Monday, November 1, 2010

Proses Penempelan & PMR





Persenyawaan gamet jantan dan gamet betina
Semasa berlakunya persetubuhan, sperma di dalam testis akan bergerak ke uretra melalui duktus sperma. Vesikel semen pula akan merembeskan cecair semen. Cecair semen mengandungi nutrien bagi membekalkan tenaga kepada sperma. Di samping itu, ia juga menyediakan medium bagi membolehkan sperma berenang. Campuran cecair semen dan sperma dinamakan semen (air mani).
Pengecutan otot zakar akan memancutkan semen ke dalam faraj. Ketika semen memasuki faraj, berjuta-juta semen akan berenang memasuki uterus melalui satu bukaan dipanggil serviks. Berjuta-juta sperma yang lemah akan mati sebelum sampai ke uterus. Sperma yang sampai ke uterus akan memasuki tiub Fallopio. Hanya lebih kurang 400 sperma sahaja berjaya memasuki kawasan ini.
Sekiranya terdapat ovum di dalam tiub Fallopio, sperma-sperma ini akan cuba menembusi ovum tetapi hanya satu sperma sahaja yang berjaya melepaskan nukelusnya ke dalam ovum. Nukleus sperma akan bercantum dengan nukleus ovum.
Hanya bahagian kepala sperma sahaja yang berjaya menembusi membran ovum manakala leher dan ekornya tertinggal di luar.
Percantuman sperma dengan ovum akan membentuk zigot. Proses ini dinamakan persenyawaan.
Penempelan Zigot
Dalam tempoh 3 hingga 4 jam selepas persenyawaan, zigot akan bergerak di dalam tiub Fallopio (oviduktus) menuju ke uterus sambil menjalani pembahagian mitosis berulang. Ia mengambil masa lebih kurang 7 hari untuk tiba di uterus.
Apabila zigot tiba di dinding uterus, ia telah membentuk morula (bebola yang mengandungi 16 sel). Pembahagian diteruskan dan menghasilkan blastosista. Blastosista kemudian akan menempel ke dinding uterus. Bahagian dinding blastosista yang tebal akan membentuk embrio. Bahagian luar blastosista akan membentuk unjuran-unjuran bagi menyerap nutrien dari dinding uterus (unjuran ini nanti akan membentuk plasenta). Pembahagian blastosista berterusan sehingga menjadi lebih kurang 100 sel dan ini dinamakan embrio.
Proses di mana embrio melekatkan diri pada dinding uterus melalui plasenta dinamakan penempelan.
Plasenta berhubung dengan embrio melalui tali pusat. Plasenta kaya dengan kapilari darah. Makanan dan oksigen daripada ibu dihantar kepada embrio melalui plasenta ini. Bahan buangan seperti urea dan karbon dioksida disingkirkan oleh embrio juga melalui plasenta untuk dikumuhkan oleh ibu.
Sistem peredaran darah embrio terpisah daripada sistem peredaran darah ibu.
Bagi mengelakkan sebarang kecederaan fizikal, gegaran atau renjatan kepada embrio, ia dilindungi dalam satu pundi yang berisi bendalir amnion.
Lebih kurang minggu ke-8, embrio telah kelihatan seperti manusia dan jantinanya juga boleh dikenalpasti. Pada waktu ini, embrio dipanggil fetus. Fetus akan terus berkembang dan membentuk seperti bayi yang dilahirkan. Apabila ia sudah bersedia untuk dilahirkan, fetus akan berpusing supaya kepalanya menghala ke arah faraj.
Pada kebiasaannya, tempoh daripada persenyawaan sehingga bayi dilahirkan mengambil masa lebih kurang 9 bulan 10 hari. Tempoh ini dinamakan tempoh kehamilan.
Perkembangan Lengkap Embrio Dalam Tempoh 50 Hari
Kelahiran Bayi
Apabila tiba waktu untuk bayi dilahirkan, otot-otot pada dinding uterus akan mengecut dan mengendur secara berirama. Semakin hampir waktu untuk bersalin, pengecutan dan pengenduran otot dinding uterus menjadi semakin kerap. Kesakitan yang dialami oleh ibu-ibu yang akan bersalin disebabkan oleh pengecutan dan pengenduran otot pada dinding uterus ini.
Pergerakan otot yang semakin kerap menyebabkan pundi yang mengandungi bendalir amnion pecah. Serviks mulai terbuka dan otot-otot pada abdomen dan diafragma turut mengecut bagi menolak bayi ke faraj melalui serviks.
Pergerakan otot pada dinding uterus juga menyebabkan plasenta tertanggal. Fetus yang dilahirkan dinamakan bayi.

No comments:

Post a Comment