membaca Quran bergilir-gilir dengan kawan-kawan. Walaupun dalam ketakutan, saya membaca juga. Tetapi sekali sekala mata saya tetap mengerling ke arah jenazah yang terbujur, bimbang juga saya kalau-kalau dia bangun semula.
Sampai lah pagi tidak ada lagi kejadian mayat itu bangun semula. Terasa lega hati hati kami kerana tidak ada kejadian buruk yang berlaku semalaman tadi.
Hari siang, ayah saya pun mula menyuruh Mail Lembam ke kubur mengepalai orang menggali kubur. Masing-masing dibahagikan kerja mengikut arahan ayah saya kerana Mak Endut itu sepupu dia. Malah Mail Lembam sendiri iaitu adik Mak Endut menyerahkan tanggung jawap menyempurnakan jenazah itu kepada ayah saya.
Mak Endut meninggal dunia kerana mengidap sakit perut hanya beberapa hari saja. Suaminya sudah lama meninggal dunia sejak Kak Lijah anaknya yang bongsu baru turun buai. Sudah lebih 20 tahun suaminya meninggal dunia. Jadi, Mak Endut sendiri terpaksa menyara anak-anaknya sampai lah Abang Suhur dan Kak Indun berkahwin. Di samping itu dia mengambil upah menganyam tikar. Dia juga boleh mengurut dan membidankan ibu bersalin, tetapi tidaklah secara bersungguh.
Sebab itulah ramai orang mengatakan, tidak mungkin dia menuntut ilmu-ilmu salah sehingga terjadi peristiwa mayatnya bangun semula.
“Serahkan urusan Allah kepada Allah, janganlah kita ambil tahu sangat.” Nasihat Tok Aji apabila ada orang mahu bertanya mengenai kejadian pada malam berkenaan.
“Seingat-ingat saya dia tak ada menuntut ilmu-ilmu salah.....,” keluh ayah saya ketika sama-sama menolong orang membuat usungan.
Memang semua orang mengakui Mak Endut tidak mengamalkan ilmu-ilmu salah. Dia sendiri merupakan orang yang amat taat mengerjakan solat, berbudi bahasa dan tidak pernah menyakiti hati orang. Di samping ramah mesra, dia mudah bercampur gaul terutama kalau ada kenduri kendara di dalam kampung. Semua tahu bahawa Mak Endut sangat disukai oleh orang-orang kampung kerana dia juga bertolak ansur dalam apa-apa pun urusan.
Oleh itu orang percaya tidak mungkin dia memelihara syaitan, samada polong, pelesit atau pun hantu penanggal. Inilah menyebabkan orang tertanya-tanya apakah salahnya Mak Endut sehingga menyebabkan mayatnya bangun setelah dibujurkan. Hanya mayat orang-orang yang mengamalkan ilmu – ilmu salah atau ilmu syaitan saja yang menerima balasan seperti ini.
“Kita tidak akan mengetahui rahsia Allah, kerana Allah mengetahui yang zahir dan yang batin, yang lahir dan yang tersembunyi.” Tok Aji terus mengingatkan orang-orang yang tidak puas hati dengan kejadian yang menimpa mayat Mak Endut.
Kira-kira pukul 12.00 tengah hari orang-orang menggali kubur memberitahu bahawa kubur sudah disiapkan. Oleh ayah saya pun menyuruhkan orang memandikan mayat. Ketika ini kami terpaksa membawa air dari telaga dan di tampung dengan pasu dan besen besar. Dengan yang demikian sebelum mayat dibawa ke pelantaran, maka kami disuruh dulu memenuhkan air dalam semua bekas tampungan.
Saya ikut juga membawa air dalam baldi. Tetapi disebabkan kami bergotong royong beramai-ramai maka cepatlah semua bekas tampungan air itu dapat dipenuhkan bagi mencukupi untuk memandikan mayat. Nenek saya ditugaskan untuk mengepalai memandikan mayat kerana jenazah perempuan.
Sebaik saja jenazah hendak diangkat ke tempat mandi di pelantaran sekali lagi orangmemekik terkejut, kerana didapati di bawah jenazah itu ada beratus-ratus lipan bara seolah-olah menjadi tilam pula kepada jenazah berkenaan. Malah melihatnya pun sudah geli geleman, bagaimanakah pula mahu menguiskan lipan itu dari bawah tubuhnya?
“Ya Allah, lindungilah hambamu ni” keluh Tok Aji sambilmenampung kedua tangannya.
Semua orang yang melihat keadaan Mak Endut itu, ada yang takut dan ada juga yang kasihan. Apalah dosa Mak Endut sampaikan mayatnya begitu tersiksa. Sudahlah pada sebelah malamnya mayat itu bangun duduk, kemudian apabila nak dimandikan terdapat pula beratus-ratus ekor lipan bara di bawah tubuhnya. Seekor pun tidak mahu lari, walaupun kain penutup mayat sudah dilingkupkan. Lipan-lipan itu kelihatan merayap-rayap dan ada juga mengigit jenazah.
Ayah saya kelihatan marah dengan kejadian tersebut, sementara Tok Aji pula tenang. Air mukanya tetap jernih menghadapi masaalah tersebut.
“Ya Allah sekiranya hamba mu ini bersalah, ampunkanlah dia. Sekiranya hambamu ini dianiaya, maka lepaskanlah ia dari aniaya itu. Kepada engkaulah kami bermohon perlindungan dan kepada engkaulah kami memohon pertolongan” kata Tok Aji perlahan. Ketika ini air matanya tergenang di pelupuk mata.
Selepas Tok Aji berdoa, dia menyuruh ayah saya membawa air mandi ke situ. “ Kita mandikan saja jenazah ni di disini’ ujarnya.
Mereka semua tidak membantah. Semua air yang sudah ditampung diangkat ke dalam. Tok Aji sendiri memandikan jenazah bersama nenek. Ketika ini sengaja Tok Aji menyelubungkan jenazah, sebelum disiram dengan air.
Tujuh kali Tok Aji menyimbah air ke tubuh jenazah di bawah kain selubung itu, orang ramai melihat asap berkepul naik seperti bara kena siraman air. Apabila dibuka kain selubung itu, kami semua dapat melihat di bawah tubuh Mak Endut bara merah padam disirami air. Lipan-lipan yang berkeliaran tadi, kami lihat sudah menjadi arang.
Tetapi siapa pun tidak berani bertanyakan kepada Tok Aji, kerana sudah menyuruh setiap orang jangan bertanya apa-apa. Dia hanya mengingatkan  semua orang supaya ingatkan Allah saja. Berserahlah kepada Allah diatas segala urusannya, kata Tok Aji kepada mereka.
Tidak jadilah jenazah itu dibawa ke pelantaran. Di situ sajalah dimandikan iaitu diatas tilam tempat jenazah dibujurkan. Kawasan tengah rumah menjadi lecah kerana air tidak telus dicelah lantai.
“Nampaknya kau nak mandi di ataas tilam Endut, sebab itu aku mandikan di atas tilam ni” kata Tok Aji menampar pipi Mak Endut.
Bagaimanapun muka Mak Endut tidak apa-apa. Wajahnya kelihatan bersih seperti sedang tidur. Belakangnya yang digigit lipan beratus-ratus ekor tadi juga tidak kelihaytan pun bekas gigitannya. Kulit tubuhnya tetap kelihatan bersih, walaupun ada terdapat lebam-lebam sedikit.
“Apa agaknya masalahnya ni ayah?” tanya ayah saya, kerana dia sajalah yangberani bertanya.
“Urusan kau jaga sendiri, jangan urusan Allah kau nak jaga” ujar Tok Aji macam memarahinya.
Terdiam ayah saya apabila diingatkan oleh Tok Aji demikian. Kalau ayah saya sendiri sudah ditegurnya sudah tentu orang lain tidak berani bertanya kepadanya.
Sampailah jenazah selamat dimandikan tidak ada apa-apa kejadian ganjil yangdilihat. Ketika dikapankan pun tidak ada apa-apa gangguan. Tetapi memang saya melihat sendiri jenazah Mak Endut itu, wajahnya tetap bersih seperti orang sedang tidur. Tubuhnya terdapat lebam-lebam sedikit, itu pun di bahagian betis dan lengannya yang dipenuhi beratus-ratus ekor lipan tidak ada kesan gigitan apa-apa.
Sehinggalah dibawa ke kubur, jenazahnya selamat dikebumikan dengan tidak ada lagi gangguan-gangguan yang mengerikan.

TAMAT

No comments:

Post a Comment