Tok Awang Ngah - Siri Berkelahi Dengan Syaitan
10.Dikejar Orang Tua Berserban Kuning
DEMIKIANLAH diberitahu oleh Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar. Dari apa yang diceritakan oleh Meon itu saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara perubatan tradisional. Kalau dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga, bertih direndang, kemenyan dan sebagainya.
Cara yang dilakukan oleh Ulung Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji. Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, Tok Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri. Sebab itulah saya berminat sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.
Saya datang ke rumah Meon di Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah dia akan balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya. Ulung Bahar hanya menggunakan doa-doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya menggunakan jampi mentera. Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih, kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang lazim digunakan oleh dukun-dukun. Inilah persamaan yang dapat saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.
"Macam ustaz buat apa lagi jumpa Ulung Bahar..." kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.
"Orang macam tu patut kita jumpa" jelas saya lalu duduk. "Orang tua banyak pengalaman..." ujar saya tertawa.
"Saya agak orang macam ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa" isteri Meon menyampuk.
"Ah, apa sangat saya ni..." saya serba salah bila dikatakan begitu.
Sebenarnya saya baru setahun mengenali Meon dari seorang kawan. Kawan saya itu mengidap sakit lelah beberapa tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit lelahnya itu sudah beransur baik. Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan Meon. Dari Meon pulalah saya mendengar cerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga kelelakian itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia merasa pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada mulanya saya tidak berniat untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita mengenai beberapa kisah di kampungnya yang melibatkan Ulung Bahar, saya tertarik hati pula mahu mendengarnya.
Kata Meon, satu waktu dulu kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga hitam ini akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya. Kebanyakan wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya dibukakan pakaian wanita berkenaan, kemudian dia melarikan diri. Bagaimanapun Ketua Kampung enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu menangkap sendiri, siapakah yang melakukannya.
Seorang janda beranak terjerit bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya hanya sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh lembaga berkenaan. Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari meninggalkan wanita tersebut dia memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu. Satu malam sampai lima enam orang diganggunya. Dia tidak peduli sama ada anak dara, janda atau isteri orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan wanita tersebut dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.
Anehnya rumah-rumah yang berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya. Apabila diberitahu pada Ulung Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan. Katanya sukar juga mahu memerangkap lembaga hitam itu, keran tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya.
"Kalau kita tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia..." jelas Ulung Bahar.
"Apa tujuannya lembaga hitam ni Ulung?" Ketua Kampung hairan dengan suasana yang melanda kampung.
"Ah, ilmu sesat. Ilmu orang tak ingat Allah..." beritahu Ulung Bahar selamba.
Bagaimanapun tiap-tiap malam Ketua Kampung mengarahkan penduduk-penduduk kampung berkawal malam. Lembaga hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan dia akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan. Sebenarnya Ulung Bahar boleh memerangkap lembaga hitam berkenaan sekiranya mendapat kerjasama dari penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk-penduduk kampung sendiri tidak mahu bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka membaca Yassin beramai-ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk mengganggu.
Tetapi sebahagian besar penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu. Mereka mahu tahu siapakah orangnya yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar enggan menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap lembaga hitam tersebut, maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak Musiro. Pak Musiro mendakwa dialah yang menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang kampung. Mengikut cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu ghaib. Bila ditanya siapakah pemuda berkenaan, Pak Musiro tidak mahu menerangkannya.
"Nantilah, bila dapat kita tangkap, kalian semua akan tau..." kata Pak Musiro.
Pak Musiro ini dipercayai memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap oleh askar-askar Jepun. Tetapi askar-askar Jepun tidak menemuinya. Semasa darurat juga gerila komunis mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia bersembunyi. Satu hari seekor babi hutan telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi apabila terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak Musiro. Sempat pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi itu sampai tersungkur mati.
Mungkin kerana mendengarkan cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat mempelajari ilmu ghaib dari orang tua tersebut.
"Ilmu ghaib macam mana yang kau nak belajar?" tanya Pak Musiro.
"Ilmu ghaib yang ada pada Pak Musiro" sahut pemuda berkenaan.
"Ilmu ghaib ni ilmu jahat..." beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu. "Tetapi kalau mahukan ilmu supaya tidak ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin" dia menerangkan selanjutnya.
"Saya bukannya ada musuh..." kata pemuda itu tersengih-sengih.
Pak Musiro telah menerangkan satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut tidak jadi meneruskan uasahanya mahu menuntut ilmu ghaib. Lagi pun Pak Musiro bukanlah bersungguh-sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia sendiri tidak pernah melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.
Kata Pak Musiro. "Kalau kau berani cubalah".
"Cuba macam mana?" pemuda itu mendesak.
"Aku ingat lebih baik tak usah" dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.
"Saya sanggup buat apa pun Pak Musiro" tegas pemuda berkenaan.
Akhirnya Pak Musiro mendapat satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup melakukannya. Memang kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang disebutkan oleh Pak Musiro.
"Apabila ada orang mati, kau ambil abuk papan lahad yang diketam. Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu dimandikan dan taburkan abu papan itu di kepala..." ujar Pak Musiro tersengih-sengih kerana pemuda tadi percaya sangat dengan apa yang dicakapnya.
"Lepas tu apa saya nak buat?" tanya pemuda berkenaan dengan yakin.
"Kalau ada apa-apa datang, kau curilah apa saja barangnya" kata Pak Musiro seterusnya.
"Lagi..." pemuda tersebut sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.
"Kalau ada sesiapa mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang" ujar Pak Musiro.
Pemuda itu mengangguk lemah. Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan oleh Pak Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk melemahkan semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib. Bagi Pak Musiro orang yang akan mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah keluarga si mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian semasa si mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila memberitahu demikian.
Selepas itu Pak Musiro tidak tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi. Apabila orang-orang kampung gempar dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya, Pak Musiro mula teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu. Hanya orang yang melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan orang ramai. Orang-orang kampung menjadi bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa mengikut lubang yang boleh ditembusi angin. Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan tingkap, dia boleh masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.
Setelah berjanji untuk menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk air yang diambil dari tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu datang ke rumahnya dan akan menggunakan 'pasung bumi' iaitu ilmu kebatinan yang mengunci musuh tidak dapat mencari jalan keluar untuk melarikan diri. Penduduk-penduduk kampung yang ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar rumah Pak Musiro. Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.
Kira-kira jam 9 malam, Pak Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada setiap biji limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis bunga. Kemudian Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit membaca mentera. Lama dia membaca menteranya, tiba-tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka terdengar bunyi pergelutan di sekitar rumah itu. Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro membakar kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar kemenyan yang siap dijampi oleh Pak Musiro.
Orang ramai mahu membantu tidak dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut. Hanya barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh. Mereka semua menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam pergelutan itu. Dalam masa mereka tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak Musiro menahan kesakitan. Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.
Pak Musiro terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas melihatkan Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam yang mengganggu penduduk-penduduk kampung selama ini. Dua hari Pak Musiro tidak sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak. Kuku kaki dan tangannya sudah menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh isteri Pak Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini tidaklah menganggap Ulung Bahar sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri tidak suka dirinya dipanggil dukun seperti Pak Musiro.
Jiran-jiran masih ramai berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung juga ada sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak Musiro yang sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan penduduk-penduduk kampung. Ulung Bahar memegang kepala Pak Musiro. Kesan calar-balar di tunbuhnya juga menjadi lebam.
"Musiro bernasib baik..." keluh Ulung Bahar perlahan. "Dia hampir berjaya, tetapi tak ada orang membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan" katanya macam kesal. Kekesalan yang terpancar di mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak Musiro semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti Pak Musiro menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan, sudah tentu Pak Musiro lebih mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.
"Minta aku air sejuk segelas..." Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air. "Meon, ambil wudhuk" perintahnya lalu berpaling pada Meon. Tidak bertangguh Meon mengambil wudhuk. "Azan..." katanya lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro. "Jangan berhenti selagi aku tak suruh" dia memberitahu Meon. Meon pun azan seperti yang disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di depannya. Ulung Bahar tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.
"Bodoh!" itu saja yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar. Selepas itu mereka melihat mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.
Sebenarnya Ulung Bahar sudah ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua berserban kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Budha. Apabila mereka berdua nampak Ulung Bahar mereka cuba melarikan diri. Ketika ini Pak Musiro sudah menunggu di muka pintu, lalu mereka bertarik-tarikan. Sebelah tangan Jalit ditarik oleh lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak Musiro.
"Kau ajar dia jadi jahat!" pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.
"Bukankah kau yang suruh dia datang kepada aku?" lelaki tua itu mengejek.
"Aku tak suruh...!" sahut Pak Musiro marah.
"Jangan pula kau berdalih" lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro. "Kau suruh dia datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!" ujarnya masih memaut tangan Jalit. Sementara Jalit pula menjadi bingung tidak bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua berserban kuning dengan Pak Musiro. Terkejut juga Pak Musiro bila dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa pun.
Semua pertengkaran ini dilihat oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu ialah Jalit dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua berserban kuning itu tidak menanggung apa-apa kecederaan. Setiap tendangan kaki Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki itu semuanya menuju ke sasaran dada Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi pelindung lelaki tua berkenaan apabila Pak Musiro membuat serangan.
"Jalit cakapkan siapa yang suruh kau datang menemui aku?" soal orang tua berserban kuning.
"Pak Musiro..." beritahu Jalit.
"Jangan berdusta Jalit!" marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.
"Bukankah Pak Musiro menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?" Jalit mengingatkan Pak Musiro. "Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku ambil abunya. Pak Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro suruh aku taburkan abu kulit papan ke kepala aku...!" jelasnya bergema memukul gendang telinga Pak Musiro.
"Cukup...!" pekik Pak Musiro marah. Merah padam mukanya bila mengingatkan balik peristiwa dia menipu Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa-rupanya Jalit betul-betul melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.
Sebaik saja diberitahu oleh Pak Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada Pak Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan diri sendiri. Sama ada ajaran guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan. Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang disuruh oleh Pak Musiro kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.
Kebetulan tidak lama kemudian ada orang meninggal dunia di kampung itu. Jalit terus menziarahi si mati dengan nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro. Semasa orang mengetam papan untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan membawa ke lubang sampah. Pada penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin membantu dengan membuangkan sampah tersebut. Di situ dia membakar sampah papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia menunggu sehingga mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari. Orang ramai tidak menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan mayat hendak dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh ke bawah rumah, teruslah menimpa kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu sampah papan diketam.
Belum pun selesai mayat itu dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi bersamanya. Lelaki itu tidak bercakap sepatah pun. Sebelum masuk mandi bersama dengan Jalit, dia meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala tongkatnya tetap dipegang di tangan. Jalit memerhatikan apakah barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya terlintas di kepalanya untuk melarikan serban yang tersangkut pada gelegar rumah. Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak dipakainya.
Setelah melihat orang tua itu asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai serban kuning yang tersangkut di gelegar. Serentak dengan itu dia mendengar orang tua itu menjerit memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat hati menuju ke arah sungai. Dia sempat menyeberang sungai. Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat menyeberang.
"Pulangkan serban aku!" pinta orang tua tersebut.
"Tidak..." sahut Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama mandi air mayat tadi. "Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau marilah menyeberang sungai ke sini..." dia megejek-ngejek.
"Memang aku nak beri kau" orang tua itu tersenyum. "Memang aku tau kau berhajat sangat hendakkan ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya" beritahu orang tua itu.
"Apa syaratnya?"
"Senang saja..."
"Kalau aku tak ikut syarat?"
"Aku ambil semula serban"
"Ah! aku tak percaya!" Jalit cuba mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang tua tersebut.
Orang tua itu menunding jarinya ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari tangan Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan orang tua berkenaan. Ternyata dia tidak dapat melawannya. Jalit tidak mempunyai apa-apa kelebihan bagi mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh Pak Musiro dengan tidak bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.
"Sekarang kau percaya atau tidak?" tanya orang tua itu ketawa berdekah-dekah mengejek Jalit.
Pucat muka Jalit. Dia percaya dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan mudah dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat melarikan diri.
"Aku percaya..." sahut jalit lemah. "Cakaplah apa syaratnya?" tanya Jalit mengharapkan pertolongan dari orang tua tersebut.
"Kau mesti mencabul 44 orang perempuan!" ujar orang tua itu memberikan syaratnya. "Tetapi ingat, kau tidak boleh menodai seorang pun..." katanya memberi amaran.
Lama Jalit berfikir sama ada mahu menerima syarat tersebut atau tidak. Alang kepalang dia sudah pun hampir mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.
"Ingat 44 orang perempuan dalam masa dua minggu!" tegas orang tua itu lagi.
"Baiklah, aku sanggup" Jalit memberi pengakuan.
"Kau mesti tandakan sebagai bukti kau telah mencabulnya!" katanya lagi.
"Baiklah!" sahut Jalit tegas.
Serban kuning itu dipulangkan semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya boleh berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana dapat memenuhi maksudnya.
"Kalau kau tak berjaya mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula" beritahu orang tua itu menghilangkan diri dari pandangannya.
Untuk memenuhi tuntutan itulah Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban kuning itu. Apabila dia balik ke rumah hari itu dia telah bertemu Meon sedang mengembala lembu masuk ke kandang. Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing mencari suara Jalit yang memanggilnya. Apabila serban itu ditanggalkan barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang dipegang di tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga hitam mengganggu perempuan. Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang perempuan telah dicabul. Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa mengakui bahawa mereka tidak dinoda oleh lembaga hitam tersebut.
Hinggalah Jalit tidak dapat mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro. Dia sudah berjaya mencabul hampir 30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah kalah kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang menjelma. Orang tua itu memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro. Terpaksalah Jalit menentang Pak Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro terlalu keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua berjubah kuning itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya lalu sama-sama menyerang Pak Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak berdaya lagi untuk bangun menentang.
Jalit juga mendapat cedera parah. Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang menolongnya. Hinggalah Ulung Bahar datang menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga untuk melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.
"Kenapa kau lari?" jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas menarik Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro. "Kau takut pada aku?" kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya ke lantai rumah. Terpekik jalit bila Ulung Bahar menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa berdekah-dekah bila Jalit terpekik.
"Kau takkan menang Bahar..." ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.
Pak Musiro juga masih memaut tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua berkenaan. Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu, tentulah mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi. Syaitan yang menjelma sebagai orang tua itu berjaya menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila diserang oleh manusia. Tetapi Ulung Bahar bukan semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan rumah Jalit. Pak Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran bertambah kuat.
"Musiro, kuatkan zikir kau..." Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke telinganya. Pak Musiro mengangguk. Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat Allah. Ketika ini dia merasa gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung Bahar azan. Hanya orang tua itu saja terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.
"Nanti..." orang tua itu merayu meminta Ulung Bahar berhenti azan. Tetapi tangannya tetap berpaut pada Jalit.
"Lepaskan Jalit dulu..." perintah Ulung Bahar. Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin galak Ulung Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah Jalit. Orang tua itu terumbang ambing macam bertih direndang dalam kuali terlompat ke kiri ke kanan.
"Tolong berhentikan! Aku tau kau tak sama dengan Musiro. Aku kalah dengan kau, tolong..." rintihnya memanjang.
"Lepaskan Jalit dulu..." tegas Ulung Bahar. Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar tidak akan berhenti azan. Tidak tahan dengan gegaran yang semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit tidak bersalah. Jalit hanya terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh syaitan.
"Aku tak bermusuh dengan kau" gerutu orang tua itu marah. "Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan saja Musiro melawan aku" ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.
"Kalau kau tak mahu bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau" sindir Ulung Bahar.
"Jangan! Aku tak mahu bermusuh dengan kau...!" sahut orang tua itu lemah.
"Aku nak bermusuh dengan kau...!" jerkah Ulung Bahar.
"Mengapa pula?" dia sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung Bahar.
"Memang syaitan musuh aku!" balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.
"Aku nak berlawan dengan Musiro..." beritahu orang tua itu lagi.
"Kenalah langkah mayat aku dulu!" Ulung Bahar terus mencabar.
Orang tua itu berlegar-legar mahu menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak Musiro menendang dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini dia tidak dapat lagi menggunakan Jalit sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan akibat tendangan kuat dari Pak Musiro. Marah benar dia ditendang oleh Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia menerkam tetapi sempat dielak dengan pantas oleh Pak Musiro.
"Di depan Bahar kau memang handal..." bentak orang tua itu marah.
"Baca Fatihah Musiro..." bisik Ulung Bahar.
Pak Musiro membaca Fatihah tiga kali. Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti uri gasing berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang itu. Lama dia diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak Musiro.
"Sekarang kau nak lawan Musiro lagi?" kata Ulung Bahar mengejeknya.
Orang tua itu tidak dapat bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi. Ternyata dia terlalu lemah untuk bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro. Walaupun Pak Musiro dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila kalah dia akan berundur buat sementara dulu. Kemudian akan datang semula mengganggu. Tetapi dengan Ulung Bahar dia tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat diekori oleh Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat-dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu dengan Ulung Bahar.
"Sekarang kau lawanlah Musiro..." ulangi Ulung Bahar.
"Kau tolong dia, fasal itu aku tak terlawan" rintihnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.
"Aku tak tolong dia, kau yang tak terlawankan dia" Ulung Bahar mengejeknya.
Orang tua itu bangun terhuyung hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu menerkam, Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas, Pak Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke arah orang tua itu. Jerit orang tua itu bergema menahan kesakitan. Pak Musiro melihat orang tua tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya. Apabila dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya. Malam itu juga Pak Kadut ayah Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak nafas tiba-tiba. Alangkah terperanjatya dia bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit. Bagaimanapun Ulung Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu hendaklah diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.
"Itulah ceritanya ustaz..." kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut ilmu. Sebelum saya balik malam itu, kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu balik terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk ke bilik bila mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya dia keluar semula dalam keadaan cemas.
"Jangan balik dulu ustaz..." katanya rusuh. "tolong tengokkan Simah dulu" ujarnya tidak ketahuan.
"Astaghafarullah hala'zim..." keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.
No comments:
Post a Comment