Saturday, May 16, 2015

Kesultanan Siak Sri Inderapura

SALAH sebuah Kesultanan Islam-Melayu yang berperanan besar dalam penyebaran dakwah Islam di Indonesia ialah Kesultanan Siak Sri Inderapura. Kesultanan ini diasaskan pada 1723 oleh Raja Kecil (mendakwa sebagai putera Sultan Mahmud II, pemerintah Johor) yang bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.
Kesultanan ini terletak di Negeri Buantan, kira-kira 10 km di hilir kota Siak Sri Inderapura (sebelah timur laut Pekanbaru). Kesultanan Siak Sri Indrapura merupakan salah satu pusat penyebaran agama Islam di Sumatera Timur. Kesultanan ini mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Syed Ali Abdul Jalil Saefuddin dengan wilayah kekuasaan yang cukup luas.
Kesultanan Siak Sri Inderapura berakhir pada 1946 apabila Sultan Syarif Qassim II menyerahkan kuasa kepada pemerintahan Indonesia.
Pertengahan abad ke-18, Islam berkembang di Siak dengan pengaruh seorang pendakwah Islam dari Arab, Syed Uthman. Dia berkahwin dengan puteri Sultan Alamuddin. Daripada keturunannya muncul Kerajaan Syed Uthman dan sejak itu Sultan bergelar Syed.
Perjanjian damai Siak
Pada zaman pemerintahan Abdul Jalil Muzhaffar Syah (1746-1760), putera Abdul Jalil Rahmat Syah, Siak berperang dengan Belanda pada 1752. Siak memenangi peperangan ini dan berjaya memaksa Belanda supaya berundur.
Bagaimanapun, pada 1858, Siak terpaksa menandatangani Perjanjian Damai Siak akibat kelemahan sultan yang memerintah dalam usaha menghadapi Belanda. Kandungan perjanjian damai itu antaranya termasuklah autonomi Kesultanan Siak diiktiraf oleh Belanda tetapi beberapa daerah taklukannya harus diserahkan kepada Belanda.
Kesultanan Siak mengalami kemunduran kerana perjanjian ini. Melalui Perjanjian Damai Siak, Siak perlu menyerahkan beberapa daerah taklukannya kepada Belanda. Pada masa itu, Siak mempunyai 12 wilayah taklukan: Kota Pinang, Pagarawan, Batu Bara, Badagai, Kualiluh, Panai, Bilah, Asahan, Serdang, Langkat, Temiang, dan Deli.
Istana Asserayahtul Hasyimiah
Salah satu peninggalan Siak Sri Inderapura ialah Istana Siak (Istana Asseryahtul Hasyimiah) yang terletak kira-kira 200 meter dari tepian/tebing Sungai Siak. Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim.
Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim. Di istana ini tersimpan barang bersejarah seperti kerusi kerajaan, pendua mahkota, baju kebesaran dan kelengkapan penobatan sultan. Istana Siak kini diJadikan muzium dan menjadi salah satu tumpuan pelancong di Riau.
Syarif Qasim 11
Sultan Siak terakhir, Syed Syarif Qasim 11, memerintah dari 1908 hingga 1946. Baginda berjasa dalam pengembangan pendidikan dengan mendirikan HIS (1915) untuk anak peribumi dengan tidak membezakan status sosial dan mendirikan Madrasah al- Hasyimiah (1917).
Untuk itu, baginda membawa guru dari Sumatera Barat dan al-Azhar, Kaherah. Untuk wanita, baginda mendirikan Latfah School (1926) dan Madrasah an-Nisa (1929). Pada 16 September 1973, nama Syarif Qasim 11 diabadikan sebagai nama lain Pekanbaru, Riau.