TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
046. BANGKAI BABI HUTAN JADI LELAKI TUA BONGKOK
Disebabkan hujan
turun dengan lebat mencurah - curah, Pak Tua Mahat pun berhenti berteduh dahulu
di bawah sebuah pokok besar. Ulung Sali
yang mengekor di belakangnya bersama Saban Keme segera melencong ke
bawah bukit untuk mencari daun pisang karuk. Kemudian mereka berdua datang
semula mendapatkan Pak Tua Mahat lalu menyelitkan daun - daun pisang karuk itu
pada anak - anak kayu supaya dapat berlindung dari simbahan hujan yang lebat
itu.
" Hah! Dah habis basah....buat apa daun pisang karuk ni
lagi??? " kata Pak Tua Mahat sambil membukakan bajunya yang basah itu. Dia
pun memulaskan bajunya supaya kering.
Ulung Sali hanya tersengih - sengih sahaja. Dia tahu memang
mereka semua sudah dibasahi hujan, tetapi pabila daun pisang karuk itu disisip
dijadikan atap berlindung dari simbahan hujan, tidaklah mereka berterusan
basah. Setidak - tidaknya mereka sudah boleh memerah baju yang basah supaya
airnya kering. Tidaklah sejuk sangat menjelang tengah malam.
" Kau sejuk ke, Saban? " kata Ulung Sali sambil
mengerling kepada Saban Keme yang sedang berpeluk tubuh menahan sejuk itu.
" His, adakan tak sejuk....." ujar Saban Keme sambil terketar - ketar.
Mereka bertiga berteduh di bawah pokok besar itu sambil
menunggu hujan teduh. Tetapi hujan di dalam hutan itu tidaklah sama dengan
hujan di tengah kampung kerana hujan tidak terus menyimbah ke tubuh mereka.
Daun - daun pokok yang tinggi menjulang itu telah menampan hujan, menyebabkan
mereka tidaklah kuyup sangat disimbahi hujan. Bagaimana pun memang terasa sejuk
jugalah sementara menanti hujan reda.
Pak Tua Mahat menyarung semula baju basahnya yang sudah
diperah air itu. Dia sudah biasa mengalami ditimpa hujan sewaktu berburu ke
hutan. Kadangkala sehingga semalaman hujan turun tidak berhenti, dia tidak
ambil peduli pun. Apabila hujan reda, dia akan terus juga menyuluh mencari
binatang buruannya. Menjadi pantangan dia kalau masuk berburu ke hutan, apabila
balik hanya dengan tangan kosong.
Sudah lama pula dia tidak pergi ke hutan bersama Ulung Sali.
Memang Pak Tua Mahat serasi benar ke hutan bersama dengan Ulung Sali , kerana
mereka berdua saling bantu membantu jikalau menghadapi apa - apa masalah. Lagi
pun memang Ulung Sali tahu benar akan
selok belok jalan di dalam hutan pelangai itu.
" Dah teduh hujan ni, Bang Mahat..... " ujar Ulung
Sali sambil mendongak memerhatikan titis hujan yang jatuh satu - satu menimpa
kepala.
Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia pun keluar dari bawah
tempat berteduh lalu meranduk belukar yang masih lembab akibat dibasahi hujan
tadi. Ulung Sali dan Saban Keme pun mengikut langkahnya dari belakang.
" Lepas hujan macam ni elok la " kata Pak Tua
Mahat .
Ulung Sali hanya mengangguk. " senang la kita nampak
jejak " sahutnya sambil menahan kesejukan akibat ditimpa hujan tadi.
Malam bertambah gelap disebabkan awan kelam tidak disinari
cahaya bulan. Selepas hujan lebat turun mencurah - curah, kegelapan mula
menyerkup kawasan hutan tersebut. Hanya silauan lampu picit di tangan sahaja
menjadi pedoman mereka mencari lorong ditengah belukar di hutan berkenaan.
Baik Ulung Sali mahu pun Pak Tua Mahat memang gemar berburu
kalau ditimpa hujan. Binatang hutan juga akan keluar selepas berlindung dari
hujan lebat yang turun mencurah - curah itu. Ia akan melalui denai - denai yang
selalu ditempuhinya lalu akan meninggalkan jejak berlubuk akibat tanah lembut
selepas ditimpa hujan itu. Mudahlah mereka mengekori denai tersebut lalu
mengendap arah yang dituju oleh binatang berkenaan.
" Kawasan hutan ini banyak kijang " beritahu Ulung
Sali sambil mencecap - cecap bibirnya.
Memang dia selalu masuk ke situ untuk mengendap kijang.
Ulung Sali tahu sangat di kawasan mana mahu menghambat rusa, kijang atau pun
memipih pelanduk. Dia tahu sangat kawasan mana yang sesuai untuk mengendap ayam
denak atau pun mahu menjerat napuh. Sejak berpindah ke pelangai, dia tahu
sangat akan hutan di situ. Sama juga macam Pak Tua Mahat yang amat mengetahui
sangat akan ceruk solok hutan di mentaus. Sejak mereka di kampung lagi memang
berburu ke hutan sama - sama menjadi kegemarannya.
" Banyak kijang pun, bukannya dia nak menyerah diri
kepada kita... " ujar Pak Tua Mahat
seakan mengejek.
" Memanglah!!! " ujar Ulung Sali sambil tersengih
- sengih mendengar ejekan Pak Tua Mahat
itu.
"Rezeki yang datang bergolek pun bukannya nampak
bergolek - golek macam bola, kenalah digerakkan ketiak. Kalau tangan bersimpai,
nasi di tangan pun tak dapat nak disuapkan ke mulut!!! " katanya pula
menyindir.
Pak Tua Mahat tersenyum sahaja. Tetapi dia percaya memang
kawasan hutan itu mempunyai bilangan kijang yang banyak. Hentak kaki ke tanah
pun Pak Tua Mahat sudah dapat mengagak sama ada terdapat kijang, rusa atau
napuh yang selalu bermain di situ.
Bagaimana pun berburu bukanlah semudah mengendap ayam denak
di pinggir kampung. Sekiranya terdengar bunyi kokokan ayam memanjang, sudah
pasti ada ayam denak yang mengekas. Bila - bila masa sahaja menggalas senapang
ke situ, pasti tidak akan balik dengan tangan kosong. Tetapi berburu ke hutan
terpaksa meranduk paya dan belukar untuk mencari denai binatang. Setelah
bertemu denai pun, belum tentu lagi akan ditempuhi oleh binatang tersebut atau
pun tidak. Kadangkala denainya ada berbekas jejak, diikuti sampai habis jejak
pun tidak seekor binatang pun yang kelihatan.
Mereka terpaksa mencari denai yang lain pula sehingga
terpaksa meranduk belukar tebal sekali pun. Setelah puas menyusur denai,
mengendap dibalik belukar, menunggu dibalik tabir tetapi kadangkala tiada juga
seekor pun binatang yang terjongol muncul.
"Banyak manau di hutan ni, Sali?? " soal Pak Tua
Mahat sambil kepalanya terhangak - hangak memanjangkan leher.
" Ada juga agaknya... " sahut Ulung Sali perlahan.
"aku tak pernah cari manau. Kalau petai tu, tak berapa pokok sangat "
katanya sambil terangguk - angguk kepala.
Orang yang biasa ke hutan tidak sekadar mengetahui mengenai
binatang buruan sahaja, tetapi juga tahu berapa batang pokok petai yang tumbuh
di setiap bukit, berapa banyak rumpun manau yang merimbun, berapa anak - anak
bukit di tengah lurah bukit besar. Kalau tidak hafal semuanya, tidak berertilah
menjadi pemburu yang mengetahui setiap ceruk dan solok di hutan berkenaan.
"Selalu kau cari petai? " tanya Pak Tua Mahat lalu
berhenti menyandarkan badannya pada sepohon pokok di tubir lorong.
" Ah! Untuk makan sendiri tu adalah juga "
beritahu Ulung Sali lantas berhenti juga di depan Pak Tua Mahat. Dia kemudian
menghenyakkan punggungnya ke atas banir pokok yang menungkal tinggi itu.
Saban Keme juga turut berhenti melepaskan lelah. Dia hanya
mendengarkan sahaja bapa mertuanya dan Ulung Sali berbual - bual mengenai hutan
di situ. Lagi pun memang tabiat dia tidak suka mencampuri bila orang lain
bercakap. Bagaimana pun memang Pak Tua Mahat suka mengajak menantunya itu
berburu ke hutan.
" Macam mana Saban, penat tak ? " tanya Ulung Sali
sambil mencebikkan bibir kepadanya.
"Emmm, dah biasa berjalan di dalam hutan macam ni
" beritahu Saban Keme sambil tersengih - sengih.
Saban Keme tahu, letih macam mana pun tidak akan berasa
apabila binatang buruan sudah tergolek di depan mata. Lainlah kalau tiada
seekor pun binatang buruan yang melintas, bukan sekadar keletihan sahaja yang
menghantui perasaan malah kehampaan juga tidak dapat digambarkan yang mengguris
hati.
Selepas berehat beberapa minit, mereka bertiga pun
meneruskan perjalanan meranduk belukar lembab di tengah kegelapan malam. Ulung
Sali berjalan di depan sekali dengan memegang lampu picit bersambung ubat 6.
Dibelakangnya Saban Keme yang memegang lampu picit kecil sementara Pak Tua
Mahat yang dibelakang sekali hanya menggalas senapang patah laras duanya
sahaja.
Sekali sekala Saban Keme akan tergelincir apabila kakinya
terserandung akar - akar yang merintangi jalan, tetapi cepat - cepat pula dia
berpaut pada anak - anak kayu. Lorong di tubir bukit juga menjadi licin akibat
ditimpa hujan yang turun mencurah - curah sebelumnya tadi. Namun Ulung Sali
masih juga tidak menemui denai kijang yang dicari. Kalau tidak menemui denai
kijang pun, manalah tahu mereka akan menemui denai rusa pula.
Mereka tidak akan kehilangan jejak sekiranya sudah bertemu
dengan denai binatang buruan. Melihatkan bekas jejaknya sahaja, Ulung Sali
sudah tahu berapa lama denai itu telah ditempuhi. Dia akan dapat mengagak
sejauh mana binatang buruan itu telah meninggalkan denainya. Ke mana arah yang
ditujuinya? Semuanya sudah dihafali di dalam kepala Ulung Sali .
Apalagi Pak Tua Mahat yang sama masuk ke hutan dengannya.
Dia tahu benar akan kebolehan Pak Tua Mahat kalau sudah menjejakkan kakinya ke
tengah hutan. Binatang buruan tidak akan dapat lari ke mana apabila denainya
sudah ditemui oleh Pak Tua Mahat. Bekas jejak binatang tersebut akan dipasaknya
ke tanah hingga binatang berkenaan tidak dapat bergerak jauh.
Tatkala Pak Tua Mahat sampai menggalas senapang, bintang
tersebut hanya akan tercegat sahaja menunggu bidikan senapang patah berlaras
dua Pak Tua Mahat berdentum meletup. Sekali gus pula pelurunya akan melayang
hinggap mencari sasaran di kepala. Binatang buruan itu akan tergolek
menggelupur dengan darah membuak - buak di kepala. Serentak dengan itu, Ulung
Sali akan menerkam sambil menghunuskan
parangnya lalu menyembelih ke batang leher. Mereka berdua sudah cukup mahir
kalau berburu binatang di dalam hutan.
" Tak jumpa denainya lagi, sali? ' Tanya Pak Tua Mahat
sambil menghelakan nafas.
"Belum, bang.... " sahut Ulung Sali sambil
menggelengkan kepalanya.
" Agaknya fasal hujan tadi ni... " Saban Keme pula
mencelah. " dia pun tak mahu keluar " kata Saban Keme lagi sambil
tersengih - sengih semacam gelihati sangat apabila kenangkan rusa, kijang dan
napuh pun kesejukkan ditimpa hujan sampai tidak mahu keluar dari tempat
persembunyiannya.
"Ah! Kalau ada rezeki tak akan ke mana " ujar
Ulung Sali memberikan keyakinan.
Hujan tidak ada lagi menitik tatkala malam makin menjadi
sepi. Sekali sekala burung kuang berbunyi juga memecahkan kesepian yang
mencengkam perasaan itu. Pak Tua Mahat mula terkuap - kuap sambil menggalas
senapang patah berlaras dua nya dibelakang sekali mengekori Ulung Sali dan
Saban Keme. Apabila matanya sudah mengantuk,
Pak Tua Mahat tidak peduli di mana sahaja dia tetap akan melelapkan
matanya. Sambil berjalan pun dia boleh melelapkan mata hingga sampai bersenar kuat.
Ulung Sali dan Saban Keme memang tahu mengenai perangai Pak
Tua Mahat yang boleh melelapkan mata tatkala berjalan di dalam hutan. Sebab
itulah mereka tidak hiraukan sangat apabila menyedari Pak Tua Mahat sudah
tersengguk - sengguk di belakang mahu melelapkan matanya. Kalau tidak diganggu,
sampai ke pagi pun Pak Tua Mahat akan terus terlena.
" Ayah kau dah berdengkur, Saban " ujar Ulung Sali
sambil menjuihkan bibirnya.
" Dah jadi kebiasaan dia " sahut Saban Keme sambil
mengerlingkan matanya ke belakang. Dia nampak bapa mertuanya tersengguk -
sengguk berjalan, tetapi bunyi dengkurnya memang kedengaran memecah keheningan
tengah malam yang diselubungi kesepian malam itu.
Kadangkala ia menghairankan Saban Keme juga, bagaimana bapa
mertuanya boleh tidur dengan nyenyak tatkala berjalan merentas belukar di
hutan. Kakinya tidak akan tersepak tunggul atau terjelantus pada akar - akar
pokok yang merentangi jalan mereka. Saban Keme juga nampak bapa mertuanya tidak
perlu menyusup tunduk bawah akar merentang itu, tapi beliau tetap dapat
melepasinya.
Apabila mereka berhenti melepaskan lelah, Pak Tua Mahat juga
ikut sama berhenti. Tetapi dia tidak akan duduk menghenyakkan punggungnya.
Sebaliknya dia akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja, dengan sebelah lagi
kakinya akan dibengkokkan hingga tapak kakinya akan tertampan pada paha. Selagi
dia tidur nyenyak, Pak Tua Mahat akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Saban
Keme dan Ulung Sali memang tahu sangat
mengenai kebolehan diri Pak Tua Mahat jikalau dia terlalu mengantuk semasa
berburu di dalam hutan itu.
"Kalau tak jumpa denai, sampai ke pagilah nampaknya
ayah kau nyenyak " kata Ulung Sali sambil tersengih - sengih menyuluh
lorong di hadapan.
" Eeh! Kalau ayah dah lelap, kejap lagi jumpalah denai
tu " beritahu Saban Keme dengan perlahan. Dia sudah memahami sangat
jikalau mengikut bapa mertuanya berburu.
Bapa mertuanya memang mudah mengantuk apabila tidak
terserempak dengan binatang buruan. Ketika inilah dia akan terlena dengan tidak
mempedulikan lagi apa pun yang terjadi di sekelilingnya. Pak Tua Mahat memang
tidak akan melawan rasa mengantuknya apabila jam sudah melewati pukul 12 tengah
malam, sekiranya binatang buruan tidak juga terjongol muncul.
"Tak faham aku dengan ayah kau ni....." rungut
Ulung Sali yang keletihan meranduk belukar lembab yang dibasahi hujan. "
Cepat sangat rasa mengantuknya, tak
menyempat - nyempat... "katanya sambil tersengih - sengih seolah - olah
menyindir sikap sepupunya itu.
Saban Keme hanya tersengih - sengih sama. Dia tidak peduli
pun sama ada Ulung Sali merungut fasal bapa mertuanya nyenyak tidur atau pun
tidak. Tetapi dia memang tahu akan kebolehan bapa mertuanya jika berburu ke
hutan. Tidak pernah bapa mertuanya balik dengan tangan kosong sama ada dia
terlelap atau pun tidak semasa berburu.
Memang dia tahu sangat akan sikap bapa mertuanya. Sejak
sebelum menikah dengan Bibah iaitu sebelum Pak Tua Mahat menjadi bapa
mertuanya, dia sering mengikut orang tua itu berburu ke hutan. Dia tahu sangat
pantang larang Pak Tua Mahat, tahu apa yang perlu dibuat bila orang tua itu membuka
kain hitam ikat kepalanya dan juga tahu bila mahu menerpa menindih kepala rusa
dengan lutut sebaik sahaja Pak Tua Mahat sudah menghunuskan mata parangnya.
Sebab itulah Pak Tua Mahat suka membawa dia ke hutan, sekali pun setelah
menjadi menantunya.
"Hhhiss...ini dia!! " Ulung Sali pun mendepakan
tangannya seolah - olah menghalang Saban Keme daripada meneruskan perjalanan ke
hadapan. Dia pun menyuluh denai yang berbecak itu masih terdapat kesan tapak
kaki kijang yang berbekas di situ.
"Ini bekas tapak kakinya.... " kata Ulung Sali
dengan perlahan sambil menyuluh lagi dengan berhati - hati bagi memastikan yang
dia sudah terjumpa akan denai yang dicari - carinya.
Saban Keme juga membongkok bagi mengamati akan jejak kijang
yang berbekas pada lumpur berbecak di denai tersebut. Dia pun mengangguk -
anggukkan kepalanya tanda berpuas hati setelah menemui jejak berkenaan. Setidak
- tidaknya dia sudah boleh menyimpan harapan bahawa kijang tersebut tidak akan
dapat lari kemana lagi.
"Kejutkan ayah kau!! " bisik Ulung Sali sambil
tersenyum lebar. Tangannya tidak lepas menyuluh denai berbecak yang keruh bukat
bekas ditempuhi kijang itu.
Cepat - cepat pula Saban Keme memegang bahu bapa mertuanya
sambil menggoncang - goncang kuat. Pak Tua Mahat pun terkuap - kuap lantas
menggengam penumbuknya lalu terus disumbatkan ke dalam mulutnya.
" Dah ada denainya " bisik Saban Keme .
"Emmm...aku tahu " beritahu Pak Tua Mahat sambil
terkuap - kuap lagi.
"Kita ikut denai ini? " soal Ulung Sali yang masih
membongkok - bongkok menyuluh akan kesan jejak kijang yang berbekas di dalam
becak berlumpur itu.
"Tak payah... " sahut Pak Tua Mahat. " Kita
tunggu di situ " dia menuding pula ke arah kawasan lapang di bawah pokok
besar yang berbanir itu.
Ulung Sali dan Saban Keme pun tidak membantah apa. Mereka
menurut sahaja apa yang disuruh oleh Pak Tua Mahat. Mereka tahu orang tua itu
lebih mahir kalau melihat jejak berbekas di denai. Sama ada mahu mengikut jejak
tersebut atau tidak hanya terpulang kepada keputusan Pak Tua Mahat sendiri.
Memang Ulung Sali sendiri mengakui akan kemahiran Pak Tua
Mahat apabila berburu di hutan. Kalau menepuk daun palas, Pak Tua Mahat tahu bila pelanduk akan datang bertandak.
Beberapa ekor pelanduk akan datang menyerbu sebaik sahaja mendengar daun palas
ditepuk pada busut. Semua pedoman Pak Tua Mahat memang tidak pernah
mengecewakan mereka.
Sudah beberapa kali Ulung Sali camkan pedoman yang diberi oleh Pak Tua Mahat
semuanya tidak pernah meleset. Kalau dia kata mesti diikut jejak pada denai,
tentulah rusa atau kijang itu sudah tidak jauh dari situ. Pak Tua Mahat akan
mengendap seorang diri ke hadapan. Tapak kakinya yang terpijak ranting kering
pun tidak akan mengeluarkan bunyi berderap. Binatang buruannya tidak akan dapat
menyangka yang Pak Tua Mahat sedang mengendapnya dengan senapang berlaras dua
tergengam di tangan.
Bila Pak Tua Mahat sudah memberitahu tidak perlu dijejak,
cukuplah sahaja menunggu di tempat denai yang ditemui itu. Selalunya tidak lama
selepas mereka menunggu, sudah tentu binatang buruan itu akan terjongol
terlangah - langah. Pak Tua Mahat juga sudah dapat mengagak sama ada binatang
buruan itu sudah semakin hampir menjengah atau pun masih jauh lagi dari
kedudukan mereka. Kemahiran Pak Tua Mahat ini memang benar - benar mengagumkan
Ulung Sali. Tetapi dia juga tahu Pak Tua Mahat memang pantang sangat kalau saya
ikut turut sama mengikutnya berburu ke hutan.
"Dah sampai dia, Abang Mahat? " tanya Ulung
Sali yang tidak sabar lagi itu.
"Kejap lagi agaknya " sahut Pak Tua Mahat sambil
mendehem dehem.
"Selalunya tak lama kalau ditunggu ..... " keluh
Saban Keme yang berdebar - debar menanti dengan penuh harapan itu. Jauh di
lipatan hatinya dia sudah berdoa agar kijang tersebut datang menjengah juga.
Sudah lama juga dia tidak menikmati daging kijang hasil buruan bersama bapa
mertuanya.
"Emmm...tak sabar - sabar kau ni " kata Pak Tua
Mahat sambil tersengih - sengih seakan menyindir menantunya. " Orang
punya, kenalah tunggu sampai tuannya lepaskan dari gembala.... " jelasnya
mengingatkan Saban Keme.
Saban Keme terdiam. Memang dia tidak bermaksud terlalu
gelojoh mahu melihat kijang buruan itu tersungkur ditembak. Dia hanya sekadar
mengingatkan kebiasaannya bila mengikut bapa mertuanya berburu, memang tidak
perlu menunggu lama setelah tersua denai yang dilalui binatang buruan
berkenaan. Binatang berkenaan akan berpatah balik semula ke belakang sebaik
sahaja telah tercium bau Pak Tua Mahat. Ia seolah - olah menyerahkan dirinya
sahaja kepada orang tua itu.
Sudah lebih setengah jam mereka bertiga menunggu di dalam
gelap malam itu, tetapi tidak ada tanda - tanda kijang yang diharapkan itu akan
menjengah di denai. Pak Tua Mahat mengeluh perlahan setelah melekapkan
telinganya ke tanah beberapa kali. Kemudian dia pun bangun lalu memangkas
beberapa anak - anak kayu sebesar ibu jari dan dikerat - keratnya panjang
sejengkal sebanyak 7 batang.
Anak kayu tersebut kemudian dibelahnya had 3 suku sahaja
lantas dicancangnya ke tanah dengan keadaan terkangkang. Dia pun mengatur anak
kayu tercancang itu berbaris lurus dengan jarak satu hasta antara satu cancang
dengan cancang yang lain. Saban Keme dan Ulung Sali hanya memerhatikan sahaja
Pak Tua Mahat menjentik - jentik ketujuh - tujuh cancang kayu tersebut.
"Hah! Bersiap sekarang!!! " kata Pak Tua Mahat
perlahan tapi terus juga menjentik jentik. Dia kelihatan tersenyum puas sambil
menghela nafas panjang.
Di dalam kegelapan malam di tengah hutan itu hanya bunyi
ngiang - ngiang saja yang melangsing, disamping hembusan angin sepoi - sepoi
yang menderu memukul pucuk - pucuk kayu yang tinggi. Sekali sekala dengkung
katak juga bersahut - sahutan di bawah gaung selepas hujan berhenti reda.
Tetapi dengkung katak yang sayup - sayup di bawah gaung itu tenggelam juga oleh
kelangsingan bunyi ngiang - ngiang yang berbunyi di segenap penjuru hutan itu.
" Siap Sali, Saban.... " dalam kelangsingan ngiang
- ngiang itulah Pak Tua Mahat berhenti menjentik kayu yang tercancang di tanah.
Dia mula meraba - raba senapangnya. Kemudian menghalakan muncung senapang ke
arah denai yang mereka temui tadi.
Hanya dalam beberapa minit sahaja, mereka terdengar bunyi
becak di denai bercepau - cepau di lalui binatang. Mereka dapat mengagak tentu
kijang yang ditunggu sudah terlangah - langah datang setelah diseru oleh Pak
Tua Mahat melalui kayu tercancang yang dijentik - jentiknya itu. Kalau kijang
berkenaan bersembunyi di sebalik 7 bukit pun, pasti ia akan datang juga bila
sudah diseru oleh Pak Tua Mahat. Tidak ada seekor kijang pun yang akan dapat
bertahan kalau baunya sudah dapat dicium oleh orang tua itu.
Mereka bertiga nampak 2 biji mata kehijau - hijauan mara
dicelah - celah semak berdenai. Memang itulah mata kijang yang mereka nanti -
nantikan sejak lebih setengah jam tadi. Ketika Ulung Sali dan Saban Keme masih lagi berdebar - debar dengan kemunculan
2 mata kehijau - hijauan itu, dentuman senapang Pak Tua Mahat pun menggegarkan
kegelapan malam yang hanya disulami bunyi ngiang - ngiang melangsing itu.
Rengekan memanjang pun kedengaran dicelah - celah semak sambil 2 biji mata
kehijau - hijauan terpelanting ke situ.
" Cepat tengok!!! " perintah Pak Tua Mahat sambil
berdiri tegak. Dia merasa bangga kerana dapat melepaskan tembakan tepat
mengenai sasarannya. " Cepat..... " katanya lagi bagaikan mendesak.
Ulung Sali dan Saban Keme pun serentak melompat sambil
memasang lampu picit lalu menyuluh ke arah semak - semak yang terdengar bunyi
rengekan memanjang itu. Lampu suluh yang bersambung ubat 6 di tangan ulung sal
iitu pun terang benderang menyilau sebentuk punggung hitam yang tertongggeng di
balik semak itu.
" Bukan lar!!! " laung Ulung Sali seakan - akan
kecewa.
" Apa dia?? " laung Pak Tua Mahat lalu cepat -
cepat menerpa mendapatkan Ulung Sali dan Saban Keme
" Bukannya kijang tapi babi hutan " keluh Ulung
Sali yang masih menyuluh ke arah tubuh babi hutan yang terkinjal - kinjal kaki
di sebalik semak itu.
Terdiam Pak Tua Mahat sebaik sahaja melihat tubuh babi hutan
yang tertonggeng di celah semak itu. Kaki babi hutan itu masih terkinjal -
kinjal lemah. Dia masih tidak mati sekali pun peluru senapang patah telah
menyinggahi tepat di sasarannya. Rengekannya yang terputus - putus itu
menandakan nyawanya masih bercerai dengan badannya.
Kemudian Pak Tua Mahat tersenyum sambil mengerling ke arah
tubuh babi hutan yang masih tergolek itu. " Emmm....kita kena perdaya lar,
Sali " ujarnya seolah - olah menyindir.
" Hah!! Kalau dia nak tunjuk jantan, kita pun boleh
tunjuk jantan juga " gerutu Ulung Sali pula sambil menggertapkan bibir
bagaikan bersedia menyambut cabaran dari sesiapa pun jua.
" Tak apa, kau tengokkan Saban " beritahu Pak Tua
Mahat yang meminta Ulung Sali melindungkan menantunya dari gangguan yang sedang
mengancam mereka itu. Dia memang tahu Ulung Sali juga mampu bertindak. Tetapi
biarlah kebolehan Ulung Sali itu digunakan untuk melindungi Saban Keme yang
tidak tahu apa - apa mengenai permainan puaka hutan itu. Manalah tahu Saban
Keme pula yang akan menjadi sasaran
sekiranya Ulung Sali tidak melindunginya.
" Kau tengokkan Saban.... " ulang Pak Tua Mahat
sambil membuka ikatan kain hitam yang terikat di kepalanya. " biar aku
tengok permainannya " katanya sambil memegang kain hitam yang sepanjang 2
hasta itu di tangan kirinya.
Ulung Sali mengangguk.
" Duduk di bawah kangkang aku, Saban " kata Ulung
Sali sambil menggamit Saban Keme.
Saban Keme tidak membantah. Dia terus duduk di bawah
kangkang Ulung Sali dengan tidak bercakap sepatah pun. Memang dia sudah menduga
ancaman tersebut, sebab itulah dia mematuhi apa sahaja yang disuruh oleh bapa
mertuanya atau pun Ulung Sali .
Saban Keme kemudiannya melihat bapa mertuanya berjalan
berhampiran semak di tempat tubuh babi hutan itu tergolek selepas ditembak.
Babi hutan yang ditembaknya itu masih belum mati kerana kakinya masih terkinjal
- kinjal menendang angin. Rengekannya juga masih kedengaran merintih - rintih
di dalam kelangsingan bunyi ngiang - ngiang dari segenap penjuru itu.
" Bangun kau!!! " bentak Pak Tua Mahat sambil
memukul punggung babi hutan itu dengan kain hitam di tangan kirinya itu.
Tiba - tiba sahaja babi hutan itu bergerak bangun daripada
celah - celah semak itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkatkan kepala sambil
memusingkan badan, kelihatan bukan tubuh babi hutan yang tergolek tadi yang
berdiri tegak. Sebaliknya Saban Keme nampak tubuh seorang lelaki tua yang
bongkok berlipat yang kelihatan tersengih - sengih sambil berpaut pada anak -
anak kayu. Dia menepis - nepis sampah sarap yang terlekat pada seluar dan
bajunya yang sepasang hitam itu.
" Hah!!! Tau pun kau nak tunjukkan diri kau yang
sebenarnya " ejek Pak Tua Mahat .
" Dah orang tak beri, kenapa tok pawang degil juga
hendak??? " sahut lelaki tua bongkok itu bersuara keras.
" Kenapa nak memandai - mandai dengan aku!!! "
jerkah Pak Tua Mahat lantas melompat tinggi menyepak dagu lelaki tua itu.
Sekali gus pula lelaki tua itu terpelanting jatuh ke atas tanah.
" Hak kita, kita punya suka laa... " orang tua itu
membentak marah sambil menyapu - nyapu dagunya bekas disinggahi tapak kaki Pak
Tua Mahat itu.
" Awak jangan berdalih!!!! " tiba - tiba Ulung
Sali pula mencelah. " tak ada siapa pun yang berhak di hutan ini. Semuanya
kepunyaan allah " katanya lagi lantas membacakan ayat surah al ikhlas
sebanyak 7 kali.
Tersengih - sengih sahaja lelaki tua tubuh berlipat itu.
" tak ada budi bahasa langsung kawan awak tu, Tok Pawang ".
" Dengan setan apa gunanya budi bahasa!!! " jerkah
Ulung Sali keras. Dia terus membacakan ayatul kursi sebanyak 33 kali sambil
tidak bergerak dari tempatnya berdiri tegak.
Ketika ini lelaki tua itu menggigil seperti pohon aur yang
sedang ditiup angin kencang. Selepas itu dia bertempik kuat lantas mahu
menerkam ke arah Ulung Sali, tetapi cepat - cepat disiku rusuknya oleh Pak Tua
Mahat . Lelaki tua itu melayang ke udara dan berlegar - legar mahu mengancam
Pak Tua Mahat . Bagaimana pun dia tidak berani mahu mendekati Pak Tua Mahat .
" Pencuri awak semua ni!! " jerkah lelaki tua itu
marah.
" Kau jembalang yang menjadi pencuri " sahut Pak
Tua Mahat lantas menghentakkan tapak kakinya ke tanah.
Sewaktu lelaki tua itu berlegar - legar di udara, angin pun
mula bertiup kencang. Hutan yang lengang di dalam kegelapan malam itu bagaikan
dilanda ribut dari segenap penjuru. Pokok - pokok kayu pun meliuk - liuk
menampan terjahan angin. Deru kencang angin tersebut menenggelamkan bunyi
ngiang - ngiang yang melangsing memanjang di bawah gaung itu.
Hanya deru ribut kencang sahaja yang kedengaran memukul
pokok - pokok kayu di situ, Saban Keme gementar juga sekiranya pokok - pokok
besar itu tumbang jongkang kalang menimpa mereka. Dia tahu angin ribut yang
muncul secara mendadak itu memang berpunca dari puaka hutan yang sedang
mengganggu mereka itu. Apa lagi kemarahannya semakin memuncak apabila Ulung
Sali pula mencabarnya dengan membacakan ayat - ayat al quran.
Di dalam ribut kencang itu, Ulung Sali berdiri dengan tidak
bergerak - gerak. Matanya terpejam tapi hanya mulutnya sahaja yang terkumat -
kamit. Tetapi ribut itu tidak juga reda dengan memukul pokok - pokok kayu besar
hingga meliuk - liuk.
Melihatkan ribut itu tidak juga berhenti, lantas Ulung Sali
pun melaungkan azan beralun - alun di dalam tengah kegelapan malam itu. Gema
suaranya yang lantang itu menyebabkan ribut itu mulai reda secara perlahan -
lahan. Melihatkan ribut mulai berhenti, Pak Tua Mahat pun membongkok lalu
menggengam sekepal tanah. Diramas - ramasnya tanah tersebut, kemudian ditiupkan
ke arah lelaki tua yang berlegar - legar di awangan itu.
Sekaligus pula lelaki tua itu jatuh berdebap ke tanah.
Punggungnya terhenyak menyebabkan dia menggeliat - geliat kesakitan.
" Balikkan semula kijang aku!!! " bentak Pak Tua
Mahat .
" Mana ada kijang " sahut lelaki tua itu sambil
tersengih - sengih. " Yang kau tembak tadi babi hutan " katanya
semacam mengejek Pak Tua Mahat .
" Kau takkan menang! " kata Pak Tua Mahat seakan
memberi amaran. " Kalau kau nak tunjuk keras kepala, cepatlah!!!! "
bentak Pak Tua Mahat lagi keras mencabar
lelaki tua bongkok berlipat itu.
Dengan tidak disangka - sangka, lelaki tua itu menerkam ke
arah Pak Tua Mahat. Secepat kilat pula Pak Tua Mahat mengelak hingga lelaki tua
itu terbabas.
" Jaga Saban tu, Sali....dia niat salah nampaknya ni.
Jaga jangan geruhnya berpindah pada Saban... " Pak Tua Mahat mengingatkan
Ulung Sali supaya bertahan sahaja di situ.
Kemudian Pak Tua Mahat membawa lelaki tua itu ke bawah pokok
tempat mereka menunggu denai sebelumnya tadi. Beberapa kali lelaki tua itu cuba
menerkam ke arah Pak Tua Mahat tetapi dengan mudah sahaja Pak Tua Mahat
mengelaknya.
Hinggalah suatu ketika lelaki tua itu menerkam dari arah
atas lalu tersembam pada pokok kayu tersebut. Saban Keme nampak tangan lelaki
tua itu terlekat pada pokok berkenaan dan tidak dapat melepaskan cengkamannya
yang tertusuk pada pokok tersebut. Sekaligus pula Pak Tua Mahat mencabutkan semula anak kayu yang
dicancangnya ke tanah tadi, lalu ditaupkan semula kangkangnya.
" Aku dah cakap, kau takkan menang! " ujar Pak Tua
Mahat seakan menyindir sambil memerhatikan sahaja lelaki tua itu terkial - kial
akibat cengkamannya melekat pada pokok kayu besar itu.
Selepas itu dia memancangkan semula anak - anak kayu
tersebut disekeliling semak tempat babi hutan yang terbaring selepas ditembak
tadi. Kesan - kesan darah masih berbekas pada daun - daun kayu di sekitar
semak.
Pak Tua Mahat lalu
mengambil kain hitam lilit kepalanya dan dikibaskan sampai 7 kali di kawasan
yang dipancangnya anak kayu itu. Barulah nampak pada Saban Keme di sebalik
semak itu berubah sedikit demi sedikit punggung binatang yang tertonggeng itu
dari hitam kepada perang kemerahan.
" Cukuplah tu, Sali " Pak Tua Mahat berpaling lalu
menggamit Ulung Sali. " Sembelihlah binatang ni " katanya sambil
menghunus parang lalu dihulurkan kepada Ulung Sali .
Cepat - cepat Ulung Sali menerpa bersama Saban Keme.
Ternyatalah kijang yang terbaring disebalik semak, masih menggeletek - geletek
menahan kesakitan. Setelah siap disembelih, Pak Tua Mahat terus mengajak Ulung Sali dan Saban Keme balik.
Teringin juga Saban Keme
mahu menyuluh ke arah pokok kayu tempat lelaki tua tadi terlekat, tetapi
dia merasa takut pula. Tetapi dari dalam kegelapan itu dia tidak nampak apa -
apa pun pada pokok tersebut, selain daripada kehitaman yang menyeramkan
pandangannya. Pak Tua Mahat pula tidak berkata apa - apa selepas peristiwa itu
sampailah balik ke rumah Ulung Sali
TAMAT
No comments:
Post a Comment