Thursday, December 10, 2015

037. PAK HID MAHU MENIKAH DENGAN PONTIANAK



TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN

037. PAK HID MAHU MENIKAH DENGAN PONTIANAK

KESUGULAN jelas terbayang pada wajah beberapa orang penduduk Kampung Melang akibat ternakan mereka banyak mati terbunuh dalam keadaaan aneh. Bukan saja ayam dan itik mati di reban dengan dua tanda kesan taring di tengkoknya, malah kambing, lembu dan juga kerbau juga menjadi mangsa.
Binatang ternakan ini tidak dimakan dagingnya. Hanya kesan hisapan darah saja terdapat pada tengkuknya dari lubang yang disinggahi taring.
Kalau angkara binatang buas tentulah daging ternakan itu dimakannya. Pada mulanya mereka menyangkakan ular yang membuat angkara. Disebabkan tidak ada tertelan ayam atau itik berkenaan, lalu diluahnya semula. Ayam Sarit Jebang yang mula-mula sekali disedari menjadi mangsa tersebut.
Memang pada sangkaan Sarit Jebang ular sawa yang menangkap ayamnya, sebab ada kesan dua lubang ditengkuknya bekas gigitan taring. Mungkin ular berkenaan kecil maka tidaklah termampu dia mahu menelan ayam bapak kepunyaan Sarit Jebang. Tetapi malam esoknya bapak itik Timah Juling pula menjadi mangsa serupa seperti yang dialami oleh Sarit Jebang.
Kemudian kambing Bibah Uban pula sampai dua ekor terbungkang di dalam reban. Mulalah penduduk-penduduk Kampung Melang jadi gempar. Mereka merasa heran apakah binatang yang tidak memakan mangsanya, cukup dengan menghisap darah di kepala. Belum pernah sebelum ini Kampung Melang menghadapi keadaan tersebut.
Hinggalah lembu jantan tengah naik badan kepunyaan Pak Teh Akin ayah HASIM menjadi mangsanya. Menangis orang tua itu melihat lembu jantannya tergolek di dalam kandang. Terdapat dua lubang di tengkuk lembu itu masih mengalir darah.
Itulah puncanya mereka satu kampung bermufakat mencari bomoh untuk menetang musuh tersebut. Pihak Pejabat Haiwan pun heran dengan kejadian itu, kerana dari kajian saintifik tidak ada bukti-bukti yang boleh dijadikan asas maklumat. HASIM menceritakan masalah di kampungnya kepada Jali, maka Jali pun terus mengajak HASIM menemui saya.
“Jauh juga kampung ni PAK HID...” beritahu HASIM pada PAK HID yang duduk di belakang kereta. Kami ke Kampung Melang menaiki kereta Jali. Saya duduk di depan, kerana kebiasaan saya ke mana saja pergi menumpang kawan-kawan saya akan duduk di hadapan. Saya tidak boleh duduk di belakang, kerana mudah muntah.
“Berapa jauh agaknya?” soal saya pula.
“Kira-kira 32 kilometer” beritahu HASIM mendekatkan kepala ke sandar belakang saya.
“Ah, aku tak tau berkilo-kilo meter...” rungut PAK HID pula. “Cakaplah berapa batu, kalau kira batu barulah aku tau” katanya tersengih-sengih menyeringai giginya yang rongak.
“Agaknya dua puluh batu lebih laaa” jelas saya supaya PAK HID tidak bertanya lagi.
Petang Sabtu itu kira-kira pukul 4.30 petang kami sampai di rumah Pak Teah Akin. Dia di beritahu oleh HASIM mengenai kedatangan kami. Terlalu gembira Pak Teh Akin melihat saya dan PAK HID yang diperkenalkan oleh HASIM kepadanya.
Tetapi saya menjelaskan pada Pak Teh Akin, kedatangan saya dan PAK HID hanya untuk melihat-lihat sahaja. Bukan nya menjadi bomoh seperti yang didakwa oleh HASIM. Bagaimanapun Pak Teh Akin tidak percaya dengan penjelasan saya itu. Dia yakin saya dan PAK HID akan dapat menhindarkan mala petaka yang menimpa ternakan mereka di kampung itu.
Kemudian tidak saya sangka-sangka Pak Teh Akin telah membawa kami bertemu dengan Tok Ketua Kampung Haji Semari. Dia memberitahu Haji Semari bahawa kedatangan kami adalah untuk menangkap binatang yang membunuh ternakan di kampung tersebut.
Selepas Asar petang itu Haji Senari telah membawa kami ke rumah Bibah Uban sambil menunjukkan reban kambing tempat binatang aneh itu mengorbankan mangsanya. Kemudian kami ke rumah Timah Juling pula, dan ke rumah Sarit Jebang. Kami melihat tempat-tempat yang dikatakan binatang aneh itu mencari mangsa.
Saya dan PAK HID tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bukanlah mudah untuk mengetahui apakah binatang yang membunuh mangsa demikian. Kalau harimau tentulah membaham mangsanya. Kalau ular pun mesti menelan mangsanya. Mereka tidak akan tinggalkan begitu sahaja.
“Boleh jadi pontianak...” itu saja yang terkeluar dari mulut PAK HID.
Kata PAK HID, pontianak ini bukanlah jenis puaka yang berani berhadapan dengan manusia. Pontianak sangat pemalu, jelas PAK HID. Tetapi memang dia suka menghisap darah.
Ketika binatang berkenaan mengorbankan mangsa, ternakan-ternakan tidak pun gempar di reban. Sebab itulah Sarit Jebang tidak tahu ayamnya menjadi mangsa. Timah Juling juga tidak tahu apa yang terjadi pada itiknya, kerana itik tersebut tidak gempar. Begitu juga dengan Bibah Uban hanya keesokkan paginya melihat kambing terbungkang di reban.
Kalau ular atau harimau yang mengganas, tentulah ayam gempar sereban. Itik juga berdepap-depap tenar di tengah malam. Kambing akan menjerit-jerit kalau rebannya diserbu harimau. Memang binatang-binatang yang kecil menjadi mangsa tidaklah mengherankan, tetapi bagaimana pula dengan lembu kepunyaan Pak Teh Akin?.
Tak kan ular mahu memagut tengkok lembu. Harimau pun takkan meninggalkan lembu tergolek dengan tidak diheret masuk kehutan. Sebab itu mereka percaya juga dengan dakwaan PAK HID, pontianak yang mempunyai angkara. Jadi macam mana mahu menangkap pontianak?
Saya sendiri tidak tahu menghadapi keadaan demikian. Apa yang saya lakukan selama ini hanya menghalang syaitan mengganggu manusia apabila syaitan berkenaan berjaya merasuk mereka yang lemah semangat. Tetapi kalau sengaja mahu menangkapnya seperti polis menangkap pesalah, memang saya tidak belajar mengenai ilmu demikian.
Tidak tahulah saya kalau PAK HID boleh melakukannya. Sebab itu dari awal-awal lagi saya sudah terangkan kepada HASIM jangan membesar-besarkan cerita mengenai diri saya dan PAK HID. Bimbang juga saya kalau-kalau penduduk di Kampung Melang menaruh kepercayaan besar terhadap kami.
“Macam mana PAK HID,” bisik saya kepadanya.
“Ustaz lagi tahu dari aku...” balasnya menyinggung bahu saya. “Aku ikut aje apa yang ustaz buat” katanya mula mencari helah.
“Saya tak tahu nak buat apa” ujar saya mengeluh pendek.
“Aku lagi tak tahu!” katanya tersengih-sengih.
Saya memberitahu HASIM mengenai keputusan tidak sanggup mahu mengatasi masaalah tersebut . PAK HID juga menyuruh mereka mencari bomoh yang lebih handal. Tetapi Pak Teh Akin masih tidak percaya dengan pengakuan saya, sambil menganggapnya sebagai helah tidak mahu menonjol-nonjolkan diri.
Haji Semari sendiri yakin saya atau PAK HID melakukannya. Boleh jadi keyakinan Haji Semari hanya untuk tidak mahu menyinggung perasaan kami saja.
Mau tidak mau malam mingggu itu, saya bersama PAK HID, HASIM dan Jali sama-sama berjaga di dalam kampung dengan penduduk-penduduk kampung yang lain. Mereka memang berazam untuk menangkap siapakah yang punya angkara memusnahkan ternakan orang kampung.
Ada juga yang menyangka ianya perbuatan harimau jadian. Tetapi kononnya harimau jadian tidak akan meninggalkan mangsanya begitu sahaja. Dia akan membaham daging lembu yang dibunuhnya. Pelik sungguh, apakah jenis binatang yang hanya menghisap darah mangsanya saja.
Orang-orang kampung berpendapat ada sejenis binatang seakan-akan tupai  yang mereka panggil ‘manggar perahu’ memang menangkap mangsanya demikian. Dia akan menangkap kepala mangsanya seperti itik atau ayam, dan menghisap darahnya. Kemudian dia akan lari meninggalkan mangsanya kerana dia tidak memakan dagingnya.
Bukan saja itik atau ayam, malah kalau bertemu ular pun binatang ini akan bertindak demikian. Tetapi bagaimana pula dengan kambing dan lembu yang turut sama menjadi mangsa? Binatang ini kecil saja iaitu seakan-akan tupai, atau bentuknya sama dengan cerpelai di India. Adakah binatang sebesar ini boleh menjadikan lembu atau kambing sebagai mangsanya.
“Apa fikir ustaz ?” Jali bertanya semasa sama-sama berjalan di dalam gelap untuk mencari punca gangguan ke atas ternakan itu.
“Tak tau lah saya...” keluh saya perlahan.
Saya dan Jali mengikut Sarit Jebang berkawal di baruh kampung. Manakala PAK HID dan HASIM mengikut Pak Teh menyusur di bahagian darat arah ke kubur.
“Ustaz fikir, binatang buas ke ?” tanya Jali kepada saya.
“Entahlah...” sahut saya masih bingung memikirkannya.
“Boleh jadi juga macam kata PAK HID” kata Sarit Jebang yang berjalan di depan kami. “ Kalau binatang tu ada kesan jejaknya dalam reban” ujarnya bila mengenang balik kejadian yang menimpa ayamnya di reban. 
Benar juga seperti kata Sarit Jebang. Masakan binatang buas tidak meninggalkan jejak apabila membunuh mangsa. Kalau ular pun tentu ada kesan dia menjalar. Begitu juga kalau harimau tentu lebih jelas nampak tapak kakinya di reban kambing Bibah Uban. Anehnya tidak ada sebarangkesan jejak pun di situ.
Malam itu penduduk-penduduk kampung berpecah empat pasukan meronda sekitar kampung. Masing-masing mahu mempastikan apakah binatang atau bukan binatang yang melakukan angkara tersebut. Boleh jadi musuh yang masuk ke reban itu tidak disangka-sangka menyebabkan ternakan tidak gempar. Oleh itu sekiranya meronda, tentulah dapat juga didengar dimana ada gangguan ke atas ternakan.
Saya bersama Jali dan Sarit Jebang menyusur masuk ke belakang rumah Sarit Jebang. Lama kami mengendap reban ayam, tetapi tidak ada bunyi ayam berkiuk. Selepas itu kami menuju ke rumah Bibah Uban untuk mempastikan reban kambingnya diganggu atau  tidak.
Ketika sampai di selekoh dipenuhi belukar senduduk, kami bertembung dengan kumpulan Samad Trektor.  Mereka bergegas mahu mencari kumpulan yang lain unuk memberitahu perkara yang menimpa PAK HID. Tiba-tiba saja PAK HID tidak sedarkan diri semasa mengendap kandang lembu Pak Teh Akin. Dia cepat-cepat dipapah naik ke rumah.
HASIM disuruh oleh Pak Teh Akin memberitahu perkara PAK HID tidak sedar diri kepada semua orang yang berkawal malam itu. Dengan kejadian menimpa PAK HID itu kisah mahu berkawal malam itu dilupakan saja. Masing-masing menjadi panik apabila PAK HID tidak sedarkan diri.
Apabila saya sampai di rumah Pak Teh Akin, saya lihat PAK HID terlentang di hujung serambi. Dia tidak bergerak seperti orang tidur nyenyak. Kelihatan peluh mengalir pada dahi dan seluruh badannya.
“PAK HID....” saya memanggilnya. Dia tetap memejamkan mata.
Umah Pak Teh Akin sudah menjadi tumpuan. Mereka yang tidak meneruskan kawalan datang ke situ apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa PAK HID.
“PAK HID!” ulangi saya sambil memegang pergelangan tangannya.
“Ustaz mahu air sejuk?” tanya Jali di belakang saya.
Saya mengelengkan kepala. Tidak perlu air sejuk kepada saya sebab PAK HID bukannya sakit. Dia cuma tidak sedarkan diri. Boleh jadi disebabkan pitam akibat penat berjalan, kerana saya lihat peluhnya banyak mengalir.
Kemudian saya minta kain untuk mengelap peluh PAK HID.
Kira-kira setengah jam saya menunggu perubahan pada diri PAK HID, ternyata tidak ada perubahan. Dia terlentang juga  tidak bergerak sedikit pun.
Apakah pula yang menimpa diri PAK HID, ini yang menjadi persoalan saya ketika ini. Bimbang juga saya kalau ada orang-orang menyalah anggap akan kedatangan kami, seolah-olah menunjuk pandai di kampung orang. Oleh itu mereka bertindak mahu menguji PAK HID.
“Kalau boleh tolong panggilkan siapa dukun di sini...” pinta saya perlahan.
“Pak Teh inilah dukun” ujar Haji Semari yang duduk di pangkal serambi.
“Silalah Pak Teh, silalah tengokkan PAK HID ni” saya memanggilnya dekat kepada PAK HID.
“Saya serah pada ustaz laaa....” Pak Teh Aki juga menolak.
Serba salah juga saya dibuatnya. Saya tidak fikir Pak Teh Akin sengaja mahu menduga. Tentulah dia sendiri kecewa sebagai seorang dianggap dukun, tetapi lembunya sendiri terancam. Tetapi perkara demikian bukan masaalah dukun, siapa saja mampu mengatasinya adalah diharapkan oleh penduduk – penduduk di situ.
Setelah berfikir beberapa ketika, saya memegang kepala PAK HID. Peluh masih banyak mengalir di situ. Tidak ada tanda-tanda PAK HID diserang gangguan syaitan menyebabkan dia tidak sedar diri. Dia kelihatan seperti orang tidur sahaja.
Mula-mula mahu juga saya membiarkan dia sekejap lagi. Saya dapati PAK HID tidak ada gangguan apa-apa. Tetapi bimbang juga saya mahu membiarkan dia dalam keadaan demikian, disebabkan dia terbaring tidak sedarkan diri. Bibirnya kelihatan lebam sedikit, dan mukanya sudah pucat.
“PAK HID..” saya menampar-nampar pipinya.
Saya merenung dia tepat-tepat. Mata saya tidak berkedip memerhati muka PAK HID. Semakin lama semakin jelas kepada saya pada mukanya dia berligar-ligar jauh di satu kawasan lapang. Dia berjalan mengikut satu lorong yang dipenuhi belukar.
“PAK HID, awak tersesat ni” saya memanggilnya berulang kali.
Tetapi dia tidak menghiraukan saya. Ternyata dia terdengar suara saya memanggilnya, kerana setiap kali saya memanggil dia mengerling ke arah saya. Tetapi dia seolah-olah memarahi saya kerana memanggilnya ketika itu.
Setelah jauh saya mengikut dia, barulah saya ternampak PAK HID sampai di sepohon kayu ara rindang. Dia masuk ke dalam pohon ara itu langsung tidak dapat saya jejaki.
Cepat-cepat saya membaca Waddhuha untuk mempastikan ke mana arah PAK HID pergi. Saya juga terus menyusup ke celah-celah akar pohon ara seperti gua tempat berlindung.
Di situ juga saya lihat seorang wanita muda memakai baju putih nipis tertarap tidak dapat melarikan diri dari ancaman PAK HID. Saya  jauh sedikit melihat kelakuan PAK HID. Dapat saya dengar PAK HID berkata, “Hai pontianak mati beranak, ditimpa tanah tambun tambak, kerat temiang panjang pendek, buat pelemang hati jantung hempedu rawan engkau....”
Wanita muda itu berpaling ke arah PAK HID. Kemudian dia tunduk tersipu-sipu.
PAK HID terus berkata, “ Bertepuk jarum sebatang ditapak tangan engkau, terbang telur sebiji di bawah ketiak engkau, menyapa emas sekupang di mulut kau!”  Perempuan itu mengerling PAK HID dengan senyum melirik.
“Sekarang....” ujar PAK HID lembut. “ Kau tak lepas dari tanganku, aku tahu asal kau jadi, orang beranak bunting asal kau jadi!” kata PAK HID macam memukau perempuan muda yang tidak dapat melarikan diri lagi.
Dari percakapan PAK HID itu dapat saya menduga mungkin itulah hantu pontianak. Apa yang saya lihat dia tidaklah hodoh, tetapi merupakan  rupawan seperti orang bunian. Tetapi dia bukanlah jenis makhluk halus bunian yang mengelirukan manusia dengan tipu helahnya.
Saya tidak tahu adakah pontianak juga bersikap demikian. Bagi saya setiap makhluk syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Tidak ada sebab mengapa manusia mesti berbaik-baik dengan makhluk seperti ini. Bagaimanapun apa yang dilihat mengenai PAK HID dia tidak takut kepada makhluk tersebut seebaliknya cuba menggoda dengan keupayaannya.
“Tolong jangan sentuh saya...” rayu wanita muda itu apabila PAK HID semakin hampir kepadanya. Kemudian dia mencapai anak kecil di dalam buaian yang tiba-tiba saja menangis. “Tolonglah, kesiankan anak saya ni” katanya meminta belas kasihan.
“Kau... “ jerkah PAK HID menudingkan telunjuk ke arah perempuan muda itu. “Mengapa menganggu ternakan orang-orang kampung?” dia tidak jadi mengeraskan suaranya, sebaliknya merendah perlahan.
“Anakku mahu makan” jelas perempuan itu lagi.
“Aku mahu kahwin dengan kau...!” tiba-tiba saja PAK HID melamarnya dengan tidak ada rasa segan silu. “Mahukah kau kahwin dengan aku, supaya anak kau tidak lapar” katanya tersengih-sengih merenung muka perempuan muda itu.
Perempuan itu tidak menyahut. Dia tersipu-sipu malu apabila PAK HID meluahkan isi hatinya demikian.
“Jawablah, mau atau tidak?” PAK HID mengherdik meyebabkan perempuan itu tersintak.
Sikap PAK HID ini jelas kepada saya adalah mempersendakan perempuan berkenaan. Ada ketikanya dia bersuara lemah lembut seperti orang memujuk rayu, tetapi adakalanya dia bersuara keras dan lantang. Saya membiarkan saja tindakannya.
Di sinilah saya lihat keistimewaan PAK HID. Dia dapat memainkan perasaan perempuan muda yang diserunya sebagai pontianak tadi. Memang perempuan itu sungguh rupawan. Kalau tidak-tidak kuatkan iman memang boleh tergoda juga dibuatnya. Tetapi apabila PAK HID mengajaknya berkahwin ternyata dia jadi gementar. Dia begitu takut dengan perkataan kahwin itu.
Anak kecil dalam buaian itu menangis merengek-rengek. Sekali sekali perempuan itu mengilai ketawa bila PAK HID memujuk rayunya. Tetapi dia cepat-cepat bertukar menjadi muram bila PAK HID mahu mengahwininya, apa lagi bila PAK HID mahu menyentuh tubuhnya.
“Kau malu ye...?”ejek PAK HID.
“Saya malu pada abang. Diri saya tak sama dengan abang...” sahutnya menunduk sedih.
“Kau malu tengkuk kau berlubang!” kata PAK HID ketawa kecil.
Dia tidak menyahut. Dia semakin gelisah apabila PAK HID mendedahkan semua rahsia dirinya. Betul juga kata PAK HID kepada saya bahawa pontianak sebenarnya malu bertemu dengan manusia. Tetapi kerana manusia takut kepadanya, maka manusia yang lari sehingga bayang sendiri pun disangka pontianak.
Memang PAK HID ini sangat berpengalaman dalam menghadapi pontianak. Saya lihat dia sentiasa mempermain-mainkan pontianak yang sudah terperangkap olehnya. Pontianak yang menjelma sebagai perempuan rupawan itu tidak dapat melarikan diri dari paksaan PAK HID.
Kau malu tengkuk kau berlubang?” ulangi PAK HID lagi.
Dia mengangguk lemah kerana PAK HID tahu akan rahsia dirinya.
“Kau berasal dari perempuan mati beranak bunting?” soal PAK HID keras.
“Mengapa kau ganggu ternakan orang kampung ni?” tanya PAK HID lagi.
“Anak saya lapar bang....” jelasnya.
“Balik, balik anak lapar. Aku kata kawin saja dengan aku” bentak PAK HID. Kemudian saya dengan PAK HID berkata seperti orang membaca serapah:
Datang kau dari bencah mahang
balik kau ke bencah mahang
datang kau dari rimba se kampung
balik kau ke rimba sekampung
datang kau dari langit hijau
sesak si purba nama engkau
datang kau dari kayu tinggi
puteri andam demi nama kau
datang kau dari mambang kuning
si kuning nama engkau
datang kau dari tebing runtuh
si buaya nama engkau
datang kau dari olak jeram
sideras nama engkau
datang kau dari batu besar
si gagah nama engkau
datang kau pagi
si geluguh si gelagah nama engkau
datang kau senja
si kilat kilat nama engkau
datang kau di hujan panas
singat singau nama engkau
Ketika ini PAK HID berkata demikian, perempuan muda itu tertunduk menahan perasaan sebak di dadanya. Dia kelihatan sedih bila PAK HID menyebut satu persatu rahsia dirinya.  
“Cukuplah bang, jangan sebut lagi. Malu saya bang....”rayunya meminta belas kasihan dari PAK HID.
Belum sempat PAK HID menjawab katanya itu, sekonyong-konyongnya kawasan gua bergegar seperti dilanda ribut. Satu kepulan asap hitam menjelma di antara tempat PAK HID berdiri dengan perempuan muda itu tertiarap. Kepulan asap itu bertukar menjadi manusia yang hodoh serta bermuka bengis. Dia mengancam mahu mencekik PAK HID.
“Hus, jembalang tanah, cemburu kau ye!” ejek PAK HID meludah kepulan asap yang membentuk lembaga manusia itu. Asap hitam itu menerpa ke arah PAK HID menyebabkan PAK HID jatuh terlentang. Dia memukul PAK HID dengan gada di tangannya, tetapi cepat-cepat PAK HID mengelak. Lembaga itu terus menyerang PAK HID dengan tidak memberi peluang langsung untuk bertahan.
“Kau yang jahat.....!” jerkah PAK HID marah. Berpeluh-peluh dia mengelak serangan lembaga berkenaan.
Ketika ini perempuan muda tadi mencapai anak kecilnya sambil mengilai kuat setiap kali lembaga dari kepulan asap hitam itu menerkam ke arah PAK HID.
Melihatkan keadan PAK HID benar-benar terancam, saya membacakan Surah Al-Ikhlas tiga kali kemudian menghembuskan ke arah asap berkepul hitam itu. Tiba-tiba dia terpelanting sambil memekik bila api membakar di sekelilingnya.
“Kau memukul curi.... “ jeritnya marah.
Saya berhenti dari membaca Surah Al-Ikhlas lalu saya menuding jari telunjuk ke arahnya. “Sekarang aku mahu kau bersedia...! cabar saya dengan suara keras.
Dia berdiri menghadap saya. Ketika ini PAK HID berlindung di belakang saya dalam keadaan termengah-mengah. Kemudian cepat-cepat dia mengawal perempuan muda tadi yang masih mengilai nyaring. Tetapi ilaiannya terhenti bila PAK HID kembali mengasak dia ke dinding gua.
“Apa kau mau sekarang?” ulangi saya mencabar lembaga hodoh dari kepulan asap tadi. Jelaslah lembaga itu bertubuh tegap sasa sebagai lelaki. Kulitnya hitam dengan mata merah menyala. Kult yang hitamitu pula berkedut-kedut seperti bekas terbakar.
Dia tidak menyahut tetapi melontarkan gadanya ke arah saya menjadi ribut kencang berputar-putar. Tetapi ribut berputar-putar itu tidak dapat memutar tubuh saya, kerana zikir saya tidak berhenti. Untuk melawan ribut kencang itu saya segera azan berulang kali.
Ribut itu berhenti serta merta. Lembaga itu menekup kedua telinganya. Semakin ditekup kuat, tiba-tiba kepalanya retak. Dia menjerit-jerit kesakitan.
“Pecah kepala aku...!” laungnya terlalu marah.
Saya terus azan. Gema azan itu meretakkan kepalanya. Dia cuba menekupkan tangan supaya retak di kepalanya dapat ditahan. Tetapi ternyata dia tidak bertahan dari gema azan itu.
“Aku tak mahu lawan dengan kau, aku nak lawan dengan PAK HID...” dia berguling-guling di tanah seperti cacing kepanasan. “Cukup, jangan pecahkan kepala aku. Sakit, aku tak tahan....” suaranya terketar-ketar.
“Apa pasal kau nak lawan PAK HID?” tanya saya menduganya.
“Dia nak kawin dengan bini aku” katanya.
“Mana PAK HID mau, bini kau tu syaitan macam kau juga...” saya mengejeknya supaya dia bertambah marah.
Dia tidak menyahut. Cepat-cepat dia bangun mahu menerkam PAK HID. Tetapi belum sempat dia mahu menerkam, saya lihat tubuh PAK HID sudah menjadi besar. Tangan PAK HID mencengkam tengkuknya seperti kucing mencengkam tengkuk tikus.
“Kau fikir kau cukup kuat nak lawan aku...” kata PAK HID.
Baru saya tahu PAK HID bukannya tidak berdaya menentang lembaga itu pada mulanya. Dia sengaja mempermain-main lembaga berkenaan. Bila PAK HID sudah boleh membesarkan dirinya, bererti kekuatannya memang tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana syaitan.
Memang PAK HID bukanlah orang sembarangan. Kalau dilihat dari segi zahir memang dia tidak ada apa-apa keistimewaan, kecuali berani membabi buta. Tetapi pandangan batin ini ternyata dia dapat mengecam semua makhluk halus  yang sukar dilihat manusia melalui mata zahir kita.
“Tunjukkan  jantan kau sekarang !” bentaknya tidak melepaskan leher lembaga berkenaan dari cengkamannya. Dia membacakan sesuatu doa kerana saya lihat mulutnya kumat kamit. Tiba-tiba tubuh lembaga iu mengerekot seperti kena bakar. Menjerit-jerit dia kesakitan.
“Tunjukkan  jantan kau !” suara keras PAK HID semakin marah.
“Ampun PAK HID, ampun...” lembaga itu menjadi gementar. “Menanglah awak, menanglah awak PAK HID” katanya terketar-ketar.
“Awak nak ganggu lagi ternakan orang kampung?” gertak PAK HID.
“Bukan aku yang ganggu, tapi dia...” ujarnya menunjuk ke arah perempuan muda yang tersedu-sedu mengendong anak. Lembaga itu terkial-kial juga kerana lehernya dicengkam oleh PAK HID. Tubuh PAK HID menjadi sepuluh kali ganda lebih besar dari tubuh lembaga berkenaan.
PAK HID memasukkan tubuh lembaga tersebut dalam genggaman tangannya.Kemudian dihembuskannya. Lembaga tersebut terpekik kuat dan lenyap dalam genggaman.
Kemudian asap hitam didalam gengamannya bertukar menjadi debu. Dia melemparkan debu itu ke udara hingga menjadi titik-titk percikan darah.
“Aku tak percaya kau, kenapa kau cari aku...! rungut PAK HID.
Setelah lembaga lelaki hodoh itu hilang dalam percikan darah, perempuan muda itu bertambah gementar. Dia tidak dapat melepaskan diri dari pukauan PAK HID.
“Kau pun pandai nak minta tolong...” PAK HID memarahi perempuan muda tersebut. “ Kau fikir aku nak sangat nikah dengan kau” katanya meludah ke tanah.
Perempuan itu tunduk memeluk anaknya erat-erat. Dia tahu PAK HID terlalu besar sepuluh kali ganda dari tubuhnya. Memang dari awal lagi dia sudah di pukau oleh PAK HID. Seluruh tubuhnya bagaikan dicucuk jarum apabila PAK HID mendedahkan satu persatu rahsia dirinya.
“Kau datang dari bencah mahang, balik kau ke bencah mahang. Kalau datang dari rimba sekampung, balik kau ke rimba sekampung. Jangan kau ganggu lagi anak cucu Malim Kerimun di sini...” seru PAK HID nyaring.
Perempuan muda itu mengangguk. Kemudian dia mengilai panjang bila angin kencang menerbangkan dia akibat dihembus oleh PAK HID. Kemudian kawasan tersebut dibakar oleh PAK HID. Selepas semua itu selesai dia terus mendapatkan saya.
“Terima kasihlah ustaz membantu. Saya terlalai tadi...” dia mengaku kepada saya.
Semasa saya membuka mata, saya dapati PAK HID sudah pun duduk. Dia sudah pulih dari tidak sedar diri. Apa yang saya alami bersama PAK HID memang tidak diketahui oleh jiran-jiran yang berkumpul di rumah Pak Tek Akin. Mereka hanya tahu PAK HID tidak sedarkan diri, manakala saya duduk bertafakur beberapa lama mengadap PAK HID yang berbaring tidak bergerak.
“Ada bunyi macam orang mengilai..” Pak Teh Akin menjelaskan.
“Di mana ?” tanya saya.
“Tak taulah.....”  ujarnya “Tapi jauh sayup-sayup dari arah kubur” dia memberitahu selanjutnya.
Semua orang yang berkumpul di situ mengaku seperti apa yang didengar oleh Pak Teh Akin. Ketika saya dan PAK HID mereka anggap tidak sedar diri tadi, memang jelas kepada mereka bunyi mengilai sayup-sayup dari arah tanah perkuburan. Gerun juga mereka mendengar bunyi ilaian nyaring itu.
“Lama dengarnya orang mengilai tu?” PAK HID pula bertanya. Dia sudah pulih segar seperti orang yang tidak mengalami apa-apa keadaaan tidak sedar diri. PAK HID seolah-olah baru bangun dari tidur saja,
“Sekejap timbul, sekejap hilang...” beritahu Jali yang duduk di sebelah saya.
“Kalau diizinkan Allah, tak ada lagi gangguan macam malam sudah-sudah,” kata PAK HID meminta air sejuk untuk membasahkan tekak.
Masing-masing heran dengan keadaan PAK HID. Orang tua itu tidak kelihatan langsung keletihan akibat tidak sedarkan diri tadi. Sekali sekala dia tersenyum mengerling ke arah  saya . Sukar juga saya mahu memberitahu mereka yang ada di situ bahawa PAK HID bukannya diserang penyakit pitam hingga tidak sedarkan diri.
Tentulah mereka tidak percaya kalau saya katakan PAK HID tidak sakit. Sebenarnya PAK HID sedang bertarung dengan syaitan, setelah berjaya memerangkap rakannya.
“Memang ustaz kita ni hebat...” PAK HID tersengih-sengih menampar bahu saya.
Semu aorang heran dengan kelakuan PAK HID. Saya terdiam tidak dapat bercakap apa-apa, kerana rahsia kami berdua tadi hanya kami berdua sahaja yang memahaminya. Mereka semua yang menyangka PAK HID benar-benar tidak sedarkan diri akibat pitam tadi, bertambah heran melihat PAK HID berkali-kali menepuk bahu saya. Seolah-olah PAK HID tahu apa yang berlaku kepadanya ketika tidak sedarkan diri tadi. Sebenarnya memang PAK HID tahu.

TAMAT

No comments:

Post a Comment