Tok Awang Ngah - Siri Berkelahi Dengan Syaitan
08.Dendam Angut Lumpuh
SEBATANG parit yang melintasi tengah kampung selalu dikaitkan oleh orang-orang kampung dengan dendam Angut Lumpuh. Siapa saja yang terkena dendam Angut Lumpuh nescaya akan menjadi lumpuh kalau umur panjang, sebaliknya kalau sampai ajal akan mati. Apakah yang dikatakan Angut Lumpuh ini pun saya tidaklah tahu sangat, cuma Kadir Misai yang mengajak saya ke Jerantut di Pahang apabila adiknya dikatakan sakit akibat disampuk dendam Angut Lumpuh ini.
Kadir Misai pun hanya mengesyaki saja adiknya disampuk dendam Angut Lumpuh. Ini disebabkan apabila penduduk kampung itu diserang sakit luar biasa, maka mereka akan cepat mengesyaki terkena sampuk Angut Lumpuh. Kerana tidak mahu menghampakan hati Kadir Misai saya pun bersetuju ke Jerantut pada malam itu juga. Lagi pun saya sendiri ingin untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kalau puaka mengapa pula dinamakan Angut Lumpuh? Kalau jenis syaitan dari mana pula datangnya nama Angut Lumpuh?
Ketika saya sampai di rumah ayah Kadir Misai, memang adiknya berumur 13 tahun masih tidak sedar diri. Kata Lebai Man iaitu ayah Kadir Misai sudah tiga hari Zuki anaknya tidak sedarkan diri. "Kenapa awak tak panggil Ulung Bahar di Lancang?" tanya saya pada Kadir Misai. "Ah, awak pun sama juga ustaz..." bisiknya. "Tapi lebih elok orang sini juga" kata saya cuba menarik perhatian dia. "Mana nak ingat semua tu, dalam keadaan macam ni" ujarnya sambil memanjangkan bibir menunjuk ke arah adiknya yang terlentang di tengah rumah. "Kawan ingat, usaz pun bolehlah..." jelasnya perlahan."Ha, cubalah ustaz" Lebai Man pula menggesa.
Sukar juga saya mahu membuat keputusan. Orang sudah mendesak supaya saya tengokkan Zuki. Kalau saya mahu berdalih mengapa tidak menolak semasa Kadir Misai datang menjemput ke rumah. Sebenarnya saya datang hanya untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kebetulan Dukun Pak Cu Jabat sudah mengubatnya. Dia sendiri meminta saya pula mencubanya. Dukun Pak Cu Jabat juga mengesyaki memang angkara Angut Lumpuh. Dari dialah saya diberitahu mengenai parit yang melintasi kampung, yang telah saya lalui bersama Kadir Misai ketika datang ke situ, memang ada kaitan dengan Angut Lumpuh ini.
Beberapa tahun dulu anak saudara dia meninggal dunia setelah terkejut melihat seorang perempuan tua berjalan menginsut punggung di dalam parit tersebut. Dia tidaklah meninggal dunia sebaik saja melihat perempuan tua itu, sebaliknya jatuh demam. Budak baru berumur empat tahun itu memberitahu emaknya dia ternampak seorang nenek tua menginsut punggung mudik parit tersebut.
Kira-kira sebulan lebih budak itu sakit, dia pun meninggal dunia. Dukun Pak Cu Jabat memberitahu kalau ternampak perempuan tua itu nyatalah dia Angut Lumpuh. Maksudnya Angut ini ialah nenek kepada nenek. Sekiranya ternampak dia mudik bererti susahlah hendak diselamatkan pesakit berkenaan, sebaliknya kalau dia menginsut ke hilir masih ada harapan untuk sembuh, tetapi mangsanya itu akan lumpuh.
Dia juga menceritakan seorang lelaki tepok di dalam kampung itu yang disebabkan angkara dendam Angut Lumpuh. Kaki dan tangan sebelah kanannya menjadi lumpuh setelah sembuh dari sakitnya. Lelaki itu sekarang sudah berumur lebih 40 tahun dikenali sebagai panggilan Apat Tepok saja. Seorang lagi sepupu Lebai Man menjadi tidak siuman selepas sembuh dari sakit yang dikatakan akibat terkena sumpahan Angut Lumpuh ini. Sebenarnya sudah banyak mangsa Angut Lumpuh itu sejak beberapa tahun dulu. Parit itu adalah anak sungai kecil yang mata airnya terbit dari bukit dalam kampung itu juga, sekarang ini bukit berkenaan sudah pun ditebang tebas dijadikan kebun getah.
"Kalau ternampak Angut Lumpuh tu di dalam parit tu, hah tanda nahaslah tu..." ujar Dukun Pak Cu Jabat. "Ada yang terjumpa?" tanya saya. "Siapa yang jumpa Angut Lumpuh, kalau tak lumpuh, mati..." sahut Lebai Man pula menguatkan lagi dakwaan Pak Cu Jabat. "Zuki ni jumpa?" soal saya lagi. "Tak taulah..." beritahu Lebai Man perlahan. "Tengah makan tiba-tiba dia pening kepala, langsunglah tak sedar diri. Fasal itulah kawan telefon pada Kadir di Kuala Lumpur" jelas orang tua itu seterusnya.
Lama saya memikirkan apakah cara mahu dilakukan terhadap Zuki. Kalau Pak Cu Jabat seorang dukun sudah berusaha memulihkan, pada hal dia sudah berpengalaman sekian lama di situ tetapi tidak berhasil, bagaimana pula saya mahu mencubanya. Kerana tidak terfikirkan cara yang lain, lalu saya mengajak semua orang yang ada di situ bersama-sama dengan saya membaca Yassin. Mereka bersetuju dengan cadangan saya, iaitu membaca Surah Yassin. Lebai Man juga setuju saya mengepalai bacaan Yassin tersebut.
Tiga kali bacaan Yassin dibuat barulah saya dapati Zuki mula menggerakkan badannya. Bagaimanapun dia masih tidak sedarkan diri. Dia seolah-olah mahu bangun untuk melompat ke tanah, tetapi tenaganya masih lemah. Zuki terbaring semula. Apabila dipanggil namanya dia tetap mendiamkan diri. Hati saya lega kerana Zuki sudah mula menggerakkan badan. Walaupun dia masih belum sedarkan diri, namun ada perubahan juga. Tidaklah terlentang tidak bergerak-gerak seperti mula-mula saya datang. Saya sampai di rumah Lebai Man kira-kira jam 11.30 malam. Ketika ini masih ramai lagi orang datang menziarahi Zuki.
Saya lihat Pak Cu Jabat juga tersenyum dengan perubahan Zuki. Setelah setengah jam Zuki boleh menggerakkan badan, dia pun mula berpusing ke kiri ke kanan dalam keadaan masih lemah. Nafasnya saja kencang turun naik. Dia tidak bercakap apa-apa pun. "Ada perubahan nampaknya, ustaz..." kata Dukun Pak Cu Jabat. "Alhamdulillah..." sahut saya perlahan. "Dukun ni bukan kira besar kecil, kira rasi" ujar Pak Cu Jabat mengurut-ngurut misainya. "Kira rasi, kalau rasi dukun dengan ubatnya, hah macam kunyit jumpa kapur aje laa" dia terangguk-angguk puas hati dengan perubahan Zuki yang sudah tiga malam tidak bergerak-gerak.
Semakin lama semakin keras Zuki berpusing ke kiri ke kanan. Terpaksa pula Kadir Misai memegangkan kakinya. Tetapi cepat saja kaki Zuki menyinggahi dada Kadir Misai. Terundur juga Kadir Misai ke belakang bila kaki itu menerjah ke dadanya. "Mari kita cuba sama-sama Pak Cu" saya menepuk bahu Pak Cu Jabat. "Silakan dulu..." dia menyuruh saya terus menghadapi keadaan Zuki yang semakin keras. "Pak Cu bantulah saya" kata saya mengharapkan dia sama-sama menggunakan kemahirannya. "Iya, ya...silakan" ujarnya sambil rapat kepada Zuki.
Zuki tidak meronta-ronta, tetapi dia membalikkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Makin lama semakin kencang dia membalikkan tubuh ke kiri dan ke kanan. Saya lihat Pak Cu Jabat sudah terkumat kamit mulut membacakan ayat-ayat tertentu, yang saya tidak tahu apakah ayatnya. Seperti Ulung Bahar yang pernah saya temui, Pak Cu Jabat juga tidak menggunakan kemenyan, bertih, limau atau ramuan-ramuan khas bagi mengubati pesakit.
Zuki masih membalik-balikkan tubuh ke kiri ke kanan. Sekali-sekala dia mendengus bagaikan hidung tersumbat. Saya menyorot tubuhnya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lama kelamaan tubuh Zuki hilang dari sorotan saya. Keliling saya menjadi gelap seketika. Setelah melepasi kegelapan itulah saya dapati diri saya terlalu jauh di dalam kawasan hutan yang terdapat satu parit anak sungai yang kecil. Parit tersebut sama seperti parit yang melintasi di tengah-tengah kampung Kadir Misai. Cuma keadaan kelilingnya saja dipenuhi hutan dan anak-anak pokok.
Lama saya berlegar-legar mencari punca di manakah saya telah sampai. Akhirnya saya dapat mengangak bahawa anak air yang saya temui itu adalah anak air di kampung itulah seperti keadaannya beberpa puluh tahun dulu. "Mungkinkah saya sudah berjalan terlalu jauh?" fikir saya dalam kebingungan. Ketika ini saya teringat untuk membaca Ayat Waddhuha. Saya membaca tiga kali barulah saya mendapat pedoman mengenai anak air itu. Memang itulah anak air yang saya cari. Tidak salahlah dakwaan Pak Cu Jabat mengenai anak air yang mengalir di tengah kampung itu sudah banyak memakan mangsa.
Dalam masa saya merayau-rayau ini kedengaran kepada saya suara orang mendehem. Cepat-cepat saya berpaling memerhatikan arah suara itu. Seorang lelaki berserban putih, mukanya bersih berbau harum sambil memegang tongkat semambu dari rotan beruas songsang. Dia memimpin tangan Zuki masih teragak-agak mahu melompati parit berkenaan. "Assalamualaikum..." tiba-tiba dia memberi salam. Saya menjadi serba salah. Mustahil pula syaitan boleh memberi salam atau berbau harum demikian. Sekali lagi dia memberi salam. Mau tidak mau saya terpaksa juga menyahut salamnya.
"Anak jangan ragu-ragu" dia tersenyum seolah-olah dapat membaca perasaan saya yang tidak mempercayai dia. "Anak mau budak ni balik, memang saya mau menghantar dia pada keluarganya" jelasnya sambil mengusap-ngusap kepala Zuki. Budak itu tersenyum mengerling ke arahnya. "Tok Sheikh ni siapa? saya mula mempercayai dia. "Saya menjaga tempat ni" beritahu dia ramah. "Memang si lumpuh tu tak habis-habis berdendam, sampai budak Zuki ni pun dia nak kenakan. Mujur saya cepat sampai menolongnya..." katanya menghentak-hentakkan tongkat rotan beruas songsang itu.
"Kenapa Tok Sheikh tak hantar Zuki balik...?" saya cuba menduga. "Tak ada orang sampai ke sini. Pak Cu Jabat tak sampai, dia jauh lagi. Saya pula tak boleh keluar jauh dari sini" jelas lelaki yang saya panggil Tok Sheikh tu. Tok Sheikh itu tidak pula menceritakan siapakah dirinya sebenar. Tetapi saya dapati dia memang berniat baik. Boleh jadi juga Pak Cu Jabat tidak sampai ke situ, sebab itulah Zuki tidak dapat dihantarnya balik. Kalaulah Zuki tidak dapat diambil balik bereti dia akan tidak sedarkan diri beberapa lama lagi. Inilah hakikat sebenarnya.
"Memang jauh anak berjalan..." katanya lalu mengajak duduk pada sepohon pokok. "Jarang orang boleh sampai ke sini, kalau kurang pengalaman memang sukar nak sampai ke sini" ujarnya. Saya mengangguk-angguk kepala. Kagum juga saya dengan sifat ramah orang tua berkenaan . Kalaulah dia dari jenis syaitan masakan budi bahasanya begitu ramah. Oleh itu saya kuat mengagakkan dia bukanlah syaitan, tetapi golongan yang boleh membantu.
"Anak mau pertolongan saya?" tanyanya tersenyum memerhatikan saya dalam keadaan ragu-ragu. "Tidak!" tegas saya. "Saya hanya memerlukan pertolongan Allah" kata saya ego sedikit. "Alhamdulillah, kalau begitu..." suaranya lembut mempesonakan. "Saya tahu anak memang cucu Tok Aji Mat Kampar. Saya kenal dengan Tok Aji Mat Kampar" katanya lagi. Kesal juga saya kerana bercakap seakan-akan kasar terhadap orang tua berkenaan. Tetapi saya masih tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya? Belum pernah saya menghadapi suasana demikian, kerana selalunya kedatangan saya ditentang oleh jelmaan syaitan-syaitan.
Mahu bertanya berulang kali terasa juga segan. Maklum saja, menyoal orang demikian, tidak sama seperti menemui manusia biasa di alam nyata. Orang begigi kadangkala sudah dapat membaca apa yang terbendung di hati kita. Dia juga tahu mengenai Tok Aji saya yang dikenali Tok Aji Mat Kampar itu. Tentulah orang tua itu bukannya musuh. "Saya bukannya musuh..." katanya seolah-olah mengerti apa yang saya fikirkan. "Tapi, datang untuk menolong" jelasnya.
Dia pun menceritakan mengenai Angut Lumpuh yang mengganggu itu. Katanya Angut Lumpuh itu seorang wanita yang pernah dimadukan oleh suaminya. Dia tinggal berhampiran dengan parit berkenaan. Kisah ini berlaku bertahun-tahun dulu sebelum kampung itu terbuka seperti sekarang. Nama sebenar Angut Lumpuh ini ialah Mak Pilin, manakala suaminya Pak Bakok telah berkahwin seorang lagi atas alasan Mak Pilin tidak mempunyai anak. Dengan isteri mudanya Pak Bakok mendapat tiga orang anak. Mak Pilin tidaklah marah dengan perbuatan suaminya berkahwin lain, sekalipun pada mulanya dia merasa kecewa juga.
Lagipun dia tidaklah berani mahu melawan Pak Bakok. Kadangkala apabila diherdik Pak Bakok dia tidak berani langsung mahu menjawab. Satu hari Pak Bakok menyuruh Mak Pilin membasuh seluarnya yang sudah kupam. Seperti biasa Mak Pilin tidak membantah perintah suaminya, maklumlah sejak kebelakangan itu pula Pak Bakok menunjukkan sikap lebih sayang kepada isteri mudanya. Ini disebabkan isterinya yang muda mempunyai anak, sedangkan Mak Pilin bolehlah dianggap perempuan mandul.
Kerja-kerja di rumah lebih banyak dilakukan oleh Mak Pilin. kadangkala bila isteri Pak Bakok yang muda bernama Siti mahu membantu akan dimarahi pula oleh Pak Bakok. Jadi, terpaksalah Mak Pilin membuat kerja-kerja seperti membasuh, memasak, mencari kayu api dan sebagainya. Sementara Siti hanya menjaga anak-anak saja. Mereka tinggal serumah. Siti sangat menghormati Mak Pilin, sementara Mak Pilin juga menganggap Siti sebagai adiknya. Dia melayan anak-anak Siti sama seperti anaknya juga. Sayangnya sikap baik Mak Pilin ini disalah anggap oleh Pak Bakok. Dia memikirkan sikap baik Mak Pilin itu ada udang di sebalik batu. Tentu Mak Pilin akhirnya akan menganiaya Siti anak-beranak melalui sikap lemah lembut itu.
Memang ada niat Pak Bakok mahu membuat rumah berasingan, tetapi mestilah membawa Siti anak-beranak berpindah kerana rumah yang didudukinya itu adalah harta peninggalan ayah Mak Pilin. Untuk membina rumah lain tentulah memakan belanja yang besar. Oleh itu terpaksalah Pak Bakok mendiamkan diri terlebih dulu dengan menumpang tinggal di rumah pusaka Mak Pilin. Bermula dari membasuh seluar kupam itulah rumahtangga Pak Bakok menjadi porak peranda. Pak Bakok menjadi berang kerana seluar yang dibasuh itu tidak bersih. Seolah-olah retak menanti belah saja bila didapatinya seluar tersebut tidak putih setelah dibasuh.
"Memang awak betina tak berguna, basuh kain pun tak boleh diharap!" bentak Pak Bakok melemparkan seluar tersebut ke muka Mak Pilin. "Seluar tu memang kupam. Tak boleh putih lagi dah..." sahut Mak Pilin terharu dengan sikap suaminya. Selama ini dia tahu Pak Bakok tidak pernah bersikap demikian. Hanya setelah mendapat anak dari Siti barulah sikapnya berubah terhadap Mak Pilin.
"Awak jangan menjawab cakap aku!" gerutu Pak Bakok. "Aku cakap yang benar" balas Mak Pilin tidak puas hati dengan tindakan suaminya yang kasar. "Macam mana nak putih kalau seluar tu kupam" ujarnya mempertahankan diri. Memang seluar kupam itu tidak boleh putih walau macam mana dicuci pun. Tetapi Pak Bakok sengaja mahu mencari salah dia. Seolah-olah apa saja kerjanya semua tidak memuaskan hati Pak Bakok.
Siti cuba masuk campur, tetapi diherdik oleh Pak Bakok. Dia tidak mahu Siti membela Mak Pilin. Padanya Mak Pilin memang tidak boleh diharap lagi. Membasuh kain baju pun sudah tidak cuci. Masak nasi sudah tidak menyelerakan. Semua yang dibuat oleh Mak Pilin tidak kena lagi pada dia. "Bukan Kak Pilin yang basuh tu, aku yang basuh..." Siti cuba mempertahankan Mak Pilin. "Seluar tu dah kupam, macam mana nak putih lagi. Sental macam mana pun tak hilang kupamnya" kata Siti dengan harapan kemarahan Pak Bakok boleh reda.
Rupa-rupanya dengan kata-kata Siti itu membuat Pak Bakok semakin berang. Matanya terjengil memerhati Mak Pilin. Oh, selama ni di belakang aku, kau hambakan Siti ye?" dia terus menyepak paha Mak Pilin. "Kau suruh Siti membasuh, memasak, mencari kayu api. Kau duduk goyang kaki aje di rumah!" bentaknya menggertap bibir. "Tak pernah aku buat macam tu..." sahut Mak Pilin terkejut juga dia dengan tindakan Pak Bakok menyepak dia.
"Habis, kenapa Siti mengaku dia membasuh seluar aku tu?" Pak Bakok terus menampar pipi Mak Pilin. Cepat-cepat Siti memeluk Pak Bakok. Dia juga tidak menyangka Pak Bakok bertindak demikian jauh. "Awak dah gila ke buat Kak Pilin macam tu, awak dah gila!" Siti menangis teresak-esak menahan sebak di dada. Pak Bakok tidak peduli rayuan Siti. Dia terus melepaskan geramnya kepada Mak Pilin. Benci sangat dia pada Mak Pilin, setelah mendapati wanita itu seolah-olah menjadi beban saja kepadanya.
"Aku mau kau basuh seluar tu sampai putih, kalau tak putih aku bunuh kau!" kata Pak Bakok terus meninggalkan Mak Pilin dengan Siti di situ. Apabila Mak Pilin mahu bangun tiba-tiba dirasakan kakinya sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tersepuk duduk tidak boleh berjalan. Terkejut juga Siti melihat kejadian yang menimpa Mak Pilin. Mungkin tendangan Pak Bakok terlalu kuat menyebabkan paha Mak Pilin patah.
Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan dengan menginsut punggung. Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari-harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.
Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung. Tapi nasibnya baik, apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kupam. Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah, padahal tujuannya adalah untuk meneyelamatkan Mak Pilin.
Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal dunia. Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak-anak Siti yang ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi. Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda. Sejak berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan Siti pun terbiar. Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti.
Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin. Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain. Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit berkenaan. Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersama-sama anak Siti tiga orang untuk membasuh kain. Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh.
Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya. "Biar aku cari ke hilir Mak Tua..." kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya. "Tak payahlah..." Mak Pilin berkeras tidak membenarkan. "Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini" ujarnya hiba.
"Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari" Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak mereka sedari. "Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang" dia tetap mahu mencari kain yang hanyut itu. Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai mencari kain yang hanyut itu. Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik. Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ. Tentulah suaminya menjadi berang kalau Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya hanyut tidak ditemui.
Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik. Perkara kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat. Semasa menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu, sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin terlalu lama menunggu.
Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh, tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik-adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya. Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik-balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya.
Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin. Dengan kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak berani membantah perbuatan Encom. Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat-cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.
"Ke mana Mak Tua selama ni?" Minah menangis teresak-esak. "Janganlah Minah menangis..." pujuk Mak Pilin. "Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak ada Mak Tua lagi" dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu. "Marilah kita balik Mak Tua" Minah mengajaknya. "Mak Tua tak boleh balik lagi" beritahu dia kepada Minah. "Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah" ujarnya memujuk anak kecil itu.
Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ. Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah mustahil untuk berkahwin lain.
Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya. Dia akan memulangkan dengan syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur kepada suami. Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua. Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan, maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.
Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur. Sebenarnya Mak Pilin sudah dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak Pilin suami isteri. "Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan" dia memberitahu Minah. "Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje" itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.
Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia. "Mak Tua tak akan mengganggu Minah" jelasnya. Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan lumpuh. Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.
"Sayalah keturunan dari Minah itu..." beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki. "Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?" saya menduga. "Iya..." dia mengangguk lemah. "Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan mangsanya, itu saja" jelas dia tenang. "Mengapa pula?" soal saya. "Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya" ujar orang tua berjubah dan berserban putih itu. "Mana dia nak tau anak cucu Minah?" saya mendesak lagi. "Kalau tidak terkejut bila ternampak dia, itulah tandanya anak cucu Minah" beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.
"Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?" saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh itu. Memang anak seorang yang berani..! kata Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya. Dia pun menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah diperdayakan oleh syaitan itu.
Bagaimanapun saya tidaklah mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang diceritakan oleh Tok Sheikh. Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu. Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut. Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah-olah menyimpan dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya.
Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan beruas songsang itu di tangannya. "Angut jangan ganggu Zuki ni!" kata Tok Sheikh perlahan. "Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan" suaranya bergetar seperti menyimpan dendam. "Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut" Tok Sheikh mengeraskan suara. "Kau jangan masuk campur!" jerkah Angut Lumpuh. "Saya kata jangan, janganlah Angut..." Tok Sheikh memberi amaran. "Kalau Angut berkeras, saya juga akan berkeras" tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.
Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan. Kenudian dia melompat bertukar menjadi asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa. Dia berlegar-legar mahu menerkam. Bagaimanapun dia tidak dapat merapati Tok Sheikh kerana tongkat itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan. Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum, menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus.
Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya. "Saya dah cakap, Angut jangan mengganggu lagi...!" seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu jatuh semula ke dalam parit. Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung. "Angut tidak akan diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang" jelas Tok Sheikh mengingatkan. Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik. Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.
Lama dia terkial-kial menekup dadanya barulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya, "Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan selamat..." beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan. Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya, sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.
"Berani sangat ustaz berjalan jauh..." bisiknya ke telinga saya. Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya. Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.
Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari. "Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang" saya memberitahu Pak Cu Jabat. Pak Cu Jabat tersenyum. "Itulah pun musuh dia..." katanya. Dia tidak menceritakan lebih lanjut mengenai rotan beruas songsang itu. Tetapi saya memang sudah mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.
TAMAT
No comments:
Post a Comment