TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
045. MINYAK PENGASIH DIBUAT DARI AIR DAGU MAYAT ANAK DARA
PERJALANAN balik mengikut lebuh raya Karak itu terlalu letih
menyebabkan saya tertidur sebentar. Malam sudah larut kira-kira jam 2 pagi.
Kadir Misai terus memandu walaupun sekali sekala dia terkuap-kuap mmengantuk.
“Kalau mengantuk berhenti dulu..” saya mengingatkan dia.
“Tak apalah ustaz,” sahutnya masih yakin.
“Kita berhenti di tepi jalan dan tidur untuk hilangkan
mengantuk,”saya menyuruhnya supaya tidak terkuap-kuap sepanjang jalan.
“Ah, saya dah biasa ustaz” beritahu Kadir Misai berkeras
mahu meneruskan perjalanan. “ Kadangkala sampai pagi pun saya tahan memandu
kereta ni ...” katanya tidak mahu juga berhenti untuk merihatkan badan
sebentar.
Saya tidaklah berkeras sangat menyuruh dia berhenti. Kalau
dia masih mampu meneruskan perjalanan, apa salahnya. Cuma saya bimbang kerana
dia sudah berkali-kali menguap. Mana tahu terlalai sesaat akibat mengantuk,
boleh menyebabkan buruk padahnya.
Disebabkan Kadir Misai tidak mahu berhenti untuk menghilangkan
mengantuk, saya terus merebahkan kepala ke sandar kereta. Memang saya tidak
tertahan mengantuk lagi.
Semasa dalam perjalanan ke Jerantut, Kadir Misai ada
menceritakan kepada saya, mengenai kisah hidupnya ketika bujang. Dia terlalu
berminat belajar ilmu pengasih sampai sanggup mengambil air dagu anak dara
mati. Kerjanya kata Kadir Misai bukanlah mudah. Tetapi disebabkan terlalu nakal
dia sanggup juga melakukan.
Kebetulan ketika itu dia di Kelantan mengikut bapa
saudaranya. Di situ dia berkenalan dengan seorang pemuda yang mengajaknya untuk
mencari air dagu. Mula-mulanya keberatan juga Kadir Misai mahu mengikut
pelawaan kawannya itu, tetapi disebabkan galakan kawannya itu dia menurut juga
akhirnya.
Memang Kadir Misai suka menuntut ilmu-ilmu kebatinan. Pernah
juga dia belajar dengan seorang Tok Batin di Pahang. Apa yang dipelajarinya
dari Tok Batin itu sudahlah sampai kepada peringkat boleh menggunakan ilmu
tuju. Disebabkan kebolehannya itu dia sudah dipikat oleh seorang gadis Orang
Asli. Akibatnya lelaki lain yang menyintai gadis tersebut telah menggunakan
ilmu tuju kepada Kadir Misai, sehinggalah dinding rumah tempat Kadir Misai
bersandar itu kopak akibat terkena tuju lelaki Orang Asli yang berdendam
kepadanya.
Menyedari ancaman itu Kadir Misai terpaksa membalas serangan
ilmu tuju tersebut. Bila diserangnya lelaki berkenaan tujunya tidak mengenai
sasaran. Terkena pada sebatang pokok durian menyebabkan pokok durian itu mati.
Dengan ini dapatlah difahami oleh kedua-dua pihak bahawa mereka mempunyai guru
yang sama.
Bagi mengelakkan keadaan lebih buruk Kadir Misai pun
mengikut bapa saudaranya ke Kelantan. Dengan tindakan Kadir Misai itu gadis
Orang Asli itu pun melupakan dia, dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki yang
menyintainya itu. Berakhirlah kisah cinta tiga segi itu di situ.
“Orang muda mesti banyak ilmu di dada.” Beritahu Che’ Soh
pada Kadir Misai. “Sebab orang muda banyak cabaran, sebab itu kita mesti
mengisi dada bagi menghadapi cabaran,” kata Che’ Mat Soh berkeras mengajak
Kadir Misai menemui Pak Mat Kelih.
Kadir Misai bersetuju dengan kata-kata Che’ Soh itu. Pada
sangkaannya sebagai anak muda dia harus menuntut apa saja ilmu. Dia tidak
memikirkan sama ada ilmu itu untuk kebaikan atau keburukan.
Tetapi setelah dia berkawan rapat dengan saya, selalu saya
ingatkan Kadir Misai supaya mencari ilmu yang diredahi Allah di dunia dan di
akhirat. Nampaknya dia bersetuju dengan pendapat saya. Malah sejak ayahnya,
Lebai Man memarahi dia kerana terlalu terpengaruh dengan ilmu-ilmu kebatinan
yang tidak berfungsi, Kadir Misai sudah mula membuangkan tabiatnya sedikit demi
sedikit.
Dia menyedari kebanyakan ilmu kebatinan yang dipelajarinya
semua mendekatkan diri kepada syaitan. Semuanya menuju kepada syirik, kerana
sebagai mukmin kita mesti mendekati Allah. Mengapa pula mendekati diri kepada
syaitan untuk menyampaikan sesuatu hajat?.
“Kau akan digilai oleh gasis-gadis cantik bila kita dapat
minyak dagu,” jelas Che’ Soh memberi perangsang.
Tertarik hati juga Kadir Misai dengan cerita kawannya itu.
Dia mula menggambarkan kehidupannya yang akan diuliti oleh anak-anak gadis di
sekeliling pinggang. Semua gadis-gadis cantik akan terpesona melihat dia. Siapa
yang cuba menolak dia akan gunakan minyak dagu sampai gadis berkenaan tunduk
kepadanya.
Gambaran indah inilah yang membuatkan Kadir Msai terpengaruh
dengan ajakan kawannya itu. Dia pun mengikut saja Che’ Soh menemui Pak Mat
Kelih untuk menyatakan tujuannya.
“Kamu mesti buat sendiri....” kata Pak Mat Kelih menerangkan
kepadanya bahawa hanya orang berhajat itu saja mesti melakukannya. Tidak boleh
orang lain melakukannya. Kalau orang lain yang melakukannya maka orang itulah
yang memperolehi kegunaan minyak dagu tersebut.
Terkebil-kebil juga mata Kadir Misai bila mendengar
penerangan Pak Mat Kelih . Pada sangkanya minyak itu boleh didapati dari Pak
Mat Kelih saja, kemudian digunakan kepada mangsanya. Bila memikirkan mahu
mengambil sendiri di kubur anak dara baru meninggal dunia, Kadir Misai mula
terasa seram sejuk.
“Beranikah kamu memanggilnya pada tengah malam pukul 12.....?” tanya Pak Mat Kelih.
“Berani...” sahut Che’ Soh.
Kadir Misai terkejut dengan pengakuan Che’ Soh. Disebabkan
malu kepada Che Soh, dia pun memberi pengakuan sanggup melakukannya.
“Kamu carilah kubur anak dara, dan beritahu aku,” ujar Pak
Mat Kelih.
Mereka berdua menganggok.
Lama juga mereka berdua mendengarkan kalau-kalau ada berita
anak dara meninggal dunia, kerana permintaan Pak Mat Kelih hanya anak dara yang
baru saja meninggal dunia. Tentulah sukar untuk mendapatkan anak dara meninggal
dunia. Kerana sekiranya ada pun orang meninggal dunia, bukanlah anak dara.
Kira-kira lima bulan lepas
itu barulah Che’ Soh memberitahu Kadir Misai mengenai seorang gadis
berumur 14 tahun di kampungnya baru meninggal dunia. Mereka berdua bukan
tergesa-gesa pergi melawat jenazah gadis berkenaan, sebaliknya mereka memberi
perkhabaran tersebut kepada Pak Mat Kelih.
Seperti yang dijanjikan mereka bertiga pun pergilah ke kubur
gadis berkenaan pada sebelah malamnya kira-kira jam 12. Syarat yang dikenakan
pada mulanya ialah menanggalkan semua pakaian. Kadir Misai mengikut saja arahan
yang disuruh oleh Pak Mat Kelih.
Mereka bertiga terpaksa menanggalkan semua pakaian sebaik
sahaja masuk ke kawasan perkuburan. Ketika sampai di tanah perkuburan ribut
kencang telah bertiup dari segenap arah.
Kilat juga sabung menyabung. Memang suasananya mengerunkan
kepada mereka yang berfikiran waras. Tetapi ketika ini Kadir Miai hanya mahukan
sesuatu yang dihajatinya. Dia tidak peduli apa pun yang akan berlaku. Dia hanya
mengikut apa saja diarahkan oleh Pal Mat Kelih.
Hujan turun dengan lebat dengan kilat sabung menyabung.
Angin bertiup kencang menderu-deru. Sebenarnya semua itu adalah perasaan mereka
saja. Kerana keesokkan harinya kata Kadir Misai , tidak ada kesan pun hujan
turun atau ribut kencang di situ.
Pak Mat Kelih kumat kamit mulutnya membaca serapah. Kemudian
dia menghentakkan kakinya di bahagian kepala kubur. Selepas itu dia menyuruh
Kadir Misai dan Che Soh menggali kubur tersebut. Walaupun terasa takut dan
seram, namun Kadir Misai keraskan semangat. Dia terus menggali kubur tersebut
bersama Che’ Soh.
Setelah dapat digali Pak Mat Kelih memerintahkan supaya
mayat berkenaan dibawa naik ke atas. Kadir Misai terpaksa juga melakukannya
sekalipun perasaan seram mulai mengganggui dia.
“Jangan takut, orang dah mati....” dia terdengar Pak Mat
Kelih bersuara dari atas tebing kubur.
Apabila mayat itu sudah dinaikkan ke atas tebing, Pak Mat
Kelih menyuruh Che Soh dan Kadir Misai berundur jauh sedikit. Ketika itu hujan
ribut dan kilat sabung menyabung masih belum reda. Kadir Misai menunggu juga
apakah kesudahannya dengan hati berdebar-debar cemas.
Dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh Pak Mat Kelih
selanjutnya. Hanya dia nampak Pak Mat Kelih dapat menghidupkan bara api
sekalipun hujan ribut begitu kencang. Bara api itu dipasangnya di tempat
membakar kemenyan. Setelah dibakar kemenyan dia menelangkupkan mayat itu sambil
mengurut-ngurut bahagian dagu mayat pada asap kemenyan.
Ketika itu Kadir Misai dapat mendengar jeritan halus di
udara suara seorang gadis menangis kesakitan. Jeritan itu sayup-sayup menusuk
perasaan. Tetapi Kadir Misai tetap menahan gelora perasaannya semata-mata
mahukan minyak dagu yang dikatakan mempunyai khasiat besar sebagai ilmu
pengasih.
Kira-kira setengah jam Pak Mat Kelih mengambil air dagu yang
ditadah dengan botol yang disediakan, barulah dia memanggil Kadir Misai dan Che
Soh supaya mayat tersebut ditanamkan semula. Dua botol kecil saja disediakan
oleh Pak Mat Kelih untuk menadahkan air dagu tersebut, satu untuk Che Soh dan
satu lagi untuk Kadir Misai sendiri.
Mereka berdua menanam semula mayat berkenaan. Mereka
melakukan semuanya hingga tidak ada kesan langsung kubur tersebut sudah digali.
Keadaan mereka tetap bertelanjang bogel semasa melakukan kerja-kerja tadi.
Setelah semuanya siap Pak Mat Kelih tidak membenarkan mereka
berdua menemuinya selama seminggu. Cukup seminggu barulah mereka bertemu semula
dengan Pak Mat Kelih. Botol berisi minyak dagu itu diserahkan oleh Pak Mat
Kelih pada mereka berdua.
Kadir Misai menjadi resah selama tinggal di rumah bapa
saudaranya di Kelantan sejak mendapat botol minyak dagu itu. Setiap malam dia
mendengar tangisan anak gadis merintih-rintih. Akibatnya dia mengambil
keputusan untuk balik saja ke Pahang.
Di kampung keadaan Kadir Misai bertambah gelisah. Kadangkala
menjadi panas menyebabkan tengah –tengah malam dia melenging tidak berbaju. Ini
disebabkan minyak dagu yang disimpannya tidak tertahan kerana ayahnya Lebai Man
seorang yang warak. Ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan syaitan memang tidak
boleh bertahan dengan orang-orang yang kuat mengamalkan kan ilmu agama.
Setiap malam suara tangisan gadis itu jelas kedengaran.
Lebai Man sendiri dapat mendengarkan tangisan tersebut. Hanya membacakan Ayatul
Kursi saja syaitan saja syaitan yang mengawal botol minyak itu tidak boleh
bertahan. Inilah yang menyebabkan tangisan berkenaan boleh didengari. Hingga
akhirnya botol yang diletakkan oleh Kadir Misai di kepala tiang itu jatuh ke
tanah. Mujurlah tidak tidak pecah dan tumpah.
Bila tempatnya beralih semakin kuatlah terdengar bunyi
tangisan tersebut. Lebai Man mengesyaki sesuatu lalu mencarinya dari mana punca
tangisan berkenaan . Akhirnya terjumpalah olehnya botol yang berisi minyak dagu
itu.
“Apa ni Kadir ?” bentak Lebai Man meradang sangat dengan perbuatan
anak mudanya sambil menunjukkan botol tersebut.
Tergagap-gagap Kadir Misai mahu menerangkan kepada ayahnya.
Takut juga dia kalau-kalau rahsianya selama ini di Kelantan terbongkar.
“Cakap...!” jergahnya geram. “Kalau kau nak nikah aku boleh
carikan. Tak payah pakai ilmu pengasih” ujarnya mengenggam erat-erat botol
berkenaan.
Mahu tidak mahu terpaksa juga Kadir Misai menceritakan
kepada ayahnya bagaimana dia mendapatkan minyak dagu itu. Bukan kepalang
marahnya Lebai Man kerana Kadir Misai sudah terpesong dari ajaran Islam.
Perbuatannya menggunakan minyak dagu itu sama juga dengan menyekutukan Allah.
“Aku mahu ke Kelantan. Pulangkan balik minyak ni pada guru
kau !” katanya tegas.
Esoknya juga Kadir Misai terpaksa membawa ayahnya berjumpa
dengan Pak Mat Kelih di Kelantan. Lebai Man meminta Pak Mat Kelih lepaskan
Kadir Misai dari ikatan syarat menyimpan minyak dagu berkenaan . Barulah Kadir
Misai tahu minyak berkenaan mesti diisi dengan darahnya sendiri setiap kali
bulan mengambang. Apabila tidak diisi dengan darah, itulah yang menyebabkan
tangisan gadis itu kedengaran meminta-mintanya.
Melalui Pak Mat Kelih dipulangkan semula minyak tersebut.
Kadir Misai juga tidaklah perlu lagi memenuhi syarat untuk menjamu darah setiap
kali bulan mengambang. Sejak itu Kadir Misai disuruh oleh ayahnya menetap di
Pahang saja. Dia pun tidak tahu bagaimana kesudahan dengan kawannya Che Soh.
Selepas itu dia tidak lagi mendengar Che Soh , mungkin sudah pulang ke Patani.
Sebenarnya menarik juga kepada saya pengalaman Kadir Misai
ini dalam mengejar cita-citanya. Semasa
dia mula-mula bertemu saya dulu pernah juga saya mengatakan mungkin kesan-kesan
menuntut ilmu kebatinan dulu, masih ada pada dirinya.
“Boleh jadi juga ustaz...” katanya tersengih-sengih. “Fasal
saya ni selalu juga panas baran. Mudah sangat nak marah,” ujarnya macam
menyesali sikapnya selama ini.
Saya terkejut bila kita yang dipandu Kadir Misai hampir
terbabas. Cepat-cepat saya menegakkan badan.
“Mengapa ustaz, mimpi ke ?” Kadir Misai mula mengusik.
“Tergamang....” jelas saya perlahan. Hanya perasaan saya
saja kereta itu terbabas. Pada hal ianya meluncur laju membelah lebuh raya
karak itu.
Memang jarang saya mahu tertidur kalau dalam perjalanan
dengan kereta. Sebahagiannya saya mudah tergamang terutama bila kereta membelok
pada selekoh. Bagi mengelak dari
tergamang inilah saya tidak mahu tidur. Tetapi entah mengapa balik saja dari
Jerantut dengan Kadir Misai saya berasa terlalu mengantuk. Puas saya cuba
melawan rasa mengantuk itu, tetapi tidak juga berjaya.
Hinggalah saya tergamang sebentar tadi. Selepas tergamang
itu tidaklah saya tidur lagi.
“Saya ingat ustaz tidur tadi...” ujar Kadir Misai.
“Hemmm, terlelap juga sekejap,” beritahu saya terkeap-kuap.
“Mimpi ?” dia mengusik saya.
“Iya...” jelas saya ketawa kecil. “Mimpi pasal kau simpan
minyak dagu...” kata saya menyebabkan Kadir Misai tertawa terbahak-bahak.
Geli benar hatinya bila saya timbulkan kisah minyak dagu
itu. Memang Kadir Misai tidak dapat
melupakan bagaimana dia mendapatkan minyak dagu tersebut. Kalaulah tidak
disebabkan ayahnya masuk campur tentu dia terperangkap dengan ilmu-ilmu
demikian. Dia terpaksa memberi darah setiap kali bulan mengambang. Takdirnya
terlupa memberi darah maka datangnya suara tangisan yang mengerunkan di tengah
malam.
“Sepatutnya kita mendoakan roh muslimin muslimat supaya
diberi rahmat oleh Allah...” ujar saya perlahan bila mengenangkan perbuatan
Kadir Misai. “Tetapi, kau menyeru roh mereka beserta dengan syaitan,” saya
menyindirnya.
“Ah, itu kisah lama ustaz” jelas Kadir Misai menyesali
perbuatannya di masa lalu. “Saya pun dah lupakan kisah-kisah lama tu...”
katanya.
Saya percaya dengan kata-kata Kadir Misai. Sebab itu dia
lebih suka berkawan dengan saya, kerana pada pendapatnya saya lebih banyak mendorong
dia supaya mendalami ilmu agama. Selalu juga dia mengikiut saya ke Rawang atau
ke Kajang, mengikuti pengajian agama dari beberapa orang guru tariqat.
Kadangkala kalau saya ke Melaka, ke Segamat atau ke Sungai Besar pun dia akan
ikut sama. Sebenarnya saya suka bertukar-tukar fikiran dengan guru-guru agama
di situ.
Kisah Kadir Misai ketika umur belasan tahunnya, bukanlah dia
saja. Memang anak-anak muda demikian satu masa dulu gemar menuntut ilmu –ilmu
demikian. Saya sendiri teringin juga mahu melakukannya, mujurlah nenek saya
dulu memarahinya. Dia tidak mahu saya menuntut kepada orang yang tidak
bertanggung jawab.
Apa lagi Tok Aji membawa saya belajar di madrasahnya. Tok
Aji tidaklah mengawal sangat tindak tanduk saya ketika itu, tetapi entah
mengapa saya terlalu takut kepadanya. Saya tidak berani membuat sesuatu kalau
tidak meminta izin darinya terlebih dulu.
Sebab itu Tok Aji juga terlalu sayang kepada saya. Dia
mengingatkan saya bahawa di dalam Quran itu sudah lengkap, hanya manusia saja
tidak memahami apa yang dikatakan sudah lengkap itu.
Tetapi sepanjang ingatan saya memang Tok Aji ketika hayatnya
tidak pernah berubat di hospital. Dia pun tidak pernah sakit, kecuali demam
biasa. Hanya pada akhir hayatnya dia jatuh sakit selama empat hari. Sehari semalam
dia tidak sedarkan diri. Ketika inilah ayah saya merapatkan mulut ke
telinganya, kemudian melekapkan telinga ke pusat Tok Aji . Beberapa saat
kemudian Tok Aji pun meninggal dunia.
Jadi, berdasarkan Quran yang sudah lengkap itu apakah
perlunya kita menuntut ilmu yang lain dari ajaran Quran? Mengapa kita sanggup
mendapatkan air dagu mayat seorang gadis semata-mata untuk mendapatkan ilmu
pengasih? Sedangkan ilmu pengasih itu terletak di hati kita sekiranya pandai
mengambil hati dan bersedia mengalah dalam beberapa hal nescaya orang akan
kasih kepada kita.
“Pernahkah ustaz masuk hospital? “ tiba-tiba saja Kadir
Misai bertanya.
“Pernah....” jawab saya ringkas.
“Ustaz kena sakit apa ?” tanya lagi.
“Saya tak sakit apa pun, saya melawat orang sakit aje...” beritahu
saya tersenyum.
“Hus, ustaz ni bergurau pula,” Kadir Misai mendengus
mendengar jawapan say aitu. “Maksud saya ustaz masuk hospital kerana sakit...”
tegasnya macam mahu mengetahui samada pernahkah saya mengalami sakit sampai
masuk ke hospital.
“Saya tak pernah sakit teruk, jadi tak pernahlah masuk
hospital...” ujar saya perlahan.
“Kalau takdirnya kena sakit teruk ?” Kadir Misai menduga.
“Itu belum tahu lagi,” jelas saya sudah dapat menduga
maksudnya. “ Masa akan datang hanya Allah saja mengetahui...” kata saya lagi.
Saya sudah duga bahawa Kadir Misai hendak tahu sama ada saya
akan berubat ke hospital kalau mengalami sakit, pada hal saya sering menyatakan
padanya bahawa di dalam Quran juga sudah lengkap ubat-ubatnya. Memang saya
tidak dapat memberi jaminan apa yang terjadi di masa akan datang, tetapi tidak
mustahil penyakit yang banyak didengar zaman moden ini boleh diubati dengan
menggunakan ayat-ayat Quran.
Pernah juga saya mendengar seorang pesakit jantung berlubang
boleh diubat melalui pengubatan menggunakan ayat-ayat Quran ini, sehingga
pernah mengkagumkan pakar di hospital. Apabila saya ditanyakan perkara ini saya
hanya tersenyum.
Mengapa orang bertanya demikian ? Adakah dia ragu-ragu akan
kekuatan AlQuran ?
Saya diberitahu mengenai sahabat yang mengubat pesakit
jantung berlubang seorang kanak-kanak. Sahabat ini pun bukanlah seorang bomoh,
tetapi dia memang mendalam pengajian agamanya . Saya tidak pernah lagi bertemu
dengan sahabat yang diceritakan oleh seorang kawan saya ini, tetapi saya yakin
dengan apa yang telah dilakukannya.
Satu hari seorang kawan sepejabatnya datang membawa anaknya
yang kecil berumur dua tahun. Anak ini kelihatan kurus, pucat dan kukunya sudah
lebam biru. Kebetulan sahabat ini bertemu dengan kawan sepejabatnya itu lalu bertanya mengenai anak kecil itu.
Rakannya itu memberitahu bahawa dia baru saja datang dari
hospital membawa anaknya. Dia dinasihatkan oleh dokter supaya anaknya yang
mengidap jantung berlubang itu dibedah di London. Jadi sebelum sampai tarikh
untuk dibawa ke London itu dia dikehendaki membuat check-up setiap dua mingggu
sekali.
Kebetulan hari itu dia singgah sebentar ke pejabat
sekembalinya dari hospital dengan membawa anaknya bersama. Disebabkan rakan itu
perempuan dan datang bersama suaminya ke pejabat berkenaan sahabat tadi lalu
menawarkan diri mahu merawat kanak-kanak itu mengikut cara pengubatan ayat-ayat
Quran. Suami perempuan itu lantas bersetuju , kerana dia sendiri lebih yakin
dengan perubatan secara demikian.
Sahabat ini telah melakukan pengubatan secara tidur dengan
menggunakan seorang kawannya yang telah diberi latihan. Memang dia dapati
kanak-kanak berkenaan mengidapi jantung berlubang. Tiga hari dia merawat
kanak-kanak berkenaan, kedua suami isteri sudah dapat melihat perubahannya.
Biru lebam pada kuku anaknya sudah tidak kelihatan lagi.
Kanak-kanak itu juga sudah boleh bernafas dengan tenang. Dua minggu kemudian
apabila dibuat check-up di hospital doktor mendapati jantung berlubang itu
sudah bertaup semula. Doktor juga merasa heran lalu bertanya kepada suami
isteri itu apakah yang telah dilakukannya.
Disebabkan terlalu gembira kedua suami isteri itu terlupa
akan janjinya pada sahabat tadi, iaitu
tidak mahu menceritakan telah berubat kepadanya, sebaliknya dia telah
menerangkan kapada doktor berkenaan, mengenai diri sahabat tadi. Doktor itu
tertarik hati dan berharap untuk bertemu dengan sahabat itu. Bagaimanapun
sahabat itu tidak mahu menemui doktor berkenaan, kerana dia tidak bertujuan
mahu mencari publisiti.
Saya setuju dengan sikap sahabat itu. Dan saya yakin dengan
cara pengubatan yang dilakukannya itu. Muga-muga lebih ramai lagi orang yang
dapat memahami pengubatan demikian, kerana ianya bukanlah seperti pengubatan
tradisional yang disalah ertikan oleh kebanyakan orang.
“Ustaz tak yakin dengan ubat hospital ?” tanya Kadir Misai
seterusnya.
“Siapa kata saya tak yakin...?” saya berpaling pada Kadir
Misai. Tidak saya sangka dia bertanya demikian pula. “Sebaik-baiknya kita
mencegah penyakit, bukannya berubat kerana sakit,” kata saya mengingatkan dia.
“Iya, hospital juga tak berjaya mengubati penyakit,” Kadir
Misai terangguk –angguk.
“Hospital juga mahu mencegah penyakit saja, kalau sudah
menjadi wabak, hospital juga tidak jamin boleh menyembuhkan,” ujarnya.
“Sembuh atau tidak sembuh adalah kuasa Allah , manusia hanya
berikhtiar..” tegas saya perlahan. “Hospital juga berikhtiar, bomoh juga
berikhtiar, siapa juga berikhtiar....” kata saya. Sebenarnya saya tidak berniat
mahu persoalkan perkara ini, tetapi Kadir Misai seolah-olah mahu menguji saya.
Saya fikir untuk mengelakkan dari Kadir Misai terus bertanya
adalah lebih baik saya tidur saja. Setidak-tidaknya saya berpura-pura tidur
agar dia tidak dapat berbual-bual.
Beberapa minit saya melelapkan mata, tiba-tiba kereta
tersengguk-sengguk. Cepat-cepat saya bingkas apabila enjin kereta mati.
“Kenapa?” tanya saya keheranan.
“Minyak habis...”
beritahu Kadir Misai lemah.
“Kenapa tak diisi cukup-cukup...” saya kesal dengan kejadian
minyak kereta habis di tengah jalan. Sepatutnya Kadir Misai mestilah
mempastikan minyaknya cukup. Tetapi itu adalah urusan dia, kerana keretanya
sendiri tentulah dia mesti menguruskan.
“Tak perasan pula saya ,” keluhnya kerana tidak mempastikan
minyak cukup untuk balik. “Huh, kacau kita macam ni...” katanya bercampur
bimbang.
Kemudian terpaksalah kami menolak kereta itu ke tepi jalan.
Sambil itu menunggu kalau ada kereta yang lalu untuk meminta pertolongan.
Tetapi puas tersadai di tepi jalan tidak ada pula kereta melintas. Selalunya
lebuh raya Karak ini sampai ke subuh pun ada kereta lalu lalang.
Setidak-tidaknya lori juga banyak lalu di situ.
Jam sudah hampir 3.00 pagi. Saya tidak bercakap apa lantas
merebahkan badan ke kosyen. Biarlah Kadir Misai memerhatikan kereta lalu untuk
mendapatkan bantuan. Di tengah malam begini bagaimana mahu mendapatkan
pertolongan orang. Pemandu kereta mungkin tidak berani berhenti kerana
menyangka orang yang menahannya mahu berlaku tidak baik. Rumah orang pula tidak
ada di situ, kerana kawasan tersebut bukannya kampung.
Puas menunggu di tepi, akhirnya Kadir Misai pun masuk semula
ke dalam kereta.
“Macam mana ni ustaz.....? keluhnya sambil mengetuk jari ke
stering kereta.
Saya mendiamkan diri saja. Kerana saya sendiri tak tahu apa
yang mahu dilakukan. Kelalaian Kadir Misai tidak memeriksa samada minyak kereta
mencukupi atau tidak, menyebabkan kesulitan itu timbul. Kelalaianlah
menyebabkan manusia sering menghadapi kesulitan.
“Agaknya fasal saya banyak bertanya pada ustaz mengenai ubat
hospital tadi tak...?” ujarnya macam menyesali kerana membangkitkan perkara
berubat di hospital dengan tidak berubat di hospital tadi.
“Hah, kau yang lalai tak periksa minyak kereta ...” saya
menafikan sangkaannya yang karut. Perkara kereta kehabisan minyak tidak ada
kena mengena dengan membangkitkan perkara
pengubatan yang saya sebutkan.
“Dan-dan saya cakap tadi, kereta ni habis minyak,” Kadir
Misai mengeluh lagi.
Ketika itu sebuah kereta meluncur laju di jalan. Tidak
sempat Kadir Misai mahu keluar memanggilnya, kereta itu sudah bergerak pantas.
“Huh, malangnya nasib,” dia menghela nafas. “kita tunggu di
luar tak ada kereta lalu, kita masuk dalam kereta, top-top aje ada. Itu pun
lari macam pelecut...” katanya menyumpah-nyumpah.
“Di lebuh raya mana ada kereta lari perlahan,” kata saya
menenangkan perasaan Kadir Misai.
Dia terdiam. Terbayang kegelisahan pada wajahnya. Tidak
disangkanya minyak kereta boleh kehabisan, pada hal selalunya memang mencukupi
sebanyak itu untuk pergi balik.
“Doalah sikit ustaz..” dia macam merayu.
“His, doa apa!” geli pula hati saya dengan sikap Kadir Misai
itu. Soal berdoa ini memang sepanjang masa wajib kita berdoa meminta
perlindungan dan pertolongan Allah. Bukan untuk mendapatkan minyak kereta. Itu
kerja orang suruhan untuk mengadakan itu dan ini. Sebaliknya yang hamba adalah
kita, bukannya Dia.
Lama saya dan Kadir Misai terkebil-kebil mata mengharapkan
ada kereta lalu untuk meminta bantuan. Tidak selepas itu nampaklah sebuah
kereta dari hadapan. Apabila ditahan kereta itu berhenti. Sayangnya dia juga
tidak memberikan pertolongan kerana dia mahu ke Kuantan. Dia bimbang akan
kehabisan minyak pula kalau minyak di dalam tangkinya disedut.
Harapan yang ada ialah kalau lori lalu. Mungkin lori ada
membawa minyak simpanan. Tetapi puas menunggu tidak juga ada lori.
Terfikir juga di hati saya mungkin ada gangguan. Kerana ayah
saya juga pernah diganggu semasa balik ke rumah jam 2.00 pagi . Tiba-tiba saja
lampu basikalnya padam. Kemudian dia memerhati ke atas ternampak olehnya satu
lembaga hitam berdiri di hadapannya terlalu tinggi. Kepalanya seolah-olah
mencecah awan.
Oleh itu cepat-cepat saya keluar dari kereta . Saya
mendongak ke langit memerhati kalau-kalau ternampak lembaga demikian.
Alhamdulillah, tidak ada pula apa-apa yang saya lihat, selain dari awan yang
lebam. Melihatkan saya keluar dari kereta Kadir Misai juga keluar.
Masa inilah saya ternampak lembaga orang sedang mengayuh
basikal mendaki bukit di situ. Setelah dekat saya dapati seorang lelaki tua
berseluar hitam dan berbaju hitam tidak berkatup butang, serta lilit kepala
hitam. Dia turun dari basikalnya apabila nampak kami di situ.
“Hah, kenapa awak?” tanya orang tua itu dalam loghat Pahang.
“Kereta habis minyak aki...” sahut Kadir Misai.
“Macam mana boleh habis minyak...?” dia keheranan kerana
perjalanan jauh selalunya orang memeriksa tangki minyak . “Kawan agak awak ni
lalai” katanya macam menyindir.
“Aki tinggal di mana?” tanya saya pula kerana saya tidak
nampak pun kawasan kampung di situ.
“Jauh lagi di depan tu....” dia memuncungkan bibir.
“Dari mana?” tanya saya lagi.
“Hai, dari rumah anak di Bukit Tinggi...” jelasnya.
Memang Bukit Tinggi tidak jauh lagi dari situ. Tetapi
mengapa pula pukul 3.00 pagi dia melalui di situ dengan basikal. Di mana pula
rumahnya.
“Macam mana awak ni nak balik?” dia tersengih-sengih
memerhatikan kami berdua.
“Kalau boleh biar kawan pinjam basikal aki,” Kadir Misai
merapati orang tua itu.
“Buat apa ..?” tanyanya.
“Nak cari minyak...” sahut Kadir Misai berharap.
“Mana ada kedai minyak di sini “ dia mengeluh pendek.
Lama kami terdiam mencari akal bagaimana mahu mengatasi
masaalah. Tiba-tiba saya lihat orang tua itu turun ke bawah tanah. Kemudian dia
datang semula membawa air dari anak sungai di bawah lurah di dalam daun keladi.
Dia menyuruh Kadir Misai membuka tangki minyak,
lalu dimasukkannya air tersebut.
“Hah, baliklah . Insya Allah” dia tersenyum lalu menepuk
bahu Kadir Misai. “Tapi jangan awak buka
lagi tangki minyak tu...” ujarnya mengingatkan kami berdua.
Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami pun
balik semula ke Kuala Lumpur. Kadir Misai melihat pada meternya memang minyaknya
sudah penuh semula.
Seminggu kemudian Kadir Misai menelefon saya, katanya sudah
seminggu dia tidak mengisi minyak kereta kerana minyaknya masih ada. Dia juga
tidak berani membuka tangki untuk memeriksanya.
Dua minggu selepas itu Kadir Misai bersama isterinya datang
ke rumah saya, dia memberitahu mengena minyak keretanya yang masih belum habis.
Isterinya tidak percaya dengan kejadian yang diceritakan oleh Kadir Misai.
Sebab itulah isterinya mahu mendengar dari saya pula.
“Cubalah tengok dalam sebulan lagi.......” saya memberi
keyakinan kepada isteri Kadir Misai mengena kejadian yang kami berdua alami itu
Setelah sebulan sekali lagi Kadir Misai datang ke rumah saya
bersama isterinya. Katanya sudah sebulan dia tidak mengisi minyak kereta.
Sementara isterinya tidak percaya. Dia percaya Kadir Misai telah mengisi minyak
kereta semasa dia tak ada.
“Kalau begitu tengoklah tangki kereta sekarang.....” ujar
saya.
Kami pun sama-sama membuka tangki kereta Kadir Misai. Dia
hulurkan tali kedalam tangki ternyata kering
kontang tidak ada minyak. Dia masuk ke dalam kereta lalu memeriksa meter,
didapati jarum meter menunjukkan tangki minyak kosong. Isteri Kadir Misai tidak
terkatakan apa, kerana semasa dia datang memang meter itu menunjukkan minyaknya
masih penuh di dalam tangki.
TAMAT
Assalamualaikum
ReplyDeleteada tak smbungan dari siri 47 ke 50
dan siri 52 ke 74?
salam..tak ada..sori
ReplyDelete