Thursday, December 10, 2015

26 LELAKI TUA BERKEPALA BUAYA



LELAKI TUA BERKEPALA BUAYA


SUDAH menjadi kebiasaan selesai sahaja Maghrib saya akan membaca Al-Quran menunggu masuk waktu Isya'. Berulang kali habiskan membaca tiga puluh juzu' Al-Quran itu semakin terasa terlalu kerdil diri sejak bertahun-tahun dulu. Memang isteri saya tidak akan mengganggu sekiranya saya masih membaca Al-Quran di dalam bilik sekalipun kawan-kawan rapat menelefon.

Disebabkan ayah saya menelefon, terpaksa jugalah isteri saya menjengah ke dalam bilik. Habis sahaja saya membaca Surah Al-Haqqah sebanyak 52 ayat itu tidak sempat saya mahu meneruskan  membaca Surah Al-Ma'aarij sebanyak 44 ayat. Lantas saya keluar menyambut telefon dari ayah saya. Memang surah yang mempunyai ayat-ayat pendek itu saya habiskan tiga atau empat surah dari selepas Maghrib menjelang Isya' itu. Disebabkan isteri saya memberitahu ayah saya menelefon, segeralah saya menyambut telefon itu.

Tidaklah mustahak sangat perkara yang hendak diberitahunya cuma abang ipar saya Haji Mosli mengajak ke rumahnya kenduri disebabkan anak saudaranya akan ke Mekah. Perkara kenduri ini sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, sekalipun mengadakan kenduri dan tahlil semata-mata disebabkan mahu ke Mekah itu. Tetapi Haji Mosli mehu mengadakan kenduri doa selamat itu bukanlah disebabkan anak saudaranya akan ke Mekah sahaja, dia sudah lama berhajat mahu mengadakan kenduri tersebut. Kakak saya Hajah Seriyah pun memberitahu saya dia mahu adakan kenduri doa selamat dan kesyukuran.

Disebabkan kenduri doa selamat itu diadakan di rumah kakak saya di Pulau Sebang, saya menyuruh anak saya sahaja ke sana bersama isteri saya. Memang saya sudah berjanji mahu ke Jerantut malam kenduri itu diadakan, setelah Kadir Misai beritahu Lebai Bumin sudah beberapa minggu terlantar sakit. Sudah lama juga saya tidak menemui kawan baik saya Lebai Bumin itu, semenjak dia berpindah ke Jerantut mengikut anaknya. Disebabkan dia selalu sakit-sakit setelah isterinya meninggal dunia, sengaja anaknya membawa dia tinggal bersama di Jerantut.

Bukanlah bersetuju sangat Lebai Bumin dibawa anaknya ke Jerantut, tetapi dia terpaksa menuruti kemahuan anaknya disebabkan keadaan badannya bertambah uzur. Kalau dia berkeras mahu menetap di rumahnya di Tanjung Karang, siapa pula yang akan uruskan dirinya. Harapkan cucu atau anak saudara, mereka juga bukan sepanjang masa mahu mengambil tahu mengenai dirinya. Setelah diberitahu oleh Kadir Misai mengenai Lebai Bumin yang uzur di Jerantut itu saya sendiri tetapkan masa untuk ke sana. Tetapi apabila ayah saya menelefon mengenai kakak saya mahu mengadakan kenduri di rumahnya di Pulau Sebang, terpaksalah saya mengambil keputusan mahu ke Jerantut juga.

Marah juga anak saya disebabkan saya lebih mementingkan kawan sendiri dari saudara-mara. Tetapi perkara kenduri doa selamat tidak sama dengan menziarahi orang sedang sakit. Kenduri doa selamat boleh diadakan lagi. "Kalau kenduri di rumah kakak ustaz tu penting, apa salahnya malam lain sahaja kita ke Jerantut," ujar Kadir Misai ketika datang menjemput saya mendapati isteri saya sudah bersiap-siap dengan anak saya untuk ke Pulau Sebang pula. "Tak apalah, Wak," sahut isteri saya perlahan. "Ustaz tu kalau dah berjanji, dia tak mahu mungkirkan janjinya," tegas isteri saya memaklumkan. "Tapi, uzur Lebai Bumin ni, maklumlah uzur orang tua," jelas Kadir Misai tersengih-sengih. "Bukanlah sakit tenat sampai terlantar sangat," katanya macam rasa bersalah kerana mendesak saya ke Jerantut sebelum itu. "Hai, ustaz ni pun bukanlah muda sangat, selalu juga uzur," sengaja isteri saya mengusik sambil mengerling ke arah saya.

Apabila isteri saya bersama anak-anak saya bertolak ke Pulau Sebang, saya pula bertolak ke Jerantut bersama Kadir Misai. Sengaja pula Kadir Misai ke Temerloh dulu mengajak Mat Jubin ikut sama. Tetapi kebetulan pula Mat Jubin tidak ada di rumah disebabkan sudah ke Kemaman. Memang sebelum ke Temerloh tidak ada pun Kadir Misai berjanji dengan Mat Jubin. Dia sendiri tidak menyangka kerana dua hari sebelum itu dia sudah menemui kawannya itu. Terkejut juga Mat Jubin apabila diberitahu mengenai kawannya Lebai Bumin terlantar sakit itu. Mat Jubin sendiri berpesan supaya Kadir Misai mengajaknya bersama kalau mahu ke Jerantut.

Isterinya juga tidak tahu kenapa Mat Jubin ke Kemaman hingga tidak sempat meninggalkan pesanan apa-apa. Lainlah kalau dia  ke Sungai Tengi bersama Lebai Bumin, semasa kawannya itu masih menetap di Tanjung Karang. Kadir Misai pun tahu sekiranya Mat Jubin ke Sungai Tengi memang menangkap buaya tengah galak mengganas. Tidak siapa pun berani mengharung arus sungai apabila buaya terjongol kepala. Cuma Mat Jubin satu-satunya yang tidak akan berganjak. Bila-bila dia akan turun ke bawah tebing setelah diberitahu mengenai buaya menyambar mangsa. Sudah beberapa kali Lebai Bumin mengajaknya ke Sungai Tengi apabila buaya menyambar lembu meragut rumput di tebing sungai. Bimbang juga mereka di situ mahu mengharungi sungai apabila buaya mula mengganas sekalipun menyambar lembu tengah meragut rumput. Manalah tahu buaya berkenaan akan menyambar siapa sahaja tercegat di tebing sungai.

Sebab itulah mereka ke Tanjung Karang mencari Lebai Bumin. Mereka mendesak orang tua itu supaya membantu biar buaya berkenaan jauh dari Sungai Tengi. Tentu Lebai Bumin boleh halau binatang berkenaan masuk ke sungai Bernam supaya tidak mengganggu penduduk-penduduk di situ.Tetapi Lebai Bumin tidak sama dengan Pawang Bahar. Sejak bertahun-tahun memang mereka di situ harapkan Pawang Bahar turun ke tengah arus apabila buaya menyambar mangsa. Mereka melihat sendiri Pawang Bahar membakar kemenyan di tebing sungai lantas mengepal tiga genggam tanah di tangannya.

Setelah kepalan tanah di tangannya diasapkan dengan kemenyan, Pawang Bahar akan melontarkan kepalan tanah itu ke tengah arus. Kadangkala kepalan pertama yang dilontarkannya itu sudah disambar buaya di permukaan air. Sekiranya buaya yang diperangkapnya berdegil sampai habis semua tiga kepalan tanah dilontar ke tengah arus, tidak seekor pun buaya akan melompat menyambarnya. Terpaksalah pula Pawang Bahar gunakan cara yang lain biar buaya berkenaan menyerah diri di depannya. Cubalah buaya tersebut berdegil setelah dia lemparkan tiga kepalan tanah sudah dijampi dan diasapkan dengan kemenyan itu!

Kalau Pawang Bahar sudah cancangkan buluh runcing di atas tebing bersilang dua, kemudian dilangkah tiga kali nescaya buaya yang degil tidak lepas ke mana. Bila-bila buaya di dasar sungai akan merangkak naik ke tebing laksana kura-kura tidak bermaya. Tidak bertangguh buaya berkenaan menyusupkan kepala ke bawah buluh tercancang bersilang dua di tebing sungai. Ketika ini Pawang Bahar akan memukul kepala buaya dengan kain hitam panjang tiga hasta berulang kali. Memang buaya berkenaan tidak akan melawan sebaik sahaja kepalanya dipukul berulang kali dengan kain hitam panjang tiga hasta.

Selepas dipukul kepalanya oleh Pawang Bahar nescaya buaya tersebut menghempas diri ke tebing sungai. Tidak lama dia bergolek-golek menghempaskan diri buaya itu akan terkejang mati dengan darah menyembur dari mulutnya. Cubalah buaya ganas berkeras di depan Pawang Bahar. Kalau diumpan dengan kepalan tanah pun buaya di dasar sungai tidak dapat lari ke mana. Sebaik sahaja buaya itu menyambar kepalan tanah yang dilontarkan ke permukaan hanya dalam masa beberapa minit sahaja buaya itu akan merangkak naik ke tebing. Apabila naik sahaja ke tebing nescaya buaya tersebut menggelepar laksana ikan mabuk tuba! Beberapa kali buaya berkenaan menggolek badan menghempaskan diri, dalam masa beberapa minit sahaja akan terkejang dengan darah membuak-buak di muncung. Mereka akui kebolehan Pawang Bahar kalau berdepan dengan buaya ganas di mana-mana pun.

Tetapi semenjak Pawang Bahar meningal dunia siapa lagi boleh diharap kalau bukan Lebai Bumin. Cuma mereka tidak menyedari Lebai Bumin tidak sama dengan Pawang Bahar. Disebabkan orang-orang kampung mendesak, terpaksa jugalah Lebai Bumin gagahi memenuhi kemahuan mereka. Sebab itulah Lebai Bumin menjemput Mat Jubin di Temerloh. Dia percaya kawannya itu sanggup membantu disebabkan lama mereka berkawan dengan Pawang Bahar. Cuma Lebai Bumin tidak cekap seperti Mat Jubin kalau diminta ke tengah arus sungai jinakkan buaya mengganas.

Lainlah kalau mangsa terkena santau sampai berbuih-buih muntah darah, memang Lebai Bumin satu-satunya yang tidak mengelak jika dijemput hatta tengah malam tatkala nyenyak tidur sekalipun. Ketuklah pintu rumahnya, nescaya bila-bila pun Lebai Bumin akan bangun dengan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk. Dia akan mencapai bajunya yang tersangkut di paku dinding lantas disandang ke bahu. Dengan tidak bercakap sepatah pun dia terus sahaja berjalan menuju ke rumah mangsa. Sudah menjadi pantang larang Lebai Bumin dia tidak akan bercakap sepatah pun apabila dijemput mengubati mangsa terkena santau. Setelah dia doakan mangsa itu barulah dia mahu bercakap sepatah dua.

Lebai Bumin tidak peduli tengah malam pun dia akan meminta keluarga mangsa ambilkan juga kelapa muda. Kalau terpaksa memanjat pun, kena jugalah panjat sampai santak pelepah. Lebai Bumin tidak mahu buah kelapa tersebut jatuh terhempas ke tanah sekiranya mahu dibuat ubat. Terpaksalah siapa pun memanjat berhati-hati supaya buah kelapa muda yang diperlukan oleh Lebai Bumin itu tidak jatuh terhempas ke tanah. Dia sendiri akan memangkas bahagian kepala buah sampai nampak tempurung. Setelah ditebuk tempurung berkenaan barulah Lebai Bumin merenung tepat ke pusar air kelapa. Kadangkala mereka nampak  asap keluar berkepul dari lubang yang ditebuk sebelum sempat Lebai Bumin bacakan doa. Ketika ini Lebai Bumin akan bacakan berulang sampai tujuh kali: Bismillahhil lazi layaddhurru ma'asmihi syai-in fil-ardha wala fis-sama-ii wahuwal sami'ul 'alim, fat-tahazat min dunihim hijaban fa-arsalna ilaiha rohana fatamasthala laha basyaran sawiiya.

Apabila air kelapa yang didoakan itu diberi minum kepada mangsa sekaligus pula mangsa berkenaan akan muntah hingga melambak ditadah ke dalam dulang. Mereka akan lihat sendiri muntah bercampur darah itu berbaur-baur dengan serbuk kaca halus dengan serpihan ulat bulu dan miang rebung. Setelah menghela nafas dengan keadaan yang dilihatnya itu barulah Lebai Bumin mahu dilayan bercakap. Tidak ada lagi pantang-larang setelah dia doakan mangsa yang mengadu terkena santau. Tetapi selagi belum dia mendoakan memang Lebai Bumin tidak akan bercakap sepatah pun semasa berjalan ke rumah mangsa.

Tahu sangat orang-orang kampung dengan pantang-larang Lebai Bumin itu. Sebab itu mereka juga akan sama-sama berpegang dengan pantang-larang tersebut apabila menjemput Lebai Bumin. Tetapi mereka tidak tahu fasal Lebai Bumin tidak akan sanggup jinakkan buaya mengganas di tengah arus sekalipun lama dia berkawan baik dengan Pawang Bahar. Sampaikan dia tahu sangat tabiat Pawang Bahar yang sayangkan basikalnya macam mendidik anak-anak. Setiap hari dia akan basuh basikal kesayangannya asal sahaja balik dari kedai meranduk lumpur di permatang sawah.

Kadangkala diusik juga oleh Lebai Bumin disebabkan Pawang Bahar akan membawa basikalnya naik ke serambi setiap malam. Dia tidak rela biarkan basikalnya tersadai di bawah rumah. Tetapi Pawang Bahar tidak peduli sekalipun Lebai Bumin mengusiknya seolah-olah sama basikal tersebut dengan isteri sendiri. Sekalipun dijaga cermat basikal Pawang Bahar hilang juga dari tengah serambi. Dia sendiri tidak tahu siapa mencurinya sampaikan Pawang Bahar pun terpedaya. Tidak lama selepas basikalnya hilang itu, tiba-tiba sahaja dia diserang sesak nafas hingga meninggal dunia.

Macam tidak percaya Lebai Bumin apabila diberitahu mengenai kawannya Pawang Bahar. Masakan Pawang Bahar bersedih fasal basikalnya hilang hingga menanggung sesak nafas. Siapa pun tidak tahu ke mana hilangnya basikal kesayangan Pawang Bahar. Memang mereka percaya Pawang Bahar dapat mengagak kehilangan basikalnya itu petua menandakan saatnya semakin hampir. Tentu pawang besar sepertinya tahu mengenai petua dan pelangkah mengenai dirinya. Kalau buaya ganas di tengah arus pun boleh dijinakkannya, masakan dia tidak tahu apa-apa mengenai petua dan pelangkah.

"Mat Jubin pun tak kurang dari Pawang Bahar tu, ustaz," bisik Kadir Misai apabila meninggalkan bandar Temerloh. Saya mengangguk perlahan. Perkara kebolehan Pawang atau Mat Jubin bukanlah penting sangat, kerana mereka berdua juga memohon pertolongan dari Allah. Memang seringkali saya ingatkan Kadir Misai mengenai makna: Innallahu mulkussamawati wal-ardh yuhyi wayumitu wama lakum min dunillahi minwwaliyinwwalanasir. "Sesungguhnya kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah," keluh Kadir Misai menghela nafas pendek.

Dia sedar tidak sepatutnya dia membandingkan kebolehan arwah Pawang Bahar dengan Mat Jubin. Kalau dia tidak ceritakan kepada saya pun, memang sudah beberapa kali saya diberitahu oleh Lebai Bumin mengenai dua orang rakannya itu. Kadangkala menitik air mata Lebai Bumin apabila kenangkan arwah Pawang Bahar sanggup bercekang mata di tebing sungai apabila diberitahu buaya galak mengganas. Pawang Bahar tidak terniat langsung mahu tunjukkan kemampuannya tundukkan buaya ganas sampai merangkak ke celah kangkangnya menyerah diri. Dia sekadar mahu selamatkan penduduk-penduduk yang merasa terancam setiap kali buaya ganas menjongolkan kepala di permukaan arus sungai.

Sama juga dengan Mat Jubin yang sanggup menyelam ke dasar sungai kalau penduduk-penduduk gempar tatkala mangsa disambar buaya. Puas menyeru di tebing sungai, tidak seekor pun buaya ganas terjongol kepala di tengah arus, lantas sahaja Mat Jubin menggenggam pasir. Apabila dia kisarkan tapak tangannya, Mat Jubin akan turun ke air dengan tidak bercakap sepatah pun. Sekaligus pula dia menyelam hingga tidak timbul lagi. Ketika ini mereka yang berdiri di tebing sungai akan melihat buih membuak tempat Mat Jubin menyelam. Tidak lama selepas itu mereka nampak seekor buaya putih akan menghambur tiga kali ke permukaan sungai.

Setelah buaya putih itu tenggelam semula ke dasar sungai, lama mereka menunggu di tebing sungai nescaya akan terjongol seekor demi seekor buaya merangkak ke tebing sungai. Tatkala ini Lebai Bumin akan berdiri di situ memegang kain hitam panjang tiga hasta. Sebaik sahaja buaya merangkak naik ke tebing, Lebai Bumin akan memukul buaya berkenaan dengan kain hitam panjang tiga hasta itu. Sekiranya buaya berkenaan tidak menyambar mangsa, lantas sahaja dia terjun semula turun ke dasar sungai. Hingga buaya yang bersalah menyambar mangsa merangkak naik ke tebing, nescaya dia tidak akan berganjak apabila kepala dipukul Lebai Bumin dengan kain hitam panjang tiga hasta. Selepas buaya berkenaan menyerah kalah, Lebai Bumin akan meyeru Mat Jubin naik semula ke tebing.

Sebaik sahaja Lebai Bumin menyeru namanya tiga kali, mereka yang berdiri di tebing sungai akan melihat buaya putih menghambur ke permukaan air tiga kali berturut-turut. Tidak lama selepas itu Mat Jubin akan tercungap-cungap naik ke tebing. Dia akan memberi arahan sama ada buaya berkenaan perlu dibunuh atau pun tidak. Memang Mat Jubin tidak akan membunuh buaya yang sudah tidak berganjak di tebing. Dia akan meminta orang-orang kampung sendiri menembaknya. Setelah buaya itu mati akibat kepala ditembak, Mat Jubin sendiri akan tanam bangkai binatang berkenaan lengkap dikapan kain putih. Mereka melihat Mat Jubin mengesat pelupuk matanya apabila bangkai buaya itu terbungkam ditembak kepala sampai terkejang di situ.

"Saya tak sanggup nak buat macam abang Mat Jubin tu," Kadir Misai menambah apabila menyedari saya tunduk tidak bercakap apa-apa. Saya tidak menyahut. Tidak tahu saya kenapa Mat Jubin mesti kapankan bangkai buaya tersebut. Terpaksa pula banyak membeli kain putih semata-mata mahu kapankan bangkai binatang berkenaan. Memang saya tidak pernah tanyakan kepadanya mengenai petua tersebut sampai dia sanggup bersusah payah tanamkan bangkai buaya berkenaan dengan dikapankan.

Disebabkan kami meninggalkan Temerloh belum masuk Maghrib, terpaksalah saya mengajak Kadir Misai berhenti dalam perjalanan apabila ternampak masjid. Memang banyak masjid ditemui kalau sepanjang perjalanan menuju ke Kuantan, tetapi melalui jalan ke Jerantut sengaja Kadir Misai membawa saya ikut jalan kampung yang belum pernah saya tempuh lagi. Kadir Misai memang tahu sangat di mana sahaja ceruk kalau di Pahang. Bukan takat ke Jerantut sahaja, kalau turun sampai menuju ke Endau pun Kadir Misai tahu jalannya. Apalagi kalau ke Pelangai atau Mancis ikut Jalan Karak, bila-bila Kadir Misai boleh tunjukkan jalan pintas.

Selepas melalui jalan belukar dipenuhi pokok-pokok durian di kiri kanan jalan, kami menemui beberapa buah rumah sahaja. Tidak jauh dari beberapa buah rumah itu nampak surau kecil di tepi jalan dengan beberapa orang jemaah tengah solat. Lantas Kadir Misai mengajak saya turun di surau berkenaan untuk solat bersama jemaah di situ. Sempat juga kami ikut sama berjemaah di surau berkenaan. Habis sahaja mereka berdoa, beberapa orang jemaah turun meninggalkan surau. Hanya Siak Budin sahaja menunggu saya dan Kadir Misai habiskan solat sunat.

"Abang tunggu kami ke?" segera Kadir Misai mendekati lelaki itu setelah dia memperkenalkan dirinya sebagai Siak Budin. Memang serba salah juga kami sekiranya dia terpaksa menunggu kami, disebabkan mahu cepat balik ke rumah selepas habis solat berjemaah Maghrib. Kenapa pula mereka tidak menunggu  hingga Isya' masuk? "Tidak, saya menunggu Isya'," beritahu siak Budin menyandarkan belakang ke dinding. "Kenapa jemaah lain tak tunggu Isya?" Kadir Misai yang memang ramah itu terus bertanya. "Ah, orang-orang muda sekarang bukannya tahu nak makmurkan surau atau masjid," gerutu Siak Budin menyimpan perasaannya.

Tersengih-sengih Kadir Misai. Bukan Siak Budin sahaja mengeluh kalau kenangkan suraunya seringkali lengang menunggu jemaah. Banyak tempat berlaku kejadian seperti itu, tetapi apalah yang boleh dibuat oleh orang-orang seperti Siak Budin selain daripada mengeluh kesal sahaja. Dalam masa Siak Budin masih berbual-bual dengan Kadir Misai, saya merasa hati berdebar-debar tidak semena-mena. Lantas saya memberi isyarat kepada Kadir Misai mahu berbaring sebentar di penjuru surau. Sambil mengurut dada perlahan saya bacakan Ayatul Kursi untuk meredakan debaran yang semakin kuat.

"Kalau ustaz penat, tidurlah dulu," ujar Siak Budin mengusap-ngusap janggutnya. Saya sekadar memberi isyarat dengan mengangkat tangan sahaja. Kemudian merebahkan badan dengan kepala alaskan lengan sahaja sambil mengereng ke dinding. Dalam masa saya bacakan Al-Fatihah 100 kali, memang terasa terlelap sebentar. Terbayang pula kepada saya rumah kakak saya di Pulau Sebang tengah bertahlil tatkala itu. Nampak sangat bayangan ayah saya terlenggok-lenggok bersama orang ramai di tengah rumah. Ketika inilah Jibah anak saudara abang ipar saya terjerit di dapur ketakutan tidak bersebab.

Tidak bertangguh pula kakak saya menggamit suaminya Haji Mosli  supaya pulihkan Jibah. Tentulah mereka cemas sekiranya Jibah tidak dipulihkan disebabkan dia akan berangkat ke Mekah tunaikan fardu haji bersama suaminya. Kalau keadaan masih lemah, bimbangkan juga mahu lepaskan dia mahu ke Mekah. Selesai sahaja orang bertahlil dan doa selamat, terpaksa pula mereka menjengah Jibah yang terjerit-jerit ketakutan. Suaminya Lasah semakin gelabah apabila Jibah tidak boleh menatap mukanya. Asal sahaja Lasah berdiri di sampingnya dia akan menuduh suaminya itu buaya ganas mengangakan mulut di tengah arus sungai.

"Sabar Lasah," segera ayah saya menepuk-nepuk bahu Lasah memujuknya supaya bertenang. "Cubalah Pak Aji tengok-tengokkan," bisik Lasah resah dengan keadaan isterinya dalam saat persiapan telah dibuat untuk ke Mekah. "Orang sini tak adakah yang boleh tengokkan," ujar ayah saya sambil memandang orang ramai. Dia sendiri bimbang nahu tunjukkan pandai di tempat orang sekalipun di situ kampung halaman menantu sendiri. Manalah tahu tidak sama pula adat resam orang-orang di situ dengan di kampung halamannya. Setidak-tidaknya dia perlu juga berbudi bahasa terlebih dahulu, sebelum doakan Jibah. Manalah tahu orang-orang di situ akan menuduhnya sengaja mahu tunjukkan pandai.

"Tak apalah Pak Aji aje tengokkan," Hajah Demah emak Jibah lantas sahaja mendesak. Dia juga tidak sabar lagi dengan keadaan Jibah terjerit-jerit takutkan Lasah yang dituduhnya buaya ganas tengah mengangakan mulut. "Buaya betulkah yang kau nampak ni, atau buaya darat, Jibah?" Haji Mosli bagaikan menyindir lantas menampar-nampar bahu anak saudaranya itu. "Mana ada buaya darat!" bentak Jibah menjengil mata merenung tepat Haji Mosli. "Tak nampakkah kulitnya menggerutu, taringnya macam mata gergaji!" marah benar dia apabila diperolok-olokkan oleh bapa saudaranya itu.

Segera ayah saya menyuruh Lasah jauhkan diri daripada Jibah. Sebaik sahaja Lasah berundur, lantas sahaja Jibah menghempaskan badan dengan tangannya merangkak laksana buaya naik ke tebing sungai. "Hah, kau rupanya jadi buaya, bukan Lasah!" ejek ayah saya tersengih-sengih melihat Jibah merangkak-rangkak di tengah rumah. Tiba-tiba sahaja Jibah mengangkat kepala. Dia mengangakan mulut seperti buaya terjongol kepala di tengah arus sungai. Hairan juga ayah saya dengan keadaan Jibah dengan tidak semena-mena jadi demikian. Kalau mahu dikatakan badi buaya, rumah mereka bukannya di tepi sungai. Lagi pun di Pulau Sebang tidak pernah pun mereka terjengah buaya menjongol kepala di tengah arus sungai.

Puas saya meramas-ramas tangan untuk pastikan sama ada tengah bermimpi atau pun bukan, apakala terbayang kejadian tersebut berlaku di rumah kakak saya. Memang saya dapat mengagak tatkala itu doa selamat dan bertahlil tengah rancak mereka lakukan sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Haji Mosli akan mengajak jiran-jiran solat berjemaah di rumahnya kalau dia menjemput kenduri doa selamat dan bertahlil. Saya percaya saat tersebut memang mereka tengah bertahlil lagi. Tetapi bayangan itu semakin jelas memancar di hadapan saya. Apalagi ayah saya menuding jari bagaikan melambai-lambai ke arah saya dengan membacakan Al-Fatihah 17 kali, surah Al-Ikhlas 17 kali dan diikuti dengan Ayatul Kursi juga 17 kali.

Gema suara ayah saya membacakan ayat-ayat tersebut terasa bergegar dalam dada saya. Gegaran itu semakin kencang hingga tangan saya ikut gementar apakala dilekapkan ke situ sambil diusap-usap kuat. Sekaligus pula air mata saya bercucuran apakala suara ayah saya sayup-sayup terdengar di cuping telinga. Ketika ini terasa kabus menyelubungi seluruh tubuh saya hingga seolah-olah tenggelam di dalamnya. Apabila saya kuakkan tangan mahu melepaskan diri daripada kabus tersebut, Jibah masih tertiarap di tengah rumah dengan tangan terkuak-kuak bagaikan merangkak seperti buaya.

"Kenapa Angah tak mahu datang?" suara ayah saya bagaikan menyindir sebaik sahaja terjengah muka. "Kenduri sanak saudara, patutnya Angah datang jengah muka!" katanya kesal dengan keputusan saya sengaja mahu ke Jerantut mengikut Kadir Misai. Saya tidak menyahut. Memang gema kemarahan itu menyusup jauh dalam perasaan ayah saya. Dia tidak luahkan kepada sesiapa pun, tetapi memang dia kecewa apabila saya tidak menjengah muka sekalipun anak-anak dan isteri saya datang menjengah.

Apabila tubuh Jibah bertukar menjadi buaya merangkak di tengah rumah, tidak siapa pun berani mendekatinya. Tidak bertangguh pula dia menyambar Lasah yang cuba menghambur ke pintu. Belum sempat Lasah mengelak muncung panjang Jibah lantas mengerkahnya. Lasah terperusuk ke dalam kerongkong hingga darah memercik di celah taring buaya laksana mata gergaji itu. Saat ini mereka yang melihat kejadian tersebut sekadar nampak Jibah ketawa terdekah-dekah seperti merasa puas hati. Lasah yang tercegat di tepi pintu hanya terpampan dengan mata terkebil-kebil memerhati isterinya merangkak-rangkak di tengah rumah.

"Macam mana kita nak buat ni, Pak Aji?" Hajah Demah semakin cemas dengan keadaan anaknya. Bimbang juga dia sekiranya Jibah tidak dapat menunaikan fardu haji akibat diganggu penyakit ganjil secara tiba-tiba. "Didajal orang ke Jibah ni, kerana iri hati dia nak ke Mekah!" marah benar Hajah Demah dengan kejadian yang meresahkan dia ketika itu. Ayah saya tidak menyahut. Dia menggamit Haji Rosli supaya meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun Jibah. Kemudian dia berpaling ke arah saya menyuruh mara ke hadapan. Hairan juga Haji Mosli tatkala ayah saya bagaikan bercakap dengan saya sebelum membacakan: Qul-innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yarju liqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.

Sekaligus pula Jibah bingkas bangun berdiri terhuyung-hayang menuding ke arah saya di penjuru rumah. Dia menarik-narik rambutnya ketakutan dengan menangis sayu. "Tolong ustaz, bukan salah aku!" rintih Jibah mahu melarikan diri dengan langkahnya terketar-ketar. Dia jatuh terduduk sambil tangan terkapai-kapai mahu selamatkan diri. "Nak ke mana kamu?" jerkah ayah saya menjuruskan tapak tangannya ke muka Jibah dengan membacakan Al-Fatihah tiga kali. Menggeliat-geliat Jibah menahan kesakitan seolah-olah disimbah dengan minyak panas mendidih. Ayah saya tidak peduli Jibah merintih-rintih, namun dia terus membacakan: Wa-imma yanza ghannaka minasy syaitoni nazghun fasta-'iz billahi innahu sami;ul 'alim.

Perlahan-lahan tubuh Jibah rebah ke lantai lemah tidak bermaya. Ketika ini saya melihat seorang lelaki tua memisahkan diri dari tubuh Jibah yang lemah lantas berdiri. Kepalanya memanjang laksana buaya terjongol di tengah permukaan air. Apabila dia mahu melarikan diri tangan saya sudah mencengkamnya sehingga terasa seolah-olah kepala cicak sahaja di bawah tapak tangan saya. Suara orang tua itu menjadi gementar apabila diserkup tapak tangan yang besar laksana bukit menghimpit kepalanya. "Besarnya tapak tangan ustaz ni!" gerutu orang tua itu merungut-rungut, hingga mereka yang tercongok di situ mendengar bisikan halus dari mulut Jibah. "Mana ada ustaz di sini?" bentak ayah saya menyindirnya. "Pak Aji tak nampak ke, ustaz pegang kepala saya ni?" Jibah termengah-mengah menggapai tangan bagaikan mahu melepaskan diri.

Memang lelaki tua berkepala buaya itu terkial-kial di bawah tapak tangan saya. Terketar-ketar dia memberitahu mengenai keturunannya memang pawang buaya untuk selamatkan orang-orang kampung diganggu buaya. Asal sahaja buaya mengganas di tengah arus, memang dia dijemput orang-orang kampung menangkap buaya berkenaan. Dia akan turun menyelam ke tengah arus sampai dua tiga jam baru timbul semula ke permukaan air. Dia akan mengheret buaya yang ditangkapnya ke tebing sungai. Setelah disembelih dia sendiri akan melapah perut buaya berkenaan. Orang-orang kampung akan melihat dalam perut buaya itu bermacam perkakas peninggalan mangsa sama ada tongkat, gelang atau subang berlonggok di dalam perut.

Memang seisi kampung tahu mengenai Pawang Libin yang sanggup diajak ke mana-mana sahaja sekiranya penduduk-penduduk kampung diganggu buaya ganas. Tidak pernah seekor pun buaya terlepas sekiranya Pawang Libin sudah menyelam ke dasar sungai. Seisi kampung tahu Pawang Libin akan bertukar menjadi buaya berjalur putih di tengah belakang. Ke mana sahaja buaya ganas menyusup di merata ceruk akan diselongkarnya habis. Ketika ini Pawang Libin bukan lagi manusia menyelam di dasar sungai, tetapi buaya berjalur putih.

Kerapkali juga orang-orang kampung melihat buaya berjalur putih di tengah belakang terjongol di permukaan sungai. Sekiranya buaya berkenaan bermain di tengah arus, mereka seisi kampung tidak perlu bimbang. Tidak seekor pun buaya ganas berani terjongol kepala apabila buaya berjalur putih di tengah belakang iru bermain di permukaan air. Mereka percaya buaya berjalur putih itu memang jelmaan Pawang Libin. Setelah Pawang Libin meninggal dunia pun orang-orang kampung kerapkali ternampak buaya berjalur tengah belakang itu bermain di tengah arus sungai.

"Kalau kau ganggu Jibah, tubuh kau akan dipanah petir!" bentak saya merenung lelaki tua berkepala buaya itu. "Aku tak ganggu Jibah, ustaz," beritahu lelaki berkepala buaya itu terketar-ketar. "Jibah yang terkejut fasal nampak aku!" rintihnya kesal dengan kejadian tersebut. "Kenapa kau ke sini?" soal saya keras setelah menyedari tenaganya bertambah lemah. "Aku nak jumpa Lasah, dia cucu cicit aku," ujarnya mencebik bibir menahan kesakitan setelah sekian lama terhimpit di bawah tapak tangan saya seakan-akan bukit menyerkup. "Buat apa jumpa Lasah?" sengaja saya menyindirnya biar dia semakin terdesak. "Lasah nak ke Mekah, apa salahnya aku ziarah," lelaki berkepala buaya merintih-rintih sayu.

Tetapi dia tidak membantah apabila saya memberi isyarat supaya dia berundur meninggalkan Jibah. Ketika dia meninggalkan kawasan rumah, lelaki berkepala buaya itu tersengguk-sengguk menangis sambil mengerling ke arah Lasah. Memang Jibah terkejut tatkala nampak suaminya Lasah tiba-tiba bertukar bagaikan kepala buaya. Sebab itulah dia terjerit ketakutan. Dia sendiri berbisik kepada ayah saya, fasal nampak saya merentap kepala buaya yang menyerkup Lasah seolah-olah topeng keras. Tetapi bukan JIbah sahaja yang menuduh saya terjongol di situ tatkala dia meracau-racau. Anak kakak saya, Ziman juga tercengang-cengang memberitahu emaknya apabila nampak saya melintas di situ. Beberapa kali dia menegur tetapi saya sekadar mengangguk kepala sahaja.

"Tidur ke, ustaz" tegur Kadir Misai apabila kereta meranduk kegelapan malam melalui jalan berliku-liku itu. Dia memerhati saya mula mengalih sandar belakang setelah lama sangat terlelap mata. "Di mana kita sekarang ni," ujar saya lantas beristighfar beberapa kali. "Jauh lagi nak sampai ke Jerantut," ujar Kadir Misai. Dia beritahu selepas solat Maghrib memang saya berbaring sebentar. Tetapi saya terus turun ke kereta dengan tidak menunggu masuk Isya'. Disebabkan saya tidak bercakap sepatah pun, Kadir Misai juga ikut sama turun meninggalkan Siak Budin bersendirian di atas surau.

Ketika saya masuk ke keretanya hairan juga Kadir Misai disebabkan saya membolos masuk sedangkan keretanya masih terkunci. Tidak lama selepas meninggalkan surau itulah, baru saya mengusap-ngusap muka perlahan. Lantas sahaja Kadir Misai menegur sebaik sahaja saya mula membuka mata. "Kita solat di mana tadi, Kadir?" apabila saya kenangkan berhenti di surau bersama Siak Budin. "Ah, surau selepas dusun durian," jelas Kadir Misai kerana dia sendiri tidak tahu di kampung mana kami berhenti solat.

Beberapa kali saya beristighfar setelah diberitahu oleh Kadir Misai. Tetapi sengaja saya tidak memberitahu Kadir Misai, memang surau yang ditemui itu hanya rumah buruk di tepi jalan. Tentu Siak Budin yang solat bersama-sama itu juga sekadar bayangan sahaja hingga saya terkeliru. Masakan selepas melintas dusun durian terdapat kampung tatkala melalui jalan berliku-liku di lereng bukit. Siak Budin juga bersendirian sahaja setelah jemaah yang lain turun meninggalkan surau. Saya dapat mengagak pengalaman bertemu Siak Budin sama juga dengan kejadian singgah di surau Lebai Kidam di Serting sebelum itu.

Lebai Kidam yang sudah meninggal dunia lebih lima belas tahun itu saya temui di suraunya, semasa dalam perjalanan ke rumah Pak Hid di Bukit Kelulut. Disebabkan sewaktu melintasi surau Lebai Kidam waktu malam, ketika balik dari rumah Pak Hid di sebelah paginya saya singgah juga di surau Lebai Kidam. Memang saya sudah duga surau berkenaan tinggal usang dengan sarang labah-labah di merata ceruk. Pak Hid sendiri yang beritahu mengenai Lebai Kidam sudah meninggal dunia, sekalipun saya ceritakan fasal solat bersama Lebai Kidam di situ. Tersengguk-sengguk Pak Hid menangis setelah diberitahu mengenai pertemuan dengan Lebai Kidam itu. Dia tahu Lebai Kidam sudah lebih lima belas tahun meninggal dunia, bagaimana pula boleh tercongok di tengah suraunya solat bersama saya?

"Balik nanti kita singgah di surau tu," lantas saya menepuk bahu Kadir Misai. "Ustaz ingat surau tu sama dengan surau Lebai Kidam dulu?" segera Kadir Misai menyahut apabila dia juga teringatkan kejadian solat di surau Lebai Kidam di Serting. "Ah, kita singgah aje, apa salahnya!" beritahu saya tersengih-sengih mengerling Kadir Misai. Belum sempat Kadir Misai menyahut tiba-tiba sahaja tayar kereta meletup. Serentak dengan itu kereta terbabas ke tepi jalan sampai berpusing ke belakang. Mujur juga tidak terbalik akibat tayar pecah tidak semena-mena.

Tetapi Kadir Misai tidak bimbang apa-apa. Dia boleh gantikan semula tayar pancit itu dengan tayar ganti. Sudah beberapa kali dia terkena kejadian demikian. Kalau takat kerosakan sikit keretanya memang dia boleh baiki juga. Ketika dia menggantikan tayar kereta yang pancit itulah, Kadir Misai terkejut kerana Siak Budin tercegat di sisinya. Siak Budin membantu dia gantikan tayar kereta berkenaan. "Ada rahmatnya kereta awak pancit ni," ujar Siak Budin perlahan. "Kalau awak cepat sampai ke Jerantut, entah apa pula malangnya!" jelasnya sewaktu Siak Budin meninggalkan kami sambil dia mengerling ke arah saya. Ketika Siak Budin bersalam dengan saya terasa tangannya lembut laksana gabus. Tetapi sempat juga dia berbisik kepada saya, "Ustaz tentu lebih tahu dari saya,". Saya mengangguk perlahan sambil mengesat pelupuk mata.

TAMAT

27 LEMBAGA BERKEPALA BOTAK KELUAR DARI TOMPOK-TOMPOK HITAM



TOK AWANG NGAH - SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN

LEMBAGA BERKEPALA BOTAK KELUAR DARI TOMPOK-TOMPOK HITAM


SAWAH kering terbentang selepas sahaja penduduk-penduduk kampung habis menuai. Siang hari anak-anak muda berlari di tengah sawah bermain layang-layang sambil mendongak ke awan memerhati layang-layang terapung di udara. Hanya di tengah sawah itulah anak-anak muda kampung bermain menghulurkan tali layang sambil mendengarkan dengungnya yang merdu mengiang-ngiang di udara.

Tetapi malamnya tatkala kegelapan menyelubungi kampung kecil di Pelangai itu, Pak Tua Mahat meranduk tunggul-tunggul padi kering di tengah sawah bersama menantunya Saban Keme mencari kawasan lapang tidak berlindung apa. Dia mengeluarkan buluh mendekut dari saku seluarnya lantas berdiri mendongak ke awan menghadap matahari naik. "Duduk, Saban" perintahnya menyuruh menantunya mencangkung. Saban Keme tidak membantah. Dia mencangkung sambil meletakkan tangguk ke tanah. Bila burung wak-wak datang menyerbu berkelompok-kelompok dia akan menyerkup dengan tangguk tersebut. Kemudian akan sumbatkan ke dalam buntil yang terikat di pinggangnya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak akan mengajak sesiapa kalau mahu mendekut burung wak-wak. "Kau tunggu di sini" ujar Pak Tua Mahat lantas mara ke hadapan meninggalkan menantunya kira-kira serantai jaraknya. Saban Keme mengangguk. Dia memerhatikan mertuanya berjalan di dalam gelap, kemudian hilang berbalam-balam di kejauhan. Dari jarak serantai darinya itulah Saban Keme mendengar mertuanya meniup buluh mendekut-dekut melangsing di tengah sawah yang lengang di gelap malam itu.

Dia tidak akan bangun menangguk burung wak-wak yang menyerbu selagi tidak diberi perintah oleh mertuanya. Saban Keme hanya menunggu sahaja burung wak-wak yang berterjunan dari awan menerpa ke tengah sawah, kemudian berjalan terlangah-langah mengejar bunyi dekut buluh yang ditiup Pak Tua Mahat. Kadangkala ada burung wak-wak yang hinggap di atas kepalanya, tetapi Saban Keme tidak akan menghiraukannya selagi Pak Tua Mahat tidak memberi perintah menangkapnya. Ketika Pak Tua Mahat mendekut-dekut jauh dari Saban Keme inilah, dia ternampak satu lembaga berlari-lari dari arah tebing menyeberang ke sawah dari arah kampung. Sekalipun malam gelap tetapi di kawasan sawah luas terbentang itu, dia masih dapat melihat orang berlari-lari di dalam samar-samar. "Siapa tu, Saban?" laung Pak Tua Mahat memberhentikan meniup buluh mendekut. Dia nampak lembaga itu terlangah-langah kemudian merendap mencangkung berhampiran dengan Saban Keme. "Jonoh...!" beritahu Saban Keme sebaik sahaja adik iparnya tercangkung di belakang dia. "Apa halnya Jonoh?" soal Pak Tua Mahat. "Tak ada apa..." sahut Jonoh tersengih-sengih di dalam gelap itu.

Pak Tua Mahat menghela nafas. Memang anaknya Jonoh itu nakal. Dia tidak peduli sama ada ditegah atau pun tidak. Kalau hatinya berkeras mahu mengikut, tengah gelap pun Jonoh sanggup meranduk mendapatkan ayahnya. Ketika Pak Tua Mahat mengajak Saban Keme mendekut sebelumnya memang Jonoh tidak tahu. Tetapi setelah diberitahu oleh kakaknya Saban Keme pergi mendekut bersama ayahnya ke tengah sawah, lantas Jonoh mengikutnya. Apa lagi dia sendiri dapat mendengar bunyi buluh mendekut itu langsing sampai ke tengah kampung. "Emm, Jonoh..Jonoh..." keluh Pak Tua Mahat meniup semula buluh mendekutnya. Kira-kira 15 minit dia meniupnya, Pak Tua Mahat terdengar bunyi ribut kencang di udara. Awan juga kelihatan bertompok-tompok bersama deru ribut yang hitam di angkasa. Tersenyum Pak Tua Mahat kerana burung wak-wak yang didekutnya sudah datang menyerbu ke situ. Dia segera mendapatkan menantunya Saban Keme dan anaknya Jonoh menunggu. "Buat apa kau ke mari...?" rungutnya memarahi Jonoh. Kemudian dia cepat-cepat mencangkung supaya memudahkan Saban Keme menangguk apabila burung wak-wak berkenaan menuju ke arahnya.

Jonoh tidak menyahut. Dia hanya tersengih-sengih sahaja walaupun ayahnya melarang dia mengikuti berburu ke hutan atau mendekut burung wak-wak, tetapi Jonoh tetap berdegil mahu mengikutnya. Sekali-sekala dia dapat mengikut mendekut burung, hatinya terasa seronok melihat burung-burung berkenaan terperangkap di dalam tangguk. Kadangkala dia sendiri merampas tangguk dari tangan  abang iparnya menangguk burung-burung yang terlangah-langah datang mengikut bunyi buluh dekut-dekut yang ditiup. Tompok-tompok hitam di angkasa tiba-tiba sahaja hilang bersama ribut kencang di udara. Pak Tua Mahat tahu burung wak-wak yang datang bersama deru ribut kencang itu sudah melencong jauh hingga tidak turun di kawasan tersebut. Dia kembali meniup buluh dekut-dekutnya bagi memerangkap semula burung wak-wak berkenaan supaya turun di kawasan lapang di tengah sawah. Kalau burung-burung berkenaan tersangkut di rumpun aur atau pohon rembia di pinggir sawah, mereka tidak akan turun ke tanah. "Kau tunggu di sini..." Pak Tua Mahat mendongak ke langit memerhati tompok-tompok hitam yang sudah bertukar menjadi awan lebam tidak mengandungi apa-apa. "Jonoh pegang lampu picit, kalau benda tu samapai kau tangguk dia Saban" katanya lantas berjalan naik ke atas busut tidak jauh dari Saban Keme mencangkung.

Saban Keme menghulurkan lampu picit kepada adik iparnya. "Kau suluh kalau terdengar dia datang..." pesannya menyerahkan lampu picit tersebut kepada Jonoh. Jonoh mengangguk sambil mencapai lampu picit dari tangan Saban Keme. Dia berhati-hati mendengar bunyi langkah burung-burung tersebut datang terlangah-langah mendengar bunyi buluh dekut-dekut ditiup ayahnya. Puas Pak Tua Mahat meniup dari atas busut tetapi tidak seekor pun burung wak-wak terjongol di depannya. Dia merasa burung wak-wak yang datang bersama tompok-tompok hitam di udara tadi sudah hilang ditiup ribut kencang. Marah juga Pak Tua Mahat tiba-tiba sahaja dia gagal mendekut burung-burung tersebut, padahal selama ini dia tidak pernah hampa kalau mendekut di tengah sawah. Kawasan lapang terbuka itu masakan burung-burung berkenaan boleh tersangkut di dahan pokok-pokok. "Saban..." laungnya dari tengah gelap samar-samar itu. "Jonoh..kau berdua tunggu tunggu di parit..." katanya menyuruh mereka berdua meninggalkan tempat awal menunggu sebelumnya. Cepat-cepat Saban Keme bersama adik iparnya berlari ke parit tali air yang melintasi di tengah kawasan sawah. "Mencangkung!" ujarnya keras sebaik ternampak berbayang-bayang Saban Keme dan Jonoh tercegat di situ macam tunggul tercancang. Cepat-cepat pula mereka berdua mencangkung.

Dari jauh mereka berdua melihat Pak Tua Mahat berlari-lari anak mengelilingi kawasan mereka duduk tercangkung kira-kira jarak dua rantai berkeliling. Tiga kali Pak Tua Mahat lari berkeliling sebelum naik ke atas busut dia berdiri sebelumnya. Kemudian dia mendongak semula ke langit lantas meniup buluh dekut-dekutnya, tetapi tidaklah melangsing seperti biasa. Dia meniup pun hanya tiga kali sahaja. Kira-kira lima minit sahaja selepas itu terdengarlah semula ribut kencang seperti tadi, dan awan juga bertompok-tompok hitam. Jauh di udara terdengar bunyi orang batuk hingga bergaung kedengaran sampai ke tengah sawah. Cepat-cepat pula Jonoh menyuluh ke udara ke arah awan hitam bertompok-tompok. "Jangan disuluh, jadah!" pekik Pak Tua Mahat marah dari atas busut di tengah sawah. Sekaligus Saban Keme merampas lampu picit dari tangan adik iparnya. "Kau gila..." gerutunya memarahi Jonoh."Tak boleh disuluh ke atas!" katanya menggertap bibir setelah memahami pekikan mertuanya tadi menandakan ada pantang larang yang sudah dilanggar.

Jonoh tidak menyahut apa-apa. Dia menyedari akan kesilapannya tidak bertanya terlebih dulu kepada abang iparnya apabila menyuluh bunyi batuk bergaung di udara. Dia sendiri tidak pernah mengalami keadaan demikian sebelumnya. Setahu Jonoh selepas sahaja ayahnya meniup dekut, burung wak-wak akan berterjunan turun dari udara mengejar lampu yang disuluhkan. Kemudian Saban Keme akan menangguknya denagn mudah. "Siapa menyuluh tadi tu...?" bentak Pak Tua Mahat menahan marah yang membakar perasaannya. "Jonoh" beritahu Saban Keme. "Kenapa kau biarkan?" soalnya keras. Saban Keme terdiam. Dia sendiri serba salah bila disoal demikian. Bagaimana dia mahu melarang sedangkan lampu picit berkenaan berada di tangan Jonoh? Tetapi dia dapat mengagak tentulah bapa mertuanya dalam kesulitan menyebabkan dia tidak dapat menahan marahnya. Kesal juga dia dengan kehadiran Jonoh secara tiba-tiba di situ, walaupun dia sudah berpesan pada isterinya jangan diberitahu sesiapapun fasal dia mendekut burung bersama mertuanya. "Jangan berdiri!" dia mendengar mertuanya  melaung memberi perintah.

Ketika ini deru angin seperti ribut kencang di udara terasa turun ke tengah sawah. Saban Keme dapat merasakan angin kencang itu bertiup paras kepalanya begitu deras. Kegelapan malam bertambah gelap segelap-gelapnya semasa angin kencang itu bertiup rendah. "Bang, aku rasa wak-wak dah turun" bisik Jonoh lantas berdiri menepis burung wak-wak yang terasa hinggap di bahunya. Serentak dengan itu Saban Keme mendengar jeritan langsing Jonoh akibat kesakitan. Apabila dia menoleh ke belakang dilihatnya Jonoh terbaring menggelupur di tanah. "Ayah..Jonoh ni kenapa..?" laung Saban Keme menggamit mertuanya di dalam gelap samar-samar itu. Hatinya cemas melihat Jonoh menggelupur bagaikan ayam kena sembelih. Pak Tua Mahat berkejar mendapatkan anaknya yang terbaring di tanah. Dia mencapai lampu di tangan Saban Keme menyuluh ke muka Jonoh. Anaknya mengerang-ngerang dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin. Tangannya mengerekot-ngerekot laksana mahu mencakar ke udara.

"Huh, buat apa Jonoh ni ikut tadi" rungut Pak Tua Mahat kesal memerhati Jonoh terkinjal-kinjal kaki menendang angin. "Agaknya Bibah yang beritahu kita ke sini" sahut Saban Keme menuduh isterinya yang memberitahu Jonoh fasal mereka ke tengah sawah mendekut burung wak-wak. Anak muda nakal seperti Jonoh memang tidak peduli sama ada orang memarahhi dia atau tidak. Jonoh tahu ayahnya melarang dia mengikut berburu, tetapi tidak akan marah kalau sudah terjongol bersama-sama. "Dah jadi macam ni, bukan ke susah" katanya lantas memangku kepala Jonoh di atas paha. Saban Keme tertunduk memerhati mertuanya mengurut-ngurut kepala Jonoh dengan ibu jari. Kemudian dia menghembus ubun-ubun anaknya tiga kali. "Pangku kepala adik kau ni..." dia menyuruh Saban Keme menggantikan dia. Cepat-cepat Saban Keme memangku kepala Jonoh. Dia sendiri tidak pernah mengalami lagi kejadian demikian sebelumnya. Setiap kali dia megikut mertuanya mendekut wak-wak, tidak pula diganggu puaka yang  mengembala burung-burung berkenaan. Tetapi memang mertuanya selalu mengingatkan dia supaya berhati-hati semasa mengikutnya mendekut supaya tidak diganggu puaka tersebut.

Pak Tua Mahat berjalan undur ke belakang mengelilingi Jonoh sambil meletakkan dua tangan ke dada. "Wah..malam ni awak nak cari geruh kawan ke..." ujar Pak Tua Mahat mengisar-ngisar tapak tangannya. Bila melintas di hulu kepala Jonoh dia menghentakkan tumitnya ke tanah tiga kali, kemudian terus berjalan lagi undur ke belakang. Ketika melintas di lunjur kaki Jonoh dia menekankan ibu jari kaki kanannya pula ke tanah. Dia berkeliling di sekitar Jonoh terbaring sambil mulutnya kumat-kamit di dalam gelap samar-samar itu. Setelah tiga kali dia berkeliling undur ke belakang, Pak Tua Mahat berpusing pula sambil berlari-lari anak mengelilingi tubuh Jonoh yang terbaring dipangku oleh Saban Keme. Kemudian dia melangkah di bahagian pusat Jonoh tiga kali berulang-alik. Ketika inilah Jonoh terbersin kuat hingga kedengaran oleh Saban Keme bergema ke udara. Awan hitam bertompok-tompok juga bergerak perlahan bagaikan daun pintu terkuak. Dari rekahan awan hitam bertompok itu kabus putih memanjang turun mencecah hingga tertampan pada busut tempat Pak Tua Mahat berdiri meniup buluh mendekut.

Dalam kepulan kabus putih itulah keluar lembaga berkepala botak berbentuk seperti manusia bertubuh kurus tinggi berdiri membongkok. "Sekarang apa awak hendak?" jerkah Pak Tua Mahat sebaik sahaja lembaga itu menjelma di tengah sawah. "Awak nak menceroboh gembala kawan nampaknya" sahut lembaga itu serak-serak parau. "Kawan tak peduli, kalau awak niat baik kawan terima baik!" ujar Pak Tua Mahat berdiri tegak menghentak-hentak tumitnya ke tanah. "Kalau awak sengaja nak cari geruh kawan, kita berjenang dulu...!" katanya macam memberi amaran tidak akan mengalah dengan kemahuan lembaga tersebut. "Awak yang salah tok pawang" lembaga itu terketar-ketar bagaikan kakinya goyah berjejak di bumi. "Kawan bukan nak dengar siapa salah!" bentak Pak Tua Mahat merapatkan dua tangannya ke dada. "Kawan nak tau awak, nak cari geruh kawan ke tidak?" soalnya menggertap bibir. Lembaga berkepala botak itu terhuyung-hayang di atas busut di dalam kepulan asap putih. Dia semakin membongkok seolah-olah memikul beban berat di belakangnya. Pak Tua Mahat berdiri tegak tidak bergerak dengan dua tangan rapat ke dada. Mulutnya kumat-kamit juga sambil matanya merenung tepat ke arah lembaga berkepala botak yang semakin membongkok.

"Jawab!" pekik Pak Tua Mahat menghentak tumitnya ke tanah menyebabkan lembaga itu jatuh bertelugu lutut. "Awak nak cari geruh kawan ke, atau nak menguji?" ujarnya membentak marah. Termengah-mengah lembaga berkepala botak itu mahu menegakkan kepalanya, tetapi beban di belakangnya seolah-olah menyeksa dia. Lututnya bertumpu kuat di atas busut menanggung beban yang terlalu berat terpikul di belakangnya itu. Sekali-sekala dia cuba melepaskan beban tersebut, tetapi tidak berdaya melakukan apa-apa lagi. Setelah puas lembaga berkepala botak itu mahu melepaskan diri dari beban yang menimpa belakangnya, dia memusarkan dirinya menjadi angin berputar kuat hingga elusannya terasa memukul anak-anak rambut Saban Keme. Sekaligus pula dia naik semula ke udara masuk ke celah rekahan awan bertompok yang berkuak seperti pintu terbuka. Kemudian dari arah hulu Saban Keme nampak memutih dari jauh bagaikan sekawan lembu menyerbu ke arah mereka. "Kau jangan bergerak di situ Saban, pangku adik kau tu!" ujar Pak Tua Mahat mengingatkan menantunya.

Saban Keme mengangguk. Dia mematuhi apa sahaja perintah mertuanya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak semudah itu mengalah kepada gangguan-gangguan dari puaka tatkala berburu. Sudah berkali-kali mertuanya diganggu demikian, semuanya dilaluinya dengan tabah. Ketabahan inilah yang berjaya melepaskan dirinya dari perangkap yang boleh mengancam. Bukan sekadar mendekut wak-wak sahaja sudah dihadapi oleh mertuanya dengan tabah, malah ketika berburu ke hutan memburu rusa pun Pak Tua Mahat diganggu. Sampai rusa yang sudah terbungkang ditembak pun tiba-tiba bertukar menjadi cina tua berpakaian serba hitam tergolek di tanah. Setelah dikebas dengan kain hitam lilit kepalanya, cina tua itu bertukar perlahan-lahan menjadi rusa, tetapi bulunya tegak seperti berus dawai dengan mengeluarkan darah. Puas pula dia memulihkan semula gangguan puaka itu sehingga rusa sebenarnya kembali menjelma. Barulah binatang tersebut dapat disembelih. Pak Tua Mahat juga tidak mengalah bila rakannya pergi berburu tertembak di tengah hutan. Dia terus melawan puaka hutan dengan tabah sehingga rakannya dapat dipulihkan semula. Sebab itulah Saban Keme yakin mertuanya tidak gentar menghadapi dugaan yang sedang mengancamnya sekarang.

Dia juga mesti tabah menghadapinya. Kalau dia gementar mungkin puaka itu boleh mengalihkan gangguannya dari Jonoh kepada dia pula. Tentulah mertuanya semakin terancam kalau puaka itu mengganggu dia pula. Ketika ini Saban Keme teringatkan pesan saya agar membacakan Ayat Kursi bila-bila sahaja diancam syaitan. Pesanan saya inilah digunakan oleh Saban Keme, lantas dia membacakan Ayat Kursi itu dengan khusyuk berulang kali sampai 133 kali. Ketika ini dia merasakan hujan turun menitik kasar, tetapi tidaklah lebat mencurah-curah. Boleh dikatakan seperti hujan panas sahaja menyerak-nyerak. Sekumpulan lembu putih yang menyerbu dari sebelah hulu itu tidak dapat mendekati kawasan Saban Keme bertahan, tetapi berlegar-legar seolah-olah terhalang oleh tembok besar. Debu dari kaki kumpulan lembu yang banyak itu nampak naik meruap ke atas laksana kabus memutih. Sekaligus pula Saban Keme nampak mertuanya sudah melompat ke atas salah seekor dari kawanan lembu putih itu sambil bertunggang mengelilingi dia dan Jonoh.

Sekali-sekala terdengar suara mertuanya bersorak-sorai bagaikan menghalau lembu. Kira-kira 15 minit dia menunggang lembu putih itu, tiba-tiba dia terpelanting ke tanah. Masa inilah awan hitam bertompok terkuak semula seperti daun pintu terbuka. Kabus memutih keluar dari awan hitam terkuak itu terjun laju menuju ke arah mertuanya terpelanting. Belum pun sempat kabus putih menjunam itu menimpa ke arahnya, Saban Keme nampak mertuanya cepat-cepat bangun di tengah silauan putih memancar. Dia nampak tangan Pak Tua Mahat terlalu besar memukul kabus putih itu sampai berkecai habis. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menggenggam kabus putih yang berkecai itu di dalam tangannya lantas bertempik, "Kau nak tunjuk keras kepala dengan aku ye?". "Awak menceroboh gembala kawan tok pawang," rintih suara serak-serak parau yang tergenggam di tapak tangannya yang besar seperti sebuah rumah tersergam. Saban Keme sendiri tidak nampak di mana mertuanya berdiri ketika itu kerana kegelapan malam melindunginya. Dia hanya melihat genggaman tangan mertuanya yang dilingkari oleh silauan cahaya putih memancar.

"Aku tak menceroboh...!" bentak Pak Tua Mahat. "Aku dah minta izin, tapi telinga kau tuli" cepat-cepat tangannya memial telinga lembaga berkepala botak yang sudah digenggamnya. Terlolong-lolong lembaga berkepala botak itu menahan kesakitan akibat telinganya dipial. "Ini Mahat kau tau, jangan main-mainkan Mahat..!" jerkahnya semakin marah. "Ampun tok pawang, ampunkan kawan" rintih suara serak-serak parau itu meminta dilepaskan. "Bukan sekali dua kau dah tunjuk kurang ajar dengan Mahat!" kata Pak Tua Mahat keras. "Ampun tok pawang, lain kali kawan tak buat lagi" lembaga berkepala botak itu merayu-rayu. Tetapi Pak Tua Mahat tidak juga melepaskan dia dari genggamannya. "Apa kau buat dengan Jonoh?" bentak Pak Tua Mahat menampar kepala botak lembaga berkenaan. "Bukan kawan yang buat tok pawang..." ujarnya terketar-ketar sambil meronta-ronta dari genggaman tangan Pak Tua Mahat sebesar sebuah rumah tersergam. Puas Saban Keme memerhati tubuh mertuanya, tetapi tidak kelihatan di mana. "Siapa yang buat?" soal Pak Tua Mahat. "Itu kerja orang bukit yang tersesat" beritahu lembaga itu ketakutan. "Jangan kau nak berdalih!" Pak Tua Mahat menguatkan genggamannya menyebabkan lembaga berkepala botak itu termengah-mengah menahan sesak nafas.

"Celaka orang bukit tu, kerja dia..kawan pula yang sudah" keluhnya menyesali kejadian yang mengelirukan itu. Tetapi Pak Tua Mahat tahu orang bukit yang dimaksudkan oleh lembaga botak itu ialah puaka hutan yang datang bersama lembaga berkepala botak itu. Disebabkan puaka hutan itulah lembaga berkepala botak yang mengembala burung wak-wak yang didekut oleh Pak Tua Mahat terkeliru hingga bertindak mengancam Pak Tua Mahat. "Sekarang, kau mensti lepaskan Jonoh..!" perintah Pak Tua Mahat mengencam. Lembaga berkepala botak itu berjanji akan melepaskan Jonoh. Perlahan-lahan Pak Tua Mahat melepaskan dia dari genggaman. Pak Tua Mahat juga hilang dari silauan cahaya putih memancar itu, hanya tinggal berbayang samar-samar di dalam gelap malam. Ketika ini kabus putih memanjang tadi naik semula menyusup ke celah rekahan tompok-tompok awan hitam di udara. Serentak dengan itu kedengaran semula bunyi tapak kaki sekawan lembu berlari kencang menyerbu ke arah Saban Keme bertahan. Lembu putih itu berombak-ombak datang dari sebelah hulu. Belum pun sempat kawanan lembu putih itu menyerbu hujan kasar turun dari tompok-tompok awan hitam menimpa kawanan lembu-lembu putih tersebut. Asap berkepul-kepul naik tergawang-gawang sebaik sahaja hujan kasar seperti air panas menimpa kawanan lembu yang datang menyerbu itu, menyebabkan semua kawanan lembu putih bertempiaran menyelamatkan diri.

Kemudian sayup di udara kedengaran bunyi batuk berdeguh-deguh berulang kali. Awan hitam bertompok-tompok itu bergerak perlahan bertukar menjadi bulat seperti lekar. Deru angin kencang kedengaran bertiup dari sebelah atas hingga seram sejuk juga kepada Saban Keme. Dia memerhati keliling tetapi tidak kelihatan lagi mertuanya. Jonoh juga masih terlentang di pangkuannya walaupun tidak terkinjal-kinjal menendang angin seperti mula-mula tadi. Lembu-lembu putih yang berlari bertempiaran tadi datang semula menyerbu dari arah yang sama. Saban Keme dapat mengagak sekiranya lembu-lembu putih itu merempuh sudah tentu dia dan Jonoh remuk di bawah kakinya. Sebab itu Saban Keme tidak berhenti membacakan Ayat Kursi berulang kali seperti yang pernah saya pesankan kepadanya. Sayup di udara Saban Keme mendengar suara garau menghalau lembu-lembu dari celah lingkaran awan hitam. Tetapi lembu-lembu putih itu kelihatan bertambah banyak berombak-ombak datang mahu menyerbu. Saban Keme menunggu dengan tabah serbuan lembu-lembu putih yang datang menyerbu berombak-ombak itu. Mujurlah dia dapat melihat bagaimana lembu-lembu putih itu datang beratus-ratus ekor dari sebelah hulu. Tidak seperti Manan Sateh yang pernah mengalami keadaan serupa semasa dirempuh oleh kabus putih yang menyerbu laju dibawa ribut kencang tatkala mendekut wak-wak di Simpang Durian.

Kawannya Mat Samah sudah pun mengingatkan Manan Sateh supaya tidak terlalu tamak setelah mereka berjaya mendapat dua karung burung wak-wak yang didekut. Tetapi Manan Sateh tidak hiraukan nasihat Mat Samah. Dia masih belum berpuas hati kerana melihatkan burung wak-wak masih banyak berlompatan turun ke tengah padang terlangah-langah mengejar silauan lampu yang disuluh oleh Mat Samah. Manan Sateh terus menegakkan jaring pula supaya memudahkan dia memungut burung-burung yang tersangkut pada jaring. Belum pernah lagi dia dapat melihat terlalu banyak burung-burung berkenaan datang menyerbu bila didekut. Malam itu Manan Sateh dan Mat Samah melihat sendiri burung-burung wak-wak berlompatan dari udara terjun  ke tengah padang. Puas Mat Samah menangguk hingga penuh dua karung pun, masih ada lagi burung wak-wak berlompatan turun. Sebab itulah Manan Sateh memasang jaring yang disediakan kalau burung-burung banyak datang menyerbu. Berkali-kali Mat Samah mengingatkan dia supaya tidak payah lagi memasang jaring. Tetapi Manan Sateh tidak tergamak balik segera meninggalkan rezeki sedang datang bergolek. Dia mesti memungut burung wak-wak yang sudah terlalu banyak menyerah diri setelah didekut itu.

Sebaik sahaja jaring direntang inilah Mat Samah nampak kabus putih seperti bukit meluru menerpa jaring dari udara ditiup ribut kencang. Sekaligus Manan Sateh terperangkap di dalam kabus putih itu menyebabkan dia bergulung di dalam jaringnya sendiri. Setelah kabus putih itu menghilang bersama ribut kencang, Mat Samah segera menerpa mendapatkan Manan Sateh yang sudah terkapar tidak sedarkan diri. Mulut dan hidung Manan Sateh berbuih dengan darah. Matanya terbeliak dengan kakinya terkinjal-kinjal menggelupur. Dengan tidak menghiraukan burung wak-wak yang sudah penuh dua karung, Mat Samah memapah Manan Sateh balik. Hampir tiga bulan Manan Sateh menderita sakit hinggakan luruh rambutnya di kepala. Setelah dijemput Pak Tua Mahat di Mentaus, barulah Manan Sateh dapat dipulihkan semula.

Ketika ini memang Saban Keme dapat mengagak bahawa lembu-lembu putih yang menyerbu ke arahnya itu sama dengan kabus putih yang merempuh jaring Manan Sateh. Dengan tidak bertangguh lagi Saban Keme terus melaungkan azan sekuat hatinya hingga bergema sampai ke udara. Gema azannya itu seolah-olah menggegarkan di kawasan lembu-lembu putih itu berlari kencang, menyebabkan semua lembu-lembu itu bagaikan tertumus ke tanah. Mereka jatuh bertimpa-timpa sama sendiri akibat tertumus keras semasa menyerbu datang. Semasa dia berpaling ke hulu, Saban Keme nampak dua tapak kaki seperti bukit memijak lembu-lembu itu hingga penyek. Dia tidak melihat lembaga kaki tersebut, tetapi hanya terbayang-bayang dari silauan cahaya putih memancar. Setiap kali tapak kaki itu memijak, bunyi lenguhan lembu-lembu berbaur-baur hingga sampai ke udara. Sekaligus pula lingkaran  awan hitam bergerak perlahan-lahan di udara lantas menurunkan hujan gerimis. Dalam hujan gerimis yang turun menyimbah membasahi kepala Saban Keme inilah, Jonoh mula menggeliat-geliat menyapu mukanya.

"Eh, hujan ke, bang?" soal Jonoh bingkas bangun terpinga-pinga. "Emm, hujan" beritahu Saban Keme perlahan. "Mana ayah?" Jonoh bangun berdiri memerhatikan sekelilingnya. "Eh, mana wak-wak, tak ada ke kita dapat?" dia tidak tahu apa yang terjadi ke atas dirinya sejak dua jam sebelumnya. Saban Keme tidak menyahut. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada Jonoh apa yang telah dilihatnya. Mungkin Jonoh sendiri tidak percaya dia tidak sedarkan diri hampir dua jam di tengah sawah dalam kegelapan malam itu. "Mana ayah, bang?" ulangi Jonoh lagi. Saban Keme memuncungkan bibirnya ke busut tempat mertuanya berdiri. Tetapi tidak siapa pun dilihat berdiri di situ. Bayangan mertuanya pun tidak kelihatan langsung. Berdebar juga hati Saban Keme setelah mendapati mertuanya tidak juga muncul. Kalau dia mengajak Jonoh balik meninggalkan kawasan itu, bimbang juga dia akan dimarahi mertuanya. Sejak tadi lagi dia sudah diperintah menjaga Jonoh di situ. Masakan mertuanya sudah balik lebih awal dengan tidak mempedulikan keadaan Jonoh yang tidak sedarkan diri.

Dia percaya tentu mertuanya akan datang juga ke situ. Tentu mertuanya tidak tahu fasal Jonoh sudah pulih semula. Hujan gerimis turun semakin kasar. Saban Keme terasa bajunya juga sudah basah disimbah hujan. "Hei, bang marilah kita balik..hujan lebat ni" kata Jonoh menarik tangannya. "Nantilah dulu, ayah suruh tunggu di sini" ujarnya perlahan. "Mana ayah?" Jonoh tidak sabar mendesak. "Tunggulah kejap" Saban Keme mengingatkan. Dia terhangak-hangak juga memanjangkan leher mencari mertuanya di dalam gelap malam yang mula kelam oleh hujan gerimis menitik kasar. "Apa jadi pada aku, bang...?" tiba-tiba Jonoh bertanya setelah menyedari dia masih berada di tengah sawah di dalam gelap demikian. "Balik nantilah aku ceritakan" sahut Saban Keme terlangah-langah mencari mertuanya Pak Tua Mahat. Dia tetap menunggu di situ sekalipun hujan turun semakin lebat mencurah-curah. Mertuanya sudah menyuruh dia bertahan di situ sampai orang tua itu datang semula. Sebab itulah dia tidak akan balik lebih awal selagi mertuanya tidak terjongol.

Kira-kira 15 minit Saban Keme menunggu barulah dia nampak bayang mertuanya terjengket-jengket dari balik busut merempuh hujan gerimis semakin kasar. Dia menjinjing sebatang kayu yang terikat burung wak-wak di situ. Sampai sahaja di depan Saban Keme dia menyuruh masukkan burung wak-wak yang terikat pada kayu itu ke dalam buntil. "Jangan dibilang berapa ekor..." kata Pak Tua Mahat mengeluarkan celapah rokok dari saku seluarnya. Dia mengambil rokok daun yang siap bergulung lantas menghisapnya di dalam hujan yang mula turun lebat. Di dalam hujan itulah mereka bertiga meranduk kegelapan balik ke rumah.

TAMAT