Thursday, December 10, 2015

075. ULAR MENJADI PEREMPUAN



TOK AWANG NGAH – SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN

075. ULAR MENJADI PEREMPUAN

    TIDAK tahu apa puncanya Sonel ketawa memanjang sambil menghantuk-hantuk kepala ke dinding rumah. Terkejut Hajah Encom melihat kelakuan anak mudanya yang tiba-tiba sahaja berkelakuan ganjil. Kalau mahu dikatakan Sonel tidak berduit disebabkan menganggur, tidak pula. Kalau ya pun, Hajah Encom tidak keberatan memberinya.
Bukanlah banyak sangat belanja Sonel setiap hari. Kalau setakat membeli rokok sebungkus, bila-bila Hajah Encom sanggup menanggungnya. Lagipun, bukan selama-lamanya Sonel menganggur. Mungkin dalam masa sebulan dua ini, dia boleh mendapat pekerjaan. Setidak-tidaknya memasuki askar pun sudah memadai.
Memang Sonel sudah memohon menjadi askar. Sudah pun pergi interviu untuk menyertai rekrut. Sebab itu Hajah Encom tidak percaya sangat kalau Sonel berkelakuan ganjil kerana tidak ada wang.
Semasa Haji Mahdar datang menjengah anak saudaranya itu, Sonel tidak henti-henti ketawa. Hairan juga dia. Haji Mahdar juga tidak percaya Sonel jadi begitu disebabkan tidak berduit kerana lama sangat menganggur.
Kalau menganggur pun bukan bermakna Sonel tidak mempunyai wang. Haji Mahdar tahu, ayah tirinya iaitu datuk Sonel, banyak meninggalkan bendang untuk anak-anaknya. Malah, dia sendiri pun mendapat sedikit bahagian peninggalannya. Hampir juga dia bermasam muka dengan Hajah Encom disebabkan dia hanya anak tiri sahaja kepada arwah Haji Derani. Bagaimanapun tidak lama Hajah Encom bermasam muka dengannya.

Haji Mahdar dengan Hajah Encom adik-beradik satu emak. Selepas ayah Haji Mahdar, Parjan, meninggal dunia dalam kemalangan di Sekinchan, emaknya berkahwin pula dengan Haji Derani di Sungai Besar. Tetapi Haji Derani sudah menganggap dia sama macam anak sendiri juga.
'Sonel, kenapa kau?' Haji Mahdar mendekati anak saudaranya sebaik sahaja dia naik ke rumah.
Sonel terus ketawa memanjang. Sekali-sekala dia menghantukkan kepala ke dinding hingga Iebam. Hajah Encom sudah kebingungan tidak tahu bagaimana mahu menghalang.
'Saya dah tak tau apa nak buat, Bang Aji,' beritahu Hajah Encom menahan sebak di dada.
Anjang Saemah yang ikut sama, cuba menenteramkan adik iparnya itu. Memang siapa pun risau menghadapi keadaan demikian. Tiba-tiba sahaja Sonel berkelakuan ganjil. Kalau sakit boleh juga dibawa ke hospital untuk dirawat, tetapi Sonel bukannya sakit. Dia sekadar berkelakuan ganjil.
'Bila dia mula kena macam ni?' soal Anjang Saemah, memegang bahu adik iparnya.
'Sejak subuh tadi. . ujar Hajah Encom terputus-putus, menahan kegelisahan yang kian menusuk.
'Emmm, malam tadi ada ustaz datang.' Cepat sahaja Anjang Saemah teringatkan saya.
'Kalau dia singgah masa balik dari Sitiawan, bolehlah dia tengokkan Sonel.' Haji Mahdar pula menyambung.
'Tak kan dia singgah lagi.' Anjang Saemah menghela nafas.
Hajah Encom tidak peduli sangat apa yang difikirkan oleh Haji Mahdar dan Anjang Saemah. Sama ada saya singgah atau tidak di rumah Haji Mahdar dalam perjalanan balik dari Sitiawan, tidak penting pada dia. Hajah Hncom hanya mahu ikhtiarkan sama ada Sonel perlu dibawa ke hospital atau tidak.
Kalau mahu diubati cara kampung, siapa pula yang perlu dicari. Dia pun bukan tahu sangat dukun bagaimana yang sesuai dipanggil. Wak Mat di kampung nelayan hanya sekadar berkebolehan mengubati bisul atau barah kulit. Tentu Wak Mat tidak sanggup sekiranya dijemput mengubati Sonel. Lagipun, sakit ganjil Sonel itu tidak pernah pula berlaku.
Malim Baluh pula mana tahu mengubati penyakit? Dia hanya berkebolehan mendekut burung ruak-ruak. Hajah Encom percaya Malim Baluh juga tidak tahu bagaimana mahu mengubati Sonel.
Memang dia sudah mengagak beberapa orang dukun di situ, tetapi Hajah Encom tidak berani mencuba. Manalah tahu penyakit anaknya akan bertambah pasang pula.
'Tapi, kita tak boleh biarkan Sonel macam ni!' Haji Mahdar mula keraskan suaranya. Mana boleh bertagan-tagan kalau mahu mengambil keputusan. Kalau semua sudah tidak boleh diharap, siapa lagi yang mahu digantungkan harapan?
'Tidak-tidaknya kita cuba Malim Baluh dulu. . .,' cadang Anjang Saemah.
'Terpulanglah pada Bang Aji.' Terpaksa juga Hajah Encom mengalah setelah keadaan Sonel tidak dapat dikawal.
Apabila Hajah Encom sudah memberi persetujuan, Malim Baluh dijemput pada petang itu juga. Ketika Malim Baluh menunggang motosikal Hondanya melalui permatang parit, hampir terbabas dia ke dalam selut sawah apabila seekor ular tedung selar menunggu di hadapan. Tergamam dia apabila diadang ular tedung selar yang garang mengembangkan leher.
Apa salah aku awak adang ni, pendekar?' Segera dia merendahkan suara apabila melihat ular tedung selar itu.
Ular tersebut merendahkan kepalanya semula setelah ditegur lembut oleh Malim Baluh, tetapi ia tetap tercegat di situ dengan lehernya terkembang.
cBagi aku lalu, pendekar. . ujarnya semacam memahami kemahuan ular tersebut.
Disebabkan ular itu tidak juga menyisih, Malim Baluh menongkatkan motosikalnya. Tiga kali dihentak- kannya tumit ke tanah, lantas membacakan:
Bismillahi masya-Allah lay a suqul khairu ilallah, bismillahi masya- Allah layas riful su ilallah, bismillahi masya-Allah makana minnikmatin faminallahy bismillahi masya-Allah layaii bil hasnata ilallah, bismillahi masya-Allah lahaula wala quwwata ilia billa.
Kemudian, Malim Baluh memusingkan pula badannya tiga kali dengan mengisar dua tapak tangannya.
'Aku tak cari musuh, tapi nampaknya awak berniat salah!' Malim Baluh melepaskan geram apabila diadang oleh ular tersebut.
Melihatkan Malim Baluh mula marah, ular tersebut kembali meninggikan kepala dengan ekornya sahaja cecah ke bumi. Berbayang-bayang leher ular itu mengembang disilau cahaya matahari yang memancar.
'Kalau geruh pun, tak ralat aku, pendekar!' Malim Baluh sudah nekad mahu melawan musuh di hadapannya. Dia berundur tiga langkah, lantas mengunci tumit ke bumi, bagaikan menumpu pasak.
Bagaimanapun, ular berkenaan tidak juga menerkam. Kalau ia menghambur memang boleh sampai ke tempat Malim Baluh berdiri. Tentu ia boleh memagut ubun-ubun mangsanya. Memang ular tedung selar tidak mematuk bahagian lain mangsanya apabila geruh tiba. Dia akan mencari ubun-ubun atau bahagian sendi sahaja.
Malim Baluh juga tidak berundur lagi. Tumitnya bagai terlekat pada tanah hingga tidak boleh direnggang lagi. Dia tahu ular itu sengaja mencari geruh, apabila dia dalam perjalanan ke rumah Hajah Encom untuk mengubati Sonel.
Sudah tentu perjalanannya diadang apabila Sonel bukan lagi diganggu ilmu hitam. Tentu ada gangguan lain yang merasuk anak muda itu. Kalau sekadar ilmu hitam, masakan terserempak jelmaan ular tedung selar di situ. Tentu di hadapannya bukan ular biasa yang tersesat meranduk belukar.
'Kalau awak sengaja nak cari geruh, terpaksalah kita berlawan,' ucap Malim Baluh semacam mencabar. 'Belum tentu geruh siapa lagi petang ni!' Dia mengertap bibir dengan menekan kuat tumit ke bumi.
Sekaligus ular itu melompat, tetapi terkamannya bagaikan tertampan pada cermin kaca. Dia terpelanting semula ke belakang. Cepat-cepat dia menegakkan semula kepalanya mahu mengancam lagi.
'Inni tawakkaltu 'alallahi rabbi warabbikum, mamin dabbatin ilia hua ahizun bina siyatiha, inni rabbi 'ala siratimrnustaqim.'
Malim Baluh berikhtiar membacakan doa-doa daripada ayat al-Quran. Selebihnya terserahlah kepada ketentuan Allah subhanahu wa taala.
Dicubanya juga menerkam sekalipun terpelanting bagaikan tertampan ke tembok keras. Menggelupur ia beberapa ketika. Kemudian, ia mengangkat kepala se­mula sambil melenggok-lenggok seperti ranting aur di tengah arus deras.
Ketika inilah Safar, anak Haji Mahdar, sampai mahu menjengah Malim Baluh. Memang puas mereka menunggu. Bimbang juga kalau-kalau Malim Baluh terlupa. Sebab itulah Safar datang menjengah.
'Jangan mara, Safar!' perintah Malim Baluh sebaik ternampak Safar menuju ke arahnya. Cepat-cepat Safar menongkat motosikal Hondanya untuk mencari buluh atau kayu, mahu membantu.
'Kau balik dulu, Safar. .’ ujar Malim Baluh, tidak mahu anak muda itu masuk campur. 'Kau beritahu Abang Aji, kejap lagi aku datang,' katanya, menyuruh Safar berundur.
'Habis, Abang Malim macam mana?' Safar tidak sampai hati mahu meninggalkan Malim Baluh dalam keadaan terancam demikian.
 “Biarkan alai sendiri,” Laung Malim Baluh, tidak lepas menekan tumitnya ke tanah.
Serba salah Safar mahu berundur. Dia tidak boleh membiarkan Malim Baluh diancam. Ular tedung selar memang jahat. Mudah sahaja menerkam mangsa apabila terserempak. Patukannya terlalu bisa kalau singgah pada bahagian ubun-ubun.
Sebab itu Malim Baluh perlu dibantu. Setidak-tidaknya carikan buluh panjang untuk dihambat ke kepala ular berkenaan. Hanya buluh yang mampu melemahkan tenaga ular yang garang begitu.
'Biar aku carikan buluh, Abang Malim.' Safar memberi jaminan untuk membantu. Cepat-cepat dia memusing balik motosikalnya mahu berundur.
'Jangan, fasal ini bukannya ular. Setan!' gerutu Malim Baluh, menyuruh Safar balik segera.
Tetapi Safar tidak terus balik. Dia menyimpang mengikut permatang di parit lain untuk keluar ke jalan besar. Saat ini Wak Mat perlu dipanggil. Dia tahu benar fasal Wak Mat kalau terserempak ular. Mudah sahaja dia menangkapnya, macam binatang jinak tidak melawan apa-apa.
Bukan setakat boleh mengubati bisul atau bengkak urat sahaja. Orang kampung pun tahu keistimewaan Wak Mat. Anjing gila yang galak menyalak pun akan terkunci mulut apabila Wak Mat menekan jari ke tapak tangan.
Buaya di Sungai Tengi pun jinak kalau Wak Mat sudah kocakkan air dengan kakinya. Sebab itu Safar terus mencari Wak Mat di rumahnya. Orang tua itu tengah membetulkan hulu parang semasa Safar sampai.
Tidak sempat Safar memberitahu mengenai Sonel yang diganggu sakit ganjil. Tergagap-gagap dia menceritakan pada Wak Mat mengenai ular tedung selar yang mengancam Malim Baluh.
'Cepat, Wak! Abang Malim diancam ular,' beritahu Safar dalam keadaan kelam-kabut tidak keruan.
'Ular apa pulak?' Hairan Wak Mat melihat Safar ketakutan macam ayam terserempak helang sewah.
'Ular tedung selar,' sahutnya, terputus-putus suara.
'His. . .’ Malim pun boleh jinakkan ular tu!' ujar Wak Mat semacam tidak percaya Malim Baluh memerlukan pertolongan dia.
Masakan ada binatang liar berani mengganggu Malim Baluh. Kalau masuk ke hutan, katak puru pun tidak akan melintas di depannya. Bagaimana pula tiba- tiba dia tertewas diancam ular tedung selar.
'Cepatlah, Wak Mat!' gesa Safar semakin cemas.
Terpaksa juga Wak Mat tergopoh-gopoh mengikut kemahuan Safar. Lantas dia membonceng motosikal anak muda itu. Mereka sama-sama ke permatang parit tempat Malim Baluh diancam ular tedung selar.
Sebaik sahaja sampai dari arah belakang Malim Baluh, mereka berdua tidak terus rapat. Ular tedung selar itu masih lagi menegakkan badan dengan ekor cecah ke bumi. Malim Baluh masih bertahan dengan tumit dipasak ke tanah.
'Undur kau, Malim,' perintah Wak Mat, memanggil dari arah belakang.
Menyedari Wak Mat ada di belakang, perlahan-lahan Malim Baluh berundur. Sebaik sahaja Malim Baluh melepaskan pasak tumitnya ke tanah, ular itu menerkam ke arahnya, tetapi dengan pantas Wak Mat menerpa menangkap kepala ular berkenaan. Sekaligus ular itu berpintal-pintal di tangan Wak Mat.
'Aku raja segala ular! Kalau kau ular sebenar ular, ikut perintahku!' bentak Wak Mat, menjentik kepala ular tedung selar itu tiga kali.
Tetapi ular tedung selar itu semakin garang. Dia terus berpintal-pintal di tangan Wak Mat mahu melepaskan diri. Semakin ular itu meronta, semakin kuat pula Wak Mat mencengkam lehernya.
'Oh, rupanya kau puaka tanah . . . nak menyamar jadi ular!' ejek Wak Mat setelah menyedari di tangannya bukan ular biasa yang boleh dijinakkan.
Lantas ditonyohkannya kepala ular itu ke tanah. Ketika ini, asap keluar di kepala ular berkenaan bagaikan besi panas tercecah ke air. Menggelupur ular itu hingga seluruh badannya melurut dari tangan Wak Mat seperti tali sabut lembik.
Selepas itu, dilemparkannya ular yang lembik itu ke dalam selut sawah. Sebaik sahaja jatuh ke lumpur, tiba-tiba ular itu berpusar ligat hingga lumpurnya memercik.
'Mujur Wak Mat cepat sampai,' ujar Malim Baluh, menepuk bahu Wak Mat. 'Saya dah tak boleh bertahan lagi, terasa susah nak bernafas.' Dia memberitahu sambil mengeluh pendek.
Kalau lambat Wak Mat datang membantu, mungkin geruhnya tiba. Dia hampir tertewas dalam pergelutan secara batin. Tumitnya yang terpasak ke tanah hanya sebagai tembok bertahan. Lama-kelamaan lututnya se- makin lemah. Ketika ini, bermakna tembok bertahan mulai retak. Dia akan tewas apabila semua tembok bertahan runtuh tersembam
'Safar yang beritahu aku,' jelas Wak Mat, tersengih- sengih mengerling Safar. Anak muda itu tertegun melihat kejadian tersebut. Macam tidak percaya dia melihat pusaran lumpur tempat ular itu jatuh dilemparkan oleh Wak Mat.
Tetapi semuanya belum berakhir. Ular itu kembali menegakkan kepalanya. Dengan pantas Wak Mat men- cekup tanah lantas dikepalnya tiga butir. Tanah kepal itu diludahnya tiga kali, kemudian dicampakkan ke arah ular itu. Terpaksa ular berkenaan mencakup tanah kepal yang dilemparkan Wak Mat.
Sebaik sahaja ular tersebut menelan tanah yang dikepal itu, perlahan-lahan ia berubah menjadi perempuan muda berpakaian kain putih nipis. Seluruh tubuhnya lokos dipaliti lumpur. Saat ini, cuma Wak Mat sahaja yang nampak perempuan muda yang tertegak di tengah lumpur sawah. Malim Baluh dan Safar sekadar melihat ular tedung selar terhuyung-hayang seolah-olah mabuk di tengah sawah.
'Apa niat kau sebenarnya?' Mereka berdua mendengar Wak Mat membentak dengan telunjuk menuding ke arah ular berkenaan.
'Aku diperintah jaga orang, tapi Malim Baluh nak ganggu. . .,' beritahu perempuan muda, terbatuk-batuk akibat teruk didera.
'Malim Baluh tak ganggu kau, kenapa kau ganggu dia?' Semakin keras Wak Mat memberi amaran.
'Malim Baluh datang nak tunjuk pandai,' sahut perempuan muda itu, melirik senyum.
'Jangan cuba nak goda aku!' tegas Wak Mat, memberi amaran. 'Sekarang aku beri tempoh satu minit, kau nak berundur atau nak bertahan daripada serangan aku seterusnya?'
Malim Baluh dan Safar dapat melihat ular tedung selar itu melenggok-lenggok lemah bagai mahu mengalah. Tentu ular tersebut dapat memahami setiap patah perkataan Wak Mat.
Sebab itu penduduk di kampung berkenaan tahu benar mengenai kebolehan Wak Mat menangkap ular. Kalau ular sawa berlingkar menangkap ayam di reban, mereka akan memanggil Wak Mat. Malah, mangsa yang dipatuk ular kapak pun akan menjemput Wak Mat. Mereka tidak akan berkejar membawa mangsa ke hospital sebelum meminta Wak Mat jampikan.
Tidak hairanlah Wak Mat mudah sahaja menjinakkan ular tedung selar yang garang mengancam Malim Baluh. Tetapi Malim Baluh sendiri dapat rasakan siapa sebenarnya mengancam dia. Kalau setakat ular biasa, tentu ia tidak akan melintas di depannya.
Dia tahu binatang-binatang liar tidak akan meng- ganggunya. Wak Mat pun tahu dia mengamalkan 'pelengang', hingga tidak ada seekor pun binatang liar melintas di depannya apabila masuk ke hutan. Mereka yang berburu ke hutan pun tidak akan membawa dia bersama.
'Sekarang, berhambus kau!' bentak Wak Mat, menuding jari bagaikan menonyoh-nonyoh angin.
Perempuan muda itu menghilang sedikit demi sedikit, bagaikan asap ditiup angin. Dalam masa yang sama, Malim Baluh dan Safar melihat ular tersebut menyusup di dalam lumpur sawah, hilang tidak kelihatan ke mana arah ditujunya.
'Kau ni sebenarnya nak ke mana?' soal Wak Mat sebaik sahaja semuanya berakhir.
'Nak tengok Sonel sakit,' beritahu Malim Baluh, perlahan.
'Sakit apa?' Terkejut juga Wak Mat mendengar khabar tersebut. 'Baru semalam dia ke rumah aku tempah hulu parang.' Dia semacam tidak percaya apabila diberitahu Sonel sakit.
Memang betul, semalam dia ada berjumpa anak muda itu. Gembira sangat Sonel fasal dapat diinterviu menjadi askar. Selepas diinterviu dia akan diberitahu dalam tempoh dua minggu, sama ada permohonannya diterima atau ditolak. Sekiranya diterima menjadi askar, dia akan diberi vvaran tiket ke Port Dickson.
'Malam tadi sakitnya . . . tiba-tiba saja tak sedar diri,' jelas Safar, menghela nafas.
Disebabkan mendengar Sonel sakit, Wak Mat pun terus ikut sama ke rumah Hajah Encom. Kalau tidak mengubati pun, apa salahnya menziarah.
Sewaktu mereka sampai, Sonel masih juga ketawa tersengih-sengih. Sekali-sekala dia menghantuk-hantuk kepala ke dinding. Kesan lebam dan bengkak-bengkak jelas berbirat di dahi.
'Kenapa lambat?' Haji Mahdar memandang anaknya, Safar.
'Saya ada hal di rumah. . . .' Cepat-cepat Malim Baluh memotong untuk menyembunyikan kejadian yang menimpa dirinya.
'Mana jumpa Wak Mat?' soal Haji Mahdar apabila Wak Mat menghulur tangan bersalaman dengannya.
'Memang saya suruh Safar jemput.' Malim Baluh berdalih menyebabkan Safar tidak sempat mahu menerangkan kejadian sebenarnya.
Disebabkan mereka dalam keadaan cemas, Haji Mahdar pun tidak banyak bersoal jawab. Kalau sudah Malim Baluh dan Wak Mat datang serentak, biarlah mereka berdua tengokkan Sonel. Lagipun mereka sama-sama dikenali sebagai dukun di situ.
Mereka berdua masih kelihatan penat, tetapi Malim Baluh sengaja tampil mendekati Sonel. Dia mahu me-nyembunyikan segala kejadian yang menimpa dirinya. Biarlah Haji Mahdar, Hajah Encom, Anjang Saemah dan jiran-jiran yang berkumpul di situ tidak tahu.
Kalau Safar menceritakan pun pada kemudian hari, tidak menjadi soal padanya. Perkara yang penting biarlah kejadian itu disembunyikan dahulu ketika itu. Setidak-tidaknya mereka berdua sudah menyedari apa sebenarnya yang menyelubungi diri Sonel.
'Berikan aku cuban penyirat jala.' Wak Mat menawarkan diri untuk sama membantu Malim Baluh.
'Di rumah ni tak ada cuban,' beritahu Hajah Encom, perlahan.
'Safar, kau balik kejap.' Lantas Haji Mahdar berpaling ke arah anaknya. 'Ambilkan cuban ayah di rumah.'
Tanpa bertangguh, Safar turun ke tengah halaman. Cepat-cepat dia menghidupkan enjin motosikal Hondanya. Dia mesti cepat mengambil cuban itu. Tentu barang itu mustahak untuk digunakan mengubati Sonel. Biarlah dia bersusah payah, asal Sonel dapat dipulihkan.
Tetapi, belum pun sempat Safar melepasi halaman rumah, tiba-tiba tayar motosikal Hondanya kempis tidak berangin. Mahu dikatakan bocor tidak pula kelihatan bekas ditusuk paku.
'Kenapa tu, Safar?' Hajah Encom menerpa ke pintu sebaik sahaja mendengar Safar mematikan enjin moto- sikalnya.
'Tayarnya bocor. . .,' beritahu Safar, kehairanan.
'Tengok di belakang kau!' Terkejut Hajah Encom apabila melihat ranjau buluh bercerancang di tengah halaman. Dari mana pula datangnya ranjau buluh itu, tiba-tiba sahaja bercerancang di situ?
Cepat-cepat Safar melompat. Dia juga terkejut melihat banyak ranjau buluh bercerancang di tengah halaman sedangkan ketika dia turun, tidak ada satu pun ranjau itu tercacak di situ.
Jiran-jiran yang berada di dalam rumah juga menerpa ke pintu. Semuanya menjadi panik dengan kejadian tersebut. Mereka melihat sendiri ranjau-ranjau buluh bercerancang di tengah halaman. Tersilap pijak sudah tentu tertusuk ke tapak kaki.
Di tengah serambi rumah, Sonel masih juga tertawa terkekeh-kekeh. Dia menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hingga berdegam kuat. Seorang pun tidak dapat menghalang dia daripada menghantukkan kepala ke dinding. Bukan sekadar lebam dan berbekam darah sahaja, tetapi sudah memercikkan darah juga.
'Sonel, pandang sini. . . Malim Baluh memujuk, sekalipun jiran-jiran yang ada di situ riuh dengan kejadian di tengah halaman. Malim Baluh tidak peduli ranjau buluh yang tercerancang di tengah halaman, tetapi perlu menghadapi kejadian yang menimpa Sonel.
'Macam mana ni, Abang Aji?' Anjang Saemah juga tidak keruan menghadapi suasana demikian. Belum pernah seumur hidupnya berhadapan dengan kejadian tersebut. Terasa seram sejuk seluruh tubuhnya.
Haji Mahdar juga bingkas bangun. Sebelum itu dia tetap bersila rapat menghadap Sonel menghantuk- hantuk kepala ke dinding.
'Astaghfirullah. . keluh Haji Mahdar. 'Masalah Sonel belum selesai, satu bala lagi datang. .keluhnya, semacam kecewa.
'Macam mana nak ambil cuban jala tu?' soal Hajah Encom tidak keruan memandang Wak Mat.
Wak Mat tidak menyahut sebaliknya cepat-cepat dia terjun ke tengah halaman. Tidak bertangguh dia menghentakkan tumitnya ke atas ranjau buluh itu. Ranjau buluh itu mendap bagaikan rapuh, tetapi kaki Wak Mat tidak ditusuk.
'Malim, kau tengokkan Sonel!' laung Wak Mat dari tengah halaman. 'Dan kau Safar, sekarang pergi bawa motosikal kau. . perintah Wak Mat, terus menghentak tumit ke setiap ranjau yang bercerancang di situ.
Cepat-cepat Safar menghidupkan semula enjin. Sebaik sahaja dia menunggang semula motosikalnya, tidak ada kesan tayarnya pancit, tetapi Safar tidak peduli lagi. Dia sudah tahu puncanya sejak melihat ular tedung selar mengancam Malim Baluh.
Sepanjang perjalanan itu, hati Safar berdebar-debar juga. Bimbang juga dia kalau diadang ular tedung selar macam Malim Baluh tadi. Bagaimanapun dia terpaksa teguhkan semangat. Kalau tidak nekad menghadapi suasana begitu, tentu keadaan Sonel bertambah teruk.
Sewaktu dia sampai di hadapan rumah, saya sudah bersiap-siap untuk balik bersama Usin Biduk. Sudah lama saya tercegat memberi salam, tidak ada siapa menyahut. Memang sudah saya duga tentu Haji Mahdar tidak ada di rumah.
Memang cemas muka Safar apabila memberhentikan motosikalnya.
'Ayah di rumah Mak Encom, ustaz. . beritahu Safar sebaik sahaja bersalam dengan saya.
'Kalau begitu tak apalah,' sahut saya, mahu masuk semula ke kereta. 'Kirim salam sajalah pada Pak Aji, biar saya balik dulu,' ujar saya, tidak mahu mengganggu Haji Mahdar.
'Tapi, elok ustaz ke sana. . . .' Cepat-cepat Safar menahan. 'Ayah nak jumpa sangat dengan ustaz,' katanya, serba salah.
'Malam tadi kan dah jumpa,' jelas saya, tidak jadi masuk ke kereta.
'Ini perkara lain. Berkali-kali dia sebut nama ustaz. . . .' Safar masih berkeras mengajak saya menemui Haji Mahdar.
Serba salah juga saya apabila diberitahu demikian oleh Safar. Manalah tahu berkecil hati pula Haji Mahdar sekiranya saya tidak menemui dia di rumah Hajah Encom. Tentu dia benar-benar mahu menemui saya, kalau sudah berkali-kali menyebut nama saya. Mahu
tidak mahu, terpaksa jugalah saya mengajak Usin Biduk ke rumah Hajah Encom.
Semasa kami sampai, Haji Mahdar menyambut dengan gembira. Dia memeluk leher saya dengan genangan air di pelupuk mata.
'Syukur alhamdulillah, ustaz sampai juga. . bisik-nya, terus menarik tangan saya melihat anak saudaranya, Sonel. Kemudian dia perkenalkan saya dengan Wak Mat dan Malim Baluh.
'Tengoklah adik tu, ustaz.' Anjang Saemah menggamit sambil menunjukkan ke arah Sonel yang ketawa memanjang sambil menghantuk-hantuk kepala ke dinding. Jiran-jiran cuba menghalang, tetapi dia terus juga menghantukkan kepala apabila ada kesempatan.
Hajah Encom tidak dapat bercakap apa lagi. Dia seolah-olah sudah berputus asa.
'Saya selalu dengar fasal ustaz ni. . ucap Wak Mat sewaktu bersalaman dengan saya.
'Silakan, ustaz - . . kita tak boleh biarkan Sonel macam ni.' Malim Baluh juga mendesak.
Saya tidak peduli apa yang mereka cakap. Kadang-kala saya sendiri berasa terkilan apabila mereka terlalu mengharapkan saya, tetapi sikap masyarakat sudah demikian. Mereka menyangka seseorang itu boleh melakukan apa sahaja, dengan tidak memahami akan kuasa Allah Yang Maha Besar. Kalau saya lakukan pun hanya sekadar ikhtiar. Sama juga seperti yang dilakukan oleh Malim Baluh atau Wak Mat.
Bagaimanapun saya terpaksa juga lakukan demi menjaga hati mereka supaya tidak tersinggung. Kalau saya menolak tidak mahu mengubati Sonel tentu mereka menuduh saya mencari helah, atau memang mengada-ngada jual mahal disebabkan terlalu dihargai.
Tetapi memang saya tidak ada apa-apa keistimewaan. Tidak ada bezanya antara saya dengan Wak Mat atau
Malim Baluh. Namun, sukar juga mahu menerangkan kepada mereka dalam saat ini.
'Saya mahu Wak dan Abang Malim ikut sama.' Cepat-cepat saya mengajak mereka merapati Sonel.
Mereka berdua tidak membantah. Wak Mat, setelah diberikan cuban menyirat jala, terus menggigitnya tidak lepas daripada gigi. Kemudian, dua tangan ditumpunya ke lantai sambil menggenggam penumbuk.
Malim Baluh pula duduk di atas dua tumit, dengan dua tangannya bertumpu ke kepala lutut. Saya tidak tahu apa yang mereka berdua lakukan. Ketika ini saya berdiri lantas menjurus tangan ke muka Sonel. Dia masih lagi ketawa dengan menghantuk-hantuk kepala ke dinding.
Terpaksa Haji Mahdar membantu memegang dia supaya tidak dapat menghantukkan kepala ke dinding. Bagaimanapun, Sonel berguling di lantai, hingga Haji Mahdar rebah sama. Sempat juga dia menghantuk- hantuk kepala ke lantai apabila terlepas daripada pegangan Haji Mahdar.
Saya membacakan:
'Innallahalahu mulkussama wa- tiwal 'ardh yuhyi wa yumitu wama lakum min dunillahi min waliyan wala nasir',
kerana Sesungguhnya kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.
Kemudian, saya terus menepuk ubun-ubun Sonel tiga kali dengan membacakan al-Fatihah. Dia seolah- olah terkejut lantas merenung muka saya. Ketawanya juga terhenti tiba-tiba.
'Kenapa kau, Sonel?' Saya terdengar Haji Mahdar bersuara keras.
Sonel tidak menyahut. Dia terduduk dengan bersandar pada dinding. Tercungap-cungap dia. Matanya liar memandang keliling.
Semua jiran di situ mula menarik nafas lega kerana Sonel tidak lagi menghantuk-hantuk kepala ke dinding.
Ketika memantapkan zikir hingga terasa terkurung dalam rahim ibu, saya berasa segala-galanya lapang terbuka. Saya dibawa jauh oleh angin lembut hingga terapung di satu kawasan pondok buruk di pinggir hutan. Wak Mat sudah menunggu di bawah sepohon pokok, sementara Malim Baluh masih tercari-cari jalan melalui lorong kecil di tengah belukar menuju ke situ.
Apabila Malim Baluh bertemu Wak Mat, mereka berdua mendongak ke atas memerhati saya yang terapung-apung di awangan. Cepat-cepat saya memberi isyarat supaya mereka meneruskan setiap usaha.
Di pondok buruk itu, seorang lelaki botak berpakaian serba kuning seperti yang saya lihat ketika di rumah Maharum di Sitiawan bersama Usin Biduk, tersandar ke dinding termengah-mengah. Seluruh badannya melecur dicucuh bara api di sekelilingnya.
'Cukuplah, jangan seksa saya, ustaz. . .!' keluhnya, merintih-rintih hingga suaranya dapat didengar oleh jiran-jiran di rumah Hajah Encom yang menziarahi Sonel. Mereka melihat Sonel yang merintih-rintih dengan tersandar pada dinding rumah.
'Kenapa kau ganggu Sonel?' bentak Malim Baluh, mengancam.
'Aku bukan ganggu, aku cuma nak menolong,' beri- tahunya, mengertap bibir macam menyimpan dendam.
'Jangan cuba berdalih!' Wak Mat menggigit cuban jala itu lebih kuat. Sekaligus lelaki berkepala botak itu menekup mulutnya. Darah keluar meleleh-leleh di mulutnya, apabila satu demi satu giginya tercabut.
'Cukuplah, jangan seksa aku!' ujar lelaki berkepala botak itu, merintih. 'Aku dah cakap, bini orang jangan dikacau, tapi dia degil!' katanya mula mendedahkan rahsia yang dipendam selama ini.
Saya memberi isyarat supaya Wak Mat dan Malim Baluh tidak menyoal lagi. Mereka mesti terus menyerang. Melawan syaitan tidak boleh dilayan bercakap kerana syaitan akan cuba membuat pelbagai helah.
Apabila saya membacakan: 'AUahumma yamannuruhi /issirihi wasirruhu fi khilqihi ikhfini 'an ayunin nazirina wa qulubil hasidina wal baghina kama hafaztar ruhafil jasadi innaka 'ala kulli syaiin qadir', saya seolah-olah ternampak Sonel menemui lelaki botak yang berpakaian serba kuning itu.
Memang Sonel cuba meminta bantuan bomoh itu untuk memikat Maharum. Sekalipun bomoh itu menasihatkan dia bahawa Maharum sudah bersuami, tetapi Sonel berkeras juga.
Setelah menyedari punca yang menyebabkan segala- galanya berlaku, saya segera memberi isyarat mengajak Wak Mat dan Malim Baluh beredar. Sewaktu membuka mata, saya lihat Wak Mat dan Malim Baluh tersengih- sengih mengerling saya.
'Syukur alhamdulillah, saya dapat bersama ustaz,' beritahu Wak Mat, menepuk-nepuk bahu saya. Mungkin jiran-jiran di situ berasa hairan Wak Mat bersikap demikian, tetapi Malim Baluh sekadar tersenyum.
'Jauh ustaz bawa saya. . ujar Malim Baluh pula.
'Pernah ke Sonel ni ke Sitiawan?' Saya berbisik pada Haji Mahdar.
Haji Mahdar mengangguk.
'Arwah ayahnya dulu memang orang Sitiawan,' beritahu Hajah Encom apabila dia mendengar saya bertanya demikian kepada abangnya. 'Selalu juga dia ke sana men- jengah saudara-maranya. . .,' jelasnya agak kehairanan.
'Kenapa pula, ustaz?' Cepat-cepat Anjang Saemah bertanya.
Saya menggeleng lemah. Kemudian, perlahan saya menuturkan, 'Insya-Allah, Sonel akan sembuh'.

1 comment:

  1. How to make an edge of the diamond slot | TITanium Art
    The diamond slot is aftershokz titanium designed titanium guitar chords with a diamond in mind. The diamond is a combination of the diamond tip and suppliers of metal diamond tip into an easy titanium tube to play westcott scissors titanium card game that

    ReplyDelete