Namun bagi kita umat Islam, 04 Julai juga adalah tarikh keramat dalam sejarah moden Islam. Setelah seribu tahun lebih Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa berada dibawah pemerintahan Islam (sejak zaman Saidina 'Umar r.a), ia jatuh ke tangan kuffar pada tahun 1099. Setelah 88 tahun dibawah pemerintahan tentera salib, akhirnya muncul wira Islam moden Sultan Salahuddin Al Ayubi.
Sultan Salahuddin Al Ayubi adalah seorang Kurdis yang dilahirkan di Tikrit daripada keluarga Najm Adden Ayyub (Tikrit adalah sebuah wilayah didalam Iraq sekarang, kebetulan tempat kelahiran Allahyarham Saddam Hussein). Nama sebenar Salahuddin ialah Yussuf bin Ayyub (1137-1193).
Sebenarnya, sejarah kegemilangan pembukaan semula Kota Baitul Maqdis dan pembebasan Masjidil Aqsa daripada kuffar salibiah oleh Sultan Salahuddin bermula pada 04 Julai 1187. Pada tarikh tersebut, Sultan Salahuddin bersama tenteranya (kebanyakannya umat islam Kurdish yang bergerak daripada Dimasyq/ Damsyik) telah bertempur dalam satu peperangan besar di Hattin, menentang tentera salib dibawah pemerintahan Guy de Lusignan dan Raymond of Tripoli. Sebelum pertempuran Hattin, Sultan Salahuddin telah berjaya merobohkan benteng pertahan tentera salib di Kota Kerak (Jordan) dibawah pemerintahan Raynold de Chatillon dan tentera The Templars.
Dalam pertempuran Hattin, Raynold dan Guy telah ditangkap oleh tentera Islam. Sultan Salahuddin sendiri telah memancung Raynald tetapi tidak menghukum Guy de Lasagna. Kejayaan menumpaskan tentera salib di Hattin pada 04 Julai 1187 telah mengubah haluan sejarah dan membuka peluang kepada Sultan Salahuddin untuk membebaskan Baitul Maqdis yang berjaya dibuka semula tiga bulan selepas itu iaitu pada 02 Oktober 1187. Bagi yang berminat dengan kisah ini, bolehlah menonton filem "The Kingdom of Heaven" lakunan Orlando Bloom dan Ghassan Massoud.
Oleh itu, apabila tiba tarikh 04 Julai, janganlah kita terikut-ikut nak mengingat hari kemerdekaan Amerika, Tetapi ingatlah kepada kejayaan Sultan Salahuddin Al Ayyubi memenangi pertempuran Hattin dan sekaligus berjaya membuka semula Kota Baitul Maqdis dan membebaskan Masjidil Aqsa.
Dan saya terkenang kata-kata Sultan Salahuddin semasa ditanya oleh seorang pegawainya, "ALLAH sentiasa bersama saya kerana saya sentiasa bersama ALLAH". Sultan Salahuddin seorang yang sangat bertaqwa, sangat takutkan ALLAH, dan sentiasa mendirikan solat malam. Tidak pernah merasa dirinya hebat, sentiasa bertawaddhuk serta zuhud, dan walaupun beliau sendiri bukan seorang agamawan ataupun ulama', tetapi sentiasa mengambil nasihat ulama' dan memastikan ulama' selalu disekelilingnya.
Dalam mencapai cita-cita memartabatkan Islam, Sultan Salahuddin langsung tidak berkompromi dengan mereka yang memperkudakan Islam. Malahan sebelum memulakan ekspedisi membuka Kota Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin terlebih dahulu menghapuskan semua pemimpin dan pemerintah beragama Islam tetapi tidak hidup mengikut Islam. Dan Sultan Salahuddin cukup yakin dengan bantuan ALLAH, sebab itu beliau langsung tidak bersekongkol dengan mana-mana musuh Islam, apatah lagi dari golongan kuffar. Beliau yakin Islam boleh mencapai kejayaan dengan sendiri, sebagaimana Rasulullah boleh mencapai kejayaan dalam perang Badar tanpa bantuan kuffar walau senafas. Walaupun tidak pernah bersekongkol dengan kuffar, namun nama Sultan Salahuddin sangat dihormati dan digeruni di Barat, yang mengenali beliau dengan nama Saladin.
Sultan Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 04 Mac 1193 di Kota Damsyik. Apabila peti simpanan Salahuddin dibuka untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Sultan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Sultan Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyah, Damsyik merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal dan sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.
Alangkah baiknya jika dapat umat Islam mengambil iktibar daripada perjuangan Sultan Salahuddin Al Ayyubi ini
*Gambar atas adalah wajah Sultan Salahuddin Al Ayyubi At Tikriti, sementara gambar kanan adalah Tugu Peringatan Sultan Salahuddin di tengah Kota Damsyik. Gambar bawah adalah Maqam Sultan Salahuddin yang terletak bersebelahan Masjid Ummaiyyah, Damsyik (yang didalamnya terletak kubor Nabi Yahya dan Maqam Saidina Hussein).
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Sejarah ringkas Sultan Salahuddin Al Ayyubi
Salahuddin dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najm ad-Din Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Nur ad-Din.
Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Nur al-Din dan sering mewakili Nur al-Din dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada tahun 1169. Di sana, dia mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I. Kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal perlantikkannya sebagai panglima. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan dalam tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian khalifah. Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar-askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Adid.
Apabila khalifah itu meninggal dunia pada bulan September 1171, Salahuddin mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah Al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat. Sekarang, walaupun Salahuddin yang memerintah Mesir tetapi hanya sebagai wakil Nur ad-Din. Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir, Salahuddin melakukan perubahan terhadap ekonomi Mesir, menyusun semula angkatan tentera, dan menuruti nasihat ayahnya supaya mengelak daripada sebarang konflik dengan Nur ad-Din. Beliau menunggu sehingga Nur ad-Din meninggal dunia sebelum memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Pada awalnya terhadap beberapa kerajaan-kerajaan Muslim yang kecil kemudian ke atas tentera Salib. Dengan kewafatan Nur ad-Din pada tahun 1174, beliau menjadi Sultan Mesir. Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah. Beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.
Pada 4 Julai 1187, Sultan Salahuddin Al Ayubi At-Tikriti bertempur dalam Pertempuran Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan (sebutan gi bukan guy), raja negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini membei tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Salahuddin berjaya menangkap Raynald dan beliau sendiri memancung kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.Selepas tamatnya Perang Hattin, Salahuddin berjaya merampas kembali hampir keseluruhan kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib (lihat Kepungan Baitulmuqaddis). Kecuali bandar Tyre tidak ditawan Salahuddin. Salahuddin membenarkan tentera dan masyarakat Kristian pergi ke sana. Kota itu sekarang diperintah oleh Conrad dari Montferrat. Dia mengukuhkan pertahanan Tyre dan berjaya menahan dua kepungan yang dilakukan oleh Salahuddin. Pada tahun 1188, Salahuddin membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantar beliau kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.
Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan semula Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Salahuddin bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191. Kedua-dua belah pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan dari England kepada adik lelaki Salahuddin, Al-Adil, dengan kota Baitulmuqaddis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal ekoran kebimbangan berhubung hal-hal agama di kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.-credit to YB Zul-
No comments:
Post a Comment