TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
LEMBAGA BERKEPALA BOTAK KELUAR DARI TOMPOK-TOMPOK HITAM
SAWAH kering terbentang selepas sahaja penduduk-penduduk
kampung habis menuai. Siang hari anak-anak muda berlari di tengah sawah bermain
layang-layang sambil mendongak ke awan memerhati layang-layang terapung di
udara. Hanya di tengah sawah itulah anak-anak muda kampung bermain menghulurkan
tali layang sambil mendengarkan dengungnya yang merdu mengiang-ngiang di udara.
Tetapi malamnya tatkala kegelapan menyelubungi kampung kecil
di Pelangai itu, Pak Tua Mahat meranduk tunggul-tunggul padi kering di tengah sawah
bersama menantunya Saban Keme mencari kawasan lapang tidak berlindung apa. Dia
mengeluarkan buluh mendekut dari saku seluarnya lantas berdiri mendongak ke
awan menghadap matahari naik. "Duduk, Saban" perintahnya menyuruh
menantunya mencangkung. Saban Keme tidak membantah. Dia mencangkung sambil
meletakkan tangguk ke tanah. Bila burung wak-wak datang menyerbu
berkelompok-kelompok dia akan menyerkup dengan tangguk tersebut. Kemudian akan
sumbatkan ke dalam buntil yang terikat di pinggangnya. Memang Saban Keme tahu
mertuanya tidak akan mengajak sesiapa kalau mahu mendekut burung wak-wak.
"Kau tunggu di sini" ujar Pak Tua Mahat lantas mara ke hadapan
meninggalkan menantunya kira-kira serantai jaraknya. Saban Keme mengangguk. Dia
memerhatikan mertuanya berjalan di dalam gelap, kemudian hilang berbalam-balam
di kejauhan. Dari jarak serantai darinya itulah Saban Keme mendengar mertuanya
meniup buluh mendekut-dekut melangsing di tengah sawah yang lengang di gelap
malam itu.
Dia tidak akan bangun menangguk burung wak-wak yang menyerbu
selagi tidak diberi perintah oleh mertuanya. Saban Keme hanya menunggu sahaja
burung wak-wak yang berterjunan dari awan menerpa ke tengah sawah, kemudian
berjalan terlangah-langah mengejar bunyi dekut buluh yang ditiup Pak Tua Mahat.
Kadangkala ada burung wak-wak yang hinggap di atas kepalanya, tetapi Saban Keme
tidak akan menghiraukannya selagi Pak Tua Mahat tidak memberi perintah
menangkapnya. Ketika Pak Tua Mahat mendekut-dekut jauh dari Saban Keme inilah,
dia ternampak satu lembaga berlari-lari dari arah tebing menyeberang ke sawah
dari arah kampung. Sekalipun malam gelap tetapi di kawasan sawah luas
terbentang itu, dia masih dapat melihat orang berlari-lari di dalam
samar-samar. "Siapa tu, Saban?" laung Pak Tua Mahat memberhentikan
meniup buluh mendekut. Dia nampak lembaga itu terlangah-langah kemudian
merendap mencangkung berhampiran dengan Saban Keme. "Jonoh...!"
beritahu Saban Keme sebaik sahaja adik iparnya tercangkung di belakang dia.
"Apa halnya Jonoh?" soal Pak Tua Mahat. "Tak ada apa..."
sahut Jonoh tersengih-sengih di dalam gelap itu.
Pak Tua Mahat menghela nafas. Memang anaknya Jonoh itu
nakal. Dia tidak peduli sama ada ditegah atau pun tidak. Kalau hatinya berkeras
mahu mengikut, tengah gelap pun Jonoh sanggup meranduk mendapatkan ayahnya.
Ketika Pak Tua Mahat mengajak Saban Keme mendekut sebelumnya memang Jonoh tidak
tahu. Tetapi setelah diberitahu oleh kakaknya Saban Keme pergi mendekut bersama
ayahnya ke tengah sawah, lantas Jonoh mengikutnya. Apa lagi dia sendiri dapat
mendengar bunyi buluh mendekut itu langsing sampai ke tengah kampung.
"Emm, Jonoh..Jonoh..." keluh Pak Tua Mahat meniup semula buluh
mendekutnya. Kira-kira 15 minit dia meniupnya, Pak Tua Mahat terdengar bunyi
ribut kencang di udara. Awan juga kelihatan bertompok-tompok bersama deru ribut
yang hitam di angkasa. Tersenyum Pak Tua Mahat kerana burung wak-wak yang
didekutnya sudah datang menyerbu ke situ. Dia segera mendapatkan menantunya
Saban Keme dan anaknya Jonoh menunggu. "Buat apa kau ke mari...?" rungutnya
memarahi Jonoh. Kemudian dia cepat-cepat mencangkung supaya memudahkan Saban
Keme menangguk apabila burung wak-wak berkenaan menuju ke arahnya.
Jonoh tidak menyahut. Dia hanya tersengih-sengih sahaja
walaupun ayahnya melarang dia mengikuti berburu ke hutan atau mendekut burung
wak-wak, tetapi Jonoh tetap berdegil mahu mengikutnya. Sekali-sekala dia dapat
mengikut mendekut burung, hatinya terasa seronok melihat burung-burung
berkenaan terperangkap di dalam tangguk. Kadangkala dia sendiri merampas tangguk
dari tangan abang iparnya menangguk
burung-burung yang terlangah-langah datang mengikut bunyi buluh dekut-dekut
yang ditiup. Tompok-tompok hitam di angkasa tiba-tiba sahaja hilang bersama
ribut kencang di udara. Pak Tua Mahat tahu burung wak-wak yang datang bersama
deru ribut kencang itu sudah melencong jauh hingga tidak turun di kawasan
tersebut. Dia kembali meniup buluh dekut-dekutnya bagi memerangkap semula
burung wak-wak berkenaan supaya turun di kawasan lapang di tengah sawah. Kalau
burung-burung berkenaan tersangkut di rumpun aur atau pohon rembia di pinggir
sawah, mereka tidak akan turun ke tanah. "Kau tunggu di sini..." Pak
Tua Mahat mendongak ke langit memerhati tompok-tompok hitam yang sudah bertukar
menjadi awan lebam tidak mengandungi apa-apa. "Jonoh pegang lampu picit,
kalau benda tu samapai kau tangguk dia Saban" katanya lantas berjalan naik
ke atas busut tidak jauh dari Saban Keme mencangkung.
Saban Keme menghulurkan lampu picit kepada adik iparnya.
"Kau suluh kalau terdengar dia datang..." pesannya menyerahkan lampu
picit tersebut kepada Jonoh. Jonoh mengangguk sambil mencapai lampu picit dari
tangan Saban Keme. Dia berhati-hati mendengar bunyi langkah burung-burung
tersebut datang terlangah-langah mendengar bunyi buluh dekut-dekut ditiup
ayahnya. Puas Pak Tua Mahat meniup dari atas busut tetapi tidak seekor pun
burung wak-wak terjongol di depannya. Dia merasa burung wak-wak yang datang
bersama tompok-tompok hitam di udara tadi sudah hilang ditiup ribut kencang.
Marah juga Pak Tua Mahat tiba-tiba sahaja dia gagal mendekut burung-burung
tersebut, padahal selama ini dia tidak pernah hampa kalau mendekut di tengah
sawah. Kawasan lapang terbuka itu masakan burung-burung berkenaan boleh
tersangkut di dahan pokok-pokok. "Saban..." laungnya dari tengah
gelap samar-samar itu. "Jonoh..kau berdua tunggu tunggu di parit..."
katanya menyuruh mereka berdua meninggalkan tempat awal menunggu sebelumnya.
Cepat-cepat Saban Keme bersama adik iparnya berlari ke parit tali air yang
melintasi di tengah kawasan sawah. "Mencangkung!" ujarnya keras
sebaik ternampak berbayang-bayang Saban Keme dan Jonoh tercegat di situ macam
tunggul tercancang. Cepat-cepat pula mereka berdua mencangkung.
Dari jauh mereka berdua melihat Pak Tua Mahat berlari-lari
anak mengelilingi kawasan mereka duduk tercangkung kira-kira jarak dua rantai
berkeliling. Tiga kali Pak Tua Mahat lari berkeliling sebelum naik ke atas
busut dia berdiri sebelumnya. Kemudian dia mendongak semula ke langit lantas
meniup buluh dekut-dekutnya, tetapi tidaklah melangsing seperti biasa. Dia
meniup pun hanya tiga kali sahaja. Kira-kira lima minit sahaja selepas itu
terdengarlah semula ribut kencang seperti tadi, dan awan juga bertompok-tompok
hitam. Jauh di udara terdengar bunyi orang batuk hingga bergaung kedengaran
sampai ke tengah sawah. Cepat-cepat pula Jonoh menyuluh ke udara ke arah awan
hitam bertompok-tompok. "Jangan disuluh, jadah!" pekik Pak Tua Mahat
marah dari atas busut di tengah sawah. Sekaligus Saban Keme merampas lampu
picit dari tangan adik iparnya. "Kau gila..." gerutunya memarahi
Jonoh."Tak boleh disuluh ke atas!" katanya menggertap bibir setelah
memahami pekikan mertuanya tadi menandakan ada pantang larang yang sudah
dilanggar.
Jonoh tidak menyahut apa-apa. Dia menyedari akan
kesilapannya tidak bertanya terlebih dulu kepada abang iparnya apabila menyuluh
bunyi batuk bergaung di udara. Dia sendiri tidak pernah mengalami keadaan
demikian sebelumnya. Setahu Jonoh selepas sahaja ayahnya meniup dekut, burung
wak-wak akan berterjunan turun dari udara mengejar lampu yang disuluhkan.
Kemudian Saban Keme akan menangguknya denagn mudah. "Siapa menyuluh tadi
tu...?" bentak Pak Tua Mahat menahan marah yang membakar perasaannya.
"Jonoh" beritahu Saban Keme. "Kenapa kau biarkan?" soalnya
keras. Saban Keme terdiam. Dia sendiri serba salah bila disoal demikian.
Bagaimana dia mahu melarang sedangkan lampu picit berkenaan berada di tangan
Jonoh? Tetapi dia dapat mengagak tentulah bapa mertuanya dalam kesulitan
menyebabkan dia tidak dapat menahan marahnya. Kesal juga dia dengan kehadiran
Jonoh secara tiba-tiba di situ, walaupun dia sudah berpesan pada isterinya
jangan diberitahu sesiapapun fasal dia mendekut burung bersama mertuanya.
"Jangan berdiri!" dia mendengar mertuanya melaung memberi perintah.
Ketika ini deru angin seperti ribut kencang di udara terasa
turun ke tengah sawah. Saban Keme dapat merasakan angin kencang itu bertiup
paras kepalanya begitu deras. Kegelapan malam bertambah gelap segelap-gelapnya
semasa angin kencang itu bertiup rendah. "Bang, aku rasa wak-wak dah
turun" bisik Jonoh lantas berdiri menepis burung wak-wak yang terasa
hinggap di bahunya. Serentak dengan itu Saban Keme mendengar jeritan langsing
Jonoh akibat kesakitan. Apabila dia menoleh ke belakang dilihatnya Jonoh
terbaring menggelupur di tanah. "Ayah..Jonoh ni kenapa..?" laung
Saban Keme menggamit mertuanya di dalam gelap samar-samar itu. Hatinya cemas
melihat Jonoh menggelupur bagaikan ayam kena sembelih. Pak Tua Mahat berkejar
mendapatkan anaknya yang terbaring di tanah. Dia mencapai lampu di tangan Saban
Keme menyuluh ke muka Jonoh. Anaknya mengerang-ngerang dengan kaki
terkinjal-kinjal menendang angin. Tangannya mengerekot-ngerekot laksana mahu
mencakar ke udara.
"Huh, buat apa Jonoh ni ikut tadi" rungut Pak Tua
Mahat kesal memerhati Jonoh terkinjal-kinjal kaki menendang angin.
"Agaknya Bibah yang beritahu kita ke sini" sahut Saban Keme menuduh
isterinya yang memberitahu Jonoh fasal mereka ke tengah sawah mendekut burung
wak-wak. Anak muda nakal seperti Jonoh memang tidak peduli sama ada orang
memarahhi dia atau tidak. Jonoh tahu ayahnya melarang dia mengikut berburu,
tetapi tidak akan marah kalau sudah terjongol bersama-sama. "Dah jadi
macam ni, bukan ke susah" katanya lantas memangku kepala Jonoh di atas
paha. Saban Keme tertunduk memerhati mertuanya mengurut-ngurut kepala Jonoh
dengan ibu jari. Kemudian dia menghembus ubun-ubun anaknya tiga kali.
"Pangku kepala adik kau ni..." dia menyuruh Saban Keme menggantikan
dia. Cepat-cepat Saban Keme memangku kepala Jonoh. Dia sendiri tidak pernah
mengalami lagi kejadian demikian sebelumnya. Setiap kali dia megikut mertuanya
mendekut wak-wak, tidak pula diganggu puaka yang mengembala burung-burung berkenaan. Tetapi
memang mertuanya selalu mengingatkan dia supaya berhati-hati semasa mengikutnya
mendekut supaya tidak diganggu puaka tersebut.
Pak Tua Mahat berjalan undur ke belakang mengelilingi Jonoh
sambil meletakkan dua tangan ke dada. "Wah..malam ni awak nak cari geruh
kawan ke..." ujar Pak Tua Mahat mengisar-ngisar tapak tangannya. Bila melintas
di hulu kepala Jonoh dia menghentakkan tumitnya ke tanah tiga kali, kemudian
terus berjalan lagi undur ke belakang. Ketika melintas di lunjur kaki Jonoh dia
menekankan ibu jari kaki kanannya pula ke tanah. Dia berkeliling di sekitar
Jonoh terbaring sambil mulutnya kumat-kamit di dalam gelap samar-samar itu.
Setelah tiga kali dia berkeliling undur ke belakang, Pak Tua Mahat berpusing
pula sambil berlari-lari anak mengelilingi tubuh Jonoh yang terbaring dipangku
oleh Saban Keme. Kemudian dia melangkah di bahagian pusat Jonoh tiga kali
berulang-alik. Ketika inilah Jonoh terbersin kuat hingga kedengaran oleh Saban
Keme bergema ke udara. Awan hitam bertompok-tompok juga bergerak perlahan
bagaikan daun pintu terkuak. Dari rekahan awan hitam bertompok itu kabus putih
memanjang turun mencecah hingga tertampan pada busut tempat Pak Tua Mahat
berdiri meniup buluh mendekut.
Dalam kepulan kabus putih itulah keluar lembaga berkepala
botak berbentuk seperti manusia bertubuh kurus tinggi berdiri membongkok.
"Sekarang apa awak hendak?" jerkah Pak Tua Mahat sebaik sahaja
lembaga itu menjelma di tengah sawah. "Awak nak menceroboh gembala kawan
nampaknya" sahut lembaga itu serak-serak parau. "Kawan tak peduli,
kalau awak niat baik kawan terima baik!" ujar Pak Tua Mahat berdiri tegak
menghentak-hentak tumitnya ke tanah. "Kalau awak sengaja nak cari geruh
kawan, kita berjenang dulu...!" katanya macam memberi amaran tidak akan
mengalah dengan kemahuan lembaga tersebut. "Awak yang salah tok
pawang" lembaga itu terketar-ketar bagaikan kakinya goyah berjejak di
bumi. "Kawan bukan nak dengar siapa salah!" bentak Pak Tua Mahat
merapatkan dua tangannya ke dada. "Kawan nak tau awak, nak cari geruh
kawan ke tidak?" soalnya menggertap bibir. Lembaga berkepala botak itu
terhuyung-hayang di atas busut di dalam kepulan asap putih. Dia semakin
membongkok seolah-olah memikul beban berat di belakangnya. Pak Tua Mahat
berdiri tegak tidak bergerak dengan dua tangan rapat ke dada. Mulutnya
kumat-kamit juga sambil matanya merenung tepat ke arah lembaga berkepala botak
yang semakin membongkok.
"Jawab!" pekik Pak Tua Mahat menghentak tumitnya
ke tanah menyebabkan lembaga itu jatuh bertelugu lutut. "Awak nak cari
geruh kawan ke, atau nak menguji?" ujarnya membentak marah.
Termengah-mengah lembaga berkepala botak itu mahu menegakkan kepalanya, tetapi
beban di belakangnya seolah-olah menyeksa dia. Lututnya bertumpu kuat di atas
busut menanggung beban yang terlalu berat terpikul di belakangnya itu.
Sekali-sekala dia cuba melepaskan beban tersebut, tetapi tidak berdaya
melakukan apa-apa lagi. Setelah puas lembaga berkepala botak itu mahu
melepaskan diri dari beban yang menimpa belakangnya, dia memusarkan dirinya
menjadi angin berputar kuat hingga elusannya terasa memukul anak-anak rambut
Saban Keme. Sekaligus pula dia naik semula ke udara masuk ke celah rekahan awan
bertompok yang berkuak seperti pintu terbuka. Kemudian dari arah hulu Saban
Keme nampak memutih dari jauh bagaikan sekawan lembu menyerbu ke arah mereka.
"Kau jangan bergerak di situ Saban, pangku adik kau tu!" ujar Pak Tua
Mahat mengingatkan menantunya.
Saban Keme mengangguk. Dia mematuhi apa sahaja perintah
mertuanya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak semudah itu mengalah kepada
gangguan-gangguan dari puaka tatkala berburu. Sudah berkali-kali mertuanya
diganggu demikian, semuanya dilaluinya dengan tabah. Ketabahan inilah yang
berjaya melepaskan dirinya dari perangkap yang boleh mengancam. Bukan sekadar
mendekut wak-wak sahaja sudah dihadapi oleh mertuanya dengan tabah, malah
ketika berburu ke hutan memburu rusa pun Pak Tua Mahat diganggu. Sampai rusa
yang sudah terbungkang ditembak pun tiba-tiba bertukar menjadi cina tua
berpakaian serba hitam tergolek di tanah. Setelah dikebas dengan kain hitam
lilit kepalanya, cina tua itu bertukar perlahan-lahan menjadi rusa, tetapi
bulunya tegak seperti berus dawai dengan mengeluarkan darah. Puas pula dia
memulihkan semula gangguan puaka itu sehingga rusa sebenarnya kembali menjelma.
Barulah binatang tersebut dapat disembelih. Pak Tua Mahat juga tidak mengalah
bila rakannya pergi berburu tertembak di tengah hutan. Dia terus melawan puaka
hutan dengan tabah sehingga rakannya dapat dipulihkan semula. Sebab itulah
Saban Keme yakin mertuanya tidak gentar menghadapi dugaan yang sedang
mengancamnya sekarang.
Dia juga mesti tabah menghadapinya. Kalau dia gementar
mungkin puaka itu boleh mengalihkan gangguannya dari Jonoh kepada dia pula.
Tentulah mertuanya semakin terancam kalau puaka itu mengganggu dia pula. Ketika
ini Saban Keme teringatkan pesan saya agar membacakan Ayat Kursi bila-bila
sahaja diancam syaitan. Pesanan saya inilah digunakan oleh Saban Keme, lantas
dia membacakan Ayat Kursi itu dengan khusyuk berulang kali sampai 133 kali.
Ketika ini dia merasakan hujan turun menitik kasar, tetapi tidaklah lebat
mencurah-curah. Boleh dikatakan seperti hujan panas sahaja menyerak-nyerak.
Sekumpulan lembu putih yang menyerbu dari sebelah hulu itu tidak dapat
mendekati kawasan Saban Keme bertahan, tetapi berlegar-legar seolah-olah
terhalang oleh tembok besar. Debu dari kaki kumpulan lembu yang banyak itu
nampak naik meruap ke atas laksana kabus memutih. Sekaligus pula Saban Keme
nampak mertuanya sudah melompat ke atas salah seekor dari kawanan lembu putih
itu sambil bertunggang mengelilingi dia dan Jonoh.
Sekali-sekala terdengar suara mertuanya bersorak-sorai bagaikan
menghalau lembu. Kira-kira 15 minit dia menunggang lembu putih itu, tiba-tiba
dia terpelanting ke tanah. Masa inilah awan hitam bertompok terkuak semula
seperti daun pintu terbuka. Kabus memutih keluar dari awan hitam terkuak itu
terjun laju menuju ke arah mertuanya terpelanting. Belum pun sempat kabus putih
menjunam itu menimpa ke arahnya, Saban Keme nampak mertuanya cepat-cepat bangun
di tengah silauan putih memancar. Dia nampak tangan Pak Tua Mahat terlalu besar
memukul kabus putih itu sampai berkecai habis. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat
menggenggam kabus putih yang berkecai itu di dalam tangannya lantas bertempik,
"Kau nak tunjuk keras kepala dengan aku ye?". "Awak menceroboh
gembala kawan tok pawang," rintih suara serak-serak parau yang tergenggam
di tapak tangannya yang besar seperti sebuah rumah tersergam. Saban Keme
sendiri tidak nampak di mana mertuanya berdiri ketika itu kerana kegelapan
malam melindunginya. Dia hanya melihat genggaman tangan mertuanya yang
dilingkari oleh silauan cahaya putih memancar.
"Aku tak menceroboh...!" bentak Pak Tua Mahat.
"Aku dah minta izin, tapi telinga kau tuli" cepat-cepat tangannya
memial telinga lembaga berkepala botak yang sudah digenggamnya.
Terlolong-lolong lembaga berkepala botak itu menahan kesakitan akibat
telinganya dipial. "Ini Mahat kau tau, jangan main-mainkan Mahat..!"
jerkahnya semakin marah. "Ampun tok pawang, ampunkan kawan" rintih
suara serak-serak parau itu meminta dilepaskan. "Bukan sekali dua kau dah
tunjuk kurang ajar dengan Mahat!" kata Pak Tua Mahat keras. "Ampun
tok pawang, lain kali kawan tak buat lagi" lembaga berkepala botak itu
merayu-rayu. Tetapi Pak Tua Mahat tidak juga melepaskan dia dari genggamannya.
"Apa kau buat dengan Jonoh?" bentak Pak Tua Mahat menampar kepala
botak lembaga berkenaan. "Bukan kawan yang buat tok pawang..."
ujarnya terketar-ketar sambil meronta-ronta dari genggaman tangan Pak Tua Mahat
sebesar sebuah rumah tersergam. Puas Saban Keme memerhati tubuh mertuanya,
tetapi tidak kelihatan di mana. "Siapa yang buat?" soal Pak Tua
Mahat. "Itu kerja orang bukit yang tersesat" beritahu lembaga itu
ketakutan. "Jangan kau nak berdalih!" Pak Tua Mahat menguatkan
genggamannya menyebabkan lembaga berkepala botak itu termengah-mengah menahan
sesak nafas.
"Celaka orang bukit tu, kerja dia..kawan pula yang
sudah" keluhnya menyesali kejadian yang mengelirukan itu. Tetapi Pak Tua
Mahat tahu orang bukit yang dimaksudkan oleh lembaga botak itu ialah puaka
hutan yang datang bersama lembaga berkepala botak itu. Disebabkan puaka hutan itulah
lembaga berkepala botak yang mengembala burung wak-wak yang didekut oleh Pak
Tua Mahat terkeliru hingga bertindak mengancam Pak Tua Mahat. "Sekarang,
kau mensti lepaskan Jonoh..!" perintah Pak Tua Mahat mengencam. Lembaga
berkepala botak itu berjanji akan melepaskan Jonoh. Perlahan-lahan Pak Tua
Mahat melepaskan dia dari genggaman. Pak Tua Mahat juga hilang dari silauan
cahaya putih memancar itu, hanya tinggal berbayang samar-samar di dalam gelap
malam. Ketika ini kabus putih memanjang tadi naik semula menyusup ke celah
rekahan tompok-tompok awan hitam di udara. Serentak dengan itu kedengaran
semula bunyi tapak kaki sekawan lembu berlari kencang menyerbu ke arah Saban
Keme bertahan. Lembu putih itu berombak-ombak datang dari sebelah hulu. Belum
pun sempat kawanan lembu putih itu menyerbu hujan kasar turun dari
tompok-tompok awan hitam menimpa kawanan lembu-lembu putih tersebut. Asap
berkepul-kepul naik tergawang-gawang sebaik sahaja hujan kasar seperti air
panas menimpa kawanan lembu yang datang menyerbu itu, menyebabkan semua kawanan
lembu putih bertempiaran menyelamatkan diri.
Kemudian sayup di udara kedengaran bunyi batuk
berdeguh-deguh berulang kali. Awan hitam bertompok-tompok itu bergerak perlahan
bertukar menjadi bulat seperti lekar. Deru angin kencang kedengaran bertiup
dari sebelah atas hingga seram sejuk juga kepada Saban Keme. Dia memerhati
keliling tetapi tidak kelihatan lagi mertuanya. Jonoh juga masih terlentang di
pangkuannya walaupun tidak terkinjal-kinjal menendang angin seperti mula-mula
tadi. Lembu-lembu putih yang berlari bertempiaran tadi datang semula menyerbu
dari arah yang sama. Saban Keme dapat mengagak sekiranya lembu-lembu putih itu
merempuh sudah tentu dia dan Jonoh remuk di bawah kakinya. Sebab itu Saban Keme
tidak berhenti membacakan Ayat Kursi berulang kali seperti yang pernah saya
pesankan kepadanya. Sayup di udara Saban Keme mendengar suara garau menghalau
lembu-lembu dari celah lingkaran awan hitam. Tetapi lembu-lembu putih itu
kelihatan bertambah banyak berombak-ombak datang mahu menyerbu. Saban Keme
menunggu dengan tabah serbuan lembu-lembu putih yang datang menyerbu
berombak-ombak itu. Mujurlah dia dapat melihat bagaimana lembu-lembu putih itu
datang beratus-ratus ekor dari sebelah hulu. Tidak seperti Manan Sateh yang pernah
mengalami keadaan serupa semasa dirempuh oleh kabus putih yang menyerbu laju
dibawa ribut kencang tatkala mendekut wak-wak di Simpang Durian.
Kawannya Mat Samah sudah pun mengingatkan Manan Sateh supaya
tidak terlalu tamak setelah mereka berjaya mendapat dua karung burung wak-wak
yang didekut. Tetapi Manan Sateh tidak hiraukan nasihat Mat Samah. Dia masih
belum berpuas hati kerana melihatkan burung wak-wak masih banyak berlompatan
turun ke tengah padang terlangah-langah mengejar silauan lampu yang disuluh
oleh Mat Samah. Manan Sateh terus menegakkan jaring pula supaya memudahkan dia
memungut burung-burung yang tersangkut pada jaring. Belum pernah lagi dia dapat
melihat terlalu banyak burung-burung berkenaan datang menyerbu bila didekut.
Malam itu Manan Sateh dan Mat Samah melihat sendiri burung-burung wak-wak
berlompatan dari udara terjun ke tengah
padang. Puas Mat Samah menangguk hingga penuh dua karung pun, masih ada lagi
burung wak-wak berlompatan turun. Sebab itulah Manan Sateh memasang jaring yang
disediakan kalau burung-burung banyak datang menyerbu. Berkali-kali Mat Samah
mengingatkan dia supaya tidak payah lagi memasang jaring. Tetapi Manan Sateh
tidak tergamak balik segera meninggalkan rezeki sedang datang bergolek. Dia
mesti memungut burung wak-wak yang sudah terlalu banyak menyerah diri setelah
didekut itu.
Sebaik sahaja jaring direntang inilah Mat Samah nampak kabus
putih seperti bukit meluru menerpa jaring dari udara ditiup ribut kencang.
Sekaligus Manan Sateh terperangkap di dalam kabus putih itu menyebabkan dia
bergulung di dalam jaringnya sendiri. Setelah kabus putih itu menghilang
bersama ribut kencang, Mat Samah segera menerpa mendapatkan Manan Sateh yang
sudah terkapar tidak sedarkan diri. Mulut dan hidung Manan Sateh berbuih dengan
darah. Matanya terbeliak dengan kakinya terkinjal-kinjal menggelupur. Dengan
tidak menghiraukan burung wak-wak yang sudah penuh dua karung, Mat Samah
memapah Manan Sateh balik. Hampir tiga bulan Manan Sateh menderita sakit
hinggakan luruh rambutnya di kepala. Setelah dijemput Pak Tua Mahat di Mentaus,
barulah Manan Sateh dapat dipulihkan semula.
Ketika ini memang Saban Keme dapat mengagak bahawa
lembu-lembu putih yang menyerbu ke arahnya itu sama dengan kabus putih yang
merempuh jaring Manan Sateh. Dengan tidak bertangguh lagi Saban Keme terus
melaungkan azan sekuat hatinya hingga bergema sampai ke udara. Gema azannya itu
seolah-olah menggegarkan di kawasan lembu-lembu putih itu berlari kencang,
menyebabkan semua lembu-lembu itu bagaikan tertumus ke tanah. Mereka jatuh
bertimpa-timpa sama sendiri akibat tertumus keras semasa menyerbu datang.
Semasa dia berpaling ke hulu, Saban Keme nampak dua tapak kaki seperti bukit
memijak lembu-lembu itu hingga penyek. Dia tidak melihat lembaga kaki tersebut,
tetapi hanya terbayang-bayang dari silauan cahaya putih memancar. Setiap kali
tapak kaki itu memijak, bunyi lenguhan lembu-lembu berbaur-baur hingga sampai
ke udara. Sekaligus pula lingkaran awan
hitam bergerak perlahan-lahan di udara lantas menurunkan hujan gerimis. Dalam
hujan gerimis yang turun menyimbah membasahi kepala Saban Keme inilah, Jonoh
mula menggeliat-geliat menyapu mukanya.
"Eh, hujan ke, bang?" soal Jonoh bingkas bangun
terpinga-pinga. "Emm, hujan" beritahu Saban Keme perlahan. "Mana
ayah?" Jonoh bangun berdiri memerhatikan sekelilingnya. "Eh, mana
wak-wak, tak ada ke kita dapat?" dia tidak tahu apa yang terjadi ke atas
dirinya sejak dua jam sebelumnya. Saban Keme tidak menyahut. Dia tidak tahu
bagaimana mahu menerangkan kepada Jonoh apa yang telah dilihatnya. Mungkin
Jonoh sendiri tidak percaya dia tidak sedarkan diri hampir dua jam di tengah
sawah dalam kegelapan malam itu. "Mana ayah, bang?" ulangi Jonoh
lagi. Saban Keme memuncungkan bibirnya ke busut tempat mertuanya berdiri.
Tetapi tidak siapa pun dilihat berdiri di situ. Bayangan mertuanya pun tidak
kelihatan langsung. Berdebar juga hati Saban Keme setelah mendapati mertuanya
tidak juga muncul. Kalau dia mengajak Jonoh balik meninggalkan kawasan itu,
bimbang juga dia akan dimarahi mertuanya. Sejak tadi lagi dia sudah diperintah
menjaga Jonoh di situ. Masakan mertuanya sudah balik lebih awal dengan tidak
mempedulikan keadaan Jonoh yang tidak sedarkan diri.
Dia percaya tentu mertuanya akan datang juga ke situ. Tentu
mertuanya tidak tahu fasal Jonoh sudah pulih semula. Hujan gerimis turun
semakin kasar. Saban Keme terasa bajunya juga sudah basah disimbah hujan.
"Hei, bang marilah kita balik..hujan lebat ni" kata Jonoh menarik
tangannya. "Nantilah dulu, ayah suruh tunggu di sini" ujarnya
perlahan. "Mana ayah?" Jonoh tidak sabar mendesak. "Tunggulah
kejap" Saban Keme mengingatkan. Dia terhangak-hangak juga memanjangkan
leher mencari mertuanya di dalam gelap malam yang mula kelam oleh hujan gerimis
menitik kasar. "Apa jadi pada aku, bang...?" tiba-tiba Jonoh bertanya
setelah menyedari dia masih berada di tengah sawah di dalam gelap demikian.
"Balik nantilah aku ceritakan" sahut Saban Keme terlangah-langah
mencari mertuanya Pak Tua Mahat. Dia tetap menunggu di situ sekalipun hujan
turun semakin lebat mencurah-curah. Mertuanya sudah menyuruh dia bertahan di
situ sampai orang tua itu datang semula. Sebab itulah dia tidak akan balik
lebih awal selagi mertuanya tidak terjongol.
Kira-kira 15 minit Saban Keme menunggu barulah dia nampak
bayang mertuanya terjengket-jengket dari balik busut merempuh hujan gerimis
semakin kasar. Dia menjinjing sebatang kayu yang terikat burung wak-wak di
situ. Sampai sahaja di depan Saban Keme dia menyuruh masukkan burung wak-wak
yang terikat pada kayu itu ke dalam buntil. "Jangan dibilang berapa
ekor..." kata Pak Tua Mahat mengeluarkan celapah rokok dari saku
seluarnya. Dia mengambil rokok daun yang siap bergulung lantas menghisapnya di
dalam hujan yang mula turun lebat. Di dalam hujan itulah mereka bertiga
meranduk kegelapan balik ke rumah.
TAMAT
No comments:
Post a Comment