TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
038. DITIMPA BADI RUSA JANTAN
Tergerak juga di hati Mail Togok mahu membawa isterinya
Kimah balik sahaja ke rumah, tetapi bimbang jua dia kalau keluarga isterinya
akan salahkan pula dia. Memanglah dia berhak pada diri Kimah sebagai isterinya,
namun dalam keadaan Kimah terbaring di katil hospital, dia perlukan juga
pandangan sanak saudara. Manalah tahu perkara buruk berlaku, tentu siapa pun
tidak boleh disalahkan.
Sudah lama sangat Kimah terlantar di katil hospital sejak
hampir sebulan dimasukkan ke wad. Terpaksa juga Mail Togok bawa isterinya ke
hospital dengan tidak memberitahu sanak saudara terlebih dahulu. Manalah dia
dapat menahan sabar tatkala Kimah mengerang-ngerang di tengah malam menangung
sakit kepala.
Sampai menghempas-hempaskan badan Kimah mengerang disebabkan
kepalanya berdenyut-denyut sakit bagaikan ditusuk mata kapak. Memang Kimah
sudah beberapa kali mengadu pada suaminya fasal kepalanya sakit tidak menentu.
Apabila ditelan sahaja pil panadol sakit kepala itu hilang serta-merta.
"Ambilkan aku pil," keluh Kimah terkapai-kapai
tangan disebabkan Mail Togok terkial-kial menyelak laci almari, tetapi tidak
menemui apa-apa.
"Awak letakkan di mana?” rungut Mail Togok setelah puas
mencari pil yang diberitahu oleh isterinya.
"Takkan dah habis." gerutu Kimah menahan kesakitan
yang kian menyesak." Aku sendiri yang simpan dalam laci almari tu,"
tegas Kimah terketar-ketar tidak dapat mengangkat kepalanya.
Terpaksa pula Mail Togok menyuruh anaknya cari di dapur.
Boleh jadi Kimah terlupa disebabkan menahan kesakitan. Memang pil yang
diberitahu oleh Kimah itu diletakkan dalam almari lauk di dapur. Cepat-cepat
Senah bawakan pil berkenaan kepada emaknya.
Sebaik sahaja Kimah telan pil yang diunjukkan kepadanya, dia
semakin menggelepar menahan sakit. Sebab itulah Mail Togok tidak sabar lagi
dengan keadaan Kimah. Lantas dia memapah isterinya masuk ke kereta dan terus
sahaja dihantar ke hospital.
Dalam masa seminggu sahaja Kimah terlantar di hospital,
kulitnya yang putih kuning sudah berubah menjadi hitam bagaikan daun pisang
dilayur. Tetapi doktor tidak memberi apa-apa penjelasan mengenai penyakit yang
dihidapi oleh Kimah itu.
Sebab itulah saudara mara Kimah mula mendesak supaya Mail
Togok membawa sahaja isterinya balik ke rumah. Tetapi Mail Togok bimbang
sekiranya Kimah dibawa keluar sebelum pihak hospital putuskan supaya balik.
Siapa yang akan merawat Kimah kalau dia berkeras meminta dikeluarkan sahaja
dari hospital?
"Macam mana aku nak buat ni?" keluh Mail Togok
meluahkan rasa resahnya kepada kawan sepejabatnya Ali Ranggi
"Ah.. cubalah ikhtiar cara lain, " sengaja Ali
Ranggi memberi perangsang kepada kawannya biar Mail Togok tidak mudah putus
asa. Dalam saat demikian memang siapa pun mudah gelabah tidak menentu. Macam
mana mahu tenteramkan hati apabila kenangkan isteri terlantar di hospital.
“Ikhtiar apa lagi aku nak buat?” Mail Togok mengeleng lemah
kerana tidak dapat memikirkan apa-apa lagi.
“Berubat cara kampung pula,” beritahu Ali Ranggi
mengingatkan kawannya.
“Ah, mana aku nak cari dukun?” Mail Togok bagaikan orang
bodoh mengharapkan pertolongan daripada sesiapa sahaja. “ Aku bukan kenal
sangat dukun ni,” ujarnya perlahan seolah-olah mengharapkan belas ikhsan
kawannya itu.
Tersengih-sengih Ali Ranggi dengan sikap kawannya yang
semakin kebingungan. Hampir sebulan Kimah terlantar di hospital, badannya
semakin lemah. Setiap kali Ali Ranggi suami isteri datang menjengah, dia riang
berbual bagaikan tidak menanggung sakit apa-apa.
Hanya kulit badannya sahaja sudah bertukar menjadi kendur
dan hitam laksana daun pisang dilayur ke api. Memang Kimah tidak mengadu sakit
kecuali sendi-sendinya sahaja lenguh hingga terasa ngilu sampai ke tulang.
Selepas beberapa kali menjengah Kimah di hospital itulah Ali
Ranggi menelefon saya. Terkejut juga saya apabila pagi benar Ali Ranggi
menelefon sebelum saya habiskan wirid solat subuh. Selepas solat subuh dan
selesaikan wirid, segera saya menelefon dia semula. Manalah tahu ada perkara
mustahak hendak diberitahunya kepada saya.
“Isteri kawan saya sakit, Angah,” Ali Ranggi menjelaskan
dengan nada tersengih-sengih.
“Dah berubat, dah bawa pun ke hospital,” jelas Ali Ranggi
sepupu saya masih juga tersengih-sengih.
“Jadi apa masalahnya?” tegas saya mendesak.
Memang Ali Ranggi tidak bertangguh menelefon saya sekiranya
kawan-kawannya di pejabat menghadapi masalah keluarga mengadu hal kepadanya.
Disebabkan dia sepupu yang rapat hubungan dengan saya, seringkali dia akan
menelefon asal sahaja kawan-kawannya menghadapi masalah demikian.
Kadangkala rimas juga saya dengan hal yang tidak sudah-sudah
menimpa kawan di pejabatnya. Sampaikan barang kemas hilang pun dia akan meminta
Ali Ranggi hubungi saya bertanyakan di mana tersoroknya. Kadangkala mereka
macam desak pula seolah-olah saya tahu sangat meneka sama ada barang yang
hilang itu tersorok atau pun tidak.
Puas saya memberitahu tidak tahu, mereka tidak percaya pun.
Apalagi Ali Ranggi yang kerap-kali memberitahu mereka mengenai saya dapat
membantu. Sudah beberapa kali saya ingatkan Ali Ranggi supaya tidak bersikap
demikian, tetapi dia akan mendesak isteri saya pula.
“Isteri kawan saya tu, tak tahu apa sakitnya,” ujar Ali
Ranggi semacam memujuk. “Kulitnya kecut macam daun pisang dilayur,” suaranya
merendah seolah-olah menahan rasa terharu.
“Nantilah dulu, kalau lapang angah akan telefon kamu balik,”
sahut saya sengaja berdalih.
Memang saya tidak mahu memberi jaminan untuk melihat Kimah
di hospital, sekalipun Ali Ranggi mengaku perempuan itu mempunyai hubungan
keluarga di sebelah ayahnya. Perkara ada hubungan itu tidaklah menyebabkan saya
terdesak sangat mahu segera menjengah.
Apalah yang boleh saya lakukan apabila melihat perempuan itu
kejang di katil hospital. Saya sekadar boleh doakan sahaja memohon pertolongan
Allah semata-mata. Manalah ada upaya saya mahu membantunya tatkala Kimah
terkejang menanggung kesakitan demikian.
Selepas sahaja solat sunat dhuha, saya menunduk perlahan
merenung jauh ke dalam diri sambil berdoa dalam rasa gementar.
Fattahazat min dunihim hijaban fa arsalna ilaiha rohana
fatamath thala laha basyaran sawiya.
Saya ulangi sehingga dua puluh satu kali, hingga terasa
seoalah-olah diri saya tercampak ke wad hospital berdepan dengan Kimah yang
terkejang di situ.
Memang terkejut saya dengan keadaan kulitnya yang kendur
laksana daun pisang dilayur ke api. Puas yang mengagak puncanya masih juga
tidak dapat dituduh. Tetapi Kimah kelihatan gelisah bagaikan kepanasan apabila
saya tercegat di situ.
Setelah merenung seluruh tubuh Kimah lantas saya membaca
perlahan:
Walatad’u ma’ allahi ilahan akhara la ilaha illa huwa kulu
syai-in halikun illa wajhahu lahulhukmu wailaihi turja’un.
Sekaligus Kimah berpaling ke arah saya dengan wajah sayu.
Sekonyong-konyong ketika ini bayangan lembaga seperti asap
nipis menjelma di penjuru katil dengan mukanya bertopeng seolah-olah sangkar
besi. Puas saya merenung bayangan yang menjelma itu, tetapi masih tidak dapat
melihat wajahnya yang tersembunyi di sebalik topeng besi itu.
“Buat apa awak nak tunjuk pandai?” jerkah bayang seperti asap
nipis itu cuba merapati saya.
Apabila saya bacakan surah al-Ikhlas tiga kali dengan
menekan ibu jari ke tapak tangan, lembaga yang terbayang itu tercampak ke
penjuru. Dia menjadi marah disebabkan dirinya tercabar.
“Nampaknya awak ni nak tunjuk tinggi ilmu!” gerutu mengetap
bibir mengancam saya yang duduk tidak berganjak di sisi Kimah.
Saya mengeleng kepala. Biarlah dia cuba berdalih saya tetap
tidak mahu menyahut untuk melayaninya. Kalau saya bercakap sudah tentu dia
dapat melambat-lambatkan saya untuk terus membaca kalimat-kalimat Allah di
depannya.
Memang itulah yang sengaja dilakukan oleh bayangan lembaga
itu, supaya kalimat-kalimat Allah tidak dibacakan dihadapannya. Setelah bacakan Al-Fatihah tiga kali , lantas
saya mengisar tapak tangan dengan membaca:
Allahuma inna naj aluka fi nururrihim, wa na’uzubika min
syuru rihim.
Serentak dengan itu rantai besi merah laksana bara terhujam
dari udara menerjah ke tubuhnya. Lembaga itu terperangkap di penjuru bilik,
tetapi topeng besi di mukanya seolah-olah terkunci di bahagian tengkuk hingga tidak boleh
tertanggal lagi.
“Ah, awak buat macam mana pun, tak dapat kalahkan aku!“
bayangan lembaga itu mengejek sekali pun dia mengeliat-geliat akibat diterjah
rantai besi merah seperti bara menyala itu.
Saya tetap tidak menyahut apabila diejek demikian. Saya
ulangi membaca Al-Fatihah sampai 41 kali. Memang dia cuba juga menerkam ke arah
saya sambil pura-pura mampu mengerakkan tenaganya, sekali pun saya dapat
melihat keadaannya lemah terkil-kial.
“Awak dah lemah, jangan cuba nak berpura-pura!” sengaja saya
mengejeknya disebabkan bayangan lembaga itu berdegil mahu berlawan.
“Hah, awak fikir ilmu awak tinggi sangat?” dia mencebek
bibir dengan dendam yang membara di hati.
“Ilmu Allah meliputi segalanya!” sahut saya biar perasaannya
meluap-luap marah. “Bukalah topeng awak tu, buat apa nak sembunyi muka?” lantas
saya hembus ke mukanya dengam membaca 17 kali surah Al-Ikhlas dan Ayatul Kursi.
Dia tercengang – cengang tidak menentu apabila suara saya
bergema laksana guruh di udara.
Kemudian sedikit demi sedikit bayangan lembaga itu hilang
bersama asap menipis.
Ketika itu saya masih lagi duduk di atas sejadah sebaik
sahaja selesai solat sunat dhuha. Memang
saya terdengar bunyi telefon berdering di luar, tetapi saya tidak pedulikan
sangat. Biarlah isteri saya yang menyambutnya. Selalunya memang isteri saya
yang menyambut telefon apabila ada panggilan.
Saya mendengar isteri saya bercakap dengan Ali Ranggi
memberitahu kawannya Mail Togok baru menelefon
. Cemas sangat Mail Togok menelefon Ali Ranggi disebabkan Kimah
ketakutan tidak menentu. Kimah menuding jari ke penjuru bilik semasa Mail Togok
masuk, tetapi tidak bercakap apa-apa.
“Ali nak cakap dengan awak, ustaz” beritahu isteri
saya, “sebaiknya... jelasnya
menyampaikan pesan, Ali Ranggi ajak awak ke hospital,” yang ikut sama gelabah
selepas menerima telefon dari Mail Togok.
Saya mengangguk perlahan, tetapi terus duduk di kerusi
dengan tidak bersiap-siap menukar pakaian. Biarlah Ali Ranggi datang menjemput
ke rumah, saya tidak peduli apa. Kalau sekadar mahu doakan Kimah apa perlunya
saya datang menjengah ke wad hospital. Lagi pun saya bukannya dukun kalau
diminta untuk merawatnya.
Dimana-mana pun boleh doakan. Kalau diizinkan Allah doa itu
dimakbulkan sekali pun tidak datang menjengah. Sekiranya datang menjengah pun
belum tentu lagi Allah akan makbulkan doa itu.
Kadangkala mereka yang mendesak itu tidak memahami bahawa
doa seseorang itu hendaklah dengan rasa takut kalau-kalau tidak dimakbulkan
oleh Allah, dan dengan sepenuh harap supaya Allah makbulkan. Memang bimbang
juga saya sekiranya doa-doa itu tidak dimakbulkan maka orang akan memfitnah
saya pula.
Tetapi sukar sangat mahu menerangkan kepada mereka seperti
Ali Ranggi ini apabila saya enggan mahu datang menjengah. Kalau tidak kenangkan
dia sepupu, memang berat juga saya mahu memenuhi kemahuannya yang seolah-olah
mendesak itu.
Sama juga dengan Ucu Tunal yang diharapkan sangat oleh
orang-orang kampung di Kesang apabila diganggu syaitan. Kadangkala apabila
keluarga mereka dirasuk sampai meracau-racau, tidak tertangguh mereka memanggil
Ucu Tunal.
Siapa lagi diharapkan di kampungnya kalau bukan Ucu Tunal
yang mampu menghalau gangguan pelesit dan hantu raya yang merasuk. Anak Lebai
Jimin dianiayai orang sampai terasa digigit lipan di pangkal paha pun, Ucu
Tunal yang dijemput datang mengubat.
Memang Saenah gadis berumur 16 tahun itu nampak lipan bara
merah melekap di pangkal pahanya. Mengerekot lipan bara itu mencengkam dengan ekornya
terbalik. Beberapa kali ditepis oleh Saenah barulah lipan bara itu tercampak ke
lantai terus menyusup di bawah tikar.
Ketika Saenah terjerit kesakitan sempat dia memberitahu
emaknya, Utih Sumi mengenai lipan bara yang mengerkah pangkal pahanya, kemudian
menyusup dibawah tikar setelah terhumban ke lantai. Apabila dilingkupkan tikar
itu, Utih Sumi tidak melihat pun lipan bara di situ.
Sampai pitam Saenah akibat bisa gigitan lipan bara yang
menusuk di pangkal pahanya. Sebab itu cepat-cepat Lebai Jimin memanggil Ucu
Tunal untuk memulihkan. Siapa lagi boleh diharapkan untuk memulihkan Saenah
kalau bukan Ucu Tunal dukun di kampungnya.
Sebaik saja Ucu Tunal naik ke rumah, dia tersengih-sengih
memberitahu Saenah tidak digigit lipan bara. Lantas sahaja dia menuduh Saenah
sekadar dipermainkan orang. Hampir tidak percaya Utih Sumi kerana dia melihat
sendiri bekas gigitan lipan bara itu di pangkal paha anaknya.
Tetapi Ucu Tunal tidak salah meramalkan gangguan yang
menimpa Saenah itu. Setelah dia doakan pada daun sirih, terus disuruh lekapkan
pada bahagian yang digigit lipan bara itu. Sebaik saja Utih Sumi lekapkan daun
sirih itu tiba-tiba saja upih pinang yang diukir macam lipan bara tercampak ke
lantai dari bumbung rumah.
“Hah, itulah lipan baranya,” ujar Ucu Tunal menguis-nguiskan
upih pinang yang diukir macam lipan bara itu.
Serta merta pula Saenah pulih dari pitamnya. Dia mengaku
tidak mengalami apa-apa kesakitan, sekalipun sebelumnya dia terjerit-jerit
menangis.
“Balaskan pada orang menganiaya ni, Ucu!” lantas sahaja Utih
Sumi mahu berdendam.
“His, jangan biarkan syaitan menggoda,” segera Lebai Jimin
ingatkan isterinya. “Biar orang aniaya, patutnya awak bersyukur Saenah dah
sembuh,” katanya tidak bersetuju dengan keputusan Utih Sumi mahu membalas
dendam.
Upih pinang yang diukir seperti lipan bara itu diserahkan
pada Ucu Tunal. Biarlah dia sendiri tentukan sama ada mahu dibakar atau dibuang
sahaja kemana-mana. Belum pun Ucu Tunal berkisar duduk mahu meninggalkan rumah
Lebai Jimin, tiba-tiba sahaja Ngah Miyah memanggil Lebai Jimin dari tengah
halaman.
Sebaik sahaja pintu dibuka, cemas sangat Ngah Miyah
memberitahu anak bujangnya Wahid termengah-mengah sakit perut. Berguling-guling
Wahid menahan sakit perut seolah-olah disengkang kayu melintang.
“Tak payahlah pergi,” beritahu Ucu Tunal tersengih-sengih.
Dia unjukkan upih pinang diukir seperti lapan bara itu kepada Ngah Miyah supaya
berikan pada Wahid. Hairan juga Ngah Miyah dengan ubat sakit perut yang
diberikan oleh Ucu Tunal.
Disebabkan dia dalam keadaan terdesak terpaksa juga Ngah
Miyah mengambilnya. Dia berharap biarlah Wahid sembuh dengan jampi Ucu Tunal
melalui upih pinang yang diukir seperti lipan bara itu. Memang bertambah hairan
Ngah Miyah kerana Wahid pulih serta merta sahaja sebaik sahaja diunjukkan upih
pinang tersebut.
Tetapi selepas kejadian itu, Wahid terus sahaja meninggalkan
kampungnya ke Singapura disebab malu sangat setelah dia mengaku di depan
emaknya cuba memperdayakan Saenah. Memang Wahid berharap Lebai Jimin akan
meminta bantuannya untuk mengubati Saenah. Dia sudah bayangkan akan memegang
pangkal paha gadis itu sekiranya Utih Sumi meminta bantuannya.
Setiap kali Ucu Tunal ceritakan kepada saya mengenai Saenah
digigit lipan bara itu, dia akan menjuih bibir mengejek perbuatan orang yang
gunakan kepandaian untuk menganiaya jiran sendiri. Alangkah baik sekiranya
kepandaian demikian digunakan untuk membantu jiran sama sekampung.
Lama juga tidak mendengar khabar Ucu Tunal, tiba-tiba sahaja
Kadir Misai memberitahu orang tua itu sudah lebih tiga bulan terkejang tidak
dapat bangun. Makan pun terlentang sahaja dengan bersandar ke bantal sambil
isterinya Misah Sepet sudukan ke mulut.
Sebaik sahaja mendengar Ucu Tunal sakit, tidak bertangguh
saya mengajak Kadir Misai ke Kesang. Ketika saya bersama Kadir Misai sampai
beberapa orang jiran sedang membacakan Yassin. Ucu Tunal masih mahu dilayan
berbual sekali pun tubuhnya terlalu lemah.
“Lama kita tak jumpa, Ustaz,” tuturnya perlahan apabila saya
duduk disisinya.
Saya sekadar
mengangguk sahaja. Ketika meletakkan tapak tangan ke dahinya terasa kulit Ucu
Tunal kendur macam daun sirih kecut dilayur. Memang Misah Sepet juga mengakui
dalam tempoh seminggu sahaja Ucu Tunal demam, kulitnya berubah menjadi kendur
sampai kecut tidak bertahan.
“Dukun macam Ucu Tunal pun sakit juga,” keluh Misah Sepet
terharu dengan keadaan suaminya yang terkejang lebih tiga bulan.
Kalaulah tidak disebabkan cucunya berkahwin dengan anak
saudara Kadir Misai, memang saya tidak tahu mengenai Ucu Tunal terkejang sakit.
Sahak cucu Ucu Tunal yang sampaikan berita mengenai datuknya itu kepada Kadir
Misai.
“Kenapa tak beritahu kami?” Kadir Misai bagaikan menyesali
Misah Sepet kerana tidak mahu memberitahu mengenai Ucu Tunal terkejang sakit
itu.
“Entahlah, tak ingat langsung,” sahut Misah Sepet tidak
keruan. Dia sendiri kelam kabut
menghadapi keadaan demikian, tentulah tidak ada masa mahu memberitahu sesiapa.
Biarlah Sahak yang beritahu rakan-rakan datuknya. Lagipun
tidak disangka pula dukun macam Ucu Tunal boleh alah penyakit. Kalau mahu
dikatakan penyakit biasa sudah dibawa ke hospital pun, Lebih sebulan juga Ucu
Tunal terlantar di hospital, sampai dia sendiri mendesak supaya dibawa balik
sahaja ke rumah.
“Macam mana mulanya Ucu ni sakit,” lantas Kadir Misai
menatap muka Ucu Tunal selepas jiran-jiran selesai bacakan Yassin setelah
mereka berkumpul sebaik habis Isyak di situ.
Tergenang air di pelupuk mata Ucu Tunal apabila ditanyakan
demikian oleh Kadir Misai. Lama dia terkebil-kebil mata barulah Ucu Tunal dapat
bersuara.
“Ucu balik dari hutan berburu rusa,” jelasnya sebaik sahaja
kenangkan dia masuk ke hutan bersama Dolah Tenjot. Dia sendiri yang galas
senapang dengan Dolah Tenjot mengekori dari belakang.
Memang Dolah Tenjot sendiri tidak tahu apa yang berlaku
semasa masuk ke hutan bersama Ucu Tunal. Sebaik saja dipelawa berburu ke hutan
tidak bertangguh dia ikut sahaja. Sudah kerapkali dia ikut Ucu Tunal ke hutan
kalau diajak berburu.
Tidak pernah mereka balik tangan kosong sekiranya sudah meranduk
ke tengah hutan. Bila-bila sahaja Ucu Tunal tidak lepaskan peluang kalau
terserempak pelanduk bertandak tatkala meragut pucuk ludai di tepi denai.
Sebaik sahaja dentum senapang mengerutup nescaya pelanduk akan terhumban
diperdu pokok.
Siapa lagi akan sembelih leher pelanduk, kalau bukan Dolah
Tenjot? Pantas sahaja dia menghunuskan parang asal sahaja pelanduk tergolek ke
tanah dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin. Dolah Tenjot akan sendalkan
mata parang ke leher pelanduk biar matinya dapat disembelih.
Sebab itulah dia tidak menolak apabila diajak Ucu Tunal
berburu ke hutan. Dolah Tenjot sudah terbayang daging pelanduk masak rendang
tatkala kaki melangkah masuk ke hutan. Puas juga bersama Ucu Tunal meranduk ke
tubi becah, tiba-tiba sahaja mereka menemui jejak rusa masih keruh air.
Tidak bertangguh Ucu Tunal menyusur denai mengikuti jejak
keruh air itu sampai ke seberang padang lalang. Memang sah mereka berdua nampak
rusa jantan tanduk bercabang menjilat-jilat tubuh di tepi belukar.
Terhangak-hangak rusa berkenaan sebaik sahaja terdengar bunyi daun kering
berdesir dipijak.
“Hari ini rezeki kita baik, Ucu,” bisik Dolah Tenjot sebaik
sahaja Ucu Tunal membidik senapang.
Ucu Tunal tidak menyahut, Dia tidak mahu tembakannya jauh
dari sasaran dalam saat demikian. Sebab itu dia mesti membidik tepat biar
peluru yang berdentam menerjah ke kepala rusa. Tentu rusa itu akan tersungkur
menyembah bumi apabila peluru senapang menyinggahi tengkorak kepalanya,
Dalam keadaan berhati-hati itulah Ucu Tunal melepaskan
tembakan. Memang jarang tembakannya tidak menepati sasaran. Sekaligus rusa
jantan itu tersungkur dengan rengekan memanjang. Tidak bertangguh pula Ucu
Tunal mencuit bahu Dolah Tenjot supaya mara kehadapan menghunus parang
menyembelih leher rusa sebelum terlambat.
Tetapi Dolah Tenjot tidak ada di situ. Puas dia memerhati
keliling memang Dolah Tenjot tidak bersembunyi di mana-mana. Lagi pun tidak ada
sebab Dolah Tenjot mesti bersembunyi tatkala dia melepaskan tembakan.
Di hadapan mereka bukan harimau panjang tujuh depa yang
terseragam menunggu mangsa, masakan Dolah Tenjot takut tidak menentu apabila
terserempak rusa jantan tengah naik badan. Tentu Dolah Tenjot juga gecur air liur kalau daging rusa itu di
masak rendang.
“Hah, ke mana pula kau Dolah?” gerutu Ucu Tunal segera
menerpa ke hadapan. Bimbang juga dia
kalau lambat disembelih rusa yang telah terguling ke tanah. Kalau sudah mati
kejang memang tidak berguna lagi daging rusa itu dibawa balik.
Sebaik sahaja dia menghunus parang mahu menyembelih rusa,
berdebar hatinya apakala melihat Dolah Tenjot tergolek di sisi tubuh rusa
berkenaan. Darah membuak-buak di kepala Dolah Tenjot dengan kakinya menggelepar
sama seperti tubuh rusa yang merengek-rengek dengan kakinya menendang angin.
“Hah, setan! Kau nak cari geruh aku nampaknya,” bentak Ucu Tunal
menggertap bibir.
Segera dia memangku kepala Dolah Tenjot dengan meletakkan
pada arah matahari memancar kuat. Kemudian dia memancang anak kayu yang dikerat
sedepa di keliling tubuh Dolah Tenjot seolah-olah mengurung di dalam serkap.
Setelah duduk bersila dia antara Dolah Tenjot dan tubuh rusa
yang merengek-rengek, lantas Ucu Tunal tacakkan mata parang ke tanah. Dia
mengukuhkan duduk lantas membaca:
Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad. Allahumma
inni as –as laka bismikal ahadal a’aza wada’wake, Allahumma bismikal ahadal
samada wada’waka, Allahumma bismikal
‘azimil witri wada’ waka, Allahumma bismikal kabiral muta’ alallazi mala-al
arkana kullaha an tak’ afa ‘inni ma asbahata wama amsitafihi
Kemudian serentak dia mencabut mata parang yang tertacak ke
tanah hingga keluar darah memancut di tempat mata parang itu tercancang. Sekali
gus pula Dolah Tenjot terbersin lantas duduk terpinga-pinga macam terkejut dari
tidur.
Sewaktu Dola Tenjot berpaut kepada anak kayu yang di cancang
di kelilingnya mahu bangun, dia melihat rusa yangtergolek bingkas bangun.
Cepat-cepat pula rusa tersebut melompat ke dalam belukar menyusup entah kemana.
“Rusa melintas depan kita, Ucu!” jerit Dolah Tenjot bagaikan
tidak sabar disebabkan rusa itu terlepas.
Tetapi Ucu Tunal tidak menyahut. Dia memberi isyarat
mengajak Dolah Tenjot balik sahaja. Biarlah dia balik dengan tangan kosong
sekalipun kehampaan terbayang diwajahnya. Puas di desak oleh Dolah Tenjot
supaya teruskan juga berburu, tetapi Ucu Tunal sudah mengambil keputusan tidak
akan berburu.
Manalah Dolah Tenjot tahu apa yang dialaminya tatkala
tubuhnya kejang di sisi tubuh rusa. Kalau dia berkeras menyembelih rusa
berkenaan , tentu Dolah Tenjot juga terpenggal leher. Siapa akana percaya
kejadian itu kalau diberitahu kepada orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh
Ucu Tunal yang memenggal leher Dolah Tenjot.
“Biarlah aku lepaskan rusa tu..” bisik Ucu Tunal sayau bila
mengamit Dolah Tenjot mengajak berundur.
Terpaksa juga Dolah Tenjot mematuhi keputusan Ucu Tunal. Dia
sekadar mengikut sahaja ke mana pun dibawa Ucu Tunal di tengah hutan demikian.
Lagipun senapang terpanggul di bahu orang tua itu, masakan dia boleh berkeras
mengajak berburu meranduk hutan.
Dia terasa terkurung di dalam lubang gelap semasa Ucu Tunal
melepaskan tembakan. Tiba-tiba sahaja kakinya terjerlus ke bawah dengan tidak
bertahan. Puas dia memekik-mekik memanggil Ucu Tunal tetapi suaranya tidak
kedenganran di mana-mana.
Lama dia terkial-kial di dasar lubang gelap itu, barulah
Dolah Tenjot nampak cahaya matahari memancar jauh di udara. Dia cuba melonjak
ke atas, tetapi lubang berkenaan jauh ke bawah. Bimbang juga Dolah Tenjot
terkurang di dalam lubang gelap itu sekalipun sudah nampak cahaya matahari
memancar. Manalah tahu ada ular berlingkar di situ menunggu mangsa untuk
mencerutnya sampai tidak dapat bergerak langsung.
Puas terkial-kial dalam lubang gelap itu barulah Dolah
Tenjot mendengar suara Ucu Tunal memanggilnya. Perlahan-lahan dia merangkak
naik sambil berpaut pada akar yang terjuntai. Ketiaka sampai di permukaan
lubang, dia terbersin kuat hingga terhumban hingga tercampak ke celah kayu di
cancang macam serkap mengurung dirinya. Ketika itu juga dia melihat seekor rusa
jantan bingkas bangun melompat ke tengah belukar.
Manalah Dolah Tonjet tahu mengenai dia berbaring di sisi
tubuh rusa dengan kepalanya berlumuran darah. Masakan dia percaya kalau Usu
Tunal beritahu kejadian sebenarnya berlaku ke atas mereka berdua. Cuma Ucu
Tunal satu-satunya yang dapat memahami geruh tersebut, sehinggalah dia terpaksa
menggunakan ikhtiar untuk selamatkan kawannya Dolah Tonjet.
“Kalau begitu, Ucu ni kena badi,” lantas sahaja Kadir Misai
menuduh sebaik sahaja Ucu Tunal kenangkan fasal dia berburu ke hutan bersama
Dolah Tenjot.
Tidak lama selepas kejadian dia berburu ke hutan itulah Ucu
Tunal tiba-tiba dia mengidap demam sejuk. Terpaksalah Misah Sepet lingkupkan
selimut berlapis-lapis ke seluruh tubuh suaminya. Dia percaya Ucu Tunal tentu
diserang demam kura sampai terkokol-kokol menahan kesejukan menusuk.
“Aki ingatkan dia kena demam kura,” beritahu Misah Sepet
tersengih-sengih menegrling suaminya yang terkejang tidak bergerak tubuh.
Tentulah dia sangkakan Ucu Tunal diserang demam kura setelah
terketar-ketar sejuk sampai lebih satu jam. Kemudian dia mengerang-ngerang
kepanasan lantas membuangkan selimut. Setelah berpeluh-peluh hingga meracau
tidak menentu barulah dia tidur nyenyak keletihan.
Sejuk mengigil-gigil itu berulang lagi keesokannya, kemudian
panas membahang dan berpeluh-peluh seluruh badan. Sebab itulah Misah Sepet
menuduh suaminya dihinggapi demam kura. Tahu sangat Misah Sepet kalau sebut
fasal demam kura, memang begitulah penyakit tersebut merasuk mangsanya.
Tetapi seminggu selepas berulang-ulang seperti keadaan demam
kura itu, tubuh Ucu Tunal berubah menjadi kuru. Kulitnya menjadi hitam dan
kendur laksana daun sirih lecur dilayur. Dia bertambah lemah tidak bermaya
lagi.
“Kalau demam kura, minum air jadam pun boleh sembuh.” Ujar
Kadir Misai mengeleng lemah.
“Manalah aku tahu penyakitnya macam ni” sahut Misah Sepet
memicit-micit kepala lutut suaminya. Tetapi dia berhati-hati bagaikan bimbang
kulit suaminya akan luruh sama apabila dipicit demikian.
“Habis macam mana fikir Ucu sekarang?” soal Kadir Misai
tidak mahu bagaimana mahu membuat keputusan.
“Entahlah,” lantas sahaja Ucu Tunal menjelaskan sambil cuba
mengangkat kepala. “Baca Yassin dah tiga petang, badan aku dah tak rasa apa-apa
lagi, macam kebas!” beritahunya seolah-olah terbayang kekecewaan di hatinya.
“Macam mana ustaz fikir baik?” Misah Sepet berpaling menatap
muka saya bagaikan meminta keputusan.
“Terpulanglah kepada Ucu sendiri,” sahut saya perlahan
mengusp-usap dahi Ucu Tunal.
Ucu Tuna semakin sebak menahan keharuan hatinya disebabkan
dia merasa tubuhnya sudah kebas. Dipicit pun tidak memberi bekas langsung
kepadanya. Memang dia tahu dahinya diusap tetapi Ucu Tunal tidak dapat lagi
merasa usapan tangan saya itu.
Lama dia tersengguk-sengguk barulah Ucu Tunal memberitahu
mengenai mimpinya pada malam dia terketar-ketar menahan kesejukan bagaikan
diserang demam kura. Sengaja dia
rahsiakan daripada pengetahuan isterinya mimpi tersebut kerana bimbang Minah Sepet akan menuduhnya
sengaja mereka-reka cerita.
Mimpi itulah yang membawa padah kepadanya, apabila terasa
berdiri di tubir jeram memerhatikan seorang lelaki tua bertunggang di belakang
rusa. Dia melihat bahagian kepala rusa
itu berlumuran darah bekas ditembusi peluru senapang. Tersengih-sengih lelaki
tua itu mengejeknya dengan memegang gada berceranggah di tangan. Kulit lelaki
tu aitu kendur meluyut macam daun sirih lecur dilayur.
“Hutang mesti dibayar Tunal!” jerkah lelaki tua itu
bertenggong dibelakang rusa berkenaan.
“Bukankah aku dah pulangkan hak kamu?” sahut Ucu Tunal tidak
berganjak di tubir jeram.
“Tapi kau pulang hak aku dah cacat,” jelas lelaki tua itu
bagaikan berdendam.
“Hah, nampaknya kau sengaja nak cari geruh, kalau begitu aku
terpaksa beli,” marah benar Ucu Tunal apabila dicabr lelaki berkenaan.
Semasa lelaki tua itu melontarkan gada berceranggah,
cepat-cepat Ucu Tunal mengelak. Dia melompat menyebabkan kakinya tergelincir
jatuh ke bawah jeram. Terkekeh-kekeh lelaki tua itu berkulit kendur macam daun
sirih dilayur itu mentertawakan Ucu Tunal jatuh ke air.
Lama Ucu Tunal dipusar oleh arus di tengah jeram hingga dia
hampir lemas barulah tangannya dapat mencapai batu di tebing. Cepat-cepat dia
berpaut naik sampai terasa sejuk menusuk ke tulang sum-sum akibat terlalulama
terendam.
Sejuk yang dialaminya melalui mimpi itulah berterusan hingga
menjadi dia demam tergigil-gigil. Selera makannya juga menjadi mual tidak mahu
menelan nasi. Sedikit demi sedikit tubuh Ucu Tunal semakin lemah tidak bermaya.
“Kenapa awak tak beritahu saya mimpi tu?” gerutu Misah Sepet
kesal dengan sikap suamimya mahu merahsiakan segalanya dari dia.
“Ah mimpi, macam mana nak beritahu,” jelas Ucu Tunal
meluahkanrasa terharu yang sekian lama terpendam.
“Memang tak masuk akal,” keluh Kadir Misai apabila kenangkan
kaitan mimpi itu dengan penyakit yang di alami oleh Ucu Tunal. “Tapi, kalau
cepat dapat tahu mungkin juga ada ikhtiar,” katanya lantas mengerling ke arah
saya.
Disebabkan penyakit yang dideritai oleh Ucu Tunal itu sudah
lebih tiga bulan, tentulah tenaga jasmaninya tidak mampu lagi melawan penyakit
. Kalau diubati pun sekadar harapkan tenaga luar, sedangkan tenaga jasmani itu
diperlukan juga untuk melawan gangguan penyakit.
Setelah merasakan Ucu Tunal dapat tenteramkan hatinya,
lantas saya letakkan tapak tangan di kepala dengan membaca:
Lailaha illallahu wallahhu akbaru saddaqahu rabbahu faqul
lailaha illa ana waana akbaru, waiza qola lailaha illallahu wahdahu lasyarika
lahu qola yaqulu la-ilaha illa ana wahdi lasyarikali, waiza qola la-ilaha
illallahu lahulmulku walahulhamdu qola la-ilaha illa ana liyalhamdu waliyalmulku wa-iza qola
la-ilaha illallahhu wala haula wala qauwata illa billahhi qola lailaha illa ana
wala ana wala haula wala qauwata illabi
Ketika ini saya terdengar Ucu Tunal beristighfar beberpa
kali dan mengaku seluruh badanya bagaikan bergegar. Apabila saya beralih
kelunjur kakinya memegang ibu jari, dia tiba-tiba mengeliat.
“Hah, baru terasa sakit, ustaz,” tuturnya lemah tetapi
terkial-kial memberi isyarat kepada isterinya dia semakin sukar mahu bernafas.
Segera Misah Sepet mengusap dada suaminya. Kemudian Ucu
Tunal berbisik meminta saya teruskan membaca apa sahaja. Dadanya terasa lapang
mendengar saya membaca doa, tetapi tangannya bergerak-gerak memberi isyarat
supaya Misah Sepet terus mengusap dadanya.
Jiran-jiran juga melihat Ucu Tunal sudah mula mahu
mengerakkan tangan seolah-olah tenaganya pulih semula. Wajahnya juga segar
sekali pun kepala masih belum boleh diangkat. Tetapi segera saya memberikan
isyarat kepada Kadir Misai supaya mengajak jiran-jiran yang sama terconggok di
situ bacakan Yassin.
Dalam masa jiran-jiran bacakan Yassin itulah perlahan-lahan
Ucu Tunal menutup matanya. Perkara menetukan segalanya adalah hak Allah, kerana
saya hanya sekadar mampu berdoa sahaja. Ucu Tunal menghembuskan nafasnya semasa
saya bersama jiran-jiran di situ berdoa memohon pertolongan Allah meringankan
beban penyakitnya.
Sewaktu Ali Ranggi memberhentikan kereta di depan rumah,
saya masih terconggok di kerusi. Isteri saya keluar membukakan pintu pagar
mempelawanya masuk.
“Eh, angah tak siap lagi?” ujar Ali Ranggi lantas duduk
sambil memerhatikan saya masih tidak menukar pakaian.
“Minumlah dulu, lepas tu baru siap-siap untuk pergi,”
sengaja saya berdalih kerana malas sangat mahu memenuhi permintaan kawan Ali
Ranggi itu. Saat ini saya merasa debaran dada saya pula kencang berombak
bagaikan menghadapi darah gemuruh.
“Mail Togok tu harap sangat angah datang,” desak Ali Ranggi
meminta saya segera menukar pakaian.
Tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa. Sebaik sahaja isteri
saya hidangkan sarapan pagi, saya segera mengajak Ali Ranggi minum dahulu.
Ketika menjamah sarapan itulah isteri Ali Ranggi pula menelefon. Cepat-cepat
isteri saya menggamit Ali Ranggi disebabkan isterinya itu cemas tidak menentu.
Apabila Ali Ranggi menangkat telefon , dia bagaikan kecewa
tidak bertahan. Perlahan-lahan dia meletakkan gagang telefon dan memandang
isteri saya tercegat di tepi meja makan.
“Kimah tu, baru kejap ni tadi meninggal,” jelas Ali Ranggi
berjalan lemah lantas duduk semula. Cepat-cepat dia menghirup minuman kerana
mahu segera balik ke rumah.
TAMAT
No comments:
Post a Comment