TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
039. JEMBALANG TANAH DI BUSUT HITAM
PANTANG LARANG turun temurun tetap dipegang oleh nenek
kukuh-kukuh menjadi petua yang mesti dipatuhi. Dia tidak akan melanggar pantang
larang dari yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kalaulah tidak
disebabkan dia sudah bertekad tidak mahu menjadi bidan lagi selepas saya
dilahirkan, memang neneklah satu-satunya bidan yang diharapkan oleh orang-orang
kampung.
Apalagi tatkala
orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan
seperti nenek saya inilah tempat mereka mengantung harapan. Bukan nenek sahaja
mereka perlukan Dukun Samid dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.
Sewaktu Mudim Encol
sunatkan Madun Calet tetiba saja darah turun membuak tak henti terpaksa dia
menjemput Dukun Samid. Selepas Dukun Samid bubuhkan tasak yang diambil dari
sawang di kasau atap cepat sahaja darah Madun Calet berhenti macam air disekat
empang.
Dukun Samid juga
tergesa-gesa menyuruh dijemput nenek saya sewaktu dia mengubati Melah
meracau-racau tidak menentu. Apabila nenek saya potongkan bawang merah ditenyeh
ke dalam piring berisi minyak kelapa,
lantas sahaja Melah bangun
tercengang-cengang tidak tahu apa telah berlaku pada dirinya.
Memang mereka
saling kerjasama menghadapi kesukaran sewaktu dijemput orang kampung lantaran
jauhnya pusat kesihatan dan jalan pula bertanah merah dan mengambil masa yang
lama untuk sampai ke pekan atau bandar.
“Saya tidak sanggup
lagi berbidan,” jelas nenek apabila dijemput orang setelah dia memutuskan tidak
mahu lagi berbidan. Tidak sanggup dia untuk menempuh geruh jika digagahi juga
membidankan ibu sarat mengandung.
Sudah jadi pantang
larang dia tidak boleh membidankan anak sendiri. Namun tatkala emak saya
terlantar sarat mengandung, nenek sendiri tidak dapat mengagak sama ada emak
saya sampai resa atau pun belum. Tidak ada tanda-tanda emak saya akan bersalin
sewaktu dia sarat mengandungkan saya.
Sebab itulah ayah
saya ke rumah Tok Aji dan Nenek Aji kerana kenduri sambutan Maulidur Rasul.
Menjadi kelaziman setiap tahun akan diadakan kenduri menjelang maulid di
madrasah nya untuk sama-sama bertahlil dan berselawat.
Hanya sebelum
maghrib tiba-tiba emak saya mula merasa perutnya sakit lantas melaung nenek dari tingkap disebabkan rumah kami saling
berdekatan. Sewaktu nenek datang bersama bapa saudara saya Usu Jusuh, hujan
mula turun rintik-rintik. Memang nenek sudah tahu emak saya tengah sakit nak
bersalin. Kalau mahu dipanggil bidan lain tidak sempat pula Usu Jusuh ke rumah
Tok Aji memberitahu ayah saya. Dalam keadaan terdesak itu nenek terpaksa
menyuruh Usu Jusuh memberitahu ayah saya fasal keadaan emak saya.
Sebaik saja diberitahu mengenai emak saya hampir mahu
bersalin ayah saya cepat-cepat balik ke rumah. Tok Aji dan Nenek Ajin terpaksa
juga teruskan kenduri disebabkan jiran-jiran sudah diberitahu. Hairan juga ayah
saya dengan keadaan tersebut disebabkan emak saya tidak ada tanda-tanda hendak
bersalin kecuali ikut ramalan bidan sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu
lagi.
Tetapi nenek saya sudah meraba perut emak saya memang terasa jelas resa akan
melahirkan itu sudah diketahuinya. Belum pernah lagi nenek tidak dapat mengesan
fasal ibu sarat mengandung mahu melahirkan. Dia satu-satunya bidan yang
berpengalaman di kampung itu. Bidan lain pun minta tunjuk ajar selepas dia
bertekad tak mau berbidan lagi.
"Memanglah sudah sampai resanya" kata nenek kepada
ayah saya.
Ketika ini Abang Tapa yang disuruh jemput Bidan Nah belum
lagi menjengah muka. Hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan ayah saya tidak
senang duduk. Abang Tapa adalah anak angkat nenek. Kalau dah menjemput Bidan
Nah tentu boleh singgah di rumah Pak Tua Mahat di Kampung Hulu.
Kalau Pak Tua Mahat datang sebelum emak melahirkan tidaklah
bimbang sangat nenek. Tetapi saat cemas ini tidak dapat dielakkan juga apabila
emak semakin sakit sebelum Bidan Nah datang. Sebaik sahaja azan Isya di surau
bersama deruan hujan lebat itulah saya
dilahirkan dengan nenek terpaksalah membidankan. Mahu tidak mahu nenek terpaksa
juga langgar pantang turun temurun. Apakala membidankan anak sendiri yang dalam
cemas demikian.
Sebaik sahaja saya dilahirkan, nenek jadi serba salah kerana
saya tidak menangis seperti bayi lazimnya. Dua belah tangan saya melekap ke
telinga seolah-olah bercantum tidak boleh direnggangkan. Dalam keadaan tidak
tahu apa mahu dilakukan itu inilah Tok Aji dan Nenek Aji datang dengan
berpayungkan daun pisang.
"Siapa bidankan anak ini?" Nenek Aji tanya sebaik
sahaja naik kerumah.
"Saya sendiri, bisan." sahut nenek lemah
disebabkan terpaksa melanggar pantang larangnya sendiri.
"Tapi budak ini tidak menangis nampaknya." ujar
nenek kesal dengan kejadian menimpa saya. Nenek percaya tentulah akibat melanggar
pantang larang yang menyebabkan saya dilahirkan tidak menangis langsung
seolah-olah bayi tidak bernyawa.
Cepat-cepat Tok Aji mengambil saya terus melekangkan tangan saya daripada
melekap ke telinga dengan membacakan Al-Fatihah tiga kali. Sebaik sahaja tangan
saya lekang daripada telinga barulah saya menangis sama seperti bayi lain.
Saat inilah Abang Tapa sampai dengan Bidan Nah dalam keadaan
basah kuyup. Setelah Bidan Nah sampai nenek serahkan semua urusan kepadanya
untuk mengerat pusat dan memandikan bayi.
"Kawan serahkan pada awaklah Bidan Nah," ujar
nenek terus sahaja mengelak.
"Tak usahlah risau bisan," Tok Aji sengaja
mengusik nenek yang resah dengan kejadian itu.
"Agaknya budak ini lahir tengah menyeru azan sebab itu
dia tak menangis," jelas tok Aji sambil ketawa lembut disebabkan nenek
saya kenal benar apabila melanggar pantang.
Sudah berapa kali anak-anaknya melahirkan memang nenek tidak
akan membidankan. Setelah menyedari anak-anaknya hampir bersalin nenek akan
segera menjemput Bidan Nah. Tahu sangat
Bidan Nah pantang larang nenek tidak
boleh bidankan anak sendiri. Bukan takat membidankan sahaja nenek pegang
pantang tu kejap-kejap malah mencabut akar kayu di tepi hutan juga dia tidak
akan melanggar petua. Selepas berselawat
sekiranya anak kayu tidak boleh
dicabut selepas sekali direntap nenek tidak
akan mengulanginya. Dia akan cari anak akar kayu lain pula.
Sebab itulah apabila mencari limau berlangir nenek mudah
sahaja dapatkan limau tatkala pokok2 limau lebat tidak berbuah. Selepas puas mencari limau dalam kampung sekiranya
tidak ada juga pokok yang berbuah
nescaya nenek duduk tercongok di perdunya. Setelah menepuk perdu pokok tiga
kali nenek akan membacakan jampi serapahnya
"Assalamualaikum hai nenek kayu, nenek penunggu segala
batu, aku nak minta sebiji limau buat ubat si anu aku tahu asal usul kau limau,
limpa anu asal kau limau, berkat la ila haillallah, hu........"
Setelah dihembuskan tiga kali ke perdu pokok nenek akan
mencungkil di perdu pokok dengan hujung mata parangnya. Di situ nescaya
tersembul sebiji limau sekalipun pokoknya tidak berbuah langsung. Memang
siapapun hairan bagaimana nenek boleh dapatkan buah limau tatkala sebatang pun
pokok limau dalam kampung tidak berbuah.
"Macam mana Kak Ibah dapat buah limau?" Bidan Nah
sendiri hairan disebabkan dia puas mencari limau untuk melanggir tembuni uri.
" Hah, ada di sebalik daunnya, awak tak tengok
betul-betul," sahut nenek sengaja berahsia. Tetapi mereka tahu selepas
nenek mecungkil perdu pokok berkenaan akan layu daun dalam tempoh tiga hari sahaja.
Hanya selepas nenek membidankan emak saya itulah nenek
menghidapi tokak dibuku lali kakinya. Terpaksa dia pupukkan dengan pucuk daun
kenan sampai berkerak-kerak keras namun tokaknya tidak juga sembuh. Ketika ini pusat saya juga membengkak
macam buah pinang tengah merah.
Apabila diberitahu kepada Tok Aji mengenai pusat saya itu
membengkak hingga bernanah dia pangkah saja dengan kapur sirih. Tok Aji bacakan
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas memasing tiga kali diikuti dengan doa yang khusyuk
daripada sanubarinya
" Allahumma ra-binnasi azhibalbasa
isyfiantasy-syafi...la syifa a illah syifa uka syifa an layu ghadiru
saqaman."
Dalam sehari semalam saja bengkak dipusat saya surut
tidak bertahan. Serentak itu tokak di
ibu lali kaki nenek saya juga mengecut macam terung dicelur air panas. Memang
nenek dapat mengagak segala geruh yang ditempuhinya disebabkan melanggar
pantang berbidan.
Bukanlah sehari dua dia mengamalkan petua yang diturunkan
oleh arwah emaknya sebelum jadi bidan kampung yang berpengalaman. Dia terpaksa
ikut sama mencabut akar kayu buat ramuan ibu bersalin sebelum diturunkan amalan
berbidan. Setiap akar kayu ditentukan khasiatnya biar hilangkan rengat gunakan
akar pasak bumi pecahkan angin diramu dengan akar tutup bumi kalau senggugut
pula carikan akar sangka buana. Nenek dilatih supaya mengenali setiap jenis
akar sebelum diturunkan petua tidak boleh merentapnya diulang-ulang sekiranya
tidak dapat dicabut sebaik sahaja digenjur sekali!
Selepas tahu ramuan akar kayu barulah diajar amalan mengurut
seluruh urat badan kalau dimasuki angin diurut
songsang kalau sengugut diurut menurun kalau terkena angin bisa perlu
dijampi sambar urat. Semuanya amalan yang diturunkan oleh arwah emaknya yang
mempunyai pantang larang yang wajib dipatuhi.
Setelah mahir fasal urut mengurut baharulah dia dilatih
dengan menyambut bayi. Kalau sampai resa beri minum air selusuh jikalau
songsang jampikan uri kalau disampuk syaitan nenek akan membakar kemenyan
menyeru pendampingnya membantu. Disebabkan menyeru pendampinglah dia mesti
mematuhi pantang larangnya biar sempurna segala amalan yang diturunkan
kepadanya.
"Kalau saya dah langgar pantang, cukuplah saya
berbidan," tutur nenek perlahan sebaik sahaja tidak berdaya mengubat tokak di kakinya. Ketika ini
dia sudah membakar menyeru pendampingnya bersemuka setelah menyedari dia
melanggar pantang.
"Kenapa awak bidankan anak sendiri?" gerutu Tok Syeikh menjelma didepannya dengan
jubah serba kuning.
"Habis nak biar je anak kawan beranak tak
berbidan!" sahut nenek mencebek bibir meluahkan rasa hati yangmendongkol.
"Tapi awak tak kerat pusat, awak juga tak mandikan bayi
itu." ujar Tok Syeikh perlahan memujuk nenek kerana nenek tidak melanggar
pantang larang yang ditetapkan.
"Memang kawan tak langgar pantang, tapi kenapa tokak di
ibu lali kaki kawan ni?" marah benar nenek disebabkan tokaknya belum surut
setelah berminggu.
" Hah, tokak awak bukan pasal langgar pantang."
kata tok Syeikh menyakinkan nenek.
"Jadi apa ke he nya?" nenek berang dengan riak Tok
Syeikh yang tersengih-sengih memandangnya.
"Awak terpijakkan tempat jembalang tanah berumah,"
ujar Tok Syeikh menuding ke arah ular hitam yang garang mengangkat kepala di
tepi belukar tempat nenek menebas tapak semaian padi.
"Kenapa Tok Syeikh tak lindungkan kawan?" lantas
nenek menyindirnya kerana tidak dapat bertahan daripada gangguan syaitan yang
menjelma menjadi ular hitam di tepi belukar.
" Macam mana nak lindungkan, sebab awak lalai sampai
terpijak tempat dia," dalih Tok Syeikh terpaksa berundur apabila ular
hitam itu mahu menerkam ke arahnya.
Sambil berligar-ligar Tok Syeikh terpaksa memukul kepala
ular itu dengan tongkat buluh tumpat bewarna kuning. Terpelanting ular hitam
itu akibat dipukul kepala hingga bergulung-gulung mengelepar. Tetapi ular hitam
tidak mengalah sekalipun terkitai-kitai kepala selepas dipukul kuat. Tubuhnya
beransur-ansur jadi asap debu hingga bertukar jadi perempuan tua dengan rambut
beruban mengerbang serta muka berkerut hodoh.
Belum sempat Tok Syeikh mara ke hadapan memukul tongkat
buluh tumpatnya, perempuan tua itu menghentakkan tongkat batang bembannya
hingga memancar api yang menyambar. Terpaksa Tok Syeikh undur ke belakang lantas
membuka serbannya terus dikibaskan ke api yang menyala marak.
Api yang marak itu bagaikan ditiup angin kencang meliuk
kearah perempuan tua itu hingga hampir
menyambar rambutnya yang mengerbang putih. Terdengah-dengah perempuan tua itu
mengelak api. Terketar-ketar dia melompat ke atas busut hitam dalam keadaan
termengah-mengah.
"Nak berlawan sangat awak ni Tok Syeikh!" ejek
perempuan tua hodoh itu melenggok-lenggok kepalanya laksana ular diterpa musuh.
"Kalau awak nak cuba apa salahnya." sahut Tok
Syeikh menghentak-hentak tongkat buluh tumpatnya.
"Awak penghulu bunian, kenapa nak tolong Bidan Ibah
ni?" terketar-ketar perempuan tua itu bersuara sambil mengerling nenek
yang bersimpuh membiarkan asap kemenyan berlabun ditengah rumahnya.
"Kenapa pulak awak jembalang tanah nak mengganggu
dia.!" jerkah Tok Syeikh mengejeknya.
"Selagi aku ada jangan cuba nak ganggu sahabat aku
ini." dia memberi amaran menudingkan tongkatnya ke muka perempuan tua
berambut putih mengerbang itu.
Tertunduk perempuan tua itu apabila Tok Syeikh menuduhnya
jembalang tanah. Saat ini dia tidak dapat menyembunyikan dirinya setelah nenek
dapat membaca rahsia perempuan tua berkenaan. Apabila perempuan tua itu cuba
memusingkan badan, Tok Syeikh menghembus ke arahnya, menyebabkan tiba-tiba sahaja
jaring besi jatuh dari udara menyerkupnya.
Terlalu marah perempuan tua rambut putih mengerbang itu
disebabkan terkurung dalam serkup jaring besi. Puas diketuk-keuknya dengan
tongkat batang bemban jaring besi itu tetap tersergam kukuh. Kemudian dia membongkok
mengambil menggenggam pasir lantas dilemparkannya ke arah jaring besi itu
hingga terpokah bagaikan cair dilebur ke tepi.
Terkekeh-kekeh dia ketawa mengejek sebaik sahaja dapat
membolos keluar daripada serkup jaring besi itu. Ketika ini Tok Syeikh membisikkan
kepada nenek supaya membacakan “Unggun-unggun anggah-anggah datang nenek
tongkat besi, terlanda engkau patah
terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu budang badang, siah kiri siah
kanan siahkan kata aku, aku tahu asal kau jadi, darah ular sekati munur asal
kau jadi, Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata baginda
Rasulullah, berkat la-ila haillallah hu....”
Habis sahaja membaca jampi serapah yang diajarkan oleh Tok
Syeikh, dia melihat Tok Syeikh berundur ke belakang . Perempuan tua rambut
mengerbang putih itu terpinga-pinga
apakala mendengar tanah bergegar bagaikan dipijak tapak kaki sebesar bukit.
Nenek terus memejamkan mata membiarkan asap kemenyan melabun sehingga menyelubungi
seluruh badannya. Di tengah-tengah gegaran tanah itu dia mendengar suara Tok
Aji mendehem jauh di udara. Apakala nenek mendongak dia melihat Tok Aji
berjalan di udara laksana berjejak di tengah halaman.
“Saya tidak sanggup lagi lindungkan Bidan Ibah, Aji.” lemah
sahaja suara Tok Syeikh menunduk sebaik sahaja Tok Aji tercegat di depannya.
“Kamu juga makhluk Allah, tak berhak lindung sesama
makhluk,” Tok Aji mengingatkan Tok Syeikh yang tersengih-sengih malu disindir.
Tok Aji memang mengetahui sememangnya perempuan tua rambut
putih mengerbang yang dipanggil jembalang tanah itu tidak akan mampu menewaskan
Tok Syeikh, penghulu bunian itu. Tetapi Tok Syeikh sendiri tidak berupaya
melindungkan nenek sekiranya diganggu. Kalaulah tidak disebabkan hati nenek
cekal melawan gangguan itu nescaya dia juga tewas tidak dapat bertahan.
Kemunculan Tok Aji
secara tiba-tiba itu menyebabkan perempuan tua berambut putih mengerbang itu
menggelisah tidak menentu. Tatkala dia cuba menghambur dari busut hitam kakinya
tiba-tiba menjadi lemah. Menyeringai dia menampak gusi yang bergigi jarang
laksana anjing disorongkan belantan ke rahang.
“Aku bukan nak bermusuh dengan awak, Aji,” ujar perempuan
itu ketakutan menjadikan kulit mukanya yang bertambah berkedut bertambah hodoh.
Tok Aji tidak peduli apapun dituturkan oleh perempuan tua
berkenaan. Dia merenung tepat muka hodoh perempuan tua tergolek ke tepi busut
hitam terkial-kial berpaut disitu. Belum sempat dia bangun berdiri tegak, Tok
Aji mengisar tapak tangan membacakan al-Ikhlas tiga kali menyebabkan perempuan
tua itu terhenyak. Terketar-ketar dia memegang pinggangnya bagaikan patah
dihentak kuat.
“Nak bunuh aku ke Aji?!” rungut perempuan tua itu menyeka
rambutnya yang beruban mengerbang hingga menutup muka. Tetapi Tok Aji tidak
hiraukan gerutu perempuan tua berkenaan.
Dia bacakan Ayatul Kursi 17 kali
dihembuskan sekali gus ke muka perempuan tua itu, hingga tiba-tiba sahaja
kulit mukanya cair bagaikan lilin dicucuh api. Kulit mukanya juga luruh laksana
kertas buruk terendam di air yang diramas-ramas kasar.
Apakala perempuan tua mahu meraba kulit mukanya biji matanya
juga tersembul keluar menyebabkan dia menjerit-jerit tidak ketentuan. Tok
Syeikh yang melihat kejadian itu juga menjadi gementar hingga tidak berani
bercakap sepatah pun. Sebaik sahaja tubuh perempuan tua melebur menjadi debu,
nenek juga tersentak di tengah-tengah rumah. Bara tempat membakar kemenyan juga
sudah padam menjadi arang. Terasa seluruh badannya berpeluh dengan ombak dada termengah-mengah.
Usu Jusuh yang berbaring di serambi sekadar mendengar nenek merungut-rungut
sahaja di tengah rumah.
Jikalau nenek membakar kemenyan tengah malam memang Usu
Jusuh tidak ambil peduli sangat. Dia tahu nenek menyeru Tok Syeikh datang
menjelma sekirannya dia terdesak.
Lainlah kalau nenek memanggilnya ambilkan air atau perkakas ubat-ubatan yang
diperlukan barulah Usu Jusuh membantu.
Bangun pagi esoknya nenek merasakan tokak di buku lali kaki
nya tidak lagi berdenyut sakit. Bengkaknya juga sudah mula mengecut. Tatkala
dia datang menjengah saya, memang nenek menghela nafas lega setelah melihat
bengkak di pusat saya sudah seruh benar.
Dia tahu memang Tok Aji yang doakan supaya bengkak di pusat saya cepat sembuh.
Tidak lama selepas kejadian itu tiap-tiap malam pula saya
kembung perut sehingga menangis santak dinihari. Gelabah juga emak dan ayah
saya disebabkan kembung perut itu sampai keras macam kulit tabuh surau. Puas
ayah saya doakan, tetapi kembung perut
itu hanya reda untuk seketika sahaja. Tatkala saya tenar menangis, ayah saya
bacakan sahaja surah al-Ikhlas sampai 100 kali. Habis sahaja ayah saya bacakan
surah tersebut, lantas sahaja saya
terberak tidak bertahan. Selepas terberaklah barulah saya tidur nyenyak sampai
ke pagi.
Tetapi malam itu esok pula kembung perut itu berulang kali.
Kesal juga nenek kerana dia melanggar pantang larang berbidan, sekali pun Tok
Syeikh memberitahu dia tidak melanggar apa-apa pantang larang yang ditetapkan
kerana tidak memotong pusat dan tidak memandikan bayi. Macam manapun nenek
tetap merasa dirinya bersalah menyebabkan saya sentiasa sakit sahaja semasa
baru dilahirkan sampai berusia enam bulan.
“Biarlah nenek tak
berbidan lagi,” beritahu nenek selepas bertahun-tahun dia mengambik keputusan
nekad berhenti terus menjadi bidan. Puas
dipujuk orang-orang kampungnya, nenek tetap dengan keputusannya. Dia
tidak akan menjadi bidan lagi selepas sahaja saya dilahirkan.
“Kenapa nenek mesti terima pantang larang?” sengaja saya
mengusik apabila sesekali berkunjung ke rumahnya.
“Hah, adat kita berbidan mestilah ikut pantang larang,”
jelas nenek perlahan.
“Kalau di hospital nak jadi bidan kena pakaian serba putih,
jadi pantang larang inilah pakaian bidan kampung,” tersengih-sengih nenek macam
sindir saya.
Nenek percaya gangguan yang saya alami semasa kecil memang
jelmaan jembalang tanah yang mengambil kesempatan apabila nenek melanggar
pantang larang. Tetapi Tok Aji sekadar menjelaskan “Apapun penyakit datangnya
daripada Allah S.W.T untuk menguji kesabaran hamba-hambaNya.”
Kejadian yang saya alami itu memang tidak pernah saya tahu
langsung. Kalaulah tidak diceritakan oleh nenek, manalah saya tahu kejadian pusat saya membengkak
sebesar buah pinang masak menyebabkan
pusat itu tersembul sebaik sahaja sembuh. Bimbang juga emak saya kalau-kalau
bengkak berkenaan boleh menyebabkan perut berkulit lembut itu akan berlubang
pesuk.
“Tapi Allah mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi,”
tutur nenek apabila kenangkan kejadian yang menimpa saya semasa baru dilahirkan
dulu.
Hinggalah nenek meninggal dunia memang dia tidak lagi mahu
membidankan sesiapa sahaja, setelah dia nekad membuat keputusan. Tetapi ke mana
pun dia pergi orang-orang kampung tetap memanggilnya bidan juga. Sebab itulah
terkejut juga saya apabila Ngah Khatib yang sudah lama berpindah ke Segamat
memberitahu fasal nenek saya menbidankan menantunya tengah mengerang sakit
sebelum menjemput bidan klinik dijemput datang. Memang menantunya Mejirah
dibenarkan bersalin rumah sahaja disebabkan bersalin kali kedua.
Sebaik sahaja anaknya Sidin menunggang motorsikalnya ke
klinik bidan yang bertugas sudah ke kampung lain untuk membidankan orang.
Gelabah juga Sidin disebabkan seorang sahaja bidan bertugas di kampung
berkenaan dalam masa dua orang ibu sarat mengandung hampir melahirkan anak. Terpaksalah
Sidin berpatah berpatah balik. Setidak-tidaknya dia boleh meminta bantuan
jiran-jiran supaya membawa isterinya ke hospital sahaja. Dalam keadaan senja
semakin gelap, masih ada masa lagi kalau mahu membawa Mejirah ke hospital
sahaja.
Tatkala membelok masuk ke simpang kampungnya dari jalan
besar, Sidin ditahan oleh nenek saya.
Tergamam juga Saidin disebabkan dia kenal benar dengan ayahnya Ngah Khatib.
Memang dia tahu ayahnya datang dari daerah yang disebutkan boleh nenek saya
tetapi sudah lama dia tidak jejak kaki
balik ke kampung.
Semenjak berpindah dari kampung halaman ke Segamat, Ngah
Khatib tidak pernah lagi jengah muka. Apa sangat yang mahu diharapkan dia
sendiri tidak ada saudara mara setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia.
Apalagi kedua ibu bapa menumpang di tanah nenek untuk tegak rumah semasa di
kampung.
“Eh, Mak Ibah buat apa ke Segamat ini?” terkejut juga Ngah
Khatib apabila anaknya Sidin membawa nenek
saya balik ke rumah bersamanya.
“Aku nak ke rumah Angah, tak tahu di mana,” keluhnya pendek
sambil menunjuk alamat saya sewaktu tinggal di Segamat beberapa tahun lampau.
“Dia tinggal di sini ke?” terkejut juga Ngah Khatib apabila
diberitahu saya ada di Segamat. Dia sendiri tidak cam muka saya
walau terserempak sekalipun kecuali tahu sangat saya cucu Bidan Ibah.
Alamat tempat tinggal
saya yang ditunjukkan oleh nenek itu memang jauh dari kampung berkenaan. Masakan nenek boleh
sampai tatkala malam sudah bertambah gelap. Lagipun tidak ada lagi bas melintas
setelah lebih jam 5 petang.
Disebabkan Merijah semakin sarat mahu melahirkan anak, Sidin
tidak peduli sangat kedatangan nenek yang menjadi tetamunya. Dia gelabah mahu
membawa isterinya ke hospital sahaja
setelah meminta pertolongan jiran-jiran. Mereka terpaksa pula mencari kereta
sewa di pekan kecil yang berdekatan sedangkan keadaan Merijah sudah tidak boleh
ditahan-tahan lagi.
“Mak Ibah, tolong tengokkan menantu saya ini, “ desak Ngah
Khatib cemas melihat keadaan Merijah.
Nenek saya tidak meyahut. Dia mara kehadapan meraba-raba
perut Merijah, Kemudian dia menggeleng kepala sambil bertutur perlahan, “ His,
songsang kedudukan budak ini,”
Lantas nenek meminta air segelas. Setelah dihulurkan
kepadanya dia menghirup sedikit bagaikan
terkumur-kumur, kemudian disemburkannya ke perut Merijah. Apabila tangannya
membetulkan punggung bayi di dalam
kandungan yang terdorong ke bawah, dengan menolak kepalanya ke bawah, tidak
sampai beberapa minit Merijah selamat melahirkan bayinya. Macam manapun nenek
enggan memotong pusat bayi. Terpaksa pula menunggu bidan klinik yang sudah
dipesankan oleh Sidin. Dalam masa beberapa minit sahaja bidan berkenaan sampai
dengan termengah-mengah kerana dia tidak
menyangka Merijah nak bersalin pada hari berkenaan.
Tetapi dia tidaklah
membantah setelah dibantu oleh nenek saya membidankan bayi berkenaan. Bidan
klinik mengerat tali pusat dan memandikan bayi. Nenek bermalam juga di rumah
Ngah Khatib sebelum esoknya berkeras mahu cari tempat saya tinggal.
Tiga hari selepas Merijah selamat bersalin, Ngah Khatib
mengajak anaknya Sidin mencari rumah saya. Dia percaya tentu nenek masih belum
balik ke kampung. Terhutang budi benar dia pada nenek setelah membantu
membidankan Merijah. Kalau nenek tidak
datang dalam saat Merijah mengerang-ngerang sebelum bidan klinik sampai, memang
Ngah Khatib mati akal. Apalagi Bidan Temah tidak berani membantu setelah meraba
bayi dalam kandungan itu songsang. Kak Temah sendiri mendesak supaya Merijah
dibawa ke hospital sahaja jika bidan klinik tidak sampai.
Dalam saat cemas inilah Ngah Khatib berulang kali
menyebut nama nenek fasal kemahirannya
membidankan sekalipun bayi itu songsang kandungan. Tahu sangat Ngah Khatib
disebabkan dia lama duduk di tanah nenek sampai berkawan rapat dengan Abang
Taha anak angkat nenek. Tetapi Ngah Khatib tidak menyedari nenek tidak lagi
membidankan setelah saya dilahirkan.
Sehingga dewasa pun Ngah Khatib tak tahu nenek tidak berbidan disebabkan
bekerja di estet. Hanya sekali sekala menjengah emak dan ayahnya sahaja semasa
hidup lagi. Selepas kedua-duanya meninggal memang Ngah Khatib tidak balik ke
kampung lagi.
Hampir tak tercam saya sewaktu dia menjengah di halaman memberi salam.
“Macam mana Ngah tahu saya tinggal disini?” hairan juga
saya tiba2 dia terjengah lantas
mempelawanya naik kerumah.
Tersengih-sengih dia. Perkara dapat mana alamat tidak lagi
penting setelah berjumpa setelah dua puluh tahun tak bersua menyebabkan
masing-masing banyak berubah. Tubuh dia sudah gemuk dengan kepala botak di
tengah dan beruban rambut di tepinya tidak sama sewaktu dia balik sekali sekala
menjengah emak dan ayahnya.
Lama dia mejengah-jengah kedalam rumah saya macam mencari
seseorang, barulah Ngah Khatib memberitahu mengenai nenek membidankan
menantunya Merijah. Kalau disebabkan nenek tidak memberi alamat tentulah dia
tidak akan tahu dimana saya tinggal.
“Ah, takkan nenek yang bidankan.” getus saya tidak percaya.
“Betul ustaz, saya yang
bawa dia naik motorsikal,”sampuk Sidin fasal terserempak nenek di simpang ke
jalan besar selepas turun dari bas.
“Nenek tak mahu bidankan orang lagi,”jelas saya selanjutnya.
“Dia kata nak ke sini, tak ada dia datang,” Ngah Khatib
bertanya setelah menunggu nenek tidak juga keluar.
Barulah saya menghela nafas sambil beristighfar panjang
menginsafi akan kebesaran Allah Azzawajalla. Terasa begitu kerdilnya diri di
sisi Allah Yang Khaliq. Tidak saya sedari pelupuk mata digenangi air menahan terharu menyebak di dada. Apabila
kenangkan seumur hidup tidak mahu lagi berbidan, tiba-tiba sahaja membantu
menantu Ngah Khatib sewaktu lelaki itu berulang kali menyebut namanya.
“Kalaulah Mak Ibah (nenek) ada tentulah tak susah Merijah
nak bersalin,” tidak putus-putus Ngah Khatib menuturkan setiap kali melihat
anaknya Merijah mengerang-ngerang kesakitan.
Sebab itulah tidak bertangguh lagi dia mencari tempat
tinggal saya setelah nenek memberitahu akan ke rumah saya. Sekalipun Sidin mahu
menghantarkan, tetapi dia sekadar menyuruh anak muda itu menjaga isterinya.
“ Sebenarnya, nenek sudah meninggal lebih 15 belas tahun
dahulu,” bisik saya perlahan menyebabkan Ngah Khatib tersentak tidak percaya
dengan perjelasan saya.
Ketika ini saya melihat pelupuk mata Ngah Khatib juga digenangi
air mata.
TAMAT
No comments:
Post a Comment