TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
043. MENGAPA TUBUHNYA JADI REPUT
Tidak jadi saya dan Mat Sitam ke Lancang menjemput Ulung
Bahar kerana keadaan Saidon semakin teruk. Terkopak papan-papan dinding
ditendangnya. Dia terus mengamuk, tidak peduli ditegah oleh Ngah Jamat
sekalipun. Sebab itulah saya dan Mat Sitam mengambil keputusan tidak pergi
menjemput Ulung Bahar.
Bukanlah bererti kami mengalah kepada kemahuan Saidon yang
sudah dirasuk syaitan itu menyebabkan tidak jadi ke Lancang, tetapi kami tidak
sampai hati membiarkan Ngah Jamat seorang sahaja lelaki di situ, sekiranya kami
berdua pergi. Cuma Mak Ripah isteri Ngah Jamat yang ada di situ. Jiran-jiran
lain belum datang kerana masing-masing belum ke rumah dari bekerja. Ada yang ke
sawah, ada yang ke kebun, ada yang ke hutan mencari rotan.
Mereka semua tidak tahu mengenai penyakit Saidon berbalik
semula. Kalau jiran-jiran tahu mereka tetap akan datang menziarah. Mereka
kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga Saidon. Sebelum Saidon dihinggapi
penyakit ganjil itu dia seorang yang selalu mengambil berat tentang
jiran-jiran.
Jiran-jiran minta tolong perkara-perkara yang bersangkutan
dengan tanah dan cukai tanah di Pejabat Daerah, dia sanggup. Kalau ada kenduri
kendara, Saidon terlalu ringan tangan menolong. Kerja-kerja gotong royong juga
Saidon akan memainkan peranan utama.
Sebab itulah simpati orang-orang kampung begitu mendalam
terhadap Saidon dan keluarganya. Kudis yang menyelaputi seluruh badan Saidon
memang meloyakan, Baunya hanyir serta nanah meleleh berlendir. Memang kalau
tidak mengenangkan budi baiknya selama ini, orang-orang kampun jijik mahu
menziarahi dia.
Tetapi semua derita yang ditanggung oleh Saidon sekarang
bukanlah kehendak dia. Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya. Memang
Saidon sendiri tidak mahu menderita dengan kudis tokak seluruh badan. Siapalah
yang mahu berkeadaan begini?
Takdir telah menentukan segala-galanya. Selepas timbul
cerita orang berkepala anjing muncul di kampung itulah, Saidon berubah
kelakuannya. Dia menjadi orang yang cepat panas baran, berkelakuan perongos dan
akhirnya dihinggapi penyakit kudis tokak seluruh badan.
“Bunuh! Bunuh aku !...” gerutu Saidon menyondol-nyondolkan
kepalanya ke dinding.
“Sabar Saidon, jangan ikutkan perasaan,” rayu Mak Ripah saya
melihatkan keadaan Saidon menyondol-nyondol kepala. Kudis yang berkerak
dikepalanya berdarah akibat disondol-sondol.
Dari segi zahirnya kita melihat Saidon marah akan
penyakitnya tidak sembuh sekian lama. Itulah yang menyebabkan dia meradang
menendang-nendang dinding. Kemudian menyondol-nyondolkan kepalanya ke situ
sambil memekik menyuruh orang membunuh dia.
Tetapi saya tidak melihat dari segi zahirnya. Saya yakin
penyakit kudis itu bukannya penyakit kulit biasa yang kita lihat. Kalaulah
penyakit kulit biasa tentu sudah sembuh bila dibawa ke hospital. Masakan
kulitnya bertambah reput di samping beberapa bahagian sudah ditumbuhi ulat-ulat
berengau.
“Kita cuba ubatkan dulu, sebelum panggil Ulung Bahar,” bisik
saya pada Ngah Jamat, Saya sendiri tidak tertahan hiba di hati melihat keadaan
Saidon menyondol-nyondol kepala ke dinding.
Dua orang anaknya yang masih kecil terkebil-kebil mata
melihat ayahnya melatam-latam dinding. Mereka juga menangis terisak-isak tidak
ketahuan apa. Sementara Lijah memang sudah hilang akal sejak datang menjemput
Ngah Jamat tadi lagi.
“Kalau ustaz nak cuba, cubalah...” Ngah Jamat menepuk bahu
saya.
“His, Ngah Jamat lah mulakan,” kata saya menginsut punggung
ke depan sedikit.
“Saya dah mati akal ustaz,” ujar Ngah Jamat memberi
pengakuan.
Serba salah juga saya mendengar jawapan Ngah Jamat. Masakan
orang seperti dia kehilangan punca menghadapi suasana demikian. Tetapi semuanya
ini adalah atas pengalaman belaka. Boleh
jadi Ngah Jamat belum pernah menerima pengalaman begini meyebabkan dia cepat
kehilangan punca. Malah kebanyakan dukun akan kehilangan punca bila pesakit yang
di ubatnya sudah sembuh, kemudian penyakinya berbalik semula akibat terlanggar
pantang larangnya.
Memang dia tidak berupaya
Untuk mengubatnya lagi setelah penyakit yang sudah sembuh
itu, berbalik semula. Teringat saya kepada bapa saudara saya bernama Mat Ali
mengubat seorang kawan digigit ular tedung senduk pada bahagian tangannya.
Ular tedung senduk itu ditangkap oleh bapa saudara di
sebatang anak sungai. Semasa balik dia bertemu dengan kawannya itu bernama
Sahak. Kawannya ini pula memang suka mengikut Mat Ali bermain ular. Sudah
menjadi kebiasaan Sahak akan meminta untuk bermain dengan ular, setelah ular
berkenaan dapat ditangkap oleh Mat Ali.
Sahak ini pula terlalu nakal. Ketika dia melilitkan ular di
lehernya seorang gadis di kampung itu mahu ke sungai. Dia pun mengacah-acahkan
ular tedung senduk itu kepada gadis tersebut, menyebabkan gadis itu
terperanjat.
Perbuatan Sahak ini menaikkan kemarahan ayah gadis
berkenaan, lalu digunakan kebolehan dia menjadikan ular yang sudah jinak tadi
garang semula. Sekali gus ular tedung senduk menerkam belakang tangan Sahak.
Dia terjerit kesakitan. Mat Ali juga heran bagaimana ular yang sudah
dijinakkannya tadi bertukar menjadi garang.
Bagaimanapun Mat Ali menyedari bahawa perbuatan Sahak tadi
punca semangat ular berkenaan sudah dipermainkan oleh orang. Mahu tidak
mahu Mat Ali terpaksa melepaskan ular
tedung senduk ke dalam belukar kerana dia sudah menjadi liar semula. Setelah
ular itu pergi Mat Ali mengubati tangan Sahak yang digigit ular tadi dengan
tangkalnya saja.
“Kau jangan menempuh cucur atap dua kali “ kata Mat Ali
mengingatkan Sahak. “Bila kau balik ke rumah, terus saja masuk dan jangan
keluar lagi selama tiga hari..” dia berpesan sungguh-sungguh pada Sahak.
Apabila melintasi kedai, sahak terlupa pesanan Mat Ali. Dia
terus masuk ke kedai itu untuk membeli rokok. Bermakna dia telah melintasi
cucur atap kedai sekali ketika memasukinya. Kemudian bila keluar dia melintasi
cucur atap buat kali kedua. Tepat seperti yang diingatkan oleh Mat Ali sebaik
sahaja Sahak keluar dari kedai dia terasa tangannya seperti direnggut kuat.
Kepalanya berpusing langsung jatuh tidak sedarkan diri.
Orang yang ada di kedai terkejut melihat Sahak jatuh tidak
sedarkan diri. Kebetulan ketika itu Mat Ali datang ke situ. Melihat keadaan
tersebut Mat Ali hilang punca. Dia tidak berdaya lagi untuk membantu Sahak yang
sudah melanggar pantangnya.
Mat Ali sendiri menyuruh orang-orang di situ membawa Sahak
ke hospital kerana bisa gigitan ular tedung senduk itu sudah tidak dapat
dikawal oleh Mat Ali lagi.
Tiga hari Sahak tidak sedarkan diri di hospital. Tangannya membengkak sampai ke lengan.
Apabila dokter cuba mengurut tangan yang bengkak itu turunlah nanah bercampur
darah pada bahagian gigitan ular. Semakin diurut semakin banyak darah dan nanah
kelua, tetapi akhirnya bercampur dengan daging yang mula reput.
Hampir tiga bulan Sahak terlantar di hospital, barulah
dokter mengambil keputusan membuat sedikit pembedahan bagi membuangkan bahagian
daging yang mula busuk. Kemudian daging pehanya diambil bagi ditampalkan pada
daging yang reput itu.
Inilah kejadian melanggar pantang dukun yang saya ketahui.
Kalau lah di patuk ular biasanya dalam masa tiga hari boleh sembuh apabila
dbawa ke hospital. Kalau lebih dari jangka masa demikian alamat masa itu akan
mati. Tetapi kisah Sahak ini berlainan dari gigitan ular biasa, sebab ular yang
mematuk Sahak itu semangatnya sudah dirasuk oleh satu kuasa lain.
Bila mengingatkan peristiwa Sahak ini, saya bandingkan
dengan nasib yang menimpa Saidon. Walaupun Saidon bukannya digigit ular tedung
senduk, tetapi masaalah yang dihadapinya adalah sama. Penyakitnya sudah sembuh
apabila diubat oleh Ngah Jamat, tetapi cabuh semula setelah melanggar pantang.
Saya fikir Saidon tidaklah bersalah bila memakan rendang
daging di rumah orang kenduri. Tentu dia merasa penyakitnya sudah sembuh betul.
Masakan tidak boleh menjamah rendang daging setelah penyakitnya benar-benar
sembuh, Sebab itulah dia berani menjamah. Kalaulah dia tahu cabuh pantang
menjadi sedemikian tenat, mungkin dia tidak akan berani menjamah rendang daging
seumur hidupnya.
Tetapi mengapa pula dipantangkan memakan daging?
Memang benar semasa anak lelaki saya dihinggapi sejenis
kudis, dokter di klinik swasta tidak membenarkan anak saya makin daging, telur,
kerang dan ayam. Setelah kudisnya sembuh, sengaja saya suruh anak saya memakan
makanan yang dilarang oleh dokter.
Dua hari selepas itu kaki tangan anak saya kembali mengudis
dan gatal. Bagaimanapun saya tetap tidak percaya dengan pantang larang makanan
ini. Saya membaw anak saya ke klinik kerajaan di Setapak, Kuala Lumpur. Dokter
yang merawatnya seorang perempuan bermini telekong. Dia tidak melarang memakan
apa jua makanan.Dia memberi ubat minum untuk dua hari dan ubat sapu untuk tiga
hari. Kemudian dia menyuruh isteri saya merebus semua pakaian anak-aak saya
apabila membasuhnya.
Insya Allah, dua hari selepas itu penyakit kudis anak saya
sembuh sampai sekarang.
Sebab itu saya yakin bukan disebabkan tersalah makan itu
yang menyebabkan penyakit Saidon berbalik semula. Bagaimanapun saya tidaklah
menerangkan kepada Ngah Jamat, kerana bimbang dia berkecil hati. Tetapi dari
tingkah laku Ngah Jamat, saya percaya dia seorang yang boleh menerima hakikat
sebenarnya. Tidak heranlah mengapa dia mengaku tidak mampu lagi mahu mengubat
Saidon.
Lagipun setiap orang dukun mempunyai kepandaian sendiri
seperti yang pernah dipelajarinya. Sekiranya dia menghadapi penyakit diluar
kepandaiannya, maka cepat-cepat dia mengaku tidak sanggup mengubatinya.
“Cuba lah ustaz...” desaknya beriya-iya. “Kemenyan sebesar
tungku tak dibakar, takkan berbau,” katanya menolak paha saya supaya rapat
kepada Saidon yang masih menghantuk-hantuk kepala ke dinding.
“Saya tak berani”
jelas saya serba salah dengan desakan Ngah Jamat. “Elok Ngah Jamat mulakan,
Insya Allah saya membantu dari belakang,” ujar saya perlahan.
Ngah Jamat bersila rapat merenungi Saidon menumbuk-numbuk
dinding. Dia tidak bercakap sepatah pun untuk menyahut kata-kata saya tadi.
Matanya tidak berkedip langsung.
Lama dia merenung ke arah Saidon tidak berkedip, tiba-tiba
Saidon menjadi lemah. Saidon duduk semula menangis terisak-isak. Dia tidak lagi
garang menerkam dnding seperti mula-mula tadi. Tetapi kepalanya dibasahi darah
yang mengalir dari kuing kudis.
Setelah Saidon tenang barulah Lijah berani mendekati dia
untuk megelap darah yang mengalir dari kuping di kepalanya. Bila disentuh saja
oleh Lijah berkeping-keping daging reput lekat pada kain pengelap.Saya juga
heran dengan penyakit yang dideritai oleh Saidon, kerana sebelum ini tidak
pernah saya melihat penyakit seperti ini.
Tetapi apakah yang mesti diherankan. Allah SWT berkuasa
melakukan apa saja.
Apabila Ngah Jamat sudah berkumat kamit mulut menundukkan
kepala, saya juga memejamkan mata lalu memulakan zikir. Semakin lama semakin
dapat saya rasakan diri saya sudah dapat menghampiri Saidon.
Sehingga saya sampai ke satu kawasan lapang seakan-akan gua
batu yang tidak saya ketahui di mana letaknya. Ketika ini saya dapati Saidon
hanya terbaring tidak bergerak. Manakala seorang lelaki berkepala anjing duduk
menghadapnya. Seluruh badan lelaki berkepala anjing itu dipenuhi kudis dan
kutu. Bulunya sudah banyak gugur seolah-olah anjing kurap saja rupanya.
‘Bunuhlah aku! Bunuh.....” jerit lelaki itu seolah-olah
anjing sedang menyalak.
“Kalau kau nak mati. Matilah!” dia terkejut bila melihat
saya tercegat di depannya. “Mengapa kau siksa Saidon, lepaskan dia pada keluarganya.
Kau sendirilah mati! “ bentak saya memandang tajam ke arahnya.
“Awak orang baru di sini, mana tahu hal,” dia memarahi saya.
“Aku tak peduli hal awak,” sahut saya semakin rapat
kepadanya. “Kalau badan awak sudah dipenuhi pekung, mengapa awak siksa Saidon.
Awak sendirilah tanggung kena pekung seluruh badan.....!” ujar saya menyakitkan
hatinya.
“Awak jangan campur, awak orang baru di sini,” bentaknya
mahu menerkam ke arah saya. Tetapi ternyata dia tidak berdaya mahu melompat.
“Kalau aku campur ?” saya mahu menguji keberanian dia.
“Awak akan susah nanti !” katanya menakut-nakutkan saya.
“Awak sendiri tak larat nak berjalan ...” ejek saya
mengerling dia dalam keadaan susah payah untuk bergerak.
“Aku susah, aku mesti bawa Saidon susah sama,” dia terus memberi
amaran kepada saya.
Saya membacakan Surah
As-Safa lalu menghembuskan ke arahnya. Tubuhnya menjadi mengerekot macam
dipanggang ke api. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Laungnya sama
seakan-akan salakan anjing.
‘Sekarang cakap siapa kau !” herdik saya mengancam lelaki
berkepala anjing itu.
Dia tidak mahu bercakap. Sebaliknya menyalak saya seperti
seekor anjing. Bagaimanapun dia tidak dapat menerkam kerana keadaan tubuhnya
yang dipenuhi kutu serta kudis berkuping-kuping keras.
“Siapa kau ?” bentak saya lebih keras.
Dia tetap tidak menjawap kecuali menyalak seperti anjing.
Dia berligar-ligar juga tidak jauh dari Saidon yang kelihatan terbaring. Di
sekelilingnya dipenuhi dengan nanah yang berbau hanyir sehingga meloyakan anak
tekak saya.
Bila dia engan memberitahu saya membeacakan Surah Al-Ikhlas
tiga kali dan menghembuskan ke arahnya. Terjerit-jerit dia seperti seekor
anjing kesakitan terkongkong-kongkong merebahkan badan ke tanah.
“Aku tau siapa kau sekarang...!” ejek saya menyakitkan
hatinya. “Kau setan yang tak sempurna, sebab itu kepala kau jadi binatang, jadi
anjing...!” bentak saya seterusnya.
Lembaga orang berkepala anjing itu mengolek-golekkan tubuh
ditanah menahan kesakitan. Saya tahu, lembaga itulah yang meresap ke tubuh
Saidon ketika penduduk kampung diganggu orang berkepala anjing. Tetapi
bagaimana Saidon boleh terjerumus jadi demikian?.
“Cakap ! Mengapa kau ganggu Saidon ?” jerkah saya lagi.
Dia mendongak ke atas menyalak nyaring. Seluruh tubuhnya
berkudis itu dipenuhi dengan nanah. Ternyata keadaannya benar-benar parah.
Tetapi penderitaan itu terpaksa ditanggung oleh Saidon juga.
Disebabkan lembaga orang berkepala anjing itu masih juga
tidak dapat bercakap, saya tidak boleh terus menerus menyerangnya. Bagi mencari
jalan mendapatkan rahsia dirinya, saya mula menguatkan zikir Ya Latiff. Saya
memohon doa kepada Allah supaya lembaga orang berkepala anjing itu memberitahu
rahsia sebenarnya. Setelah mendapat rahsia tersebut barulah boleh diusahakan
bagaimana mahu menyelamatkan Saidon dari genggamannya.
Selagi rahsia itu tidak diperolehi, saya tidak dapat
melepaskan Saidon dari kawalannya. Saidon hanya terlentang sahaja tidak
bergerak. Matanya saja terkebil-kebil memerhatikan lembaga orang berkepala
anjing itu berligar-ligar di sampingnya. Saidon tidak berusaha langsung untuk
melepaskan diri dari kawalan lembaga tersebut.
Selepas saya menamatkan zikir ini saya dapat melihat di mana
Saidon mempunyai keinginan mahu belajar dari Ngah Jamat ilmu-ilmu kebatinan.
Tetapi dia tidak berani berterus terang. Bagaimanapun dia sering berdamping
dengan Ngah Jamat. Satu hari dia telah mencuri buku tulisan tangan Ngah Jamat
mengenai jampi serapah dan ilmu perdukunan.
Dengan tidak setahu Ngah Jamat, dia telah menyalin beberpa
amalan yang tercatit dalam buku tersebut. Saidon cekal untuk mengamalkan satu
ilmu boleh bekerja kuat dengan tujuan dia boleh membuat kerja-kerja berat yang
boleh mendapatkan pendapatan lumayan. Tentu dia mudah bekerja kontrak dengan
menerima upah yang tinggi.
Dia pun mengamalkan dengan tidak mendapat bimbingan dari
guru tertentu seperti Ngah Jamat. Apa yang disalin dari buku catitan Ngah Jamat
itu diharapnya akan berhasil memperolehi cita-citanya itu. Inilah kesilapan
besar Saidon melakukan amalan dengan tidak berguru. Setiap amalan seharusnya
mempunyai guru membimbing supaya amalan itu tidak terpesong.
Tetapi Saidon tidak pernah memikirkannya. Baginya setiap
amalan tidak perlu guru, memadai dengan membaca petua-petua seperti yang
dicatitkan. Kira-kira 40 malam dia mengamalkan seperti yang disalainnya dari
buku catitan Ngah Jamat dia merasa seluruh badannya ditumbuhi bulu. Ketika itu
datanglah satu lembaga orang berkepala anjing mengajaknya merayau-rayau ke
dalam kampung.
Setiap malam dia keluar mengikut lembaga berkepala anjing
itu. Lembaga tersebut melatih dia, membimbing dia dan melindungkan dia dari
sebarang ancaman. Sejak itu Saidon tidak lagi mengenal masyarakat kampung.
Dalam masa ini Saidon sudah dapat merasakan dirinya cukup kuat kerana mampu
memikul sebatang pokok sagu.
Malah dia pernah menguji kekuatannya dengan menggegarkan
sebatang pokok kelapa hingga gugur buahnya. Selepas itu yakinlah dia bahawa
amalannya selama ini sudah mencapai kejayaan. Sayangnya dia lupa akan lembaga
orang berkepala anjing yang memimpinnya selama ini sering membawa dia
mengganggu orang-orang kampung pada waktu malam.
Akibat dari gangguan itu orang-orang kampung berkumpul
disurau membaca assin. Kesan dari orang-orang kampung membaca Yassin
beramai-ramai itulah tubuh orang berkepala anjing itu mula dihinggapi kutu
anjing. Akhirnya menjadi gatal serta ditumbuhi kudis seluruh badan.
Ketika dia termasuk perangkap Ngah Jamat, hampir juga dia
dibunuh oleh orang-orang kampong. Mujurlah lembaga tersebut datang
menyelamatkan dan melarikan dia. Bagaimanapun lembaga berkenaan tidak dapat
mengatasi kekuatan Surat Yassin yang dibaca beramai-ramai oleh orang kampung.
Penderitaan lembaga orang berkepala anjing inilah yang dirasakan oleh Saidon
sekarang.
“Sekarang aku dah tahu siapa awak!” kata saya mencabar
lembaga orang berkepala anjing itu.
Dia mahu melompat menerkam saya, tetapi tidak berdaya.
Kulitnya semakin reput dan luruh berkeping-keping ke tanah.
“Kau dah nak mati. Kau tak boleh lawan Surat Yassin yang
orang-orang kampung baca beramai-ramai dulu. Pergilah kau dan tinggalkan
Saidon...” perintah saya mengingatkan dia supaya jangan berkeras.
Dia berpaling ke arah saya. Menyalak seperti anjing garang.
Saya tahu dia pun jenis puaka juga. Dia mencari kesempatan bila diseru oleh
Saidon dulu, dan meresapi semangat Saidon yang berminat sangat mahu menuntut
ilmu-ilmu kebatinan, sekalipun dengan tidak berguru.
Bagaimanapun Saidon mesti diselamatkan. Saya tidak boleh
menyerang puaka itu selagi Saidon tidak dapat
dibawa balik, kerana Saidon juga akan terancam sekiranya saya terus
menyerang puaka orang berkepala anjing itu. Sebab mereka berdua sama-sama sudah
menerima balasan dari Surat Yassin yang dibacakan oleh orang-orang kampung
beramai-ramai.
Itulah saya katakan,
sesiapa yang dapat melihat ke dalam makrifat tentang bagaimana kuatnya ayat
Allah, akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana seksanya syaitan atau kaum
kerabatnya apabila diserang dengan ayat-ayat Quran.
Lembaga orang berkepala anjing ini sudah merasakan derita
akibat Surat Yassin itu. Seluruh tubuhnya ditumbuhi kudis. Dagingnya semakin
reput jatuh berkeping-keping luruh seperti daun-daun kering. Tetapi dia masih
tidak mati. Dia tetap bertahan walaupun bagaimana derita sekalipun.
“Kau dah tak tahan dengan bacaan Yassin dulu...” kata saya
cuba memujuknya mengalah. “Sekarang lepaskan Saidon. Biar dia dijaga oleh
keluarganya...” tegas saya sambil perlahan-lahan meniupkan Fatihah tiga kali.
Semakin dihembuskan Fatihah semakin luruh dagingnya
berkeping-keping. Barulah saya dapat fahami bahawa langkah Ngah Jamat melarang
Saidon memakan daging sesudah sakitnya sembuh dulu, adalah untuk menjauhkan
dari orang berkepala anjing. Sekiranya Saidon dapat semla ke tangannya, dia
tentu membalas dendam kepada Saidon. Bukan lagi bersahabat dengan Saidon
seperti sebelumnya.
Apa yang dialami oelh Saidon sekarang adalah kesan dari
balas dendam lembaga berkenaan. Ertinya kalau dia tersiksa biarlah sama-sama
tersiksa. Saya cuba menjauhkan lembaga tersebut dari Saidon, tetapi dia
seolah-olah tahu maksud saya. Dia tidak mahu bergerak jauh dari sisi Saidon.
Saya boleh menyerangnya dalam keadaan demikian. Bagaimanapun
Saidon tentu terancam sama. Dalam keadaan begini mereka berdua sebenarnya sudah
bersatu. Hanya untuk merenggangkannya menjadi masalah sedikit. Kecuali kalau
Saidon berupaya menentang lembaga tersebut maka bolehlah saya membantu.
Dalam masa saya teragak-agak mencari jalan ini, Ngah Jamat
muncul dari satu kepulan asap putih dari penjuru sebelah kanan. Saya lihat dahi
Ngah Jamat bercahaya memancar-mancar hingga menyilaukan mata lembaga tersebut
melihatnya.
“Dah lama aku bersabar dengan kau.....!” bentak Ngah Jamat
keras. Suaranya bergema sampai mengegarkan bumi tempat lembaga itu berjejak.
“Aku tak cari Saidon, tapi dia yang cari aku...” sahut
lembaga itu terketar-ketar. Suaranya tidaklah berapa jelas kerana seakan-akan
rungutan anjing juga.
“Aku dah suruh kau pisahkan dia !” Ngah Jamat semakin marah.
“Dia cari aku lagi.....” katanya ketakutan.
“Apa pasala kau terima dia, bukankah kau dah berjanji tak
akan menganggu lagi........" jerkah Ngah Jamat bercekak pinggang. Cahaya
dari dahinya semakin bersinar menyilaukan.
Saya lihat lembaga itu terlalu takut melihat kehadiran Ngah Jamat. Tidak seperti semasa berhadapan
dengan saya. Bagaimanpun dia tetap tidak bergerak jauh dari sisi Saidon. Memang
Ngah Jamat juga tidak akan menyerang lembaga berkepala anjing itu selagi dia
tidak menjauhkan diri dari Saidon. Lagipun adalah mustahil mahu memisahkannya
kerana ekor lembaga tersebut bercantum dengan ekor yang tumbuh pada Saidon.
Masaalah itu yang saya perhatikan sejak tadi. Kalau lembaga
itu terus diserang bererti Saidon juga terancam.
Mungkin dengan kedatangan Ngah Jamat ini boleh mengelirukan
lembaga berkenaan. Silauan cahaya di dahi Ngah Jamat mungkin boleh saya gunakan
kesempatan untuk melepaskan cantuman dua ekor tersebut.
“Saidon tak bersalah, dia tak pernah panggil kau !” Ngah
Jamat memberi ingatan keras. “Dia beramal tak berguru, mengapa kau berani
mengaku guru...?” suara Ngah Jamat bergema dan mengerunkan.
Silauan cahaya di dahi Ngah Jamat semakin menganggu
pandangan lembaga tersebut. Dia berpusing – pusing mahu menyembunyikan matanya
dar silauan cahaya itu. Ternyata Ngah Jamat bukanlah sebarang dukun biasa,
tetapi seorang ahli agama yang bermertabat. Tidak salah tekaan saya selama ini
bahawa Ngah Jamat bukanlah sembarangan.
Memang saya sedari silauan cahaya di dahi Ngah Jamat itu
adalah menunjukkan zikirnya yang mantap. Silauan zikir yang mantap itu tidak
akan dapat ditentang oleh syaitan. Mata syaitan akan terbakar tatkala merenungi
dahi orang-orang yang mempunyai zikir yang mantap.
“Kalau kau degil, seluruh keturunan kau akan mengutuk !”
. Ngah Jamat.
Dalam sekelip mata saja beratus-ratus lembaga orang
berkepala anjing menjelma disitu. Semuanya menyalak seperti anjing menghadap
lembaga yang dipenuhi kudis tokak seluruh tubuh itu. Salakkan itu menggerunkan
siapa saja yang mendengarnya.
“Berhenti......!” perintah Ngah Jamat. Semua lembaga orang
berkepala anjing itu patuh kepada perintahnya. Silaun cahaya di dahinya semakin
bersinar memancar-mancar seperti matahari terbit pagi.
Bagi saya tidaklah mengherankan bila Ngah Jamat boleh
memerintah semua lembaga orang berkepala anjing yang beratus-ratus itu. Kalau
dengan doa dan ayat-ayat Allah, Nabi Sulaiman boleh memerintah seluruh makhluk
jin termasuk syaitan, bukanlah mustahil bagi Ngah Jamat melakukan demikian bila
sudah mengamalkan doa-doa tertentu dari ayat-ayat Quran itu.
Tidak menjadi kesalahan kalau kita menggunakan
syaitan-syaitan untuk memerangi syaitan-syaitan yang lain. Sebaliknya kalau
kita bersahabat dan meminta pertolongan dari syaitan, ini adalah bertentangan
dari akidah. Sebab itulah ramai alim ulama tidak membenarkan sangat kita
mempelajari kebatinan Islam, kalau tidak mendalami pengajian Islam.
Sebab itulah saya tercari-cari tentang kebatinan Islam ini.
Tetapi janganlah fikir semuanya dapat dengan mudah, kecuali dengan izin Allah
belaka.
Berbalik kepada cerita Ngah Jamat tadi, saya melihat
beratus-ratus lembaga berkepala anjing sudah mengawal Saidon dari ancaman
lembaga yang penuh ditumbuhi kudis itu.
“Kau yang bersalah, maka kau sendiri mesti menerima
hukuman,” ujar Ngah Jamat memberi isyarat kepada lembaga berkepala anjing yang
lain supaya melepaskan Saidon. “Kau tak akan lepas lagi, kawasan ini semua
sudah dikawal oleh ustaz tu....” kata Ngah Jamat menudingkan jari ke arah saya.
Rupa-rupanya Ngah Jamat sudah pun tahu saya ada di situ.
Dengan ini saya semakin bersemangat kerana saya tidaklah berseorangan
menghadapi lembaga orang berkepala anjing yang mengancam Saidon.
Lembaga itu memang tahu dirinya sudah terkurung, sebab
itulah dia semakin gementar dengan kedatangan Ngah Jamat. Pada mula-mulanya dia
hanya berpura-pura saja mahu menentang
saya, pada hal dia sendiri tahu kekuatannya tidak dapat menandingi kekuatan
ayat Quran yang saya bacakan.
Seperti tidak bermaya lembaga yang dipenuhi kudis itu
mengelak sedikit apabila beratus-ratus kaum kerabatnya yang mematuhi Ngah Jamat
melepaskan Saidon darinya. Dia terjerit-jerit sebaiknya Saidon diambil oleh
kaum kerabatnya lalu diserahkan kepada Ngah Jamat.
Kemudian mengelupur ke atas tanah menahan siksa yang amat
sangat. Selama ini kesakitannya dikongsi bersama oleh Saidon. Tetapi selepas
Saidon dipulangkan kembali oleh kaum kerabatnya kepada Ngah Jamat, dia
menganggung siksa akibat bacaan Surat Yassin itu bersendirian saja.
Ngah Jamat pun menyuruh semua lembaga orang berkepala anjing
meninggalkan tempat itu. Mereka semua mematuhi perintah Ngah Jamat, lalu ghaib
dari pandangan saya.
Selepas itu dia memberi isyarat kepada saya mengajak balik
semula. Dia sendiri yang mengawal Saidon untuk dibawa balik. Kemudian kami
berdua pun berpisah.
Apabila saya membuka mata, saya dapati Saidon sudah
terbaring letih. Manakala Ngah Jamat sedang menghisap rokok daunnya. Dia
tersenyum melihat saya masih lemah.
“Syukurlah ustaz ada membantu....” katanya sambil menghulur
gelas berisi kopi o. Saya tidak menyahut, kerana pengalaman begini hanya saya
dan Ngah Jamat saja yang dapat merasakan. Sedangkan jiran-jiran yang lain tidak
tahu apa-apa mengenai apa yang telah berlaku.
“Insya Allah, abang Saidon akan sembuh kak...” saya
memberitahu Lijah yang masih dalam keadaan sedih.
Keesokkan harinya saya diberitahu oleh Lijah, kudis di
seluruh badan Saidon sudah mulai kering. Tidak ada lagi nanah membengkak.
Bagaimanapun saya terpaksa balik juga setelah tidak disangka-sangka sampai dua
malam di rumah Ngah Jamat.
Alhamdulillah, saya mendapat khabar dari Mat Sitam, dua
minggu selepas itu penyakit Saidon
sembuh betul.
TAMAT
No comments:
Post a Comment