Thursday, December 10, 2015

036. HANTU ANJING BUKIT MENGGANAS



TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN

036. HANTU ANJING BUKIT MENGGANAS

Haji Sirat tenang sahaja menerima tentang perkabaran dari anaknya mengenai ANJING kesayangan anaknya itu telah mati ditembak oleh Ketua Kampung.
ANJING Saleh anak kepada Haji Sirat adalah ANJING yang penghabisan dalam kampung ini yang mati ditembak atas kehendak ramai setelah bermuafakat di masjid dua minggu lalu.
Kampung ini sudah tidak ada lagi ANJING. ANJING-ANJING dalam kampung ini telah dikehendaki dihapuskan kerana sebilangan masyarakat dalam kampung ini berpendapat bahawa ANJING-ANJING dalam kampung ini telah dirasuk HANTU.
Memang tidak dapat dinafikan akan perkara ini dari kepercayaan cerita-cerita yang dikabarkan kerana ANJING-ANJING dalam kampung ini semuanya sudah menjadi garang, pantang saja terlepas dari tambatan terus meluru kepada orang samaada tuannya sendiri.
ANJING-ANJING tersebut akan menerkam dan memamah kaki badan sesiapa saja yang menjadi mangsanya. Bukan dapat dilerai dengan senang terpaksalah memukul hampir separuh mati akan ANJING-ANJING tersebut barulah ANJING-ANJING tersebut meninggalkan mangsanya dalam kesakitan dan ada juga yang mengidap bahana dari gigitan tersebut terus membawa mati.
 Hal ini berlaku hampir sebulan yang lalu, dimana Tok Siak Masjid menjadi mangsa yang pertama oleh terkaman seekor ANJING yang terlepas di halaman rumahnya.
Memang selalunya ANJING itu begitu jinak dan Tok Siak atas rasa simpatinya selalu memberi lebih-lebihan makanan pada ANJING itu walaupun dia tidak tahu ANJING itu dari mana datangnya dan siapa yang punya.
 Bukan sahaja ANJING yang kurus dan bulu tengah lehernya sudah lurus dengan kulit yang berkurap itu sentiasa berlegar di halaman rumah Tok Siak yang tidak jauh dari masjid tetapi ianya juga selalu kelihatan berada di mana sahaja budak-budak kecil kampung tersebut berkumpul bermain.
Sejak ANJING tersebut kelihatan berada di kampung tersebut hujan sentiasa sahaja turun, kalau tidak tengah hari, sebelah pagi, kalau tidak sebelah malam, kalau tidak sebelah petang, kalau tak lama sekejap, hujan turun tetap juga turun, ada masanya sampai satu hari satu malam.
Apa lagi keluh kesah masyarakat kampung tersebut yang kebanyakannya menumpukan pencarian pada pokok-pokok getah, bila hujan bagaimana nak menoreh, kalau ditoreh juga alamat toresan di pokok akan ditumbuhi cendawan.
“Aku hairan melihat ANJING ni,” satu hari Tok Siak berbual dengan Haji Sirat di beranda rumahnya, sambil mereka berdua menghadap ke halaman.
Haji Sirat tersenyum, “ANJING siapa tu?”
“Tak tahu” balas lembut Tok Siak.
“ANJING di halaman rumah kau sendiri tak tahu siapa yang punya, dah dua tiga kali aku lihat ANJING tu makan di halaman rumah ni,” beriya-iya juga Haji Sirat menuntut kepastian.
“Saya tengok ia kurus sangat, dengan tubuh yang kurap tu, saya kasian pula, saya beri dia makan mana ada makanan berlebih, tentulah tak salahkan? Walau pun bukan ANJING saya,” Tok Siak menerangkan dengan panjangnya.
Haji Sirat menganggok-anggokan kepalanya tanda setuju dengan pendapat Tok Siak. Wajahnya yang suka tersenyum itu terus tersenyum sambil dia menghulurkan sebatang rokok kepada Tok Siak dia berkata, “ tak ada salahnya kita memberi makan binatang, ia juga makhluk tuhan.”
Tok Siak diam sahaja bila dia melihat tangan Haji Sirat menhulurkan sebatang rokok kepadanya dengan pantas dia bersuara, “maafkan, saya baru semalam membuat keputusan untuk berhenti menghisap rokok.”
Haji Sirat tersenyum sambil meletakkan semula kotak rokok di tangannya ke atas lantai dan rokok yang dihulurkannya kepada Tok Siak tadi terus dihisapnya dan dinyalakannya dengan mancis api.
“Saya berhenti merokok bukan kerana nak simpan duit tapi dada ni dah tak tahan benar dengan batuk tiap-tiap malam terutamanya sebelah pagi” Tok Siak berkata dengan nada yang biasa.
Sementara itu mata mereka terus tertumpu kepada ANJING kurus berkurap yang sedang baring sambil menjelirkan lidah di atas halaman.
“Binatang kalau kenyang begitulah dia,” Tok Siak seperti bersungut berkata dan, “kalau kita manusia lepas makan tu pandai nak cari kerja untuk mendapatkan makanan lagi”
Haji Sirat Cuma tersenyum sahaja sambil menghembuskan asap rokoknya.
“Saya hairan tentang ANJING ni, sudahlah ANJING siapa punya tak tahu, tapi setiap kali aku nak mengambil air sembahyang dia akan cuba menjilat kakiku, puas benar aku menghalaunya,” kata Tok Siak.
“Pasal kau selalu beri dia makan, dia manjalah pada kau,” balas Haji Sirat.
“Tapi bila matahari dah tinggi dia nampak muka pun tidak di sini, masok sahaja waktu sembahyang zuhur dia muncul semula dan cuba nak menjilat kakiku bila aku nak ke perigi, puas aku menghalaunya,” Tok Siak terus bercerita tentang perangai ANJING tersebut.
“Aku tak pernah melihat ANJING tu dulu, baru-baru nilah yang aku nampak kadang-kadang di halaman masjid, kadang-kadang di tepi padang dekat budak-budak sekolah selalu berkumpul.” Haji Sirat pula bercerita sambila matanya tepat memandang pada ANJING yang sedang berbaring di halaman.
Dalam pandangan Haji Sirat dia terasa ada sesuatu yang terasa oleh hatinya pada ANJING tersebut. Ada rasanya dia merasakan gerun memandang ANJING tersebut. Ada masanya pula dia merasa kasihan dan ada masanya pula begitu benci memandangnya.
Inilah yang terdetik dalam hatinya setiap kali dia terpandang pada ANJING tersebut. Sebulan yang lalu Tok Siak telah dikejarkan ke rumah Dukun Berahim kerana direpong oleh ANJING tersebut. Ini berlaku tidak berapa hari saja dari perbualan Tok Siak dengan Haji Sirat di beranda rumah Tok Siak dulu.
Mendengar sahaja kabar tentang anjin tersebut merepong betis Tok Siak dan beberapa lagi liang lika kesan gigitan tersebut, para anak muda kampung itu dengan beberapa orang tua kampung telah keluar memburu ANJING tersebut.
Habis segenap kampung mereka mencari ANJING kurus berkurap yang selalu melepek di halaman rumah Tok Siak yang kemudiannya merepong betis Tok Siak.
Dua hari lamanya mereka mencari ANJING tersebut tetapi tidak mereka temui, siang malam mereka mengintai ANJING tersebut. Mana yang bersenapang tetap mengalas senapang ke mana saja pergi, mana yang tak ada senapang dengan kayu panjang yang ditajamkan hujungnya.
Seolah-olah kampung tersebut dalam keadaan darurat kalau pun tidak mahu dianggap sedang menghadapi serangan musuh dari luar.
ANJING tersebut terus tidak ditemui. Lama-lama penduduk kampung tersebut merasa bosan terhadap ANJING tersebut, tambahan pula Tok Siak sudah baik dari bahana gigitan ANJING tersebut.
Tidak berapa hari selepas itu anak Saleh, cucu Haji Sirat pula direpong oleh ANJING salah seorang penduduk kampung tersebut sewaktu hendak pergi mengaji ke rumah Tok Siak.
ANJING penduduk tersebut hairan sekali tiba-tiba bersikap begitu, kerana selama ini ANJING tersebut memang dikenali salah seekor ANJING yang baik dalam kampung tersebut.
Cucu Haji Sirat diubati juga oleh Dukun Berahim. Dukun Berahim sudah mengesyaki sesuatu yang kurang baik akan berlaku dalam kampung itu tetapi dia cuma menyatakan pada Haji Sirat sahaja.
Dia tidak mahu berita itu tersebar luas sehingga menakutkan masyarakat kampung tersebut. Haji Sirat bersama Dukun Berahim tidak mahu berita itu nanti mengelisahkan penduduk kampung itu.
Selang tidak beberapa hari pula, keriuhan terus menjadi-jadi, bilamana beberapa ekor ANJING dalam kampung tersebut telah memburu beberapa orang perempuan yang pulang dari bersembahyang Isyak di masjid.
Haji Sirat dengan Dukun Berahim sudah tidak boleh lagi mendiamkan sangkaan buruk mereka pada ANJING-ANJING di kampung tersebut lalu berbincang dengan Ketua Kampung, kampong tersebut.
“Kenapa dari dulu tak bilang perkara ini pada aku,” Ketua Kampung dalam keadaan yang kesal bersuara pada Dukun Berahim bersama Haji Sirat.
“Inilah dikatakan baik-baik ANJING,” Haji Sirat berkata.
“Saya bukannya tak nak memberitahu hal ini tetapi takut nanti kampung ini penduduknya gelisah pula,” Dukun Berahim cuba menerangkan pendiriannya.
“Ini bukan perkara kecil, ini satu ancaman yang mesti kita atasi segera,” Ketua Kampung terus bersuara sambil menjeling pada Haji Sirat yang asyik tersenyum tetapi wajahnya memang sentiasa tersenyum.
Mereka bertiga terus diam, masing-masing memikirkan jalan apa yang patut mereka ambil untuk mengatasi ancaman yang datang dari para ANJING di kampung tersebut.
“Ini semuanya datang dari bahana ANJING kurap yang merepong  betis Tok Siak dulu, ini mesti badi ANJING itu berjangkit pada ANJING-ANJING lain di kampung ini,” Dukun Berahim menjelaskan pendapatnya setelah dia melihat dengan ilmu binatang yang dituntutnya dari seorang guru berasal dari Sumatera.
Ketua Kampung terdiam. Fikirannya masih melayang-layang memikirkan tentang kampung yang ditadbirnya ini menghadapi satu bencana yang tidak diduga sama sekali.
Akhirnya mereka bermuafakat untuk perkara ini dibincangkan di masjid pada hari Jumaat akan datang.
Untuk menjelang sahaja hari Jumaat, dua orang lagi kanak-kanak telah direpong oleh beberapa ekor ANJING kampong tersebut.
Tuan-tuan ANJING di kampung itu mulai merasa gelisah dan ada yang telah menambat ANJING mereka dengan kukuhnya dan tidak kurang pula yang memukul ANJING mereka sampai mati kerana terlalu geram pada sikap ANJING-ANJING tersebut yang semakin liar dan menakutkan.
Malam-malam salakan ANJING semakin riuh dengan suara yang berlainan sekali, bagaikan ANJING-ANJING itu menyalak HANTU lagaknya dengan suara yang mendayu dan memanjang sayup-sayup.
Ada suatu yang anih di perhatikan oleh penduduk kampung tersebut ialah tentang suara seekor ANJING dari atas bukit di pinggir kampung tersebut.
Suara itu memang berlainan sekali dari bunyi ANJING biasa menyalak tetapi memang suara ANJING. Salakan sayup-sayup bercampur dengan bunyi seperti orang berkahak di sebelah pagi.
Bila suara ANJING ari bukit tersebut berbunyi, maka ANJING-ANJING di kampung tersebut akan menyahutnya beramai-ramai, mana yang bertambat akan meronta, hendak lepas, mana yang berkurung terus menerpa untuk memecahkan kandang, mana yang ada sedia terlepas terus berlumba-lumba menuju ke bukit tersebut dan esoknya kebuasan akan berlaku kepada penduduk kampung itu.
Kata putus di perbincangan hari Jumaat telah didapati yang mana seluruh penduduk mestilah menghapuskan ANJING-ANJING mereka.
“Saya sayang benar dengan ANJING saya tu ayah,” Saleh berkata pada ayahnya dalam perjalanan mereka pulang dari masjid.
“Apa nak disayangkan, dulu anak kau jadi mangsa ANJING, nanti ANJING kau tu sendiri merepong betis kau pula,” Haji Sirat dalam wajah yang tersenyum beriya-iya bersuara pada anaknya itu.
“Saya tambat sahajalah dengan dawai supaya dia tidak mengharu orang,” bersungguh-sungguh Saleh berkata meminta ayahnya menyokong kehendaknya menyelamatkan ANJINGnya yang begitu bijak bila dibawa memburu, kemudian dia menyambung lagi, “saya nak letakkan ANJING tu di pondok sawah sana.
Haji Sirat diam sahaja sambil kakinya melangkahi parit kecil yang memisahkan perjalanannya dengan perjalanan anaknya untuk pulang ke rumah.
 Semua ANJING dalam kampung tersebut telah dihapuskan, kebanyakan dengan menggunakan tembakan dari senapang Ketua Kampung.
Tetapi penduduk kampung tersebut terus merasa gerun malahan bertambah gerun lagi bila bunyi ANJING bersahutan sepanjang malam antara suara di bukit dengan suara ANJING di kampung tersebut sedangkan mereka mengetahui semua ANJING dalam kampung tersebut telah dihapuskan.
Ketua Kampung meluru datang ke rumah Haji Sirat bersama dengan Dukun Berahim di tengah malam buta dalam bunyi ANJING bersahutan.
“Saya masih tak faham lagi Tuan Haji,” Ketua Kampung dengan nada yang serba salah berkata.
"Macam ni rosaklah kampung kita ni Tuan Haji," tingkah pula Dukun Berahim  dengan wajah yang dalam ketakutan.
“Apa yang nak di khuatirkan benar, perkara ini semua boleh diatasi, cuma ada tidak melakukan apa yang telah kita minta lakukan,” dengan wajah yang senyum seperti biasa Haji Sirat berkata.
“Maksudnya?” Pantas sekali Ketua Kampung menyambut kata Haji Sirat.
“Apa lagi, anak aku si Saleh tidak lagi menghapuskan ANJINGnya,” Haji Sirat berkata dengan nada yang selamba.
“Begitu pula!” Dukun Berahim dalam terperanjat berkata.
“Kenapa begitu?” Ketua Kampung mahukan kepastian dari Haji Sirat. “Dia begitu sayang dengan ANJINGnya itu kerana ANJING tersebut banyak jasanya bila dibawa berburu, banyak mangsa yang telah didapati,” Haji Sirat dengan tenang berkata.
“Penduduk kampung ni akan menjadi mangsanya juga,” Dukun Berahim menekan nada suaranya.
“Hapuskanlah !” Pendek sekali Haji Sirat berkata.
“Serah pada aku menjawapnya, aku yang bertanggung jawab akan hal tu, nun ANJING dia ditambat di pondok sawah sana,” Haji Sirat bagaikan memerintah berkata pada kedua sahabat kampungnya itu sejak dari kecil lagi.
Dalam perjalanan pulang malam itu dari Haji Sirat, Ketua Kampung yang menggalas senapangnya berbincang kecil dengan Dukun Berahim.
“Bukan main sayangnya Saleh pada ANJINGnya itu,” Ketua Kampung berkata.
Dukun Berahim berdehem dan berkata, “macam ayahnya juga Haji Sirat dulu sebelum naik haji bkan main kaki burunya, tidak ada dari ANJING yang dibawanya berburu yang tidak dapat mangsa, walaupun dia tidak memelihara ANJING seekor pun.”
“Sekarang tak nampak langsung dia pergi berburu, tapi ialah perangai manusia dan kelebihannya, dia berburu langsung tidak mengunakan senapang, Cuma dengan buluh runcing sahaja dengan ANJING orang kampung yang di angkut ke hutan, tiap kali pergi berburu tidak pernah tidak mendapat habuan,” Ketua Kampung berkata begitu panjang sekali sementara Dukun Berahim cuba mengiyakan sahaja.
“Sejak pulang dari Haji ni, dia sedar agaknya berburu menggunakan ANJING itu kurang molek,” Ketuam Kampung menyambung perbicaraannya.
“Baru saja pulang dari Tanah Suci, nanti kalau dah lama belum tentu lagi, takut-takut rasa sedap berburu dulu berjangkit semula dan masa itu pasti meragulah dia mencari ANJING,” Dukun Beraim meningkah kata.
Bunyi sahutan dari atas bukit dengan ANJING seekor tinggal di pondok sawah Saleh terus kedengaran dan ada masanya begitu mengerunkan.
“Saya tidak puas hati dengan sikap Ketua Kampung ayah !” Saleh bersuara kasar pada ayahnya bila mendapati ANJING telah mati ditembak malam tadi.
“Kenapa dengan ANJING kau begitu mempertahankan benar, sedangkan keamanan penduduk kampung ini lebih mustahak lagi,” Haji Sirat dengan wajah tersenyum menentang kata-kata anaknya itu.
“Patutnya saya diberitahu dulu akan hal itu,” Saleh terus memperahankan kata-katanya.
“Aku yang menyuruh mereka, aku yang bertanggung jawab,” Haji Sirat meningkah.
“ANJING saya itu bertuah !”
“Kau menampung tuah ANJING dalam hidup kau, berusaha lebih baik dari mengharapkan tuah,” Haji Sirat mula meninggikan suaranya walaupun wajahnya tetap tersenyum.
“Ayah salah pengiraan, betapa selama ini, selama sebelum ayahmenuanaikan Rukun Haji, ANJING saya itu sentiasa sahaja mendapatkan mangsa bila kita berburu,” Saleh merendahkan suaranya bila dia merasakan ayahnya mula meradang.
“Itu aku faham tapi............”
“Kalau ayah dah faham kenapa ayah suruh Ketua Kampung tembak ANJING saya?”
Haji Sirat yang terkenal dengan kaki buru di kampung tersebut malahan pada kampung-kampung yang berhampiran terdiam seketika.
Dalam kepalanya berlegar kini beberapa perkara yang diamalkannya sebelum dia menunaikan Rukun Haji ke Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Bila dia merancang saja untuk berburu , pada malam itu dia akan turun ke rumah seorang diri tepat tengah malam.
Dia akan membakar kemenyan tunggalnya lalu menyeru ke bukit dengan membaca ilmu yang dituntutnya waktu dia berdagang ke Indonesia dulu, masa muda-muda dulu.
Dan bila dia tidur  untuk persiapannya pagi esok, dia akan bermimpi seekor ANJING gemuk datang padanya. Dan semangat itulah nanti yang akan dapat memberi beberapa ekor ANJING penduduk kampung tersebut yang turut mengikut berburu.
“Kenapa ayah diam !”
Haji Sirat terus diam termenung mengenang masa-masa lampau sehingga pada suatu hari seorang guru agama datang kepadanya meminta dia menghapuskan segala dituntutnya.
Perkara ini bukan guru agama itu tahu sendiri, dia yang menyatakannya kerana peristiwa dia di atas bukit di satu ketika berburu.
Dia dengan tidak semena-mena telah dikerumuni oleh beberapa ekor ANJING yang tidak dikenalinya, bukan ANJING yang dibawanya berburu. ANJING-ANJING itu menjelirkan lidah yang panjang beserta dengan bulu panjang yang tegak bagaikan paku  dipacak menerkam kepadanya.
Terpaksalah dia mengibas dengan kain hitamnya, dalam mengibaskan itulah dia diragut oleh salah seekor ANJING tersebut dan ANJING-ANJING lain yang mengerumuninya terus menerkam hendak memamahnya. Puas dia melawan dengan berbagai cara dan membacanya jampi yang diajar oleh gurunya mengenai HANTU ANJING yang dipujanya sebelah malam sebelum pergi berburu tetapi tidak meninggalkan kesan.
Lalu mulutnya terpancut menyebut nama Allah dan sekelip itu juga ANJING-ANJING hilang semuanya kecuali tinggal seekor dengan kurus kering berkurap dan bulu tengkoknya pula telah luruh.
Luka di betisnya telah diubat oleh Dukun Berahim dan Dukun Berahim memberitahunya bahawa dia telah digigit bukan sebarangan ANJING tetapi oleh satu semangat yang menyamar sebagai ANJING di hutan sana.
“Kenapa ayah diam?”
Haji Sirat terus diam.
Saya akan menuntut pada Ketua Kampng akan pembunuhan ANJING saya itu” tegas sekali Saleh berkata pada Haji Sirat.
“Jangan.....!  ANJING kau tidak bertuah, tidak mendatangkan faedah, aku yang tahunya, ANJING yang aku puja dulu yang memberikan faedah bila berburu,” Haji Sirat dengan gagahnya berusaha sambil  menghadap muka anaknya.
“Kau tahu, Dukun Berahim tidak akan berdiam diri dengan rahsia yang pernah aku ceritakan padanya tentang ilmu yang aku tuntut untuk pergi berburu, aku boleh menjelmakan ANJING dengan jalan memuja di sebelah malam, ANJING kau, ANJING dalam kampung ni semuanya sebagai topeng sahaja, sekarang aku sudah buang semuanya itu, aku kembali ke jalan Allah, aku sedar, aku sedar!” Keras sekali suara Haji Sirat berkata.
Tidak berapa lama kampung itu damai dari gangguan ANJING di atas bukit yang selalu berbunyi dulu kerana tiada lagi bersahutan disebabkan ANJING-ANJING kampung telah habis dibunuh.
Sedikit demi sedikit cerita mengenai ANJING tersebut berkait dengan amalan yang ada pada Haji Sirat sebelum dia naik Haji dulu. Haji Sirat sudah tidak segan silu menceritakan perkara itu pada penduduk kampung tersebut terutamanya kepada Ketua Kampung dan Dukun Berahim untuk mereka semua sedar akan jalan yang tidak diizinkan Allah.
Dia juga mengharapkan supaya ANJING tidak dipelihara di kampung tersebut agar semangat ANJING yang dipujanya dulu di atas bukit pinggiran kampung tersebut tidak dapat menjelma ke dalam ANJING-ANJING kampung nanti untuk meracau kerana semangat ANJING itu sudah tidak dijagainya lagi dan akan meracau bila-bila masa jika kampung tersebut ada ANJING.

TAMAT

No comments:

Post a Comment