SALAH sebuah Kesultanan Islam-Melayu yang berperanan besar dalam
penyebaran dakwah Islam di Indonesia ialah Kesultanan Siak Sri
Inderapura. Kesultanan ini diasaskan pada 1723 oleh Raja Kecil (mendakwa
sebagai putera Sultan Mahmud II, pemerintah Johor) yang bergelar Sultan
Abdul Jalil Rahmat Syah.
Kesultanan ini terletak di Negeri Buantan, kira-kira 10 km di hilir
kota Siak Sri Inderapura (sebelah timur laut Pekanbaru). Kesultanan Siak
Sri Indrapura merupakan salah satu pusat penyebaran agama Islam di
Sumatera Timur. Kesultanan ini mencapai kemuncak kegemilangannya semasa
pemerintahan Syed Ali Abdul Jalil Saefuddin dengan wilayah kekuasaan
yang cukup luas.
Kesultanan Siak Sri Inderapura berakhir pada 1946 apabila Sultan
Syarif Qassim II menyerahkan kuasa kepada pemerintahan Indonesia.
Pertengahan abad ke-18, Islam berkembang di Siak dengan pengaruh
seorang pendakwah Islam dari Arab, Syed Uthman. Dia berkahwin dengan
puteri Sultan Alamuddin. Daripada keturunannya muncul Kerajaan Syed
Uthman dan sejak itu Sultan bergelar Syed.
Perjanjian damai Siak
Pada zaman pemerintahan Abdul Jalil Muzhaffar Syah (1746-1760),
putera Abdul Jalil Rahmat Syah, Siak berperang dengan Belanda pada 1752.
Siak memenangi peperangan ini dan berjaya memaksa Belanda supaya
berundur.
Bagaimanapun, pada 1858, Siak terpaksa menandatangani Perjanjian
Damai Siak akibat kelemahan sultan yang memerintah dalam usaha
menghadapi Belanda. Kandungan perjanjian damai itu antaranya termasuklah
autonomi Kesultanan Siak diiktiraf oleh Belanda tetapi beberapa daerah
taklukannya harus diserahkan kepada Belanda.
Kesultanan Siak mengalami kemunduran kerana perjanjian ini. Melalui
Perjanjian Damai Siak, Siak perlu menyerahkan beberapa daerah
taklukannya kepada Belanda. Pada masa itu, Siak mempunyai 12 wilayah
taklukan: Kota Pinang, Pagarawan, Batu Bara, Badagai, Kualiluh, Panai,
Bilah, Asahan, Serdang, Langkat, Temiang, dan Deli.
Istana Asserayahtul Hasyimiah
Salah satu peninggalan Siak Sri Inderapura ialah Istana Siak (Istana
Asseryahtul Hasyimiah) yang terletak kira-kira 200 meter dari
tepian/tebing Sungai Siak. Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim.
Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim. Di istana ini tersimpan
barang bersejarah seperti kerusi kerajaan, pendua mahkota, baju
kebesaran dan kelengkapan penobatan sultan. Istana Siak kini diJadikan
muzium dan menjadi salah satu tumpuan pelancong di Riau.
Syarif Qasim 11
Sultan Siak terakhir, Syed Syarif Qasim 11, memerintah dari 1908
hingga 1946. Baginda berjasa dalam pengembangan pendidikan dengan
mendirikan HIS (1915) untuk anak peribumi dengan tidak membezakan status
sosial dan mendirikan Madrasah al- Hasyimiah (1917).
Untuk itu, baginda membawa guru dari Sumatera Barat dan al-Azhar,
Kaherah. Untuk wanita, baginda mendirikan Latfah School (1926) dan
Madrasah an-Nisa (1929). Pada 16 September 1973, nama Syarif Qasim 11
diabadikan sebagai nama lain Pekanbaru, Riau.