Tok Awang Ngah - Siri Berkelahi Dengan Syaitan
04.Pak Kamat Menunggang Harimau
SUDAH lama saya tidak balik ke kampung. Kalau tidak ada hal mustahak memang jarang saya balik. Lagipun ayah saya sering mengirim surat memberitahu khabar berita di kampung. Bagaimanapun dalam bulan Ogos 1975 saya balik juga menemui kedua orang tua. Tergerak saja hati saya mahu balik menemui mereka.
Ketika saya balik emak saya masih dalam kesedihan. Heran juga saya mengapa emak dalam kesedihan kerana semasa mengirim surat ayah saya tidak ada memberitahu apa-apa tentang berita tidak baik. Rupanya emak bersedih disebabkan dua ekor lembunya mati. Seekor lembu dara tengah naik tubuh dan seekor lagi induk lembu sudah dua kali beranak. Inilah yang menyedihkan emak saya. Dia memang sayang pada binatang-binatang ternakannya. Emak pernah sugul sampai dua minggu kerana kucing kesayangannya mati ditetak orang dengan parang. Sempat kucing itu balik ke rumah dengan belakangnya terbelah akibat ditetak dengan parang. Emak terpaksa membasuh luka kucing itu dan dibubuh ubat. Bagaimanapun dua hari kemudian kucing tersebut mati juga kerana lukanya sudah berulat.
"Kalau jual lembu tu tak kurang dari tujuh ratus ringgit seekor" ujar emak masih dalam kesedihan. "Tapi, bukan duitnya yang kita kenang. Mengapa orang sampai hati menganiaya binatang" tegas emak terharu dengan nasib yang menimpa binatang ternakannya. Misalnya kucing kesayangan dia yang ditetak dengan parang itu. Apalah dosa kucing itu sampai tergamak tangan manusia menetaknya dengan parang. Di manakah letaknya perikemanusiaan sebagai makhluk yang termulia dijadikan Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang lebih hina dari seekor haiwan.
"Lembu tu kena racun ke?" tanya saya perlahan. Emak tidak menjawab. Dia masih menahan kesedihan akibat kematian dua ekor lembu itu. Memang emaklah yang mengembala lembu tersebut. Emak ada memelihara enam ekor lembu. Dia tidak melepaskan lembunya seperti kebanyakan lembu yang diternak di kampung kami. Emak hanya menambatkan saja lembunya di tengah sawah kami yang tidak dapat dikerjakan kerana tidak dapat bekalan air secukupnya. Tengahari emak akan mengembala lembu-lembunya ke sungai untuk diberi minum. Kemudian ditambat semula. Dalam satu hari itu emak perlu mengalihkan lembu tiga empat kali saja ditambat ke tempat yang ada kawasan rumput. Jadi, adalah mustahil boleh termakan racun lembu-lembu berkenaan.
"Boleh jadi Cina meracun di kebun pisang agaknya" saya mengagak kalaulah benar lembu-lembu itu termakan racun. "Kadangkala bekas dia meracun tu boleh membahayakan kalau tak dicuci bersih" jelas saya lagi. "Racun apa...?" ayah saya mendengus. "Dua gulung kawat mata punai sebesar tekoh dalam perutnya" beritahu ayah saya terbatuk-batuk. "Kawat mata punai...?" saya keheranan. "Orang Jabatan Haiwan yang belah perut lembu-lembu tu. Mereka tunjukkan kawat mata punai tu" kata ayah saya menahan perasaan terharu bila mengenangkan peristiwa tersebut. Itulah yang mengherankan emak saya. Semasa dimasukkan ke dalam kandang emak dapati semua lembunya sihat petang tersebut. Malamnya, ketika ayah saya membetulkan unggun api, tidak ada tanda-tanda mencurigakan ke atas semua lembunya. Esok paginya apabila ayah saya mahu ke kebun dilihatnya seekor lembu sudah terkinjal-kinjal.
Ayah saya cuba memulihkan dengan cara mendoakan pada garam. Tetapi dia tidak berjaya. Sebab itulah ayah saya terus memberitahu Pejabat Haiwan Daerah. Kalau tidak dapat dipulihkan pun, boleh juga dijual ke pasar sekiranya pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada penyakit. Ketika ayah saya membawa Pegawai Pejabat Haiwan seekor lagi lembunya tergolek. Sempatlah ayah saya menyembelih kedua-dua ekor lembu tersebut. Pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada apa-apa penyakit. Untuk mempastikan sama ada termakan racun atau tidak maka mereka pun membelah perut lembu tersebut. Alangkah terperanjatnya mereka mendapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut lembu itu. Kedua-duanya terdapat segulung seekor yang sama besarnya. Setelah disahkan tidak ada termakan racun, daging lembu dijual di pasar borong saja seratus ringgit seekor.
Tidakkah mengherankan bagaimanakah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air boleh terdapat di dalam perut lembu. Kalau pun lembu makan menelan seperti ular tentu tidak tertelan kawat mata punai seperti itu. Apa lagilah lembu makan mengunyah. Tetapi bila memikirkan tentang kekuasaan Allah, maka tidaklah mengherankan. Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tentulah apa saja permohonan dari makhluknya hatta dari syaitan pun akan dimakbulkanNya. "Subhanallah..." keluh saya apabila mendengar cerita dari ayah saya. "Ah, siapa lagi, tentu orang tu yang punya kerja" ujar isteri pula geram. "Jangan menuduh!" ayah saya mengingatkan. "Kita tak boleh menuduh, kerana kita tak tau" jelasnya perlahan. Isteri saya terdiam. Dia sendiri tidak dapat mengawal perasaan bila mendengar cerita tadi. Sudah kerapkali saya ingatkan dia supaya tidak mengesyaki orang apabila menerima satu-satu musibah. Serahkan saja pada Allah menentukan yang hak dan yang batil.
"Mujur kena pada binatang" emak saya pula bersuara. "Kalaulah terkena pada manusia.." keluhnya terasa ngeri. Memang ngeri kalaulah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut salah seorang keluarga saya. Ini bukanlah kerja syaitan, tetapi kerja manusia yang diperalatkan oleh syaitan. Lama saya terdiam memikirkan apakah tujuan mereka melakukan kerja demikian. Apakah yang menyebabkan orang sakit hati kepada keluarga kami sampai sanggup membuat kerja-kerja yang tak berfaedah. Takdirnya salah seorang keluarga saya menderita akibat perbuatannya, apakah faedah yang mereka perolehi? Disebabkan fikiran mereka tidak sampai ke situlah maka mereka tergamak melakukannya. Mujurlah Allah masih memberikan pertolongan kepada hambaNya yang lemah. Allah menggelincirkan matlamat orang yang mempunyai perasaan irihati itu dan menyebabkan lembu menjadi sasaran. Sudah tentulah matlamat awalnya ialah dua orang dari keluarga saya.
"Dia nak tujukan pada ayah dan kau..." beritahu ayah saya apabila emak dan isteri saya sudah masuk ke dalam. Saya hanya mengangguk-angguk saja. Ini adalah sebahagian dari dugaan kepada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Musuh sentiasa berada di sekeliling pinggang. Kebanyakan musuh-musuh itu adalah terdiri dari manusia biasa yang diperalatkan oleh syaitan. Mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan sentiasa panas miang seperti terganggang ke api, apabila terserempak dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Sebab itulah mereka tidak senang diam apabila keadaan mereka terancam. "Kalau kau nak tengok sendiri, cubalah..." ujar ayah saya tersenyum. Saya tahu maksudnya menyuruh saya melakukan pengubatan cara tidur itu. "Tak payahlah" sahut saya menyesali kejadian yang menimpa di tengah keluarga saya. "Perkara dah lepas, sudahlah" ujar saya selanjutnya.
Saya percaya dengan kata-kata ayah saya bahawa ada orang berniat tidak baik kepada diri saya dan ayah saya. Seperti saya katakan tadi Allah telah menolong hambaNya yang lemah dari dianiaya. Maka itulah sasaran orang berniat jahat tidak tepat, lalu terkena kepada dua ekor lembu. Sebenarnya kalau Allah mengizinkan perbuatan mereka adalah tidak mustahil kalau sasarannya mengenai kami berdua. Ayah saya sendiri pernah menerima akibat dari perbuatan orang yang tidak menyenanginya. Kisahnya berlaku semasa saya masih kecil lagi dan aruah Tok Aji iaitu tok aki saya masih hidup lagi.
Di kampung ayah saya dikenali dengan panggilan Bilal Hud kerana dia menjadi bilal di surau kampung itu. Untuk menyara hidup masa itu ayah saya bekerja mengambil upah membuat kerja-kerja bertukang. Pak Kamat telah mengajaknya mengambil kontrak mengangkut pasir iaitu menggali sungai untuk membuat empangan air. Ajakan Pak Kamat ini diterima oleh ayah saya, memandangkan mereka berkawan baik. Dari segi umur memang Pak Kamat lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan baik kerana ada persefahaman. Sebenarnya Pak Kamat merupakan seorang pawang terkenal juga. Seminggu mereka sama-sama bekerja mengangkut pasir, tiba-tiba hujan panas turun. Pak Kamat mengajak ayah saya berteduh di bawah rumpun buluh yang berdekatan.
Semasa mereka berteduh di bawah rumpun buluh inilah ayah saya melihat Pak Kamat berdiri secara tiba-tiba. Pak Kamat mendongak dengan muka meradang. Kemudian segumpal asap berpusar-pusar di udara lalu tergendeng macam papan liang lahad mahu menyerkup mereka berdua. Pak Kamat membaca menteranya dan dihembuskan ke arah asap berkepul tergendeng macam papan itu. Kemudian papan itu berkecai terus membentuk satu lembaga besar seperti orang berdiri terkangkang. Asap yang berbentuk lembaga orang terkangkang terbatuk-batuk beberapa kali. "Kau jangan mungkir janji Kamat!" bentak lembaga itu keras. "Janji apa...?" sahut Pak Kamat mendongak ke langit kerana lembaga itu terlalu tinggi seolah-olah kepalanya mencecah ke awan. "Kau tau janji kau aje, janji aku kau tak peduli..." dia menggertap bibir. "Kamat...!" asap berbentuk lembaga menyeru namanya. "Jangan menyesal kemudian" katanya memberi amaran. Asap berbentuk lembaga itu hilang kemudiannya. Sebaik saja asap berbentuk lembaga manusia itu hilang, hujan panas pun berhenti. Pak Kamat pucat setelah diganggu oleh hantu timggi yang menjelma tiba-tiba.
"Bilal Hud, biarlah kawan balik dulu" katanya perlahan dalam keadaan rusuh. "Kalau awak nak balik marilah sama, kalau nak habiskan kerja, suka awaklah..." ujarnya semakin resah. "Biarlah kawan habiskan kerja ni dulu Abang Kamat" sahut ayah saya. Memang ayah saya tidak mahu kerja bertangguh-tangguh. Kalau boleh dia mahu cepat siapkan. Lagipun Pak Kamat sudah berjanji membayar wang secara berkongsi mengenai kerja kontrak mengangkat pasir itu. Ayah saya pula menjadi kepala (ketua) beberapa orang lagi pekerja di situ. Sebab itu ayah saya tidak boleh balik bagi mengawasi mereka yang bekerja. "Kalau begitu biar kawan balik, kawan rasa tak sedap badan" ujar Pak Kamat serba salah mengingatkan kejadian yang baru menimpa dirinya tadi. Sebenarnya semasa hantu tinggi menjelma dalam bentuk kepulan asap tadi, tidak siapa pun menduga ianya sedang berbalah dengan Pak Kamat. Ayah saya sendiri tidak tahu. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang mengangkut pasir seramai sembilan orang itu, mereka juga tidak tahu kejadian yang menimpa Pak Kamat sebentar tadi.
Setelah Pak Kamat balik, mereka semua meneruskan kerja menggali sungai dan mengangkut pasir bagi tujuan membuat empangan air. Projek empangan air itu dibuat zaman penjajah bagi membekalkan air ke sawah-sawah. Kerajaan orang putih ketika itulah memberikan kontrak tersebut kepada Pak Kamat. Apabila balik ke rumah Pak Kamat masih tidak dapat melelapkan mata semalaman itu. Walaupun dia seorang pawang terkenal tetapi keadaan yang dialaminya sekarang sukar untuk diatasi. Sebagai seorang pawang memanglah caranya bersahabat dengan jenis-jenis syaitan seperti hantu tinggi. Kalau dia tidak memenuhi kehendak sahabatnya maka dirinya atau keluarganya akan menerima padah. Dia mesti memenuhi kehendak sahabatnya bagi membolehkan sahabatnya sentiasa mendampingi dia. Mudahlah dia memenangi hati Tuan Pegawai Daerah mendapatkan kerja-kerja seperti menggali sungai itu selagi sahabatnya sentiasa berdamping.
Puas dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut. Kesalahannya pada sahabatnya kecil saja, tetapi bagi sahabatnya adalah besar. Sebenarnya dia terlupa membuat semah semasa memulakan kerja seminggu sebelum itu. Pak Kamat tidak menyembelih kambing sebagai semah dan menyimbahkan darah kambing di kawasan tempat kerja. Semah inilah kononnya yang dituntut oleh sahabatnya. Apabila dia tidak melakukan semah maka galang gantinya adalah nyawa manusia. Inilah yang menyulitkan Pak Kamat. Sudah tentulah korban yang dikehendakinya itu salah seorang dari pekerja di situ. Mungkin ada mala petaka yang menimpa pekerja-pekerja seramai sembilan orang, sama ada tergelincir mati lemas di dalam sungai, sama ada terkena cangkul, dan sebagainya. Pak Kamat tidak mahu pekerja-pekerjanya menjadi mangsa ketika membuat kerja-kerja tersebut.
Esoknya Pak Kamat datang juga ke situ. Dia telah memberitahu ayah saya mengenai masalah dirinya. Memang kepada ayah sayalah dia meluahkan masalah dia. Sebab itulah persahabatan mereka sangat baik. "Susah betul hati kawan Bilal Hud..." keluhnya bila mengenangkan amaran hantu tinggi yang direnungnya semalam. "Awak yang salah, adakan hantu dibuat sahabat" ujar ayah saya bergurau. Sebenarnya ayah saya tidaklah percaya sangat denagn perkara-perkara demikian . Dia hanya menganggap tahyol saja. "Ini bukan main-main Bilal" tegasnya meyakinkan hati ayah saya. "Beginilah Abang Kamat..." ayah saya masih juga bergurau kerana disangkanya Pak Kamat terlalu percaya dengan perkara tahyol. "Kalau dia nak sangat, suruh ajelah jumpa kawan" katanya tersengih-sengih. "Awak jangan cakap macam tu Bilal" Pak Kamat mengingatkan. Mukanya menjadi pucat bila mengenangkan sahabatnya menuntut janji itu. "Kawan bukan cakap main-main. Ini perkara tak boleh main-main Bilal..." ujarnya. Ayah saya tetap dengan pendiriannya menganggap tahyol saja perkara-perkara yang dihadapi oleh Pak Kamat. Dia percaya disebabkan Pak Kamat terlalu percaya kepada tahyollah menyebabkan dirinya sentiasa dibayangi oleh khayalan tahyol itu. Bagi Pak Kamat tentulah sukar mahu menerangkannya bila ayah saya tidak percaya akan kata-katanya.
Hari itu sekali lagi hujan panas turun. Semua pekerja berlindung di bawah rumpun aur berdekatan. Sekali lagi Pak Kamat melihat kepulan asap datang dan terdiri lembaga manusia yang tinggi, kepalanya sampai mencecah ke awan. Seperti semalam juga lembaga itu datang menuntut janjinya. Ketika ini Pak Kamat teringat akan kata-kata ayah saya mahu bertemu dengan sahabatnya itu. Tetapi Pak Kamat tidak sampai hati mahu memberitahu perkara tersebut. Lagipun dia sudah lama berkawan dengan ayah saya. Hubungan mereka sudah macam adik beradik. Dia tahu ayah saya cuma bergurau saja semasa bercakap demikian. "Awak berilah kawan berfikir sehari dua..." Pak Kamat menengadah hantu tinggi yang menjelma dalam kepulan asap. "Awak nak suruh Bilal Hud lawan kawan?" jerkah lembaga tersebut marah. "Heh, awak jangan macam tu!" terkejut juga Pak Kamat kerana lembaga itu dapat mengagak apa yang tersirat di hatinya. "Awak jangan nak menipu kawan, Kamat" bentaknya semakin marah. "Fasal Bilal Hud awak lupa beri kawan makan..." dia mengingatkan Pak Kamat lagi. "Awak jangan mungkir janji, Kamat. Nanti awak juga yang susah" tegas lembaga itu memberi amaran.
Pak Kamat bertambah gementar. Dia semakin takut mendengar amaran yang diberikan. Selama ini dia sentiasa mematuhi apa saja kehendak sahabatnya. Dia tahu padahnya kalau membantah. Memang perkara ini tidak dapat diterangkannya kepada sesiapa saja, kerana pertemuan dia dengan sahabatnya tidak dapat disaksikan dengan pancaindera biasa. Tentulah semua orang menganggapnya tahyol belaka, seperti ayah saya menganggap dia. Bagaimanapun orang-orang kampung heran juga melihat keadaan dirinya. Walaupun umurnya sudah meningkat lebih lima puluh tahun, tetapi susuk badannya masih tampan. Malah dia kelihatan seakan-akan sebaya dengan anak lelakinya sendiri yang sudah berumur tiga puluh tahun. Dia juga boleh mengangkat barang yang berat-berat seperti batang sagu yang tidak dikerat-kerat, kayu tiang jambatan dan sebagainya. Kekuatan dan ketampanannya memang mengkagumkan orang. Tetapi orang tidak tahu rahsia di sebalik kekuatan dan ketampanan dia selama ini.
"Fasal Bilal Hud, awak lupakan kawan!" bentak lembaga tinggi di dalam kepulan asap itu. "Bukan, dia tak ada kena mengena" Pak Kamat mempertahankan ayah saya. "Kalau awak tak berkawan dengan dia, tentu awak tak lupa nak beri kawan makan..." katanya mengingatkan Pak Kamat. "Tidak, bukan salah dia" ujar Pak Kamat serba salah. "Kawan yang salah. Berilah kawan tempoh berfikir sehari dua lagi" jelasnya cuba mententeramkan kemarahan sahabatnya itu. Selepas itu asap berkepul itu hilang dari pandangan mereka yang sama-sama berteduh di bawah rumpun aur. Mereka tidak sedar bahawa kepulan asap itu ialah jelmaan hantu tinggi yang hanya dapat dilihat oleh Pak Kamat. Setelah kabus tebal itu hilang, hujan panas juga turut berhenti. Mereka kembali membuat kerja masing-masing. Seperti semalam juga Pak Kamat balik dulu kerana tidak sihat badan. Ayah saya terus menggantikannya mengawas pekerja-pekerja. "Kalau kawan tak datang esok, awak sajalah teruskan Bilal" pesannya semasa mencapai basikal untuk balik ke rumah. "Kalau Abang Kamat tak sihat, berehatlah di rumah dua tiga hari dulu" beritahu ayah saya. Kesihan juga dia melihat Pak Kamat seperti orang tidak siuman setiap kali hujan panas turun.
Esoknya memang Pak Kamat tidak datang. Ayah saya menjangka tentulah Pak Kamat sakit. Sejak semalamnya lagi dia sudah melihat Pak Kamat tidak cukup sihat. Mukanya pucat dan sentiasa rusuh tidak tenteram. Bagaimanapun kerja-kerja menggali sungai diteruskan juga. Ayah saya mahu kerja-kerja itu disiapkan seperti yang telah dijanjikan. Paginya apabila dia dan pekerja-pekerjanya sampai di tempat kerja didapati pasir yang sudah dinaikkan ke tebing semuanya sudah ditolak semula ke dalam sungai. Pasir sudah bertimbun semula di dalam sungai. Sekurang-kurangnya memakan masa seminggu untuk mengangkutnya naik ke tebing semula. Bermakna kerja mereka bertambah lewat seminggu.
"Macam mana ni Bilal...?" salah seorang yang bekerja di situ bernama Usin Rimau bertanya. Heran juga dia bagaimana pasir-pasir tersebut boleh dikaut semula masuk ke sungai. Kalau kerja manusia tentu sekurang-kurang tiga puluh atau empat puluh orang yang melakukannya. Ayah saya juga heran. Bagaimanapun dia menyuruh mereka semua mengangkut semula pasir naik ke tebing. "Susah kita macam ni, Bilal" kata Usin Rimau lagi. "Kita buat ajelah kerja kita" ayah saya mententeramkan pekerja-pekerja yang naik radang melihat keadaan tersebut. Hari itu mereka terus bekerja seperti biasa. Terpaksa bersusah payah mengangkut semula pasir naik ke tebing. Sama ada lambat atau cepat siap kerjanya mereka sudah tidak peduli lagi. Tetapi yang bermain di fikiran mereka siapakah punya angkara yang melakukannya. Petangnya apabila mereka balik ke rumah semua perkakas-perkakas kerja mengaut semula pasir di tebing ke dalam sungai.
Tetapi anehnya apabila mereka datang lagi esok paginya, semua pasir yang ada di tebing sudah dikaut ke dalam sungai. Ayah saya mula mengesyaki sesuatu. Tidak mungkin ianya dilakukan oleh manusia. Adalah mustahil manusia datang pada sebelah malam semata-mata mahu mengaut pasir di tebing dimasukkan ke dalam sungai. "Tak apalah petang nanti aku jumpa Pak Kamat" ujar ayah saya kesal dengan kejadian tersebut. "Lebih baik kita intai saja malam ni Bilal" Usin Rimau mencadang. Geram juga dia kerana ada orang berani mengganggu kerjanya. Kalau berani mengapa tidak berani melakukan ketika semua pekerja-pekerja ada di situ. Mengapa mesti bersembunyi kalau mahu tunjuk keberanian?
"Awak semua letih..." ayah saya tidak mahu menyiasatnya. Dia bimbang kalau bertemu dengan orang yang melakukan tentulah terjadi pergaduhan. Masakan pekerja-pekerja yang sudah berpenat lelah itu dapat menahan sabar, bila ada orang cuba mengkhianati kerja mereka. "Awak semua letih, buat apa nak berjaga-jaga malam hari. Ini semua kerja aku dengan Pak Kamat, serahkan saja pada kami" kata ayah saya meminta Usin Rimau bertenang. Tempat mereka mengangkut pasir itu memang jauh dari kampung, kira-kira sebatu jaraknya ke pinggir hutan. Sudah tentulah bukan kerja orang-orang yang tinggal di kampung mahu ke situ semata-mata mahu mengkhianati kerja mereka. Lagipun siapa orang yang berani memperolok-olokkan kerja Pak Kamat, kerana mereka semua tahu projek mengangkut pasir itu kepunyaan Pak Kamat. "Kawan seorang pun sanggup mengintainya, Bilal..." Usin Rimau menggertap bibir sambil menggenggam hulu parangnya. "Biar malam ni kawan intai, kawan nak lihat jantan siapa berani mengganggu kerja kita" ujarnya bersemangat.
Semua pekerja-pekerja itu sanggup menyiasat siapa yang mahu melakukan kerja mengaut semula pasir ke dalam sungai. Mereka serentak bertekad akan menentang musuh yang mengkhianati mereka. Soal sudah letih kerana bekerja seharian tidak perlu difikirkan. Mereka tidak mahu tenaga mereka menjadi sia-sia akibat perbuatan orang yang mengkhianat. Mahu tidak mahu ayah saya terpaksa mengalah. Dia juga bersetuju untuk sama-sama menyiasat. Kalau kerja manusia, apakah tujuan mereka melakukannya? Siapakah yang menyuruh? Apakah faedahnya? Adakah mereka mendapat keuntungan apabila mengganggu kerja-kerja tersebut. Kalaulah kerja itu cepat siap tentu semua orang kampung akan senang. Kerajaan akan membina empangan batu di situ yang boleh menampung pengairan ke sawah meliputi satu mukim yakni termasuk beberapa kampung seperti Kampung Tegom, Kampung Gasing, Kampung Cendak, Kampung Lepam, Kampung Tangah dan Kampung Hilir. Pesawah-pesawah tidak perlu lagi menggunakan empangan papan menampung air dari anak-anak sungai kecil bagi mendapatkan bekalan air.
Kadangkala terpaksa berkongsi tujuh lapan orang untuk membina empangan papan. Sawah mereka juga kekurangan air kecuali di bahagian berhampiran dengan anak-anak air. Tetapi rancangan mendirikan empangan batu itu boleh mengairkan kawasan tinggi, yang selalunya tidak dapat ditanam padi kerana tidak dapat air. Alangkah baiknya kerja-kerja untuk mempercepatkan pembinaan empangan batu tersebut. Sebab itu ayah saya tidak percaya orang-orang dari kampung yang melakukannya. Walau bagaimanapun kerana Usin Rimau dan kawan-kawannya sanggup menyengkang mata untuk menyiasat, ayah saya juga bersedia mengikut kemahuan mereka. Di samping itu mereka juga tidak mahu memberitahu Pak Kamat, kerana orang tua itu masih tidak sihat. Mereka tidak mahu mengganggu Pak Kamat, mana tahu penyakitnya akan bertambah teruk bila mendengar kejadian yang menimpa pekerja-pekerjanya.
Kira-kira jam 11 pagi hujan panas turun lagi seperti beberapa hari sebelumnya. Mereka semua berteduhan di bawah rumpun aur yang berhampiran di situ sementara menunggu hujan panas berhenti. Tidak lama kemudian ayah saya merasa sakit kepala. Dia memberitahu Usin Rimau kepalanya terlalu sakit bagaikan ditusuk dengan besi tajam. Tiba-tiba saja ayah saya pengsan tidak sedarkan diri menyebabkan semua pekerja-pekerja kelam-kabut. Sebaik saja hujan panas berhenti Usin Rimau pun menyuruh kawan-kawannya tinggalkan saja kerja dan membawa ayah saya balik ke rumah. Sampai di rumah ayah saya masih belum sedarkan diri. Satu hari satu malam keadaannya tetap tidak berubah. Memandangkan keadaan semakin tenat, nenek saya menyuruh panggilkan saja Pak Kamat. Cuma Pak Kamat saja di kampung itu yang dikenali sebagai pawang. "Pak Kamat pun sakit..." beritahu Usin Rimau. "Kalau begitu panggilkan Mahat" kata nenek saya seterusnya. "Agaknya Mahat boleh mencuba-cubakan..." jelasnya supaya diberitahu segera Pak Tua Mahat saya, iaitu anak nenek saya yang tua.
Dalam masa Usin Rimau masih teragak-agak mahu memanggil Pak Tua Mahat, Tok Aji pun sampai bersama nenek saya sebelah ayah. Mereka berdua sudah pun diberitahu mengenai ayah saya yang tiba-tiba saja pengsan. "Macam mana anak kita ni besan?" tanya Tok Aji pada nenek saya. "Entahlah Aji..."sahut nenek saya rusuh. "Kena dekat tempat dia mengangkut pasir itulah. Tak semena-mena hujan panas kata Usin, lepas tu teruslah dia tak sedar diri" beritahu nenek. Tidak lama kemudian Usin Rimau pun terus memanggil Pak Tua Mahat. Apabila dia sampai nenek pun menyuruh Pak Tua Mahat mengubati ayah saya yang terlantar tidak sedarkan diri.
No comments:
Post a Comment