TOK AWANG NGAH - KOLEKSI CERITA SERAM

Siri Berkelahi Dengan Syaitan – Rintihan Dari Kubur

1. HARIMAU MELOMPAT TENGAH SERAMBI
2. KEPALA TERSANGKUT DIRUMPUN MENGKUANG
3. RINTIHAN DARI KUBUR
4. LEMBAGA GHAIB DI SEBALIK LANGSIR
5. ULAR DALAM KUBUR WANITA

6. LELAKI GIGI RONGAK
7. RINTIHAN DARI KUBUR




 

Harimau Melompat Tengah Serambi

Tergelak besar Wak Samin bila saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian. Bagi mereka di Sumatera terutama di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada mereka, tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyol saja. Sebab itu Wak Samin tergelak besar, kerana pada sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut sebagai tahyol saja.

 
Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampong. Mereka boleh menghilangkan diri dalam sekelip mata saja. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau cinaku ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang tubuhnya kekal sebagai manusia.
 

“Wak tak dengan cerita macam tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal seperti manusia biasa.
“Setahu Wak, harimau cinaku ini berubah menjadi harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.
“Harimau cinaku ni banyak di Jambi ye Wak?” saya cuba menduga.
“Kebetulan saja” ujarnya perlahan.
“Dulu, orang kata orang-orang Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam gelihati dengan tuduhan tersebut.
“Adakah Tok Malim Udoh tu menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.
 

Dia menggelengkan kepala. Malah Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh, sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak berlaku peristiwa yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan kampung halamannya merantau sedemikian jauh.
 

Sebelum datang ke Endau, Wak Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi. Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan malu dengan peristiwa isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri ke Endau. Demikian Tok Aji memberitahu saya mengenani kawannya Wak Samin yang sama-sama menumpang kapal barang dari Dumai menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di Johor.
 

Sementara berkahwin dengan janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak Samin. Ketika ini Tok Aji juga berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.
Pada malam pertama hari perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun bertanya dari mana kampung halaman Wak Samin.
 

“Abang dari Palembang, tetapi menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.
“Abang bukan dari Jambi?” tanya Lisun lagi.
“Tidak…” beritahu Wak Samin keheranan. Hatinya mula tertanya-tanya sama ada isterinya menduga yang bukan-bukan terhadap dirinya.
“Lisun, syak yang tak baik terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung.
“Saya hanya nak tau, kerana orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur. 


Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang Jambi mempelajari ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau. Kebanyakan mereka pula menyalahgunakan kepandaian tersebut, dengan melakukan rompakan dan mencuri harta benda.
“Bukan semua orang Jambi begitu” Wak Samin menerangkan kepada isterinya.
Segala kebimbangan isterinya itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan baik juga.
Wak Samin sudah melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab itu dia lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu biasanya digunakan kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang dari Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’ sebagai menghormati orang yang lebih tua.
 

Kerana mahu melupakan kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan dengan ajaran Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari ingatannya.
Rupa-rupanya orang-orang di Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari Sumatera, bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini meribak dari satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi.
“Mereka takut harimau kerinci…” ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya Wak Samin.
 

Bagaimanapun Tok Aji dapat meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan saja bagi menakutkan orang-orang Semenanjung dengan orang-orang Jambi.
 

Ketika ini ramai orang-orang Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera kerana dipercaya mempunyai ilmu agama yang tinggi. Untuk menyedarkan orang-orang seperti inilah ditimbulkan cerita-cerita seperti ini.
 

Lisun pula tidaklah mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak Samin. Dia sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.
Satu ketika orang-orang di kampung itu diganggu oleh harimau yang membaham kambing-kambing ternakan. Mereka takut dengan gangguan itu, kerana setiap masa ada saja mangsanya. Beberapa kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.
 

Akhirnya lembu ketua kampung sendiri dilarikan oleh harimau. Lembu jantan itu kesayangan ketua kampung Pak Kidam. Oleh itu Pak Kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa yang sanggup membunuh harimau berkenaan. Pak Kidam sendiri mengajak beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan dengan mengesan titisan darah lembu yang menjadi mangsanya.
 

Di antara yang sama mengikut itu termasuklah Tok Aji dan Wak Samin sendiri. Sebagai orang dagang mereka terpaksalah mengambil hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Mereka bersua sama-sama mengesan jejak harimau melarikan lembu itu.
Mereka sampai juga kepada bangkai lembu yang sudah habis sebelah pahanya ditinggalkan pada sebatang pokok. Pak Kidam pun menyuruh membuat pondok di atas pokok bagi menunggu kedatangan harimau mengulangi lagi bangkai lembu berkenaan. Pak Kidam menunggu pada sasaran yang senang dia membedil dengan senapangnya. Seolah-olah dia betul-betul berdendam dengan binatang tersebut.
 

Tok Aji sengaja memilih pondok tempak Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak Samin menunggu pada pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.
Lama juga mereka menunggu sehingga hari malam, tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi mangsanya. Mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang juga semula. Disebabkan terlalu lama menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit abang iparnya sendiri, terasa mahu buang air kecil.
 

Dia malu mahu buang air dari atas pokok itu saja, maka terpaksalah dia turun ke tanah. Ketika dia turun inilah Pak Kidam ternampak dua biji mata mara ke situ. Pak Kidam cepat-cepat menyuruh Jalit naik segera ke pondoknya, tetapi belum sempat Jalit naik semula ke pondok, harimau itu sudah hampir benar.
 

Serba salah Pak Kidam mahu menembak. Kalau tembakannya tidak tepat harimau itu pasti akan menerkam Jalit. Harimau terluka tentu lebih ganas apabila ternampak mangsa.
Disebabkan harimau sudah terlalu dekat, sedangkan Jalit masih belum naik ke atas pondok tempat bertahan, maka Wak Samin pun terjun ke tanah mahu menyelamatkan abang iparnya iaitu abang Lisun. Sebaik saja harimau itu mahu menerkam, Jalit nampak Wak Samin menekan ibu jari kakinya ke tanah menyebabkan harimau itu tidak dapat menerkam.
“Kau nak tunjuk kuat ye!” herdik Wak Samin.
 

Harimau itu seolah-olah meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak. Dia bagaikan terlekat pada tanah tidak boleh menghambur. Ngaumannya juga tidak keluar dari rahangnya, cuma rungutan kecil. Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar seperti termakan cili padi.
“Dengan orang kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan cuba main-main” Wak Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terpaku di depannya.
 

Pak Kidam yang memegang senapang tidak dapat melepaskan tembakan dia. Jarinya seolah-olah kaku tidak dapat memetik trigger. Dia terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba saja melompat ke tanah sebaik saja abang iparnya terperangkap tidak sempat naik ke atas pondok.
“Biadap kau…” tepiknya lantas menampar muka harimau itu sekuat hatinya.
Harimau itu menjerit kesakitan tetapi kakinya tidak terlepas dari bumi. Kaki harimau itu seolah-olah diikat dengan simin ke tanah tidak boleh diangkat langsung.
“Depan Samin, kau jangan nak tunjuk garang” dia menampar sebelah lagi muka harimau itu.
 

Tok Aji nampak apa yang dibuat oleh Wak Samin, kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat. Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak berapa jauh. Tok Aji hanya tersenyum melihat kehebatan kawannya, tidaklah terperanjat seperti Pak Kidam. Malah Pak Kidam sendiri terasa gementar apabila Wak Samin menampar muka harimau itu.
Harimau itu merungut-rungut, tetapi tidak mengaum kuat. Air liurnya meleleh-leleh keluar. Jalit yang tercegat di bawah pokok tempat mereka membuat pondok terkencing dalam seluar kerana terlalu takut. Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat di depan adik iparnya. Kemudian adik iparnya menampar beberapa kali ke muka harimau itu, tetapi sedikit pun harimau itu tidak melawan.
 

Beberapa minit kemudian tidak kedengaran lagi rungutan harimau. Wak Samin berpaling ke belakang dan berjalan mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar ketakutan. Apabila dia meninggalkan harimau berkenaan, tiba-tiba saja tubuh harimau itu berdebap jatuh.
Barulah semua orang di atas pokok turun ke tanah. Mereka memeriksa harimau itu sama ada sudah mati atau masih hidup. Sebenarnya tidak siapa pun berani mendekati harimau itu apabila turun dari pokok. Hanya setelah Tok Aji merapati harimau tersebut sambil menyepak-nyepak punggungnya, barulah orang lain berani.
 

Setelah diperiksa didapati muka harimau lekuk seperti disinggahi pukulan yang terlalu kuar lagi berat berpikul-pikul. Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya remuk. Kalau diamat-amati bekas penampar Wak Samin yang singgah ke muka harimau itu seolah-olah bekas diterjah kayu balak yang besar.
 

“Tak sangka awak boleh menentang harimau Wak Samin” keluh Pak Kidam masih terasa gementar.
Wak Samin tidak menyahut. Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan kepandaiannya. Tetapi kalau dia terlambat, tentulah abang iparnya Jalit menjadi mangsa pula. Harimau itu sudah bersedia untuk menerkam semasa dia terjun ke tanah. Kalau harimau tersebut sempat menerkam tentulah Jalit mendapat cedera parah. Sebab itulah Wak Samin tidak bertangguh terjun ke tanah bagi menyelamatkan abang iparnya.
 

Ketika ini dia tidak memikirkan apa orang kampung akan kata. Boleh jadi orang-orang kampung merasa kagum dengan tindakannya, dan boleh jadi juga mereka takut bila berhadapan dengannya. Itulah pertama kali Wak Samin menunjukkan kepandaiannya. Selama ini dia tidak pernah menunjukkan apa-apa kelebihan kepada masyarakat kampung. Malah Tok Aji sendiri tidak tahu tentang kebolehan Wak Samin menentang seekor harimau liar di hutan.

~yang ni dipau dari blog :http://heysanto.multiply.com ... gmbr2 kulit buku tak ikut urutan siri buku pun..saja letak bg nmpk ganas skit~



KEPALA TERSANGKUT DI RUMPUN MENGKUANG (RINTIHAN DARI KUBUR)

KEGELISAHAN orang-orang kampung di Serting ialah gangguan terhadap ibu-ibu yang baru melahirkan anak. Selalunya mereka akan menghadapi keadaan turun darah kalau dibawa ke hospital. Bagaimanapun kebanyakkan mereka ini masih dapat diselamatkan apabila dibawa ke hospital.

Ibu-ibu yang hendak melahirkan anak semakin bimbang akan mengalami tumpah darah ini, di samping mereka takut pula untuk beranak di hospital. Anehnya, kenapa tumpah darah ini sentiasa berlaku kepada ibu-ibu yang melahirkan anak-anak di kampung ini.

Disebabkan kebimbangan ini Ali Gemuk menemui Pak Hid di Bukit Kelulut bertanyakan masalah yang dihadapi oleh orang-orang di kampungnya. Bagaimanapun Pak Hid tidak dapat menjelaskan kedudukan sebenarnya, cuma dia mengagakkan mungkin ada gangguan dari 'penanggal' atau polong. Sama ada hantu penanggal mahupun polong memang gemar menghisap darah perempuan baru lepas bersalin.

Secara saintifik memanglah tidak dapat digambarkan mengenai polong atau hantu penanggal ini, kerana yang dapat dilihat hanya perempuan yang menjadi mangsa itu terkena tumpah darah. Sedangkan yang sebenarnya hantu penanggal itu sedang menghisap darah hanyir dari ibu yang baru lepas bersalin itu.

Fasal itulah kebanyakan orang-orang di kampung akan menggantungkan duri mengkuang di bawah rumah setentang dengan tempat tidur ibu-ibu yang baru melahirkan anak. Memang duri mengkuang ini menjadi sumpahan kepada hantu penanggal mahupun polong. Mereka tidak akan berani mendekatinya kalau ada duri mengkuang di situ.

“Habis, mengapa kalau bawa ke hospital boleh baik?” tanya Ali Gemuk pada Pak Hid.

“Bau ubat-ubat di hospital itu pun dia tak tahan” ujar Pak Hid perlahan. “Apabila dibawa ke hospital tak payah lagi ubat pun tak apa lagi dah” katanya menjelaskan. Bagaimanapun dia tidaklah bermaksud supaya jangan diberi ubat kepada ibu-ibu yang mengalami tumpah darah itu. Sebenarnya gangguan dari hantu penanggal atau polong itu tidak berani lagi mengikut mangsanya apabila mangsanya itu dipindahkan ke hospital. “Jadi, macam mana kita nak buat Pak Hid?” Ali Gemuk merasa bimbang kerana isterinya sarat mengandung dan hampir akan bersalin.

“Dekat kampung kau pun ada orang yang handal, buat apa jumpa aku?” Pak Hid macam menyindir Ali Gemuk yang terburu-buru mencari dia, padahal isterinya lambat lagi akan bersalin.

Inilah kisah yang berlaku lebih 20 tahun dulu mengenai kejadian yang mengganggu ibu-ibu melahirkan anak menyebabkan mereka dalam ketakutan setiap kali akan melahirkan anak. Ali Gemuk adalah salah seorang yang menghadapi masalah ini sebaik saja isterinya akan melahirkan anak sulung. Malah mengikut pendapat orang tua-tua perempuan mengandung anak sulung inilah yang menjadi idaman hantu penanggal itu.

Nenek saya pernah memberitahu bahawa hantu penanggal ini adalah manusia biasa yang tersalah menuntut ilmu semangat padi. Tujuannya adalah untuk membolehkan padinya berbuah dengan banyak, walaupun sawah yang dikerjakan tidak seberapa. Ilmu semangat padi yang dituntutnya itu berubah menjadi hantu penanggal yang memerlukan darah perempuan yang baru beranak, bagi mengekalkan ilmu semangat padi itu menguasai dirinya.


Sekiranya dia tidak melakukan, maka hantu penanggal yang menguasainya itu akan memakan diri sendiri. Oleh itu asal saja perempuan baru melahirkan anak mudah saja dia dapat mencium hanyir darah berkenaan. Kecuali kalau wanita-wanita itu baru dibawa ke hospital, dia tidak dapat mengekorinya kerana bau ubatan moden ini melemahkan anggota hantu penanggal itu sendiri.

Kisah Ali Gemuk ini diceritakan sendiri oleh anak buahnya kepada saya, kerana semasa kejadian itu berlaku dia sudah pun berumur kira-kira 8 tahun. Dia masih ingat lagi kejadian yang berlaku kepada bapa saudaranya itu.

Saya pernah juga bertemu dengan Pak Hid dua tiga kali, tetapi tidak sempat pula bertanya mengenai kisah Ali Gemuk ini. Lagi pun dia tidak berapa ingat sangat dengan Ali Gemuk, kerana kampung mereka berjauhan. Semasa saya bertemu Pak Hid beberapa tahun dulu, dia kelihatan menangis terisak-isak kalau menyebut kisah-kisah yang dikatakan aneh oleh manusia sekarang. Setiap kali dia menyebut nama Allah, Pak Hid akan tersedu-sedu sampai tidak dapat bercakap.

“Allah boleh melakukan apa saja, tak ada apa-apa yang aneh bagiNya” kata Pak Hid kepada Ali Gemuk. “Dekat kampung kau ada orang yang handal, buat apa kau cari orang tua buruk di Bukit Kelulut ni” dia merendahkan diri apabila Ali Gemuk meminta dia membuat apa-apa tangkal bagi melindungi isterinya.

“Tolonglah bagi apa-apa tangkal pun Pak Hid” Ali Gemuk merayu dengan penuh harapan.

“Aku tak boleh melindungkan isteri kau, tangkal azimat juga tak boleh” mengesat matanya yang mula digenangi air. “Yang boleh kau minta tolong untuk melindungi isteri kau hanyalah Allah” kata Pah Hid lagi.

Sedapat-dapatnya Pak Hid tidak mahu memberi apa-apa tangkal azimat bagi menghadapi gangguan hantu penanggal itu. Dia hanya menyuruh Ali Gemuk melakukan sembahyang tahjud di tengah malam hari di samping memohon kepada Allah supaya dijauhkan sebarang bencana dari menimpa isterinya.

Bagaimanapun dia memberikan doa kepada Ali Gemuk supaya diamalkan selepas sembahyang tahjud itu. Hampalah Ali Gemuk hendak mendapatkan tangkal dan azimat dari Pak Hid, kerana orang tua itu enggan memberikannya. Dari anak buahnya Johar yang menceritakan kisah ini semula kepada saya, memang Ali Gemuk melakukan seperti yang disuruh oleh Pak Hid. Tetapi Ali gemuk memang tahu mengenai diri Pak Hid yang warak orangnya itu. Kebanyakan orang hanya menganggap Pak Hid sebagai orang tidak siuman saja, kerana pakaiannya yang robak-rabek dan bertampal-tampal, di samping suka merungut-rungut sendirian.

Sebab itulah Ali gemuk sanggup mengayuh basikal sampai tujuh lapan batu dari Serting ke Bukit Kelulut, semata-mata mencari Pak Hid.

“Memang Pak Hid nampaknya macam orang tidak siuman saja” ujar Johar bila mengingatkan semula sikap Pak Hid. Kadangkala dia datang minum kopi di Batu Kikir, hanya beberapa minit saja dia duduk, lantas bangun mahu ke Segamat pula. Padahal Segamat dengan Batu Kikir bukanlah dekat lebih 30 batu jauhnya. Tetapi memang orang nampak dia mengayuh basikal menuju ke arah ke Bahau untuk pergi ke Segamat. Sebaliknya lima minit kemudian dia balik semula, untuk menghabiskan sisa kopi yang diminumnya tadi.


“Perangainya inilah yang dikatakan orang tidak siuman. Satu waktu pernah terjadi dia sedang minum kopi di Batu Kikir, tiba-tiba saja dia bangun kerana hendak membeli kuih kuaci di Segamat. Katanya dia teringin hendak memakan kuih dari kedai yang selalu dibelinya kuih kuaci apabila dia ke Segamat.
Disebabkan sudah selalu benar dia berkata mahu ke Segamat membeli kuih tersebut apabila sedang duduk minum di kedai kopi di Batu Kikir itu, orang cam betul-betul waktu yang dia bangun mencapai basikal untuk ke Segamat itu kira-kira pukul 11.00 pagi.

Kira-kira pukul 11.05 minit dia balik ke kedai itu membawa dua butir kuih kuaci yang katanya dibeli di Segamat. Orang yang disuruh menunggu di kedai kuih di Segamat yang dikatakan itu telah balik dalam kira-kira pukul 3.00 petang hari itu memberitahu, memang Pak Hid ada datang ke kedai berkenaan membeli kuih kuaci pada pukul 11.00 pagi hari tersebut. Sejak hari itu barulah orang tidak berani lagi menuduh dia tidak siuman.

Memang terkejut besar orang yang menunggu di kedai di Segamat, kerana selama ini dia merasakan Pak Hid hanya bergurau saja mahu ke Segamat membeli kuih. Tetapi apabila balik dia hanya membawa dua butir saja kuih kuaci. Kalau mahu dikira dari segi logik, adalah terlalu bodoh untuk mengayuh basikal lebih 30 batu semata-mata untuk membeli dua butir kuih kuaci yang harganya cuma 20 sen.

Lagi pun tidak sampai 5 minit pun masa perjalanannya dengan mengayuh basikal tetapi menuju ke satu tempat yang dikira pergi dan balik lebih 60 batu. Sebab itulah orang menganggap dia tidak siuman. Tetapi setelah dapat dibuktikan bahawa kata-kata Pak Hid itu benar barulah orang berfikir, pada zahirnya Pak Hid seperti orang tidak siuman, tetapi apa rahsia di sebalik kelakuannya seperti orang tidak siuman itu hanya Allah saja yang tahu.

“Dari apa yang saya alami mengenai kelakuan Pak Hid ni, memang saya bersetuju dengan Ustaz, bahawa tidak ada perkara yang mustahil kalau Allah izinkan” keluh Johar memberitahu saya. Johar pun memang sudah lama mencari saya, kerana dia mendapat tahu saya pernah ke Bukit Kelulut mencari Pak Hid ini. Apabila bertemu dengan saya, barulah dia bercerita mengenai sikap aneh Pak Hid yang dianggap oleh orang-orang di sekitar kampungnya sebagai tidak siuman itu.

“Macam mana Ustaz tahu Pak Hid ni?” tanya Johar.

“Semuanya kehendak Allah” sahut saya tersenyum. Memang orang merasa heran kenapa saya suka berkenalan dengan orang-orang seperti Pak Hid ini. Bagi saya zahirnya saja tidak boleh diberi penilaian dengan mata hati kita. Saya mencari Pak Hid pun kerana mahu bertanyakan sedikit sebanyak yang kita tidak tahu darinya.

“Saya tanyakan padanya sama ada kenal Ustaz atau tidak” jelas Johar macam mengingatkan sesuatu. “Tetapi, dia kata tak kenal” katanya terangguk-angguk.

Saya tersenyum mendengar penerangan Johar. Memang itulah sikap Pak Hid, kalau ditanyakan padanya sama ada kenal atau tidak orang-orang yang pernah menemuinya, dia akan menjawab, “Ramai yang datang ke sini, mana saya nak ingat”.

Setelah orang ramai tahu tentang keluar-biasaan Pak Hid ini, ada juga orang menjemputnya ke rumah untuk membaca doa selamat. Pak Hid memenuhi jemputan orang berkenaan. Tetapi selepas dia membaca doa selamat, dia pun balik dengan tidak mahu menjamah makanan yang dihidangkan. “Mengapa tuan tak makan dulu?” tanya tuan rumah kebingungan. “Tadi awak jemput saya untuk baca doa selamat, bukan untuk makan” jelasnya dan terus beredar dari situ.

Disebabkan orang sudah tahu bagaimana cara mengajaknya, maka apabila diajak dia kenduri akan disebutkan permintaan untuk membaca doa selamat dan terus makan sekali. Barulah Pak Hid mahu makan selepas dia membaca doa selamat. Tetapi ada juga tatkala sedang makan tuan rumah akan mempersilakan seperti kelaziman yang dibuat oleh orang-orang Melayu di kampung iaitu, “Jemputlah makan tuan, lauknya tak ada, cuma itu saja”.

Tujuan tuan rumah hanya sebagai merendah diri saja, bukanlah apa-apa tujuan di sebaliknya. Setelah mendengar kata-kata tuan rumah itu, Pak Hid akan makan nasi saja dengan tidak mengambil sedikit pun lauk. “Bubuhlah lauk tuan...” tuan rumah akan memperlawanya. “Eh, tadi kata tak ada lauk” sahutnya dan terus menyuap nasi dengan tidak sedikit pun menyentuh lauk.

Selepas selesai kenduri, tuan rumah akan memberikannya wang sepuluh ringgit sebagai budi bahasa kelaziman orang-orang di kampung memanggil orang membaca doa di rumahnya. “Tuan, ambillah sedekah ni” ujar tuan rumah menghulurkan wang sepuluh ringgit.

Dengan pantas dia menepis tangan orang itu sambil katanya, “His, saya tak patut menerima sedekah, badan saya masih kuat lagi bekerja. Yang menerima sedekah ni fakir miskin”. Jadi, kalau memberi dia wang memadai dengan serahkan saja sewaktu bersalam dan jangan berkata apa-apa. Dia akan mengambil sambil menadah tangan bersyukur kepada Allah.

Tetapi ada juga tuan rumah yang memberi wang sambil berkata, “Tuan, ini saya beri tambang-tambang kereta aje”. Tuan rumah sengaja berkata begitu kerana tidak ada tujuan, walaupun dia tahu Pak Hid datang ke rumahnya dengan menunggang basikal.

Pak Hid tidak menolak. Dia akan menerima wang pemberian itu. Biasanya tuan rumah akan memberi sepuluh ringgit selepas selesai kenduri. Dengan kata-kata tuan rumah tadi Pak Hid meninggalkan basikalnya di situ, lantas menaiki bas atau teksi sapu ke rumah di Bukit Kelulut. Kalau tambang bas antara 30 hingga 40 sen, dia akan memberikan kesemua sepuluh ringgit itu dengan tidak mahu mengambil baki yang dipulangkan oleh kondakter bas.

Begitu juga kalau dia menaiki teksi sapu. Pemandu kereta akan mengenakan $1.50 saja, tetapi dia tetap memberikan kesemua sepuluh ringgit yang diberi oleh tuan rumah tadi. Apabila dia sampai di rumahnya, dia akan naik sebentar ke rumahnya, kemudian berbalik semula ke rumah orang yang membuat kenduri tadi untuk mengambil basikalnya semula.

Sekali pandang memanglah nampak kelakuannya seperti orang tidak siuman, tetapi rahsia dirinya hanya Allah yang tahu. Itulah yang diceritakan oleh Johar kepada saya mengenai Pak Hid.
Dan itulah kesan yang diajarkannya kepada Ali Gemuk apabila lelaki itu datang meminta tangkal azimat darinya supaya menghalau hantu penanggal.

Ali Gemuk mematuhi arahan Pak Hid supaya melakukan sembahyang tahjud selama 44 malam sebelum isterinya melahirkan anak. Memanglah terasa sukar pada mulanya untuk bangun tidur waktu malam hari tetapi kerana yakin dengan apa yang diajarkan oleh Pak Hid dia tetap tabahkan hati. Lagipun bersembahyang tahjud memang dikehendaki oleh agama, kerana Allah sendiri menyuruh dibanyakkan berjaga malam untuk beramal ibadat.

Setelah selesai 44 malam dia menunaikan tahjud itu, isterinya belum juga sampai waktu untuk melahirkan anak. Oleh itu setiap lepas maghrib Ali Gemuk membaca Yassin.Begitulah sehinggalah sampai waktu isterinya mahu melahirkan anak. Dengan izin Allah isterinya melahirkan anak dengan mudah, dan tidak merasa sakit yang kuat.

Semasa isteri Ali Gemuk melahirkan anak, Johar anak saudaranya ada bersama di rumah Ali Gemuk. Masa ini Johar baru berumur 8 tahun saja. “Masa tu umur saya 8 tahun je Ustaz, tapi saya masih ingat juga” jelas Johar memberitahu saya.

Isteri Ali Gemuk selamat melahirkan anak pada jam 6.00 petang. Terlalu gembira hatinya, kerana anak dan isterinya selamat. Dia terus mengazankan anaknya sebaik saja diserahkan oleh Mak Bidan. “Tak ada kau cari tangkal apa-apa Li?” emak mertuanya cemas setelah isterinya selamat melahirkan anak itu. Ali Gemuk mendiamkan diri. Dia yakin isterinya tidak akan dapat diganggu lagi hantu penanggal yang menakutkan penduduk-penduduk kampungnya.

“Bukanlah aku dah suruh kau siap-siapkan tangkal tu!” orang tua itu memarahi Ali Gemuk. “Saya dah jumpa dengan Pak Hid” sahut Ali Gemuk menjelaskan. “Pak Hid pula?” soalnya heran. “Pak Hid di Bukit Kelulut...” kata Ali Gemuk perlahan. “Orang tua tak siuman tu” emak mertuanya menyindir sambil mencemikkan bibir. “Apa yang orang tua tu boleh buat, dirinya pun tak terjaga kau nak suruh dia buat tangkal” ujarnya kesal disebabkan Ali Gemuk pergi menemui Pak Hid.

Ali Gemuk tidak menyahut. Dia tahu semua orang-orang di situ hanya mendengar saja mengenai diri Pak Hid yang dikatakan kurang siuman itu. Tetapi mereka tidak pernah mahu mendekati orang tua berkenaan. Bagaimanapun Ali Gemuk hanya mengetahui akan keluar-biasaan Pak Hid ini dari seorang polis pencen di Batu Kikir. Sebab itulah dia sanggup ke Bukit Kelulut sejauh lebih 7 batu semata-mata untuk menemui Pak Hid.

Kira-kira pukul 9 malam, kakak ipar Ali Gemuk terjerit dari tengah halaman menyebabkan seisi rumah kelam kabut. Semua orang yang berada di dalam rumah meluru keluar hinggakan isteri Ali Gemuk yang baru bersalin pun ditinggalkan seorang diri.

“Ada apa esah?” tanya emak mertua Ali Gemuk pada anaknya yang termengah-mengah ketakutan. “Itu apa tu, apa tu dekat rumpun mengkuang?” dia menuding-nuding jari ke arah rumpun mengkuang berhampiran dengan telaga, dengan tidak memalingkan mukanya ke situ.

Semua orang memandang ke rumpun mengkuang berhampiran telaga di tepi sawah. Mereka nampak kepala manusia tersangkut dengan tali perutnya berjurai-jurai melekat pada duri mengkuang. Pada bahagian tali perutnya nampak seperti api berkelip-kelip. Cepat-cepat Ali Gemuk menyuluh dengan lampu suluh ke arah kepala manusia yang tersangkut itu.

“Oh, kau rupanya nak ganggu isteri aku!” jerkah Ali Gemuk meludahkan ke tanah.

Selepas ini barulah emak mertuanya berkejar mendapatkan isteri Ali Gemuk di dalam. Didapatinya anaknya tidak apa-apa. “Ada apa mak?” tanya isteri Ali Gemuk. “Dah datang setan tu. Nasib baik tersangkut pada rumpun mengkuang” rungut orang tua itu. “Syukurlah...” sahut isteri Ali Gemuk. “Tak sia-sialah Abang Ali jumpa dengan Pak Hid tu” katanya setelah diberitahu oleh Ali Gemuk mengenai ajaran yang diajarkan oleh Pak Hid.

Sementara di tengah halaman orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka semua menyaksikan sendiri bagaimana hantu penanggal itu tersangkut pada rumpun mengkuang. Mereka tidak berapa kenal muka kepala siapa manusia itu, kerana ianya bukanlah orang dari kampung tersebut.

“Tak pernah orang dapat memerangkap benda macam ni” ujar Tok Imam Lias sambil menyuruh orang kampung mengambil antan lesung.

Johar cepat-cepat mengambil antan lesung di bawah gelegar rumah. Pada mulanya emaknya menyuruh dia masuk saja ke rumah, tetapi Johar berkeras juga mahu melihatnya. Dia tidak merasa takut untuk menyaksikan hantu penanggal yang tersangkut di rumpun mengkuang itu. Tetapi Ali Gemuk mempertahankan dia. “Anak jantan apa salahnya nak tengok, buat apa takut dengan setan!” kata Ali Gemuk bersemangat.

Tok Imam Lias mengambil antan lesung dari Johar. Dia mengetuk kepala orang yang tersangkut pada rumpun mengkuang itu dengan antan lesung, tetapi kepala itu tidak mengelak. Matanya saja terkelip-kelip melihat lampu suluh yang meyilau ke matanya.

“Macam mana kau kurung setan ni, Li?” tanya Tok Imam Lias berpatah balik semula ke tengah halaman.

“Tak ada saya kurung, cuma saya buat apa yang disuruh oleh Pak Hid” jelas Ali Gemuk.

“Tak usahlah kita bunuh, kita lepaskanlah dia” Tok Imam Lias mencadangkan.

“Saya tak tau macam mana nak lepaskan” sahut Ali Gemuk, kerana dia memang tidak tahu apa harus dilakukan selepas itu.

“Macam tu, kena panggil Pak Hid” kata Tok Imam Lias menasihatkan, “Tak usahlah kita bunuh, dia pun manusia biasa juga. Cuma mengamalkan ilmu sesat” ujarnya kesal.

Emak mertua Ali Gemuk terdengar apa yang dicakapkan oleh Tok Imam Lias. Dia juga teringat akan pengakuan anaknya mengenai Pak Hid yang ditemui oleh suaminya Ali Gemuk. Terasa juga menyesal di hati orang tua itu kerana menuduh Pak Hid tidak siuman.

Baru Ali Gemuk mahu mencapai basikalnya, Pak Hid sudah sampai tersengih-sengih saja apabila melintasi orang ramai di tengah halaman. “Awak nak panggil saya, Ali” tegur Pak Hid memerhati Ali Gemuk sedang menyeret basikalnya. “Tak payahlah panggil lagi, saya pun memang nak ke mari” katanya lagi.

Bertambah heran emak mertua Ali Gemuk, kerana macam tahu-tahu saja Pak Hid yang Ali Gemuk mahu memanggilnya. Orang-orang kampung yang selama ini menuduh Pak Hid tidak siuman pun menjadi heran dengan kejadian yang mereka lihat itu. Hanya baru disebut namanya oleh Tok Imam Lias, dia sudah muncul dalam masa beberapa minit saja.

“Macam mana Pak Hid tahu semua ni?” soal Ali Gemuk keheranan. “Apa pula saya tahu semuanya, saya memang nak kemari” Pak Hid menjelaskan.

“Macam mana isteri kau, dah bersalin?” dia tersengih-sengih saja macam menyindir orang ramai yang keheranan dengan kehadiran dia di situ. “Sudah...” Ali Gemuk mengangguk. “Alhamdulillah” sahutnya tersenyum.

“Tapi, macam mana dengan setan tu?”Ali Gemuk menudingkan jari ke arah rumpun mengkuang. Kepala yang tersangkut di situ terlintuk saja tidak bergerak. Api yang berkelip-kerlap pada tali perutnya yang berjuntai macamkan kelip-kelip yang berterbangan.“Hah setan tak akan dapat melawan ilmu Allah“ ujarnya menggertap bibir.

“Macam ni laa, Pak Hid” Tok Imam Lias menghampiri dia. “Janganlah kita bunuh dia tu, kita lepaskan dia” dia meminta dengan penuh tanggungjawab.

“Terpulanglah pada Ali sendiri” beritahu Pak Hid tersengih-sengih. “Dia yang kurung, biarlah dia sendiri yang lepaskan” katanya mengerling Ali Gemuk. “Saya tak tahu Pak Hid” keluh Ali Gemuk serba salah.

Kemudian Pak Hid menarik tangan Ali Gemuk dan Tok Imam Lias mendekati rumpun mengkuang. Orang-orang kampung juga ikut sama mendekati rumpun mengkuang itu. Ada yang membawa lampu gaslin untuk menyuluh kepala yang tersangkut pada duri mengkuang.

Kepala itu tidak bergerak. Matanya terkebil-kebil memerhati orang ramai yang menontonnya. Perutnya berjurai-jurai dengan api berwarna hingga kawasan rumpun itu juga boleh diterangi oleh api yang ada di tali perutnya. “Sekarang orang kampung sudah kenal kau” kata Pak Hid mengejeknya. “Kalau kau berani ganggu orang lagi, kau takkan dapat melepaskan diri kau!” dia memberi ingatan.

Kepala yang tersangkut itu tidak berkata apa-apa. Matanya saja terkebil-kebil. Memang ada juga setengah dari orang tua-tua kenal kepala tersebut. Tetapi mereka tidak menyangka pula orang yang baik sepertinya sanggup mengamalkan ilmu-ilmu sesat.

“Memang kau nak buat sial...” jerkah Tok Imam Lias. “Mak bapak kau tak mengajar ilmu-ilmu setan, tapi kau sengaja nak memalukan emak bapak sendiri” kata Tok Imam Lias menunjukkan kemarahannya.

Kepala itu tetap tidak berkata apa-apa selain dari matanya saja terkebil-kebil. Mungkin dia terasa malu kerana orang-orang kampung di situ sudah mengenali dirinya. Sekalipun dia datang dari kampung lain yang berdekatan tetapi kepalanya tidak dapat digerakkan.

Sebaik saja isteri Ali Gemuk bersalin bau hanyir darah itu sudah dapat diciumnya. Sebab itulah dia cepat-cepat keluar dari tubuhnya menghisap darah mangsanya. Semasa dia menghisap darah itu memang jelmaan tubuhnya tidak kelihatan, akibatnya pada penglihatan mata zahir mangsanya itu seolah-olah terkena tumpah darah. Kalau mangsanya tidak sedar akan berlakunya perbuatan dia menghisap darah, sudah tentulah mangsanya menemui ajal.

Selepas menghisap darah dia akan balik ke rumahnya dan terus masuk ke dalam tempayan yang berisi cuka bagi mengecutkan perutnya sebelum masuk semula ke dalam tubuh. Apabila dia masuk di dalam tubuhnya adalah terbalik iaitu mukanya ke belakang. Kemudian perlahan-lahan dia akan memusingkan semula mukanya supaya balik ke hadapan. Ketika dia menanggalkan kepalanya untuk keluar dari badan, kedudukannya ialah menelungkup.

Sebab itulah kalau ada orang yang tahu sesiapa menjadi penanggal ini bolehlah menyerbu ke rumahnya dan balikkan tubuhnya supaya terlentang. Jadi apabila dia masuk semula kepalanya akan berpusing dari atas ke bawah. Esoknya akan dapatlah dilihat orang kepalanya berpusing dengan muka ke belakang. Ketika kepalanya tanggal dari badan, memang dia tidak sedar apa-apa kerana dirinya telah dikuasai oleh polong tadi.

“Ali tak mahu berdendam dengan kau” Pak Hid mengingatkan. “Baliklah kau, kerana kau tak akan dapat melawan ilmu-ilmu Allah” katanya mencabar penanggal tersebut.

Pak Hid meminta Ali Gemuk memberikan airnya segelas. Setelah Ali Gemuk memberikan air tersebut, Pak Hid membacakan Al-Fatihah tiga kali, kemudian diikuti dengan Surah Ad-Dhuha.

“Dengan izin Allah saja kau boleh balik semula mendapatkan badan kau” Pak Hid mendoakan. Dia menyimbahkan air di dalam gelas itu sehingga menyinggahi kepala yang tersangkut pada duri mengkuang itu.

Selepas itu barulah kelihatan kepala itu menegakkan kedudukannya. Perlahan-lahan tali perutnya dapat dilepaskan dari cangkukan duri mengkuang. Kemudian dia terbang dan hilang dalam sekelip mata.

“Macam tulah ceritanya, Ustaz” beritahu Johar selanjutnya.

“Kau kenal orangnya?” saya menduga.

“Tak tau, saya tak kenal” ujar Johar mengerutkan dahi. “Lagi pun masa tu umur saya lapan tahun, bukan cam sangat. Tapi memang bukannya orang kampung saya” katanya lagi.

Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala saya menyetujui kata-kata yang ditegaskan oleh Johar itu. Selepas menghabiskan air kopi yang dihidangkan saya pun beredar meninggalkan Johar.




Rintihan Dari Kubur
SEPANJANG lima bulan Daboh dalam kurungan pasung kayu, dia hanya tersengih-sengih saja setiap kali Dukun Sood datang. Kadangkala dia melambai-lambai tangan apabila Dukun Sood membakar kemenyan. Tetapi Daboh akan merungut-rungut sekiranya dia nampak Sarip Kubung tersandar pada tiang tengah.

Dukun Sood sering mengingatkan Sarip Kubung supaya tidak berkasar dengan adiknya itu. Daboh sakit hilang akal, bukannya demam biasa. Dia tidak mengganggu sesiapa, cuma tersengih-sengih saja. Dukun Sood menyuruh dikurung dalam pasung kayu, bukan bimbangkan Daboh mengganggu orang, tetapi supaya dia terkawal tidak dapat merayau-rayau ke sana ke mari.

Bila terlepas Daboh akan berjalan-jalan ke tepi sungai sambil tersengih-sengih. Perempuan-perempuan yang sedang membasuh akan bertempiaran lari bila ternampak Daboh, kerana ketakutan. Sebenarnya Daboh tidak mengusik sesiapa pun. Tetapi disebabkan takut perempuan-perempuan itu lari bertempiaran. Daboh pula akan terlompat-lompat kesukaan melihat perempuan-perempuan itu lari.

Sarip Kubung pula akan menempeleng muka adiknya itu kalau dijumpainya merayau-rayau di keliling kampung. Dia akan mengheret Daboh memaksa adiknya balik semula ke rumah. Kadang-kala menangis juga Mak Leha melihat lutut Daboh berdarah-darah kerana diheret oleh abangnya.

Kira-kira lima bulan Daboh menderita dalam kurungan pasung kayu. Kalau Dukun Sood tidak suruh demikian tentulah lebih teruk Daboh diseksa oleh abangnya Sarip Kubung. Manalah dapat menahan Daboh berjalan-jalan sambil tersengih-sengih memegang sebatang kayu, sedangkan fikirannya bukanlah seperti orang biasa. Dia hilang akal sejak beberapa lama. Puncanya tidak siapa pun tahu. Tetapi seingat-ingat Mak Leha, mula-mulanya Daboh selalu duduk termenung. Dia tidak lagi mengikut kawan-kawannya memburu ke hutan, atau memikat balam, atau mendekut wak-wak. Disuruh makan pun, Daboh tidak mahu. Dia enggan bercakap dengan sesiapa.

Kemudian sedikit demi sedikit perangainya mula berubah. Dia mula bercakap seorang diri, tersengih-sengih dan ketawa sesuka hatinya bila masa saja. Dukun Sood yang dipanggil mengubatnya hanya dapat mengatakan Daboh terkena badi hutan. "Kau tak boleh berkasar dengan adik kau, Sarip." Dukun Sood mengingatkan setelah mendengar cerita Mak Leha bagaimana Sarip Kubung melayani adiknya itu. "Dia tu kena badi, susah nak diubat. Kena bersabarlah kita menjaga dia," nasihat dukun itu.

Sarip Kubung hanya mengangguk kepala. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bersikap kasar dengan Daboh. Tetapi apabila dipujuk baik-baik Daboh tidak mahu mempedulikannya, sebab itulah dia terpaksa berkeras. Kadang-kadang disuruh makan pun Daboh sengaja terberak atau terkencing di dalam pinggan, kecuali apabila disergah barulah dia mahu menurut perintah Sarip Kubung. "Menjaga orang macam ni memang susah" kata Dukun Sood lagi. "Tapi, kita kenalah sabar. Kalau tidak kita menjaga dia siapa lagi hendak diharapkan!" ujar orang tua itu mengingatkan.

Mak Leha memang tidak dapat berkata-kata lagi sejak Daboh jatuh sakit. Sarip Kubung berkahwin, hanya dengan Daboh sajalah dia tinggal di rumahnya. Daboh yang menyara hidupnya selama ini. Kalau patut menoreh getah, Daboh akan pergi menoreh getah. Kalau patut ke hutan mencari manau, damar atau petai, dia ke hutan bersama kawan-kawannya. Kadangkala Daboh memasang perangkap pelanduk, memburu denak, mendekut wak-wak. Memang Daboh anak muda yang rajin bekerja. Susuk tubuhnya gempal berambut kerinting, berkulit hitam manis. Boleh dikatakan dalam kampung itu dia merupakan anak muda yang tampan juga. Kalau ada kenduri kendara selalulah dia bersenda gurau dengan anak gadis di penanggah.

Tetapi semenjak dia jatuh sakit, Daboh berubah sama sekali. Tubuhnya masih gempal tetapi comot selekeh tidak terurus. Baunya hapak kerana jarang mandi. Hanya sekali sekala saja emaknya dapat memujuk menyuruh dia mandi. "Kenapa kau jadi macam ni Daboh!" rintih Mak Leha bila sekali sekala dia tidak dapat menahan perasaan terharunya melihat keadaan anaknya itu. Daboh hanya tersengih-sengih melihat emaknya menangis merintih-rintih. Kadangkala dia menggaru-garu belakang dengan menggosokkannya ke dinding. Atau dia berjalan berligar-ligar di dalam kandang kayu yang dibuat berpasung itu. Daboh tidak akan menyahut apa-apa kalau emaknya merintih-rintih di depannya.

"Nasib kaulah Daboh, kalau pendek umur emak macam manalah kau Daboh" Mak Leha menahan kesedihan yang mengganggu jiwanya. Daboh hanya tersengih-sengih. Dia tidak peduli emaknya merintih-rintih tersedu di depannya.

Sama ada Daboh terkena badi binatang hutan, Mak Leha tidaklah hiraukan sangat kerana dia tahu Daboh memang gemar berburu. Pernah juga dia mengidap sakit telinga berdarah selepas dapat menjerat kijang. Ketika kijang meronta-ronta dia dan kawan-kawannya merebahkan binatang itu ke tanah. Daboh menekan lututnya ke pangkal telinga kijang itu bagi membolehkan Lajis menyembelih. Balik dari hutan itu semua mereka yang pergi seramai 8 orang jatuh demam. Lajis demam kena beguk hingga kedua-dua belah lehernya bengkak. Mat Jol yang memegangkan kaki pula kena bisul pada betis samapai sebulan lebih menghidap bengkak betis. Rasip meracau-racau takutkan orang besar mengganggu setiap kali terlena. Liham pula sakit mata sebulan biji matanya merah tidak boleh melihat. Sanip pula terberak-berak darah menghidap berbulan-bulan. Hendak dikatakan buasir bukannya penyakit buasir, tetapi duburnya terasa seperti luka baru sembuh.

Keenam-enam mereka terkena badi kata Dukun Sood. Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sarip jeran sejeran-jerannya selepas dikatakan badi kijang itu. Baik saja dari sakit mereka tidak mahu lagi berburu binatang hutan. Lajis yang menyembelih kijang terasa lehernya pedih bagaikan dihiris dengan pisau semasa menghidap beguk itu. Kalau beguk biasa dua tiga hari akan sembuh. Atau ianya boleh menjangkit pada orang lain. Sebaliknya beguk yang dihidap oleh Lajis sampai lebih sebulan. Terpaksa Dukun Sood berkebas dengan kain hitam dan mayang pinang. Sementara Mat Jol yang memegangkan kaki, betisnya pula hinggap bisul. Betis itu membengkak sampai sebesar batang pinang. Dukun Sood juga mengubatnya dengan merendang bertih. Hampir sebulan dia mengidap barulah bisul itu meletus hingga keluar nanah bercampur darah pekat.

Rasip cuma duduk saja diatas badan kijang yang sudah rebah ke tanah. Dia tidak melakukan apa-apa. Tetapi apabila balik ke rumah dia kena demam panas seluruh badan. Setiap malam dia merepek meracau-racau takutkan orang besar datang mencekik lehernya. Dukun Sood berkebas dengan kain hitam juga di samping air tujuh geluk dari tujuh kuala sungai dibubuh bunga tujuh warna. Sampai kurus badan Rasip menderita sakit barulah dia pulih semula.

Sementara Liham pula kerana mahu cepat dia menerpa hingga pahanya menghimpit bahagian mata kijang. Mungkin itulah sebabnya dia mengidap sakit mata sebulan lebih. Matanya merah tidak boleh celik kalau berdepan dengan cahaya. Apabila bangun pagi kedua pelupuk matanya seperti kena gam melekat tidak boleh dibuka. Terpaksa pula dibasuh dengan air embun. Kadangkala mata itu pedih seperti dibubuh pasir.

Sanip yang melompat ke atas perut kijang itu berdiri dan menginjak-nginjak supaya binatang itu tidak dapat berkuat terkena pula sakit terberak-berak darah. Semuanya berubat kepada Dukun Sood. Mengikut cerita Dukun Sood memang mereka terkena badi kijang.

Begitu jugalah Daboh yang menghimpit pangkal telinga kijang itu dengan kepala lututnya, menyebabkan telinganya berdarah. Dia merasa menggelegak macam dimasuki lipas. Bila disumbat dengan kapas didapati kapas itu berdarah. "Binatang hutan ada gembala, kalau tak tahu permainan gembalanya nanti kita yang musnah" Dukun Sood mengingatkan mereka supaya jangan lagi memburu binatang hutan. "Yang kuat badinya burung puyuh..." jelas Dukun Sood menasihati anak-anak muda yang ghairah memburu itu. "Yang kedua ayam denak, yang ketiga rusa dan keempat kijang. Nasib baiklah awak semua terkena badi kijang, masih boleh ditolong" beritahunya macam memberi amaran.

Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sanip memang tidak berani lagi sebut perkara memburu di hutan. Tetapi Daboh tetap berdegil. Dia tidak mengalah walaupun dilarang oleh Dukun Sood. Kalau kawan-kawannya tidak mahu ke hutan dia pergi berseorangan saja. Dia akan memasang jerat di tempat biasa dipasangnya. Tidak lama selepas itulah dia selalu duduk termenung tidak ketahuan. Akhirnya berubah menjadi seperti sekarang ini. Dia merayau-rayau ke merata kampung dengan membawa sebatang kayu. Di mana ada pokok dia berhenti lantas bersandar melepaskan penat. Kadangkala dia bercakap seorang diri tidak tentu biji butir.

Bila terserempak Sarip Kubung dia akan berlari terhencot-hencot ketakutan. Abangnya akan menyergah dia menyuruh balik ke rumah. Tetapi Daboh tidak balik ke rumah. Dia lari ke mana saja ikut suka hatinya. Mahu tidak mahu terpaksalah Sarip Kubung berkasar mengheretnya balik ke rumah. Tetapi selepas dikurung dalam pasung kayu, tidak payah lagi Sarip Kubung mengawasi adiknya merayau-rayau ke sekeliling kampung. Dia hanya datang menjengah waktu hendak makan tengahari atau malam. Mana tahu kalau Daboh mengencing dan memberakkan makanannya, kemudian dibancuh-bancuh sebelum dimakan.

Emaknya memang sudah tidak berupaya lagi mahu menjaganya. Orang tua itu mudah menangis melihat perangai anaknya yang berubah sama sekali dari perangai biasanya. Dari seorang anak muda yang tampan, dia sudah menjadi hodoh kerana tidak terurus lagi pakaiannya. Beberapa lama menderita Daboh pun meninggal dunia secara mengejut. Ketika ditemui oleh emaknya, Daboh tertonggeng dengan tubuhnya tersandar pada palang kayu pasung. Mulutnya berdarah dan matanya terbeliak. Kematian Daboh itu seolah-olah terlepaslah beban Mak Leha menjaga anaknya yang sakit hilang akal itu. Dukun Sood hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Daboh, kerana dia tidak berupaya untuk menyelamatkan anak muda itu.

"Inilah sakit badi binatang hutan" keluh Dukun Sood sewaktu jenazah Daboh dibawa ke kubur. "Dia memang degil" Sarip Kubung menjelaskan. "Sudah dilarang jangan pergi mencari barang hutan, dia pergi juga. Tengok Lajis, Mat Jol, Liham, Sanip, Rasip semua dengar nasihat Dukun Sood, hah selamat!" ujarnya seolah-olah menyesali sikap adiknya itu.

"Badi apakah agaknya Tok Dukun?" Lajis mahu tahu tentang peristiwa malang yang menimpa kawan baiknya itu. "Entahlah" dia menggeleng kepala. "Tak taulah pula binatang apa, tetapi biasanya yang keras macam ni ayam denak atau rusa" kata Dukun Sood mengagak-ngagak.




KEPALA GHAIB DI BALIK LANGSIR

Kebimbangan dan ketakutan penduduk-penduduk di kampung di Chenor sudah diberitahu kepada ketua kampung mengenai ada lembaga menceroboh masuk ke dalam rumah, tetapi boleh menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur. Bagaimanapun ketua kampung enggan melaporkan kepada polis kerana perkara itu belum sahih.

Setengahnya mengatakan orang minyak, tetapi mangsa yang pernah diceroboh tidak pula mengatakan orang minyak. Katanya, lelaki biasa berdiri dekat tempat tidurnya, kemudian hilang di sebalik langsir tingkap, sedangkan tingkap masih berkunci rapat dari dalam.

Ketua kampung menyuuh beberapa orang pemuda kampung berkawal malam bagi memerangkap penceroboh berkenaan, tetapi sudah 10 hari mereka berkawal gangguan penceroboh itu masih juga mengancam. Dia sempat naik ke rumah Derih Gagap makan minum sebelum tidur berbaring di sebelah isteri Derih Gagap. Dia telah menanggalkan pakaian Kak Senah, tetapi tidak melakukan apa-apa.

Apabila tersedar dari tidurnya kira-kira jam 11 malam, Kak Senah mendapati pakaiannya sudah dilucutkan, manakala lelaki itu terbaring di sebelahnya terlentang.Disebabkan cahaya lampu pelita samar-samar Kak Senah tidak cam mukanya, sebaliknya dia hanya menjerit saja sekuat hati. Ketika ini Derih Gagap ikut sama berkawal.

Lelaki itu tidak tergopoh-gopoh lari. Dia hanya berjalan longlai kemudian melompat ke atas tingkap. Dia hilang di sebalik langsir tingkap , walaupun tingkap berkunci dari dalam. Kak Senah memang tidak dapat bangun untuk memukul lelaki berkenaan kerana pakaiannya sudah terlucut. Kelam kabut pula dia menarik cadar tilam untuk membungkus tubuhnya.

Kak Senah mengaku dia tidak dicabul oleh lembaga tersebut. Bukan Kak Senah saja, malah Jenab, Mirah, Ibah, Seli yang pernah diceroboh juga mengaku tidak dinodai oleh lelaki yang melucutkan pakaiannya itu. Dia hanya berbaring saja dan lari menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur.

Puas juga ketua kampung memikirkan apakah bencana yang menimpa kampungnya. Untuk dilaporkan pada polis pula, perkara sia-sia saja kerana tidak ada bukti. Malah dia pula akan dimarahi oleh penghulu Mukim kerana seolah-olah mengadakan cerita saja dan mahu menyusahkan pihak polis.

"Ini perbuatan orang biasa " kata Aki Kidam apabila diberitahu oleh Derih Gagap mengenai rumahnya yang diceroboh. "Inilah padahnya menuntut ilmu syaitan , buat saja apa yang disuruh syaitan" dia mencemuh.

"Kalau dapat aku hentak kepala dia" Derih Gagap menggertap bibirnya.

Aki Kidam tersenyum mendengar kata-kata Derih Gagap yang terlalu geram kerana rumahnya diceroboh. Mujurlah isterinya tidak ternoda. Bagaimanapun dia merasa malu juga lelaki itu berani tidur di sebelah isterinya . Kalau lelaki itu berani menunjukkan diri,memang dia akan tumbuk mukanya . Siapa kalah siapa menang dia tidak peduli.

Dia menjadi lelaki dayus kalau membiarkan isterinya ditiduri oleh lelaki lain, sekalipun lelaki itu tidak menodainya. Sebab itulah Derih Gagap meminta nasihat Aki Kidam bagaimana mahu menentang penceroboh tersebut.

"Mau melawan orang gunakan ilmu setan, jangan cepat marah" ujar Aki Kidam mengingatkan dia. " Setan memang suka kita marah, sebab dia boleh melemahkan kalau kita cepat marah" Aki Kidam tersengih-sengih melihat Derih Gagap yang terlalu marah dengan peristiwa isterinya diceroboh oleh lelaki tersebut.

Di rumah Jenab juga berlaku sebelum rumah Derih Gagap dinaiki oleh lelaki berkenaan.
Ketika ini suami Jenab, Safar Iguk ada tidur di sebelahnya. Lelaki itu boleh tidur di sebelah Jenab sedangkan Safar Iguk ada tidur di situ. Safar Iguk hanya terkebil-kebil biji mata melihat lelaki itu melucutkan pakaian isterinya, kemudian tidur di sebelahnya.

Hanya apabila Jenab menjerit barulah Safar Iguk boleh bangun, tetapi sudah lambat bertindak. Dia nampak lelaki itu terjun ikut tingkap. Sebaliknya apabila diperiksa tingkap itu ternyata masih berkunci kuat dari dalam.

"Safar Iguk macam kena pukau, sampai dia tak cam orang tu" rungut Derih Gagap masih tidak dapat menahan sabar.

"Memang dia pakai pukau" sahut Aki Kidam perlahan. "Dia nak mencubakan ilmunya, itu aje" katanya menambah.

"Anjang Hak adalah bagi tangkal" beritahu Derih Gagap menunjukkan kain kuning selebar dua jari kepada Aki Kidam. Aki Kidam hanya mengerling saja kain kuning yang dikatakan tangkal itu. Dia tidak pun mencapai untuk membeleknya.

"Emmm, simpanlah tangkal tu" Aki Kidam menyuruh Derih Gagap menyimpan tangkal yang diberi Anjang Hak itu baik-baik.

Orang-orang kampung semua diberi oleh Anjang Hak tangkal yang bertulis ayat dari Surah Al-Qalam, disuruh pakai waktu tidur. Setelah diberi tangkal oleh Anjang Hak pun, masih juga ada gangguan. Malah rumah-rumah yang pernah dicerobohnya juga dinaiki lagi. Bagaimanapun dia tidaklah mengganggu tangkal yang diikat pada lengan.

"Nampaknya dah melampau ni" keluh Usup Kecih ketika minum di kedai kopi Sidin Bular. "Dah tak dapat ditahan-tahan lagi. Lat-lat dua tiga malam dia menceroboh juga, walaupun kita berkawal" katanya menggertap bibir.

"Hai kita berkawal malam, rumah kita pula dicerobohnya" ujar Derih Gagap menggertap bibir.

"Tak boleh jadi macam ni" sampuk Sidin Bular tercongok tidak jauh dari Derih Gagap. Semua orang kampung bercerita mengenai gangguan ini di mana-mana saja. Perempuan-perempuanlah yang berada dalam ketakutan. Mereka mahu membasuh ke sungai atau ke telaga juga menjadi takut.

Di samping itu cerita mengenai lelaki menceroboh itu berlaku juga di lain-lain kampung seperti Kampung Awah, di Kampung Belawan dan lain-lain. Malah ada orang datang dari Pelangai juga menceritakan juga lelaki seperti itu mengganggu juga di Pelangai dan di Mancis.
Sejauh mana dakwaan itu benar tidak pula diketahui kerana tidak siapa pun yang membuat aduan kepada polis.

"Kita repot aje pada polis" Usup Kecih mencadangkan. "Ketua kampung kata jangan..." cepat saja Derih Gagap menegah. "Kita tak boleh biarkan" gerutu Usup Kecih tidak puas hati dengan ketua kampung tidak mahu membuat aduan kepada polis.

"Saya setuju dengan ketua kampung" sahut Sidin Bular pula. "kalau perkara ini dah lepas ke tangan polis, habis budak-budak tak bersalah pun kena tangkap, kena soal. Orang yang bersalah tetap terlepas juga. Lebih baik kita bersabar untuk menangkapnya" dia terangguk-angguk macam mempertahankan pendirian ketua kampung.

"Sampai habis orang kampung kena perkosa?" Usup Kecih mencemuh. "Takat ni, belum ada yang kena" kata Sidin Bular macam memujuk supaya Usup Kecih bersabar.

Ketakutan seperti ini pernah juga berlaku di kampung Hulu Cenderak di Jelebu dalam Negeri Sembilan. Pernah juga berlaku di Segamat, Johor. Orang-orang di Cangkat Jong di Teluk Intan pun pernah juga gempar dengan cerita-cerita seperti ini. Tetapi semuanya disenyapkan saja oleh penduduk-penduduk kampung hingga akhirnya gangguan itu lenyap begitu saja.

Memang benarlah kata Aki Kidam, mereka yang melakukan perbuatan itu untuk menguji ilmu yang dituntutnya. Apabila amalan itu sudah sempurna mereka pun tidaklah lagi melakukannya. Inilah sebahagian dari ilmu-ilmu yang di dampingi oleh syaitan yang masih menjadi kegemaran orang-orang yang mengejar ilmu kebatinan dengan tidak berpandukan kepada ajaran islam. Demikian kata Aki Kidam semasa berbual-bual dengan saya di pondok buruknya.

Aki Kidam memberitahu saya peristiwa yang berlaku ketika dia tinggal di Chenor dulu memang diketahui siapa yang melakukannya. Tetapi orang-orang kampung tidak tahu siapa yang melakukan kerana orang berkenaan bukan dari kampung tersebut. Setelah dapat ditangkap oleh Aki Kidam, dia melepaskan semula pemuda berkenaan.
Sejak itu tidaklah berlaku lagi gangguan menceroboh rumah orang di situ.

"Buat apa Ustaz nak tanya hal-hal macam tu, Aki rasa Ustaz lebih banyak mengetahui" dia enggan menceritakan kepada saya bagaimana dia boleh menangkap pemuda yang menceroboh itu.

"Saya ni mencari-cari saya tak mengetahui" balas saya perlahan. Kadang-kadang saya malu bila orang tua-tua seperti Aki Kidam ini menganggap saya lebih mengetahui darinya, padahal orang-orang kampung semua tahu mengenai kebolehan dia selama ini.

Memang saya sudah mengenali Aki Kidam sejak dia berpindah ke situ. Ketika tingal di Chenor, Pahang katanya dia bertukang kayu. Tetapi selepas uzur dan tidak berupaya lagi membuat kerja-kerja berat, Aki Kidam berpindah ke kampung yang didiami sekarang. Dia berpindah ke situ kerana mengikut anak saudara isterinya, dan dia sudah pun membeli sekeping tanah sawah di situ.

Jadi, dia menceritakan kisahnya di Chenor itu pun, kerana saya mendesak sangat mahu mendengar kisah dia berjaya menghindar bencana tersebut. Anak Derih Gagap yang berkawan dengan saya di Kuala Lumpur itu memberitahu saya mengenai peristiwa tersebut. Dan dialah memberitahu mengenai Aki Kidam yang didengarnya khabar sudah berpindah ke kampung yang kami tujui itu.

Dengan adanya Tumin anak Derih Gagap tidaklah dapat Aki Kidam menyembunyikan kisah dia di Chenor dulu. "Inilah Tumin, Aki. Tumin ini anak Derih Gagap yang Aki tolong tu" jelas Tumin mengingatkan dia.

Disebabkan Tumin ada bersama saya, mahu tidak mahu Aki Kidam mengakui juga yang dia bertanggunggjawab menangkap pemuda yang melakukan perbuatan menceroboh rumah orang itu. Mula-mula Derih Gagap mahu memenggal leher pemuda berkenaan, tetapi dilarang oleh Aki Kidam. Itulah syaratnya kalau mahu pertolongan dari Aki Kidam.

Setelah orang-orang kampung kelam kabut dengan bencana menimpa mereka, Derih Gagap bersama ketua kampung menemui Aki Kidam yang pada masa itu bertukang membuat rumah. Satu hari kakinya telah terpijak paku menyebabkan kakinya membengkak dan tidak dapat dipijakkan. Aki Kidam mengambil minyak kelapa yang direndamkan dengan paku, kemudian dia mendoakan sesuatu. Lepas itu disuruhnya gosok pada bahagian ditusuk paku itu. Sebaik saja disapu minyak tersebut Derih Gagap boleh memijakkan tumitnya semula. Sakit pada bahagian ditusuk paku itu juga berkurangan. Tiga hari kemudian luka tusukan paku tidak menyakitkan lagi.

Sejak itulah Derih Gagap sering menemui Aki Kidam kalau dia sakit atau memerlukan doa orang tua itu.

Ketua kampung bersetuju dengan cadangan Derih Gagap untuk menemui Aki Kidam. Dalam pertemuan itu ketua kampung juga bersetuju dengan syarat yang diberi oleh Aki Kidam supaya tidak memberitahu orang kampung, apakah yang harus dibuatnya. Sementara itu dia menyuruh semua orang memakai tangkal yang diberi oleh Anjang Hak.

Malah apa yang disuruh buat oleh Anjang Hak juga mereka lakukan seperti yang diingatkan oleh ketua kampung. Mereka dikehendaki merentang benang hitam pada tiap-tiap tingkap dan pintu. Kata Anjang Hak sekiranya orang itu menceroboh juga dia akan dapat dilihat, ilmu ghaib tidak akan menjadi lagi. Lebih sebulan mereka melakukan seperti yang disuruh oleh Anjang Hak iaitu merentangkan benang hitam pada pintu dan tingkap, sejak itu lenyaplah cerita lelaki menceroboh itu.

Setahu orang-orang kampung usaha Anjang Hak itulah yang membantu mereka menghindarkan malapetaka itu. Rahsia sebenarnya hanya diketahui oleh ketua kampung dan Derih Gagap. Mereka berdua teguh memegang janji dengan Aki Kidam supaya tidak memberitahu mengenai usaha Aki Kidam itu kepada orang-orang kampung.

Sudah berpuluh tahun berlalu barulah Derih Gagap menceritakan pada anaknya Tumin. Dialah berpesan kepada Tumin supaya menjengok-jengok orang tua itu kalau masih hidup. Puas juga Tumin mencari barulah ditemuinya orang tua itu. Dia pula mengajak saya menemui orang tua tersebut, kerana dia tahu saya sangat gemar menemui orang tua seperti Aki Kidam ini.

Aki Kidam sudah dapat mengagak bahwa kekacauan di kampung tempat dia menumpang itu dilakukan oleh orang yang baru mencuba amalannya. Walaupun setakat itu lelaki berkenaan belum melakukan kejahatan, tetapi ianya amat membimbangkan orang-orang kampung.

Memang Aki Kidam tahu bahwa amalan itu tidak boleh mencabul kehormatan mangsanya. Dia hanya dikehendaki melucutkan pakaian mangsanya dan berbaring di sebelahnya beberapa ketika sehingga mangsanya terjaga dari tidur. Jika itu berjaya dilakukannya barulah amalannya dikira berjaya sepenuhnya.

Bagi Aki Kidam amalan itu bukanlah asing kepadanya. Malah dia juga pernah melakukannya, tetapi tidak mahu diteruskan kerana diketahuinya bertentangan dengan ajaran islam. "Ilmu ini tidak memberi manafaat, kecuali untuk tujuan jahat dan ditunggang oleh setan" katanya menyesali perbuatan pemuda itu.

Kelebihan pada pemuda itu sudah dapat dirasakan oleh Aki Kidam. Di mana saja ada bahagian yang boleh lulus angin, maka di situlah dia boleh masuk. Oleh itu tidak semestinya dia masuk melalui tingkap atau pintu saja. Pemuda itu itu boleh masuk ke dalam rumah melalui celah-celah dinding juga.

"Tetapi tiap-tiap ilmu setan, ada kelemahannya. Kita mesti cari tempat lemahnya" jelas Aki Kidam.

Dia tidak menerangkan di mana kelemahan yang mesti dicari. Tetapi setakat ini memang Derih Gagap tahu bahawa rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu oleh lelaki tersebut. Malah semasa orang-orang kampung heboh dengan pencuri, rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu. Pernah juga Usup Kecih mengesyaki perbuatan Aki Kidam, sebab itulah rumahnya tidak diganggu.

Aki Kidam hanya mengajak ketua kampung dan Derih Gagap saja berkawal malam. Orang-orang lain hanya disuruh menunggu rumah masing-masing saja setelah mendapat tangkal dari Anjang Hak.

Malam pertama mereka bertiga berkawal, tidak ada tanda lelaki berkenaan masuk menceroboh. Ketua kampung dan Derih Gagap dibawa oleh Aki Kidam berjalan di sekeliling kampung, dan menunggu di jalan masuk ke kampung itu. Setelah jam 12 malam Aki Kidam mendapati tidak ada apa-apa tanda. Dia pun mengajak kedua-dua rakannya itu balik saja.
Tiga malam berkawal masih belum ada tanda-tanda yang diagak oleh Aki Kidam. Dalam masa tiga malam itu juga tidak ada orang yang gempar kerana diceroboh.

"Agaknya dia dah tahu kita berkawal" bisik Derih Gagap. "Boleh jadi juga" Aki Kidam mengangguk. Orang seperti itu memang ada gerak sendiri. Sekiranya dia mendapati nahas di pertengahan jalan, dia tidak akan meneruskan perbuatannya. Dia akan menunggu orang-orang kampung terlalai barulah dia bertindak semula.

"Aki kena usahakan juga, hindarkan dia dari mengganggu" ujar ketua kampung gelisah dengan bencana yang menimpa kampungnya. "Kalau tak dapat kita halang, orang-orang kampung tak senang nak buat itu dan ini" katanya dengan penuh harapan.

Aki Kidam menggigit ibu jarinya macam memikirkan sesuatu, tetapi sebenarnya ada petua dia lakukan demikian. "Kita lorongkan dia ke rumah kau ajelah Derih" Aki Kidam tersengih-sengih.

Mula-mula Derih Gagap gelisah juga dengan permintaan Aki Kidam itu. Mana tahu pemuda itu lebih dari Aki Kidam. Orang jahat mesti ada muslihatnya sendiri untuk melepaskan diri. Tetapi kerana nekadnya untuk mengetahui apakah kesudahan penceroboh itu dia bersetuju dengan apa sahaja cadangan Aki Kidam.

Mereka bertiga menuju ke rumah Derih Gagap. Samapai di kepala simpang Aki Kidam menghentakkan tumitmya tiga kali ke bumi, kemudian barulah mereka terus ke rumah Derih Gagap. Dia menegah Derih Gagap dari membangunkan isterinya, sebaliknya dia menyuruh Derih Gagap duduk di bawah rumah bersetentang dengan tempat isterinya tidur. Manakala ketua kampung duduk di bawah serambi.
Derih Gagap nampak Aki Kidam mengelilingi rumahnya dengan mengguriskan kelengkeng ke tanah, sebanyak tiga kali pusing. Apakah yang dibuatnya mereka berdua tidak tahu. Lepas itu barulah Aki Kidam masuk ke bawah rumah di bahagian dapur. Sebelum itu dia berpesan kepada dua orang rakannya itu jangan buat apa-apa kalau terlihat sesuatu, kecuali apabila dia memberi isyarat supaya keluar dari bawah rumah.

Kira-kira 1 jam mereka bertiga tercangkung di bawah rumah, barulah Derih Gagap terdengar bunyi orang mendehem. Pada mulanya dia menyangka Aki Kidam. Begitu juga ketua kampung, dia menyangka Derih Gagap yang mendehem. Marah juga dia pada Derih Gagap kerana melanggar arahan Aki Kidam supaya jangan berbunyi sedikit pun.

Tetapi jelas bunyi orang mendehem itu jauh di luar kawasan rumah. Kemudian dehemnya lebih kuat kerana sudah dekat dengan kawasan rumah. Lepas itu terdengar pula bunyi pasir diserakkan ke atas bumbung rumah itu sebanyak tiga kali. Tetapi Derih Gagap belum melihat sesiapapun melakukan perbuatan itu. Bagaimanapun dia tetap memegang teguh amaran Aki Kidam supaya jangan berbunyi sedikit pun kalau terdengar atau terlihat sesuatu yang ganjil.

Dia memerhati ke arah bawah rumah serambi, ketua kampung mengangkat tangan sambil meletakkan jari telunjuk ke mulut menyuruh dia mendiamkan diri. Apabila melihat ke bawah rumah di bahagian dapur, Aki Kidam juga menyuruh dia mendiamkan diri. Barulah lega hati Derih Gagap, kerana dia yakin penceroboh itu tidak akan dapat lagi masuk ke rumahnya.

Setelah beberapa minit bunyi pasir dilemparkan ke atas atap itu berhenti, sekali lagi terdengar orang mendehem tiga kali. Kemudian barulah ternampak oleh Derih Gagap, seorang lelaki berjalan mengelilingi rumahnya di dalam kawasan yang diguris oleh Aki Kidam sebelum tadi.

Lelaki itu memakai seluar hitam dan berbaju teluk belanga biru tua, berjalan saja sambil matanya terlangah-langah seperti mencari sesuatu. Dia berlegar-legar saja di sekeliling rumah, teapi tidak terkeluar dari kawasan yang diguris oleh Aki Kidam dengan kelengkengnya.

Selepas itu barulah Aki Kidam merangkak mendapatkan Derih Gagap. Mereka berdua terus pula mendapatkan ketua kampung di bawah rumah serambi.

"Biarlah dulu, tak ke mana larinya" bisik Aki Kidam mengeluarkan rokok dari sakunya. Dia menghisap rokok macam tidak menghiraukan lelaki di halaman rumah berlegar-legar.

"Biar aku ajar dia, Aki" ujar Derih Gagap menyimpan dendam. "Hah, kau dah lupa Derih...!" Aki Kidam mengingatkan. "Betullah kau ni tak sabar kan dek apa" ketua kampung memarahinya, menyebabkan Derih Gagap terdiam. Memang dendamnya masih membara kerana pemuda berkenaan telah tidur berbaring di sebelah isterinya, walaupun dia tidak memperkosa tetapi sudah tentu mencabar dirinya sebagai seorang lelaki.

Kalaulah tidak mengenangkan janjinya dengan Aki Kidam, memang dia tidak dapat bersabar. Tetapi janji itu mesti dipegang teguh kerana masalah yang dihadapi bukanlah dirinya seorang, sebaliknya untuk kepentingan semua penduduk-penduduk kampung. Bila mengenangkan hal-hal seperti ini, Derih Gagap terpaksa menahan perasaan dendamnya yang terbuku di hatinya.

Mereka bersama-sama menghisap rokok daun yang dibawa oleh Aki Kidam dengan tidak memperdulikan lelaki itu berpusing-pusing sekeliling rumah. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku di situ. Derih Gagap bersandar kepada sendi tiang, terlelap juga beberapa ketika sampai ke pagi. Dia tertunggu-tunggu juga apa yang akan dilakukan oleh Aki Kidam seterusnya.

Setelah pagi cerah, barulah mereka bertiga keluar dari bawah rumah. Aki Kidam mengajak mereka berdua sembahyang subuh saja di rumah Derih Gagap, kemudian sembahyang sunat syukur. Sebelum itu Derih Gagap sudah membangunkan isterinya supaya perempuan itu tidak terkejut. Dia membisikkan tentang lelaki yang sedang berlegar-legar di sekeliling rumahnya.

"Memang dia tu laa" bisik Kak Senah pada Derih Gagap apabila terlihat lelaki itu melalui tingkap. "Sudah, kau masak air. Nanti buatkan kopi pekat untuknya. Aki Kidam yang suruh buat macam tu" dia memberitahu isterinya.

Perempuan itu tidak membantah. Dia terus ke dapur untuk memasak air seperti yang disuruh suaminya. Lagi pun ketua kampung akan membuat keputusan mengenai lelaki yang sudah dikira masuk perangkap itu. Tetapi dari raut mukanya, Kak Senah tidak mengenali lelaki berkenaan. Ternyata dia bukanlah berasal dari kampung tersebut.

Setelah selesai sembahyang, Aki Kidam duduk di muka tangga dengan berjuntai kaki. Apabila lelaki itu melintas di depan halaman , Aki Kidam memukul kedua-dua lututnya dengan penumbuk. Lelaki itu tiba-tiba berhenti dan berpusing mengadap Aki Kidam di muka tangga.

"Hai, nak kemana awak ni?" tegur Aki Kidam memerhati lelaki yang berumur kira-kira 25 tahun itu. "Nak cari jalan keluar, sekeliling ni tembok batu. Entah mana pintunya tak jumpa" sahut lelaki itu lemah."Awak ni siapa, datang dari mana?" Aki Kidam bertanya, manakala ketua kampung dan Derih Gagap sudah tercegat di belakangnya. Kak Senah juga berdiri di tingkap keheranan melihat peristiwa tersebut.

"Nama saya Johar dari Kampung Pesagi" ujarnya ketakutan. "Hah, jauh awak ke mari" kata Aki Kidam macam mengejek. Pemuda itu terdiam. Dia terkelip-kelip mata mendongak ke arah Aki Kidam yang masih duduk di muka pintu dengan dua tapak tangannya menekan kepala lutut.

"Tolonglah lepaskan saya, saya minta ampun" dia terketar-ketar meminta perlindungan. "Naiklah dulu..." Aki Kidam menyuruhnya naik.

Dia tidak membantah dan terus naik ke rumah. Kemudian dia menyuruh Kak Senah mengeluarkan kopi O. Mereka berempat pun minumlah bersama-sama. Setelah disoal oleh ketua kampung pemuda bernama Johar itu mengaku telah melakukan perbuatan tersebut. Dia telah menuntut satu ilmu kebatinan yang mengikut pesan gurunya mesti melakukan perbuatan tersebut sampai genap 44 malam.

"Awak berjanji tak ganggu lagi kampung ni!" kata Aki Kidam. Pemuda itu mengangguk. Dia juga melihat ke tengah halaman, tidak ada tembok batu yang dikatakannya itu. Barulah dia menyedari bahawa ilmu setan yang dituntutnya boleh dikalahkan juga.

"Ilmu setan boleh dikalahkan, kerana ianya terbatas" ujar Aki Kidam mengingatkan dia. "Tetapi ilmu Allah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun, apatah lagi oleh setan. Ilmu Allah meliputi tujuh petala langit tujuh petala bumi dengan tidak ada batasnya" dia menasihatkan pemuda berkenaan.

Selepas itu dia menyuruh pemuda itu balik ke kampungnya dengan tidak membenarkan Derih Gagap membalas dendam. Sejak itu tidak ada lagi gangguan seperti itu di kampung tersebut. Memang menjadi syaratnya orang yang ditawan secara demikian tidak boleh dicederakan, sebaliknya diberi makan dan wang sebanyak dua ringgit sebagai sedekah.

"Insya Allah, dia akan insaf dan kembali kepada jalan Allah" beritahu Aki Kidam menutup ceritanya kepada saya dan Tumin.


ULAR DALAM KUBUR WANITA

LAMA juga orang-orang kampung bercerita mengenai kematian Latip Pekak semasa memandikan mayat isterinya Mak Yot Bidan yang kononnya balik ke rumah semula. Judin Bauk yang menjadi saksi peristiwa itu bersama adik aruah Mak Yot Bidan iatu Usin Macuk. Tetapi kata orang-orang tua yang balik semula ke rumah itu bukannya Mak Yot Bidan tetapi jelmaan 'hantu bungkusan'.

Semasa orang-orang mengkebumikan jenazah Latip Pekak, didapati kubur Mak Yot Bidan berlubang kira-kira sebesar lilitan betis. Apabila dijolok oleh Lebai Piut ke dalam, kayu penyolok itu sampai ke bawah. Berbunyi papan liang lahadnya apabila diketuk-ketuk.

Selepas kematian Latip Pekak tidaklah didengar lagi suara jeritan dari kubur Mak Yot Bidan. Apakah rahsia di sebalik kejadian itu tidak pula diketahui oleh orang-orang kampung. Ketika saya sampai ke kampung ini dapatlah saya mendengar serba sedikit ceritanya dari Judin Bauk.

"Tak tau aku apakah ilmu yang dipakai oleh aruah tu" jelas Judin Bauk apabila saya tanyakan kepadanya. "Yang aku tau dia seorang bidan di kampung ni dulu. Agaknya ilmu membidankan orang tentulah ada padanya" ujarnya bagaikan tergambar lagi kepadanya peristiwa yang berlaku.

"Sudah selesai semuanya, tak payahlah kita sebut-sebut lagi" Lebai Piut mencelah. "Perkara dah berlalu, biarlah orang-orang masih hidup jadikan tauladan tentang petunjuk-petunjuk sedemikian dari Allah..." katanya perlahan.

"Benar kata aki tu.." saya tersengih-sengih memerhatikan dia. "Tapi baik juga kita mengetahui latar belakang mengapa kejadian itu berlaku. Dari sini bolehlah kita jadi tauladan kepada masyarakat kita. Sebab petunjuk dari Allah itu supaya kita semua insaf" keinginan saya masih membara ingin mengetahui latar belakang kejadian yang menimpa diri aruah Mak Yot Bidan itu.

"Kadangkala....." Lebai Piut mengangguk-ngangguk lemah. "Kita melihat zahir saja, sedangkan yang zahir itu pun tidak semuanya kita tahu hanya Allah saja Maha Mengetahui" dia memberitahu. Saya memahami maksud Lebai Piut itu. Dia tidak mahu cerita mengenai kubur berasap itu dipanjang-panjangkan. Tidaklah mengherankan kepada saya mengenai diri Lebai Piut itu. Dia memang bekas murid aruah Tok Aki saya. Oleh itu saya cam betul akan tabiatnya seakan-akan mirip dengan aruah Tok Aki saya.

Sebenarnya saya datang ke kampung tersebut semata-mata mahu menziarahi Lebai Piut. Tetapi secara kebetulan cerita mengenai kubur berasap itu masih menjadi buah mulut orang-orang kampung itu, sengajalah saya tanyakan kepada Judin Bauk.

Ketika saya ke Merlimau di Melaka pun ada juga cerita mengenai kisah-kisah yang serupa dengan kejadian di kubur Mak Yot Bidan ini. Kawan saya Ali Burn yang ceritakan kepada saya. Tetapi saya tidak ambil peduli sangat cerita Ali Burn ini fasal kadangkala ceritanya bercampur temberang sedikit.

Kira-kira dalam bulan Jun 1982 Ali Burn telah mengajak saya berjumpa dengan seorang lelaki tua di Felda dekat Johor. Lelaki ini tinggal bersama anak perempuannya di situ. Tetapi dia bukanlah berasal dari Merlimau iaitu kampung asal Ali Burn. Bagaimanapun menantu Pak Uduh ini memang berasal dari Merlimau.

Pak Uduh sudah berumur lebih 80 tahun. Dia kelihatan sudah uzur kerana penyakit. Matanya pun sudah rabun dan suaranya pun tidak berapa jelas bila bercakap. Tetapi bila Ali Burn datang , dia terlalu gembira. Memang Ali Burn selalu datang ke situ menemui Rahman menantu Pak Uduh. "Lama kau tak datang sini?" tanya Pak Uduh semasa Ali Burn memperkenalkan saya kepadanya. "Kalau aku selalu datang nanti Pak Uduh bosan" Ali Burn bergurau dengannya. "Lagi pun Pak Uduh nak simpan-simpan sangat, kalau ada apa-apa tu bagilah pada orang muda" tambahnya sambil duduk rapat dengan orang tua itu. "Apa yang kau hendakkan pada aku, orang tua tak berguna" sahut Pak Uduh tersengih-sengih. "Orang tua tak bergunalah selalunya ada isi...." kata Ali Burn memaut bahu orang tua itu. "Kemenyan sebesar lutut kalau tak dibakar tak berbau Pak Uduh" dia menepuk-nepuk bahu Pak Uduh.

Orang tua itu tersenyum. Dia tahu Ali Burn hanya begurau. Kedatangan Ali Burn menemui dia juga memang mempunyai tujuan. Saya juga tahu Ali Burn datang menemui Pak Uduh kerana mahu mencungkil-cungkil rahsia ilmu kebatinan orang tua itu. Memang menjadi kelaziman orang tua-tua seperti Pak Uduh itu tidak akan menurunkan ilmunya kepada orang yang tidak boleh diharap.

Maksud orang tidak boleh diharap ialah mereka yang tidak bersungguh, melainkan sekadar mahu menguji-nguji atau tidak dengan sepenuh hati. Sebab itulah Pak Uduh sering mengelak-ngelak bila Ali Burn cuba mendapatkan sesuatu ilmu kebatinan darinya. Selepas itu Ali Burn pun memperkenalkan saya kepada Pak Uduh. Memang saya sendiri berhajat mahu bertemu dengannya setelah Ali Burn menceritakan serba sedikit mengenai diri orang tua itu kepada saya.

"Jabat tangan tadi pun aku tau dah, jabat tangan orang berisi..." kata Pak Uduh tersengih-sengih merenung saya. Mungkin kerana matanya yang rabun dia terpaksa merenung saya tepat-tepat. "Adalah isiya Pak Uduh" sahut Ali Burn pantas. "Kalau tak ada isi kosonglah semuanya, baru jadi hantu penanggal semua tali perut habis terkeluar ditarik kepala..." katanya ketawa terkekeh-kekeh.

Pak Uduh juga ketawa. Saya juga ikut sama ketawa. Geli juga dengan kata-kata Ali Burn itu. Fasal itulah kawan-kawan kami gelarkan dia Ali Burn temberang, kerana ada saja ceritanya mahu memanaskan suasana dengan gelak ketawa. "Iyalah, tahi pun isi juga namanya" balas Pak Uduh dihujung ketawanya. "Tetapi berisi dengan tahi, tak sama berisi dengan ilmu..." ujarnya macam menyindir.

Dari Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya berasap seperti yang diceritakan oleh Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi bukanlah dari Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antaranya yang jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri.

Akhirnya Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika berkahwin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan ibadat, di samping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.

Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula. Perhubungannya dengan anak muda, satu hari telah terserempak dengan emak Pak Uduh. Apa lagi perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terus terburu-buru. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu. Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikuti perintahnya.

Sebenarnya Pak Uduh bukanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat kepada perintah agama. Sebab itulah dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya sendiri terhadap kecurangan isterinya itu. Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh. Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah darah. Ada bomoh yang mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyurkan supaya dihantar mendapat rawatan lanjut di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap penyakit batuk darah. Sama ada dakwaan bomoh yang mengubatnya itu benar atau tidak, Pak Uduh juga tidak mahu mempercayai sangat. Tetapi Pak Uduh sendiri sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya.

Setiap kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah-muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberapa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambat mahu mengubat emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya lebih mendalam.

Disebabkan terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau itu, Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat tahjud 44 malam agar orang yang menganiaya emaknya bertaubat. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya memohon doa agar orang yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah. Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahjudnya, tiba-tiba Naesah Lawa isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda.

Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong kepada gurunya To' Kiyai Parjo dari Johor. "Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya. "Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dalam perasaan bimbang. "Kalau begitu kau tak tahan diuji" sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu kau" ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.

Tetapi Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia mesti selamatkan isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya. "Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya" tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat. Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.

Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluar dari lubang-lubang sebesar guli itu.

"Apa yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh. "Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar" Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya. "Bacakan ayat ini dan hembuskan ke situ" perintah To' Kiyai Parjo. Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga hampir-hamoir diterbangkan.

"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo. "Ribut kencang..." jelasnya cemas. "Bacakan doa ini" kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.

Sebaik dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo. Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing. Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.

"Kenapa kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya. "Mati hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras. "Kau orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.

Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan. Kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.

"Sekarang, baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu. "Tidak......aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh. "Isteri seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah" suara orang tua berjubah putih itu keras. "Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi. "Kau setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia belaka.

Astaghafarullah-alazzim......" keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak itu batil, dan yang batil itu hak" katanya mengingatkan. "Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol. "Orang berilmu mesti banyak bersabar" orang tua berjubah putih itu menasihati dia. "Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak Uduh. "Iya....." angguk Pak Uduh. "Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi. Pak Uduh angguk. "Sekarang itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru pada To' Kiyai Parjo, dan aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke mari......." dia menghulurkan tangannya.

Cepat-cepat Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis. "Maafkan saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak. "Sudahlah Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh. "Naesah yang memberi emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan curangnya terhadap kau. Sekarang baliklah kau" katanya meninggalkan Pak Uduh.

Barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata, dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit. "Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai....." bisik Pak Uduh. To' Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh. Malah pertemuan Pak Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To' Kiyai Parjo. "Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.

Tiga hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifatnya jelas telah berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung Naesah Lawa pun meninggal dunia.

Pada senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah perkuburan.

Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan. Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan.

Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya bagi bagi pihak Naesah Lawa.

 Lelaki Gigi Rongak
SEHINGGA pukul 11 malam Razi masih belum membuat keputusan untuk balik ke kampungnya di Pulau Sebang di Melaka. Tidaklah jauh sangat dari Kuala Lumpur ke Pulau Sebang, dalam 2 jam setengah pun boleh sampai. Anak dan isterinya sudah balik seminggu lebih awal, kerana persediaan adiknya yang akan berkahwin. Serba salah juga dia sama ada mahu balik malam itu juga atau pada esok paginya. Maklum sajalah kalau balik pada malam itu pun tidak ada gunanya kerana majlis pernikahan sudah pun berlangsung kira-kira pukul 9.30 malamnya. Dia sudah berjanji dengan isterinya Ani untuk balik juga ke Pulau Sebang pada malam tersebut, tetapi tidak jadi disebabkan urusannya dengan seorang kontraktor tidak selesai.
Kontraktor itu mengajak makan terlebih dahulu di sebuah restoran. Kalau dia menolak pelawaan kontraktor itu juga tidak berapa sedap, kerana mereka berdua sudah berkawan lama. Lagi pun upacara pernikahan tidaklah berapa penting sangat, kerana yang menikah itu adik isterinya. Lainlah kalau adiknya sendiri, tentulah dia penting untuk hadir sama sebagai wali kerana ayahnya sudah lama meninggal dunia. Sebab itu Razi memenuhi pelawaan kawannya itu untuk makan malam. Bersama kawannya itu adalah lagi lima enam orang rakan berniaganya makan bersama, kerana mereka mahu berkenalan juga dengan pegawai muda seperti Razi. 

Dalam masa makan itu masing-masing bercerita juga mengenai cerita di tv yang sangat menarik. Salah seorang darinya bercerita pula mengenai pengalaman seorang kawannya terserempak dengan langsuyar semasa balik ke rumahnya di Cheras. Tetapi Razi kurang yakin dengan cerita itu. "Zaman moden ni mana ada langsuyar" Razi tidak percaya dengan cerita kawannya itu. "Itu saya tak tau laa Encik Razi" jelasnya tersengih-sengih. "Tapi kawan saya tu ternampak seorang perempuan mahu menumpang motosikalnya. Bila perempuan tu dah naik, dia pun mengilai menyebabkan kawan saya itu terbabas jatuh motor" katanya mempertahankan kebenaran ceritanya.

Geli benar hati Razi mendengar cerita kawannya itu. Dalam zaman moden demikian pun masih ada juga orang mempercayai akan ujudnya langsuyar mengganggu manusia. Tetapi untuk menjaga hati kawannya itu dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih-sengih saja mendengar cerita kawannya itu. "Selalu orang terjumpa langsuyar di kawasan Cheras tu" ujar kawannya itu. "Di situ ada kubur?" seorang kawan Cina bertanya. "Memang di situ ada kubur" katanya mengerutkan dahi. "Bukan kubur Melayu saja, kubur Cina pun ada, kubur Kristian pun ada" jelasnya lagi.

Razi tersengih-sengih. Di Kuala Lumpur ini pun masih ada orang yang percaya tentang kemunculan langsuyar. Lainlah kalau kampung-kampung yang masih terdapat pohon-pohon rimbun, pokok-pokok nyiur yang tinggi melambai dan suasana malam yang sepi. Semua keadaan tersebut boleh menimbulkan ketakutan kepada mereka yang lemah semangat. Di Kuala Lumpur suasana seperti itu tidak ada lagi. Cahaya lampu terang benderang di kiri kanan jalan. Kereta menderu di jalan raya sehingga sampai ke subuh, suasana tidak pernah sepi dengan lori-lori mengangkut barang bergema membelah malam. Masakan langsuyar berani muncul dalam keadaan seperti ini. 

"Awak pernah jumpa langsuyar?" Razi menduga. Kawan itu menggeleng kepala. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan langsuyar cuma mendengar cerita dari kawan-kawan saja. Razi ketawa kecil mendengar jawapan kawannya itu. Macam mana kawan itu boleh percaya sangat sedangkan dia tidak pernah berjumpa. Sekadar mendengar cerita orang saja tidak boleh diterima sangat, kadangkala kilauan bayang pun mereka kata langsuyar disebabkan mereka lemah semangat. Apabila balik dari makan di restoran berkenaan, Razi pun balik ke rumahnya di Ampang. Mula-mula dia merasa tidak dapat tidur, boleh bangun pagi sedikit, dan sempat sampai ke rumah mertuanya di Pulau Sebang kira-kira pukul 8.30 pagi. Selepas subuh, bolehlah terus bertolak balik. Hingga pukul 11 malam dia merasa gelisah kerana tidak memenuhi janjinya kepada isterinya untuk balik kalau tidak ada apa-apa urusan lain, sebaliknya kalau ada hal dia akan cuba sampai ke Pulau Sebang jam 8.30 pagi besoknya.

Kerana hatinya berkata-kata lantas Razi mengambil keputusan untuk balik saja ke Pulau Sebang malam itu juga. Sebelum balik dia datang dulu ke rumah saya, kira-kira hampir jam 12 tengah malam dia sampai ke rumah saya. Ia memang selalu juga datang ke rumah saya tidak kira pukul berapa pun. Memang dia tahu saya tidak pernah merasa terganggu kalau ada orang datang pada tengah malam demikian. Saya masih membaca buku semasa dia datang memberi salam. Saya pelawa dia masuk, tetapi dia bercakap dari dalam kereta saja. "Saya nak balik malam ni juga Ustaz" dia memberitahu. "Kata nak balik besok" isteri saya memotong sebaik saja tercegat di belakang saya."Balik jengah muka, nanti apa pula kata orang kalau besok baru nampak muka" ujarnya tersengih-sengih. "Kau, balik seorang saja?" tanya saya. "Ya Ustaz" sahutnya masih tidak keluar dari kereta. "Jadi besok Ustaz datang ya, jangan tidak pula. Nanti, masam pula muka orang rumah saya" katanya mengingatkan.

Isterinya Ani berkuat mengajak saya ke majlis kahwin adiknya itu. Sebab itu dia desak Razi supaya datang dengan membawa keluarga saya sekali sekiranya balik pada sebelah pagi Ahad. Malah Ani sendiri lebih suka Razi balik pada hari Ahad daripada petang Sabtu. Pada mulanya Razi bercadang mahu balik pada pagi Ahad, tetapi bila mengenangkan akan bertolak jam 6 pagi, tentulah tidak sedap mengajak saya bersama pada pagi demikian. Kalau mahu pukul 10 pagi pula, dia bimbang dituduh tidak mengambil berat hal keluarga isterinya. Ini semualah yang menjadi serba salah kepadanya.

Saya pun bersetuju akan pergi sendiri pada besoknya. Hubungan kami sekeluarga dengan keluarga mereka amat baik, jadi tidak sedaplah kalau tidak memenuhi permintaannya. Malah Ani sudah 'mengagih'kan anak lelakinya kepada saya. Pada mulanya budak itu sakit saja, tetapi selepas dibawa berjumpa saya, Alhamdulillah budak itu sihat. Itulah pun puncanya kami berkawan rapat. "Saya balik dulu Ustaz, jadi besok saya jemput Ustaz ye!" katanya tersengih-sengih. "Malam-malam macam ni kalau mengantuk berhenti, tidur dulu. Lepas tu kalau nak jalan, baru jalan pulak" ujar saya supaya dia tidak tergopoh-gapah mahu cepat sampai. "Baiklah..." dia memberi pengakuan.

Apabila dia meninggalkan rumah saya, Razi tidak ke mana-mana lagi. Dia teruslah balik mengikut highway Seremban. Ketika ini memang jam lebih 12 tengah malam. Cuaca juga sejuk, dan kereta juga tidak banyak lagi lalu lalang. Selepasa tol Kuala Lumpur, hujan mulai turun renyai-renyai. Razi tidak berani melarikan keretanya laju-laju kerana bimbang jalan licin. Dia memang selalu mendengar nasihat saya iaitu apabila membawa kereta janganlah terlalu laju. Walaupun pada sebelah malam demikian jalannya lapang, tetapi tidak ada gunanya membawa kereta terlalu laju. Apa sangat mahu dikejar cepat-cepat, kerana tidak ada apa-apa yang mesti disegerakan. Kalau mahu mengejar majlis pernikahan, upacara tersebut sudah pun selesai, mungkin jam 10 malam lagi. Dia sampai di Pulau Sebang pun tentu semua orang sudah tidur, kalau ada yang berjaga pun hanya budak-budak main terup di penanggah. Mereka ini sengaja berjaga supaya penanggah tidak diganggu anjing atau apa-apa.

Hujan renyai-renyai tidak berhenti sepanjang perjalanan itu. Bagaimanapun ada juga kereta yang laju hingga memotong keretanya. "Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju-laju" rungut Razi apabila keretanya dipotong oleh sebuah kereta BMW. Jalan lurus di highway itu tidaklah cepat sangat hilang cahaya lampu kereta di depan. Lama juga baru lampu kereta BMW yang memotongnya hilang dari pandangan. Dalam masa dia memarahi kereta laju itu tiba-tiba saja seorang pemuda menunggang motorsikal memakai jaket hitam memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu melarikan motorsikal demikian lajunya pada malam tersebut, apalagi tatkala hujan renyai-renyai.

"Celaka motor ni, nak mampus lari laju-laju" gerutunya kerana meradang sangat dengan sikap penunggang motorsikal yang berani melarikan motorsikal terlampau laju dalam hujan renyai-renyai dan tengah malam pula. Motorsikal itu juga lenyap dalam kegelapan malam, mungkin kerana larinya terlalu laju meninggalkan kereta dia jauh di belakang, mungkin juga cuaca terlampau gelap kerana hujan renyai-renyai turun tidak berhenti. Dari cahaya lampu keretanya memang hujan yang turun itu nampak jatuh halus-halus menimpa cermin keretanya. Sebab itu dia tidak nampak pandangan jauh di hadapan. Walaupun tengah malam masih ada juga kereta lalu lalang sama ada di jalan menuju ke Seremban, begitu juga jalan menuju ke Kuala Lumpur. Kadang-kala dia perlu juga berhati-hati kerana ada tempat-tempatnya jalan sedang dibaiki. Berjalan berkereta pada waktu malam mata mesti cekap memerhati.

Tidak terasa pula mengantuk pada Razi. Untuk menghilangkan rasa mengantuk dia membunyikan radio.Setidak-tidaknya boleh juga mendengar siaran warta berita pendek atau ada juga lagu-lagu hiburan. Kalau dipasang kaset lagunya balik-balik itu saja. Lagi pun Razi lebih gemar mendengar radio dari kaset, kecuali kalau berjalan bersama isterinya, Ani lebih gemar mendengar kaset. Melepasi saja simpang ke Bangi, Razi nampak dari cahaya lampu keretanya seorang pemuda menahan keretanya. Ternyata pemuda itu di dalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia cam betul bahawa pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.

"Tolonglah saya bang" kata pemuda itu merayu "Sampai kat simpang Nilai cukuplah" ujarnya mahu menumpang kereta Razi. Mula-mula curiga juga Razi, mana tahu perompak yang sengaja menyamar meminta pertolongan. Kemudian apabila sampai di pertengahan jalan kawan-kawannya sudah menunggu. Sudah tentu dia terperangkap dengan tipu muslihat perompak begini. Bagaimanapun dia sudah behenti apabila ditahan oleh pemuda berkenaan. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu. "Janganlah takut bang, saya bukannya budak jahat" dia semacam tahu apa yang difikirkan oleh Razi. "Motor saya buat hal pulak, saya nak balik ke Nilai. Saya kerja Polis Bandaraya, janganlah abang bimbang" katanya membuka jaket hitamnya. Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin pemuda itu tidak berbohong, dia pun membenarkannya menumpang.

"Nanti, saya letakkan motor saya ke dalam sikit" katanya tersengih menampakkan giginya yang rongak. Kemudian dia menolak motorsikal itu ke lorong tempat jual buah-buahan. Setelah merasakan motorsikalnya selamat dan tidak akan diusik orang, pemuda itu naik ke kereta Razi. "Malam-malam macam ni mana nak cari Formen" keluhnya lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Razi. "Nama saya Jenal, duduk kat Nilai. Berulang-alik aje kerja di Kuala Lumpur" jelasnya sambil membetulkan leher baju uniformnya. Jaket hitamnya diribanya saja. "Saya Razi" beritahu Razi perlahan. "Abang nak ke mana?" tanyanya pula. "Balik kampung" ujar Razi. "Kampung abang di mana?" dia menyandarkan badannya. "Pulau Sebang" beritahu Razi ramah. Dia sudah yakin bahawa pemuda itu seorang polis bandaraya, bukan perompak.

"Berjalan malam macam ni, perompak saya tak takut" kata Jenal tersengih-sengih menghadapkan mukanya kepada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih-sengih itu. "Habis awak takut apa?" Razi menduga. Dia tidak terus menjawab, tetapi kepalanya berlenggok-lenggok mengikut irama lagu di radio. "Awak takut apa?" ulangi Razi mahukan kepastian. Berjalan di waktu malam tentulah mereka bimbang perompak. Mana tahu mereka menanti di mana-mana, kerana perjalanan jauh seperti ini kereta tidak banyak lalu lalang. Kalau terjadi rompakan sesiapa pun sukar mendapat bantuan segera. Apa lagi kalau kereta dilarikan nescaya mereka akan terlonta-lonta mencari pertolongan. Mungkin peronda lebuhraya ada membuat  rondaan, tetapi mereka sukar mengesan kejadian-kejadian sedemikian.

"Awak tak takut perompak?" tanya Razi lagi. "Tak, saya tak takut" ujar Jenal terangguk-angguk. "Tapi, saya takut kalau ada hantu, mana kita boleh lawan dia, sebab dia makhluk halus" jelasnya macam ketakutan. "Jangan awak percaya benda-benda tahyol tu, Jenal" Razi menasihatkannya. Jenal terdiam bila Razi mengatakan dia tak percaya kepada tahyol. Dia merenung ke hadapan saja memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan yang halus. "Kawan saya dah kena bang" beritahu Jenal perlahan seolah-olah mengingatkan sesuatu. "Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena. Dia pakai motorsikal sayalah, lalu di situ hari malam" katanya menyeringai menampakkan giginya yang rongak berkarat. Apabila dia mengangakan mulut terbau juga bau busuk wap mulutnya oleh Razi. Dia terangguk-angguk merenung cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. Sekali-sekala Razi mengerling juga ke arahnya sambil tersenyum seolah-seolah mengejek pemuda itu yang percaya sangat cerita-cerita tahyol. Malah sejak di restoran tadi Razi sudah diceritakan perkara-perkara tahyol demikian.

Hendak dikatakan dia tidak percaya langsung juga tidak boleh. Ketika anaknya selalu sakit-sakit saja, Ani mendesaknya berubat cara kampung. Sudah dibawa ke klinik pakar pun, namun doktor tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Kepala anaknya tumbuh bisul yang boleh beralih-alih benjolnya. Apabila doktor mahu mengambil keputusan untuk dibedah saja, Ani berkeras tidak mahu. Dia bimbang anaknya akan cacat akal kerana sakit di kepala tidak boleh dipandang ringan. Ani mendesaknya supaya anaknya dibawa berubat di mana-mana. Kebetulan jirannya itu teman baik saya, maka teman baik itulah mengesyurkan Ani supaya menemui saya. Kebetulan pula dengan izin Allah, setelah saya doakan sedikit kemudian meminta dia menukar nama anaknya yang sedap didengar tetapi ertinya dalam Bahasa Melayu tidak berapa baik, mudah-mudahan sembuh pula. Budak itu sihat sampai sudah bersekolah pun tidak pernah lagi sakit. Sebab itulah dia 'agih'kan budak itu pada saya mengikut kepercayaan orang-orang Melayu di kampung.Tetapi kalau tidak di"agihkan' pun tak mengapa.

Apa yang terjadi pada anaknya ini tidak pula dianggap tahyol oleh Razi, tapi kalau cerita-cerita lain terutamanya mengenai hantu saja cepat dia mengatakan tahyol. Dia tidaklah pula memberi alasan mengapa perkara itu tahyol, sebaliknya tidak percaya saja cerita-cerita mengenainya. Dengan Jenal pemuda gigi rongak yang menumpangnya itu pun Razi tetap dengan pendiriannya tidak percaya cerita-cerita tahyol itu. "Dekat simpang Nilai tu, memang selalu orang jumpa bang" tegas Jenal mahu meyakinkan Razi. "Kawan saya ditahan oleh perempuan kat situ. Dia bawa perempuan tu naik motor saya" dia menambah. Tersengih-sengih Razi mendengarnya cerita pemuda gigi rongak di sebelahnya. Mungkin pemuda itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia saja, atau kerana terlalu percaya kepada cerita-ceriya tahyol. Mahu juga dia menempelak Jenal, tetapi tidak mahu pula mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya itu. "Lepas tu dia terbau wangi sangat" ujarnya tidak beralih memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. "Apa lagi perempuan itu pun mengilai laaaa" katanya ketawa kecil hingga wap mulutnya berbau busuk.

Cerita Jenal itu sudah kerapkali didengar oleh Razi. Masa makan malam di restoran tadi pun kawannya yang datang bersama kontraktor itu pun menceritakan perempuan menumpang motorsikal kawannya yang mahu balik ke Cheras. Sampai berhampiran dengan tanah perkuburan dia terbau wangi, kemudian perempuan yang membonceng motorsikalnya itu mengilai terus hilang dari pandangan. Sebab itulah motorsikalnya terbabas melanggar batu di tepi jalan. Jenal juga mempunyai cerita yang seakan-akan sama, hanya tempat kejadian saja berlainan. Kawan Jenal itu juga jatuh terbabas melanggar tebing jalan setelah perempuan itu mengilai, kemudian hilang seolah-olah asap yang berkumpul ke udara. Seminggu kawannya itu terlantar di hospital besar Seremban. Sejak motorsikalnya itu kemalangan selalu saja motorsikalnya meragam.

Tetapi Jenal tidak peduli. Kalau motorsikalnya meragam pada waktu tengah malam apabila balik dari kerja, memang dia tinggalkan saja di tepi jalan. Besokya baru dia datang menengok. Dia tidak bimbang kalau orang mahu mencuri motorsikalnya. Selagi motorsikalnya boleh dipakai dia tidak akan mengganti baru. "Sekarang cari duit susah, bang" beritahunya menjuihkan bibir. "Boleh pakai kita pakai dulu, rosak sikit-sikit kita repair" jelasnya tegas. Razi menggangguk. Dia setuju juga dengan pendapat Jenal. Lebih baik dibaiki saja motorsikalnya kalau boleh digunakan. Lainlah kalau rosaknya sudah terlalu teruk, memang elok ditukar baru kalau duitnya mencukupi. Dalam masa duit perlu digunakan kepada hal-hal yang lebih manafaat, perkara menukar motorsikal itu memang baik dikemudiankan.

Tidak sangka pula dia bertemu kawan yang ramah di jalan. Kalau tidak ada Jenal menumpangnya, mungkin dia kesunyian juga. Ada Jenal di situ, ada jugalah kawan untuk dilawan berbual. Tidaklah sunyi sangat, walaupun Jenal lebih suka bercakap mengenai cerita-cerita tahyol saja. "Sekarang dah dekat dengan simpang Nilai bang" Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar saya ke dalam, turun kat simpang cukuplah" dia merendahkan diri. "Tak apa, kalau jauh ke dalam biarlah saya hantar" Razi menawarkan diri. "Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat aje dari simpang tu" katanya. "Awak tak takut ke apa-apa?" Razi cuba mengusik. Jenal tertawa terbahak-bahak usikan Razi. Dia seolah-olah tahu Razi sengaja mempersendakan ceritanya tadi. Tetapi dia tidak berkecil hati. Dia tetap melayan dengan mesra usikan Razi itu. "Kalau langsuyar tu perempuan, lebih baik saya pinang aje, buat apa takut" dia masih ketawa terkekeh-kekeh. Razi juga ketawa dengan telatah kawan barunya itu. Tidak sangka pula Jenal pandai bergurau. Dari tutur katanya memang dia percaya Jenal seorang yang ramah dan mudah dijadikan kawan. Ada saja cerita hendak dibualkannya.

Simpang ke Nilai kira-kira masih ada 500 meter di hadapan. Kasihan juga hati Razi kalau mahu menurunkan Jenal di kepala simpang. Apalah salahnya kalau dia menolong sesama insan tatkala dia memerlukan pertolongan demikian. Hari sudah jauh malam sudah tentulah dia keseorangan mahu berjalan merempuh kegelapan, di samping hujan turun renyai-renyai. Masakan Jenal budak jahat mahu merompak dia, dengan kawan-kawannya sudah menunggu di kepala simpang tersebut. Lagi pun apa sangat mahu dirompak oleh Jenal darinya. Perompak juga bukanlah merompak tidak mengira mangsa, mereka tentunya merompak mangsa yang telah diekori terlebih dulu. Mereka sudah tahu berapa hasil rompakannya apabila menahan mangsanya. Sebab itulah dia bersedia untuk menghantar Jenal sampai ke pekan Nilai. Lagipun pekan Nilai tidaklah jauh dari simpang tersebut. Selepas menghantar Jenal dia boleh balik semula untuk terus ke Pulau Sebang.

"Saya boleh hantarkan awak, hari hujan tu..." beritahu Razi bila sudah ternampak papan tanda menunjukkan simpang ke Nilai lebih kurang 500 kilometer. "Tak apalah bang, hati abang ni cukup baik sangat. Cukuplah turunkan saya di kepala simpang" Jenal tetap merendahkan diri. "Tak takut perempuan tunggu di situ?" Razi tersengih-sengih mengusiknya. "Ah, saya dah biasa dengan hantu-hantu ni, bang" dia tiba-tiba tertawa terbahak-bahak. "Awak pernah tengok hantu ke?" tanya Razi selamba. "Memang pernah bang" beritahu Jenal masih juga tertawa. "Macam mana rupanya?" Razi sengaja mengusik lagi. "Macam sayalah" katanya ketawa lebih nyaring. Razi berpaling melihat Jenal, kerana pemuda itu mengatakan rupa hantu seperti rupanya. Ketawanya nyaring tidak sama seperti mula-mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal hatinya berdebar. Pemuda di sebelahnya tadi sudah berbau lebih busuk, matanya macam bola api di kaca, tulang pipinya tersembul keluar, rambutnya ada tompok-tompok darah. Kepalanya seolah-olah tengkorak yang mengerikan.

Terpaku Razi melihat kawan di sebelahnya itu. Dia tidak dapat mengawal keretanya lagi, lantas merempuh batu divider jalan. Keretanya melambung sampai lima enam kali terbalik. Esoknya bila saya dan keluarga pergi ke majlis perkahwinan adik Ani di Pulau Sebang, saya diberitahu Razi terlibat dalam kemalangan semasa balik pada sebelah malamnya. Majlis perkahwinan itu diteruskan juga walaupun Razi dimasukkan ke hospital besar Seremban. Selepas majlis perkahwinan itu, saya bersama-sama Ani melawat Razi di hospital. Ketika saya sampai Razi sudah sedar. Dia sudah boleh berkata-kata walaupun kakinya bersimen. Kepalanya juga cedera dan masih berbalut. Bagaimanapun dia sempat menceritakan pengalamannya itu kepada saya.

"Itulah awak, sikit-sikit tahyol, sikit-sikit tahyol" Ani mengejek dia. Tetapi Razi tidak menyahut. Dia mula memikirkan tentang cerita-cerita yang dikatakkan tahyol sebelum ini. Sepanjang dia bercerita dengan saya itu, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. "Macam rasa mimpi aje, Ustaz" katanya menahan kesakitan yang dideritainya. Saya hanya tersenyum saja mendengar ceritaya. Kerana perkara-perkara demikian memang sukar mahu diceritakan kepada orang lain, kecuali orang yang pernah mengalaminya saja dapat memahaminya. "Ada orang cakap, tempat saya jumpa budak tu, tempat orang mati eksiden motorsikal dulu. Dah ada juga dua tiga orang terjumpa hal macam saya ni" jelas Razi lagi macam kesal sangat mengambil keputusan terburu-buru balik pada sebelah malam tadinya. Saya mengangguk-anggukkan kepala saja, kerana ceritanya seperti Razi ini, tidak ada yang mustahilnya kepada saya. Semua boleh berlaku dengan izin Allah.


~setakat tu ja yg aku jumpa. secara terus terang, cerita2 ni aku pau dari blog:
http://tokawangngah.blogspot.com
cerita yg last tu mungkin ada sambungan sbb tuan punya blog belum update. kena tunggu dia free la gamaknya...~