TOK AWANG NGAH - BERKELAHI DENGAN SYAITAN
035. HANTU BERJALAN DENGAN TANGAN
Bunyi burung birik-birik lalu di tengah malam terasa
mengerunkan juga. Kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madarasah bernama
Katib cepat-cepat tidur mengerengkan
badan, kerana emaknya berpesan apabila burung birik-birik berbunyi di tengah
malam hendak lah tidur mengereng. Katib memang tidur di madarasah, tapi
tiap-tiap pagi selepas subuh dia akan balik untuk bersekolah di sebelah paginya
pula.
Kami yang bersekolah hanya belajar di sebelah petang saja di
madarasah TOK AJI. Sebelah petang pula belajar membaca Quran. Katib ini memang
disayangi oleh TOK AJI kerana suaranya bagus membaca Quran. Semasa TOK AJI
menganjurkan pertandingan di kalangan pelajar madarasah, Katib berjaya mendapat
markah yang tinggi membaca Quran.
Bagaimanapun dia tetap memegang teguh pesanan emaknya supaya
tidur mengereng bila burung birik-birik berbunyi di tengah malam.
“Emak aku kata burung birik-birik ialah anjing pemburu hantu
tinggi.” Jelasnya apabila saya tanyakan
mengapa dia mengerengkan badan.
“Kalau kau mengereng dia tidak ganggu kau?” soal saya tidak
mengerti mengapa dia mesti tidur mengereng ketika ini.
“Ia dia sangka kita ni anak cucunya” ujar Katib.
“Jadi, kau suka jadi anak cucu hantu tinggi?” tanya saya
lagi.
“Tidaklah “ sahutnya lemah macam kecewa dengan soalan saya
itu “Tetapi, itu hanya untuk menjaga diri supaya tidak diganggunya” dia
menjelaskan lagi seperti yang diceritakan oleh emaknya.
Tetapi TOK AJI pernah mengingatkan tidak ada jenis syaitan
yang boleh menandingi ayat-ayat Quran. Oleh itu tidak ada sebab mengapa mesti
mengerengkan badan sewaktu tidur apabila terdengar birik-birik terbang
melintasi bumbung rumah. Sebab itu saya tidak pernah mengerengkan badan, kalau
terdengar bunyi burung birik-birik. Kadangkala Katib cepat-cepat menggerakkan
badan saya menyuruh tidur mengereng, namun saya pura-pura tidak mendengarnya.
Emak Katib juga percaya
Mak Endut yang meninggal dunia sebelum itu adalah diganggu hantu tinggi,
mungkin kerana dia tidak tidur mengereng sewaktu bunyi burung birik-birik
melintas. Ketika ini hantu tinggi terbang bersama burung-burung tersebut. Kalau
dilihatnya ada orang tidak tidur mengereng maka segera diganggunya kerana orang
itu bukan anak cucunya.
Sekira orang berkenaan anak cucunya, hantu tinggi akan
mengelakkan diri dari merempuh anak cucunya sendiri.
Tanda hantu tinggi itu lalu selain dari burung birik-birik
berbunyi ialah, kepala ribut. Di dalam kepala ribut itu dia terbang bersama.
Tetapi kepala ribut itu akan beralih menuju ke arah lain, kalau didapati anak
cucunya ada di depan. Tanda bagi anak cucunya ialah dengan menanam rumpun
lengkuas di tepi halaman. Kepala ribut itu tidak akan merempuh lalu kalau rumah
berkenaan ada menanam rumpun lengkuas.
Katib percaya betul dengan pesanan emaknya ini. Dia juga
tetap percaya bahawa kematian Mak Endut berpunca dari hantu tinggi. Mak Endut
sudah terkena langkahannya sampai sakit perut. Penyakit itulah yang membawa
maut kepadanya. Selepas itu mayatnya tiba-tiba saja duduk, kerana diangkat oleh
hantu tinggi tadi. Sekiranya TOK AJI tidak ada bertahan di situ dengan doanya
sudah tentu mayat Mak Endut dibawa lari oleh hantu tinggi.
Selepas itu semasa mahu dimandikan, terdapat dapat
beratus-ratus ekor lipan di bawah mayatnya. Lipan-lipan itu adalah binatang
permainan hantu tinggi yang mahukan mayat Mak Endut. Sekali lagi TOK AJI dapat
mengalahkan hantu tinggi itu dengan doa seorang ulama. Memang Katib percaya
benar dengan cerita emaknya itu dengan kematian Mak Endut.
Bagaimana pun saya tidak pernah bertanyakan pada TOK AJI
mengenai kebenaran cerita emak Katib itu. Saya takut Katib akan tersinggung
pula sekiranya saya bertanyakan pada TOK AJI.
Tetapi TOK AJI memang pernah mengingatkan bahawa syaitan ini
ada berbagai-bagai. Dia juga seperti makhluk manusia mempunyai kaum
masing-masing yang telah ditentukan. Oleh itu apa juga makhluk halus yang
menganggu manusia adalah terdiri dari golongan syaitan. Sementara manusia harus
berwaspada akan gangguan dari syaitan ini.
Selepas kematian Mak Endut, Kak Jidun tidak lagi tinggal
bersama abangnya Suhur, atau kakaknya Indun. Dia tinggal bersama nenek saya.
Disebabkan dia masih anak dara berumur 16 tahun, saudara maranya merasa lebih
baik tinggal di rumah nenek saya saja. Di samping itu dia akan terus dapat
belajar agama di madarasah TOK AJI.
Kadangkala Kak Jidah menangis bila Katib menceritakan hantu
tinggi menganggu mayat Mak Endut. Itulah
menyebabkan mayat itu bangun dengan sendirinya, kemudian dipenuhi lipan
beratus-ratus ekor di bawah tubuhnya. Katib juga memberitahu Kak Jidah mengenai
burung birik-birik selalu berbunyi melintasi madarasah apabila jauh malam.
“Kita mesti tanam lengkuas di depan pintu madarasah ni Kak
Jidah” kata Katib macam mengingatkan.
Tetapi Kak Jidah tidak mahu menanamnya. Terpaksalah Katib
mengambil benih lengkuas dari rumahnya. Dia sendiri menanam rumpun lengkuas di
depan madarasah. TOK AJI pula tidak marah dengan perbuatan Katib menanam rumpun
lengkuas itu, tetapi dia mengingatkan, “Lengkuas itu tak boleh menolong kau
Katib. Yang memberi pertolongan hanya Allah”.
Walaupun rumpun lengkuas mula tumbuh segar di depan halaman
madarasah, tetapi bunyi burung birik-birik itu kerapkali juga terdengar di
tengah malam. Katib terpaksa tidur mengereng kerana takutkan gangguan hantu
tinggi. Kadangkala saya tersenyum sendirian mengenangkan Katib bersikap
demikian.
“Kak Jidah tahu asal usul hantu tinggi ni?” satu petang
Katib bercerita dengan saya dan Kak Jidah.
“Ah, kau budak-budak mana kau tahu” sahut Jidah tersenyum
mengusik.
“Emak aku yang cerita” dia memberitahu bersungguh-sungguh.
“Apa kata mak kau?“ tanya saya pula tersenyum mengerling ke arahnya.
Saya tidaklah memperkecilkan cerita emak Katib itu, tetapi
sengaja mahu mengusik Katib yang selalu percayakan dengan cerita tersebut.
Bagaimanapun bukanlah mustahil pula cerita yang dikatakannya itu.
Tidak lama dulu bapa mertua saya kecemasan kerana ribut
melanda kampungnya sehingga rumahnya juga ikut bergoyang- goyang dipukul angin.
Walaupun rumahnya tidaklah roboh dalam angin kencang yang tiba-tiba melanda,
tetapi sempat juga dia azan sekuat-kuat hatinya dalam masa ribut kencang itu.
Tiga kali dia azan, serentak saja ribut reda. Hujan pun
turun mencurah-curah dengan kilat memancar-mancar. Selepas hujan lebat dan
ribut berhenti didapatinya dua tiga buah rumah jiran yang berhampiran atapnya
diterbangkan ribut, dan dindingnya roboh. Manakala rumah bapa mertua saya tidak
pun rosak apa-apa.
Memang setengah orang mengakui bahawa syaitan ada
bersama-sama di dalam ribut itu. Mungkin apa yang diceritakan oleh Katib di
masa kecilnya dulu memang dimaksudkannya
dengan syaitan yang mengikuti ribut itulah. Kak Jidah sendiri mengakui emaknya
mula-mula diserang sakit perut ialah
selepas ribut kencang.
Semasa ribut tengah kencang aruah Mak Endut masih
mencangkul rumput di kebun pisangnya.
Kak Jidah beberap kali menyuruh dia balik sementara ribut berhenti. Tetapi Mak
Endut berdegil, terus juga mencangkul rumput. Ketika ribut ini hujan belumlah
turun, sebab itulah dia teruskan kerja mencangkul rumput kerana hari tidak
hujan.
Setelah ribut reda, hujan tidak pula turun. Kononnya hujan
itu sudah dibawa angin jauh dari situ. Mungkin turun di kawasan lain. Selepas
inilah Mak Endut merasa senak perut. Mula-mulanya dia bertahan juga, tetapi
akhirnya dia tidak berdaya lagi menahan senak perutnya bagaikan mahu membuang
air besar. Sebaliknya apabila dia ke sungai untuk membuang air besar, tidak
apa-apa pun yang keluar.
Senak perutnya semakin hari semakin menyesakkan nafas. Lebih
kurang empat hari dia mengidap sakit perut itu, Mak Endut pun menghembuskan
nafasnya yang terakhir.
“Aruah mak degil sangat, dia bekerja juga di tengah-tengah
ribut tu” keluh Kak Jidah mengenangkan kedegilan emaknya, kerana dia sajalah
yang tahu akan mula kejadian yang menimpa emaknya. Kak Jidah tinggal berdua
saja dengan Mak Endut dirumahnya kerana Abang Suhur dan Kak Indun masing-masing
sudah berkahwin. Mereka tinggal bersama-sama keluarga masing-masing.
“Bukan ribut tu Kak Jidah, tetapi hantu tinggi” tegas Katib
bila mendengar penjelasan Kak Jidah itu.
Kak Jidah menunduk. Dia tidak membantah kata-kata Katib. Apa
lagi kami ketika ini masih kanak-kanak, tidaklah tahu berfikir panjang. Apa
saja yang dicakapkan oleh orang tua, cepat saja
kami terima.
“Kak Jidah tak nampak hantu tinggi dalam ribut tu” tanya
Katib pula.
Kak Jidah mengelengkan kepala. Sebenarnya hatinya masih
sedih dengan kematian emaknya itu.
“Emak kata, awan hitam yang kita kata mengandungi hujan
itulah sebenarnya hantu tinggi” beritahu Katib selanjutnya.
Katib juga menceritakan hantu tinggi itu berasal dari
seorang pemburu terkena sumpahan di hutan kerana mencari seekor rusa putih yang
diidamkan oleh isterinya yang mengandung. Dia telah membunuh beratus-ratus ekor
rusa, tetapi tidak seekor pun rusa putih. Sebab itu lah dia telah disumpah
menjadi hantu tinggi, manakala anjing pemburunya menjadi burung birik-birik.
Disebabkan dia berjalan mendongak ke langit selepas kena
sumpahan itu, maka tidaklah dilihatnya ke bawah. Apabila dia melanggar
mangsanya, maka mangsanya akan muntahkan lumut. Hanya dia memberi petua kepada
anaknya yang mencarinya selepas 20 tahun berlalu, bakarlah lada kering dan
garam apabila ribut kencang, supaya dia tercium bagi mengetahui itulah rumah
anak cucunya. Tanamlah lengkuas didepan rumah supaya dia dapat membaunya. Hanya
dengan cara itu sajalah dia dapat membezakan anak cucunya, supaya tidak menjadi
mangsanya.
Hantu tinggi itu terpaksa memusnahkan manusia, kerana itulah
sumpahannya setelah dia membunuh beratus-ratus ekor rusa yang tidak berdosa.
Seperti mana dia membunuh rusa seekor demi seekor kemudian ditinggalkan untuk
mencari rusa putih, maka sumpahannya ialah mesti membunuh manusia satu demi
satu, sehingga semua rusa yang dibunuhnya hidup semula. Selagi rusa-rusa itu
tidak boleh dihidupkan selagi itulah dia mesti memusnahkan manusia.
Bagaimanapun ia masih berupaya mengingatkan anak cucunya
supaya terhindar dari sumpahannya itu.
“Macam itulah yang emak aku beritahu pada aku, Kak Jidah”
Katib menerangkan kepada Kak Jidah mengenai hantu tinggi yang telah membunuh
Mak Endut.
Kak Jidah pula bukannya orang yang suka bersoal jawab, dia
menerima saja penerangan Katib. Kesedihan hatinya terhibur juga bila kami duduk
berbual-bual dengannya. Malah TOK AJI selalu mengingatkan dia supaya sentiasa
berdoa kepada Allah, supaya aruah ibunya termasuk ke dalam golongan roh-roh
yang diredai Allah.
“Lepas sembahyang adalah baik berdoa” TOK AJI mengingatkan
dia. “Selepas sesaorang itu mati, maka putuslah amalannya. Hanya tiga perkara
saja yang diperlukan iaitu amal jariahnya di dunia, amal ibadatnya di dunia,
dan doa anak-anak yang soleh.” Kata TOK AJI seterusnya.
Kak Jidah mentaati apa saja yang disuruh oleh TOK AJI.
Tiap-tiap tengah malam dia bangun sembahyang tahjud, memohon Allah mencucuri
rahmat keatas rohnya emaknya.
Kadangkala saya terikut-ikut jua bangun tengah malam, kerana
TOK AJI sendiri kerap kali bangun diwaktu tengah malam menunaikan solat sunat
tahjud itu. Walaupun TOK AJI tidaklah menyuruh saya melakukannya, tetapi
apabila tidak bersekolah hujung minggu iaitu malam Jumaat dan malam Sabtu saya
suka melakukannya kerana mengikut TOK AJI.
Nampaknya Kak Jidah melakukan setiap malam sejak selepas
kematian emaknya. Hingga hampir 2 bulan dia mengerjakan solat sunat tahajud itu
tidak berhenti-henti.
Saya pun naik heran juga kerana Kak Jidah melakukannya.
Pagi-pagi dia sudah bangun pula untuk menunaikan sembahyang subuh. Kemudian
membantu nenek saya ke sawah. Dia tidak kelihatan letih ke sawah walaupun
tengah malam bangun menunaikan sembahyang tahjud itu.
Apakah yang disuruh oleh TOK AJI saya tidak tahu. Mungkin
sengaja TOK AJI melatihnya supaya lebih kuat bertawakal, kerana pada waktu
tengah malam memang tidak ramai orang yang rajin untuk bangun. Apa lagi terasa
sejuk air telaga untuk mengambil wuduk, walaupun sudah ditampung di dalam
tempayan di bilik air.
Dalam masa inilah saya ingat Abang Mat Nitar yang tinggal
berhampiran dengan rumah aruah Mak Endut jatuh sakit. Emaknya Mak Relah telah
memanggil TOK AJI untuk menengok-nengokkan Mat Nitar yang sakit macam hilang
akal. Mat Nitar baru berumur 26 tahun, masih belum berkahwin. Dia memang pernah
masuk meminang Kak Jidah, tetapi keluarga Mak Endut menolaknya kerana Kak Jidah
masih mentah lagi. Walaupun Mat Nitar sanggup menunggu dua tiga tahun, tetapi
Mak Endut tetap menolak.
Dia merasakan Mat Nitar itu sudah macam anaknya sendiri.
Tidak tergamak pula memilih Mat Nitar jadi menantu, apatah lagi Kak Jidah
sendiri tidak mahu. Kak Jidah merasakan Mat Nitar sudah macam abangnya sendiri.
TOK AJI tidak menolak
jika dipanggil. Seperti biasa dia mendoakan air disuruh minum dan mandikan.
Semasa TOK AJI datang melihatnya Mat Nitar sudah terlalu teruk. Dia
bertelanjang bulat dengan tidak memakai apa-apa pakaian. Dia terjelepuk di
hujung serambi sambil memainkan kemaluannya. Sekali sekala dia
tersengih-sengih, tetapi tidak dapat bersuara apa-apa.
“Apa sakitnya ni Bang Aji?” tanya Mak Relah kebingungan.
“Tak tau lah aku. Tak pernah aku temui penyakit macam ni”
jelas TOK AJI ikut sama keheranan.
“Dah sebulan dia macam ni. Tak dapat bercakap cuma air liur
saja meleleh” beritahu Mak Relah kesedihan. “Nak kata sakit tak sakit, nak kata
tak sakit itulah rupanya....” keluhnya memerhatikan Mat Nitar tersengih-sengih
memainkan kemaluannya dengan tidak berasa segan dan silu.
TOK AJI mengeleng-gelengkan kepala. Hatinya sedih juga
melihat keadaan Mat Nitar demikian.
“Kau tau apa yang dituntutnya selama ini?” tanya TOK AJI
kerana sudah menduga mesti ada kesalahan yang dibuat oleh Mat Nitar. Boleh jadi
juga dia sudah terlanggar pantang ilmu yang dituntutnya.
“Maksudnya, tahu kah kau samada dia pernah menuntut
apa-apa ilmu kebatinan?” kata TOK AJI
seterusnya.
“Tak tau pulak aku kata Mak Relah lemah. “Tetapi, ada juga
aku dengar dia nak jumpa Batin Jeli di hulu sana” katanya menahan kesedihan.
Disebabkan Mak Relah menaruh harapan kepada TOK AJI dapat
memulihkan anaknya Mat Nitar, maka TOK AJI mendoakan.
Tiga hari TOK AJI mengulangi Mat Nitar, barulah datang adik
Batin Jeli bernama Kapai mencari Mak Relah. Ketakutan saja rupanya apabila naik
ke rumah Mak Relah, sebaik saja melihat orang ramai melihat Mat Nitar sakit.
“Dah lama ke Mat Nitar sakit ni Mak Relah?” tanya Kapai
bercampur bimbang.
“Lebih sebulan ........” jelas Mak Relah.
“Tak tahu pula aku dia sakit” keluh Kapai bertambah gelisah.
“Siapa mengubatkan dia?” dia memerhati Mak Relah.
“Abang Haji ni” beritahu Mak Relah menunjuk ke arah TOK AJI.
Tiba-tiba saja Kapai memeluk lutut TOK AJI, dia menangis
sambil merayu pada TOK AJI supaya tidak membalas dendam pada abangnya Batin
Jeli.
“Abang Aji tolonglah. Minta maaflah saya Abang Aji” dia
merintih-rintih bagaikan menyimpan harapan mengunung.
“Abang Jeli dah jadi gila sekarang ni. Bukan nak
susah-susahkan Mak Endut dulu, dia hanya nak tolong Mat Nitar. Kalau Mat Nitar
tak datang minta tolong mampus Abang Jeli tak buat” ujarnya menangis
tersedu-sedu mengharapkan belas kasihan.
“Percayalah Kapai, aku tak buat tu pada Jeli” kata TOK AJI
memujuknya.
Dari pengakuan Kapai itu, terbukalah cerita mengenai
kejadian yang menimpa kepada Mak Endut disebabkan menolak pinangan terhadap Kak
Jidah.
Mat Nitar telah menemui Batin Jeli. Pada mulanya Batin Jeli
enggan melakukan kekejaman pada Mak Endut, sebaliknya dia bersetuju untuk
memberi Mat Nitar minyak cenuai bagi memikat Kak Jidah. Tetapi Mat Nitar tidak
mahu minyak cenuai. Dia mengancam akan membunuh Batin Jeli kalau tidak mahu
mengikut kemahuannya menganiaya Mak Endut secara kebatinan.
Mahu tidak mahu Batin Jeli terpaksa juga mengikut kemahuan
Mat Nitar. Dia menggunakan katak yang diikat perut sampai kembung bagi dipuja
secara kebatinannya, hingga menyebabkan Mak Endut senak perut. Kemudian dia
memuja upih yang dibentuk seperti lipan diletakkan di bawah bangkai katak.
Apabila dipujanya itulah kejadian yang dilihat lipan dibawah mayat Mak Endut.
Dia juga memainkan bangkai katak itu secara kebatinannya
menyebabkan mayat Mak Endut tiba-tiba saja bangun dari pembaringan. Semua itu
diceritakan semula oleh Kapai. Dia berharap TOK AJI tidak menyiksa abangnya
Batin Jeli.
“Tak pernah aku tengok ilmu macam Abang Aji ni” Kapai terus
merintih-rintih.
“Kapai..... aku tak buat apa-apa pada Jeli. Aku juga tak
buat apa-apa pada Mat Nitar. Tapi kau tengok sendiri keadaan Mat Nitar ni. Aku
pun berusaha hendak menolong dia, tapi aku tak upaya, ini kuasa Allah” jelas
TOK AJI dengan harapan Kapai memahami kedudukannya sebenar.
Orang-orang kampung menerangkan kepada Kapai, bahawa mereka
juga tidak tahu peristiwa sebenarnya. Kalaulah Kapai tidak memberitahu, mereka
juga tidak tahu tentang kejadian yang menimpa Mak Endut.
“Patutlah semasa Kak Endut meninggal, tak ada Mat Nitar
menziarahinya” keluh Mak Relah penuh kesal.
Masa ini jugalah anak saudara Kapai datang memberitahu akan
kematian Batin Jeli jatuh di jeram batu, kerana tiba-tiba saja dia
menjerit-jerit berlari ke jeram batu. Dia jatuh terselit di celah batu dengan
kepalanya ke bawah dan kakinya ke atas. Berita kematian Batin Jeli diterima
oleh orang-orang kampung dengan rasa sedih dan simpati.
Kira-kira dua minggu selepas kematian Batin Jeli, Mat Nitar
juga meninggal dunia. TOK AJI sendiri tidak berupaya mengatasi kudrat dan
iradat illahi yang sudah menetapkan kematiannya demikian. Dia sudah berusaha
untuk memulihkannya, tetapi kehendak Allah siapa pun tidak dapat menahannya.
Tidak lama selepas kematian Mat Nitar heboh lagi di kampung
itu apabila orang bertemu lembaga orang merayau-rayau di dalam kampung dengan
kepalanya kebawah kakinya ke atas. Lembaga itu berjalan dengan tangan saja. Dia
akan cepat-cepat menghilang apabila terserempak orang. Kadangkala dia berjalan
melompat-lompat seperti katak.
“Aku nampak betul-betul hantu berjalan dengan tangan,
kepalanya ke bawah kaki ke atas” Mail Lembam memberitahu tercungap-cungap
menerpa ke madarasah.
“Merepeklah Pak Mail ni” sahut Katib terkejut juga melihat Mail Lembam tergopoh
gapah. Dia bertanyakan TOK AJI dari kami.
“Mana Atuk kau?” Mail Lembam bertanya kepada saya.
“Atuk ada di rumahnya “ jelas saya perlahan. “Lepas Isya
atuk baliklah kerumah, boleh jadi dah tidur dia” kata saya selanjutnya.
Mail Lembam terus melompat menuju ke rumah TOK AJI. Saya
hanya melihat saja dari pintu madarasah. Seketika saja rumah TOK AJI terang
benderang dipasang lampu. Saya terdengar suara Mail Lembam bukan main becok
tidak tentu biji butir. Tetapi saya percaya dia memberitahu mengenai hantu
berjalan dengan itu.
Tidak lama kemudian nenek datang ke madarasah. Dia menyuruh
saya, Katib dan dua tiga orang lagi kawan-kawan supaya tidur di rumahnya.
“Tak payah lah tidur di madarasah tu” kata nenek macam
menyimpan rasa bimbang.
Kami semua masih kanak-kanak. Bila nenek menyuruh berkumpul
di rumahnya, kami semua pun tidak tangguh menurutnya saja. Kami pun takut juga
mahu tidur di madarasah setelah mendengar cerita Mail Lembam. Hantu berjalan
dengan tangan itu sudah kerap kali ditemui. Malah setiap malam dia
merayau-rayau didalam kampung sambil mengetuk-ngetuk dinding rumah orang.
Setakat itu rumah TOK AJI tidak pernah diganggunya. Sudah
banyak rumah orang yang diganggunya sambil mengetuk-mengetuk dinding. Rumah Mak
Relah yang selalu diganggunya, hinggakan Mak Relah tidak berani tidur di
rumahnya. Sebab itu dia lari tidur di rumah Mail Lembam.
“Dimana kau jumpa tadi” tanya TOK AJI memerhatikan Mail
Lembam ketakutan.
“Di sebelah baruh “ beritahu Mail Lembam.
“Emmm, dia bukannya nak menganggu. Dia nak minta tolong
agaknya” ujar TOK AJI tenang.
“Tapi dia mengetuk-ngetuk dinding rumah” ujar Mail Lembam
gementar.
Dia mengaku telah terserempak dengan hantu berjalan dengan
tangan itu. Apabila dinding rumahnya diketuk, dia pun segera membuka tingkap.
Dia ternampak lembaga hitam berjalan dengan tangan, kepalanya ke bawah manakala
kakinya ke atas. Sekali sekala dia melompat-lompat seperti katak. Kemudian
berjalan semula dengan tangannya.
“Agaknya dia mencari Relah....” kata TOK AJI
terangguk-angguk. “Dia nak minta tolong pada Relah tu” ujarnya macam menduga
bahawa hantu itu adalah jelmaan dari Mat Nitar yang sudah mati.
Mail Lembam terdiam. Dia hanya memberitahu TOK AJI untuk
menghindarkan gangguan berkenaan.
Dari kisah itu saya baru dapat memahami bahawa Kak Jidah
memang berdoa meminta mereka yang menganiaya emaknya ditunjukkan kepadanya.
Jelaslah Mat Nitar itu menerima pembalasan yang tidak bertangguh dari Allah.
Kak Jidah yakin emaknya teraniaya. Sebab itulah dia berdoa denganp enuh khusuk
setiap kali melaku solat sunat tahajud di tengah malam, memohon Allah
perkenankan doanya, agar dia melihat sendiri siapakah yang menganiaya emaknya.
Kapai adik Batin Jeli secara jujur telah menerangkan
kejadian sebenarnya. Bagaimanapun Kak Jidah memberitahu saya dia menyesal juga,
kerana doanya juga telah menyeksa sesama makhluk. Tetapi apa boleh buat,
semuanya telah berlaku.
Malam itu TOK AJI ke rumah Mail Lembam menemui Mak Relah.
Dia menerangkan kepada Mak Relah mungkin jelmaan hantu yang berjalan dengan
tangan itu meminta tolong darinya. Sebab itulah kemana saja Mak Relah pergi
menumpang tidur dia akan menjejaknya.
Mak Relah pun setuju untuk tinggal sementara di rumah TOK
AJI. Setiap kali maghrib dia bersama TOK AJI sama-sama berdoa agar roh Mat
Nitar dicucuri rahmat. Mereka sama-sama membaca Yassin kiffiat 41 kali. Setelah
tiga malam berturut-turut Mak Relah mengikuti TOK AJI melakukan Yassin kiffiat
41 kali bersama-sama Kak Jidah, saya dan Katib dan rakan-rakan yang sama tidur
di madarasah, esoknya kami bersama-sama pula ke kubur Mat Nitar, saya dapati
kuburnya ditimbuni oleh bangkai katak beratus-ratus ekor.
TAMAT
No comments:
Post a Comment