DURI IKAN SEMBILANG DITUSUK KE KEPALA
KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang berlangsung di rumah Mat
Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum berlangsung majlis berinai pada sebelah
malamnya, telah berlaku kekecohan di sebelah petangnya ketika rombongan
pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor. Keputusan kedua pihak keluarga
pada peringkat awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal diadakan bagi
melangsungkan perkahwinan Masimah anak gadis Mat Sunud di Tanjung Karang,
memang sudah dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah pihak
perempuan saja.
Persetujuan ini dicapai memandangkan kampung mereka
berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah diadakan selang seminggu pula.
Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat kenduri nikah kahwin. Pihak
keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis persandingan dilangsungkan di
sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana kekecohan mula berlaku sebaik
saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di rumah jiran pengantin perempuan
sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja pihak perempuan mahu juga diadakan
majlis bertandang di rumah keluarga pengantin lelaki di Tangkak. Pada mulanya
pihak keluarga pengantin lelaki berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan
dua kali kenduri. Semasa mereka menghantar pengantin lelaki memang sudah
diadakan kenduri membaca doa selamat. Tentulah menjadi serba salah untuk
memanggil jiran-jiran semula sekiranya
mahu diadakan juga majlis bertandang itu.
"Minta maaflah bisan..." Mak Icum memeluk leher
Hajah Semiah ketika menyampaikan keputusan sanak saudaranya. "Dah kemudian
pula timbulnya desakan dari bapa-bapa saudara Masimah" katanya menangis
teresak-esak menahan malu apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian.
Sekiranya dia enggan menyampaikan keputusan tersebut, mereka semua akan
memulaukan majlis persandingan berkenaan. Alasan yang mereka berikan ialah
Masimah bukan janda. Sebab itulah mereka memaksa mesti diadakan juga majlis
bertandang ke rumah pengantin lelaki. Lagi pun semasa rundingan awal dibuat,
hanya Mat Sunud saja yang memutuskan dengan tidak memanggil sanak saudara yang lain. Walaupun pada mulanya Hajah Semiah
emak Jabal yang ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya enggan menurut
kemahuan pihak perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia kasihan juga
melihat keadaan Mak Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan kesilapan
pihaknya itu. Terpaksalah Hajah Semiah menerima dengan tabah hati keputusan
yang tidak diduganya. Semasa rombongan pengantin lelaki balik semula ke Tangkak
petang itu juga, Jabal ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah Rupai, dan
sepupunya Berahim yang menjadi pengapit pengantin.
Semasa majlis berinai hendak diadakan, Masimah yang sudah
duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke bawah. Dia menggelupur bagaikan ikan
tidak mendapat air di atas riba Mak Andam. Mereka yang berkerumun di atas rumah
mahu melihat pengantin perempuan di atas pelamin menjadi gempar dengan kejadian
tersebut. Cepat-cepat pula Mat Sunud berkejar ke rumah jirannya Bahar tempat
persinggahan pengantin lelaki, memberitahu supaya ditangguhkan dulu kedatangan
pengantin lelaki. Sebaliknya apabila Mat Sunud sampai di rumah Bahar, beberapa
orang yang menemani pengantin lelaki juga menjadi cemas kerana Jabal terlentang
di hujung serambi mengerang-ngerang sakit kepala. Dia juga masih belum lagi
memakai pakaian pengantin untuk majlis berinai. Sementara di khemah di hujung
halaman, masing-masing belum mengetahui peristiwa yang menimpa kedua-dua
pengantin. Mereka asyik mendengar permainan pancaragam yang mendendangkan
lagu-lagu merdu.
"Macam mana kita nak buat ni?" tanya Ngah Rupai
berpaling pada Mat Sunud. Dia memicit-micit kepala Jabal bagi mententeramkan
anak muda berkenaan. "Nantilah, saya suruh budak-budak panggilkan
dukun" sahut Mat Sunud lantas menghilangkan diri di celah-celah orang
ramai yang berkerumun di serambi rumah Bahar. Tidak lama kemudian dia muncul
semula dengan termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya. "Tengoklah
kejap lagi, saya dah suruh budak panggilkan dukun" ujarnya mengeluh lemah.
"Masimah, apa khabarnya?" soal Bahar pula setelah diberitahu mengenai
Masimah juga tidak sedarkan diri. "Entahlah..., macam tu juga nampaknya"
Mat Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan. "Adakah Pak Nud syak
sesiapa yang buat...?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh ke atas
pengantin lelaki, disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan. Apa yang
berlaku ke atas Jabal dia tidak boleh lepas tangan begitu saja. Mat Sunud
menggeleng kepala. Sukar juga dia mahu menuduh sekiranya tidak ada bukti yang
sahih. Lagi pun menuduh dengan tidak ada bukti mungkin menyebabkan orang marah,
sehingga menambahkan lawan di dalam kampung sendiri. Perkahwinan anaknya
Masimah dengan Jabal pun bukanlah atas pilihannya, tetapi mereka berdua
berjanji setelah bertemu di Kuala Lumpur. Mereka sama-sama bekerja di Kuala
Lumpur. Di mana mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga memutuskan
untuk ke jinjang pelamin, Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah anaknya Masimah
memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima dengan dada yang
tebuka.
Dalam rundingan dengan keluarga Jabal, memang Mat Sunud
sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di Tanjung Karang saja kerana kalau
mahu bertandang pula ke Tangkak banyak masalahnya. Setelah diputuskan
perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang tinggal di Felda Jengka tidak
bersetuju majlis bersanding itu habis di Tanjung Karang saja. Semua sanak
saudara Mak Icum menyalahkan Mat Sunud kerana membuat keputusan sendiri,
apabila menetapkan hari perkahwinan Masimah dan Jabal. "Ini kerja orang
dengki ni, dia sengaja nak beri malu Pak Nud agaknya" gerutu Bahar
menggertap bibir. Geram benar dia dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab
semasa pengantin hendak naik ke pelamin untuk upacara berinai. "Entahlah,
Bahar...mati akal aku!" keluh Mat Sunud mengesat pelupuk matanya. Jabal
mengerang-ngerang menahan kesakitan yang menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya.
Dukun yang dipanggil tidak juga datang lagi setelah setengah jam mereka
menunggu. Ketika ini orang memanggil Mat Sunud
dari rumahnya kerana keadaan Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas
pula Mat Sunud balik ke rumah dalam keadaan cemas mencengkam hatinya.
"Apa ikhtiar kita makcik?" tanya Bahar berpaling
pada Ngah Rupai. "Tak tau laa makcik, terpulanglah pada orang sini"
sahut Ngah Rupai sambil jarinya memicit-micit kepala Jabal. Peluh membasahi
belakang Jabal hingga bajunya lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan
baju tersebut supaya suhu panas badan
Jabal dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur
sembuh. Dia menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti
ikan terdampar di pasir. Sehingga jam 11.00 malam barulah Mat Sunud memberitahu
orang pancaragam supaya menghentikan permainannya, lantas memberitahu mengenai
kejadian yang menimpa kedua mempelai. Bertambah lagi murungnya suasana setelah
pancaragam memberhentikan permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak saudara
Mak Icum dan Mat Sunud melihatkan dua mempelai terlantar menahan kesakitan
masing-masing.
"Wak Golan dah ke Ulu Selangor, Pak Nud..."
beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil dukun. Sebaik saja disuruh
memanggil dukun, Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak
Golan. Tetapi dia diberitahu Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gedangsa, Hulu
Selangor. Bertambah hampa Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang
diharapkannya boleh memulihkan kedua mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak
tahu apa harus dilakukan. Sepanjang ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi
dukun di sekitar kampungnya. Kepada orang tua itulah mereka menggantung harapan
sekiranya diancam gangguan demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka
seolah-olah putus asa mencari ikhtiar yang lain. "Kalau sakit macam ni,
carilah tok imam-tok imam ke, minta doakan...." ujar Ngah Rupai apabila
diberitahu oleh Mat Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah anaknya
di Gedangsa. "Hah, elok juga tu" sahut Bahar menyetujui cadangan Ngah
Rupai. "Elok kita panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan" katanya
menggesa supaya segera diberitahu kepada Haji Madan.
Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya dengan
tidak mendapatkan persetujuan dari Mat Sunud untuk memanggil Haji Madan di
seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan guru agama di situ yang selalu ditemui
oleh orang-orang kampung meminta jasa baiknya mendoakan anak-anak mereka supaya
lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali tenjot sampai di halaman rumah Haji Madan,
isteri Haji Madan baru saja menghidangkan kopi kepada kami di serambi.
Kebetulan saya singgah di rumah Haji Madan bersama seorang kawan lagi dalam
perjalanan dari Teluk Intan. Setelah Jali Tenjot naik ke rumah, dia
diperkenalkan oleh Haji Madan kepada saya dan Bumin, sambil mengajaknya minum
kopi terlebih dulu. "Apa halnya ni?" tanya Haji Madan lantas
menghulurkan cawan kopi o ke hadapan Jali Tenjot. Tergagap-gagap Jali Tenjot
menceritakan kejadian yang menimpa di majlis berinai anak Mat Sunud.Terbayang
kegelisahan di wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak Icum. Kejadian
tersebut bukan saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung menanggung
malu kepada keluarga pengantin lelaki. Tentulah cerita mengenai kejadian
tersebut tidak akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan menjadi buah
mulut kepada seisi kampung.
Majlis perkahwinan adalah bertujuan untuk sama-sama
memeriahkan kedua mempelai, serta menemukan mereka dengan sanak saudara. Tetapi
dengan kejadian yang tiba-tiba saja diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit
turun-temurun yang datang menyerang. Sudah tentulah ada orang yang iri hati
melakukan kerja-kerja sihir bagi merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud.
"Emm, kita minum kopi dulu" ujar Haji Madan tersengih-sengih.
"Kopi ni, Mak Aji kau sendiri yang tumbuk" katanya sambil mengerling
isterinya yang tersenyum tersipu-sipu. Disebabkan Haji Madan sudah dijemput
orang lantas saya mengajak Bumin balik, kerana saya menumpang keretanya. Tetapi
kalau saya melalui jalan tersebut ke Teluk Intan, memang saya singgah di
rumahnya. Kadangkala kalau melebihi jam 11.00 malam pun saya tetap singgah,
kerana dia masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi saya kalau tidak
singgah sekiranya dia tahu saya ke Teluk Intan atau ke Kampung Gajah melalui
jalan tersebut.
"Biarlah saya minta diri dulu, tuan..." saya
menghulur tangan untuk berjabat salam. "Hiss, nanti dulu Ustaz"
katanya menepis tangan saya. "Ini Fardhu Kifayah, Jali ni datang
betul-betul berharap, marilah sama" Haji Madan tidak membenarkan saya
balik. "Tak apalah tuan, Bumin ni ada hal besok" saya cuba mengelak.
"Halnya besok, bukan malam ni!" Haji Madan berkeras tidak mahu
melepaskan saya pergi. "Macam mana Bumin?" sengaja saya mencuit
Bumin. Belum pun sempat Bumin menyahut cepat-cepat Haji Madan memotong,
"Bumin belum nak balik lagi tu, Ustaz ni aje yang pandai-pandai" dia
bangun berdiri sambil meminta isterinya mengambilkan lampu picit. Dia menarik
tangan saya mengikutinya ke rumah pengantin. Bumin hanya tersengih-sengih
melihat telatah Haji Madan yang langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan
diri mengikutinya. Malam sudah mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang
itu nampak berbalam-balam cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar
melintasi sawah itu juga sekali-sekala ada juga kereta meluncur.
Semasa kami sampai di rumah Mat Sunud pengantin perempuan
masih berpakaian pengantin lagi, tetapi sanggulnya sudah terurai. Dia
menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar bernafas seperti ikan terdampar
di pasir. "Yang lelakinya di mana?" soal Haji Madan sebaik saja duduk
menyandarkan belakang ke dinding. "Di rumah Bahar" beritahu Mat
Sunud. Kemudian barulah Haji Madan
memperkenalkan saya dan Bumin kepada Mat Sunud dan keluarganya.
"Macam mana Ustaz?" Haji Madan menepuk bahu saya. "Terpulanglah
pada tuan..." ujar saya menghela nafas. "Kalau macam tu, bawa
pengantin lelaki tu ke mari" Haji Madan mencadangkan. "Di sini, boleh
kita sama-sama ikhtiarkan" katanya semacam memberi arahan kepada Mat
Sunud. Dengan tidak membantah Mat Sunud mengajak Jali Tenjot membawa pengantin
lelaki ke rumahnya. Suasana muram di rumah pengantin itu jelas terbayang di
setiap wajah yang lesu berceratuk memenuhi ruang rumah. Mereka masih
kebingungan dengan peristiwa tersebut, walaupun sudah diusahakan dengan
berbagai jampi serapah oleh beberapa orang yang berpengalaman juga mengubati
penyakit seperti itu.
Disebabkan Wak Golan tidak ada, dua tiga orang yang pernah
berguru dengan Wak Golan telah mencuba kemampuan masing-masing. Namun Masimah
dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan. Ketika Jabal dipapah datang ke rumah Mat
Sunud, mukanya pucat. Kuku jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang juga
menahan sakit kepala. Haji Madan menyuruh dibaringkan Jabal berhampiran dengan Masimah. Kemudian dia
duduk di tengah-tengah pada bahagian hulu kepala. Dia menyuruh saya duduk di
bahagian lunjur kaki kedua pengantin itu. Sebaik saja saya duduk tiba-tiba
Masimah bingkas bangun lantas meludah saya berulang kali, menyebabkan keadaan
menjadi kelam kabut. Mat Sunud dan Jali Tenjot segera menerpa memegangkan
Masimah yang tiba-tiba saja menjadi berang melihat saya duduk di lunjur
kakinya. Sekali-sekala dia mengerling ke arah Jabal yang terbaring
mengerang-ngerang menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.
"Kenapa kau marahkan dia....!" jerkah haji Madan
menepuk dua tangannya ke paha. "Orang ni jahat" sahut Masimah ketawa
terkekeh-kekeh, menudingkan jarinya ke arah saya. "Ha, ha...sekarang kau
dah tunjukkan diri kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke
kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan.
"His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat...!"
ujar Haji Madan tersenyum sinis. Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat
melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud. Ketika ini terdengar
bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang
kelihatan merempuh dinding. "Halau dia tu, halau dia...!" pekik
Masimah menuding-nuding ke arah saya. "Dia tu orang jahat, dialah yang
suruh aku ke mari" katanya ketawa mengejek. "Setan memang nak laga-lagakan
orang" sahut Haji Madan tidak melepaskan
tangannya di kepala Masimah. "Kau fikir kami percaya dengan tipu
muslihat kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang" ujarnya merentap
tangannya dari kepala Masimah. Mat Sunud menyangka saya tersinggung apabila
diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf.
Tetapi saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat Sunud itu, kerana saya
menyedari sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat seolah-olah terbayang
satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan. Oleh
itu sebelum naik ke rumah saya sudah membacakan Ayat Kursi 33 kali sehingga
saya duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian saya berzikir halus di dalam
hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai
bunyi berdegam memukul ke dinding.
"Ustaz ni orang jahat...!" Masimah
tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa. "Engkau yang jahat,
menyusahkan orang!" suara Mat Sunud keras mengherdik. "Kami bukan
kacau kau, kenapa kau kacau kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya
sedang mengganggu anaknya ketika itu. Memandangkan keadaan Masimah bertambah
garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, saya pun
meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi saya sebaik saja
tangan saya menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok merapatkan mulut saya
ke telinga kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan, dan
5 kali di telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit
mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya. "Ah, rumah ni elok, tak
roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang mendiamkan
diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu. "Cukup dulu..." kata
saya kembali duduk di lunjur kaki Masimah. "Kalau kau berdegil, aku akan
timpakan kau dengan gunung" ujar saya memberi amaran. Masimah mulai
ketakutan merenung muka saya. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya.
"Nah, lawanlah sangat" sergah Haji Madan mengejek.
Ketika ini saya melihat Jabal tidak mengerang-ngerang lagi.
Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Saya bangun mengangkat kepala
Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca Surah Al-Ikhlas 11 kali diikuti
dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas sekali. Selepas itu barulah Jabal
menggosok-gosok matanya lantas meminta air untuk diminum. Dia sendiri seperti
orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya dan
isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan seterusnya bersanding.
Mujurlah mereka berdua sempat diakad-nikahkan sebelum majlis berinai itu.
Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal
mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya
walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.
"Haji Madan, buat apa kau bawa Ustaz ni?" Masimah
menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka saya. "Ah, aku tak mau
layan kau. Aku beri tempoh lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah,
Ustaz ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas
Haji Madan memberi amaran. "Buatlah, apa kau nak buat" sahutnya
tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung atap. Saya ikut merenung
ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah. Lantas saya membacakan
innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir Rahim 10 kali, kemudian
saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban
termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak
mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus
kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.
"Ustaz, kita mulakan...." kata Haji Madan bangun
sambil meminta air sejuk segelas. Setelah diberikan air tersebut, Haji Madan
menjulang gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya, dan saya mendengar
dia membacakan Ayat dari Surah Al-Jin Quluhiyya innahus tamaa nafarun
minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi. Kemudian saya menudingkan jari ke muka
Masimah seolah-olah saya menuding ke muka perempuan tua yang mengadap ikan
sembilang di lantai itu sambil membisikkan "Sejuk kau, sejuk kau...aku
kirimkan air batu...", sekaligus pula saya melupakan Masimah terbaring di
hadapan saya. Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan
kesejukan, hungga bibir dan jari kecut seperti terkurung di dalam air batu.
Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang
dipegang olah Haji Madan. Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi
air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu
jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang
bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. Kira-kira 15 minit
kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula. Hanya 5 bulan lepas kejadian
itu, semasa saya dan Bumin singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan
Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa.
Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh
dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti
terkurung di dalam air batu.
TAMAT
No comments:
Post a Comment